Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Kurang daripada setahun model G30 BMW 5 Series tiba di pasaran Malaysia, kali ini giliran versi plug-in hybrid – BMW 530e iPerformance pula dilancarkan di sini.

    Hanya ditawarkan dengan varian tunggal Sport Line, 530e berharga RM338,888 atas jalan tanpa insurans. Ternyata ia adalah RM50,000 lebih murah berbanding 530i (RM389k), yang turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad serta penyelenggaran berjadual percuma lima-tahun dan waranti dua-tahun bagi tayar.

    530e ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter petrol pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 290 Nm dari 1,350 hingga 4,250 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik 113 hp/250 Nm yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 252 hp dan tork 420 Nm – hampir menyamai kuasa 530i tetapi dengan dan peningkatan tork sebanyak 70 Nm berbanding varian petrol tersebut.

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Motor elektrik ini juga disambungkan ke transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, yang membolehkan nisbah digunakan dalam mod semua-elektrik dan mengetepikan keperluan penukar tork. Ini membantu mengimbangi berat tambahan yang dibawa oleh motor dan bateri.

    Ini bermakna 530e berkeupayaan dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat (hampir sama dengan 530i) sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 235 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi mengikut kitaran European NEDC pula dianggarkan sekitar 2.0 liter bagi setiap 100 km, dengan emisi karbon dioksida pada 46 gram per kilometer.

    Di bawah tempat duduk belakang terletaknya bateri lithium-ion 9.2 kWh, yang membolehkan 530e dipacu dengan mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dengan pacuan semua elektrik secara keseluruhan 48 km- lebih 13 km berbanding model yang lebih kecil 330e. BMW berkata, pengecasan bateri mengambil masa di bawah lima jam dengan penggunaan soket domestik, atau kurang dari tiga jam jika menggunakan BMW i Wallbox 3.7 kW.

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Bagi kit standard, apa yang disenaraikan untuk 530e adalah kurang berbanding 530i. Selain tidak didatangkan dengan pakej luaran M Sport, ia juga tidak ditampilkan lampu utama LED adaptif (lampu utama LED sepenuhnya masih kekal), bumbung matahari, Display Key, Head-up Display, Gesture Control dan sistem bunyi Harmon Kardon dan 16-pembesar suara, 600 watt. Malahan kawalan kelajuan adaptif yang juga digugurkan dari model pemasangan tempatan 530i turut tiada pada 530e ini.

    Namun begitu, elemen lain yang masih dikekalkan, termasuklah lampu kabus LED, roda aloi 19-inci (dengan rekaan pelbagai-jejari yang berbeza), kekemasan luaran aluminium satin BMW Individual, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa bersama fungsi memori bagi tempat duduk pemandu, kawalan suhu automatik empat-zon, bumbung matahari berkaca, tirai matahari untuk tingkap sisi belakang (manual) dan cermin belakang (elektrik) dan pencahayaan ambien 11-warna. Elemen eksklusif bagi 530e ini hanyalah roda stereng balutan kulit BMW Sport dan sistem pembesar suara HiFi (dengan 12-pembesar suara).

    Selain itu, ia turut mengekalkan tailgate berkuasa bebas-tangan dan Dynamic Damper Control dengan Adaptive Mode. Bukan itu sahaja, sistem navigasi Professional boleh dipertingkatkan dengan skrin sesentuh 10.25-inci dan kawalan isyarat, bersama dengan paparan instrumen pelbagai-fungsi 12.3-inci, kamera undur dan Bantuan Parkir untuk memarkir automatik secara selari.

    Untuk elemen keselamatan pula, 530e didatangkan dengan pakej Driving Assistant dengan menambah
    Approach Control Warning dan Person Warning dengan fungsi City Brake, yang beroperasi dalam kelajuan antara 10 km/j dan 60 km/j untuk pejalan kaki dan 80 km/j untuk kenderaan lain. Lain-lain elemen dalam pakej ini termasuklah Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Rear Collision Prevention dan Rear Crossing Traffic Warning.

    530e ini ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Bluestone Metallic, Mediterranean Blue, Alpine White, dan Black Sapphire.

    Seperti mana model BMW iPerformance yang terdapat di Malaysia seperti 330e M Sport, X5 xDrive 40e, 740Le, pembelian 530e Sport juga membolehkan pelanggan menerima akses percuma tanpa had sepanjang tahun untuk servis mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV. Tawaran menarik ini juga didatangkan dengan BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma.

    Untuk perincian dan spesifikasi penuh mengenai model 530e ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Promosi pembelian cara pukal amalan biasa – Proton

    Promosi pembelian cara pukal amalan biasa – Proton

    Susulan kepada laporan akhbar Nanyang Siang Pau hari ini mengenai promosi istimewa yang diberikan kepada Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Proton mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa polisi diskaun istimewa untuk pelanggan jualan korporat atau pembelian secara pukal (fleet) memang ada ditawarkan dan ia merupakan satu amalan biasa.

    Merujuk kepada promosi istimewa yang ditawarkan kepada persatuan berkenaan, ia merupakan sebahagian daripada jualan pukal yang dimaksudkan. Untuk itu, Proton mengamalkan pendekatan serupa kepada pelbagai lagi koperasi, persatuan dan organisasi korporat ternama lain di Malaysia setakat ini.

    Promosi sebegitu tidak hanya dinikmati oleh pertubuhan seperti Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia sahaja. Berdasarkan kepada bilangan ahli persatuan dan pekerja-pekerjanya yang ramai, pihak PROTON dapat membentuk pakej khas yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

    Selain itu, mana-mana koperasi, pertubuhan dan persatuan yang membeli kereta dalam jumlah tertentu juga berhak menikmati tawaran seperti ini, tertakluk kepada terma dan syarat di antara Proton dan pihak-pihak berkenaan.

    Proton sangat menghargai sokongan daripada syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan dan akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan dan kualiti terbaik kepada semua pelanggan. Mana-mana persatuan atau syarikat yang bercadang untuk menikmati peluang yang sama untuk berhubung terus dengan syarikat itu.

     
     
  • Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Sebelum bermulanya tahun kelima Dasar Automotif Negara (NAP) yang pertama kali dibentangkan pada 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Dato’ Sri Mustapa Mohamed hari ini telah membentangkan laporan prestasi industri automotif Malaysia untuk tahun 2017 bertempat di Menara MITI, Kuala Lumpur.

    Menurutnya, secara keseluruhan industri auto di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan dicatatkan pada hampir setiap cabang sepanjang 2017, hasil dorongan dari dasar yang diumumkan oleh kerajaan empat tahun lalu.

    Untuk tahun 2017, industri automotif negara dipacu oleh 27 pengeluar kenderaan yang telah bertapak di Malaysia, dibantu dengan 641 vendor yang menghasilkan dan membekalkan komponen dan alat ganti, serta 53,011 buah syarikat yang terlibat dalam perniagaan servis selepas jualan. Menerusi kesemua operasi tersebut, keseluruhan tenaga kerja yang terlibat dalam industri ini dicatatkan seramai 736,632 orang.

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Apa yang menarik, tahun 2017 juga menunjukkan percambahan yang positif untuk kenderaan-kenderaan yang diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), selari dengan dasar yang diumumkan pada tahun 2014. Menurut statistik, 2017 merekodkan sebanyak 52% dari jumlah model kenderaan baharu yang dijual dalam pasaran adalah model-model yang menerima pengiktirafan EEV atau dua peratus lebih tinggi dari sasaran asal – menunjukkan peningkatan sebanyak 9.2% berbanding 2016 (42.8%).

    Tahun 2017 juga mencatatkan sejumlah 308,807 unit kenderaan yang telah dipasang secara CKD menerima pengiktirafan EEV berbanding sasaran asal 260,000 unit. Jumlah berkenaan juga dilihat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya di mana hanya 247,912 unit kenderaan CKD dihasilkan sepanjang 2016.

    “Pertumbuhan berterusan ini merupakan isyarat bahawa industri automotif Malaysia kini semakin mengambil berat berkenaan EEV. Penerimaan dan kesedaran terhadap keberkesanan guna tenaga bukan hanya pada satu kementerian, tetapi isyarat sokongan dan penglibatan oleh semua institusi kerajaan, pengeluar komponen OEM dan vendor automotif, serta dari masyarakat secara umum”, kata Mustapa.

    Eksport untuk alat ganti dan komponen juga dijangka meningkat pada tahun 2017. Sehingga Oktober tahun lalu, nilai eksport keseluruhan untuk sektor ini direkodkan sejumlah RM9.3 bilion dan Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan ia akan melangkaui angka RM12 bilion untuk keseluruhan tahun 2017. Untuk rekod, eksport untuk alat ganti dan komponen oleh industri automotif Malaysia pada tahun 2016 dicatatkan pada RM11.2 bilion.

    Eksport untuk komponen alat ganti yang dikilangkan semula (recond) pula dinilai pada RM516.4 juta pada November 2017, dan ia jelas lebih tinggi dari keseluruhan 2016 yang mencatatkan RM510 juta. Walau bagaimanapun, Mustapa agak “kecewa” dengan prestasi yang ditunjukkan oleh jumlah yang dicatatkan oleh eksport kenderaan-kenderaan CBU kerana ia dilihat menurun pada 2017.

    Pada 2016, jumlah eksport kenderaan CBU direkodkan berjumlah 33,438 unit dengan nilai RM1.05 bilion, tetapi sehingga Nov 2017, ia hanya mencatatkan 18,887 unit dengan nilai RM944.2 juta. Oleh itu, Mustapa menjelaskan kementeriannya hanya akan fokus kepada eksport komponen alat ganti untuk tempoh-tempoh mendatang.

    Dengan pertumbuhan yang ditunjukkan dalam industri, ia secara tidak langsung turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Berbanding 25,850 peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor automotif di Malaysia pada tahun 2016, tahun berikutnya menunjukkan peningkatan kepada 27,175. Tahun 2017 juga menyaksikan seramai 23,444 tenaga kerja asing dalam industri automotif Malaysia telah digantikan dengan warga tempatan.

    “Perkembanagan dalam industri automotif telah mewujudkan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia. Pelbagai program yang diiktiraf telah diwujudkan oleh MAI sejak 2014, bukan sahaja untuk menyerapkan tenaga mahir lebih cepat ke dalam industri, tetapi dalam masa yang sama untuk menyelesaikan masalah tenaga kerja asing di kalangan pemain industri,” jelas menteri tersebut.

    MAI juga telah menjalankan pelbagai program pembangunan vendor yang secara tidak langsung meningkatkan lagi jumlah perniagaan dalam industri automotif Malaysia pada tahun 2017. Sehingga kini, program-program berkenaan telah melahirkan 522 vendor dengan kebolehan sekurang-kurangnya berada pada tahap 3, dan 27 daripadanya telah pun mencapai tahap 5 iaitu lengkap dengan kebolehan dalam proses R&D.

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menjelaskan bahawa saiz industri automotif di tempatan yang kini menyumbang 4% dari GDP Malaysia memerlukan pemantauan yang holistik, kerana ia mempunyai nilai pekerjaan dan juga perniagaan yang tinggi bagi mewujudkan impak yang besar terhadap rakyat Malaysia, yang selalunya tidak diketengahkan berbanding perkara-perkara lain seperti jumlah jualan dan produksi.

    Selain dari laporan untuk prestasi 2017, pembentangan hari ini juga merupakan laporan terakhir untuk NAP 2014, dimana Dasar Automotif Negara yang baharu kini dalam peringkat akhir untuk dilengkapkan, sebelum diumumkan pada pertengahan tahun ini.

     
     
  • Menteri Kerja Raya minta PLUS robohkan pondok tol Batu Tiga dan Sungai Rasau secepat mungkin

    Menteri Kerja Raya minta PLUS robohkan pondok tol Batu Tiga dan Sungai Rasau secepat mungkin

    Demi keselamatan pengguna Lebuhraya Persekutuan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa agar PLUS Malaysia Bhd (PLUS) supaya segera merobohkan pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau yang dimansuhkan kutipannya sejak 1 Januari lalu.

    “Tol berkenaan memang akan dirobohkan selepas kutipannya dimansuhkan. Bila (kerja perobohan) dimulakan itu kita minta PLUS segerakan supaya tiada lagi kekeliruan dan pengguna lebuh raya tidak akan memperlahankan kenderaan di situ. Kadang-kadang memperlahankan kenderaan boleh menyebabkan kemalangan.

    “Sebab itu memang kita minta (robohkan) secepat mungkin tetapi mereka (PLUS) pun ada prosedur yang perlu dipatuhi, dari segi proses tender ‘apapun kita harapkan mereka akan dapat segerakan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurutnya lagi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah memaklumkan PLUS sudah mengeluarkan tender untuk kontraktor menjalankan kerja-kerja perobohan terbabit.

    Semalam, agensi berita yang sama turut melaporkan kebimbangan pengguna lebuhraya terbabit yang mendakwa tinggalan kedua-dua pondok tol itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Malahan Isnin lalu, satu insiden kemalangan telah berlaku di Plaza Tol Batu Tiga apabila sebuah Perodua Kancil telah merempuh pondok tol berkenaan sehingga menyebabkan dua nyawa terkorban.

    Ini berikutan terdapat ramai pemandu kenderaan memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba apabila tiba di pondok tol berkenaan kerana laluannya yang sempit.

     
     
  • Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Walaupun pengeluarannya telah ditamatkan tahun lalu, itu bukanlah penamat bagi Land Rover Defender. Sempena sambutan 70-tahun usia jenama itu tahun ini, Defender menerima “nyawa” baru; 150 unit terhad kini disediakan, dengan menggunakan enjin V8.

    Defender Works V8 – 70th Edition adalah sebagai tanda hormat kepada model-model awal berkuasa tinggi yang pernah dikeluarkan, seperti Series III Stage 1 V8 dari tahun 1979 dan seterusnya, termasuk edisi ulangtahun ke-50 – dan bakal menjadi Defender yang paling berkuasa dan pantas yang pernah dikeluarkan.

    Ia menggunakan enjin 5.0 liter petrol V8 yang menghasilkan 398 hp pada 6,000 rpm dan 515 Nm pada 5,000 rpm; jauh lebih berkuasa daripada Defender standard yang hadir dengan 120 hp dan 360 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dan laju maksimum 170 km/j. Cukup mengujakan untuk kenderaan 4×4 old-skool ini?

    Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Kuasanya disalurkan menggunakan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan Sport Mode. Ditawarkan bagi kedua-dua model 90 dan 110, ia juga akan dilengkapi dengan lampu utama bi-LED, brek dan kit pengendalian (gelung, penyerap hentak dan palang anti-roll) yang dipertingkat serta rim 18-inci eksklusif dengan tayar untuk pelbagai permukaan bersaiz 265/65 R18.

    Bahagian dalaman dihiasi dengan balutan kulit Windsor pada papan pemuka, panel pintu dan bumbung. Tempat duduk pula dari Recaro, serta sistem infotainmen klasik. Adala lapan pilihan warna diberikan semuanya. Ia akan dijual di UK dan Timur Tengah/Afrika Utara kelak.

     
     
  • Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Walaupun mempunyai model baru Bentayga yang menerima lebih banyak perhatian, model perdana bagi Bentley masih lagi adalah Mulsanne, dan versi yang anda lihat dalam galeri ini adalah Mulsanne Speed, iaitu satu daripada tiga trim yang ada pada model ini, dengan harga bermula RM3 juta.

    Tidak seperti Bentayga dan Flying Spur, Mulsanne ini cuma boleh didapati dengan satu jenis enjin sahaja iaitu unit V8 twin-turbo 6.75 liter. Bagi model Speed ini, kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin tersebut adalah sebanyak 530 hp pada 4,000 rpm dan 1,100 Nm tork pada 1,700 rpm. Jika dibandingkan dengan Mulsanne biasa, kuasanya lebih sebanyak 25 hp dan 80 Nm.

    Menurut Bentley, Mulsanne menghasilkan tork paling tinggi di antara sedan empat pintu mewah, dan setiap enjin kenderaan disiapkan dengan tangan oleh satu individu sahaja. Bagi model yang dipamerkan ini, ia dilakukan oleh Steve Brown. Walaupun mempunyai berat 2,685 kg, ia masih boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 305 km/j.

    Untuk model baru ini, enjin V8 padanya telah dilengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penghentian operasi silinder dan pemeringkatan injap boleh ubah. Ia kemudiannya dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, yang menghantar kuasa ke roda belakang. Turut diberi adalah ekzos serta suspensi sport.

    Bagi yang tertanya berkenaan penjimatan, Bentley memberitahu, Mulsanne menggunakan 15 L/100 km dalam kitaran bercampur dan mengeluarkan 342 gram CO2 bagi setiap kilometer. Tangki minyak pula berkapasiti 96 liter, dan cukai jalannya mencecah RM19,000 (RM56,000 untuk pendaftaran syarikat atau RM6,100 di Sabah dan Sarawak).

    Kereta ini cukup panjang, dengan ukuran 5,575 mm (versi Extended Wheelbase lebih panjang iaitu 5,825 mm), 1,926 mm lebar, 1,521 mm tinggi, dan jarak roda 3,266 mm. Dari sisi mana pun, ia akan menunjukkan saiz besarnya, dan kebanyakan proses pemasangan kenderaan ini dilakukan secara manual menggunakan tangan.

    Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Varian Speed ini mendapat lampu utama LED penuh yang pencahayaannya boleh berubah bergantung kepada kelajuan. Disebabkan badannya yang sudah besar, penggunaan rim bersaiz 21 inci nampak padan dan tidak keterlaluan.

    Warna luaran pada kenderaan ini sebenarnya bergantung kepada anda, dengan selain ratusan warna yang ditawarkan oleh Bentley, anda juga boleh memilih tona warna sendiri atau mungkin juga meletakkan tanda unik yang dimahukan. Untuk model di dalam gambar ini, ia menggunakan warna Damson, yang merupakan pilihan berharga RM30,200.

    Di dalam, pelanggan boleh memilih 24 warna kulit gred premium (13 padanan tona dua warna), beberapa pilihan kemasan kayu (atau gentian karbon), serta lapik bumbung kulit. Datang secara standard pada Mulsanne Speed adalah Mulliner Driving Specification, yang memberikan jahitan bentuk berlian, tombol gear khas, kawalan udara organ stop dan pedal aloi sport.

    Pada model pameran ini, kemasan dalam yang digunakan adalah gabungan kulit Hot Spur merah dan Damson, berserta jahitan berlapis yang dilakukan dengan tangan. Pilihan ini sahaja sudah berharga RM24,300 dan semua tempat duduk datang dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan mengurut – ini pula tambahan RM18,900.

    Turut diperlengkap pada kereta ini adalah pakej Entertainment Specification yang berharga RM104,900. Melaluinya, pembeli akan menikmati Bentley Theatre dengan sistem bunyi Naim dan ‘meja piknik’ kayu. Di dalam bahagian belakang tempat duduk hadapan, terdapat tablet 10.4 inci berasaskan Android, dan ia juga boleh ditanggalkan serta mempunyai storan dalaman 32 GB.

    Kelengkapan istimewa lain yang terdapat pada Mulsanne Speed adalah peti sejuk dengan tempat memegang gelas champagne (tambahan RM58,000), alas kaki Wilton (RM7,700), kamera pandangan bucu (RM6,500) dan bumbung panoramik (RM17,300). Model pameran ini, dengan segala kelengkapan padanya berharga RM3.4 juta termasuk cukai.

     
     
  • Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Toyota telah mendapat keputusan akhir menerusi siasatannya berhubung dengan skandal Kobe Steel yang hangat diperkatakan sejak Oktober tahun lalu. Di mana menerusi siasatan yang dijalankan terhadap produknya, didapati tiada model Toyota mahu pun Lexus yang terjejas dengan material dari pengeluar komponen logam Jepun itu, dan kualiti serta prestasi semua kenderannya menepati standard dalamannya tersendiri.

    Pada Oktober lalu, Kobe Steel telah mengeluarkan beberapa siri kenyataan berhubung dengan pemalsuan data mengenai kualiti material aluminium, aluminium terekstrud dan tembaga yang dibekalkan kepada pelanggan, ini termasuklah melibatkan beberapa pengeluar kenderaan lain seperti Toyota. Malahan sijil pemeriksaannya juga telah diubah atau dipalsukan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh para pelanggan. Sejumlah pekerja dan pengurus syarikat tersebut didapati turut terlibat dengan isu salah laku ini.

    Sebagai maklumbalas, Toyota telah menyemak data yang dikemukakan oleh Kobe Steel dan menilai impak potensi bahan yang dibeli, menggunakan data yang mengandungi penyimpanan terbesar dari spesifikasi Toyota atau pembekalnya.

    Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Syarikat ini juga telah menyebarkan hasil keputusan siasatan terbabit pada 19 Oktober dan 6 November, di mana didapati penggunaan plat aluminium dan beberapa material tambahan dari Kobe Steel tiada memberikan sebarang impak berhubung dengan kualiti dan prestasi terhadap kenderaan mereka. Malah material lain yang turut diumumkan oleh Kobe Steel pada 20 dan 26 Oktober lalu tidak digunakan dalam pembuatan kenderaan mereka.

    Toyota kini telah mengesahkan bahawa aluminium terekstrud, serbuk keluli, pelekap, material sputtering target, tiub tembaga, wayar keluli dan lain-lain material adalah dibekalkan dari pembekal di luar Jepun, ini termasuk juga dengan produk tembaga yang dihasilkan di Jepun dan tempat lain, juga tidak menjejaskan kenderaan. Maka isu ini ditamatkan begitu saja.

     
     
  • Ducati Desmosedici GP 2018 ditunjuk – ujian musim sejuk bermula di Litar Sepang 28 hingga 30 Januari

    Ducati Desmosedici GP 2018 ditunjuk – ujian musim sejuk bermula di Litar Sepang 28 hingga 30 Januari

    Tahun lepas Ducati begitu hampir memenangi kejuaraan MotoGP, dan untuk tahun ini mereka telah bersedia memberikan cabaran melalui jentera Ducati Desmosedici GP baru yang didedahkan ini. Daripada aspek rekaan, motosikal musim 2018 ini menunjukkan satu evolusi dan diharap dapat membawa dua penunggangnya, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo ke kedudukan paling atas.

    Jentera MotoGP pasukan Ducati ini kini menggunakan corak warna merah dan kelabu, dan dikata membawa lebih banyak perhubungan dengan superbike terhebat mereka yang baru dilancarkan, Panigale V4. Winglet kontroversi yang digunakan dalam dua musim sebelum ini telah diganti dengan panel aerodinamik yang bersepadu terus dengan fairing motosikal.

    “Tahun lalu adalah musim yang hebat dan sangat berjaya. Kami juga mempelajari pelbagai perkara, yang boleh dilakukan untuk tahun ini,” kata Dovizioso yang menunggang jentera #4. Tambah beliau, jentera Ducati ini masih mempunyai karekter yang menyusahkan di beberapa litar, tetapi perkara itu akan diperbaiki untuk mendapat tempat yang baik.

    Sementara itu bagi Lorenzo yang menggunakan jentera #99, dan tidak begitu menyerlah pada musim lepas, akan cuba untuk menebus kembali kedudukan beliau, dan kalau boleh menggondol terus kejuaraan. Dalam masa sama, beliau sendiri juga hampa dengan pencapaian pada musim lepas.

    Untuk MotoGP musim 2018, sesi ujian musim sejuk akan berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 28 hingga 30 Januari. Perlumbaan sebenar pula hanya akan bermula pada 8 Mac, di Qatar, manakala perlumbaan di SIC akan berlangsung pada 28 Oktober.

     
     
  • Honda Super Cub 110 2018 ubah suai oleh KSpeed

    Honda Super Cub 110 2018 baru sahaja dilancarkan di pasaran Thailand semalam, tapi kini sudah ada satu unit yang siap diubah suai. Ia dilakukan oleh syarikat bernama KSpeed yang berpusat di Bangkok, dan sebenarnya mereka telah diberikan motosikal tersebut sekitar satu bulan yang lepas, dan berjaya menyiapkannya sebelum hari pelancaran.

    KSpeed sememangnya sudah terkenal dengan kerja yang berkualiti dan sama juga dengan Super Cub yang dipanggil sebagai Super Power Cub ini. Penampilannya nampak lebih garang dengan tayar lebih besar (rim 17 inci) dan fender belakang dipotong pendek sehingga ke tengah tayar belakang dan meninggalkan ruang untuk hanya penunggang sahaja.

    Bahagian badan yang masih mempunyai bentuk asal cuma di tengah sahaja, sementara di hadapan, fender dibuang terus, manakala lampu yang sebelum ini terletak di atas dipotong menjadi lebih kecil dan diletakkan di bawah. Bahagian pemegang kini terdedah dan tidak mempunyai sebarang butang kawalan kerana ia telah diganti dengan butang buatan sendiri di bahagian tengah.

    Menurut KSpeed, motosikal ini masih lagi boleh digunakan di atas jalan raya biasa kerana semua lampu masih ada, serta nombor pendaftaran. Lampu belakangnya yang menggunakan unit LED berbentuk bulat terletak berhampiran tapak bawah penyerap hentak manakala lampu penunjuk arah hadapan pula berada di bahagian lebihan fender belakang. Lampu penunjuk arah hadapan pula berada di penutup fork.

    Enjin motosikal ini tidak diusik, dan ia masih menggunakan unit satu silinder 109 cc sejukan udara yang menjana 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pda 5,500 rpm. Ini adalah enjin suntikan bahan api dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan.

     
     
  • Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan model SUV saiz sederhana XC60 T8 Twin Engine 2018 versi pemasangan CBU sepenuhnya dari Sweden untuk pasaran tempatan. Di bina menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA), ia bakal menggantikan model yang dijual sebelum ini.

    Bagi versi CBU ini hanya satu varian dan tingkat kemasan yang akan ditawarkan, iaitu XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus yang dijual pada harga RM373,888 (atas jalan, tidak termasuk insurans).

    Namun, pilihan yang ada tidak berakhir di situ sahaja; turut diumumkan dengan pengenalan ini ialah versi pemasangan tempatan (CKD) untuk model berkenaan. Bagi versi ini, dua pilihan varian ditawarkan, dengan tiga peringkat kemasan yang berbeza dan akan mula diserahkan kepada pemilik bermula April nanti.

    Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Paling asas adalah Volvo XC60 T5 yang dijual pada harga RM298,888. Manakala XC60 T8 Twin Engine pula datang dengan pilihan kemasan, Inscription dan Inscription Plus. Masing-masing dijual pada harga RM333,888 dan RM343,888 bagi tingkat kemasan yang paling tinggi.

    Yang paling menarik tentulah varian T8, sama seperti yang pernah kita lihat pada model-model Volvo XC90 dan Volvo S90 sebelum ini. Ia mengggunakan enjin T6 2.0 liter empat-silinder dengan dua sistem desakan kuasa supercas dan turbocas. Ia mampu menjana kuasa sebanyak 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Kuasa disampaikan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan AW TG-81SD.

    Tidak lupa juga kepada satu lagi sumber janaan kuasanya – motor elektrik – yang turut melengkapi sistem ini. Motor ini mampu menghasilkan sebanyak 87 hp dan 240 Nm tork dengan kuasanya dibekalkan oleh bateri 10.4 kW yang terletak di terowong tengah. Dalam keadaan cas penuh, ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 45 km (NEDC).

    Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Gabungan kedua-dua sistem ini akan memberikan output keseluruhan yang mampu dicapai ialah sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Enjinnya menyalurkan kuasa ke roda hadapan sementara motor elektriknya pula membekalkan kuasa kepada gandar belakang, menjadikan model ini dengan pacuan semua roda.

    Sementara itu, varian T5 hadir dengan enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder turbocas, dengan janaan kuasa 254 hp 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Transmisi pula menggunakan unit AW TG-81SC lapan-kelajuan automatik, dengan pacuan ke semua roda.

    T5 mampu memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat, dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan minyak pula didakwa 7.2 l/100 km secara gabungan. T8 pula memberikan prestasi yang lebih tinggi; pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, laju maksimum 230 km/j dan penggunaan minyak pada kadar 2.1 l/100 km. Tangki minyak T5 ialah 60 liter, lebih besar berbanding tangki T8 yang hanya berkapasiti 50 liter.

    Semua XC60 pemasangan tempatan menggunakan Dynamic Chassis – leaf spring komposit serta penyerap hentak hidraulik – sementara versi CBU datang dengan Active Chassis dan suspensi udara yang lebih maju.

    Varian T5 menggunakan pakej penggayaan Momentum, antaranya dengan rekaan gril standard, perincian hitam serta bukaan udara hiasan di sudutnya. Ia datang dengan rim 18-inci jejari Y aloi dengan tayar bersaiz 235/60.

    Kelengkapan standard bagi T5 Momentum termasuk lampu utama LED dengan fungsi lampu tinggi automatik, DRL Thor’s Hammer, kluster instrumen 12.3-inci, Sensus Connect dengan skrin sentuh sembilan-inci, kawalan pendingin dwi-zon, Park Assist, kamera pandangan belakang dan sistem audio 10-pembesar suara 224-watt.

    Bahagian dalaman pula termasuk antaranya Comfort Seat dengan upholstery kulit Charcoal, tetapi pemilik boleh memilih warna Maroon Brown (untuk semua model CKD), kemasan Iron Ore Decor, tempat duduk depan dengan larasan kuasa (fungsi memori untuk pemandu sahaja), stereng tiga jejari dengan kemasan Unideco dan tuil gear balutan kulit.

    Bagi T8 Inscription pula, gril dengan jalur-jalur menegak digunakan, dengan perincian warna perak bagi ruang masukan hiasan yang ada. Bahagian sisi terdapat kemasan krom serta ekzos berkembarnya disekalikan dengan bahagian diffuser belakang. Ia juga menggunakan rim aloi sepuluh jejari yang lebih besar, 19-inci dengan tayar bersaiz 235/55.

    Tentunya T8 mempunyai barisan kelengkapan yang lebih tinggi berbanding T5. Antaranya lampu utama LED sepenuhnya dengan fungsi Active Banding Lights, head-up display, kunci kulit Inscription, kamera pandangan sekeliling, Park Assist Pilot, Parking Climate dengan pra-pendinginan kabin serta bumbung panoramik. Sistem audio Bowers & Wilkins 1,100-watt dengan amplifier kelas D 10-saluran adalah eksklusif untuk T8 Twin Engine Inscription Plus.

    Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Varian T8 juga hadir dengan pakej Pilot Assist Volvo, sebuah sistem pemanduan semi-autonomous. Ia melibatkan ciri bantuan stereng kepada fungsi Adaptive Cruise Control. Sistem ini berkesan dalam kelajuan sehingga 130 km/j, mengurangkan ketegangan memandu dalam situasi tertentu. Apapun, kawalan daripada pemandu masih diperlukan kerana sistem ini akan dimatikan sekiranya pemandu tidak meletakkan tangan pada stereng.

    Ruang dalaman T8 CKD tidak banyak berbeza daripada varian T5 Momentum; ia menerima upholstery tempat duduk yang sama. Bagaimanapun, T8 menerima tambahan fungsi lanjutan kusyen mekanikal dan kerusi belakang yang paling luar dengan larasan kuasa.

    Lain-lain kelengkapan termasuk stereng sport tiga jejari balutan kulit dengan kemasan Unideco, tombol gear kristal Orrefors, plat pintu Inscription dan kemasan perincian Inscription Driftwood Decor. Model T8 CBU datang dengan tambahan dua lagi kemasan – Linear Lime Decor dan Metal Mesh Decor.

    Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

    Set sistem keselamatan Intellisafe Volvo adalah standard untuk semua XC60, termasuk ciri City Safety (brek kecemasan autonomous), Blind Sport Information System, Oncoming Lane Mitigation, enam beg udara dan banyak lagi.

    Lima pilihan warna disediakan, terdiri daripada Ice White, Bright Silver, Osmium Grey, Onyx Black dan Maple Brown. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang spesifikasi Volvo XC60 serba baru ini, layari laman CarBase.my.

    Volvo XC60 T8 Twin Engine 2018 CBU

     
     
  • Sistem eCall bakal dilaksanakan tahun ini – Liow

    Sistem eCall bakal dilaksanakan tahun ini – Liow

    Kerajaan akan memperkenalkan sistem eCall iaitu sistem yang dipasang pada kenderaan baharu bagi membolehkan pemandu menghantar isyarat kecemasan daripada kenderaan yang terlibat kemalangan serius bagi mempercepatkan bantuan.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, projek rintis bagi sistem ini turut mendapat kerjasama Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Telekom Malaysia Berhad (TM). Malah katanya lagi, beberapa pengeluar kenderaan turut memberikan respon yang baik terhadap sistem ini dan bersedia meneliti keberkesanannya, laporan Bernama.

    Dalam kerjasama ini, TM akan menyediakan prasarana komunikasi, membangun dan mengurus Pusat Panggilan Kecemasan bagi eCall Malaysia manakala MIROS akan memastikan kelancaran pelaksanaan dengan membantu dalam pembangunan standard, polisi dan dasar berkaitan eCall di negara ini.

    Menerusi sistem itu, kenderaan yang dilengkapi eCall akan menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 yang kemudian akan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk bantuan.

    “Apabila kemalangan berlaku, tempoh respons untuk bantuan kecemasan penting bagi menyelamatkan nyawa tepat pada masanya,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum kerjasama di antara kedua-dua pihak yang terlibat.

    Liow berkata Miros akan mengkaji keberkesanan eCall sebelum menggalakkan pemasangan secara sukarela. Malah beliau berharap pelaksanaan sistem itu dapat membantu kerajaan mengurangkan 50% kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2020.

     
     
  • Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

    Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

    Divisi berprestasi tinggi dan perlumbaan rasmi Hyundai iaitu Hyundai N setakat ini telah menghasilkan dua buah hot-hatch yang benar-benar mendebarkan – Hyundai i30 N dan Veloster N. Kuasa sekitar 250 ps hingga 275 ps pada kedua-dua jentera berkenaan secara tidak langsung membawa Hyundai N untuk berhadapan dengan nama-nama gergasi segmen tersebut iaitu Honda Civic Type R, Renault Megane RS dan Volkswagen Golf GTI Clubsport.

    Seperti yang diketahui, pertembungan antara tiga nama berkenaan disaksikan pada litar Nürburgring – ketiga-tiganya sentiasa memecahkan rekod antara satu sama lain sejak tahun-tahun kebelakangan ini dan rekod terpantas terakhir dicatatkan adalah 7 minit 43.8 saat, dibuat oleh Civic Type R FK8.

    Namun menurut laporan Road and Track, walaupun i30 N dan Veloster N sememangnya dibangunkan di litar ‘The Green Hell’ tersebut (N bukan sahaja bermaksud Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea, ia turut bermaksud Nürburgring), Hyundai N tidak berminat untuk menyertai perang berkenaan kerana menurut mereka divisi N berpegang dengan falsafah yang berbeza dari jenama lain yang berorientasikan prestasi tinggi.

    Usaha pecahkan rekod di litar Nürburgring hanya membazir duit – Boss Hyundai N, Albert Biermann

    “Anda tidak perlu menjadi seorang yang mempunyai kemahiran memandu yang tinggi untuk berseronok dengan kereta N kami. Ia sepatutnya sangat bersesuaian dengan pemandu biasa. Mereka akan dapat merasakan senuthan N ini, belajar dan terus berkembang dengan kereta tersebut, dan akan lebih berseronok kemudiannya. Ini falsafah kami,” kata ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai, Albert Biermann.

    Menurut Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, ini bukan bermaksud kereta-kereta N tidak pantas di litar, malah “anda boleh sangat berseronok dengannya di litar”. Cuma beliau tidak nampak apa-apa faedah untuk berkampung selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan di litar tersebut hanya untuk memecahkan rekod, yang akan dipecahkan lagi oleh pihak lain tidak lama selepas itu.

    “Ada syarikat yang mengambil masa selama lima bulan di Nürburgring, dengan ramai kakitangan. Dengan jumlah [wang berkenaan] kami boleh membina sebuah kereta baharu. Ia hanya membuang masa. Saya takkan lakukan perkara itu,” tegas Biermann.

    Biermann turut menjelaskan kewujudan Hyundai N tidak bergantung pada kejayaan mereka dalam pasaran, sebaliknya divisi ini ditubuhkan bagi memperkuatkan jenama Hyundai itu sendiri. Tanpa mengendahkan jumlah jualan kereta-kereta berprestasi tinggi berkenaan, Hyundai N hanya mahu mendemonstrasikan apa yang boleh mereka lakukan dalam menyediakan jentera-jentera yang seronok untuk dipandu.

    GALERI: Hyundai i30 N

    GALERI: Hyundai Veloster N

     
     
  • Harga minyak 18-24 Jan – petrol naik, diesel pula kekal

    Harga minyak 18-24 Jan – petrol naik, diesel pula kekal

    Selepas catat penurunan harga minggu lalu, harga minyak bagi minggu 18-24 Januari akan naik pula terutama bagi petrol; untuk seminggu kehadapan, harganya naik sebanyak 4 sen. Ini menjadikan RON 95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter, manakala RON 97 pula RM2.57 seliter.

    Diesel bagaimanapun kekal seperti minggu lalu; menjadikan diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.32 seliter sementara diesel Euro 5 pula pada harga RM2.42 seliter. Semua harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti sehingga Rabu depan, 24 Januari.

     
     
  • BMW Malaysia tayang teaser G30 530e iPerformance plug-in hybrid – foto spyshot kekemasan Sport Line

    BMW Malaysia telah menayangkan iklan acah atau teaser menerusi Facebook rasmi mereka, dengan tema warna biru, yang sudah pastinya merupakan model 530e iPerformance.

    Pembaca David Diong telah mengirimkan foto spyshot yang terpampang di bawah ini, menyaksikan 530e tanpa ditutupi sedang diangkut di atas treler di Lebuhraya Sprint. Menerusi foto ini, kita dapat menjangka PHEV G30 ini juga akan ditawarkan dengan kekemasan Sport Line, berdasarkan lebaran hadapan berwarna hitam berkilat dan kekemasan paip ekzos berwarna gelap.

    Tidak semua kekemasan dengan warna hitam berkilat seperti model standard Sport, namun kereta tersebut menambah kekemasan satin pada corong udara sisi dan di sekeliling tingkap. BMW Malaysia juga telah memilih kekemasan aluminium cerah bagi model semasa 530i M Sport. Ia juga dipadankan bersama rim pelbagai-jejari 18-inci, yang nampak hebat bergaya bagi semua sedan perniagaan.

    Penjana kuasa bagi 530e mungkin lebih kurang sama dengan 330e, namun telah ditambah baik bagi teknologi eDrive. Ia didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 184 hp dan tork 320 Nm. Ia turut dipadankan bersama motor elektrik 113 hp/250 Nm serta transmisi automatik lapan-kelajuan ZF.

    Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mampu mencecah 252 hp dan 420 Nm, yang sama kuasa dengan 530i dan lebih 70 Nm. 530e pula mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat (seperti 530i) dan kelajuan maksimumnya pula 235 km/j.

    Terdapat pek bateri lithium-ion 9.2 kWh di bawah tempat duduk belakang. Ia mampu memberikan kuasa kepada 530e dalam mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dan mendakwa kitaran EV aslinya sehingga 50 km. Kombinasi dalam mod hibris ini juga boleh mencecah 650 km, menurut pengeluar kereta dari Munich ini.

    Dengan ketibaan 530e ini bakal melengkapi lagi barisan sedan PHEV di bawah jenama BMW di Malaysia, dengan model sedia ada seperti 330e dan 740Le yang mendapat sambutan memberangsangkan. Model 530e ini juga akan bersaing dengan Mercedes-Benz E350e (dari RM393k) dan Volvo S90 T8 Twin Engine (dari RM369k) dalam segmen yang sama.

     
     
  • Honda CB300R dan Super Cub 110 dilancar di Thailand

    Honda CB300R dan Super Cub 110 dilancar di Thailand

    Pasaran Thailand kini sudah menerima pengenalan dua model motosikal terbaru daripada Honda; CB300R 2018 dan Super Cub.

    Honda CBR300R yang mengambil pendekatan rekaan daripada model konsep Neo Sports Cafe dan menggandingkannya dengan rekabentuk dari CB1000R, ia dilengkapi dengan enjin 286 cc DOHC, silinder tunggal dengan sejukan cecair serta sistem suntikan minyak PGM-FI.

    Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 30.9 hp pada 8,500 rpm dengan tork maksimum sebanyak 27.5 Nm pada 7,500 rpm. Bagi transmisi pula ia menggunakan kotak gear enam-kelajuan, dan berat keseluruhannya ialah 143 kg.

    Honda CB300R dan Super Cub 110 dilancar di Thailand

    Ia datang dengan tangki petrol berkapasiti 10 liter dan mampu memberikan jarak perjalanan lebih dari 300 km dengan satu tangki penuh. Selain itu, ia turut mewarisi teknologi dari jentera yang lebih besar. Sebagai contoh fork terbalik dengan diameter 43 mm dan kaliper brek empat-piston dengan cakera tunggal. Ciri ABS dia saluran (depan dan belakang) adalah ciri standard, dan dilengkapi inertial management unit (IMU) dari superbike Honda.

    Lampu depan dan belakang serta lampu isyarat dari jenis LED. Paparan maklumat motosikal dan perjalanan juga adalah pada skrin LCD yang tersedia di kokpit. Ketinggian tempat duduknya ialah 799 mm. Penyelenggaraan juga mudah, kerana ia menggunakan gelung piston geseran rendah, radiator utama yang high density serta palam pencucuh iridium.

    Honda CB300R dan Super Cub 110 dilancar di Thailand

    Bagi motosikal lagenda yang ada sejak tahun 50an lagi, Honda Super Cub – yang juga dikenali sebagai Super Cub 110 di Jepun – hadir dengan enjin 109 cc sejukan udara yang menjana 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pda 5,500 rpm.

    Penyampaian minyak melalui sistem PGM-FI dan kuasa disalurkan melalui kotak gear centrifugal clutch empat-kelajuan. Brek pula dari jenis dram di depan dan belakang. Tempat duduk pula terpisah dua, dengan bahagian belakang boleh dicabut.

    Honda CB300R

    Honda Super Cub 110

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024