Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerajaan luluskan RM1 juta kaji sistem keretapi di Sabah; laluan Kudat-Sandakan turut dipertimbangkan

    Kerajaan luluskan RM1 juta kaji sistem keretapi di Sabah; laluan Kudat-Sandakan turut dipertimbangkan

    Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini menjalankan kajian awal bagi menyediakan perkhidmatan tambahan dari utara ke bahagian timur negeri itu. Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menjalankan kajian berkenaan, tahun ini.

    Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah menjelaskan kajian itu turut bermatlamat untuk mengenal pasti kelengkapan komunikasi moden yang sesuai untuk memenuhi aspek-aspek keselamatan di sepanjang laluan sedia ada dari Tanjung Aru ke Tenom, dengan jarak sejauh 134 km.

    Menurut Pairin lagi, kerajaan negeri juga dalam usaha memodenkan sistem keretapi di Sabah untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakannya. “Dari rekod JKNS, seramai 494,638 penumpang menggunakan perkhidmatan ini tahun lalu, dengan 6,170 jumlah perjalanan keseluruhan,” jelasnya.

    Dalam tempoh sama, jabatan itu merekodkan sejumlah 134 pembatalan perjalanan atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, misalnya kerana kerosakan teknikal dan cuaca buruk. Bagaimanapun, ini juga satu pencapaian positif jika dibandingkan dengan pembatalan perjalanan pada tahun 2015, dengan angka 762.

    Selepas penambah baikan terhadap sistem operasi yang dilakukan tahun lalu, JKNS berhasil mengurangkan jumlah berkenaan pada kadar yang sangat baik. Antara yang dilakukan ialah penggunaan enam diesel multiple units (DMU) dengan 200 orang kapasiti penumpang digunakan bagi operasi hariannya.

    Pada sebuah majlis yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar JKNS, Melvin V. Majangga semalam, tiga lagi DMU dari India dilancarkan untuk kegunaan laluan Beaufort-Tenom sejauh 48 km.

     
     
  • Sehari sebagai pemeriksa kenderaan di Puspakom – apa yang ditawarkan oleh pusat pemeriksaan ini?

    Sehari sebagai pemeriksa kenderaan di Puspakom – apa yang ditawarkan oleh pusat pemeriksaan ini?

    Sepanjang menjadi seorang pemilik kenderaan, pernahkan anda berurusan terus dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)? Adakah anda menggunakan khidmat ‘runner‘ ke pusat berkenaan untuk ‘menjamin kelulusan’ dalam proses-proses seperti untuk menukar hak milik? Atau adakah anda gusar akan caj yang dikenakan untuk pemeriksaan sukarela dan bimbang maklumat ‘gagal’ kenderaan anda akan dilaporkan ke JPJ?

    Untuk menangkis semua persepsi negatif seperti ini, Puspakom telah menjemput kami dan juga berberapa media lain ke Puspakom cawangan Shah Alam untuk menyertai acara “Be a Vehicle Examiner for a Day” bagi memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang pemeriksa kenderaan (VE) Puspakom dan menjelaskan keseluruhan proses yang berlangsung pada setiap sesi pemeriksaan.

    Sebelum kami mula untuk menjadi seorang pemeriksa kenderaan, Puspakom terlebih dahulu menjelaskan peranan sebenar mereka. Puspakom sebenarnya bukanlah penguatkuasa seperti JPJ dan SPAD, malah mereka juga bukan unit di bawah mana-mana jabatan kerajaan atau badan berkanun.

    Sebaliknya, Puspakom merupakan sebuah syarikat swasta subsidiari penuh DRB-HICOM yang telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak awal penubuhannya, syarikat tersebut dilantik oleh kerajaan untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan kenderaan yang diperlukan pada akta-akta yang diwujudkan seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk JPJ, Akta Sewa Beli 1987 untuk KPDNKK, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 untuk Jabatan Alam Sekitar serta pelbagai lagi.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    Kereta konsep Mercedes-AMG GT empat pintu baru sahaja membuat penampilan di Geneva Motor Show awal bulan ini, dengan membawa jenama EQ Power+, bersama enjin hibrid berprestasi tinggi, yang didapati daripada kereta lumba Mercedes-AMG W08 F1.

    Kebanyakan bahagian luar kenderaan ini masih lagi tertutup dengan pelekat camouflage, tetapi di hadapannya boleh dilihat terdapat lampu utama yang mengikuti bentuk kereta GT Concet yang ditampilkan sebelum ini. Lampu siang LED padanya menghasilkan nyalaan berbentuk ‘C’ , berbeza dengan model konsep yang lebih mempunyai corak hiasan. Walaupun masih tertutup, gril dengan garisan tegak boleh dijangka pada model ini.

    Ukuran tepat juga masih belum dipastikan, walaupun begitu unit ujian ini dilihat mempunyai bayang yang hampir seperti kereta pameran di Geneva. Sepertinya juga, model ini akan menggantikan CLS Shooting Brake secara tidak langsung.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GT empat pintu kini diuji

    Seperti yang dijangka, GT empat pintu ini menggunakan cermin sisi biasa, tidak seperti model konsep yang menggunakan kamera pada bahagian fender. Pada bahagian belakang pula, terdapat penutup but yang rendah, manakala dua muncung ekzos berkembar terletak pada bampar yang lebih sederhana. Bampar ini tidak mempunyai diffuser dan muncung ekzos di tengah seperti kereta konsep.

    GT Concept tiba di Geneva dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 815 hp yang datang daripada enjin V8 twin-turbo 4.0 dan gabungan motor elektrik kuasa daripada bateri lithium-ion. Bateri tersebut akan sentiasa dicas untuk mempunyai “kuasa elektrik penuh apabila diperlukan,” kata Mercedes-AMG. Walaupun begitu, untuk model produksi ia mungkin akan ‘dijinakkan’ sedikit kepada 500/ 600 hp.

     
     
  • Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    Dongfeng Honda secara rasminya telah melancarkan model perdananya di China, iaitu Honda UR-V. SUV untuk pasaran China ini adalah adik-beradik kepada Honda Avancier, iaitu sebuah lagi model yang dihasilkan kerjasama Honda dengan satu lagi syarikat di China iaitu Guangqi. Avancier pertama kali dilihat April tahun lalu.

    Honda UR-V sebenarnya sama sahaja dengan Avancier tetapi ia mempunyai rekaan depan dan belakang yang unik. Di depan, gril atas dan bawahnya disambungkan dengan bentuk ‘U’ seperti HR-V dan lampu LED disambungkan sekali di situ, menjadikannya kelihatan seperti topeng. Ini adalah bertentangan dengan rupa Avancier yang lebih tradisional bagi kenderaan penumpang, di mana ia menggunakan gril krom dan muka seperti Civic FC.

    Pada bahagian belakang, elemen yang ada diatur semula, termasuk lampu, kemasan hiasan dan tempat meletak nombor plet. Ciri khusus pada UR-V adalah garisan merah yang menyambungkan lampu belakang, dan ini turut digunakan pada BR-V. Turut diubah adalah logo serta kemasan krom, manakala tempat nombor plet diletakkan lebih rendah. Pemantul cahaya pula adalah menegak, berbanding melintang, dan barangan lain (muncung ekzos dan diffuser) yang terdapat pada bampar juga adalah sedikit berlainan.

    Honda UR-V dilancar di China – Avancier Dongfeng

    UR-V adalah 9 mm lebih panjang berbanding Avancier, pada 4,825 mm. Ini, ditambah dengan lebar 1,942 mm dan jarak roda 2,820 mm membawa makna bahawa ia agak besar berbanding CR-V. Saingan kepada Honda UR-V/Avancier di China adalah Toyota Highlander, Ford Edge dan Volkswagen Tiguan L (Allspace di Eropah). Walaubagaimanapun, tiga model ini mempunyai barisan tempat duduk tambahan.

    Dua pilihan enjin turbo diberi bagi Honda UR-V iaitu 1.5T 193 hp/ 240 Nm (memakai lencana 240 Turbo) dan 2.0T 272 hp/ 370 Nm (menggunakan lencana 370 Turbo). Bagi enjin 2.0T tersebut, ia didatangkan dengan pilihan transmisi AWD, dan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan. Masa pecutan 0-100 km/j yang boleh dicatat adalah 7.8 saat. Enjin 1.5T pula dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

    Kelengkapan standard bagi UR-V adalah termasuk bumbung panoramik, kamera undur, ciri pemasukan pintar, tempat duduk kulit, pendingin hawa tiga zon dan head unit skrin sesentuh lapan inci. Varian paling tinggi UR-V menerima ciri tambahan seperti adaptive cruise control, pre-collision warning, auto parking, head-up display, lane departure warning dan blind spot monitoring.

    GALERI: Honda Avancier

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot 3008 1.6L THP atas treler di M’sia

    SPYSHOT: Peugeot 3008 1.6L THP atas treler di M’sia

    Peugeot 3008 generasi kedua kini sudah dilihat di Malaysia, tetapi jangan menjangkakan ia akan berada di pusat pameran dalam masa terdekat ini. Sebabnya adalah, model yang ditemui ini menggunakan nombor pendaftaran Perancis, dan kemungkinan besar adalah unit panduan sebelah kiri yang dihantar untuk tujuan latihan dan penilaian di negara kita.

    SUV yang baru diangkat sebagai European Car of the Year ini dijangka membuat penampilan rasmi di Malaysia pada suku kedua tahun ini, dan akan ditawarkan dalam beberapa varian, namun enjin yang sama iaitu unit 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam kelajuan.

    Varian yang akan ditawarkan belum diumumkan untuk pasaran negara kita, tetapi Nasim mungkin akan menjual kereta ini dengan varian Allure, seperti yang dilihat pada model yang ditemui ini. Varian ini adalah varian pertengahan yang terdapat pada kenderaan ini, manakala varian GT Line dan GT berada lebih atas.

    SPYSHOT: Peugeot 3008 1.6L THP atas treler di M’sia

    Harga juga masih belum ada, tetapi berdasarkan laporan tahun lepas, ia dijangka lebih tinggi berbanding RM159,000 yang ditetapkan pada model facelift generasi pertama sekarang. Pembeli boleh menjangka terdapat bahagian dalam yang bergaya, bahan lebih premium dan papan pemuka i-Cockpit.

    Kelengkapan utama lain yang ada pada SUV ini adalah skrin resolusi tinggi 12.3 inci yang juga digunakan sebagai paparan meter, skrin sesentuh lapan inci di tengah dan suis lebih elegan yang mengawal fungsi utama seperti radio, pengawal suhu, navigasi, informasi kenderaan, telefon dan aplikasi mudah alih.

    Spesifikasi penuh untuk model pasaran Malaysia masih belum diberitahu tetapi di pasaran lain, SUV ini mempunyai bumbung panoramik dan penutup but bebas tangan, manakala kelengkapan pilihan tambahan juga meluas termasuk sistem audio Focal Premium 10 pembesar suara dan Driver Sport Pack. Ketibaan semua ciri ini masih perlu ditunggu oleh pengumuman Nasim.

    GALERI: Peugeot 3008

     
     
  • Hyundai Ioniq, Volvo S90 dan Audi A5 dapat penarafan penuh lima bintang dalam ujian Australasian NCAP

    Hyundai Ioniq, Volvo S90 dan Audi A5 dapat penarafan penuh lima bintang dalam ujian Australasian NCAP

    Program Penilaian Kenderaan Baru Australasian (ANCAP) telah mengeluarkan senarai penarafan terbaru mereka, yang mana menyaksikan Hyundai Ioniq, Volvo S90 dan Audi A5 diberikan markah penuh lima bintang. Pada masa sama, Hyundai i20 untuk pasaran New-Zealand pula mendapat empat bintang dalam ujian perlanggaran itu.

    “Penarafan ini merangkumi pelbagai jenama dan kategori kenderaan, dan kebanyakannya menunjukkan prestasi amat baik dalam pelbagai penilaian yang dijalankan,” kata ketua pegawai eksekutif ANCAP, James Goodwin.

    “Semua varian kenderaan hibrid Hyundai Ioniq dilengkapi secara standard dengan Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Reversing Collision Avoidance. Lane Support System dan pengehad kelajuan manual juga adalah standard, seterusnya meningkatkan lagi ciri keselamatannya,” tambah beliau.

    Ioniq mencatat markah 91% ataupun 34.92 daripada 38 mata dalam ujian pelindungan penumpang dewasa (AOP), manakala dalam pelindungan penumpang kanak-kanak, ia mendapat markah 80%, iaitu 39.39 daripada 49 mata keseluruhan. Semua ciri ini boleh didapati pada Ioniq HEV Plus yang dijual di Malaysia.

    Bagi Volvo S90 dan Audi A5 (Coupe dan Sportback), ia bukan satu kejutan apabila mendapat penarafan bintang penuh, tetapi ANCAP sedikit mengeluh dengan perbezaan spesifikasi keselamatan di pasaran yang berbeza.

    “Spesifikasi keselamatan model S90 yang dijual di sini bagaimanapun adalah berbeza dengan yang dijual di Eropah, tanpa beg udara lutut di bahagian pemandu. Spesifikasi A5 juga berbeza di antara Australian dan New Zealand, di mana Adaptive Cruise Control dan Lane Support System didatangkan secara standard untuk pelanggan di New Zealand, tetapi hanya sebagai pilihan bagi pasaran Australia. Agak sedih untuk melihat perkara ini berlaku pada pelbagai jenama,” kata Goodwin.

    “Markah tinggi turut diperolehi oleh Audi A5 (AOP 89%, COP 87%), yang dilengkapi dengan bonet ‘aktif’ dan sistem AEB maju yang boleh mengesan dan mengelak perlanggaran dengan pejalan kaki,” tambah Goodwin.

     
     
  • VIDEO: Sila sebut jenama kenderaan ini secara tepat

    Kebanyakan jenama kereta tercipta dari bahasa asal negara kelahirannya, dan bagi yang tidak terbiasa dengan bahasa tersebut, pasti ada yang tergeliat lidah hendak menyebutnya. Video ini memberikan panduan yang lebih tepat bagaimana jenama kenderaan popular disebut secara lebih tepat oleh wakit pengeluar jenama itu sendiri.

    Ops, sebelum anda menonton video ini, sila sebut dahulu jenama-jenama tersebut mengikut pemahaman sebutan anda. Kemudian, baru tonton video ini dan lihat berapa banyak sebutan yang tepat. Menerusi video ini, ada juga beberapa wakil syarikat pengeluar kenderaan itu yang terpaksa menyebut jenamanya berulang kali bagi mendapatkan sebutan yang lebih tepat. Jadi, bagaimana dengan anda?

    Abarth, Alfa Romeo, Aston Martin, Audi, Bentley, BMW, Bugatti, Citroen, DS, Ferrari, Fiat, Ford, Honda, Hyundai, Jeep, Koenigsegg, Lamborghini, Lexus, Maserati, Mazda, McLaren, Mercedes-Benz, Mitsubishi, Morgan, Nissan, Opel, Pagani, Peugeot, Porsche, Renault, Seat, Skoda, Subaru, Suzuki, Tata, Toyota, Volkswagen, Volvo.

     
     
  • Lotus Elise Sprint muncul lebih ringan, dua pilihan enjin; 1.6 liter 134 hp dan 1.8 liter supercharge 217 hp

    Lotus Elise Sprint muncul lebih ringan, dua pilihan enjin; 1.6 liter 134 hp dan 1.8 liter supercharge 217 hp

    Mungkin ada yang berpendapat Lotus Elise terakhir yang diperkenalkan tidak mungkin akan menjadi lebih ringan. Nampaknya tidak. Pengeluar kenderaan dari United Kingdom ini melakukan sesuatu yang menakjubkan apabila Elise Sprint diperkenalkan, dengan penggunaan lebih banyak bahan gentian karbon untuk menjadikannya lebih ringan.

    Bahan serba ringan ini boleh ditemui pada bahagian panel hadapan, pelindung bumbung dan penutup enjin – yang mana apabila digabungkan bersama cermin belakang polycarbonate, berjaya mengurangkan sebanyak 6 kg. Pengurangan berat sama turut diperoleh dengan penggunaan tempat duduk lumba karbon, manakala bateri lithium-ion mengurangkan 9 kg lagi. Melengkapkan perubahan pada model ini adalah rim aloi yang 5 kg lebih ringan.

    Terdapat juga perubahan lain yang dibuat bersama dengan keseluruhan keluarga Elise bagi tahun 2017, iaitu termasuk clamshell hadapan baru dengan bukaan lebih luas untuk radiator dan gril baru, yang secara keseluruhannya mengurangkan 8.7 kg lagi. Panel belakang juga direka semula dengan hanya dua perumah lampu, berbanding empat sebelum ini – lampu undur dan kabus dimasukkan sekali dan berjaya mengurangkan 0.3 kg.

    Lotus Elise Sprint muncul lebih ringan, dua pilihan enjin; 1.6 liter 134 hp dan 1.8 liter supercharge 217 hp

    Di dalam, Elise mendapat manfaat daripada penukar gear manual daripada model Exige Sport 350. Disesuaikan secara khas untuk kenderaan yang lebih kecil dan kurang kuasanya, bahagian ini adalah 1 kg lebih ringan dan memberikan penukaran gear yang lebih pantas dan tepat. Penambahan ini menjadikan barisan Elise 10 kg lebih ringan apabila dibandingkan dengan setiap spesifikasi yang sama sebelum ini.

    Lebih banyak lagi penjimatan berat yang boleh didapati dengan barangan pilihan lain termasuk sill cover gentian karbon yang 0.8 kg lebih ringan dan 10 mm lebih kurus, serta cakera brek hadapan yang 4 kg lebih ringan. Bersama dengan 26 kg pengurangan berat pada Sprint, kesemua barangan ini boleh mengurangkan 41 kg lagi, seterusnya menjadikan berat Elise paling ringan ini hanya 798 kg.

    Perubahan lain yang diberikan pada Elise ini membantu menghasilkan daya tolakan ke bawah yang lebih seimbang pada keseluruhan kereta, dengan terdapat lapik getah di bahagian bawah kenderaan dan roda hadapan mengubah pergerakan udara di bawah kereta untuk mengurangkan rintangan dan meningkatkan stabiliti, seperti juga diffuser vane belakang.

    Lotus Elise Sprint muncul lebih ringan, dua pilihan enjin; 1.6 liter 134 hp dan 1.8 liter supercharge 217 hp

    Pada bahagian dalam, terdapat panel meter dengan grafik yang lebih mudah dibaca, manakala sistem hiburan dan informasinya kini boleh didapati dengan pilihan yang mempunyai sambungan iPod dan Bluetooth. Pilihan lain yang disediakan adalah balutan Alcantara pada roda stereng, corong pendingin hawa dan side sill.

    Kedua-dua Elise Sport standard dan Sprint ditawarkan dalam pilihan dua enjin daripada Toyota iaitu unit empat silinder N/A 1.6 liter 134 hp/ 160 Nm, dan 1.8 liter supercharge 217 hp/ 250 Nm. Bagi yang menggunakan enjin 1.8 liter tersebut, ia turut menggunakan sistem ekzos baru untuk tahun 2017.

    Bahagian suspensi terdiri daripada jenis double wishbone di semua penjuru, dengan terdapat anti-roll bar hadapan, penyerap Bilstein prestasi tinggi dan spring coaxial Eibach. Brek yang digunakan pula adalah jenis angkup piston berkembar AP Racing di hadapan dan angkup Brembo satu piston di belakang. Semua model juga didatangkan secara terus dengan sistem kawalan kestabilan yang boleh ditutup.

    Elise baru sudah boleh ditempah, dan penghantarannya akan bermula awal bulan April. Jika itu masih tidak mencukupi, Elise Cup 250 yang lebih berkuasa akan diperkenalkan pula pada bulan Mei 2017, dengan pembaharuan yang dapat mengurangkan beratnya sehingga 23 kg berbanding dengan model terdahulu.

     
     
  • Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    Ketika ini, dua syarikat gergasi automotif dengan operasi global sedang membida untuk mendapatkan pegangan majoriti dalam Proton. Untuk itu, kedua-duanya memberikan tawaran yang dirasakan terbaik untuk “memenangi” Proton. Di dalam satu rencana diterbitkan oleh Bernama, penulisnya memberi perhatian kepada pertanyaan ini; mengapa Proton dianggap sangat bernilai?

    Ini berbeza sekali dengan rata-rata kita di Malaysia, yang lebih kerap mendengar tentang hal-hal kerugian yang ditanggung Proton Holdings Berhad. Berlainan sekali dengan kedua-dua pembida ini; mereka malahan melihat Proton sebagai sebuah syarikat pengeluaran yang sangat bernilai jika diletakkan dalam konteks global, berbeza dengan jika dilihat dari sudut operasi pasaran tempatan semata-mata, menurut pengalisa.

    Dua syarikat antarabangsa yang berminat itu – Zhejiang Geely Holdings Group dari China dan PSA Group dari Perancis – melihat Proton dengan cara yang berbeza, dan disifatkan sebagai padanan yang cukup strategik di dalam perancangan global yang lebih besar bagi dominasi automotif yang kini sedang rancak berlaku serata dunia oleh pemain-pemain utama industri.

    Di sinilah Proton menjadi begitu penting; sebagai strategi di mana Proton akan dijadikan “sauh” operasi mereka di Asia, selain jejak mereka di benua lain diperingkat global, ujar seorang penganalisis yang sudah terbiasa dengan usaha sama seperti itu.

    Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    Alasan yang membolehkan perkara ini berlaku sangat mudah. Proton sehingga hari ini kekal menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan Asean yang lengkap dengan keupayaan kajian dan pembangunan (R&D), rekaan, pengilangan, pengedaran dan jualan kenderaan. Tiada lagi dalam kalangan 10 negara anggota Asean yang berhasil melakukan hal ini.

    Ini meletakkan Proton dalam posisi unik; Asean merupakan pasaran yang sedang berkembang dengan 600 juta orang, yang mana peningkatan pendapatan kini akan mendorong warganya untuk membeli kereta pertama mereka. Proton sangat strategik dari beberapa sudut – pertama, menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan dari Asean dan kedua, operasinya akan membawakan manfaat yang lebih besar kepada pemain global seperti Geely dan PSA. Ketiga, ia terletak di tengah-tengah rantau Asia – rantau pertumbuhan ekonomi paling cepat di dunia kini.

    Selain itu juga, kapasiti pengeluaran kilang Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim jika digabungkan mampu mencapai angka 400,000 setahun. Pemain automotif utama dari luar menyedari perkara ini, bahawa Proton memiliki sebuah kitaran sistem dan kemudahan pengeluaran yang siap tersedia untuk mana-mana pengeluar automotif melanjutkan operasi mereka di Asean.

    Turut kedengaran sebelum ini, adalah lebih baik bagi PSA dan Geely untuk memulakan pembinaan kilang dan operasi baru sahaja, misalnya di Indonesia yang banyak tenaga kerjanya, serta populasi warga seramai 250 juta. Penganalisa berpendapat, kos yang terlibat untuk ini akan mencecah US$2 bilion, dan akan mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

    Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    Ini juga perlu mengambil kira latihan yang perlu diberikan kepada ribuan tenaga kerja bermula dari kosong, serta keperluan untuk membangunkan satu kitaran sistem bagi vendor. Memulakan operasi dari sifar ini asalnya dinyatakan oleh PSA sebagai pilihan utamanya untuk mewujudkan jejaknya di Asia, sehinggalah Proton muncul dengan rancangan untuk mencari rakan strategik asing.

    Ia menjadi titik penting di mana PSA memberi tumpuan kepada Proton, sebuah jenama yang sudah 30 tahun usianya dan hadir dengan pengalaman dan kitaran vendor secara menyeluruh bagi setiap peringkat pemasangan dan pengeluaran kenderaan. Pilihan ini adalah lebih baik kepada syarikat itu, yang menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk mengelakkan “kesilapan pemula” ketika memulakan operasi di Asean.

    PSA juga sedar satu perkara. Selepas pembeliannya ke atas jenama Vauxhall di UK dan Opel di Jerman dari General Motors, ia menjadi pengeluar kenderaan kedua terbesar di Eropah. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi di Eropah sangat perlahan, manakala di Asia pula adalah sebaliknya dan jauh lebih pesat – dan di Asia jugalah PSA kekurangan kemudahan pengilangan automotif yang lengkap. “Jika PSA berjaya melamar Proton, maka jenama Malaysia ini akan menyertai kisah jenama global seperti Peugeot, Citroen, DS Automobiles, Vauxhall dan Opel,” jelas penganalisis itu.

    Sebuah lagi syarikat yang berminat ke atas Proton ialah Geely. Sebuah jenama yang agak muda dalam industri, yang mengeluarkan kereta pertamanya pada 1998, dan mengambil langkah berani untuk membeli jenama Volvo – yang ketika itu sedang bermasalah – daripada Ford pada 2010. Dalam masa yang agak singkat ia telah berjaya mengubah Volvo untuk kembali berdaya saing diperingkat global. Geely juga kemudiannya membeli pengeluar teksi British, The London Taxi Company.

    Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    The new Volvo XC60

    Melalui Volvo, Geely mempunyai jenama global yang kuat, tetapi tidak mempunyai kemudahan pemasangan di rantau Asean, menjadikannya kuat di China tetapi lemah di rantau Asean yang pesat berkembang. Sekali lagi, Proton boleh merapatkan jurang ini.

    Pengalisis RHB Research, Alexander Chia baru-baru ini menjelaskan, bahawa Proton memerlukan rakan strategik asing yang boleh membantunya dengan pembangunan model baru, pemindahan teknologi, pengurusan kos pembangunan, pelaksanaan proses pengilangan yang lebih cekap kos, menembusi pasaran baru dan membangkitkan semula jenama Proton.

    “Produk-produk Proton biasanya mempunyai kitaran hayat yang dilanjutkan, disebabkan oleh kekurangan jumlah kenderaan yang dijual (economies of scale), di mana ia memerlukan masa yang lebih lama untuk menjual bilangan yang sepatutnya untuk mengimbangi kos pembangunan,” ujar beliau.

    Dengan rakan strategik asing, masa depan Proton akan menjadi sangat berlainan daripada imej sebelum ini. Dalam tempoh tiga tahun, penganalisa berkenaan menjangkakan Proton akan hadir dengan beberapa model baru melalui perkongsian teknologi dan platfrom, begitu juga dengan barisan model baru SUV yang tiada sebelum ini.

    Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

    Menurut beliau lagi, dalam tempoh itu, Proton akan dapat mengukuhkan kedudukannya di Asean dengan 300,000 unit atau tiga kali ganda jualan berbanding sekarang. Dalam tempoh lima tahun pula, angka berkenaan ialah meningkat kepada 500,000 unit, dengan Proton mula mengeksport kenderaannya ke luar Asean, memasuki pasaran Asia yang lebih besar.

    Dan, menjelang 2020, Tanjung Malim akan menjadi hab automotif utama dengan majoriti populasinya akan terlibat dengan lebih ramai sebagai pekerja di sana, untuk memenuhi kadar pengeluaran yang tiga hingga lima kali ganda berbanding yang dikeluarkan hari ini.

    DRB-Hicom Berhad juga betul dalam melihat Proton sebagai sebuah syarikat yang bernilai. Selepas membelinya pada 2012, dan mengharungi beberapa tahun yang sukar, akhirnya syarikat itu digandingkan dengan jenama antarabangsa yang berminat.

    Tiga tahun ke depan, ketika melihat semula tahun 2017 ini, akan menjadi sangat jelas bahawa membuka Proton untuk berkerjasama dengan jenama global telah meletakkannya di landasan yang betul untuk menempa nama diperingkat antarabangsa, berbanding jika ingin mengekalkannya sebagai pemilikan Malaysia sepenuhnya.

     
     
  • Hukuman lebih berat menanti pemandu cuai – Ab Aziz

    Hukuman lebih berat menanti pemandu cuai – Ab Aziz

    Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu. Ini termasuklah beberapa video yang ditularkan pada minggu lalu, apabila beberapa pemandu dikesan memandu melawan arus, antaranya yang berlaku di Taiping dan satu kejadian yang melibatkan kemalangan maut di Pulau Pinang.

    Menganggap ia sangat serius, Kementerian Pengangkutan mengambil keputusan untuk menyemak semula hukuman bagi pemandu cuai yang menyebabkan kematian termasuk memperkenalkan undang-undang yang lebih berat dan setimpal, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, hukuman sedia ada tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. Katanya, pihak kementerian mengambil maklum saranan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang mahu undang-undang lebih tegas diperkenalkan.

    “Sudah banyak kali kejadian melibatkan pemandu cuai termasuk yang memandu melawan arus dilaporkan dan minggu lalu di Pulau Pinang yang membabitkan pemandu remaja yang berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian pengguna lain dan ini adalah kesalahan yang amat serius. Disebabkan bimbang dengan peningkatan kemalangan maut akibat pemandu cuai, satu langkah drastik termasuk pengenalan undang-undang lebih ketat perlu dilakukan sebagai pengajaran dan kesedaran awam,” ujar Ab Aziz.

    Katanya lagi, buat masa ini,pemandu cuai yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

    “Kementerian Pengangkutan akan menilai semula undang-undang sedia ada termasuk memasukkan hukuman lebih berat terhadap pemandu cuai selain pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA),” katanya lagi.

     
     
  • Ford Focus 1.5L EcoBoost Red & Black Edition – berasaskan varian Trend, terhad 20 units, RM121k

    Ford Focus 1.5L EcoBoost Red & Black Edition – berasaskan varian Trend, terhad 20 units, RM121k

    Sime Darby AutoConnexion (SDAC) telah memperkenalkan model edisi terhad bagi Ford Focus 1.5L EcoBoost yang digelar Red & Black Edition. Ia berasaskan varian hatchback Trend facelift dari model generasi ketiga C346, yang dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun lalu.

    Terhad hanya 20 unit sahaja, di mana kesemuanya adalah berwarna Candy Red. Walau pun warna Panther Black disenaraikan untuk Trend sewaktu pelancarannya, SDAC turut memberitahu, varian ini kini juga hanya didapati dalam warna Frozen White.

    Hitam juga telah dimasukkan dalam rona luaran untuk memberikan kesan kontras (sesuai dengan nama bagi model edisi ini) – hatchback ini juga menerima sentuhan krom pada bahagian skirt lips hadapan dan belakang dan perumah cermin sisi bersama hitam berkilat, malahan bebayang tersebut turut diberikan pada rim aloi pelbagai-jejari 17-inci. Bumbung berwarna hitam turut menyerlahkan lagi gaya model edisi terhad ini.

    Di bahagian dalamnya, tempat duduk fabrik berwarna hitam standard bagi Trend telah ditukarkan ke balutan kulit upholstery, termasuk beberapa kit ekstra, antaranya cermin pandang belakang anti-silau dengan kamera pandang-belakang serta perakam video pemanduan. Lain-lain elemen standard yang masih dikekalkan termasuklah SYNC Gen1 dan paparan tengah dot matrix monochrome 3.5-inci, sistem audio enam-pembesar suara, pendingin hawa manual, dan dua beg udara.

    Tiada perubahan mekanikal, dan ia masih dijanakan oleh enjin 1.5 liter EcoBoost GTDI dengan hamburan kuasa 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm antara 1,600 hingga 5,000 rpm. Ia juga dipadankan bersama transmisi automatik torque converter Selectshift 6F35 enam-kelajuan. Focus 1.5L EcoBoost Red & Black ini dijual pada harga atas jalan RM120,888 tanpa insurans, iaitu lebih RM2k berbanding model standard Trend.

    GALERI: C346 Ford Focus Mk3 facelift, 1.5L EcoBoost Trend hatchback

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V generasi kelima ditemui sedang diuji di M’sia – akan dilancarkan tahun ini?

    SPYSHOT: Honda CR-V generasi kelima ditemui sedang diuji di M’sia – akan dilancarkan tahun ini?

    Pada Majlis Honda Malaysia bersama media awal bulan ini, Honda Malaysia ada mengumumkan akan melancarkan dua lagi model tahun ini selain BR-V dan juga City facelift, yang kami jangkakan adalah Jazz Sport Hybrid dan juga CR-V generasi baharu. Nampaknya salah satu jangkaan tersebut kini berkemungkinan besar akan terjadi setelah pembaca kami, Kamal Kaiza terjumpa CR-V 2017 berkenaan sedang diuji di atas jalan raya awam berhampiran kilang Honda Pegoh, Melaka.

    SUV berkenaan diuji dengan ‘kain selubung’ melindungi rupa sebenarnya, tetapi ia tetap boleh dikenali menerusi rim aloi dengan rekaan seperti turbin, enam jejari, berdiameter 18-inci. Rupa luaran CR-V 2017 pasaran Malaysia dijangka tidak jauh beza dengan versi pasaran Thailand yang bakal dilancarkan pada hujung bulan ini.

    Bagi pasaran negara gajah putih berkenaan, CR-V hadir dengan dua pilihan enjin. Varian asas diberikan enjin 2.4 liter K24 DOHC i-VTEC empat-silinder petrol berkuasa 175 hp/225 Nm digandingkan bersama transmisi CVT Earth Dreams. Manakala varian tertinggi pula akan dijana enjin turbodiesel 1.6 liter N16 DOHC i-DTEC berkuasa 160 hp/350 Nm dipadankan dengan transmisi sembilan-kelajuan automatik dari ZF.

    SPYSHOT: Honda CR-V generasi kelima ditemui sedang diuji di M’sia – akan dilancarkan tahun ini?

    Walau bagaimanapun, kita di Malaysia mungkin tidak akan ditawarkan dengan kedua-dua enjin berkenaan, tetapi digantikan dengan enjin R20 pada CR-V sedia ada dan juga enjin 1.5 liter VTEC Turbo sama seperti Civic. Pasaran Amerika turut menerima versi 1.5 liter turbo tersebut dan menerima talaan kuasa lebih besar dari Civic iaitu 190 hp/243 Nm.

    Pada bahagian luaran, model pasaran Thai adalah hampir seiras CR-V pasaran Amerika Syarikat, menampilkan lampu hadapan LED, yang dipadankan sekali dengan rekaan muka Solid Wing Face Honda. Ia juga menerima rim 18-inci sama seperti pada unit yang sedang diuji di Melaka ini.

    Papan pemuka CR-V direka hasil evolusi dari papan pemuka Civic generasi kesepuluh dengan konsol tengah yang “terapung”, paparan skrin TFT LCD dan stereng tiga-jejari. Namun penukar gear jenis butang suis tidak akan ditawarkan di Malaysia memandangkan ia hanya dibina untuk model diesel sembilan-kelajuan sahaja, dan kita akan menerima tuil penukar gear konvensional.

    Model pasaran Malaysia juga dijangka bakal menerima konfigurasi tujuh-tempat duduk sama seperti versi Thailand. Ciri lain yang turut diberikan pada model pasaran Thai termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta kunci automatik Walk Away, kemasan kayu, upholsteri kulit, suis cermin berkuasa satu sentuhan untuk semua pintu, serta penghawa dingin dua-zon lengkap dengan liang penghawa dingin sendiri untuk tempat duduk barisan kedua dan pada bahagian bumbung untuk barisan ketiga.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuk brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, sistem infotaimen Honda Display Audio dengan skrin tujuh-inci bersama hubungan Apple CarPlay serta Android Auto. Pintu tailgate berkuasa adalah ciri standard di Thai, manakala model varian tinggi turut menerima sistem bukaan handsfree menggunakan kaki.

    Bagi ciri keselamatan, CR-V Thai hadir bersama ABS dengan EBD, brake assist, kawalan kestabilan (VSA) dan Agile Handling Assist (AHA) bersama Torque Vectoring pada operasi brek. Varian tertinggi turut menerima kamera titik buta LaneWatch dan Pemantau Perhatian Pemandu dan dijangka bakal menerima enam-beg udara. Manakala untuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing dan juga Adaptive Cruise Control mungkin tidak akan ditawarkan di Malaysia.

    GALERI: Honda CR-V 2017 pasaran Thailand

     
     
  • Honda rai pemilik ke-250,000 model City di Malaysia

    Honda rai pemilik ke-250,000 model City di Malaysia

    Sejak model dari generasi keduanya diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sejak 2001, Honda City kini sudah mencapai angka 250,000 unit yang sudah terjual di sini dalam temoh 16 tahun berkenaan. Versi City paling laris ialah dari generasi keempat, yang mencatatkan jualan 100,000 unit bagi tempoh Mac 2014 hingga Disember 2016.

    Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian ini, Honda Malaysia meraikan pemilik unit ke 250,000 berkenaan. Pemilik bertuah itu, Tan Kian Hui, yang membeli kereta berkenaan dari Tiong Nam Motor (M) Sdn Bhd menerima baucar servis bernilai RM1,000, set lengkap cenderahati Honda serta aksesori tulen merangkumi pakej Modulo, pakej Urban dan pakej Utiliti bernilai RM5,300.

    “Kami sangat berterima kasih dan menghargai semua 250,000 pemilik Honda City. Sokongan dan maklum balas mereka telah membolehkan kami untuk meletakkan penanda aras tersendiri bagi kenderaan segmen B bagi setiap generasinya.

    Honda rai pemilik ke-250,000 model City di Malaysia

    Honda City juga menjadi penyumbang utama bagi angka jualan kami pada tahun 2015 dan 2016, meletakkan kami sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu di Malaysia bagi dua tahun berturut-turut, serta ditangga kedua bagi TIV keseluruhan tahun lalu,” ujar Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuo Hayashi.

    Honda City di dalam penawarannya yang terbaru juga meneruskan tahap penerimaan positif seperti sebelumnya. Setakat ini, jumlah tempahan yang dicatatkan mencecah 2,500 unit, pertambahan 500 tempahan dari 10 hari pertama selepas dilancarkan sebelum ini.

     
     
  • Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Setahun selepas Lexus LC membuat penampilan pertama semasa Detroit Auto Show 2016, kereta coupé mewah itu akhirnya mula dijual di Jepun. Dengan tetapan dua pintu, kereta yang cukup bergaya ini dihasilkan daripada inspirasi kereta konsep LF-LC, dan ditawarkan dalam dua variasi iaitu LC 500 dan LC 500 Hybrid.

    Model untuk produksi ini mempunyai penampilan yang sama dengan model yang ditampilkan di pameran automotif sebelum ini, dengan badan yang kelihatan rendah dan perincian yang cukup menarik. Bonet hadapan yang rendah menyerlahkan penampilan kereta ini, dan ia ditambah dengan lampu triple-projector LED yang kompak, bersama lampu siang LED.

    Dari tepi, anda boleh melihat LC baru ini menggunakan rim yang besar – sama ada 20 atau 21 inci – manakala bahagian belakang menggunakan bentuk ramping yang juga menyamai karekter dibawa gril hadapannya. Lampu penunjuk arah berbentuk tegak, turun ke bawah daripada lampu belakang menyerlahkan lagi kedudukan rendah kereta ini, bersama dengan muncung ekzos dan diffuser yang juga terletak rendah.

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Masuk ke bahagian dalam yang menyediakan tempat duduk 2+2, terdapat kokpit yang fokus kepada pemandu, dengan terdapat pembahagi di antara penumpang dan pemandu. Lexus mendakwa telah menguji secara teliti kedudukan memandu pada kereta ini, termasuk pada bahagian pedal, kedudukan suis, sudut roda stereng dan kesesuaian tempat duduk itu untuk memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa.

    Kulit jenis semi-anline digunakan pada tempat duduk model pertengahan pakej L, menampilkan binaan dua bahagian meningkatkan ciri memegang dan keselesaan, bersama bonjolan tambahan pada bahagian bahu untuk sokongan lateral. Tempat duduk Alcantara pada model asas dan pakej S yang paling tinggi pula menampilkan lebih banyak bonjolan untuk memegang pemandu di tempatnya, bersama lapik untuk keselesaan.

    Rekaan papan pemuka melintang LC mempunyai panel meter utama dan kawalan fungsi yang terletak pada ketinggian yang sama, supaya pemandu tidak perlu menggerakkan mata terlalu banyak untuk membacanya. Panel paparan meter TFT LCD dengan gegelung tengah yang boleh bergerak juga diperelok berbanding unit yang terdapat pada LFA.

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Lexus juga memberi perhatian kepada rekaan roda stereng, dengan terdapat cabang berlekuk supaya pemandu dapat memegang dengan pelbagai cara apabila mengendalikan kenderaan. Pedal penukar gear di stereng kini menggunakan aloi magnesium dan diletakkan pada kedua-dua LC 500 dan LC 500h.

    Sistem bunyi asas 12 pembesar suara yang digunakan turut dipertingkat dengan kualiti bunyi lebih baik, tanpa sebarang pembetulan tambahan dan kedudukan pembesar suara serta akustik dioptimakan. Disediakan sebagai pilihan adalah sistem bunyi menyeluruh Mark Levinson Reference 13 pembesar suara, yang termasuk teknologi Clari-Fi.

    Sementara itu, ciri Lexus Climate Concierge mengawal sistem pengawal suhu automatik, bersama pemanas di tempat duduk dan stereng. Secara keseluruhannya, pembeli boleh memilih antara tujuh warna badan, termasuk satu warna intensiti tinggi Naples Yellow Contrast Layering. Bagi bahagian dalam pula, terdapat empat pilihan skema warna, termasuk yang baru, Ochre dan Breezy Blue.

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Lexus LC dibina di atas platform Global Architecture – Luxury (GA-L) baru, yang menampilkan badan tegar menggunakan campuran besi biasa serta yang berkekuatan tinggi, aluminium dan gentian karbon. Untuk memberikan pembahagian berat lebih baik, enjin di bahagian depan diinjak 50 mm ke belakang dan tiada tayar kecemasan (didatangkan dengan tayar run-flat), seterusnya membolehkan bateri diletakkan di belakang (dan but lebih besar).

    Dengan menggunakan pusat graviti yang rendah, jurutera yang membangunkan LC dapat mengurangkan sudut olengan tanpa perlu menggunakan spring keras boleh merosakkan pemanduan. Hasilnya, pergerakan badan kenderaan ini lebih terkawal, tepat, bertindak balas secara linear dan seterusnya menyumbang kepada pemanduan lebih lancar termasuk sewaktu mengambil selekoh dan menukar lorong.

    Suspensi yang digunakan pada LC adalah daripada jenis multilink di depan dan belakang, dengan bahagian depan mendapat rekaan arm yang lebih optimal untuk meningkatkan maklum balas stereng, manakala bahagian belakang pula menerima konfigurasi yang terletak lebih rendah, dengan arm yang diletakkan pada lokasi lebih tepat dan bersesuaian untuk kawalan di kelajuan tinggi. Turut membantu adalah penggunaan ball joint berkembar pada arm ini.

    Pakej S pada LC akan diberi dengan Lexus Dynamic Handling, iaitu termasuk ciri Variable Gear Ratio Steering (VGRS), Active Rear Steering (ARS) dan stereng kuasa elektrik untuk meningkatkan reaksi stereng dan tasa yang lebih terus semasa mengambil selekoh kelajuan tinggi. Turut disediakan sebagai pilihan adalah limited-slip differential untuk pecutan pertengahan selekoh lebih stabil, dan ia bekerja bersama dengan Vehicle Stability Control (VSC) dan ARS untuk mengurangkan understeer dan oversteer.

    LC 500 dikuasakan oleh enjin V8 Atkinson-cycle NA 5.0 liter yang diambil daripada model GS F dan RC F. Enjin ini mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium. Untuk menyampaikan angin dengan lebih baik kepada enjin, terdapat dua saluran udara, manakala penyerap juga digunakan untuk mengurangkan bunyi dan gegaran.

    Secara keseluruhan, enjin ini boleh menghasilkan 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ini seterusnya membolehkan LC 500 memecut 0-100 km/j di bawah 5.4 saat dan kuasa tersebut disampaikan oleh kotak gear automatik 10 kelajuan dengan nisbah yang diletakkan lebih rapat.

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Antara ciri baru lain pada transmisi ini adalah pengawal AI-Shift dengan penukar mod pemanduan. Ia boleh memilih nibah yang optimum bukan sahaja berdasarkan kelajuan dan penggunaan pendikit, tetapi juga berdasarkan sejarah pemanduan yang direkod. Ini membolehkan kotak gear tersebut menganggar perlakuan dan kemahuan pemandu, meskipun pemandu tidak mengusik butang pemilih mod pemanduan. Torque converter juga baru pada unit ini.

    Sementara itu, LC 500h pula menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem Multi Stage Hybrid yang terdiri daripada motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 311 V. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan.

    Kuasa daripada enjin sahaja adalah 299 PS pada 6,600 rpm dan 356 Nm tork pada 5,100 rpm, manakala daripada motor elektrik pula adalah 180 PS dan 300 Nm tork. Secara keseluruhannya, padanan ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 354 hp.

    Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

    Datang standard pada semua model LC adalah Lexus Safety System + serba lengkap, termasuk Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Pre-Collision Brake Assist, All-Speed Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Vehicle Sway Warning dan Intelligent High Beam.

    Dibuat di kilang Motomachi, yang sebelum ini mengeluarkan LFA, Lexus LC 500 dijual pada harga 13,000,000 yen (RM504,600) untuk model standard dan pakej L, dan 14,000,000 yen (RM547,800) untuk pakej S paling tinggi. Bagi LC 500 h pula, 13,500,000 yen (RM528,200) ditetapkan untuk model biasa dan pakej L, manakala pakej S dijual pada harga 14,500,000 yen (RM567,300).

     
     
  • MAA: Jumlah jualan Februari 2017 turun lima peratus

    MAA: Jumlah jualan Februari 2017 turun lima peratus

    Jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Februari 2017 mencatatkan penurunan 5% atau 2,212 unit berbanding pada bulan Januari lalu. Data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sepanjang Februari lalu, sebanyak 38,881 unit kenderaan penumpang dan 3,574 unit kenderaan perdagangan dijual.

    Dua faktor penyumbang digariskan berkaitan penurunan berbanding jualan bulan Januari 2017. Pertama, jumlah hari bekerja yang lebih pendek pada Februari dan kedua, iklim dan suasana pasaran masih tidak menampakkan perubahan yang lebih positif.

    Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan jualan pada bulan yang sama tahun lalu, tahun ini angka jualannya lebih tinggi berbanding Ferbruari tahun lalu, dengan 42,455 unit berbanding 37,874 unit secara keseluruhannya.

    Begitu juga dengan jumlah pengeluaran kenderaan secara keseluruhannya, Februari 2017 mencatatkan angka yang lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu. Sebanyak 43,127 unit kenderaan dikeluarkan, berbanding 35,130 unit pada Februari tahun lalu.

    Jualan bagi bulan Mac dijangka akan lebih baik berbanding dua bulan pertama tahun ini. Antara faktor yang diyakini akan menyumbang kepada perkara itu ialah jumlah hari bekerja yang lebih panjang serta promosi berterusan yang diberikan oleh jenama pengeluar kenderaan kini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025