Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • P. Pinang sedia perkhidmatan bas percuma dari 1 April

    P. Pinang sedia perkhidmatan bas percuma dari 1 April

    Pulau Pinang berharap dengan perkhidmatan bas percuma yang akan diperkenalkan bulan depan mampu jadi penyelesaian sementara terhadap kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh warga di pulau berkenaan, lapor The Sun.

    Perkhidmatan yang dikenali sebagai Congestion Alleviation Transport (CAT) disediakan secara percuma dan dijadualkan bermula 1 April ini meliputi 12 kawasan utama – enam dibahagian pulau dan enam lagi di seberang. Kawasan-kawasan yang dimaksudkan ialah Alma, Ayer Itam, Balik Pulau, Batu Kawan, Bayan Baru, Bertam, Bukit Mertajam, George Town, Nibong Tebal, Seberang Jaya, Sungai Dua dan Tanjung Tokong.

    Ahli majlis negeri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan trafik, Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan berkenaan yang disasarkan kepada pengguna bas sedia ada, pengguna baru, pelajar, pekerja dan pelancong diharap dapat mengurangkan kesesakan harian yang dihadapi.

    Menurut Pengurus Kanan Rapid Penang, Osman Amir, pendekatan ‘Hub & Spoke’ yang digunakan itu akan membolehkan bas-bas melalui semua hentian yang ditetapkan dalam kadar yang lebih kerap, meliputi kawasan yang sebelum ini tiada perkhidmatan bas dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

    Rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan bas percuma itu bermula sejak 2014 lagi, dan kerajaan negeri telah berbincang dengan Rapid Penang milik Prasarana untuk menjadikannya kenyataan. Rapid Penang menyediakan 52 bas untuk projek CAT berkenaan, dan tempoh operasi adalah dari 6 pagi hingga 10 malam.

     
     
  • Honda Forza 300 diperbaharui di Eropah – lebih sporty, banyak kelengkapan termasuk kawalan cengkaman

    Honda Forza 300 diperbaharui di Eropah – lebih sporty, banyak kelengkapan termasuk kawalan cengkaman

    Honda Forza 300 cukup terkenal dalam segmen skuter maxi terutamanya di Eropah dan kini, model terbarunya telah dilancarkan di sana. Di negara kita, skuter ini dikenali sebagai NSS300, dan model yang dipasarkan sekarang masih menggunakan rekaan lama, yang jika dibandingkan dengan Yamaha XMax 250, pastinya sedikit kurang sporty.

    Rekaan baru Forza 300 2018 nampak lebih sporty dan moden, dan dimensinya juga berubah sedikit menjadi lebih pendek manakala tempat duduk pula lebih tinggi untuk pandangan ke jalan yang lebih jelas. Kemudiannya, ia mempunyai lampu hadapan LED serta penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik menggunakan butang di pemegang.

    Casis Forza 300 2018 juga adalah baru, dan ia menjadikan skuter ini 12 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini. Kemudiannya, rim belakang diubah menjadi satu inci lebih besar berbanding sebelum ini, iaitu unit 14 inci dan dipadankan bersama rim 15 inci di hadapan. Brek masih lagi set cakera depan dan belakang, dengan sistem ABS two-channel.

    Walaupun masih menggunakan enjin sama seperti sebelum ini, iaitu unit satu silinder 279 cc PGM-FI berkuasa 24.8 hp dan 27.2 Nm tork, pecutannya dijadikan lebih pantas, bersama laju maksimum lebih tinggi serta penggunaan bahan api lebih baik.

    Satu naik taraf yang penting pada Forza 300 adalah ia kini dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), iaitu satu sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman. Ia adalah pertama kali dipasang pada sebuah skuter Honda dan melaluinya, jika terdapat perbezaan laju antara roda hadapan dan belakang, kuasa enjin akan dikawal supaya roda tidak tergelincir. Sistem ini boleh ditutup melalui satu butang yang disediakan.

     
     
  • Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

    Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

    Jika anda mengikuti perkembangan Mazda diperingkat global, teknologi enjin SkyActiv-X mungkin sudah banyak kali didengar. Ia diumumkan pertama kali sejak Oktober tahun lalu, dan paling awal akan digunakan dalam model kenderaan produksi jenama itu pada 2019 nanti. Jadi, apa sebenarnya perancangan Mazda dengan enjin baru ini?

    Jika model-model dengan “6.5 Generation Technology” bagi kemaskini kenderaan tahun 2018 menjadi perantara dengan menampilkan peningkatan bagi model-model sedia ada Mazda (dari generasi ke-enam) dengan model generasi akan datangnya – ini antara lain melibatkan kemaskini pada barisan enjin SkyActiv-G dan juga SkyActiv-D – barisan enjin SkyActiv-X pula akan menandakan kehadiran penawaran model-model generasi ke-tujuh daripada Mazda.

    Ketika sesi bersama wakil media ASEAN yang berlangsung di Hokkaido, Jepun minggu lalu, antara perkara yang turut diberi penekanan ialah berkaitan teknologi enjin baru SkyActiv-X ini dan arah tuju Mazda selepas ini. Menurut Pengurus Besar di Pejabat Perniagaan Asean Mazda, Susumu Niinai, enjin SkyActiv-X akan ditawarkan sebagai pilihan yang paling tinggi bagi model dan varian yang ada.

    Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

    “Maksudnya, pilihan terhadap barisan enjin SkyActiv-G dan SkyActiv-D masih tetap akan ditawarkan selepas ini. Bagi SkyActiv-X, dengan tekonologi yang ada padanya, ia lebih sesuai ditawarkan sebagai pilihan varian dengan spesifikasi lengkap dan harga yang lebih tinggi,” jelasnya.

    Seperkara lagi, penawaran bagi model-model dengan enjin SkyActiv-X ini juga akan hadir dengan gandingan ciri atau sistem elektrifikasi, dan bukan enjin pembakaran dalaman semata-mata. “Sebagai contoh, ciri seperti i-Stop dan juga regenerative braking,” jelas beliau.

    Namun, hal ini bukanlah sesuatu yang terlalu asing bagi Mazda, kerana model-model semasa yang ditawarkan ketika ini juga sudah ditawarkan dengan ciri seperti i-Stop yang dimaksudkan itu. Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kadar penggunaan ciri elektrifikasi pada model-model SkyActiv-X akan bertambah lebih banyak. Sistem mild hybrid atau hibrid penuh mungkin? Dengan kehadiran Toyota yang kini menjadi rakan usahama, siapa tahu itu akan menjadi kenyataan kelak.

    Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

    Jadi, apa yang gempak sangat dengan teknologi enjin SkyActiv-X? Dalam bahasa mudah, ia menemukan kelebihan-kelebihan yang ada pada enjin petrol (janaan output, pemanasan dan exhaust purification) dan juga enjin diesel (penjimatan bahan api, kelebihan tork dan maklum balas) di dalam satu enjin.

    Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan enjin Homogeneous Charge Compression Ignitinion (HCCI) yang pernah dibangunkan oleh pengeluar lain sebelum ini. Namun, terdapat satu masalah utama dengan enjin jenis ini; amat sukar untuk mencapai peralihan yang stabil antara spark ignition (SI) (pendekatan pada enjin petrol konvensional) dan compression ignition (CI) (pendekatan pada enjin diesel) yang menjadikan pembakaran dalam enjin berkenaan tidak cekap.

    Mazda kemudiannya menemukan titik penyelesaian kepada masalah ini – dengan pendekatan yang dikenali sebagai Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Dengan cara ini, peralihan antara SI dan CI akan ditentukan oleh tekanan di dalam silinder serta permulaan pembakarannya turut dikawal melalui pencucuh.

    Kelebihan cara ini ialah ia membolehkan ia mendapatkan nisbah udara yang lebih banyak dalam campuran udara-bahan api (lean mixture) yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya mencapai penjimatan petrol yang lebih tinggi. Ia juga boleh berlangsung di dalam jumlah bebanan dan kelajuan enjin (rpm) yang lebih konsisten dan di dalam julat yang lebih meluas.

    Menurut Mazda lagi, ketika membangunkan prototaip untuk teknologi SkyActiv-X ini, mereka hanya menggunakan enjin 2.0 liter. Enjin baru ini juga turut dilengkapi dengan supercharger mekanikal dan menggunakan palam pencucuh biasa. Tetapi, pendekatan ini tetapi boleh dilakukan terhadap enjin-enjin dengan kapasiti lain yang Mazda miliki, sekiranya ada keperluan untuk itu.

    Bagi pengguna pula, selain penjimatan minyak sehingga 20% berbanding enjin SkyActiv-D atau 45% lebih jimat berbanding enjin SkyActiv-G sebelumnya, pemanduan juga disifatkan lebih lancar dan responsif, terutama ketika ingin memulakan perjalanan.

    Apa pun tanggapan terhadap perkembangan ini, Mazda sebenarnya telah membuktikan satu perkara. Bergerak ke hadapan, syarikat itu masih melihat enjin pembakaran dalaman masih lagi relevan untuk satu jangka wakti yang panjang. Apatah lagi ketika mengambil kira gandingan sistem elektrifikasi moden dan “hijau” yang semakin menjadi keutamaan ketika ini.

     
     
  • VIDEO: Range Rover Sport SVR – lebih pantas dari Ferrari 458 Italia di jalan bukit Tianmen Road, China

    Trend penghasilan SUV memang sedang meningkat sekarang. Model-model berkenaan bukan sahaja dibina sebagai sebuah kenderaan praktikal dan boleh digunakan pada pelbagai bentuk muka bumi, malah semakin banyak SUV yang dihasilkan dengan prestasi yang cukup tinggi. Namun adakah SUV berprestasi tinggi generasi baharu ini mempunyai kelajuan setanding kereta sport yang lebih rendah dan jelas mempunyai kelebihan pada aspek berat dan titik graviti?

    Bagi membuktikan produknya bukan calang-calang, Land Rover menghasilkan video baharu memaparkan model berpretasi tinggi Range Rover Sport SVR mencatatkan rekod di jalan berbukit Tianmen Road di China, iaitu laluan mendaki dengan keseluruhan hampir 100 selekoh mencabar.

    Dengan enjin 5.0 liter V8 Supercharged berkuasa 575 PS/700 Nm, Range Rover Sport tersebut dipandu oleh pemandu yang pernah menjuarai perlumbaan Le-Mans iaitu Ho-Pin Tung. Sasaran mereka juga bukan sembarangan, iaitu untuk memadam rekod 10 minit 31 saat yang dicatatkan oleh Fabio Barone yang memandu Ferrari 458 Italia pada tahun 2016.

    Dari segi kuasa, jelas Range Rover Sport tersebut mempunyai kelebihan (570 PS/540 Nm pada Ferrari), namun supercar Itali berkenaan mempunyai kelebihan signifikant dari segi berat, kerendahan dan kemampuannya untuk mengambil selekoh dengan lebih laju.

    Walau bagaimanapun, Tung dan Range Rover tersebut berjaya mencatatkan rekod tidak rasmi baharu 9 minit 51 saat. Manakala keseluruhan laluan mendaki bukit sejauh 11.3 km dan 99 selekoh tersebut berjaya diredah oleh Range Rover Sport SVR berkenaan dengan kelajuan purata 68.8 km/j.

    “Saya selalunya berlumba dalam kelajuan tinggi tetapi kesemua 99 selekoh ini adalah sesuatu yang unik. Mengekalkan konsentrasi merupakan cabaran terbesar kerana selekoh dan belokan adalah konstant, dengan gaung yang tinggi pada sisi,” kata Tung.

    Dengan badan yang praktikal boleh mememuatkan seisi keluarga, malah lebih laju dari Ferrari – kalau banyak duit, mana yang akan anda pilih? SUV ini atau supercar buatan Itali?

    GALLERY: Range Rover Sport SVR 2018

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2018 muncul di web oto.my – varian A200 Progressive Line dibuka pada RM220,888

    Mercedes-Benz A-Class 2018 muncul di web oto.my – varian A200 Progressive Line dibuka pada RM220,888

    Nampak seperti wakil pengedar sudah tidak sabar mengumpul tempahan untuk Mercedes-Benz A-Class 2018, kerana iklannya sudah muncul di laman oto.my. Banyak perincian yang dimasukkan dalam iklan ini, tetapi ia tidak menyatakan sebarang kata rasmi daripada Mercedes-Benz Malaysia.

    Varian yang dimasukkan dalam iklan ini adalah A 200, yang dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 1.4 liter M282 dengan kuasa 161 hp dan 250 Nm tork. Enjin yang dibangunkan bersama dengan Renault ini menggantikan unit lama 1.6 liter, dan dipadankan dengan transmisi klac berkember tujuh kelajuan 7G-DCT.

    Untuk barangannya, kereta tersebut dikata akan dilengkapi dengan pakej luaran Progressive Line. Melalui pakej ini, gril jenis satu jalur digunakan, dan bukannya seperti di dalam gambar kerana itu adalah gril AMG Line. Selain gril yang mempunyai corak seperti berlian, kit AMG Line juga datang dengan bampar yang lebih sporty.

    Mercedes-Benz A-Class 2018 muncul di web oto.my – varian A200 Progressive Line dibuka pada RM220,888

    Turut diberikan adalah lampu utama LED Multibeam, rim 18 inci, kamera 360 darjah dan Keyless Go. Untuk bahagian dalam pula, barangan yang terletak dalam senarai adalah lampu suasana, tempat duduk larasan elektrik dengan fungsi memori dan sokongan belakang, roda stereng dengan Touchpad, sistem bunyi Burmiester, sistem informasi dan hiburan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan skrin 10.25 inci berkembar.

    Daripada senarai ini, boleh dikatakan kelengkapannya agak banyak, dan ada lagi bagi bahagian keselamatan. Antaranya adalah Blind Sport Assist, Active Lane Keeping Assist, Parktronic, Distronic, Pre-Safe System, Brake Assist System (BAS) dan CPA (Collision Prevention Assist). Servis Mercedes-me Connect juga ada ditawarkan.

    Seperti yang diiklankan, harga sebuah A-Class A 200 Progressive Line dengan kelengkapan ini diletakkan pada RM220,888, sekaligus menjadikan ia RM12,000 lebih tinggi berbanding A 200 AMG Line yang dijual sekarang. Kalau benarlah begitu kelengkapan yang akan diberi, ia boleh dikatakan agak bagus. Menurut pengedar itu lagi, tempahan sudah dibuka tetapi pelancaran hanya akan berlaku pada bulan Jun.

     
     
  • Toyota Supra generasi kelima – Ketua jurutera Tetsuya Tada beri penjelasan mengapa ia dibina bersama BMW

    Toyota Supra generasi kelima – Ketua jurutera Tetsuya Tada beri penjelasan mengapa ia dibina bersama BMW

    Anda kenal Tetsuya Tada? Beliau adalah ketua jurutera Toyota yang bertanggungjawab mengetuai pembangunan jelmaan semula Toyota Levin/Sprinter Trueno AE86 iaitu Toyota 86 baharu. Umum mengetahui, Toyota juga telah mendedahkan model konsep Toyota Supra generasi kelima di Geneva Motor Show 2018 sebagai sebuah jentera perlumbaan konsep – ini juga merupakan projek yang dikendalikan oleh Tada.

    Menerusi laporan dari Drive, Tada mendedahkan sendiri cerita disebalik pembikinan Supra generasi baharu berkenaan selepas pendedahannya di Geneva. Beliau sendiri telah mengesahkan projek ini sebenarnya telah bermula pada tahun 2012.

    Untuk lebih spesifik, ia bermula dengan satu mesyuarat rahsia yang diadakan di Jerman semasa pelancaran Toyota 86 di Eropah. Ketika itu, BMW sedang mencari rakan kerjasama strategik bagi berkongsi kos untuk membangunkan kereta sport generasi baharu mereka, dan dalam masa yang sama presiden Toyota, Akio Toyoda, ketika itu sedang cuba untuk mengembalikan jenama syarikatnya seperti era 90’an – yang penuh dengan barisan kereta sport.

    Pada mulanya Tada beranggapan projek ini sama seperti Toyota 86 dan Subaru BR-Z, di mana kedua-duanya kelihatan hampir serupa serta prestasi pemanduan juga yang hampir sama. Namun BMW mensyaratkan untuk kerjasama ini walaupun kedua-dua kereta sport berkenaan dibina dengan platform dan enjin yang sama, kerekter antara mereka perlu berbeza sejak hari pertama pembangunannya.

    Toyota Supra generasi kelima – Ketua jurutera Tetsuya Tada beri penjelasan mengapa ia dibina bersama BMW

    Tada kemudiannya pulang ke Jepun dan memberitahu pihak pengurusan bahawa kerjasama dengan BMW ini adalah tidak mustahil untuk dilakukan, dan ini merupakan “peluang yang sempurna” untuk membawa semula Supra kepasaran kerana platform baharu berkenaan menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR) dan ia dijana enjin enam-silinder sebaris – ia sememangnya ‘sifat’ Supra dari generasi pertama MA47 hingga keempat JZA80.

    “Seperti yang anda tahu ini ialah Supra generasi kelima. Ia ada satu konsistensi – enjin enam-silinder sebaris telah dipadankan pada kesemua generasinya,” kata Tada dan menambah, “elemen penting lain ialah konfigurasi [enjin hadapan, pacuan belakang]. Kedua-dua elemen ini perlu kekal pada model baharu.”

    Untuk mendapatkan rakan strategik tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan sifat sebuah Supra sebenar bukan perkara mudah, dan ini menyebabkan Supra generasi baharu agak lewat untuk muncul bagi menggantikan model sebelumnya. Oleh itu, Tada yang telah menerima banyak tunjuk ajar berkenaan pembangunan dan dinamik jentera sport FR dari mentornya, Isao Tsuzuki (ketua jurutera pembangunan Toyota Supra generasi keempat) memohon maaf kepada peminat yang terpaksa menunggu dalam masa yang begitu lama.

    “Kami harap kami dapat bawa Supra generasi baharu lebih awal,” katanya. “Kami mahu meminta maaf kepada [peminat] yang terpaksa menunggu begitu lama. Sudah 15 tahun, saya memohon maaf untuk itu,” tambahnya lagi.

    Namun setakat ini Toyota masih lagi belum mengumumkan spesifikasi teknikal rasmi berkenaan model produksi sebenar Supra generasi kelima berkenaan. Menerusi laporan-laporan sebelum ini, Supra dikatakan akan dijana enjin petrol turbo enam-silinder dari BMW, dan tiada kotak gear manual ditawarkan – berkemungkinan digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF atau kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Tada juga ada menyebut bahawa model generasi baharu ini tidak bersifat seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar di laluan lurus’, tetapi ia akan dibina lebih fokus kepada dinamik pengendalian. Ia juga dikatakan bakal menampilkan nisbah berat hadapan dan belakang sempurna 50:50 dan mempunyai titik graviti lebih rendah dari Toyota 86 yang menggunakan enjin boxer empat-silinder.


     
     
  • DBKL sediakan pelan induk pejalan kaki, basikal di ibu kota – atasi kesesakan lalu lintas, pelepasan karbon

    DBKL sediakan pelan induk pejalan kaki, basikal di ibu kota – atasi kesesakan lalu lintas, pelepasan karbon

    Bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan mengurangkan pelepasan karbon di sekitar Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengesahkan buat masa ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyiapkan Pelan Induk Pejalan Kaki dan Basikal Kuala Lumpur, bagi menggalakkan orang awam berjalan kaki dan berbasikal di ibu kota.

    Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi Bernama, skop kajian penyediaan Pelan Induk Pejalan Kaki dan Basikal ini merangkumi aspek fizikal dan non fizikal. Aspek fizikal bermaksud kajian perancangan gunatanah, pelan rangkaian penghubung dan penyediaan kemudahan infrastruktur. Aspek non fizikal pula bermaksud menyediakan cadangan program kesedaran, keselamatan, penguatkuasaan dan program penglibatan komuniti.

    Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md. Ramli (AMANAH-Kuala Krai) yang ingin tahu langkah-langkah kementerian untuk menyediakan laluan berbasikal di kawasan DBKL yang selamat dan berkesan kepada pengguna.

    DBKL akan memastikan pelaksanaan lorong basikal mencapai tahap keselamatan yang tertinggi selaras dengan undang-undang negara dan garis paduan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

     
     
  • Harley-Davidson 2018 – harga dari RM56k hingga 375k

    Harley-Davidson 2018 – harga dari RM56k hingga 375k

    Selepas pusat pameran pertama dibuka di Petaling Jaya, pengedar baru motosikal Harley-Davidson (H-D) di Malaysia, Didi Resources telah menyiarkan harga bagi model 2018 yang sudah mula dijual. Secara keseluruhannya, terdapat tiga kategori utama untuk model H-D 2018 iaitu Touring, Softail dan Sportster, manakala empat model lagi diletakkan sebagai barisan Custom Vehicle Operations (CVO).

    Terdapat juga model istimewa iaitu Police dan Trike, dan kemudiannya ia disertai juga dengan Street 750 dan Street Rod yang terletak sebagai model permulaan. Dalam semua barisan motosikal H-D ini juga terdapat model sambutan ulang tahun yang menyambut kewujudan H-D selama 115 tahun.

    Untuk model 2018 ini, ada yang menggunakan enjin baru Milwaukee 8 V-twin, yang datang dalam tiga kapasiti iaitu 107 yang berkapasiti 1,750 cc, 114 yang berkapasiti 1,870 cc dan 117 yang bersamaan 1,919 cc. Semua enjin baru ini menggunakan dua palam pencucuh dan empat injap bagi setiap silinder, digerakkan dengan push rod, dan unit 114 dan 117 mempunyai sistem penyejukan gabungan cecair dan minyak.

    Anda boleh mendapatkan H-D model 2018 pada harga bermula RM53,500, iaitu untuk model Street 750 yang dibuat di India dan datang dalam warna Vivid Black. Seperti yang dinyatakan, ia adalah sebuah model asas, dan kemudiannya turut disertai oleh Street Rod.

    Untuk model yang berkapasiti sedikit tinggi, terdapat pula barisan Sportster, yang menggunakan sama ada enjin 1,200 cc atau 883 cc. Model Sportster permulaan adalah Iron 883, yang ditawarkan dalam dua varian iaitu yang berwarna biasa pada harga RM81,200 manakala warna Hard Candy dijual pada RM84,700.

    Paling tinggi dalam barisan Sportster adalah XLX1200X Forty-Eight, dengan model edisi Ulang Tahun dijual pada harga RM99,800 manakala Forty-Eight biasa terletak antara RM92,800 hingga RM97,600. Model XL1200C ditawarkan dalam dua variasi iaitu 1200 Custom dan 1200 Roadster, dengan harga masing-masing RM86,300 dan RM93,200.

    Pergi kepada model yang menggunakan enjin V-twin lebih besar, paling banyak variasi adalah Softail, dengan semuanya ada 17 model, bermula daripada model asas FXBB Street Bob 2018 pada harga RM113,632, hinggalah Edisi Ulang Tahun Fat Boy pada harga RM178,928. Model FXBR Breakout yang rendah dan panjang pula datang dalam tiga variasi, Breakout RM151,156, FXBRS Breakout 114 Milwaukee 8 RM164,724 dan Breakout Anniversary RM173,628.

    Harley-Davidson 2018 – harga dari RM56k hingga 375k

    Model kegemaran ramai, FLFB Fat Boy kemudiannya dijual bermula pada harga RM146,704, diikuti FLFBS Fat Boy 114 pada RM162,286, dan kemudiannya FLFB Anniversary V dan X pada RM178,928. FXFB Fat Bob dalam warna Vivid Black dijual bermula RM135,680, dan pergi sehingga RM150,308 untuk FXFBS Fat Bob 114.

    Ada juga model yang lebih besar dijual pada harga lebih tinggi, sehingga mencecah RM374,498 iaitu untuk CVO Ultra Limited Anniversary. Bawah sedikit padanya terdapat FLHTKSE CVO Ultra Limited berharga RM348,634, FLTRXSE CVO Road Glide RM302,206, Road Glide Ultra RM218,678 dan FLTRX Road Glide RM185,182.

    Anda boleh melihat harga untuk semua model 2018 yang dijual oleh pengedar Harley-Davidson rasmi baru ini dalam jadual di atas dan ia adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Beberapa model ini sudah pun berada di pusat pameran di Petaling Jaya, dan galeri gambarnya ada kami sertakan di bawah.

    GALERI: Harley-Davidson Breakout 2018


    GALERI: Harley-Davidson Fat Bob 2018

    GALERI: Harley-Davidson Fat Boy 2018

    GALERI: Harley-Davidson 48 115th Anniversary

     
     
  • Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür – perbatuan hanya 10 km, akan dilelong dengan jangkaan RM1 juta

    Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür –  perbatuan hanya 10 km, akan dilelong dengan jangkaan RM1 juta

    Selain dari model produksi Nissan Skyline GT-R R34 yang membuat penampilan pada 1999, pengeluar kenderaan dari Jepun tersebut turut menghasilkan pelbagai model rare yang dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad – contohnya Nismo R34 Z-Tune yang dibina hanya 19 unit. Unit yang anda lihat pada imej diatas adalah antara model rare dalam barisan BNR34 iaitu V-Spec II Nür yang dihasilkan sebanyak 1,000 unit.

    Namun, apa yang lebih unik pada unit berkenaan, ia adalah sebuah kereta yang boleh dikatakan dalam keadaan baharu di mana masih berbau kedai, sarung plastik tempat duduk belum dibuka, malah meter perbatuan hanya mencatatkan 10 km! Berita baik, unit ini boleh anda miliki kerana ia bakal dilelong oleh BH Auction pada Tokyo Auto Salon, 12 Januari tahun hadapan.

    BNR 34 GT-R V-Spec II Nür ini masih lagi dijana enjin petrol enam-silinder sebaris 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT. Namun versi istimewa tersebut menerima spesifikasi N1 yang terdiri dari pelbagai tingkat taraf termasuk dinding silinder lebih tebal, saluran air untuk sistem penyejukkan dirombak semula, pam air dan pam minyak pelincir dipertingkat, serta kesemua rod penghubung pada omboh diseimbangkan semula.

    Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür –  perbatuan hanya 10 km, akan dilelong dengan jangkaan RM1 juta

    Dari luar, enjin ini dapat dibezakan dengan penggunaan penutup kepala enjin (rocker cover) berwarna emas, pengecas turbo bersama manifold ekzos lebih lawas (bagi memberikan kuasa da tork lebih baik), manakala bilah turbin di dalam pengecas berkenaan diberikan unit dari keluli, berbanding bilah seramik yang lebih ringan serta responsif (tetapi lemah sekiranya kuasa ditala lebih tinggi) pada model standard.

    Disebabkan era berkenaan pengeluar-pengeluar kenderaan di Jepun masih lagi terikat dengan “Gentlemen Agreement” untuk mengelakkan ‘perperangan kuasa kuda’ berlaku sesama mereka, Nissan mendakwa versi edisi terhad ini masih menjana 280 PS, sama seperti R34 GT-R standard.

    Ciri lain, V-Spec II Nür turut diberikan bonet dari material gentian-karbon bagi mengurangkan berat pada bahagian hadapan, serta diberikan suspensi lebih keras bagi meningkatkan tindak balas casis, dan juga brek Brembo yang lebih besar untuk kuasa pemberhentian lebih baik. Bahagian dalaman model ini pula kekal minimalis, hanya diberikan perincian sedikit berbeza contohnya kemasan-kemasan berwarna iridium.

    Berapa pula harga kereta yang rare lagi new old stock (NOS) ini? Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür ini dijangka bakal terjual dengan harga antara 25 juta hingga 30 juta Yen (RM906,787 hingga RM1,088,144). Ada masa setahun lagi ni, sempatlah kot nak jual tanah atau benda lain yang patut.

     
     
  • Toyota Hilux facelift di Malaysia – akan dilancarkan?

    Toyota Hilux <em>facelift</em> di Malaysia – akan dilancarkan?

    Toyota Hilux facelift, yang ditampilkan pertama kalinya di Thailand November tahun lepas, kini sudah dilihat tiba di Malaysia dan seperti akan muncul secara rasmi tidak lama lagi. Wakil penjual sudah mula membuat promosi untuk model baru ini, dan gambar yang kami dapat ini datang daripada laman Facebook “Yana Toyota Online”.

    Model baru ini menunjukkan perubahan gaya yang jelas berbanding Hilux generasi sekarang, yang dilancarkan pada bulan Mei 2016. Muka hadapannya hampir seperti model Tacoma yang dipasarkan di Amerika Syarikat, dan melibatkan perubahan pada bahagian gril berbentuk heksagon, bersama rekaan bampar, salur udara serta lampu kabus yang baru.

    Di Thailand, muka baru ini hanya boleh didapati bagi varian 4×4 dan 4×2 Prerunner High Rider, manakala varian 4×2 Low Rider masih lagi mendapat bahagian hadapan yang sama, tetapi dengan gril berwarna hitam dan pelindung bampar hadapan.

    Laman Facebook jualan kenderaan Toyota yang berpusat di Kelantan ini turut mendedahkan beberapa perincian untuk Hilux facelift. Nampaknya seperti pasaran Malaysia akan menerima varian baru yang dipanggil sebagai “Hilux 2.4 Auto Luxury Edition”, yang kami jangkakan terletak antara varian 2.4G dan 2.8G.

    Selain muka baru, Hilux 2.4 Luxury ini juga mendapat pemijak tepi dengan logo Hilux, pelekat badan baru, kabin dalam serba hitam (termasuk tiang dan lapik bumbung) dan tempat duduk balutan kulit yang mempunyai liang. Walaubagaimanapun, kami masih tidak jelas sama ada satu varian ini sahaja yang akan mendapat kelengkapan tersebut.

    Untuk bahagian enjin, sepatutnya tiada perubahan, dengan penggunaan unit turbo diesel 2.4 liter 2GD-FTV (150 PS, 400 Nm) dan 2.8 liter 1GD-FTV (177 PS, 450 Nm) terus digunakan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Apa pandangan anda dengan muka baru ini? Menarik?

     
     
  • Nombor plat UU dibuka untuk bidaan hingga 2 April

    Nombor plat UU dibuka untuk bidaan hingga 2 April

    Kalau masih tak cukup dengan penawaran siri nombor plat khas yang pernah ada, ini ada satu lagi yang terbaru – nombor pendaftaran UU. Kali ini, ia merupakan inisiatif oleh Golf Gemilang, sebuah program dengan matlamat untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di dalam sukan golf melalui program jangka panjang pembangunan pemain muda.

    Hasil daripada jualan nombor plat ini akan digunakan untuk mendukung aktiviti latihan dan pendidikan pemain golf mudah seluruh negara. Sama seperti nombor plat khas sebelum ini, nombor UU akan ditawarkan secara bidaan yang akan berakhir 2 April nanti. Tiada jumlah harga minimum yang diumumkan, nombor pendaftaran UU 1 hingga UU 9999 akan ditawarkan, dengan nombor-nombor dua digit serta gandingan angka popular dijangka akan menjadi lebih mahal.

    Siri UU akan turut menyertai penawaran lain sebelum ini seperti nombor plat Q yang baru dibuka minggu lalu. Selain itu, antara pendaftaran khas yang pernah ditawarkan sebelum ini adalah seperti GG, PATRIOT, PERFECT, VIP, SMS, K1M dan banyak lagi.

     
     
  • VIDEO: Yamaha Niken tunjuk teknologi ambil selekoh

    Tahun lepas, semasa pameran motosikal EICMA di Itali, Yamaha telah memperkenalkan sebuah model yang menggunakan tiga tayar; dua di hadapan dan satu di belakang, dinamakan sebagai Yamaha Niken Leaning Multi-Wheeler (LMW). Bagi yang tidak begitu biasa dengan motosikal jenis ini, pasti tertanya bagaimana prestasinya mengambil selekoh.

    Oleh itu, Yamaha telah menyiarkan video ini, yang menunjukkan bagaimana motosikal tiga roda tersebut mengambil selekoh. Menariknya berkenaan Yamaha Niken ini, ia mempunyai pelbagai teknologi baru, dan salah satunya adalah teknologi Leaning Multi-Wheel (LMW).

    VIDEO: Yamaha Niken tunjuk teknologi ambil selekoh

    Melaluinya, penunggang dapat mengambil selekoh dengan lebih tajam, motosikal lebih lincah dan memberikan rasa tunggangan biasa. Dalam pakej teknologi ini, terdapat sistem geometri stereng LMW Ackerman, yang dapat memastikan kedua-dua tayar di hadapan sentiasa condong secara selari. Jarak antara dua roda itu juga sentiasa akan sama.

    Perincian lain berkenaan Yamaha Niken ini masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka menggunakan enjin seperti MT-09 iaitu unit tiga silinder yang mungkin boleh menghasilkan sehingga 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Walaubagaimanapun, kerangkanya dilihat berbeza berbanding MT-09, di mana ia menggunakan kerangka hibrid termasuk bahagian seperti trellis.

     
     
  • Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

    Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

    Langkah Lamborghini untuk menghasilkan SUV nampaknya satu tindakan yang berjaya apabila model baharu berkenaan dilaporkan menerima permintaan diluar jangkaan. Menurut CEO jenama supercar dari Itali itu, Stefano Domenicali, jualan dan tempahan SUV Lamborghini Urus kini berada pada tahap “hebat” dan jumlahnya melebihi jangkaan.

    “Kami jangkakan akan mendapat maklum balas positif dari pelanggan, tetapi bukan pada tahap yang kami terima sekarang. Reaksi pelanggan sangat hebat,” katanya dalam satu temuramah bersama CNBC. Beliau menjelaskan, sehingga penghujung 2018, Lamborghini akan memproduksi 5,000 kereta – lebih 1,000 unit daripadanya adalah Urus. Manakala menjelang akhir 2019, jenama tersebut akan menghasilkan 8,000 kereta, dan lebh separuh daripadanya adalah SUV tersebut.

    Setakat ini, sekitar 70% pembeli Urus adalah pelanggan baharu Lamborghini, bermaksud mereka tidak pernah memiliki jenama tersebut sebelum ini. Domenicali juga berkata beliau terkejut peningkatan pembeli wanita menerusi model baharu berkenaan. “Kami dapat perhatikan dengan jelas peningkatan terhadap pembeli wanita,” jelas beliau.

    Lamborghini Urus catat jualan lebih baik dari jangkaan – 70% pelanggan baharu, pembeli wanita meningkat

    Beliau juga menyatakan bahawa Urus diterima baik pada pasaran dengan jalan raya yang teruk seperti Russia kerana kereta-kereta sport mereka sebelum ini kurang sesuai digunakan pada keadaan sedemikian. “Pasaran Russia dan India adalah agak kuat untuk kereta ini, jadi ini merupakan satu kemajuan buat kami,” jelasnya.

    Namun Domenicali turut menegaskan, walaupun SUV ini menerima permintaan tinggi, Lamborghini akan tetap memproduksi kenderaan mereka dalam jumlah yang rendah tetapi dengan kualiti tinggi, dan tidak merancang untuk membuat produksi besar-besaran. Lamborghini bakal memperlahankan pertumbuhan mereka pada penghujung 2019 bagi mengekalkan aura jenama itu sendiri.

    “Pertumbuhan perlu dilakukan betul-betul. Pada penghujung 2019, kami perlu hentikan pertumbuhan bagi memastikan kami mempunyai nilai ekslusif yang kami perlukan untuk memastikan kami akan terus kekal membuat keuntungan dan persepsi jenama yang kami mahu,” terang CEO itu.

    Domenicali juga mengakui Lamborghini kini pada landasan yang betul dengan Urus. Kebanyakkan pemilik tradisi kereta-kereta sport Lamborghini terkilan dengan langkah syarikat tersebut untuk menjual SUV, walaupun ia dihasilkan dengan hebat. Kebanyakkan mereka risau ia akan menjatuhkan nilai ekslusif dan imej jenama itu sendiri.

    “Ia sebuah kereta yang mempunyai kuasa mengutub, sama ada anda suka atau benci,” katanya. “Untuk mereka yang tidak suka, saya katakan cuba pandunya dahulu. Apabila mereka duduk dalam kereta ini, mereka akan temui sesuatu yang mereka tidak jangka,” ujar Domenicali.

    Walau bagaimanapun, boss Lamborghini tersebut terus menekankan SUV Urus ini sangat sesuai dengan lencana jenama supercar Itali berkenaan. Ia dijana enjin V8 4.0 liter dengan turbo berkembar, berkuasa 650 PS/850 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.6 saat (0-200 km/j dalam 12.8 saat) sebelum mencapai kelajuan maksima 305 km/j.

    Urus juga mampu dipandu pantas pada permukaan off-road, ais, salji serta jalan raya bertar yang rosak – kesemua ini sangat tidak sesuai untuk adik-beradiknya yang lain seperti Huracan dan Aventador.

     
     
  • UMW ganda pegangan dalam Perodua sehingga 70.6%

    UMW ganda pegangan dalam Perodua sehingga 70.6%

    UMW Holdings telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah membuat dua pembelian saham secara berasingan di dalam perkembangan yang bakal menyaksikan peningkatan pegangannya dalam Perodua kepada 70.6%, lapor The Star. Ketika ini, UMW hanya memegang 38% pegangan kepentingan ke atas pengeluar kenderaan nasional kedua itu.

    Bahagian pertama urusan berkenaan melibatkan pembelian sebanyak 50.07% kepentingan di dalam syarikat alatan automotif MBM Resources daripada Med-Bumikar bernilai RM501 juta. Pengambil-alihan itu akan membawa kepada penawaran wajib bagi saham selebihnya di dalam MBM Resources, yang mana ketika ini memiliki 22.5% pegangan dalam Perodua.

    Pengambil-alihan terancang ke atas MBM Resources itu – yang melibatkan pengeluaran produk dan bahagian automotif dan juga pengedaran serta cawangan bagi jenama-jenama seperti Perodua, Daihatsu, Hino, Mitsubishi, Volkswagen dan Volvo di negara ini – akan meningkatkan kepentingan UMW di dalam Perodua kepada 60.6%.

    UMW ganda pegangan dalam Perodua sehingga 70.6%

    Tawaran kedua pula ialah untuk membeli 10% kepentingan dalam Perodua daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM417.5 juta di dalam bentuk persetujuan tunai dan saham baru. Selesai sahaja urus niaga ini nanti akan menyaksikan UWM meningkatkan pegangannya dalam Perodua kepada 70.6%.

    Dalam fail kepada Bursa Malaysia, UMW berkata langkah berkenaan akan membolehkan syarikat itu meningkatkan pegangan strategik di dalam Perodua serta memperluaskan pendedahannya di dalam segmen kenderaan komersial melalui rangkaian MBM Resources sedia ada.

    “Cadangan pengambilalihan berkenaan adalah selari dengan strategi syarikat untuk memperkemas perniagaan teras di dalam bidang automotif, kelengkapan dan pengilangan serta kejuruteraan,” jelas syarikat itu. “Ia akan membenarkan syarikat untuk menambahbaik prospeknya di dalam segment automotif dengan memanfaatkan kekuatan Perodua di dalam segmen kereta nasional, bersekali dengan kehadiran sedia ada syarikat di dalam segmen kenderaan bukan nasional melalui jenama Toyota,” tambahnya.

     
     
  • Kia Sportage 2.0L EX diperkenalkan di M’sia – RM130k

    Kia Sportage 2.0L EX diperkenalkan di M’sia – RM130k

    Naza Kia Malaysia telah memperkemaskan barisan Kia Sportage di negara ini dengan pengenalan terhadap varian Sportage 2.0L EX, yang dijual bersama Sportage 2.0L GT CRDi diesel AWD. Dua varian pacuan dua-roda ini yang memperkenalkan QL generasi ke-empat di Malaysia pada 2016, selepas 2.0L KX dan 2.0L GT Line, digugurkan dari pasaran.

    Tiada perubahan daripada segi penjana kuasa, Sportage 2.0L EX masih mengekalkan enjin 2.0 liter Nu MPI empat-silinder, yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan. Hamburan kuasanya juga kekal sama, dengan 155 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm pada 4,000 rpm.

    2.0L EX menerima roda aloi kekemasan-machine 18-inci jejari-berkembar rekaan baharu dan elemen standard untuk SUV lima-tempat duduk ini termasuk pengesan parkir hadapan dan belakang, pengesan hujan dan cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik.

    Kia Sportage 2.0L EX diperkenalkan di M’sia – RM130k

    Turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang push start dan pendingin hawa automatik sepenuhnya. Malah varian ini turut didatangkan dengan cermin pandang belakang anti-gelam electrochromic dan sistem audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci baharu bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Seperti model petrol sebelum ini, EX turut dilengkapi dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai), ABS, ESC, kawalan kestabilan kenderaan dan bantuan mula-mendaki serta cagak Isofix.

    Terdapat lima warna yang ditawarkan untuk varian ini iaitu Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Kia Sportage 2.0L EX ditawarkan dengan harga RM129,888, dan turut disertakan dengan waranti lima-tahun, tanpa perbatuan terhad.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025