Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton sambung eksport ke Mesir selepas tiga tahun

    Proton sambung eksport ke Mesir selepas tiga tahun

    Proton mengumumkan bakal menyambung semula eksport jualan kenderaan keluarannya ke Mesir. Sebanyak 225 buah kenderaan akan dihantar melalui Pelabuhan Utara, Klang ke Pelabuhan Alexandria di Kaherah, pada 22 September nanti.

    Penghantaran itu dijangka akan tiba di sana pada 6 Oktober 2018 dan akan dikendalikan oleh pengedar Proton di Mesir, Alpha Ezz El-Arab yang akan memasarkan kereta Proton melalui rangkaian tujuh cawangan dan pengedarnya. Antara model yang terlibat dalam penghantaran kali ini ialah Saga dan Exora.

    Mesir merupakan pasaran eksport sedia ada bagi Proton, dengan penghantaran terakhir sebelum ini dilakukan pada tiga tahun lalu. Ketika itu, sebanyak 320 unit kereta Proton Gen 2 dan Persona telah dihantar. Usaha berkenaan kemudiannya terpaksa diberhentika akibat penyusutan nilai matawang tempatan di sana yang menjadi penghalang kepada usaha untuk meletakkan harga yang kompetitif.

    Proton sambung eksport ke Mesir selepas tiga tahun

    “Proton berasa teruja kerana berpeluang mengeksport kenderaannya ke pasaran yang suatu masa dahulu telah terbukti menjadi pilihan pembeli. Mereka menghargai ciri keselamatan, keutuhan buatan dan nilai harga jualan semula yang tinggi yang ada pada kereta-kereta Proton. Ini ditambah pula dengan kualiti yang terbukti pada ketiga-tiga model yang bakal dilancarkan di Kaherah pada Oktober nanti.

    “Untuk memastikan stok yang mencukupi, pengedar telah menempah 280 unit lagi yang akan dihantar pada bulan hadapan dengan sasaran jualan sebanyak 1,000 unit kereta bagi tahun 2018,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Radzaif Mohamed.

    Proton sambung eksport ke Mesir selepas tiga tahun

    Selain itu, pengedar di sana juga akan memperkenalkan identiti korporat baru Proton di tiga cawangannya. “Langkah untuk menggunakan identiti korporat baru ini menunjukkan pengedar kami bergerak seiring dengan matlamat syarikat untuk mewujudkan pengalaman jenama dan imej Proton yang konsisten di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu meningkatkan jualan kereta Proton di Mesir yang kini telah mencapai lebih daripada 13,000 unit sejak 2004,” tambah Radzaif.

    Dalam usaha untuk mengukuhkan perniagaannya dipasaran eksport, Proton juga akan menjalankan kajian untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti CKD di negara-negara lain. “Memandangkan Proton berusaha untuk memacu inisiatif eksportnya ke hadapan, adalah penting bagi kami untuk mewujudkan aktiviti CKD serantau bagi meningkatkan jenama dan jualan. Ia juga akan menambah baik penjimatan kos dan membantu mempercepatkan kemasukan ke pasaran baharu,” jelas beliau lagi.

     
     
  • Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

    Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

    Audi pertama kali menunjukkan model konsep e-tron quattro semasa Frankfurt Motor Show tahun 2015, dan sekarang, model SUV elektrik produksi yang terhasil daripada konsep itu sudah bersedia untuk menemui pasaran dan ia ditunjukkan buat kali pertama di San Francisco, California, Amerika Syarikat.

    Ini juga adalah model SUV elektrik produksi pertama daripada Audi dan tidak banyak bahagian pada penampilannya diubah berbanding model konsep. Di depan, ia mempunyai gril Singleframe yang menutupi sistem pengatup aktif yang boleh terbuka dan tertutup bergantung kepada sama ada ia memerlukan penyejukan ataupun tidak.

    Gril ini diapit oleh lampu utama yang kemas dan mempunyai pencahayaan yang unik untuk model e-tron ini sahaja. Bawah sedikit, bamparnya mempunyai lekuk yang dapat menghalakan udara kepada bukaan di penjuru, sekaligus sampai ke bahagian brek untuk penyejukan. Bukaan udara di tengah pula menyampaikan udara untuk menyejukkan beberapa bahagian lain yang memerlukan. Soket pengecas terdapat di tepi, berhampiran logo e-tron.

    Satu ciri yang menjadi bahan bualan pada e-tron ini adalah cermin sisi virtual, yang menggunakan kamera dan pandangannya dipaparkan pada skrin OLED di dalam kabin. Kami diberitahu, kelengkapan (disediakan sebagai pilihan tambahan) ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan asal dan bukannya difikirkan kemudian. Disebabkan itu, ia berintegrasi dengan baik.

    Cermin sisi virtual yang terletak pada bahagian luar bukannya sekadar direka untuk menjadi cantik, tetapi juga dapat mengurangkan rintangan angin. Secara keseluruhannya, SUV ini mencatat kecekapan rintangan udara 0.27. Dari dalam, pemandu dapat menyentuh skrin OLED yang digunakan untuk melihat keadaan persekitaran dan ia juga boleh bertindak sebagai lampu penunjuk arah, memaparkan kawasan titik buta dan memberikan amaran.

    Masuk ke dalam, kabin kenderaan ini menyediakan fokus lebih kepada pemandu termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen MMI. Seperti yang dapat dilihat pada model Audi terkini yang lain, kenderaan ini juga menggunakan dua skrin sesentuh bertingkat yang mana unit atas adalah untuk fungsi utama manakala unit bawah untuk informasi lain seperti pengawal pendingin hawa dan suis untuk menghantar input tulisan.

    Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

    Di depan pemandu terdapat kokpit virtual dan heads-up display, manakala di konsol tengah terdapat ruang barangan kecil, penukar gear, perehat tangan kecil untuk menggunakan skrin sesentuh di bawah dan butang pemula enjin. Bahagian ini juga mempunyai pencahayaan suasana yang bersambung dengan lampu di pintu dan lencana pada papan pemuka.

    Untuk kuasa, e-tron digerakkan oleh dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar. Untuk motor di hadapan, ia terdiri daripada motor, elektronik dan kotak gear satu kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 168 hp (125 kW). Motor ini mendapat kuasa daripada bateri 95 kWh yang direka dengan struktur perlanggaran bersepadu untuk keselamatan dan mempunyai empat litar penyejukan.

    Untuk motor di belakang pula, Audi menggunakan sistem modular dan ia mempunyai saiz yang lebih besar, tetapi komponen masih sama. Penyampaian kuasa terus di belakang berjumlah 188 hp (140 kW) dan apabila digabungkan dengan kuasa di hadapan, kuasa keseluruhan tetapan pacuan empat roda Quattro elektrik ini mampu menghasilkan 355 hp (265 kW) dan 561 Nm tork.

    Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan oleh SUV elektrik ini dalam masa 6.6 saat, tetapi ia juga mempunyai mod boost yang dapat meningkatkan kuasa kepada 402 hp (300 kW) dan 664 Nm tork untuk beberapa saat, iaitu 13 hp (10 kW) di hadapan dan 34 hp (25 kW) di belakang. Apabila menggunakan mod ini, masa pecutan tersebut dapat disingkatkan kepada 5.7 saat. Jarak pergerakan dengan cas penuh pula boleh mencapai 400 km (dalam ujian WLTP).

    Untuk e-tron, Audi menawarkan dua penyelesaian mengecas AC untuk di rumah iaitu Charging System Compact yang terletak pada tahap 11 kW untuk pasaran Eropah, dan cas penuh dapat dicapai dapat masa 8.5 jam. Untuk pasaran Amerika Syarikat pula, unit sama ditawarkan dengan tahap 9.6 kW (10 jam untuk cas penuh).

    Untuk sesuatu yang lebih maju, Audi ada menawarkan Charging System Connect yang berada pada tahap 22 kW dan boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4.5 jam. Sistem pengecas ini disambungkan kepada aplikasi myAudi dan membolehkan pemilik menetapkan tahap cas yang dimahukan dan merancang pelan waktu mengecas.

    Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

    Dua sistem mengecas ini menggunakan penyambung Type 2, tetapi memandangkan e-tron ini boleh digunakan terus dengan Combined Charging System (CCS), pemilik juga boleh menggunakan sistem DC untuk mengecas. Menurut Audi, apabila disambung kepada pengecas pantas 150 kW kegunaan umum, ia boleh mencapai tahap 80% atau jarak penggunaan 400 km dalam masa cuma 30 minit.

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, e-tron dijual pada harga antara US$74,800 (RM309,346) hingga US$86,700 (RM358,560), dan model paling mahal adalah model edisi khas yang terhad cuma 999 unit. Model ini menggunakan warna luar Daytona Grey, rim Edition One 21 inci, angkup brek berwarna oren dan lampu bawah pintu Edition One.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Note e-Power ditemui di Malaysia

    SPYSHOT: Nissan Note e-Power ditemui di Malaysia

    Beberapa keping gambar telah dihantar oleh pembaca kami, Soo Pek Tea yang menunjukkan model Nissan Note e-Power atas jalan di NKVE menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plate). Ia kelihatan seperti sebuah model domestik Jepun (JDM) kerana mempunyai pelekat berbentuk bulat di cermin belakang yang menunjukkan ia sebuah model cekap bahan api dan menggunakan trim Medalist yang paling tinggi.

    Adakah Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sedang menguji kenderaan elektrik dengan penambah jarak (range extender) ini untuk pelancaran di Malaysia? Mungkin – kerana syarikat itu pernah menyatakan rancangan untuk memperkenalkan model e-Power di Malaysia, tapi pengarah pemasaran mereka juga pernah memberitahu Note tidak termasuk dalam kategori itu. Selain itu, ia juga boleh bermakna ini adalah unit import persendirian yang menggunakan nombor pendaftaran sementara.

    SPYSHOT: Nissan Note e-Power ditemui di Malaysia

    Note e-Power adalah sebuah kenderaan yang digerakkan oleh motor elektrik 109 PS dan 254 Nm tork yang diambil daripada Leaf generasi sebelum ini, dan ia mendapat kuasa daripada enjin tiga silinder 1.2 liter 79 PS dan 103 Nm tork. Tiada soket pengecas elektrik pada kenderaan ini kerana motor itu mendapat kuasa daripada enjin petrol, manakala enjin itu sendiri tidak disambungkan kepada mana-mana roda kerana bertindak semata-mata sebagai pengecas bateri.

    Penggunaan sistem seperti ini juga membolehkan bateri kenderaan ini dijadikan lebih kecil (20 kali lebih kecil berbanding bateri Leaf), dan dapat diletakkan di bawah tempat duduk hadapan supaya tidak mengganggu ruang dalaman. Secara keseluruhannya, Note e-Power ini boleh memberikan catatan penggunaan bahan api sehingga 37.3 km bagi setiap liter.

    GALERI: Nissan Note e-Power

     
     
  • Subaru Forester 2.0 STI Performance di M’sia –RM135k

    Subaru Forester 2.0 STI Performance di M’sia –RM135k

    TC Subaru telah mengumumkan varian baharu bagi Subaru Forester di Malaysia – Forester 2.0 STI Performance. Varian baharu ini memperlihatkan SUV tersebut gaya yang lebih sporty pada bahagian luaran dan dalaman, termasuk dengan penambahan lencana STI.

    Forester 2.0 STI Performance ditampilkan dengan gril gelap bersama kemasan sarang lebah dan spoiler STI di hadapan yang senada dengan spoiler di belakang, yang kini diposisikan di bawah panel pemijak kargo. Lencana “STI Performance” juga ditampilkan di bawah lambang Forester 2.0-i P di belakang – iaitu model asas bagi varian ini.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan tower bar anjal STI di bawa hud, pad brek STI dan penapis udara STI, yang kesemuanya adalah lebih berprestasi tinggi berbanding elemen stok lain.

    Di dalamnya, Forester STI ini menerima tempat duduk balutan kulit dengan alas kaki premium, tombol gear balutan kulit STI dan plat ambang sisi. Malah kelihatan jahitan merah dan seksyen tengah ala suede pada tempat duduk balutan kulit berwarna hitam. Alas lantai juga ditampilkan dengan jahitan tepi merah dan logo Forester, sementara plat ambang sisi pula tertulis “Subaru”.

    Varian ini masih dijanakan oleh enjin yang sama dengan model asas iaitu 2.0 liter naturally aspirated boxer, dengan hamburab kuasa 150 PS dan 198 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan Lineartronic CVT automatik dan sistem pacuan-semua-roda symetrical dengan X-Mode dan kawalan menurun bukit. Tujuh beg udara juga didatangkan secara standard.

    Model pemasangan tempatan ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM135,288 tanpa insurans. Varian baharu ini boleh didapati di semua bilik pameran Subaru pada hujung minggu ini, 22-23 September.

    GALERI: Subaru Forester 2.0i-S

     
     
  • PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

    PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

    Sejak UMW Toyota mengesahkan akan membawa masuk model crossover serba baharu C-HR ini ke pasaran tempatan, memang ramai yang tidak sabar menantinya. Setahun yang lalu, buat pertama kalinya ia ditampilkan di khalayak ramai, maka berduyun-duyun rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini untuk melihat sendiri C-HR di hadapan mata.

    Keterujaan mereka, sempat juga kami saksikan sewaktu seharian kami di bilik pameran Toyota di Petaling Jaya, bagi merakamkan video awalnya. Malah tempahannya juga cukup menggalakkan. Ternyata kehadiran C-HR dalam pasaran model SUV dilihat bertepatan, memandangkan kenderaan kategori ini semakin menjadi pilihan di negara ini.

    Dan Mac lalu, ia rasmi dilancarkan di negara ini dan kini kelibatnya makin kerap dilihat di jalan raya. Walau bagaimana pun popularitinya masih belum mampu mengatasi HR-V, mungkin atas faktor harganya yang sedikit tinggi berbanding crossover keluaran Honda itu.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda CR-V Hybrid mula diperkenalkan di Eropah – enjin petrol 2.0L dengan sistem i-MMD, 184 PS/315 Nm

    Honda CR-V Hybrid mula diperkenalkan di Eropah – enjin petrol 2.0L dengan sistem i-MMD, 184 PS/315 Nm

    Tahukah anda buat masa sekarang, hanya pasaran China yang menerima Honda CR-V dalam versi hibrid di mana pasaran Jepun pun belum lagi diperkenalkan? Untuk pengetahuan anda juga, ketika kita sudah lebih setahun menerima CR-V generasi kelima tersebut, pasaran Eropah baru sahaja menerima SUV segmen-C berkenaan tahun ini. Walau bagaimanapun, pelanggan di Eropah kini sudah mula boleh memilih CR-V dalam versi hibrid yang lebih mesra alam.

    Honda CR-V Hybrid pasaran Eropah ini diperkenalkan bagi menggantikan model 2.2 liter i-DTEC. SUV tersebut dijana oleh sistem hibrid elektrik digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), sama seperti sistem yang menggerakkan Honda Accord Hybrid. Sistem tersebut menggabungkan enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson i-VTEC bersama sepasang motor elektrik, disuap oleh bateri lithium-ion bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 184 PS dan tork maksima 315 Nm.

    Dalam mod “Hybrid Drive”, enjin petrol akan memacu motor elektrik kedua/generator untuk mengecas pek bateri lithium-ion yang lebih kompak, manakala motor pendorong pula berperanan memacu roda hadapan. Mod “Engine Drive” pula akan mengaktifkan enjin petrol untuk memacu sedan ini, menggunakan mekanisma klac pengunci, roda hadapan akan dipacu dengan enjin petrol dan motor elektrik.

    Honda CR-V Hybrid mula diperkenalkan di Eropah – enjin petrol 2.0L dengan sistem i-MMD, 184 PS/315 Nm

    Kilk untuk besarkan

    CR-V Hybrid ini turut diberikan mod EV bagi membolehkan ia bergerak dengan hanya menggunakan bateri tanpa menghidupkan enjin petrol. Menurut Honda, transmisi pada sistem hibrid i-MMD ini mampu beroperasi dengan lebih halus berbanding set gear planetary pada kotak gear sistem hibrid jenama lain seperti Toyota Prius (Toyota menggelarnya sebagai transmisi CVT elektronik atau eCVT), dan pasukan jurutera mereka berusaha keras bagi memastikan pertukaran setiap mod pemanduan tersebut beralih dengan lancar.

    Selain dari unit janakuasa dan juga paparan informasi digital Vehicle Driver Information Interface (DII) yang memaparkan maklumat operasi sistem i-MMD, perincian lain yang ditawarkan pada model hibrid ini adalah hampir sama dengan varian petrol konvensional yang lain untuk pasaran benua berkenaan. Ia hadir dengan konfigurasi tempat duduk tujuh-penumpang dan juga pakej penuh sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang diberikan secara standard.

    Honda CR-V Hybrid untuk pasaran Eropah ini akan mula diproduksi bermula bulan hadapan, manakala pelanggan sudah mula boleh menempahnya, dan penghantaran akan bermula pada awal tahun hadapan.

    GALERI: Honda CR-V pasaran Eropah

     
     
  • BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

    BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

    Perincian penuh bagi model roadster terbaru keluaran BMW, Z4 G29 2019 kini didedahkan selepas penampilan varian M40i kira-kira sebulan lepas. Ia menerima dua lagi varian sebagai penawaran – sDrive20i dan sDrive30i.

    Varian paling rendah, sDrive20i dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan pengecas turbo twin-scroll yang menghasilkan 197 hp pada 4,500 hingga 6,500 rpm. Manakala tork pula sebanyak 320 Nm dari 1,450 hingga 4,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.6 saat, dengan laju maksimum 240 km/j. Penggunaan minyak pula ialah pada kadar 6.0 liter bagi setiap 100 km dalam kitaran NEDC.

    Bagi varian sDrive30i pula, enjin dengan kapasiti yang sama yang digunakannya menghasilkan janaan yang lebih besar; 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Penggunaan minyak adalah pada kadar yang sama.

    Varian paling tingggi ialah Z4 M40i. Ia menggunakan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol, dengan janaan 340 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penggunaan petrol dalam kadar antara 7.4 liter hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.

    BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

    Semua varian yang ada ini dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan pacuan roda belakang. Belum ada transmisi manual yang ditawarkan setakat ini. Transmisi berkenaan mempunyai nisbah yang lebih luas, memberikan penukaran gear yang lebih sporty.

    M40i satu-satunya varian yang dilengkapi dengan ciri Launch Control. Ia menampilkan kareteristik penukaran gear M yang dioptimumkan kepada panyampaian kuasa pada enjin enam-silinder sebaris.

    Model ini menggunakan casis serba baru, dengan ciri sambungan spring berkembar strut axle di depan, sementara di belakang menggunakan jenis five-link rear axle – gandar yang digunakan ini diperbuat daripada gabungan besi dan aluminium ringan. Gandingan berkenaan menurut BMW memberikan keseimbangan antara karekter sporty dan keselesaan yang optimum kepada kereta ini.

    Aspek kemantapan pemanduan antara lain turut dibantu oleh ciri-ciri seperti Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Start-Off Assistant.

    BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

    Fungsi Performance Control yang menjadi ciri standard bagi Z4 memberikan kawalan yang lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang. Suspensi Adaptive M Sport pula unik kepada varian M40i sahaja – ia 10 mm lebih rendah dengan penyerap hentak dan differential belakang M SPort kawalan elektronik.

    Dari segi dimensi, Z4 baru ini lebih besar berbanding model lamanya. Panjangnya ialah 4,324 mm (+85 mm), lebar 1,864 mm (+74 mm) dan tinggi 1,304 mm (+13 mm). Jarak antara roda pula lebih pendek menjadi 2,470 mm (-26 mm). Kelebaran sentuhan permukaannya juga (track width) kini lebih – 1,609 mm di depan (+98 mm) dan 1,616 mm di belakang (+57 mm). Semua ini membolehkan Z4 untuk mencapai agihan berat 50:50.

    Z4 baru ini juga menggunakan lampu utama LED kedudukan menegak sebagai ciri standard, sementara LED Adaptive dengan fungsi matrix ada sebagai pilihan. Apron bampar depan juga disertai dengan ruang udara yang lebih luas, sementara gril “buah pinggang” yang sinonim dengan jenama ini disertai juga dengan corak “honeycomb” 3D.

    Varian sDrive20i dan sDrive30i menggunakan rim aloi 17-inci sebagai standard, sementara M40i menggunakan saiz 18-inci. Rim 19-inci turut ditawarkan sebagai pilihan. Bahagian bumbungnya pula didatangkan dalam dua warna, hitam dan perak, dan boleh diturunkan dalam masa 10 saat, dalam kelajuan mencecah 50 km/j.

    Di belakang ada dilengkapi dengan spoiler bersepadu, dengan lampu dalam bentuk L yang memberi imej lebih menarik. Bahagian bawah bampar ada rekaan apron yang kemas dan menonjol, lengkap dengan pemantul cahaya, diffuser, lampu kabus belakang dan hujung ekzos berkembar hexagonal (M40i sahaja).

    Ruang dalamannya tidak kalah menarik. M40i antaranya dilengkapi dengan head-up display berwarna, instrumen panel Sensatec, paparan infotainmen 10.25-inci dengan BMW Cockpit Professional, kawalan pendingin dua zon, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara 464 watt Harman Kardon dengan amplifier digital. Tidak ketinggalan stereng dan pelapik pedal M.

    Tempat duduk balutan kulit adalah standard; sDrive30i dengan kulit Vernasca dalam warna hitam, putih Ivory, Cognac dan Magma Red lengkap dengan benang kontras. M40i pula menerima kulit Alcantara dengan kontras biru.

    BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

    Z4 baru ini juga didatangkan dengan ciri kawalan Active Park Distance dan kamera belakang, begitu juga dengan fungsi Collision Warning & Pedestrian Warning with City Braking serta Lane Departure Warning. Pilihan lain yang turut ditawarkan pula termasuk Active Cruise Control with Stop & Go function, sistem Speed Limit Info, maklumat jarak, Lane Change Warning System, dan Rear Collision Prevention dan Cross-Traffic Alert.

    Ciri lain termasuk Remote Software Upgrade, BMW COnnected Navigation dan BMW Digital Key, yang boleh diakses melalui NFC pada telefon pintar Samsung. BMW Z4 G29 ini akan dipamerkan ketika Paris Motor Show bulan depan, dan akan mula memasuki pasaran global pada Mac 2019 nanti.

     
     
  • Renault EZ-PRO tunjuk konsep baru penghantaran barang jarak dekat menggunakan pod autonomous

    Renault EZ-PRO tunjuk konsep baru penghantaran barang jarak dekat menggunakan pod autonomous

    Renault sudah menjadi pengeluar kenderaan komersial ringan (LCV) hampir 120 tahun dan di Eropah, mereka kini adalah peneraju pasaran untuk LCV elektrik. Disebabkan itu, mereka juga percaya boleh menjadi peneraju dalam mempercepatkan perubahan dalam sistem penghantaran barang dan telah memperkenalkan satu konsep baru yang dinamakan sebagai Renault EZ-PRO.

    Kenderaan ini secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu leader pod dan juga robo-pod. Leader pod menawarkan sistem pemanduan autonomous namun masih memerlukan manusia di dalamnya manakala robo-pod pula tidak memerlukan pemandu tapi masih perlu diselia oleh manusia. Renault percaya, walaupun kenderaan penghantar ini boleh beroperasi sendiri, ia masih memerlukan pengurusan oleh manusia.

    Semasa berada dalam leader pod yang boleh bergerak sendiri, orang di dalamnya boleh fokus kepada tugas lain seperti merancang pergerakan untuk sepanjang hari termasuk untuk robo-pod yang lain, memastikan servis yang lebih cekap dan tidak perlu tertekan untuk berhadapan dengan trafik.

    Renault EZ-PRO tunjuk konsep baru penghantaran barang jarak dekat menggunakan pod autonomous

    Renault EZ-PRO ini boleh memenuhi keperluan banyak perusahaan seperti syarikat penghantaran jarak dekat, pemilik kedai dan bermacam lagi kerana ia boleh diubah mengikut kesesuaian. Kuasa penggeraknya pula adalah daripada elektrik sepenuhnya.

    Bagi orang ramai, apabila syarikat penghantaran menggunakan EZ-PRO ini, mereka boleh memilih waktu dan tempat di mana barang itu mahu dihantar, melihat pergerakan barang mereka secara terus melalui aplikasi dan memilih sama ada mahu menerima barang daripada orang ataupun mengambil sendiri daripada laci yang terdapat dalam robo-pod. Kunci laci itu pula boleh dibuka menggunakan aplikasi telefon bimbit.

     
     
  • Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

    Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

    Ingat lagi pada era 80’an dan 90’an dahulu, pengeluar Jepun sentiasa menghasilkan model dengan ciri istimewa hanya pasaran domestik mereka sahaja? Misalnya di Amerika, Nissan S13 hanya ditawarkan sebagai 240SX dengan enjin NA 2.4 liter SOHC tanpa pilihan enjin turbo CA18DET atau SR20DET, Subaru hanya menawarkan Impreza 2.5 RS dengan enjin NA 2.5 liter tanpa pilihan versi WRX dan WRX STI dengan enjin turbo EJ20T, dan Nissan langsung tidak menghasilkan Skyline GT-R (R32, R33 dan R34) dalam versi pemanduan sebelah kiri dan ia ‘haram’ untuk dieksport ke sana.

    Nampaknya Toyota bakal melakukan perkara yang hampir sama terhadap Supra A90 yang akan membuat kemunculannya tahun hadapan di mana jenama tersebut berkemungkinan akan menawarkan Supra dalam versi transmisi manual hanya untuk model JDM dan mungkin mengeksportnya hanya pada pasaran yang menggunakan pemanduan di sebelah kanan (RHD), lapor Autocar.

    Seperti yang diketahui, Supra A90 merupakan kereta sport yang di bina berasaskan platform yang sama dengan BMW Z4 generasi baharu, di mana kedua-duanya dilaporkan hanya ditawarkan dengan kotak automatik lapan-kelajuan. Namun menurut pembantu ketua jurutera Masayuki Kai, Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia dalam versi pemanduan sebelah kanan.

    Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

    “Ia masih belum diputuskan [pengenalan transmisi manual], dan ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran, kami akan membuat keputusan adakah kami patut memperkenalkan transmisi manual,” kata Kai.

    “Kami telah membinanya, ya, komponennya sudah pun bersedia. Pemanduan sebelah kanan? Ya, sudah tentu. Ia perlu dijual di Jepun, iaitu pasaran pemanduan sebelah kanan,” jelas Kai lagi.

    Toyota Supra generasi baharu ini akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll bersama sistem suntikan terus, membolehkan ia menjana lebih dari 295 hp dan tork 450 Nm. Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Selain itu, Toyota turut akan menawarkan model asas Supra yang dijana enjin empat silinder, yang disifatkan oleh ketua Jurutera Tetsuya Tada sebagai kurang berkuasa namun mempunyai karekter pengendalian lebih tajam kerana lebih ringan, serta lebih sesuai digunakan untuk projek menyumbatkan enjin 2JZ dari generasi terdahulu.

    Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) turut mengesahkan bahawa Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

     
     
  • Proton rasmi pusat 3S yang dinaiktaraf di Alor Setar

    Proton rasmi pusat 3S yang dinaiktaraf di Alor Setar

    Proton telah merasmikan satu lagi pusat 3S yang dinaiktaraf, terletak di Alor Setar, Kedah, dan dikendalikan oleh Lee Motors sejak 1985. Pusat 3S ini telah diubahsuai sepenuhnya untuk memenuhi ciri yang ditetapkan oleh PROTON, dibina dengan keluasan 1,060 meter persegi yang juga terletak ditengah-tengah bandar dan bersebelahan dengan pusat membeli-belah terkenal Aman Central.

    Pusat 3S ini turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk empat petak penyelenggaraan, ruang istirahat pelanggan yang selesa dan WiFi percuma. Menurut Eugene Lee, Pengarah Urusan Lee Motors (Alor Setar) Sdn Bhd, penaiktarafan pusat 3S ini adlaah demi memastikan pelanggan gembira dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Malah ia adalah bagi seiring dengan permintaan pasaran.

    Terletak di No. 12 Jalan Telok Wanjah, Alor Setar, Kedah, pusat 3S ini beroperasi setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 7 malam (kecuali cuti umum) bagi bahagian jualan, manakala untuk servis pula setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Khamis hingga 5 petang, tutup setiap cuti umum).

     
     
  • Moto Guzzi V7 III Rough tiba di Malaysia – RM75,000

    Moto Guzzi V7 III Rough tiba di Malaysia – RM75,000

    Pengarah Urusan Asia Pacific 2Wheeler Piaggio Asia Pacific, Simone Niccolai hari ini telah hadir melancarkan Moto Guzzi V7 III Rough untuk pasaran Malaysia. Harga asal untuk model ini adalah RM75,000 namun unit terhad awal dijual pada harga pengenalan RM69,900.

    Ketibaan model ini menjadikan keseluruhan versi V7 III menjadi enam, iaitu Stone, Racer, Special, Carbon, Milano dan Rough. Moto Guzzi memanggil V7 III Rough ini sebagai sebuah motosikal yang mempunyai gaya “urban country“, dan membawa penampilan seperti sebuah motosikal scrambler klasik tahun 70-an.

    Asas motosikal ini masih sama seperti V7 III yang lain iaitu menggunakan enjin v-twin 744 cc dengan injap yang digerakkan oleh pushrod untuk setiap silinder, dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 52 hp pada 6,200 rpm dan 60 Nm tork pada 4,900 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.

    Walaupun begitu, masih terdapat beberapa kelainan pada V7 III Rough ini termasuk tayar berbunga kasar yang digunakan pada rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tinggi tempat duduk 770 mm, penghadang lumpur belakang yang lebih pendek, jahitan unik pada tempat duduk serta panel tepi dan penghadang lumpur aluminium.

    Berat motosikal ini adalah 209 kg dan antara kelengkapan lain yang ada padanya adalah brek ABS two-channel, dua mod kawalan cengkaman (juga boleh ditutup sepenuhnya), tangki bahan api 21 liter, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang, cakera brek 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera 260 mm di belakang.

     
     
  • Amaran terakhir buat pemilik Honda, Subaru dan Mazda yang belum tukar beg udara Takata – Loke

    Amaran terakhir buat pemilik Honda, Subaru dan Mazda yang belum tukar beg udara Takata – Loke

    Kerajaan telah memberikan amaran terakhir buat hampir 80,000 pemilik kenderaan Honda, Subaru dan Mazda yang masih belum menukar beg udara Takata yang bermasalah, laporan Malaymail.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana ketiga-tiga pengeluar kenderaan terbabit kini memiliki bekalan beg udara yang mencukupi untuk menampung kempen panggilan balik tersebut.

    Tambahnya lagi, pemilik kenderaan terbabit diberikan masa kurang dua bulan untuk menukar beg udara masing-masing, jika gagal berbuat demikian, kebarangkalian mereka akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Saya telah meminta syarikat berkenaan untuk menghantar notis peringatan terakhir dalam tempoh dua minggu ini. Selepas itu, JPJ akan mengeluarkan Notis 114 untuk memanggil pemilik kenderaan berkenaan bagi mengemaskini status kenderaan masing-masing. Jika ada yang mengabaikan notis berkenaan selepas tempoh sebulan, kita akan memulakan proses menyenaraihitamkan, di mana mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan masing-masing,” tegasnya.

    Loke turut berkata tempoh tambahan antara dua hingga tiga bulan telah diberikan kepada pemilik kenderana BMW, Mitsubishi, Nissan dan Toyota kerana buat masa ini pusat servis berkenaan kekurangan bekalan.

    Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak bermaksud membebankan rakyat tetapi ini adalah “jalan terakhir” untuk memastikan keselamatan pemandu yang kenderaannya masih dipasang dengan beg udara yang dikeluarkan oleh Takata.

    “Ia bukanlah membebankan pemilik untuk menukar beg udara terbabit, malah ia adalah percuma dan hanya mengambil masa sekitar dua jam untuk menyelesaikannya. Jika kita tidak ‘mengugut’ mereka dengan perkataan ‘menyenaraihitamkan’ ini, mereka tidak akan berbuat demikian. Mereka harus sedar, ini adalah demi keselamatan masing-masing, bukannya kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan,” tambahnya lagi.

    Loke turut mendedahkan sejak 26 Jun lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1 juta untuk menghantar notis makluman kepada 408,551 pemilik kenderaan yang terlibat namun hanya 70,853 daripadanya yang mematuhi permintaan kerajaan ini.

     
     
  • Toyota Supra A90 sah ke Australia – 3.0L 6-silinder turbo, lebih 295 hp/450 Nm, 0-100 km/j bawah 5 saat

    Toyota Supra A90 sah ke Australia – 3.0L 6-silinder turbo, lebih 295 hp/450 Nm, 0-100 km/j bawah 5 saat

    Toyota telah mengesahkan bahawa kereta sport ikonik Supra generasi baharu atau dikenali denga kod chasis A90 (kesinambungan dari kod A80 dari generasi sebelumnya) akan dijual dipasaran Australia bermula suku ketiga 2019. Kereta ini bakal dijual di negara tersebut di bawah jenama sayap perlumbaan firma automotif Jepun berkenaan iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR).

    Menurut naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia Sean Hanley, Toyota Supra 2019 berkenaan akan mengangkat imej jenama Toyota melebihi jumlah pengeluarannya yang agak eksklusif.

    “Sebagai model halo untuk kereta sport Toyota dan jenama GR kami yang baharu, Supra disasarkan untuk menjadi kenderaan yang difokuskan kepada pemandu generasi baharu yang akan menawarkan penggayaan dinamik dan pengendalian yang tulen, walaupun pada had prestasinya. Keistimewaan ini juga akan dialirkan ke dalam model produksi biasa kami, meningkatkan DNA Toyota sebagai syarikat yang komited untuk memberikan kebebasan, pengembaraan dan keseronokan memandu kepada semua orang,” kata Hanley.

    Pasaran Australia bakal menerima model paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll bersama sistem suntikan terus, membolehkan ia menjana lebih dari 295 hp dan tork 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Toyota Supra A90 sah ke Australia – 3.0L 6-silinder turbo, lebih 295 hp/450 Nm, 0-100 km/j bawah 5 saat

    Walau bagaimanapun, Toyota Australia tidak menyatakan sama ada mereka akan membawa sekali model asas Supra yang dijana enjin empat silinder, yang disifatkan oleh ketua Jurutera Tetsuya Tada sebagai kurang berkuasa namun mempunyai karekter pengendalian lebih tajam kerana lebih ringan, serta lebih sesuai digunakan untuk projek menyumbatkan enjin 2JZ dari generasi terdahulu.

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW di mana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) turut mengesahkan bahawa Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Kereta ini dibina dengan kerangka aluminium dan logam komposit baharu membolehkan ketegaran badannya menghampiri model supercar sebenar Lexus LFA yang dibina berasaskan gentian karbon, membolehkan pasukan jurutera memadankan komponen suspensi berprestasi tinggi. Tada turut menyatakan bahawa beliau mensasarkan Supra A90 untuk menjadi sebuah kereta yang dapat memberikan karekter stereng yang tajam dan prestasi tinggi di selekoh kepada pemandu.

    Toyota telah mendedahkan Supra generasi kelima ini pada Mac lalu di Geneva Motor Show namun ia hadir dalam bentuk konsep perlumbaan Gazoo Racing. Prototaip yang hampir kepada versi produksi model ini pula membuat penampilan sulungnya di Goodwood Festival of Speed pada Julai 2018, dipandu sendiri oleh Tetsuya Tada. Kereta ini akan didedahkan sepenuhnya pada separuh pertama tahun hadapan, dan ia akan di produksi di Magna Steyr, Austria.

     
     
  • Nissan Navara Dark Sky Concept – imej awal terdedah

    Nissan Navara Dark Sky Concept – imej awal terdedah

    Nissan dijangka akan mempamerkan sebuah rekaan konsep berdasarkan model trak pikap NP300 untuk Hannover Motor Show esok. Tetapi, belum pun sempat ditunjuk secara rasmi, beberapa gambar model berkenaan telah mula beredar diinternet. Sebahagiannya seperti apa yang dapat dilihat ini.

    Nissan Navara Dark Sky mempamerkan konsep rekaan yang lebih agresif dan ranggi berbanding model biasa trak pikap berkenaan. Misalnya, ada tambahan lampu utama LED serta kit badan yang lebih lebar dan maskulin.

    Rekaan bampar depan juga menerima sentuhan baru, dengan kelengkapan winch serta kehadiran skid plate dan perincian kemasan dalam warna merah. Ini dilanjutkan lagi dengan rekaan bahagian tepi dengan bahagian fender yang lebih besar, serta roda yang lebih besar. Lain-lain tambahan termasuk rak bumbung, lampu auxiliary LED dan rekaan pelekat yang lebih moden – mungkin mengambil semangat dari namanya; langit malam.

    Nissan Navara Dark Sky Concept – imej awal terdedah

    Benda paling menonjol pada model konsep ini ialah trailer yang ditunda di belakangnya. Desas-desus mengatakan ia merupakan sebuah kit pemerhatian ruang angkasa mudah alih. Bagaimanapun, belum ada maklumat lanjut yang disahkan berkaitan hal itu. Begitu juga dengan sistem janaan yang akan digunakannya; mungkin sama saja dengan Navara standard yang datang dengan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan 190 PS dan 450 Nm tork.

    Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan mod manual dan sistem pacuan empat roda. Apa pun, model konsep ini akan didedahkan secara rasmi esok. Jadi, terus perhatikan ruang ini, kami akan bawakan maklumat kemaskininya nanti.

     
     
  • Yamaha NVX GP Edition 2018 diperkenal – RM10,606

    Yamaha NVX GP Edition 2018 diperkenal – RM10,606

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah memperkenalkan satu lagi model GP Edition, dan kali ini adalah untuk model NVX 155. Ia akan mula berada di kedai pengedar sah motosikal Yamaha bermula 21 September ini dan diletakkan pada harga cadangan pengeluar RM10,606.

    Melihat kepada harga yang dikeluarkan oleh HLYM selepas pelaksanaan SST bermula bulan September ini, harga NVX GP Edition ini adalah lebih RM700 berbanding model biasa yang diletakkan pada harga RM9,906. Dari pandangan pengguna, harapnya pengedar atau penjual boleh mengikut harga cadangan ini.

    Seperti yang boleh dilihat, keistimewaan model GP Edition ini cuma pada penampilan, di mana ia menggunakan grafik seperti jentera M1 yang digunakan oleh Valentino Rossi dan Maverick Vinales dalam perlumbaan MotoGP. Selain daripada itu, pembeli model ini juga akan menerima jaket edisi khas NVX GP Edition dan sijil pemilikan.

    Asas motosikal itu masih sama seperti versi standard iaitu menggunakan enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork. Kelengkapan menarik lain yang ada pada NVX adalah sistem kunci pintar, sistem Start/Stop automatik dan paparan instrumen skrin LCD digital 5.8 inci.

    NVX juga dilengkapi dengan soket pengecas USB, brek cakera di hadapan, dram di belakang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, tayar tanpa tiub 110/80 di hadapan, 140/70 di belakang, tangki bahan api 4.6 liter, berat 118 kg dan transmisi automatik tali sawat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025