Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga minyak 12-18 Mei – RON97 naik 37 sen

    Harga minyak 12-18 Mei – RON97 naik 37 sen

    Mungkin ini satu berita yang bakal mengganggu kedamaian petang anda. Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan, untuk minggu bertarikh 12 hingga 18 Mei 2022, harga runcit petrol RON97 bakal naik sebanyak 37 sen seliter iaitu daripada RM3.94 kepada RM4.31 seliter.

    Ia merupakan antara kenaikan harga tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah bahan api utama di negara kita buat setakat ini. Harga baharu tersebut berkuatkuasa mulai 12 tengahmalam ini sehinggalah Rabu hadapan, 18 Mei 2022.

    Manakala harga untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup sementara ekoran kejadian tanah runtuh dan banjir

    Jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup sementara ekoran kejadian tanah runtuh dan banjir

    Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah, Bentong, Pahang, ditutup berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

    Menurutnya, terdapat beberapa lokasi tanah runtuh di kawasan berkenaan menyebabkan laluan terpaksa ditutup buat sementara, laporan Harian Metro.

    “Bagaimanapun, jalan ke arah Janda Baik masih boleh dilalui. Cuma jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah yang ditutup. Buat masa ini trend air sedang menurun di kawasan yang dinaiki air,” katanya.

    Beliau berkata, polis bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi kejadian bagi membantu serta mengawal keadaan.

    Dalam masa yang sama, Anih Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mengesahkan laluan utama di Kilometer 68 arah ke Kuala Lumpur masih selamat untuk digunakan pengguna walaupun beberapa kawasan berhampiran dinaiki air.

     
     
  • Pemandu dihukum penjara 12 hari, denda RM10k kerana pandu secara bahaya, halang konvoi VIP

    Pemandu dihukum penjara 12 hari, denda RM10k kerana pandu secara bahaya, halang konvoi VIP

    Seorang pemandu yang ditahan kerana memandu secara merbahaya dan menghalang konvoi VIP di Lebuhraya Sultan Iskandar Jumaat lalu (6 Mei 2022) telah dijatuhi hukuman 12 hari penjara dan didenda RM10,000 oleh dua Mahkamah Majistret berbeza, lapor The Star.

    Pemandu berkenaan, seorang pekerja penyelenggaraan berusia 36-tahun dijatuhkan hukuman tujuh hari dan denda RM3,000, selepas mengaku bersalah menghalang pengiring polis daripada menjalankan tugas mereka ketika mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan konvoinya.

    Sementara itu di mahkamah yang lain, dia dihukum pula dengan penjara lima hari dan denda RM7,000, selepas mengaku bersalah memandu secara merbahaya pada tarikh dan di lokasi sama.
    Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tujuh hari itu bermula tarikh dia ditahan pada 7 Mei 2022, dan penjara lima hari pula bermula Selasa (10 Mei 2022). Lesen memandunya juga digantung tidak lebih daripada lima tahun.

    Dalam kejadian yang berlaku pada 10 malam itu, konvoi VIP berkenaan melalui Lebuhraya Sultan Iskandar menghala susur keluar Jalan Tunku Abdul Halim ketika kenderaan tertuduh memotong konvoi dari sebelah kiri dan merbahayakan kenderaan lain. Dari rakaman dashcam, kereta itu memecut di lorong kecemasan dan mengabaikan arahan polis pengiring supaya dia tidak menghalang laluan.

     
     
  • Kereta terbakar di Jalan Genting Highland – anda disaran simpan alat pemadam api dalam kenderaan

    Kereta terbakar di Jalan Genting Highland – anda disaran simpan alat pemadam api dalam kenderaan

    Pada Isnin lalu (9 Mei 2022), sebuah kereta terbakar dan mengundur ke belakang di KM 2.9 di Jalan Genting Highland, dan video insiden terbabit berjaya dirakamkan oleh pengguna TikTok rem.pmx. Menurut laporan The Star, lima sekeluarga yang menaiki kereta terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri.

    Dalam video terbabit, kereta yang sedang terbakar itu juga kelihatan mengundur beberapa meter ke belakang dan ada beberapa pengguna jalan raya yang lain bertemperian lari, sebelum ia melanggar sebuah MPV. Menerusi video lain yang dimuat naik oleh pengguna kas_man88 pula menunjukkan seorang individu cuba memadam api yang marak itu dengan menggunakan alat pemadam kebakaran.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian. “Operasi memadamkan kebakaran tersebut berjaya namun 80% bahagian kereta terbabit hangus terbakar. Sepasang suami isteri bersama tiga orang anaknya berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” ujarnya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Ketua Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Mohd Kahar berkata, keluarga berkenaan dalam perjalanan menuju ke Genting Highland dari Kuala Lumpur apabila api mula membakar bahagian enjin dan terus merebak ke bahagian lain. “Pemandu berkenaan pantas memberhentiikan keretanya dan menyelamatkan keluarganya,” kata Zaiham sambil menambah pemandu Toyota Vellfire yang dilanggar juga tidak mengalami kecederaan.

    Insiden ini merupakan satu lagi peringatan bahawa kebakaran kenderaan boleh berlaku dan anda dinasihatkan untuk menyimpan alat pemadam api di dalam kenderaan anda sekiranya berlaku kecemasan sebegini.

    Alat pemadam api kecil (1 atau 2 kg) adalah mencukupi dan agak mampu milik iaitu sekitar RM50. Anda harus mencari alat pemadam api yang yang menggunakan serbuk kering dengan penarafan BC atau ABC untuk menangani kebakaran Kelas B (petrol, gris dan lain-lain cecair yang sangat mudah terbakar/mudah terbakar) dan Kelas C (gas mudah terbakar) – Kelas A adalah untuk kayu, kertas, fabrik dan lain-lain.

     
     
  • Ringgit lemah bakal menyebabkan harga kereta baru meningkat, kos bahan mentah naik – MAA

    Ringgit lemah bakal menyebabkan harga kereta baru meningkat, kos bahan mentah naik – MAA

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), harga kenderaan baru di Malaysia dijangka meningkat akibat daripada kenaikan kos bahan mentah, susulan nilai ringgit yang semakin lemah, serta masalah kekurangan cip yang sudah berlanjutan lama.

    Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad memberitahu bahawa peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar kenderaan membawa makna terdapat kemungkinan harga kereta baru akan meningkat. Beliau bagaimanapun menyatakan setakat ini pengeluar masih belum memutuskan untuk meningkatkan harga kenderaan dan menyerap kos tambahan itu – lapor Berita Harian.

    Aishah turut menyatakan harapan supaya kerajaan dapat memberikan maklum balas terhadap rayuan yang dibuat oleh persatuan itu untuk menyambung tempoh pengecualian cukai yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini. “Sekiranya pengecualian SST yang akan berakhir hujung bulan Jun ini tidak disambung, ia boleh memburukkan lagi keadaan dan menyaksikan lonjakan tinggi harga jika pengeluar membuat keputusan untuk meningkatkan harga produk mereka,” kata beliau kepada penerbitan tersebut.

    Ringgit lemah bakal menyebabkan harga kereta baru meningkat, kos bahan mentah naik – MAA

    Pengeluaran tempatan juga terus terjejas akibat daripada kekurangan cip semikonduktor. Pada bulan Mac, persatuan itu pernah menyatakan bahawa tempoh masa lama akan diambil sebelum pengeluaran tempatan dan bekalan dapat kembali normal. Pengeluar kenderaan juga turut melaporkan masalah jumlah pengeluaran akibat daripada kekurangan alat/bahan.

    Awal hari ini, Honda Malaysia turut memberitahu bahawa kelambatan mendapatkan alat ganti/bahagian untuk pengeluaran kenderaan baru kini menyebabkan jumlah pengeluaran yang tidak konsisten di kilang mereka di Melaka, dan ini akan memberi kesan kepada penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang mahu mendapatkannya sebelum tempoh pengecualian SST tamat.

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro 2022 bakal tiba di Malaysia – kuasa sehingga 197 PS, beri saingan kepada X70 dan CR-V

    Chery Tiggo 7 Pro 2022 bakal tiba di Malaysia – kuasa sehingga 197 PS, beri saingan kepada X70 dan CR-V

    Setelah mengumumkan rancangan membawa masuk Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, Chery kini mengesahkan satu lagi SUV, bersaiz sederhana iaitu Tiggo 7 Pro juga akan dilancarkan di Malaysia. Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, model lima tempat duduk ini akan memberi saingan kepada Proton X70 dan Honda CR-V yang berada dalam segmen C.

    Daripada luar, selain rekaan yang lebih moden berbanding Tiggo pertama yang pernah dijual di negara kita pada tahun 2007, Tiggo 7 Pro ini juga mempunyai lampu utama LED adaptif nipis, DRL berbentuk T, pilihan rim antara 17 ke 19 inci, lampu belakang bersambung, spoiler pada pintu but serta rel bumbung berlampu.

    Rekaan bahagian dalam juga sama moden, tetapi sekarang kita masih tidak tahu model yang bakal masuk ke Malaysia nanti menggunakan rekaan yang mana. Ini kerana Tiggo 7 Pro yang asal menggunakan rekaan berlainan yang mempunyai skrin 10.25 inci untuk infotainmen dan 12.3 inci untuk instrumen, sementara Tiggo 7 Plus yang diperkenalkan pada tahun 2021 menggunakan dua skrin 12.3 inci yang bersambung. Perincian stereng serta corong pendingin hawa dua jenis papan pemuka ini juga berbeza.

    Tiggo 7 Pro asal (kiri), Tiggo 7 Plus (right)

    Apabila tiba nanti, Tiggo 7 Pro sepatutnya mengetengahkan pelbagai teknologi seperti model di negara asalnya, yang dilengkapi dengan butang pemula enjin, tempat duduk hadapan larasan elektronik, pengawal suhu dua zon dengan fungsi “bersih sendiri”, ioniser dan pengesan kualiti udara, sistem infotainmen cloud-based dengan mod karaoke, kawalan suara, bumbung panoramik serta sistem bunyi Sony lapan pembesar suara.

    Berkenaan keselamatan, Tiggo 7 Pro boleh didapati dengan Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Speed Limit Assist, amaran pintuk buka, bantuan letak kereta, lampu tinggi automatik, enam beg udara serta kawalan stabiliti.

    Untuk enjin, ia disediakan dalam dua pilihan yang kedua-duanya adalah unit empat silinder turbo. Enjin 1.5 liter bersama transmisi CVT mampu menghasilkan 150 PS dan 230 Nm tork sementara enjin 1.6 liter bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan pula menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork. Untuk kedua-duanya, kuasa disampaikan kepada roda hadapan.

     
     
  • Honda M’sia umum produksi kereta baharu terjejas kerana isu cip; penghantaran tempahan ada kelewatan

    Honda M’sia umum produksi kereta baharu terjejas kerana isu cip; penghantaran tempahan ada kelewatan

    Honda Malaysia telah mengumumkan pihaknya sedang berhadapan dengan isu produksi bagi kereta baharu, yang melibatkan kilang pengeluarannya di Pegoh, Melaka. Isu ini melibatkan gangguan bekalan cip semikonduktor di peringkat global, selain pandemik Covid-19 yang masih berterusan, sekaligus menjejaskan rantaian bekalan yang menyokong produksi kereta.

    Syarikat ini turut berkata, disebabkan isu yang menjejaskan produksi dan juga permintaan pasaran yang tinggi, pelanggan yang telah membuat tempahan mungkin menghadapi kelewatan dalam penghantaran bergantung pada model dan varian pilihan mereka.

    Malahan beberapa penghantaran mungkin tidak dapat dilakukan sebelum tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) – 100% untuk kereta CKD, 50% untuk CBU – ditamatkan pada 30 Jun 2022. Justeru, Honda Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi para pelanggan dan sedang berusaha untuk memaksimumkan keluaran pengeluaran sebaik mungkin.

    Sebenarnya isu ini bukan sahaja dihadapi oleh Honda Malaysia, malah pada awal Mei, Proton turut mengumumkan perkara yang sama. Malahan isu ini turut dihadapi oleh kebanyakan pengeluar kereta dunia yang turut mengalami masalah pengeluaran disebabkan isu bekalan rantaian cip semikonduktor ini, selain pandemik Covid-19.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor RAN bakal dibuka untuk bidaan

    JPJ eBid: Plat nombor RAN bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor RAN yang bakal mula dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JP JeBid.

    Siri nombor terkini dari Perlis, RAN, ini akan mula dibuka bidaannya pada 19 Mei 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, berakhir pada jam 10 malam 23 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan diumumkan pada keesokan harinya, 24 Mei. Keseluruhan proses kini adalah menerusi dalam talian, dan pembida bakal menerima sama ada berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Jika sebelum ini, mungkin anda mengharapkan bantuan (dengan kos upah tertentu) dari pihak ketiga termasuk runner untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan, kini menerusi JPJ eBid, ia cukup mudah untuk diuruskan sendiri. Dah jimat kos upah. Kalau anda ingin melakukan bidaan sendiri, anda bolehlah rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang dihajati.

     
     
  • MOT bekerjasama dengan KPKT bagi merangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti

    MOT bekerjasama dengan KPKT bagi merangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti

    Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam merangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti. Perkara ini disahkan oleh Mike Chong Yew Chuan selaku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pengangkutan.

    Beliau berkata garis panduan itu diperlukan untuk penentuan bidang kuasa pihak terlibat berhubung kenderaan seumpama itu secara keseluruhan, laporan Bernama.

    “Bidang kuasa bagi kenderaan mikromobiliti adalah di bawah Kementerian Pengangkutan dan oleh sebab itu, kami mempunyai kawalan (ke atas penggunaan kenderaan tersebut) di atas jalan raya. Untuk kawasan selain jalan raya, ia adalah terpulang kepada KPKT untuk mewujudkan garis panduan dalam menentukan di mana kenderaan itu boleh digunakan,” katanya.

    Tambahnya, walaupun tiada jangka masa tertentu bagi pelaksanaan garis panduan itu, MoT sedang menggesa agar ia disiapkan secepat mungkin.

    MOT bekerjasama dengan KPKT bagi merangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti

    Beliau turut menjelaskan bahawa larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti hanyalah di atas jalan raya dan bukanlah larangan secara menyeluruh.

    “MoT tidak pernah melaksanakan larangan penuh penggunaan kenderaan seperti itu. Orang awam masih boleh menggunakan kenderaan tersebut, tetapi hanya di tempat-tempat yang dikhaskan yang akan ditentukan oleh KPKT dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

    Pada akhir April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan kenderaan mikromobiliti seperti Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) dilarang digunakan di atas jalan raya awam.

    Antara contoh moped dan PMA yang diharamkan berkenaan adalah termasuk kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, manakala PMD pula ada termasuk kenderaan seperti e-Skuter, papan luncur, hoverboards dan skuter kaki.

    Wee berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    Di mana arangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

     
     
  • GALERI: Yamaha 135LC Fi V8 SE 2022 – RM8,198

    GALERI: Yamaha 135LC Fi V8 SE 2022 – RM8,198

    Selain versi standard yang ditawarkan dalam tiga warna, pada harga RM7,798, Yamaha 135LC Fi turut tiba di pasaran Malaysia dalam satu lagi versi yang dinamakan sebagai SE (Special Edition). Harga model ini adalah RM400 lebih berbanding versi standard, iaitu RM8,198 tidak termasuk insurans.

    Jelas dapat dilihat melalui galeri gambar penuh yang kami bawa ini, 135LC Fi SE mendapat panel badan berwarna Desert Storm matte serta rim warna emas khas untuknya. Kemudiannya, lencana tulisan 135LC di tepinya juga menggunakan warna emas.

    Satu lagi perkara yang menjadikan harga 135LC Fi SE ini lebih tinggi adalah bakul plastik khas di bahagian hadapan, yang turut datang bersama bahagian kecil berpenutup serta soket pengecas USB, sesuai untuk mengecas alat elektronik seperti telefon.

    GALERI: Yamaha 135LC Fi V8 SE 2022 – RM8,198

    Selain daripada itu, semua bahagian 135LC Fi SE ini sama sahaja dengan versi standard, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 135 cc bersama padanan transmisi empat kelajuan (klac automatik), mampu menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.

    Panel badan 135LC Fi ini adalah serba baru, dan ia dipadankan dengan beberapa bahagian yang sudah pernah dilihat seperti lampu daripada Y15ZR V2, meter digital dan lampu belakang daripada Y16ZR (tanpa lampu VVA) serta rim enam cabang daripada Y125ZR.

    Melalui 135LC Fi ini juga kita dapat melihat kemunculan semula brek cakera belakang pada model LC, sementara brek hadapan pula menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (Y16 mendapat angkup dua piston). Sistem ABS masih tiada pada model ini.

    Tangki bahan api turut dibesarkan menjadi 4.6 liter (sebelum ini 4.0 liter) sementara lampu penanda di bahagian dada juga kini sudah menggunakan LED. Kelengkapan lain pada 135LC Fi adalah fork teleskopik, monoshock, sprocket belakang 39 mata, serta padanan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

     
     
  • Honda BR-V 2022 dapat warna baharu di Malaysia – Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic

    Honda BR-V 2022 dapat warna baharu di Malaysia – Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic

    Honda Malaysia telah mengumumkan pengenalan dua warna baharu bagi model BR-V 2022, iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Kedua-dua warna tersebut adalah bagi menggantikan warna yang ditawarkan sebelum ini iaitu Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Pengarah Urusan dan CEO Honda Malysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Sebelum ini, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic telah diperkenalkan untuk barisan model sedan dan hatchback termasuk City Hatchback, City sedan dan Civic serba baharu. Malahan Accord juga telah ditawarkan dengan warna Meteoroid Gray Metallic.

    “Warna tersebut telah menerima sambutan yang menggalakkan, mendorong kami membuat keputusan untuk memberikan warna yang sama pada BR-V. Kami yakin dengan pengenalan pilihan warna baharu ini dapat menambah keterujaan para pelanggan yang mahu membeli BR-V.”

    Honda BR-V 2022 dapat warna baharu di Malaysia – Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic
    Selain penawaran warna baharu itu, ciri lain masih dikekalkan termasuk enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder (120 PS dan 145 Nm) dengan padanan CVT yang memacu roda hadapan.

    Harganya juga tiada perubahan, ia masih menerima 100% pengecualian cukai jualan (SST) dan berharga RM86,726 untuk varian asas E, dan RM93,420.27 untuk varian tertinggi V – pilihan warna Platinum White Pearl dikenakan kos tambahan RM272.73.

    Honda Malaysia turut berkata, sejak dilancarkan pada Jun 2020, BR-V facelift ini telah terjual lebih 5,700 unit setakat April 2022.

     
     
  • Proton Saga MC2 facelift 2022 – teaser kit badan disiar

    Proton Saga MC2 facelift 2022 – teaser kit badan disiar

    Satu lagi teaser rasmi Proton Saga MC2 facelift 2022 yang akan dilancarkan 12 Mei dikeluarkan hari ini. Semalam, Proton menunjukkan gril hadapan baru Saga facelift ini, (logo bulat, jalur merah seperti X50), serta gambar dekat rim “empat cabang” baru. Hari ini, kita boleh melihat pula gambar dari tepi.

    “Bersedia untuk alami tahap keseronokan baru dengan Proton Saga baru. Usul Pintar ini bersedia untuk memberikan impak besar dengan pengendalian terbaik dalam kelasnya, memberikan anda lebih daripada cuma sebuah kereta baru – ia adalah satu pengalaman,” tertulis dalam kenyataan gambar tersebut. Tajuknya pula adalah “manoeuvrability at its finest.”

    Tulisan tersebut merujuk kepada pengendalian Saga, tetapi apa yang lebih menarik (kerana ia baru) adalah penampilan kit badan baru, terutamanya bahagian skirt tepi. Seperti yang anda boleh lihat, ia mempunyai bentuk lebih tebal dan menonjol, dan disertai oleh skirting pada bampar hadapan untuk memberikan keseimbangan. Tambahan skirting ini bagaimanapun adalah eksklusif untuk varian tinggi yang dipanggil sebagai Premium S.

    Teaser kali ini juga menunjukkan rim 15 inci dua tonanya berpusing. Rim baru ini akan digunakan pada varian Premium dan Premium S, sementara varian Standard akan terus menggunakan unit 14 inci. Perubahan lain pada bahagian luar adalah termasuk pelindung cermin sisi berwarna hitam serta hiasan hitam pada tempat nombor plet yang turut tertulis Proton.

    Melalui spyshot yang tersebar sebelum ini, kita dapat melihat bahagian dalam Saga 2022 yang mempunyai banyak kemasan warna merah termasuk pada keliling corong pendingin hawa serta pada butang kawalan di stereng. Kedudukan tempat meletak barang di konsol tengah telah disusun semula, dan terdapat panel kawalan pendingin hawa yang nampak seperti unit daripada Iriz 2022, tetapi tanpa pelaras aliran angin dan butang jenis piano. Logo baru Proton turut digunakan pada stereng.

    Skrin infotainmen sesentuh 7.0 inci (Premium ke atas) pada Saga baru ini mendapat kemasan keliling warna hitam, grafik baru (termasuk butang home dengan logo Proton seperti X50) serta grafik penutup “please check your belongings” seperti yang dapat dilihat pada model Perodua. Sistem operasinya (OS) nampak seperti berasaskan Android sama seperti sebelum ini, dan bukannya menggunakan Atlas OS seperti Iriz/Persona.

    Ciri baru yang diberikan adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat automatik, pembuka but dari luar serta balutan kulit. Pemberian sistem kawalan stabiliti elektronik juga telah dikembangkan kepada varian Standard AT (Standard MT masih tidak mempunyai ESC), sementara Autonomous Emergency Braking masih belum ada.

    Tiada perubahan dijangka pada bahagian enjin, dan Saga baru ini mungkin akan terus menggunakan unit empat silinder 1.3 liter NA berkuasa 95 PS dan 120 Nm tork. Selain transmisi manual lima kelajuan pada varian asas, enjin Campro VVT ini dipadankan bersama unit automatik empat kelajuan daripada Hyundai.

     
     
  • Kia EV6 ditemui di Glenmarie – kembar Ioniq 5 lancar di Malaysia separuh kedua 2022, harga dari RM200k?

    Kia EV6 ditemui di Glenmarie – kembar Ioniq 5 lancar di Malaysia separuh kedua 2022, harga dari RM200k?

    Ini dia, Kereta Terbaik Eropah 2022, iaitu Kia EV6, ditemui sudah berada di Malaysia, atau lebih spesifik lagi di BAuto Training School Glenmarie, Shah Alam. Rancangan untuk melancarkan model ini di Malaysia sudah dibuat oleh Bermaz Auto (BAuto) sejak tahun lepas lagi dan kini nampaknya ia bersedia untuk pengenalan menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini.

    Kami masih tidak dapat mengesahkan model di dalam gambar ini adalah varian apa, dan berapa versi yang akan dibawa oleh BAuto, tetapi dalam pasaran antarabangsa, ia mempunyai beberapa pilihan. Sebelum pergi lebih lanjut, perlu diketahui bahawa EV6 ini berkongsi platform dengan Hyundai Ioniq 5, sementara jarak rodanya pula sedikit pendek dengan ukuran 2,900 mm manakala Ioniq 5 pula 3,000 mm.

    Untuk penggerak pula, EV6 boleh didapati dalam versi RWD (satu motor) atau AWD (dua motor), serta dua pilihan pek bateri lithium-ion iaitu 58 kWh atau 77.4 kWh. Jarak gerak yang mampu disediakan boleh mencecah 510 km. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh model yang menggunakan pek bateri yang kecil adalah 125 kW (170 PS dan 350 Nm) bagi RWD sementara model AWD pula menghasilkan 173 kW (235 PS dan 605 Nm).

    Apabila datang dengan bateri 77.4 kWh pula, versi RWD boleh menghasilkan 168 kW (228 PS dan 350 Nm) sementara model AWD menghasilkan 239 kW (325 PS dan 605 Nm). Model paling tinggi iaitu EV6 GT didatangkan secara eksklusif dengan dua motor elektrik serta bateri 77.4 kWh, menghasilkan 585 PS dan 740 Nm tork.

    EV6 menggunakan tetapan elektrik 800 volt, membolehkan ia menerima pengecasan pantas DC tanpa sebarang komponen atau adapter tambahan, Bateri 77.4 kWh boleh dicas dari tahap 10% ke 80% dalam masa cuma 18 minit, atau tambahan 100 km jarak gerak selepas dicas empat minit setengah.

    Setakat ini masih belum diketahui bagaimana peletakan harga Kia EV6 ini di Malaysia, tetapi kita boleh menjangkakan harga yang kompetitif dengan merujuk kepada sambutan baik Ioniq 5. Sebagai rujukan, Ioniq 5 dijual pada harga antara RM200k ke RM277k (spesifikasi tinggi), dan senarai menunggunya kini sudah mencecah satu tahun. Kalau anda, pilih yang mana?

     
     
  • Touch n’ Go eWallet ‘hilang’ dari Apple App Store

    Touch n’ Go eWallet ‘hilang’ dari Apple App Store

    Adakah anda pengguna iPhone? Jika ya, ini ada makluman untuk anda. Buat masa ini aplikasi Touch n’ Go eWallet tidak boleh dimuat turun menerusi Apple App Store. Di mana netizen mendapati aplikasi tersebut ‘hilang’ daripada platform Apple sewaktu cuti Hari Raya baru-baru ini.

    Sejak pelancaran kad Enhanced baharu, ramai pengguna iOS cuba untuk memuat turun aplikasi ini, tetapi ia tidak dapat dikesan. Namun bagi mereka yang sudah pun install aplikasi ini, ia masih boleh diguna – termasuk semua ciri keseluruhannya. Justeru, jangan sesekali membuang (delete) aplikasi terbabit. Jika ia dibuang, anda tidak dapat memuat turunnya lagi.

    Spekulasi menyatakan penyingkiran aplikasi terbabit termasuk menggunakan teknologi Near-Field Communication (NFC) untuk tambah nilai kad Enhanced dan GoPinjam. Walau bagaimana pun, tidak semua iPhone memiliki ciri NFC, hanya model siri iPhone 7 dan ke atas sahaja. Jadi mungkin ini salah satu sebab mengapa aplikasi Touch n’ Go eWallet ‘mungkin direhatkan seketika’ di Apple App Store hingga ia ditambah baik. Sekadar spekulasi.

    Manakala untuk GoPinjam, kemungkian ia tiada dalam platform terbabit kerana Apple tidak membenarkan sebarang aplikasi permohonan pembiayaan kewangan tanpa menerusi bank. Buat masa ini, kami masih belum mendapat sebarang maklumbalas daripada TnG sendiri.

    Apa pun, kami akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan termasuk kenyataan rasmi dari TnG. Buat masa ini, bagi pengguna iPhone, jangan delete aplikasi berkenaan. Untuk pengguna Android, anda tidak terjejas dan boleh terus menggunakan aplikasi ini seperti biasa.

     
     
  • Toyota Harrier 2023 bakal dapat enjin 2.4L turbo?

    Toyota Harrier 2023 bakal dapat enjin 2.4L turbo?

    Salah satu perkara yang mengundang kekecewaan sewaktu pengenalan Toyota Harrier generasi ke-empat ialah ketiadaan enjin pengecas turbo. Sehingga kini, SUV berkenaan hanya ditawarkan dengan unit M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder, dan untuk sesetengah pasaran, ia turut didatangkan dengan enjin A25A-FX5 2.5 liter hibrid petrol.

    Walau bagaimana pun, dikhabarkan ada perubahan yang bakal dilakukan. Terdapat ura-ura menyatakan bahawa Harrier bakal diberikan pilihan penjana kuasa baharu 2.4 liter turbo, dengan enjin T24A-FTS baharu yang turut digunakan buat Lexus NX 350. Ia dikatakan mampu menghasilkan hampir 300 PS dan tork 420 Nm, dengan anggaran 7.2 liter per 100 km.

    Sebagai pengetahuan, enjin 2.0 liter boleh menghamburkan kuasa sehingga 173 PS dan 203 Nm, sementara unit hibrid mampu menjana hingga 222 PS. Pada NX 350, enjin tersebut turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Direct Shift dengan ‘tork tinggi’ baharu, yang berupaya memacu semua roda menerusi sistem AWD kawalan elektronik sepenuh-masa baharu.

    Toyota Harrier 2023 bakal dapat enjin 2.4L turbo?

    Buat masa ini, perkhabaran berkenaan dengan enjin turbo bagi Harrier hanyalah bersifat spekulasi. Namun difahamkan permintaan terhadap Harrier dilihat cukup menggalakkan berbanding apa yang Toyota jangkakan sebelumnya. Walau bagaimana pun, untuk memperkenalkan lebih banyak varian yang didambakan, pada waktu ini, agak kurang sesuai memandangkan isu kekurangan bekalan cip semikonduktor masih berlangsung.

    Namun demikian, bagi peningkatan untuk model 2023 mungkin melibatkan warna dan ciri baharu yang bakal ditambah dalam senarai sedia ada, dan mungkin juga diberikan sedikit pembaharuan untuk sistem Toyota Safety Sense. Apa pun, tidak mustahil untuk sebarang kebarangkalian boleh berlaku.

    Malah Harrier sebelum ini juga dilancarkan tanpa enjin turbo. Namun penjana kuasa 8AR-FTS 2.0 liter turbo (juga diambil dari model NX sebelumnya) hanya diperkenalkan ketika peningkatan pertengahan hayatnya, dengan hamburan kuasa 231 PS dan 350 Nm. Dan adakah sejarah ini bakal berulang? Hanya masa yang akan menentukannya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024