Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri AND dan VLD dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari WP Kuala Lumpur, VLD, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini 11 Ogos 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 Ogos 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perak pula, AND, bidaannya pula bakal dibuka mulai esok, 12 Ogos ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Ogos 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • JPJ Melaka keluarkan 436 saman warga asing tanpa lesen, 72 kenderaan disita dari Jan-Ogos 2023

    JPJ Melaka keluarkan 436 saman warga asing tanpa lesen, 72 kenderaan disita dari Jan-Ogos 2023

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengeluarkan sebanyak 436 saman sepanjang Januari hingga Ogos 2023 dalam Ops Khas PEWA yang dilaksanakan di sekitar negeri ini. Ops Khas PEWA yang dilaksanakan ini adalah bagi mengesan dan menyaman mana-mana pemandu warga negara asing yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.

    “Pihak JPJ ingin menegaskan bahawa pemandu warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan tanpa lesen memandu dan akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukkan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Untuk rekod, sebanyak 72 buah kenderaan telah disita dan sebanyak 436 notis telah dikeluarkan sepanjang Januari hingga Ogos 2023,” kata Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

    Kelmarin sahaja, sebanyak 92 notis dikeluarkan dalam Ops Khas PEWA yang dilaksanakan sekitar Melaka Sentral, di mana 25 buah kenderaan disita melibatkan dua buah motokar dan 23 buah motorsikal.

    “Operasi ini disertai seramai 24 orang anggota yang turut berpakaian preman telah mengeluarkan sebanyak 67 notis saman P (22) dan 25 notis penyitaan kenderaan Sek 64 (1). Semua pemandu yang ditahan terdiri daripada lapan orang warganegara Bangladesh, 16 orang warganegara Myanmar (Rohingya) dan seorang Pakistan yang melibatkan beberapa kesalahan,” katanya lagi.

    Sebarang aduan atau pelaporan boleh disalurkan ke e-Aduan@JPJ menggunakan aplikasi myJPJ atau di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JPJ menerusi pautan http://jpj.spab.gov.my.

     
     
  • GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam hot-hatch!

    GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam hot-hatch!

    Satu benda yang tak boleh dipisahkan dengan Honda sudah tentu budaya ubahsuai. Tak kira model apa yang dilancarkan, tak lama selepas itu pasti ada sahaja aksesori aftermarket yang dijual untuk menjadikan ia lebih sporty.

    Ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, reruai rasmi Honda sendiri telah mempamerkan sebuah WR-V yang bukan sahaja menerima kit badan lebih labuh, malah ia turut direndahkan dan nampak seperti sebuah hot-hatch.

    Unit yang diubahsuai ini diasaskan dari varian paling sporty iaitu WR-V RS, jadi bumbung hitam bersama rel bumbung (kedua-dua ini tidak ditawarkan untuk model pasaran Malaysia), warna badan Ignite Red Metallic, gril hadapan dengan logo RS adalah perincian standard dari kilang.

    GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam hot-hatch!

    Apa yang ditambah adalah lips hadapan dan skirt sisi yang sangat labuh, serta diffuser udara yang sangat agresif pada bawah bampar belakang yang turut menempatkan dua tip ekzos bersaiz besar. Spoiler belakang juga nampak lebih besar dari standard bagi disepadankan dengan kit yang lebih agresif ini.

    Rim aloi 17-inci asal sudah tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan Work Emotion yang masih berdiameter 17-inci. Namun rim baharu ini dibalut dengan tayar dengan profil lebih rendah dan lebih lebar Michelin Primacy 4 yang bersaiz 225/50R17, berbanding tayar dengan spesifikasi asal 215/55R17.

    Suspensi juga nampaknya telah diubahsuai – dari jarak antara fender dengan tayar sebelum ini boleh memuatkan seekor kucing dewasa tidur, kini ia lebih rendah dengan jarak yang boleh memuatkan hanya sekitar tiga jari. Dengan suspensi yang lebih rendah dan juga kit badan lebih labuh, jarak kelegaan tanah WR-V ini berkurang dengan drastik serta memberikan stance yang nampak lebih garang dan stabil.

    Indonesia merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima Honda WR-V ini, dilancarkan pada November tahun lalu. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA yang menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Ia turut diperkenalkan dalam versi dengan kotak gear manual enam-kelajuan selepas itu, tetapi hanya dalam varian asas E.

    Kita di Malaysia baru sahaja menerima WR-V yang dilancarkan pada Julai lalu. Di sini WR-V ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas 1.5 S ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, 1.5 V berharga RM99,900 dan varian spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula dijual pada harga RM107,900.

     
     
  • GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Mazda CX-60 telah pun dipamerkan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang sedang berlangsung, selepas beberapa hari ia mula dijual di sini. Foto yang dipaparkan ini merupakan dua versi bagi SUV ini, iaitu Kuro Edition dalam rona Deep Crystal Blue dan Elite Edition dalam Platinum Quartz.

    Kedua-duanya dijual pada harga yang sama iaitu 1.1888 bilion rupiah (RM357,400) tetapi diberikan ciri luaran yang berbeza. Untuk permulaan, gril pada Kuro diberikan kemasan paten sarang lebah, manakala Elite pula dengan palang menegak kecil. Selain itu, Kuro diberikan serlahan krom gelap, perumah cermin sisi hitam dan aloi hitam berkilat 20-inci berbanding Elite yang menerima serlahan lebih cerah dan roda potongan berlian 20-inci.

    Di dalamnya, Elite diberikan upholstery kulit Nappa dan kemasan kayuan maple. Sementara Kuro pula menerima kulit Nappa quilted dengan warna tan yang kontras dengan kemasan gelap. Untuk warna luarannya pula, Kuro ditawarkan dengan Deep Crystal Blue, Rhodium White dan Soul Red Crystal. Manakala Elite pula boleh didapati dengan warna Platinum Quartz, Jet Black, Machine Grey dan Rhodium White.

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Bagi ciri kelengkapan standard, CX-60 didatangkan dengan dua paparan 12.3-inci, dengan salah satunya merupakan kluster instrumen digital, dan satu lagi sistem infotainmen. Ia juga diberikan Active Driving Display, warna sepenuhnya, paparan unit utama projektor yang dipancarkan ke cermin hadapan, lampu utama LED adaptif, bumbung suria panoramik, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, kawalan suhu dwi-zon dengan corong di belakang, pengecas telefon tanpa wayar dan tailgate berkuasa dengan akses bebas-tangan.

    SUV ini turut diberikan sistem bantuan pemandu dan keselamatan yang sama, termasuk tujuh beg udara, kamera 360-darjah, kawalan turun bukit dan ciri pasif (ABS, DSC, bantuan mula mendaki, dan lain-lain), Sokongan Brek Pintar (AEB) hadapan dan belakang, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan, sistem pemantauan pemandu dan kepekaan perhatian pemandu.

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Untuk penjana kuasanya, CX-60 menampilkan unit e-Skyactiv G 3.3 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol yang digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Ia juga disepadukan dengan sistem hibrid ringkas M Hybrid Boost 48-voltan dengan motor elektrik antara enjin dan kotak gear. Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 0.33-kWH, dengan keseluruhan sistem mampu menyalurkan kuasa sebanyak 284 PS (280 hp atau 209 kW) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm.

    Dengan terjualnya CX-60 di Filipina, Singapura dan Singapura, ada kebarangkalian kita juga bakal menerima SUV lima-tempat duduk ini pada masa hadapan. Walau bagaimana pun, harga yang ditetapkan mungkin tinggi, sama seperti pasaran negara jiran.

     
     
  • GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

    GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

    Indonesia telah pun menerima kemasukan Toyota RAV4 GR Sport PHEV, yang dilancarkan sempena penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung. Ditawarkan pada harga 1.15 bilion rupiah (RM345,899), SUV ini merupakan model elektrifikasi ketiga termahal dalam barisan model tempatan selepas versi hibrid bagi Alphard dan bZ4X.

    Penjana kuasa plug-in hybrid bagi RAV4 ini terdiri daripada unit A25A-FXS 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan suntikan bahan api D45 (port & direct) yang boleh menghasilkan 185 PS (182 hp atau 136 kW) pada 6,000 rpm dan tork 227 Nm dari 3,200 hingga 3,700 rpm.

    Enjin ini juga digabungkan dengan E-CVT dan disertai oleh motor elektrik hadapan pada kadar 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 270 Nm. Sementara itu, motor elektrik kedua yang terletak di belakang menjana sistem pacuan semua-roda E-Four dan menghantar 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan 121 Nm. Keseluruhan sistem kuasa yang terhasil bagi penjana kuasa ini mencecah 306 PS (302 hp atau 225 kW).

    Kuasa dari motor elektrik menjana bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 18.1 kWh, dan pengecasan penuh menggunakan pengecas onboard AC 6.6-kW mengambil masa sekitar 2.5 jam. Bagi pengecasan penuh, SUV ini mampu dipacu dengan jarak gerak elektrik sepenuhnya hingga 75 km mengikut kitaran WLTP.

    Sebagai model GR Sport, RAV4 ini didatangkan dengan gaya yang menyerlah. Pada bahagian hadapannya, gril diberikan kemasan berbeza dengan lencana GR, sementara bampar hadapan dan belakang juga menerima rekaan yang berlainan, selain turut diberikan dua corong ekzos.

    Selain itu, ia juga diberikan lampu kabus, roda aluminium 19-inci dengan rona hitam berkilat serta suspensi talaan-GR. Dua warna luaran ditawarkan iaitu Platinum White Pearl dan Emotional Red 2, kedua-duanya kontras dengan bumbung hitam.

    Di dalamnya, lencana GR diposisikan di tempat duduk dan stereng balutan kulit. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dwi-zon, kluster instrumen digital 12.3-inci, dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.3-inci. Sistem telematik T Intouch juga sebahagian daripada kit standard yang disenaraikan, bersama dengan kelengkapan Toyota Safety Sense konprehensif bagi sistem bantuan pemandu termaju (kawalan kelajuan adaptif, lampu tinggi automatik, brek kecemasan sendiri dan banyak lagi).

    Difahamkan Toyota Astra Motor yang membawa masuk RAV4 GR Sport PHEV di Indonesia tidak menjangkakan jualan yang tinggi dan model ini termasuk dalam pesanan segera serta waktu menunggu sekitar tiga bulan. Malahan RAV4 PHEV ini juga antara model Toyota dalam barisan model masa kini yang ditawarkan dengan harga hampir sekali ganda berbanding versi hibrid termasuk Yaris Cross, Corolla Cross dan Kijang Innova Zenix.

     
     
  • GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Walaupun Honda Accord generasi ke-11 tidak akan masuk ke pasaran Malaysia, di Indonesia berbeza ceritanya: sedan segmen D berkenaan baru saja diperkenalkan untuk pertama kali bagi peringkat ASEAN di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung bermula hari ini.

    Unit Accord yang dipamerkan itu menggunakan lencana RS dengan sistem janaan hibrid e:HEV yang digerakkan oleh sistem i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive). Jika mengikut spesifikasi di AS, tetapan ini menggunakan enjin 2.0 liter petrol empat-silinder sebaris dengan kitaran Atkinson yang menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 182 Nm tork pada 4,500 rpm.

    Enjin ini bertindak selaku generator, dengan sebuah motor elektrik yang disepadukan dalam E-CVT ia membekalkan pengecasan kepada bateri lithium-ion yang digunakan. Bateri berkenaan kemudiannya akan membekalkan kuasa kepada sebuah lagi motor elektrik dengan janaan 184 PS (181 hp) dan 335 Nm. Kunci klac juga memboleh enjin terus memacu kuasa ke roda dalam kelajuan tinggi untuk lebih cekap.

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Dari segi ukuran dimensi, Accord generasi ke-11 ini mempunyai 4,970 mm panjang, 1,862 mm lebar, 1,450 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,830 mm. Berbanding model generasi ke-10 yang ada di sini, Accord baru ini 69 mm lebih panjang, dengan ukuran lain kekal sama.

    Dari segi rekaan, Accord baru ini mengikut pendekatan yang dilihat pada CR-V dengan penampilan yang lebih ringkas. Gril baru kini berbentuk hexagon dan tiada lagi jalur krom bagi perincian di dalamnya, dan disertai juga oleh lampu yang lebih kurus lengkap dengan DRL.

    Ada pembahagi yang jelas antara bahagian atas gril dengan bukaan di bawah. Bukaan yang sama juga lebih luas dan lebar, hadir dengan perincian aliran udara berlawanan. Bahagian belakang lebih jelas perbezaannya dengan rekaan lampu melintang yang dihubungkan oleh jalur lampu yang bertemu di logo Honda.

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Di dalam, Accord baru ini sekali lagi menjadi mirip dengan CR-V dan Civic untuk rekaan kokpitnya. Corong udara pendingin diselindung di sebalik jaring mesh dalam kelebaran penuh papan pemuka. Ada juga kluster instrumen digital, skrin sentuh 12.3-inci dan kawalan fizikal untuk sistem pendingin tersebut.

    Menurut pemerhatian media di Indonesia, belum ada petunjuk sahih sama ada Accord serba baru ini akan dilancarkan disana. Laporan sebelum ini menyebut model generasi ke-11 ini bukan disasarkan utnuk pasaran Asia Tenggara.

     
     
  • JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar kenderaan JMC di Malaysia, telah memperkenalkan Vigus Pro White Series, kenderaan pikap 4×4 automatik yang disasarkan untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan yang semakin meningkat, termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), trak pikap ini ditawarkan pada harga atas jalan RM99,888 tanpa insurans. White Series merupakan tambahan kepada Premium Series yang merupakan versi asal bagi Vigus Pro yang diperkenalkan di Malaysia pada Oktober 2021.

    Dengan kelengkapan seperti Premium Serius, ciri yang diberikan termasuklah roda aloi 16-inci (tayar profil 265/70), lampu utama projektor halogen automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, cermin sisi larasan automatik dengan lampu isyarat membelok, pemijak tepi, bampar pemijak belakang, palang sport dengan lampu brek ketiga, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan dan bed liner.

    Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan paparan pelbagai-info 3.5-inci di tengah meter analog, unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan Bluetooth, empat pembesar suara, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, pendingin hawa manual, pengunci pintu automatik dengan penderia kelajuan. Untuk aspek keselamatan, White Series turut diberikan aspek keselamatan yang sama dengan Premium Series termasuk dua beg udara, ABS, EBD, ESP, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta cagak Isofix.

    Walau pun ada beberapa persamaan antara White Series dan Premium Series, namun White Series tidak menerima pelindung pintu, plat ambang pintu, cermin gelap, bantuan tailgate dan perakam video digital. Namun sebagai tambahan, waranti bagi White Series ialah tiga-tahun/100,000 km berbanding lima-tahun/150,000 km.

    Selain perbezaan itu, White Series turut diberikan enjin yang sama diesel PUMA 2.0L TDI empat-silinder sebaris dengan variable geometry turbocharger dan intercooler. Penjana kuasa ini boleh menghasilkan 141 PS (139 hp atau 104 kW) pada 3,600 rpm dan tork 340 Nm antara 1,500 hingga 2,600 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan ZF.

    JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    Manakala sistem pacuan empat roda BorgWarner menawarkan fungsi julat kelajuan rendah untuk penggunaan off-road dan SUV. Sistem ini membolehkan pemandu membuat penukaran antara mod pemanduan dua roda dan empat roda, menawarkan daya cengkaman dan keupayaan off-road yang lebih baik. Pada julat kelajuan rendah, terdapat gear tambahan untuk nisbah gear yang lebih rendah, meningkatkan daya tork dan membolehkan kenderaan menempuhi laluan yang mencabar. Sistem BorgWarner menggunakan kawalan elektronik atau mekanikal untuk mengaktifkan atau memadamkan sistem pacuan empat roda demi prestasi yang lebih diyakini serta memberikan fleksibiliti dalam pelbagai situasi.

    Vigus Pro memiliki ukursan 5,305 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm. Trak pikap ini mempunyai jejari pusingan sekitar 6.5 meter, jarak kelegaan tanah mencecah 225 mm dan juga berat badan 1,995 kg.

    Angka-Tan Motor juga memperkenalkan warna baharu untuk JMC Vigus Pro Premium Series dengan kemasan luaran Metal Grey baharu, menyertai warna sedia ada Metallic Silver, Stylish Black. Tambahan untuk White Series ialah warna Arctic White. Ia juga menawarkan aksesori tambahan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan seperti penutup jendela gulung (roller shutter) demi kemudahan dan keselamatan kargo. Kanopi juga ditawarkan sebagai pilihan, memberikan kepelbagaian dan perlindungan. Semua aksesori disertakan dengan jaminan selama setahun.

    GALERI: Brosur JMC Vigus Pro 2023

     
     
  • Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Selain dari mendedahkan SUV segmen-B baharu Mitsubishi Xforce di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, presiden dan CEO Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Takao Kato turut mengesahkan bahawa syarikatnya akan memproduksi dua model elektrik penuh di Indonesia tidak lama lagi.

    Menurut Kato dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi, dua model EV berkenaan adalah kei-EV Mitsubishi eK X EV dan juga kenderaan komersil bersaiz kei-Van iaitu Minicab MiEV. Kedua-dua model berkenaan turut dipamerkan di reruai Mitsubishi sepanjang berlangsungnya GIIAS 2023.

    Bagi eK X EV, ini merupakan kali pertama model berkenaan dipamerkan luar dari Jepun. Jadi sekiranya ia diproduksi di Indonesia kelak, ia bukan sahaja menjadi pasaran luar Jepun pertama menerima model tersebut, malah turut menjadi versi pertama yang dipasang luar dari negara matahari terbit itu.

    Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Menurut Kato, buat masa sekarang MMC sedang menjalankan penyelidikan perintis berkenaan produksi pemasangan Minicab MiEV di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dan produksi tersebut dirancang untuk dimulakan pada tahun fiskal terkini syarikat itu. Beliau turut mengesahkan bahawa pelancaran dan pemasangan tempatan untuk eK X turut akan disusuli selepas itu.

    “Kami akan membuatkan penyelidikan kebolehterimaan dan mendapatkan maklum balas pelanggan sambil kami berusaha ke arah penggunaan EV yang meluas di Indonesia,” kata Kato.

    Mitsubishi eK X EV mula didedahkan di Jepun pada Mei tahun lalu. Model dengan kuasa elektrik ini menampilkan rupa yang sama dengan varian petrol eK X (X disebut sebagai ‘cross’), iaitu versi dengan penggayaan SUV berbanding eK Wagon biasa.

    Model ini digerakkan dengan motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol. Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan.

    Motor tersebut menerima kuasa dari bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh. Bateri ini memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1).

    Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), ia boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. eK X ini juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan.

    Bagi Minicab MiEV pula, ia sudah lama dijual di Jepun, dibekalkan dengan bateri lithium ion 16 kWj yang memberikan jarak gerak 180 km dalam kitaran WLTC. Ia turut dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 64 PS/195 Nm yang selari dengan undang-undang kei-car Jepun.

    GALERI: Mitsubishi eK X EV di GIIAS 2023

    GALERI: Mitsubishi Minicab MiEV di GIIAS 2023

     
     
  • Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi hari ini mendedahkan SUV segmen-B baharunya yang secara rasmi digelar Xforce ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023. SUV kompak yang direka khas untuk pasaran ASEAN berkenaan merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi XFC yang membuat kemunculan sulung di Vietnam Motor Show pada Oktober tahun lalu.

    Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu Mitsubishi Xforce ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm).

    Namun ia hanya dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V kerana hadir dengan enjin NA 1.5 liter. Enjin yang dimaksudkan adalah unit 4A91 1.5L DOHC Mivec yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Kuasa dari enjin dihantar terus ke kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan, tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, Mitsubishi menegaskan bahawa Xforce mempunyai kemampuan pemanduan pada laluan lasak yang baik, termasuk ketika waktu banjir yang sinonim di Asia Tenggara.

    Xforce hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya memacu dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

    Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi turut menyatakan bahawa mod Wet merupakan mod yang baru diperkenalkan buat pertama kali menerusi Xforce ini, dan ia akan memberikan prestasi mengambil selekoh dan kestabilan yang lebih baik pada jalan basah ketika hujan, dan mengekalkan kawalan yang baik ketika meredah banjir.

    Untuk suspensi, Xforce diberikan sudut caster hadapan yang lebih besar bagi memberikan kestabilan kelajuan tinggi dan respon stereng lebih baik, serta menggunakan set bushing suspensi belakang yang dipertingkat. Saiz silinder penyerap hentak juga direka besar bagi memberikan kestabilan pada roda stereng serta keselesaan pemanduan walaupun dipandu pada permukaan tidak rata dan lasak, khususnya untuk jalan seperti di rantau ASEAN.

    Mitsubishi turut memberikan set roda bersaiz besar terdiri dari rim berdiameter 18-inci, yang menghasilkan jarak kelegaan 222 mm yang sama seperti Xpander, dan didakwa terbaik dalam kelasnya. Sebagai perbandingan, Honda HR-V hanya menampilkan jarak kelegaan tanah setinggi 196 mm, manakala Corolla Cross pula hanya 161 mm.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Tetapan suspensi dan juga set roda yang besar ini juga membolehkan Xforce mendapat sudut approach dan sudut departure antara yang terbaik dalam kelasnnya, masing-masing 21 dan 30.5 darjah. Ini membolehkan Xforce ‘memanjat’ laluan dengan sudut-sudut yang curam, dan ia juga mudah dikendalikan pada laluan sempit dengan radius pusingan minimum 5.2 meter, yang juga paling kecil dalam kelasnya.

    Untuk kotak gear CVT yang dibekalkan, Mitsubishi menyatakan ia akan memberikan kelajuan maya seperti transmisi automatik konvensional jika pemandu mengerah pedal pendikit sepenuhnya. Namun sekiranya pedal pendikit ditekan secara lembut, kotak gear CVT ini “akan memaksimakan pretasi enjin bagi mencapai penggunaan bahan api lebih efisien serta pemanduan yang senyap unik untuk CVT”, dakwa Mitsubishi.

    Mitsubishi juga menyatakan dengan respon kotak gear CVT pada Xforce ini juga membolehkan ia memanjat bukit tanpa memerah pedal pendikit, dan ia juga memberikan engine braking yang lebih baik ketika menurun bukit, memudahkan lagi tugas pemandu tanpa perlu kerap menekan pedal brek.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Sesuai dengan kebolehannya, Mitsubishi memberikan “rupa elegan sebuah SUV yang bergaya dalam masa yang sama kelihatan lasak” pada Xforce ini, dengan konsep digelar “rakan baik untuk kehidupan yang mengujakan.”

    “SUV kompak ini dibangunkan sebagai jawapan kepada keperluan pemandu di rantau ASEAN dan telah ditala berulang kali di persekitaran jalan raya rantau berkenaan. Kami berharap Xforce serba baharu ini akan menjadi rakan terbaik untuk apa jua pengembaraan yang mahu dimulakan oleh pemandu, memberikan mereka kuasa tambahan untuk bergerak selangkah lebih jauh dan alami pengalaman baharu,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    Seperti juga Xpander yang menerima banyak rekaan sama dengan model konsepnya iaitu XM Concept, rekaan luaran pada Xforce ini juga hampir keseluruhannya diispirasikan dari XFC Concept. Pada bahagian muka Dynamic Shield Xforce ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang agak seiras dengan XFC.

    Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Pada bahagian kabin, Xforce menerima pada pemuka yang direka dengan elemen mendatar. Mitsubishi menyatakan bahawa rekaan ini memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.

    Paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci pula direka seakan bersatu dengan panel pintu menerusi kemasan fabrik melange, menghasilkan rasa yang lebih luas serta memberikan “rasa seperti duduk di ruang tamu”, dakwa Mitsubishi.

    Untuk sistem infotainmen, Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, juga pertama buat Mitsubishi. Sistem ini menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.

    Menurut Mitsubishi, bagi memaksimakan prestasi pembesar suara, pelbagai perkara diambil kira pada kereta, termasuk kadar volum dan kualiti bunyi ditala secara automatik berdasarkan kelajuan kereta. Pemandu turut boleh memilih empat jenis bunyi yang ditawarkan pada sistem bunyi Yamaha ini termasuk Lively, Signature, Powerful dan Relaxing.

    Tempat duduk hadapan Xforce ini menampilkan bahagian bahu yang lebar bagi memberikan lebih keselesaan, dan ia juga direka bagi mengelakkan pergerakan sisi pada badan ketika situasi seperti menukar lorong dan jalan yang tidak rata, “membolehkan penumpang duduk dengan selesa walaupun dalam kesesakan jalan raya”, kata Mitsubishi.

    Manakala untuk tempat duduk belakang, ia menawarkan ruang kaki yang luas serta menawarkan keselesaan walaupun tiga orang penumpang duduk di bahagian tersebut. Tempat duduk belakang ini juga boleh dilaras dalam lapan cara, membolehkan penumpang melaras kedudukan yang ideal dan juga bagi memaksimakan kapasiti ruang kargo.

    Pelbagai kemudahan lain turut dilengkapkan untuk keselesaan penumpang antaranya 15 pemegang botol minuman, penyejuk minuman pada konsol lantai, pengecas telefon pintar tanpa wayar pada konsol tengah, soket pengecas dan juga ruang letak telefon pintar untuk setiap baris tempat duduk.

    Mitsubishi mendakwa Xforce menawarkan ruang lantai pada but belakang dengan keluasan antara yang terbaik dalam kelasnya. Dengan lantai yang boleh dilaras ketinggiannya, serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40/20/40, ruang kargo belakang SUV ini sangat versatil dan masih memberikan keselesaan pada penumpang belakang walaupun sedang membawa muatan kargo yang banyak. Namun kapasiti sebenar but belakang Xforce ini masih belum didedahkan.

    Tidak seperti Xpander yang hanya menawarkan dua beg-udara, Xforce ini pula ditawarkan dengan enam-beg udara. Ia juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), lampu Tinggi Automatik (AHB), Pemberitahu Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN), Amaran Titik Buta bersama Bantuan Tukar Lorong, sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan lain-lain.

    Mitsubishi Xforce ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia bakal mula dijual di negara berkenaan tidak lama lagi, dan turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

    Tak mustahil Xforce juga akan dilancarkan di Malaysia, dan mungkin akan dipasang secara pemasangan tempatan memandangkan Xpander juga diproduksi di sini menerusi kilang Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd yang terletak di Pekan, Pahang.

    Apa pendapat anda? Sekiranya Mitsubishi Xforce ini dilancarkan di Malaysia kelak, adakah ia boleh memberikan cabaran kepada model-model ‘panas’ di pasaran tempatan seperti HR-V, Corolla Cross dan Proton X50?

     
     
  • BMW X6 xDrive40i M Sport facelift dilancar di Malaysia – enjin hibrid ringkas 3.0L turbo, harga dari RM720k

    BMW X6 xDrive40i M Sport facelift dilancar di Malaysia – enjin hibrid ringkas 3.0L turbo, harga dari RM720k

    BMW Malaysia hari ini melancarkan X6 facelift (juga dipanggil sebagai LCI atau Life Cycle Impulse) baru untuk pasaran Malaysia, dengan dijual dalam satu varian sahaja iaitu xDrive40i M Sport pada harga RM719,520. Model yang pertama kali didedahkan kepada dunia Februari lalu ini datang dengan jaminan, bantuan tepi jalan dan BMW Service Online selama dua tahun, dan jika pemilik mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, ia menjadi RM754,800.

    Sama seperti X6 sebelum facelift, model G06 baru ini masih lagi digerakkan oleh enjin petrol enam silinder 3.0 liter turbo, tetapi ditambah dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang menggabungkan motor elektrik 12 PS/200 Nm ada transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuannya.

    Dengan ini, kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 381 PS (375 hp atau 280 kW) dari 5,200 hingga 6,250 rpm dan tork 540 Nm dari 1,850 hingga 5,000 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 340 PS (335 hp) dan 450 Nm yang disediakan pada model sebelum facelift.

    Menggunakan sistem pacuan semua roda xDrive, X6 baru ini boleh melengkapkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, (sebelum ini 5.5 saat), sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Suspensi Adaptive M diberikan secara standard, bersama brek M Sport yang mempunyai angkup berwarna biru.

    Berkenaan rupa, X6 facelift ini datang dengan lampu siang berbentuk panah yang dimasukkan ke dalam lampu utama lebih nipis. Bampar M Sport di hadapan juga mempunyai bentuk berlainan, yang bukaan udaranya lebih agresif manakala bahagian belakang masih mengekalkan rekaan yang sama.

    Kelengkapan luar yang diberikan sekali pada X6 xDrive40i M Sport baru ini adalah termasuk rim aloi Style 747 M 22 inci, lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi (sebelum ini LaserLight), pakej M Sport, kemasan Shadowline, gril Iconic Glow menyala serta bumbung panoramik kaca.

    Di bahagian dalam, X6 baru ini datang dengan BMW Curved Display, yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh 14.9 inci di tengah. Ia adalah sebahagian daripada sistem Live Cockpit Professional, yang turut termasuk dengan head-up display.

    Sistem infotainmen dikuasakan oleh BMW Operating System 8 dan datang dengan Connected Package Professional yang memberikan sambungan melalui Android Auto dan Apple CarPlay. Ciri lain adalah termasuk ConnectedDrive Service, Remote Services, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana, kawalan suhu empat zon, Comfort Access, tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi memori untuk pemandu, BMW Digital Key serta sistem bunyi Harman Kardon.

    Kabin X6 baru ini dihias dengan kemasan kayu Fineline dengan kesan berkilat, lapik bumbung anthracite serta cermin CraftedClarity. Tempat duduk pula dibalut dengan kulit Merino BMW Individual manakala roda stereng M dibalut dengan kulit.

    Memenuhi senarai kelengkapannya adalah Driving Assistant Professional, yang memberikan fungsi termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist dengan bantuan stereng, Automatic Speed Limit Assist, Lane Change Assist, Front Crossing Traffic Warning, Evasion Assist, Crossroads Warning, Wrong-way Warning serta pengesan lampu trafik.

    Turut diberikan adalah Parking Assistant Professional, yang menambah Reversing Assistant Professional, Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid, kamera pandangan keliling, Remote View 3D, Automated Parking Manoeuvre dan Manoeuvring Assistant.

    X6 facelift 2023 ditawarkan oleh BMW Malaysia dalam tujuh warna, iaitu M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, Skyscraper Grey, dan Aventurine Red. Warna balutan kemasan dalam disediakan dalam dua warna, sama ada hitam atau Tartufo.

    GALERI: BMW X6 facelift 2023

     
     
  • Honda Accord generasi baru tidak akan masuk M’sia

    Honda Accord generasi baru tidak akan masuk M’sia

    Jika anda adalah seorang peminat Honda Accord, model generasi ke-10 yang dipasarkan sekarang adalah model terakhir yang boleh anda beli baru di Malaysia kerana selepas ini, ia tidak akan diganti dengan model generasi seterusnya.

    Perkara ini didedahkan oleh pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura sewaktu pelancaran City facelift 2023 hari ini.

    Tiada perincian lain yang diberitahu berkenaan penghentian kemasukan model baru Accord ke negara kita, tetapi sumber kami menyatakan ia adalah kerana jumlah unit yang dipasang di dalam negara tidak cukup untuk mewajarkan pengenalannya. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana jualan dalam segmen D memang sudah diketahui semakin menjunam kerana pengguna banyak beralih kepada SUV dan segmen di bawahnya.

    Buat masa sekarang, Accord generasi ke-10 ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, iaitu 1.5 TV dan 1.5 TC-P. Kedua-dua model pemasangan tempatan (CKD) ini dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter VTEC Turbo yang menyediakan 201 PS pada 5,500 rpm dan tork 260 Nm dari 1,600 hingga 5,000 rpm.

    Versi permulaan 1.5 TC dijual pada harga RM187,400 manakala 1.5 TC-P yang berada di atasnya dijual pada harga RM197,400 (tidak termasuk insurans). Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Accord sekarang ini memang masih dijual, tapi apabila stok habis nanti, ia tidak akan diganti dengan model generasi baru.

     
     
  • Elon Musk, DS Anwar Ibrahim dijangka rasmikan HQ Tesla di Cyberjaya pada hujung Sept atau Okt ini

    Elon Musk, DS Anwar Ibrahim dijangka rasmikan HQ Tesla di Cyberjaya pada hujung Sept atau Okt ini

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk dijangka bakal datang ke Malaysia untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan ibu pejabat (HQ) Tesla Malaysia di Cyberjaya pada hujung September atau Oktober ini.

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Anwar sewaktu menyampaikan ceramah pada Jelajah Perpaduan Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu, semalam, laporan Astro Awani.

    “Selang dua tiga minggu selepas pertemuan (menerusi maya), ketua rantau Asia jumpa saya. Dia kata, Prime Minister, kami sudah membeli bangunan besar di Cyberjaya untuk ibu pejabat dan dijangka siap akhir September atau Oktober ini. Kami minta Perdana Menteri merasmikan, saya cakap boleh tapi dengan syarat Elon Musk datang, kami rasmi sekali,” kata Anwar.

    Elon Musk, DS Anwar Ibrahim dijangka rasmikan HQ Tesla di Cyberjaya pada hujung Sept atau Okt ini

    Pada 14 Julai lalu, Anwar mengesahkan Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini. Di mana Elon Musk turut bersetuju untuk membuka HQ Tesla di Cyberjaya.

    Sebelum ini, pada 20 Julai 2023, Tesla telah melancarkan jenamanya di Malaysia menerusi pengenalan Tesla Model Y dan juga kemudahan pengecas Supercharger di Pavilion KL.

    Pada Mac 2023 pula, Menteri MITI Tengku Zafrul mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa. Beliau turut mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.

     
     
  • PLUS jangka peningkatan trafik hingga 1.9 juta kenderaan sehari pada hari puncak menjelang PRN 15

    PLUS jangka peningkatan trafik hingga 1.9 juta kenderaan sehari pada hari puncak menjelang PRN 15

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak di Lebuhraya Utara-Selatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 iaitu antara 11 hingga 12 Ogos ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos 2023 sebagai hari pengundian bagi enam PRN yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    ““Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini. Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh rayaberikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

    Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersiap sedia dari aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

    “Pada masa yang sama, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 hingga 13 Ogos 2023, kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal,” jelasnya.

    Selain itu, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah beroperasi 24-jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.

    “Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.

    “Dalam masa yang sama, para pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu. PLUS juga mendoakan agar semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab anda,” kata beliau.

    Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Sebagai alternatif, ikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, serta melalui stesen-stesen radio tempatan.

     
     
  • Anwar Ibrahim bertemu 24 syarikat pengendali P-Hailing – bincang isu kadar upah penghantaran

    Anwar Ibrahim bertemu 24 syarikat pengendali P-Hailing – bincang isu kadar upah penghantaran

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (P-Hailing) baru-baru ini. Pertemuan tersebut turut disertai oleh Menteri Pengangkutan, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Sumber Manusia serta Pegawai Kanan Kementerian.

    “Semasa sesi ini, saya telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran. Lima orang wakil daripada penghantar turut sama hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.

    “Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling). Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar,” kata Anwar Ibrahim.

    Menurut beliau, setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

    “Kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

    “Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” katanya lagi.

    Tambahnya, ikhtiar ini membuktikan Kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan.

     
     
  • Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Honda Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model Honda City 2023 dalam facelift terbarunya untuk pasaran tempatan, melibatkan beberapa perubahan gaya dan kelengkapan. Sama seperti sebelum ini, lima varian ditawarkan dengan satu daripadanya varian hibrid.

    Empat varian biasa terdiri daripada S (RM84,900), E (RM89,900), V (RM94,900) dan RS (RM99,900) — varian terakhir ini menggantikan penawaran model V Sensing sebelum ini. Varian hibrid pula diwakili oleh e:HEV RS yang dijual pada harga RM111,900 — harga atas jalan tidak termasuk insuran.

    Model petrol biasa dilengkapi enjin 1.5 liter NA empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC yang menjana sebanyak 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm, dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui CVT.

    Bagi varian hibrid pula, ia menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti sebelum ini. Untuk itu, roda depan dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 235 Nm. Kuasa untuk motor elektrik ini diraih dari bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan kepada enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC empat-silinder dengan kitaran Atkinson.

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Enjin hibrid ini sendiri mempunyai kuasa 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan 127 Nm — ia bertindak selaku generator dalam kebanyakan waktu, tetapi boleh juga dimanfaatkan melalui transmisi kelajuan tunggal (E-CVT) untuk memberikan pacuan langsung ke roda dalam kelajuan tinggi untuk lebih cekap tenaga.

    Perlu disebutkan juga varian RS bukan hibridnya dilengkapi dengan brek cakera (dari varian V ke atas), yang mana model V Sensing sebelum ini tidak miliki. Ciri brek parkir elektronik bagaimanapun masih kekal eksklusif untuk model hibrid e:HEV RS sahaja — varian lain hanya menggunakan brek tangan biasa.

    City 2023 ini tampil dengan rekaan gril baru dengan palang krom yang lebih kurus di bahagian atasnya, serta perincian dalamnya dengan jalur hitam. Bampar depan juga baru dengan ruang lampu kabus bentuk baru, serta bahagian bukaan udara bawah dengan perincian yang sama dengan gril utama.

    Bagi model RS, palang krom itu diberikan penyudah hitam dan gril hadir dengan corak honeycomb mesh. Bahagian bukaan di bawahnya turut disertakan dengan bingkai mesh corak berlian. Di belakang, model RS juga diberikan unsur rekaan ala diffuser, spoiler, skirting sisi dan lencana RS baru.

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Dengan rekaan depan dan belakang yang baru ini, CIty menjadi sedikit lebih panjang berbanding model sebelum ini. Model bukan RS kini hadir dengan ukuran panjang 4,580 mm (+27 mm), manakala model RS dengan 4,589 mm (+36 mm). Namun, lebarnya (1,748 mm), tinggi (1,467 mm) dan jarak antara roda (2,600 mm) kekal sama. Untuk ruang but, model bukan hibrid menyediakan 519 liter, sementara model hibrid dengan 410 liter.

    Ruang dalaman pula tidak banyak perubahan. Rekaan papan pemuka masih sama, dengan varian S dan E menggunakan stereng urethane dan tombol gear, serta kerusi balutan fabrik. Varian V dan RS pula diberikan balutan kulit untuk lebih premium.

    Dari segi kelengkapan, varian S yang paling asas dilengkapi dengan rim 15-inci aloi (saiz 185/60), lampu projektor halogen automatik, DRL LED, sistem tanpa kunci dan butang Start dengan kunci automatik ketika menjauhi kenderaan, paddle shifter (baru untuk S), paparan kluster instrumen multi-info 4.2-inci, kawalan pendingin manual (dengan corong belakang), satu slot USB, kamera undur pelbagai sudut dan sistem audio standard dengan Bluetooth dan empat-pembesar suara.

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Varian E pula menerima tambahan penghidup enjin jarak jauh, satu lagi slot USB di depan, dua slot USB di belakang, empat tweeter, kawalan pendingin automatik zon tunggal serta head unit dengan skrin sentuh paparan audio lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian V pula datang dengan tambahan dan perbezaan rim aloi 16-inci (saiz 185/55), lampu utama LED, lampu kabus depan LED dan sistem Honda LaneWatch.

    Bagi RS petrol pula, kelengkapannya sama dengan V, tetapi dengan kelebihan seperti kluster instrumen digital tujuh-inci, pedal sport, telematik Honda Connect serta sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Dengan e:HEV RS pula, ia melibatkan tambahan ciri Auto Brake Hold selepas hadir dengan brek cakera dibelakang.

    Varian tertinggi itu juga merupakan satu-satunya yang lengkap dengan Honda Sensing yang dipertingkatkan, yang mana kini ia melibatkan ciri Low Speed Follow dan Lead Car Departure Notification yang baru. Ciri kedua itu, dengan bersekali dengan Forward Collision Warning, Collision Mitigation Braking System (AEB), Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning, Adaptive Cruiser Control dan Auto High Beam adalah standard untuk semua varian.

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Ini adalah peralihan penting untuk penawaran City, memandangkan Honda Sensing sebelum ini hanya untuk varian V Sensing dan hibrid e:HEV RS sahaja. Beg udara kini juga ada enam sebagai standard untuk semua varian (sebelum ini hanya untuk V ke atas). Sistem pasif lazim yang lain seperti VSA, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, lampu isyarat kecemasan dan Isofix kekal ditawarkan untuk semua varian.

    Model petrol dan e:HEV RS berkongsi tiga warna luaran yang sama, iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl. Pelanggan yang memilih varian petrol ada dua lagi pilihan lain — Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic.

    Honda Malaysia turut menawarkan dua pakej Modulo untuk City 2023. Pakej penuh yang ditawarkan untuk varian S, E dan V memberi tambahan penyudah lebih menarik untuk bahagian apron depan, spoiler depan, sisi dan belakang serta juga spoiler butnya. Ada juga pakej Modula 1.0 untuk semua varian yang hanya melibatkan spoiler bahagian bawah di belakang.

    Honda City facelift 2023 dilancar di M’sia — lima varian termasuk hibrid, Honda Connect, dari RM84,900

    Varian S, E dan V juga boleh dipilih dengan pakej Urban yang merangkumi visor pintu, lampu ruang kaki pemandu, kemasan bingkai pintu dan pedal sport, dengan yang terakhir ini tidak termasuk untuk pakej Urban 1.0 untuk semua varian.

    Lagi satu pilihan tambahan yang ditawarkan ialah pakej Utility yang termasuk penutup kereta, talam ruang barangan, penyusun ruang but, pelindung pemegang pintu dan filem pemantul di panel pintu. Ada juga pakej Protection yang terdiri daripada nut kunci rim dan coating badan dan tingkap serta pakej filem penapis haba (Ray Barrier dari Ecotint), dan dashcam depan dan belakang.

    Jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan kos buruh percuma (terhad untuk lima kali servis dalam tempoh 100,000 km atau lima-tahun) termasuk dalam setiap pembelian. Varian hibrid juga datang dengan jaminan lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya. Honda Connect juga adalah pilihan untuk varian S, E dan V.

    Honda City e:HEV RS 2023

    Honda City RS Petrol 2023 — Perbezaan dari e:HEV

    Gambar rasmi produk

     
     
  • Perodua mohon maaf kekeliruan kod etika pemakaian di pusat servis, akan jalankan siasatan segera

    Susulan daripada reaksi yang diterima di laman media sosial berkaitan notis etika pemakaian yang dirakam di sebuah pusat servis Perodua baru-baru ini, pengeluar kenderaan nasional itu telah mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi berkaitan hal itu.

    Dalam kenyataan ringkas oleh Ketua Pegawai Operasi, Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman menjelaskan:

    “Kod etika pemakaian yang dikeluarkan itu tidak selaras dengan garis panduan rasmi Perodua dan kami kini sedang melakukan siasatan rasm berhubung perkara berkenaan, diikuti dengan langkah pembetulan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi.

    Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang kami hargai di Pusat Servis Perodua berkenaan.” Insiden yang dimaksudkan berlaku di sebuah pusat servis kenderaan Perodua di Kuantan, Pahang.

    Dalam gambar yang dirakam dan dikongsikan di media sosial, notif peraturan pemakaian yang ditunjukkan itu hanya membolehkan pelanggan yang ingin berurusan di pusat servis itu perlu berpakaian formal sahaja, sementara pakaian kasual lainnya — termasuk seperti berseluar pendek — adalah tidak dibenarkan.

    Notis itu bagaimanapun difahamkan bukanlah notis rasmi yang di keluarkan oleh Perodua, dan telah pun diturunkan dan ditarik balik, serta-merta.

     
     
  • Harga minyak 10-16 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 10-16 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 10 hingga 16 Ogos 2023, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Kia K3 2024 tampil di Mexico — pengganti Rio dengan enjin 1.6L dan 2.0L; 6MT, 6AT, ada versi GT-Line

    Kia K3 2024 tampil di Mexico — pengganti Rio dengan enjin 1.6L dan 2.0L; 6MT, 6AT, ada versi GT-Line

    Kia K3 serba baru telah membuat penampilan sulungnya di Mexico sebagai ganti kepada model Rio. Ia bukan pengganti Forte (atau Cerato) yang bersaiz lebih besar, yang turut dijual di sana. Rio generasi keempat sebelum ini sudah berada di sana sejak 2016, dan diberi kemaskini pada 2020.

    K3 ini dihadirkan sebagai sebuah sedan empat-pintu, dengan laporan media di sana menyatakan akan ada juga versi hatchback lima-pintu juga akan diperkenalkan kelak. Rio terdahulu turut ditawarkan dalam kedua-dua gaya badan yang sama seperti itu.

    Dalam bentuk sedan, K3 baru ini lebih besar daripada Rio, dengan ukuran 4,545 mm panjang (+160 mm), 1,765 mm lebar (+40 mm), 1,475 mm tinggi (+15 mm) dengan jarak antara roda 2,670 mm (+90 mm). Ruang but juga lebih besar, dengan K3 menyediakan 544 liter berbanding Rio sedan dengan 387 liter.

    Sekadar latar, Forte sedan di Mexico pula berukuran 4,640 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,450 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,700 mm, sementara ruang but pula seluas 502 liter.

    Kia K3 2024 tampil di Mexico — pengganti Rio dengan enjin 1.6L dan 2.0L; 6MT, 6AT, ada versi GT-Line

    Rekaan bahagian depan K3 mengambil ilham dari model K5 dengan gril “tiger nose” yang diapit DRL yang nampak jelas. Yang tertera dalam gambar ialah model dengan tingkat kemasan GT-Line, dengan rekaan bampar yang lebih agresif.

    Untuk bahagian belakang, lampunya hadir dengan bentuk J khusus dengan jalur lampu di bahagian but dengan rekaan berpetak yang menghubungkan dua kluster terbabit. Sentuhan gaya ala SUV juga boleh dilihat di bahagian body cladding lengkung tayarnya.

    Ruang dalaman pula menerima pembaharuan yang banyak, dengan rekaan papan pemuka lebih ringkas dengan iras yang ada untuk EV6. Kini turut hadir kluster instrumen digital 4.2-inci dalam perumah yang sama dengan skrin sentuh 10.25-inci. Panel di bawah corong udara dan paparan pendingin hawa nampak mirip dengan yang ada pada EV6, dengan adanya sekali kawalan untuk media dan sistem pendiingin dwi-zon di situ.

    Persamaan lain termasuklah rekaan stereng, dan ciri seperti lampu suasana 64-warna, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Bluetooth dengan sambungan dua peranti dan slot USB-C ada tersedia.

    Kia K3 2024 tampil di Mexico — pengganti Rio dengan enjin 1.6L dan 2.0L; 6MT, 6AT, ada versi GT-Line

    Bagi aspek keselamatan, K3 ada enam beg udara, ABS dan ESC, dengan sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS) turut ditawarkan untuk varian tertentu. Ciri ADAS yang ada termasuklah Front Collision Avoidance, Lane Keeping Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-traffic Collision-Avoidance Assist dan Driving Attention Warning.

    Untuk enjin, sedan ini menggunakan unit 1.6-liter petrol empat-silinder sebaris dengan 123 PS, yang digandingkan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan. Bagi GT-Line, ia menggunakan enjin 2.0 liter NA empat-silinder dengan janaan 152 PS dan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan paddle shifter. Enjin 1.4 liter untuk pasaran eksport juga akan ditawarkan.

    Kia K3 dikilangkan di Nuevo Leon, Mexico dan akan dijual di pasaran terpilih bermula suku keempat tahun ini. Kerana pasaran Malaysia juga pernah ada Rio, adakah K3 baru ini juga akan dipasarkan di sini nanti?

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-4R dan ZX-6R akan tiba di Malaysia tahun depan – jangka dipasang CKD dalam negara

    Kawasaki Ninja ZX-4R dan ZX-6R akan tiba di Malaysia tahun depan – jangka dipasang CKD dalam negara

    Bagi peminat motosikal sports, selain bukaan tempahan untuk ZX-25R, ada lagi berita menarik daripada Kawasaki melalui Modenas. Dua lagi model iaitu ZX-4R dan ZX-6R akan tiba tahun hadapan, namun waktu tepatnya masih belum didedah.

    Kita juga boleh menjangka Modenas akan memasang dua model ini di kilang mereka di Gurun, Kedah, mengikut langkah ZX-25R serta pelbagai lagi model seperti Ninja 250, Z250, Versys 650, Ninja 650, Z650 dan Vulcan S. Bukan setakat model bawah 650 cc, Modenas juga memasang model yang lebih besar seperti Z900.

    ZX-4R pertama kali didedahkan kepada dunia awal tahun ini, dan ia menambahkan keterujaan kerana didatangkan dengan enjin empat silinder 399 cc serba baru yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper serta quickshifter, mampu menghasilkan kuasa sehingga 77 PS.

    Kawasaki Ninja ZX-4R dan ZX-6R akan tiba di Malaysia tahun depan – jangka dipasang CKD dalam negara

    Bahagian elektronik motosikal kelas pertengahan ini juga mengagumkan, dengan kelengkapan seperti panel meter TFT 4.3 inci, empat mod tunggangan, dua mod kuasa dan tiga mod sistem kawalan cengkaman KTRC. Kemudiannya bergantung kepada varian, ia boleh datang dengan suspensi Showa boleh laras sepenuhnya depan dan belakang.

    ZX-6R dalam versi yang terkini pula dipacu oleh enjin empat silinder 636 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan sehingga 128 hp. Mencatat berat cuma 176 kg, model ini datang dengan suspensi Showa boleh laras sepenuhnya serta sistem brek daripada Nissin.

    GALERI: Kawasaki ZX-6R 2023

    GALERI: Kawasaki ZX-4R 2023

     
     
  • Perodua Ativa bakal dapat ASA guna radar? Daihatsu Rocky dengan kemaskini ADAS dilihat di Malaysia

    Perodua Ativa bakal dapat ASA guna radar? Daihatsu Rocky dengan kemaskini ADAS dilihat di Malaysia

    Gambar sebuah Daihatsu Rocky dengan Advanced Safety Assist menggunakan radar telah dimuat naik ke Facebook oleh Hassanal Zafar, menunjukkan crossover kompak itu yang berada di kawasan Dengkil, Selangor. Bahagian depan Rocky yang dilihat ini turut menampakkan kedudukan sensor di gril depannya, di bawah logo Daihatsu, kemungkinan besar menempatkan radar di situ.

    Pengenalan Perodua Ativa pada 2021 melibatkan sekali kelengkapan keselamatan ASA 3.0 antaranya dengan ciri amaran pra-perlanggaran, AEB, amaran pergerakan kereta depan, kawalan salah-operasi pedal sebagai ciri standard untuk semua varian.

    Ciri berkenaan pertama kali diperkenalkan pada 2017 untuk Perodua Myvi 2018, dan ASA sejak itu menggunakan tetapan berdasarkan kamera. Rocky yang dilihat ini juga masih mengekalkan perumah kamera yang terletak di cermin besarnya. System berkenaan kemudiannya dikemaskini menjadi versi 2.0 untuk Aruz, dengan ciri operasi pada kelajuan lebih tinggi dan perlindungan pejalan kaki.

    Perodua Ativa bakal dapat ASA guna radar? Daihatsu Rocky dengan kemaskini ADAS dilihat di Malaysia

    Dari segi luaran, Rocky yang dilihat ini tidak berbeza dari segi penampilannya. Sejak pelancarannya, Rocky dilengkapi enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder sebaris dengan janaan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm, dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui D-CVT; tetapan ini juga digunakan oleh Ativa.

    Varian paling baru yang ada ialah Ativa Hybrid, yang diumumkan pada Ogos 2022 dan ditawarkan melalui sistem langganan kepada mereka yang terpilih. Ketika ini, Perodua Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 dalam kemasan X, naik hingga RM73,400 untuk varian AV dengan warna dua-tona metalik istimewa dengan bumbung hitam.