Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kawasaki ZX-25R kini dibuka untuk tempahan – lancar bulan September, dua versi, harga bawah RM40k

    Kawasaki ZX-25R kini dibuka untuk tempahan – lancar bulan September, dua versi, harga bawah RM40k

    Bersempena dengan acara Kawasaki Green Mania yang berlangsug di Gamuda Cove, hari ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) selaku pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk model sports ZX-25R kini sudah dibuka.

    Ketibaan model ini sudah tertangguh agak lama kerana pelbagai sebab, dan akhirnya berita gembira ini sampai bagi peminatnya, dan pelancaran rasmi diberitahu akan berlaku pada bulan September tahun ini. Pasaran Malaysia juga akan menerima dua versi ZX-25R ini, iaitu SE dan RR.

    Harga sebenar untuk ZX-25R ini bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi CEO Modenas, Roslan Roskan memberitahu, ia tidak akan mencecah RM40k. Daripada sumber yang kami dapat, harganya mungkin berada pada sekitar RM34k untuk versi SE dan RM38k untuk versi RR.

    Kawasaki ZX-25R adalah sebuah model sports yang dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, dan jika melihat kepada model pasaran Indonesia, ia boleh menghasilkan kuasa 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

    Model yang akan dibawa ke Malaysia juga adalah versi terbaru yang sudah dilengkapi panel instrumen TFT berwarna penuh dan datang dengan kelengkapan seperti dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC, ABS dual-channel, quickshifter serta brek cakera hadapan floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston.

    Sementara versi SE menggunakan suspensi yang terdiri daripada fork hadapan dengan pelarasan pra beban dan monoshock biasa dengan sekadar larasan pra beban, versi RR pula dinaik taraf dengan fork Showa SFF-BP 37 mm dengan pelarasan pra beban, monoshock Showa BFRC dengan pelarasan pra beban dan mampatan, serta grafik inspirasi daripada pasukan lumba KRT.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE 2023 pasaran Indonesia

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pasaran Indonesia

     
     
  • BMW M2 G87 2023 di M’sia — 460 PS, 0-100 km/j dalam 4.1 saat; standard RM573k, Pro Package RM617k

    BMW M2 G87 2023 di M’sia — 460 PS, 0-100 km/j dalam 4.1 saat; standard RM573k, Pro Package RM617k

    Selepas pelancaran tempatan bagi model BMW M2 G87 Januari lalu, kini versi prestasi tinggi generasi kedua bagi model 2 Series Coupe G42 pula diperkenalkan di sini. M2 hadir dalam dua versi, dengan yang paling asas dijual pada harga RM573,040 atas jalan tidak termasuk insuran. Dengan lebihan RM44,000, pelaggan boleh memiliki M2 dengan Pro Package yang hadir dengan tambahan kelengkapan dan dijual dengan harga RM617,040.

    Harga ini sudah termasuk dengan jaminan dua-tahun standard. Jika ingin dilanjutkan kepada jaminan lima-tahun dan pakej servis, harga M2 biasa naik kepada RM598,800, sementara M2 dengan Pro Package menjadi RM642,800. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan aplikasi BMW Group Loyalty+ — BMW Privileges Card.

    Kedua-dua versi ini berkongsi enjin yang sama — unit S58 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris petrol dengan janaan 460 PS (453 hp atau 338 kW) pada 6,250 rpm dan 550 Nm tork dari 2,650 hingga 5,870 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan M Steptronic dan Active M Differential. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat.

    BMW M2 G87 2023 di M’sia — 460 PS, 0-100 km/j dalam 4.1 saat; standard RM573k, Pro Package RM617k

    Laju maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j, tetapi ini boleh dinaikkan kepada 285 km/j dengan Package M Driver, yang menurut BMW Malaysia ditawarkan sebagai pilihan dan boleh dipasang di mana-mana pengedar sah BMW di seluruh negara. Kelengkapan lain termasuklah suspensi adaptif M dan M Drive Professional, yang menyediakan capaian M Drift Analyser dan M Laptimer Plus kepada pemandu. Turut ada M Traction Control dengan 10 tahap keberkesanan, brek M Compound dengan enam-piston tetap di depan dan piston tunggal apungan di belakang serta sistem stereng kuasa elektrik Servotronic M.

    Kedua-dua versi M2 yang dijual di sini datang dengan lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi, pakej luaran Shadowline M berkilau, rim 20-inci jejari berkembar Style 930 M, pelapik siling anthracite, balutan kulit Vernasca, perincian panel pintu dengan lampu, kawalan pendingin tiga zon, Comfort Access, lampu suasana, pengecas telefon tanpa wayar dan kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori.

    Turut tersedia ialah BMW Live Cockpit Professional yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8 dengan kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci dan head-up display. Android Auto dan Apple CarPlay juga disediakan dengan Connected Package Professional, yang termasuk sekali Remote Services.

    BMW M2 G87 2023 di M’sia — 460 PS, 0-100 km/j dalam 4.1 saat; standard RM573k, Pro Package RM617k

    Alat bantuan pemandu pula ada Driving Assist Package, yang terdiri daripada ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan campur tangan brek (amaran perlanggaran dan pejalan kaki dengan fungsi city braking), Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention serta Speed Limit Info dengan Speed Limit Assistant manual.

    Parking Assistant juga ada, terdiri daripada fungsi Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid dan kamera undur. Juga hadir standard ialah kawalan melayar dengan fungsi brek tetapi bukan kawalan melayar adaptif.

    BMW M2 G87 2023 di M’sia — 460 PS, 0-100 km/j dalam 4.1 saat; standard RM573k, Pro Package RM617k

    Jadi, apa yang membezakan dengan nilai RM44,000 antara kedua-dua versi ini? Jawapannya, Pro Package. Pakej ini datang dengan pakej kemasan luaran Shadowline yang lebih gelap, termasuk sekali perumah lampu utama M Lights Shadowline. Ia juga menyertakan bumbung gentian karbon dan angkup brek yang diwarnakan merah dan bukannya biru. Di dalam, Pro Package menggantikan kemasan dalaman ‘Rhombicle’ anthracite dengan kemasan gentian karbon, dengan tali keledar warna M. Sistem infotainmen pula menggunakan jenama Harman Kardon.

    Pilihan warna luaran yang ditawarkan terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red. Di dalam, balutan kulit Vernasca ditawarkan dalam warna hotam dengan kemasan eksklusif atau jahitan benang biru, atau kulit Cognac Vernasca dengan jahitan berbeza.

     
     
  • BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak, 619 PS/1,100 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k

    BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak, 619 PS/1,100 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan model iX M60, selaku varian keempat penawaran SAV jenama itu di sini selepas xDrive40, xDrive40 Sport dan xDrive50 Sport. Merupakan penawaran tertinggi terbaru model berkenaan, ia merupakan EV kedua yang paling berkuasa oleh BMW ketika ini, dan dijual pada harga RM630,800 atas jalan, tidak bermasuk insuran. Harga yang dinyatakan ini sudah termasuk dengan tempoh lanjutan lima-tahun dan pakej servis. Harga dengan jaminan standard dua-tahun pula ialah RM612,430.

    iX M60 hadir dengan dua motor elektrik, pacuan semua roda dengan janaan maksimum 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan 1,100 Nm. Angka janaan ini bahkan lebih besar berbanding apa yang diberikan oleh xDrive50, dengan output 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm. Namun, angka puncak iX M60 itu hanya boleh dicapai dalam mod Launch. Dalam mod Sport, janaan maksimum kekal dengan 619 PS (610 hp atau 455 kW), tetapi torque dikurangkan kepada 1,015 Nm. Kemudian, dalam mod Personal dan Efficiency, output yang tersedia ialah 540 PS (532 hp atau 397 kW) dan 1,015 Nm.

    BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak, 619 PS/1,100 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k

    Dalam tetapan paling berkuasanya, M60 ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat: satu prestasi yang cukup mengagumkan untuk sebuah kenderaan dengan berat 2.5 tan sepertinya. Laju maksimum yang boleh dicapai pula ialah 250 km/j. Motor elektriknya dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang ditempatkan di bawah lantai dengan kapasiti 105.2 kWh (kapasiti kasar 111.5 kWh).

    M60 ini memberikan jarak sehingga 561 km mengikut kitaran WLTP, 59 km kurang daripada apa yang disediakan oleh varian xDrive50 — sebagai timbal balik terhadap kelebihan prestasinya. Untuk pengecasan, ini BMW EV yang pertama di Malaysia yang datang dengan pengecas dalaman 22-kW AC (Type 2) dan bukannya versi 11-kW yang selalu. Ini membolehkan pengecasannya lebih pantas berbanding xDrive50, dengan 0-100% bateri dalam masa 5.5 jam berbanding 11 jam. Bagi pengecasan pantas DC pula (CCS2), input maksimumnya kekal 195 kW, dengan kadar 0-80% boleh dicapai dalam masa 35 minit.

    Dari segi penampilan, M60 ini hampir sama dengan varian xDrive40 Sport dan xDrive50 Sport, tetapi ada beberapa sentuhan khusus diberikan untuk membezakannya antara mereka. Antaranya ialah rim 22-inci BMW Individual M Aerodynamic Style 1023 dengan penyudah Titanium Bronze 3D eksklusif. Begitu juga dengan lencananya dihadirkan dalam kemasan Titanium Bronze.

    BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak, 619 PS/1,100 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k

    Sembilan pilihan warna luaran ditawarkan untuk M60 — Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic.

    Pelanggan juga boleh memilih daripada dua kemasan dalaman, termasuk Interior Design Suite Amido dan Design Suite Castanea, dilengkapkan dengan konsol tengan Sensatec dan perehat lengan. Kerusi kulitnya pula datang dalam dua rekaan — Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Black; atau Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea.

    Kelengkapan standard terdiri daripada BMW Live Cockpit Professional yang hadir dengan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin tengah 14.9-inci. Sistem infotainmen digerakkan oleh BMW Operating System 8 dan termasuk ConnectedDrive Services dan Connected Package Professional (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay).

    BMW iX M60 2023 kini di M’sia — 561 km jarak, 619 PS/1,100 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat; RM631k

    Ia juga datang dengan angkup brek biru, suspensi udara dua gandar adaptif dengan talaan M, Integral Active Steering (stereng roda-belakang), kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan pendingin empat-zon, pengecas telefon tanpa wayar dan sistem bunyi Bowers & Wilkins Diamond 30-pembesar suara dengan amplifier 1,614 watt.

    Bagi sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, pakej Driving Assistant Professional melibatkan sekali ciri AEB, bantuan kawalan mengekalkan lorong, bantuan had laju automatik, bantuan penukaran lorong, kawalan jarak (kawalan melayar aktif dengan Stop & Go), serta amaran lintasan trafik di depan dan belakang.

    Ciri Parking Assistant Professional, yang diperkenalkan untuk iX tahun lalu, juga menjadi sebahagian daripada kelengkapannya. Sistem berkenaan juga terdiri daripada Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid, Surround View, Remote View 3D dan Parking Drive Off Monitoring, dengan versi Pro melibatkan tambahan Manoeuvre Assistant yang ditambah baik dari ciri Reversing Assistant.

    Ini membolehkannya mengendalikan 10 belokan dengan keseluruhan 600 meter, dengan satu laluan tunggal boleh mencapai 200 meter. Sistem ini membantu pemandu untuk berdepan dengan laluan panjang yang mencabar, dan boleh membetulkan dengan sendiri hingga 30 cm sekiranya ia perlu mengelak hadangan baru yang tiada sebelumnya.

    Semua M60 datang dengan jaminan bateri lapan-tahun, 160-000 km, bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan aplikasi BMW Group Loyalty+ — BMW Privileges Card.

     
     
  • Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Kalau tanya penulis kereta JDM mana yang paling hype sekarang, sudah jawapannya adalah Toyota Corolla AE86. Yang ada simpan majalah lama, selongkah balik tengok – sekitar tahun 2000, AE86 terpakai boleh dibeli pada harga serendah RM15,000.

    Maklumlah, tiada apa yang istimewa dilihat pada AE86 ketika itu. Ia cuma varian lebih sporty bagi kereta yang dibuat untuk marhean iaitu Toyota Corolla, dan bukan dari susur galur kereta sport sejati seperti Celica dan Supra. Tiada apa yang rare pada AE86 kerana ia adalah model produksi massa yang dibuat dari tahun 1983 hingga 1987 dalam jumlah yang sangat banyak iaitu dianggarkan melebihi 360,000 unit (termasuk AE85).

    Walaupun AE86 ini merupakan salah satu model dalam barisan Toyota Corolla generasi kelima (dengan kod casis E8), ia bukannya dibina dengan casis serba baharu. Corolla generasi kelima pada asasnya menggunakan platform serba baharu yang menampilkan konfigurasi enjin depan pacuan depan (FF), namun untuk AE86 dan ‘adiknya’ dengan enjin kurang berkuasa iaitu AE85, ia masih menggunakan platform dari model generasi terdahulu (E7) yang dipertingkat untuk kekal dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang.

    Jadi memang tiada apa yang istimewa pada AE86 ini, sehinggalah manga dan anime Initial D mula menjadi fenomena di seluruh dunia. Initial D mengisahkan seorang budak sekolah tinggi bernama Fujiwara Takumi yang baru berumur 17 tahun, tiba-tiba muncul dalam dunia perlumbaan jalan bukit (disebut sebagai Touge di Jepun) dengan memandu Toyota AE86 di Wilayah Gunma, Jepun.

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Walaupun umurnya sangat muda dan memandu kereta yang berusia dengan kuasa kuda rendah berbanding model-model JDM era 90’an seperti Nissan Skyline GT-R R32, Mazda RX-7 FD3S dan Mitsubishi Lancer Evolution III, Takumi yang dilatih oleh ayahnya – juga bekas pelumba touge – dengan cara unik iaitu menghantar taufu dari kedai ke sebuah hotel di atas Bukit Akina setiap pagi, membolehkan dia menjadi seorang pelumba yang tidak boleh dikalahkan.

    Dengan jalan cerita yang menampilkan kehidupan pelumba jalanan yang agak realistik serta strategi dan teknik perlumbaan sebenar, Initial D telah menjadi sumber inspirasi kepada ramai peminat-peminat automotif terutamanya yang ‘berkiblat’ kan JDM.

    Rahsianya, Initial D mendapat khidmat nasihat teknikal pelumba profesional Jepun, ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya yang juga seorang yang obses terhadap Toyota AE86. Malah banyak kisah-kisah Tsuchiya dari zaman dia berlumba secara haram di jalan bukit sehingga bergelar pemandu profesional turut diadaptasi dalam Initial D.

    Dalam masa yang sama, Keiichi Tsuchiya turut mempromosikan budaya sukan drift dari Jepun (teknik utama dalam Initial D) yang digunakan menerusi pertandingan-pertandingan drift amatur ‘Ikaten’ yang disiarkan menerusi Option Video, dan kemudian berevolusi menjadi pertandingan profesional D1 Grand Prix yang menjadi asas kepada siri-siri perlumbaan drift antarabangsa, termasuk acara yang dianjurkan sendiri oleh Persekutuan Automobil Dunia (FIA) iaitu FIA Intercontinental Drifting Cup yang bermula pada 2017.

    Gabungan fenomena Initial D dan drift, malah AE86 itu sendiri secara realitinya sebuah kereta yang sangat seronok dipandu di jalan berliku dan juga dalam sukan drift telah menyebabkan harganya mula naik sedikit demi sedikit. Tambahan pula semakin lama jumlah kereta ini yang semakin sedikit akibat dimamah usia, AE86 sekarang berada pada tahap harga yang tak masuk akal. Di Malaysia sahaja ada AE86 yang sudahpun terjual pada harga RM160,000!

    Walau bagaimanapun dari keseluruhan produksi AE86 dan AE85, ada satu model edisi istimewa yang dihasilkan secara terhad oleh Toyota. Model tersebut digelar sebagai Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited, yang dihasilkan hanya sebanyak 400 unit sebagai tanda selamat tinggal ketika produksi AE86 dihentikan bagi memberikan laluan kepada model generasi baharu AE92 selepas itu.

    Toyota tidak memberikan sebarang plat nombor produksi istimewa pada kesemua 400 unit AE86 terakhir ini. Namun unit-unit asli Black Limited dapat dikenalpasti menerusi angka 204 untuk kod warna badan (Black Metallic Clearcoat) pada nombor pengenalan chasis (VIN) yang dipaparkan pada plat VIN dan juga pada panel badan di bahagian firewall.

    Tiada perubahan besar yang diberikan pada Black Limited ini berbanding AE86 biasa. Tiada versi Levin untuk model edisi terhad dan kesemua Black Limited ini dihasilkan dalam versi Sprinter Trueno (lampu hadapan jenis flip yang boleh disorok), dan ia diasaskan dari varian GT-Apex.

    Enjin, kotak gear, suspensi dan segalanya berkenaan prestasi masih sama dengan AE86 GT-Apex lain tanpa sebarang perubahan, manakala perincian yang diberikan adalah pada aspek kosmetik semata-mata.

    AE86 Levin dan Sprinter Trueno lazimnya hadir dengan warna badan dua-tona, dengan bahagian bawah berwarna hitam sementara bahagian atas dikenakan warna utama seperti merah, putih, perak dan sebagainya. Namun untuk Black Limited ini, ia satu-satunya AE86 yang keluar dengan skema warna monotone iaitu hitam sepenuhnya.

    Kemudian emblem Trueno di hadapan, serta semua pelakat badan seperti ‘Trueno’ dan ‘Black Limited’ pada bahagian sisi serta “Apex Twin Cam 16” dan “Toyota Sprinter Trueno” di belakang hadir dengan warna emas. Jalur emas juga diberi di sepanjang sisi kereta ini, manakala rim 14-inci OEM “snowflake” Toyota yang turut boleh dijumpai pada model lain seperti Toyota Chaser dan Cresta turut disembur dengan warna emas.

    Perincian lain yang istimewa pada model ini adalah kemasan reflektor merah pada atas lampu belakang yang merentangi pintu tailgate turut diberikan pelekat “Black Limited” berwarna hitam.

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Dalam kabin, apa yang berbeza adalah perkataan “Apex” pada tempat duduk depan turut diberikan sulaman benang emas, kemudian roda stereng menerima jahitan benang dan perkataan “Twin Cam 16” pada butang hon berwarna oren, begitu lampu pada panel meter, jam digital serta pada papan kawalan sistem pendingin hawa diberi suluhan berwarna oren.

    Walaupun tiada apa yang benar-benar istimewa dari segi perincian, Black Limited ini mempunyai nilai sejarah – ia bukan hanya edisi ‘selamat tinggal’ untuk AE86, malah ia merupakan 400 unit terakhir Corolla yang dibina sebagai model pacuan roda belakang.

    Malah dari 400 unit Black Limited yang diproduksi, entah berapa unit sahaja yang wujud lagi di atas muka bumi ini. Faktor-faktor ini menyebabkan AE86 Black Limited ini menjadi buruan pengumpul kereta bukan hanya di Jepun, malah di seluruh dunia, dan harga pasarannya kini telah mencecah sekitar RM350,000!

    Ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon 2020, penulis sendiri sempat melihat salah sebuah Trueno Black Limited ini yang dipamerkan di reruai Gazoo Racing bersama Toyota 86 GT Black Limited (dihasilkan hanya 86 unit sempena produksi model generasi ZN6 ditamatkan).

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Dan jangan tak tahu, dua dari 400 unit berkenaan kini berada di Malaysia! Unit yang anda lihat ini adalah milik Azam Mustafa, dan ia baru sahaja siap direstorasi sepenuhnya, serta sempat menyertai Show & Shine di Art Of Speed 2023 yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai lalu.

    Ini merupakan AE86 kedua yang pernah dimiliki oleh Azam, walaupun ramai rakan-rakan termasuk penulis sendiri yang mengenali Azam sebagai seorang yang fanatik dengan jentera-jentera Honda yang dijana oleh enjin VTEC. Azam membeli AE86 pertamanya ketika berpeluang untuk bermastautin di Jepun pada 2012 hingga 2015.

    Walaupun begitu berminat dengan Honda, AE86 merupakan salah satu kereta impian Azam. Dan peluang ketika menetap sementara di Jepun tidak disia-siakan oleh Azam untuk membeli sebuah AE86 di sana. AE86 pertama yang dibeli oleh Azam kebetulan berwarna hitam, dan kemudian timbul ilham untuk menjelmakan kereta tersebut sebagai klon Black Limited.

    Sebelum pulang ke Malaysia, Azam sempat merasai pelbagai pengalaman bersama AE86 tersebut, antara menghadiri perhimpunan AE86 Day di litar Fuji International Speedway, dan memandu sendiri di Bukit Haruna (nama sebenar Bukit Akina).

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Setelah pulang ke Malaysia dan memandu AE86 tersebut sebagai kereta harian di sini, Azam mengambil keputusan untuk menjualnya. Ini kerana Azam menerusi kenalannya yang berada di Jepun sudah menjumpai dan membeli sebuah AE86 Sprinter Trueno Black Limited asli!

    Sepanjang Azam di Jepun, kami kerap berhubung dan pernah secara berseloroh penulis menyatakan tak mustahil satu hari nanti mungkin dia akan memiliki Black Limited asli (dalam kalangan kawan-kawan pun kenal Azam, kalau dia berkenaan memang selalu dia akan dapat dengan macam-macam usaha). Dan tak sangka masin mulut, Azam benar-benar berjaya bawa pulang AE86 tahap unicorn ini dari Jepun ke Malaysia.

    Kereta berkenaan sebelum ini dimiliki oleh seorang rakyat Australia yang juga menetap di Jepun waktu itu. Ketika bersama pemilik lama, Black Limited asli berkenaan sudah pun disumbatkan dengan enjin 4A-G yang lebih moden diambil dari Corolla Levin/Sprinter Trueno AE111, iaitu dari versi ‘Black Top’ 20 injap yang datang dengan sistem individual throttle body (ITB) dari kilang.

    Namun enjin berkenaan tidak berada dalam kondisi yang baik, begitu juga badannya yang mula dijangkiti karat. Apabila sampai ke Malaysia, kereta berkenaan diserahkan kepada seorang kenalan Azam yang berada di Perak untuk memulakan restorasi.

    Walau bagaimanapun atas sebab-sebab kesihatan mekanik berkenaan, projek tersebut terbengkalai selepas dua tahun. Azam kemudiannya membawa balik Black Limited ini ke Kuala Lumpur, dan projek ini diserahkan kepada ‘sifu’ AE86 di Malaysia iaitu CK Chan. Tiga tahun kemudian, inilah hasilnya, sebuah AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited dengan kondisi sama seperti yang penulis lihat di TAS2020!

    Seperti yang boleh anda lihat, badan kereta ini dibina semula dengan begitu teliti, dan pemasangan komponen seperti pintu, bonet, pintu but belakang semuanya dibuat benar-benar selari. Bukan itu sahaja, malah perincian lain seperti unit-unit lampu, cermin sisi dan lain-lain nampak seperti baru keluar dari kotak.

    Untuk pelekat-pelekat badan, Azam sebenarnya berjaya mendapatkan set pelekat asli baru Black Limited yang datang dengan nombor komponen Toyota. Namun set pelekat berkenaan tidak digunakan, sebaliknya ia menjadi ‘master copy’ untuk menghasilkan beberapa set pelekat yang turut disimpan untuk digunakan pada masa akan datang sekiranya perlu.

    Azam memilih untuk tidak memadankan set rim asli Black Limited, dan memilih set rim ‘pisang’ RS Watanabe asli yang lengkap dengan penutup tengah. Set dengan diameter 14-inci dan lebar 8jj berkenaan adalah dari jenis R Type, iaitu dihasilkan dengan bibir yang agak lebar, sesuai dengan kereta-kereta klasik Jepun dari era 60’an hingga 80’an.

    Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

    Rim berkenaan dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova bersaiz 185/60R14. Dan ia dipasang pada kesemua hub roda menggunakan set nat asli juga dari RS Watanabe. Bagi mendapatkan stance yang cantik dan juga pengendalian lebih baik, badan kereta ini direndahkan dengan penggunaan set penyerap hentak boleh laras dari Greddy yang lengkap dengan pillow ball pada sebelah depan.

    Berbalik pada enjin, Azam menggantikan enjin Black Top yang sudah rosak berkenaan dengan enjin Black Top yang lain. Tiada apa ubahsuai yang dilakukan terhadap enjin berkenaan kecuali menggunakan velocity stack (atau selalu disebut sebagai trumpet) untuk setiap ‘mulut’ ITB tersebut, dan kepala enjin dibuka untuk dibuat proses top overhaul.

    Bagi yang masih belum tahu, ada sedikit pengubahsuai yang perlu dilakukan untuk memasukkan enjin Black Top yang asalnya memacu roda hadapan ini ke badan AE86 yang memacu roda belakang, iaitu kedudukan unit pengagih (distributor) sistem penyalaan. Ini kerana dengan kedudukan asal, pengagih berkenaan tidak muat untuk diletakkan kerana kepala enjin berada terlalu hampir dengan firewall. Jadi ia perlu dipindahkan ke bahagian hadapan iaitu pada pulley aci sesondol dengan menggunakan kit khas.

    Selain itu, Azam juga telah menggunakan set extractor dari Toda Racing yang turut dibalut dengan penebat haba. Jadi sekurang-kurangnya Black Limited milik Azam ini sekarang bernafas dengan kuasa 165 PS dan tork maksima 162 Nm, berbanding enjin asal 4A-GE 16 injap yang hanya menghasilkan kuasa 130 PS dan tork maksima 149 Nm.

    Kotak gear T50 lima-kelajuan manual pada AE86 ini juga kekal standard tanpa sebarang pengubahsuaian bagi menghantar kuasa ke ganda belakang. Selain itu, ada juga tangki aluminium kembar buatan tangan yang dihasilkan oleh Takahashi-san dari Running Free (taip runningfreeae86 di instagram, dan bersedia untuk teruja) yang berfungsi sebagai oil catch tank dan tangki tambahan untuk cecair penyejuk radiator.

    Tipikal sebuah kereta Jepun era 90’an, walaupun badan kereta ini adalah jauh lebih kecil berbanding kereta-kereta moden, kabinnya masih terasa luas. AE86 direka dengan posisi pemanduan yang cukup baik – sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu, kedudukan tombol gear dan stereng sudah cukup membuatkan rasa membuak untuk memandu.

    Tambahan pula dengan AE86 yang dilengkapi ITB yang memberikan bunyi induksi yang mengasyikkan, serta dipadankan dengan short shifter pada tuil gear yang memberikan rasa tukaran gear sangat mekanikal pada Black Limited milik Azam ini, seperti ada suara yang membisik untuk terus memandu kereta ini dengan laju.

    Kabin AE86 Black Limited ini direstorasi hampir standard kesemuanya, tanpa sebarang ubahsuai-ubahsuai mengarut. Tiada sebarang meter tambahan, dan kesemua tempat duduk juga masih asal dan kelihatan seperti sebuah kereta yang disimpan di muzium.

    Kebiasaannya, tempat duduk asal AE86 akan bermasalah pada bahagian penutup plastik bahagian belakang yang selalunya akan ‘reput’. Untuk tempat duduk ini, CK Chan telah menghasilkan semula penutup tersebut, siap dengan jaring baharu pada bahagian berkenaan (hanya Black Limited yang mempunyai jaring ini). Malah larasan lumbar dan juga sokongan peha yang menggunakan pam angin pada tempat duduk pemandu masih lagi berfungsi.

    Selain itu, CK turut menghasilkan ‘karpet bulu’ berwarna merah secara custom untuk Black Limited ini, yang menyerupai aksesori asli ditawarkan oleh Toyota dahulu. Bukan hanya dalam kabin, perhatian turut diberikan pada but belakang – anda boleh lihat segala karpet, penutup tayar gantian dan juga peralatan untuk menukar tayar asal masih lagi ada.

    Secara keseluruhan, Azam telah menghabiskan masa selama lima tahun untuk menyudahkan projek ini. Itu baru masa, belum masuk lagi segala kesusahan untuk mencari semula komponen-komponen asli AE86 yang semakin pupus, tambahan pula ini merupakan model edisi terhad dengan beberapa komponen yang berbeza dengan versi biasa. Duit jangan ceritalah, dah tentu mengalir macam air.

    Tapi hasilnya anda boleh lihat. Dengan plat “Trueno 3 Door” yang dipasang pada hadapan dan belakang kereta ini, ia seolah-olah model die-cast keluaran Autoart dalam skala 1:1!

     
     
  • Toyota Fortuner GR Sport 2023 dinaiktaraf di Thai – 2.8L turbodiesel dengan 224 PS, 550 Nm; dari RM254k

    Toyota Fortuner GR Sport 2023 dinaiktaraf di Thai – 2.8L turbodiesel dengan 224 PS, 550 Nm; dari RM254k

    Toyota Fortuner GR Sport untuk tahun 2023 bagi pasaran Thailand telah pun diberikan peningkatan dan kini ditawarkan pada harga bermula 1.939 juta baht (RM253,765), lebih mahal berbanding ketika ia dilancarkan dua tahun lalu.

    Dengan kenaikan harga mencecah 20,000 baht (RM2,617), pelanggan di Thailand kini boleh mendapatkan SUV ini dengan bumbung hitam yang kontras dengan warna badan sama ada dalam pilihan Emotional Red atau Platinum White Pearl – dengan pilihan ketiga adalah warna monotone Attitude Black Mica.

    Perubahan terbesar yang diberikan untuk Fortuner GR Sport ini melibatkan enjinnya, dengan unit 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder sebaris yang dinaiktaraf kini dengan hamburan kuasa cecah 224 PS (221 hp) pada 3,400 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm – sama dengan Hilux GR Sport bagi pasaran Australia. Sebelum ini, enjin tersebut menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp) dan 500 Nm, jadi ada peningkatan sebanyak 20 PS (20 hp) dan 50 Nm.

    Unit 1GD-FTV ini masih dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan empat-roda separuh-masa dengan penggunaan pedal penukar gear. Bukan itu sahaja, Fortuner GR Sport ini juga diberikan sokongan tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Selain daripada itu, ciri lain masih dikekalkan. Fortuner GR Sport masih didatangkan dengan penggayaan luaran spesifik GR, monotube dampers, brek spesifik GR, roda 20-inci, pedal aluminium serta tempat duduk sport, butang penghidup enjin dan kunci jenama-GR

    Ciri lain yang turut dikekalkan termasuklah lampu utama LED automatik, upholstery kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, paparan kluster instrumen pelbagai-info 4.2-inci, unit utama skrin sesentuh sembilan-inci, tailgate kuasa dengan akses bebas-tangan, pengecas telefon tanpa wayar, tujuh beg udara, paparan pandangan panoramik dan Toyota Safety Sense.

     
     
  • Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

    Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

    Ducati Scrambler generasi kedua yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan tempahan untuknya juga sudah dibuka. Versi permulaan iaitu Icon ditawarkan pada harga RM62,900 sementara versi Full Throttle dan Nightshift dijual pada harga RM69,900 tidak termasuk insurans.

    Penampilan ikonik Scrambler masih dikekalkan pada model baru ini, tetapi ia mendapat perincian baru, termasuk lampu hadapan (kini unit LED penuh dengan DRL LED), lampu belakang (LED), tangki (13.5 liter), panel tepi serta rim (masih lagi bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang).

    Selain tiga warna asas yang disediakan untuk versi Icon (kuning, hitam dan merah), pemilik juga boleh menukar penampilan motosikal ini dengan mendapatkan panel yang disediakan dalam enam pilihan warna. Full Throttle cuma datang dalam warna merah/hitam sementara Nightshift pula hanya disediakan dalam warna biru gelap.

    Secara keseluruhannya, Scrambler generasi baru ini empat kilogram lebih ringan berbanding sebelum ini, dan ia adalah hasil daripada casis serba baru serta enjin yang lebih ringan. Lengan ayun juga adalah baru, sementara kedudukan penyerap hentak belakang diubah lebih dekat kepada titik tengah motosikal.

    Enjin Desmodue dua silinder L 803 cc penyejukan udara yang sama masih digunakan pada Scrambler generasi kedua, tetapi ia telah dipertingkat untuk menjadikan berat keseluruhannya berkurang 2.5 kg. Transmisi enam kelajuan pada motosikal ini dinaik taraf dengan klac lapan cakera baru, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Buat pertama kalinya, sistem ride-by-wire diperkenalkan kepada Scrambler, dan hasil daripada itu, ia dapat menyediakan dua mod tunggangan (Road dan Wet), kawalan cengkaman, Cornering ABS serta quickshifter (pilihan tambahan bagi Icon dan Nightshift, standard bagi Full Throttle).

    Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

    Turut dinaik taraf adalah panel instrumen, dengan sekarang Scrambler mendapat skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh. Dalam keadaan standard ia boleh memaparkan pelbagai informasi, tetapi sistem sambungan kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain perkara yang dinyatakan di atas, setiap versi Scrambler generasi kedua ini juga menerima peningkatan khas masing-masing. Bagi Icon, ia mendapat bentuk pemegang baru yang lebih rendah dan dekat kepada penunggang, bentuk tempat duduk baru dan panel tepi warna hitam.

    Full Throttle yang disediakan sebagai pilihan paling berprestasi datang secara standard dengan quickshifter, balutan tempat duduk sports, panel nombor di tepi, pelindung bawah enjin, pelindung ekzos warna hitam, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu, ekzos Termignoni serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance.

    Nightshift yang lebih elegan juga datang dengan panel nombor tepi, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance, tetapi dijadikan lebih istimewa dengan rim spoked, tempat duduk balutan kulit, pemegang jenis khas serta cermin sisi di hujung bahagian pemegang (bar-end mirror).

    Kelengkapan lain Scrambler generasi kedua ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk fork hadapan USD 41 mm Kayaba, monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 330 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    GALERI: Ducati Scrambler Icon 2023

    GALERI: Ducati Scrambler Full Throttle 2023

    GALERI: Ducati Scrambler Nightshift 2023

     
     
  • Penutupan Jalan Sungai Besi, Bulatan Loke Yew dan Bulatan Pudu selama setahun ditangguhkan – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penutupan Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

    Walau pun tidak memaklumkan alasan penangguhannya, DBKL berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan berkenaan seperti biasa.

    Beberapa hari lalu, DBKL telah mengumumkan laluan berkenaan akan ditutup selama setahun mulai 5 Ogos 2023. Penutupan jalan terbabit dilaksanakan bagi kelancaran kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew dijalankan.

    Ia juga melibatkan jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew yang akan ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh sama. Ia bagi membolehkan kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.

    Jadi, pengguna yang sering menggunakan laluan terlibat tidak perlu lagi gusar terpaksa mengadap kesesakan trafik berganda (sekiranya laluan berkenaan ditutup dalam tempoh masa yang lama). Boleh lalu jalan berkenaan seperti biasa. Mungkin DBKL sedang mencari jalan terbaik untuk menyediakan laluan alternatif memandangkan laluan yang direncana akan ditutup itu antara jalan yang paling sibuk di tengah bandaraya KL.

     
     
  • Berhenti melepasi garisan putih di lampu isyarat, anda boleh di saman RM2,000 atau penjara enam bulan

    Berhenti melepasi garisan putih di lampu isyarat, anda boleh di saman RM2,000 atau penjara enam bulan

    Mengguna jalanraya yang memberhentikan kenderaan mereka melepasi garisan putih di lampu isyarat boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjara enam bulan, menurut amaran yang dikeluarkan oleh polis yang sedang menjalankan Ops Garisan Putih untuk menangkap pengguna lalulintas yang melakukan kesalahan tersebut, lapor The Star.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Nasri Omar, pengguna tidak boleh melepasi garisan putih dan menghalang laluan pejalan kaki ketika berhenti di lampu isyarat, mengikut Fasal 38, Peraturan Lalulintas Jalan (LN166/1959).

    “Peraturan tersebut menyatakan yang kenderaan tidak boleh membiarkan kenderaan mereka, atau sebahagian daripadanya, berhenti di kawasan pejalan kaki melainkan mereka dihalang daripada bergerak disebabkan keadaan yang bukan dalam kawalan mereka untuk mengelak kemalangan,” ujar Mohd Nasri.

    “Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih daripada enam bulan,” tambah beliau, dan menjelaskan yang kesalahan itu akan menyebabkan kesesakan, malahan ada juga yang menyebabkan kemalangan.

    Pada 28 Julai lalu, JSPT Bukit Aman mengumumkan pelaksanaan enam operasi khas untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya. Operasi berkenaan disasarkan untuk menangkap pesalah di lampu isyarat, nombor plat tidak sah, menghalang lalu lintas dan parkir haram.

     
     
  • Subaru Levorg Layback muncul dalam teaser untuk Jepun – wagon bergaya SUV dengan ciri tersendiri

    Subaru Levorg Layback muncul dalam teaser untuk Jepun – wagon bergaya SUV dengan ciri tersendiri

    Subaru telah mula menyiarkan teaser untuk model baru yang dipanggil sebagai Levorg Layback, iaitu satu varian bagi wagon dengan gaya SUV tersebut. Ia akan didedahkan secara penuh sekitar bulan September ini, dan seterusnya akan dibuka untuk tempahan pada 7 September.

    Ini bagaimanapun adalah untuk pasaran Jepun, dan menurut Subaru, model ini dibangunkan untuk pasaran negara itu dan dinyatakan sebagai sebuah “SUV unik.” Laman web Best Car Web dari Jepun melaporkan nama Layback itu diambil daripada perkataan “laid back” atau bermaksud santai. Kedudukannya mungkin terletak di antara Outback dan Forester dalam barisan model Subaru.

    Berdasarkan gambar yang didedah, Layback akan mendapat gril sendiri dengan rekaan berlainan di dalamnya, serta kemasan seperti aluminium yang menyambungkan kedua lampu LED di hadapannya. Bampar juga adalah berlainan dengan bukaan udara yang lebih jelas, manakala kemasan keliling lengkuk roda dilihat menggunakan plastik warna hitam. Satu gambar bahagian dalamnya juga menampakkan tempat duduk yang dibalut kulit dua tona warna.

    Perincian lain tidak dijelaskan, tetapi kita boleh menjangkakan tetapan suspensi yang ditala semula bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. Levorg memang datang dengan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive, dan dipadankan bersama transmisi CVT serta enjin sama ada unit boxer turbo empat silinder 1.8 liter atau 2.4 liter.

    Enjin 1.8 liter itu mampu menghasilkan kuasa 177 PS (174 hp) dan 300 Nm, manakala enjin 2.4 liter yang digunakan pada versi WRX menghasilkan 275 PS (271 hp) dan 375 Nm. Sama-sama kita nantikan pengenalan rasminya nanti untuk mengetahui enjin apa sebenarnya yang akan digunakan pada Levorg Layback ini.

     
     
  • Polis kesan taktik terkini scammer hantar e-mel ‘kompaun dan saman lalu lintas’ kepada orang ramai

    Polis kesan taktik terkini scammer hantar e-mel ‘kompaun dan saman lalu lintas’ kepada orang ramai

    Pelbagai jerat dan taktik digunakan oleh sindiket penipuan atau scammer untuk memperdayakan mangsanya. Terkini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesan scammer menggunakan taktik dengan menghantar e-mel palsu kepada orang ramai yang mendakwa kononnya dikenakan kompaun dan saman lalu lintas.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, taktik itu dihantar secara meluas kepada e-mel individu dengan menggunakan logo rasmi PDRM bagi memperdaya masyarakat, laporan Harian Metro.

    “Halaman itu memaparkan notifikasi bahawa individu terbabit memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera. E-mel itu juga mendakwa sekiranya ‘saman’ itu tidak dijelaskan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

    Tambah beliau, e-mel itu turut menyatakan dan meminta pengguna membayar sejumlah wang secara dalam talian atau kandungan, melalui pautan yang turut disertakan menerusi e-mel berkenaan.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket penipuan. Adalah ditegaskan bahawa tiada sebarang transaksi pembayaran daripada pihak polis dilakukan melalui e-mel seumpama itu,” katanya.

    Ingat, jangan mudah terperdaya dan terjerat dengan ‘jerangkap samar’ scammer yang mempunyai pelbagai taktik ini. Jika anda mendapat e-mel, mesej atau panggilan telefon seumpamanya, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa. Dan jangan sesekali menekan pautan yang mencurigakan, takut hilang semua duit simpanan anda di dalam bank.

     
     
  • RM73.45j dibelanjakan dalam enam bulan pertama 2023 baiki lubang di jalan raya persekutuan – KKR

    RM73.45j dibelanjakan dalam enam bulan pertama 2023 baiki lubang di jalan raya persekutuan – KKR

    Sebanyak RM73.45 juta telah dibelanjakan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara termasuk membaiki jalan raya berlubang, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR).

    Kata menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, selain itu peruntukkan berkenaan membabitkan penyelenggaraan antaranya membabitkan tiang lampu dan pembahagi jalan, laporan Berita Harian.

    “Kos yang sudah dibelanjakan itu adalah sebahagian daripada RM217.8 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi My Jalan bagi kerja berkenaan. Sebanyak 2,950 jalan berlubang sudah dibaiki sehingga 30 Jun lalu termasuk penyelenggaraan guardrail, papan tanda, garis jalan yang pudar, longkang dan pembentungan serta kerja pemotongan pokok.

    “KKR sedang merangka kempen My Jalan merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama seperti jalan, lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya. Kita mahu berkempen berorientasikan tindakan berlandaskan konsep action speaks louder than words,” katanya.

    Selain itu, KKR sedang menaiktaraf aplikasi khas untuk sistem aduan sedia ada bagi memudahkan aduan berhubung jalan rosak dibuat. Di mana aplikasi berkenaan dapat memberikan lokasi tepat isu jalan rosak yang dihantar oleh pengadu.

    “Aduan awam juga digalakan dan kementerian sedang berusaha menyediakan satu saluran aduan pusat sehenti yang dapat memudah dan melancarkan proses aduan, ia akan dilancarkan juga melalui kempen ini,” katanya.

     
     
  • Triumph mulakan teaser motocross serba baru yang sedang dibangunkan – episod pertama tunjuk casis

    Triumph mulakan teaser motocross serba baru yang sedang dibangunkan – episod pertama tunjuk casis

    Berita Triumph sedang membangunkan jentera motocross sendiri telah mula diumumkan pada tahun 2021, tetapi sekian lama, kita masih belum dapat melihat hasilnya. Sekarang, pengeluar dari United Kingdom tersebut sudah bersedia untuk menunjukkan kepada orang awam, tetapi bermula dengan video sedikit demi sedikit bahagiannya.

    Video pertama ini menunjukkan bahagian casis, di mana Triumph membuat keputusan untuk menggunakan aluminium, dengan salah seorang bekas pelumba motocross yang terlibat dengan pembangunan motosikal ini menyatakan bahan itu dipilih berbanding besi kerana memberikan prestasi menyeluruh yang terbaik, termasuk untuk cengkaman, fleksibiliti, ketegaran dan stabiliti.

    Motosikal ini dibangunkan oleh Triumph bermula dari kosong, mereka mahukan sesuatu yang unik tanpa meniru pengeluar lain, dan mahukan motosikal tersebut berada di tahap yang terbaik sebelum dapat didedahkan kepada orang ramai.

    Kerangka motocross Triumph ini juga diberitahu dikimpal secara penuh menggunakan tangan, tanpa melibatkan robot, dan mempunyal aspek pelarasan yang luas supaya setiap motosikal dapat dilaras dan ditala mengikut kesesuaian penunggang.

    Dalam masa beberapa minggu ke hadapan, Triumph akan mengeluarkan beberapa lagi video berkenaan jentera motocross baru mereka ini, dan Ricky Carmichael memberitahu ia mungkin bakal menampilkan kisah tentang enjin atau mungkin juga anda boleh melihat motosikal tersebut dibelasah.

     
     
  • Cawangan JPJ diarah turunkan notis ‘tiada lagi cukai jalan fizikal’, pelekat masih dikeluarkan – Loke

    Cawangan JPJ diarah turunkan notis ‘tiada lagi cukai jalan fizikal’, pelekat masih dikeluarkan – Loke

    Cawangan JPJ yang telah meletakkan notis menyatakan cetakan fizikal cukai jalan untuk kenderaan persendirian tidak lagi dikeluarkan oleh jabatan itu diarah untuk menurunkannya serta merta.

    Menteri pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh pengarah JPJ, Rospiagos Taha kepada cawangan yang menyatakan cukai jalan (atau lesen kenderaan motor, LKM) fizikal tidak akan dikeluarkan lagi bermula 1 Ogos dan pelanggan seharusnya memperbaharui cukai jalan mereka atas talian menggunakan aplikasi MyJPJ.

    Mengikut laporan The Star, Loke menyatakan bahawa pelekat cukai jalan masih lagi dikeluarkan. “Beberapa cawangan kehabisan stok dan meletakkan notis cukai jalan fizikal tidak tersedia, tetapi ini bukanlah keputusan polisi. Kami mengambil tindakan pantas setelah mengetahui cawangan kehabisan stok, dan terus memesan stiker baru,” kata beliau.

    Cawangan JPJ diarah turunkan notis ‘tiada lagi cukai jalan fizikal’, pelekat masih dikeluarkan – Loke

    Beliau berkata, kementerian masih belum menetapkan tarikh muktamad untuk peralihan penuh kepada cukai jalan digital (e-LKM) dan pemilik kenderaan masih mempunyai pilihan untuk terus menggunakan pelekat cukai jalan fizikal. Beliau menambah, statistik JPJ mendedahkan hanya 30% pemilik kenderaan menggunakan cukai jalan digital sekarang.

    “Tapi akan tiba waktu kita akan beralih sepenuhnya kepada digital. Tiada keputusan dibuat setakat ini,” kata Loke. Beliau turut menambah bahawa ia mungkin mengambil masa enam bulan ke satu tahun sebelum cukai jalan digital dilaksanakan sepenuhnya.

    Pada bulan Februari, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi memaparkan cukai jalan pada cermin kenderaan mereka, bermula 10 Februari 2023, dan boleh memilih untuk menggunakan versi digital. Beliau berkata peralihan kepada digital dapat mengurangkan kesesakan di pejabat cawangan JPJ dan kaunter sehingga 80% dan menjimatkan kerajaan sekitar RM96 juta untuk kos pencetakan.

     
     
  • Aplikasi Shell Asia kini di Malaysia — bayar minyak, kumpul mata ganjaran, dihubung dengan BonusLink

    Aplikasi Shell Asia kini di Malaysia — bayar minyak, kumpul mata ganjaran, dihubung dengan BonusLink

    Aplikasi mudah alih Shell Asia kini tersedia untuk digunaan oleh pelanggan Shell di Malaysia, bagi kedua-dua platform Apple iOS dan Android. Untuk mula menggunakannya, perlu ada kad BonusLink bagi tujuan pendaftaran aplikasi Shell Asia.

    Bagi mereka yang tiada kad BonusLink, aplikasi ini akan mewujudkan versi digital untuk anda teruskan pendaftaran. Mata yang dikumpulkan di sini boleh digunakan untuk Katalog Hadiah, di mana pengguna boleh menebus baucar untuk makanan dan minuman di cawangan Shell yang terlibat.

    Ketika ini, bayaran untuk isian minyak melalui aplikasi tersebut boleh dilakukan menggunakan kad kredit atau debit, dan fungsi bayaran ini boleh digunakan di cawangan Shell terlibat seluruh Malaysia. Dalam tab “Station” di bahagian bawah skrin, anda akan dapat mengetahui peta sekitar dan stesen Shell mana yang terdekat dengan anda.

    Butang “Filter” warna kuning pula membolehkan pengguna mencari stesen Shell oleh Shell App, kedai Select, kedai deli2go, cawangan Costa Coffee serta untuk servis cucian kereta, menukar minyak enjin, kereta dan motosikal, operasi 24 jam, ATM, surau dan kemudahan pengisian dengan Touch ‘n Go RFID.

    Fungsi penapis berkenaan juga boleh digunakan untuk memperkecil carian bagi stesen Shell yang ada jenis minyak yang diinginkan, sebagai contoh V-Power 97, V-Power Racing, FuelSave Diesel Euro 5 B7 serta stesen pengecas Shell Recharge EV.

    Aplikasi Shell Asia kini di Malaysia — bayar minyak, kumpul mata ganjaran, dihubung dengan BonusLink

    Bagi pengecasan EV, aplikasi Shell Asia boleh mengenal pasti lokasi stesen pengecas, tetapi tidak mempunyai pilihan untuk mengaktifkan pengecasan. Untuk melakukan itu, pengguna EV perlu merancang untuk mengecas di lokasi Shell terlibat masih perlu menggunakan aplikasi ParkEasy (Shell Malaysia mempunyai pegangan 50% dalam syarikat penyedia servis itu, Pixelbyte).

    Melihat kepada namanya, aplikasi ini sepertinya tidak hanya dibangunkan untuk kegunaan di Malaysia, kerana ketika memuat turun, pengguna terlebih dahulu perlu memilih negara mereka (turut tersenarai iaialh India, Indonesia, Oman dan Singapura). Akan ada lebih banyak fungsi yang diperkenalkan untuk aplikasi ini, seperti yang dicadangkan oleh mesej “Stay Tuned” dalam tab “Exclusive Offers” di dalam laman Rewards, serta di tab “Offers” juga.

    Pautan: Shell Asia on Apple App Store
    Pautan: Shell Asia on Google Play Store

     
     
  • Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch telah membuka sebuah kemudahan semikonduktor canggih di Pulau Pinang untuk menjalankan ujian bagi cip dan sensor automotif keluaran jenama itu. Merangkumi keluasan tanah 100,000 meter persegi, tapak kemudahan baru itu meliputi 18,000 meter persegi bilik bersih, ruang pejabat serta makmal R&D untuk menempatkan sehingga 400 pekerja menjelang pertengahan 2030.

    Pengeluaran semikonduktor terbahagi kepada dua seksyen, iaitu pengeluaran baris depan dan pengeluaran baris belakang. Kemudahan di Pulau Pinang ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi Bosch di Asia Tenggara dan akan memberi tumpuan utama terhadap pengeluaran baris belakang, iaitu ujian akhir untuk cip yang dikilangkan oleh Bosch di Dresden, Jerman.

    “Semikonduktor adalah asas kepada semua teras perniagaan Bosch. Kemudahan baris belakang di Pulau Pinang ini merupakan komponen utama bagi strategi pertumbuhan kami dalam sektor mobiliti sebagai maklum balas terhadap meningkatnya permintaan terhadap semikonduktor.

    “Kami pilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan berkaitan semikonduktornya tinggi, serta adanya tenaga kerja mahir. Kedekatan dengan rakan niaga dan pelanggan juga antara kelebihan lainnya, kerana itu akan menjimatkan masa dan jarak serahan cip,” ujar wakil dari Bosch yang bertanggungjawab untuk bahagian operasi, Klaus Maeder.

    Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch dengan cara sistematik sedang memperluas aktiviti semikonduktornya di peringkat global untuk menampung permintaan terhadap cip, dengan Malaysia menjadi pemain utama dalam pasaran. “Menurut laporan berita tempatan, Malaysia merupakan satu daripada 10 pengeluar semikonduktor dan produk elektronik utama, terlibat dengan hampir tujuh peratus perdagangan semikonduktor dunia,” jelas Bosch dalam kenyataannya.

    Negara ini juga menjadi hab penting bagi rantaian bekalan semikonduktor global untuk Bosch dan dianggarkan meliputi sekitar 13% pengeluaran baris belakang global. Untuk itu, pembekal teknologi dari Jerman ini berhasrat melabur sekitar 350 juta Euro (RM1.62 bilion) di tapak baru ini sehingga pertengahan 2030 nanti.

    Setakat 31 Disember 2022, Pulau Pinang menjadi pilihan utama bagi kemudahan pengilangan bagi Bisch di Asia Tenggara, dengan keseluruhan 4,200 pekerja dengan nilai pelaburan hampir 86.2 juta Euro (RM400 juta).

     
     
  • DBKL tukar nama laluan bas GOKL mulai Ogos 2023

    DBKL tukar nama laluan bas GOKL mulai Ogos 2023

    Mulai Ogos 2023, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menukar nama laluan bagi perkhidmatan bas GOKL, daripada menggunakan warna kepada model nombor. Di mana pertukaran tersebut melibatkan 14 laluan bagi memudahkan penumpang mengingati nama laluan berbanding penggunaan warna yang dilihat rumit dan mengelirukan.

    “Nama warna akan dikekalkan di hujung nama laluan bagi tempoh masa sementara untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai,”kata DBKL dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pertukaran nama laluan berkenaan adalah seperti berikut:

    • Laluan Hijau (KLCC – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 01 KLCC – Bukit Bintang (HIJAU)
    • Laluan Ungu (Hab Pasar Seni – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 02 Hab Pasar Seni – Bukit Bintang (UNGU)
    • Laluan Merah (Hab Titiwangsa – KL Sentral) ditukar kepada GOKL 03 Hab Titiwangsa – KL Sentral (MERAH)
    • Laluan Biru (Hab Titiwangsa – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 04 Hab Titiwangsa – Bukit Bintang (BIRU)
    • Laluan Jingga (Hab Titiwangsa – MINDEF) ditukar kepada GOKL 05 Hab Titiwangsa – MINDEF (OREN)
    • Laluan Merah Jambu (PPR Pantai Ria – LRT Universiti) ditukar kepada GOKL 06 PPR Pantai Ria – LRT Universiti (MERAH JAMBU)
    • Laluan Biru Firus (LRT Dato’ Keramat – Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) ditukar kepada GOKL 07 LRT Dato’ Keramat – Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) (BIRU FIRUS)
    • Laluan Merah Manggis (MRT Kampung Batu – Chow Kit) ditukar kepada GOKL 08 KTM / MRT Kampung Batu – Chow Kit (MERAH MANGGIS)
    • Laluan Coklat LRT Sri Rampai – Sek 10 Wangsa Maju) ditukar kepada GOKL 09 LRT Sri Rampai – Sek 10 Wangsa Maju (COKLAT)
    • Laluan Hijau Serindit (Terminal Maluri – Bandar Sri Permaisuri) ditukar kepada GOKL 10 Terminal Maluri – Bandar Sri Permaisuri (HIJAU SERINDIT)
    • Laluan Kelabu (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) ditukar kepada GOKL 11 MRT Maluri – Bandar Tun Razak (KELABU)
    • Laluan Krim (Taman Fadason – MRT Sri Delima) ditukar kepada GOKL Taman Fadason – MRT Sri Delima (KRIM)
    • Laluan Merah Lembayung (MRT Jinjang – Matrade) ditukar kepada GOKL 13 MRT Jinjang – Matrade (MERAH LEMBAYUNG)

    Tambah DBKL lagi, pengguna bas GOKL adalah digalakkan untuk memuat turun dan menggunakan Aplikasi GOKL bagi mengetahui maklumat terkini dan pengumuman dari masa ke semasa berhubung perkhidmatan bas GOKL.

     
     
  • Honda Malaysia tawar rebat hingga RM9,000 untuk promosi Ogos 2023 – Accord, City Hatchback, CR-V

    Honda Malaysia sedang menganjurkan kempen promosi sepanjang Ogos 2023, sempena dengan bulan Kemerdekaan, dengan tagline “Savour the Flavours of Unity” seperti yang dipaparkan dalam posternya.

    Kempen ini adalah untuk kereta yang didaftarkan sepanjang Ogos 2023, dengan jumlah penjimatan mencecah RM9,000, yang melibatkan kereta buatan tahun 2023, bukannya stok lama. Kali ini, model yang tersenarai ialah City Hatchback, Accord dan CR-V.

    Diskaun berskala besar sudah pasti untuk model kereta yang paling besar iaitu sedan segmen-D Accord dengan penjimatan sebanyak RM9,000. Jika anda berminat untuk mendapatkan CR-V pula, Honda Malaysia menawarkan rebat sehingga RM8,000 – jadi anda boleh pilih varian yang ditawarkan sama ada 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

    Untuk City Hatchback segmen-B pula, kelima-lima varian iaitu S, E, V, V-Sensing dan RS bakal menerima rebat sebanyak RM2,500. Sesuailah untuk dijadikan pilihan bagi golongan muda kerana rekaan City Hatchback ini memang ranggi.

    Inilah masa yang paling sesuai untuk membeli kereta, bukan setakat dapat model buatan tahun terkini, bahkan rebat yang ditawarkan juga memang berbaloi.

     
     
  • Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Proton telah merekodkan jualan sebanyak 13,326 unit (domestik + eksport) untuk bulan Julai 2023, menjadikan jualan kumulatifnya untuk tahun ini kini mencapai 90,647 unit. Menurut syarikat automotif nasional itu, ini kali pertama angka jualan tahunan melebihi 90,000 unit hanya dalam masa tujuh bulan pertama selepas kali terakhir prestasi yang sama dicatatkan pada tahun 2012.

    Jualan pada bulan lalu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding Julai 2022, dan pegangan pasarannya bagi Julai 2023 pula dianggarkan berada pada 20.5%. Manakala untuk jualan kumulatif tahunan pula mencatatkan peningkat 12.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit untuk bulan Julai, angka jualan Proton pada bulan lalu dilihat telah mengatasi industri sebanyak 14%.

    Bagi pecahan jualan mengikut model, SUV segmen-D Proton iaitu X90 terus mengungguli kelasnya, mencatatkan jualan sebanyak 886 unit bagi bulan Julai. Oleh itu sejak ianya dilancarkan pada 7 Mei lalu, sebanyak 2,225 unit X90 telah terjual dalam masa hanya 86 hari.

    Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Untuk Persona pula, ia telah tejual sebanyak 1,953 unit sepanjang Julai, dan jualan tahunannya kini sudahpun mencecah 14,533 unit. Menurut Proton, angka berkenaan telah meletakkan Persona sebagai sedan segmen-B paling laris di Malaysia untuk tujuh bulan pertama tahun ini, dan ia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 107.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Manakala bagi X50, Proton telah berjaya menjual sebanyak 2,630 unit SUV segmen-B tersebut sepanjang Julai 2023, menjadikan jualan keseluruhannya tahun ini mencapai 20,192 unit. Jualan bulanan yang dicatatkan oleh X50 bukanlah terbaik dalam kelasnya untuk Julai, namun menurut Proton untuk jualan keseluruhan tahunan X50 masih bukan sahaja SUV terlaris dalam kelas segmen-B, malah masih yang paling popular untuk segmen SUV secara keseluruhan setakat ini.

    Terdapat juga peningkatan permintaan untuk MPV segmen-C Proton Exora dimana ia telah terjual 374 unit bulan lalu, menjadikan jumlah jualan tahunannya sehingga Julai sudah mencapai 2,741 unit, atau naik 13.1% berbanding tahun sebelumnya.

    Bagi model terlaris Proton iaitu sedan segmen-A Saga, sebanyak 5,926 unit telah terjual pada bulan Julai. Ini menjadikan jualan kumulatif tahunannya sehingga Julai telah mencecah 39,251 unit, naik 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaubagaimanapun angka tersebut hanya meletakkan Saga di tempat kedua dalam kelasnya bagi bulan kedua berturut-turut.

    Hatchback segmen Proton Iriz juga mencatatkan peningkatan jualan dengan 676 unit telah diserahkan kepada pelanggan bulan lalu. Secara keseluruhan Iriz telah terjual sebanyak 4,708 unit tahun ini, naik 80.7% berbanding tahun lalu, tetapi ia hanya berada di tempat keempat dalam kelasnya.

    Untuk SUV segmen-C Proton X70 pula, sebanyak 881 unit telah dijual bulan lalu, meletakkannya di tempat kedua keseluruhan dalam segmennya dengan 6,997 unit terjual setakat ini bagi tahun 2023.

    “Jualan automotif di Malaysia terus kukuh bagi tahun 2023 tanpa penurunan dalam permintaan dalam empat bulan selepas tamat tempoh penghantaran kereta di bawah skim insentif Penjana. Terdapat banyak pengenalan model baharu pada tahun ini dan ini bersama-sama dengan pengumuman berprofil tinggi yang dibuat di ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta sokongan kerajaan untuk menarik OEM baharu ke negara ini telah mengekalkan minat yang tinggi di kalangan pembeli,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Proton sudah tentu memainkan peranan dalam peningkatan TIV. Dari segi peratusan, pertumbuhan jualan kami adalah lebih daripada dua kali ganda daripada industri setakat ini dan ini boleh dikaitkan dengan pembeli kereta yang tertarik dengan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang ditawarkan oleh barisan model kami. Dengan Proton X90 yang sudah pun mendahului kelasnya selepas hanya 3 bulan, model baharu yang akan dilancarkan dan kemasukan syarikat ke pasaran EV pada tahun 2023 melalui smart Malaysia, kami yakin dapat mencapai sasaran akhir tahun kami,”tambahnya lagi.

     
     
  • Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Kementerian Pengangkutan mengumumkan Ketetapan Dasar Baharu Mengenai Bahagian Pembelajaran/Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) bagi calon yang ingin mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

    “Berkuatkuasa 15 September 2023, mana-mana individu yang pada masa ini telah mempunyai sama ada LMM kelas motosikal atau kereta, dan berhasrat mendapatkan LMM dalam kelas yang berbeza (motosikal atau kereta), adalah dikecualikan daripada menghadiri Kursus KPP01 dan Ujian Teori KPP01,” kata kementerian terbabit menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebagai contoh, bagi calon yang lulus ujian teori KPP01 utuk lesen motosikal tidak perlu lagi mengambil ujian yang sama bagi mendapatkan lesen memandu kereta, begitu juga sebaliknya.

    Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Walau bagaimana pun, calon masih perlu menjalani ujian di bawah KPP02 (praktikal, di litar) dan KPP03 (praktikal, atas jalan raya) di institut pemanduan masing-masing (motosikal dan kereta). Syarat kelayakan umur untuk mengambil lesen juga dikekalkan pada umur 16 tahun untuk lesen motosikal dan 17 tahun untuk lesen memandu kereta.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kurikulum yang akan diajar dalam kelas memandu akan digabungkan dan calon akan mempelajari elemen teori untuk pengendalian motosikal dan kereta secara serentak, seperti yang dilaporkan The Star.

    Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan berdasarkan maklum balas orang ramai itu diharap dapat menjimatkan masa dan kos bagi mereka yang ingin mendapatkan LMM. “Kami percaya ketetapan baharu ini akan memberi manfaat kepada orang ramai kerana mereka tidak lagi perlu mengambil kelas enam jam lagi hanya untuk mendapatkan satu lagi lesen. Kami juga mengharapkan orang ramai menikmati penjimatan RM100 daripada ketetapan baharu ini,” katanya.

     
     
  • MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Damansara Uptown

    MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Damansara Uptown

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini mula melaksanakan zon parkir dua jam di Damansara Uptown. pusta komersil yang terletak di SS21, Damansara Utama. Kelihatan petak parkir yang dicat dengan garisan jingga dengan tertera ayat ‘2 Jam Sahaja’, sama seperti yang dilaksanakan di PJ State.

    Malahan papan tanda yang tertera kadar caj dan peraturan untuk zon parkir berkenaan turut dipacak di hadapan RHB Bank.

    Parkir di petak jingga akan dikenakan kadar caj 60 sen untuk setiap 30 minit, dan ia dilaksanakan dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala untuk hujung minggu dan cuti umum, ia adalah percuma. Pembayaran hanya boleg dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking dan anda perlu memilih parkir dua jam dan kadarnya adalah berbeza.

    Zon parkir dua jam ini juga telah dilaksanakan di Subang Jaya dan Shah Alam oleh majlis perbandaran masing-masing. Ia dilaksanakan bagi mengelak petak parkir di kawasan komersil yang sibuk ‘dibolot’ oleh sesetengah pemandu dalam tempoh waktu yang lama, selain memberikan peluang kepada pengguna lain yang mempunyai urusan jangka masa singkat (kurang dua jam) parkir kenderaan di situ.

    Jika anda sudah memarkir di situ dalam tempoh dua jam, anda perlu keluar dari petak parkir berkenaan dan hanya boleh kembali parkir di zon yang sama dalam tempoh sejam selepas slot masa asal tamat.