Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Sebelum kemunculan sulung globalnya yang bakal berlangsung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada 10 Ogos nanti, Mitsubishi hari ini telah pun mendedahkan rupa luaran untuk SUV kompak baharunya yang direka khas untuk pasaran ASEAN.

    Nama sebenar untuk model ini masih lagi belum diumumkan, namun Mitsubishi telah pun memperincikan saiznya – ia dibina dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Mitsubishi turut mengesahkan bahawa ia akan dijana oleh enjin NA 1.5 liter bersama kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

    Oleh itu SUV baharu dari Mitsubishi ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V dan Proton X50, tetapi ia dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

    Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, SUV Mitsubishi ini adalah 5 mm lebih panjang dan 70 mm lebih tinggi, tetapi 20 mm kurang lebar berbanding Honda HR-V. Bagi unit rangkaian kuasa pula ia mungkin berkongsi enjin dan kotak gear bersama MPV segmen-B Mitsubishi Xpander. Enjin 1.5 liter MIVEC berkenaan menghasilkan kuasa 105 PS/141 Nm, 7 PS/1 Nm lebih berkuasa dari Ativa dan 17 PS/4 Nm kurang dari WR-V.

    Ia juga mempunyai kelegaan setinggi 222 mm, jauh lebih tinggi dari Ativa, WR-V, HR-V dan juga X50, dan sama sepenuhnya seperti Xpander. Jadi boleh dibayangkan SUV ini mempunyai kebolehan merentasi laluan off-road yang lebih baik, malah Mitsubishi sebelum ini juga telah mendedah bahawa ia akan diberikan mod pemanduan Wet, Mud dan Gravel serta fungsi Active Yaw Controller (AYC).

    Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Untuk rupa luaran, pendedahan kali ini mengesahkan bahawa SUV kompak baharu ini merupakan model produksi bagi Mitsubishi XFC Concept yang didedahkan di Vietnam Motor Show tahun lalu. Pada bahagian muka Dynamic Shield versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L.

    Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Mitsubishi juga mengesahkan bagi varian tertinggi SUV ini akan menerima set roda yang dilengkapi rim 18-inci bagi memberikan rupa yang benar-benar gagah, serta diberikan tayar yang mampu menangani laluan lebih lasak.

    “Pada model serba baharu ini, kami telah mengembangkan lagi reka bentuk untuk memenuhi keperluan pasaran SUV kompak, yang telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Seiji Watanabe, pengurus besar reka bentuk Mitsubishi Motors.

    “Selain ciri keteguhan dan keperkasaan Mitsubishi Motors, kami telah mengejar reka bentuk yang lebih bergaya, bertenaga dan tersendiri berbanding sebelum ini. Pada Gaikindo Indonesia International Auto Show yang akan datang, kami berharap lebih ramai pelanggan akan tahu apa yang Mitsubishi Motors tawarkan dan berempati dengan reka bentuk kami melalui SUV kompak serba baharu ini,” tambahnya lagi.

    Tiada lagi imej bahagian dalaman didedahkan kali ini. Tetapi sebelum ini Mitsubishi telah mengesahkan bahawa ia akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

    Model ini disahkan juga akan dipasang di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Tempahannya di pasaran tersebut telah pun dibuka pada Jun lalu, dan pelanggan bakal menerima kereta mereka bermula November 2023.

     
     
  • Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa hutang kerajaan buat masa sekarang adalah besar, dan sekiranya Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini menurunkan harga bahan api ia akan menjejaskan pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

    “Rakyat bertanya kepada kita mengapa tidak turunkan harga petrol. Pertamanya, hutang sekarang RM1.5 trilion. Kita ada hutang besar, jadi kerajaan harus buat pilihan,” kata Rafizi dalam Berita Harian yang memetik laporan dari FMT.

    Rafizi memberikan penjelasan tersebut selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersetuju menerima cabaran berdebat, dengan syarat Rafizi membuktikan beliau berjaya memulihkan ekonomi Malaysia dan menurunkan harga bahan bakar kenderaan.

    Menurut Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05, kerajaan sudah memberi subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion. Manakala Tahun lalu, subsidi untuk RON951, diesel dan elektrik mencecah RM80 bilion, dengan pendapatan kerajaan dianggarkan sekitar RM300 bilion.

    Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    “Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.

    “Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

    Beliau juga menyatakan kerajaan boleh mengumumkan harga minyak turun sebanyak 20 sen untuk memenangi PRN, tetapi ia akan memberi kesan lebih besar. Ia termasuk gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin dihentikan dan bekalan air di Kelantan serta Sabah tidak dapat diselesaikan.

    “Jadi beritahu kami mana satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan?,” katanya.

    Jumaat lalu, Rafizi berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini.

     
     
  • Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Sebelum ini pelbagai isu timbul berkenaan dengan cadangan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) termasuklah ia dikatakan akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan dan sosio-ekonomi penduduk.

    Malahan penduduk sekitar Petaling Jaya juga telah bertahun-tahun membuat bantahan cadangan pembinaan projek lebuhraya ini. Malahan ia juga dikatakan jelas bertentangan dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ke arah negara neutral karbon menjelang 2030.

    Terkini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah mengesahkan pihak kerajaan negeri berhasrat untuk membatalkan permohonan pembinaan PJD Link ini. Menurut beliau, perkara ini diputuskan selepas kerajaan negeri meneliti beberapa aspek cadangan pembinaan lebuhraya tersebut.

    “Pada awalnya, cadangan pembinaan lebuhraya ini mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017. Cadangan ini kemudiannya dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.

    “Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Negeri Selangor,” kata Amirudin.

    Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Tambahnya lagi, susulan daripada itu, penjanjian konsesi di antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangai pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Sosial Impact Assessment (SIA) dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian ini diaktifkan.

    “Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    “Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Lebuhraya PJD Link,” jelas Amirudin menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    PJD Link merupakan lebuhraya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil. Projek itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

    Malahan PJD Link Expressway dijangka berperanan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.

     
     
  • Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    Acara gaya hidup permotoran tahunan, Art of Speed (AOS) untuk edisi 2023 telah berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS). Menurut penganjurnya iaitu Art of Speed Malaysia (AOSM), acara yang dibuka bermula 29 hingga 30 Julai itu telah merekodkan jumlah pengunjung lebih dari 65,000 orang.

    AOS mempersembahkan tema “Raikan Bezamu” untuk edisi tahun ini, dan ia disifatkan sebagai edisi yang paling besar pernah diadakan sejak acara pertama yang dilangsungkan pada 2012. Ini kerana AOS 2023 telah menggunakan kesemua Dewan A, Dewan B (sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Universiti Perdana), Dewan C dan Dewan D di MAEPS, serta sebahagian kawasan sekitarnya.

    Seperti biasa ia turut membawa kenderaan-kenderaan custom dan juga ramai tetamu undangan khas dari luar negara. Antara kenderaan yang dibawa adalah dua buah Harley-Davidson dari Jepun iaitu Wild Road Choppers (1941) dan Cosmic Chopper City (2020), serta sebuah van Volkswagen Type2 Safari 1959 diberi nama Side Yakotani juga dari Jepun.

    Manakala antara jemputan-jemputan khas dari luar negara pula termasuk “Sunny” Yano dan Hiro “Wildman” Ishii dari Monneys Jepun, Rough Craft dari Taiwan, Ya Seat dari Thailand, Choppajoop dari Singapura, Hisa Artes 66 Paintlab dari Indonesia (kumpulan 15 artis pinstripe) dan ramai lagi.

    Jenama kereta diecast skala 1/64 dari Mattel iaitu Hot Wheels turut diberikan sorotan istimewa pada AOS 2023. Keseluruhan Dewan B di MAEPS adalah khas untuk kereta kecil 3-inci ini dengan diadakan Konvensyen Pengumpul Hot Wheels Rasmi pertama di dunia untuk rantau Asia Tenggara. Sempena acara ini juga Hot Wheels telah melancarkan ‘Hot Wheels Official Convention Car’ edisi terhad yang dihasilkan hanya 500 unit yang diasaskan dari Hot Wheels Toyota Celica 1982.

    Aktiviti lain yang turut diadakan di Dewan B ini termasuk ‘Hot Wheels Rare and Collectibles Exhibition’, ‘Hot Wheels Skate School’, ‘Hot Wheels Swap Buy And Sell’, sesi soaljawab pengumpul Hot Wheels, ‘Hot Wheels Kustom Competition’ dan banyak lagi.

    Manakala di dewan utama iaitu Dewan A, Hot Wheels telah mendedahkan rekaan kad blister untuk Proton Saga Hot Wheels edisi khas yang akan dijual tahun hadapan, yang diambil dari pemenang pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition.

    Bukan itu sahaja, pertandingan Hot Wheels Legends Tour 2023 turut diadakan di Malaysia secara realiti buat pertama kali selepas ia dilangsungkan secara maya untuk edisi-edisi sebelum ini akibat kekangan pandemik Covid-19. Pertandingan untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia itu diadakan pada hari Ahad di tempat letak kereta bersebelahan Dewan A.

    Kesemua kereta bertanding diadili oleh juri-juri tempatan seperti ‘Prince of Drift’ Tengku Djan Ley dan juga juri-juri antarabangsa termasuk salah seorang pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat iaitu Matt Gabe. Kereta yang menang di peringkat global kelak bakal dijadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64 dan akan dijual ke seluruh dunia.

    Bagi Hot Wheels Legends Tour edisi kali ini, kesemua juri telah sepakat untuk memilih Proton Arena yang diubahsuai oleh pemiliknya iaitu Mohd Shahlan Bin Mohd Nasir sebagai pemenang utama, sekaligus akan mewakili Malaysia di peringkat akhir.

    Antara acara lain yang akan berlangsung sepanjang AOS 2023 ini termasuk No Equal Motorsport Showcase (Dewan C) yang akan mempamerkan kereta-kereta lumba sebenar dari pasukan-pasukan lumba tempatan, perkhemahan dan gaya hidup outdoor Off The Grid (Dewan C), Hail Vintage (Dewan D), Kustom & Koffee Talk (Dewan A), Show & Shine (Dewan A) dan pelbagai lagi.

    Food Park pula disediakan di keseluruhan ruang bawah Dewan D, manakala barang-barang restorasi atau ubahsuai motosikal dan kereta lama, AOS 2023 masih akan menampilkan pelbagai vendor yang akan memenuhi Automotive Flea Market.

    Pelbagai jenama motosikal termasuk Ducati, Royal Alloy, Italjet, Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Harley-Davidson dan lain-lain turut akan ke AOS 2023 di Test Ride Zone bagi membolehkan pengunjung menunggang uji model-model motosikal baharu.

    Bagi pemenang utama Best of Show untuk Show & Shine tahun ini bakal dibawa ke lawatan The 31st Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2023 nanti di Jepun. Berikut adalah senarai nama-nama pemenang AOS2023 Show & Shine mengikut kategori:

    LOWRIDER
    1. BEST OF BMX
    Pemenang : YUSADIANTO MOHD NOR
    2. BEST OF LOWRIDER – 12″, 16″ & 20″
    Pemenang : MOHD HISHAM X ENERGYCAM
    3. BEST OF LOWRIDER – 24″, 26″ & OPEN
    Pemenang : AIZAD ZAKARI

    AUTOMOBIL

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    1. BEST OF 4 X 4
    Pemenang : ABDUL TALIB BIN SUDIN
    2. BEST OF CLASSIC JDM PRE 1992
    Pemenang : LIM WAI HONG
    3. BEST OF CLASSIC PICKUP
    Pemenang : IDHINAN JOEY MEPOKEE
    4. BEST OF JAPANESE [CLASSIC]
    Pemenang : AMIN – NISSAN SKYLINE KGC10
    5. BEST OF K CAR
    Pemenang : HAIQAL QUSYAIRI
    6. BEST OF MODERN ABOVE 2004
    Pemenang : MUHAMMAD NOOR HASBULLAH
    7. BEST OF MODERN CLASSIC JDM POST 1992-2004
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    8. BEST OF MODERN EURO
    Pemenang : NATHANIAL NG ZHI YONG
    9. BEST OF NATIONAL HEROES
    Pemenang : NAROCK
    10. BEST OF RACE CAR
    Pemenang : MUHAMMAD ISYALZUDDIN – SATRIA NEO
    11. BEST OF RADIKAL [CLASSIC & MODERN]
    Pemenang : EIADYWAN B SAKRONI
    12. BEST OF STANCE
    Pemenang : MUHAMMAD FARHAN
    13. BEST OF USA/MUSCLE
    Pemenang : FAROIB ISMAIL
    14. BEST OF VW BUS
    Pemenang : SAF
    15. BEST OF WAGON
    Pemenang : ABIE
    16. BEST OF VW BEETLE
    Pemenang : FADERI
    17. BEST OF VW AIR-COOLED RESTOMOD
    Pemenang : FADERI
    18. BEST OF RESTOMOD (HIGHLIGHT)
    Pemenang : ZAIM B ROSLI
    19. BEST PAINT
    Pemenang : WAN IBRAHIM WAN HASSAN
    20. BEST ENGINE BAY
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    21. BEST INTERIOR
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    22. BEST LOWERED
    Pemenang : FONG LIH JIE
    23. BEST RIM SET
    Pemenang : ANDREW POH
    24. BEST LIFTED
    Pemenang : MOHD HIZRI ALIFF
    25. BEST ENGINEERING
    Pemenang : FAROIB
    26. BEST FABRICATION
    Pemenang : ABDUL JALIL B ABDUL
    27. BEST LIVERY DESIGN
    Pemenang : BWB – TOYOTA COROLLA KE25

    MOTOSIKAL

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    1. BEST OF CAFE RACER ABOVE 401CC
    Pemenang : YUNG – GIMME SHELTER
    2. BEST OF CAFE RACER BELOW 400CC
    Pemenang : MUHAMMAD FARITADIL BAINOL JAMAL
    3. BEST OF CHOPPER ABOVE 401CC
    Pemenang : ALIEF – GIMME SHELTER
    4. BEST OF CHOPPER BELOW 400CC
    Pemenang : PAAN JEWA LUKHA
    5. BEST OF CLUB STYLE
    Pemenang : JOHAN ARIFF B MOHD YASIN
    6. BEST OF CUSTOM STREET BIKE/MOPED
    Pemenang : PANG CHIN HUI
    7. BEST OF JAP STYLE & TRACKER BELOW 400CC
    Pemenang : JONTOE CYCLES
    8. BEST OF MODERN SCOOTER
    Pemenang : FDS AIRBRUSH
    9. BEST OF MODIFIED HARLEY-DAVIDSON
    Pemenang : NO DIE CYCLES
    10. BEST OF RESTORED CLASSIC CONTINENTAL & AMERICAN
    Pemenang : HUSIN B HJ A. SAMAD
    11. BEST OF LAMBRETTA
    Pemenang : MOHD HANAFI B ISMAIL
    12. BEST OF RESTORED RETRO JAPANESE 2 STROKE
    Pemenang : MUHAMAD HAFIZUDDIN MAZLAN
    13. BEST OF RESTORED RETRO JAPANESE 4 STROKE
    Pemenang : NIK
    14. BEST OF LIFESTYLE CUB (HIGHLIGHT)
    Pemenang : THE RUSTY FACTORY
    15. BEST OF OPEN CLASS
    Pemenang : AZHARUZZAMAN B BAHRUDIN
    16. BEST PAINT
    Pemenang : DEEP
    17. BEST LIVERY DESIGN
    Pemenang : NASIR MORNI
    18. BEST FABRICATION
    Pemenang : THE RUSTY FACTORY
    19. BEST TANK DESIGN
    Pemenang : DEWA – GIMME SHELTER

    GALERI: Motosikal Show & Shine di Art Of Speed 2023

    GALERI: Gambar rasmi Art Of Speed 2023

     
     
  • Ducati Monster 30th Anniversary diperkenal – keluaran terhad 500 unit, tambahan kelengkapan prestasi

    Ducati Monster 30th Anniversary diperkenal – keluaran terhad 500 unit, tambahan kelengkapan prestasi

    Sebagai menyambut ulang tahun ke-30 Monster di dalam pasaran, Ducati telah memperkenalkan sebuah model istimewa yang dipanggil sebagai Monster 30 Anniversario. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 500 unit, dan dijadikan istimewa dengan kemasan unik tersendiri.

    Perkara pertama yang dapat dilihat terus adalah warna Tricolore bersama grafik khas 30 Anniversario, serta kemasan lain seperti plet nombor keluaran di atas triple clamp serta sulaman 30 di atas tempat duduk.

    Bagi bahagian teknikal, Ducati bukan sekadar mengambil Monster Standard sebagai asas untuk model istimewa ini, tetapi menggunakan Monster SP. Ini bermakna, Monster 30 Anniversario mendapat barangan prestasi seperti fork hadapan Ohlins NIX30 43 mm boleh laras, angkup brek hadapan Brembo Stylema, bateri lithium ion serta ekzos Akrapovic.

    Tidak cukup dengan itu, ia dipertingkat lagi dengan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya, steering damper Ohlins boleh laras, rim lightweight berwarna emas, penghadang lumpur hadapan dan belakang gentian karbon serta tempat duduk jenis sport yang mempunyai binaan serta kemasan khas untuknya.

    Dengan semua perubahan yang diberi ini, Monster 30 Anniversario mencatat berat 184 kg dan didatangkan standard dengan tempat duduk berketinggian 840 mm (tempat duduk lebih rendah dijual sebagai aksesori). Bagi model ini Ducati memberikannya dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV.

    Kelengkapan lain adalah sama seperti Monster SP, termasuk enjin Testastretta 11 V-twin 111 hp/93 Nm (sama bagi semua model Monster), tambahan mod Wetkepada Sport dan Touring sedia ada, Ducati Quick Shift, Ducati Power Launch, skrin TFT 4.3 inci, Cornering ABS, Ducati Traction Control serta Ducati Wheelie Control.

     
     
  • Royal Enfield Super Meteor 650 dipertonton di Malaysia – tempahan dibuka, harga bawah RM40k

    Royal Enfield Super Meteor 650 dipertonton di Malaysia – tempahan dibuka, harga bawah RM40k

    Royal Enfield Super Meteor 650, yang diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia, tetapi untuk pra tonton awal terlebih dahulu. Ia dipamerkan kepada orang ramai semasa acara Art of Speed 2023 hujung minggu lalu.

    Bersekali dengan pra tonton itu, Didi Group selaku pengedar rasmi jenama motosikal yang berasal dari United Kingdom tersebut turut membuka tempahan untuk Super Meteor 650, dengan harga yang diberitahu tidak mencecah RM40k dan dijangka tiba secara rasmi sekitar bulan September tahun ini.

    Super Metor 650 adalah sebuah model cruiser serba baru, dan ia dipacu oleh enjin dua silinder selari 650 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan angin/minyak, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,650 rpm.

    Bagi menjadikan motosikal yang mencatat berat 241 kg ini stabil atas jalan raya, ia dipasang dengan fork USD 43 mm dengan jarak gerak 120 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan dua penyerap berjarak gerak 101 mm, dengan pelarasan pra beban. Rim pula menggunakan jenis aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dan 16 inci di belakang, dibalut tayar tebal masing-masing bersaiz 100/90 dan 150/80.

    Sistem brek yang sekadar mencukupi diberi pada Super Meteor 650, terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 300 mm dengan angkup dua piston di belakang – ABS dual channel adalah standard. Tangki bahan api model ini berkapasiti 15.7 liter.

    Royal Enfield Super Meteor 650 dipertonton di Malaysia – tempahan dibuka, harga bawah RM40k

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui meter gabungan analog dan digital utama berbentuk bulat, sementara di sebelahnya pula terdapat satu lagi panel digital bulat kecil untuk navigasi apabila sistem disambung kepada telefon pintar. Demi memberi kesenangan kepada pengguna, motosikal ini juga disediakan dengan soket pengecas USB 5V.

    Kedua-dua versi Super Meteor ini iaitu Standard dan juga Tourer (mempunyai tambahan penghadang angin hadapan, penyandar belakang serta beberapa aksesori lagi) akan dibawa ke Malaysia, sementara warnanya pula ada pelbagai pilihan, termasuk Astral Blue, Astral Black, Interstellar Green, Celestial Red dan Celestial Blue.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRP dan JWL bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRP, bakal dibuka bidaan mulai 2 Ogos ini dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 6 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 Ogos 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWL, bidaannya akan dibuka pada 3 Ogos. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 7 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 Ogos 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Majlis Perbandaran Ampang sediakan pusat sehenti untuk lupus kenderaan terpakai secara percuma

    Majlis Perbandaran Ampang sediakan pusat sehenti untuk lupus kenderaan terpakai secara percuma

    Masalah kenderaan terbiar, rosak atau tersadai telah wujud sejak sekian lama, dan tanpa peruntukan dalam undang-undang untuk mengalih dan melupuskannya dengan cepat. Malahan untuk menangani masalah ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan proses yang panjang.

    Dalam usaha untuk mempercepatkan proses pelupusan ini, sebuah majlis perbandaran tempatan telah menghasilkan skim pelupusan di mana pemilik kenderaan boleh secara sukarela menyerahkan kenderaan terpakai mereka tanpa perlu mengeluarkan sesen pun untuk kos pelupusan itu.

    Menurut laporan The Star, Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menubuhkan pusat sehenti bagi tujuan pengendalian pelupusan kenderaan yang tidak digunakan. Ia berkata kenderaan yang boleh diserahkan untuk dilupuskan ialah kereta, motosikal dan basikal.

    Presiden MPAJ, Dr Ani Ahmad berkata, tiada sebarang caj dikenakan untuk mendapatkan perkhidmatan ini, namun apa yang perlu dilakukan oleh pemilik kenderaan terbabit adalah memaklumkan kepada pihak MPAJ habawa kenderaan itu diserahkan secara sukarela dan mengesahkan lokasi di mana kenderaan itu berada.

    Majlis Perbandaran Ampang sediakan pusat sehenti untuk lupus kenderaan terpakai secara percuma

    “Permohonan akan diproses dalam tempoh tidak lebih 48 jam, dan selepas itu MPAJ akan mengambil kenderaan berkenaan,”katanya sambil menambah kenderaan terbabit akan dihantar ke depoh MPAJ. Katanya lagi, MPAJ juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MyEG untuk menguruskan kertas kerja yang diperlukan untuk proses pelupusan terbabit.

    Ani berkata MPAJ adalah pihak berkuasa tempatan pertama yang melaksanakan inisiatif sedemikian bagi menangani isu itu. Beliau berkata, langkah memperkenalkan skim itu adalah kerana majlis tempatan menghadapi kesukaran dalam menangani kenderaan terbiar, kerana ia perlu mematuhi undang-undang.

    “MPAJ mesti mengeluarkan notis dan memberi tempoh tangguh kepada pemilik untuk mengeluarkan kenderaan mereka sebelum kami boleh meneruskan tindakan selanjutnya. Sekiranya pemilik gagal mematuhi, maka kita perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk melupuskan kenderaan itu, tetapi proses ini memerlukan kos yang tinggi. Dengan inisiatif baharu ini, kami berharap pemilik memberi kerjasama secara sukarela,” katanya.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Ogos 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Ogos 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Ogos 2023 bag unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Namun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain.

    Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Art of Speed 2023: Galeri motosikal Show & Shine

    Art of Speed 2023: Galeri motosikal Show & Shine

    Acara Art of Speed (AOS) 2023 yang masih lagi berlangsung di MAEPS, Serdang seperti tahun-tahun sebelum ini turut melibatkan pertandingan motosikal yang dibahagikan kepada lebih 20 kategori, mengikut jenis motosikal dan ubah suai yang dibuat.

    Semasa berada di tapak acara, kami sempat meninjau motosikal peserta pertandingan yang dipanggil sebagai Show & Shine ini. Pelbagai cara dibuat oleh peserta untuk menunjukkan keistimewaan masing-masing, seterusnya menarik perhatian juri untuk menjadi pemenang.

    Sebagai pengunjung, kita juga boleh melihat pelbagai kreativiti peserta sama ada dalam pengubahsuaian motosikal masing-masing, usaha menghias tapak pameran mengikut konsep sama dengan motosikal ataupun keunikan yang diketengahkan.

    Di sini kami sertakan galeri gambar antara motosikal yang kami nampak menarik, dengan kebanyakannya adalah usaha sendiri daripada warga tempatan. Selain ubah suai, ada juga yang membuat restorasi kepada motosikal lama, dengan barang yang sudah kelihatan baru ataupun memang betul-betul baru.

    Jika anda peminat motosikal, AOS 2023 memang tidak patut dilepaskan kerana selain motosikal pameran dan pertandingan, anda juga pastinya dapat melihat pelbagai lagi motosikal yang berada sekitar dewan acara, terutamanya yang ditunggang oleh pengunjung.

    Untuk tahun ini juga ada dua motosikal istimewa yang dibawa dari Jepun, oleh Wild Road Choppers dan Cosmic Chopper City, dan kedua-duanya adalah chopper Harley-Davidson, dengan masing-masing dari tahun 1941 dan 2020. Selain daripada itu, seorang pengunjung bertuah acara ini juga akan membawa balik motosikal elektrik Honda e-Dax.

     
     
  • Kanak-kanak perempuan 9 tahun dari Pulau Pinang menang rekaan kad Hotwheels Proton Saga Edisi Khas

    Kanak-kanak perempuan 9 tahun dari Pulau Pinang menang rekaan kad Hotwheels Proton Saga Edisi Khas

    Ketika berlangsungnya acara Art of Speed 2023 yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang hari ini, Mattel Malaysia mengumumkan pemenang bagi rekaan kad blister untuk pakej model edisi khas Proton Saga generasi pertama menerusi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition yang bermula pada Mac lalu.

    Kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Saw Jane Harn dari Pulau Pinang telah dipilih menjadi pemenang pertama petandingan ini. Jadi rekaan Harn tersebut akan digunakan pada pakej blister untuk keluaran pertama di dunia model skala 1/64 HotWheels Proton Saga yang akan mula dijual di seluruh negara bermula tahun hadapan.

    Hern menghasilkan rekaan berkenaan dengan hanya lukisan tangan menampilkan unsur-unsur Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Bunga Raya, Harimau Malaya dan Burung Kenyalang pada kad blister tersebut. Selain Hern, Ezra Rehan Pal berumur 11 tahun dan Austin Goh Zi Hao juga berumur 11 tahun masing-masing dipilih pemenang kedua dan ketiga pertandingan ini.

    Pertandingan ini dibuka hanya untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun pada 1 Mac 2023. Penganjur menyediakan templat untuk rekaan tersebut secara atas talian yang boleh dimuat turun oleh semua peserta.

    Rekaan berkenaan perlu dihasilkan dengan tema yang menyerlahkan maksud “Kereta Nasional Malaysia”, dan ia boleh dibuat dengan pelbagai material seperti pensel warna, krayon, warna air, pen berwarna dan sebagainya, tetapi sebarang perisian aplikasi rekaan digital adalah dilarang.

    Menurut Mattel Malaysia, sejak pertandingan itu diumumkan dan ditutup pada 25 April 2023, ia telah menarik sejumlah 386 penyertaan dari kanak-kanak seluruh Malaysia.

    Tiga pemenang utama pertandingan ini membawa pulang hadiah lumayan di mana tempat pertama akan menerima wang tunai RM500, produk Hot Wheels bernilai RM800, barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, dan juga mock-up istimewa untuk rekaan kad blister yang dihasilkan untuk Saga edisi terhad berkenaan.

    Kanak-kanak perempuan 9 tahun dari Pulau Pinang menang rekaan kad Hotwheels Proton Saga Edisi Khas

    Tempat kedua akan menerima wang tunai RM350 bersama produk Hot Wheels bernilai RM500 dan barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, manakala tempat ketiga pula akan diberikan wang tunai RM200 bersama produk Hot Wheels bernilai RM300 serta barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels.

    “Untuk lebih 50 tahun, HotWheels telah dikenali kerana mencetuskan dan memupuk semangat mencabar yang ada dalam diri setiap kanak-kanak bagi membantu mereka mencapai potensi sebenar,” kata pengarah besar Mattel Asia Selatan, Murat Ariksoy.

    “Pasukan kami bercita-cita untuk membawa pengalaman baharu dan mengujakan bagi membangunkan kemahiran dan keyakinan kanak-kanak bagi mengusai dunia menerusi gabungan pertandingan, eksperimen, dan kreativiti. Kami gembira untuk bekerjasama dengan Proton untuk menganjurkan pertandingan ini yang akan memperkasakan generasi seterusnya yang berani menyatakan Cabaran Diterima!” tambahnya lagi.

    Hasil karya peserta-peserta yang menyertai pertandingan ini turut dinilai oleh Azlan Othman, ketua pereka Proton yang dilantik sebagai salah seorang juri.

    “Elemen Malaysia yang dipilih oleh Jane Harn untuk rekaannya merupakan asas kepada negara kita yang cantik,” Azlan dan menambah ikon-ikon Malaysia yang ada pada rekaan kad blister tersebut akan menjadi latar belakang yang sangat baik untuk Hot Wheels Proton Saga ini.

    Projek model skala Proton Saga Hot Wheels ini telah diumumkan pada Disember tahun lalu. Ia adalah sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc) dan juga Proton sebagai jenama automotif nasional pertama Malaysia. Selepas model edisi terhad ini dijual di Malaysia, ia akan disusuli dengan versi mainline Proton Saga yang akan dijual di seluruh dunia.

     
     
  • Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

    Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

    Sebut sahaja Karamjit Singh, dua benda yang akan terbayang dalam kepala kita iaitu sukan rali dan juga jenama automotif nasional kita, Proton. Beliau memulakan kariernya sebagai pemandu rali dengan menyertai Castrol Daylight Rally pada 1984 dengan Peugeot 404 milik ayahnya, dan kemudian beralih kepada beberapa kereta lain seperti Datsun 120Y dan Ford Escort.

    Namun kariernya sebagai pemandu bertaraf professional bermula pada tahun 1988 apabila berjaya dipilih sebagai pemandu pasukan works Proton iaitu Petronas EON Racing Team (PERT). Pada peringkat awal, Karamjit diberi kepercayaan untuk memandu jentera pacuan hadapan Proton Saga Group S 2WD, dan kemudian apabila beliau mula mendominasi kategori tersebut, PERT memberi kepercayaan padanya untuk mengemudi ‘rasaksa’ pasukan tersebut iaitu Proton Iswara Group S 4WD.

    Jentera berkenaan disumbat dengan enjin 4G63 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti Mitsubishi Galant VR4 menjana lebih 300 hp, bersama kotak gear sequential serta sistem pacuan semua roda. Kemudian apabila PERT beralih ke jentera Lancer Evolution II dan III yang dihomolagasikan sebagai Proton Wira 4WD, Karamjit mula kerap menang pada peringkat antarabangsa dan berjaya bergelar juara untuk kategori Group N dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun 1997.

    Karamjit Singh kemudiannya bergelar juara keseluruhan APRC untuk musim 2001, 2002 dan 2004 kali ini dengan jentera Lancer Evolution V dan VI yang dihomolagasikan sebagai Proton PERT, dan yang paling manis beliau dan PERT berjaya bergelar juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kelas produksi (PWRC) pada tahun 2002 hanya dalam percubaan musim pertama mereka.

    Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

    Walau bagaimanapun, pada tahap puncak berkenaan PERT telah dibubarkan dan sayap perlumbaan rasmi Proton diambil alih pasukan Proton R3 (Race.Rally.Research). Namun pasukan berkenaan masih dipimpin oleh prinsipal pasukan PERT sebelum itu iaitu Datuk Razak Dawood, dan Karamjit Singh masih memandu untuk Proton.

    Penampilan terakhir Karamjit bersama Proton R3 dalam APRC adalah pada 2011 dan 2012, di mana beliau berjaya bergelar juara untuk kategori Group N 2WD dengan Proton Satria Neo 1.6, dan memberikan cabaran sukar buat jentera-jentera lebih berkuasa dalam kelas 4WD. Karamjit juga sempat merangkul gelaran juara 2WD dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Satria Neo pasukan R3 tersebut.

    Selepas itu dengan kesukaran untuk mendapatkan penaja, Karamjit telah membeli Proton Gen2 4WD terpakai pada 2017 dan digunakan untuk berlumba sehingga kini.

    Namun Gen2 ini bukan jentera biasa-biasa. Ia ini sebenarnya telah dihasilkan oleh Proton sendiri pada tahun 2007 sebagai rakan teknikal kepada Felda Rally Team. Pasukan rali Felda tersebut diketuai oleh Brain Palmer iaitu individu yang bertanggungjawab membina banyak jentera rali Proton termasuk Satria 1.6 Group A yang telah menyertai WRC Safari Rally 1997 serta menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6.

    Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

    Dan ketika pasukan Rali Felda tersebut dilancarkan, Gen2 berkenaan dipandu oleh seorang lagi bintang rali negara yang pernah menyinar satu ketika dulu iaitu Saladin Mazlan bersama juruarahnya, Arish Qutb.

    Proton Gen2 tersebut tidak lagi menggunakan enjin 1.6 Campro S4PH asal, di mana ia telah digantikan dengan enjin 4G63 2.0 liter empat silinder turbo yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution. Bukan itu sahaja, malah kotak gear dan juga sistem pacuan empat roda dari Evo juga turut disalin terus pada Gen2 ini.

    Buat masa sekarang kereta ini dijaga dan diselenggara oleh pasukan rali tempatan iaitu MRU Motorsport. Dan walaupun usia kereta ini telah lebih 15 tahun dan usia Karamjit yang sudah melangkaui 60 tahun, masih tiada lagi pelumba tempatan yang mampu menyaingi kedua-duanya dalam pusingan tunggal Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 di Maran, Pahang Julai tahun lalu.

    Malah Karamjit turut ke Indonesia pada September 2022 untuk menyertai Rally Danau Toba 2022, yang juga merupakan pusingan kedua Kejurnas Rali Indonesia serta pusingan keempat Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) piala Asia 2022. Kali ini Karamjit dan Gen2 perlu berhadapan dengan lawan yang jauh lebih kuat iaitu jentera-jentera spesifikasi AP4 dan R5/Rally2 paling moden dalam dunia rali buat masa sekarang.

    Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

    Namun pejuangan Karamjit Singh dan juruarahnya Jagdev Singh, tamat seawal SS2 kerana berhadapan dengan masalah mekanikal dimana gandar belakang Proton Gen2 2.0L 4WD itu rosak teruk. Tetapi sebelum Gen2 itu rosak, Karamjit terlebih dahulu mengejutkan peserta lain dengan catatan masa yang begitu kompetitif.

    Pada SS1, Karamjit Singh berjaya mencatatkan masa keempat terpantas secara keseluruhan, dengan Sean Galael yang memandu Citroen R5 pasukan Jagonya Ayam berada di tempat pertama, diikuti Rifat Sungkar (Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team) dan Ryan Nirwan (Toyota GR Yaris AP4 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia).

    Masa yang dicatatkan oleh Karamjit berkenaan jelas lebih pantas dari beberapa pemandu lain yang memandu jentera yang jauh lebih moden dengan spesifikasi terkini R5, AP4 dan ProtoCars yang dikelaskan dalam kategori M1. Sedangkan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit bukan sahaja sudah berusia 15 tahun, malah ianya masuk dalam kategori M3 iaitu jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA.

    Selepas berakhirnya Rali Danau Toba, Gen2 ini tidak terus balik ke Malaysia. Ia telah diperbaiki semula dan kemudian Karamjit dan Jagdev menyertai pula Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi pada bulan Oktober.

    Tiga perlumbaan serentak berlangsung di litar yang khas dibangunkan untuk rali ini iaitu pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia yang berlangsung pada 21 Oktober, serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober.

    Kali ini, Karam dan Jagdev menang besar – muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

    Kalau anda nak tengok Proton Gen2 4WD Karamjit Singh ini, ia sekarang sedang dipamerkan di No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang sempena berlangsungnya Art of Speed 2023. Acara ini akan bermula hari ini dan tamat pada petang esok.

     
     
  • Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Walaupun tidak berjaya meletakkan nama sebagai salah satu pengeluar automotif yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada penghujung era 90’an dengan Putra WRC yang dibina oleh Prodrive, Proton tidak berputus asa untuk melangkah ke aras tertinggi perlumbaan lasak tersebut.

    Pada tahun 2008, Proton telah mendedahkan jentera rali Satria Neo S2000 yang dibina oleh satu lagi firma kejuruteraan British iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM). Jentera berkenaan dibina berdasarkan undang-undang FIA Super 2000, iaitu spesifikasi yang akan digunakan pada WRC dalam kategori kedua tertinggi kejohanan berkenaan dikenali sebagai FIA Super 2000 World Rally Championship (SWRC) bermula pada musim 2010.

    Jentera ini mula berlumba di Kejohanan Rali Antarabenua (IRC) di Eropah pada pertengahan musim 2009, dan berada di garis permulaan bersama jentera-jentera WRC lain di Rally Monte Carlo untuk pusingan permulaan WRC 2010. Namun Satria Neo S2000 ini benar-benar menyerlah dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) apabila adik kepada lagenda WRC Colin McRae iaitu Alister McRae yang memandu untuk pasukan Proton R3 dinobatkan juara keseluruhan APRC untuk musim 2011.

    Bukan itu sahaja, tempat kedua APRC untuk musim berkenaan adalah milik bekas pemandu pasukan rali dunia Subaru (SWRT) dari Australia, Chris Atkinson yang juga memandu untuk pasukan Proton R3, membolehkan Proton dinobatkan juara untuk kategori pengeluar dalam kejohanan berkenaan untuk kali ketiga.

    Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Bagi meraikan kemenangan tersebut, Proton R3 merancang untuk melancarkan model edisi khas yang dihasilkan dari model produksi Satria Neo 1.6 CPS . Dan ketika berlangsungnya pusingan keempat APRC 2012 yang diadakan di Johor, model konsep Proton Satria Neo S2000 Concept didedahkan di garis mula perlumbaan tersebut iaitu di Plaza Angsana Johor Bahru.

    Model konsep berkenaan adalah pra-tonton kepada model produksi Satria Neo S2000 yang dirancang untuk dihasilkan dan dijual di bilik-bilik pameran Proton. Ia dikhabarkan hanya akan dihasilkan sebanyak 300 unit, di mana enjin Campro CPS 1.6 asal akan disumbat dengan unit Supercharger dari Sprintex membolehkan kuasa asal 125 PS/150 Nm, melonjak ke sekitar 180 PS/200 Nm!

    Selain dari model penuh edisi terhad Satria Neo S2000 ini, Proton R3 turut merancang untuk menjual kit badan istimewa Neo S2000 Concept tersebut secara berasingan bagi membolehkan pemilik-pemilik Satria Neo sedia ada membeli dan memadankan kit berkenaan pada kereta masing-masing. Walau bagaimanapun, tidak ada satupun dari rancangan tersebut direalisasikan oleh Proton R3.

    Namun projek berkenaan nampaknya disambung oleh pakar restorasi model-model legenda Proton iaitu Dream Street Restoration (DSR), dan hasilnya anda boleh lihat pada Satria Neo S2000 Concept yang kini dipamerkan di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang sempena Art of Speed 2023 yang akan bermula esok hingga 30 Julai 2023.

    Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Menurut pengasas DSR, Suriya Sankaran, Satria Neo S2000 Concept yang disudahkan oleh syarikatnya ini adalah unit pembangunan sebenar model berkenaan, namun ia bukanlah unit yang dipamerkan di Plaza Angsana pada 2012.

    Suriya menyatakan walaupun projek dari Proton R3 tersebut terhenti pada 2012, pembuat kit badan Satria Neo S2000 ini iaitu Proreka berhasrat untuk menjadikannya kenyataan. Jadi Proreka membangunkan sendiri terlebih dahulu model tersebut menggunakan Satria Neo R3 Executive pada tahun 2014, tetapi ia tidak berjaya menyakinkan Proton untuk membawa model ini ke peringkat produksi.

    Jadi kereta pembangunan Satria Neo S2000 Concept ini tersadai di gudang Proreka sejak sekian lama. Namun pada 2021, Proreka yang memang mengenali Suriya kerana beliau sendiri memang salah seorang ahli pasukan R3 ketika projek ini diumumkan dahulu menghubunginya dan menawarkan unit pembangunan ini untuk dijual kepada DSR.

    Ketika kereta ini diterima, kit badan yang dipadankan sebenarnya masih menggunakan tanah liat. Dengan menggunakan kit badan prototaip tersebut, DSR menghasilkan acuan bagi menghasilkan produk akhir sebenar yang menggunakan bahan FRP. Manakala bonet hadapan juga kini sudah menggunakan bonet yang dibuat dari material gentian karbon kevlar (CFKRP) yang sama seperti Satria Neo R3 Lotus Racing yang dibangunkan semula oleh DSR.

    Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Jadi kit badan Satria Neo S2000 Concept dan juga bonet hadapan karbon yang dihasilkan oleh DSR ini bukan hanya dipadankan pada kereta ini, tetapi DSR turut menjualnya kepada pemilik-pemilik Satria Neo lain yang berminat.

    Seperti biasa, kereta-kereta yang direstorasi oleh DSR harus dibaraikan untuk dicat semula. Badan Satria Neo yang sudah dikenakan kit yang terdiri dari bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang dan spoiler bumbung tersebut dilayangkan dengan warna yang sama seperti jentera rali Satria Neo S2000 sebenar iaitu Traffic Yellow.

    Trivia untuk anda yang belum tahu, warna kuning ini bukan sahaja warna rasmi untuk Proton R3, malah kuning adalah “warna perlumbaan rasmi untuk Malaysia” seperti merah untuk kereta lumba dari Itali, hijau gelap untuk kereta lumba British dan warna perak untuk kereta lumba dari Jerman. Sebab itulah Alex Yoong juga menggunakan warna kuning untuk pasukan Malaysia dalam perlumbaan “world cup of motorsport” A1 GP yang disertai pada 2005 hingga 2008.

    DSR turut memberikan ‘laurel wreath’ kemenangan Proton Satria Neo dalam APRC 2011 pada pintu tailgate belakang kereta ini dalam bentuk air brush. Malah jika anda lihat dengan teliti, Satria Neo ini juga diberikan airbrush jenis holografik di sekeliling kereta yang hanya boleh di lihat menerusi pantulan cahaya.

    Holografik berkenaan adalah logo Proton pada bonet hadapan, grafik kepala harimau pada bahagian sisi, tulisan ‘Proton’ pada spoiler belakang (ketiga-tiga ini adalah seiras dengan grafik pada kereta rali sebenar Satria Neo S2000) dan juga satu lagi laurel wreath besar pada bumbung.

    Manakala pada sebelah dalam, Satria Neo ini menerima sentuhan menarik ala-DSR sendiri. Anda boleh lihat ia diberikan serlahan-serlahan kuning pada papan pemuka, panel pintu, konsol tengah dan juga tuil brek tangan. Tempat duduk bucket R3 asal dibuka dan digantikan dengan tempat duduk Recaro SR4 Tomcat.

    Upholsteri tempat duduk itu pula menampilkan sulaman “S2000 Concept” pada perehat kepala dan juga corak fabrik unik kuning hitam yang turut diberikan pada tempat duduk belakang dan juga pada panel fabrik pada pintu. Semua tali pinggang keledar asal juga telah ditukar ke warna kuning, dan pemandu menerima roda stereng deep dish tiga jejari balutan kulit Momo Mod 08.

    Kabin Satria Neo ini turut diberikan aksesori-aksesori asli dari DSR termasuk karpet kaki, set pedal aloi, tombol gear Delrin.

    Suriya turut menyatakan bahawa Neo S2000 Concept ini dibina oleh DSR dengan spesifikasi yang relevan untuk masa sekarang. Oleh sebab itu ia kini diberikan lampu projektor LED dengan lampu rendah dan tinggi, lampu nyalaan siang LED serta sistem infotainmen lengkap dalam kabin.

    Bercakap mengenai sistem infotainmen yang dipasang pada Neo S2000 Concept ini, DSR memberikan pemain utama dengan skrin Android 10-inci dari Dynavin yang turut memaparkan logo DSR ketika kunci diputar serta paparan untuk kamera undur, bersama sistem bunyi menampilkan empat pembesar suara dari Infinity serta satu subwoofer Basslink.

    Dan yang paling penting, unit rangkaian kuasa pada Satria Neo S2000 Concept ini juga adalah sama seperti dirancang oleh Proton R3 dulu – enjin Campro CPS tersebut disumbat dengan unit Supercharger dari Sprintex! Bukan itu sahaja, DSR turut memadankan aci sesondol dengan sudut bukaan lebih agresif bersama pulley boleh laras dan kotak udara gentian karbon keluarannya sendiri serta sistem ekzos prestasi keluli tahan karat dari R3.

    Namun komponen dalaman enjin pada blok termasuk omboh, rod penghubung, aci engkol dan sebagainya masih lagi kekal standard. Bagi memastikan unit Supercharger tersebut tidak ‘menghancurkan’ omboh dan komponen lain, kotak komputer asal tidak lagi digunakan dan pengurusan enjin kini dibuat dan ditala menerusi ECU jenis stand alone Links AtomX G4X.

    Art of Speed 2023: Proton Satria Neo S2000 Concept – bangkit dari tidur, disuap Supercharger oleh DSR!

    Hasilnya, Satria Neo S2000 ini mencatatkan kuasa 200 HP pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 220 Nm pada takat 4,500 rpm di atas mesin dynometer. Kuasa dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan manual dengan nisbah rapat serta nisbah akhir lebih besar 4.625.

    Ini membolehkan Satria Neo S2000 Concept ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat – jauh lebih pantas dari Satria Neo 1.6 CPS yang hanya mampu mencatatkan 10.5 saat untuk pecutan sama!

    Bagi memastikan kuasa berkenaan mampu ditangani oleh casis, seperti biasa DSR memadankan penyerap hentak boleh larasan dari Fawster Motorsport. Semua set bushing pada cagak-cagak enjin dan suspensi juga kini telah ditukar dengan komponen yang padan dengan karekter kuasa yang dihasilkan.

    Set roda juga penting untuk menampung jumlah kuasa lebih besar yang dihasilkan oleh enjin Campro CPS Supercharged ini. Oleh itu DSR memberikan set rim aluminium Enkei Tuning SC22 bersaiz 17-inci dengan lebar 7jj, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 bersaiz215/45ZR17.

    Di sebalik set rim yang besar tersebut anda turut boleh lihat Satria Neo ini menerima set brek Brembo lebih besar, terdiri dari angkup enam omboh bersama cakera dilarik berdiameter 330 mm, dan juga angkup omboh tunggal pada sebelah belakang.

    Menurut Suriya, kereta ini telah mendapat pembeli ketika projek berjalan selama dua bulan, dan pemilik baharu tersebut membawanya pulang kerumah setelah ia siap sepenuhnya. Namun disebabkan pemilik berkenaan kerap tidak berada di Malaysia, dia merasakan kereta ini perlukan tuan baharu untuk dijaga sepenuhnya.

    Harga yang dipinta? RM188,000 – ia bukanlah jualan yang mendesak kerana tuan punya kereta ini masih berat untuk melepaskannya. Kalau anda rasakan harga ini terlalu mahal, jangan risau kerana kebanyakkan aksesori yang terdapat pada Satria Neo S2000 ini masih dijual oleh DSR.

    Dan istimewa untuk Art of Speed 2023 yang berlangsung sehingga Ahad ini, anda boleh ke reruai DSR yang turut berada di Dewan C MAEPS bagi mendapatkan komponen-komponen tersebut dengan harga diskaun 20% lebih murah dari hari biasa.

    Selain dari Proton Satria Neo S2000 Concept ini, DSR turut membawa dua buah lagi kereta untuk dipamerkan di AOS 2023 iaitu Proton Wira 1.8 ‘tiang gol’ yang digunakan oleh Suriya dalam Kejohanan Rali Malaysia serta pernah dipandu uji oleh Michael Schumacher, serta replika Proton Putra WRC yang dihasilkan oleh DSR.

    GALERI: Proton Satria Neo S2000 sebenar yang didedahkan di Plaza Angsana Johor Bahru pada 2012

     
     
  • Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

    Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

    Kisah Proton Wira 1.8 EXi DOHC yang dipandu oleh Micheal Schumacher dengan kelajuan 236 km/j rasanya tak perlu lagi kami ceritakan. Kisah ini sudahpun tular sejak penulis berada di bangku sekolah, disiarkan menerusi artikel-artikel akhbar.

    Kalau anda masih belum tahu kisah tersebut, bolehlah dengar dari mulut pemilik Wira itu sendiri iaitu Suriya Sankaran menerusi video YouTube yang disiarkan oleh saluran Dream Street Restoration (DSR) pada PAUTAN INI. Dan kalau anda nak tengok sendiri ‘Wira Schumacher’ tersebut, ianya kini dipamerkan di Art of Speed (AOS) 2023 yang bakal dibuka kepada orang awam esok!

    Wira ini diletakkan di reruai DSR yang berada dalam No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang. Kenapa DSR? Ini kerana Suriya Sankaran merupakan pengasas pakar restorasi model-model Proton berkenaan yang kini diuruskan bersama anak lelakinya, Dharveen Suriya.

    Sebenarnya sudah lama Wira ini tidak diberikan livery perlumbaan. Namun memandangkan reruai DSR diletakkan di Motorsport Showcase yang mempamerkan kereta-kereta lumba sebenar, Suriya mengambil keputusan untuk mengembalikan semula Wira tersebut sebagai sebuah kereta rali sebenar.

    Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

    Anda mungkin tahu sebelum menubuhkan DSR, Suriya pernah berkhidmat dalam sayap perlumbaan Proton iaitu Proton R3. Namun sebelum itu, Suriya sebenarnya merupakan pelumba Kejohanan Rali Malaysia dari penghujung era 90’an hingga awal era Y2K dengan memandu Proton Wira ‘tiang gol’ ini.

    Dan apa yang lebih menarik, Suriya adalah peserta privateer, dan Proton Wira ini bukan hanya digunakan untuk berlumba rali, malah kereta ini merupakan kenderaan hariannya untuk ke tempat kerja dan sebagai pengangkutan utama keluarganya!

    Wira berkenaan dibeli baru oleh Suriya pada tahun 1996, dan dia menyatakan ia dibeli kerana Wira 1.8 tersebut memang kereta idamannya. Seperti yang kita tahu, Proton Wira 1.8 EXi DOHC ini dibina sebagai model ‘homologation special’ yang telah didaftar oleh Proton kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan dihasilkan hanya 2,500 unit untuk tujuan tersebut.

    Jadi sebaik sahaja keluar dari bilik pameran, anda hanya perlu pasangkan rollcage dan tukarkan suspensi yang lebih sesuai, Wira 1.8 ini sememangnya sudah layak untuk menyertai kelas Group N dalam mana-mana perlumbaan rali seliaan FIA.

    Dan itulah yang dilakukan oleh Suriya – kereta yang dibeli untuk kegunaan harian tersebut dipasangkan dengan rollcage, tukar suspensi dan tayar, dilengkapi sumpguard untuk melindungi bahagian bawah enjin serta menerima ubahsuai ringan lain seperti proses port & polish pada kepala silinder, kemudian ia sudah bersedia untuk mengharungi laluan batu kerikil paaa SS rali.

    Suriya mula berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia bermula pada musim 1997 hingga 2001, dan menentang pelumba nama-nama besar dalam negara seperti Saladin Mazlan dan Karamjit Singh yang memandu untuk pasukan-pasukan besar dalam negara ketika itu.

    Walaupun tidak sepantas pasukan-pasukan besar, Suriya mempamerkan keputusan yang konsisten dan berada dalam kelompok atas pungutan mata kejohanan. Pada tahun 1999, Suriya menerima tajaan sepenuhnya dari majikannya iaitu Shell untuk berlumba sepanjang musim berkenaan.

    Dan yang paling manis, pada Kejohanan Rali Malaysia 1999 tersebut, Suriya menang tiga dari empat pusingan untuk kategori Group N. Dan walaupun dia tidak menyertai pusingan terakhir kerana kekurangan dana, mata yang telah dikutip dalam tiga pusingan sebelum itu sudah cukup untuk membolehkan Suriya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Group N musim 1999!

    Livery Shell Helix yang digunakan oleh Suriya di AOS ini adalah versi yang digunakan pada musim 1999 tersebut, memaparkan nama juru arahnya ketika itu iaitu Allahyarham Muhammad Al-Zubaidy. Ia menampilkan grafik yang sama digunakan oleh kereta lumba Ford Falcon Dick Johnson Racing dalam perlumbaan Kejohanan Touring Car Australia era 90’an.

    Selain itu ia turut ditambah dengan beberapa perincian kecil seperti airbrush tandatangan Micheal Schumacher pada penutup hud depan, yang diambil dari sampel sebenar tandatangan Schumi pada pelapik bumbung Wira ini selepas beliau memandu ujinya dahulu.

    Selain dari Wira Schumacher ini, DSR turut membawa dua lagi jentera yang sukan permotoran bersejarah ke AOS tahun ini iaitu model konsep Proton Satria Neo S2000 yang dihasilkan oleh Proton R3 dan menerima sentuhan restomod dari DSR, serta Proton Putra WRC Concept – replika kereta WRC Proton yang pernah dihasilkan oleh firma kejuruteraan British, Prodrive satu ketika dahulu.

    Khas untuk AOS 2023 ini juga DSR turut menawarkan diskaun 20% untuk komponen-komponen prestasi Proton keluarannya yang dibawa seperti komponen casis tingkat taraf untuk model-model Proton C99 (Wira 1.8 Limited, Satria GTi dan Putra), kit badan Satria Neo, komponen material plastik diperkukuh gentian karbon kevlar (CFKRP) seperti bumbung Putra dan bonet hadapan Satria Neo, set pedal aluminium, tombol gear Delrin dan banyak lagi.

    GALERI: Koleksi gambar dan keratan akhbar peribadi Suriya Sankaran untuk Proton Wira Schumacher 1.8 EXi

     
     
  • Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

    Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

    Proton Putra WRC binaan Prodrive kini bukan lagi rahsia. Terlalu banyak gambar yang tular dan ia telah diisytihar sebagai harta kekal Proton Motorsports serta diperakui oleh Prodrive bahawa ia adalah projek yang dibuat oleh firma kejuruteraan British yang turut bertanggungjawab membina jentera-jentera WRC untuk Subaru itu.

    Dan ini, mungkin anda tidak pernah lihat lagi – pakar restorasi Proton, Dream Street Restoration (DSR) telah membawa sebuah replika Putra Prodrive WRC yang digelar Putra WRC Concept ke Art of Speed (AOS) 2023 yang bakal dibuka kepada orang awam esok!

    Anda boleh lihat Putra yang dipamerkan di reruai DSR yang berada dalam No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang ini, ia menampilkan kit badan yang sangat-sangat serupa dengan Putra WRC sebenar.

    Ia diberikan ruang roda yang lebih lebar pada keempat-empat sudut, bersama bampar hadapan dengan liang udara besar pada sebelah tengah, bampar belakang yang lebih sesuai dengan badan yang lebih lebar serta spoiler bersaiz gergasi pada but belakang yang agak seiras dengan spoiler Subaru Impreza WRCar 1997.

    Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

    Bumbung logam Putra ini telah digantikan dengan bumbung dari material plastik diperkukuh gentian karbon kevlar (CFKRP) – ia dihasilkan sendiri oleh DSR, dan bumbung ini sememangnya dijual oleh DSR untuk pemilik-pemilik Putra di luar sana. Ia juga menerima skup bumbung dan liang udara penutup bonet depan yang turut diperbuat dari gentian CFKRP yang sama.

    Replika ini tidak menerima rim O.Z Racing 18-inci seperti jentera WRC sebenar, sebaliknya ia dipadankan dengan rim 17-inci dari Advanti. Untuk pengetahuan anda, Advanti adalah pengeluar rim aloi ringan dari Malaysia yang sebelum ini membekalkan rim-rim istimewa untuk Proton R3, dan DSR turut menjadi pengedar rasmi untuk rim jenama Advanti ini.

    Bagi memastikan stance kereta ini nampak seperti sebuah jentera rali yang bersedia menawan SS permukaan tar seperti Rally Monte Carlo atau Rallye San Remo, ia dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dari Fawster Motorsport, yang juga vendor casis dan suspensi untuk DSR.

    Jika Putra WRC sebenar sehingga kini masih belum mengenakan sebarang livery perlumbaan, replika yang dihasilkan oleh DSR ini nampaknya seperti sudah bersedia dengan grafik badan untuk berlumba. Menurut pengasas bersama DSR, Suriya Sankaran, livery perlumbaan pada Putra WRC Concept ini mendedahkan rekaan grafik badan yang akan digunakan oleh DSR jika mereka menyertai mana-mana perlumbaan.

    Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

    Jangan tak tahu, Suriya bukan sahaja pernah mengembara ke seluruh dunia ketika menjadi salah seorang ahli pasukan Proton R3 yang menyertai pelbagai kejohanan rali antarabangsa dengan Proton Satria Neo S2000, malah dia juga merupakan seorang pemandu rali yang bertanding dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 1997 hingga 2001 dengan memandu Proton Wira 1.8 EXi DOHC Limited!

    Proton Wira berkenaan masih berada dalam jagaannya, dan khas untuk edisi AOS 2023, Wira yang terkenal kerana pernah dipandu oleh Micheal Schumacher tersebut diberikan kembali livery perlumbaan Shell Helix seperti yang digunakan oleh Suriya pada tahun 1997 dan 1999 untuk dipamerkan di reruai DSR.

    Kembali ke Putra WRC Concept ini, ia diberikan livery dengan warna merah-putih-kelabu-hitam. Kalau anda perasan, huruf ‘R’ pada logo DSR untuk grafik badan Putra ini berwarna hitam, berbanding merah seperti pada kereta-kereta yang telah direstorasi oleh DSR sebelum ini.

    Menurut Suriya, huruf ‘R’ berwarna hitam tersebut selepas ini akan diberikan pada kereta-kereta DSR yang digunakan pada perlumbaan litar atau rali (juga akan dikenali sebagai Black Edition), sementara huruf ‘R’ berwarna merah adalah untuk kereta yang direstorasi untuk digunakan di atas jalan raya.

    Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

    Pada sebelah kabin, replika ini turut dilengkapi dengan set rollcage lengkap – ia bukan rollcage ‘cikai’ atau ‘buat sendiri’, sebaliknya ia adalah produk sebenar keluaran Cusco. Ia juga lengkap dengan tempat duduk bucket pelumbaan dari Beltenick serta tali pinggang perlumbaan, roda stereng tiga jejari, plat perehat kaki juruarah aluminium, komputer trip rali dan juga beberapa alat pemadam api.

    Walau bagaimanapun untuk sistem rangkaian kuasa, Putra WRC Concept ini masih dijana oleh enjin asal 4G93P 1.8 liter NA empat silinder DOHC tanpa sebarang ubahsuai bersama kotak gear manual lima-kelajuan manual.

    Bagi Putra WRC sebenar, cerita berkenaan jentera tersebut sehingga kini masih lagi tergantung. Bila projek tersebut dimulakan dan mengapa ia dihentikan sebelum ia sempat menyertai mana-mana pusingan WRC masih belum terjawab dengan kenyataan rasmi.

    Namun jika melihat pada spesifikasi, Putra WRC berkenaan berkemungkinan dibina oleh Prodrive sekitar tahun 1997 hingga tahun 2000. Jika anda masih belum tahu, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

    Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau kategori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

    Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga 2021 dengan beberapa pindaan. Manakala bermula 2022, WRC telah menggunakan undang-undang Rally1 untuk kelas tertinggi yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid.

    Menerusi undang-undang WRCar yang digunakan bermula 1997, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi yang dihasilkan sekurang-kurangnya 25,000 unit untuk dijual dalam setahun, digandingkan dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka.

    Undang-undang ini dilihat berjaya kerana selepas itu lebih banyak model-model produksi biasa dengan enjin tanpa turbo dan hanya memacu roda hadapan (biasanya model-model paling popular untuk setiap jenama) seperti Peugeot 206, Skoda Octavia, Citroen Xsara, Toyota Corolla dan Hyundai Accent dijelmakan dalam spesifikasi WRCar dan bertanding dalam WRC.

    Dan undang-undang ini juga nampaknya berjaya untuk menarik minat Proton bagi bertanding di kelas utama dalam WRC selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) menggunakan jentera Group N Mitsubishi Lancer Evolution yang dihomogasikan sebagai Proton Wira 4WD ketika itu.

    Dengan kebebasan yang diberikan oleh FIA, Prodrive telah membina semula enjin 4G93T 1.8 liter tersebut dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini. Dan berdasarkan undang-undang FIA pada era tersebut, sistem pacuan empat roda Putra WRC ini juga mungkin dilengkapi dengan unit differential aktif kawalan komputer untuk bahagian tengah dan belakang.

    Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

    Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

    Ya, memang sehingga kini kita masih belum tahu kenapa projek ini tidak diteruskan. Namun jika kita tengok balik undang-undang WRCar yang ditetapkan oleh FIA, ada satu aspek yang mungkin menyebabkan Putra ‘tidak lulus’ untuk WRC, iaitu unit produksi minima yang diperlukan.

    Seperti yang disebut tadi, walaupun FIA tidak mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan model prestasi ‘homologation special’ sebanyak 2,500 unit, kerangka model asas yang digunakan perlu dihasilkan sekurang-kurangnya 25,000 unit setahun. Sementara untuk Putra, sepanjang ia diproduksi dari 1996 hingga 2000, dipercayai ia dihasilkan dalam jumlah hanya sekitar 5,000 unit – sebab itulah agak sukar untuk kita lihat Putra dipandu di atas jalan raya berbanding Satria GTi.

    Oh ya, dalam banyak-banyak gambar Putra WRC yang tular, pasti anda perasan bahawa ia sebenarnya ada satu lagi ‘kembar’ kan? Unit tersebut juga merupakan unit yang dibina oleh Prodrive, tetapi ia hanya menampilkan perubahan pada sebelah luar dengan mengenakan kit badan lebar yang sama.

    Unit tersebut adalah unit ‘mock-up’ yang dirancang untuk dipamerkan di mana-mana acara disertai Proton, sama seperti mock-up Proton Iriz R5 yang dihasilkan oleh Mellors Elliot Motorsport dan telah dipamerkan dikhalayak ramai di MAEPS pada April 2018.

    Memandangkan unit mock-up Putra WRC yang dilihat di Ibu Pejabat R3 tersebut kelihatan begitu seiras dengan unit yang dibawa oleh DSR ke AOS 2023 ini, mungkin ada kaitan ke antara kedua-dua unit tersebut?

    GALERI: Unit sebenar Proton Putra WRC binaan Prodrive yang kini disimpan di Proton R3, Shah Alam

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport tiba di Australia September ini — flagship, 221 hp/550 Nm, suspensi lebih mantap

    Toyota Hilux GR Sport tiba di Australia September ini — flagship, 221 hp/550 Nm, suspensi lebih mantap

    Toyota Australia telah umumkan ketibaan model Toyota Hilux GR Sport dari varian yang paling tinggi untuk pasaran berkenaan pada September nanti, dengan peningkatan mekanikal dan penampilan yang penting.

    Perubahan yang dilakukan bukan hanya melibatkan hal kosmetik: ia antaranya bakal memuatkan enjin diesel paling berkuasa pernah ditawarkan di sana, serta naik taraf untuk sistem suspensi. Enjn 1GD 2.8 liter turbodiesel telah ditala untuk menghasilkan 221 hp kuasa dan 550 Nm tork, dengan transmisi automatik enam-kejalajuannya juga telah diselaraskan untuk menyokong peningkatan output itu (sebelum ini 201 hp/500 Nm).

    Hilux GR Sport ini menggunakan platform “lebar” yang sama dengan Hilux Rougue, dengan penambahan 15 mm bagi ketinggian dan lebar jejaknya meningkat sebanyak 135 mm di depan dan 155 mm di belakang.

    Bagaimanapun, tetapan untuk gegelung depan dan leaf spring belakang membexakan antara versi GR Sport dan Rogue, dengan varian flagship ini dilengkapi penyerap hentak tiub tunggal KYB dengan diameter piston yang lebih besar. Dengan tiada lagi sway bar di belakang juga membolehkan artikulasi gandar dan memperbaiki jarak tanah di permukaan tidak rata.

    Toyota Hilux GR Sport tiba di Australia September ini — flagship, 221 hp/550 Nm, suspensi lebih mantap

    Cengkaman ketika off-road juga diperbaiki dengan penggunaan tayar Bridgestone Dueler AT bersaiz 265/65 R17, dipasang pada rim aloi 17-inci “Dakar”. Semua roda hadir dengan brek cakera — 338 mm dengan angkup empat-piston 28 mm didepan dan 312 mm dengan angkup piston tunggal 18 mm di belakang, dalam warna merah.

    Dari sudut penampilan, gril mesh hitam digerikan dengan tulisan TOYOTA dan lencana GR. Bampar depan rekaan baru memberikan sudut mendekati yang lebih baik, serta menampilkan perumah lampu kabus baru dan perincian bahagian bawah bampar dengan skid plate unik. Bahagian lengkung tayar juga ada kemasan hitam tambahan untuk menampung pertambahan jejak lebarnya, dan datang sekali dengan bukaan udara di depan untuk mengurangkan golakan angin.

    Hilux nampak lebih gagah dalam penampilan GR Sport ini. Bahagian bawah bingkai pintu dilindungi oleh lapik logam setebal 2 mm, begitu juga dengan kehadiran lapik di bawah badan trak ini. Bahagian belakang juga lengkap dengan palang dan bebola tunda, untuk kegunaan spesifik tersebut.

    Toyota Hilux GR Sport tiba di Australia September ini — flagship, 221 hp/550 Nm, suspensi lebih mantap

    Di dalam, Hilux GR Sport menerapkan elemen yang diilham dari rali, misalnya stereng balutan kulit dengan paddle shifter, dan jalur merah di tengah dan logo GR. Kerusinya juga disertakan logo yang sama, dan turut menerima balutan kulit dengan kemasan suede, dengan jahitan kelabu dan tali keledar merah.

    Pedal aluminium, kemasan papan pemuka “Technical Mesh”, tuil khas GR Sport dan pelapik lantai untuk semua keadaan turut menjadi perbezaannya. Sistem audio pula menggunakan JBL dengan sembilan-pembesar suara. Lima pilihan warna luaran disediakan — Glacier White, Frosted White, Stunning Silver, Eclipse Black dan Feverish Red yang dilihat ini.

    Toyota Hilux GR Sport di Austoralia akan dijual pada harga A$73,990 (RM223,538). Adakan versi ini lebih menarik dan garang berbanding Hilux GR Sport yang kita terima untuk pasaran tempatan?

    Toyota Hilux GR Sport 2023 untuk pasaran Malaysia

     
     
  • Yamaha XMax 250 2023 dilancar di pasaran Malaysia – datang terus dengan skrin TFT dan Garmin, RM24k

    Yamaha XMax 250 2023 dilancar di pasaran Malaysia – datang terus dengan skrin TFT dan Garmin, RM24k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan XMax 250 baru untuk pasaran Malaysia pada harga RM23,998 tidak termasuk insurans. Skuter baru yang dipertingkat ini pertama kali diperkenalkan kepada dunia Oktober tahun lalu. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Icon Blue dan Matt Silver.

    XMax 250 2023 ini masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, tetapi ia dipertingkat pada banyak bahagian termasuk keseluruhan panel badannya. Lampu LED hadapan dan belakangnya sekarang mempunyai pencahayaan berbentuk X, sementara lampu penunjuk arah yang (juga LED) sebelum ini terletak pada panel tepi diubah ke bahagian atas, berhampiran penghadang angin.

    Satu lagi peningkatan utama pada XMax baru adalah pada panel meter, dengan model pasaran Malaysia menerima unit seperti versi Tech Max di Eropah, iaitu TFT 4.2 inci berwarna penuh berserta satu lagi skrin LCD 3.2 inci untuk tahap laju dan bahan api di atasnya.

    Selain memaparkan informasi penting motosikal, meter ini juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi YConnect untuk memaparkan notifikasi panggilan, mesej serta status bateri. Tambah menarik lagi, ia juga boleh menunjukkan paparan penuh navigasi berasaskan Garmin (diberikan terus secara percuma) berserta keadaan trafik semasa, jangkaan waktu tiba, had laju serta pelbagai lagi.

    XMax 250 baru ini dipacu oleh enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api yang sama seperti sebelum ini, mampu menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm, dan disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.

    Kelengkapan lain pada skuter ini masih sama termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, rim padanan 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, tangki bahan api 13 liter, tinggi tempat duduk 795 mm serta berat keseluruhan 183 kg. Tiada peningkatan suspensi yang dinyatakan, dan ia masih menggunakan fork teleskopik biasa serta dua penyerap di belakang.


     
     
  • Aston Martin DB12 tiba di M’sia — 4.0L V8, 680 PS/800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.6 saat, harga dari RM1.088 juta

    Aston Martin DB12 tiba di M’sia — 4.0L V8, 680 PS/800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.6 saat, harga dari RM1.088 juta

    Aston Martin Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan secara rasmi model DB12, sebuah super tourer mewah pertama dunia untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM1.08 juta, tidak termasuk cukai dan pilihan kustom yang ditawarkan. Pengenalan ini sekaligus menjadi penanda aras tersendiri untuk Aston Martin, yang pada tahun 2023 ini menyambut ulang tahunnya yang ke-110, dan yang ke-75 untuk model DB ini.

    Kereta super tourer ini menggunakan enjin 4.0-liter V8 Twin-Turbo yang diberi talaan khusus untuk menghasilkan janaan 680 PS pada 6,000RPM dan 800Nm dari 2,750 rpm hingga 6,000 rpm. Ini mewakili peningkatan prestasi sebanyak 34% berbanding model DB11 sebelumnya. Ini dicapai melalui beberapa perubahan yang dilakukan terhadap profil cam, nisbah mampatan yang dioptimum serta pengecas turbo yang lebih besar. Aliran haba enjin ini turut diperbaiki dengan 56% bukaan ditambah untuk membolehkan udara sejuk ke radiator.

    Aston Martin DB12 tiba di M’sia — 4.0L V8, 680 PS/800 Nm, 0-100 km/j dalam 3.6 saat, harga dari RM1.088 juta

    Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan dengan pengubah tork. Pertama kali diperkenalkan untuk model Aston Martin DB ialah Electronic Rear Differential (E-Diff) yang boleh mengunci pacuan dalam masa yang sangat pantas untuk mempertingkat kendalian pendikit. DB12 boleh mencecah kelajuan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, dan mampu mencapai laju maksimum 325 km/j.

    Antara aspek yang membolehkan prestasi ini dicapai ialah penggunaan penyerap hentak adaptif pintar generasi baru dengan pertambahan 500% kemampuan untuk agihan dayanya. Ini memboleh kawalan dalam julat yang lebih luas dicapai, untuk disesuaikan dengan mod pemanduan yang ada. Selain itu, Electronic Power Assisted Steering system (EPAS) yang ada juga diperkemaskan lagi — kini dengan nisbah rak stereng 13.09:1 dengan pembolehubah, bantuan sensitif kelajuan dan pusingan penuh pada kadar 2.4 pusingan. DB12 datang dengan lima mode pemanduan — Wet, GT, Sport, Sports Plus dan Individual.

    Dengan prestasi gah seperti ini, DB12 dilengkapii cakera brek bersaiz 400 mm (depan) dan 360 mm (belakang) dengan permukaan berliang untuk kapasiti haba yang dipertingkat. Ini boleh dinaiktaraf kepada Carbon Ceramic Brakes (CCB) untuk mendapatkan prestasi brek yang lebih baik — mencecah suhu 800°C dan mengurangan berat komponen tersebut sebanyak 27 kg dan memberi kesan kepada maklum balas stereng serta pemanduan.

    DB12 hadir dengan rim aloi diperkukuh 21-inci dengan tiga pilihan rekaan — ini juga 8 kg lebih ringan berbanding rim 20-inci yang digunaan sebelumnya. Ia dibalut oleh tayar Michelin Pilot Sport 5S dengan kompaun khusus dan ditala mengikut spesifikasi pasukan dinamik Aston Martin — tayar ini ditandai dengan kod khas AML untuk membezakannya daripada model tayar berkenaan yang dikeluarkan untuk pasaran umum.

    Aston Martin DB12 merupakan model tourer dua pintu dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, yang binaannya terdiri daripada struktur badan aluminum. Wajah depan serba barunya diberikan lampu utama dan DRL LED yang memberikan imej khususnya yang tampak lebar — jejak kelebaran kereta ini juga ditambah sebanyak masing-masing 6 mm dan 22 mm untuk tayar depan dan belakang. Semua ini menonjolkan lagi penampilan DB12, dengan rekaan gril ikonik dan maskular yang dibawanya.

    Di dalam, sistem infotainmen generasi baru memberikan pengalaman tersendiri. Buat pertama kali, ia dibangunkan sendiri oleh Aston Martin, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar melalui skrin sentuh 10.25-inci beresolusi tinggi. Untuk versi standard, ia hadir dengan 11-pembesar suara, dengan turut ditawarkan sebagai pilihan ialah sistem bunyi 1,170 W dengan 15-pembesar suara yang dibangunkan bersama Bowers & Wilkins. Tentang aksesori pilihan kustom yang ditawarkan, tiada batas dikenakan untuk pelanggan.

    Aston Martin DB12 kini sudah berada di Malaysia dengan harga bermula dari RM1.08 juta, belum termasuk cukai dan pilihan kustom pelanggan. Sama seperti model lain yang dijual di sini, DB12 datang dengan perlindungan jaminan lanjutan sehingga 20 tahun.

     
     
  • Mercedes-Benz V-Class, EQV, Vito, eVito facelift 2024 diperkenal – lebih bergaya, kelengkapan dipertingkat

    Mercedes-Benz V-Class, EQV, Vito, eVito facelift 2024 diperkenal – lebih bergaya, kelengkapan dipertingkat

    Mercedes-Benz telah memperbaharui keseluruhan barisan van mereka, yang termasuk untuk penumpang dan juga komersial, dengan ia boleh didapati bersama enjin pembakaran dalaman biasa ataupun elektrik penuh. Untuk membawa penumpang, terdapat EQV, V-Class dan V-Class Marco Polo facelift, sementara untuk membawa barangan, disediakan Vito dan eVito LCV.

    Semuanya menggunakan asas daripada W447 generasi ketiga yang kali terakhir diberikan pembaharuan pada tahun 2019, dan antara rekaan baru untuk model facelift adalah pada bampar, gril serta kemasan akhir (jenis serta rekaannya bergantung kepada varian).

    Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa gril hadapan EQV, V-Class dan V-Class Marco Polo boleh mempunyai lampu LED bergantung kepada kelengkapan yang dipilih. Selain daripada itu, V-Class Exclusive juga mendapat bintang Mercedes yang tegak atas bonet buat pertama kalinya. Lampu utama Adaptive Multibeam LED diberikan secara standard atau pilihan, sementara lampu belakang dijadikan lebih gelap.

    Kemasan jalur krom di bahagian belakang juga adalah baru, datang dengan tulisan Mercedes-Benz di atasnya untuk versi penumpang, dan pemilik boleh memilih pelbagai rekaan rim dari saiz 17 hingga 19 inci, serta lima warna badan baru.

    Bahagian dalam juga turut mendapat peningkatan dengan kini menggunakan papan pemuka baru yang lebih moden. Buat pertama kalinya juga, EQV, V-Class dan V-Class Marco Polo kini datang dengan dua skrin 12.3 inci. Vito dan eVito LCV juga tidak nampak terlalu seperti van kerja apabila diberikan skrin 10.25 inci di tengah dan 5.5 inci untuk panel instrumen. Skrin ini menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini versi komersial.

    Pelbagai ciri lain turut ditambah pada van ini, dengan ada di antaranya disediakan sebagai pilihan tambahan. Ini termasuk pengecas tanpa wayar, sistem tanpa kunci, roda stereng dengan fungsi pemanas, lampu suasana 64 warna, pintu lungsur di bahagian kiri dan kanan (sekarang standard), pintu but bukaan kuasa serta brek parkir elektronik.

    Sistem bantuan pemandu yang diberikan terus juga adalah lebih lengkap, dengan EQV, V-Class dan V-Class Marco Polo mendapat terus Attention Assist, Headlamp Assist dengan pengesan hujan, Active Distance Assist Distronic, Active Brake Assist, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Intelligent Speed Assist dan Park Package.

    Vito dan eVito juga mendapat sistem hampir sama, tetapi Active Distance Assist Distronic dan Park Package diganti dengan kamera undur biasa. Sistem lain boleh didapati dengan bayaran tambahan, tetapi ia bergantung kepada model dan varian yang dipilih.

    Mercedes-Benz tidak menyatakan sebarang maklumat berkaitan enjin dalam siaran akhbarnya, jadi kita boleh menjangka ia masih menggunakan pilihan enjin sama sebelum ini. Model enjin pembakaran dalaman datang dalam pilihan enjin 1.6 liter, 1.7 liter, 2.0 liter dan 2.2 liter diesel turbo, manakala EQV dan eVito dipacu motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 362 Nm.

     
     
  • Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Mac tahun lepas, Suzuki Raider R150 Fi kini diberikan penampilan baru untuk menyegarkannya semula dalam pasaran. Harga terkini yang dikeluarkan oleh Suzuki Malaysia adalah RM8,838 tidak termasuk insurans.

    Raider R150 Fi sekarang ditawarkan dalam dua warna baru, yang dipanggil sebagai Bright Ivory/Titan Black dan Matte Bordeaux Red/Metallic Matte Fibroin Grey bagi menggantikan pilihan warna hitam/merah dan biru gelap sedia ada. Sebelum ini juga, Raider R150 pernah ditawarkan dengan edisi khas Azlan Shah.

    Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini tidak berubah, dengan ia masih dipacu oleh enjin empat strok, satu silinder, DOHC 147.3 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Model ini menggunakan rekaan unik dengan fairing kecil untuk lampu hadapan, dan didatangkan dengan ciri moden seperti lampu jenis LED, meter digital LCD serta pemula enjin elektrik serta tendang. Kunci masih menggunakan unit konvensional yang perlu dicucuk seperti biasa dan bukannya sistem kunci pintar.

    Pada bahagian suspensi, motosikal yang juga dikenali sebagai Satria 150 di beberapa negara lain ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera tetapi bahagian hadapan mempunyai angkup dua piston. Tiada ABS pada model ini.

    Kelengkapan lain pada Raider R150 Fi adalah tangki bahan api empat liter, rim aluminium 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, berat keseluruhan 109 kg serta ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk.