Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Ducati Streetfighter V4 adalah antara model yang ditunggu ramai untuk tahun 2020 dan sebelum ini ia sudah pun didedahkan sepenuhnya semasa Ducati World Premiere (DWP). Semua perincian sudah diberitahu, termasuklah harga iaitu 19,990 euro (RM93,094) untuk versi biasa dan 22,990 euro (RM107,019) versi S di Itali.

    Walaubagaimanapun, pelancaran rasminya masih belum dilakukan dan disebabkan penyebaran wabak Covid-19 sekarang, Ducati terpaksa mengambil pendekatan lain. Kali ini, untuk Streetfighter V4, pelancarannya akan disiarkan secara langsung atas talian, tanpa tetamu seperti wakil media.

    Siaran akan bermula jam 6.30 petang waktu Itali (1.30 pagi waktu Malaysia) dan anda sendiri boleh menyaksikannya melalui laman web rasmi Ducati, Facebook ataupun Youtube. Mengikut jangkaan kami, ia mungkin akan melibatkan pembentangan daripada jurutera sendiri berkenaan segala perincian motosikal tersebut.

    Mengikut maklumat yang didedahkan sebelum ini, Streetfighter V4 menggunakan enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc dengan kuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm sementara beza antara model biasa dengan model S adalah pada suspensi.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini diambil terus daripada Panigale V4, cuma Streetfighter V4 ini tidak mempunyai banyak panel badan untuk mengekalkan gaya “streetfighter” Ducati. Keunikan lain adalah pemegang yang lebih tinggi, serta lampu hadapan jenis projector dan DRL LED.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya.

    Jumlah ini ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Ducati buat pelancaran Streetfighter V4 atas talian – anda juga boleh saksikan siaran langsung malam ini

    Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Prestasi ini dicapai bukan dengan talaan kepada enjin, tetapi cuma penukaran sprocket yang lebih besar di belakang dan lebih kecil di hadapan. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Kedudukan penunggang dihasilkan untuk lebih keselesaan atas jalan biasa di mana tempat duduk hadapannya mempunyai busa 60 mm manakala tempat duduk belakang adalah 25 mm lebih rendah berbanding Panigale V4. Untuk Streetfighter V4 S, suspensinya adalah daripada Ohlins, iaitu NIX 30 dan Smart EC 2.0 untuk hadapan dan monoshock TTX36 di belakang – kedua-duanya boleh dilaras secara elektronik.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4

     
     
  • VIDEO: McLaren jelaskan bagaimana Elva boleh dipandu walaupun tidak mempunyai cermin hadapan

    Pernah pandu kereta yang cermin hadapannya pecah? Susah nak pandukan? Nak buka mata pun susah, macam tunggang motosikal tapi helmet tiada visor. Hujung tahun lalu, McLaren telah memperkenalkan model baharu yang di gelar Elva, dihasilkan bukan sahaja tiada bumbung, malah cermin depan pun tidak disertakan.

    Jadi macam mana nak pandu kereta ni? Takkan nak pakai helmet fullface setiap masa? Pengarah Kejuruteraan Rekaan McLaren, Dan Parry-Williams akan menerangkan bagaimana Elva ini direka membolehkan anda memandu kereta berkenaan tanpa gangguan aliran angin yang boleh anda tonton menerusi video di atas.

    Sebenarnya Elva diberikan fungsi Active Air Management System (AAMS) yang terletak pada bahagian hadapan kereta ini. Panel pada sistem berkenaan akan ‘menolak’ udara dari hadapan naik 120 darjah ke atas. Kemudian ia akan ditolak semula kebelakang dan akan melalui bahagian atas kepala dan bukannya tepat ke muka pemandu, atau secara teorinya satu kanopi maya terhasil dari lencongan aliran udara tersebut.

    Menurut Dan, pemandu tidak akan merasa apa-apa ganguan udara serta tidak menggangu rambut anda sekalipun dan kekal berasa selasa memandu kereta tanpa cermin hadapan ini pada kelajuan sekitar 120 km/j. Tetapi jika anda mengangkat tangan ke atas, baru anda rasa ditolak oleh angin seperti anda julurkan tangan keluar dari tingkap pada kereta biasa ketika bergerak. Dalam kelajuan lebih laju, satu panel tambahan akan keluar dari bahagian berkenaan untuk mengekalkan bentuk kanopi tersebut.

    Kenapa Elva direka sebegini? Pertamanya, ia adalah model jelmaan semula kereta lumba McLaren-Elva M1A dengan berat hanya 551 kg, yang pernah digunakan dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada tahun 1964. Jadi selain rupa, kereta ini direka tanpa bumbung dan cermin hadapan kerana McLaren mahukan ia menjadi kereta paling ringan dalam barisan modelnya buat masa sekarang dengan berat hanya 1,138 kg atau lebih ringan dari McLaren F1.

    Elva dijana oleh enjin V8 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 815 PS dan tork maksima 800 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Ini membolehkan Elva memecut 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat, serta catatan pecutan 0-200 km/j lebih laju dari McLaren Senna iaitu 6.7 saat.

     
     
  • Volvo panggil semula 700,000 unit kenderaan akibat masalah AEB – 1,802 unit di Malaysia turut terkesan

    Volvo panggil semula 700,000 unit kenderaan akibat masalah AEB – 1,802 unit di Malaysia turut terkesan

    Volvo Cars telah membuat panggilan semula peringkat global bagi lebih daripada 700,000 kenderaan yang berkemungkinan masalah brek kecemasan autonomous (AEB) yang tidak berfungsi sepatutnya dalam situasi tertentu. Masalah itu dipercayai berpunca daripada kegagalan perisian yang menyebabkan sistem tidak akan memberhentikan kenderaan bagi sesetengah objek, misalnya pejalan kaki dan pengayuh basikal.

    Masalah berkenaan pertama kali dikesan ketika penilaian dalaman Volvo sendiri, dengan XC60 yang gagal untuk mengaktifkan brek secara beterusan seperti yang sepatutnya ketika dipandu melalui laluan khas dalam ujian yang dijalankan oleh Federation of Danish Motorists (FDM).

    Menurut Volvo, sembilan model yang dibina antara Januari 2019 hingga Mac 2020 tersenarai dalam panggilan semula ini, termasuk S60, V60, V60 Cross Country, S90, V90, V90 Cross Country serta SUV XC40, XC60 dan XC90.

    Menurut syarikat itu, setakat ini belum ada lagi laporan kejadian atau kemalangan berkaitan masalah berkenaan. Sistem berkenaan masih memberikan visual dan audio amaran seperti yang sepatutnya, termasuk sokongan brek yang dijangkakan.

    Untuk pasaran tempatan, Volvo Car Malaysia memaklumkan panggilan semula ini akan melibatkan 1,802 unit model-model seperti S60, S90, XC40, XC60 dan XC90 yang dipasang di sini dalam tempoh berkenaan. Pengeluar juga memberi jaminan kepada pemilik bahawa sistem brek biasa pada semua model berkenaan tidak terkesan dengan perkembangan ini dan selamat untuk digunakan.

    VCM akan menghubungi semua pemilik yang terlibat untuk melakukan panggilan semula dan menyelesaikan masalah yang dinyatakan itu melalui kemaskini perisian, yang akan dilakukan secara percuma.

     
     
  • PKP dilanjutkan sehingga 14 April – Perdana Menteri

    PKP dilanjutkan sehingga 14 April – Perdana Menteri

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan di kaca televisyen sebentar tadi telah memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pada mulanya dijadualkan berakhir pada 31 Mac ini terpaksa dilanjutkan hingga 14 April 2020.

    Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan secara lebih awal kepada orang ramai bagi memberi ruang kepada rakyat untuk lebih bersedia menempuh tempoh lanjutan selama dua minggu itu.

    “Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku. Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” katanya.

    Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengerahkan 18,000 anggota simpanannya jika tempoh PKP dilanjutkan.

    PKP dilanjutkan sehingga 14 April – Perdana Menteri

    Tambahnya, anggota terbabit akan dipanggil untuk bertugas mengikut keadaan semasa dan saranan Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan COVID-19.

    “Saya memberi jaminan kita sudah bersiap sedia kalau ada kemungkinan (tempoh) PKP dipanjangkan, kita sudah bersedia dengan 18,000 anggota simpanan berbanding 42,000 anggota bertugas setiap hari. Keadaan ini bergantung kepada nasihat kementerian. Saya akan membuat persediaan dan akan menunggu kementerian itu untuk beri maklumat dan apabila diputuskan kalau PKP dipanjangkan polis bersedia melaksanakan tanggungjawab,” katanya seperti yang disiarkan oleh Berita Harian.

    Seperti yang sebelum ini dimaklumkan, mulai 22 Mac lalu, seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu pihak polis dalam mengawal keadaan di dalam negara. Jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat.

    Abdul Hamid turut berkata, pematuhan rakyat terdapat PKP kini dianggarkan berada pada tahap 92% selepas ia dilaksakanakan sejak 18 Mac lalu. “Anggaran itu dibuat berdasarkan statistik diperoleh daripada petugas polis yang membuat rondaan, pemantauan dan sekatan jalan setiap hari,” ujarnya.

     
     
  • Pelan rancangan produk Toyota dan Lexus dibocorkan

    Pelan rancangan produk Toyota dan Lexus dibocorkan

    Satu muatan di Instagram oleh All Car News nampaknya telah membocorkan perancangan produk masa hadapan Toyota dan Lexus, dengan selain gambar kereta, turut menunjukkan gambar skrin yang dikatakan diambil waktu pembentangan kepada para pengedar jenama itu.

    Antara yang boleh dilihat adalah penyambung generasi model sport 86 (bakal dipanggil sebagai GR86). Ia dikata bakal menggunakan enjin turbo 255 hp di atas platform baru, tetapi masih mengekalkan tetapan pacuan roda belakang seperti yang dijangka. Dalam gambar itu ia menunjukkan tanda waktu musim panas 2021 (sekitar Julai).

    Pada tahun yang sama juga Camry akan dikemas kini, sebelum model yang diperbaharui sepenuhnya diperkenalkan pada tahun 2024. Pembentangan itu juga menyatakan Avalon akan dipertingkat pada 2022, manakala ‘crossover Corolla‘ dan Venza akan tiba pada tahun 2021.

    Pelan rancangan produk Toyota dan Lexus dibocorkan

    Model serba baru seperti 4Runner dan Sequoia dirancang untuk pengenalan pada tahun 2022, dengan menggunakan asas daripada Tundra 2021 yang menggunakan platform TNGA-F baru dan dikuasakan oleh enjin V6 hibrid twin turbo baru yang menggantikan enjin V8 sebelum ini. Ia kemudiannya akan diikuti pula oleh model Tacoma pada tahun 2024.

    Untuk Lexus pula, model V8 bawah US$90,000 (RM396,198) akan dihentikan manakala model mewah LC akan diperkenalkan dengan versi prestasi tinggi LC-F yang menggunakan enjin V8 twin turbo baru. Model sedan ES dan LS akan diberikan penyegaran pada tahun 2022 manakala GS pula akan dihentikan untuk memberi laluan kepada ‘Mirai sedan RWD versi Lexus’.

    Kemudiannya, Lexus juga akan memperkenalkan IS serba baru pada tahun 2021, dan disertai oleh NX generasi baru yang menggunakan platform TNGA-K dan pilihan lima pakej kuasa. Menurut laporan itu lagi, SUV RX dan GX akan diperkenalkan sebagai model serba baru pada thaun 2023. Selari dengan rombakan semula penggunaan enjin V8, model LX akan diperkenalkan dengan pilihan enjin V6 biturbo hibrid pada tahun 2022, tetapi versi V8 masih lagi akan dikekalkan – dengan pengecas turbo berkembar.

     
     
  • Kadar pematuhan PKP dalam kalangan warga sudah capai 92%, 110 individu ditahan sejak dilaksanakan

    Kadar pematuhan PKP dalam kalangan warga sudah capai 92%, 110 individu ditahan sejak dilaksanakan

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, pematuhan rakyat terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dianggarkan berada pada tahap 92% selepas ia dilaksakanakan sejak 18 Mac lalu.

    Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan statistik diperoleh daripada petugas polis yang membuat rondaan, pemantauan dan sekatan jalan setiap hari. “Pada hari pertama, 60% (patuh) PKP, pada hari ini tahap 92%. Data ini diperoleh daripada petugas yang memantau pergerakan orang awam dan kenderaan. Kita memainkan peranan dan kuatkuasakan PKP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya sewaktu diwawacara dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pagi ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hamid turut berkata, sehingga kini, polis telah menahan seramai 110 individu atas pelbagai kesalahan melanggar PKP sepanjang tujuh hari pelaksanannya. Menurutnya, kebanyakan yang ditahan adalah membabitkan kesalahan ingkar arahan dan mencabar tugas anggota ketika sekatan jalan raya.

    Kadar pematuhan PKP dalam kalangan warga sudah capai 92%, 110 individu ditahan sejak dilaksanakan

    “Pada peringkat awal, polis mengambil pendekatan merayu, menjelaskan dan menasihati orang ramai supaya mematuhi PKP. Namun, polis tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menahan individu yang ingkar. Seramai 110 individu ditahan kerana ingkar malah ada yang bersikap biadap, mencabar, memaki hamun dan mengkasari anggota disebabkan tidak mahu beredar,” katanya dalam berita yang turut dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan pihaknya tidak akan teragak-agak menahan individu yang melanggar perintah berkenaan. “Agak sukar untuk kita memastikan orang ramai mematuhi pergerakan dibenarkan di bawah PKP. Saya minta masyarakat memahami perintah dan ia memerlukan pengorbanan semua, jangan pentingkan diri sendiri.

    “Sebagai contoh sekatan jalan raya yang dilakukan di Sungai Buloh semalam, ada yang ditanya mahu ke mana mereka beri alasan beli makanan di Sungai Buloh tetapi alamat di Shah Alam. Ada juga yang keluar rumah untuk membeli alat pertukangan. Dalam situasi itu, kita halau balik,” katanya.

    Kami di sini sekali lagi ingin menyeru anda semua duduk sahaja di rumah dan elak daripada keluar ke mana-mana sebab yang mustahak atau kecemasan. Tolong jaga kesihatan dan keselamatan diri anda, keluarga dan orang di sekeliling. Kasihanilah barisan hadapan kita termasuk anggota polis, tentera, doktor, jururawat, dan semua petugas di hospital yang bertungkus lumus menangani penularan wabak ini.

     
     
  • Polestar 2 mula diproduksi di China – crossover elektrik sepenuhnya berkuasa 408 hp/660 Nm

    Polestar 2 mula diproduksi di China – crossover elektrik sepenuhnya berkuasa 408 hp/660 Nm

    Walaupun kini dunia sedang diancam penularan wabak COVID-19, ia tidak menghalang Polestar untuk memulakan produksi model baharu mereka iaitu Polestar 2. Crossover elektrik sepenuhnya tersebut akan dihasilkan di kilang mereka yang terletak di wilayah tenggara Zhejiang, dan akan dieksport ke pasaran luar seperti Eropah, Amerika Utara serta ke seluruh China sendiri.

    “Dunia kini sedang menghadapi pergolakan yang besar akibat pandemik coronavirus. Kami mulakan produksi kami sekarang dalam keadaan yang mencabar ini, dengan fokus penuh terhadap kesihatan dan keselamatan pekerja kami. Ini merupakan pencapaian yang besar dan hasil usaha kuat dari staf dalam kilang dan pasukan yang dapat memastikan rantaian bekalan terus berjalan. Saya berikan penghormatan yang besar kepada keseluruhan pasukan – terima kasih kepada mereka!” kata CEO Polestar, Thomas Ingenlath.

    Kilang Luqiao ini dimiliki oleh Zhejiang Geely dan dioperasikan oleh Volvo Cars. “Boleh menjalankan produksi di Luqiau bermakna kami boleh membawa Polestar 2 ke pasaran dengan standard penghasilan yang tinggi dan berkualiti bermula dari peringkat paling asas,” tambah Ingenlath lagi. Penghantaran untuk pelanggan pertama dijangka akan dibuat bermula Julai tahun ini.

    Polestar 2 mula diproduksi di China – crossover elektrik sepenuhnya berkuasa 408 hp/660 Nm

    Polestar 2 ini dihasilkan menggunakan asas Compact Modular Architecture (CMA) iaitu platform yang sama untuk Volvo XC40. Crossover dengan bentuk seakan sedan ini juga sebenarnya adalah versi produksi model konsep Volvo 40.2, dan bakal memberikan cabaran terus kepada Telsa Model 3.

    Versi tertinggi Polestar 2 ini akan dijana oleh dua buah motor elektrik yang masing-masing berkuasa 204hp/330 Nm, dan diletakkan pada bahagian tengah serta gandar belakang. Ini menjadikannya sebagai sebuah crossover pacuan semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 408 hp dan tork maksima 660 Nm.

    Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat, dan bateri 78 kWj yang dibekalkan membolehkan ia bergerak sejauh 500 km (berdasarkan standard WLTP) dengan sekali cas.

    Polestar 2 mula diproduksi di China – crossover elektrik sepenuhnya berkuasa 408 hp/660 Nm

    Model ini juga hadir dengan pilihan Performance Pack yang memberikan peralatan prestasi tambahan seperti penyerap hentak dari Öhlins, brek dari Brembo, rim aloi forged berdiameter 20-inci, serta serlahan-serlahan berwarna emas pada tali pinggang keledar, angkup brek dan penutup injap angin tayar.

    Dalam kabin, model ini diberikan skrin infotainmen 11-inci diletakkan dengan format potret berasaskan sistem Android, membolehkan ia menampilkan fungsi seperti Google Maps, Google Assistant, dan Google Play Store. Polestar 2 akan dijual pada harga 39,900 euros (RM192k) di Eropah untuk model asas, manakala versi lebih tinggi akan diperkenalkan 12 bulan selepas itu dengan harga 59,900 euros (RM288k).

     
     
  • Aston Martin gantung operasi kilang produksi di UK

    Aston Martin gantung operasi kilang produksi di UK

    Seperti kebanyakan pengeluar kereta dunia, Aston Martin turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara operasi kilang produksinya di United Kingdom (UK) mulai hari ini sebagai langkah pencegahan wabak pandemik COVID-19.

    Dua kilang terbabit terletak di Gaydon, tengah England yang membangunkan kereta sport, dan satu lagi, kilang baharu di St Athan, South Wales, yang menghasilkan SUV baharu DBX.

    Pengeluar kereta berkenaan berkata, pelaksanaan penggantungan kilang produksi ini dijangka sehingga 20 April, namun pihaknya akan sentiasa memantau situasi dan “akan segera menyambung operasi apabila keadaan mengizinkan.”

    “Penularan virus ini menambahkan lagi risiko terhadap prestasi kewangan untuk tahun 2020, dengan hanya sekitar 2/3 rangkaian pengedaran di peringkat global yang masih beroperasi buat masa ini,” menurut kenyataan Aston Martin seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe.

    Beberapa jenama kenderaan dunia seperti Bentley, Honda, Toyota, Nissan, MINI, Jaguar Land Rover, turut mengambil langkah yang sama dengan menggantung sementara operasi di kilang produksi masing-masing di UK disebabkan pandemik ini. Manakala Ford pula telah menghentikan sementara kilang pengeluaran enjin di Dagemham berhampiran London dan juga Bridgend, Wales.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

    Walaupun wabak Covid-19 ketika itu sudah mula merebak, angka jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Februari 2020 masih berada pada tahap yang meyakinkan jika dibandingkan dengan Januari 2020. Perkara sama mungkin tidak akan berlaku bagi data bulan Mac 2020 nanti; terutama disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari yang sedang kita jalani ketika ini. Harapnya keadaan tidak akan menjadi lebih buruk selepas 31 Mac nanti.

    Secara keseluruhannya, sebanyak 40,403 kenderaan dijual pada Februari 2020. Ini melibatkan peningkatan 1.5% atau lebih 590 unit berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 39,813 unit. Namun, ia sebenarnya 5.3% atau 2,249 unit kurang daripada pencapaian bulan Januari lalu.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, keadaan itu disumbangkan antaranya oleh tempoh hari bekerja yang kurang disebabkan cuti Tahun Baru Cina serta kelewatan pengenalan model facelift dan baru seperti Honda Civic dan Accord.

    Kerana dua model penting ini diperkenalkan pada hujung bulan, maka tidak menghairankan angka jualan Honda jatuh, hanya mencatatkan jualan 1,759 unit kenderaan dijual. Ini adalah penurunan sebanyak 71%, atau 4,301 unit. Itu membuatkan Honda tidak lagi dapat mempertahankan kedudukan ketiga yang dihuni sebelum ini.

    Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

    Kedudukan tiga teratas masing-masing menjadi milik Perodua, Proton dan Toyota. Bagi pendahulu, Perodua, sebanyak 18,895 unit terjual, mencatat kenaikan 8.1% berbanding 17,481 unit yang direkodkan pada Januari lalu – kemungkinan besar disumbang oleh model Bezza facelift. Proton pula mencatatkan lonjakan jualan tertinggi, iaitu sebanyak 17.3% menjadi 9,974 unit (daripada 8,506 unit) disebabkan oleh pengenalan X70 CKD.

    Jualan Toyota juga meningkat 9.4% kepada 3,989 unit. Sementara Mazda pula menduduki tempat kelima dengan 1,102 unit terjual – hanya lebih dua unit berbanding Januari. Nissan pula turun ke tempat kelima dengan penurunan jualan 23.8% kepada 1,045 unit.

    Bagi jenama premium pula, Mercedes-Benz kini mengikut jejak BMW untuk tidak mendedahkan angka jualan mereka – ia hanya akan dilakukan bagi tempoh suku tahunan sahaja bermula tahun ini. Selain itu, lain-lain jenama yang menunjukkan pertumbuhan positif ialah Porsche (naik 157.1%), Lexus (naik 111.1%) dan Volvo (naik 11.3%).

    Sementara itu, bagi beberapa jenama lain juga Februari mencatatkan jualan yang positif, seperti Isuzu yang memperlihatkan peningkatan 21.9%. Namun, bagi beberapa jenama lain, jualan mereka juga menguncup – Renault (turun 55.1%), Hyundai (turun 53.8%) dan Peugeot (turun 37.4%).

     
     
  • MEM ajak kanak-kanak dan orang dewasa reka livery perlumbaan untuk Proton Iriz R5; ada hadiah menanti!

    MEM ajak kanak-kanak dan orang dewasa reka <em>livery</em> perlumbaan untuk Proton Iriz R5; ada hadiah menanti!

    Perintah arahan untuk duduk di rumah bagi membendung wabak COVID-19 bukan sahaja sedang berlangsung di Malaysia, malah ia kini sedang dijalankan di negara-negara seluruh dunia yang diancam oleh virus berkenaan. Jadi apa yang anda sedang buat di rumah sekarang? Kalau rasa berbakat, mari sertai pertandingan untuk menghasilkan livery perlumbaan pada Proton Iriz R5 yang dibuat oleh Mellor Elliot Motorsport (MEM) yang berpangkalan di UK ini!

    Ini adalah peertandingan yang bersifat ‘suka-suka’ yang tidak menjanjikan rekaan yang menang akan digunakan pada kereta lumba sebenar, namun tetap ada hadiah yang menanti pemenang berupa barangan-barangan rasmi pasukan rali antarabangsa ini. Dan ia bukan untuk orang dewasa sahaja, malah untuk kategori kanak-kanak juga turut dibuka.

    MEM ajak kanak-kanak dan orang dewasa reka <em>livery</em> perlumbaan untuk Proton Iriz R5; ada hadiah menanti!

    Untuk menyertai pertandingan ini, anda perlu masuk ke laman rasmi MEM dengan klik pada PAUTAN INI. Kemudian muat turun template yang disediakan. Untuk kategori kanak-kanak, mereka perlu menghasilkan rekaan menerusi lukisan Iriz R5 yang disediakan, manakala untuk orang dewasa pula rekaan perlu dibuat pada gambar Iriz R5 yang disediakan.

    Terpulang pada anda sama ada mahu mencetak kedua-dua imej berkenaan kemudian menghasilkan lakaran secara manual di atas kertas, mahupun dibuat secara digital menerusi komputer. Apa yang perlu dilakukan adalah hasil karya anda itu perlulah dimuat naik ke laman Facebook MEM. Kemudian, pihak MEM akan memilih pemenang bertuah pada 31 Mac 2020 nanti.

     
     
  • Bank Negara umum penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan

    Bank Negara umum penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan

    Susulan perkembangan penangguhan bayaran balik pinjaman (moratarium) yang diumumkan oleh beberapa bank sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengeluarkan satu kenyataan bahawa semua pelanggan bank secara automatiknya – termasuk bagi individu serta perniagaan kecil dan sederhana – dibenarkan untuk menangguh bayaran semula pinjaman mereka.

    The Star melaporkan bahawa ini termasuk bayaran bagi pinjaman untuk gadai janji (mortgage) dan juga sewa-beli (hire-purchase), bagi tempoh enam-bulan. Ini adalah sebahagian daripada usaha bank pusat itu untuk membantu peminjam yang berhadapan dengan kekangan kewangan sementara akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

    Penangguhan automatik ini adalah sah kepada pinjaman atau pembiayaan yang didominasi oleh mata wang ringgit, dan tiada tunggakan melebihi 90 hari, bermula pada 1 April, 2020.

    “Institusi perbankan patut memberikan maklumat lengkap kepada peminjam individu serta juga perniagaan kecil dan sederhana berkaitan bagaimana penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan dilaksanakan bagi tempoh moratorium berkenaan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.

    Bagaimapun, penangguhan ini tidak melibatkan sebarang baki bayaran terhadap kad kredit. Bagi hal ini, BNM memaklumkan pelanggan perlu ditawarkan pilihan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman dalam jangka masa tidak melebihi tiga tahun. BNM juga menjelaskan, bagi peminjam korporat, institusi perbankan adalah sangat digalakkan untuk mempertimbangkan permintaan penangguhan bayaran balik bagi tempoh moratorium berkenaan.

     
     
  • Lesen memandu, GDL dan PSV yang mati ketika PKP tidak perlu diperbaharui secepat mungkin – menteri

    Lesen memandu, GDL dan PSV yang mati ketika PKP tidak perlu diperbaharui secepat mungkin – menteri

    Menyedari kesukaran orang ramai untuk memperbaharui lesen memandu termasuk lesen vokasional (GDL dan PSV), menteri pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini membuat pengumuman bahawa mereka akan dikecualikan dari memperbaharuinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung.

    Menurutnya dalam satu kenyataan yang baharu sahaja dikeluarkan, beliau menggunakan kapasitinya sebagai menteri pengangkutan telah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 25 Mac 2020.

    Jadi dalam tempoh ini, pemandu dengan Lesen Memandu Kompeten (CDL), GDL dan PSV yang tamat tempoh tidak lagi perlu gusar atau perlu memperbaharui lesen mereka secara atas talian. Mereka hanya perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

    Namun, menteri berkenaan menegaskan walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu dinasihatkan supaya membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP. Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan tersebut wajib memiliki perlindungan insurans yang sah.

    Menurutnya lagi, keputusan dibuat selepas Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia, dan ia bertujuan memastikan perkhidmatan pembekalan barangan keperluan khususnya makanan kepada orang ramai tidak terjejas sepanjang tempoh PKP.

     
     
  • GrabExpress sedia penghantaran barangan keperluan

    GrabExpress sedia penghantaran barangan keperluan

    Selain pilihan untuk ambil sendiri pesanan di restoran, Grab turut menawarkan perkhidmatan GrabExpress untuk menghantar barangan anda. Kerana, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini penting untuk dipatuhi oleh semua orang bertujuan mengekang penyebaran wabak Covid-19, maka ini mungkin satu lagi pilihan untuk memudahkan anda mengirim barang.

    Fungsinya sama sahaja ketika anda menggunakan GrabFood. Cuma, yang dihantar adalah barangan dan bukannya makanan dari restoran. Selain itu, pengguna boleh menjejak perjalanan penunggang Grab dalam masa nyata dan lebih menarik, setiap penghantaran dilindungi insurans sehingga RM500. Pelanggan hanya perlu memastikan yang saiz kiriman mereka perlu berada tak lebih daripada 43 cm x 43 cm x 43 cm maksimum. Berat pula tak boleh lebih daripada 10 kg.

    Upah asas yang dikenakan ialah RM3.60, dengan jarak enam km pertama akan dicaj 60 sen bagi setiap kilometer. Jarak enam ke 10 km berikutnya pula akan dikenakan 70 sen bagi satu kilometer. 10-20 km selepas itu, caj akan menjadi RM1 bagi setiap kilometer. Tambahan surcaj juga akan dikenakan bagi penghantaran yang dilakukan antara 11 pagi hingga dua petang dan enam petang hingga sembilan malam – kadarnya antara RM3-RM5, bergantung kepada situasi dan permintaan.

    “Bagi memudahkan anda ketika tempoh PKP dan penjarakan sosial yang dikenakan oleh kerajaan ketika ini, GrabExpress akan memastikan anda tetap boleh mengirim barang. Makanan yang dimasak di rumah, sanitiser dan lain-lain barangan yang penting boleh dihantar tanpa ada sentuhan melalui GrabExpress,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan Grab.

    Kepada semua, teruskan beri kerja sama untuk berada di rumah. Ini sumbangan paling kecil kita boleh lakukan ketika ini untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak. Dan, kalau perlu keluar untuk urusan penting, hanya seorang wakil keluarga sahaja dibenarkan berbuat demikian.

     
     
  • Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Aston Martin telah pun mengeluarkan lebih lagi perincian tentang enjin V6 hibrid 3.0 liter baru yang dihasilkan sendiri oleh syarikat dan akan digunakan buat pertama kali pada supercar Valhalla dari tahun 2022. Enjin yang menggunakan nama kod TM01 (nama jurutera terkenal Aston Martin pada tahun 50-an, Tadek Marek) ini sudah pun melalui proses ujian dyno secara menyeluruh.

    Ia dilengkapi dengan sistem pengecas turbo, dan direka supaya boleh dipadankan dengan pelbagai sistem hibrid yang telah dibangunkan sekali bersamanya seperti hibrid ringkas dan juga plug-in hybrid. Ia juga adalah enjin pertama yang dibangunkan sendiri oleh Aston Martin sejak tahun 1968, dan akan menjadi enjin paling berkuasa Aston Martin, mengatasi enjin V12 5.2 liter 725 PS dan 900 Nm tork pada DBS Superleggera.

    Dalam satu kenyataan, Aston Martin memberitahu enjin ini boleh dibawa ke rpm lebih tinggi, dan apabila digabungkan dengan sistem hibrid, mampu menawarkan karekter prestasi sebuah kereta sports enjin tengah, pada kadar yang ekstrem. Ia akan diletakkan di belakang kabin pemandu dan dilengkapi dengan sistem takung minyak kering untuk merendahkan titik graviti. Ia juga boleh diletakkan di hadapan kenderaan dan mempunyai berat kurang daripada 200 kg.

    Aston Martin bangunkan enjin 3.0L V6 sendiri – paling berkuasa pernah dihasilkan syarikat, lebih 700 hp

    Selain daripada itu, tahap kuasa TM01 boleh diubah untuk “mengikut karekter setiap produk yang menggunakannya,” sekaligus memberikan gambaran beberapa model lain akan turut menggunakan enjin ini. Untuk tahap emisi, ia direka untuk melepasi standard emisi Euro 7.

    “Membuat pelaburan untuk pembangunan enjin sendiri adalah sesuatu yang sukar, tetapi pasukan kami telah bangun untuk menyahut cabaran ini. Pada masa hadapan, unit kuasa ini akan menjadi aspek penting kepada banyak perkara yang kami lakukan dan tanda awal yang ditunjukkan olehnya adalah sangat mengujakan,” kata CEO Aston Martin, Andy Palmer.

     
     
  • General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    Kilang-kilang pengeluar automotif seantero global kini banyak yang sudah tutup kerana pandemik Covid-19. Ia bukan sahaja untuk mengekang penularan wabak tersebut, malah bagi mengurangkan kerugian kerana jualan yang semakin merudum kerana situasi ekonomi yang semakin tidak menentu kerana Coronavirus ini.

    Jadi dengan pemberhentian operasi produksi kenderaan di kilang-kilang berkenaan, ada pengeluar yang mengambil inisiatif bagi menghasilkan peralatan untuk hospital untuk membantu usaha merawat pesakit-pesakit positif Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat.

    Untuk jenama dari Amerika Syarikat, General Motors (GM), mereka telah mengumumkan kerjasama dengan pengeluar peralatan perubatan iaitu Ventec bagi menghasilkan alat bantuan pernafasan untuk kegunaan hospital-hospital di negara berkenaan bagi merawat pesakit-pesakit COVID-19, lapor New York Times.

    Kerjasama yang diberi nama ‘Project V’ ini akan memproduksi alat berkenaan di kilang GM yang terletak di Indiana. Sehubungan itu, GM telah mengaturkan 95% bekalan komponen yang diperlukan untuk menghasilkan alat tersebut, dan mereka kini sedang mencari lagi sumber untuk 37 komponen lain yang diperlukan, tulis satu email dari naib presiden GM untuk pembelian global, Shilpan Amin kepada pembekal-pembekal.

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    GM Kokomo Operations brought balers together in one central location to recycle a number of different materials more efficiently.

    Menurut sumber yang berkait rapat degan projek ini, kerjasama berkenaan mensasarkan untuk memproduksi sejumlah 200,000 alat bantuan penafasan itu.

    “Ventec Life System dan General Motors telah berusaha keras bagi mengimplementasikan rancangan untuk menghasilkan lebih alat bantuan pernafasan. Dengan sokongan GM, Ventec kini sedang merancang untuk meninggikan lagi produksi alat bantuan pernafasan berkenaan secepat yang mungkin,” kata jurucakap GM, Dan Flores.

    Kumpulan pertama komponen-komponen berkenaan akan dihantar oleh pembekal kepada GM pada 6 April, manakala produksi pembekal pula akan bermula ‘dalam masa lagi dua atau tiga minggu’, kata Amin dalam email tersebut. Walau bagaimanapun, bila GM akan memulakan operasi produksi alat berkenaan masih lagi belum jelas.

    Salah satu pembekal komponen automotif, Creative Foam Corp turut akan menyertai projek ini, dan telah pun mempunyai divisi khas untuk sektor perubatan, menurut laporan berkenaan. Syarikat swasta tersebut akan mula menghasilkan komponen berasaskan span untuk bagi sistem penapis udara alat bantuan pernafasan itu minggu ini.

    General Motors akan hasilkan alat bantuan pernafasan di kilangnya, bantu usaha rawatan COVID-19 di AS

    The dispension of the battery slurry is done manually in gloveboxes.

    Syarikat yang berpangkalan di Minneapolis, Twin City Die Castings yang telah menandatangani kontrak dengan Ventec sembilan bulan lalu akan meningkatkan kapasiti komponen yang dihasilkan mereka kerana permintaan yang semakin meningkat. Sebelum ini Ventec hanya mensasarkan untuk memproduksi 150 alat bantuan pernafasan sebulan, dan selepas ini ia boleh meningkat kepada 20,000 sebulan.

    Selain GM, pengeluar automotif lain juga dilaporkan menghasilkan peralatan untuk perubatan di kilang mereka. Ford kini sedang menghasilkan topeng muka, begitu juga dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) sedang berusaha untuk memproduksi lebih dari sejuta topeng muka sebulan.

    Kapasiti produksi untuk pembuatan topeng muka tersebut akan dipasang di kilang mereka minggu ini, manakala operasinya akan bermula minggu hadapan. Menurut FCA, topeng muka ini akan terlebih dahulu didermakan kepada mereka yang memerlukan di seluruh Amerika Syarikat, Kanda dan Mexico.

    Manakala di Itali, FCA dan Ferrari kini sedang berbincang dengan pengeluar alat bantuan pernafasan terbesar di sana iaitu Siare Engineering bagi meningkatkan pengeluaran alat berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024