Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi generasi baharu dilancarkan di S’pura, bermula RM197k-RM212k untuk 1.3 X AT & 1.5 H AT

    Perodua Myvi generasi baharu dilancarkan di S’pura, bermula RM197k-RM212k untuk 1.3 X AT & 1.5 H AT

    Setelah berada lebih setahun berada dalam pasaran, Perodua Myvi generasi ketiga kini secara rasmi dilancarkan di seberang tambak, Singapura oleh pengedarnya Perocom Auto Pte Ltd. Hatchback segmen-B tersebut ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.3 X AT dan 1.5 H AT.

    Harga? Model asas dijual pada harga SGD64,800 (RM197,093), manakala varian tertinggi berharga SGD69,800 (RM212,301) – kedua-duanya termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).

    Pelancaran berkenaan telah dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelanggan, berlangsung di bilik pameran syarikat berkenaan di Ubi. Perocom telah menjadi pengedar tunggal Perodua di Singapura sejak 1997, dan telah menjual model-model seperti Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza.

    “Kemasukan Myvi generasi ketiga ke Singapura adalah penting bagi jenama kami walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang ini. Ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    “Perodua Myvi mendapat sambutan yang sangat baik oleh rakyat Malaysia, dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia yang menanti-nantikan ketibaan model generasi ketiga ini,” kata Pengarah Urusan Perocom Auto Pte Ltd En John Ng pula.

    Sebelum ini, Myvi generasi baharu ini turut telah dieksport ke Indonesia, namun ia dijual dengan lencana Daihatsu di sana, menggunakan nama Sirion.

     
     
  • Ford perkenal kunci anti-kecurian – elak isyarat digodam dengan penderia pergerakan di dalamnya

    Ford perkenal kunci anti-kecurian – elak isyarat digodam dengan penderia pergerakan di dalamnya

    Sistem kunci pintar dengan fungsi kemasukan tanpa kunci sememangnya antara ciri yang memudahkan pengguna kereta buat masa sekarang. Namun menerusi sistem ini juga, ia turut memudahkan pencuri untuk menjalankan tugas mereka – isyarat sistem berkenaan boleh digodam untuk membuka kunci tanpa melakukan apa-apa tindakan fizikal terhadap kereta tersebut.

    Kini, Ford telah menemukan kaedah yang bijak bagi mengatasi masalah berkenaan dengan pengenalan sistem kunci baharu untuk model-model mereka. Kunci anti-kecurian ini dilengkapi dengan penderia pergerakan di dalamnya, yang mengesan sama ada kereta tersebut bergerak atau tidak selepas dikunci.

    Jika kereta berkenaan didapati tidak bergerak dalam masa 40 saat, kunci ini akan masuk ke mod tidur dan secara tidak langsung tidak akan berinteraksi dengan isyarat lain yang dibuat oleh penggodam bagi mengaktifkan kotak geganti untuk membuka kunci tersebut.

    Menurut Ford, alat untuk menggodam isyarat berkenaan terlalu mudah untuk didapati dan ia turut boleh dibeli secara dalam talian, memudahkan pencuri bagi melakukan kegiatan mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab syarikat berkenaan bagi melindungi pengguna mereka, khususnya pemilik-pemilik model popular Ford.

    Buat permulaan, sistem ini akan diberikan pada pengguna pasaran Britain untuk dua model paling popular iaitu Focus dan Fiesta. Pemilik-pemilik model tersebut boleh ke pengedar sah mereka bagi menggantikan kunci berkenaan dengan harga £65 (RM350) untuk Fiesta dan £72 (RM388) untuk Focus, manakala upah pasangnya pula dicaj selama 0.9 jam. Dalam tempoh dua tahun lagi, kesemua model-model Ford akan dilengkapi dengan teknologi ini secara standard.

     
     
  • Nissan Versa 2020 didedahkan – Almera pasaran Amerika dengan enjin 1.6 liter, Safety Shield 360

    Nissan Versa 2020 didedahkan – Almera pasaran Amerika dengan enjin 1.6 liter, Safety Shield 360

    The all-new high tech 2020 Nissan Versa features Nissan Safety Shield 360 and a new design with lower, wider and longer exterior dimensions.

    Seperti yang dijanjikan semalam semasa menyiarkan gambar Nissan Versa generasi baharu yang bocor, atau untuk pasaran ASEAN ia dikenali sebagai Nissan Almera, hari ini kami telah menerima perincian lengkap terhadap kereta yang membuat kemunculannya pada Tortuga Music Festival di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat tersebut.

    Berbanding model sedia ada, rupa sedan segmen-B ini sememangnya berubah, dan ia kini jauh lebih kacak tanpa rupa yang pelik. Muka hadapan model ini kelihatan lebih lebar, dan ia sebenarnya hampir seiras dengan versi hatchbacknya iaitu Nissan March pasaran Eropah. Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Versa sedan ini menerima gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Model generasi baharu ini turut menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan. Bermula dari tiang-C, Versa sedan menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Nissan Versa 2020 didedahkan – Almera pasaran Amerika dengan enjin 1.6 liter, Safety Shield 360

    The all-new high tech 2020 Nissan Versa features Nissan Safety Shield 360 and a new design with lower, wider and longer exterior dimensions.

    Pada bahagian dalaman, Versa Sedan 2020 menerima papan pemuka lebih tersendiri berbanding March, dan ia direka dengan elemen lebih melintang dengan ‘sayap’ yang merentangi papan pemuka tersebut, bersama rekaan panel instrumen yang digelar ‘Gliding Wing‘. Roda stereng pelbagai fungsi rata di bawah turut diberikan bersama skrin infotaimen baharu pada bahagian tengah papan pemuka.

    Ciri-ciri lain yang ditawarkan untuk model pasaran Amerika Syarikat ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemanas tempat duduk hadapan, sistem penghawa dingin automatik dan juga sokongan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Sistem keselamatan pada model pasaran AS ini juga agak tinggi dengan dilengkapkan bersama pakej sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, yang terdiri dari Brek Kecemasan Automatik, Brek Automatik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Belakang, Intelligent Driver Alertness dan Cruise Control Pintar.

    Nissan Versa 2020 didedahkan – Almera pasaran Amerika dengan enjin 1.6 liter, Safety Shield 360

    The all-new high tech 2020 Nissan Versa features Nissan Safety Shield 360 and a new design with lower, wider and longer exterior dimensions.

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, Versa Sedan akan dijana enjin 1.6 liter empat silinder berkuasa 122 hp dengan tork maksima 155 Nm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi pilihan kotak gear sama ada CVT automatik Xtronic yang telah dikemaskini atau manual lima-kelajuan.

    Nissan Versa Sedan akan mula dijual pada pasaran Amerika bermula musim panas tahun ini. Model generasi baharu ini juga hanya akan dipasarkan dalam versi sedan di negara tersebut, tanpa ditemani model hatchback seperti model sebelum ini.

    Bagaimana pula untuk pasaran lain? Menurut laporan portal Thailand, headlightmag, Almera generasi baharu ini mungkin akan diperkenalkan di China (dikenali sebagai Sunny) selepas ini. Seterusnya pasaran Thailand menjelang suku keempat 2019, dan mungkin akan dijual menerusi undang-undang Kereta Eco Thailand fasa kedua – ini bermaksud negara berkenaan mungkin akan menerima enjin petrol NA 1.0 liter tiga-silinder seperti March, yang menjana 71 hp/95 Nm.

    Jika benar apa yang didakwa ini, kita mungkin akan menerima model berkenaan tidak lama selepas Thailand. Untuk rupa, kita tidak perlu risau kerana rekaan asas Almera generasi baharu ini sudah pun cukup handsome. Yang menjadi persoalan sekarang ini, apa enjin dan spesifikasi lain yang akan di terima pada pasaran Malaysia?

    Buat masa sekarang, Edaran Tan Chong Motor menjual Almera yang dijana enjin 1.5 liter empat silinder HR15DE berkuasa 101 hp/139 Nm, dan varian tertinggi menerima hanya dua-beg udara serta brek ABS dengan EBD dan BA, tanpa sistem ESC.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

    TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

    Nama Honda Monkey sudah mencapai tahap ikon atau lagenda dalam industri permotoran. Awalnya semasa baru diperkenal pada tahun 1960-an, ia direka hanya sebagai satu pilihan pengangkutan yang memudahkan dan untuk jarak pendek sahaja. Sebab itulah saiznya agak kecil dan cuma dilengkapi dengan enjin 50 cc.

    Semakin masa berlalu, ramai pula yang menemui keseronokan menunggang motosikal kecil seperti ini dan mungkin disebabkan itu jugalah munculnya satu lagi segmen baru dalam dunia motosikal digelar sebagai fun bike. Kemudiannya juga muncul beberapa model motosikal ringkas lain seperti Suzuki Choinori (awal tahun 2000) dan Honda Motocompo (tahun 80-an dan boleh diletakkan dalam bonet kereta).

    Walaupun sudah terdapat banyak model lain yang mengisi segmen fun bike seperti Kawasaki Z125 Pro ataupun Honda MSX125, populariti Monkey tidak tergugat kerana sejarah yang ada. Namun beberapa tahun yang lalu, berita sedih dikeluarkan oleh Honda kerana mereka mahu menghentikan pengeluaran Monkey.

    Tetapi itu bukan tanda noktah baginya. Honda sebenarnya sedang membangunkan Monkey generasi baru dan tidak lama selepas itu ia pun didedahkan. Asas yang digunakan adalah daripada Honda MSX125 ataupun lebih dikenali sebagai Grom di luar negara, namun bentuk badannya masih lagi unik dan sama seperti Monkey sebelum ini.

    Melalui Monkey generasi baru ini juga saiznya kini sedikit lebih besar daripada Monkey asal, tetapi ia masih lebih kecil daripada kapcai biasa. Apabila orang dewasa duduk di atasnya, ia masih lagi memberikan rupa lucu, dan sebenarnya itulah sebab motosikal ini dipanggil sebagai Monkey atau Gorilla – kerana penunggangnya nampak seperti dua haiwan tersebut.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Perodua Bezza 1.3L Limited Edition

    Kalau anda belum tahu, sempena Malaysia Autoshow yang berlangsung hujung minggu ini, Perodua ada keluarkan model Bezza Limited Edition yang terhad untuk 50 unit sahaja. Ia menggunakan asas daripada varian Bezza Premium X 1.3L.

    Apa kelainan yang ditampilkan. Tak banyak, melainkan penambahan aksesori dan bodykit sahaja. Versi ni guna aksesori Gear Up disekeliling badannya, dan ada tambahan pelekat hiasan. Enjin semua tak kacau, sama juga macam yang sebelum ini.

    Tapi, harga ada perbezaan. Bezza Limited Edition ni dijual pada harga RM44,890, lebih RM3,000 daripada varian asasnya. Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh tonton video ini. Kemudian kami nak tahu, agak-agak berbaloi tak nak tambah RM3k untuk aksesori unit Bezza edisi terhad ni?

     
     
  • PANDU UJI: Honda HR-V Hybrid – enjin 1.5L yang jauh lebih berkuasa dan menyeronokkan untuk dipandu

    PANDU UJI: Honda HR-V Hybrid – enjin 1.5L yang jauh lebih berkuasa dan menyeronokkan untuk dipandu

    Untuk pasaran tempatan, Honda merupakan antara pengeluar yang menjadi pelopor paling konsisten dalam memperkenalkan model-model kenderaan hibrid sejak kira-kira 10 tahun terakhir (masih ingat dengan Honda Insight?). Bagi tempoh setahun dua kebelakangan ini pula, ada tiga model hibrid terbaru yang dilancarkan untuk pelanggan di sini.

    Dua daripadanya diperkenalkan pada 2017, iaitu Honda City Hybrid dan juga Honda Jazz Hybrid (turut dikenali dengan nama Sport Hybrid i-DCD). Ia bersekali dengan pengenalan versi facelift bagi kedua-dua model berkenaan, dengan tambahan satu varian terbaru bagi model hibrid.

    Kini, di tahun 2019, Honda Malaysia sekali lagi menggunakan pendekatan yang sama. Pengenalan SUV kompak Honda HR-V facelift terbaru turut menghadirkan sekali tambahan penawaran bagi versi hibrid. Ia menjadi SUV kompak hibrid yang pertama dipasarkan di sini dan lebih menarik, Malaysia menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima model berkenaan secara rasmi.

    Bagaimanapun, Honda HR-V Hybrid 1.5L DOHC i-VTEC ini bukanlah penawaran dengan spesifikasi paling tinggi model berkenaan. Ini kerana, daripada empat varian yang ditawarkan (semuanya dengan pilihan enjin 1.8L sama seperti sebelum ini), versi hibrid berada di tangga kedua di bawah varian HR-V RS yang datang dengan senarai kelengkapan dan kemasan lebih tinggi berbanding model hibrid. Dua lagi varian ialah V dan yang paling rendah, E.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga bahan api minggu ketiga 2019 – RON 97 naik

    Harga bahan api minggu ketiga 2019 – RON 97 naik

    Selepas ‘berehat’ minggu lalu, harga petrol RON 97 nampaknya naik lagi untuk minggu hadapan. Bermula esok, harga RON 97 akan dijual pada harga RM2.68 seliter, naik lima sen dari sebelum ini.

    RON 95 pula sememangnya telah ditambat pada harga RM2.08 seliter, manakala Diesel Euro 2M pula masih tidak berubah pada harga RM2.18 seliter, begitu juga diesel 5M dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Kerajaaan turut memberitahu, sekiranya RON 95 tidak ditambat, harga jualannya untuk minggu ini akan meningkat kepada RM2.38 seliter, manakala diesel Euro 2M pula adalah RM2.39 seliter mengikut kiraan Mekanisma Harga Automatik (APM).

    Seperti biasa, harga yang diumumkan ini akan berkuatkuasa pada tengah malam ini (13 April) sehingga 19 April 2019.

     
     
  • Nissan Almera generasi baharu – imej bocor sebelum pelancaran, muka seiras Nissan March pasaran Eropah

    Nissan Almera generasi baharu – imej bocor sebelum pelancaran, muka seiras Nissan March pasaran Eropah

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Nissan Versa Sedan atau Nissan Almera generasi baharu akan didedahkan hari ini, 12 April 2019. Namun sebelum sempat kami menerima perincian rasmi dari Nissan, gambar model berkenaan telah pun bocor dan disiarkan oleh laman dari Thailand, headlightmag.

    Seperti yang anda lihat, muka Almera generasi baharu ini menampilkan rekaan yang hampir serupa dengan hatchback Nissan March pasaran Eropah, dan ia berkemungkinan besar diasaskan dari platform yang sama. Perbezaan antara kedua muka model berkenaan hanyalah pada rekaan gril V-motion, di mana Almera/Versa Sedan menerapkan rekaan gril sarang lebah.

    Sekali imbas, lampu hadapan kedua-dua model tersebut juga sama dengan kluster dan lampu nyalaan siang berbentuk anak panah yang sama. Tetapi jika diperhatikan, rekaan grafik dalaman lampu berkenaan adalah sedikit berbeza.

    Nissan Almera generasi baharu – imej bocor sebelum pelancaran, muka seiras Nissan March pasaran Eropah

    Manakala untuk bahagian belakang, seperti yang dijangka sebelum ini, ia direka seakan abang sulungnya iaitu Nissan Altima generasi terkini. Ia bermula pada tiang-C yang diberikan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, sehingga lampu belakang yang direka seakan bentuk boomerang.

    Bahagian dalaman juga menerima perubahan drastik dari model sedia ada dengan papan pemuka yang lebih elemen melintang, dan ia kelihatan berbeza dengan March. Paparan instrumen juga nampaknya seperti menampilkan unit digital sepenuhnya, tetapi untuk pasaran ASEAN ada harapan ia masih menggunakan meter-meter analog konvensional.

    Boleh dijangkakan, Versa Sedan/Almera ini mungkin akan dijana oleh enjin yang sama dengan March. Bagi pasaran Eropah, March hadir dengan dua pilihan enjin petrol iaitu versi 0.9 liter tiga-silinder disuap pengecas turbo berkuasa 90 hp/140 Nm, dan juga versi 1.0 liter tiga-silinder NA menghasilkan 71 hp/95 Nm. Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Nissan Almera generasi baharu – imej bocor sebelum pelancaran, muka seiras Nissan March pasaran Eropah

    Menurut laporan headlightmag lagi, selepas Amerika Syarikat, Almera generasi baharu ini mungkin akan diperkenalkan di China (dikenali sebagai Sunny), seterusnya pasaran Thailand menjelang suku keempat tahun ini, dan akan dijual menerusi undang-undang Kereta Eco Thailand fasa kedua. Jika benar apa yang didakwa ini, kita mungkin akan menerima model berkenaan tidak lama selepas itu.

    Lebih perincian akan kami paparkan selepas kereta ini didedahkan secara rasmi ketika berlangsungnya Tortuga Music Festival di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat sedikit masa lagi.

    Kemaskini: Nissan Versa/Almera 2020 telah diperkenalkan secara rasmi dan anda boleh baca artikelnya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Bentley mula keluarkan teaser Flying Spur baharu

    Bentley telah mula mengeluarkan teaser untuk model Flying Spur serba baru generasi ketiga, yang sebenarnya adalah versi Continental GT empat pintu, yang akan diperkenalkan secara rasmi hujung tahun ini. Sehingga kini, pengeluar itu cuma baru mengeluarkan lukisan bayang kenderaan tersebut, serta video yang menunjukkan logo hiasan yang boleh masuk dan keluar daripada hud.

    Melalui lukisan tersebut, anda boleh melihat garis yang membina karekter kenderaan ini, yang turut menampakkan bonet panjang serta bahagian belakang yang mempunyai sedikit bonjolan pada hujung but. Tanda-tanda ini juga boleh dilihat pada beberapa spyshot Flying Spur baru ini, manakala bahagian depannya lebih mirip kepada Continental GT. Bahagian lain lebih kepada evolusi daripada model generasi sebelumnya.

    Ciri mewah ada kalanya tertumpu pada perincian, dan Flying Spur baru ini nanti pasti akan mengetengahkan benda yang sama. Logo hiasan di depan itu contohnya, mempunyai sayap berlampu untuk menyerlahkan lagi penampilan visualnya, dan sirip yang terperinci. Bahagian dalam kenderaan masih lagi tidak pernah dilihat tetapi pastinya ia akan dilengkapi dengan hasil kerja berkualiti tinggi.

    Bentley mula keluarkan teaser Flying Spur baharu

    Untuk enjin, Flying Spur baru ini dijangka datang dengan enjin W12 6.0 liter twin-turbo, yang juga digunakan pada Continental GT dan Bentayga. Berkemungkinan juga model V8 akan diperkenal, sebagai pilihan bagi mereka yang tidak mampu memiliki model berenjin 12 silinder.

    Sebagai tambahan, kenderaan yang dibangunkan juga memberi petunjuk bahawa versi plug-in hybrid untuk Flying Spur ini akan ditawarkan, yang mana ia mungkin menggunakan pakej kuasa sama seperti Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid.

    GALERI: Spyshot Bentley Flying Spur generasi baru

    GALERI: Spyshot Bentley Flying Spur PHEV generasi baru

     
     
  • Idea Mazda 3 berprestasi tinggi muncul semula – guna enjin 2.5L turbo, 250 hp/420 Nm, pacuan semua roda!

    Idea Mazda 3 berprestasi tinggi muncul semula – guna enjin 2.5L turbo, 250 hp/420 Nm, pacuan semua roda!

    Sebelum ini, CEO dan Presiden Mazda Akira Marumoto mengesahkan bahawa tiada hot-hatch yang akan dihasilkan oleh syarikatnya berdasarkan model Mazda 3 generasi terkini. Tetapi lain pula yang dikatakan oleh pengurus program Mazda 3, Kota Beppu yang menyatakan versi berprestasi tinggi berkenaan akan dihasilkan kelak.

    “Saya adalah ‘mat kereta’, jadi saya sendiri mahukan Mazda 3 berprestasi tinggi…Saya akan lakukan yang terbaik,” kata Beppu kepada Autocar ketika pelancaran Mazda 3 di Australia. Beppu juga menegaskan bahawa model sedemikian mempunyai permintaan tinggi dari kebanyakkan “negara-negara maju”, termasuk Amerika, Jepun dan Australia.

    Bukan sekadar cakap kosong, Beppu juga mendedahkan bahawa mereka sudah pun membincangkan unit janakuasa yang akan digunakan untuk model berkenaan, iaitu enjin 2.5 liter turbo dari model-model besar Mazda (seperti Mazda 6) pada pasaran Amerika Syarikat, berkuasa 250 hp dengan tork puncak 420 Nm.

    Idea Mazda 3 berprestasi tinggi muncul semula – guna enjin 2.5L turbo, 250 hp/420 Nm, pacuan semua roda!

    Mazdaspeed 3/Mazda 3 MPS

    Beppu juga menjelaskan dengan kuasa yang begitu besar berkenaan, hot-hatch Mazda 3 tersebut mungkin akan disertakan sekali dengan sistem pacuan semua roda. “Mazda 3 merupakan kereta yang ringan, jadi jika dibekalkan dengan kuasa yang begitu besar… dan kita kekalkan pacuan hadapan fenomena torque steer pasti akan berlaku,” katanya dan mengingatkan bahawa Mazda 3 generasi baharu berkenaan kini sememangnya mempunyai varian AWD dengan suspensi torsion beam belakang rekaan istimewa.

    Walau bagaimanapun, model ini tidak akan dihasilkan sebagai model hardcore untuk pemanduan litar, sebaliknya akan menjadi hot-hatch yang sesuai untuk kegunaan harian. “Ia perlu direka bertanggungjawab dan mesra…lebih mesra dari Golf GTI,” kata Beppu dan menambah “ia perlu laju”.

    Namun menurut Autocar, projek ini mungkin akan berhadapan dengan masalah untuk memenuhi piawaian emisi terutamanya untuk pasaran Eropah. Enjin 2.5 liter turbo yang dinyatakan tadi tidak ditawarkan pada pasaran Eropah setakat ini dan ia mungkin tidak lulus ujian di benua berkenaan.

    Idea Mazda 3 berprestasi tinggi muncul semula – guna enjin 2.5L turbo, 250 hp/420 Nm, pacuan semua roda!

    Mazda Familia 323 B8 Interplay GT-R

    Jika ia benar-benar dihasilkan kelak, ini bukanlah Mazda 3 berprestasi tinggi pertama dalam pasaran. Sejak dari model generasi pertama pada 2007, jenama dari Hiroshima tersebut telah pun hadir dengan hot-hatch Mazdaspeed 3 atau pada pasaran tertentu digelar sebagai Mazda 3 MPS, dijana enjin 2.3 liter turbo menghasilkan 267 ps/380 Nm. Ia terus dihasilkan pada Mazda 3 generasi kedua dengan enjin yang sama, tetapi tidak untuk generasi ketiga.

    Malah pada era 80’an dan 90’an ketika model ini dikenali sebagai Mazda Familia 323, ia turut meriah dengan pelbagai versi berprestasi tinggi seperti B6 Clair dan juga B8 Interplay GT-R.

    Untuk model lebih liar bagi Mazda 3 generasi keempat ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan terus digelar sebagai Mazdaspeed 3/Mazda 3 MPS atau Mazda akan memberikannya satu nama baharu.

     
     
  • Audi S6, S6 Avant, S7 Sportback – enjin 3.0L V6 TDI ditambah dengan sistem 48 volt, compressor elektrik

    Audi S6, S6 Avant, S7 Sportback – enjin 3.0L V6 TDI ditambah dengan sistem 48 volt, compressor elektrik

    Selepas memperkenalkan SQ5 TDI dengan tambahan kuasa elektrik pada bulan Februari, Audi kini telah menawarkan pakej kuasa yang sama pada model S6, S6 Avant dan S7 Sportback pula. Tiga model baru ini didedahkan buat kali pertama, dan semuanya dikuasakan oleh enjin 3.0 liter V6 TDI yang mampu menghasilkan kuasa 349 hp dan 700 Nm tork pada antara 2,500 hingga 3,100 rpm. Transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro diberikan secara standard.

    Bahagian baru pada enjin ini adalah compressor janaan elektrik (EPC, supercharger), yang mana menurut Audi dapat memberikan pecutan sangat berkuasa dan fungsi boost berulang waktu memecut. Ia mempunyai waktu respon bawah 250 milisaat, dan memberikan kuasa tertinggi tujuh kW (kelajuan putaran maksimum 70,000 rpm).

    Unit EPC ini – yang secara visualnya nampak seperti pengecas turbo dan diletakkan betul-betul pada bahagian intake – bekerjasama sekali dengan pengecas turbo. Daripada dua sistem ini, ia dapat menghasilkan tork serta merta apabila baru mula bergerak ataupun memecut tiba-tiba pada rpm rendah. Model S6 Sedan yang dilengkapi dengan EPC V6 TDI boleh memecut 0-100 km/j dalam masa lima saat, sementara S6 Avant dan S7 Sportback masing-masing mengambil masa 5.1 saat. Seperti biasa, kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Audi S6, S6 Avant, S7 Sportback – enjin 3.0L V6 TDI ditambah dengan sistem 48 volt, compressor elektrik

    Selain mempunyai prestasi boost daripada EPC, sistem hibrid ringkas 48 volt (MHEV) dan belt alternator starter (BAS) pula membantu dalam penjimatan bahan api. Sistem ini juga menampilkan penggunaan bateri lithium ion berkapasiti 10 Ah, yang boleh dicas semula apabila pedal minyak dilepaskan dan membrek.

    Dalam keadaan pemanduan sebenar, sistem MHEV dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.4 liter, dan membenarkan kenderaan untuk meluncur sehingga 40 saat dalam keadaan enjin tidak beroperasi. Penggunaan bahan api yang dicatat oleh S6 Sedan adalah 6.3 liter bagi 100 km, manakala S6 Avant dan S7 Sportback berkongsi catatan yang sama iaitu 6.5 liter bagi setiap 100 km. Catatan ini adalah berdasarkan standard WLTP.

    Dalam pasaran luar Eropah, S6 dan S7 dikuasakan oleh enjin V6 petrol 2.9 liter TFSI, dengan kuasa 450 hp dan 600 Nm tork. Sama seperti model TDI, enjin V6 TFSI ini juga akan dilengkapi dengan compressor kuasa elektrik dan sistem MHEV 48 volt.

    Audi S6, S6 Avant, S7 Sportback – enjin 3.0L V6 TDI ditambah dengan sistem 48 volt, compressor elektrik

    Sama seperti SQ5 TDI, tiga model baru ini juga boleh didapati dengan pilihan dynamic all-wheel steering. Dalam keadaan pemanduan biasa, differential tengah boleh kunci sendiri mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam nisbah 40:60. Apabila terdapat gelinciran, kuasa yang lebih akan disampaikan kepada gandar yang memerlukan untuk lebih cengkaman. Dalam keadaan lebih ekstrem, 70% kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan manakala gandar belakang boleh menerima kuasa sehingga 85%.

    Sistem stereng progresif pada model ini sudah mempunyai nisbah sport secara standard, tetapi ia telah dipasang dengan bantuan servo elektro-mekanikal khas untuk model S, yang memberikan ia lebih lagi ciri sport, tetapi masih mengekalkan dan memberikan maklum balas yang berguna kepada pemandu.

    Turut diberi secara standard adalah suspensi sport S, dengan pelarasan serapan. Ini merendahkan badan S6 dan S7 masing-masing sebanyak 20 mm dan 10 mm. Turut ditampilkan adalah suspensi udara adaptif dengan pelarasan serapan, tetapi telah dilaras lebih kepada keselesaan. Tiga mod disediakan bagi suspensi ini iaitu Lift, Auto dan Dynamic. Dalam mod Auto, badan kereta direndahkan sebanyak 10 mm apabila memandu bawah 120 km/j, sementara dalam mod dinamik pula tinggi kenderaan ditetapkan pada kedudukan paling rendah.

    Untuk brek, roda hadapan mendapat unit cakera 400 mm yang diapit dengan angkup enam piston, manakala di belakang menggunakan cakera 350 mm. Pembeli juga boleh mendapatkan pilihan sistem brek seramik karbon enam piston, dan ini mengurangkan beratnya sebanyak sembilan kilogram. Dalam keadaan standard, semua tiga model S ini datang dengan rim 20 inci yang dibalut tayar 255/40, tetapi ia juga boleh dinaik taraf kepada unit 21 inci.

    Untuk bahagian luar, semuanya mendapat kit khas untuk model S, yang termasuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, diffuser belakang lebih lebar dengan empat muncung ekzos serta kemasan krom gelap. Di dalam, kosnep sporty warna hitam diketengahkan, lengkap dengan tempat duduk sport S serta penahan kepala bersepadu. Sudah tentu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pelbagai aksesori lain untuk bahagian dalam ini.

    Model Audi S6 dan S7 baru ini akan mula dijual di Eropah pada bulan Jun, dengan harga bermula 76,500 euro (RM356k) untuk S6 Sedan, 79,000 euro (RM368k) untuk S6 Avant dan 82,750 euro (RM386k) untuk S7 Sportback.

    GALERI: Audi S7 Sportback TDI

    GALERI: Audi S6 Avant TDI

    GALERI: Audi S6 Sedan TDI

     
     
  • Geometry A – model elektrik sepenuhnya dari jenama baharu di bawah Geely, diperkenalkan di Singapura

    Geometry A – model elektrik sepenuhnya dari jenama baharu di bawah Geely, diperkenalkan di Singapura

    Sebelum ini Geely ada menyiarkan kereta elektrik sepenuhnya terbaharu dari mereka, dikenali sebagai Geely GE11. Kereta berkenaan telah pun diperkenalkan untuk peringkat global buat pertama kali hari ini di Singapura, dan ia sebenarnya tidak menggunakan logo Geely, sebaliknya diletakkan di bawah jenama baharu mereka yang akan menghasilkan model elektrik sahaja, dengan nama Geometry. Model baharu ini secara rasmi digelar sebagai Geometry A.

    Geely memilih Singapura sebagai tempat untuk memperkenalkan Geometry kepada dunia kerana republik berkenaan kini berstatus bandar mesra alam serta menjadi hab kepada teknologi sedemikian, selain ia dianggap sebagai titik pertemuan antara Timur dan Barat. Geometry bakal dipasarkan ke empat pasaran export utama iaitu Argentina, Norway, Perancis dan Singapura sendiri.

    Untuk pasaran China, model A ini akan mula dipasarkan ke bandar-bandar utama dan kelas kedua terlebih dahulu menerusi platform, jaringan pengedar dan produk eksklusif, menggunakan logo Geely berwarna perak. Geometry merancang untuk menghasilkan 10 model baharu menjelang 2025, yang terdiri dari sedan, SUV dan MPV.

    Geometry A – model elektrik sepenuhnya dari jenama baharu di bawah Geely, diperkenalkan di Singapura

    Walaupun jenama ini dipisahkan dari Geely, Geometry A masih mengenakan rekaan “expanding cosmos” jenama China berkenaan pada bahagian apron hadapan. Ia turut mengenakan lampu hadapan tirus yang direka seperti “bilah cahaya”, menurut Geometry.

    Bumbung panaromik kereta ini pula direka kelihatan seperti bersambung dengan cermin hadapan. Manakala pada bahagian sisi, ia kelihatan futuristik dengan pembuka pintu yang tenggelam. Ia juga menerima rim aloi rekaan khas, yang didakwa mampu mengurangkan pekali geseran sehingga hanya 0.24. Bahagian belakang pula direka ringkas dengan sepasang lampu tirus, dihubungkan dengan bar perak merentangi penutup but.

    Kabin model ini juga menerima sentuhan yang minimalis. Papan pemukanya kelihatan kosong, dan hanya menampilkan sebuah skrin bersaiz 12.3 inci pada bahagian tengah. Kebanyakkan butang kawalan pada kereta ini perlu dilakukan dengan menekan butang-butang maya yang terdapat pada skrin utama.

    Geometry A – model elektrik sepenuhnya dari jenama baharu di bawah Geely, diperkenalkan di Singapura

    Pemandu pula akan menerima maklumat dari kluster instrumen digital dengan skrin bersaiz kecil terletak di belakang roda stereng. Manakala konsol pada bahagian tengah direka dengan dua lapisan, menempatkan ruang-ruang storan, perehat tangan dan juga pad pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Menurut Geely, Geometry A telah pun dihasilkan dengan menepati piawaian perlindungan alam sekitar Eropah OEKO-TEX Standard 100. Bagi melepasi tahap piawaian berkenaan, bahagian dalaman kereta ini dihasilkan dengan material-material yang selamat walaupun untuk bayi yang baru lahir.

    Ia menggunakan fabrik mesra alam yang kalis air, antitumbuhan serta boleh bernafas, di dakwa untuk mengelakkan tempat duduk tersebut mencapah terlalu cepat pada suhu sekitar, dalam masa yang sama bersifat lembut dan selesa untuk digunakan.

    Geometry A bergerak dengan motor elektrik jenis synchronous magnet berkuasa 120 kW atau 161 hp, dengan tork maksima 250 Nm. Ini membolehkan sedan elektrik berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

    Kuasa diterima dari bateri lithium ternar dengan dua pilihan kuasa – versi 51.9 kWj membolehkan kereta ini bergerak sejauh 410 km, manakala versi 61.9 kWj pula menawarkan jarak perjalanan sejauh 500 km. Kadar penggunaan kuasa ini diuji dengan kitaran NEDC Eropah.

    Menurut Geely lagi, Geometry A menggunakan kuasa 13.5 kWj untuk 100 km perjalanan. Ini bermakna dengan kadar harga elektrik di Beijing sekarang, untuk bergerak sejauh satu kilometer, pengguna hanya perlu membayar 0.07 yuan (RM0.43). Ia juga dilengkapkan dengan sistem caj laju membolehkan kuasa dari 30% mencapai 80% dalam masa hanya 30 minit.

    Geometry A – model elektrik sepenuhnya dari jenama baharu di bawah Geely, diperkenalkan di Singapura

    Kereta ini juga menerima sistem Super E Energy Station, membolehkan pengguna mengecaj peralatan elektrik dengan kepala plag biasa seperti laptop dan lain-lain, dan Geely menyatakan bahawa ia turut boleh digunakan ketika perkhemahan dengan mudah.

    Dari segi keselamatan, sedan elektrik ini menerima sistem bantuan pemanduan yang menurut Geely mencapai kebolehan pemanduan separa automatik tahap 2+. Ia terdiri dari brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, cruise control adaptif yang boleh digunakan sehingga kelajuan 150 km/j, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran bukaan pintu dan juga amaran pelanggaran belakang yang akan mengelipkan lampu isyarat sekiranya mengesan akan berlaku pelanggaran di bahagian belakang.

    Untuk pasaran China, Geometry A akan ditawarkan dalam tiga varian bagi setiap versi bateri. Model asas dijual pada harga bermula 210,000 yuan (RM128,800), 220,000 yuan (RM134,900) untuk model pertengahan, dan 230,000 yuan (RM141,000) untuk varian paling tinggi.

    Bagi versi bateri lebih berkuasa pula, model paling bawah dijual pada harga 230,000 yuan, pertengahan 240,000 yuan (RM147,200) dan tertinggi 250,000 yuan (RM153,300). Untuk pengetahuan anda, China turut mempunyai subsidi kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kereta elektrik ini, membolehkan harga Geometry A dijual dengan harga 150,000 yuan (RM92,000) hingga 190,000 yuan (RM116,500).

    Jika anda perasan, strategi Geely dengan memperkenalkan jenama Geometry ini adalah lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan oleh sebelum ini dengan memisahkan Polestar dari Volvo dan mewujudkan satu jenama kenderaan elektrik premium berprestasi tinggi, bermula dengan model Polestar 1.

    Geomerty akan menghasilkan model-model elektrik sepenuhnya, manakala model-model dengan unit janakuasa hibrid dan plug-in hibrid masih akan dijual di bawah jenama Geely.

     
     
  • Proton lanjut kerjasama dengan Petronas Lubricants sebagai pembekal rasmi pelincir, bendalir teknikal

    Proton lanjut kerjasama dengan Petronas Lubricants sebagai pembekal rasmi pelincir, bendalir teknikal

    Proton baru-baru ini telah menandatangani persetujuan bagi melanjutkan kerjasama antara syarikat itu dengan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM), anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Petronas Lubricants International (PLI) untuk menjadi pembekal kepada produk-produk pelincir dan bendalir-bendalir fungsi bagi tempoh 10 tahun akan datang bermula 1 Januari 2019.

    “Proton dan Petronas telah bekerjasama sejak dahulu, jadi tidak hairan sekiranya kami ingin melanjutkan tempoh perjanjian kerjasama ini. Proton bakal menghasilkan pelbagai model baru yang menarik dan kami sangat teruja untuk meneroka dengan lebih mendalam minyak pelincir dan bendalir teknikal yang dihasilkan bersama Petronas yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami,” ujar CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    “Petronas telah menjadi pembekal pelincir dan cecair rasmi kepada PROTON sejak 1989. Kami berbesar hati untuk mengembangkan lagi perkongsian berkenaan kerana ini merupakan bukti jelas terhadap kepercayaan dan keyakinan Proton terhadap produk dan perkhidmatan kami,” jelas Pengarah
    Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin.

    Proton lanjut kerjasama dengan Petronas Lubricants sebagai pembekal rasmi pelincir, bendalir teknikal

    Perjanjian Pembekalan, Teknologi, Komersial dan Kerjasama Global (STCCA) telah ditandatangani oleh Ruslan Islahudin iaitu Ketua Perniagaan Daerah APAC PLI, disaksikan Andrew Wong, Ketua Wilayah bagi OEM APAC, dan bagi pihak PROTON ialah Lim Meng Jin, Ketua Pegawai Perolehan PROTON, disaksikan Yusri Yusof, Pengarah Kanan Strategi Korporat.

    Bagi Perjanjian Pembekalan dan Kerjasama Komersial Tempatan (LSCCA) pula, ia telah ditandatangani oleh Hardeep Singh, Ketua Pegawai Eksekutif PLMM yang mewakili PETRONAS dan disaksikan oleh Gan Kher Yang, Pengurus Besar Jualan B2C manakala bagi pihak PROTON adalah Tuan Haji Hamizan Osman, Pengarah Kanan Perolehan Proton.

    Sesi menandatangani perjanjian berkenaan disaksikan oleh Dato’ Sri Syed Zainal Abidin, Pengarah
    Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB dan Pengerusi PLMM dan PLI serta Giuseppe D’Arrigo, Ketua Pegawai Eksekutif PLI. Proton pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Radzaif Mohamed.

    Proton lanjut kerjasama dengan Petronas Lubricants sebagai pembekal rasmi pelincir, bendalir teknikal

    Melalui kerjasama ini, PLI dan PLMM akan terus membekalkan pelbagai produk berkualiti untuk memenuhi keperluan kilang PROTON dan servis selepas jualannya, dengan menjadikan rangkaian Petronas Syntium SE sebagai produk utama.

    Minyak pelincir dan cecair berfungsi Petronas dihasil berdasarkan pendekatan bersepadu Petronas Fluid Technology SolutionsTM, yang kini berada di tahap teras dalam kerja-kerja kejuruteraannya. Petronas memanfaatkan pengetahuan dan pemahaman yang diperoleh melalui kemudahan R&D yang luas di seluruh dunia, termasuklah Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global bernilai USD$60 juta yang terletak di Villastellone Turin, Itali serta Pusat Penyelidikan dan Teknologi Satelit yang bernilai USD$8 juta di Contagem, Minas Gerais, Brazil.

     
     
  • Grab laksana mekanisma pengecaman wajah pengguna melalui aplikasinya – guna swafoto ‘live’

    Grab laksana mekanisma pengecaman wajah pengguna melalui aplikasinya – guna swafoto ‘live’

    Grab Malaysia telah mengumumkan mekanisma unik ‘Pengesahan Penumpang’ yang akan membolehkan pengguna mengesahkan identiti mereka menerusi aplikasi Grab menggunakan pilihan swafoto ‘live’. Ia adalah hasil kerjasama erat dengan Kementerian Pengangkutan dan telah pun dilancarkan semalam oleh menterinya, Anthony Loke.

    Mekanisma ini merupakan sebahagian daripada komitmen keselamatan jangka panjang Grab bagi meletakkan standard tinggi terhadap aspek keselamatan pengangkutan, di samping mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berlaku menerusi inovasi teknologi, seperti yang dilaporkan Bernama.

    Menurut Loke, Malaysia sedang menerajui aspek keselamatan dalam perkhidmatan pengangkutannya dalam pelbagai cara, termasuk bekerjasama menerusi kolaborasi awam-swasta.

    Grab laksana mekanisma pengecaman wajah pengguna melalui aplikasinya – guna swafoto ‘live’

    “Menerusi kolaborasi ini kita bekerjasama dengan Grab untuk mencari cara yang inovatif bagi memanfaat teknologi untuk kebaikan sosial. Teknologi adalah pemacu yang hebat. Ia mengubah cara kita berurusan, dan kini dengan sokongan dan komitmen Grab, kita sedang melihat tahap keselamatan ditingkatkan lagi, kearah penyelesaian inovatif yang dijana oleh teknologi yang akan menjadikan pengangkutan di Malaysia lebih selamat,” katanya.

    Tambahnya lagi, Grab dapat memainkan peranan lebih dalam mewujudkan persekitaran Malaysia yang lebih selamat dengan mengurangkan jumlah insiden yang tidak diingini di jalanraya yang boleh dicegah, di samping memberi perlindungan kepada pemandu Grab semasa mereka berkerja keras mencari rezeki.

    “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan bagi Malaysia di atas jalan raya mahupun di mana sahaja. Grab sentiasa memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu-isu keselamatan pengguna perkhidmatan e-hailing setiap hari. Kami gembira Grab mengutamakan aspek keselamatan dalam operasinya, dan kami yakin akan dapat mencegah sepenuhnya kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” ujarnya.

    Grab laksana mekanisma pengecaman wajah pengguna melalui aplikasinya – guna swafoto ‘live’

    Sementara itu Ketua Grab Malaysia Sean Goh berkata teknologi pengecaman muka yang lebih canggih yang dimuatkan dalam aplikasi Grab, akan memastikan gambar yang diambil adalah gambar muka ‘live’ dan ia juga berupaya untuk mengesan dan menolak gambar yang tidak senonoh.

    Dengan memberi jaminan kepada para penumpang bahawa gambar swafoto mereka akan digunakan hanya sekali bagi tujuan pengesahan sahaja, dan sebagaiman semua data peribadi yang terkandung dalam aplikasi Grab, ia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

    “Sejak diperkenalkan awal tahun ini, penampilan ini berjaya menjadi batu penghalang kepada kejadian jenayah. Jenayah yang berkaitan dengan penumpang di atas platform kami berkurangan 30% sejak ia dilancarkan sebagai keperluan buat semua pengguna baru, sekaligus memberikan banyak kelegaan kepada pemandu kami,” katanya.

    Goh berkata swafoto itu tidak akan dipaparkan sebagai gambar profil atau dikongsi dengan mana-mana pihak luar, termasuk pemandu dan pengusaha.

     
     
  • Honda Jazz Mugen Concept muncul dikhalayak ramai sekali lagi – dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019

    Honda Jazz Mugen Concept muncul dikhalayak ramai sekali lagi – dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019

    Model konsep Honda Jazz Mugen telah pun membuat kemunculan sulungnya di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu, dan kini ketika berlangsung Malaysia Motorshow 2019, ia sekali lagi dipamerkan oleh Honda Malaysia. Nampak sama, tapi sebenarnya kali ini ia tampil dengan sedikit perbezaan.

    Hatchback ini tampil dengan kit badan Mugen terkini menampilkan bampar hadapan yang lebih seperti kapal angkasa (berbeza dengan versi 2017), dengan lampu kabus bulat dan juga sepasang lubang kembar tiga pada bahagian bawah – dua daripadanya menempatkan lampu nyalaan siang LED, gril hadapan, spoiler belakang, skirt sisi dan juga bampar belakang lengkap dengan diffuser.

    Ingin saya ingatkan sekali lagi, bahawa ini adalah versi konsep hadir dengan warna badan Passion Red Pearl, rim-17 inci Mugen dengan tayar 205/45R17, berbeza dari model produksi yang boleh anda beli (terhad kepada 300 unit sahaja) yang hanya diberikan rim aloi 16-inci dua-tona standard Jazz.

    Honda Jazz Mugen Concept muncul dikhalayak ramai sekali lagi – dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019

    Anda perlu melihat dengan teliti untuk melihat perbezaan pada versi baharu ini dengan versi KLIMS 2018. Pertama adalah bahagian spoiler bampar hadapan yang kini telah diwarnakan hitam seperti model produksi. Satu lagi perbezaan ialah jalur pelekat badan Mugen yang kini telah ditampal di sepanjang tingkap sisi.

    Model konsep Mugen ini diasaskan dari varian tertinggi gred V, jadi ia masih menerima kelengkapan penuh seperti skrin sesentuh 6.8-inci, panel sesentuh untuk kawalan penghawa dingin dan upholsteri kulit dan enam-beg udara. Unit janakuasa juga masih lagi sama menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder i-VTEC SOHC berkuasa 120 PS/145 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Seperti biasa, model konsep ini bukan untuk dijual. Namun untuk model produksi yang saya sebutkan tadi, ia dijual pada harga RM88,600 untuk warna badan Modern Steel Metallic dan RM88,720 bagi pilihan warna badan White Orchid Pearl.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025