Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Maserati Levante Vulcano edisi terhad kini di pasaran Malaysia – hanya 10 unit sahaja, bermula RM839k

    Maserati Levante Vulcano edisi terhad kini di pasaran Malaysia – hanya 10 unit sahaja, bermula RM839k

    Sempena dengan ulang tahun ke-10 di pasaran Malaysia, Naza Italia – Maserati telah memperkenalkan model kenderaan edisi terhad utiliti sukan (sports utility vehicle, SUV), Levante Vulcano Limited Edition untuk negara ini. Untuk pasaran global, Levante Vulcano dihasilkan dalam jumlah terhad sebanyak 150 buah unit untuk pasaran Eropah dan Asia termasuk Malaysia. Walau bagaimana pun, hanya 10 unit Levante Vulcano yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia.

    Dibina di kilang Ferrari di Maranelo, Levante Vulcano edisi terhad ini dijanakan oleh enjin petrol 3.0 liter turbo-berkembar V6 dan digabungkan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan. Padanan penjana kuasa ini mampu menghamburkan output sehingga 430 hp pada 5,750 rpm dan tork 580 Nm pada 3,500 rpm.

    Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimumnya mencecah 264 km/j. Memantapkan lagi pengendaliannya, model edisi terhad ini turut didatangkan dengan sistem brek Brembo Dual Cast enam-piston menjamin prestasi brek yang meyakinkan.

    Maserati Levante Vulcano edisi terhad kini di pasaran Malaysia – hanya 10 unit sahaja, bermula RM839k

    Untuk warnanya, Levante Vulcano hanya ditawarkan dengan satu pilihan tona iaitu eksklusif matte Grigio Lava. Menyerlahkan luarannya, ia hadir dengan lampu utama adaptif Matrix LED sepenuhnya, lampu kabus LED, sistem penutupan pintu secara lembut, dan pengesan parkir depan.

    Selain itu, ia turut ditawarkan dengan perincian pek Nerissimo yang merangkumi lampu belakang yang kelihatan gelap, logo dan gril depan berkrom hitam, tingkap sekeliling berwarna hitam berkilat, pemegang pintu berwarna dan paip ekzos bergilap serta set roda Helios 21-inci dengan warna kusam dan angkup brek berwarna merah.

    Menjengah bahagian dalamannya pula, Levante Vulcano dilengkapi dengan kemewahan yang sporty. Kerusi kulit Pieno Fiore yang berventilasi dan boleh dipanaskan didatangkan dalam warna merah dan dilengkapi dengan pelarasan elektrik dengan ingatan. Ia turut dilengkapi dengan logo Trident bersulam pada bahagian kepala dengan warna yang berbeza bagi menyerlahkan personaliti “volkanik” model ini.

    Daya tarikan eksklusif Levante Vulcano baharu edisi terhad dipertingkatkan lagi dengan kemasan dalaman gentian karbon berkilat termasuk pada pedal penukar gear dan bahagian selitan roda stereng sukan boleh laras menggunakan kuasa elektrik, dan lencana Trident aluminium berkrom pada terowong tengah bersama dengan logo Vulcano yang baharu dan perkataan “one of 150”.

    SUV ini turut dilengkapi dengan mod kawalan sport yang merangkupi peta pendikitan, sistem MSP, Bunyi Aktif Maserati, transmisi, ketinggian suspensi dan ketegaran.

    Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan rangkaian Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) yang komprehensif dengan lebih banyak fungsi aktif dan pada masa yang sama mengekalkan ciri pemanduan tepat sebagaimana mana-mana model Maserati yang lain. Antara fungsi yang disediakan termasuklah Kawalan Kenderaan Integrasi, Amaran Pelanggaran Hadapan, Kamera Pandangan Sekeliling, Pengesan Isyarat Trafik, Sistem Bantuan Lebuhraya, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Titik Buta Aktif. Melengkapi aspek keselamatannya dengan enam beg udara, Bantuan Mendaki Bukit, Program Kestabilan Mesarati, Sistem Bantuan Brek dan Brek Parkir Elektronik.

    Levante Vulcano edisi terhad dijual di Malaysia bermula pada harga RM838,800.00 (termasuk cukai dan duti tempatan). Harga ini termasuk perlindungan tiga-tahun Jaminan Standard tanpa sekatan perbatuan dan program penyelenggaraan percuma tiga-tahun/ 100,000 km yang mana dahulu (Termasuk *Maserati Premium Service Plus selama tiga-Tahun /60,000 km).


     
     
  • BMW 8 Series dilancarkan di Malaysia – hanya varian M850i xDrive; 530 PS 4.4L Twin Turbo V8, RM1.09 juta

    BMW 8 Series dilancarkan di Malaysia – hanya varian M850i xDrive; 530 PS 4.4L Twin Turbo V8, RM1.09 juta

    Selepas beberapa hari BMW Malaysia mula ambil tempahan bagi model coupe mewah flagship BMW 8 Series Coupe G15, model berkenaan telah dilancarkan secara rasmi di sini. Hanya ada satu varian ditawarkan ketika ini, M850i xDrive dengan harga RM1,088,800 (atas jalan tanpa insurans).

    Ia dilengkapi enjin petrol N63B44T3 4.4 liter V8 dengan pengecas turbo twin-scroll, kawalan injap Valvetronic, kawalan camshaft Double-VANOS dan sistem ekzos sport. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 530 PS (523 hp) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan 750 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 4,600 rpm.

    Angka-angka prestasinya pula adalah seperti berikut; pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, dan had laju maksimum yang dihadkan secara elektronik ialah 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 10.4 liter bagi setiap 100 km.

    BMW 8 Series dilancarkan di Malaysia – hanya varian M850i xDrive; 530 PS 4.4L Twin Turbo V8, RM1.09 juta

    Ini dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive dari BMW, yang lebih cenderung kepada pacuan roda belakang dan akan mengagihkan tork antara roda depan dan belakang untuk memberikan cengkaman yang lebih padu.

    Aspek casis, M850i ini menggunakan jenis double wishbones di depan dan tetapan five-link untuk bahagian belakang. Selain itu, suspensi Adaptive M dan Integral Active Steering juga adalah standard.

    Brek pula menggunakan jenis kaliper tetap empat-piston di depan, jenis piston tunggal apungan di belakang dengan cakera berliang dengan saiz 395 mm. Oleh kerana ia sebahagian daripada pakej M Performance, kaliper berkenaan dicat biru dan ada logo M.

    BMW 8 Series dilancarkan di Malaysia – hanya varian M850i xDrive; 530 PS 4.4L Twin Turbo V8, RM1.09 juta

    Kemasan luaran lain yang datang sekali dengan pakej yang sama ialah splitter depan, spoiler kecil di belakang dan kemasan dalam warna Cerium Grey di luar. Ini disertai oleh lampu utama BMW Laserlight (dengan BMW Selective Beam) dan tingkat kemasan Shadow Lime BMW Individual.

    Model ini juga dilengkapi rim 20-inci aloi M – dalam kemasan dua warna Cerium Grey serta gandingan tayar berlainan saiz – 245/35 di depan dan 275/30 di belakang. Bagi rim dalam warna Jet Black, ia hanya akan ditawarkan dengan warna badan Sunset Orange – lain-lain warna badan yang ada ialah Carbon Black metalik, Black Sapphire metalik, Sonic Speed Blue metalik, Barcelona Blue metalik, dan Mineral White.

    Di dalam, pilihan warna yang ditawarkan ialah hitam, Cognac atau Ivory White bagi balutan kulit untuk tempat duduk BMW Individual Merino. Tempat duduk adalah kawalan elektronik sepenuhnya, dan bahagian belakang boleh dilipat dengan nisbah 50:50 untuk menambah ruang barangan 420 liter yang sedia ada.

    Lain-lain termasuklah stereng balutan kulit M, tali keledar, pedal dan karpet M, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem lampuan suasana, Comfort Access System dan lain-lain. Turut ada ialah BMW Live Cockpit Professional dengan instrumen kluster 12.3-inci dan skrin tengah 10.25-inci – kedua-duanya dipautkan kepada BMW Operating System 7.0 dan sistem audia 16-pembesar suara Harman Kardon.

    Kereta ini juga yang pertama oleh BMW di Malaysia yang dilengkapi ciri BMW Intelligent Personal Assistant – versi BMW bagi Apple Siri atau Google Assistant, yang boleh menerima arahan suara bagi beberapa fungsi terpilih.

    Pertama kali ditampilkan ialah BMW Digital Key yang menggunakan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC) untuk membolehkan kereta dikunci atau dibuka menggunakan telefon pintar. Dengan BMW Connected App, pemilik boleh berkongsi kunci berkenaan dengan lima lagi orang lain.

    Kelengkapan keselamatan antaranya terdiri daripada kawalan cruise adaptif dengan fungsi Start/Stop, Parking Assistant serta Driving Assistant Professional. Yang terakhir ini turut merangkumi sistem seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Pedestrian Collision Warning, Crossing Traffic Warning (depan dan belakang) serta Emergency Stop Assistant.

    Setiap pembelian M850i xDrive akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun, BMW Roadside Assistance dan Accident Hotline, aplikasi BMW Group Loyalty+ (dengan BMW White Card) serta BMW Service Online. Makluma lanjut berkaitan model ini boleh dicapai di Carbase.my.

     
     
  • Audi Q4 e-tron Concept diperkenal – elektrik 306 PS

    Audi Q4 e-tron Concept diperkenal – elektrik 306 PS

    Audi telah memperkenalkan satu lagi model e-tron yang menggunakan bentuk badan SUV kompak empat pintu dan kali ini dipanggil sebagai Q4 e-tron. Kenderaan konsep ini mempunyai panjang 4.59 meter, dan jelas mempunyai beberapa persamaan dengan e-tron sebelum ini.

    Bahagian hadapannya didominasi oleh gril Singleframe yang besar tapi tertutup, dan angin sejuk dari luar masuk ke dalam melalui dua bukaan udara yang terdapat di hujung bampar. Lampu hadapan menggunakan unit matrix LED manakala di belakang pula terdapat grafik lampu yang bersambung dari hujung ke hujung.

    Q4 e-tron Concept ini menggunakan rim 22 inci, dan profailnya dijadikan tegap, dengan garis bumbung yang menjunam di belakang. Menurut Audi, rekaan ini berjaya mencatat kadar rintangan angin 0.27 Cd dan disudahi dengan warna “Solar Sky.”

    Audi Q4 e-tron Concept diperkenal – elektrik 306 PS

    Istimewanya warna biru ini adalah ia boleh berubah mengikut sudut cahaya, dan dibangunkan khas untuk Q4 e-tron Concept dalam persekitaran yang mesra alam. Satu lagi fungsinya adalah boleh mengurangkan pembinaan haba pada bahagian badan dan juga dalam kenderaan.

    Daripada namanya kita sudah tahun Q4 e-tron Concept ini menggunakan penggerak elektrik. Jadi, ia dibina atas platform MEB, dan dijadikan pacuan empat roda Quattro dengan penggunaan motor elektrik pada setiap gandar. Tiada penyambung mekanikal di antara dua gandar ini, sebaliknya penyampaian kuasa dikawal oleh unit elektrik supaya cengkaman yang optimum dalam pelbagai keadaan dapat dicapai.

    Dalam kebanyakan waktu, Q4 e-tron akan menggunakan pacuan roda belakang, demi menjadikan ia lebih cekap. Motor elektrik yang berada di gandar hadapan hanya akan hidup apabila pemandu mahukan lebih prestasi ataupun terdapat gelinciran yang dikesan oleh unit pengawal elektronik tersebut.

    Audi Q4 e-tron Concept diperkenal – elektrik 306 PS

    Untuk kuasa, unit motor di belakang mempunyai kadar yang lebih tinggi iaitu 150 kW (204 PS) dan 310 Nm tork, manakala unit di hadapan menghasilkan 75 kW (102 PS) dan 150 Nm tork. Apabila digabungkan, sistem ini mampu menghasilkan 225 kW (306 PS), dan kedua-dua motor tersebut mendapat kuasa daripada bateri 82 kWh (dengan berat 510 kg) yang terletak di bawah lantai.

    Menurut Audi, dengan tetapan ini, Q4 e-tron Concept boleh pergi sehingga 450 km (kitaran WLTP) dan pengecasan pantas DC (melalui penyambung CCS) berada pada kadar 125 kW. Untuk mendapatkan tahap bateri 80%, 30 minit waktu mengecas diperlukan.

    Untuk pecutan, Audi memberitahu kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j (dihadkan secara elektronik). Pembahagian berat gandar dikatakan sempurna pada hampir 50:50, dan semua roda disambung dengan penyerap adaptif.

    Audi Q4 e-tron Concept diperkenal – elektrik 306 PS

    Masuk ke bahagian dalam, sekali lagi ia mengingatkan kepada e-tron asal, tetapi lebih ringkas. Apabila masuk fasa produksi nanti mungkin ia boleh berubah, tetapi model konsep ini mendapat kokpit virtual, head-up display yang besar bersama fungsi augmented reality serta roda stereng bentuk heksagon.

    Di tengah terdapat skrin sesentuh 12.3 inci yang dipusingkan sedikit supaya menghadap pemandu dan butang kawalan HVAC diletakkan bawah padanya. Pemilihan gear pula boleh dilakukan melalui butang yang terdapat permukaan hitam berkilat di konsol tengah.

     
     
  • Subaru Viziv Adrenaline Concept – XV masa hadapan?

    Subaru Viziv Adrenaline Concept – XV masa hadapan?

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Subaru telah memperkenalkan beberapa buah model konsep yang membawa nama Viziv iaitu Viziv-7, Viziv Performance dan Viziv Tourer. Masing-masing seperti menunjukkan model masa depan SUV, sports dan wagon jenama itu.

    Terbaru di Geneva Motor Show, Subaru telah memperkenalkan satu lagi model konsep Viziv iaitu Adrenaline Concept. Seperti yang anda boleh lihat, ia mempunyai bentuk SUV/Crossover dan seakan menunjukkan kemungkinan penyambung generasi bagi model XV.

    Sama seperti model konsep Viziv yang didedahkan sebelum ini, tiada sebarang perincian teknikal yang dikeluarkan dan ia sekadar mahu menunjukkan konsep rekaan yang sedang dibangunkan oleh jenama tersebut. Viziv sebenarnya adalah nama yang didapati daripada gabungan Vision dan Innovation, dan Adrenaline Concept ini ditambah lagi dengan konsep baru “Bolder“.

    Bentuk badan Viziv Adrenaline Concept mahu menunjukkan rasa dinamik dan kuat, dengan bahagian bumbungnya seperti bersambung terus dari tiang A hingga ke spoiler belakang, manakala kemasan hitam yang anda lihat berada di sekeliling kenderaan pula sebenarnya dibuat daripada plastik dan digunakan sebagai pelindung apabila ia masuk ke tempat yang mencabar.

    Bahagian lain juga seakan menunjukkan kereta ini akan mempunyai kemampuan meredah jalan mencabar, dengan kedudukan yang tinggi, tayar pelbagai guna dan pelindung bawah bampar depan dan belakang. Satu lagi rekaan menarik adalah lampu heksagon berbintik yang digunakan pada bampar depan dan belakang.

     
     
  • Nissan IMQ Concept pamer bahasa rekaan baharu

    Nissan IMQ Concept pamer bahasa rekaan baharu

    Nissan IMQ Concept telah pun dipertontonkan secara rasminya di Geneva Motor Show 2019. Ia menggambarkan teknologi termaju dan rekaan yang menjadi arah bagi generasi akan datang untuk crossover buatan Nissan.

    Pengeluar kereta ini berkata IMQ adalah gabungan warisan Jepun dengan teknologi canggih, dan ia adalah reflek penggayaan Nissan yang menjadi peneraju dalam pembuatan crossover dengan “menolak batas-batas yang crossover Eropah boleh lakukan.”

    Berukuran 4,558 mm panjang dan 1,940 mm lebar, tapi hanya 1,560 mm tinggi (82 mm lebih pendek dan 120 lebih lebar berbanding X-Trail), dimensi IMQ ini meletakkannya di tengah segmen C-crossover Eropah. Nissan berkata model yang dipamerkan ini adalah hala tuju baharu untuk bahasa rekaan jenama ini.

    Nissan IMQ Concept pamer bahasa rekaan baharu

    Ia dibangunkan dengan lambang Nissan, disambungkan ke gril V-motion, dengan pelaksanaan yang lebih halus, gril menegak ke bahagian hud dan melintang pula merentasi bampar hadapan untuk mencipta sudut yang utuh di hujungnya. Hud menampilkan potongan krom dan fender dari gerbang roda berada di seksyen tengah.

    Pada bahagian belakangnya, garisan karakter menegak dari kluster lampu untuk memisahkan udara merentasi hingga bawah sisi, bagi menambahkan prestasi aerodinamik. Untuk hujung atas, kelihatan lampu “boomerang” signatur Nissan menghiasi sudut tersebut. Tailgate tinggal diletakkan di bawah fender belakang, senada dengan rekaan pada hud.

    Turut kelihatan rabung 3D pada bahagian bawah yang gelap. Lapisan yang lebih terperinci – yang dikenali sebagai lamellas – membuatkan reka bentuk tradisional Jepun yang lebih rumit dan diperluaskan di seluruh kereta. Bahagian luaran turut dilengkapi roda 22-inci dengan “tayar pintar” Bridgestone Connect yang turut memberikan maklumat seperti beban tayar, tekanan, suhu, tahap cengkaman, kondisi tayar kepada pemandu.

    Nissan IMQ Concept pamer bahasa rekaan baharu

    Tema rekaan Jepun turut diserapkan ke bahagian dalam. Pintu IMQ berengsel di tepi luar dan apabila ia dibuka mendedahkan ruang futuristik, yang menampilkan empat tempat duduk yang boleh dinaikkan dari lantai lamella, yang memberikan pautan visual ke luar. Panel instrumen “sayap luncur” menguasai papan pemuka, dengan konsol tengah muncul dari bawah antara belakang tempat duduk hadapan.

    Setiap hiasan tempat duduk ditampilkan dengan kemasan fabrik teknikal 3D dua-tona, bersama rekaan geometrik potongan laser diinspirasikan dari kerja kayu kumiko Jepun. Paten ini turut ditampilkan pada panel instrumen, kemasan pintu, juga dengan sentuhan metalik pada belakang tempat duduk. Lamellas juga disambungkan ke kemasan pintu dan sokongan perehat kepala.

    IMQ dijanakan oleh e-Power generasi akan datang, sistem pacuan motor elektrik yang dibangunkan dari teknologi semasa pada Nissan Note dan MPV Serena. Ia memberikan kuasa 335 hp dan tork 700 Nm, yang disalurkan menerusi sistem AWD pelbagai-motor baharu.

    Nissan IMQ Concept pamer bahasa rekaan baharu

    IMQ menawarkan pelbagai teknologi tambahan Nissan. Ia dilengkapi dengan versi prototaip termaju bagi sistem bantuan pemanduan Nissan ProPilot, di mana ia membantu pemandu di jalan bandar dan lebuhraya. Ia merangkumi pengesan, radar dan kamera di sekeliling kereta, untuk mengesan keadaan jalan raya, trafik dan isyarat informasi.

    Ia turut menampilkan teknologi Nissan Invisble-to-Visible (I2V) yang diperkenalkan di CES pada Januari lalu. I2V merupakan antara muka 3D yang menggabungkan alam maya dengan realiti. Dibangunkan oleh Nissan, ia membantu penumpang untuk melihat sesuatu yang mungkin di luar penglihatan mereka. Teknologi ini mampu membantu pemandu untuk melihat segenap sudut, termasuk punca kesesakan lalu lintas dan mengenal pasti laluan alternatif. Pemandu boleh ditemani dengan penumpang maya dalam bentuk 3D seperti avatar.

    IMQ kedengarannya seperti cadangan yang serius, “Rekaan IMQ adalah gabungan tradisional dan moden yang dipengaruhi sentuhan gaya hidup Jepun dan menunjukkan ia adalah crossover masa hadapan yang dikuasakan oleh Nissan Intelligent Mobility. Bahagian dalaman dan luarannya kelihatan bersatu dengan baik, memberikan petanda arah rekaan kami yang mungkin akan digunakan pakai untuk model crossover generasi ketiga di Eropah,” ujar Alfonso Albaisa, timbalan presiden kanan rekaan di Nissan.

     
     
  • Tun M akan naik hypercar elektrik NiO EP9 di Litar Sepang hujung minggu ini sempena Asia GT Festival

    Tun M akan naik hypercar elektrik NiO EP9 di Litar Sepang hujung minggu ini sempena Asia GT Festival

    Hujung minggu ini Asia GT Festival akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, dan penganjurnya telah mengumumkan NiO EP9, iaitu sebuah hypercar elektrik pacuan semua roda yang mempunyai 1,341 hp juga akan membuat kemunculan. Kereta ini akan membuat pusingan hot lap membawa perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi 17 Mac, sebelum beliau melepaskan perlumbaan Saga Cup Malaysia Speed Festival (MSF).

    “Semasa Asia GT Festival ini, anda dapat menyaksikan sendiri betapa mengujakan perlumbaan Malaysia Speed Festival. Lebih 210 buah kenderaan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini dan mereka semua berlumba berhabis-habisan untuk menang.” kata pengasas dan pengerusi MSF, Adian Yein.

    Turut akan berlangsung hujung minggu ini adalah China GT Championship, di mana dua pelumba Malaysia iaitu Jazeman Jaafar dan Dominic Ang akan terlibat sama. Ini adalah tahun ketiga Dominic berlumba dalam China GT manakala bagi Jazeman, ia adalah penampilan pertama menggunakan jentera Bamboo Craft AMG GT.

    Tun M akan naik hypercar elektrik NiO EP9 di Litar Sepang hujung minggu ini sempena Asia GT Festival

    “Saya sangat teruja dan berbangga dapat berlumba dengan antara pasukan GT Asia terbaik iaitu Craft-Bamboo Racing. Saya akan bergandingan dengan pemilik pasukan, Frank Yu, yang mempunyai banyak pengalaman dalam perlumbaan kereta sports. Saya tidak sabar untuk berjumpa dan memulakan kerja dengan pasukan, dan bertukar-tukar cara kerja masing-masing. Saya tidak sabar untuk berlumba di tempat sendiri!” kata Jazeman.

    Perlumbaan China GT akan melibatkan 35 buah kereta GT, dan ini merupakan barisan GT single series yang terbesar di Asia Tenggara, melibatkan jentera seperti seperti Mercedes-AMG, Audi, Ferrari, Bentley, McLaren, Porsche, BMW dan pelbagai lagi.

    Selain daripada perlumbaan itu sendiri, Asia GT Festival juga ada menganjurkan Bazar Selebriti, di mana selebriti tempatan seperti Joe Flizzow, Elly Raja Lawak, Linora Low, KTown Clan, dan ramai lagi akan membuka gerai untuk menjual barangan mereka.

    Tun M akan naik hypercar elektrik NiO EP9 di Litar Sepang hujung minggu ini sempena Asia GT Festival

    Untuk peminat muzik pula, satu konsert mini melibatkan Joe Flizzow dan tujuh ahli 16 Baris akan membuat persembahan pada jam 6.30 petang 17 Mac. Pengunjung yang bercadang datang ke Litar Sepang semasa hujung minggu perlumbaan ini juga boleh menjangkakan pelbagai aktiviti mesra keluarga lain seperti rock climbing, flying fox, trak menjual makanan dan pelbagai lagi.

    Asia GT Festival akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac di Litar Antarabangsa Sepang dan tiket untuk tempat duduk Grandstand dijual pada harga RM20. Ia boleh dibeli secara atas talian ataupun terus sahaja di kaunter yang terdapat di Litar Sepang. Tiket untuk masuk ke paddock MSF pula adalah RM35.

     
     
  • Cukai jalan EV ditentukan ikut janaan kW sepenuhnya?

    Cukai jalan EV ditentukan ikut janaan kW sepenuhnya?

    Pemilik kenderaan elektrik (EV) nampaknya perlu membayar kadar cukai jalan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Ini kerana, jika perkembangan yang didakwa sedang berlaku sekarang adalah benar, JPJ akan mengira kadar cukai jalan EV berdasarkan kilowatt motor berbanding kapasiti cc enjin yang digunakan dahulu.

    Jika perkara ini benar, kadar berkenaan bakal menyaksikan perubahan yang ketara. Bagaimanapun, kadar pengiraan mengikut kilowatt itu bukanlah baru; ia telah digunakan sejak awal lagi pada 2011. Cuma, menurut sumber JPJ, ketika itu (kerana ia baru dilaksanakan) mungkin berlaku kekeliruan input data (pertukaran antara cc dan kW) ketika pendaftaran EV menyebabkan kadar yang dikenakan jauh lebih rendah. Perkara ini nampaknya bakal berubah.

    Petunjuk kepada perkara ini bermula minggu lalu, apabila garis panduan pengiraan cukai jalan bagi EV mula beredar di dalam lingkungan media sosial. Sesetengah pihak menganggap itu kadar baru, tetapi sebenarnya bukan; kadar yang sama telah diguna pakai sejak 2011, cuba kaedah pengiraannya sahaja akan ditentukan menggunakan unit kW bagi semua kereta dan motosikal EV sepenuhnya selepas ini.

    Sekarang, mari tinjau bagaimana kadar yang boleh dikenakan sekiranya kiraan dilakukan berdasarkan unit kW berkenaan. Bagi motosikal elektrik (kod AA), dengan output 7.5 kW ke bawah akan dikenakan kadar tetap RM2.

    Bagi motosikal dengan kuasa melebihi 7.5 kW, pengiraan kadar adalah seperti berikut:

  • Atas 7.5 kW hingga 10 kW – RM9
  • Atas 10 kW hingga 12.5 kW – RM12
  • Atas 12.5 kW hingga 25 kW – RM30
  • Atas 25 kW hingga 40 kW – RM40
  • Atas 40 kW – RM42
  • Bagi kereta saloon persendirian – individu (kod AB) dan pendaftaran syarikat (AC) – dengan output 80 kW ke bawah, kadarnya adalah seperti berikut:

  • 50 kW ke bawah – RM20
  • Atas 50 kW hingga 60 kW – RM44
  • Atas 60 kW hingga 70 kW – RM56
  • Atas 70 kW hingga 80 kW – RM72
  • Kenderaan dengan output 80 kW ke atas pula akan dikenakan kadar asas serta tambahan kadar progresif yang akan diambil kira ke dalam jumlah akhir. Perkiraannya adalah seperti berikut:

  • Atas 80 kW hingga 90 kW – RM160; RM0.32 sen bagi setiap tambahan 0.05 kW (50 watt) dari 80 kW
  • Atas 90 kW hingga 100 kW – RM224; RM0.25 sen bagi setiap tambahan 0.05 kW (50 watt) dari 90 kW
  • Atas 100 kW hingga 125 kW – RM274; RM0.50 sen bagi setiap tambahan 0.05 kW (50 watt) dari 100 kW
  • Atas 125 kW hingga 150 kW – RM524; RM1.00 bagi setiap tambahan 0.05 kW (50 watt) dari 125 kW
  • Atas 150 kW – RM1,024; RM1.35 bagi setiap tambahan 0.05 kW (50 watt) dari 125 kW
  • Cukai jalan EV ditentukan ikut janaan kW sepenuhnya?

    Melihat kepada penggunaan EV yang belum begitu meluas ketika ini, ia tidak akan memberi kesan kepada ramai orang. Dan, pemilik kenderaan seperti Nissan Leaf dan Ranault Zoe pula tidak akan mengalami peningkatan kadar yang drastik. Pemilik Tesla Model S bagaimanapun akan mengalami peningkatan yang lebih tinggi – walaupun pemilik mungkin tidak terlalu terkesan kerana kenderaan mereka dipajak dan cukai jalan termasuk sekali di dalam perjanjian pajakan tersebut.

    Sedikit pemerhatian kadar jika mengikut kiraan kW ini terhadap beberapa model kenderaan yang terkesan adalah seperti berikut: Zoe mempunyai output 65 kW (87 hp), jadi mengikut perkiraan kW ini, ia akan dikenakan RM56. Ketika ini, model berkenaan hanya membayar RM28 cukai jalan, berdasarkan pengalaman seorang pemiliknya.

    Nissan Leaf generasi pertama pula memiliki output 80 kW, dan perlu membayar RM72. Leaf generasi kedua yang bakal tiba nanti pula menggunakan motor 110 kW, bermaksud ia akan dikenakan RM374 (RM274 kadar asas dan RM100 kadar progresif).

    Cukai jalan EV ditentukan ikut janaan kW sepenuhnya?

    Kadar berkenaan akan menjadi lebih tinggi sekiranya motor dengan kW yang lebih besar digunakan, dengan setiap kilowatt melebihi 150 kW akan dikenakan RM27. Cukai jalan bagi Tesla Model P90D facelift ketika ini pula begitu rendah, RM10, berdasarkan output 7.75 kW yang diambil kira (kami tak pasti bagaimana kiraan itu boleh tiba ke angka ini).

    Jika menurut kadar yang sepatutnya, model S 90D yang mempunyai 345 kW (463 hp), ia akan dikenakan RM6,289 (RM1,024 kadar asas dan ditambah RM5,265). Sementara itu, model S 70 RWD yang mempunyai 235 kW (315 hp) akan perlu membayar RM3,319 (RM1,024 kadar asas dan ditambah RM2,295). Bagi S 85 model asas pula dengan 270 kW (362 hp), ia dikenakan RM4,264 (RM1,024 kadar asas ditambah RM3,240).

    Model baru yang akan diperkenalkan nanti seperti Porsche Taycan juga perlu membayar cukai yang tinggi, jika mengikut kadar kW ini. Dengan output 440 kW, cukai jalannya mencecah RM8,854 (RM1,024 kadar asas ditambah RM7,830, mengambil kira perbezaan 290 kW dari 150 kW).

    Bagi kenderaan hibrid pula, dengan enjin konvensional dan motor yang digunakan, akan kekal mengikut perkiraan kapasiti enjin dalam cc, dan tidak akan berubah seperti EV sepenuhnya ini. Jika anda ada apa-apa pandangan berkaitan perkara ini, sila kongsikan.

     
     
  • Ginetta Akula – kuasa 600 hp, berat cuma 1,150 kg

    Ginetta Akula – kuasa 600 hp, berat cuma 1,150 kg

    Ginetta, sebuah syarikat dari United Kingdom, telah mengumumkan mereka akan kembali menghasilkan kereta prestasi tinggi eksklusif untuk pasaran, dan menunjukkan model terbaru mereka iaitu Ginetta Akula di Geneva Motor Show. Dalam bahasa Rusia, Akula bermaksud jerung, dan ia juga digunakan sebagai satu panggilan untuk kapal selam tempur pacuan nuklear.

    Unit Akula yang dibawa untuk pameran ini dicat dengan warna Typhoon Black, dan ia menampilkan gaya aerodinamik ganas yang diambil daripada model LMP. Penggunaan meluas gentian karbon dan besi serba ringan lain membantu menjadikan berat kenderaan ini cuma 1,150 kg dan ia dipacu enjin V8 6.0 liter yang terletak di tengah kereta (direka sendiri oleh Ginetta).

    Daripada aspek prestasi, kereta pacuan roda belakang ini mempunyai lebih sedikit daripada 600 hp, dan ia boleh mencapai laju maksimum 322 km/j. Perincian lain masih belum disiar, tetapi ia akan menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan penukar gear di stereng, torque sensing LSD, serta brek matriks seramik karbon yang memberi kuasa penghentian sehingga 1.2G.

    Di dalam, Akula dipasang dengan tempat duduk serta tali pinggang lumba, dan pelbagai lagi barangan termasuk roda stereng seperti LMP-1 dan sistem infotainmen skrin sesentuh. Hanya 20 unit sahaja yang akan dibuat, dan harganya di UK bermula dari £340,000 (RM1.8 million). Daripada jumlah 20 unit itu, 20% daripadanya telah pun disambar.

    Pengerusi Ginetta, Lawrence Tomlinson berkata: “Konsep di sebalik Akula adalah untuk menghasilkan sesuatu yang betul-betul tersendiri, yang tidak boleh dibuat oleh jenama lain kerana kekangan korporat. Direka untuk membelah angin seperti jerung membelah air, kereta ini menunjukkan ia serius, dan saya bangga untuk mengeluarkan kereta seperti ini di UK.”

    Sebagai bonus, pembeli Akula juga akan diberi pengenalan penuh kepada jenama Ginetta, serta hari istimewa di litar termasuk peluang bersama kereta lumba G58 yang dikuasakan oleh enjin V8 575 hp dan mempunyai berat cuma 940 kg.

     
     
  • Putrajaya didakwa luluskan 38 pemegang AP baharu, MITI keluarkan kenyataan tidak lama lagi – laporan

    Putrajaya didakwa luluskan 38 pemegang AP baharu, MITI keluarkan kenyataan tidak lama lagi – laporan

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan sebuah portal automotif bahawa kerajaan telah meluluskan 38 pemegang permit import kereta (AP) baharu. Timbalan Menteri Ong Kian Ming mengesahkan hal ini, laporan Malaysiakini.

    Baru-baru ini, sebuah portal DS&F (Drive Safe and Fast) melaporkan, sumber daripada pemegang AP yang lama memaklumkan, terdapat 38 pemegang AP baharu di Malaysia. “Daripada apa yang kami temukan, kebanyakan pemegang 38 AP baharu telah mula bercakap dengan pemegang AP sedia ada untuk ‘membeli’ AP daripada mereka (pemegang permit import baharu) kerana mereka tidak berada dalam perniagaan kereta dan sebaliknya hanya mahukan bayaran sebanyak RM18,000 hingga RM22, 000 untuk (setiap) satu AP,” lapor portal terbabit.

    Susulan daripada laporan berkenaan, Ong berkata, beliau sedang menyemak dengan bahagian AP di kementeriannya.

    Putrajaya didakwa luluskan 38 pemegang AP baharu, MITI keluarkan kenyataan tidak lama lagi – laporan

    Dalam wawancara bersama BFM pada November lalu, Ong berkata kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan sistem AP tetapi akan mengkaji semula untuk memastikan tidak berlaku penyalahgunaan.

    “Tiada rancangan sekarang untuk menghapuskan sistem AP, saya rasa apa yang kami cuba lakukan sekarang adalah untuk mengkaji semula sistem ini supaya kamu tidak berhadapan keadaan di mana ‘perniagaan Ali Baba’ digunakan dalam proses AP, di mana orang hanya memohon AP ini supaya menjadi pemegang permit dan kemudian menjualnya kepada orang lain pada harga yang meningkat,” katanya menjelaskan proses itu disemak semula untuk memastikan pihak yang layak saja mendapat AP.

    September lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun banyak perniagaan diberi peluang di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB), ramai yang telah menjual kontrak dan AP untuk keuntungan. Beliau berkata bahawa kerajaan akan membatalkan kontrak dan AP yang diberikan kepada perniagaan ini jika mereka menjualnya kepada pihak ketiga.

     
     
  • Toyota GR Supra Daigo Saito – kit badan Pandem, 2JZ 3.4L 800 HP talaan HKS untuk D1 GP musim 2019!

    Toyota GR Supra Daigo Saito – kit badan Pandem, 2JZ 3.4L 800 HP talaan HKS untuk D1 GP musim 2019!

    Minggu lalu, pereka kit badan lebar Rocket Bunny, Kei Miura dari Tra Kyoto berkongsi satu imej render sebuah ‘Pandem Supra’ di laman instagram miliknya. Seperti biasa, pos-pos seperti itu sebenarnya adalah ‘teaser‘ dari Miura membayangkan projek seterusnya. Rupanya tidak lama – minggu ini juara D1 GP Jepun 2008/2016 dan juara Formula D USA 2012 Daigo Saito telah mendedahkan jentera baharunya untuk D1 GP 2019 iaitu Toyota GR Supra A90 yang menggunakan kit badan berkenaan.

    Apa yang menarik, Daigo Saito telah merealisasikan visi kebanyakkan peminat Toyota iaitu untuk melihat sebuah Supra A90 yang disumbat enjin dari Supra JZA80 iaitu 2JZ-GTE. Seperti biasa, enjin Saito disediakan oleh penala ‘otai’ dari Jepun iaitu HKS, dan untuk Supra generasi baharu ini enjin berkenaan menerima peningkatan kapasiti dari 3.0 liter kepada 3.4 liter, bersama pengecas turbo tunggal bersaiz gergasi, menghasilkan kuasa 800 hp!

    Untuk rupa luaran, bampar hadapan Supra A90 berkenaan masih menggunakan unit asal tetapi diubahsuai dengan pemadanan spoiler tambahan pada bahagian bawah. Ruang roda hadapan dan belakang dilebarkan lagi dengan gaya Rocket Bunny, menampilkan rivet-rivet yang diserlahkan. Manakala di belakang, spoiler seakan dari Porsche RWB diberikan dalam saiz yang sangat besar.

    Secara asasnya, badan kereta ini tampil dengan warna hitam, dan diberi livery Toyota Gazoo Racing pada bumbung, pintu dan bonet hadapan. Kemudian, ia turut menerima grafik dari penaja-penaja utama lain seperti Monster Energy Drink, Sunoco dan juga HKS.

    “Saya sangat gembira kerana telah mengubahsuai Supra (A90) kepada sebuah kereta drift pertama di dunia. Keseronokan untuk mengubahsuai kereta baharu sentiasa ada, tetapi saya rasa saya kini kembali kepada tujuan asal saya. Kerana jarak roda kereta ini pendek dan keseluruhan badan yang agak kompak, ia boleh dipandu dengan lebih tajam, pemanduan berkuasa juga adalah mungkin, dan nampak seperti anda boleh mengawal kereta ini dengan bebas. Saya masih tidak tahu sama ada saya boleh memandunya, tetapi saya tidak sabar,” kata Saito.

    Kereta ini sebenarnya masih lagi dalam pembinaan, dan ia akan disiapkan hanya dalam masa 42 hari. Pandem Supra A90 dengan enjin 2JZ HKS 3.3 liter ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya di khalayak ramai pada D1GP All Star Shoot-out yang berlangsung di Odaiba, Tokyo pada 23 dan 24 Mac ini. Daigo Saito turut mengesahkan bahawa beliau turut akan bertanding dalam Gymkhana Grid 2019 dalam kategori RWD di Poland pada 7 September 2019.

     
     
  • Proton Persona 2019 – kos penyelenggaraan 32% lebih murah berbanding Perodua Bezza dan Honda City

    Proton Persona 2019 – kos penyelenggaraan 32% lebih murah berbanding Perodua Bezza dan Honda City

    Siang tadi, Proton telah menunjukkan secara rasmi model Proton Persona 2019 facelift terbaru kepada wakil media, dengan perincian segala pembaharuan yang telah dilakukan terhadap model segmen B generasi kedua itu, yang pertama kali diberi peningkatan sejak diperkenalkan pada 2016.

    Lebih menarik, dari satu nota taklimat yang disampaikan itu menunjukkan perbezaan antara kos penyelenggaraan bagi model terbabit berbanding dua pesaing sedia ada. Dan, berdasarkan pemerhatian kami, jika melihat kepada saiz ruang barangan yang dilampirkan, ia merujuk kepada Perodua Bezza dan juga Honda City.

    Angka penjimatan yang didakwa diberikan oleh Persona untuk tempoh penyelenggaraan lima tahun, secara puratanya kos yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah sehingga 32% lebih rendah berbanding model pesaing yang dinyatakan.

    Dalam tempoh berkenaan, Persona hanya memerlukan kos selenggara sebanyak RM3,051.91 bagi servis berjadual, berbanding RM4,287.71 bagi Bezza dan RM3,782.96 bagi City – masing-masing melibatkan penjimatan sebanyak RM1,235.80 dan RM731.05.

    Untuk aspek sokongan lepas jualan dan juga servis bagi kenderaan Proton kini juga lebih menyenangkan dengan meningkatnya bilangan pusat 3S dan 4S; ketika ini sudah mencecah 75 premis. Ini adalah sebahagian daripada usaha Proton untuk meningkatkan prestasi khidmat lepas jualan jenama itu dan memperbaiki pengalaman pemilikan pelanggan ke satu tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.

    KEMASKINI: Tempahan kilat atas talian Persona 2019 kini dibuka.

    Proton Persona 2019 akan dilancarkan dalam bukan ini, bersekali dengan Proton Iriz 2019. Tempahan atas taliannya juga akan dibuka mulai esok hingga 22 Mac dengan nilai RM9.99 sahaja.

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Executive

     
     
  • Herve Poncharal rasa kecewa dengan prestasi Hafizh

    Herve Poncharal rasa kecewa dengan prestasi Hafizh

    Pastinya ramai peminat di Malaysia yang berjaga awal pagi tadi untuk menonton aksi Hafizh Syahrin dalam perlumbaan MotoGP pusingan pertama di Qatar. Walaubagaimanapun, keadaan pastinya menghampakan kerana bukan sahaja kelibat atas litar, malah nama beliau pun jarang sekali kelihatan dalam senarai semasa perlumbaan.

    Hafizh bermula di petak ke-22 dan apabila tamat, beliau berada di kedudukan nombor 20. Itu pun kerana tiga lagi pelumba tidak menamatkan perlumbaan iaitu Bradley Smith, Jack Miller dan Francesco Bagnaia. Bukan sesuatu yang pelik, kerana Hafizh dan pelumba KTM lain kelihatan seperti sedikit bergelut untuk musim 2019. Tapi apa sebenarnya yang berlaku? Ini penjelasan rasmi Hafizh dan pasukannya.

    “Perlumbaan ini agak sukar untuk saya. Kami mempunyai jarak yang besar dengan pelumba di hadapan, dan saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya. Saya cuba untuk memahami jentera dalam setiap pusingan, dan ia adalah sangat sukar dan bukannya mudah. Saya tidak boleh mengikut rentak, dan sementara saya bermain dengan sistem elektronik, jarak dengan orang hadapan menjadi semakin besar.”

    “Sejujurnya, sekarang ini saya perlahan dan saya tidak yakin untuk memaksa lebih lagi. Saya cuba untuk belajar daripada perlumbaan hari ini dan memperbaiki keadaan. Saya meminta maaf kepada pasukan dan semua rakan yang datang ke sini untuk menyokong saya. Saya juga sangat kecewa dengan diri sendiri, tetapi akan terus bekerja keras,” kata Hafizh.

    Herve Poncharal rasa kecewa dengan prestasi Hafizh

    Pengurus pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal juga menyatakan rasa kecewa,”Saya tidak boleh menyembunyikan kehampaan, kerana Hafizh tidak pernah berada dalam rentak yang bagus. Kami tamat di tempat terakhir, dan pelumba yang di belakang sama ada mengalami kemalangan atau tidak menghabiskannya, jadi ini tidak mencukupi.”

    “Kami di sini untuk membantu dan bukannya mahu ‘menembak’ sesiapa, tetapi saya fikir Hafizh perlu mengubah sesuatu, kerana kita tidak boleh menerima jarak sebegitu antara dua pelumba. Mari berharap beliau akan menjumpai sesuatu yang menarik untuk perlumbaan di Argentina,” kata Poncharal.

    Semua empat pelumba yang menggunakan jentera KTM tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan semasa perlumbaan pertama MotoGP ini, dengan yang paling di depan adalah Pol Espargaro iaitu di kedudukan ke-12, diikuti Johann Zarco di tempat ke-15, Miguel Oliviera di tempat ke-17 dan Hafizh di tempat ke-20.

     
     
  • Subaru M’sia anjur program pemanduan off-road untuk pelanggannya – uji keupayaan Core-Technologies

    Subaru M’sia anjur program pemanduan off-road untuk pelanggannya – uji keupayaan Core-Technologies

    Hujung minggu baru-baru ini, Subaru Malaysia telah menganjurkan program ‘Subaru Off Road Experiential Drive’ yang dibuka khas untuk para pelanggannya. Program yang berlangsung selama dua hari ini menerima penyertaan hampir 200 peserta yang rata-ratanya adalah pemilik SUV Forester dan crossover XV.

    Bertempat di Must Fun Gym, Sg Penchala, Kuala Lumpur, para peserta berpeluang melenjan Forester dan XV di laluan off-road buatan sejauh 2 km ini. Objektif utama penganjuran ini adalah untuk menawarkan pengalaman pemanduan secara off-road kepada para pelanggan dan memberikan pendedahan sebenar bagi teknologi keupayaan Subaru dengan Core-Technologies iaitu gabungan SAWD, enjin Boxer dan juga platform Subaru Global.

    Pemanduan ini melibatkan sembilan laluan berbeza yang harus direntasi iaitu Rutted & Steep Climb, Slanted slope & steep climb, Sharp uphill turn, Rocky Turn, Rutted Track, Sharp Turn & slanted, Steep climb dan Steep downhill. Di mana setiap satu laluan tersebut memiliki cabaran pemanduan yang berbeza dan untuk merentasi kesemua laluan ini, fungsi X-Mode harus dihidupkan terlebih dahulu.

    Cabaran pertama yang harus direntasi iaitu Rutted & Steep Climb, peserta dikehendaki memandu SUV pilihan dengan melalui tengah-tengah antara dua batang pokok yang memang menguji kecekapan seperti melalui lorong yang sempit, sebelum terus membelok di selekoh yang agak tajam. Kemudian kenderaan dipandu untuk mendaki laluan berbukit yang agak curam untuk menguji jarak kelegaan model Subaru ini untuk merentasi laluan off-road.

    Selain menguji jarak kelegaan tanah SUV, ia juga memberikan peserta peluang merasai sendiri kehebatan AWD dan X-Mode yang turut ditampilkan. Ternyata dengan bantuan teknologi yang ada ini, SUV yang dipandu berupaya mendaki laluan bukit yang curam tanpa sebarang masalah. Selain teknologi, momentum kelajuan kenderaan dan skil pemanduan pemandu sangat diperlukan. Tidak perlu menekan pedal pendikit dengan berlebihan, cukup sekadar mengekalkan momentum yang bersederhana sehingga berjaya mendaki bukit tersebut.

    Manakala cabaran kedua, Slanted slope & steep climb menguji keupayaan side slop selain kestabilan, X-Mode dan AWD kenderaan. Untuk ujian ketiga pula iaitu Sharp Uphill Turn, memandu dengan kelajuan yang perlahan dan mendaki bukit dan terus membelok di selekoh tajam juga benar-benar menguji pemanduan. Kalau tak lepas nak membelok, boleh terlanggar dinding bukit juga dibuatnya. Di sini, ia turut menguji jejari pusingan bagi kedua-dua SUV berkenaan.

    Untuk cabaran seterusnya pula ialah Rocky Turn pula adalah menguji AWD Traction dan X-Mode dalam kelajuan perlahan. Kemudian, kenderaan harus dipandu mendaki laluan bukit yang juga curam, terima kasih pada teknologi Bantuan Mula Mendaki dengan Kawalan Cengkaman yang memberikan fungsi terbaik.

    Cabaran terakhir pula, Steep Downhill, menuruni bukit yang curam dengan bantuan Kawalan Menurun Bukit (HDC), tatkala ini, pemandu tidak perlu menekan pedal pendikit dan brek kerana HDC bertindak mengawal sistem. Sekiranya sistem mengesan pemandu menekan pedal pendikit mahu pun brek, sistem terbabit akan terus ‘cut-off’ kerana ‘beranggapan’ pemandu mahu mengambil alih pengendalian.

    Dengan kelengkapan teknologi dan sistem bantuan pemanduan yang ditampilkan, memang tidak dinafikan mengendalikan model Forester dan XV versi terkini cukup menyeronokkan. Apatah lagi teknologi dan sistem berkenaan cukup membantu dalam pengendalian di laluan off-road sebegini. Walau pun tak berapa puas melenjannya di litar buatan ini, namun ia cukup memadai untuk menguji sejauh mana kehebatan teknologi dan bantuan yang dipertingkatkan ini.

    Subaru M’sia anjur program pemanduan off-road untuk pelanggannya – uji keupayaan Core-Technologies

    Tidak sekadar seronok memacunya di jalan biasa, Forester dan XV serba baharu ini sebenarnya ‘cukup mudah untuk dijinakkan’ dalam pemanduan lasak. Terutamanya SUV crossover XV yang boleh dikatakan yang terbaik dalam segmennya, mengatasi pengendalian yang ditampilkan oleh pencabar terdekatnya, Honda HR-V.

    Pada Ogos tahun lalu, Subaru Malaysia telah memaklumkan, Forester generasi kelima dijangka tiba ke negara kita pada suku kedua tahun ini, malah ia juga akan ditampilkan dengan EyeSight iaitu sistem pembantu pemandu juga akan ditampilkan pada varian tertinggi. Forester baharu ini bakal menjadi model kedua Subaru yang didatangkan dengan EyeSight selepas Outback diperkenalkan. Turut dimaklumkan XV juga akan didatangkan dengan EyeSight pada tahun 2020.

     
     
  • Kereta terbang tiada kaitan langsung dengan projek kereta nasional ketiga – Timbalan Menteri MITI

    Kereta terbang tiada kaitan langsung dengan projek kereta nasional ketiga – Timbalan Menteri MITI

    Terrafugia Transition yang diperkenalkan oleh Geely

    Awal bulan ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof telah mengumumkan Malaysia bakal mempunyai kereta terbang sendiri. Walau bagaimana pun, beliau menegaskan kereta terbang yang bakal direalisasikan kerajaan tahun ini hanya untuk kegunaan industri pengangkutan dan bukan untuk dijual kepada orang awam.

    Namun demikian, ada pihak yang membuat andaian, kereta terbang yang sedang dibangunkan prototaip tersebut adalah projek kereta nasional ketiga.

    Susulan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, menjawab spekulasi ini dan menegaskan berdasarkan maklumat yang diterimanya, kereta nasional ketiga bukan kereta terbang, laporan Berita Harian.

    Ujarnya, sebarang persoalan mengenai kereta nasional ketiga itu boleh ditujukan kepada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), yang mana ia adalah agensi relevan menguruskan hal berkenaan. Tambahnya lagi, kementeriannya hanya bekerjasama dengan MIGHT dari segi Dasar Automotif Negara dengan melihat bagaimana kereta nasional ketiga memenuhi industri automotif secara meluas.

    Kereta terbang tiada kaitan langsung dengan projek kereta nasional ketiga – Timbalan Menteri MITI

    “Setakat yang saya tahu, kereta nasional ketiga bukan kereta terbang. Kereta terbang adalah bukan sesuatu yang akan dikeluarkan atau dijual secara komersial dan besar-besaran,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberikan pandangan mengenai manfaat integrasi ASEAN terhadap sektor automotif negara. Katanya, apabila menyentuh mengenai sektor automotif di Malaysia, ia bukan lagi setakat melihat kepada kereta nasional saja.

    “Jika melihat kepada pasaran kereta di Malaysia, kebanyakan model kereta popular di negara ini dipasang di dalam negara membabitkan pelbagai pengeluar sama ada dari Jepun, Korea dan Eropah.

    “Dari segi integrasi, kita perlu melihat kepada keseluruhan sektor automotif yang mana kita boleh integrasi. Contohnya, vendor di Malaysia yang ketika ini membekalkan kepada peserta automotif di negara ini boleh menawarkan perkhidmatan di negara ASEAN lain seperti Vietnam kerana integrasi rantaian bekalan automotif di negara itu masih rendah dan vendor tempatan boleh mengeksploit pasaran ASEAN,” katanya.

     
     
  • MotoGP 2019: Empat pasukan protes kemenangan Ducati kerana alat aerodinamik untuk tayar belakang

    MotoGP 2019: Empat pasukan protes kemenangan Ducati kerana alat aerodinamik untuk tayar belakang

    Musim perlumbaan MotoGP 2019 sudah pun bermula hujung minggu lalu, menyaksikan Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati memenangi pusingan di Qatar dengan beza cuma 0.023 saat berbanding Marc Marquez yang berada di tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Cal Crutchlow.

    Walaubagaimanapun, kemenangan Dovizioso ini, serta beberapa pelumba lain yang menggunakan jentera Ducati telah dipertikaikan oleh beberapa pasukan, termasuk Aprilia Racing Team Gresini, Red Bull KTM Factory Racing, Repsol Honda Team dan Team Suzuki Ecstar.

    Sebab utamanya adalah winglet yang diletakkan pada lengan ayun, di hadapan roda belakang (bawah motosikal). Walaubagaimanapun, panel pengurusan FIM MotoGP telah menolak protes ini kerana ia tidak menyalahi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Kini, keputusan perlumbaan masih lagi dikekalkan, tetapi kes protes pertama bagi musim 2019 ini telah dibawa pula ke ‘mahkamah rayuan’ MotoGP untuk pengumpulan lebih maklumat berkenaannya.

    MotoGP 2019: Empat pasukan protes kemenangan Ducati kerana alat aerodinamik untuk tayar belakang

    Walaupun cuma satu alat yang kecil, ia berkemungkinan memberi kesan yang banyak pada kestabilan dan prestasi motosikal kerana pergi di kelajuan yang tinggi. Sama seperti beberapa tahun kebelakangan ini, jentera Ducati sekali lagi menunjukkan kelajuan yang sukar ditandingi di laluan lurus, dan di Qatar, ia boleh pergi sehingga lebih daripada 350 km/j.

    Selain cerita protes ini, sudah tentu perlumbaan pembukaan musim 2019 juga menyaksikan pelbagai aksi menarik seperti saingan di kelompok hadapan, Rossi yang berjaya mendapat tempat kelima selepas bermula di petak ke-14, tempat duduk Jack Miller tercabut dan Fabio Quartararo yang bermula di pit lane selepas enjin motosikal beliau mati betul-betul sebelum pusingan warm up dimulakan. Hafizh Syahrin pula cuma menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025