Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

    Teaser demi teaser disiarkan Toyota sebelum generasi baharu Supra A90 yang bakal didedahkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019, berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Prototaip kereta berkenaan sudahpun membuat kemunculan (dengan pelekat penyamaran) di Goodwood Festival of Speed 2018 Julai lalu, dan minggu lepas gambar cermin sisi untuk unit produksi pertama disiarkan bersama pengumuman bahawa ia bakal di lelong pada acara Barret-Jackson Arizona.

    Terbaharu, Toyota telah menyiarkan satu lagi teaser Supra generasi seterusnya ini dalam bentuk video. Imej kereta dalam video ini dikaburkan, namun bunyi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan suapan turbo pada Supra berkenaan jelas kedengaran.

    Ya, bunyi enjin tersebut tidaklah seganas bunyi dihasilkan oleh enjin 2JZ-GTE dari model generasi JZA80 yang telah diubahsuai dengan ekzos, turbin dan wastegate lebih besar, namun ia tetap menghasilkan irama enam-silinder yang tajam seperti 2JZ. Jelas kedengaran juga, Toyota telah menala enjin berkenaan bagi menghasilkan bunyi letupan sebaik sahaja pedal pendikit dilepaskan.

    Seperti yang diketahui, Supra A90 ini dihasilkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 generasi terbaharu. Toyota dan jenama dari Jerman berkenaan telah bekerjasama untuk membina asas kedua-dua model ini sejak tahun 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

    Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

    Walaupun Toyota sudah menyatakan yang Supra ini hanya akan hadir dengan kotak gear automatik sahaja, pembantu ketua jurutera untuk projek ini, Masayuki Kai menyatakan bahawa Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia hanya dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Jelas Kai, sama ada versi berkenaan akan dijual atau pun tidak ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran dan mungkin hanya untuk model JDM serta pasaran RHD lain.

    Yang pasti, kuasa dari enjin Supra ini hanya akan dialirkan ke gandar belakang, lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina di atas casis aluminium dan logam komposit, dengan pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

    Ketua jurutera Tatsuya Tada pula menjelaskan bahawa model generasi baharu ini tidak bersifat seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar di laluan lurus’, tetapi ia akan dibina lebih fokus kepada dinamik pengendalian. Ia juga dikatakan bakal menampilkan nisbah berat hadapan dan belakang sempurna 50:50.

    Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

    Beliau turut memberitahu Supra A90 juga akan hadir dengan varian asas menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter juga diambil dari BMW. Tada menjelaskan bahawa model asas tersebut akan dibina lebih ringan dari versi tertinggi, secara tidak langsung menawarkan pengendalian yang lebih tajam kerana pembahagian nisbah berat yang lebih baik.

    Ketua jurutera berkenaan turut mencadangkan bagi mereka yang sudahpun berkira-kira untuk menyumbat enjin 3.0 liter 2JZ dari Supra generasi keempat ke kerangka Supra baharu ini, pilihan versi asas tersebut adalah yang terbaik kerana ia lebih murah.

    Sebelum kereta ini didedahkan sepenuhnya bulan hadapan, minggu lalu imej muka Toyota Supra A90 ini sebenarnya sudah bocor dan ia telah disebarkan di internet – menampilkan rupa yang sedikit berbeza dari model konsep Toyota FT-1, dan mendapat sedikit inspirasi dari Supra JZA80.

    GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

     
     
  • JPJ galak pengeluar kereta sediakan Child Restrain System – bakal dikuatkuasa pada tahun 2020

    JPJ galak pengeluar kereta sediakan Child Restrain System – bakal dikuatkuasa pada tahun 2020

    Pada Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyatakan kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019 ditangguhkan pada 2020.

    Untuk persediaan ke arah itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempergiatkan lagi usaha menggalakkan pengeluar kereta mematuhi arahan penyediaan sistem kerusi keselamatan kanak-kanak yang juga dikenali sebagai ‘Child Restrain System’ (CRS).

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata setakat ini arahan tersebut sudah mula dilaksana pelbagai pengeluar kereta namun pelaksanaanya akan tertumpu supaya penyediaan sistem kerusi khas itu akan mematuhi standard dalam negara, laporan Bernama.

    “Kita telah memohon kepada semua industri pengeluar kereta agar menyediakan kereta yang mempunyai ruang untuk ‘child restrain system’ atau ISOFIX itu sendiri supaya kerusi khas kanak-kanak boleh dipasang secara sempurna. Bila sistem kerusi khas keselamatan kanak-kanak itu wujud menjelang 2020 apabila kita kuat kuasakan maka semua kereta dah dilengkapi dengan benda tersebut (CRS). Tidak ada alasan kerusi khas kanak-kanak tidak boleh diletakkan di dalam kereta,” katanya.

    Menurutnya lagi, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati semasa tempoh Ops Bersepadu sempena musim perayaan tahun 2018 dibuat, tahap pemakaian kerusi khas keselamatan kanak-kanak adalah sebanyak 26.8% di mana menunjukkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan kerusi khas tersebut masih rendah.

     
     
  • Jaguar Land Rover buang 5,000 pekerja pada 2019?

    Jaguar Land Rover buang 5,000 pekerja pada 2019?

    Akibat kejatuhan jualan dan juga kesan daripada Brexit, Jaguar Land Rover (JLR) dilaporkan akan memberhentikan sebahagian pekerjanya bagi mendapatkan penjimatan sehingga £2.5 bilion (RM13.3 bilion). Financial Times melaporkan bahawa jenama ikonik British berkenaan akan mengumumkan pemberhentian sehingga 5,000 tenaga kerjanya pada awal tahun hadapan.

    Pelan untuk menjimatkan kos selama 18-bulan ini telah diumumkan pada Oktober lalu, namun ketika itu senarai langkah yang perlu dilakukan belum lagi diumumkan. Akhbar berkenaan diberitahu oleh sumber bahawa tindakan untuk menghentikan pekerja ini adalah solusi jangka masa pendek. JLR walau bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu, dan mendakwa bahawa ia hanyalah spekulasi.

    Syarikat tersebut kini mempunyai 40,000-orang kakitangan di UK, dan mereka telahpun menamatkan perkhidmatan 1,000 orang pekerja kontrak di kilang Solihull yang membina Land Rover Discovery dan Range Rover awal tahun ini. Dengan kejatuhan jualan di China serta permintaan terhadap model sedan dan model-model janaan diesel telah menyebabkan JLR kerugian 90 juta pound pada suku ketiga tahun ini.

    Antara langkah lain yang turut akan dilakukan adalah dengan mengurangkan dana pelaburan tahunan dari £4.5 bilion (RM23.9 bilion) kepada £4 billion (RM21.25 bilion) tahun ini dan tahun hadapan, serta mengurangkan stok kereta yang siap serta modal kerja sebanyak £500 juta. JLR turut telah membekukan sebarang pengambilan pekerja baharu dan perjalanan-perjalanan yang tidak diperlukan sebagai langkah mengurangkan lagi kos.

     
     
  • Hyundai Santa Fe hadir dengan pembuka kunci dan sistem pemula guna cap jari – untuk China sahaja

    Hyundai Santa Fe hadir dengan pembuka kunci dan sistem pemula guna cap jari – untuk China sahaja

    Unit yang dipertontonkan di Malaysia

    Hyundai Santa Fe terkini telah didatangkan dengan sistem pemula dan pembuka kunci dengan menggunakan cap jari – hanya untuk pasaran China sahaja. Untuk pasaran ini, Santa Fe tersebut 16 cm lebih panjang berbanding model domestik Korea Selatan, dan akan mula dijual di negara berkenaan pada suku pertama 2019, menurut Korea Herald.

    Selain itu, model untuk China tersebut juga menerima Kepekaan Penumpang Belakang – yang menggunakan pengesan ultrasonic untuk mengesan pergerakan kanak-kanak dan haiwan peliharaan – ia adalah aspek keselamatan bagi mengingatkan pemandu tentang kehadiran penumpang tersebut yang berada di barisan kedua.

    Sistem keselamatan ini membolehkan beberapa pengguna untuk mendaftarkan data cap jari mereka untuk kenderaan yang sama, menurut Hyundai, contohnya ia melibatkan seisi keluarga. Data tersebut akan menyesuaikan ketetapan tertentu kepada pemandu, seperti posisi tempat duduk dan cermin pandang belakang. Kemas kini masa depan boleh memperluaskan penyesuaian kepada tetapan pendingin hawa dan stereng, ujar pengeluar kenderaan itu lagi.

    Pengesan cap jari menggunakan kapasiti pengenalpastian, kerana ia membezakan paras elektrik pada bahagian jari yang berlainan. Ini untuk mencegah penggodaman atau cap jari palsu, menurut Engadget. Sistem ini akan menerima data cap jari yang dirahsiakan pengguna sebelum membuka kunci kereta, dan mempunyai kadar kesilapan dalam 50,000, menurut Hyundai.

    Antara kemudahan elektronik moden yang lain untuk Santa Fe pasaran China ini ialah sistem pengesan suara Baidu dan pengecas peranti mobiliti tanpa wayar. Selain itu, pengesan cap jari telah pun diaplikasikan pada kereta berkenaan, yang disambungkan pada pemegang pintu.

    GALERI: Santa Fe 2.2 CDRi yang dipertontonkan di KLIMS18

     
     
  • Porsche 718 Boxster T dan Cayman T – enjin asas 2.0 liter dengan kelengkapan pemanduan lebih agresif

    Porsche 718 Boxster T dan Cayman T – enjin asas 2.0 liter dengan kelengkapan pemanduan lebih agresif

    Porsche memperkenalkan satu lagi varian dalam barisan model 718 iaitu siri Boxster T dan Cayman T. Mengikut hieraki model-model Porsche, versi dengan abjad ‘T’ pada di hujung ini merujuk kepada ‘Touring’, yang ditala disasarkan untuk keseronokkan pemanduan sebenar. Menurut jenama kereta sport tersebut, 718 Boxster T dan Cayman T ini dihasilkan untuk dinikmati di jalan-jalan berliku luar bandar.

    Oleh itu, Porsche menghasilkan kedua-dua 918 T ini dengan menyisihkan peralatan-peralatan yang tidak diperlukan, diberikan penambahan ciri-ciri lain yang bersangkut-paut dengan prestasi, tetapi masih kekal dengan dengan enjin asas bersama kotak gear manual – sama dengan apa yang dilakukan pada 911 Carrera T.

    Jadi, versi ini masih dijana enjin empat silinder boxer 2.0 liter dengan pengecas turbo menjana 300 PS dan tork maksima 380 Nm. Kuasa tersebut dialirkan hanya pada roda belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan (transmisi klac berkembar automatik PDK hanya ditawarkan sebagai opsyen) dan diselia oleh sistem Porsche Torque Vectoring.

    Dengan berat hanya 1,350 kg, 718 T yang dilengkapi kotak gear manual ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.1 saat. Model bersama transmisi PDK pula ditimbang 30 kg lebih berat, tetapi dengan tukaran gear lebih pantas, pecutan pada jarak sama mengambil masa hanya 4.7 saat. Kelajuan maksima pula dicatatkan pada 275 km/j.

    Walaupun angka kuasa dan prestasi kereta ini tidak gah seperti 718 GTS, ia sebenarnya dibekalkan dengan pelbagai perlatan lain yang dikhususkan untuk keseronokan pemanduan. 718 T menerima casis sport dengan sistem suspensi Porsche Active Suspension Management (PASM) yang membolehkan badannya direndahkan lagi 20 mm, dan ia adalah model asas pertama diberikan kelengkapan sebegini.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuk rim aloi 20-inci dan tuil penukar gear dengan jarak tukaran lebih dekat bersama grafik merah pada tombol gear. Pakej Sport Chrono turut dilengkapkan, membolehkan pemandu menukar mod pemanduan sama ada Normal, Sport, Sport Plus dan Individual hanya menerusi butang pada roda stereng.

    Porsche 718 Boxster T dan Cayman T – enjin asas 2.0 liter dengan kelengkapan pemanduan lebih agresif

    Dengan mod Sport dan Sport Plus, kereta ini akan menyerlahkan karekter yang lebih sporty menerusi larasan semula pada pengurusan enjin dan pedal pendikit. Manakala pada mod Sport Plus, sifat lebih agresif akan diberikan oleh PASM. Versi PDK turut akan diberikan fungsi Launch Control serta butang fungsi Sport Response.

    Pada mod Sport Plus juga Porsche Active Drivetrain Mounts (PADM) akan diaktifkan. Sistem ini memberikan cagak kotak gear PDK yang bukan sekadar statik, sebaliknya akan memberikan tindak balas adaptif terhadap pergerakan badan, bagi mengurangkan gegaran pada enjin dan transmisi yang mungkin boleh menggangu dinamik pemanduan.

    Menurut Porsche, PADM menggabungkan kebaikan antara cagak kotak gear jenis keras dan lembut dengan memberikan respon pemanduan yang lebih jelas dan tepat, serta lebih stabil ketika mengambil selekoh laju dan juga sewaktu alihan berat berlaku, namun masih lagi mengekalkan keselesaan ketika dipandu pada permukaan jalan tidak rata.

    Bagi membezakan model ini dengan versi biasa (selain dari rim 20-inci titanium grey dan stance yang lebih rendah), kedua-duanya diberikan pelindung cermin sisi berwarna Agate Grey dan juga grafik bertulis ‘718 Boxster T’ atau ‘718 Cayman T’ pada bahagian bawah kedua-dua pintu. Logo yang sama turut diletakkan di belakang manakala sepasang tip ekzos ditengah diberikan kemasan hitam dengan salutan krom.

    Bahagian dalaman juga memberikan petunjuk bahawa model ‘T’ ini adalah sesuatu yang lebih hardcore dari biasa di mana penarik pintu hanya diperbuat dari fabrik seperti tali, dan tidak disertakan dengan sebarang head unit untuk sistem hiburan. Walau bagaimanapun untuk mereka yang tidak senang hati melihat lubang besar pada papan pemuka, sistem infotaimen dengan modul Porsche Communication Management masih ditawarkan dan ia boleh dipasang tanpa sebarang caj.

    Namun penyisihan peralatan-peralatan ini masih lagi mengekalkan berat asal 718, kerana model baharu ini perlu dilengkapi dengan sistem penapis particulate petrol bagi membolehkan ia memenuhi undang-undang emisi yang lebih ketat.

    Porsche 718 Boxster T dan Cayman T – enjin asas 2.0 liter dengan kelengkapan pemanduan lebih agresif

    Tempat duduk model ini diberikan bahagian tengah hitam Sport-Tex bersama sulaman logo ‘718’ pada perehat kepala. Sistem larasan berkuasa masih ditawarkan, tetapi ia hanya boleh dilaras dalam dua hala sahaja. Selain itu, model T ini turut menerima roda stereng GT 360 mm balutan kulit dengan butang mod, serta loga-logo 718 lain ditempatkan pada paparan instrumen hitam dan juga pada kemasan bendul pintu.

    Kereta ini sudah boleh ditempah pada pasaran Jerman, dan ia dijual pada harga bermula 63,047 euro (sekitar RM300k) untuk model 718 Cayman T dan 65,070 euro (sekitar RM310k) untuk 718 Boxter T.

     
     
  • Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive – diskaun insurans pemanduan selamat sehingga 20%

    Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive – diskaun insurans pemanduan selamat sehingga 20%

    Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah memperkenalkan ‘Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive’, satu inisiatif untuk menggalakkan rakyat Malaysia agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya dan memberi ganjaran kepada mereka yang mengamalkan tabiat pemanduan berhemah. Produk yang merupakan pertama seumpamanya di Malaysia ini bertujuan membantu pemandu kenderaan yang telah diinsuranskan untuk belajar dan memahami dengan lebih baik akan tabiat pemanduan mereka menerusi pemasangan peranti keselamatan telematik dan aplikasi mudah alih AXA FlexiDrive.

    Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha yang diambil untuk mengukuhkan pembabitan Digi dalam teknologi IoT (Internet of Things) menerusi strategi Kenderaan Terhubung yang komprehensif.

    “‘Kereta Terhubung bersama AXA FlexiDrive’ merupakan sebahagian daripada strategi kami dalam menawarkan pelbagai solusi buat kenderaan persendirian dan syarikat insurans. Hal ini adalah selaras dengan matlamat kami untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat maklumat penting di mana dalam hal ini adalah bagi memastikan keselamatan mereka dan orang tersayang semasa di jalan raya terjaga,” katanya.


    AXA FlexiDrive adalah insurans motor telematik pertama di Malaysia yang menawarkan diskaun bagi pemanduan selamat untuk menggalakkan pemandu agar sentiasa peka dan mengutamakan keselamatan semasa di jalan raya dengan memantau tabiat pemanduan mereka.

    Praveen turut menyatakan kesediaan Digi untuk menjalin kerjasama dan meneroka pelbagai jenis produk berasaskan inovasi baharu yang memberi manfaat kepada pelanggan serta semua rakyat Malaysia. “Usahasama bersama AXA Affin General Insurance yang diperkukuhkan dengan rangkaian hebat Digi memberi peluang kepada kami untuk memperluaskan capaian pelanggan dengan menawarkan solusi digital yang memberi lebih nilai kepada mereka,” katanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin General Insurance, Emmanuel Nivet berkata, “Keselamatan jalan raya adalah perkara yang serius dan kami komited dalam memastikan keselamatan semua orang dilindungi. Produk AXA FlexiDrive dihasilkan dengan mengambil kira akan keperluan rakyat Malaysia. Oleh itu, kami berharap dapat menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka menjadi pengguna jalan raya yang bijak dengan pelbagai insentif yang diberikan.”


    Insurans motor AXA FlexiDrive dilancarkan pada tahun 2017 bersama dengan rakan kongsi telematik rasmi AXA, kumpulan CSE (Communications & Security Electronics) yang merupakan sebuah pusat penyelidikan, pembangunan dan pembuatan tempatan yang telah menempa nama dalam bidang telematik sejak tahun 2002. Produk ini telah meraih anugerah Produk Insurans Baharu Terbaik-Malaysia di Anugerah Perbankan Kewangan dan Insurans Asia 2018.

    Menerusi ‘Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive’, pemilik kenderaan berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 20% bagi pemanduan selamat. Tawaran ini bergantung pada penilaian terhadap tabiat pemanduan pemandu seperti daripada segi kelajuan, jarak perjalanan kenderaan dan cara memandu. Selain itu, manfaat lain yang ditawarkan adalah notis kemalangan automatik beserta bantuan, perlindungan kenderaan 24 jam dan bantuan mendapatkan kembali kenderaan sekiranya berlaku kecurian, tanpa sebarang caj tambahan.

    Pemilik kenderaan persendirian boleh mendaftar dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk ‘Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive’ di mana-mana Digi Store di seluruh negara bermula semalam. Untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana ‘Kereta Terhubung Digi bersama AXA FlexiDrive’ beroperasi, sila KLIK DI SINI.

     
     
  • Volkswagen I.D. Hatchback akan mula dijual pada 2019 – capai sehingga 550 km jarak elektrik sepenuhnya

    Volkswagen I.D. Hatchback akan mula dijual pada 2019 – capai sehingga 550 km jarak elektrik sepenuhnya

    Perincian berkaitan model Volkswagen I.D. Hatchback ini semakin bermunculan. Ahli lembaga syarikat itu, Jürgen Stackmann, menyingkap sedikit sebanyak penawaran yang adakan diberikan oleh model terbabit melalui akaun Twitter beliau. Ini termasuklah jarak pemanduan yang mencecah jarak 550 km berdasarkan ujian WTLP.

    Angka berkenaan sedikit kurang berbanding jarak 600 km yang diumumkan sebelum ini. Apapun, platform Modular Electric Drive Kit (MEB) yang menjadi asas I.D. Hatchback ini membolehkan penggunaan boleh ubah bagi kapasiti baterinya (scalable); varian dengan jarak lebih jauh mungkin akan diperkenalkan kemudian. Perincian proses mengecas masih lagi samar-samar, tetapi Volkswagen mendakwa cas 80% boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit.

    Stackman turut mendedahkan bahawa model terbabit akan menjadi kenderaan terhubung sepenuhnya dengan antaramuka inovatif; set teknologi ini disifatkan bakal merintis kepada ciri I.D. Pilot autonomous penuh yang akan diperkenalkan pada 2025 nanti. Secara konsep, mod pemanduan sendiri itu akan diaktifkan dengan hanya menyentuh logo VW pada stereng.

    Volkswagen I.D. Hatchback akan mula dijual pada 2019 – capai sehingga 550 km jarak elektrik sepenuhnya

    Dengan I.D. Hatch ini, Volkswagen ingin mengubah pengalaman pembelian pelanggan. “Di masa hadapan, pelanggan Volkswagen boleh memilih pakej berbeza bagi model, jarak, warna dan spesifikasi dengan jumlah klik yang berkurangan. Kami ingin berfikir lebih sebagai pengguna, dan kurang seperti jurutera,” ujar Stackman.

    Pra-tempahan bagi model I.D Hatch ini akan dibuka tahun depan, dengan model ini akan menjadi “permulaan era baru” bagi Volkswagen. Beliau turut menambah; “Saya merasakan ini akan menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk Volkswagen. Kenderaan, pelanggan dan pengedaran akan menjadi terhubung sepenuhnya pada masa hadapan.”

    Dari segi harga, model ini akan dijual pada harga yang setara dengan Golf Diesel. Di UK, Golf Diesel berkenaan dijual pada harga £20,505 (RM109k) bagi versi 1.6 TDI, sehinggalah ke £25,515 (RM136k) bagi versi 2.0 TDI. I.D. Hatchback akan menjadi model pertama dari lima model kereta elektrik lain yang akan diperkenalkan VW, termasuk I.D Crozz, I.D. Vizzion, I.D. Buzz MPV dan I.D. R Pikes Peak.

     
     
  • RON92 tidak akan dikembalikan di pasaran bagi jaga alam sekitar, kena ikut ketetapan NAP – KPDNHEP

    RON92 tidak akan dikembalikan di pasaran bagi jaga alam sekitar, kena ikut ketetapan NAP – KPDNHEP

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan tidak akan mengembalikan penjualan petrol RON92 kerana kandungan sulfur yang tinggi dalam bahan api itu boleh mencemarkan alam sekitar.

    Menurut laporan Bernama, beliau berkata walaupun terdapat banyak cadangan agar bahan api itu kembali dijual di pasaran untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat, kerajaan tidak dapat menimbangkannya kerana turut terikat dengan protokol antarabangsa.

    “Yang membezakan RON92, 95 dan 97 ialah kadar kandungan sulfur. Lebih kurang kandungan sulfur makin kurang pencemaran alam sekitar namun harganya lebih mahal. Tetapi sebagai sebuah negara yang terikat dengan protokol antarabangsa (berkenaan alam sekitar), kita dikehendaki mematuhi jadual untuk bergerak ke arah penggunaan bahan api yang kurang kandungan sulfurnya,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Negara semalam.

    Sehubungan itu kata Saifuddin, dasar kerajaan buat masa ini ialah mengekalkan penggunaan RON95 dan RON97.

    Menurutnya, faktor lain ialah perkembangan industi automotif dengan enjin kenderaan direka bergerak dengan minyak berkualiti tinggi. Malah ia juga sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP) iaitu enjin kenderaan hendaklah ditetapkan sekurang-kuranya menggunakan bahan api RON95.

     
     
  • Albert Biermann kini terajui unit R&D Hyundai

    Albert Biermann kini terajui unit R&D Hyundai

    Hyundai telah membuat penyusunan semula organisasi mereka dan apa yang menarik Albert Biermann yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai N, kini diberikan jawatan sebagai ketua pembangunan kumpulan, lapor Reuters.

    Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan divisi prestasi tinggi BMW M adalah orangnya disebalik penghasilan sedan sport Kia Stinger dan model-model berprestasi tinggi lain seperti Hyundai i30 N dan Veloster N. Dengan menggalas tugas baharu tersebut dan menggantikan Yang Woong-chul dan Kwon Moon-sik, ini bermakna Biermann adalah ketua R&D pertama Hyundai yang bukan berbangsa Korea.

    Selain Biermann, 17-orang eksekutif Hyundai yang lain turut terlibat dalam penstrukturan semula organisasi syarikat berkenaan. Ia termasuk Euisun Chung yang kini dinaikkan sebagai naib pengerusi eksekutif Hyundai Motor, manakala ayahnya Mong-Koo Chung kekal sebagai pengerusi kumpulan tersebut. Laporan yang sama turut menyatakan bahawa langkah ini diambil bagi menyelesaikan masalah keuntungan yang merudum akibat panggilan-panggilan semula di Amerika Syarikat serta jualan lemah di pasaran tersebut dan juga China.

    Kehadiran Biermann sebagai orang asing ke dalam kumpulan organisasi yang di dominasi oleh rakyat Korea tersebut sebenarnya di bawa oleh Euisun Chung. Oktober lalu, bekas eksekutif BMW Thomas Schemera turut di bawa masuk untuk mengetuai unit perancang produk bagi kereta pemanduan sendiri, manakala bekas ketua pereka Bentley, Luc Donckerwolke dilantik ke jawatan sama untuk Hyundai dan Kia bagi menggantikan tempat Peter Schreyer.

    Laporan tersebut turut menyatakan kenaikan pangkat Euisun Chung ini, naib pengerusi Hyundai Motor telah dipindahkan ke Hyundai Steel, dan pengaruh Mong-Koo Chung dapat dikurangkan. Penstrukturan semula ini adalah “salah satu langkah perubahan generasi yang tekankan oleh Euisun Chung,” kata sumber yang rapat dengan perkara tersebut.

    Harga saham Hyundai meningkat sebanyak 9% selepas langkah tersebut diambil, manakala saham anak-anak syarikatnya yang lain seperti Hyundai Mobis, Hyundai Wia dan Hyundai Glovis turut mencatatkan kenaikan. Menurut penganalisis, harga saham-saham tersebut naik mungkin disebabkan perubahan yang dilakukan terhadap barisan ketua syarikat, dan secara lebih spesifik kerana Euisun Chung sedang menunjukkan perkembangan dalam rancangan penstrukturan semulanya selepas usaha sebelum itu mendapat bantahan dari dana terhad Amerika Syarikat, Elliot.

     
     
  • TUNGGANG UJI: SYM VF3i – bolehkah diambil sebagai alternatif kepada Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R?

    TUNGGANG UJI: SYM VF3i – bolehkah diambil sebagai alternatif kepada Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R?

    Motosikal kapcai yang menggunakan enjin 150 cc bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ketibaan dua model terkenal seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R bagai mencetus satu fenomena bukan sahaja di Malaysia, malah juga beberapa negara lain dalam Asia Tenggara.

    Ramai yang mahukan dua model ini dan ia dianggap sebagai ‘raja kapcai’, namun ada juga yang mahu mengambil alternatif lain tetapi tidak mahu mengabaikan aspek kuasa. Jadi, pandangan mereka beralih kepada sama ada Benelli RFS150i dan juga SYM VF3i.

    Kalau diikutkan cadangan pengeluar, harga paling murah adalah Benelli RFS150i iaitu pada RM7,488 diikuti Y15ZR pada RM7,888, RS150R RM7,199 dan SYM VF3i RM8,238. Walaubagaimanapun, seperti yang kita semua telah sedar, harga jualan di kedai dua model jenama Jepun tersebut adalah lebih tinggi, mungkin kerana ia cukup popular dan menjadi kegilaan ramai sekaligus membuatkan banyak pengedar mahu mengambil kesempatan.

    Semua model yang disebutkan tadi juga menggunakan enjin berkapasiti 150 cc, tetapi SYM VF3i menawarkan sesuatu yang lebih di mana ia dipacu oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 183 cc yang mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 8,500 rpm dan 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sememangnya, jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh VF3i ini adalah mengatasi semua model lain yang kebanyakannya berada di tahap sekitar 15 hp dan 13 Nm. Jika anda mahu melihat lebih banyak perbezaan di antara empat model ini, lihat artikel ini yang telah kami buat tidak lama selepas VF3i dilancarkan dulu.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • PLUS mengesahkan terima notis timbang tara yang dikemukakan CIMB ekoran projek percubaan RFID

    PLUS mengesahkan terima notis timbang tara yang dikemukakan CIMB ekoran projek percubaan RFID

    PLUS Malaysia Berhad telah membuat kenyataan berhubung pengesahan telah menerima Notis Timbang Tara yang dibuat oleh CIMB Group Holding Berhad pada 17 Disember 2018 berkenaan dengan keputusan pihak CIMB dan CIMB SI 1 Sdn Bhd, anak syarikat milikan penuh CIMB, untuk memulakan satu prosiding timbang tara terhadap pihak PLUS di bawah Kaedah – Kaedah Timbang Tara UNCITRAL.

    Ia berikutan dengan pertikaian di bawah Perjanjian Usaha Sama bertarikh 12 Mei 1998 dan permohonan injunksi untuk menghalang PLUS daripada terus terlibat di dalam perniagaan berkaitan dengan sistem RFID PLUS berserta dengan ganti rugi, faedah dan kos.

    Dalam masa yang sama, PLUS percaya pelancaran ujian perintis bersasar PLUS RFID baru-baru ini berupaya untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat memandangkan ia menawarkan lebih pilihan serta kemudahan kepada pengguna untuk membuat pembayaran melalui kad kredit atau kad debit, sebagai tambahan kepada sistem pembayaran dompet elektronik (E-wallet) dan pembayaran prabayar sedia ada yang disediakan oleh Touch ‘n Go E-wallet. Sistem pembayaran E-Wallet dan pembayaran prabayar oleh Touch ‘n Go masih tetap menjadi salah satu pilihan pembayaran di dalam ujian perintis bersasar RFID PLUS.

    Justeru, PLUS percaya tidak terdapat sebarang pelanggaran terhadap mana-mana perjanjian. Dengan memberi pilihan pembayaran tambahan kepada pengguna-pengguna lebuh raya seharusnya dilihat sebagai satu kebaikan yang bermanfaat, selaras dengan semangat perjanjian Touch ‘n Go untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

    PLUS turut memaklumkan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan penyediaan prosiding timbang tara tersebut.

     
     
  • PANDU UJI: MINI Cooper S Countryman Sports 2018 – gaya unggul, impak keterujaan melangkaui batasan

    PANDU UJI: MINI Cooper S Countryman Sports 2018 – gaya unggul, impak keterujaan melangkaui batasan

    Jarang sekali kelibatnya tidak mengundang pandangan, apatah lagi bagi yang mengaguminya dalam hati tanpa berpeluang memiliki. Dapat tengok pun jadilah, bisik hati. Berangan itu percuma, sesiapa saja boleh melakukannya! Tapi kalau berkeinginan untuk meminangnya, pastikan usaha dilipat ganda agar impian jadi kenyataan.

    MINI Cooper S Countryman Sports 2018 ini tiba di pasaran Malaysia pada 5 April lalu. Ia dijual pada harga RM240,888 (tidak termasuk insurans) yng hadir dengan waranti selama empat-tahun, tanpa had perbatuan dan servis berkala percuma. Bagi yang berkemampuan, harga MINI ini dilihat berbaloi dengan keunggulan jenamanya dan kemantapan jentera kecil molek ini beraksi di jalan raya.

    Bukan mahu puji melambung hingga ke langit biru, tetapi itulah hakikatnya setelah beberapa kali memandu uji barisan model MINI, dan terbaru, sempat melenjan Cooper S Countryman Sports 2018 selama seminggu. Banyak kelebihan yang dipersembahkan walau terdapat juga sedikit kekurangannya. Yelah, mana ada sesuatu penciptaan buatan manusia itu serba sempurna bukan?

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Audi SQ2 – perincian lanjut, tempahan EU mula dibuka

    Audi SQ2 – perincian lanjut, tempahan EU mula dibuka

    Audi telah mengeluarkan lebih banyak gambar dan perincian rasmi bagi model crossover kompak SQ2, selepas beberapa bulan gambar pertamanya mula muncul, ketika itu sebelum dipamerkan di Paris. Model berkenaan, yang menggunakan sistem janaan kuasa dari Volkswagen Golf R di dalam badan Q2, mula dijual di Eropah.

    Enjin petrol 2.0 liter empat-silinder yang ada padanya mengeluarkan 300 hp kuasa dari 5,300 rpm hingga 6,500 rpm dan 400 Nm di antara 2,000 rpm hingga 5,200 rpm. Ini digandingkan pula dengan transmisi klac berkembar basah S Tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro. Ini membolehkan SQ2 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat – ia 0.3 saat lebih pantas berbanding Porsche 718 Cayman.

    Untuk mengendalikan kuasa yang ada dengan lebih baik, SQ2 menggunakan suspensi sport S yang direndahkan sebanyak 20 mm, dengan stereng peka kelajuan yang ditala semula serta cakera brek yang lebih besar, 340 mm di depan dan 310 mm di belakang. Sistem AWD yang ada juga boleh memindahkan 100% tork ke roda belakang sepenuhnya jika kekurangan cengkaman dirasai pada roda hadapan.

    Rekaan gril tunggalnya dihiasi oleh beberapa jalur melintang, dengan splitter depan yang bersambungan dengan bahagian masukan udara. Begitu juga dengan spoiler bumbung yang lebih besar dan rekaan bampar dengan elemen diffuser yang hadir bersama empat hujung ekzos.

    Audi SQ2 – perincian lanjut, tempahan EU mula dibuka

    Pilihan lain untuk menghiasi bahagian luaran ialah pakej dengan kemasan hitam, grafik quattro pada pintu serta spoiler belakang yang lebih agresif. Tidak lupa, rim aloi 18-inci atau 19-inci. Bahagian dalam menggunakan tempat duduk sport serta stereng dengan kawalan pelbagai fungsi. Paddle shifter pula tidak ditawarkan sebagai standard, dengan stereng balutan kulit Nappa. Menghiasi ruang berkenaan juga ialah pedal logam serta kemasan aluminium yang ringkas.

    SQ2 juga hadir dengan teknologi perhubungan yang sama seperti model Q2, dengan pilihan seperti sistem tunjuk arah MMI dengan MMI Touch dan paparan tengah 8.3-inci, Apple CarPlay dan Andorid Auto, 14 pembesar suara serta sistem bunyi Bang & Olufsen 705-watt.

    Bagi aspek keselamatan, ciri brek autonomous adalah standard, dengan sistem bantuan pemandu seperti kawalan cruise adaptif dengan bantuan jalan sesak, bantuan lorong aktif, bantuan parkir dan tinjauan titik buta dengan bantuan trafik silang turut disediakan sebagai tambahan.

     
     
  • TaxiGo pula dilancarkan – aplikasi perkhidmatan teksi

    TaxiGo pula dilancarkan – aplikasi perkhidmatan teksi

    Hujung minggu lalu, sebuah platform ride-hailing terbaru khusus untuk teksi di KLIA/KLIA2 dengan nama cALLme diperkenalkan secara rasmi. Tak sampai seminggu, ada satu lagi aplikasi pintar untuk perkhidmatan teksi diperkenalkan; TaxiGo seperti dilaporkan The Star.

    Aplikasi ini dibangunkan oleh sebuah syarikat, Cab Mmobility dengan kerjasama pakar-pakar dari Taiwan dan Jepun, aplikasi pintar ini dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 teksi berdaftar di seluruh negara. TaxiGo tidak akan mengambil peratusan hasil dari tambang yang dikenakan; ia hanya mengenakan kadar RM2 bagi setiap perjalanan oleh pemandu.

    Dengan itu, pemandu teksi berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya 10%-20% pendapatan tambahan daripada iklan, melalui paparan digital yang diletakkan pada bumbung kereta. Aplikasi ini boleh digunakan bagi kedua-dua platform iOS dan Android.

    Ketika majlis pelancarannya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan, lebih ramai pemandu teksi beralih kepada platform e-hailing seperti ini, ia akan membawa lebih banyak manfaat kepada industri berkenaan. “Saya berbangga kerana semakin ramai pemandu teksi menyahut seruan kementerian untuk mereka memanfaatkan platform e-hailing. Inilah pendekatan untuk masa depan bagi industri ini,” ujar beliau.

    Menurut Loke, sebilangan pelanggan tidak kisah untuk menggunakan perkhidmatan teksi konvensional sekiranya kenderaan yang digunakan selesa dan tambangnya berpatutan dan dipaparkan dengan jelas. “Faktor paling penting yang akan membuatkan pengguna ingin mendapatkan perkhidmatan teksi atau kereta persendirian ialah mereka perlu tahu berapa tambang perlu dibayar, sebelum mereka menaiki kenderaan lagi,” ujarnya.

     
     
  • Lincoln Continental Coach Door Edition – model edisi terhad sempena ulangtahun ke-80, hanya 80-unit

    Lincoln Continental Coach Door Edition – model edisi terhad sempena ulangtahun ke-80, hanya 80-unit

    Lincoln Continental generasi pertama telah muncul pada tahun 1939, yang sebenarnya sebuah Edsel Ford tetapi diberikan pelbagai sentuhan mewah buatan tangan oleh ketua pengayaan mereka, Eugene T. Gregorie. Model berkenaan benar-benar melambangkan unsur kemewahan ketika model pada tahun 1961 membuat kemunculan dengan pintu unik diberi nama ‘coach door’, atau lebih popular dikenali sebagai ‘suicide door’.

    Sempena 80 tahun model Lincoln Continental berada dalam pasaran, jenama mewah dari Amerika berkenaan telah memperkenalkan edisi khas model yang dibina hanya 80-unit, berdasarkan model generasi terkini – digelar Lincoln Continental Coach Door Edition. Seperti namanya, versi istimewa ini menerima semula rekaan pintu ikonik yang sama.

    “Lincoln ini menampilkan rekaan yang sama dengan model yang telah menambat hati peminat kereta di seluruh dunia,” kata presiden Lincoln Motor Company, Joy Falotico. “Ia sesuatu yang tersendiri atau unik yang hanya Lincoln mampu tawarkan menerusi gaya moden,” tambahnya lagi.

    Lincoln Continental Coach Door Edition – model edisi terhad sempena ulangtahun ke-80, hanya 80-unit

    Setiap satu dari 80-unit berkenaan akan diberikan nombor produksi unik pada plat istimewa yang ditempatkan pada bendul pintu. Menurut Lincoln, 80-unit akan dihasilkan sepanjang 2019, dan pada tahun 2020 sebanyak 80-unit lagi akan dibina.

    Pintu pada Continental istimewa ini bukan direka untuk gaya dan meraikan ulangtahun semata-mata. Ia diberikan sistem elektronik yang membolehkan pintu tersebut dibuka dalam satu pergerakan yang sangat lancar.

    Dengan bukaan luas sehingga 90 darjah, penumpang lebih mudah untuk masuk ke kabin, duduk di tempat duduk dan keluar semula. Ia juga dengan mudah dapat memperlihatkan ciri-ciri mewah pada kabin dari luar sekiranya pintu di buka habis, menurut pengarah rekaan Lincoln Motor Company, David Woodhouse.

    Lincoln Continental Coach Door Edition – model edisi terhad sempena ulangtahun ke-80, hanya 80-unit

    Bukan sekadar pintu, malah model ini diberikan pelbagai ciri yang lebih mewah berbanding model Continental standard. Jarak roda sedan ini dipanjangkan lagi enam-inci, yang bukan sahaja bagi menempatkan pintu yang lebih besar, malah memberikan kabin belakang yang juga ruang lutut yang terbaik dalam kelasnya, dakwa Lincoln.

    Model ini diberikan bahagian dalaman Linclon Black Label, serta tempat duduk belakang yang dilengkapi konsol tengah yang direka elegen, dan turut menempatkan meja tray penyimpanan, pemegang tablet serta sistem pengecas tanpa wayar.

    Selain itu, ia turut menerima ciri lain seperti mengesan kehadiran pemilik dan ‘menyapa’ dengan membuka lampu dan memberikan ‘upacara menyambut kedatangan’ signatur Lincoln, lampu suasana kabin yang turut boleh dilihat sekiranya pemandu memakai cermin mata polarized dan juga Active Noise Control bagi memastikan kabin kereta ini sentiasa dalam keadaan senyap.

    Lincoln Continental Coach Door Edition – model edisi terhad sempena ulangtahun ke-80, hanya 80-unit

    Bukan hanya penumpang belakang yang menerima pelbagai ciri, malah pemandu turut menerima tempat duduk Perfect Position yang boleh dilaras dalam 30-hala serta paparan head-up yang boleh dilaras bagi membolehkan pemandu memilih maklumat apa yang mahu dipancarkan ke cermin hadapan. Kereta ini turut menerima sistem bunyi Revel Ultima Audio yang membolehkan pemandu memilih salah satu mod yang terdiri dari stereo, audience dan on-stage.

    Kereta ini dijana oleh enjin V6 3.0 liter dengan dua pengecas turbo yang mampu menghasilkan 400 hp dan tork maksima 542 Nm. Ia turut ditawarkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Comfort, membolehkan pemandu menyesuaikan pemanduan bergantung situasi.

    Pembeli model ini turut akan ditawarkan dengan tema Lincoln Black Label, kemasan paling mewah ditawarkan oleh Lincoln, termasuk Chalet dan Thoroughbred. Tema ini bukan sahaja menawarkan rekaan khas dengan material berkualiti tinggi, malah pelanggan yang memilihnya turut akan menerima pelbagai keistimewaan keahlian.

    Ia termasuk khidmat detailing tahunan, khidmat membasuh kereta pada bila-bila masa, serta akses ke restoran-restoran terpilih di mana chef yang sudah dimaklumkan akan menyediakan pengalaman menikmati makanan yang istimewa.

    Lincoln Continental 80th Anniversary Coach Door Edition ini akan dijual hanya menerusi pengedar Lincoln Black Label. Ia sudahpun mula boleh ditempah, namun penghantaran kepada pelanggan hanya akan bermula pada musim panas akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025