Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GST-Sifar: Maxus turunkan harga sehingga RM10.2k

    GST-Sifar: Maxus turunkan harga sehingga RM10.2k

    Weststar Maxus telah mengumumkan senarai harga baharu bagi barisan kenderaan Maxus dengan perubahan yang dilakukan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dimansuhkan mulai 1 Jun ini. Harga baharu dengan GST sifar ini akan kekal sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

    Kerajaan telah mendedahkan kadar SST akan dikembalikan kepada 10%, walau bagaimana pun masih belum ada sebarang tarikh diumumkan untuk pelaksanaannya, mungkin dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang. Ini bermakna para pengguna mempunyai masa yang singkat untuk menikmati pengecualian cukai ini.

    GST-Sifar: Maxus turunkan harga sehingga RM10.2k

    Klik untuk besarkan

    Dengan pemansuhan GST, penjimatan bagi model Maxus bermula dari RM5,151 bagi van panel V80 SWB, dan juga empat varian MPV G10 yang mengalami penurunan harga dari RM7,808 bagi G10 Sport hingga RM10,185 untuk G10 Executive.

    Syarikat ini turut mengumumkan bakal membuka dua lagi cawangan bilik pameran baharu dalam tempoh beberapa bulan ini iaitu di Pulau Pinang dan Kota Bharu. Pada Februari lalu, Maxus telah melancarkan bilik pamerannya yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

     
     
  • GST-Sifar: Harga Hyundai jatuh sehingga RM10,300

    GST-Sifar: Harga Hyundai jatuh sehingga RM10,300

    Hyundai-Sime Darby Motor telah pun mengumumkan harga untuk model-model Hyundai untuk pasaran Malaysia sempena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun ini. Harga baharu ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ianya terpakai bermula bulan hadapan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan diperkenalkan semula dalam masa 2 ke 3 bulan dari sekarang.

    Menerusi harga baharu tersebut, pelanggan bakal menerima penjimatan serendah RM6,500 jika membeli model hibrid Hyundai Ioniq (dari RM100,388 menjadi RM94,788) sehingga RM10,300 jika membeli MPV besar Starex 2.5 CRDi Deluxe (dari RM183,588 menjadi RM173,288).

    Selari dengan laporan kami sebelum ini, Sonata dan Santa Fe tidak lagi berada dalam senarai model, berkemungkinan akan digantikan dengan model-model generasi baharu. Begitu juga dengan hatchback Veloster, namun versi generasi baharu model ini masih lagi belum pasti adakah ia akan hadir ke pasaran tempatan.

    GST-Sifar: Harga Hyundai jatuh sehingga RM10,300

    Klik untuk besarkan

     
     
  • Kia Sportage facelift kini didedahkan secara rasmi

    Kia Sportage <em>facelift</em> kini didedahkan secara rasmi

    Selepas dilihat sedang diuji serta berita berkaitan penawaran enjin diesel mild-hybrid baru sebelum ini, Kia Sportage facelift kini dengan rasminya didedahkan. Ia kurang tiga tahun selepas pengenalan model generasi ke-empat berkenaan. Antara lain, penampilannya kini ada perubahan, serta sistem keselamatan dan teknologi infotainmen juga dipertingkat.

    Antara yang baru ialah rekaan bampar depan dan belakang, serta bahagian lampunya yang direka semula. DRL pula terdiri daripada empat lampu LED, sama seperti yang ada pada Cerato dan Ceed terbaru. Variasi GT-Line yang dilihat di sini datang dengan gril radiator hitam berkilat, skid plate dalam tema yang sama serta kemasan krom hitam pada dasar kerangka pintu dan rekaan belakang.

    Rim aloi 19-inci unik pada GT-Line ini diberi rekaan baru (varian lain menggunakan rim 17 dan 16 inci), dengan semua model dilengkapi dengan saluran ekzos belakang berkembar serta lampu kabus “ice cube” yang diperkemas.

    Tak banyak pembaharuan dilakukan untuk bahagian dalam. Yang diberikan sentuhan baru ialah pad stereng dan kluster instrumen serta balutan tempat duduk dalam dua tona warna hitam dan kelabu. Bagi model GT-Line, ia mengguakan material kulit hitam/kelabu atau pilihan kulit warna hitam dengan perincian merah.

    Kia Sportage <em>facelift</em> kini didedahkan secara rasmi

    Pembaharuan paling besar tentulah sistem janaan mild-hybrid EcoDynamic+ 48V diesel baru. Ini merupakan permulaan kepada pengenalan teknologi elektrifikasi bagi barisan kenderaan keluaran syarikat Korea ini, yang mensasar untuk menperkenalkan 16 kenderaan dengan sistem janaan termaju menjelang 2025.

    Sistem EcoDynamincs+ terdiri daripada bateri lithium-ion tambahan 0.46 kWh 48 volt serta unit penghidup-generator mild-hybrid (MHSG) yang baru. Dihubung menggunakan tali sawat kepada aci engkol (crankshaft) enjin diesel, sistem berkenaan menawarkan dua mod operasi, motor dan generator, dengan peralihannya dikawal secara elektronik.

    Ketika meningkatkan kelajuan, MHSG menyediakan sehingga 10 kW (13 hp) bantuan kuasa elektrik ke bahagian penjana kuasanya dalam mod motor, memberikan tork tambahan dan meningkatkan prestasi ketika pecutan pantas, atau pun mengurangkan beban enjin ketika pecutan biasa.

    Kia Sportage <em>facelift</em> kini didedahkan secara rasmi

    Kia menyatakan sistem berkenaan akan membantu mengurangkan pembebasan CO2 sebanyak 4% jika mengikut prosedur ujian kenderaan ringan (WLTP) dan 7% jika mengikut kitaran NEDC.

    Selain itu, enjin 1.7 liter CRDi telah digantikan dengan enjin baru 1.6 liter U3 CRDi, yang menurut Kia menjadi enjin diesel paling bersih yang pernah dihasilkan. Ia menjana 115 atau 136 PS, dengan model janaan kuasa yang lebih tinggi hadir dengan sistem pacuan semua roda dan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar.

    Model facelift ini juga menerima sistem bantuan pemanduan terkini Kia, termasuk Smart Cruise Control dan fungsi Start & Go, tinjauan sekeliling serta Amaran Perhatian Pemandu. Pelanggan di Eropah boleh memilih antara skrin sentuh 7-inci atau unit 8-inci tanpa bingkai yang baru.

     
     
  • Kerajaan tidak rancang untuk beli semula Proton – PM

    Kerajaan tidak rancang untuk beli semula Proton – PM

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad antara individu yang kecewa ketika 49.9% saham Proton dijual kepada Geely. Namun setelah dilantik semula menjadi PM ke-7 apabila Pakatan Harapan menang ketika Pilihanraya Umum Ke-14 lalu, beliau berkata kerajaan baharu pimpinannya tidak merancang untuk membeli semula kepentingan tersebut, lapor The Edge.

    Menurut Tun Mahathir, Proton kini bukan dikawal oleh kerajaan, sebaliknya kini merupakan milik DRB-Hicom serta pemegang saham terbesarnya iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. “Proton bukan milik kerajaan. Ia milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary,” katanya.

    “Terpulang kepada dia sama ada dia mahu membeli [semula saham]. Kerajaan tidak berminat untuk membeli semula Proton,” jelas Perdana Menteri. Tun Mahathir sebelum ini merupakan penasihat kepada Proton sebelum dilantik sebagai pengerusi jenama automotif nasional tersebut, dan selepas itu meletakkan jawatan dua tahun kemudian setelah syarikat berkenaan menerima pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion dari kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Razak.

    Sebagai salah satu syarat yang diletakkan oleh kerajaan ketika itu bagi meluluskan pinjaman berkenaan adalah Proton perlu mencari rakan strategik asing bagi membolehkan ia terus bersaing. Hasilnya, DRB-Hicom memilih pengeluar automotif dari China dan juga pemilik jenama Volvo iaitu Geely, dan bersetuju untuk menjual 49.9% kepentingannya kepada syarikat tersebut.

    Tun Mahathir menyifatkan Proton (yang juga dianggap sebagai “anaknya”) kini “bukan lagi kereta nasional” dan kejayaannya pada masa hadapan tidak boleh dibanggakan lagi, kerana ia “bukan lagi milik saya atau negara saya.”

     
     
  • GST-Sifar: Naza Motor Trading keluarkan harga baharu

    GST-Sifar: Naza Motor Trading keluarkan harga baharu

    Naza Motor Trading, iaitu pengimport kenderaan serta motosikal mewah yang duduk di bawah kumpulan syarikat Naza Group telah mengumumkan harga baru bagi kenderaan mereka setelah ditolak dengan kadar cukai GST yang dikenakan sebelum ini. Harga ini akan diguna dari 1 Jun hinggalah cukai SST dikuatkuasakan nanti.

    Jadual di bawah hanya menunjukkan beberapa model yang kini berada di pusat pameran Naza Automall di Petaling Jaya, dan mereka yang berminat boleh datang sendiri melihat model lain yang ditawarkan. Melalui harga ini, kenderaan popular seperti Toyota Alphard tahun 2013 boleh didapati pada harga serendah RM141,623.

    Selain harga baru tanpa GST ini, Naza Motor juga kini sedang mengadakan promosi Gaya Raya, yang melibatkan pelbagai diskaun, sehingga 15%, dan bermacam promosi lain untuk kenderaan yang dijual. Paling menarik, pelanggan juga berpeluang untuk memenangi perjalanan yang ditaja selama tiga hari dua malam untuk menyaksikan perlawanan semi final Piala Dunia 2018 di Moscow.

    GST-Sifar: Naza Motor Trading keluarkan harga baharu

     
     
  • GST-Sifar: Harga motosikal Yamaha daripada HLYM

    Syarikat terbaru yang mengumumkan harga tanpa GST yang akan diguna pakai bermula 1 Jun 2018 ini adalah Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd. Semua harga yang disenaraikan tersebut adalah tidak termasuk kos pendaftaran lain serta insurans.

    Seperti yang anda boleh lihat melalui jadual di bawah, HLYM mempunyai pelbagai model yang dijual di pasaran bermula daripada kapcai biasa, skuter sehinggalah motosikal berkuasa tinggi. Sudah tentu, pengurangan paling besar adalah pada model yang paling mahal, iaitu MT-09 Tracer, yang kini harganya menjadi RM48,801 (-RM2,928).

    GST-Sifar: Harga motosikal Yamaha daripada HLYM

    Model MT-07 dan MT-09 juga mencatatkan pengurangan lebih daripada RM2,000, dengan masing-masing kini dijual pada harga RM34,533 dan RM44,473. Dua lagi model yang dikuasakan oleh enjin 250 cc, tetapi mempunyai bentuk berbeza iaitu R25 dan X-Max 250 mencatatkan pengurangan harga sekitar RM1,200, dengan masing-masing harganya menjadi RM19,463 dan RM21,225.

    Bagi motosikal berkuasa rendah, bawah 155 cc, penurunan harganya berada antara RM314 hinggalah RM594 bergantung kepada model. Seperti yang diberitahu awal tadi, harga ini tidak termasuk insurans, dan merupakan harga cadangan asas yang dikeluarkan oleh HLYM. Anda rasa boleh dapat harga yang sama ke di kedai?

     
     
  • Sistem Nissan Easy Fill Tire Alert untuk pasaran Amerika Syarikat – mudahkan anda pam angin tayar

    Mengepam semula angin tayar sebenarnya bukanlah perkara yang sukar, namun ramai yang tidak berani melakukannya sendiri kerana ragu-ragu berapa tekanan angin tayar yang sepatutnya di pam semula, dan di mana spesifikasi tersebut boleh dirujuk bukan?

    Oleh itu, Nissan Amerika Syarikat telah menghasilkan sistem baharu yang dinamakan sebagai Easy Fill Tire Alert bagi memudahkan pengguna untuk mengepam semula tayar kenderaan mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

    Sistem baharu ini dihasilkan untuk beroperasi dengan sistem pemantau tekanan angin tayar sedia ada yang memberikan amaran sekiranya tekanan angin tayar anda berkurangan. Manakala sistem Easy Fill Tire Alert ini pula akan berfungsi ketika anda mengepam tayar – ia akan memberikan bunyi hon apabila tekanan angin tayar sudahpun mencapai bacaan mengikut spesifikasi.

    Menerusi sistem ini, anda tidak perlu lagi ragu-ragu atau tercari-cari berapa kadar yang sepatutnya perlu di isi, juga memudahkan mereka yang mengepam tayar menggunakan pengepam yang tidak mempunyai tolok tekanan angin tayar.

    Sistem Nissan <em>Easy Fill Tire Alert</em> untuk pasaran Amerika Syarikat – mudahkan anda pam angin tayar

    Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat, empat dari lima pengguna di negara berkenaan kini memandu dengan tekanan angin tayar yang tidak betul, sama ada terlebih atau terkurang. Dengan tayar yang di pam pada kadar sepatutnya, pelanggan dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga US$0.11 untuk setiap gelen dan memanjangkan hayat tayar sehingga lebih 7,500 km.

    “Memastikan tayar anda di pam pada kadar tekanan yang betul merupakan satu langkah yang mudah boleh diambil pengguna bagi membolehkan kenderaan mereka lebih selamat, terutamanya ketika bermulanya perjalanan cuti musim panas,” kata Sarah Cardinali, pengurus senior untuk keselamatan produk di Nissan Amerika Utara.

    Nissan telah memadankan sistem Easy Fill Tire Alert ini kepada 12 model dalam barisan modelnya iaitu Altima, Armada, Leaf, Maxima, Murano, Pathfinder, Rogue, Rogue Sport, Sentra, Titan, Versa dan Versa Note. Sehingga kini, sebanyak 5.3 juta kenderaan Nissan yang diberikan teknologi berkenaan telah terjual.

     
     
  • GALERI: BMW M3 CS F80 – model terakhir sebelum diganti G80, guna enjin 3.0 liter 460 hp/ 600 Nm tork

    GALERI: BMW M3 CS F80 – model terakhir sebelum diganti G80, guna enjin 3.0 liter 460 hp/ 600 Nm tork

    BMW M3 CS F80 adalah model M3 terakhir dan paling ganas yang akan dihasilkan menggunakan asas 3 Series F30. Selepas ini ia akan diganti dengan M3 G80, iaitu model yang menggunakan asas daripada 3 Series G20 yang akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

    Sama seperti model versi coupe iaitu M4 CS, M3 CS ini dikuasakan oleh enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter yang mampu menghasilkan 460 hp pada 6,250 rpm dan 600 Nm tork pada antara 4,000 hingga 5,380 rpm. Jumlah ini adalah lebih banyak 10 hp/50 Nm berbanding M3 biasa dengan Competition Package.

    Melengkapkan peningkatannya adalah transmisi klac berkembar M DCT dengan sistem Drivelogic dan penyejuk minyak khas. Kuasa disampaikan ke roda belakang, dan ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dengan laju maksimum yang dihadkan pada 280 km/j. M3 CS juga dilengkapkan dengan pakej M Driver secara standard.

    Kelengkapan prestasi lain yang terdapat pada M3 CS ini adalah suspensi Adaptive M, Dynamic Stability Control dengan Dynamic Mode, Active M Differential, brek anti pudar M (angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang), double-joint spring strut axle di hadapan dan gandar sambungan five-link di belakang.

    Beberapa bahagian di luar kenderaan ini dibuat daripada plastik yang diperkuat dengan gentian karbon, sekaligus dapat menjadikan ia lebih ringan. Lima warna luar ditawarkan iaitu Alpine White, San Marino Blue Metallic, Lime Rock Grey Metallic, Frozen Dark Blue II Metallic dan Black Sapphire Metallic.

     
     
  • SPAD sah akan dibubarkan – fungsi serta peranannya akan diserap semula oleh Kementerian Pengangkutan

    SPAD sah akan dibubarkan – fungsi serta peranannya akan diserap semula oleh Kementerian Pengangkutan

    Di dalam perkembangan terbaru berkaitan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bahawa agensi berkenaan merupakan antara beberapa lagi agensi kerajaan yang akan dibubarkan. Ini bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan negara, lapor Bernama.

    Beberapa agensi lain yang dimaksudkan ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Pusat Kreativiti dan Innovasi Global Malaysia (MaGIC), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

    “Kebanyakan institusi-institusi ini bukan sebahagian daripada kerajaan. Dan tugas mereka sepatutnya memberikan nasihat kepada kerajaan. Semua ini akan dibubarkan,” jelas Tun M.

    Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencadangkan supaya SPAD diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan. Dengan perkembangan terbaru ini, kemungkinan besar peranan dan fungsi agensi itu akan berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan sendiri.

    Menurut Tun M, perihal pembubaran semua agensi yang dinyatakan ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet sebagai sebahagian langkah untuk mengurangkan beban hutang negara yang telah mencecah RM1 trilion di bawah kerajaan terdahulu.

     
     
  • Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi dalam sejarah – 43% dalam bulan April, 75,500 dijual tahun ini

    Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi dalam sejarah – 43% dalam bulan April, 75,500 dijual tahun ini

    Satu sejarah baru bagi syarikat dicipta oleh Perodua apabila mereka berjaya mencatat perkongsian pasaran tertinggi selama ini iaitu pada tahap 43% untuk bulan April. Malah, catatan lebih daripada 40% ini sudah mula dicapai oleh Perodua sejak Januari lagi, dan secara keseluruhannya, untuk tahun ini (sehingga April), mereka sudah berjaya menjual 75,500 buah kenderaan.

    Bukan setakat perkongsian pasaran, jumlah jualan kenderaan Perodua juga meningkat sebanyak 16.8% jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lepas. Kemudiannya, ia disokong lagi dengan tempahan yang juga meningkat 14.2% menjadi 113,900 unit.

    Untuk bahagian pengeluaran, dua kilang Perodua di Sg Choh, Rawang telah mengeluarkan sebanyak 71,300 buah kenderaan dari bulan Januari hingga April tahun ini, dan ia bersamaan dengan peningkatan sebanyak 14.6% berbanding tahun lepas.

    Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi dalam sejarah – 43% dalam bulan April, 75,500 dijual tahun ini

    Walaupun bermula dengan baik, ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu sasaran jualan syarikat masih lagi dikekalkan pada tahap 209,000 bagi tahun ini. Ia boleh difahami, kerana terdapat beberapa keadaan yang tidak tentu dalam industri sekarang seperti perubahan kadar GST kepada kosong, dan penguatkuasaan semula SST 10% pada masa yang akan diberitahu kelak.

    Tambah Aminar lagi, beliau sendiri masih tidak dapat memberitahu sama ada apabila SST dikuatkuasakan nanti, harga kenderaan akan naik atau tidak, tapi secara matematiknya, ia seperti akan menunjukkan peningkatan. Walaubagaimanapun, beliau perlu berbincang dengan pelbagai pihak terlebih dahulu sebelum keputusan dapat dibuat.

     
     
  • Volvo V40 T4 kini di Malaysia – enjin Drive-E 2.0 liter turbo, 190 hp/300 Nm, auto enam-kelajuan, RM155k

    Volvo V40 T4 kini di Malaysia – enjin Drive-E 2.0 liter turbo, 190 hp/300 Nm, auto enam-kelajuan, RM155k

    Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design

    Ketika Volvo Cars Malaysia menyiarkan senarai harga model mereka sempena GST berkadar sifar peratus bermula 1 Jun ini, model varian asas untuk hatchback V40 iaitu V40 T4 turut tersenarai bersama varian tertinggi T5.

    Model T4 tersebut hadir dengan berberapa kemasan luaran R-Design sama seperti model T5 pada gambar diatas, termasuk gril hadapan, bampar, diffuser belakang dan juga sepasang tip ekzos lebih besar. Namun, versi lebih rendah ini dikenakan dengan set rim aloi ‘Markeb’ 16-inci dengan tayar 205/55R16, berbanding versi T5 yang menerima rim ‘Spider’ berdiameter 17-inci.

    Model T4 ini masih dijana enjin turbo 2.0 liter empat silinder Drive-E, tetapi ditala untuk menghasilkan kuasa 190 hp pada takat 4,700 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,300 hingga 4,000 rpm, berbanding enjin yang sama pada versi T5 berkuasa 245 hp/350 Nm.

    Untuk transmisi, versi T4 ini juga hanya dibekalkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Geartronic, berbanding T5 yang menerima unit dengan lapan-kelajuan. Ini membolehkan hatchback tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    T4 juga berkongsi banyak kelengkapan lain seperti T5 antaranya pakej sistem bantuan pemanduan Intellisafe yang terdiri dari brek kecemasan automatik City Safety, sistem pemantau titik buta (BLIS), amaran lintasan trafik (CTA), bantuan brek kecemasan (EBA) dan pelbagai lagi.

    Volvo V40 T4 kini di Malaysia – enjin Drive-E 2.0 liter turbo, 190 hp/300 Nm, auto enam-kelajuan, RM155k

    Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design

    Ia juga menerima lampu hadapan LED dengan larasan automatik bersama lampu nyalaan siang LED Thor Hammer, sistem penghawa dingin automatik dua-zon dengan sistem kualiti udara Clean Zone, lapan-pembesar suara, upholsteri kulit dan juga tempat duduk Comfort larasan berkuasa dengan fungsi memori pada sebelah pemandu.

    Walau bagaimanapun, T4 hanya menerima papan instrumen dengan paparan meter analog standard berbanding model T5 yang diberikan paparan digital sepenuhnya. Skrin untuk sistem infotainmen Sensus juga hanya bersaiz lima-inci (tujuh-inci pada T5) dan sistem Park Assist hanya untuk bahagian belakang (belakang dan hadapan pada T5). T4 juga tidak disertakan dengan sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, serta Park Assist Pilot.

    Volvo V40 T4 akan dijual pada harga atas jalan termasuk GST tanpa insuran RM163,888 sehingga penghujung Mei ini. Jika anda membelinya pada kadar GST sifar bermula 1 Jun 2018, ia dijual pada harag RM154,648.93, atau RM9,239.07 lebih murah. Berbanding T5 (berdasarkan GST sifar), model T4 ini dijual pada harga RM16,037.74 lebih murah.

    Empat warna badan ditawarkan iaitu Bright Silver, Onyx Black, Osmium Grey dan Ice White, manakala setiap pembelian akan dilindungi waranti selama lima tahun atau 120,000-km.

    GALERI: Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design

     
     
  • Tiada lagi sogokan untuk dapatkan lesen memandu

    Tiada lagi sogokan untuk dapatkan lesen memandu

    Menteri Pengangkutan yang baru, Anthony Loke merancang untuk menghapuskan amalan rasuah dan sogokan di dalam pengeluaran lesen memandu di negara ini. Loke menyatakan hasrat itu di dalam satu perjumpaan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini, seperti dilaporkan oleh akhbar NST.

    “Saya akan pastikan masalah ini dapat ditamatkan,” jelas beliau, selepas mendedahkan dia sendiri telah menerima banyak aduan dan permintaan terhadap jabatan itu, sejak sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri lagi.

    Selepas ini, mana-mana individu yang gagal dalam ujian memandu perlu untuk mendudukinya sekali lagi dan tiada jalan singkat untuk mendapatkan lesen dengan cara mudah dengan menyogok atau memberikan rasuah untuk tujuan itu.

    Beliau turut menyatakan, perkara ini bukanlah rahsia, memandangkan ia telah berlangsung terlalu lalu, termasuk sewaktu beliau sendiri mahu mendapatkan lesen dahulu. Anthony juga berjanji untuk meluangkan masa meneliti permasalahan ini.

    Dengan langkah ini, diharap tidak akan ada lagi pemandu yang mendapatkan “lesen terbang” atau dari mana-mana saluran tidak sah yang lain. Semoga kualiti pemandu yang berada di atas jalan raya Malaysia akan bertambah tinggi, dan paling penting mampu menjadi pemandu berhemah dan menyumbang kepada penurunan jumlah kemalangan.

     
     
  • GST-Sifar: Mazda umum penjimatan hingga RM17k

    GST-Sifar: Mazda umum penjimatan hingga RM17k

    Dengan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun ini, makin banyak syarikat kereta yang mengumumkan senarai harga bagi barisan modelnya dengan harga sifar GST. Bermaz selaku pengedar rasmi Mazda juga tidak ketinggalan berbuat demikian, dengan mengumumkan harga baharunya yang disifatkan lebih murah mulai 1 Jun ini, sehinggalah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula nanti.

    Penjimatan dari RM4,221 untuk model paling murah iaitu Mazda 2 spesifikasi pertengahan, sehinggalah meningkat ke RM16,784.29 bagi CX-9 AWD. Manakala semua varian Mazda 6 (kecual model asas 2.0L) pula adalah RM11,000 lebih murah berbanding sebelum ini, sementara MX-5 RF roadster pula turut menikmati kadar sifar GST ini, dengan penjimatan sehingga RM13,000 bagi versi manual dan automatik.

    GST-Sifar: Mazda umum penjimatan hingga RM17k

    Klik untuk besarkan

    Bermaz turut membuat keputusan untuk mengeluarkan model terpilih dari senarai harga berkenaan, melibatkan model asas BT-50 2.2 manual. Kenderaan pikap ini kini ditawarkan dengan harga dari RM101,428.88 bagi model spesifikasi tinggi 2.2 manual, iaitu RM6,028.82 lebih murah berbanding sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harus diingat, senarai harga bagi BT-50 ini adalah termasuk dengan Pakej Sport yang bernilai RM6,415.10.

     
     
  • SST akan dikekalkan pada kadar 10%, tetapi tarikh implementasi belum ditetapkan – Menteri Kewangan

    SST akan dikekalkan pada kadar 10%, tetapi tarikh implementasi belum ditetapkan – Menteri Kewangan

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula tahun ini, dan ia akan kekal pada kadar 10%, iaitu kadar yang sama sebelum ia digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015, menurut laporan The Sun.

    Perkara tersebut telah diumumkan oleh menteri kewangan Lim Guan Eng semalam. Menurutnya, SST akan diperkenalkan semula pada kadar 10%, sama seperti yang dinyatakan pada manifesto Pilihanraya Umum ke-14 Pakatan Harapan dan sebarang perubahan akan diumumkan kemudian, namun bila cukai tersebut akan dikenakan semula masih belum dinyatakan.

    “Kami mahu menggantikan GST dengan SST secepat yang mungkin. Ia pastinya tahun ini, tetapi beri kami buat kerja dahulu sebelum kami beri tarikhnya,” kata Lim.

    Minggu lalu, ketua Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata SST akan diperkenalkan semula dalam masa dua ke tiga bulan akan datang. Beliau turut menambah bahawa dengan pengenalan semula SST dijangka RM30 billion akan dikutip bagi menggantikan perolehan dari GST. Sebelum SST diperkenalkan semula, GST akan dikadarkan pada sifar peratus pada 1 Jun ini, berbanding 6% buat masa ini.

    Ketika GST mula diperkenalkan dahulu, dapat dilihat harga kereta mula turun sedikit. Jadi sekiranya SST diperkenalkan kelak, dijangka perkara sebaliknya akan berlaku. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia bakal menerima durian runtuh sekiranya membeli kereta baharu bermula 1 Jun ini (ada pengeluar sudahpun mula untuk menyerap 6% GST lebih awal) kerana GST akan dikadarkan pada sifar peratus dan SST masih lagi belum dikenakan.

     
     
  • GST-Sifar: Model Proton jimat sehingga RM4.3k – dengan promosi, Suprima S murah hingga RM15k

    GST-Sifar: Model Proton jimat sehingga RM4.3k – dengan promosi, Suprima S murah hingga RM15k

    Proton telah mengeluarkan senarai harga terkini barisan kenderaan keluarannya pada kadar GST 0%, seperti yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun nanti. Semua harga ini – atas jalan tanpa insurans – akan kekal sehingga pengumuman lanjut dari kerajaan berkaitan pelaksanaan semula SST. Bagi model Proton, menjimatan yang terlibat adalah dari RM1,939 bagi Saga 1.3 Standard hinggalah RM4,384 bagi Suprima S.

    Bagaimanapun, seperti dinyatakan sebelum ini, mungkin terdapat variasi bagu peratusan pengurangan yang terlibat, yang secara umumnya berada di bawah 6% tepat. Ini kerana, GST 6% hanya dikenakan kepada harga jualan kenderaan (dalam kes kenderaan CBU, yuran pemeriksaan Puspakom), hal berkaitan pendaftaran yang tidak dikenakan GST seperti cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran pemilikan turut ditambah.

    Dalam kes Proton, harga jualan semasa ialah harga atas jalan termasuk 6% GST, tetapi tidak termasuk harga untuk insurans. Namun, harga yang dinyatakan di sini ialah harga jualan bersih (net selling price) tidak termasuk dengan kos atas jalan yang lain serta aksesori. Penjimatan keseluruhan pula termasuk kadar faedah dari promosi 0%. Perlu juga dinyatakan bahawa terdapat sedikit ralat pada jadual harga yang dinyatakan – harga jualan baru (NSP) bagi Suprima S Premium Solid ialah RM70,545.57.

    GST-Sifar: Model Proton jimat sehingga RM4.3k – dengan promosi, Suprima S murah hingga RM15k

    Proton pertama kali memberi maklum balas terhadap situasi ini dengan menawarkan baucar servis pada nilai yang setara dengan perbezaan harga yang terlibat, bagi pelanggan yang membeli kenderaan mereka dari 16-31 Mei. Sehari berikutnya, syarikat ini turut menawarkan rebat tunai. Maksudnya, jika ada pelanggan yang berhasrat untuk membeli kenderaan Proton dalam situasi ini, mereka tidak perlu menunggu sehingga 1 Jun untuk menikmati kelebihan berkenaan.

    Sebagai tambahan kepada penjimatan akibat GST 0%, Proton turut menganjurkan promosi “Kosong-Kosong” sempena Hari Raya. Kempen berkenaan antara lain menawarkan kadar faedah 0% bagi tahun pertama pembiayaan model-model terpilih dengan Hong Leong Bank (Iriz Executive dan Premium, serta semua varian Ertiga dan Exora).

    Turut ditawarkan ialah ansuran bulanan percuma bagi tempoh tiga bulan dengan Proton Commerce (bagi Persona dan Saga) dan potongan harga sehingga RM15,172 bagi Suprima S tahun 2017. Jika ditambah dengan penjimatan GST 0% bagi model Suprima S ini, pengurangan harga keseluruhannya mencecah 23% dari harga sebelum ini. Perician lanjut adalah seperti jadual di atas.

    Selain itu, Proton turut menawarkan potongan harga 6% bagi khidmat lepas jualannya (buruh dan alat ganti servis berjadual sahaja) sepanjang bulan Mei ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025