Selepas mengalami pergerakan yang sedikit perlahan pada Februari, jualan kenderaan di negara ini terus melonjak pada bulan Mac. Sebanyak 49,985 kenderaan telah didaftarkan sepanjang bulan itu dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 9,407 unit, atau 23.2% berbanding Februari. Prestasi yang utuh ini disumbangkan oleh waktu kerja yang lebih panjang dan kebanyakan syarikat bergegas untuk menghantar kereta yang ditempah pelanggan, terutamanya bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac.
Berikut merupakan pecahan prestasi bagi setiap jenama pada Mac. Di mana kebanyakannya menunjukkan peningkatan dalam jualan, iaitu Perodua (+21.0%), Honda (+29.3%), Toyota (+30.2%), Proton (+9.0%) dan Nissan (+53.6%) yang masih kekal utuh dalam senarai lima teratas.
Lain-lain jenama yang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan pada Mac termasuklah Mitsubishi (+38.0%), Volkswagen (+55.0%), Subaru (+30.4%), Peugeot (+30.4%) dan Renault (+73.5%). Hanya beberapa jenama yang sedikit menyusut, termasuklah Kia (-7.5%).
Bagi segmen premium pula, prestasi Mercedes-Benz (-20.3%) dan Porsche (-24.4%) agak sedikit perlahan pada bulan tersebut. Manakala BMW pula menunjukkan peningkatan jualan sebanyak +6.1%, manakala Volvo pula +53.2% berbanding Februari. Sementara Lexus pula meningkat +92.9%, iaitu sekali ganda berbanding jualannya pada Februari.
Klik carta di bawah untuk meneliti data penuh bagi setiap jenama.
Minggu lalu Proton telah membuat satu lagi teaser berbentuk mock-up bagaimana rupa SUV pertamanya yang bakal muncul pada suku keempat tahun ini. Menerusi prebiu tersebut juga, kita sudah dapat bayangan bahawa Proton bakal mengambil model dengan enjin 1.8 liter TGDi, dan ia dari versi facelift terkini yang telah masuk ke pasaran China awal tahun ini.
Ketika mengunjungi Beijing Motor Show baru-baru ini juga, rakan kami dari paultan.org versi bahasa inggeris, Danny Tan turut sempat untuk melawat kilang Geely di Baoji, China dan ‘berkenalan’ lebih rapat dengan Boyue facelift 2018 1.8 liter TGDi berkenaan.
Bouye merupakan antara model penting dalam barisan produk Geely kerana model tersebut menjadi SUV kegemaran kebanyakkan pengguna di China. Tahun lalu sahaja, Boyue telah dijual sebanyak 286,900 unit di republik berkenaan, atau empat kali lebih banyak dari jualan keseluruhan model Proton di Malaysia untuk tahun 2017.
Model facelift ini diperkenalkan tidak sampai dua tahun selepas SUV segmen-C ini membuat kemunculan sulungnya. Ia menampilkan rekaan berbeza dari model pre-facelift bermula pada bahagian muka yang menampilkan rupa yang lebih agresif. Ia diberikan apron yang lebih garang dengan kedua-dua liang “kemasukan udara sisi” lebih besar serta lampu kabus LED telah diletakkan pada bahagian lebih rendah di bampar hadapan.
Sekilas pandang, lampu hadapan dan juga gril model kemaskini ni kelihatan sama dengan model terdahulu. Tetapi sekiranya anda perhatikan dengan lebih teliti, terdapat kemasan berwarna hitam pada lampu utama serta bukaan kecil antara gril “expanding cosmos” tersebut dengan bampar pada model facelift ini.
Pada bahagian belakang pula, Boyue facelift ini diberikan lensa lampu yang lebih gelap pada unit yang menampilkan bar LED tersebut. Bampar juga telah disentuh semula dengan pemadanan skid plate yang lebih lebar serta rekaan baharu pada perumah tip ekzos (dengan ekzos sebenar disebaliknya) dan juga diberikan reflektor mendatar.
Model facelift ini diberikan rim baharu berdiameter 19-inci, namun jika kos jualan dan penyelenggaraan diambil kira, model versi Proton nanti mungkin hanya menerima rim berdiameter 18-inci. Secara keseluruhan, SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury ini kelihatan sedikit seperti Range Rover Evoque.
Masuk ke kabin, bahagian yang menerima perubahan paling besar adalah pada sistem infotaimennya. Skrin sesentuh baharu ini masih lagi kekal dengan saiz lapan-inci, tetapi tidak lagi mempunyai butang fizikal, sebaliknya menggunakan butang digital sepenuhnya. Resolusinya turut dipertingkatkan kepada 1920×720 piksel bersama interface yang direka semula, manakala kamera 360-darjah turut memaparkan halangan berbentuk 3D disekeliling SUV tersebut.
Ciri baharu lain termasuk empat port USB tambahan (dua hadapan dan dua belakang), serta tambahan satu lagi port USB yang terletak di pelapik bumbung berhampiran dengan cermin pandang belakang – direka khas untuk pemasangan dashcam bagi mengelakkan wayar yang berselirat. Satu lagi rekaan menarik pada kabin Boyue ini adalah suis larasan berasingan untuk tempat duduk penumpang hadapan pada sebelah dalam yang memudahkan pemandu dan penumpang hadapan melaras kedudukan tempat duduk berkenaan – ciri yang seakan sama pada Toyota Camry.
Model facelift ini turut menawarkan upholsteri dalaman dengan warna Tea Brown, paparan menyala P-R-N-D pada sebelah tombol gear dan juga sistem bunyi dari pakar audio iaitu Morel. Bouye juga diberikan perincian kecil yang agak menarik berbentuk G yang berulang dan kelihatan seperti dinding Tembok Besar China, diberikan pada tuil isyarat membelok/pengelap cermin, kemasan pada pembuka pintu dan juga pada jaring pembesar suara.
Bahagian kabin SUV ini juga menampilkan kualiti yang agak baik dengan plastik lembut diberikan pada panel pintu dan juga bahagian atas papan pemuka, serta menerima jahitan sebenar. Tempat duduk dan juga balutan kulitnya lembut, digabungkan dengan kemasan-kemasan brushed metal pada pelbagai bahagian memberikan ‘perisa’ lebih kepada kereta buatan Eropah.
Pemandu pula akan menerima paparan informasi digital sepenuhnya dengan rekaan grafik seakan pada Volvo S60 dan V40 generasi sedia ada. Kluster paparan tersebut akan menayangkan animasi ‘selamat datang’ pada permulaan dan kemudian akan menampilkan pelbagai grafik berbeza bergantung pada mod pemanduan yang dipilih – anda boleh menonton video yang kami paparkan di bawah.
Untuk keselamatan, sistem Pemantau Titik Buta pada Boyue kini akan memberikan amaran kepada penumpang ketika pintu mahu dibuka sekiranya terdapat aliran trafik pada bahagian berkenaan. Ciri bantuan pemanduan lain masih lagi kekal dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik. Kesemua ciri ini telah Proton sahkan akan dipadankan untuk versinya, dan ia bakal menjadi model pertama diberikan ciri sedemikian untuk model dalam julat harga yang sama.
Ciri lain yang turut telah disahkan oleh Proton untuk SUV pertamanya nanti termasuk Smartphone Remote Control, Smart Air Purifier (mungkin “pembersih udara” yang boleh ditemui pada liang penghawa dingin untuk penumpang belakang pada Boyue ini), sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci dan hubungan internet 4G sama seperti Boyue facelift ini.
Tiada perubahan mekanikal diberikan untuk model kemaskini berkenaan dimana pasaran China masih diberikan dua pilihan enjin sama ada unit 2.0 liter NA berkuasa 139 hp/178 Nm atau enjin 1.8 liter petrol turbo. Model turbo tersebut diberikan talaan kuasa berbeza bergantung kepada pilihan transmisi – 161 hp/250 Nm untuk model manual enam-kelajuan manakala 181 hp/285 Nm untuk versi automatik konvensional enam-kelajuan. Pasaran China turut menawarkan pilihan sama ada pacuan hadapan atau AWD.
Untuk versi Proton nanti, ia telah disahkan akan dijana enjin 1.8 liter turbo TGDi, serta kami jangka kedua-dua versi pacuan hadapan dan AWD akan ditawarkan. Menurut label penggunaan bahan api yang dilihat pada model pasaran China ini, model pacuan hadapan dengan enjin TGDi berkenaan (seberat 1,690 kg) adalah 7.8 liter untuk 100 km (12.8 km/l). Enjin tersebut juga kelihatan sangat kemas menampilkan penutup pada segenap ruang enjin.
Bercakap berkenaan kilang Geely ini, ia telah memulakan produksi secara besar-besarannya pada Ogos 2016 dengan kapasiti pengeluaran 200,000 unit setahun. Ia beroperasi dengan 2,400 pekerja di barisan produksi, manakala 500 orang lagi bertugas untuk mengeluarkan sejumlah 800 unit kereta setiap hari. Kilang di Baoji ini juga sebenarnya hanya berperanan untuk memasang Boyue sahaja, di mana sebuah lagi kilangnya turut memproduksi SUV tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran.
Kilang ini juga beroeprasi dengan tahap automasi yang tinggi (80% dalam bengkel kimpalan) dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan paling maju dalam industri antaranya penekan stamping dari Amino Corp Jepun, robot linear tujuh-paksi dari ABB Switzerlnd, robot kimpalan Comau dari Itali, teknologi kimpalan Peralihan Keluli Sejuk dari Fronius Austria dan juga perlatan untuk ukuran dari Durr Jerman.
Geely juga mendakwa proses produksi untuk kilangnya ini adalah kombinasi teknik terbaik dari Jepun, Eropah dan Volvo sendiri. Boyue juga menerima markah tertinggi dalam ujian keselamatan pelanggaran di China kerana dibina dengan keluli pembentukan-termo berketegaran tinggi (1,650 Mpa berbanding keluli HPF Proton dengan 1,470 Mpa) – tentunya terhasil dengan DNA teknologi Volvo yang terkenal mengutamakan keselamatan.
Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) telah mengumumkan pemberian tol percuma bagi semua kelas kenderaan bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) pada Hari Rabu, 9 Mei 2018. Tol percuma ini akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang pada hari pengundian. Ini bertujuan bagi melancarkan dan memudahkan perjalanan para pengguna Lebuhraya LATAR untuk pulang mengundi ke kampung halaman dan kawasan masing-masing pada hari PRU 14 nanti.
Pengarah Urusan Lebuhraya KL-Kuala Selangor, Dato’ Mohamed Raffe Chekku yang merupakan anak jati Ijok, Kuala Selangor terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat setempat dengan menawarkan tol percuma terutama sekali kepada komuniti dan kejiranan Ijok, Kuala Selangor, kawasan sekitar serta para pengguna Lebuhraya LATAR.
“Sebagai sebuah syarikat tempatan yang bertanggungjawab, kami menyokong penuh rakyat Malaysia yang mahu pulang mengundi dengan menawarkan perjalanan yang lebih pantas dan selamat bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Lebuhraya LATAR merupakan gerbang laluan bukan sahaja untuk bandar-bandar kecil di kawasan pantai barat semenanjung tetapi juga kepada bandar-bandar besar seperti Selayang, Rawang, Shah Alam, Sg Buloh dan sebagainya” ujarnya.
Lebuhraya LATAR merupakan syarikat konsesi lebuhraya Malaysia yang pertama menawarkan Tol Percuma kepada pengguna sempena PRU 14. Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat serta perkhidmatan kepada masyarakat.
Sambungnya lagi, “Kami menjangkakan 100,000 orang pengguna yang akan menggunakan Lebuhraya LATAR pada hari tersebut. Pasukan Operasi Lebuhraya LATAR telah bersedia untuk memantau pergerakan trafik pada hari tersebut. Selain itu, lorong tambah nilai di setiap plaza tol di Lebuhraya LATAR tetap beroperasi 24 jam.”
Untuk maklumat lanjut mengenai Lebuhraya LATAR , sila hubungi talian 03-6145 1515 atau dapatkan informasi terkini di www.facebook.com/latarexpressway dan www.twitter.com/Latarexpressway.
Masih ingat dengan rekaan konsep digital Proton Perdana Executive yang kami tampilkan sebelum ini? Kalau belum tengok, jangan risau; ini ada siri render dan gambar digital terbaru model berkenaan yang dihasilkan oleh Saharuddin Busri, nama yang tak perlu kami perkenalkan lagi.
Memang, ini bukanlah rekaan rasmi dari Proton, tetapi sangat menarik untuk melihat kreativiti yang dihasilkan oleh individu yang suatu ketika dahulu pernah terlibat sama dalam syarikat itu untuk menghasilkan rekabentuk cadangan bagi banyak model Proton sebelum ini.
Beliau yang sebelum ini kerap hadir dengan teaser dari rekaan terbaru yang dibayangkan olehnya. Selepas Proton Savvy 18 dan juga Proton Suprima yang dibayangkan semula (masih ingat Suprima X dan Suprima R?); bagi rekaan automotif dan kenderaan, ini merupakan hasil kerja terbarunya.
Menurut beliau, sejarah berkaitan rekaan Proton Perdana Executive ini sudah bermula sejak empat tahun lalu, ketika beliau terlibat sama di dalam pembangunan konsep model Perdana terkini yang menggunakan asas dari Honda Accord seperti yang kita lihat sekarang.
Dari imej digital yang terhasil ini, dapat dilihat bahawa Saharuddin melakukan banyak juga perubahan kepada rekaan asal itu, antara yang paling utama ialah rekaan pada bahagian depan dan juga bahagian belakang. Seperkara lagi, jarak untuk bahagian penumpang belakang turut ditambah sebanyak 200 mm (pintu belakang yang lebih panjang).
Di depan, melihat imej potongan bahagian lampu utama yang dihadirkan akan mengingatkan kita kepada Mitsubishi Lancer, dengan rekaan lampu dan “muncung” depan Perdana ini yang seperti mengambil inspirasi dari model berkenaan. Lampu utama juga hadir dengan dua jalur lampu LED yang bertindak sebagai DRL (juga seperti meminjam inspirasi rekaan lampu Thor’s Hammer dari Volvo).
Selain itu, turut dapat dilihat ialah sebahagian rekabentuk gril – yang terbahagi kepada dua ruang – serta kemasan-kemasan krom/satin yang turut menghiasi bahagian depan berkenaan. Kemasan krom yang sama turut dilanjutkan ke bahagian bamparnya.
Bahagian belakang pula menampilkan visual yang lebih sporty dan elegan. Rekaan lampu LED yang digunakan lebih jelas kelihatan, dengan jalur tengahnya menyambungkan dua lampu belakang yang berada di sisi kiri dan kanan. Mudah dilihat, dan dalam masa yang sama ia menyuntik estetika rekaan yang sangat menarik bagi rekaan yang dihasilkan.
Satu lagi jalur kemasan krom turut disertakan di bawah lampu melintang yang sama. Selain itu, lengkuk spoiler yang bersekali dengan bahagian belakang kereta ini juga menjadikan penampilannya lebih garang, tetapi tidak keterlaluan. Ini diikuti rekaan bampar yang kelihatan mempunyai garis yang berperingkat untuk menampakkannya lebih solid.
Jika anda tertanya-tanya seperti apa rupa rekaan asal yang dicadangkan untuk Proton Perdana ini empat tahun lepas, anda boleh rujuk gambar yang menampilkan sebuah kereta putih di dalam galeri yang disediakan. Anda rasa mana satu yang lebih menarik, Proton Perdana yang ada sekarang atau rekaan digital yang dihasilkan Saharuddin ini?
Selepas siri plat nombor G1G diperkenalkan baru-baru ini, kali ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis pula mengumumkan siri plat yang boleh dikatakan agak istimewa iaitu RX.
Mula dibida hari ini dan berakhir pada 15 Mei 2018, siri plat ini akan dibuka dari RX 1 hingga RX 9999, dan disebabkan siri RX ini dikendalikan oleh JPJ sepenuhnya, maka semua bidaanya akan melalui proses biasa oleh jabatan terbabit. Dijangka, nombor yang bakal menerima permintaan tertinggi termasuklah RX 7 dan RX 8 serta RX 200 dan RX 350.
Rasanya ramai di luar sana yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan plat siri nombor yang unik, seperti tahun lalu, JPJ Kedah berjaya memperoleh keuntungan besar menerusi plat siri KEL, selain KEE dan KEK, jadi tak mustahil JPJ Perlis mampu menuruti langkah yang sama.
Pengedar kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia, Hap Seng Star telah membuka sebuah lagi bilik pameran jenama itu dikenali sebagai Puchong South Autohaus. Ia merupakan pusat 3S terbaru di Puchong Selangor. Kemudahan berkenaan menelan pelaburan sebanyak RM6 juta, dengan keluasan 21,577 kaki persegi.
Puchong South Autohaus menampilkan imej terkini pengeluar kenderaan Jerman itu – dengan konsep Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) Autohaus – selari dengan konsep pengalaman pelanggan serta identiti korporat terkini jenama berkenaan.
Terletak berdekatan dengan tol plaza Puchong Barat di LDP, premis berkenaan merangkumi kapasiti pameran untuk lapan kenderaan, dengan pusat servis yang mampu menampung 12 ruang servis dengan kapasiti 500 kenderaan sebulan – bagi servis biasa mahupun baik pulih khusus. Ia memiliki kekuatan 27 staf.
Autohaus baru ini akan menyertai rangkaian Mercedes-Benz lain di seluruh negara yang menawarkan penyelesaian sehenti bagi jualan, lepas jualan dan pembiayaan kewangan. Ini termasuk servis khusus bagi pelanggan yang ingin membeli kenderaan Mercedes-Benz serta interaksi secara berseorangan bersama penasihat jualan bagi keperluan servis dan penyelenggaraan.
Antara kemudahan lain untuk keselesaan pelanggan yang turut disediakan di sana ialah Star Lounge, serta barisan produk gaya hidup Mercedes-Benz. Kemudahan ini merupakan Autohaus yang ke-34 Mercedes-Benz Malaysia, menyertai cawangan Hap Seng yang lain di Jalan Sultan Ismail, Kinrara, Jalan Ipoh, Balakong, Bukit Tinggi dan Iskandar Johor. Sementara rangkaian sama di Sabah/Sarawak pula terletak di Kuching, Miri dan Kota Kinabalu.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan akan menyediakan 50 unit Polo 1.6 hatchback kepada Socar, perkhidmatan perkongsian kereta dari Korea Selatan. Sebagai permulaan, sebanyak 21 unit Polo telah diserahkan kepada Socar, selebihnya akan tiba pada pertengahan Mei ini.
“Volkswagen Polo adalah pilihan terbaik untuk Socar, kerana ia merupakan kereta bandar yang cukup sempurna, turut menawarkan keselamatan yang diyakini, di samping pemanduan yang berkualiti,” ujar CEO Socar Malaysia Leon Foong.
Foong turut berkata, demografik semasa pengguna Socar di Malaysia berada di pertengahan usia 30-an, yang ingin mencuba model kereta baharu atau isi rumah yang perlu menggunakan kereta kedua atau ketiga dari semasa ke semasa.
Pengarah urusan VPCM Erik Winter pula berkata, “Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Socar. Melalui perkongsian ini, kami dapat menawarkan ahli-ahli awam akses kepada kereta Volkswagen di samping memberi mereka peluang untuk menikmati keupayaan kejuruteraan Jerman. Polo ini sesuai untuk pemanduan di bandar, walaupun agak kecil, namun ia menawarkan pemanduan dinamik tanpa menjejaskan keselamatan dan keselesaan.”
Polo akan mula ditawarkan dalam perkhidmatan Socar bermula Mei ini dengan harga permulaan RM13.90 sejam (tanpa GST) termasuk petrol dan insuran komprehensif. Aplikasi Socar boleh dimuat turun ke telefon pintar menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Satu lagi siri plat nombor unik muncul di pasaran, G1G-G999G, telah pun bersedia untuk dibida. Bagi plat ini, kami difahamkan ia tidak ada kena mengena dengan mana-mana negeri, dan hanya akan ditawarkan sekali sahaja, iaitu tiada penawaran selanjutnya pada masa akan datang.
Walau bagaimana pun bidaan minimum hingga maksimumnya tidak didedahkan. Tarikh akhir bidaannya adalah pada 1 Jun ini dan keputusannya akan diumumkan dalam tempoh sebulan.
Baru-baru ini, Volkswagen dilaporkan bakal membina lebih banyak lagi model berprestasi tinggi R termasuk Arteon, T-Roc dan Tiguan. Manakala laporan terbaharu dari Auto Express menyatakan, barisan versi-versi R berkenaan akan dijana enjin yang lebih liar – untuk Golf R Mk8 misalnya, bakal menerima enjin dengan kuasa setara Ford Focus RS atau Mercedes-AMG A 45.
“Jenama R bakal menjadi ekstrem dan boleh menjadi ekstrem,” kata bos jualan dan pemasaran Volkswagen, Jurgen Stackman ketika berlangsungnya Beijing Motor Show 2018. “Tugas R ialah ia boleh mencapai tahap lebih tinggi dari rasional. Tiada siapa yang perlukan kereta kompak berkuasa 400 hp, tetapi ia masih ada tempat, pasti, dan itulah lapangan R.”
Idea untuk menghasilkan Golf produksi dengan enjin berkuasa 400 hp ini sudah berlegar sekian lama, dan ia dijangka bakal diserlahkan pada Golf R Mk8 kelak. Model tersebut berkemungkinan bakal tampil dengan rupa yang lebih agresif berbanding model GTI.
“Dengan rekaan yang sedikit lebih ekspresif, R boleh melangkau garis rasional perkara ini,” tambah Stackmann lagi. “Ia boleh mencari tempatnya sendiri dalam liga prestasi sebenar yang lain dan ada ruang dimana [pelanggan] sanggup untuk membayar jumlah wang yang banyak.”
Selain dari versi R untuk enjin petrol, VW turut merancang untuk menghasilkan model berprestasi tinggi berasaskan model-model I.D yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya. “I.D R yang kami bawa ke perlumbaan Pikes Peak menunjukkan bahawa strategi R memerlukan dimensi pada dunia elektrik,” kata Stackmann. “Ia tidak boleh hanya bergantung kepada solusi unit janakuasa konvensional – ini adalah dimensi baru kepada jenama kami.”
Kereta lumba I.D R Pikes Peak menghasilkan kuasa sebesar 680 PS dan tork maksima 650 Nm dari setiap motor elekrik yang ditempatkan pada kesemua gandar. Stackmann berkata, kereta lumba tersebut menyerlahkan “bagaimana idea kuasa yang kuat dapat kami berikan kepada platform MEB (platform elekrik)” dan ” kemana kami boleh bawa idea R untuk keluarga kereta elektrik jenama tersebut.
Bekas Perdana Menteri Malaysia yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing Grab seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Saya kata kita perlu mengkaji semula akta yang sedia ada supaya hak kedua-dua pihak (GRAB & Teksi) terbela,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.
Sebelum ini, laporan dari akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa Tun M akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing berkenaan bagi membela nasib pemandu teksi, namun turut menyiarkan kenyataannya berbunyi “Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti.”
Laporan akhbar tersebut turut memetik bahawa kenyataan itu dibuat ketika acara sembang santai dan dialog bersama pemandu pelancong Langkawi.
Bagi menangani masalah kesesakan yang kerap berlaku di Lebuh Raya Shah Alam (LSA) khususnya pada waktu puncak, Kesas Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan melaksanakan kerja-kerja pelebaran jalan dari KM44.9 (Persimpangan Kinrara) hingga KM42.4 (Persimpangan Sunway) arah barat LSA mulai 3 Mei ini sehingga 2 November 2019.
Sepanjang kerja-kerja pelebaran tersebut, pengguna motosikal akan dilencongkan ke lorong kecemasan di laluan utama lebuh raya terbabit. Pengguna dinasihati agar memandu berhati-hati dan patuhi arahan papan tanda yang disediakan di kawasan pembinaan.
Maklumat terkini boleh dilayari menerusi laman web rasmi www.kesas.com.my atau Facebook Lebuh Raya Shah Alam – KESAAS dan Tweeter @kesastrafik.
Datuk Seri Syed Zainal Abidin telah dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu bagi Petronas Dagangan Berhad (PDB), menurut The Star. Bekas bos Proton dan COMOS ini akan memulakan tugasnya di syarikat perniagaan runcit minyak dan gas nasional tersebut bermula 1 Jun ini.
Beliau akan menggantikan Datuk Mohd Ibrahimbuddin Mohd Yunus yang melepaskan jawatan ekoran “mobiliti kakitangan di antara Petronas Group.” The Edge pula melaporkan beliau juga akan ditukarkan dari pengarah bukan-eksekutif kepada pengarah eksekutif, menurut syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Syed Zainal kini merupakan timbalan presiden bagi pemasaran di Petronas, dan juga merupakan pengerusi dan pengarah bagi beberapa anak syarikat di bawah Petronas Group. Sebelum menjadi pengarah urusan kumpulan Proton dari tahun 2006 hingga 2012, beliau merupakan timbalan pengarah urusan Perodua.
Ford mengumumkan kesemua model sedannya akan digugurkan dari barisan produknya untuk pasaran Amerika Utara. Perkara ini diumumkan ketika jenama tersebut mendedahkan prestasi kewangannya untuk tiga bulan pertama bagi tahun 2018, dan langkah tersebut bakal dilaksanakan kerana kurangnya permintaan terhadap model-model sedemikian.
Menurut Ford dalam kenyataannya, “kerana permintaan yang berkurangan dari pengguna dan keuntungan produk, syarikat tidak akan melabur dalam sedan tradisional generasi seterusnya untuk Amerika Utara.” Langkah ini akan menyaksikan model-model seperti Fiesta, Fusion dan Taurus bakal dihentikan untuk masa berberapa tahun akan datang.
Model-model Crossover akan akan terus dijual dalam barisan model Ford Amerika Utara, begitu juga dengan Mustang. Jenama berkenaan turut bakal melancarkan model crossover seperti Focus Active tahun hadapan, dan akan meneroka kemungkinan lain yang “menggabungkan ciri-ciri terbaik dari kereta dan kegunaan, seperti lebih tinggi, ruang dan kegunaan.”
Ford juga bercadang untuk menawarkan unit janakuasa hibrid kepada model-model seperti F-150, Mustang, Explorer, Escape dan Bronco untuk masa berberapa tahun akan datang. Kenderaan elektrik bateri (BEV) jenama tersebut pula akan tiba pada tahun 2020, dan menjelang 2022, 16 model BEV lain akan hadir ke pasaran.
“Kami komited untuk mengambil tindakan yang sesuai bagi memacu pertumbuhan yang menguntungkan dan memaksimakan pulangan kepada perniagaan kami dalam tempoh jangka masa panjang. Di mana kami boleh tingkatkan pulangan untuk bahagian perniagaan kami yang tidak menunjukkan prestasi, kami akan lakukan. Jika pulangan yang sepatutnya tidak ditunjukkan, kami akan memindahkan modal ke arah yang kami boleh main dan menang,” kata presiden dan CEO Ford, Jim Hackett.
Dalam pededahan prestasi kewangan tersebut juga, Ford turut memaklumkan bahawa mereka telah mengaut pendapatan bersih sejumlah US$1.7bilion untuk suku pertama 2018.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM), bersama Auto Commer, telah melancarkan pusat servis 2S baharu di Setapak, Kuala Lumpur untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik buat para pelanggannya. Pusat ini melengkapkan lagi Mercedes-Benz Auto Commerz Autohaus di Jalan Genting Klang.
Pusat servis sementera ini berada di kawasan seluas 13,866 kaki persegi dan turut menempatkan peralatan dan perkakasan yang diluluskan oleh Mercedes-Benz, dan dikendalikan oleh pakar terlatih dalam bidang penyelenggaraan kereta. Ia juga menepati Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) dan berkeupayaan menyelenggara sehingga 200 kenderaan setiap bulan.
“Bagi pihak Mercedes-Benz Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan pengedar kesembilan kami, Auto Commerz, di atas pelancaran pusat servis baharu ini. Kami percaya dengan kerjasama yang dikongsikan bersama Auto Commerz ini mampu merefleksikan semangat dan kepekaan terhadap para pelanggan kami dan keperluan mereka,” ujar Claus Weidner, presiden dan CEO MBM.
“Sebagai kumpulan pengedar terbaharu yang menyertai rangkaian Mercedes-Benz di Malaysia, kami berbangga untuk menambah perkhidmatan pelanggan. Kini, kami mampu memenuhi keperluan pelanggan dan kami mengalu-alukan pemilik Mercedes-Benz ke pusat servis baharu kami untuk perkhidmatan selepeas jualan yang terbaik yang pasukan Auto Commerz boleh tawarkan,” ujar Eric Khoo, pengedar utama Auto Commerz. Pusat 2S Mercedes-Benz Auto Commerz sementara ini terletak di No. 14, Jalan Usahawan 5, Kawasan Perusahaan PKNS, Setapak, Kuala Lumpur.
MBM turut mengumumkan menganjurkan Mercedes-Benz Service Clinics antara Mei dan September ini di pengedar terpilih. Ia akan bermula di NZ Wheels Klang (28 Mei hingga 1 Jun), diikuti dengan Hap Seng Star Iskandar (25 hingga 29 Jun) dan Auto Commerz Setapak (3 hingga 7 September).
Klinik servis ini akan memfokuskan kereta Mercedes-Benz berusia 48 bulan ke atas, di mana kenderaan tersebut akan diperiksa oleh Pakar Servis Mercedes-Benz atau pun “Flying Doctor” dari Daimler. Acara ini juga akan membolehkan para pelanggan mendapatkan pandangan pertama mengenai kepakaran dan perkhidmatan dalam penyelenggaraan kereta Mercedes-Benz. Pihak yang berminat digalakkan membuat tempahan terlebih dahulu untuk mendapatkan slot mereka.
Ketika acara sembang santai dan dialog bersama pemandu pelancong Langkawi, Tun Dr Mahathir berjanji melihat semula operasi aplikasi e-hailing seperti Grab bagi membela nasib pemandu teksi dan kereta sewa, menurut laporan Sinar Harian.
“Masalah Grab ini bukan hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia,” kata Tun M. “Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti.”
Bekas Perdana Menteri tersebut akan bertanding di Parlimen Langkawi untuk pilihanraya umum ke-14 yang bakal berlangsung pada 9 Mei ini, namun kali ini di atas tiket pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH).
Dari satu sudut, Grab sememangnya menjadi ancaman kepada pemandu teksi biasa kerana menawarkan kadar tambang yang jauh lebih kompetitif. Namun jika dilihat satu sudut yang lain, perkhidmatan e-hailing berkenaan dilihat sebagai pilihan pengangkutan awam yang lebih murah dan mampu mengelakkan orang ramai dari memandu kereta sendiri pada kawasan bandar yang sibuk.
Perkhidmatan tersebut juga kini dijadikan sebagai platform sebahagian rakyat Malaysia untuk menambah pendapatan, malah ada yang terus menjadikannya sebagai punca pendapatan utama.
Dalam laporan lain, dinyatakan bahawa sekurang-kurangnya 50,000 pemandu Grab akan tejejas sekiranya Grab dan aplikasi seumpamanya itu dihapuskan.
Manakala pada awal bulan ini, kerajaan telah dilaporkan akan meletakkan kesemua pemandu e-hailing di bawah undang-undang yang sama seperti pemandu teksi. Menurut Datuk Seri Najib Razak, kerajaan sedar akan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi.
“Saya sedar bahawa pendapatan pemandu teksi telah terjejas dengan wujudnya perkhidmatan e-hailing dalam negara kita. Perkhidmatan e-hailing ini mempunyai permintaan tetapi kita perlu lakukan sesuatu dengan campurtangan kerajaan bagi melindungi periuk nasi pemandu teksi,” katanya.
Jadi, apa pula pandangan anda berkenaan perkara ini? Kongsikannya pada ruang komen di bawah.