Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Tahun lalu kami menerima berberapa foto intipan Proton Preve yang diperhalusi sedang diuji, manakala awal tahun ini pula imej perinciannya bocor dan tersebar di internet. Kini, model berkenaan nampaknya telah muncul di laman web rasmi Proton, menandakan ia hampir dilancarkan atau terus dijual dipasaran seperti MPV Exora yang diperhalusi sebelum ini.

    Menerusi laman berkenaan, Preve disahkan hanya akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6 Executive CVT yang berharga RM64,730 (naik RM4,120) dan juga 1.6 Premium CVT yang djual pada harga RM72,510 (naik RM1,193). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia dilindungi waranti selama lima-tahun/150,000 km.

    Seperti juga tahun lalu, model yang dikemaskini ini tidak menawarkan pilihan enjin 1.6 liter NA dan juga kotak gear manual. Kedua-dua varian berkenaan dijana dengan enjin petrol empat-silinder 1.6 liter turbo berkuasa 138 hp pada takat 5,000 rpm, serta tork maksima 205 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear automatik CVT, memacu roda hadapan.

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Menerusi perincian yang bocor sebelum ini, dapat dilihat pelbagai perkara telah disentuh semula untuk memperhalusi semula Preve berkenaan, terutamanya pada elemen NVH. Cagak enjin telah direka semula, manakala penebat-penebat bunyi pada karpet dan tiang-tiang kereta ini telah dipertingkatkan.

    Proton juga melakukan sesuatu untuk menghilangkan bunyi angin dan juga mengurangkan bunyi penghawa dingin. Jenis tayar pada rim 16-inci turut ditukar untuk versi kali ini, bersama kemasan baharu pada tombol gear, alas kaki jenis fishnet dan juga radio dengan penerimaan isyarat yang lebih baik.

    Walapun tiada sebarang perubahan mekanikal, Proton telah menala semula sistem pengurusan enjin (ECU) dan transmisi (TCU) pada model tingkat taraf ini, sama seperti apa yang dilakukan pada Iriz dan Exora. Talaan baharu berkenaan akan membolehkan enjin dan transmisi CVT model ini beroperasi dengan lebih responsif, lebih linear dan juga bunyi ekzos yang lebih senyap.

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Juga, tiada perubahan rupa yang ketara pada model yang dikemaskini ini kecuali sentuhan semula pada warna dan kemasan yang diberikan. Gril hadapan dan kemasan penutup but belakang kini diberikan warna hitam bersama logo Proton tiga-dimensi. Model Premium pula dibezakan dengan bumbung berwarna hitam serta cermin sisi dua-tona sama seperti Iriz, bersama rim aloi dua-tona baharu berdiameter 17-inci.

    Ciri standard lain yang turut dipadankan pada Preve baharu berkenaan termasuk lampu hadapan projektor halogen bersama fungsi follow-me-home, lampu kabus hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi auto naik/turun dan anti-pinch, serta radio standard dengan sokongan CD, Bluetooth, USB serta AUX-in.

    Untuk keselamatan pula, kedua-dua varian menerima enam-beg udara, sistem brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, perehat kepala hadapan aktif dan juga cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang.

    Model Premium pula menerima penambahan lampu nyalaan siang LED, butang penghidup enjin (masih lagi tanpa sistem kemasukan tanpa kunci sebenar), penghawa dingin automatik zon-tunggal, sistem navigasi, lampu dan pengelap cermin automatik, cruise control, cermin sisi lipatan automatik, pedal penukar gear dan juga cermin dengan pelindung haba.

    Lima warna akan ditawarkan untuk Preve 2018 ini iaitu Ruby Red (dari Perdana), Carnelian Brown (dari Persona) Graphite Grey, Sterling Silver dan Cotton White.

     
     
  • SPYSHOT: Honda HR-V facelift 2018 kelihatan di M’sia

    SPYSHOT: Honda HR-V facelift 2018 kelihatan di M’sia

    Honda HR-V facelift telah pun dikesan berada di jalan raya di Malaysia oleh pembaca paultan.org Anthony Look, yang memberikan bayangan ia mungkin akan dilancarkan pada tahun ini. Model berwarna putih yang diuji ini yang tidak ditutupi sebarang penyamaran, menampakkan sedikit gaya yang pelik.

    Di belakangnya, kelihatan jaluran krom yang bersambung pada lampu belakang, yang memberikan gambaran ia adalah model facelift. Walau bagaimana pun, grafik pada lampu belakangnya masih sama dengan HR-V pra-peningkatan, dan LED jenis-tiub pula seperti kereta pasaran Jepun.

    Sementara pada bahagian hadapannya pula, kelihatan lampu nyalaan siang baharu ditampilkan. Dilihat menerusi foto ini, bampar yang dipertingkatkan (dengan lampu baharu) tidak ditampilkan, begitu juga dengan palang krom tebal pada gril.

    Varian tertinggi pula mungkin hadir dengan rekaan lampu utama LED baharu seperti yang ditampilkan pada model terkini Accord dan Civic, sementara varian spesifikasi rendah pula digayakan dengan lampu nyalaan siang LED. Buat masa ini, elemen yang ditampilkan ini kebarangkalian tidak akan sama dengan apa yang kita bakal dapat kelak. Tapi pasti anda tidak sabar untuk menantikan kehadiran HR-V facelift ini bukan?

    GALERI: Honda HR-V/Vezel facelift

     
     
  • Pakatan Harapan akan hapuskan tol secara berperingkat jika menang PRU14 – Tun Mahathir

    Pakatan Harapan akan hapuskan tol secara berperingkat jika menang PRU14 – Tun Mahathir

    Demam Pilihanraya Umum kali ke-14 (PRU14) kian membara. Walau menjadi tanda tanya bilakah ia akan diadakan, mungkinkah awal bulan hadapan seperti mana desas-desus yang bertebaran?

    Seperti biasa, semua parti politik akan mengeluarkan manifesto masing-masing untuk menambah keyakinan atau pun lebih tepat “membeli” hati para pengundi supaya mengundi mereka sebagai pentadbir negara.

    Pada awal bulan lalu, Pakatan Harapan telah mengeluarkan manifesto mereka yang diberi judul ‘Buku Harapan’, ini termasuklah untuk menstabilkan harga runcit bahan api utama serta menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    Semalam, Pengerusi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi jika menang dalam PRU14 ini.

    “Dalam tempoh 100 hari kerajaan baharu akan menghapuskan kutipan tol seluruh negara secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi. Namun prosedur penghapusan secara berperingkat itu akan diumumkan bila kita masuk Putrajaya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Parlimen, laporan Sinar Harian.

    Baru-baru ini, PAS dalam manifestonya pula berkata, duti eksais akan dihapuskan bagi mereka yang baru pertama kali membeli kenderaan. Cadangan daripada PAS itu tertakluk kepada kenderaan dengan kapasiti enjin bawah 1.3 liter. Parti itu juga mencadangkan pinjaman tanpa faedah diberikan bagi mereka yang pertama kali membeli kenderaan.

     
     
  • Toyota Supra Turbo 1994 terjual pada lelongan dengan harga RM311k di Amerika Syarikat – hanya 9,173 km

    Toyota Supra Turbo 1994 terjual pada lelongan dengan harga RM311k di Amerika Syarikat – hanya 9,173 km

    Sebuah Toyota Supra generasi keempat (JZA80) keluaran tahun 1994 telah terjual di laman lelongan Bring a Trailer yang berpangkalan di Amerika Syarikat hujung minggu lalu, dengan harga USD$80,500 atau RM311,099 mengikut kadar tukaran semasa. Sesuai dengan harganya, kereta berkenaan terjual dalam keadaan hampir seperti unit yang simpan oleh muzium, langsung tidak diubahsuai serta meter perbatuan hanya mencecah 5,667 batu atau 9,173 km.

    Supra berkenaan juga merupakan dari varian tinggi, dibekalkan dengan enjin 2JZ-GTE 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 320 hp (untuk pasaran Amerika, bukan versi JDM yang dihadkan pada 280 hp) dan tork maksima 427 Nm dalam keadaan standard. Namun, ia adalah dari model automatik, dibekalkan dengan transmisi empat-kelajuan untuk memacu roda belakang, lengkap dengan LSD jenis torsen yang diberikan secara standard.

    Supra dengan warna badan asli Super White ini juga merupakan unit dari versi badan ‘Targa Top’, iaitu model dengan bumbung yang boleh dibuka bagi membolehkan ia kelihatan seperti roadster, sama seperti yang digunakan oleh watak Brian O’Connor (lakonan mendiang Paul Walker) dalam filem The Fast and The Furious.

    Ciri standard lain yang dibekalkan standard dari kilang pada Supra ini termasuk rim aloi lima jejari 17-inci, balutan kulit pada upholsteri serta dalaman berwarna hitam, radio premium AM/FM/CD dan juga brek dengan sistem ABS.

    Ia juga masih mempunyai pelekat asal pada cermin yang memaparkan senarai kelengkapan standard serta harga jualan (USD$47,795 pada tahun 1994), kit pembaikkan dan dua set kunci asal. Supra ini turut mempunyai rekod sejarah dari CARFAX, dan tercatat perbatuannya hanya mencapai satu batu pada tahun 2000, dan bacaan 5,616 batu (9,038 km) hanya dicapai pada Disember 2016.

    Toyota Supra seperti diketahui merupakan model ‘klasik moden’ Jepun yang kini sedang meningkat naik harganya diserata dunia, seperti Nissan Skyline GT-R (R32, R33, R34) dan juga Honda NSX generasi pertama. Jika anda berpeluang untuk membeli salah satu model begini, berapa harga yang anda rasakan sesuai?

     
     
  • Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Ini satu lagi model Geely yang akan dilancarkan; Geely Borui GE, model plug-in hybrid bagi versi sedan Borui sebelum ini akan diperkenalkan untuk pasaran China pada 9 April nanti. Berikut merupakan imej-imej awalnya yang muncul dari laman media di sana.

    Kereta PHEV ini menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbocas, yang sudahpun digunakan pada model Volvo XC40 T3. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, dan disertai motor elektrik dan pek bateri.

    Komponen yang digunakan ini sama dengan sistem janaan kuasa T5 Twin Engine sebelum ini, jadi tidaklah mengejutkan jika ia turut digunakan pada model-model elektrik dari pengeluar kenderaan Sweden itu, serta kenderaan dari Lynk & Co nanti.

    Perincian spesifikasi lainnya masih belum didedahkan. Bagaimanapun media tempatan di China melaporkan kadar penggunaan minyaknya boleh mencapai serendah 1.5 liter/100 km. Model PHEV ini akan menjadi tambahan terbaru bagi varian Borui lain yang turut ditawarkan ketika ini.

    Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Antaranya termasuk model dengan enjin 1.8 liter turbo (184 hp) dan 2.4 liter (162 hp); kedua-duanya dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Akan ada satu lagi varian, iaitu GT dengan enjin 1.5 liter turbo dan output 177 hp dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Reka bentuknya sama sahaja dengan Borui GT. Antara perkara yang menjadi tarikan utama kereta ini ialah rekaan gril yang digunakan, yang diapit oleh lampu utama dengan rekaan tirus. Bahagian bawahnya pula dihiasi dengan kemasan krom. Rekaan rimnya juga menyumbang imej tersendiri. Selain itu, grafik baru pada lampu belakang dan juga ekzos berkembar turut diberikan.

    Di dalam, sebuah skrin sentuh 12.2 inci menjadi antaramuka bagi ciri dan sistem kenderaan ini. Konsol tengahnya lebih tinggi, dengan ciri pengecas telefon tanpa wayar juga disediakan kepada pengguna. Apa pandangan anda tentang model ini? PHEV untuk kenderaan dalam segmen yang lebih meluas tentunya akan memberikan askses yang lebih mudah kepada kebanyakan orang, bukan?

     
     
  • ETS tambah dua tren baharu atasi masalah kelewatan

    ETS tambah dua tren baharu atasi masalah kelewatan

    Masalah kelewatan perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang kerap berlalu sememangnya menggusarkan pengguna. Rasa tidak puas hati sering kali kedengaran apabila pengguna terkandas di sesetengah stesen hingga mengganggu urusan harian.

    Malah ia pernah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar segera menyelesaikan masalah ini. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ETS bakal menambah dua lagi tren baharu dan ia dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, kelewatan ETS akibat tren rosak dan bekalan elektrik terputus ini juga akan dipulihkan apabila sembilan tren beroperasi sepenuhnya mulai November 2019, laporan Berita Harian

    “Kita membeli sembilan set tren baharu untuk menangani masalah kelewatan jadual ETS. Dua tren sudah tiba. Walaupun ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2019, kita jangka dua set ini akan beroperasi pada Disember tahun ini. Dengan adanya tren baharu ini dan menambah baik gerabak sedia ada, masalah dihadapi ETS dari segi kekerapan akan diperbaiki,” katanya. Ia adalah bagi menjawab soalan lisan Datuk Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Soo Seang mengajukan soalan mengenai rancangan kerajaan memperbaiki dan mempertingkatkan khidmat ETS yang sering berlaku kelewatan jadual, kerosakan gerabak dan terputus bekalan elektrik.

    Dalam perkara yang berkaitan, Nancy turut berkata, mulai bulan ini, KTMB akan mengeluarkan jadual perjalanan ETS sepanjang bulan ini untuk memudahkan pengguna mendapat maklumat waktu sebenar.

    “Kita juga mempunyai laman sesawang yang menyediakan jadual perjalanan ETS untuk kemudahan pengguna,” katanya menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

     
     
  • Mini klasik retro EV tampil pertama kali di New York

    Mini klasik retro EV tampil pertama kali di New York

    Ada satu model Mini menarik yang turut diperkenalkan di New York International Autoshow yang sedang berlangsung. Classic Mini Electric bukan model biasa-biasa jenama itu; ia mempertemukan reka bentuk bersejarah Mini yang dahulu dengan sistem janaan elektrik yang mesra alam.

    Model yang dipertontonkan ini menggunakan sebuah Mini Cooper klasik tahun 1988 yang dibina semula untuk menepati keperluan sistem pacuan elektrik. Menurut Autocar UK, terdapat sebuah motor elektrik 38 hp disambungkan kepada gear yang sama pada kenderaan biasa. Motor berkenaan menggunakan pek bateri lithium-iron phosphate, yang ditempatkan di belakang tempat duduk.

    Ia memerlukan empat jam untuk dicas sepenuhnya menggunakan soket domestik 220-volt biasa. Sistem ini membolehkan kereta ini mencapai kelajuan maksimum 121 km/j dengan jarak 105 km.

    Dari segi reka bentuk, bahagian luarannya dicat dengan warna merah dengan bumbung putih untuk dipadandkan dengan jalur putih pada bonet. Penampilannya sebagai sebuah kereta EV diwakilkan dengan penggunaan logo kuning MINI Electric pada bonet dan hab rim serta beberapa kawasan lain.

    Walaupun nampak comel dan sangat menarik, model ini hanya untuk tujuan dipertonton pada pameran dan tidak akan dikeluarkan dalam pasaran konsumer. Apa pun, Mini memang akan memperkenalkan model elektrik sepenuhnya yang pertama jenama itu pada 2019 nanti – sempena ulangtahun ke-60 Mini klasik.

    Model berkenaan dipertontonkan sebagai MINI Electric Concept ketika pameran di Frankfurt tahun lalu. Ia akan dibangunkan di kilang jenama itu di Oxford tahun depan. Untuk kita di Malaysia pula, ada satu model yang akan diperkenalkan tak lama lagi; MINI Cooper S E Country All4 – sebuah model plug-in hybrid.

     
     
  • Produksi Honda Accord 2018 di Amerika dihentikan selama 11 hari kerana jualan tidak memberangsangkan

    Produksi Honda Accord 2018 di Amerika dihentikan selama 11 hari kerana jualan tidak memberangsangkan

    Kilang Honda Motor Co. di Ohio, Amerika Syarikat terpaksa menghentikan produksi Honda Accord generasi baharu selama 11 hari dari April hingga Julai ini kerana jualan sedan tersebut dilihat tidak memberangsangkan serta menyebabkan lambakan stok sedia ada, menurut laporan Automotive News.

    Kilang berkenaan akan menghentikan produksi Accord untuk dua hari setiap bulan antara April hingga Jun, dan ia akan dilanjutkan selama lima-hari lagi pada Julai untuk penutupan tahunan sempena cuti musim panas, jelas jurucakap Honda kepada portal berita industri auto berkenaan.

    “Kami sentiasa melaras produksi pada fasiliti automotif kami, naik dan turun,” kata jurucakap itu dan menjelaskan ia hanya aktiviti perniagaan sebenar dan larasan tersebut dilakukan bagi menurunkan jumlah produksi untuk diselaraskan dengan permintaan pasaran semasa.

    Produksi Honda Accord 2018 di Amerika dihentikan selama 11 hari kerana jualan tidak memberangsangkan

    Pada 1 Mac, paras inventori Accord dicatatkan diparas bekalan untuk 104-hari, satu angka yang agak tinggi dalam mana-mana standard. Menurut Automotive News lagi, sumber dari pengedar mengatakan jualan yang lembab tersebut adalah kerana kurangnya tawaran sewaan yang menarik.

    Namun menurut laporan Motor1 pula, bukan sahaja Accord, tetapi keseluruhan pasaran sedan di Amerika – tidak kira dari model asas hingga model mewah – sememangnya menunjukkan trend yang menjunam, memandangkan pengguna kini lebih berminat untuk memiliki SUV.

    Honda Accord generasi kesepuluh ini telah pun diperkenalkan di Amerika Syarikat tahun lalu. Selain dari bentuknya yang lebih agresif, model ini juga kini dijana dengan dua pilihan enjin turbo iaitu 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp/260 Nm dan juga 2.0 liter DOHC VTEC turbo (diambil dari Honda Civic Type R) berkuasa 252 hp/370 Nm – versi paling berkuasa ini turut hadir dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

    GALERI: Honda Accord 2018

     
     
  • Fi pemandu dan kenderaan warganegara asing dinaikkan antara 50-200% mulai 16 April ini – Ab Aziz

    Fi pemandu dan kenderaan warganegara asing dinaikkan antara 50-200% mulai 16 April ini – Ab Aziz

    Kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar pendaftaran kenderaan persendirian, tukar hak milik dan fi lesen memandu bagi warganegara asing dinaikkan antara 50% hingga 200% berkuatkuasa 16 April ini.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, kenaikan kadar berkenaan diputuskan oleh Kabinet selepas tiada semakan kadar baharu dibuat sejak kemerdekaan negara, laporan Berita Harian.

    “Ini adalah inisiatif kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan negara tanpa membebankan rakyat negara ini. Pelaksanaan kadar fi baharu kepada bukan warganegara itu mampu meningkatkan unjuran hasil pendapatan negara yang dianggarkan sebanyak RM 31 juta setahun,” ujarnya kepada pemberita semalam.

    Katanya lagi, kadar pendaftaran motosikal 500cc ke bawah dan lebih 500cc yang sebelum ini RM5 baik di Semenanjung atau Sabah serta Sarawak masing-masing dinaikkan kepada RM100 dan RM20. Manakala kadar pendaftaran kenderaan selain motosikal 1,500cc ke bawah di Semenanjung yang sebelum ini RM150 dan RM60 di Sabah serta Sarawak, masing-masing naik kepada RM350 dan RM120.

    Fi pemandu dan kenderaan warganegara asing dinaikkan antara 50-200% mulai 16 April ini – Ab Aziz

    Bagi kenderaan selain motosikal 1501cc sehingga 3000cc di Semenanjung yang sebelum ini RM300 dan RM60 di Sabah serta Sarawak pula masing-masing naik kepada RM600 dan RM120. Manakala bagi kenderaan selain motosikal melebihi 3000cc di Semenanjung yang sebelum ini RM300 dan RM60 di Sabah serta Sarawak, masing-masing naik kepada RM900 dan RM160.

    “Bagi kadar tukar hak milik motosikal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sebelum ini masing-masing RM3, RM4 dan RM5, dinaikkan kepada RM20. Untuk tukar hak milik kenderaan selain motosikal yang sebelum ini RM100 di Semenanjung dan RM40 di Sabah serta Sarawak, masing-masing dinaikkan kepada RM200 dan RM120,” ujarnya lagi sambil menambah, bagi tukar hak milik kenderaan bukan warganegara membabitkan kenderaan orang kurang upaya (OKU) kekal percuma.

    Kadar fi lesen memandu bukan warganegara bagi Kelas D yang sebelum ini RM30 untuk setahun mengalami peningkatan 50% kepada RM60 dan seterusnya. Manakala fi lesen motosikal Kelas B1 bukan warganegara yang sebelum ini RM20 setahun dinaikkan tiga kali ganda kepada RM60 setahun dan seterusnya.

     
     
  • Ford Focus Mk4 2019 – video teaser, lancar 10 April

    Ford telah mengeluarkan video teaser bagi model Ford Focus 2019, yang akan diperkenalkan secara rasmi pada 10 April nanti. Video berkenaan menunjukkan perincian pada model generasi keempat Focus itu, yang akan menjadi pesaing kepada model-model segmen C di Eropah antaranya bagi Volkswagen Golf, Opel Astra, Renault Megane dan lain-lain.

    Video itu menunjukkan bahagian gril, lampu utama, roda dan juga logo di belakang. Dari apa yang dapat dilihat, ada iras-iras rekaan yang diinspirasikan dari kenderaan Volvo – misalnya pada rekaan DRL (seperti rekaan Thor’s Hammer pada model Volvo) dan juga rekabentuk huruf yang digunakan pada “Focus”, seperti ada iras V40.

    Ford Focus baru ini pernah dilihat tanpa sebarang samaran baru-baru ini. Bentuk profil tepinya pula kelihatan lebih menarik sebagai sebuah kenderaan hatchback berbanding versi sebelumnya. Daripada khabar angin yang kedengaran, Ford Focus baru ini akan menerima pertambahan bagi jarak antara rodanya sebanyak 50 mm.

    Begitu juga dengan aspek lain seperti lebih ringan, kecekapan dan aerodinamik yang dipertingkat serta varian elektrik antara penambah baikan yang diterima. Pilihan enjin pula mungkin akan termasuk enjin 1.0 liter EcoBoost tiga-silinder, 1.5 liter dan 2.0 liter empat-silinder turbocas petrol serta enjin 1.5 liter TDCi.

     
     
  • Subaru jelaskan mengapa enjin boxer lebih baik

    Selain dari dari Porsche dan juga Volkswagen Beetle (model asal, bukan model generasi baharu dengan enjin di depan), Subaru antara syarikat yang tegar menggunakan enjin jenis boxer. Jenama dari Jepun tersebut telah membangunkan enjin jenis ini sejak era 60’an, dan buat masa sekarang, kesemua kenderaan dalam barisan model Subaru dijana oleh enjin boxer.

    Perbezaan utama enjin ini berbanding enjin dengan silinder sebaris lain tentulah kedudukan silinder dan ombohnya. Kebanyakkan enjin boxer Subaru mempunyai empat silinder (mereka pernah juga membina enjin boxer enam-silinder, malah 12-silinder juga pernah dihasilkan untuk kegunaan kereta lumba Formula 1), jadi dua-silinder diletakkan pada sebelah kiri, dan dua lagi pada kanan secara simetri.

    Dengar macam enjin jenis ‘V’ bukan? Susunan selinder sememangnya hampir sama dengan enjin ‘V’, tetapi apa yang berbeza adalah kedudukan silinder berkenaan – silinder enjin ‘V’ diletakkan pada sudut serong 30- hingga 60-darjah, sebaliknya enjin boxer mempunyai silinder dan omboh dengan kedudukan rata. Disebabkan pergerakkan mendatar omboh-omboh tersebut juga menjadi sebab mengapa enjin ini digelar ‘boxer’- ia kelihatan seperti tangan peninju yang sedang menumbuk ketika sedang beroperasi.

    Jadi apa kelebihan enjin ini sehingga Subaru mendakwa ia mampu memberikan pengendalian yang lebih baik kepada kereta mereka? Pertama kedudukan omboh yang ‘terbaring terus’ itu sendiri secara jelas duduk dengan lebih stabil ketika beroperasi, berbanding enjin konvensional dengan silinder dan omboh yang ‘berdiri’.

    Kedudukan enjin yang lebih stabil dan rendah tersebut secara tidak langsung membolehkan daya olengan badan kereta dikurangkan dengan drastik walaupun tidak menggunakan suspensi yang keras – sebab itu anda dapat rasakan kebanyakkan model-model Subaru begitu stabil ketika meredah selekoh laju.

    Seperti yang diketahui juga, enjin boxer ini menghasilkan bunyi unik seperti guruh, terutamanya pada model-model turbo berpretasi tinggi seperti Impreza WRX. Bunyi tersebut terjadi kerana panjang manifold ekzos pada silinder kiri dan kanan direka tidak sama panjang, menyebabkan dua bunyi keluar dari muncung tip ekzos dalam masa yang berbeza. Tetapi jika anda perasan, bunyi berkenaan tidak lagi jelas kedengaran pada model-model terkini Subaru, kerana manifold ekzos pada enjin-enjin baharu mereka telah direka dengan panjang yang sama.

     
     
  • Lebih ramai pengedar Proton kagum dan yakin dengan kemampuan, teknologi Geely selepas lawatan ke China

    Lebih ramai pengedar Proton kagum dan yakin dengan kemampuan, teknologi Geely selepas lawatan ke China

    Proton terus menjemput pengedar-pengedarnya di sini untuk melakukan lawatan ke Geely Research Institute (GRI) di Teluk Hangzhou, China untuk mendedahkan kepada mereka bagaimana cara rakan strategik baru syarikat itu menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap teknologi-teknologi baru.

    Terbaru, tiga lagi pemilik cawangan pengedar Proton mengikuti lawatan itu pada Mac, dan hasilnya mereka juga berasa kagum dengan apa yang dilihat di sana, sama seperti kumpulan pengedar tempatan yang lebih awal mendapat peluang itu sebelum ini.

    “Dari apa yang saya dapat lihat semasa kunjungan ke GRI, Geely memberikan tumpuan kepada setiap perincian,” jelas Munauwir Mohd Khir dari Edaran Saga. “Dari merancang hinggalah pelaksanaan, semuanya difikirkan dengan teliti untuk memastikan kelancaran proses. Semuanya dilakukan secara terkawal dan teratur. Saya juga perhatikan, mereka mengikut peraturan yang ketat, dan petugas patuh terhadap peraturan itu. Ini sangat baik,” tambahnya.

    Beliau juga berasa kagum dengan kemampuan teknologi Geely. “Sesebuah pengeluar kenderaan perlu mempunyai visi luas – tidak hanya dengan membangunkan kenderaan dengan teknologi maju, tetapi apa yang lebih penting kenderaan yang mesra alam seperti kereta elektrik dan hibrid,” tambahnya lagi.

    Lebih ramai pengedar Proton kagum dan yakin dengan kemampuan, teknologi Geely selepas lawatan ke China

    Mohd Nazrin Mohamad Fozi dari Rahman Brothers Automotive pula menyatakan, kunjungan itu menepati jangkaan awalnya. “GRI menunjukkan kemampuan teknologi Geely dan juga masa depan kenderaan. Saya boleh bayangkan, jika semua teknologi ini digunakan pada kenderaan Proton, ia mungkin akan jadi peneraju baru bagi pasaran di Malaysia dan di luar,” jelasnya.

    Sementara itu, Hazree Hisham dari Vitalic berkata; “Ketika saya melalui kawasan-kawasan berbeza GRI, semuanya tenang dan teratur. Petugas menjalankan kerja mereka dengan tekun dan mengambil serius tanggungjawab berkenaan. Kita boleh lihat rasa bangga yang ditumpahkan dalam setiap aspek pekerjaan yang ada di situ.”

    “Selepas kunjungan ini, saya dapat melihat dengan lebih jelas berkaitan pembangunan yang sedang berlangsung di dalam Geely dan bagaimana Proton akan mendapat manfaat dalam jangka masa panjang. Dari budaya kerja dalam kilang, semuanya ada sistem yang teratur. Pengeluaran dan semuanya berada dalam kawalan yang baik,” tambahnya.

    Kunjungan berkenaan merupakan sebahagian daripada rancangan Proton untuk meyakinkan pengedar-pengedarnya untuk menaik taraf ke cawangan pusat 3S dan 4S, dalam usaha untuk melahirkan imej jenama yang lebih premium bagi pengenalan model-model berdasarkan model Geely, bermula dengan SUV pertama tahun ini.

     
     
  • Siri plat nombor FB – bidaan dibuka hingga 16 April ini

    Siri plat nombor FB – bidaan dibuka hingga 16 April ini

    Satu lagi siri nombor pendaftaran baharu, FB bagi Putrajaya, telah pun mula dibuka bidaannya sejak semalam sehingga 16 April ini. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, pelancaran siri nombor pendaftaran baharu itu atas permintaan tinggi masyarakat terhadap nombor pendaftaran Putrajaya, laporan Berita Harian.

    “Keputusan bidaan tender untuk nombor pendaftaran FB akan diumumkan pada 14 Mei ini, malah JPJ akan melancarkan siri nombor pendaftaran baharu FC pula tahun hadapan pada hari ulang tahun JPJ dan kita akan lakukannya setiap tahun,” katanya selepas majlis sambutan ulang tahun ke-72 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) peringkat kebangsaan yang berlangsung semalam di Batu Pahat, Johor.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai nombor pendaftaran FB dan angka minimum bagi bidaannya.

    Siri FB ini menyertai GG, SAM, K1M, T1M, RIMAU, US, NBOS, NAAM, VIP, G, GT, U, Y, PERFECT dan PATRIOT yang telah pun kelihatan pada kenderaan di jalan raya kita.

     
     
  • 25 jalan utama di sekitar Kuala Lumpur ditutup, dilencongkan pada 7-8 April ini sempena SCKLM 2018

    25 jalan utama di sekitar Kuala Lumpur ditutup, dilencongkan pada 7-8 April ini sempena SCKLM 2018

    Sempena acara larian Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered 2018 (SCKLM 2018) pada 8 April ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim telah mengumumkan sebanyak 25 jalan di sekitar ibu negara akan ditutup atau dilencongkan selama dua hari bermula Sabtu ini.

    Menurutnya, penutupan jalan secara berperingkat itu bermula 3 pagi hingga 12 tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan, laporan Bernama.

    Jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

    Begitu juga dengan Jalan Kuching (dari Selayang), Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Raja Abdullah (Kampung Baru), Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu dan Jalan Sultan Hishamuddin.

    “Pengguna jalan raya boleh menggunakan aplikasi Waze untuk mendapatkan laluan alternatif sepanjang tempoh jalan ditutup serta digalak menggunakan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar. Dianggarkan 400 pegawai dan anggota polis serta anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditugaskan mengawal lalu lintas sepanjang program itu berlangsung,” kata Mazlan.

     
     
  • JPJ tawar diskaun 70% untuk saman, kompaun sepanjang April ini sempena ulang tahun ke-72

    JPJ tawar diskaun 70% untuk saman, kompaun sepanjang April ini sempena ulang tahun ke-72

    Sempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-72, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 70% bagi semua saman dan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak penguatkuasa ini. Pemberian diskaun tersebut berlangsung sepanjang bulan April 2018.

    Pengumuman ini dilakukan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, dalam majlis meraikan ulang tahun JPJ peringkat kebangsaan yang berlangsung di Batu Pahat Johor, hari ini.

    “Selepas berbincang tentang perkara ini dengan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Kalid, diskaun tersebut adalah bermula hari ini, dan pengguna jalan raya yang ingin mendapatkan diskaun berkenaan perlu hadir ke kaunter JPJ untuk membayar saman atau kompaun terbabit,” ujar Ab Aziz, seperti mana yang dilaporkan oleh The Star

    Walau bagaimana pun, beliau menambah, diskaun terbabit tidak termasuk dengan saman yang dikeluarkan menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025