Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Semakin ramai pemandu warga asing langgar peraturan, 30 kenderaan sudah disita – JPJ Kelantan

    Semakin ramai pemandu warga asing langgar peraturan, 30 kenderaan sudah disita – JPJ Kelantan

    Menurut pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah, pihaknya kini sudahpun mengeluarkan 343 notis saman dan juga menyita 30 kenderaan sepanjang tahun 2022 bagi kes membabitkan pemandu warga asing yang melakukan kesalahan jalan raya.

    Beliau menjelaskan bahawa di Kota Bahru, pendatang-pendatang asing berkenaan yang kebanyakkannya adalah dari etnik Rohingya kini semakin ramai menyewa atau membeli kenderaan terpakai, dan kemudian memandu kenderaan tersebut tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

    Malah ada juga majikan yang menggajikan warga-warga asing ini membenarkan kenderaan mereka dipinjam dan dipandu oleh mereka, tambah Mohd Misuari.

    Menurutnya, selain mengeluarkan notis saman kepada warga asing berkenaan, tindakan juga dikenakan kepada majikan yang membenarkan kenderaan itu dipinjam atau dipandu dengan menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah bagi tindakan lanjut.

    “Kami memberi peringatan tegas kepada rakyat tempatan supaya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menggunakan kenderaan mereka kerana menjadi tanggungjawab mereka jika kenderaan itu terbabit dalam kemalangan atau kesalahan jalan raya,” katanya dalam laporan Berita Harian.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JVX dan DER dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JVX, telah pun dibuka bidaan mulai 1 Januari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 5 Januari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 6 Januari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DER, bidaannya bakal dibuka bermula 8 Januari ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 12 Januari 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 13 Januari ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Kadar tol BESRAYA dan LEKAS diturunkan berkuatkuasa 12.01 t/malam 1 Jan 2023 – Menteri KKR

    Kadar tol BESRAYA dan LEKAS diturunkan berkuatkuasa 12.01 t/malam 1 Jan 2023 – Menteri KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini, 1 Januarin 2023.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

    Katanya, penurunan kadar tol itu yang selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu, juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

    “Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

    “Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Klik untuk besarkan imej

    Tambah beliau, kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

    “Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya lagi.

    Beliau turut berkata, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

    “Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuh raya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia.

    “Pada masa sama, kerajaan juga sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara. Langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi,” jelasnya.

     
     
  • Polis PJ tahan 246 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sepanjang Januari-Disember 2022

    Polis PJ tahan 246 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sepanjang Januari-Disember 2022

    Polis Daerah Petaling Jaya (IPD PJ) telah memaklumkan seramai 246 individu ditahan kerana memandu dengan pengaruh alkohol sepanjang Operasi Alkohol dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya antara Januari hingga Disember tahun ini.

    Ia melibatkan sebanyak 85 operasi dijalankan di daerah ini, dan seramai 9,741 individu diperiksa, ujar Ketua Polis Daerah PJ, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

    “Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020 iaitu memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, berdasarkan statistik, sepanjang tahun ini seramai 246 individu yang ditahan itu membabitkan 12 orang bangsa Melayu, Cina (115), India (103) dan 10 orang bangsa lain, sementara warga negara asing seramai enam tangkapan.

    “Sehingga kini, seramai 194 individu sudah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987 itu, manakala baki pertuduhan di bawah seksyen yang sama masih dalam tindakan lanjut untuk proses pertuduhan,” katanya lagi.

    Beliau berkata, walaupun banyak operasi alkohol sudah dijalankan, namun masih terdapat pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan dengan dipengaruhi alkohol dalam badan.

    “Pihak IPD Petaling Jaya mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Petaling Jaya terjamin,” tegasnya.

     
     
  • Perkhidmatan LRT, MRT, monorel dilanjutkan operasi hingga 1 pagi pada malam ambang Tahun Baharu

    Perkhidmatan LRT, MRT, monorel dilanjutkan operasi hingga 1 pagi pada malam ambang Tahun Baharu

    Rapid KL telah mengumumkan beberapa stesen bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel akan dilanjutkan operasinya esok (31 Disember 2022) sehingga jam 1 pagi pada Ahad, 1 Januari 2023.

    Ia adalah bagi memenuhi keperluan operasi sempena malam Tahun Baharu 2023, ujar Rapid KL menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasminya.

    Menurut Rapid KL lagi, stesen yang terbabit bagi laluan LRT Ampang atau Sri Petaling ialah stesen Masjid Jamek, Maluri, IOI Puchong dan PWTC. Bagi laluan LRT Kelana Jaya pula, stesen KLCC dan Masjid Jamek, sementara laluan MRT Kajang di stesen Bukit Bintang dan Maluri, manakala laluan KL Monorel, hanya di stesen Bukit Bintang.

    “Stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di stesen berkenaan. Penumpang juga disaran menggunakan kad Touch N Go dan pastikan baki mencukupi untuk kelancaran perjalanan,” katanya.

     
     
  • Honda RS-X ditawarkan dalam warna baru – RM9.7k

    Honda RS-X ditawarkan dalam warna baru – RM9.7k

    Setelah dilancarkan buat kali pertama untuk pasaran Malaysia pada November tahun lepas, Honda RS-X kini disegarkan kembali dengan penawaran warna baru yang terdiri daripada Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue, dijual pada harga RM9,698 tidak termasuk insurans. Satu lagi versi, iaitu Trico Edition dijual pada harga RM9,748.

    Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, termasuk enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Selain warna biasa, Boon Siew Honda juga sebelum ini pernah melancarkan RS-X dengan versi Repsol Edition, yang menggunakan warna gabungan putih, oren dan merah, pada harga RM9,948 April lalu, tetapi ia hanya dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.

     
     
  • Ahmad Maslan saran Kastam bina parkir berbumbung untuk kenderaan yang sita; elak harga lelong rendah

    Ahmad Maslan saran Kastam bina parkir berbumbung untuk kenderaan yang sita; elak harga lelong rendah

    Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) agar membina parkir berbumbung untuk menyimpan kenderaan yang dirampas bagi mengelak susut nilai ketara terhadap kenderaan berkenaan apabila dilelong.

    Menurut beliau dalam laporan Berita Harian semalam, terdapat perbezaan harga agak ketara antara nilai kenderaan lelong yang ditempatkan di kawasan berbumbung berbanding yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan.

    “Hasil lawatan ke tiga pejabat penguatkuasaan JKDM di Kuala Terengganu, Kelantan dan Kemaman, saya dimaklumkan bahawa nilai kereta yang tidak (ditempatkan di parkir) berbumbung berbeza, tidak tinggi seperti yang berbumbung.

    “(Ini) bererti susut nilai kepada kereta yang tidak berbumbung itu lebih dan apabila dilelongkan harganya tidak setinggi yang sepatutnya, jadi kita kehilangan hasil akibat tidak membumbungkan kereta yang dirampas,” katanya ketika melawat Pejabat JKDM di Kemaman, Terengganu.

    Menteri berkenaan menjelaskan bahawa beliau sentiasa memaklumkan JKDM kebelakangan ini bagaimana jabatan tersebut boleh meningkatkan hasil tanpa menambah cukai baharu dengan kaedah yang kreatif.

    Ahmad Maslan saran Kastam bina parkir berbumbung untuk kenderaan yang sita; elak harga lelong rendah

    “Jadi satu daripada kaedah yang kreatif ialah menyediakan bumbung kenderaan yang dirampas (disita) supaya nilainya tidak turun apabila dilelong secara dalam talian tiga kali setahun,” katanya dan menambah pihaknya akan mencadangkan perkara itu kepada pimpinan tertinggi JKDM.

    “Saya akan membuat cadangan itu kepada pimpinan tertinggi JKDM supaya membuat penilaian mengenai kereta-kereta yang dilelong dibumbung dan tidak dibumbung.

    “Kalau dibumbungkan berapakah kosnya yang kemudiannya tentunya akan menambah hasil kepada kerajaan walaupun kita kena buat pelaburan membuat bumbung.

    “Saya kira ia bukan bangunan bertutup, ia hanya bumbung untuk mengurangkan kesan susut nilai akibat daripada hujan dan panas terhadap kenderaan-kenderaan itu,” katanya.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz EQE350+ AMG Line di M’sia — 669 km jarak, bateri 90.56 kWh; harga dari RM420k

    GALERI: Mercedes-Benz EQE350+ AMG Line di M’sia — 669 km jarak, bateri 90.56 kWh; harga dari RM420k

    Pertengahan Disember lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan model sedan elektrik EQE untuk pasaran Malaysia. Dengan hanya satu varian tunggal EQE 350+, ia menjadi barisan EV dari keluarga model EQ terkini yang tiba di sini, menyertai EQA, EQB, EQC dan EQS sebelum itu. Dalam galeri ini, kami bawakan lebih perincian untuk anda perhatikan dari dekat model sedan EV terbaru ini, di dalam tingkat kemasan AMG Line yang ditawarkan ketika ini.

    Menggunakan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang sama seperti EQS, model kereta elektrik ini memanfaatkan bateri lithium-ion 90.56 kWh yang membekalkan sekitar 215 kW (292 hp) dan 565 Nm tork. Bateri ini dapat memberikan jarak perjalanan sehingga 669 km dalam satu cas penuh, mengikut kitaran WLTP.

    GALERI: Mercedes-Benz EQE350+ AMG Line di M’sia — 669 km jarak, bateri 90.56 kWh; harga dari RM420k

    Dari segi prestasi, EQE mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat, dengan laju maksimum 210 km/j. Bagi aspek pengecasan bateri, EQE boleh memanfaatkan pengecas AC sehingga 22 kW, dan bateri dapat dicas penuh dalam masa 4.25 jam (8.25 jam apabila menggunakan pengecas 11 kW). Selain itu, ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC 170 kW, yang hanya mengambil masa sekitar 32 minit untuk pengecasan penuh dan memberikan jarak gerak sehingga 250 km setelah dicas selama 25 minit.

    Kecanggihan teknologinya juga terserlah di ruang dalam. Sistem multimedia MBUX dengan dua skrin iaitu panel instrumen dan skrin sentuh OLED yang lengkap dengan ciri pengimbas cap jari. Ia juga diberikan MBUX Navigation Premium serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini padanya juga membenarkan kawalan pendingin serta Artificial Intelligence (AI) yang boleh memaparkan cadangan pada masa-masa tertentu.

    Aspek keselamatannya juga maju. EQE 350+ datang lengkap dengan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Extended automatic Re-start in traffic jams, Evasive Manoeuvre Support, PRE-SAFE® Impulse Side, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Stereng Aktif, sistem pemantauan dalalan, kamera 360-darjah, Bantuan Parkir Aktif dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Untuk pasaran Malaysia, EQE 350+ ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM419,888 dengan 10% cukai SST, tidak termasuk insuran. Ia juga didatangkan dengan jaminan empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti 10-tahun atau 250,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

     
     
  • KTM 1290 Super Adventure R 2023 dapat kemaskini

    KTM 1290 Super Adventure R 2023 dapat kemaskini

    Sementara 1290 Super Adventure S diangkat sebagai model adventure paling canggih keluaran KTM sekarang, duduk di bawahnya pula adalah 1290 Super Adventure R, yang dihasilkan dengan kelebihan untuk berhadapan pelbagai jenis keadaan jalan termasuk offroad yang lebih hardcore.

    Untuk model tahun 2023, 1290 Super Adventure R diberikan beberapa pembaharuan, dengan yang paling utama adalah pada sistem navigasinya, yang boleh memaparkan panduan Turn-by-Turn+ lebih baik melalui skrin TFT tujuh inci sedia ada. Penunggang juga boleh menetapkan laluan dan lencongan melalui butang yang terdapat pada pemegang.

    Bahagian enjin masih lagi sama, iaitu menggunakan unit v-twin LC8 1,301 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 160 hp dan 138 Nm tork, tetapi sistem pengurusan habanya telah diperbaiki supaya udara panas dapat disalurkan jauh daripada penunggang. Melengkapkan pembaharuan model 2023 ini adalah grafik baru inspirasi daripada dunia lumba.

    Sebagai antara model paling tinggi keluaran KTM, 1290 Super Adventure R datang dengan pelbagai kelengkapan berteknologi seperti lampu LED, sistem sambungan kepada telefon, sistem kunci pintar, beberapa mod tunggangan, Cruise Control, Cornering ABS, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), Motorcycle Traction Control (MTC) serta mod khas Offroad untuk mod tunggangan, ABS serta kawalan cengkaman. Sistem bantuan ini juga boleh ditutup jika penunggang mahukan kawalan penuh.

    Motosikal ini datang dengan rim spoked aluminium tanpa tiub bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh suspensi WP XPlor boleh laras sepenuhnya yang terdiri daripada fork 48 mm di hadapan dan monoshock PDS di belakang. Turut diberikan secara standard adalah steering damper, juga daripada WP.

    Tangki bahan api 1290 Super Adventure R berkapasiti 23 liter, sementara brek pula menggunakan unit daripada Brembo yang terdiri daripada unit berkembar cakera 320 mm dan angkup empat piston di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera tunggal 267 mm bersama angkup dua piston.

     
     
  • Tiga lagi rakyat Malaysia dikesan guna ‘Lesen Terbang’ di Australia; ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah

    Tiga lagi rakyat Malaysia dikesan guna ‘Lesen Terbang’ di Australia; ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah

    April lalu seorang rakyat Malaysia telah ditahan oleh Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis New South Wales, Australia dan dikesan menggunakan lesen memandu palsu Malaysia. Nampaknya itu bukan satu-satunya kes rakyat Malaysia memandu menggunakan ‘Lesen Terbang’ di sana, kerana pada September lalu pihak berkuasa yang sama telah menahan tiga lagi rakyat Malaysia yang membuat kesalahan sama dalam masa 24 Jam!

    Menurut hantaran laman Facebook Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis NSW, kes pertama dikesan pada 17 September 2022 pukul 2.30 petang. Dalam kes ini seorang rakyat Malaysia berumur 42 tahun yang menetap di Mildura memandu Holden Cruze 2009 di tahan di Mid Western Highway berhampiran Rankins Springs.

    Ketika diminta untuk menunjukkan lesen memandu, lelaki berkenaan mengeluarkan kad yang nampak sama seperti lesen memandu Malaysia. Namun selepas diperiksa menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, lelaki tersebut sebenarnya hanya mempunyai lesen sebenar untuk menunggang motosikal dan ia telah tamat tempoh pada tahun 2005, tetapi pada lesen palsunya tertera kelas B dan D dan sah sehingga 2026.

    Pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa dia tidak pernah memegang sebarang lesen dalam mana-mana kelas dan di mana-mana negeri atau wilayah Australia. Jabatan Imigresen turut dihubungi dan mendedahkan beliau telah menetap di Australia dengan visa sementara sejak enam tahun lalu.

    Kes kedua pula dikesan pada pukul 12.03 petang 18 September 2022, melibatkan dua orang rakyat Malaysia yang masing-masing memandu Nissan X Trail 2003 berwarna biru dan Toyota Tarago (Estima di Malaysia) 2001 berwarna perak. Kedua-dua kenderaan itu dilihat dipandu rapat antara satu sama lain dan diarahkan untuk berhenti di tepi jalan oleh pegawai Peronda Lebuhraya Griffith di Burley Griffin Way, Ardlethan.

    Pemandu Nissan X-Trail merupakan lelaki rakyat Malaysia berumur 34 tahun, manakala seorang lagi juga merupakan lelaki rakyat Malaysia berumur 22-tahun dan kedua-duanya menetap di Junee. Kedua-dua mereka mengeluarkan lesen memandu Malaysia setelah diminta oleh pegawai yang bertugas, tetapi berjaya dibuktikan sebagai lesen palsu selepas diperiksa menerusi laman sesawang JPJ.

    Kedua-dua lelaki berkenaan bukan sahaja tiada rekod memegang mana-mana lesen dalam mana-mana kelas di Malaysia, malah di mana-mana negeri atau wilayah Australia. “Kawan saya buatkan ini untuk saya, untuk membolehkan saya memandu di Australia,” kata lelaki yang memandu Toyota Tarago tersebut dan dia turut menunjukkan pasport Malaysia miliknya.

    Jabatan Imigresen turut dihubungi dan mendedahkan kedua-duanya telah menetap di Australia dengan visa sementara selama beberapa tahun.

    Ketiga-tiga pemandu dari Malaysia berkenaan telah diberikan notis kehadiran mahkamah untuk menghadiri Mahkamah Tempatan Griffith pada 7 Disember 2022 untuk disabitkan dengan beberapa kesalahan termasuk memiliki dokumen palsu untuk mempengaruhi penjawat awam menjalankan tugas dan memandu tanpa lesen memandu – kesalahan kali pertama. Polis turut telah menyerahkan butiran kes ini kepada Jabatan Imigresen untuk semakan terhadap visa ketiga-tiga mereka.

     
     
  • Kerajaan Pahang bakal ambil tindakan 24 jam bagi aduan dan info berkaitan jalan rosak di negeri tersebut

    Kerajaan Pahang bakal ambil tindakan 24 jam bagi aduan dan info berkaitan jalan rosak di negeri tersebut

    Kerajaan Pahang berikrar untuk mengambil tindakan segera sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam bagi setiap aduan dan makluman daripada orang ramai berkaitan kerosakan jalan raya di negeri tersebut.

    Walau bagaimana pun, ia bergantung kepada tahap kerosakan jalan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff seperti yang dilaporan Harian Metro.

    Menurut Mohammad Fakhruddin, tindakan itu diambil susulan pelbagai aduan diterima berhubung permasalahan jalan rosak di seluruh negeri.

    “Kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam selaras dengan ketetapan piagam pelanggan JKR Malaysia. Arahan sudah dikeluarkan kepada pihak JKR supaya mengambil tindakan yang lebih proaktif dan segera terhadap segala aduan awam yang diterima,” katanya.

    Kerajaan Pahang bakal ambil tindakan 24 jam bagi aduan dan info berkaitan jalan rosak di negeri tersebut

    Tambah beliau, kerosakan jalan terutama keadaan jalan yang berlubang perlu dibaiki segera kerana mengundang bahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal sekiranya hujan lebat dan di waktu malam.

    “Di media-media sosial, rakyat terus mengadu dan mengeluh mengatakan mereka cedera terlanggar lubang akibat takungan air terutamanya penunggang motosikal. Jadi saya amat berharap pihak konsesi dapat mengambil tindakan segera terhadap isu keselamatan dan kerosakan jalan raya ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau pergerakan lori lebih had muatan yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan raya di negeri berkenaan.

    “Saya harap semua konsesi dapat beri kerjasama bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna di jalan raya demi memastikan kemalangan jalan raya akibat jalan yang rosak berkurangan,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Mirage akhirnya ‘mati’ di Jepun

    Mitsubishi Mirage akhirnya ‘mati’ di Jepun

    Hayat untuk hatchback kompak Mitsubishi iaitu Mirage akhirnya sudah tamat di Jepun. Mitsubishi tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini, namun bahagian Mirage pada laman web rasmi Mitsubishi Jepun telah pun memaparkan mesej “disebabkan produksi Mirage telah dihentikan, kami tidak dapat memberikan pilihan warna badan, opsyen dan lain-lain kepada pelanggan”.

    Tidak diketahui mengapa jualan Mirage dihentikan di Jepun. Namun sekiranya mengambil faktor logik, model berkenaan sudahpun terlalu tua di dalam pasaran selepas diperkenalkan pada 2011. Ia diberikan facelift pertama pada 2015, kemudian menerima wajah baharu untuk facelift kali kedua pada 2019.

    Malah jualan Mirage telah dihentikan di Australia pada September tahun lalu kerana rekaan lama struktur keselamatan pada badannya akan menghadapi kesukaran untuk memenuhi piawaian yang ditentukan oleh undang-undang keselamatan baharu di negara berkenaan berkuatkuasa 1 November 2021.

    Buat masa sekarang, Mirage masih dijual di beberapa pasaran global termasuk Amerika Syarikat dan Thailand. April lalu Mitsubishi telahpun menyiarkan teaser untuk Mirage generasi baharu di Eropah (dikenali sebagai Colt di sana), yang merupakan model rebadge dari Renault Clio.

    Mitsubishi Mirage akhirnya ‘mati’ di Jepun

    Walau bagaimanapun model berkenaan dihasilkan hanya untuk pasaran Eropah dan tidak akan di bawa ke pasaran lain, sama seperti Mitsubishi ASX generasi baharu yang didedahkan pada September lalu yang merupakan model rebadge dari Renault Captur. ASX generasi seterusnya untuk pasaran lain termasuk Asia Tenggara dijangka akan dihasilkan sendiri oleh Mitsubishi berdasarkan model XFC Concept yang didedahkan di Vietnam Oktober lalu.

    Nama Colt Mirage diperkenalkan buat pertama kali oleh Mitsubishi pada 1978, yang merupakan versi hatchback untuk kembar sedannya iaitu Lancer. Konsep kembar hatchback/coupe kepada Lancer terus dikekalkan sehingga model generasi kelima, dan ia pernah dijelmakan sebagai Proton pada model generasi keempat menerusi pengenalan Proton Satria dan Putra.

    Namun untuk model generasi ke-enam, Colt/Mirage telah dipisahkan dari Lancer kerana sedan berkenaan harus kekal sebagai model segmen-C yang besar, sementara hatchback kompak tersebut pula perlu memenuhi pasaran lebih kecil iaitu segmen-B dan segmen-A.

     
     
  • EPMB dapat hak eksklusif pasang & jual Lingbox mini-EV di Malaysia, Indonesia; harga bawah RM100k

    EPMB dapat hak eksklusif pasang & jual Lingbox mini-EV di Malaysia, Indonesia; harga bawah RM100k

    Pengeluar alat ganti automotif EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah memperoleh hak eksklusif untuk memasang dan mengedar kereta elektrik kompak (mini-EV) Lingbox dari China bagi pasaran Malaysia dan Indonesia. Hak tersebut diterima melalui perjanjian lima tahun yang turut membolehkan EPMB membuat pilihan menggunakan nama jenamanya sendiri untuk mini EV berkenaan.

    Anak syarikat milik penuh EPMB, EP 4Wheeler menandatangani perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology pada 27 Disember lalu untuk pemasangan dan penjualan Lingbox versi pemanduan sebelah kanan, dan EPMB telah diberikan hak untuk mengedarkan kenderaan ini di bawah jenama Lingbox atau Qingyan Hailong.

    Perjanjian itu berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan akan tamat pada 31 Disember 2027, dan ia akan diperbaharui secara automatik untuk lima tahun lagi, tertakluk kepada terma dan syarat. Usaha ini juga merupakan satu langkah ke arah matlamat EPMB untuk mengurangkan penghasilan karbon.

    EPMB dapat hak eksklusif pasang & jual Lingbox mini-EV di Malaysia, Indonesia; harga bawah RM100k

    Lingbox mini-EV ini dikenali sebagai Lingbao Box di pasaran China dan ia didakwa merupakan antara 10 mini-EV terlaris di sana. Menurut laporan CarNewsChina, hatchback kompak EV empat-pintu ini diperkenalkan buat pertama kali di China pada Disember 2020, dan menerima pelbagai versi dan tingkat taraf selepas itu.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 3,584 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,666 mm tinggi serta jarak roda 2,455 mm. Di China model ini ditawarkan dengan motor elekrik tunggal memacu roda hadapan sama ada berkuasa 41 hp atau 48 hp. Model dengan motor paling berkuasa membolehkan EV kecil ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa 7 saat, manakala kelajuan maksimanya dihadkan hanya pada 101 km/j.

    Ia menerima kuasa elektrik dari bateri LPF berkapasiti 19.2 kWj yang didakwa boleh dipandu sejauh 220 km dengan satu cas penuh. Sistem pengecas cepat membolehkan bateri tersebut dipenuhkan dari 20-80% dalam masa hanya 1.2 jam, namun dengan menggunakan pengecas wallbox rumah yang dibekalkan ia memerlukan masa selama 11-jam.

    EPMB dapat hak eksklusif pasang & jual Lingbox mini-EV di Malaysia, Indonesia; harga bawah RM100k

    Lingbox merupakan salah satu model daripada jenama Lingbao, yang dimiliki oleh Jiangsu Jemmell New Energy Vehicle Company. EPMB menyatakan bahawa apabila Lingbox dikomersialkan untuk pasaran Malaysia kelak, kereta yang dihasilkan daripada usaha sama ini dijangka akan dijual pada harga di bawah RM100,000, sekali gus menjadi antara EV mampu milik di Malaysia.

    “Perjanjian dengan Hubei Dongfeng dan Xiamen Tsingyan ini mengukuhkan lagi kehadiran EPMB dalam perniagaan EV, di samping perkongsian dengan Kumpulan Saean untuk mengeluarkan kereta segmen A secara besar-besaran dan perjanjian untuk mengeluarkan motosikal elektrik berjenama Blueshark untuk pasaran Asia Tenggara ,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB Lim Sim Yee.

    Sebelum ini, EPMB telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Saean Group yang berpangkalan di California untuk pembangunan dan pembuatan bersama kenderaan elektrik beroda empat dengan sasaran menghasilkan model segmen A lima pintu empat tempat duduk.

    EPMB dapat hak eksklusif pasang & jual Lingbox mini-EV di Malaysia, Indonesia; harga bawah RM100k

    Jun lalu, EPMB telah menandatangani perjanjian untuk penjualan dan pengedaran skuter elektrik Blueshark di Malaysia. Syarikat tersebut kemudiannya telah diberikan lesen pengilangan oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) untuk penjualan dan pengedaran skuter elektrik.

    Ini membolehkan EP Blueshark mengimport komponen skuter elektrik dalam keadaan pemasangan (SKD) dan/atau CKD untuk dipasang dan dikilangkan di Malaysia, serta diedarkan ke pasaran tempatan dan ASEAN.

    Sasaran pengeluaran awal untuk skuter elektrik Blueshark R1 ialah 50,000 unit setahun, dengan kemungkinan peningkatan kapasiti pengeluaran sekiranya ia mempunyai permintaan lebih tinggi pada masa hadapan.

     
     
  • myTukar CNY AutoFair 2023 di Puchong South, 6-8 Jan 2023 — ganjaran sehingga RM168,888 menanti anda!

    myTukar CNY AutoFair 2023 di Puchong South, 6-8 Jan 2023 — ganjaran sehingga RM168,888 menanti anda!

    Menjelang tahun baru, adakah anda juga sedang mencari kenderaan baru? Jika ingin membeli sebuah kereta sebagai menandakan ketibaan tahun baru 2023, ada banyak pilihan yang tersedia di acara myTukar CNY AutoFair 2023, yang bakal berlangsung di myTukar Puchong South Retail Experience Centre pada 6-8 Januari 2023.

    Seperti biasa, acara keempat — dan yang ketiga di Puchong South — ini menjanjikan pelbagai jenis kenderaan yang telah menerima kelulusan myTukar Certified Pre-Owned, bermula dari kereta keluaran jenama tempatan mahupun luar, melibatkan Proton, Perodua, Honda dan Toyota hinggalah kepada jenama premium seperti BMW dan Mercedes-Benz.

    Pelbagai manfaat lain juga menanti anda, dengan ganjaran bernilai sehingga RM168,888 boleh dinikmati di AutoFair berkenaan. Ini termasuklah diskaun sehingga RM16,000 untuk kenderaan dengan myTukar Certified serta kadar faedah serendah 3.00% setahun.

    Sebagai tambahan, bagi semua kenderaan yang ditempah ketika acara berkenaan, pembeli yang berpotensi berpeluang membawa pulang baucar bernilai sehingga RM500 daripada pelbagai jenama (DK Schweizer, V-Kool, Blueair, Recaro). Anda juga berpeluang untuk memenangi baucar dan rebat bernilai sehingga RM77,000 melalui promosi Spin & Win. Hadiah terdiri daripada Starbucks, kad TnG dan Petron, rebat tunai sehingga RM8,888 dan servis myTukar PERCUMA.

    myTukar CNY AutoFair 2023 di Puchong South, 6-8 Jan 2023 — ganjaran sehingga RM168,888 menanti anda!

    myTukar juga menawarkan servis mengecat kereta yang eksklusif hanya untuk pelanggan yang membeli kereta di AutoFair ini, dengan diskaun sehingga 40%+10% bagi semua model kenderaan. Harga bermula dari serendah RM1,620! Jangan lupa tentang promosi hebat ini sekiranya anda membeli kereta di AutoFair nanti.

    Trade-in kereta juga boleh dilakukan di acara berkenaan — perunding jualan myTukar akan menyediakan pemeriksaan terus dan menentukan nilai trade-in maksimum untuk kenderaan anda di acara itu nanti.

    Pembelian anda juga dijamin mudah dan tanpa masalah. Ini kerana, semua kenderaan myTukar Certified telah menjalani pemeriksaan 160-point melibatkan enjin, stereng, brek, suspensi, transmisi dan juga klac. Bahagian luaran dan dalaman juga diperiksa, dan ujian diagnostik turut dilakukan bagi memastikan tiada sebarang kerosakan lain. myTukar juga memberi jaminan yang semua kereta tersebut tidak pernah terlibat dalam kemalangan teruk, tidak menunjukkan tanda terkesan oleh banjir atau kebakaran, serta meter jarak perbatuannya juga tidak diubah.

    Jadi, jika anda sedang mencari kenderaan, kunjungilah myTukar CNY AutoFair 2023 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong South, yang bakal berlangsung dari 6-8 Januari 2023 dari 9 pagi hingga 8 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi acara. Anda juga boleh menghubungi:

    Tel : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Email: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor

     
     
  • Hyundai Stargazer dilihat berada di Malaysia – bakal dilancar, saingi Alza, Veloz, Xpander dan BR-V di sini?

    Hyundai Stargazer dilihat berada di Malaysia – bakal dilancar, saingi Alza, Veloz, Xpander dan BR-V di sini?

    MPV segmen-B tujuh tempat duduk dari Hyundai iaitu Stargazer telah dilihat berada di Malaysia baru-baru ini. Unit tanpa nombor pendaftaran berkenaan dilihat di bawa menggunakan trak pengangkut dan imejnya berjaya dirakam oleh pembaca paultan.org Faiz Fadil.

    Stargazer merupakan MPV dalam liga yang sama dengan Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga kembar Perodua Alza/Toyota Veloz. Kehadiran unit ini berkemungkinan petanda bahawa ia akan dilancarkan di sini tidak lama lagi, namun Stargazer tidak tersenarai dalam teaser model baharu 2023 yang dikeluarkan oleh Hyundai Malaysia tempoh hari, terdiri dari Santa Fe, Palisade dan Creta facelift serta sedan EV Ioniq 6.

    Stargazer diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global oleh PT Hyundai Motors Indonesia (HMID) Julai lalu. Di sana, ia ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas Active yang boleh dipilih dengan kotak gear manual pada harga 243.3 juta rupiah (RM72,203) atau automatik pada harga IDR255.9 juta (RM75,942).

    Hyundai Stargazer dilihat berada di Malaysia – bakal dilancar, saingi Alza, Veloz, Xpander dan BR-V di sini?

    Ini diikuti oleh varian Trend, yang turut ditawarkan dengan kedua-dua transmisi — MT pada harga IDR263.3 juta (RM78,076), automatik pada IDR275.9 juta (RM81,812).

    Manakala varian Style dan varian tertinggi Prime hanya datang dengan kotak gear automatik, dijual pada harga masing-masing IDR296.3 juta (RM87,870) dan 307.1 juta rupiah (RM91,073). Bagi varian Prime, ia turut boleh dipilih dengar tema dalaman dua-tona warna dengan kos tambahan IDR1.5 juta (RM445).

    Dari segi rekaan, Stargazer kelihatan seperti Staria tetapi dengan saiz lebih kecil terutamanya pada jalur lampu nyalaan siang LED yang merentangi sepenuhnya bahagian muka. Ia juga tampil dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.

    Hyundai Stargazer dilihat berada di Malaysia – bakal dilancar, saingi Alza, Veloz, Xpander dan BR-V di sini?

    Bukan semua Stargazer menerima konfigurasi tujuh-tempat duduk kerana ada juga pilihan untuk enam-tempat duduk yang lebih ‘mewah’ menampilkan kerusi kapten di barisan tengah.

    Untuk kelengkapan pula, Active datang standard dengan lampu utama reflektor halogen, kluster instrumen 3.5-inci LCD, skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen, empat pembesar suara, kerusi balutan fabrik, dua beg udara dan rim 15-inci. Trend pula menerima pertambahan telematik Bluelink, sensor parkir serta roda 16-inci.

    Style pula turut menerima kelengkapan seperti Trend, seperti lampu utama reflektor LED, kawalan melayar, kluster instrumen lebih besar, larasan stereng tilt dan teleskopik, dua lagi pembesar suara, ESC, bantuan mula mendaki, sistem peninjau tekanan tayar, kamera undur, sistem tanpa kunci dan beberapa lagi.

    Untuk Prime, ia menerima kelengkapan paling penuh, sesuai dengan harganya. Sebagai tambahan, ia menerima kerusi balutan kulit, lampu suasana, empat lagi beg udara, dan paling penting sistem keselamatan aktif. Ini termasuklah AEB, amaran perhatian pemandu, bantuan mengekalkan lorong, bantuan mengikuti lorong, bantuan titik buta dan bantuan penghindaran perlanggaran trafik di belakang.

    Kesemua varian Stargazer di Indonesia ini dipadankan dengan Smartstream G 1.5 liter NA empat-silinder yang sama dengan Creta, menghasilkan 115 PS dan tork maksima 144 Nm. Model dengan transmisi manual diberikan kotak gear enam-kelajuan, manakala versi automatik pula diberikan kotak gear IVT Hyundai.

    Sekiranya ia dilancarkan di sini, Stagazer sudah tentu tidak dapat menyaingi harga yang ditawarkan Perodua Alza. Namun ia mungkin akan dijual dengan harga yang kompetitif dengan pesaing-pesaing bukan nasional lain; buat masa sekarang Toyota Veloz dijual pada harga RM95,000 dan Mitsubishi Xpander dijual pada harga RM99,980.

    GALERI: Hyundai Stargazer pasaran Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025