Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

    Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

    Lesen memandu palsu atau lebih dikenali sebagai ‘lesen terbang’ tak dinafikan masih lagi wujud di Malaysia, dan masih lagi ada yang mendapatkan lesen tersebut kerana mahu jalan mudah untuk memiliki lesen tanpa sebarang kelas dan juga ujian. Impak terus daripada kegiatan haram ini sudah tentulah ia akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain kerana pemegang lesen tersebut sememangnya tidak pernah belajar berkenaan undang-undang jalan raya serta teknik-teknik memandu yang betul.

    Kes terbaharu yang sedang tular di media sosial berkenaan pemegang lesen terbang ini mungkin bukan sahaja akan membahayakan pengguna jalan raya, malah agak memalukan negara kita – seorang rakyat Malaysia di New South Wales, Australia telah ditahan oleh pihak berkuasa di sana kerana memandu melebihi had laju dan dikesan menggunakan lesen terbang!

    Perkara ini disebarkan menerusi hantaran yang dibuat oleh akaun Facebook Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis NSW. Menurut hantaran berkenaan, Peronda Lebuhraya Griffith telah pun menahan sebuah Honda Accord berwarna hitam yang sedang menghala ke arah utara melalui Murrumbidgee Avenue Griffith, pada pukul 2 petang, 22 Disember 2021 kerana dipandu dengan kelajuan 113 km/j di kawasan had laju 100 km/j.

    Setelah ditahan, peronda lebuhraya tersebut meminta pemandu Honda Accord berkenaan – seorang wanita warganegara Malaysia berumur 26 tahun – untuk menunjukkan lesen memandu, dan kemudian wanita yang dilihat memandu berseorangan itu menyerahkan lesen memandu Malaysia miliknya.

    Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

    Namun setelah polis berkenaan membuat pemeriksaan menerusi portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, disahkan bahawa wanita itu tidak memegang sebarang lesen memandu dalam mana-mana kelas di Malaysia. Menerusi pemeriksaan lanjut, peronda lebuhraya berkenaan juga mengesan nombor siri yang tidak konsisten pada lesen tersebut.

    Wanita berkenaan kemudiannya disahkan hanya memiliki lesen pelajar (lesen L) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa New South Wales. Polis juga telah mendapat pengesahan dari Interpol bahawa lesen memandu Malaysia yang digunakan oleh wanita tersebut adalah palsu. Menerusi soal siasat yang dibuat, wanita itu mengaku bahawa dia meminta seseorang untuk menghasil lesen palsu berkenaan.

    Polis telah memberikan tiga notis terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya kepada wanita terbabit iaitu tidak ditemani oleh pemandu berlesen/pegawai polis atau penguji kerana masih memegang lesen L, tidak mempamerkan plat L pada kereta, dan juga pemandu lesen L memandu melebihi 10 km/j berbanding had laju yang dibenarkan.

    Bagi kes lesen palsu pula, wanita berkenaan telah disabitkan di Mahkamah Tempatan Griffith pada 13 April 2022 atas kesalahan memiliki dokumen palsu untuk mempengaruhi amalan tanggungjawab awam.

     
     
  • BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

    BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

    Persaingan dalam segmen kenderaan mewah nampaknya semakin sengit apabila BMW melancarkan 7 Series G70 baru untuk bersemuka dengan antaranya Mercedes-Benz S-Class W223. Perkara yang menjadi bualan hangat adalah rekaan mukanya, tetapi sebenarnya ia juga melibatkan pelbagai lagi peningkatan lain.

    Gril besar itu mungkin sudah biasa kita lihat kerana sudah semakin banyak digunakan tetapi yang lebih pelik adalah lampu jenis terpisah itu. Unit yang lebih nipis di atas adalah DRL LED dan penunjuk arah (boleh dipilih dengan versi kristal Swarovski), sementara bahagian yang di bawah pula adalah lampu utama yang datang standard dalam unit LED adaptif bersama lampu tinggi matriks (tiada pilihan LaserLight).

    Garis bumbung dan badan G70 ini adalah berbeza berbanding model sebelumnya, sementara pembuka pintu pula menggunakan jenis yang rata dengan permukaan, seperti SUV elektrik iX. Bagi memberikan privasi kepada penumpang, cermin segi tiga di pintu belakang digelapkan sepenuhnya.

    Pergi ke belakang, 7 Series baru ini mendapat lampu LED dengan jalur krom di dalam manakala tempat nombor plet pula sudah diubah dari atas penutup but ke bampar di bawah. Muncung ekzos bagi kebanyakan model akan disembunyikan, dan hanya varian M760e sahaja yang akan mempunyai empat muncung ekzos di bahagian bawah bamparnya.

    Seperti biasa, pelanggan juga akan disediakan dengan pakej M Sport, yang memberikan kemasan hitam pada pelbagai bahagian termasuk bampar dan skirting, serta rim 20 inci. Pakej M Sport Pro pula ditambah dengan gril hitam, spoiler belakang hitam, rim 21 inci, brek M Sport warna hitam dan tali pinggang dengan jalur tiga warna M.

    Model ini hanya ditawarkan dalam versi jarak roda panjang, dan ukurannya adalah 5,391 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,544 mm tinggi. Ini bersamaan dengan 130 mm lebih panjang, 48 mm lebih lebar dan 51 mm lebih tinggi berbanding model G12. Jarak roda 3,215 mm pula menjadikannya lima milimeter lebih panjang.

    Selain bahagian luar, bahagian dalam juga berubah sepenuhnya, dengan terdapat panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh 14.9 inci untuk sistem infotainmen – diambil daripada iX bersama sistem BMW Operating System 8.

    Corong pendingin hawa kini disembunyikan, dan di tempat biasanya terdapat panel Interaction Bar yang bersambung sepanjang papan pemuka tersebut. Panel ini disepadukan dengan lampu suasana serta butang kawalan untuk pengudaraan, lampu serta pembukaan glovebox. Roda stereng menggunakan unit seperti 2 Series Active Tourer manakala konsol tengah dengan tombol iDrive lutsinar (unit kristal disediakan sebagai pilihan) dan butang pemilih gear adalah sama seperti iX.

    BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

    Binaan lebih istimewa dibuat di bahagian belakang, dengan pembeli boleh mendapatkan tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi mengurut dan berliang, serta pilihan Axecutive Lounge yang memberikan pelarasan sandar sehingga 42.5 darjah dan rekaan ottoman tanpa ruang. Turut diberikan adalah perehat tangan besar dengan pengecas Qi tanpa wayar.

    Pesta skrin di bahagian belakang bermula dengan skrin sesentuh 5.5 inci yang diletakkan di tepi setiap pintu, dan yang paling menyerlah adalah BMW Theatre Screen 8K 31.3 inci yang disepadukan dengan Amazon Fire TV dan membenarkan akses kepada pelbagai servis streaming. Kawalan pendingin hawa empat zon, bumbung panoramik serta sistem bunyi Bowers & Wilkins 655 watt dengan 18 pembesar suara diberikan standard.

    Pilihan tambahan yang disediakan pula adalah termasuk sistem B&W Diamond Surround Sound 1,965 watt dengan 36 pembesar suara serta exciter yang diletakkan pada penyandar tempat duduk belakang. Turut disediakan adalah bumbung panoramik Sky Lounge dengan jalur lampu yang diukir atas kaca serta pintu yang boleh dibuka secara automatik.

    Melalui model ini, BMW menunjukkan mereka serius dengan penggerak elektrik apabila memperkenalkan juga i7, iaitu versi elektrik penuh yang ditawarkan hanya dalam satu varian. Di Amerika Syarikat dan China, 7 Series akan diperkenalkan dalam varian 740i, yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo B58 berkuasa 380 PS/520 Nm, sementara pasaran lain juga akan ditambah dengan varian 735i yang ditala untuk menghasilkan 286 PS/435 Nm.

    Terdapat juga varian lebih berkuasa 760i xDrive yang menggunakan enjin V8 4.4 liter twin turbo N63 berkuasa 544 PS dan 750 Nm. Semua enjin ini dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan baru serta motor elektrik bersepadu, menjadikan ia sebagai hibrid ringkas.

    Pasaran Eropah cuma akan menerima i7 pada waktu awal ini, tetapi nanti ia akan ditambah dengan 740d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo B57 300 PS/650 Nm. Dua model plug-in hybrid akan diperkenalkan ke seluruh dunia tahun depan, iaitu 750e xDrive dan M760e xDrive. Kedua-duanya menggunakan enjin 740i, dipadankan bersama motor elektrik 145 kW (200 PS), menjadikan kuasa keseluruhannya masing-masing 490 PS/700 Nm dan 571 PS/800 Nm.

    Untuk aspek keselamatan, 7 Series baru ini datang standard dengan Autonomous Emergency Braking sementara apabila mengambil pakej Driving Assistant, ia ditambah dengan pemerhati titik buta dan amaran perlanggaran, AEB undur, amaran trafik dari belakang dengan brek automatik serta amaran buka pintu.

    Driving Assistant Plus pula memberikan Adaptive Cruise Control dengan bantuan kekal lorong dan stop-and-go yang boleh digunakan sehingga kelajuan 180 km/j, manakala varian Professional pula membenarkan ia digunakan pada kelajuan sehingga 250 km/j, boleh mengenal pasti lampu trafik, serta bantuan tukar lorong.



    GALERI: BMW 760i xDrive G70

    GALERI: BMW M760e xDrive G70

     
     
  • Hyundai Staria Lounge Camper – van perkhemahan besar dengan pilihan empat- atau 11-tempat duduk

    Hyundai Staria Lounge Camper – van perkhemahan besar dengan pilihan empat- atau 11-tempat duduk

    MPV bersaiz besar, Hyundai Staria telah diperkenalkan dalam pelbagai versi – ada versi biasa dengan 11-tempat duduk, versi Premium dengan kelengkapan mewah dan konfigurasi 7-tempat duduk seperti model pasaran Malaysia, varian Kinder yang dijadikan sebagai bas sekolah di Korea Selatan, serta Staria Load iaitu versi untuk kegunaan komersil.

    Terbaharu, Staria diperkenalkan dalam varian Lounge Camper, iaitu model yang dihasilkan sebagai camper van seperti Mercedes-Benz V-Class Marco Polo. Apa yang menarik, walaupun MPV besar diberikan pelabagai kelengkapan seperti dalam rumah, ia masih datang dengan konfigurasi 11-tempat duduk untuk model Camper 11 dan empat tempat duduk bagi model Camper 4.

    Tempat duduk untuk kedua-dua versi ini boleh dilipat rata bagi ditranformasikan menjadi katil yang muat untuk dua orang dewasa tidur. Malah, bahagian bumbung Staria Lounge Camper ini juga mempunyai satu lagi ruang tidur untuk dua orang dewasa dengan tilam iaitu pada bahagian bumbung. Selain itu, ia juga diberikan awning yang boleh dilipat dengan mudah, dipasang pada bahagian sisi bumbung, lengkap dengan lampu LED.

    Hyundai Staria Lounge Camper – van perkhemahan besar dengan pilihan empat- atau 11-tempat duduk

    Model ini diasaskan dari varian tertinggi premium, oleh itu ia masih menerima pelbagai teknologi dan perincian mewah. Bagi model Camper 4, lebih ruang yang ditinggalkan membolehkan Staria Lounge Camper ini diberikan modul dapur dan storan pada sebelah kiri.

    Ia terdiri dari peti sejuk 36 liter, sinki, tangki air 70 liter, tangki buangan 40 liter, semburan mandi, meja yang boleh dilipat dan ruang simpanan kutleri. Kesemua perincian berkenaan boleh dikawal menerusi skrin sesentuh bersaiz 12.1-inci yang juga boleh dilipat. Kesemua tingkap pada kabin Staria ini juga diberikan tirai bagi memastikan privasi ruang dalamannya.

    Selain dari awning, MPV ini juga datang dengan meja luar yang boleh ditarik keluar menerusi pintu tailgate belakang, disertakan dengan dua kerusi boleh lipat, jaring nyamuk untuk pintu belakang serta soket kuasa tambahan untuk menghidupkan perlatan elektrik lain.

    Hyundai Staria Lounge Camper ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu Creamy White dan juga Abyss Black Pearl. Manakala untuk bahagian dalaman, model 11-tempat duduk datang dengan upholsteri hitam, sementara varian empat tempat duduk turut boleh dipilih dengan upholsteri perang. Kedua-dua versi tersebut digandingkan dengan kemasan-kemasan kabin hitam dan putih serta diberikan lampu suasana LED.

    Model ini masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.2 liter empat silinder CRDi turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 430 Nm, digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik memacu roda hadapan. Ia turut ditawarkan dengan opsyen sistem pacuan semua roda, bagi memudahkan anda meneroka kawasan yang lebih terpencil.

    Di Korea Selatan, Hyundai Staria Lounge Camper ini dijual pada harga 49.47 juta won (RM172k) untuk model 11-tempat duduk, sehinga 68.58 juta won (RM238k) untuk model 4-tempat duduk yang lebih mewah. Selain dari Lounge Camper, Hyundai turut memperkenalkan Staria Lounge Limousine, iaitu model dengan pilihan tujuh- atau sembilan-tempat duduk yang menampilkan bumbung 205 mm lebih tinggi, memberikan ruang kepala yang lebih luas serta diberikan pemijak sisi boleh lipat automatik.

     
     
  • Yamaha XSR125 Legacy 2022 dilancarkan di Eropah

    Yamaha XSR125 Legacy 2022 dilancarkan di Eropah

    Yamaha memperkenalkan sebuah model baru dengan gaya ala scrambler di Eropah, dipanggil sebagai XSR125 Legacy. Cuma penampilannya sahaja yang diubah, sementara binaan serta kelengkapan asas pula adalah sama seperti XSR125 biasa. Di beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Thailand, XSR125 diperkenalkan dalam versi 155 cc, iaitu XSR155.

    Bagi XSR125 ini, ia hanya ditawarkan dalam warna hitam, dengan kemasan emas pada beberapa bahagian termasuk rim jenis spoked (dibalut tayar Metzeler Karoo), serta tulisan Yamaha dan jalur pada tangki bahan api. Pengaruh rekaan motosikal klasik tahun 70-an dan 80-an juga boleh dilihat pada model ini.

    Di Eropah, XSR125 dipacu oleh enjin satu silinder 124 cc dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 14.75 hp pada 10,000 rpm dan 11.5 Nm tork pada 8,000 rpm. Sebagai perbandingan, XSR155 pula mempunyai kuasa 19 hp dan 14.7 Nm.

    Dibina atas rangka Deltabox, XSR125 Legacy turut dipasang dengan fork USD 37 mm di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci yang dibalut tayar 110/70 dan 140/70, brek cakera dengan angkup satu piston di hadapan dan belakang (lengkap dengan ABS two-channel) serta tangki bahan api 11 liter.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 140 kg manakala tinggi tempat duduk pula adalah 815 mm. Kelengkapan lain yang terdapat pada XSR125 Legacy adalah seperti lampu utama LED berbentuk bulat dan meter jenis LCD lengkap dengan kedudukan gear serta tahap rpm.

     
     
  • Toyota GR Yaris dapat auto sport 8-kelajuan baharu

    Toyota GR Yaris dapat auto sport 8-kelajuan baharu

    Bagi anda yang mengidam untuk memiliki Toyota GR Yaris tetapi terpaksa menundakan hajat itu kerana hot hatch tersebut hanya didatangkan dengan transmisi manual, jangan risau lagi. Toyota sedang memacu pembangunan untuk menghasilkan transmisi automatik sport lapan-kelajuan baharu untuk hot hatch padu ini.

    Buat masa ini, ia telah pun dihasilkan dalam bentuk prototaip dan sedang diuji menerusi acara perlumbaan Toyota Gazoo Racing Rally Challenge. Malah individu di sebalik ratusan ujian yang sedang dilakukan ini ialah timbalan pengerusi Toyota sendiri iaitu Shigeru Hayakawa, yang bertanggungjawab sebagai pemandu ujian bagi pembangunan projek tersebut.

    Menurut penerbitan Jepun CarWatch, Hayakawa-san telah mengenalpasti beberapa isu mengenai prestasi kotak gear tersebut, yang kebanyakannya melibatkan kekurangan responsif apabila dipacu semula selepas menurunkan gear dari gear ketiga ke gear kedua. Walau pun ia telah diatasi dari aspek perisian, namun ujian selanjutnya masih perlu dilakukan sebelum ia diluluskan.

    Toyota GR Yaris dapat auto sport 8-kelajuan baharu

    Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai ‘rasa yang kurang padu’ bagi fungsi tiptronic. Setakat ini pasukan R&D lebih cenderung dengan kotak gear ala jujukan perlumbaan, bermakna anda perlu menarik tuil ke arah anda untuk anjakan gear dan tolak ke hadapan untuk menurunkan gear. Namun apa yang dilakukan untuk prototaip ini dalam langkah yang terbalik, di mana secara tradisinya telah diadaptasikan untuk kebanyakan kereta penumpang buatan jenama ini.

    Buat masa ini, GR Yaris hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang mampu menghasilkan kuasa 261 PS dan tork maksima 360 Nm, hasil padanan enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang.

    Untuk mengetahui adakah kotak gear auto sport ini dapat sama tahap kepaduannya dengan transmisi manual, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari Toyota sendiri.

     
     
  • Miros saran orang ramai rancang waktu perjalanan bagi elak kesesakan teruk menjelang Aidilfitri

    Miros saran orang ramai rancang waktu perjalanan bagi elak kesesakan teruk menjelang Aidilfitri

    Kurang dua minggu lagi umat Islam bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Bagi kita di Malaysia, pasti ramai yang tak sabar nak pulang ke kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah dijangka kebanyakan lebuhraya akan mengalami kesesakan luar biasa menjelang Aidilfitri ini.

    Oleh itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim menyarankan agar orang ramai merancang waktu perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat konsesi lebuhraya bagi mengelakkan kesesakan teruk.

    Di mana pihaknya menjangkakan orang ramai akan merentas negeri untuk pulang ke kampung dan keadaan itu dibimbangi memberi tekanan kepada segelintir pemandu yang berada dalam kesesakan lalu lintas.

    “Apa yang penting adalah melakukan persediaan kendiri iaitu merancang perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan. Kenderaan juga harus dipersiapkan dengan rapi termasuk memeriksa keadaan kenderaan, menyelenggara kenderaan dan periksa angin tayar sebelum memulakan perjalanan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Miros saran orang ramai rancang waktu perjalanan bagi elak kesesakan teruk menjelang Aidilfitri

    Dalam pada itu, Dr Khairil tidak menolak kemungkinan bilangan kemalangan jalan raya akan meningkat apabila orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung pada perayaan kali ini berbanding semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

    Beliau berkata, ini kerana bilangan kenderaan di atas jalan raya meningkat lebih tinggi memandangkan cuti perayaan yang panjang.

    “Sehubungan itu, Miros mencadangkan beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya antaranya pemandu perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh.

    “Di bulan Ramadan ini, ada kemungkinan besar pemandu akan mengalami gejala ‘microsleep’ walaupun pada waktu siang kerana berpuasa. Jadi elakkan berlaku gejala itu. Tambah lagi, orang yang tidak biasa memandu dalam jarak jauh jadi banyak benda tidak bersedia, perlulah buat persediaan paling rapi,” katanya.

    Miros saran orang ramai rancang waktu perjalanan bagi elak kesesakan teruk menjelang Aidilfitri

    Bagi mereka yang akan pulang ke kampung dengan menaiki motosikal, beliau menasihati penunggang supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

    Kata beliau, statistik menunjukkan kira-kira 70% kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal.

    Pada 15 April lalu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah trafik harian sebanyak 25% kepada dua juta kenderaan yang bakal menggunakan lebuhraya kendalianya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba ini.

    Jadi, jika mahu mengurangkan kebarangkalian anda bakal terperangkap dalam kesesakan mega sebegini, harap dapat mengikut saranan Miros ini agar merancang perjalanan sewajarnya. Dan jangan lupa periksa kondisi kenderaan anda serta terus mengamalkan pemanduan berhemah.

    Untuk mengingatkan anda semula, mulai 29 April hingga 8 Mei ini, terdapat lima kesalahan utama trafik yang tidak akan dikeluarkan kompaun sebaliknya kena diselesaikan di mahkamah. Lima kesalahan terbabit ialah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan. Maka, sila ikut pematuhan yang ditetapkan, jangan sampai kena pergi mahkamah pulak.

     
     
  • Pengedar BMW M’sia, Seong Hoe Premium Motors sediakan pengecas DC awam untuk EV di Melaka

    Bagi mereka yang tinggal di Melaka, atau berkunjung ke negeri berkenaan dengan menggunakan kereta elektrik penuh (EV), ini ada satu lagi pengecas yang boleh anda guna – pengedar BMW Malaysia, Seong Hoe Premium Motors telah pun memasang pengecas DC di premis mereka, dan ia boleh digunakan oleh orang awam.

    Bilik pameran ini terletak di Jalan Semabok, hanya kira-kira tiga kilometer dari salah satu kawasan tumpuan pelancongan di Melaka iaitu Jonker Street. Pengedar berkenaan tidak mendedahkan perincian berkenaan pengecas ini termasuk kadar kemampuan pengecasannya, namun kami difahamkan ia adalah pengecas jenis Star Charge Venus 30 – seperti namanya, ia adalah pengecas DC 30 kW.

    Pengedar BMW M’sia, Seong Hoe Premium Motors sediakan pengecas DC awam untuk EV di Melaka

    Oleh itu, ia tidak memberikan kadar cas yang benar-benar laju seperti pengecas DC lain, namun ia masih lebih laju berbanding pengecas AC 11 kW. Sebagai contoh, Hyundai menyatakan bahawa model Ioniq 5 dengan bateri 58 kWj dan pengecas 50 kW mampu untuk dicas dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 47 minit. Jadi sekiranya menggunakan pengecas 30 kW ini, ia semestinya lambat sedikit.

    Walau bagaimanapun, Melaka masih mempunyai pengecas DC yang terletak di lokasi lain, termasuk pengecas pantas DC 50 kW di stesen minyak Caltex R&R Ayer Keroh.

     
     
  • UMWT perkenal perlumbaan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup sebagai tambahan untuk Vios Challenge

    UMWT perkenal perlumbaan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup sebagai tambahan untuk Vios Challenge

    UMW Toyota Motors mengumumkan penganjuran dua lagi siri perlumbaan tahun ini iaitu Vios Sprint Cup dan juga Vios Enduro Cup. Penyertaan untuk kedua-dua perlumbaan ‘one make’ ini dibuka untuk kesemua pasukan yang memiliki kereta lumba Toyota Vios yang bertanding dalam perlumbaan Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia Vios Challenge sedia ada.

    Bagi Vios Sprint Cup, ia akan berlangsung sekali dengan dengan siri perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) bagi musim 2022. Jadi, Vios Sprint Cup ini akan menampilkan dua pusingan, dengan dua perlumbaan setiap pusingan, menjadikan empat perlumbaan secara keseluruhan.

    Pusingan pertama untuk perlumbaan ini akan berlangsung bermula 20 hingga 22 Mei di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), diikuti pusingan kedua pada bulan Julai, juga akan diadakan di SIC. Secara keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM60,000 akan menjadi rebutan sepanjang Vios Sprint Cup ini berlangsung.

    Menurut UMWT lagi, sejumlah 26 buah kereta akan bertanding dalam siri Vios Sprint Cup ini. Setiap jentera akan menampilkan dua pemandu, namun pasangan berkenaan perlulah dari terdiri dari pelumba dari perlumbaan Vios Challenge dengan kombinasi kategori berbeza -Super Sporting (profesional), Sporting (amatur), Promotional (selebriti) dan Rookies (pelumba muda dan baharu).

    UMWT perkenal perlumbaan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup sebagai tambahan untuk Vios Challenge

    Gandingan tersebut dibentuk bagi memberikan peluang yang sama untuk pasukan bagi memenangi perlumbaan ini. Kedua-dua pelumba berkenaan perlu memandu dalam sesi kelayakan secara berasingan – pelumba yang mencatatkan masa terpantas bagi setiap pasukan perlu memulakan perlumbaan sebagai pemandu pertama untuk Race 1 (dilangsungkan selama sejam), sebelum digantikan dengan pemandu kedua ketika melakukan pit stop mandatori.

    Manakala pelumba yang mencatatkan masa kurang pantas pada sesi kelayakan berkenaan perlu menjadi pelumba pertama yang bermula di grid ketika Race 2 (juga dilangsungkan selama sejam), sebelum digantikan dengan pasangannya ketika pit stop mandatori. Walau bagaimanapun, susunan di grid permulaan untuk Race 2 adalah ditentukan berdasarkan keputusan Race 1 yang diterbalikkan, sama seperti Vios Challenge.

    Untuk hadiah, juara keseluruhan untuk setiap pusingan Vios Sprint Cup ini akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000, diikuti RM8,000 untuk tempat kedua, RM6,000 untuk tempat ketiga, RM4,000 untuk tempat keempat dan RM2,000 untuk tempat kelima.

    UMWT perkenal perlumbaan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup sebagai tambahan untuk Vios Challenge

    Manakala untuk Vios Enduro Cup, ia akan berlangsung serentak dengan perlumbaan ketahanan terulung di Malaysia buat masa sekarang iaitu Sepang 1000KM Endurance Race (S1K) yang bakal diadakan pada bulan November nanti. Seperti musim-musim sebelumnya, jarak 1,000 km dalam perlumbaan S1K ini akan menyaksikan pelumba yang bertanding perlu bertahan selama sekitar 9 jam dengan untuk melengkapkan 181 pusingan lap.

    “Objektifnya adalah untuk mengembangkan lagi aktiviti perlumbaan sedia ada kami dalam Vios Challenge. Dengan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup, ini bermaksud akan ada lima perlumbaan lagi sebagai tambahan dari enam perlumbaan yang telah dirancang untuk Vios Challenge,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    “Ini akan memberikan lebih banyak perlumbaan dan hadiah untuk pelumba, pasukan dan pengedar yang mengambil bahagian dan dalam masa yang sama menunjukkan komitmen UMW Toyota Motor untuk menyumbang kepada ekosistem sukan permotoran yang lebih meriah di Malaysia,” tambahnya lagi.

    Bagi pelumba yang berminat untuk mendaftar atau untuk bertanya sebarang kemusykilan berkenaan Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup ini, anda boleh hubungi wakil pengurusan perlumbaan UMW Toyota iaitu Ms Janet dari Wing Hin Motorsports di talian 016-367 3300, atau lawati laman sesawang rasmi Toyota Malaysia pada PAUTAN INI untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Proton Saga MC2 dapat sistem tanpa kunci, balutan kulit, skrin sesentuh baru; ESC untuk 1.3L Standard

    Proton Saga MC2 dapat sistem tanpa kunci, balutan kulit, skrin sesentuh baru; ESC untuk 1.3L Standard

    Sebelum ini, apa yang kita tahu tentang Proton Saga facelift 2022 hanyalah melalui spyshot. Walaubagaimanapun, sekarang sudah tersebar pula dokumen yang menunjukkan penawaran varian serta beberapa spesifikasi penting untuk model yang dipanggil ramai sebagai MC2 ini.

    Pertama sekali, jumlah varian telah meningkat dari tiga menjadi empat, dengan yang baru adalah 1.3 Premium S AT, menyertai 1.3 Premium AT, 1.3 Standard AT dan 1.3 Standard MT. Berdasarkan nama varian ini, kami tidak menjangkakan perubahan bahagian mekanikal, yang bermakna, enjin empat silinder NA 1.3 liter sama, yang berkuasa 95 PS dan 120 Nm tork akan terus digunakan.

    Menggunakan pacuan dua roda hadapan, pelanggan diberikan pilihan transmisi sama ada manual lima kelajuan ataupun automatik empat kelajuan (sama seperti sebelum ini). Bagi transmisi automatik empat kelajuan itu, ia sebenarnya adalah satu perubahan yang diperkenalkan pada Saga MC1 tahun 2019 dahulu, bagi menggantikan kotak gear CVT.

    Daripada aspek rekaan, Saga akhirnya mendapat logo harimau terkini Proton yang mula diguna pakai pertama kali pada X70 versi CKD. Logo ini menggantikan logo lama pada gril hadapan serta penutup lubang tengah rim.

    Proton Saga MC2 dapat sistem tanpa kunci, balutan kulit, skrin sesentuh baru; ESC untuk 1.3L Standard

    Melihat satu persatu varian yang ada, 1.3 Standard MT akan terus menggunakan rim besi 14 inci (dengan penutup luar), lampu utama halogen, cermin sisi boleh dengan lampu penunjuk arah, pembuka but kawalan jauh, pemain audio biasa, dua pembesar suara, kawalan pendingin hawa manual dengan penapis N95, dua beg udara, ABS, EBD, BA, pengesan undur serta cagak Isofix.

    Antara yang baru bagi model 2022 adalah panel untuk sistem kawalan pendingin hawa, panel tengah pada pemain audio serta corong pendingin hawa pada bucu papan pemuka. Walaupun begitu, kami masih belum tahu bagaimana rupa sebenarnya.

    Varian 1.3 Standard AT juga menggunakan asas sama, tetapi dipertingkat dengan rim aloi 14 inci, lampu atas bumbung, tiga soket USB serta pemegang tangan di atas untuk penumpang hadapan dan belakang. Lebih penting lagi, ia juga datang dengan sistem keselamatan Electronic Stability Control (ESC), Traction Control dan Hill Hold Assist (sebelum ini hanya boleh didapati pada varian 1.3 Premium AT).

    Berkenaan varian 1.3 Premium AT itu, ia juga mendapat beberapa peningkatan, termasuk rekaan rim 15 inci baru serta skrin sesentuh tujuh inci yang dikemas kini (berkemungkinan menggunakan sistem ATLAS OS baru). Ini adalah sebagai tambahan kepada ciri lainnya seperti lampu DRL LED, butang kawalan media pada stereng, lampu dalam but, tambahan dua lagi pembesar suara, kamera undur dan pengesan jarak hadapan.

    Proton Saga MC2 dapat sistem tanpa kunci, balutan kulit, skrin sesentuh baru; ESC untuk 1.3L Standard

    Tarikan utama bagi Saga MC2 ini adalah varian baru 1.3 Premium S AT. Ia mendapat kit badan seperti yang dilihat dalam spyshot sebelum ini dan berdasarkan dokumen yang tersebar itu, varian paling tinggi ini juga bakal menjadi Saga pertama yang mendapat cermin sisi boleh lipat secara automatik serta suis khas untuk membuka pintu but.

    Satu lagi ciri yang pertama kali diberi pada Saga melalui varian baru ini adalah sistem tanpa kunci, yang juga datang dengan butang pemula enjin. Kelengkapan khas lain untuk varian ini adalah meter kombinasi paparan baru, roda stereng balutan kulit sintetik (bukan urethane), tempat duduk balutan separa kulit sintetik (bukan lagi fabrik), lampu dalam malap sendiri serta kemasan dalam bertemakan warna hitam.

    Perincian seperti tarikh pelancaran serta harga masih belum diketahui dan kita masih perlu menunggu apabila waktunya semakin hampir nanti. Bagi Saga MC1 yang berada di pasaran sekarang, ia dijual pada harga antara RM32,800 ke RM39,800, dan kita boleh menjangkakan varian baru Saga MC2 nanti boleh mencecah sehingga RM40,000. Pendapat anda macam mana?

     
     
  • Harga minyak 21-27 April – semua dikekalkan

    Harga minyak 21-27 April – semua dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 April 2022, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi semua bahan api utama di negara ini dikekalkan seperti minggu sebelumnya. Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 kekal pada paras RM3.81 seliter.

    Begitu juga dengan harga bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan ia telah pun mencapai harga siling serta tidak berubah sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

    Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

    Mazda MX-5 RF bagi model tahun 2022 telah pun berada di pasaran Malaysia, dengan Bermaz Motor terus menawarkan versi Retractable Fastback sama ada pilihan transmisi automatik atau manual enam-kelajuan.

    Barisan MX-5 turut menerima Kinematic Posture Control (KPC) pada Disember tahun lalu dan kini juga diberikan untuk model spesifikasi tempatan. KPC ialah satu teknologi seperti G-Vectoring syarikat itu, tetapi telah diubah suai dan berfungsi sedikit berbeza. Ia boleh membrek sedikit roda bahagian dalam (roda sebelah kiri apabila membelok ke kiri dan roda kanan apabila membelok ke kanan) apabila membelok, dan bukannya roda bahagian luar seperti G-Vectoring.

    Apabila ini dilakukan, suspensi pada roda bahagian dalam itu juga akan tertekan lebih ke dalam, sekaligus mengurangkan olengan badan dan meningkatkan stabiliti di selekoh – pemilik tidak perlu memasang spring atau penyerap lebih keras yang boleh menjadikan kereta kurang selesa.

    Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

    Selain KPC, ciri lain ada pada MX-5 RF masih dikekalkan seperti sebelumnya. Di bawah bonetnya, ia masih menggunakan enjin SkyActiv-G 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm pada 4,000 rpm yang disalurkan ke roda belakang. Enjin ini turut menampilkan teknologi idling stop dan sistem i-ELOOP brake-energy regeneration.

    Kelengkapan standard untuk kedua-dua varian manual dan automatik termasuklah roda aloi 17-inci, lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, paparan pelbagai-info TFT LCD 4.6-inci, pendingin hawa automatik zon-tunggal dan upholstery kulit. Untuk infotaimen, ia turut diberikan dengan sistem Mazda Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta sistem bunyi Bose dengan sembilan pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, ia masih diberikan enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, Dynamic Stability Control, traction control, Hill Launch Assist, Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan, Adaptive LED Headlights, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning System, Driver Attention Alert dan Smart City Brake Support (hadpaan dan belakang). Pilihan warna yang diberikan termasuklah Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Polymetal Grey, Snowflake White Pearl dan Soul Red Crystal, sama seperti dahulu.

    Harga bagi MX-5 RF untuk 2022 juga mengalami kenaikan daripada model yang dipertingkatkan pada tahun lalu. Dengan varian manual, kini ia berharga RM264,029, sementara automatik pula dengan harga RM265,964. Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk dengan 50% pengecualian cukai jualan untuk kenderaan import sepenuhnya (CBU). Ia juga diberikan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelengaran percuma untuk setiap pembelian MX-5 RF di sini.

     
     
  • GALERI: Yamaha 135LC Fi V8 2022 – dari RM7,798

    GALERI: Yamaha 135LC Fi V8 2022 – dari RM7,798

    Selepas hampir dua bulan ia dilancarkan, kini kami akhirnya dapat membawa keluar Yamaha 135LC Fi untuk sesi tunggang uji sendiri. Sebelum kami keluarkan laporan pendapat kami tentang tunggangan kapcai panas ini, apa kata anda cuci mata terlebih dahulu dengan galeri gambarnya.

    Unit yang kami pinjam dari Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) ini adalah berwarna Crystal Cyan, iaitu satu daripada tiga warna bagi versi standard. Dua lagi adalah Midnight Star dan Ruby Red. Harga yang dikeluarkan untuk model standard ini adalah RM7,798 tidak termasuk insurans, sementara satu lagi versi, iaitu SE yang menggunakan warna matte Desert Storm pula dijual pada harga RM8,198.

    Selain warna panel badan, 135LC Fi SE juga diberikan dengan bakul yang dibangunkan khas untuk model ini, dan di dalamnya tersedia terus soket pengecas USB. Rim pula menggunakan warna emas.

    Bagi 135LC terbaru yang dipanggil ramai sebagai V8 ini, peningkatan utamanya adalah pada sistem bahan api enjin, di mana ia sekarang menggunakan suntikan elektronik (EFI), tetapi asas enjin itu sendiri masih sama iaitu unit satu silinder 135 cc dengan sistem penyejukan cecair dan mampu menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm dan 12.2 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Panel badan 135LC Fi ini juga adalah serba baru, dan ia digabungkan dengan beberapa bahagian yang diambil daripada model sedia ada Yamaha seperti lampu LED hadapan daripada Y15ZR, lampu belakang daripada Y16ZR, rim rekaan sama seperti Y125ZR dan meter digital daripada Y16ZR (tanpa penunjuk VVA).

    Menambahkan lagi prestasinya, 135LC Fi turut didatangkan dengan brek cakera di belakang, sementara brek hadapan masih lagi menggunakan angkup satu piston. Tangki bahan api turut dipertingkat menjadi 4.6 liter sementara bahagian lain kebanyakannya masih lagi sama seperti 135LC sebelum ini.

     
     
  • GALERI: Perodua Myvi facelift 2022 dengan kit badan Ace, serta aksesori lengkap dari katalog GearUp

    GALERI: Perodua Myvi <em>facelift</em> 2022 dengan kit badan Ace, serta aksesori lengkap dari katalog GearUp

    Minggu lalu Perodua akhirnya telahpun melengkapkan katalog aksesori GearUp untuk Myvi facelift 2022, dengan pengenalan kit badan Ace untuk hatchback versi kemaskini berkenaan yang dilancarkan pada November 2021. Kit badan ini akan menyertai pelbagai lagi aksesori GearUp yang telah diperkenalkan sekali ketika pelancaran model berkenaan pada akhir tahun lalu.

    Sebelum ini kami telah pun menyiarkan katalog barisan aksesori tersebut, bersama gambar-gambar rasmi dari Perodua sendiri. Kalau anda tak puas dengan gambar-gambar studio berkenaan, nah kami sediakan galeri penuh untuk sebuah Perodua Myvi 2022 yang diberikan aksesori lengkap Ace dari GearUp.

    Seperti yang telah diketahui, kit badan Ace tersebut terdiri dari kemasan tambahan untuk apron bampar hadapan bersama spoiler pada bahagian bawah, skirt sisi, kemasan tambahan bawah bampar belakang dengan diffuser dan juga spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate belakang.

    GALERI: Perodua Myvi <em>facelift</em> 2022 dengan kit badan Ace, serta aksesori lengkap dari katalog GearUp

    Kit badan lengkap ini dijual pada harga RM2,500, termasuk kos buruh dan SST, dan telah pun diwarnakan mengikut enam warna badan Myvi iaitu Cranberry Red, Electric Blue, Lava Red, Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White. Jika anda pilih kit badan ini menerusi pembelian kereta baharu, ia turut boleh disekalikan dengan pembiayaan kereta berkenaan.

    Perodua turut menawarkan spoiler belakang sahaja pada harga RM550 sekiranya anda tidak berminat dengan komponen lain pada kit badan ini. Kit badan Ace ini memberikan rupa yang jauh lebih agresif berbanding versi standard, tetapi mungkin untuk sesetengah orang ia menampilkan rekaan yang ‘terlalu sibuk’.

    Untuk kemasan apron bampar hadapan, ia diberikan perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara. Perlu diingat, kit ini tidak datang sekali dengan lampu nyalaan siang tersebut di mana ia adalah perincian yang diberikan standard sekiranya anda membeli Myvi dalam varian H dan AV.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang diberikan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler bumbung untuk kit Ace ini juga bersaiz jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Selain dari kit badan, barisan aksesori Ace juga menampilkan balutan tempat duduk dengan material PVC dalam warna hitam, dengan kemasan merah dan panel gaya-gentian karbon, bersama logo Myvi pada perehat badan. Menurut Perodua, balutan tempat duduk ini dihasilkan dari material lembut dan ia mudah untuk dibersihkan.

    Anda juga tidak perlu risau sama ada balutan berkenaan akan menjejaskan fungsi lain kerana Perodua mengesahkan bahawa ia telah diuji untuk beg udara sisi dan tidak menjejaskan fungsi Isofix. Jika anda berminat dengan set balutan ini, ia boleh dibeli pada harga RM745. Namun ia hanya untuk varian G, X dan H, manakala varian AV sudah pun diberikan tempat duduk balutan kulit sebagai ciri standard.

    Ciri lain yang ada dalam katalog ini termasuk plat bernyala LED (set lengkap untuk kesemua empat pintu dalam satu set berharga RM260), pencahayaan lantai merah (depan dan belakang, RM240) dan dashcam dengan resolusi HD 1080p pada 2.0MP yang dilengkapi dengan keupayaan WiFi untuk melihat paparan video menerusi telefon pintar (RM500). Menurut Perodua, dashcam ini juga mempunyai “rakaman waktu malam yang berkualiti tinggi dengan Night Vision.”

    Perlu diingatkan, ketiga-tiga ciri kelengkapan tersebut memerlukan wayar tambahan, dan ia dijual secara berasingan pada harga RM60. Penggunaan wayar tambahan ini membolehkan perincian-perincian tersebut dipadankan secara plug & play tanpa sebarang pemotongan wayar. Oleh itu,ia tidak akan menjejaskan waranti kereta anda, kata Perodua.

    Lain-lain pilihan aksesori tanpa sebarang sistem elektrikal yang ditawarkan termasuk pelindung pintu, kemasan cermin sisi krom, kemasan cermin krom, perapi pintu sisi dengan garisan krom, pelindung suria magnetik, scuff plate krom (tanpa pencahayaan LED), tray barang untuk but belakang, set karpet kaki jenis gegelung yang boleh ditambah dengan alas jenis mesh di atasnya.

    Anda juga boleh memadankan penebat bunyi tambahan GearUp untuk Myvi 2022 ini yang sedia dipadankan pada pintu serta penutup bonet hadapan. Antara aksesori lain untuk melengkapkan katalog GearUp ini termasuklah tempat duduk keselamatan kanak-kanak, skru pengunci tayar, dan sistem pemantauan tekanan tayar Bluetooth.

    Perodua juga menawarkan dua pakej untuk anda membeli barisan aksesori yang ditawarkan ini. Yang pertama adalah Utility Package yang berharga RM360, merangkumi visor pintu, karpet gegelung, tray barang. Manakala yang kedua adalah Illumination Package yang berharga RM450, terdiri dari set pencahayaan lantai dan scuff plate LED.

    GALERI: Brosur Perodua Myvi GearUp 2022

     
     
  • Honda Hawk 11 mula dijual di Jepun pada harga bermula RM46k – 1,082 cc, 102 PS, enam kelajuan

    Honda Hawk 11 mula dijual di Jepun pada harga bermula RM46k – 1,082 cc, 102 PS, enam kelajuan

    Bulan lepas, Honda telah memperkenalkan sebuah motosikal baru yang menggunakan bentuk ala cafe racer, dipanggil sebagai Hawk 11. Semasa itu, cuma informasi ringkas sahaja yang disiarkan, dan kini ia telah pun mula dijual di Jepun, dengan harga bermula 1.397 juta yen (RM46k).

    Melihat kepada harga itu, mungkin ada peminat di negara kita yang sudah mula teruja. Sebelum anda memasang harapan tinggi, biar kami nyatakan bahawa setakat ini Honda memberitahu Hawk 11 ini cuma hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja. Kemudiannya, jika melihat model lain dengan harga yang hampir sama, iaitu CB1100RS, di sana ia dijual pada harga 1.4 juta yen (RM46,400) sementara apabila tiba di Malaysia ia menjadi RM75,999.

    Honda Hawk 11 digerakkan oleh enjin dua silinder selari 1,082 cc bersama padanan transmisi manual enam kelajuan, mampu menghasilkan 102 PS pada 7,500 rpm dan 104 Nm tork pada 6,250 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai.

    Melalui sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini dapat disediakan dengan empat mod tunggangan, yang menetapkan tahap penyampaian kuasa, engine braking dan Honda Selectable Torque Control (HSTC). Di bahagian kokpit, terdapat meter digital LCD yang serba lengkap.

    Kelengkapan lain Hawk 11 adalah ringkas sahaja, dan bukannya seperti motosikal prestasi, seperti suspensi tanpa pelarasan (fork teleskopik dan monoshock di belakang, brek cakera berkembar di hadapan dan tunggal di belakang, rim 17 inci, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 820 mm dan berat keseluruhan 214 kg.

     
     
  • Volvo labur dalam syarikat Israel, StoreDot – hasilkan bateri EV cas 5 minit untuk jarak gerak sejauh 160 km

    Volvo labur dalam syarikat Israel, StoreDot – hasilkan bateri EV cas 5 minit untuk jarak gerak sejauh 160 km

    Volvo Cars telah membuat pelaburan dalam syarikat StoreDot, iaitu syarikat dari Israel yang menghasilkan ‘teknologi bateri cas sangat cepat’ untuk kenderaan elektrik (EV). Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan yang dibuat menerusi Volvo Cars Tech Fund tersebut tidak didedahkan.

    StoreDot menyatakan bahawa mereka kini sedang membangunkan teknologi perintis yang bakal menghasilkan bateri ‘XFC’ yang boleh dicas dengan sangat cepat. Berapa cepat? Menurut syarikat tersebut, bateri ini mampu dicas bagi memberikan jarak gerak sejauh 160 km dalam masa hanya lima minit.

    Bateri XFC ini menggunakan teknologi bahan anod dominan silikon dan juga perisian-perisian bersepadu. Sel bateri tersebut menampilkan struktur perlindungan keselamatan pelbagai lapisan, dan ia beroperasi dengan material nano inspirasi-bio yang dipatenkan, direka untuk tahan lama serta hampir sifar karbon.

    Dalam pelan rancangan StoreDot, bateri 300 Wh/kg berasaskan silikon tersebut akan siap pada 2024, manakala versi 450 Wh/kg dalam bentuk solid, disasarkan untuk mendapatkan jarak 160 km dalam masa hanya tiga minit akan diperkenalkan pada 2028.

    Volvo labur dalam syarikat Israel, StoreDot – hasilkan bateri EV cas 5 minit untuk jarak gerak sejauh 160 km

    Menurut Volvo, pelaburan yang dibuat ini memberikan peluang untuk mereka bagi bekerjasama rapat dengan StoreDot untuk teknologi bateri baharu yang mengujakan itu, kerana jenama premium dari Sweden tersebut bakal menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

    Langkah ini juga selari dengan cita-cita Volvo bagi menghasilkan EV dengan jarak gerak lebih jauh, cas lebih pantas dan kos lebih rendah. Dengan kerjasama bersama Volvo ini, StoreDot mensasarkan untuk memasarkan teknologi tersebut dalam masa lebih cepat serta produksi besar-besaran bateri berkenaan boleh bermula pada 2024.

    Volvo menyatakan bahawa dengan menjadi jenama automotif premium pertama bekerjasama dengan StoreDot menerusi pelaburan ini, ia telah menjamin akses untuk sebarang hasil teknologi dari kerjasama berkenaan. Dalam laman sesawang rasmi StoreDot, Volvo telahpun disenaraikan sebagai “rakan kerjasama strategik dan pelabur” bersama jenama lain termasuk Mercedes-Benz, VinFast, BP, Ola dan TDK.

    Volvo labur dalam syarikat Israel, StoreDot – hasilkan bateri EV cas 5 minit untuk jarak gerak sejauh 160 km

    “Kami mensasarkan untuk menjadi pengubah terpantas dalam industri kami dan Tech Fund memainkan peranan yang penting dalam mewujudjan kerjasama dengan peneraju teknologi masa hadapan. Pelaburan kami dalam StoreDot sempurna untuk disesuaikan dengan corak pemikiran tersebut serta komitmen mereka terhadap elektrifikasi dan mobiliti bebas-karbon yang sama dengan kami. Kami teruja untuk menjayakan kerjasama ini bagi kedua-dua pihak dan berusaha kearah memperkenalkan teknologi inovatif ini ke pasaran,” kata ketua Volvo Cars Tech Fund, Alexander Petrofski.

    Kolobrasi antara Volvo dan StoreDot akan berjalan bersama kerjasama teknologi bateri yang telahpun diwujudkan oleh Volvo bersama pembuat bateri Sweden, Northvolt, tahun lalu. Kerjasama berkenaan akan memfokuskan terhadap pembangunan dan pembuatan sel bateri, terutamanya yang dibangunkan khas untuk model-model elektrik penuh generasi seterusnya bagi Volvo dan Polestar.

    Sebagai sebahagian kerjasama dengan pelaburan bernilai sekitar 30 billion SEK (RM13.4 billion) tersebut, Volvo dan Northvolt mewujudkan pusat R&D bersama dan juga kilang penghasilan bateri di kawasan Gothenburg, Sweden.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025