Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2022 di M’sia — 220 PS/350 Nm, 6-DCT, Harman Kardon, dari RM213k

    GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2022 di M’sia — 220 PS/350 Nm, 6-DCT, Harman Kardon, dari RM213k

    Volkswagen Passat R-Line kini telah menerima kemaskini bagi model tahun 2022 dan ini kami bawakan galeri varian paling lengkap berkenaan yang diposisikan di atas penawaran varian Elegance. Di pasang di sini, Passat R-Line ini dijual pada harga RM212,939 (atas jalan tidak termasuk insurans, termasuk pengecualian SST). Ini melibatkan RM8,506 lebih mahal berbanding harganya ketika dilancarkan pada Oktober 2020.

    Antara peningkatan yang diterima dalam kemaskini ialah enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrolnya kini menjana 220 PS (217 hp) dari 4,500-6,200 rpm dan 350 Nm tork dari 1,500-4,400 rpm. Ini berbeza dengan janaan 190 PS dan 320 Nm yang dikongsi oleh R-Line dan Elegance sebelum ini.

    Selain enjin yang lebih berkuasa, R-Line juga menerima kotak gear DSG enam-kelajuan klac basah berbanding unit tujuh-kelajuan. Tetapan ini sama dengan yang pernah diberikan untuk Passat Highline pra-facelift. Penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC) dan differential-lock elektronik XDS masih lagi dikekalkan sebagai standard.

    GALERI: Volkswagen Passat R-Line 2022 di M’sia — 220 PS/350 Nm, 6-DCT, Harman Kardon, dari RM213k

    Perubahan luaran pula sangat minimal, melibatkan penggunaan rekaan logo baru Volkwagen, menjadikan Passat model kedua menggunakannya selepas Arteon. Pilihan warna juga dikurangkan daripada enam kepada lima sahaja, dengan penawaran semula Deep Black dan Oryx White, sementara warna metalik terdiri daripada Aquamarine Blue, Manganese Grey dan Scale Silver baru (menggantikan Reflex Silver). Tamarind Brown pula telah digugurkan.

    Di dalam, R-Line juga menerima panel kawalan Arteon R-Line (dengan maklum balas haptik) bagi sistem pendingin Climatronic tiga-zon, sementara tetapan lapan pembesar suara telah dinaik taraf kepada sistem Harman Kardon. Ini terdiri daripada 12-pembesar suara, aplifikasi 700 watt dan empat mod bunyi — Pure, Chill Out, Live dan Energy.

    Kelengkapan lain kekal sama, dengan pakej penggayaan R-Line, rim Verona 19-inci, lampu utama dan lampu belakang LED dengan lampu isyarat sequential, stereng rata di bawah, pedal aluminium dan balutan kulit Nappa bercorak gentian karbon.

    Ini turut termasuk paparan instrumen digital 11.7-inci, sistem tunjuk arah Discover Pro dengan skrin sentuh 9.2-inci dan Apple CarPlay tanpa wayar (Android Auto dengan wayar), sistem tanpa kunci, kawalan melayar, kamera undur, kerusi depan larasan 14-hala dengan memori untuk kerusi pemandu dan fungsi urutan.

    Aspek keselamatan pula tidak berubah, di datangkan standard dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan, peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, sistem tinjauan tekanan tayar dan Isofix di kerusi belakang. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan, pakej servis percuma selama tiga-tahun dan bantuan tepi jalan percuma selama lima-tahun, sama seperti sebelum ini.

     
     
  • Subaru STI E-RA guna motor elektrik daripada Yamaha – kuasa sehingga 1,088 PS, pacuan empat roda

    Subaru STI E-RA guna motor elektrik daripada Yamaha – kuasa sehingga 1,088 PS, pacuan empat roda

    Semasa acara Tokyo Auto Salon 2022 yang masih lagi berlangsung sekarang, Subaru telah menunjukkan beberapa buah model konsep, dan yang diletakkan sebagai tarikan utama adalah STI E-RA Concept. Ini adalah satu platform yang akan mereka gunakan bersama STI untuk pembangunan kereta lumba elektrik.

    Ciri teknikal yang didedahkan untuk kereta konsep elektrik ini tidak begitu terperinci tetapi Subaru ada menyatakan, motor elektrik yang mereka gunakan adalah daripada Yamaha Motor Co Ltd. Ia terdiri daripada empat motor elektrik, dengan satu bagi setiap roda, menghasilkan sistem pacuan empat roda.

    Jika menurut Yamaha, motor elektrik yang mereka bekalkan ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 2,000 PS tetapi Subaru telah memilih tetapan yang menghasilkan keseluruhannya 800 kW ataupun 1,088 PS. Motor elektrik yang mempunyai inverter bersepadu serta gear khas untuk kereta EV hyper ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 60 kWh.

    Subaru STI E-RA guna motor elektrik daripada Yamaha – kuasa sehingga 1,088 PS, pacuan empat roda

    Untuk memastikan kereta ini dapat mencengkam jalan dengan baik dan memberikan kepuasan pemanduan, ia dipasang dengan torque vectoring control yang dapat menyampaikan tork kepada roda berbeza mengikut input yang didapati daripada kelajuan kereta, kelajuan roda, sudut stereng, g-force, kadar olengan, tekanan brek serta beban pada roda.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Yamaha, motor elektrik ini dikatakan menggunakan segala kemahiran dan pengetahuan yang mereka ada berkenaan kejuruteraan enjin, dan hasil daripada teknologi mesin dan casting mereka sendiri, ia dapat mengeluarkan kuasa yang tinggi meskipun saiznya adalah kompak.

    GALERI: Subaru STI E-RA Concept

     
     
  • BMW iX3 M Sport 2022 di Malaysia – dari RM307,160

    BMW iX3 M Sport 2022 di Malaysia – dari RM307,160

    Tahun ini adalah tahun yang baik bagi sesiapa yang ingin membeli kenderaan elektrik (EV) kerana kerajaan telah memutuskan pengecualian cukai dan duti eksais bagi kenderaan jenis itu, menyaksikan harganya kini semakin rendah. BMW telah mengumumkan perubahan harga yang dibuat untuk EV mereka, dan ini termasuk BMW iX3 M Sport, yang ditawarkan di Malaysia dalam dua varian iaitu Inspiring dan Impressive, pada harga masing-masing RM307,160 dan RM325,160.

    Jika dibandingkan dengan harga waktu ia dilancarkan pada Oktober tahun lepas, iX3 Inspiring mencatat penurunan sebanyak RM10,200 manakala iX3 Impressive turun RM11,200. Sekiranya anda mengambil pakej jaminan dan servis tambahan lima tahun pula, harganya akan menjadi RM322,800 untuk iX3 Inspiring dan RM340,800 untuk iX3 Impressive.

    Jika mahu menambah Power Package yang memberikan BMW i Wallbox 22 kW serta BMW i Standard Charging Cable (tidak termasuk kos pemasangan), harga SUV elektrik ini akan menjadi RM327,800 untuk iX3 Inspiring dan RM345,800 untuk iX3 Impressive. Jaminan bateri selama lapan tahun diberikan secara standard.

    Secara mekanikalnya, kedua-dua varian adalah sama sahaja, iaitu dikuasakan oleh motor elektrik berkemampuan 210 kW (286 PS) dan 400 Nm tork, yang terletak di belakang. Dengannya, SUV ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai laju maksimum 180 km/j.

    Ia juga dipasang dengan bateri lithium ion 73.8 kWh, yang dapat memberikan jarak gerak antara 453 hingga 461 km sekali cas. Pengecasan pula boleh dilakukan dalam masa sekitar tujuh jam setengah menggunakan kuasa AC maksimum 11 kW sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC sehingga 150 kW pula, bateri boleh mencecah tahap 80% penuh dalam masa hanya 32 minit.

    Model iX3 yang tiba di Malaysia adalah versi facelift, sekaligus ia terus mendapat lampu hadapan yang lebih nipis serta penampilan lebih segar. Pakej M Sport diberikan standard, menjadikan ia lebih sporty dengan bukaan udara heksagon yang besar di tengah, bukaan udara tepi berbentuk L, kemasan keliling roda sama warna dengan badan serta diffuser yang besar.

    Perubahan model facelift ini adalah lebih jelas di dalam, dengan papan pemuka baru yang meminjam banyak elemen daripada 3 Series G20 termasuk penukar gear. Skrin di tengah adalah lebih besar, iaitu 12.3 inci untuk kedua-dua varian dan BMW Live Cockpit Professional, yang memberikan panel instrumen digital 12.3 inci.

    BMW iX3 M Sport 2022 di Malaysia – dari RM307,160

    Model ini tidak mempunyai pilihan panel digital melengkung seperti iX, dan ia masih menggunakan BMW Operating System 7, bukannya versi generasi kelapan yang paling baru. Sebagai sebahagian daripada pakej M Sport, iX3 juga datang dengan roda stereng M Sport, tempat duduk sport serta lapik bumbung hitam.

    Dalam senarai spesifikasi, tidak banyak perbezaan antara dua varian ini. Inspiring yang merupakan varian asas sudah dilengkapi dengan lampu LED adaptif, rim Style 842 19 inci, balutan kulit Vernasca, papan pemuka dibalut kulit tiruan Sensatec, kemasan brushed aluminium serta penukar gear berwarna perak.

    Turut diberikan adalah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan pemanas dan memori untuk pemandu, pengawal suhu tiga zon, pengecas Qi tanpa wayar, bumbung panoramik, bantuan letak kereta dengan Reversing Assistant, 12 pembesar suara, sistem bunyi 205 watt, kamera undur serta tailgate bukaan kuasa tanpa sentuh.

    Varian Impressive pula ditambah dengan lampu utama LaserLight, rim Style 890 M 20 inci, head-up display, tingkap tepi kaca akustik, kawalan pergerakan, 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, sistem kamera 360 darjah dan bunyi kenderaan sintetik IconicSounds Electric yang dibangunkan bersama Hans Zimmer.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pakej Driving Assistant Professional, yang memberikan pelbagai ciri keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control with Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, Emergency Stop Assist serta Adaptive High Beam.

    Model iX3 ini juga datang standard dengan amaran bunyi untuk pejalan kaki dan Active Protection, iaitu satu sistem yang mengetatkan tali pinggang serta mengunci semua tingkap sekiranya mengesan sebarang risiko perlanggaran (seperti Pre-Safe Mercedes-Benz).

     
     
  • Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka space frame

    Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

    Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) telah mendedahkan jentera rali era baru mereka untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) – ini dia rupa sebenar Toyota GR Yaris Rally1! Jentera tersebut didedahkan ketika pelancaran WRC musim 2022, di Hangar-7 Salzburg, Austria pada malam hujung minggu lalu bersama dua lagi pasukan yang bertanding iaitu Hyundai dan M-Sport Ford.

    Seperti yang diumumkan pada 2019, WRC akan mula menggunakan undang-undang baharu untuk kejohanan musim ini, iaitu regulasi Rally1 bagi menggantikan regulasi WRCar yang digunakan sejak 1997 sehingga 2021 sebagai kategori utama. Dengan itu, kesemua pasukan yang bertanding perlu menghasilkan jentera rali generasi baharu yang bukan sahaja menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in Hybrid, malah menampilkan pelbagai perincian lain yang jauh berbeza dari jentera-jentera sebelum ini.

    Menerusi regulasi Rally1, kesemua pasukan perlu menggunakan rollcage homologasi FIA yang sama sebagai asas kereta mereka, yang bukan sahaja melindungi pemandu dan juruarah dengan lebih baik, malah ia juga berfungsi untuk melindungi sistem hibrid voltan tinggi yang berada pada sebelah belakang kereta.

    Pengeluar diberikan kebebasan sama ada untuk menggunakan kerangka yang sama diambil dari model produksi atau untuk menggunakan kerangka space frame sepenuhnya (seperti era ‘gila’ Group B pada 80’an) yang diasaskan dari rollcage berkenaan untuk regulasi Rally1 ini, dan nampaknya Toyota dan dua lagi saingannya dalam WRC tahun ini memilih untuk membina jentera mereka berasaskan kerangka space frame.

    Walau bagaimanapun, FIA menetapkan badan atas jentera Rally1 ini masih perlu dihasilkan dengan dimensi, serta menampilkan bentuk cermin tingkap, lampu hadapan dan belakang dengan bentuk sama seperti model produksi jalan raya. Jadi secara tidak langsung kereta ini masih tampil dengan rupa asas yang sama dengan GR Yaris yang dijual di bilik pameran, tidak seperti jentera perlumbaan yang menggunakan asas kerangka space frame seragam lain contohnya Supercars Australia dan NASCAR yang diberikan rupa luaran yang sangat pelik dan berbeza dari model produksi jalan raya.

    Sama seperti Yaris WRC musim lalu, jentera baharu ini kelihatan seperti GR Yaris produksi yang diberikan suntikan steroid, menampilkan kit aerodinamik ekstrem terdiri dari bampar yang lebih besar, kesemua fender lebih lebar yang turut bertindak seakan ‘sayap terbalik’, dan juga spoiler gergasi pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun menerusi regulasi baharu berkenaan, fungsi aerodinamik pada jentera GR Yaris Rally1 ini perlu ditala 15% kurang berkesan berbanding jentera WRC terdahulu.

    Pada setiap sisi badan GR Yaris Rally1 ini juga dilihat diberikan skup udara yang besar, dihasilkan untuk sistem penyejukan bagi unit hibrid elektrik yang berada di kabin belakang. Turut kelihatan, sepasang kipas diletakkan di sebalik bampar belakang, juga untuk sistem penyejukan sistem hibrid tersebut.

    TGR WRT masih menggunakan livery perlumbaan yang sama pada GR Yaris Rally1 ini. Ia tampil dengan warna putih-merah-hitam ikonik Toyota Gazoo Racing, dan menampilkan grafik seakan ‘dicop’ dengan logo GR jika dilihat dari bahagian sisi jentera tersebut.

    Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

    Untuk enjin pembakaran dalaman, GR Yaris Rally1 ini masih dijana enjin 1.6 liter turbo dari jentera Yaris WRC sebelum ini. Unit pengecas turbo masih perlu dilengkapkan dengan restrictor berdiameter 36 mm, bagi membolehkan kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 380 hp.

    Namun enjin ini tidak disuap dengan petrol biasa, sebaliknya menggunakan bahan bakar perlumbaan dari P1 Racing. Ia adalah bahan api lebih mesra alam berasaskan hidrokarbaon yang dihasilkan bebas dari sebarang unsur fosil, dan diadun dengan bahan sintetik serta komponen bahan api bio.

    Manakala untuk transmisi, kotak gear sequential enam-kelajuan tidak lagi boleh digunakan, dan ia perlu digantikan dengan kotak gear sequential lima-kelajuan yang dihomologasi oleh FIA sama seperti jentera rali kelas R5 atau Rally2. Ini juga bermaksud tiada lagi pedal penukar gear pada stereng, dan pemandu GR Yaris Rally1 ini perlu menukar gear menggunakan tuil gear sequential konvensional.

    Bagi unit plug-in Hybrid, kesemua pasukan menerima sistem yang dibangunkan oleh Compact Dynamics dan dihomologasi oleh FIA. Unit tersebut menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

    Motor elektrik berkenaan dihubungkan terus kepada gandar belakang; jadi pada masa-masa tertentu, GR Yaris ini dapat memecut dengan kuasa penuh sekitar 500 hp. Kuasa ‘boost’ dari sistem hibrid elektrik berkenaan dikawal oleh kotak komputer yang telah diselarikan dengan talaan kotak komputer unit pengurasan enjin pembakaran dalaman.

    Jadi, tiada sebarang butang ‘power boost’ diperlukan untuk mengaktifkan kuasa tambahan tersebut, dan ia akan dilepaskan setiap kali pemandu memijak pedal pendikit, dalam keadaan bateri hibrid mempunyai kuasa yang cukup selepas mendapat cas elektrik yang dihasilkan oleh sistem regenerative braking. Secara mudahnya, lebih banyak pemandu menekan brek, semakin banyak kuasa elektrik dapat disimpan, dan semakin banyak kuasa boost dari sistem hibrid dapat digunakan untuk memecut.

    FIA juga telah memberikan tiga mapping berbeza untuk mod hibrid ini (juga telah dihomologasi untuk semua pasukan) yang boleh dipilih oleh pemandu berdasarkan kesesuaian mereka untuk Special Stage (SS) yang berbeza. Namun mapping tersebut perlu dipilih sebelum memulakan SS, dan tidak boleh ditukar sehingga habis SS berkenaan.

    Selain dari sistem regenerative braking, bateri sistem hibrid tersebut juga dapat dicas semula secara plug-in menerusi pengecas yang diletakkan di setiap service park. Jadi pada garis permulaan, kesemua jentera Rally1 ini boleh memecut dengan kuasa penuh 500 hp.

    FIA juga telah menetapkan bahawa untuk road stage (pergerakan kereta dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain) di atas jalan raya awam, kesemua jentera Rally1 ini hanya dibenarkan bergerak menggunakan mod EV iaitu hanya menggunakan 100% kuasa elektrik, dan enjin pembakaran konvensional perlu dimatikan.

    Setiap jentera Rally1 ini juga perlu diberikan lampu petunjuk hijau/merah pada bahagian atas cermin hadapan dan juga pada tingkap sisi belakang. Lampu tersebut adalah untuk panduan penonton yang ingin membantu menolak kereta-kereta rali yang terbabas. Penonton hanya dibenarkan menyentuh badan kereta tersebut sekiranya ia berwarna hijau. Lampu amaran berwarna merah keluar akan keluar sekiranya sistem hibrid voltan tinggi pada kereta berkenaan mempunyai risiko untuk mencederakan penonton yang menyentuh kereta itu.

    Walaupun GR Yaris Rally1 ini menggunakan kerangka space frame, ia ditimbang sekitar 70 kg lebih berat (berat minima yang dibenarkan FIA untuk Rally1 adalah 1,260 kg) berbanding jentera Yaris WRC musim lalu disebabkan oleh sistem hibrid yang dibekalkan ini.

    Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

    GR Yaris Rally1 juga menampilkan sistem suspensi yang lebih ringkas dengan strok pergerakan penyerap hentak yang lebih pendek berbanding Yaris WRC, kesemuanya atas formulasi yang telah dibuat oleh FIA untuk homologasi jentera rali generasi baharu ini bagi memastikan kos pembinaannya tidak terlalu tinggi. Juga, FIA tidak membenarkan penggunaan unit differential tengah untuk sistem pacuan semua roda jentera Rally1 ini.

    Tahun ini, naib juara WRC tahun lalu iaitu Elfyn Evans tampil sebagai pemandu utama pasukan Toyota, dan pertarungan untuk mempertahankan gelaran juara kategori pengeluar akan dibantu oleh pemandu muda dari Finland, Kalle Rovanperra. Juara WRC tahun lalu, Sebastien Ogier (yang akan ‘separa bersara’ tahun ini) akan memandu kereta ketiga TGR WRT, berkongsi dengan Esapekka Lappi di mana kedua-dua mereka akan memandu pada pusingan-pusingan berasingan.

    Manakala pemandu Jepun, Takamoto Katsuta akan memandu satu lagi jentera GR Yaris Rally1 di bawah pasukan satelit Toyota. Pusingan pertama WRC 2022 akan bermula minggu ini, iaitu Rally Monte Carlo yang akan dilangsungkan bermula 21 sehingga 23 Januari nanti.

     
     
  • JPJ berjaya kutip hasil sebanyak RM4b sepanjang 2021 – RM71.2 juta dari saman yang telah dibayar

    JPJ berjaya kutip hasil sebanyak RM4b sepanjang 2021 – RM71.2 juta dari saman yang telah dibayar

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Zailani Haji Hashim mengumumkan, pihaknya telah berjaya mencapai sasaran untuk kutipan hasil bagi tahun kewangan 2021 iaitu mencecah RM4,004,994,005. Di mana sebanyak RM2.79 bilion atau 70% daripada keseluruhan jumlah hasil tersebut dijanakan menerusi pembaharuan cukai jalan, diikuti dengan RM521.1 juta pula atau 13% adalah dari pembaharuan lesen memandu.

    “Walau pun pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan empat fasa moratorium iaitu penangguhan pembaharuan cukai jalan kenderaan (LKM) dan lesen memandu kenderaan (LMM) sehingga 31 Dis 2021, namun hasil kerjasama semua pihak termasuk rakan strategik JPJ termasuk Percetakan Keselamatan Nasional Bhd., MyeG, Puspakom, Pos Malaysia Bhd., dan pihak-pihak pemain industri lain, sama ada secara langsung dan tidak langsung, kutipan hasil sebanyak RM4 bilion ini berjaya diperoleh dan menepati sasaran.

    “Manakala RM71.2 juta atau 1.78% daripadanya adalah hasil kutipan saman yang telah dilangsaikan oleh pesalah trafik, iaitu mencecah 507,956 saman daripada 1,039,612 saman yang dikeluarkan sehingga Disember 2021,” katanya di dalam Majlis Amanat Tahun Baharu jabatan berkenaan pagi tadi.

    Malahan pada tahun lalu juga, menerusi pengeluaran 117 siri/Negeri bagi nombor pendaftaran kenderaan, JPJ telah mengaut keuntungan sebanyak RM204 juta, iaitu lebih kurang RM1.7 juta untuk setiap siri nombor yang dikeluarkan. Statistik ini menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun 2020, iaitu hanya sebanyak RM177 juta, untuk sebanyak 130 siri nombor, dengan kutipan hasil sebanyak RM1.3 juta bagi setiap siri nombor yang dikeluarkan.

    Jelasnya lagi, sehingga Disember 2021, jumlah kenderaan yang berdaftar di seluruh negara mencecah 33.10 juta unit iaitu meningkat sebanyak 800,000 unit kenderaan berbanding tahun 2020. Manakala bilangan pemegang lesen memandu pula berjumlah 16.2 juta (peningkatan sebanyak 5.1%), berbanding sebanyak 15.8 juta orang pada tahun 2020.

    “Dalam ledakan era teknologi IR4.0 ini, serta dengan transisi penggunaan atau pengaplikasian 4G kepada 5G, maka JPJ juga sedang dan akan menerokai segala ruang-ruang yang tersedia, demi memastikan bukan sahaja sasaran hasil Kerajaan sentiasa konsisten pada setiap tahun, malah tahap penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan juga kekal mencapai tahap yang optimum.

    “Untuk itu, pihak JPJ akan memastikan menjelang tahun 2023, kebanjiran pelanggan ke kaunter-kaunter JPJ akan semakin berkurangan, kerana hampir kebanyakan jenis perkhidmatan jabatan akan lebih banyak disajikan secara atas talian (online), dan kaunter JPJ akan lebih bersifat e-counter,” katanya sambil menambah untuk tahun 2022, pihaknya mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM4.12 bilion untuk dicapai.

     
     
  • Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Selepas tempahannya dibuka seawal Oktober 2021, kemudian rupa dan spesifikasinya didedahkan Isnin lalu, hari ini secara rasmi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Varian lebih mesra alam ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD), dan pelancaran hari ini turut disertai bersama versi CKD untuk varian petrol penuh 1.8G dan 1.8V.

    Oleh itu, kini pembeli boleh memilih tiga varian Corolla Cross CKD di Malaysia bermula dengan varian paling asas petrol 1.8G pada harga RM123,000, varian pertengahan juga dengan enjin petrol 1.8V berharga RM129,000, manakala varian paling tinggi sekarang adalah 1.8 Hybrid yang dijual pada harga RM136,550. Untuk rekod, Toyota Corolla Cross yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand sebelum ini dijual pada harga bermula RM124,000 untuk model 1.8G dan RM134,000 bagi model 1.8V.

    Kesemua angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya untuk model-model CKD sehingga akhir Jun tahun ini. Ia juga diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Manakala model 1.8 Hybrid pula diberikan perlindungan menyeluruh untuk sistem hibrid berkenaan (termasuk bateri, inverter dan juga unit pengurusan kawalan kuasa) selama lapan-tahun tanpa had perbatuan. Pembeli juga boleh memanjangkan perlindungan waranti tersebut dua tahun lebih lama (10-tahun secara keseluruhan) dengan bayaran tambahan RM2,950.

    Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Corolla Cross merupakan model pertama Toyota yang diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dipasang di Malaysia, menerusi fasiliti terkini UMW Toyota Motors yang terletak di Bukit Raja, Shah Alam. Selain dari harganya yang lebih murah, model petrol versi CKD ini turut menampilkan beberapa tingkat taraf kelengkapan.

    Untuk model petrol penuh, kedua-dua model 1.8G dan 1.8V masih menerima enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan tujuh-kelajuan maya dengan mod manual, bagi memacu hanya roda hadapan.

    Manakala bagi model 1.8 Hybrid pula, ia menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat, terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan sebarang kelajuan maya. Motor elektrik pada model hibrid ini menerima kuasa dari bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang.

    Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Unit rangkaian kuasa ini menyediakan tiga mod pemanduan iaitu mod Eco yang memberikan penggunaan bahan api paling efisien, mod Sport untuk pemanduan lebih agresif serta mod EV yang memberikan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin petrol dimatikan terus. Secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    Menurut UMWT ketika sesi pandu uji Corolla Cross Hybrid untuk media pada awal minggu ini, kabin model 1.8 Hybrid ini adalah lebih enam desibel lebih senyap berbanding versi petrol penuh ketika ia memecut sepenuhnya, serta empat (hadapan) dan tujuh (belakang) desibel lebih senyap ketika bergerak dengan halaju malar 60 km/j.

    Malah prestasi untuk versi hibrid ini juga lebih baik dari versi petrol kerana model 1.8 Hybrid ini mampu memecut dari 0-50 km/j 2.1 saat lebih pantas; 0-80 km/j 1.7 saat lebih pantas; 0-100 km/j 0.9 saat lebih pantas berbanding Corolla Cross 1.8G dan 1.8V.

    Bagi model 1.8G, ia kini dibekalkan dengan lampu hadapan LED secara standard dengan fungsi follow-me-home, tetapi masih mengekalkan rim 17-inci dengan tayar 215/60R17. Kesemua varian Toyota Corolla Cross untuk pasaran Malaysia kini menerima perincian standard termasuk lampu kabus LED hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, cermin hadapan akustik, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik (auto-lipat, larasan automatik ketika undur), dilengkapi rel bumbung yang boleh menampung beban sebanyak 70 kg serta penderia kaki untuk membuka pintu tailgate belakang.

    Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Untuk model 1.8V dan 1.8 Hybrid, ia dipadankan dengan rim aloi 18-inci dengan tayar 225/50R18. Model CKD ini juga menyaksikan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan pada model CBU sebelumnya digantikan dengan tayar Toyo Proxes CR1 yang didakwa memberikan penggunaan bahan api serta keselesaan yang lebih baik. Model kumpulan pertama CKD ini hanya akan diberikan port USB-A di belakang, dan ia akan digantikan dengan port USB-C bermula Februari nanti.

    Manakala bagi model 1.8 Hybrid, ia menerima lampu hadapan Bi-LED dengan serlahan biru bersama lencana-lencana Hybrid pada badan bagi membezakannya dari dua model varian petrol lebih rendah.

    Pada bahagian kabin, kedua-dua model petrol penuh menerima skrin pelbagai info berwarna TFT 4.2-inci pada panel instrumen, sistem pendingin hawa automatik zon tunggal. Untuk model asas 1.8G, roda sterengnya menampilkan butang untuk sistem cruise control biasa selain butang kawalan sistem audio, telefon dan lain-lain.

    Manakala untuk semua varian, kabin Corolla Cross ini didatangkan standard dengan tempat duduk upholsteri kulit hitam dengan fungsi larasan kuasa lapan-hala bagi sebelah pemandu serta fungsi lipat nisbah 60:40 dengan larasan rebah kebelakang satu langkah untuk tempat duduk belakang.

    Sistem infotainmen juga adalah seragam untuk semua varian SUV segmen-B ini, yang terdiri dari skrin sesentuh kapasitif Display Audio sembilan-inci yang menyokong hubungan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, USB dan Bluetooth, serta menerima enam pembesar suara.

    Bagi model 1.8V dan 1.8 Hybrid, ia diberikan stereng dengan butang cruise control adaptif dan bantuan pengesan lorong (kerana dibekalkan dengan sistem Toyota Safety Sense), serta sistem pencahayaan pada pintu hadapan, pemegang cawan dan tray tengah.

    Khas untuk varian tertinggi 1.8 Hybrid, ia hadir dengan skrin pelbagai info berwarna TFT lebih besar bersaiz tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik dua zon, dan juga cermin padang belakang elektrokromik.

    Varian Hybrid bagi Corolla Cross pasaran Malaysia ini masih tidak menampilkan brek parkir elektronik, dan dia masih menggunakan brek parkir manual menggunakan pedal kaki seperti model petrol. Namun ia diberikan karpet kaki serlahan biru bagi menandakan ia adalah varian lebih mesra alam.

    Untuk keselamatan, kesemua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Seperti yang disebutkan tadi, model 1.8V dan 1.8 Hybrid dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif/Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid CKD dilancar di M’sia bersama varian 1.8G, 1.8V CKD, dari RM123k-RM137k

    Sistem kamera perakam digital (DVR atau dashcam) untuk bahagian hadapan adalah standard untuk kesemua varian. Namun untuk mereka yang mahukan unit perakam sebelah belakang, ia turut ditawarkan sebagai ciri opsyen. UMW Toyota turut menawarkan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk semua varian Corolla Cross, juga dengan bayaran tambahan.

    Ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem telematik kenderaan (VTS) secara standard. Ia adalah sistem yang mampu untuk menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

    Lima warna badan ditawarkan untuk model 1.8 Hybrid ini termasuk Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl, Silver Metallic serta warna eksklusif Celestite Grey Metallic. Setiap pembelian model ini datang sekali dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022

    GALERI: Gambar rasmi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022

     
     
  • Smartlane di NKVE – lorong kecemasan dibuka pada waktu puncak, Setia Alam ke Shah Alam, 60 km/j

    Smartlane di NKVE – lorong kecemasan dibuka pada waktu puncak, Setia Alam ke Shah Alam, 60 km/j

    Jangan ‘rasa marah’ dan terus merakamkan foto untuk ditularkan sekiranya anda ternampak barisan kereta melalui lorong kecemasan di lebuhraya NKVE, pada waktu puncak.

    Ini adalah kerana PLUS Berhad, selaku pengendali NKVE, telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan polis, untuk menguji keberkesanan “Smartlane” bagi mengatasi aliran trafik sepanjang waktu puncak. Di mana dalam tempoh waktu puncak tersebut, lorong kecemasan dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

    Buat masa ini Smartlane sedang diuji di NKVE dari Setia Alam ke Shah Alam, iaitu dari KM 3.2 hingga KM 9.2 arah utara, dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti am. Had kelajuan yang ditetapkan ialah 60 km/j. Ujian ini akan dilaksanakan sehingga 23 Januari 2022.

    Sebenarnya, Smartlane ini bukanlah baru dilaksanakan. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjelaskan ujian tersebut sepatutnya bermula pada Oktober 2019, namun ditangguhkan ke Mac 2020. Walau bagaimana pun, ketika itu, negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi tidak perlulah lorong tambahan tersebut. Namun disebabkan sekarang semua sektor telah kembali beroperasi dan sesi persekolahan juga kembali dibuka, maka kesesakan trafik kembali ‘bermaharajalela’. Justeru, ujian Smartlane diteruskan sehingga waktu yang ditetapkan.

    JSPT terpaksa menjelaskan perkara ini kerana terdapat video yang ditularkan pada awal minggu ini yang memaparkan kenderaan menggunakan lorong kecemasan tersebut. “Papan tanda dengan maklumat Smartlane telah dipasang di laluan itu supaya tidak berlaku salah faham dalam kalangan pengguna lebuh raya,” kata JSPT sambil berharap agar pengguna jalan raya akan lebih prihatin terhadap papan tanda jalan dan memastikan fakta tersebut adalah sahih sebelum memuat naik kandungan ke laman sosial media.

     
     
  • BMW iX xDrive40 Sport 2022 di Malaysia – RM407k!

    BMW iX xDrive40 Sport 2022 di Malaysia – RM407k!

    Bermula tahun ini, kenderaan elektrik (EV) tidak akan disertakan dengan duti import dan eksais, secara tidak langsung harganya akan menjadi lebih murah.

    Contohnya iX serba baharu ini, varian tunggal yang sedang dipamerkan dalam acara NEXTGen Malaysia di Kuala Lumpur, xDrive40 Sport, dengan warna yang begitu menawan BMW Individual Aventurine Red Metallic. Kini harga yang diumumkan ialah RM407,430, atau RM65,200 lebih murah harga sebelum ini. Terdapat juga varian iX xDrive40 yang lebih murah dengan harga RM361,430, di mana ia kurang RM58,200 berbanding ketika pertama kali ia dilancarkan pada Ogos lalu.

    Harga ini termasuk dengan waranti standard dua-tahun, tetapi jika mahukan waranti lanjutan (lima-tahun, perbatuan tanpa had) dan paker saervis (lima-tahun, perbatuan 120,000 km), harga bagi iX asas naik menjadi RM379,800, sementara xdrive40 Sport pula menjadi RM425,800. Waranti baterinya iaitu lapan-tahun/160,000 km adalah standard.

    Bagi penjana kuasanya, xDrive40 menampilkan dua motor elektrik, diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit.

    Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150 kW menggunakan sambungan CCS2, yang boleh mengecas dari 10% hingga 80% dalam 30 minit, dan mampu memberikan jarak pemanduan sekurang-kurangnya 150 km.

    xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

    Untuk bahagian dalaman pula, ia hadir dengan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci — yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baru.

    Ciri unik lain bagi varian ini termasuk bumbung kaca panorama Sky Lounge, sistem bunyi Harman Kardon dengan 18-pembesar suara, kemasan pada tiang dan anthracite headliner serta kemasan dalaman Clear & Bold. Ini termasuklah suis yang diperbuat dari kaca kristal asli dan elemen dekoratig yang diperbuat dari kayuan pada konsol tengah.

    Untuk keselamatan, iX didatangkan dengan pakej BMW Driving Assistant secara standard, yang termasuk dengan amaran ketibaan lorong, amaran penukaran lorong, amaran pelanggaran hadaoan dengan campurtangan brek (AEB), amaran trafik lintasan belakang dan pengelak pelanggaran belakang. Ia turut diberikan Bantuan Parkir BMW yang terdiri daripada bantuan mengundur, kawalan jarak parkir aktif dan kamera pandangan belakang serta kawalan kelajuan pasif.

    Untuk varian Sport, ia turut diberikan ciri tambahan termasuk sistem pemantauan tekanan tayar, Parking Assistant Plus dan kamera pandangan sekeliling, serta pakej Driving Assistant Professional yang menampilkan kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan kawalan lorong dan stereng, dan bantuan pengehad kelajuan automatik.

    GALERI: BMW iX xDrive40 Sport 2022

     
     
  • VIDEO: Honda Civic FE 2022, dari RM126k-RM144k

    Honda Civic FE 2022 untuk pasaran Malaysia kini telah dilancarkan dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu E, V dan RS dengan masing-masing dijual pada harga RM125,635, RM138,043 dan RM144,350.

    Sama seperti pasaran Thailand dan Indonesia, Civic generasi terkini ini hanya hadir dengan unit rangkaian kuasa 1.5 liter VTEC Turbo, tanpa pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC seperti model genarasi ke-10.

    Saiz Civic 2022 ini lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,735 mm (33 mm lebih jauh), serta 3 mm lebih lebar dengan ukuran 1,415 mm dan tinggi 1,802 mm (1 mm lebih rendah). Manakala untuk ruang but, model baru ini menampilkan ruang kargo berkapasiti 497 liter, sedikit lebih kecil berbanding Civic FC dengan 519 liter.

    Bahagian dalaman pula, Civic FE ini tampil dengan rekaan yang lebih minimalis. Papan pemuka model baharu ini direka ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ di papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Kesemua varian Civic 2022 ini diberikan sistem infotainmen Display Audio. Model varian E diberikan skrin sesentuh tujuh-inci, serta datang standard dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Model asas ini juga hanya menerima empat pembesar suara, tempat duduk pemandu larasan manual.

    Ini dan banyak lagi perkara berkaitan sedan terbaru Honda kami soroti dalam video tinjauan ringkas yang disediakan ini. Perbezaan antara varian, kenapa harga Civic baru ini lebih mahal, dan banyak lagi persoalan dijawab. Selamat menonton.

    GALERI: Honda Civic 1.5 RS 2022

    GALERI: Honda Civic 1.5 V 2022

     
     
  • Subaru STI E-RA buat penampilan pertama di Tokyo Auto Salon 2022 bersama beberapa model lain

    Subaru STI E-RA buat penampilan pertama di Tokyo Auto Salon 2022 bersama beberapa model lain

    Subaru bersama cabang sukan permotoran mereka, Subaru Tecnica International (STI) telah membawa beberapa buah model ke Tokyo Auto Salon (TAS) tahun ini, dan tarikan utamanya adalah STI E-RA Concept, sebuah kereta lumba elektrik yang akan digunakan sebagai platform kajian teknologi baru dalam dunia karbon neutral.

    Nama E-RA yang digunakan itu membawa maksud “Electric-Record Attempt”, dan rekod yang dimaksudkan oleh Subaru adalah untuk pusingan di Litar Nurburgring, dengan sasaran masa enam minit 40 saat. Percubaan memecah rekod ini akan dibuat tahun hadapan, selepas kereta tersebut diuji di beberapa litar sekitar Jepun tahun ini.

    Untuk mencapai sasaran ini, STI E-RA Concept dipasang dengan empat motor elektrik – satu untuk setiap roda – dan dikuasakan oleh bateri lithium ion 60 kWh. Menurut Subaru, kuasa maksimum yang boleh dihasilkan oleh tetapan ini adalah 1,088 PS (1,073 hp atau 800 kW) dan sistem pacuan semua roda yang digunakan dilengkapi dengan teknologi torque vectoring.

    Subaru STI E-RA buat penampilan pertama di Tokyo Auto Salon 2022 bersama beberapa model lain

    Sebagai sebuah kereta time attack, STI E-RA ini mempunyai panel badan yang mengambil penting ciri aerodinamik serta pengaliran udara, seperti splitter hadapan, diffuser belakang serta sayap yang besar. Meskipun muka hadapannya mirip seperti McLaren P1, STI E-RA masih mempunyai tanda unik Subaru seperti lampu yang menggunakan pencahayaan berbentuk C. Di atas bumbung pula terdapat skup udara yang mungkin digunakan untuk penyejukan sistem elektronik.

    Satu lagi model elektrik yang ditunjukkan oleh Subaru adalah Solterra STI Concept. Pada asasnya, ini adalah versi ubah suai bagi EV pertama jenama itu. Ia mendapat spoiler bumbung belakang STI yang besar, panel tambahan di bahagian bawah bampar, serta kemasan merah pada side skirt dan rim.

    Turut dipamerkan adalah dua model STI Performance Concept yang menggunakan Levorg serta WRX S4 varian STI Sport R EX sebagai asas. Kedua-duanya juga mendapat kemasan serta tambahan panel seperti Solterra STI Concept, bersama cermin sisi yang juga berwarna merah.

    Turut dapat dilihat pada model ini adalah ekzos spesifikasi STI, manakala WRX S4 ditambah dengan spoiler belakang gentian karbon kering. Kemudiannya, terdapat juga BRZ STI Performance, yang merupakan varian S BRZ, tetapi dipasang dengan barangan dari katalog STI.

    Model lain yang dipamerkan adalah kereta lumba BRZ GT300, iaitu kereta lumba yang menggunakan asas daripada BRZ terbaru, dan sudah berjaya memberikan gelaran juara kali pertama kepada Subaru dalam kategori GT300 perlumbaan Super GT di Jepun.

    GALERI: Subaru STI E-RA Concept

    GALERI: Subaru Solterra STI Concept

    GALERI: Subaru Levorg STI Performance Concept

    GALERI: Subaru WRX S4 STI Performance Concept

    GALERI: Subaru BRZ STI Performance

    GALERI: Subaru BRZ GT300

     
     
  • Toyota Corolla Cross Hybrid akan dirasmikan 9 malam ini — tonton pelancaran secara maya di Facebook

    Toyota Corolla Cross Hybrid akan dirasmikan 9 malam ini — tonton pelancaran secara maya di Facebook

    Banyak yang sudah kita ketahui tentang SUV segmen B Toyota Corolla Cross Hybrid untuk pasaran Malaysia. Awal minggu ini kami sudahpun bawakan laporan terperinci tentang spesifikasi yang akan diterima untuk model pasaran tempatan. Dan, oleh kerana ia versi pemasangan tempatan (CKD), ramai yang tertanya-tanya harga yang akan dikenakan untuk model terbabit. Sebelum ini, harga anggaran yang disebut-sebut ialah RM137k.

    Seperti juga model pasaran Thailand, Corolla Cross Hybrid di sini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    Bateri untuk sistem hibrid pada Corolla Cross ini ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang. Tidak seperti pengeluar lain yang hanya menawarkan waranti hanya untuk bateri, Toyota memberikan perlindungan waranti untuk keseluruhan sistem hibrid berkenaan (termasuk inverter dan juga unit pengurusan kawalan kuasa) selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Toyota Corolla Cross Hybrid akan dirasmikan 9 malam ini — tonton pelancaran secara maya di Facebook

    Pembeli juga boleh memanjangkan perlindungan waranti tersebut dua tahun lebih lama (10-tahun secara keseluruhan) dengan bayaran tambahan RM2,950. Aspek keselamatan Toyota Safety Sense juga melengkapi model ini, yang terdiri daripada Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif/Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Selain itu ia turut menerima sistem bantuan pemanduan asas yang turut terdapat pada model asas 1.8G, termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Jangan lupa untuk mengikuti majlis pelancaran model ini di laman Facebook Toyota Malaysia pada jam 9 malam ini.

     
     
  • Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

    Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia  – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

    Shell dan Porsche Asia Pacific telah mengumumkan operasi bagi Shell Recharge high performance charging (HPC) yang pertama di Malaysia telah pun beroperasi, berlokasi di stesen Shell di Tangkak, Johor. Lokasi pertama bagi rangkaian Shell HPC ini antara salah satu stesen yang bakal memiliki 12 poin pengecasan terletak di stesen Shell di Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS. Ia juga menandakan pengenalan rangkaian infrastruktur HPC rentas sempadan pertama di Asia Tenggara.

    Buat masa ini, rangkaian tersebut meliputi Singapura dan Malaysia, bakal dikembangkan hingga ke Thailand, memudahkan pemilik kenderaan elektrik melakukan road-trip dari Singapura ke Bangkok. Mengikut perancangan dan pembangunan untuk rangkaian HPC ini, Shell turut berkata, ia (stesen pengecasan) akan dipasang di Thailand tidak lama lagi.

    Selain di Tangkak, HPC ini juga akan ditempatkan di stesen Shell di kawasan R&R Seremban (arah utara), R&R Seremban (arah selatan), R&R Pagoh (arah selatan), RTC Simpang Pulai (arah utara), dan R&R Tapah (arah selatan), serta keseluruhan rangkaian itu dijangka akan sedia digunakan menjelang suku pertama tahun ini.

    Setiap enam stesen berkenaan akan dilengkapi dengan pengecas pantas DC 180 kW yang menampilkan dua penyambung CCS Type 2. Larasan tersebut membolehkan setiap kenderaan elektrik yang dicas pada kadar penuh 180 kW, atau dua unit kenderaan pada kadar 90 kW setiap satu.

    Bagi aspek pengecasan, masa menunggu dapat dikurangkan berbanding dengan pengecas 50 kW. Sebagai contoh, bagi sebuah Porsche Taycan, ia akan dicas dari kapasiti sifar ke 80% dalam sekitar 30 minit, memberikannya jarak sehingga 390 km (ikut kitaran WLTP) termasuk jarak perjalanan tambahan.

    Pengecasan selama lima minit adalah cukup untuk perjalanan dari Tangkak ke Melaka, sementara pengecasan selama 10 minit pula membolehkan jentera berkenaan sampai ke Legoland, dan pengecasan selama 20 minit pula memboleh ia dipandu dari Tangkak ke Genting Highlands.

    Menurut Shell, ada tiga kaedah bagaimana pengguna boleh memanfaatkan rangkaian 180 kW Recharge tersebut. Pertama, melalui cara bayar ikut penggunaan. Terbuka kepada semua pengguna EV, tanpa ada langganan diperlukan untuk ini. Di Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah RM4 yuran pengesahan dan RM20 bagi setiap lima minit pengecasan untuk 25 minit pertama, dengan RM20 bagi setiap lima minit berikutnya. Ini akan menjadikan jumlahnya RM240 sejam (atau RM244 dengan yuran pengesahan).

    Cara kedua ialah melalui langganan selama setahun, yang menawarkan status Gold Member. Kos langganan ialah RM835 setahun, tetapi ini menawarkan kepada pelanggan kadar pengecasan lebih murah — bagi 10 jam pertama setiap tahun, pengguna akan membayar RM12 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 bagi setiap tambahan lima minit berikutnya (yuran pengesahan RM4 kekal).

    Ini menjadikan kadarnya RM95 sejam (atau RM99 dengan yuran pengesahan) dengan langganan. Selepas 10 jam pertama itu digunakan, tambah nilai kuota disediakan pada kadar RM80 sejam, walaupun kadar standard akan dikenakan kemudiannya.

    Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia  – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

    Langganan juga menawarkan 10% pulangan tunai bagi semua stesen pengecas di Shell Recharge AC, serta kemudahan untuk menempah ruang mengecas melalui aplikasi ParkEasy — selepas pengesahan dan tempahan, ruang berkenaan akan dikhaskan untuk anda sehingga tempoh sejam sebelum ketibaan anda.

    Ketiga, ia eksklusif untuk pengguna Porsche EV, dengan keahlian Platinum percuma selama tiga tahun diberikan untuk setiap pembelian model Taycan. Kadarnya juga lebih rendah — bagi 12 jam pertama yang digunakan setiap tahun, pengguna akan membayar RM10 bagi setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Ini diikuti dengan RM5 bagi tambahan setiap lima minit selepas itu (RM4 yuran pengesah juga masih kekal).

    Ini menjadikan kadar RM85 sejam (RM89 dengan yuran pengesahan). Tambah nilai kuota selepas 12 jam penggunaan juga ada pada kadar RM60 sejam, dengan kadar standard untuk pengecasan. Pemilik Taycan dari Malaysia juga boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak SGD 0.10 per kWh daripada kadar dikenakan ketika mengecas di Singapura, sah untuk 600 kWh pertama setahun.

     
     
  • Boleh bayar tol PLUS guna kad kredit atau debit nanti

    Boleh bayar tol PLUS guna kad kredit atau debit nanti

    Seperti yang kita tahu, kaedah pembayaran di plaza tol PLUS laluan utama Juru di Pulau Pinang dan Skudai di Johor akan melaksanakan RFID bermula esok. Di sepanjang laluan tersebut, sekurang-kurangnya satu lorong akan disediakan untuk RFID di semua plaza tol di susur keluar yang terlibat.

    Dan, dalam masa yang sama, lorong bayaran untuk Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi dikekalkan buat masa ini, sehinggalah ia beransur-ansur di mansuhkan secara berperingkat dan akan dimaklumkan kelak. Jika anda masih samar-samar tentang RFID ini dan bagaimana cara menggunakannya, kami telah sediakan beberapa artikel untuk membantu.

    Jika dilihat, ini adalah cara PLUS untuk melaksanakan bayaran tol tanpa tunai, beralih daripada sistem yang menggunakan tiket tidak lama dulu kepada cara bayaran elektronik. Dan, ini tidak akan berakhir hanya dengan RFID sahaja.

    Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh PLUS di laman web khas RFID, pihaknya secara ringkas berkongsi dengan perancangan masa depan berkaitan hal ini. Yang dimaksudkan ialah bayaran tol menggunakan kad kredit/debit pelanggan di masa akan datang. Menurut PLUS, ketika ini, ujian rintis sedang dijalankan di beberapa plaza tol terpilih.

    Ini mungkin menjadi kaedah yang lebih praktikal dan menjimatkan, kerana hampir semua orang pasti memiliki kad debit bank atau pun kad kredit yang sentiasa di bawa ke mana-mana. Tambahan pula, jika ini dilaksanakan, pelanggan tidak perlu membeli sebarang kad atau peranti khas berasingan untuk tujuan itu — tidak perlu kad Touch ‘n Go, tidak perlu SmartTAG dan menukar bateri, dan tidak juga perlu membeli pelekat RFID.

    Harapnya kaedah ini boleh diperkenalkan segera, dan ia akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan, dan lebih memudahkan urusan di plaza tol.

     
     
  • GALERI: BMW i4 eDrive40 dipertonton di M’sia – EV berkuasa 340 PS dan 430 Nm tork, jarak gerak 590 km

    GALERI: BMW i4 eDrive40 dipertonton di M’sia – EV berkuasa 340 PS dan 430 Nm tork, jarak gerak 590 km

    Ogos tahun lalu, BMW Malaysia telah membuat pengumuman bahawa mereka akan melancarkan tiga model BMW i sebagai pemacu langkah elektrifikasi mereka di dalam negara. Dua daripada model itu sudah pun dilancarkan, iaitu iX dan iX3, sementara satu lagi iaitu i4 masih belum dipekenalkan secara rasmi.

    Walaubagaimanapun, kereta tersebut telah membuat penampilan pertama sewaktu acara NEXTGen Malaysia, sekaligus memberi petunjuk bahawa pelancarannya semakin hampir dan proses pengeluaran juga sudah bermula Oktober tahun lepas.

    Unit yang dipamerkan pada acara itu adalah i4 eDrive40, iaitu varian yang pernah ditunjukkan dalam laman web syarikat tersebut. Ia menggunakan satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan 430 Nm tork, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.

    Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh sudah boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.

    Spesifikasi model pasaran tempatan masih belum didedahkan, tetapi menerusi informasi dalam laman web mereka, kita boleh menjangka dua varian iaitu i4 biasa dan M Sport. Varian biasa akan datang dengan BMW Curved Display, yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci serta skrin infotainmen 14.9 inci, dan menggunakan BMW Operating System 8.

    Kelengkapan standard yang akan diberi termasuk BMW Live Cockpit Professional, sistem kawalan pendingin hawa tiga zon, roda stereng sport, cermin akustik serta lampu suasana. Untuk kemasan yang unik, anda akan menjumpai gegelung biru pada logo di stereng, serta tombol gear dan butang pemula enjin dengan kemasan warna biru.

     
     
  • Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

    Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, hari ini secara rasmi versi lebih liar untuk hot-hatch GR Yaris, digelar sebagai GRMN Yaris 2022 didedahkan sepenuhnya di hari pembukaan Tokyo Auto Salon 2022 yang berlangsung di dewan Makuhari Messe.

    Ini merupakan Yaris kedua yang menerima lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring selepas model edisi terhad yang dihasilkan menerusi Yaris generasi sebelum ini. Model lebih hardcore ini menerima tingkat taraf dari segenap sudut bagi menjadikan ia lebih ringan, lebih berkuasa serta memberikan pengendalian lebih baik, namun hanya dihasilkan sebanyak 500 unit, semuanya hanya untuk pasaran Jepun.

    Berbanding GR Yaris standard, GRMN Yaris ini menerima titik kimpalan sebanyak 545 lebih banyak serta bahan pelekat struktur yang digunakan juga adalah 12 meter lebih panjang bagi memberikan kerangka badan yang jauh lebih kuat. Proses yang seakan sama dibuat pada kereta lumba sebenar ini memberikan respon yang lebih baik terhadap input yang diberikan oleh pemandu.

    Toyota GRMN Yaris Circuit Package

    Jika anda rasa GR Yaris standard sudah cukup ringan dengan diberikan bumbung plastik diperkuat gentian karbon (CFRP) dan juga bonet hadapan aluminium, GRMN ini dihasilkan lebih ringan dengan diberikan spoiler belakang, bumbung dan juga bonet hadapan kesemuanya diperbuat dari bahan CFRP. Bonet hadapan baharu tersebut turut menampilkan rupa lebih garang serta memberikan fungsi penyejukan lebih baik kerana diberikan liang pengudaraan.

    Manakala pada sebelah dalam kabin, tempat duduk hadapan asal GR Yaris telah digantikan dengan tempat duduk perlumbaan ‘bucket mati’ dari Recaro (turut dibekalkan dengan beg udara sisi), manakala tempat duduk belakang dibuang terus dan turut menyerlahkan pendakap badan tambahan yang dipasang menghubungkan bahagian atas kedua-dua belah suspensi belakang dan juga badan kereta.

    Menurut Toyota, proses penggantian komponen-komponen dari material lebih ringan serta membuang terus tempat duduk belakang ini membolehkan berat GRMN Yaris ini ditimbang 20 kg lebih ringan berbanding GR Yaris biasa. Ia turut diberikan balutan Alcantara pada roda stereng, tombol gear dan brek tangan, manakala plak GR Yaris asal pada konsol tengah telah digantikan dengan plak GRMN.

    Toyota GRMN Yaris Rally Package

    Model lebih liar ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo. Menerusi kertas spesifikasi yang disiarkan, ia masih menjana kuasa 272 PS pada takat 6,500 rpm yang sama seperti GR Yaris JDM, namun angka tork yang dinyatakan adalah lebih tinggi iaitu 390 Nm bermula 3,000 hingga 4,600 rpm, atau 20 Nm lebih besar dari model standard.

    Ia juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, namun ia menampilkan nisbah gear lebih rapat untuk gear 1 hingga 4, serta diberikan nisbah gear akhir 4.250 berbanding 3.941 pada GR Yaris standard. Menurut Toyota lagi, material logam lebih kuat telah digunakan untuk menghasilkan gear 1, 3, 4, 5 dan gear akhir bagi menambah baik aspek kejutan tork dan ketahanan jarak jauh.

    Alihan kuasa dari enjin ke kotak gear turut ditambahbaik menerusi pemadanan klac logam ‘tiga kaki’. Sistem pacuan semua roda GR-Four masih dikekalkan, tetapi LSD jenis torsen pada GR Yaris biasa telah digantikan dengan LSD jenis mekanikal untuk kedua-dua gandar hadapan dan belakang GRMN Yaris ini.

    Toyota GRMN Yaris 2022 – hanya 2 tempat duduk, lebih ringan & kuat, 500 unit, dari RM269k di Jepun

    Pembeli turut ditawarkan GRMN Yaris ini dalam dua pilihan pakej iaitu Circuit Package iaitu model yang dihasilkan berdasarkan input yang Toyota dapat dalam perlumbaan touring car Super Taikyu di Jepun, dan juga Rally Package yang menerima input menerusi GR Yaris yang bertanding dan menjuarai Kejohanan Rali Jepun tahun lalu.

    Model yang datang dengan Rally Package diberikan spoiler belakang CFRP yang nampak sama seperti spoiler GR Yaris standard. Manakala versi Circuit Package pula diberikan spoiler sayap GT CFRP dengan pemegang rekaan ‘leher angsa’, spoiler bawah bampar hadapan, diffuser udara pada bahagian bawah skirt sisi, serta rim 18-inci dari BBS yang direka khas untuk model ini.

    Bagi model Circuit Package, ia turut datang dengan set brek 18-inci, dan juga penyerap hentak Bilstein boleh laras (hanya untuk larasan hentakan). Manakala untuk Rally Package, ia datang dengan penyerap hentak bersama set penghubung penstabil lebih pendek, set pelindung bawah badan dan juga roll bar (bersama bar sisi) kesemuanya binaan dari GR.

    Sama seperti GR Yaris, GRMN Yaris ini turut dihasilkan fasiliti GR Factory di kilang Motomachi Toyota. Ia akan dijual pada harga bermula 7.317 juta yen (RM268,928) yen untuk versi asas. Pembeli yang memilih model dengan Rally Package pula perlu membayar 8,378,764 yen (RM307,976) untuk GRMN Yaris ini, manakala model dengan Circuit Package pula dijual pada harga 8.467 juta yen (RM311,219).

    Namun untuk membeli GRMN Yaris ini, anda bukan hanya memerlukan duit, tetapi perlu disertakan dengan ‘nasib baik’. Ini kerana kesemua 500 unit hot-hatch yang hanya akan dijual menerusi pengedar GR Garage di seluruh Jepun tersebut memerlukan pembeli mencabut loteri bagi melayakkan mereka membelinya – keputusan cabutan loteri tersebut hanya akan diketahui selepas 9 Mac nanti.

    Walau bagaimanapun, pemilik-pemilik GR Yaris sedia ada akan ditawarkan dengan sebahagian komponen-komponen tingkat taraf yang dihasilkan untuk GRMN Yaris ini bermula musim luruh 2022.

    Manakala untuk pemilik-pemilik GRMN Yaris kelak, mereka turut akan menerima sokongan tambahan dari Toyota menerusi program Update and Personalisation. Program ini menawarkan pemilik model tersebut untuk merasai pengalaman seakan kereta lumba sebenar menerusi GR Garage, serta membantu mereka untuk menala kereta masing-masing bagi mendapat prestasi optimum di pelbagai litar di Jepun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025