Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jalan Temiang-Pantai di N9 telah pun dibuka – laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu

    Jalan Temiang-Pantai di N9 telah pun dibuka – laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu

    Baru-baru ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan Jalan Temiang-Pantai telah pun dibuka untuk laluan trafik. Jalan terbabit adalah laluan alternatif untuk pengguna khususnya yang datang dari arah Seremban Utara dan ingin menuju ke Kuala Klawang atau Jelebu.

    Menurut beliau, pembinaan jalan tersebut memudahkan rakyat dengan memendekkan tempoh perjalanan. Projek pembinaan jalan tersebut membabitkan kos sebanyak RM181 juta telah disiapkan pada 23 Julai 2021, iaitu awal 17 hari dari tarikh kontrak asal, dan mula dibuka pada trafik sejak 26 Ogos lalu.

    Ia melibatkan jalan baharu empat lorong dua hala sepanjang 1.60 kilometer dan juga dua lorong dua hala sepanjang 5.84 kilometer dengan tiga buah jambatan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz E300 AMG Line facelift 2021 di Malaysia – 258 PS dan 370 Nm; harga dari RM375k

    GALERI: Mercedes-Benz E300 AMG Line facelift 2021 di Malaysia – 258 PS dan 370 Nm; harga dari RM375k

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 telah pun dilancarkan akhir Julai lalu, dengan menawarkan dua varian. Semalam kami telah pun memaparkan galeri varian asas E 200 Avantgarde, kini kita fokuskan pula pada model tertinggi E 300 AMG Line yang menjadi pesaing bagi BMW 530i M Sport.

    E 300 AMG Line ini ditawarkan pada harga atas jalan RM375,432 tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti empat-tahun serta tanpa had perbatuan. Model terkini E-Class ini turut menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 100% kerana ia adalah unit pemasangan tempatan (CKD).

    Di bawah bonetnya, E 300 masih mengekalkan unit unit M264 2.0 liter turbocas empat-silinder. Ia menghasilkan 258 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm tork pada 1,800 hingga 4,000 rpm, dengan pacuan dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik 9G-Tronic. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 6.4 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Seperti nama varian yang disarankan, E 300 didatangkan dengan pakej AMG Line yang termasuk dengan bampar hadapan lebih agresif dan gril berbentuk-trapezoidal dengan kepingan krom tunggal pada atas pin krom. Ini merupakan keunikan ciri bagi E 300, memandangkan luaran E 200 Avantgarde agak berbeza.

    Antara ciri baharu lain yang turut diberikan termasuklah lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus) dan rim 19-inci AMG lima-jejari untuk lebih keselesaan (model terdahulu menggunakan saiz 20-inci).

    Untuk kabinnya, ia diberikan stereng yang lebih kurus dan menarik digunakan (dengan balutan kulit Nappa, kemasan hitam berkilat bahagian dalam jejari) dengan sensor sentuhan, serta paparan 12.3-inci dengan sistem infotainmen MBUX baharu bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang menggantikan unit COMAND Online. Sama seperti E-Class sedan yang dipertingkatkan, tiada lagi jam analog di bahagian bawah suis kawalan pendingin hawa.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

    Kelengkapan lain termasuk sistem lampu ambien tiga-zon dengan 64 warna LED, sistem audio Burmester, bumbung panoramik gelungsur, pelindung sinar matahari elektrik dan alas pengecas telefon tanpa wayar. Tempat duduk semuanya balutan kulit, sama seperti papan pemuka. Kemasan kayu asli adalah standard, menggantikan kemasan hitam berkilat dan gentian karbon yang ada sebelum ini.

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, E 300 didatangkan dengan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Bantuan Titik Buta, Keyless-Go, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan sendiri), kamera 360-darjah dan Pakej Bantuan Pemanduan termasuk Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

    E-Class juga diberikan sistem Urban Guard, yang bekerjasama dengan Mercedes me untuk memantau sekeliling kenderaan. Warna badan yang ditawarkan untuk model ini ialah Polar White, Obsidian Black, Rubellite Red, Graphite Grey, Mojave Silver, Brilliant Blue, High-tech Silver, Emerald Green dan Selenite Grey. Ada juga beberapa warna pilihan lain sebagai alternatif, seperti Designo Diamond White Bright dan Designo Patagonia Red Metallic.

     
     
  • Honda CB500R, CB500F dan CB500X diperbaharui – enjin Euro 5, fork USD Showa, brek cakera berkembar

    Honda CB500R, CB500F dan CB500X diperbaharui – enjin Euro 5, fork USD Showa, brek cakera berkembar

    22YM HONDA CBR500R

    Barisan model CB500 keluaran Honda, yang terdiri daripada CBR500R, CB500F dan CB500X diperbaharui tahun ini dengan muncul sebagai model tahun 2022 di Eropah terlebih dahulu. Peningkatan yang dibuat lebih kepada kualiti tunggangan sementara binaan asas masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Penggerak utama juga tidak berubah, di mana ketiga-tiganya masih lagi menggunakan unit dua silinder 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, untuk menghasilkan kuasa maksimum 49.75 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Tetapan sistem suntikan bahan api PGM-Fi pada model ini bagaimanapun telah dilaras semula dan menepati tahap emisi Euro 5.

    Peningkatan ketara pada barisan model CB500 2022 ini adalah suspensi, di mana kesemuanya mendapat unit fork Showa SFF-BP USD 41 mm dengan pelarasan pra beban sementara di belakang pula ia menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban lima tahap.

    Walaupun ia adalah unit yang sama, jarak dari tanah dan tinggi tempat duduk semua tiga model ini adalah berbeza, iaitu 130 mm/785 mm untuk CBR500R, 145 mm/789 mm untuk CB500F dan 180 mm/830 mm untuk CB500X.

    Turut dipertingkat pada semua model CB500 ini adalah cakera pada sistem brek hadapan, di mana ia kini menggunakan set berkembar 296 mm, yang dipadankan bersama angkup dua piston daripada Nissin. Peningkatan bahagian casis kemudiannya dijadikan lengkap dengan penggunaan lengan ayun serta rim yang lebih ringan.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah masing-masing 199 kg untuk CB500X, 189 kg untuk CB500F dan 192 kg untuk CBR500R. Kelengkapan lain yang didatangkan terus adalah termasuk panel instrumen digital, lampu depan dan belakang LED, brek ABS two-channel, rim 17 inci (19 inci di hadapan untuk CB500X) dan tangki bahan api 17.1 liter (17.5 liter untuk CB500X).

    GALERI: Honda CBR500R 2022

    GALERI: Honda CB500F 2022

    GALERI: Honda CBR00X 2022

     
     
  • Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Berikutan penangguhan operasi dan jualan kenderaan akibat PKP yang berterusan tahun ini, Perodua telah menetapkan semula sasaran jualannya bagi tahun 2021 kepada 214,000 unit, lebih rendah berbanding angka awal yang diumumkan pada awal tahun, iaitu sebanyak 240,000 unit.

    Syarikat itu pada bulan Jun lalu masih mengekalkan angka sasaran 240,000 unit ketika mereka mengumumkan angka jualan bulan Mei, tetapi ini sebelum PKP yang lebih ketat dikenakan selepas itu, yang menyaksikan semua operasi automotif terpaksa diberhentikan sejak 1 Jun bagi tempoh dua bulan setengah sebelum ini.

    Bulan lalu, syarikat ini memberi isyarat akan menilai semula sasaran jualan bagi tempoh baki tahun ini. Dan walaupun telah menjual 6,988 unit sepanjang Ogos, dengan masa yang singkat sebelum hujung tahun menjadikannya sukar untuk mencapai sasaran asal. “Berdasarkan sumber dan masa yang ada, kami terpaksa mengurangkan sasaran jualan sebanyak 10.8% kepada 214,000 unit untuk tahun ini, berbanding 240,000 unit awalnya,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Sehingga Mei lalu, syarikat itu berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasarannya. Jumlah jualan tahunan setakat ini pula adalah 96,281 unit, 82% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun, Perodua hanya menjual 1,009 unit pada bulan Jun (dari lebihan pendaftaran jualan tempoh sebelumnya) dan hanya 655 unit pada Julai. Setakat Ogos, jumlah jualan terkumpulnya adalah 104,933 unit, penurunan 12.5% berbanding 119,977 unit yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.

    Zailan juga memaklumkan syarikat itu sedang berusaha untuk merapatkan jurang tersebut dengan cara meningkatkan jumlah pengeluaran serta memastikan pematuhan SOP untuk keselamatan pekerja dan pelanggan. Keutamaan syarikat ketika ini adalah untuk memastikan industri automotif tempatan mampu kekal bertahan tahun ini, disebabkan kesan pandemik dan kekurangan bekalan cip semikonduktor peringkat global.

    Beliau menambah, Perodua juga mempunyai cukup bekakan untuk memastikan proses pengeluaran tahun ini berjalan lancar, dan menekankan bahawa semua pesanan sedia ada akan diserahkan kepada pelanggan dalam tahun ini juga.

     
     
  • Pembaharuan lesen memandu, LKM luput dilanjutkan hingga 31 Dis 2021; boleh walk in ke JPJ, Puspakom

    Pembaharuan lesen memandu, LKM luput dilanjutkan hingga 31 Dis 2021; boleh walk in ke JPJ, Puspakom

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah memaklumkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia yang luput atau tamat tempoh dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 ini. Ini susulan dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai baru-baru ini dalam menggunakan perkhidmatan agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    Menurut MOT, mana-mana pemilik LKM dan lesen memandu yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021. Walau bagaimana pun, bagi LKM telah tamat tempoh, pemilik perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah. Malah Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

    Selain itu, MOT mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semua kaunter JPJ di seluruh negara dan juga kaunter rakan strategik JPJ (Puspakom) dengan kapasiti 100% secara walk-in mulai 6 September 2021. Antara lain ia bertujuan memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan pembaharuan LKM dan lesen memandu dengan lancar dalam tempoh pelanjutan yang dibenarkan.

    “Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mestilah mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan yang bertugas. Pada masa yang sama, pelanggan juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Mulai 6 September 2021 juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ,” ujar kenyataan yang dikeluarkan MOT.

    Dalam masa sama, orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my), atau melalui portal dalam talian rakan-rakan strategik JPJ yang lain seperti Pos Malaysia Berhad, MyEG dan PUSPAKOM, untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan. Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ serta memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai dalam membuat transaksi pembaharuan LKM dan LMM.

    “MOT ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di mana-mana kaunter JPJ termasuk memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’, mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar masuk atau ‘check-in’ menggunakan aplikasi MySejahtera,” sambungnya lagi.

    Sebelum ini, JPJ mengingatkan orang ramai agar memperbaharui lesen memandu dan LKM yang tamat tempoh sebelum 30 September ini kerana tiada tempoh lanjutan akan diberikan. Malahan JPJ dan PDRM juga akan memulakan pemeriksaan dan penguatkuasaan mulai 1 Oktober ini. Walau bagaimana pun, dengan pengumuman terbaharu dari MOT ini pasti memberikan kelegaan buat orang ramai yang masih belum berkesempatan untuk memperbaharui lesen memandu atau LKM masing-masing.

     
     
  • Tata Tigor EV facelift dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

    Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

    Tata Motors telahpun melancarkan Tigor EV facelift di India, iaitu versi elektrik sepenuhnya untuk sedan kompak Tigor yang bersaing dalam segmen sub-empat meter di negara berkenaan. Tigor EV ini juga merupakan model elektrik sepenuhnya kedua dari pembuat kereta dari India berkenaan yang ditawarkan untuk orang awam selepas SUV Nexon EV.

    Ia ditawarkan dalam tiga varian kemasan iaitu XE, XM dan XZ+, dan dijual pada harga bermula 1.199 juta rupee (RM68,299) untuk model asas XE, sehingga 1.314 juta rupee (RM74,850) untuk model varian tertinggi XZ+ yang datang dengan warna badan dua tona.

    Harga yang ditawarkan berkenaan menjadikan Tigor EV kini merupakan kereta elektrik penuh (EV) paling mampu milik untuk orang awam di India, lebih murah dari Nexon EV yang dijual pada harga bermula 1.399-1.685 juta rupee (RM79,659-95,944).

    Asas kepada unit penjana Tigor EV ini adalah unit rangkaian kuasa Ziptron Tata, yang menampilkan sistem operasi elektrik 300+ volt, yang jauh lebih baik berbanding versi awalannya yang muncul pada tahun 2019 menampilkan hanya sistem 72-volt.

    Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

    Ia terdiri dari motor elektrik yang memacu roda hadapan (dengan transmisi kelajuan tunggal serta turut memberikan brek pemulihan kuasa) menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan tork maksima 170 Nm. Angka ini jelas lebih besar dari versi sebelumnya yang hanya menawarkan 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan 105 Nm. Bekalan kuasa tersebut membolehkan Tigor EV memecut dari 0-60 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Motor elektrik tersebut menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri lithium-ion dengan sistem penyejuk cecair berkapasiti 26 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 306 km dengan satu caj penuh (disahkan oleh Persatuan Penyelidik Automotif India atau ARAI). Bateri baharu ini juga satu lagi tingkat taraf besar berbanding versi sebelum ini yang hanya berkapasiti 21.5 kWj yang hanya menawarkan jarak gerak sejauh 213 km.

    Sistem 72-volt sebelum ini sebenarnya masih lagi digunakan oleh Tata terhadap versi kenderaan komersil Tigor EV yang dikenali sebagai Xpres-T, yang baru dilancarkan pada Julai lalu. Namun bagi sistem 300+ volt baharu pada Tigor EV facelift ini masih tidak sebaik Nexon EV yang menawarkan motor berkuasa 129 PS/245 Nm dan jarak gerak sejauh 312 km.

    Untuk mengecaj semula bateri, Tigor EV kini sudah tidak lagi menggunakan Bharat EV Charger (BEVC) untuk sistem AC dan pengecaj pantas DC, di mana ia telah digantikan dengan penyambung lebih konvensional. Bagi pengecaj AC, model baharu ini menggunakan pengecaj standard Type 2 dan juga dengan palam 15 A, yang mengambil masa lapan jam 45 minit bagi mendapatkan caj 0-80% (SoC).

    Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

    Manakala untuk pengecaj pantas DC pula, Tigor EV facelift ini menggunakan standard CCS2 dan mana-mana pengecaj DC 25 kW boleh menjana semula bateri dari 0-80% SoC dalam masa hanya 65 minit. Kebolehan ini juga jelas lebih baik dari versi sebelumnya di mana pengecaj AC 3 kW memerlukan 11.5 jam untuk mendapatkan 0-100% SoC dan 15-kW DC memerlukan dua jam untuk 0-80% SoC.

    Menurut Tata, mereka telah menguji unit rangkaian kuasa Ziptron ini dalam jarak melebihi 35 juta km dalam ujian pemanduan dunia sebenar merentas India dengan permukaan muka bumi yang mencabar. Malah pek bateri dan motor elektrik yang digunakan juga menerima penilaian IP67. Ini membolehkan Tata menawarkan waranti lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri dan motor Tigor EV berkenaan.

    Tigor EV ini menampilkan rupa yang sama dengan model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman konvensional, tetapi dibezakan dengan berberapa perincian kecil. Ia menampilkan gril hadapan tanpa sebarang laluan udara, serta diberikan elemen grafik seakan logo Mercedes Benz pada gril tersebut dan liang udara bampar hadapan.

    Asas bahagian dalaman juga masih kelihatan sama, namun untuk model elektrik sepenuhnya ini menampilkan suis putar bagi menggantikan tuil penukar gear konvensional, panel instrumen digital dan juga serlahan-serlahan biru EV.

    Senarai kelengkapan lain yang turut diberikan pada Tata Tigor EV ini termasuk rim 14-inci bersama tayar rintangan golekan rendah bersaiz 175/65R14, lampu hadapan porjektor, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, lampu kabus, upholsteri fabrik, sistem pendingin hawa automatik, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup, serta glove box dengan fungsi penyejuk.

    Model asas XE tidak dibekalkan dengan sebarang pemain muzik, manakala varian XM diberikan skrin 3.5-inci dari Harman bersama empat pembesar suara. Model tertinggi XZ+ pula menerima skrin lebih besar bersaiz tujuh-inci bersama empat tweeter tambahan, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, butang kawalan pada roda stereng dan juga kamera undur.

    Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

    Bagi keselamatan pula, Tata Tigor EV ini menerima hanya dua beg udara, brek ABS bersama EBD dan juga sistem kestabilan elektronik. Walaupun kelengkapan tersebut dilihat sangat asas, kereta elektrik mampu milik berkenaan mencapai penarafan empat binang dalam ujian keselamatan Global NCAP (GNCAP).

    Tigor EV ini merupakan model EV pertama yang diuji oleh GNCAP, dan ia mendapat respon positif dari setiausaha agung GNCAP, Alejandro Furas. “Tata telah menunjukkan penambahbaikkan keselamatan yang konsisten menerusi kesemua barisan modelnya,” kata Furas.

    “Tigor membuktikan bahawa penambahbaikkan turut boleh dibuat pada model-model EV, di mana ia membabitkan kesukaran teknikal kerana sistem rangkaian kuasa elektrik. Tata memang sepatutnya dikenali dan dihargai untuk komitmen ini bagi menambahbaik kenderaan mereka dalam respon terhadap seruan Global NCAP bagi mendemokrasikan keselamatan kenderaan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Perodua catat jualan 6,988 unit kereta sepanjang Ogos

    Perodua catat jualan 6,988 unit kereta sepanjang Ogos

    Sepanjang bulan Ogos lalu, Perodua telah menjual sebanyak 6,988 unit kenderaan, 10 kali ganda lebih banyak berbanding angka kenderaan yang didaftarkan pada Julai. Ini disebabkan kilang dan bilik pameran Perodua kini beransur-ansur menyambung semula operasinya sejak 16 Ogos lalu.

    “Kami menjangka akan melihat peningkatan pengeluaran dan jualan kenderaan pada September kerana keadaan beransur pulih,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin. Semua operasi Perodua ditangguhkan berikutan PKP yang dikenakan oleh kerajaan bermula 1 Jun lalu untuk membendung jangkitan Covid-19.

    Bagi jumlah jualan tahunan setakat Ogos 2021, pendahulu pasaran ini telah mendaftarkan 104,933 kenderaan, 12.5% lebih rendah berbanding 119,977 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

    “Kami sedang bertungkus-lumus untuk merapatkan jurang ini dengan cara merancakkan lagi jumlah pengeluaran dan meningkatkan SOP bagi memastikan keselamatan semua pekerja dan pelanggan kami,” ujar beliau, dan menambah, berdasarkan sumber dan masa yang ada, sasaran pengeluaran syarikat itu untuk 2021 kini diturunkan sebanyak 10.8%, dari 240k unit kepada 214k unit.

    Kekurangan bekalan cip semikonduktor di peringkat dunia juga masih berterusan, namun Perodua memaklumkan pihaknya telah mendapatkan cukup bekalan untuk membolehkan pengeluarannya berjalan lancar untuk baki tahun ini. Dengan keadaan beransur-ansur pulih, kedudukan carta jualan bagi Julai 2021 yang menyaksikan Proton berada di atas, Mitsubishi ketiga dan Perodua di tangga keempat, tidak akan kekal lama seperti itu.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz E200 Avantgarde facelift 2021 di Malaysia – 197 PS, 320 Nm; harga dari RM327k

    GALERI: Mercedes-Benz E200 Avantgarde facelift 2021 di Malaysia – 197 PS, 320 Nm; harga dari RM327k

    Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan E-Class W213 facelift pada Julai lalu. Namun disebabkan sekatan dan langkah berjaga-jaga akibat pandemik, kami mengambil sedikit masa untuk merakamkan foto bagi galeri penuhnya, dan apa yang dipaparkan di sini ialah varian E 200 Avantgarde.

    Dijual pada harga atas jalan RM326,943 tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD, E 200 W213 E 200 merupakan salah satu dari dua varian empat-silinder janaan petrol yang baru-baru ini diperkenalkan, satu lagi ialah E 300 AMG Line.

    Kedua-duanya dijanakan oleh enjin M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol, dengan E 200 Avantgarde menghasilkan 197 PS dari 5,500 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 320 Nm dari 1,650 rpm hingga 4,000 rpm. Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan. E 200 mampu mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan kelajuan maksimum cecah 240 km/j.

    Untuk driveline dan casis, E 200 Avantgarde juga seperti E 300 AMG Line yang memiliki pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan suspensi Agility Control, dengan peredaman terpilih secara pasif.

    Ia turut diberikan roda aloi lima-jejari-berkembar 18-inci yang dibaluti tayar hadapan dan belakang 245/45, dengan ciri luaran lain termasuk lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

    Di dalamnya, ia diberikan paparan digital, dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Digelar Widescreen Cockpit dalam terma bagi Mercedes-Benz, ia didatangkan dengan dua paparan skrin lebar 12.3-inci, satu untuk instrumentasi pemandu, dan satu lagi merupakan skrin sesentuh.

    Upholstery dan kemasan di dalam E 200 Avantgarde termasuklah kulit Nappa untuk roda stereng dengan butang Touch Control kapasitif, dengan kemasan aluminium dan kayuan hitam untuk konsol tengah. Tempat duduk upholstery dengan kulit Artico buatan manusia, sementara tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan fungsi memori. Kawalan suhu dengan unit dwi-zon Thermatic dan tingkap belakang turut diberikan tirai suria larasan kuasa.

    Untuk kit keselamatan, E 200 Avantgrade ditampilkan dengan kamera undur, Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Bantuan Titik Buta, Keyless-Go, Pre-Safe dan Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan sendiri). Ia turut disertakan dengan Urban Guard, sistem pemantauan sekeliling menerusi servis ketersambungan Mercedes me.

    Ini termasuklah sistem bunyi anti-pencuri, pelindungan tow-away dengan visual dan amaran yang. dikeluarkan sekiranya terdapat perubahan posisi dikesan, siren bunyi, pemantauan dalaman termasuk pra-pemasangan untuk kecurian dan pengesan pelanggaran di tempat letak kereta.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz E 200 Avantgarde W213 2021; klik untuk besarkan

     
     
  • Proton Iriz dan Persona 2022 – audit kualiti produksi kini hampir pada Volvo & Geely, naik 87% sejak 2017

    Selepas bernaung di bawah Geely, Proton kini menggunakan kaedah markah demerit Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang sama seperti apa yang digunakan oleh kilang Geely dan Volvo bagi menentukan tahap kualiti produk yang dikeluarkan oleh kilang mereka.

    Dengan adanya kaedah tersebut, Proton dapat memantau kualiti produk mereka agar selari dengan standard global. Sistem ini menilai setiap isu yang terjadi pada barisan produksi berdasarkan tahap keparahannya – lebih teruk kualiti, makin tinggi markah demerit yang diberikan, dan makin kurang markah, tahap kualiti produk tersebut dinilai lebih baik.

    Jadi bagaimana tahap GCPA Proton Iriz dan Persona facelift 2022 yang baru dilancarkan bulan lalu buat masa sekarang? Menurut eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah baru-baru ini, ketika mula-mula sistem GCPA ini diperkenalkan pada 2017, Persona menerima demerit setinggi 5,460 markah, manakala Iriz pula lebih tinggi dengan 6,590 markah.

    Proton Iriz dan Persona 2022 – audit kualiti produksi kini hampir pada Volvo & Geely, naik 87% sejak 2017

    Menjelang 2018, markah demerit masing-masing dilihat turun mendadak dengan Persona mencatatkan 1,840 markah dan Iriz mencatatkan 2,160 markah. Manakala pada 2019, markah GCPA tersebut dilihat sekali lagi turun dengan Persona merekodkan 1,360 markah, dan Iriz pula 1,420 markah.

    Adzrai yang juga ketua projek untuk kedua-dua model ini menyatakan bahawa syarikatnya masih tidak berpuas hati dengan kadar penurunan markah demerit CGPA berkenaan, dan mahu ia diturunkan lagi supaya berada di bawah 1,000 markah menerusi model facelift Persona dan Iriz 2022 yang baru dilancarkan tempoh hari.

    Hasilnya, kini Persona sudahpun mencatatkan markah demerit GCPA serendah 900 markah manakala Iriz pula kini lebih baik dari kembar sedannya itu dengan hanya 880 markah. Prestasi yang dicatatkan ini menunjukkan bahawa kualiti produk untuk Persona dan Iriz kini masing-masing adalah 83.5% dan 87% lebih baik berbanding pada tahun 2017.

    Angka yang ditunjukkan tersebut juga menunjukkan GCPA Proton kini semakin hampir dengan paras yang dicatatkan oleh Geely dan Volvo. Malah, markah terkini GCPA terbaharu berkenaan adalah lebih baik dari apa yang dicapai Geely pada tahun 2019 iaitu pada tahap 1,100 markah, dan sangat hampir dengan Volvo dengan 850 markah demerit pada tempoh yang sama.

    Selain dari penambahbaikkan yang dapat dilihat pada kawalan kualiti, Proton juga telah mengenalpasti enam lagi aspek yang telah dipertingkat untuk Persona dan Iriz 2022 ini berbanding 2019. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, penggunaan bahan api telah mencatatkan kadar lebih rendah, manakala aspek keselesaan pemanduan dan pengedalian juga telah dipertingkat.

    Tahap NVH dalam aspek kebocoran udara untuk kedua-dua model ini juga telah ditambahbaik, serta jarak membrek juga kini lebih dekat di mana Iriz yang sebelum ini mencatatkan 42.8 meter dan Persona 43.9 meter, kedua-duanya kini mampu berhenti dalam jarak kurang dari 4 meter.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    Proton Persona 1.6L Premium 2022

     
     
  • Mercedes-AMG GT63S E Performance didedah – model PHEV AMG pertama dengan kuasa 843 PS, 1,470 Nm

    Mercedes-AMG GT63S E Performance didedah – model PHEV AMG pertama dengan kuasa 843 PS, 1,470 Nm

    Selepas hanya dihidangkan dengan teaser dan khabar angin, Mercedes-AMG akhirnya menerjah masuk ke dunia elektrik apabila mendedahkan GT 63 S E Performance baru. Ini adalah sebuah model plug-in hybrid dengan kuasa lebih 800 hp seperti yang dijanjikan, tetapi masih tidak menggunakan nama GT 73 seperti jangkaan ramai.

    Termasuk dalam barisan GT 4-Door Coupe, GT 63 S ini adalah model V8 pertama dalam barisan model facelift dan menjadi kereta pertama daripada pengeluar itu yang menggunakan nama E Performance. Di bawah bonetnya terdapat enjin M177 V8 4.0 liter twin turbo, yang masih menghasilkan kuasa 639 PS dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan 900 Nm tork antara 2,500 hingga 4,500 rpm.

    Setakat ini semuanya kedengaran biasa sahaja, tetapi di belakang barulah ada yang berbeza. Ia dipasang dengan motor elektrik P3 yang menghasilkan 150 kW (204 PS) dan 320 Nm, memacu roda belakang melalui LSD elektronik dan transmisi dua kelajuan. Pada kelajuan 140 km/j, transmisi itu akan masuk ke gear kedua untuk membolehkan ia terus memberi kuasa pada kelajuan tinggi.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance didedah – model PHEV AMG pertama dengan kuasa 843 PS, 1,470 Nm

    Satu lagi propshaft membenarkan sedikit tork dihantar ke roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta pacuan semua roda. Motor elektrik juga ada lagi satu, tetapi adalah unit pacuan starter-generator 10 kW (14 PS), yang diletakkan di antara enjin dan transmisi automatik Speedshift MCT 9G sembilan kelajuannya, dan memberikan kuasa kepada aksesori lain sekiranya bateri utama lemah.

    Hasil daripada semua sumber ini, GT 63 S E Performance dapat menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm tork, menjadikan ia sebagai model AMG produksi bersiri yang paling berkuasa setakat ini. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, sebelum mencapai 200 km/j dalam masa 10 saat dan mencecah kelajuan maksimum 316 km/j.

    Kereta ini sudah tentu boleh bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, tetapi bateri lithium ion penyejukan cecair yang berada di belakangnya tidak begitu besar, dan cuma mempunyai kapasiti 6.1 kWh. Mercedes-AMG memberitahu ia berkhidmat lebih untuk penyampaian kuasa yang pantas berbanding jarak gerak, dengan menghasilkan 70 kW (95 PS) secara berterusan dan 150 kW secara maksimum hingga 10 saat.

    Jarak gerak elektrik untuk GT 63 S ini cuma 12 km (pada kelajuan sehingga 130 km/j), dan baterinya cuma mempunyai berat 89 kg. Tempoh masa mengecas masih belum diberitahu, tetapi kereta ini boleh menerima kuasa AC sehingga 3.7 kW melalu pengecas on-board padanya.

    Pemilih mod pemanduan AMG Dynamic Select menyediakan pilihan Electric, Comfort, Sport, Sport+ Race, Slippery dan Individual. Dalam keadaan asal ia terus masuk ke mod Comfort dan hidup tanpa sebarang bunyi, tetapi menggunakan bunyi yang dihasilkan melalui pembesar suara. Terdapat juga sistem amaran akustik yang mengeluarkan bunyi khas melalui pembesar suara luar dan dalam bagi mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

    Dari Sport ke Race, lebih banyak kuasa elektrik akan diberi, sambil maklum balas pendikit, penukaran gear, stereng serta suspensi dijadikan lebih responsif. Sistem penjanaan semula kuasa brek juga mempunyai empat tahap, dari langsung tiada ke pemanduan satu pedal, manakala dalam mod Race ia dipadankan bersama mod Level 1 biasa.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance didedah – model PHEV AMG pertama dengan kuasa 843 PS, 1,470 Nm

    GT 63 S E Performance datang terus dengan suspensi udara AMG Ride Control+ dengan penyerap adaptif yang ditala semula, brek karbon seramik dengan cakera 420 mm serta angkup enam piston di hadapan, dan cakera 380 mm di belakang.

    Melihat kepada penampilan, tidak banyak yang membezakan GT 63 S E Performance ini dengan model GT enam silinder lain, kecuali terdapat penutup tempat mengecas pada bampar belakangnya. Ia juga mempunyai kemasan hitam berkilat pada bukaan udara tepi bampar, serta bukaan udara tengah yang direka semula.

    Pada bahagian dalam, model ini mendapat roda stereng dua cabang AMG dengan bentuk rata di bawah, serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang mempunyai paparan khas untuknya.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion 2021 di Malaysia — 280 PS, 350 Nm, dari RM249k

    GALERI: Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion 2021 di Malaysia — 280 PS, 350 Nm, dari RM249k

    Dilancarkan awal Julai tahun ini, Volkswagen Arteon facelift terbaru ini ditawarkan dalam varian tunggal 2.0 TSI 4Motion R-Line yang dijual pada harga RM248,693 atas jalan tidak termasuk insurans (mahal RM27,000 berbanding versi sebelum ini). Kini, kami bawakan galeri penuh untuk anda dekati perincian model terbabit.

    Ambil maklum yang harga dinyatakan ini sudah mengambil kira pengecualian SST, dalam kes ini sebanyak 100% kerana Arteon ini dipasang CKD di Pekan, Pahang. Termasuk dalam harga tersebut ialah jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan tiga tahun servis percuma.

    Dari segi penampilan, rekaan gril Arteon ini diberi sentuhan semula dengan lanjutan ke bahagian jalur lampu LED pada DRL. Lampu belakang juga hadir dengan grafik baru, termasuk bentuk L. Kemasan R-Line menjadikannya lebih agresif, terutama pada bampar depan dengan bilah bukaan udara dalam warna badan serta diffuser belakang warna hitam serta empat muncung ekzos hiasan. Kereta ini juga yang pertama di Malaysia menggunakan logo baru Volkswagen.

    Bahagian dalam diberikan lebih banyak perubahan. Corong udara bersegi dan jalur perak di separuh kabin antara tambahannya. Juga, tiada lagi jam analog di tengah. Turut diberikan ialah suis yang sensitif terhadap sentuhan untuk kawalan pendingin serta stereng rekaan baru. Tidak ketinggalan pencahayaan suasana dalam 30-warna. Kerusi ErgoComfort pula menampilkan rekaan agresif dengan bahagian perehat kepala bersepadu dengan logo R.

    Kuasanya dijana oleh unit EA888 2.0 liter turbocas empat-silinder, kini menghasilkan 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm antara 1,700 dan 5,600 rpm. Ini 50 PS lebih rendah berbanding model spesifikasi Eropah, tetapi mewakili peningkatan sebanyak 90 PS dan 30 Nm berbanding model sebelum ini. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, dengan pacuan kini dihantar ke semua empat roda melalui sistem 4Motion. Dengan kelengkapan yang lebih banyak, ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

    Kelengkapan standard pula kekal sama, termasuklah lampu utama LED penuh, lampu balakang LED dengan lampu isyarat sequential dan rim 19-inci Montevideo dua-tona warna seperti sebelum ini. Di dalam, Arteon kekal menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak gentian dan lengkap dengan sistem bunyi Harman Kardon 700-watt dengan 12-pembesar suara (sebelum ini menggunakan unit Dynaudio).

    GALERI: Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion 2021 di Malaysia — 280 PS, 350 Nm, dari RM249k

    Turut melengkapinya adalah ciri tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, kawalan pendingin tiga-zon, pengilap dan lampu automatik, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh Discover Pro 9.2-inci dengan kawalan gerakan, Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto, penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360-darjah dan pintu ruang belakang tanpa kendalian tangan.

    Dari sudut keselamatan, Arteon menerima ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, enam beg-udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, brek pasca-perlanggaran dan ISOFIX. Bagaimanapun, kereta ini masih tidak dilengkapi dengan ciri brek kecemasan autonomous, walaupun hadir dengan kamera untuk ciri pengekalan lorong.

     
     
  • GALERI: BMW 330Li M Sport G28 2021 di M’sia – jarak roda panjang; ruang dalaman lebih besar; dari RM277k

    GALERI: BMW 330Li M Sport G28 2021 di M’sia – jarak roda panjang; ruang dalaman lebih besar; dari RM277k

    BMW 330Li M Sport G28 2021 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada Julai lalu. Versi jarak roda lebih panjang bagi 3 Series G20 ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM277,164 tanpa insurans, dan merupakan harga dengan pengecualian cukai jualan sepenuhnya kerana ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

    Harga tersebut termasuk dengan waranti dua-tahun dan tanpa had perbatuan, tetapi jika anda inginkan waranti lanjutan selama lima-tahun dan pakej servis, harganya meningkatkan ke RM290,284. Dengan dan tanpa pakej tambahan selepas jualan, harganya adalah lebih RM6,000 berbanding versi 330i M Sport dengan jarak roda biasa.

    Seperti yang dinyatakan, perbezaan utama antara 330Li dan 330i adalah jarak rodanya.Di mana 330Li memiliki ukuran 110 mm lebih panjang iaitu mencecah 2,961 mm. Hasil pertambahan dimensi untuk kerangka dan bumbungnya telah dipertingkatkan sebanyak enam mm berbanding 330i ke 1,441 mm. Walau bagaimana pun, 330Li masih kurang 144 mm bagi keseluruhan panjangnya berbanding model 5 Series G30 (4,819 mm vs 4,963 mm) dan 14 mm lebih pendek untuk jarak rodanya (5 Series berukuran 2,961 mm).

    Dengan lebih ruang antara roda hadapan dan belakang, penumpang belakang kini boleh menikmati lebih 42 mm bagi ruang kaki berbanding 330i, tetapi ruang but dengan kapasiti 480 liter dikekalkan. Sementara itu, 330Li turut menerima corong ekzos trapezoidal yang spesifik untuk model ini berbanding corong paip bulat, palang pencahayaan di belakang tempat duduk hadapan yang disambungkan ke sistem pencahayaan ambien 11-warna dan tempat duduk belakang kini tidak lagi boleh dibaringkan.

    Bagi segi kelengkapannya, 330Li menerima pakej penggayaan M Sport secara standard, termasuk dengan bampar yang lebih agresif dan skirt sisi yang lebih ke dalam. Selain itu, ia turut diberikan roda aloi lima-jejari-berkembar style 848 dua-tona 18-inci bagi menggantikan unit pelbagai-jejari style 790 M pada 330i. Untuk pencahayaannya, ia menerima lampu LED adaptif yang sama seperti 330i tetapi 330Li tidak diberikan lampu kabus hadapan LED.

    Di dalamnya, 330Li turut menerima kelengkapan M termasuk roda stereng kulit dan pedal, manakala kemasan pula menggunakan Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3-inci BMW Live Cockpit Professional manakala untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 10.25-inci.

    Ruang kaki bahagian belakang BMW 330Li (kiri), ruang kaki bahagian belakang 330i (kanan); Individu terbabit berketinggian 175 cm

    Dibandingkan dengan 330i, papan pemuka 330Li dibaluti dengan kulit tiruan Sensatec dan ia turut diberikan kawalan galvanic perak. Tempat duduk hadapannya juga diberikan tempat duduk yang selesa secara standard, bukannya tempat duduk sport, tetapi masih dengan fungsi larasan kuasa dan juga tatapan memori untuk tempat duduk pemandu.

    Ciri eksklusif untuk 330Li ialah bumbung kaca panoramik, selain pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga zon serta Comfort Access System. Pemilik juga boleh menikmati khidmat seperti navigasi on-the-go dan e-mobility melalui aplikasi My BMW yang menggantikan BMW Connected pada telefon pintar.

    Ciri lain yang terdapat dalam senarai kelengkapan masih sama seperti pada 330i, termasuklah kemasukan tanpa kunci dan penghidup enjin, cermin anti-kelam, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, kawalan kelajuan pasif, bantuan parkir, bantuan mengundur, kamera undur dan tailgate bukaan bebas-tangan (untuk menutupnya adalah secara manual).

    Untuk sistem bantuan pemandu, 330Li didatangkan dengan Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Menukar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Lintasan Tranfik, dan Pengelak Pelanggaran Belakang serta paparan titik buta secara standard.

    Risalah spesifikasi BMW 330Li; Klik untuk besarkan

    Bergantung pada kelengkapan dalaman, 330Li lebih nampak mewah dan membentukan pengalaman pemanduan yang lebih selesa. Malahan ia juga diberikan sistem stereng Servotronic biasa dan suspensi yang selesa berbanding 330i yang diberikan variable sport steering dan suspensi pasif M Sport.

    Enjin pada 330Li masih lagi sama seperti 330i, iaitu unit 2.0L TwinPower Turbo empat-silinder petrolyang mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm, bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan dan menyalurkan kuasa pada roda belakang. Masa pecutan 0-100 km/j bagaimanapun bertambah sedikit menjadi 6.2 saat, berbanding 5.8 saat bagi 330i. Manakala penggunaan bahan api dianggarkan pada kadar 6.4 liter bagi setiap 100 km.

    Terdapat dua warna luaran diberikan – Mineral White dan Carbon Black – berbanding lima pilihan untuk 330i. Jadi, adakah anda berminat dengan versi jarak roda lebih panjang atau pun 330i standard dengan harganya tidak begitu jauh berbeza?

     
     
  • Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Sebelum ini tentu ramai yang menyangka model facelift bagi Iriz dan Persona 2022 yang dilancarkan bulan lalu menerima kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT macam Saga facelift 2019 bukan?

    Namun sangkaan tersebut meleset. Ketika ramai yang mahukan sedan dan hatchback itu hadir dengan kotak gear AT biasa, mengapa Proton masih mempertahankan transmisi CVT dari Punch berkenaan? Persoalan tersebut telah dijawab oleh eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah baru-baru ini.

    Menurutnya, Proton mengambil keputusan untuk terus menggunakan kotak gear CVT dari Punch berkenaan setelah menjalankan pelbagai kajian dan juga mengambil kira maklum balas pasaran, secara khususnya mengambil model-model segmen-B dari Jepun sebagai kayu ukur. Kotak gear CVT ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik berbanding kotak gear lain dengan harga yang sama bagi segmen ini, dan sebab itu ia masih digunakan oleh kebanyakkan jenama dalam segmen yang sama, jelas Adzrai.

    Beliau turut menambah bahawa Iriz dan Persona facelift tidak menggunakan kotak gear 4AT dari Hyundai seperti yang dibuat pada Saga kerana ia hanya mempunyai empat kelajuan dan bakal mengorbankan aspek penggunaan bahan api. Perlu diingat, Iriz (varian Executive dan Active) serta Persona dijana oleh enjin 1.6 liter, menampilkan tork lebih besar berbanding Saga yang hanya dijana oleh enjin 1.3 liter.

    Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Malah, jumlah pengeluaran untuk Iriz dan Persona juga tidak sebanyak Saga (dengan jumlah produksi 4,500 hingga 5,000 unit sebulan kerana ia lebih murah), jadi kos kejuruteraan untuk memadankan kotak gear 4AT tersebut juga tidak dapat dibuat dengan kos yang efektif.

    Adzrai turut menyatakan bahawa kotak gear enam-kelajuan automatik konvensional “mungkin dipertimbangkan” ketika itu bagi dipadankan dengan enjin CamPro VVT Iriz dan Persona, namun sudah tentu ia akan meningkatkan kos, jadi keputusan yang dibuat adalah hanya kekal dengan CVT.

    Selepas banyak perbincangan yang dibuat, Proton mendapati kebanyakkan respon yang diberikan terhadap CVT adalah dari segi kualiti ketahanannya. Perkara ini telahpun diatasi pada model facelift 2019, namun ia masih belum didedahkan kepada umum.

    Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Menurut Adzrai, selepas penambahbaikkan yang dibuat pada model facelift 2019 berkenaan, tuntutan waranti terhadap kotak gear CVT tersebut telah menurun sebanyak 80%, dan ini menunjukkan bahawa kotak gear CVT berkenaan kini telah terbukti boleh diharap. Oleh itu, ini menjadi satu lagi faktor untuk Proton mengekalkan kotak gear CVT tersebut berbanding mencari kotak gear lain yang mungkin akan membawa risiko baharu.

    Jadi, Proton mengambil keputusan untuk terus menggunakan kotak gear CVT Punch tersebut, dalam masa yang sama memperhalusinya dengan mengambil transmisi CVT pada Toyota Vios dan Honda City sebagai penanda aras.

    Proton sebelum ini sudah pun memberikan talaan bagi membolehkan kotak gear CVT Punch berkenaan memberikan respon yang jauh lebih baik pada model kemaskini 2017 berbanding versi asal 2014 yang membuatkan enjin ‘meraung tidak tentu pasal’. Ia juga kini berfungsi jauh lebih senyap tanpa bunyi berdengung masuk ke dalam kabin.

    Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Manakala pada model 2021 ini, kotak gear CVT tersebut diberikan semula mod SAT (stepped automatic transmision), yang membolehkan pemandu merasa tukaran gear maya seakan kotak gear AT. Berbeza dengan versi SAT yang pernah diberikan pada model-model terdahulu Proton, ia kini sudah tidak lagi menampilkan butang untuk mengaktifkannya. Mod berkenaan akan diberikan secara automatik sama ada pada posisi gear ‘D’ atau ‘S’ secara automatik berdasarkan situasi.

    Menurut Adzrai, menerusi sistem baharu ini, fungsi ‘stepped’ tersebut tidak akan diaktifkan sekiranya pemandu hanya menekan pedal pendikit sekitar 60% hingga 70%. Lebih dari itu barulah pemandu akan ‘merasa’ tukaran gear berkenaan, dan ia berbeza dari versi awalan SAT di mana pemandu perlu menekan semula butang berkenaan untuk kembali ke mod CVT biasa.

    Adzrai menjelaskan bahawa ia diubah sebegini kerana butang SAT pada model terdahulu berkenaan didapati jarang digunakan oleh pemandu, dan apabila ia ditekan, mod tersebut memberikan “pemanduan yang tidak lancar”.

    Proton Iriz dan Persona 2022 – kenapa masih pakai transmisi CVT Punch dan tidak 4AT seperti Saga?

    Dengan memberikan nisbah gear maya ini juga ia boleh mengelakkan dari terjadinya bunyi enjin yang mengaum seakan pengering rambut yang biasa dihasilkan oleh kereta dengan kotak gear CVT apabila ia memecut dengan pedal pendikit ditekan sepenuhnya, kerana ia sentiasa mahu mengekalkan nisbah gear sepadan dengan lengkung kuasa enjin – sekitar 5,000 rpm hingga 5,500 rpm – kemudian baru diikuti dengan kelajuan yang semakin meningkat.

    Oleh sebab itu, mod SAT berkenaan hanya akan aktif ketika kereta dipecut sepenuhnya, manakala ketika pemanduan santai, kotak gear akan memberikan tukaran gear CVT biasa yang lebih lancar dan tidak terasa sebarang sentakan.

    Dengan perubahan yang agak besar dibuat pada perisian kotak gear CVT ini bagi memperhalusi operasinya pada Iriz dan Persona 2022, mengapa Proton seolah-olah tidak menyiarkannya penambahbaikkan tersebut pada bahan-bahan promosi ketika ia dilancarkan bulan lalu?

    Menurut Proton, mereka mengambil keputusan untuk mengalihkan perhatian pengguna terhadap fungsi baharu lain pada dua model yang disegarkan tersebut termasuk sistem infotainmen GKUI yang membolehkan sistem arahan suara “Hi Proton” mengawal sistem pendingin hawa dan tingkap kuasa sebelah pemandu, serta varian baharu Iriz Active yang nampak seperti SUV.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    Proton Persona 1.6L Premium 2022

     
     
  • Vinfast e34 – EV pertama daripada pengeluar Vietnam

    Vinfast e34 – EV pertama daripada pengeluar Vietnam

    VinFast telah mendedahkan kereta elektrik pertama mereka yang merupakan sebuah SUV, iaitu VF e34. Ia adalah satu daripada tiga model EV yang akan dikeluarkan oleh pengeluar Vietnam ini, dan perinciannya juga sudah disiarkan.

    VF e34 mempunyai ukuran panjang 4,300 mm, lebar 1,793 mm dan tinggi 1,613 mm, dengan jarak roda 2,611 mm dan jarak dari tanah 180 mm, sekaligus meletakkan ia dalam kategori SUV segmen B jika melihat kepada saiz fizikalnya, dan berat adalah 1,490 kg.

    Motor elektrik tunggal pada EV ini mempunyai kemampuan 147hp dan 242 Nm tork untuk dihantar kepada roda hadapan, sementara bateri pula menggunakan unit lithium ion 42 kWh untuk menyediakan jarak gerak sehingga 300 km dengan sekali cas, dan jarak 180 km selepas dicas 15 minit.

    Dalam risalah pemasaran EV ini di Vietnam, ia dikatakan datang dengan penapis HEPA PM2.5, serta sistem infotainmen yang mempunyai sambungan Wi-Fi, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi ABS, Stability Control, EBD, Traction Control, Hill Start Assist, enam beg udara serta Isofix.

    Menurut VinFast, semasa pelancaran, e34 dijual pada harga bermula VND690 juta (RM123,569) untuk versi asas tidak termasuk bateri, sementara untuk bateri, ia ditawarkan secara langganan iaitu VND1.45 juta (RM265) sebulan untuk jarak gerak 1,400 km dan lebih daripada itu, mereka mengenakan caj VND998 (RM0.18).

    Untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan SUV elektrik ini, VinGroup telah menyediakan dana “For A Green Future” yang menawarkan rebat VND30 juta (RM5,489) kepada pelanggan yang beralih daripada kenderaan petrol kepada VF e34 apabila mereka menjual kenderaan mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025