Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

    BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

    Selepas muncul dalam teaser dan spyshot, BMW 2 Series Coupe G42 akhirnya didedahkan secara rasmi kepada dunia. Model serba baru ini menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) dan badannya menjadi lebih besar tetapi rendah, berbanding model generasi sebelumnya.

    Panjang keseluruhan bertambah 105 mm, lebar bertambah 64 mm, jarak roda bertambah 51 mm, sementara tinggi pula berkurangan 28 mm. Jarak antara roda kiri dan kanan juga bertambah, iaitu 54 mm di hadapan dan 31 mm di belakang, sementara bagi varian M240i xDrive ia lebih lebar iaitu masing-masing 63 mm dan 35 mm.

    Dalam keadaan standard, casis model generasi G42 ini menggunakan suspensi two-joint strut di hadapan, sementara di belakang mengunakan tetapan five-link, bersama padanan sistem stereng kuasa elektrik Servotronic. Jika mahukan yang lebih baik, pemilik diberikan pilihan suspensi M Sport, serta sistem stereng sport.

    BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

    Varian M240i xDrive yang terletak di atas mempunyai kelengkapan lebih mantap, seperti suspensi M Sport, tambahan axle strut di hadapan, brek M Sport serta differential belakang M Sport. Kemudiannya, pelanggan diberikan pilihan untuk menaik taraf kepada penyerap adaptif. Rim bersaiz 17 inci diberikan standard, namun varian M Sport mendapat unit 18 inci M sementara M240i xDrive mendapat unit 19 inci.

    Semasa pelancaran awal ini, varian paling tinggi yang diperkenalkan adalah M240i xDrive, yang menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter, bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic untuk menghantar 374 hp pada 5,500 hingga 6,500 rpm, dan 500 Nm tork pada 1,900 hingga 5,000 rpm kepada semua tayar. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.3 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.

    Ia kemudiannya disertai 220i Coupe, yang digerakkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkemampuan 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm tork antara 1,350 hingga 4,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan. Satu lagi varian yang menggunakan enjin petrol empat silinder, iaitu 230i akan tiba pada tahun depan.

    Bagi model baru ini juga masih ada versi diesel, iaitu 220d, di mana ia mampu menghasilkan kuasa 190 hp pada 4,000 rpm dan 400 Nm tork pada 1,750 hingga 2,500 rpm. Sama seperti versi petrol, 220d ini juga menggunakan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan.

    Dengan saiz luaran yang bertambah, bahagian dalam juga menjadi lebih luas. Bahagian but contohnya, menyediakan tambahan 20 liter ruang simpanan, menjadikan keseluruhannya 390 liter. Tempat memasukkan barang juga dibuat 35 mm lebih rendah demi memudahkan pengguna.

    Selain daripada gaya yang diubah, gril hadapan 2 Series G42 ini juga mempunyai jalur menegak aktif yang boleh dibuka dan ditutup secara elektronik untuk menyampaikan angin kepada enjin. Pada bucu bampar terdapat bukaan udara berbentuk segi tiga dan pada M240i xDrive, ia adalah lebih besar.

    BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

    Untuk bahagian dalam, kemasan standard yang diberi adalah kombinasi fabrik hitam dengan Sensatec, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit. Balutan kulit Vernasca disediakan sebagai pilihan tambahan apabila mengambil tempat duduk sport, dan ia boleh didapati dalam empat warna. Turut disediakan adalah piihan tempat duduk M Sport yang dibalut kulit (dua pilihan warna).

    Pada bahagian keselamatan, 2 Series G42 mendapat amaran perlanggaran hadapan, informasi had laju, amaran keluar lorong serta cruise control dengan fungsi membrek secara standard. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan amaran trafik dari belakang, cruise control aktif dengan fungsi stop and go, bantuan undur, kamera undur, pandangan 3D, head-up display dan BMW Drive Recorder.

    Sistem infotainmen 2 Series baru ini dikawal oleh BMW Operating System 7 dan dipaparkan melalui skrin 8.8 inci serta panel instrumen 5.1 inci berwarna yang menjadi sebahagian daripada BMW Live Cockpit. Sebagai pilihan tambahan, pemilik boleh mendapatkan BMW Live Cockpit Professional yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci serta panel paparan 10.25 inci di tengah.

    GALERI: BMW 220i G42

    GALERI: BMW M240i xDrive G42

     
     
  • Penumpang LRT Laluan Kelana Jaya pada 3 Julai, MRT Laluan Kajang pada 5 Julai disaran jalani swab test

    Penumpang LRT Laluan Kelana Jaya pada 3 Julai, MRT Laluan Kajang pada 5 Julai disaran jalani <em>swab test</em>

    Rapid KL menyarankan agar para pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan juga MRT Laluan Kajang supaya membuat ujian saringan kesihatan dengan melakukan swab test jika mempunyai gejala ekoran dua penumpangnya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

    Menurut pengendali kedua-dua perkhidmatan awam terbabit, seorang penumpang yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya pada 3 Julai lalu telah disahkan positif Covid-19. Penumpang berkenaan telah menghantar mesej menerusi Twitter kepada Rapid KL dan mengatakan beliau menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya pada kira-kira jam 6.50 pagi dan turun di KL Sentral pada hari berkenaan. Beliau kembali menggunakan perkhidmatan LRT untuk perjalanan pulang iaitu dari Stesen KL Sentral untuk ke Subang Jaya pada 4.15 petang.

    Seorang lagi penumpang yang menggunakan MRT Laluan Kajang pada 5 Julai lalu telah menghantar e-mel kepada Rapid KL, dan mengatakan beliau menaiki tren dari Stesen MRT TTDI ke Stesen MRT Bukit Dukung untuk menjalani saringan Covid-19 pada pukul 4.30 petang dan keputusannya adalah positif.

    Dalam masa yang sama, para pengguna perkhidmatan Rapid KL diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP sepanjang masa untuk membantu mencegah penularan pandemik Covid-19. Malah Rapid KL turut mengingatkan bahawa mereka yang sudah menjalani ujian saringan atau swab test supaya mengasingkan diri daripada orang lain sehingga mendapat keputusan mengesahkan anda negatif.

     
     
  • Volkswagen Golf R Mk8 ABT – ekstrak 384 PS dan 470 Nm hanya dengan kotak komputer enjin baharu!

    Volkswagen Golf R Mk8 ABT – ekstrak 384 PS dan 470 Nm hanya dengan kotak komputer enjin baharu!

    Penala dari Jerman, ABT Sportsline telah mengumumkan kelengkapan bagi mengekstrak lebih kuasa untuk barisan model prestasi Volkswagen Golf Mk8 iaitu GTI, GTI Clubsport, GTD dan R. Untuk permulaan, ABT hanya menawarkan satu komponen untuk penambahan kuasa tersebut iaitu kotak komputer enjin, dan secara asasnya tingkat taraf ini dilakukan semudah plug-and-play.

    Untuk Golf GTI, enjin EA888 2.0 liter turbo empat-silinder yang pada asalnya mampu menghasilkan 245 PS dan tork maksima 370 Nm, mampu untuk menjana kuasa tambahan 45 PS dan 40 Nm bagi mencapai kuasa keseluruhan 290 PS dan 410 Nm dengan kotak komputer enjin ABT berkenaan.

    Ubahsuai yang sama dilakukan pada model lebih berkuasa GTI Clubsport pula akan menghasilkan kuasa maksima 360 PS dan tork maksima 450 Nm, berbanding kuasa asal 300 PS/400 Nm dari kilang. Manakala model dengan enjin diesel Golf GTD akan menerima kuasa 230 PS dan 440 Nm berbanding kuasa asal 200 PS dan 400 Nm dengan tingkat taraf ini.

    Volkswagen Golf R Mk8 ABT – ekstrak 384 PS dan 470 Nm hanya dengan kotak komputer enjin baharu!

    Manakala untuk varian paling berkuasa dari kilang iaitu Golf R pula, penukaran kotak komputer ABT berkenaan membolehkan ia mencapai kuasa maksima 384 PS dan tork maksima 480 Nm, naik 64 PS dan 60 Nm berbanding kuasa asal 320 PS dan 420 Nm.

    Menurut ABT, selepas ini mereka akan memperkenalkan pelbagai tingkat taraf prestasi yang lain untuk barisan model Golf Mk8 ini, antaranya termasuk sistem suspensi dan juga sistem ekzos.

    Buat masa sekarang, ABT turut menawarkan pelbagai pilihan rim untuk Golf Mk8 termasuk rim 19-inci ER-C dalam kemasan hitam kusam, dan juga pilihan rim 20-inci ABT FR dan Sport GR dalam kemasan hitam berkilat atau hitam kusam.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 mula beroperasi Nov 2021 – tertangguh 3 bulan disebabkan PKP 3.0, PKPD

    MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 mula beroperasi Nov 2021 – tertangguh 3 bulan disebabkan PKP 3.0, PKPD

    MRT Corp telah mengumumkan bahawa MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 akan mula beroperasi pada November 2021. Sasaran awal adalah pada Ogos ini, tetapi perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan selama tiga bulan. Ini kerana tempoh operasi percubaannya telah dilanjutkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang.

    Syarikat itu turut berkata, keseluruhan pembinaan MRT Laluan Putrajaya berjalan lancar dan kini telah pun siap sebanyak 90%. Untuk seksyen Fasa Satu antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu yang sepatutnya dilancarkan pada Ogos ini, telah pun mencapai 99% siap. Buat masa ini, operasi percubaan, yang bermula sejak 29 April, sedang diteruskan bagi laluan tersebut.

    CEO MRT Corp Datuk Zarif Hashim berkata, untuk memastikan bahawa ia mencapai tahap kompetensi yang diperlukan, pihaknya telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh operasi percubaan. Di mana pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD di beberapa daerah di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur telah memberikan kesan terhadap jadual asal tersebut.

    Malahan tarikh pembukaan baharu juga telah dirancang dilaksanakan pada Fasa Keempat Pelan Pemulihan Nasional – di mana selepas sektor ekonomi negara dijangka dibuka semula sepenuhnya. Manakala Fasa Kedua bagi MRT Laluan Putrajaya yang menelan kos pembinaan sebanyak RM30.53 bilion – dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral – dijadualkan akan mula beroperasi pada Januari 2023, dan membabitkan jajaran sejauh 57.7 km.

     
     
  • Moratorium Pemulih 2021 RHB – tiga pelan ditawarkan

    Moratorium Pemulih 2021 RHB – tiga pelan ditawarkan

    Bulan lepas, perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penawaran moratorium bayaran semula pinjaman selama enam bulan untuk semua warga Malaysia. Program ini hampir sama seperti yang ditawarkan semasa PKP yang pertama tahun lepas, dan permohonan untuknya sudah pun mula dibuka.

    Jika sebelum ini bantuan bayaran semula cuma ditawarkan untuk golongan tertentu sahaja, kali ini, di bawah pelan Pemulih, semua warga boleh mendapatkan moratorium ini termasuklah B40, M40, T20, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan mikro.

    Bagi yang mempunyai pinjaman dengan RHB, di sini kami perjelaskan pelan yang ada untuk pinjaman kenderaan. Tiga pilihan diberi iaitu penangguhan bayaran bulanan selama enam bulan, pengurangan bayaran bulanan 50% selama enam bulan dan pengurangan bayaran bulanan khas melalui sambungan tempoh pinjaman.

    Moratorium Pemulih 2021 RHB – tiga pelan ditawarkan

    Anda boleh memilih pelan yang bersesuaian dengan cuma menghantar permohonan melalui borang ini. Anda juga boleh menghubungi RHB di talian 03-2776 3111 atau menghantar emel ke [email protected], dan pastikan terlebih dahulu waktu operasi cawangan yang mahu dilawati.

    Perlu diketahui bahawa moratorium ini bukanlah satu pemansuhan bayaran pinjaman — anda tidak diberikan pemansuhan untuk tempoh enam bulan itu, sebaliknya bayaran balik anda hanya ditangguhkan bagi tempoh tersebut, dan tempoh pinjaman itu akan dilanjutkan ke belakang. Disebabkan itu, jumlah faedah juga bertambah kerana sambungan tempoh pinjaman.

    RHB tidak menyediakan sebarang contoh penangguhan bayaran semula mereka, tetapi ia hampir sama seperti CIMB, yang boleh anda lihat di sini. Caj faedah berbeza mengikut jumlah pinjaman, tempoh perjanjian serta kadar faedah yang telah dipersetujui, jadi hubungi RHB untuk perincian lanjut sebelum membuat keputusan.

    Moratorium Pemulih 2021 RHB – tiga pelan ditawarkan

    Contoh untuk pelan pemotongan bayaran semula 50% selama enam bulan juga tidak disediakan. Tetapi, disebabkan tiada pemanjangan tempoh bayaran semula dan bayaran bulanan masih kekal sama bermula bulan ketujuh selepas moratorium, ini bermakna jumlah keseluruhan yang dipotong itu perlu dibayar pada hujung tempoh perjanjian secara penuh.

    Untuk dua pelan ini tiada contoh, tetapi bagi pengurangan bayaran bulanan khas melalui sambungan tempoh pinjaman, RHB ada menyediakan satu contoh. Pelan ini membenarkan anda mengurangkan bayaran bulanan dengan memanjangkan tempoh perjanjian bayaran semula, tetapi anda perlu berbincang dengan pihak bank untuk mendapatkan jumlah serta terma yang bersesuaian.

    Contoh yang disediakan menunjukkan satu pinjaman kenderaan sebanyak RM100,000 pada kadar faedah 4.29%, dengan baki tempoh bayaran semula selama enam tahun. Jumlah keseluruhan yang masih perlu dibayar adalah RM80,452, dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,118.

    Moratorium Pemulih 2021 RHB – tiga pelan ditawarkan

    Jika anda memilih untuk membayar cuma RM1,042 dengan sambungan tempoh selama enam bulan, jumlah keseluruhan bayaran meningkat menjadi RM81,270.68, iaitu beza sebanyak RM818.68. RHB menawarkan sambungan tempoh sehingga dua tahun, dan bayaran bulan boleh berkurang semakin banyak apabila tempoh semakin panjang, tetapi jika dikira secara keseluruhan, jumlah yang perlu dibayar juga meningkat.

    Moratorium kali ini juga dijadikan lebih mudah dengan tiada sebarang dokumen seperti bukti potongan gaji atau pemberhentian kerja diperlukan. Anda cuma perlu memohon dengan bank dan tanda tangan perjanjian pinjaman yang telah dipinda.

    Bagi peminjam individu, kelulusan adalah secara automatik dan boleh disahkan dalam tempoh lima hari sekiranya layak, sementara bagi syarikat pula, ia bergantung kepada penilaian bank.

     
     
  • Proton Persona, Iriz facelift tak sengaja ditunjuk dalam video ‘live’ PDRM — rim 16-inci, lampu belakang gelap

    Proton Persona, Iriz <em>facelift</em> tak sengaja ditunjuk dalam video ‘live’ PDRM — rim 16-inci, lampu belakang gelap

    Secara tak sengaja, Proton Iriz dan Persona facelift terbaru terbocor dalam talian. Ini selepas pasukan polis Perak merakamkan video Facebook Live (yang telah pun diturunkan ketika ini) ketika dalam pemeriksaan mereka ke kilang Proton di Tanjung Malim, Perak.

    Biasanya kami di paultan.org ada polisi untuk tidak melaporkan tentang kebocoran imej dari fasiliti persendirian, terutamanya kilang. Namun, kerana ini datang dari sumber yang boleh diakses secara umum, maka ia jadi pengecualian.

    Dengan kualiti video itu tidaklah terlalu bagus, ada beberapa kemaskini visual pada dua model terbabit masih dapat dilihat dengan agak jelas. Antaranya, Iriz dan Persona facelift ini diberikan rekaan bampar depan baru, serta lampu utama LED dengan reflektor yang sebelum ini pernah dilihat dalam gambar intai yang ada nampaknya hanya eksklusif untuk varian Premium.

    Proton Persona, Iriz <em>facelift</em> tak sengaja ditunjuk dalam video ‘live’ PDRM — rim 16-inci, lampu belakang gelap

    Kemaskini lain termasuklah lampu belakang gelap, walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada Persona akan menerima peningkatan lampu belakang LED seperti khabar angin sebelum ini. Apapun, tiada bampar baru untuk bahagian belakang, walaupun Iriz nampaknya bakal menerima kemasan merah pada grilnya dan jalur merah di bawah bampar belakang. Persona 1.6 Premium pula tampil dengan bumbung hitam kali ini.

    Kita juga dapat melihat rim 16-inci enam-jejari berkembar baru buat pertama kalinya. Ini mungkin akan ditawarkan sebagai ciri standard bagi model 1.6 Executive dan Premium untuk Iriz dan Persona. Ia nampak jauh lagi cantik daripada rim 15-inci, kan?

    Proton Persona, Iriz <em>facelift</em> tak sengaja ditunjuk dalam video ‘live’ PDRM — rim 16-inci, lampu belakang gelap

    Untuk bahagian dalaman pula, tidak begitu jelas kelihatan peningkatan yang dilakukan. Apapun, ini akan melibatkan paparan infotainmen dengan skrin sentuh apungan, dan Persona pula tidak lagi menampilkan papan pemuka dua tona warna. Kini semuanya serba hitam, walaupun tiang dan pelapik bumbung masih hadir dalam warna cerah. Apa yang menarik, varian 1.6 Premium akan menerima kerusi balutan kulit coklat gelap.

    Untuk bahagian mekanikal, dijangkakan tiada sebarang perubahan akan dibuat, walaupun menarik untuk diperhatikan jika Proton akan menggantikan transmisi CVT sedia ada dengan kotak gear empat-kelajuan dari Hyundai yang digunakan untuk Saga facelift ketika ini. Apa pandangan anda? Tak sabar nak tunggu dua model ini dilancarkan?

     
     
  • Pengasas DSR dedahkan cerita penuh bagaimana Michael Schumacher pandu Proton Wira 1.8 DOHC EXi

    Dream Street Restoration (DSR) merupakan antara pemain baharu yang sedang meningkat naik dalam scene permotoran tempatan di mana firma berkenaan kini menjadi peneraju sebagai pakar untuk merestorasi dan menambahbaik model-model lagenda Proton khususnya yang dijana enjin 1.8 liter 4G93P (dengan kod nama badan C99) iaitu Proton Satria GTI, Satria R3, Putra dan juga Wira 1.8 DOHC EXi (C99 Limited).

    Kami sudah pun mendedahkan secara terperinci dua hasil kerja mereka sebelum ini iaitu Proton Satria GTI DSR-001-C99 dan juga Proton Satria R3 DSR-002-C99. Kami juga sudah mendedahkan siapa insan disebalik DSR ini dalam artikel khas yang kami tulis pada PAUTAN INI.

    Menerusi artikel berkenaan, kami turut telah mendedahkan bahawa pengasas bersama DSR iaitu Suriya Sankaran bukan sahaja pernah berkhidmat dengan pasukan Proton R3, malah pada era penghujung 90’an dia juga merupakan pelumba rali persendirian yang bertanding dalam kejohanan peringkat nasional dengan memandu Proton Wira 1.8 ‘tiang gol’.

    Sebagai sebuah model ‘homologation special’ oleh Proton, Wira 1.8 EXi berkenaan sememangnya jentera rali untuk jalan raya, dan sah untuk digunakan untuk mana-mana kejohanan rali yang dikawal selia oleh pihak FIA hanya dengan penambahan komponen-komponen keselamatan seperti rollcage.

    Jadi sebagai pelumba persendirian, Wira tersebut bukan sahaja digunakan untuk berlumba, dengan rollcage yang boleh dibuka/pasang ia sebenarnya adalah kereta harian Suriya untuk membawa keluarga dan ke tempat kerja ketika itu!

    Tambah menarik, ketika masih berkhidmat dengan Shell Malaysia dan menguruskan pergerakan kru pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari Marlboro pada Grand Prix Malaysia 2003, Wira berkenaan telah menarik minat juara F1 tujuh kali (ketika itu baru lima kali) Michael Schumacher dan beliau meminta untuk mengujinya dari Hotel Pan Pacific di Sepang (selepas berakhir satu sidang media) ke Cyberjaya Lodge untuk satu lagi sidang media.

    Peristiwa berkenaan sebenarnya sudah disiarkan dalam satu laporan akhbar pada waktu tersebut, dan sudah diketahui bahawa Schumi mencatatkan kelajuan maksima 236 km/j serta menyerlahkan kebolehan maksima Proton Wira berkenaan. Dan menerusi satu video terbitan DSR sendiri yang baru sahaja disiarkan, Suriya bercerita dengan lebih teliti tentang peristiwa yang tidak boleh dilupakan itu.

    Kami sebenarnya bertuah kerana pertemuan pertama dengan Suriya Sankaran tahun lalu, dia turut membawa Proton Wira berkenaan yang kini masih berkeadaan baik serta masih dipandu setiap hari oleh anaknya yang juga pengasas bersama DSR, Dharveen Suriya.

    Ia tidak lagi mengenakan livery perlumbaan Shell Helix ketika berlumba dahulu, sebaliknya telah dicat semula dengan warna putih. Rollcage juga sudah tidak lagi dipasang (ia masih disimpan dan boleh dipasang semula bila-bila masa), tetapi panel sumpguard pada bahagian bawah hadapan badan yang berfungsi untuk melindungi takung minyak enjin masih lagi dikekalkan.

    Malah tandatangan Michael Schumacher yang dicerap dari tandatangan sebenar yang diturunkan pada pelapik bumbung telah dihasilkan semula pada bonet hadapan dengan teknik airbrush.

    GALERI: Proton Satria GTi DSR-001-C99

    GALERI: Proton Satria R3 DSR-002-C99

     
     
  • Harga minyak 8-14 Julai – RON 97 naik satu sen seliter

    Harga minyak 8-14 Julai – RON 97 naik satu sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan kenaikan harga runcit bagi petrol RON 97 sebanyak satu sen seliter dilaksanakan untuk minggu bertarikh 8 hingga 14 Julai 2021. Ini bermakna, harga runcit bahan api tersebut kini menjadi RM2.70 seliter, berbanding RM2.69 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala untuk minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan, 14 Julai 2021.

     
     
  • Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Bulan lalu, Kia Sportage generasi kelima telah pun diperkenalkan, dengan menampilkan arah rekaan yang radikal untuk jenama berkenaan. Ketika itu, hanya beberapa foto dan sedikit perincian mengenai rekaannya yang didedahkan. Namun kini, pengeluar kereta Korea itu telah pun mendedahkan enjin dan teknologi yang akan ditampilkan pada SUV berkenaan, malah pra-tempahannya di republik itu telah pun dibuka.

    Ketika dilancarkan, Sportage bakal ditawarkan dengan dua enjin pembakaran dalaman, di mana kedua-duanya dengan versi yang dipertingkatkan berbanding model semasa. Enjin 1.6 liter TGDI pengecas turbo empat-silinder petrol kini menawarkan lebih penjimatan bahan api, hasil dari pembakaran yang lebih optima, penyejukan yang dipertingkatkan dan juga mengurangkan geseran, dengan menampilkan sistem pengurusan termal bersepadu dan penggalas bebola bergeseran-rendah.

    Hasilnya, ia telah menambah kuasa menjadi 180 PS, dengan puncak tork pada 265 Nm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan (manual enam-kelajuan turut ditawarkan), dan enjin ini mampu menghasilkan penggunaan bahan api sekitar 12.5 km per liter.

    Turut ditawarkan ialah enjin diesel 2.0 liter, menampilkan variable geometry turbocharger, solenoid valve control untuk pam minyak, termostat elektrik dan penyejukan dan penglinciran yang lebih optima. Ia membawakan peningkatan kuasa sehingga 186 PS, sementara tork pula naik sebanyak 17 Nm menjadi 417 Nm. Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 14.6 km per liter dengan padanan pacuan roda-hadapan standard.

    Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Kotak gear automatik lapan-kelajuan diberikan secara standard, turut menampilkan damper-controlled multi-disc torque converter, di samping struktur baharu untuk mengurangkan kebocoran minyak dan meningkatkan kestabilan kawalan dan respon bagi shift. Manakala diesel pula satu-satunya versi yang menawarkan sistem pacuan semua-roda, yang didatangkan dengan Terrain Mode baharu dengan ketetapan auto, snow, mud dan sand. Manakala model hibrid yang akan datang pula bakal menggunakan enjin 1.6 liter turbo, begitu juga dengan varian plug-in hybrid.

    Sportage baharu ini menggunakan senibina N3 generasi ketiga ciptaan Hyundai sendiri, sekaligus mendakwa mempunyai keselesaan dan kestabilan pengendalian yang lebih tangkas. Ia juga masih menggunakan topang MacPherson untuk suspensi hadapan dan four-link untuk gandar belakang, dan kini ditawarkan dengan peredam adaptif. Model hibrid pula akan diberikan sistem E-Handling dari Kia sendiri untuk meningkatkan ketangkasan dan kestabilan jentera sewaktu masuk dan keluar selekoh.

    Memiliki dimensi berukuran 4,660 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,660 mm tinggi, Sportage baharu ini adalah lebih besar berbanding model sebelumnya – 180 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan 25 mm lebih tinggi, ditambahkan dengan 85 mm jarak roda yang lebih panjang, menjadi 2,755 mm. Sekaligus menjadikannya lebih kompetitif berbanding model pesaingnya termasuk Honda CR-V dan Toyota RAV4, serta Hyundai Tucson, yang kini tampil dengan varian jarak roda yang lebih pendek berbanding sebelumnya.

    Kia berkata, penambahan saiz ini membolehkan Sportage menawarkan ruang kaki belakang (1,050 mm), ruang kepala (1,000 mm) dan ruang penyimpanan barang yang kini berkapasiti 637 liter, mendahului kelasnya. Masih dengan lima-tempat duduk, Sportage kini mempunyai tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan hanya satu-sentuhan untuk menambah kapasiti ruang penyimpanan barang.

    Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Bagi rekaannya, kini ia ditampilkan dengan gril Tiger Nose baharu, lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk seperti boomerang pada kedua-dua bucu serta lampu dengan elemen bintik di sebelahnya. Buat pertama kalinya, Sportage kini ditawarkan dengan bumbung yang berwarna hitam, serta rel bumbung.

    Di bawah garis tingkap tepi Sportage baharu ini terdapat jalur krom panjang dari depan sehingga ke belakang dan pintunya mempunyai lengkuk yang jelas. Lampu belakang menggunakan konsep bentuk sama seperti DRL hadapan dan ia bersambung di tengah.

    Sportage generasi kelima ini menggunakan bampar warna dua tona dengan kemasan di bahagian bawah berwarna hitam yang mempunyai seakan diffuser di tengah serta bentuk C di hujung. Logo Kia baru diletakkan di tengah dan lencana Sportage terdapat di tepi.

    Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Melewati bahagian belakangnya, garisan cerminnya melunjur ke dek yang pendek, diletakkan di bawah lampu belakang trapezoid dengan “ekor” yang memanjang ke sisi, lebih kurang seperti Stinger. Selain itu, ia turut diberikan pilihan roda bersaiz 17-, 18- dan 19-9nci, dengan model GT-Line yang sporty dan pakej X-Line baharu yang menambahkan lagi reka bentuk bampar hadpaan dan belakang yang lebih ranggi, serta menampilkan skid plate dan rel bumbung dengan rona perak.

    Manakala bahagian dalam Sportage direka semula dengan mengambil lebih kepentingan kepada pemandu. Bahagian tengah papan pemuka didominasi oleh panel paparan bersepadu yang bersambung dengan panel instrumen di hadapan pemandu. Corong pendingin hawa di bahagian tengah mempunyai bentuk menegak dan ia bersambung ke tepi menjadi bentuk melintang.

    Selain daripada kawalan menggunakan skrin ini, pengguna juga boleh mengawal pendingin hawa dengan butang biasa di bawahnya sementara penukaran gear boleh dilakukan menggunakan tombol bulat jenis pusing yang terletak di konsol tengah. Berhampiran dengannya terdapat butang lain untuk mod cengkaman, pandangan kamera, pengesan jarak, butang pemula enjin dan fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk.

    Kia Sportage 2022 – tampil dengan enjin 1.6 TGDI 180 PS dan 2.0 diesel 2.0 186 PS, bakal diikuti hibrid, PHEV

    Kia mendakwa jentera ini menggunakan material berkualiti tertinggi dan menawarkan beberapa pilihan warna, termasuk sage green untuk X-Line dengan padanan tempat duduk quilted dan kemasan “black metal wood”. Ia turut diberikan tempat duduk hadapan slimline yang menawarkan kombinasi inovasi dan keselesaan dan juga sistem bunyi Harmon Kardon lapan-pembesar suara (dengan lencana Krell di Korea).

    Untuk aspek keselamatan, Sportage didatangkan dengan ciri restraint baharu (termasuk beg udara) dan juga struktur kerangka ringan tetapi tegar, yang dikatakan menawarkan ketegaran kilasan untuk tahap tinggi. Ia turut didatangkan dengan sistem bantuan pemandu terkini, termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dan fungsi pemanduan separa-auto Highway Driving Assist (HDA) Level 2 dengan menggunakan sistem kawalan kelajuan adaptif baharu yang melaras kelajuan berdasarkan data navigasi.

    Ciri keselamatan lain termasuklah pemantauan titik buta dan pengelak pelanggaran, kamera titik buta dan Remote Smart Parking Assist (RSPA). Harga untuk pasaran Korea bermula dari 24.42 juta won (RM89,500) hingga 31.85 juta won (RM124,100).

     
     
  • Moratorium Pemulih 2021 Maybank – penangguhan penuh atau potongan 50% selama enam bulan

    Moratorium Pemulih 2021 Maybank – penangguhan penuh atau potongan 50% selama enam bulan

    Pada 28 Jun lalu, perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penawaran moratorium bayaran semula pinjaman selama enam bulan, seperti PKP yang pertama tahun lepas. Namun kali ini, ia dibuka untuk semua orang, dari individu B40 dan M40, hinggalah T20, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan mikro.

    Selain daripada itu, permohonan moratorium kali ini juga dijadikan lebih mudah dengan tiada sebarang dokumen seperti bukti potongan gaji atau pemberhentian kerja diperlukan. Apa yang perlu dilakukan cuma mohon dengan bank dan tanda tangan perjanjian pinjaman yang telah dipinda.

    Bagi yang mempunyai pinjaman dengan Maybank, anda boleh menghubungi talian pelanggan 1-300-88-6688, +60378443696 (untuk pelanggan luar negara), atau hantarkan emel ke [email protected]. Selain daripada itu, anda juga boleh membuat temu janji untuk berjumpa terus dengan wakil di bank cawangan, Pusat Pembiayaan Auto atau Pusat Pengurusan Kualiti Aset Maybank.

    Ada dua pelan yang disediakan oleh Maybank untuk moratorium ini. Pertama, penangguhan penuh bayaran semula selama enam bulan, dan kedua, penangguhan 50% bayaran semula selama enam bulan. Anda perlu ingat, ini cuma adalah penangguhan dan bukannya bayaran dihapuskan terus.

    Moratorium Pemulih 2021 Maybank – penangguhan penuh atau potongan 50% selama enam bulan

    Satu contoh disediakan oleh Maybank dengan mengambil seseorang yang mempunyai pinjaman RM50,000 untuk tempoh sembilan tahun, dengan faedah sebanyak 2.80% dan baki bayaran semula selama 36 bulan. Tanpa sebarang moratorium, jumlah yang perlu dibayar setiap bulan adalah RM580, dengan baki sebanyak RM19,441 untuk 36 bulan yang selebihnya.

    Apabila mengambil moratorium bayaran semula penuh selama enam bulan, bayaran semula peminjam akan ditangguhkan selama enam bulan, dan bayaran bulanan RM580 seperti biasa akan disambung semula pada bulan ketujuh.

    Bagi pilihan pelan ini, cas RM471 dikenakan, dan tempoh bayaran semula ditambah enam bulan, menjadi 42 bulan. Baki keseluruhan pinjaman yang perlu dibayar kini menjadi RM19,912, iaitu setelah RM471 tadi ditambah dengan baki asal RM19,441.

    Moratorium Pemulih 2021 Maybank – penangguhan penuh atau potongan 50% selama enam bulan

    Sekiranya mengambil pelan potongan bayaran semula sebanyak 50% untuk enam bulan pula, peminjam perlu membayar RM290 setiap bulan untuk tempoh enam bulan itu, dan pada bulan ketujuh bayaran semula akan menjadi RM580 seperti asal.

    Bagi pelan moratorium kedua yang disediakan oleh Maybank ini, caj yang dikenakan bagi contoh di atas adalah RM258, dan ia menjadikan baki keseluruhan bayaran pinjaman RM19,699, berbanding asalnya RM19,441.

    Satu lagi yang berbeza, apabila mengambil pelan pemotongan 50% ini, tempoh bayaran semula cuma dipanjangkan selama tiga bulan, dan bukannya enam bulan seperti pilihan pelan pertama. Walaubagaimanapun, menurut Maybank, bagi kedua-dua pelan ini, caj tambahan perlu dibayar pada hujung tempoh perjanjian bayaran semula, bersama bayaran bulanan biasa.

     
     
  • Moratorium Pemulih 2021 Hong Leong Bank – penangguhan atau potongan 50% untuk enam bulan

    Moratorium Pemulih 2021 Hong Leong Bank – penangguhan atau potongan 50% untuk enam bulan

    Selari dengan pengumuman moratorium bayaran semula enam bulan yang diumumkan oleh perdana menteri 28 Jun lalu, di bawah pakej Pemulih, bank-bank kini mula mengumumkan program moratorium yang ditawarkan, seperti waktu PKP yang pertama tahun lepas.

    Sementara bantuan bersasar sudah sedia ada untuk mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta PKP, moratorium kali ini pula dibuka kepada semua, dari individu B40 dan M40 hinggalah T20, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan mikro.

    Bagi Hong Leong Bank, ia dinamakan sebagai progran Payment Relief Assistance dengan terdapat beberapa pelan di bawahnya. Di sini, kita lihat pelan untuk pinjaman kereta. Bagi individu (B40/M40/T20), bank ini menawarkan dua pelan yang boleh dipilih iaitu penangguhan bayaran bulanan selama enam bulan atau pengurangan bayaran bulanan 50% selama enam bulan.

    Mereka yang berminat untuk mengambil moratorium daripada HLB ini dan memerlukan perincian yang lebih spesifik boleh menghubungi bank tersebut di talian 03-79591888 atau 03-76268899, atau menghantar emel ke 03-79591888 or 03-76268899. Anda juga boleh mengisi borang ini.

    Moratorium Pemulih 2021 Hong Leong Bank – penangguhan atau potongan 50% untuk enam bulan

    Satu perkara penting yang perlu diambil kira, apabila mengambil moratorium, akan terdapat caj faedah tambahan dari pelanjutan tempoh pinjaman dan ia tidak digabungkan ke dalam ansuran sedia ada. Jumlah faedahnya bergantung kepada jumlah pinjaman, baki tempoh pinjaman serta kadar faedah yang dipersetujui. Jadi, anda perlu memeriksan dengan pihak bank untuk perinciannya.

    Satu lagi yang perlu diingat, moratorium ini bukanlah satu pemansuhan bayaran pinjaman — anda tidak diberikan pemansuhan untuk tempoh enam bulan itu, sebaliknya bayaran balik anda itu hanya ditangguhkan bagi tempoh tersebut, dan tempoh pinjaman itu akan dilanjutkan ke belakang. Disebabkan itu, jumlah faedah juga bertambah kerana sambungan tempoh pinjaman.

    Permohonan untuk moratorium ini adalah lebih ringkas berbanding bantuan bersasar yang sedia ada. Anda tidak perlu mengemukakan sebarang bukti gaji dipotong atau kehilangan kerja, dan tiada sebarang dokumen diperlukan.

    Anda cuma perlu memohon pada bank, dan tanda tangan perjanjian pinjaman yang telah dirujuk semula. Kelulusan juga adalah automatik bagi peminjam individu, sementara untuk syarikat pula, ia bergantung kepada penilaian bank.

     
     
  • VIDEO: Toyota Corolla Cross di M’sia, RM124k-RM134k

    Bulan Mac lalu, UMW Toyota memperkenalkan secara rasmi model SUV/crossover terbaru keluarannya untuk pasaran tempatan, Toyota Corolla Cross. Buat pertama kalinya, inilah pencabar paling hampir dan setara untuk menandingin penawaran Honda HR-V di sini, walaupun ia sebenarnya tiba agak lewat, iaitu selepas enam tahun HR-V bertapak dalam pasaran. Dengan ini, penawaran C-HR juga tidak lagi disambung, dan Corolla Cross menduduki posisi berkenaan.

    Ditawarkan dalam dua varian, 1.8G dan juga 1.8V, harga masing-masing ialah RM124,000 dan RM134,000. Model ini memanfaatkan platform terkini Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain. Berbanding Corolla Sedan, versi SUV Cross ini memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm, 45 mm lebih lebar dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.

    Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi unit Bi-LED yang memberikan tahap pencahayaan lebih baik. Lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri “tirai cahaya” yang menyuntik penampilan unik dan berkualiti—ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang.

    Toyota Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8-liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i. Unit enjin yang telah terbukti ini menghasilkan 139 PS kuasa pada 6,400 rpm dengan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Dengan sistem suapan minyak optimum, enjinnya menawarkan keseimbangan padu antara kuasa, ketahanan dan penjimatan bahan api. Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh-kelajuan yang digunakan pula diperkemas prestasinya dengan pendikit kawalan elektronik untuk memberikan maklum balas lebih berkesan, lancar dan senyap.

    Kami sempat meninjau dan memandu uji crossover ini Mac lalu. Video ini menjelaskan banyak perkara berkaitan tentang penawarannya serta perbandingannya dalam kalangan pesaing yang lain. Ramai yang berminat dengan Toyota Corolla Cross ini?

    Toyota Corolla Cross 1.8V

     
     
  • Moratorium Pemulih 2021 CIMB — penangguhan tiga atau enam bulan, tetapi dengan kadar faedah tambahan

    Moratorium Pemulih 2021 CIMB — penangguhan tiga atau enam bulan, tetapi dengan kadar faedah tambahan

    28 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan moratorium bayaran balik bank selama enam bulan untuk semua. Ia sama dengan apa yang ditawarkan ketika PKP pertama tahun lalu, dan permohonan kini dibuka.

    Walaupun institusi kewangan berterusan memberi bantuan berkaitan pinjaman secara bersasar kepada individu yang terkesan dengan Covid-19 dan PKP ini, di bawah rancangan Pemulih, moratorium ini adalah untuk semua — dari kelompok B40 hinggalah kepada T20, serta pengusaha kecil.

    Bagi CIMB, laman khusus untuk sokongan dan langkah meringankan beban berkairan Covid-19 kini sudah ada, dan ini perkara yang diperlukan, dengan tumpuan kepada pinjaman kenderaan.

    Umumnya, CIMB menawarkan penangguhan bayaran ansuran untuk tiga atau enam bulan, dan pelanggan perlu memilih satu daripadanya. Jika anda mempunyai lebih daripada satu akaun pinjaman, anda perlu memaklumkan kepada bank akaun yang mana satu (atau semua) yang anda inginkan untuk program ini. CIMB boleh dihubungi melalui nombor 03-62047788 atau [email protected]. Bergantung kepada lokasi anda, sesetengah cawangan mungkin dibuka, tetapi waktu operasi dipendekkan — periksa dahulu sebelum anda berkunjung. Anda juga boleh memohon melalui borang ini.

    Moratorium Pemulih 2021 CIMB — penangguhan tiga atau enam bulan, tetapi dengan kadar faedah tambahan

    Perinciannya. Pertama, anda perlu faham yang moratorium ini bukanlah pemansuhan bayaran pinjaman — anda tidak diberikan pemansuhan untuk tempoh tiga atau enam bulan itu. Sebaliknya, bayaran balik anda itu hanya ditangguhkan bagi tempoh tersebut, dan tempoh pinjaman itu akan dilanjutkan ke belakang, misalnya untuk tempoh enam bulan itu tadi. Ambil maklum juga kadar faedah keseluruhan yang dibayar juga akan lebih tinggi akibat pelanjutan tempoh pinjaman itu.

    Senario contoh oleh CIMB di atas melibatkan pinjaman kenderaan tujuh-tahun dengan kadar faedah 3%. Jumlah baki adalah RM37,081 dan ansuran bulanan peminjam adalah RM529. Mereka yang mengambil moratorium enam-bulan akan membayar total RM12,972 bagi kadar faedah bagi tempoh pinjaman tersebut, berbanding jumlah asal RM12,150 — ini melibatkan perbezaan RM822. Jika anda melangsaikan pinjaman itu lebih awal, jumlah tambahan kadar faedah itu akan dijadikan purata mengikut tempoh terlibat.

    Faedah tambahan RM822 ini perlu dibayar pada bulan terakhir tempoh pinjaman anda, yang akan menjadi RM1,351 (RM529 + RM822). Ini berbeza daripada membahagikannya ke dalam ansuran bulanan yang terlibat selepas tempoh moratorium tamat. Maksudnya, selepas tamat tempoh moratorium enam-bulan itu, anda akan menyambung bayaran dengan jumlah yang sama iaitu RM529.

    Jadi, kalau anda memerlukan moratorium ini, silakan. Tetapi perlu sedar yang ada kadar faedah tambahan yang akan terlibat. Juga perlu faham yang faedah tambahan ini adalah dari pelanjutan tempoh pinjaman dan ia tidak digabungkan ke dalam ansuran sedia ada, seperti dijelaskan tadi. Tentunya, ia bergantung kepada jumlah pinjaman, baki tempoh dan kadar faedah yang dipersetujui sebelumnya.

    Moratorium Pemulih 2021 CIMB — penangguhan tiga atau enam bulan, tetapi dengan kadar faedah tambahan

    Tidak seperti bantuan bersasar, anda tidak perlu menyediakan sebarang bukti pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan — tiada dokumen yang diperlukan. Walaupun ia terbuka untuk semua dengan kelulusan automatik, peminjam perlu memohon dengan bank dan menandatangani borang perjanjian pinjaman diubah, kerana semua itu perlu direkodkan ke atas kertas dengan jelas.

    Jangan susah hati dengan proses permohonan, kerana kelulusan akan diberikan secara automatik bagi peminjam individu. Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME) juga boleh memohon, tetapi untuk syarikat, ia tertakluk kepada penilaian bank dan bukannya dengan kelulusan automatik. Satu perkara lagi, dengan memilih penangguhan bayaran ini, ia tidak akan memberi kesan kepada status dan rating CCRIS individu.

    Jika anda ingin memohon, hubungi CIMB dan bank akan menghubungi anda semula dalam masa lima hari untuk urusan dokumen dan tanda tangan. Penangguhan bayaran balik itu akan bermula pada bulan berikutnya selepas permohonan, tapi jika anda ingin ia bermula pada Julai, maklumkan kepada bank. Juga, jika anda memang sudah berada dalam program bantuan bayaran, anda boleh bertukar kepada ini, dan perlu memaklumkan bank.

    CIMB juga memaklumkan yang program ini sah kepada pinjaman kenderaan yang baru lulus — anda boleh memohon melalui cara sama. Hubungi CIMB melalui telefon atau email seperti dinyatakan untuk maklumat lanjut. Anda juga boleh mengunjungi cawangannya, jika mahu. Atau, boleh memohon melalui borang ini.

     
     
  • Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Selepas diumumkan pada Januari lalu dengan kod nama Type 131, akhirnya kereta sport terakhir Lotus yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya, yang juga pengganti untuk model Elise, Exige dan Evora yang akan dihentikan tahun ini, diberi nama Lotus Emira didedahkan secara rasmi.

    Menurut Lotus, nama Emira (disebut “Eh-meer-ah”) ini adalah bahasa kuno yang ditafsirkan sebagai “komander” atau “ketua”. Nama tersebut disifatkan sesuai oleh Lotus kerana untuk meraikan Emira sebelum mereka beralih untuk menjadi pembuat kereta sport elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini. Sebelum ini Lotus sudahpun memperkenalkan kereta sport elektrik sepenuhnya, Lotus Evija (Type 130) sebagai permulaan kepada peralihan berkenaan.

    Dua enjin petrol ditawarkan pada Lotus Emira. Yang pertama adalah enjin Toyota 2GR-FE 3.6 liter V6 yang disuap dengan supercharger, seperti yang terdapat dalam perut Exige dan Evora sebelum ini. Enjin tersebut akan menjana kumpulan produksi pertama Emira yang dihasilkan secara terhad dan diberikan lencana “First Edition. Ia digandingkan dengan piihan kotak gear manual dan juga automatik.

    Lotus memberikan kejutan untuk pilihan enjin kedua – Emira akan menerima model yang dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (DCT). Macam pernah dengarkan? Ya, ia adalah enjin M139 yang sama pada model Mercedes-AMG A 45, GLA 45 dan CLA 45 sedia ada, namun telah ditala semula oleh jurutera Lotus.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    “Enjin 2.0 liter ini merupakan enjin produksi empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia digandingkan dengan DCT AMG yang terkenal bersama pedal penukar gear serta mod-mod pemanduan,” kata Gavan Kershaw, pengarah atribut kenderaan di Lotus Cars.

    “Ia berprestasi tinggi, sangat efisien kerana teknologi yang canggih, serta memberikan kadar emisi rendah dan prestasi linear. Paling utama, ia telah ditala sendiri oleh jurutera di Hethel yang sangat berpengalaman bagi memberikan pengalaman Lotus sebenar,” tambahnya lagi.

    Walau bagaimanapun, model yang dijana oleh rangkaian kuasa dibekalkan oleh Mercedes-AMG berkenaan tidak akan ditawarkan ketika Emira mula dijual, sebaliknya hanya akan muncul bermula musim panas 2022 nanti.

    Jumlah sebenar kuasa yang dihasilkan oleh barisan enjin berkenaan masih belum diumumkan secara spesifik. Namun Lotus menyatakan bahawa bergantung pada varian, Emira akan dibekalkan dengan kuasa antara 360 hp dan 400 hp, bersama tork maksima 430 Nm. Ia juga didakwa mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa kurang 4.5 saat, serta kelajuan maksima 290 km/j.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Emira masih lagi menampilkan bentangan enjin tengah-pacuan belakang, dengan enjin yang diletakkan melintang di belakang pemandu kemudian kuasa dihantar ke roda belakang. Untuk model yang dijana oleh enjin AMG yang pada asalnya direka untuk diletakkan di hadapan, ia akan menerima sistem kemasukan udara dan juga ekzos bagi “disesuaikan dengan karekter pada Emira”.

    Kereta sport terbaharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise, dan produksi menerusi fasiliti baharu – Lotus Advanced Structures – di Norwich. Ia menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan belakang, serta ditawarkan dalam dua jenis tetapan casis.

    Tetapan casis pertama digelar Tour. Ia ditala untuk kegunaan seharian di atas jalan raya dan memberikan keseimbangan antara pengendalian dan juga keselesaan. Manakala tetapan kedua digelar Sports, yang turut boleh dipilih bersama opsyen Lotus Drivers Pack serta memberikan talaan lebih keras bagi memberikan rasa serta kemampuan dinamik yang ditambahbaik.

    Lotus tidak menerapkan sistem stereng berkuasa elektrik pada Emira, sebaliknya ia masih menggunakan sistem hidraulik konvensional yang sudah tentu akan memberikan rasa stereng lebih baik seperti yang dimahukan purist – kelompok yang menjadi sasaran pertama Lotus untuk kereta sport mereka.

    Dari segi rekaan, Emira kelihatan seperti “baby Evija” dengan pelbagai perincian diambil dari hypercar elektrik tersebut. Ia termasuk lampu hadapan rekaan bilah sayap berkembar dengan jalur-jalur LED melintang, bersama liang keluar udara bersepadu pada bonet bagi mengoptimakan kesan aerodinamik, serta logo baharu Lotus pada bahagian muncung.

    Emira juga menerima rekaan kabin yang nampak seperti titisan air, menampilkan cermin hadapan ‘bulat’ yang memberikan pemandangan keluar lebih baik. Sisi kereta sport ini direka dengan garis badan yang memberikan kesan aerodinamik serta mampu mengalirkan udara ke liang kemasukan yang terletak di hadapan perumah roda belakang.

    Ia juga menerima perincian halus pada tiang-C, bersama lencana Emira yang diletakkan berhampiran liang-liang pada penutup enjin. Emira menerima rim 20-inci secara standard bersama tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Pelanggan yang memilih Lotus Driver Pack pula akan menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

    Kereta sport ini diberikan liang keluar udara pada sudut belakang bagi membebaskan tekanan udara dalam ruang roda belakang, yang juga kelihatan seperti diinspirasikan Evija. Lampu belakang Emira ini direka nipis bersama kluster dan grafik LED berbentuk-C. Diffuser belakang turut direka agresif dan menempatkan dua tip ekzos bersaiz besar.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Menurut Lotus, dalam bentuk terakhir, badan Emira ini menghasilkan downforce pasif yang tepat antara gandar hadapan dan belakang dalam semua kelajuan, yang ditala sempurna terhadap pembahagian berat serta geometri suspensi kereta ini. Hasilnya, Emira tidak memerlukan sebarang komponen aerodinamik aktif atau saya belakang lebih besar untuk kesan yang sama.

    Dari segi saiz, Emira dihasilkan dengan dimensi 4,412 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,225 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,575 mm. Berbanding tiga model lama yang digantikan, Emira adalah lebih besar dari Elise dan Exige, serta menampilkan jarak roda yang sama dengan Evora dengan saiz keseluruhan yang juga sedikit lebih besar.

    Jadi dengan saiz berkenaan serta pelbagai kelengkapan moden yang lebih banyak, versi paling ringan Emira masih ditimbang pada 1,405 kg, jauh lebih berat dari Elise dan Exige serta hampir 200 kg lebih berat dari Evora.

    Perbezaan kelengkapan antara Emira dan tiga model lama berkenaan yang menyebabkan ia lebih berat jelas kelihatan sekiranya anda masuk kabin Emira ini. Ia bukan lagi kereta sport yang ‘kosong’, sebaliknya menerima kemasan-kemasan dari material berkualiti tinggi, pelbagai teknologi baru, pemasangan yang lebih teliti serta lebih praktikal – namun prinsip tumpuan kepada pemanduan masih dikekalkan.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Papan pemuka Emira ini direka seakan bersambung dengan panel pintu bagi memberikan perasaan seperti berada dalam kokpit pesawat. Pemandu menerima roda stereng pelbagai fungsi dengan rekaan rata di bawah dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci.

    Sistem infotainmen pada Emira ini juga jauh lebih canggih dari model-model sport Lotus generasi sebelum ini dengan menampilkan skrin sesentuh 10.25-inci yang diberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay secara standard. Bunyi-bunyian disalurkan ke sistem bunyi premium 10-saluran dari KEF yang menggunakan teknologi Uni-Q.

    Emira dibekalkan dengan tempat duduk sport yang boleh dilaras secara elektrik empat-hala, malah anda boleh memilih ciri opsyen dengan larasan elektri 12-hala.

    Pendekatan rekaan yang “boleh digunakan setiap hari” ini turut menampilkan banyak ruang-ruang storan diberikan pada kabin Emira, termasuk dua pemegang cawan yang diletakkan pada di terowong tengah, bersama slot penyimpan telefon pintar. Papan pemukanya turut dilengkapi glove box, manakala ruang storan pada pintu pula mampu menempatkan botol 500 ml.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Anda juga akan menerima tray kecil yang diletakkan di bawah konsol kawalan sistem pendingin hawa, serta perehat tangan yang disertakan denga port USB dan port 12-volt, serta jaring konsol untuk meletakkan pelbagai barang lain. Perincian-perincian ini mungkin dilihat biasa pada kebanyakkan kereta, tetapi ini merupakan perubahan yang agak besar untuk Lotus memandangkan model-model sebelum ini dihasilkan seringan yang mungkin tanpa ciri-ciri praktikal kerana hanya untuk dipandu laju semata-mata.

    Lotus juga mendakwa bahawa Emira mempunyai ruang kargo dengan kapasiti 208 liter terletak di belakang tempat duduk, serta 151 liter lagi ruang tambahan pada but yang terletak di belakang enjin. Ruang but tersebut juga didakwa boleh memuatkan beg penerbangan saiz standard atau satu set kayu golf.

    Dengan teknologi drive-by-wire yang dapat mengurangkan banyak sistem mekanikal, pelbagai lagi ruang simpanan dapat disediakan di bawah konsol tengah yang direka tinggi. Tombol gear misalnya, diletakkan di atas konsol tengah tersebut bersama butang penghidup enjin (dilindungi penutup berwarna merah), pemilih mod pemanduan, butang lampu isyarat kecemasan dan juga kawalan media.

    Lotus menyatakan bahawa untuk Emira yang dijana enjin V6 bersama transmisi manual, tuil penukar gear versi berkenaan diletakkan dalam posisi yang sama seperti Lotus Esprit, bersama penghubung-penghubung yang dibiarkan separa terdedah di bawahnya, sama seperti Elise dan Exige.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Peincian-perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, cruise control, pengelap cermin dengan penderia hujan, penderia parkir belakang (opsyen untuk hadapan) serta Launch Control (sebahagian dari ciri opsyen Lotus Driver Pack).

    Ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan keselamatan (ADAS) termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran kelesuan, informasi tanda jalan, pengehad kelajuan, amaran keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang dan juga bantuan tukar lorong.

    “Emira merupakan model yang merubah permainan Lotus. Ia adalah isyarat kepada semua yang telah kami capai sehingga kini dalam transformasi perniagaan, melambangkan kemajuan kami. Ia merupakan detik yang sangat signifikant dalam perjalanan kami untuk menjadi jenama kereta prestasi global sebenar,” kata pengarah urusan Lotus Cars, Matt Windle.

    Produksi Emira ini akan bermula di fasiliti Lotus di Hethel, UK yang telah ditingkat taraf setelah menerima manfaat pelaburan lebih dari 100 juta pound British (sekitar RM576 juta) di bawah pelan Vision 80, iaitu pelan strategik yang akan menentukan halatuju Lotus kearah transformasinya menjelang ulang tahun ke-80 pada 2028 kelak.

    Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

    Penstrukturan semula Lotus ini bermula setelah Zhejiang Geely Holding (ZGH) mengambilalih 51% saham dari Proton, manakala 49% saham lagi dimiliki oleh kumpulan automotif dari Malaysia, Etika Automotive.

    Menurut Lotus, pelanggan-pelanggan pertama Emira dari serata dunia akan menerima kereta yang ditempah bermula musim bunga 2021, manakala mereka yang berminat sudahpun boleh memberikan deposit tempahan mereka kepada pengedar-pengedar Lotus.

    Emira akan dijual pada harga kurang dari 60,000 pound (sekitar RM346,000) di UK atau 72,000 Euro (sekitar RM354,000) untuk pasaran Eropah yang lain. Untuk pasaran Malaysia, Lotus kini diuruskan oleh Lotus Karz, dengan pelancaran dijangka akan dibuat pada akhir tahun ini. Harga jualan di sini juga masih belum diumumkan, namun anda mungkin boleh buat congakan sendiri berdasarkan harga asas di UK bersama segala cukai dan duti yang lazimnya dikenakan di Malaysia.

    Model yang didedahkan kali ini menampilkan warna Seneca Blue, salah satu enam warna lain iaitu Hethel Yellow, Shadow Grey, Magma Red, Nimbus Grey dan Dark Verdant. Lotus juga menawarkan tujuh tema untuk kabin termasuk kulit Nappa hitam, merah dan kelabu, bersama Alcantara hitam yang boleh digandingkan sama ada dengan jahitan benang kelabu, merah atau kuning.

    Perincian individu lain yang turut boleh dibuat termasuk angkup brek dengan empat pilihan warna (hitam, merah, kuning dan perak), manakala rim 20-inci pada Emira ini boleh dipilih dalam rekaan 10-jejari, hitam berkilat 10-jejari, silver forged jejari-V, hitam berkilat jejari-V dan diamond cut forged jejari-V.

    Dengan ciri-ciri yang jauh lebih praktikal serta penambahan elemen-elemen lebih mewah dari Elise, Exige dan Evora, serta fakta bahawa ini merupakan kereta sport terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman, Emira dijangka akan menarik lebih ramai pembeli selain pelanggan-pelanggan setia sedia ada mereka.

    Dengan prestasi serta julat harga yang ditawarkan, Emira dilihat bakal ‘mencuri’ pelanggan-pelanggan dalam segmen yang sama dengan Porsche Cayman 718. Faktor ini mungkin akan membolehkan Lotus menjual kereta mereka jauh lebih banyak dari sebelum ini.

     
     
  • Penutupan laluan susur Lebuhraya Cheras-Kajang ke Taman Connought dilanjutkan hingga 12 Julai – DBKL

    Penutupan laluan susur Lebuhraya Cheras-Kajang ke Taman Connought dilanjutkan hingga 12 Julai – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan penutupan laluan susur Lebuhraya Cheras-Kajang ke Lebuhraya Laluan Timur Barat (Taman Connought) yang sepatutnya berakhir 4 Julai lalu, telah dilanjutkan hingga jam 6 pagi pada 12 Julai 2021.

    Penutupan laluan terbabit adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih dan memperbaharui permukaan jalan di terowong susur laluan tersebut.

    “Justeru, pengguna laluan ini bolehlah melalui jalan alternatif sedia ada di hadapan susur tersebut selepas simpang Taman Len Seng/Cheras Sentral Mall, untuk ke Lebuhraya Timur Barat dan Taman Connought,” ujar DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, DBKL turut menasihati para pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025