Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JSS kesan Takata palsukan data ujian tali keledar di kilang Hakone dan Filipina sejak dua dekad lalu

    JSS kesan Takata palsukan data ujian tali keledar di kilang Hakone dan Filipina sejak dua dekad lalu

    Joyson Safety Systems’ (JSS) Jepun mendedahkan bahawa mereka telah menemui bukti 1,000 kes pemalsuan data terhadap ujian tali pinggang keledar di dua kilang pembuat beg udara Takata Corporation yang telah mereka beli selepas syarikat berkenaan diisytiharkan muflis pada Jun 2017.

    Penyiasatan dibuat oleh JSS yang bermula pada Oktober 2020 tersebut mendedahkan data yang telah dipalsukan untuk tali keledar yang digunakan pada tali pinggang keselamatan dan juga tempat duduk keselamatan kanak-kanak yang dibuat di kilang yang terletak di Hakone, Jepun dan juga kilang di Filipina.

    Presiden JSS Jepun, Hisayoshi Iwamitsu memberitahu Reuters bahawa hasil ujian tersebut, yang dilakukan terhadap kualiti tali keledar, telah diubah bagi memenuhi standard undang-undang dan juga kehendak pelanggannya.

    Beliau turut menambah bahawa syarikatnya telah menghantar laporan tersebut kepada kementerian pengangkutan Jepun, tetapi tidak bercadang untuk mengumumkan panggilan semula. Ini kerana dalam penilaian semula tali keledar berkenaan tiada isu keselamatan yang timbul, dan 12 pengeluar yang menerima bekalan tali keledar tersebut telah pun mengambil keputusan untuk tidak membuat pemeriksaan pada kereta.

    Penyiasatan tersebut turut menunjukkan bahawa data berkenaan telah dipalsukan selama dua dekad sehingg Januari 2020, dan ia berlaku sekali dengan skandal inflator beg udara Takata yang melibatkan panggilan semula di seluruh dunia yang kini masih lagi belum berkesudahan. JSS juga menjelaskan bahawa data ujian yang dipalsukan itu keluar sebelum mereka mengambil alih kilang Takata.

    Bagi mengelakkan timbulnya kemungkinan masalah berikutan isu ini pada masa hadapan, JSS telah memperkenalkan sistem elektronik pada Mac lalu bagi mengelakkan data dari dipalsukan, dengan lebih kawalan keselamatan termasuk memperbanyakkan sumber manusia untuk pengurusan kualiti.

    “Dalam respon kepada isu beg udara, kumpulan JSS secara keseluruhan membuat pelbagai usaha termasuk mewujudkan kod untuk mengawal dan menambah baik kesedaran pematuhan di kalangan kaki tangan, terutamanya untuk mereka yang terlibat dalam pengurusan kualiti,” kata pegawai kanan undang-undang JSS Japan, Kohei Hamamoto.

     
     
  • Aliran trafik NKVE kembali normal, tidak terkesan oleh kejadian runtuhan DASH di Kota Damansara — PLUS

    Aliran trafik NKVE kembali normal, tidak terkesan oleh kejadian runtuhan DASH di Kota Damansara — PLUS

    PLUS di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam memaklumkan bahawa aliran trafik di persimpangan Kota Damansara NKVE tidak terkesan oleh kejadian runtuhan scaffolding yang berlaku pada malam Sabtu lalu. Respon pantas dari semua yang terlibat telah membolehkan kerja-kerja baik pulih berlangsung dalam masa kurang 12 jam, jelas kenyataan itu.

    “Kerjasama baik antara semua yang terlibat dalam menutup keseluruhan kawasan yang terkesan, yang telah menjalani kerja-kerja pembersihan yang bermula hari ini (20 Jun) telah membolehkan aliran trafik dari KM19.8 hingga KM19.2 di kedua-dua arah kembali seperti biasa. Pihak PLUS juga akan terus memantau situasi di tempat kejadian untuk memastikan keselamatan semua orang,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Pada jam 7.15 pm malam Sabtu, dua pekerja Bangladesh tercedera selepas scaffolding besi runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). Sebahagian daripada DASH ini terletak di atas NKVE. Notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan telah dikeluarkan kepada DASH dan kontraktornya MRCB, dan mereka telah memastikan kawasan itu bersih dari segala kesan runtuhan terbabit yang mungkin boleh membahayakan pengguna dan orang-ramai.

     
     
  • Brabus 900 Rocket Edition – Mercedes-AMG G63 dengan kuasa 900 PS dan 1,250 Nm tork, 25 unit saja

    Brabus 900 Rocket Edition – Mercedes-AMG G63 dengan kuasa 900 PS dan 1,250 Nm tork, 25 unit saja

    Brabus sebelum ini telah mengeluarkan beberapa versi G Wagon ubah suai mereka, termasuklah yang menggunakan asas daripada model generasi terbaru W463. Sekarang, mereka mendedahkan satu lagi hasil terbaru, dipanggil sebagai Brabus 900 Rocket Edition dan hanya dihasilkan sebanyak 25 unit sahaja. Setiap satunya dijual pada harga 571,270 euro, ataupun bersamaan RM2.8 juta.

    Daripada nama “Rocket” yang digunakan, kita tahu enjinnya mesti bukan calang-calang. Unit V8 AMG sama seperti G 63 masih lagi digunakan, tetapi kapasiti asal 4.0 liter telah diubah menjadi 4.5 liter. Unit twin turbo ini sekarang mampu menghasilkan kuasa 900 PS 1,250 Nm tork, membolehkan kenderaan seberat 2,560 kg ini memecut 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat. Laju maksimum bagaimanapun dihadkan kepada 280 km/j.

    Apa yang telah dilakukan oleh Brabus adalah membesarkan silindernya kepada 84 mm, dan memasang piston forged baru. Mereka juga memasang crankshaft billet yang sudah diimbangkan serta forged connecting rod prestasi tinggi yang dapat meningkatkan stroke kepada 100 mm. Kemudian, ia dipadankan bersama pengecas turbo besar Brabus yang mempunyai axial bearing dan boleh menghasilkan boost sehingga 1.4 bar.

    Brabus 900 Rocket Edition – Mercedes-AMG G63 dengan kuasa 900 PS dan 1,250 Nm tork, 25 unit saja

    Satu salur udara ram-air (dengan lampu LED) telah dibuat untuk kenderaan ini, dan ia disepadukan pada gril gentian karbon di hadapan. Turut dipertingkat adalah pam minyak, dan kemudiannya diserikan dengan penutup bahagian atas enjin gentian karbon berwarna merah. Brabus turut mengeluarkan saranan menggunakan enjin Motul untuk model ini.

    Pada bahagian lain, anda akan dapat melihat downpipe 76 mm yang disambung kepada sistem ekzos stainless steel prestasi tinggi dengan injap penutup aktif. Seperti biasa bagi Brabus, untuk G-Wagon, muncung ekzos diletakkan di kedua-dua sisi, dan diletakkan dengan lampu sebagai hiasan. Selain daripada itu, bawah pemijak kaki juga diletakkan lampu.

    Pada aspek penggayaan, Brabus 900 Rocket Edition ini menggunakan kit badan lebar Widestar keluaran syarikat itu, dan ia dihias lagi dengan pelbagai komponen gentian karbon. Model yang dikeluarkan oleh Brabus ini 100 mm lebih lebar berbanding G 63 biasa, dan dipasang dengan rim forged Brabus Monoblock Z Platinum Edition 24 inci.

    Saiz rim ini adalah berbeza – depan menggunakan lebar 10J dengan tayar 295/30ZR24 sementara belakang menggunakan lebar 12J dengan tayar 355/25ZR24. Untuk suspensi, ia menggunakan penyerap Brabus RideControl yang boleh dilaras menggunakan suis standard Drive Select dan boleh direndahkan sehingga 45 mm.

    Brabus juga memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk memilih warna luar serta kombinasi kemasan di bahagian dalam. Contoh di dalam gambar antaranya mempunyai tempat duduk bucket, termasuklah di belakang, panel meter sehingga 300 km/j, konsol tengah yang boleh dijadikan meja serta peti sejuk khas.

    GALERI:: Brabus 900 Rocket Edition (Stealth Grey dengan dalaman hitam)

    GALERI: Brabus 900 Rocket Edition (Black dengan dalaman hitam/merah)

     
     
  • Proton Gen2 GTi sebagai model prestasi empat-pintu

    Proton Gen2 GTi sebagai model prestasi empat-pintu

    Pernah sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mendedahkan bahawa ada perancangan sebenarnya untuk syarikat itu meneroka rekaan badan jenis wagon bagi model Gen2, begitu juga dengan model generasi baru Satria Neo. Banyak lagi perancangan lain, tetapi Gen2 versi prestasi tinggi tidak pernah menjadi sebahagian daripada itu.

    Untuk itu, Theophilus Chin kali ini cuba membayangkan pula bagaimana rupa Gen2 GTi, sekiranya model berkenaan benar-benar ada. Imejnya agak jelas, ia merupakan kacukan antara Gen2 dengan bahagian daripada Satria GTi. Bahagian yang dikongsi itu pula agak ketara kelihatan — bampar depan dengan lampu kabus bulat kelihatan sepenuhnya di sini, dengan perbezaan hanya melibatkan rekaan gril (tidak berubah dari Gen2 versi pra-facelift).

    Turut kelihatan ialah jalur plastik hitam yang menghiasi sisi Gen2 ini, lengkap dengan lencana “GTi 16V” di pintu belakang. Nampak macam kedudukannya sedikit tak kena tempat, mungkin disebabkan oleh bentuk asalnya lebih kurus termasuk di bucunya, dan diletakkan lebih tinggi.

    Proton Gen2 GTi sebagai model prestasi empat-pintu

    Bentuk tambahan lengkung roda GTi juga disertakan dalam rekaan ini, berserta rim 16-inci enam jejari ikoniknya. Namun, rekaan ini menambah angkup kuning yang tak ada pada kereta asal — ia dipinjam daripada Proton Satria GTi 2000 Dream Street Restoration.

    Di belakang, rekaan Satria GTi asal dapat dilihat di bahagian separuh ke bawah bampar yang ditampilkan ini, termasuklah kemasan mungcung ekzos berkembar segi empat. Lampu belakang yang digunakan ini ialah dari Persona kumpulan terakhir yang pernah dikeluarkan, sementara spoiler but dipinjam dari Gen2 CPS.

    Memandangkan ini cuma imej rendering digital, aspek prestasi dan unit janaan kuasa kami biarkan untuk anda bayangkan sendiri. Mungkin unit asal dalam GTi, 4G93P 1.8 liter DOHC empat-silinder adalah pilihan yang terbaik? Kongsikan pandangan anda.

     
     
  • Toyota Tundra 2022 – gambar awal varian TRD Pro

    Toyota Tundra 2022 – gambar awal varian TRD Pro

    Minggu lepas, ada pekerja di wakil pengedar Toyota telah membocorkan gambar Tundra 2022 ke dalam internet, menampakkan keseluruhan bahagian luarnya. Perkara ini tentunya menyakitkan hati Toyota, kerana trak pikap saiz penuh itu belum dilancarkan secara rasmi lagi, dan disebabkan itu, Toyota terpaksa menyiarkan gambar sebenarnya. Hanya satu gambar sahaja disiar, dan ia datang dengan kenyataan: “Ada orang memang tak boleh simpan rahsia.”

    Apapun, sekarang kita boleh melihat rupa sebenar Tundra generasi baru ini, di mana perubahannya sangat jelas. Ia nampak lebih mantap dengan gril heksagonal besar di depan dan lampu utama yang mempunyai DRL berbentuk unik sehingga ke fender. Bonet yang tinggi itu juga mempunyai kemasan seperti dua skup udara di atasnya.

    Varian yang anda lihat ini adalah TRD Pro. Ia menggunakan kemasan hitam pada beberapa bahagian dan mempunyai penampilan lebih agresif dengan tulisan Toyota yang besar di hadapan, beberapa lampu tambahan pada bahagian dalam gril, skid plate besar di hadapan, tulisan Tundra dengan corak camouflage di atasnya, pemijak tepi serta tambahan lengkuk roda.

    Turut dipasang adalah rim BBS 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Falken Wildpeak A/T. Gambar unit berwarna merah yang dibocorkan pula menampakkan bahagian belakangnya, yang juga adalah varian TRD Pro, tertulis dengan jelas pada bahagian pintu penutup. Seperti biasa, varian TRD Pro yang dibuat untuk lebih lasak ini akan dipasang dengan kelengkapan perlindungan bawah kenderaan serta suspensi khas.

    Sehingga kini, Toyota masih belum mendedahkan perincian Toyota Tundra, tetapi kita boleh menjangka ia menggunakan kerangka Toyota New Global Architecture (GA-F) sama seperti Land Cruiser baru. Untuk enjin pula, teaser sebelum ini sudah menunjukkan tulisan “iForce Max” di atas penutupnya, dan ia dijangka lebih berkuasa berbanding enjin V8 iForce 381 hp/544 Nm pada Tundra sekarang.

     
     
  • Toyota Supra Mk4 Fast and Furious sebenar dipandu oleh Paul Walker terjual RM2.28 juta dalam lelongan

    Toyota Supra Mk4 Fast and Furious sebenar dipandu oleh Paul Walker terjual RM2.28 juta dalam lelongan

    Selepas diumumkan pada Mei 2021, hujung minggu lalu sebuah Toyota Supra Mk4 yang digunakan dalam filem pertama The Fast and The Furious berjaya dilelong dalam acara yang langsungkan oleh Barret Jackson Las Vegas dengan harga yang tak masuk akal – USD550,000 atau sekitar RM2.28 juta!

    Untuk pengetahuan anda, sebanyak lapan buah Supra Mk4 berwarna oren yang digunakan dalam pembikinan filem yang ditayangkan pada tahun 2001 berkenaan, masing-masing mempunyai tugas tersendiri bergantung babak yang sedang dirakam. Unit yang berjaya dilelong ini adalah unit yang dilabel sebagai kereta Stunt 1, ia disahkan sendiri oleh penasihat teknikal filem berkenaan, Craig Liebermann.

    Menurut Lieberman lagi, Supra ini adalah unit kedua paling penting dalam filem itu kerana ia unit sebenar yang dipandu oleh O’Conner yang dilakonkan oleh mendiang Paul Walker ketika babak di mana dia menembak Johnny Tran yang sedang menunggang motosikal. Harga jualan untuk Supra ini juga nampaknya telah melampaui sebuah lagi Supra yang digunakan dalam filem berkenaan, yang berjaya dilelong dengan harga USD185,000 (RM766,918) pada 2015.

    Toyota Supra Mk4 Fast and Furious sebenar dipandu oleh Paul Walker terjual RM2.28 juta dalam lelongan

    Lieberman turut memberitahu bahawa kebanyakkan dari unit-unit Supra yang digunakan dalam filem berkenaan sebenarnya hanya dari versi NA dengan enjin 3.0 liter 2JZ-GE. Jadi unit yang baharu sahaja dilelong ini menampilkan satu lagi keistimewaan kerana ia dari versi Supra Turbo asli yang datang dengan enjin 2JZ-GTE bersama dua pengecas turbo. Tetapi, ia bukanlah dari versi transmisi manual, kerana dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan, bersama tombol gear Sparco yang acah-acah manual.

    Untuk digunakan dalam filem, Supra ini telah dihasilkan oleh Eddie Paul di The Shark Shop yang terletak di El Segundo, California. Selepas habis penggambaran The Fast and The Furious, Supra tersebut digunakan semula untuk digunakan sebagai kereta milik Slap Jack dalam filem kedua, 2 Fast 2 Furious – ingat lagi babak perlumbaan pertama yang melibatkan Supra melompat dari jambatan yang sedang diangkat?

    Kereta ini kemudiannya direstorasi semula dengan penampilan sama seperti filem pertama. Ia dipadankan dengan bampar hadapan Bomex, bonet depan dengan rupa seperti bonet Supra keluaran TRD, sayap GT belakang dari APR, serta rim 19-inci Racing Hart M5. Badannya disembur semula dengan warna Candy Orange Pearl, serta diberikan pelekat grafik badan “Nuclear Gladiator” yang direka oleh Troy Lee.



     
     
  • Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

    Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

    Selepas didedahkan sepenuhnya pada April lalu, kini Honda Civic 2022 secara rasmi telah dijual pada pasaran Amerika Syarikat dan harga serta perincian setiap varian turut diumumkan sekali, menyaksikan sedikit peningkatan harga berbanding model generasi sebelum ini.

    Honda Civic generasi ke-11 pada pasaran AS ini ditawarkan bermula varian asas LX dengan harga US$22,695 (RM93,800), diikuti model Sport berharga US$24,095 (RM99,600) – kedua-dua model ini dijana oleh enjin 2.0L NA. Untuk pilihan lebih berkuasa dijana enjin 1.5L VTEC Turbo, ia bermula dengan model EX berharga US$25,695 (RM106,200), diikuti varian tertinggi Touring dengan harga US$29,295 (RM121,100).

    Untuk model 2.0L NA, ia masih dijana enjin sama seperti model generasi sebelumnya pada pasaran berkenaan iaitu unit dengan sistem i-VTEC DOHC empat-silinder berkuasa 158 hp dan tork maksima 187 Nm. Varian LX menampilkan penggunaan bahan api lebih baik iaitu 6.7 liter untuk setiap 100 km. Namun untuk varian Sport dengan rim 18-inci, ia masih sama seperti seperti model sebelum ini iaitu 7.1L/100 km.

    Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

    Manakala model dengan enjin 1.5L VTEC Turbo pula telah ditala bagi menghasilkan 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini, kini menjana 180 hp dan tork maksima 240 Nm. Penggunaan bahan api untuk model EX adalah 6.5 liter setiap 100 km. Manakala untuk Touring, ia 0.2L/100 km lebih rendah dari model generasi sebelumnya iaitu 6.9 liter untuk setiap 100 km.

    Kedua-dua enjin ini hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang telah diperhalusi. Kotak gear manual enam-kelajuan hanya akan ditawarkan pada varian prestasi untuk model hatchback yang akan diperkenalkan selepas ini iaitu Civic Si dan juga Civic Type R.

    Seperti yang sudah didedahkan sebelum ini, Honda Civic generasi ke-11 ini kembali menampilkan rupa jinak dan matang setelah menerapkan rupa agresif seperti robot Gundam pada model generasi ke-10. Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L serta lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

    Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

    But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

    Rupa lebih ringkas dan matang turut ditampilkan pada bahagian dalaman – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

    Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

    Konsol terowong tengah bersambung selepas tingkat bawah papan pemuka tersebut. Ia dimulakan dengan ruang storan bersama port USB dan soket kuasa 12 volt. Tombol gear pula diletakkan selepas bahagian berkenaan bersama suis pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, kawalan brake hold dan juga pemegang cawan. Material yang digunakan pada bahagian kabin ini juga lebih berkualiti dari sebelum ini bagi memberikan suasana lebih premium.

    Saiz Civic 2022 ini juga lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

    Penglihatan untuk pemandu juga kini lebih baik kerana tiang-A pada Civic ini telah ditolak 1.96-inci ke belakang. Menurut Honda, rekaan ini juga sebenarnya memberikan profil sisi yang nampak lebih menarik dan seimbang kerana tiang berkenaan tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan.

    Model pasaran Amerika Syarikat ini menampilkan kelengkapan standard seperti lampu hadapan LED, butang penghidup enjin, skrin infotainmen tujuh-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, serta meter kelajuan analog bersama paparan informasi digital lain pada skrin tujuh-inci.

    Model Sport pula menerima rim aloi dengan rekaan jejari-Y serta kabin kemasan hitam, tip ekzos krom, upholsteri fabrik unik, lapan pembesar suara, pedal sport, pedal penukar gear pada stereng serta mod pemanduan Sport yang baru. Bagi model EX, ia disertakan dengan bumbung suria, pemanas tempat duduk, pemanas cermin sebelah luar dan sistem pendingin hawa dua zon.

    Manakala untuk varian tertinggi Touring, ia hadir dengan lampu kabus LED, rim aloi 18-inci unik, upholsteri kulit, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, mod Sport, sistem infotainmen dengan skrin sembilan-inci bersama hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sistem navigasi dan radio satelit, pengecaj telefon pintar tanpa wayar Qi, paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci dan juga sistem bunyi dari Bose.

    Bagi keselamatan pula, kesemua model diberikan standard dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong.

    Ia juga hadir dengan pengingat penggunaan tali pinggang keledar belakang, bersama pengingat tempat duduk belakang bagi memastikan tiada apa-apa yang tertinggal sebelum pemandu keluar dari kereta. Model Touring pula menerima tambahan sistem brek kecemasan automatik kelajuan rendah.

    Agaknya lama lagi tak Civic generasi ke-11 ini akan tiba di Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.


     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Mei 2021 turun 19.4%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Mei 2021 turun 19.4%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan untuk bulan Mei 2021. Di mana sebanyak 46,663 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, menyaksikan penyusutan sebanyak 11,249 unit (atau 19.4%) berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada April 2021.

    Walau bagaimana pun, angka tersebut adalah dua kali ganda berbanding bulan yang sama pada tahun 2020, yang mencatatkan sejumlah 23,366 unit, iaitu meningkat sebanyak 99.7% atau 23,297 unit pada tahun ini. Untuk angka tahun-hingga-ke-tarikh-berkenaan, sebanyak 245,932 unit telah dijual untuk lima bulan pertama 2021, atau meningkat sebanyak 117,142 unit (90.9%) berbanding 128,790 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

    MAA berkata, penyusutan jualan kenderaan pada bulan lalu dipengaruhi beberapa faktor, termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada minggu kedua bulan Mei, serta tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ditambah pula dengan masalah kekurangan bekalan cip di peringkat global yang terus menjejaskan produksi, dan jualan.

    Dengan negara yang dikenakan lockdown penuh sepanjang bulan tersebut, maka semua bilik pameran juga ditutup, selain kilang pengeluaran juga digantung operasi. Malahan MAA turut berkata, angka untuk bulan Jun juga mungkin tidak ada disebabkan faktor yang sama. Namun begitu, cuma satu sahaja ‘harapan yang agak cerah’ untuk memastikan jualan tetap ada iaitu pelepasan cukai jualan yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini, tetapi disambung sehingga akhir Disember 2021.

     
     
  • Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Geely selepas ini bakal menghasilkan pelbagai model elektrik sepenuhnya (EV) menggunakan platform baharu mereka yang digelar Sustainable Experience Architecture (SEA), di mana ia memang direka khas untuk menghasilkan EV dalam pelbagai jenis kenderaan tak kira saiz mahupun segmen. Ia bukan sahaja akan digunakan oleh semua jenama di bawah kumpulan Geely, malah ia juga ditawarkan secara terbuka untuk pengeluar lain yang mahu menghasilkan kenderaan elektrik mereka.

    Jadi untuk memperincikan platform baharu berkenaan, Geely telah mengadakan satu sesi temurmah secara atas talian untuk media Malaysia bersama ketua jurutera platform SEA tersebut, Kent Bovellan yang berasal dari Sweden dan sebelum ini berkhidmat dengan Volvo.

    Menurut Bovellan, SEA terdiri dari lima versi yang meliputi pelbagai segmen pasaran. Platform asasnya adalah SEA1 untuk kenderaan bersaiz besar meliputi model segmen-D (saiz-sederhana) sehingga segmen-F (mewah) dan juga SEA2 untuk segmen-B hingga segmen-D. Ia juga dihasilkan dalam versi lebih kecil dan murah iaitu SEA Entry (SEA-E) untuk model segmen-A dan kenderaan bajet serta dalam versi SPA Sport (SEA-S), untuk model lebih Sporty.

    Bukan itu sahaja, platform ini turut dihasilkan dalam versi SEA Commercial (SEA-C) untuk model-model komersial yang meliputi kenderaan antara 3.5 tan sehingga 5.5 tan, termasuk bas dengan kapasiti sehingga 12 penumpang serta trak pikap. Kenderaan komersial lebih kecil turut boleh dihasilkan menggunakan platform SEA, dan semua model akan berkongsi pelbagai komponen yang sama bagi mengurangkan kos pembangunan.

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Buat masa sekarang platform SEA1 sudahpun digunakan pada model pertama jenama EV Premium Geely iaitu Zeekr, dengan model yang digelar Zeekr 001. Model tersebut adalah SUV dengan gaya coupe, juga merupakan model produksi sebenar bagi Lynk & Co Zero. Selepas ini mereka akan tampil dengan lebih banyak model termasuk MPV, model yang diasaskan dari platform SEA2 dan juga SUV smart yang dihasilkan bersama Daimler.

    Kesemua platform ini akan membolehkan Geely menghasilkan pelbagai model tidak kira apa saiz sekalipun. Platform SEA2 membolehkan model-model yang sedang dibangunkan sekarang mempunyai julat jarak roda bermula 2,650 mm sehingga 2,900 mm. Model-model yang dibina menerusi platform SEA1 pula adalah lebih besar, Zeekr 001 misalnya menampilkan jarak roda sejauh 3,005 mm.

    Namun Bovellan mengesahkan Geely tidak akan menghasilkan model EV kecil (Mini EV) untuk yang popular untuk kegunaan bandar di China buat masa sekarang yang lebih kecil dan murah dari model segmen-A. Platform SEA paling kecil SEA-E hanya boleh menghasilkan kereta paling kecil dengan jarak roda 2,550 mm.

    Jurutera berkenaan turut mengesahkan bahawa kesemua model yang dibina menerusi platform SEA ini menampilkan struktur unibody, walaupun pada platform kenderaan komersial SEA-C dengan pek bateri digunakan untuk menguatkan lagi struktur. Jadi, tidak mustahil Geely akan menghasilkan trak pikap elektrik sepenuhnya selepas ini menggunakan platform berkenaan.

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Platform ini juga sangat versatil, yang mampu menghasilkan kenderaan sama ada dengan konfigurasi pacuan hadapan, pacuan belakang mahupun pacuan semua roda dengan pemadanan hanya satu motor atau berberapa buah motor elektrik. Ia juga boleh menggunakan sistem EV dengan range extender di mana bateri boleh dicaj menggunakan enjin pembakaran dalaman yang berfungsi seperti “generator pasar malam.”

    Untuk sistem range extender tersebut, enjin pembakaran dalaman tidak akan diletakkan seperti model hibrid biasa, sebaliknya ia hanya akan diberikan enjin yang sangat kompak diletakkan di belakang, manakala kereta hanya digerakkan menerusi motor elektrik di hadapan.

    Kesemua model akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri. Model-model SEA-E hadir dengan pilihan bateri 58 dan 68 kwj dan Zeekr 001 pula ditawarkan dengan pilihan bateri 86 atau 100 kwj. Bovellan mendedahkan dengan penggunaan kuasa 12.5 kWj untuk setiap 100 km, model paling SEA2 dengan bateri paling kecil sekalipun mampu untuk bergerak sejauh 160 km.

    Bagi Zeekr 001, ia mempunyai jarak gerak sejauh 700 km. Dan dengan sistem range extender, Bovellan mendakwa ia boleh bergerak sejauh 1,000 km dengan bateri 40 kWj dan bekalan bahan api sebanyak 40 liter.

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Platform SEA ini juga mampu menampung pengecaj cepat DC, dengan SEA1 membenarkan elektrik 400 volt untuk mengecaj bateri dari 10% sehingga 80% dalam masa hanya 30 minit. Ia juga boleh ditingkat taraf dengan sistem 800 volt pada masa hadapan dengan masa mengecaj sekitar 20 minit.

    Walaupun platform SEA ini diberikan bateri yang diletakkan pada bawah lantai sama seperti pengeluar lain, Bovellan menyatakan bahawa ia masih menghasilkan kereta serendah 1,480 mm dengan cara mengalihkan berberapa sel bateri ke terowong tengah bagi mengasilkan ruang kaki yang lebih rendah, serta menggunakan karpet dan tempat duduk lebih nipis serta menggunakan bumbung kaca tetap berbanding yang boleh gelangsar.

    Ini adalah sangat penting untuk platform SEA-S, di mana Bovellan menyamakannya dengan Platform Premium Elektrik (PPE) Volkswagen yang dihasilkan bersama Audi dan Porsche. Bekas jurutera Volvo tersebut juga menyatakan bahawa model-model yang diasaskan dari platform SEA-S nanti bakal berhadapan terus dengan saingannya dari Porsche seperti model Taycan.

    Bovellan juga menyatakan hasil kejuruteraan platform SEA ini adalah lebih hebat dari Tesla hampir dalam kesemua aspek dari prestasi, keberkesanan kos, NVH, pengendalian, ruang dalaman, dan kos penyelenggaraan. Menurutnya lagi, platform SEA ini adalah lebih ringan berbanding platform Tesla walaupun menggunakan gandingan aluminium dan logam, berbanding struktur aluminium sepenuhnya yang diguna pada Model S dan X.

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Walaupun dari segi prestasi Tesla masih lebih pantas, model-model SEA ini juga sebenarnya tidak ketinggalan jauh. Zeekr 001 misalnya yang hanya dihasilkan menerusi SEA1 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Manakala model sport sebenar kelak yang dihasilkan dari platform SEA-S disasarkan untuk mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat.

    Satu lagi perkara yang sangat dititik beratkan dalam penghasilan kereta elektrik ialah jangka hayat bateri. Geely menyatakan bahawa bateri pada platform SEA yang dibekalkan oleh CATL dari China ini mampu mencapai mengekalkan tahap kuasanya tanpa sebarang pengurangan prestasi sehingga perbatuan 200,000, serta boleh bergerak sehingga 2 juta km sebelum kapasitinya berkurangan sebanyak 80%. Menurut Bovellan, sistem penyejukkan yang sangat berkesan adalah faktor untuk mengurangkan kerosakan bateri ini.

    Berkenaan konsep “open-source” yang membolehkan Geely berkongsi platform SEA ini dengan pengeluar lain, Bovellan menyatakat Geely turut akan berkongsi data lukisan terbantu komputer (CAD) tiga-dimensi serta informasi yang berkaitan kepada syarikat yang berminat.

    Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

    Projek ini sudahpun menarik pelbagai pihak untuk bekerjasama – selain Daimler menerusi kerjasama dengan smart, Geely juga kini sedang menghasilkan kenderaan elektrik bersama syarikat gergasi dalam bidang teknologi iaitu Baidu.

    Geely juga sedang bekerjasama dengan pembuat telefon pintar Foxconn untuk menyediakan produksi dan konsultasi kereta, sistem pemanduan pintar dan juga servis-servis lain untuk pihak yang berminat. Menurut Bovellan, rakan kerjasama mereka sekarang agak kagum dengan platform ini, apabila prototaip-protaip yang berasaskan platform SEA ini diuji bersama-sama model-model dari Tesla.

    Dengan tahap modulariti platform SEA ini yang sangat luas termasuk boleh menghasilkan kereta dari kelas segmen-A sehingga segmen-D, tidak mustahil platform ini turut boleh digunakan oleh Proton sekiranya masa yang sesuai sudah tiba untuk mereka masuk ke segmen elektrik sepenuhnya ini kelak bukan?

    GALERI: Zeekr 001

     
     
  • Audi akan hentikan pengenalan model dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk hibrid pada 2026?

    Audi akan hentikan pengenalan model dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk hibrid pada 2026?

    Satu laman berita dari Jerman, iaitu Sueddeutsche Zeitung telah memetik ayat daripada ketua pegawai eksekutif Audi, Markus Duesmann bahawa syarikat itu akan menghentikan pengenalan model baru yang menggunakan enjin pembakaran dalaman bermula tahun 2026. Bukan setakat itu, ia juga mengambil kira sekali model hibrid.

    Tempoh masa ini diletakkan supaya selari dengan cadangan baru peraturan emisi Euro 7, yang dianggap bakal membuatkan enjin pembakaran dalaman tidak layak untuk dijual pada tahun tersebut. Menurut Autocar, cadangan utama yang berkaitan dengan peraturan ini telah dibuat pada bulan Oktober tahun 2020 oleh European Commission’s Consortium for Ultra Low Vehicle Emissions (Clove), yang terdiri daripada pelbagai jurutera perunding.

    Menurut laporan itu lagi, peraturan baru ini akan memberikan kesan besar kepada model kecil dan mampu milik yang menggunakan enjin pembakaran dalaman kerana tidak lagi layak untuk dikeluarkan. Model lebih premium dan berprestasi tinggi juga di bawah ancaman, kerana peraturan yang ketat akan dikenakan pada aspek pecutan kuat.

    Audi akan hentikan pengenalan model dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk hibrid pada 2026?

    Melihat pula kepada ibu syarikat Volkswagen Group, jenama Volkswagen pernah memberitahu Automobilewoche Mac lalu bahawa mereka akan menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman dan kemudiannya akan mengubah suai enjin sedia ada untuk mematuhi peraturan emisi baru.

    Pengeluaran model yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman di kilang Zwickau-Mosel juga sebenarnya sudah dihentikan oleh Volkswagen, dengan model yang terakhir dikeluarkan adalah Golf R Estate Mk7.5. Kilang ini dikatakan bakal menjadi pengeluar kereta elektrik paling besar di Eropah.

    Larangan penjualan kenderaan baru yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman petrol dan diesel di benua itu telah menjadi satu langkah pemacu ke arah penggerak elektrik secara menyeluruh. Volvo juga telah mengumumkan bahawa mereka akan bergerak ke arah elektrik penuh dengan tiada model pembakaran dalaman serta plug-in hybrid secara global, menjelang tahun 2030.

     
     
  • Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

    Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

    Ketika Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) mendedahkan Sustainable Experience Architecture (SEA) tahun lalu, satu daripada inovasi utamanya adalah berkaitan ketahanan dan jangka hayat bateri yang akan digunakan untuk kenderaan elektrik untuk platform berkenaan.

    Menurut syarikat itu, bateri berkenaan telah diuji untuk mampu mengekalkan penawaran jarak perjalanannya tanpa ada penyusutan sedikit pun bagi sekurang-kurangnya 200,000 km. Dalam kapasiti tenaga penuh 110 kWh, bateri bersepadu modular CTP (cell to pack) yang menawarkan 700 km, lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan kegunaan.

    Pek bateri berkenaan boleh membekalkan kuasa kepada motor elektrik dengan output sehingga 475 kW (646 PS atau 637 hp), dan dengan transmisi dua-kelajuan, 8,000 Nm tork roda. Angka kedua ini bukanlah tork sebenar yang dijana oleh motor elektrik, sebaliknya jumlah selepas mengambil kira nisbah gear atau nisbah pacuan.

    Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

    Selain jarak perjalanan dan output, SEA berkenaan juga menyokong senibina elektrikal 800-volt yang membenarkan pengecasan pantas DC, yang menyaksikan 120 km diperoleh dalam masa hanya lima minit mengecas.

    Geely Holding juga mendakwa bateri berkenaan mempunyai jangka hayat 2,000,000 km mengikut keadaan operasi di bawah NEDC — agak berlebihan untuk penggunaan biasa. Bagaimanapun, SEA berkenaan dibangunkan dengan mempertimbangkan untuk digunakan oleh kenderaan komersial, maka bateri yang boleh memberikan bacaan jarak yang tinggi tentulah lebih baik.

    Semua ini bunyinya sangat meyakinkan, tetapi adakah bateri terbabit dapat memberikan prestasi itu dalam keadaan cuaca di Malaysia yang panas? Untuk mengetahui hal itu, paultan.org bertanya kepada Kent Bovellan, ketua jurutera senibina SEA di Geely Auto Group, di dalam satu sesi wawancara berkumpulan sebelum ini.

    “Berdasarkan data yang ada, janji itu betul. Tidak akan berlaku penyusutan (kapasiti/prestasi) sehinggalah anda mencapai 200,000 km dan itu bagi kebanyakan orang adalah satu jangka hayat normal. Ia boleh mencecah dua juta km sebelum mencapai tahap kesihatan bateri 80%. Semua ini fakta sebenar yang diperolehi dan kami ada setakat ini.”

    Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

    Beliau menjelaskan yang platform berkenaan menggunakan sistem penyejukan cekap bagi memastikan setiap sel dalam beteri tidak melepasi suhu 45 darjah celsius, tahap di mana penyusutan mula berlaku. Sudah tentu, penyusutan boleh berlaku secara alami dan pengecasan pantas boleh mempercepat proses itu, sama seperti apa yang dilalui oleh bateri telefon pintar.

    “Jika anda tidak melepasi sasaran suhu berkenaan, maka tidak akan berlaku penyusutan. Anda perlu mempunyai sistem penyejukan yang cekap, yang diuji secara menyeluruh pada SEA untuk iklim panas seperti di Malaysia. Sudah tentu, dalam suasana iklim lebih panas, anda akan memerlukan lebih tenaga, kerana kami menggunakan sistem AC untuk menyejukkan bateri dan mengekalkannya di bawah 45 darjah Celsius, supaya tidak berlaku penyusutan,” jelas Bovellan.

    Jadi, nanti sekiranya kenderaan yang menggunakan senibina bateri SEA ini masuk ke pasaran Malaysia, kita tahu bagawa bateri tersebut memang boleh berdepan dengan cuaca dan iklim di sini untuk memberikan prestasi yang optimum. Bagaimanapun, belum pasti lagi bila EV dengan sistem ini akan tiba di sini.

     
     
  • Nissan Navara Pro-4X Warrior bakal diperkenal di Australia – lawan terus kepada Ford Ranger Raptor?

    Nissan Navara Pro-4X Warrior bakal diperkenal di Australia – lawan terus kepada Ford Ranger Raptor?

    Nissan mendedahkan satu set imej untuk varian baharu untuk trak pikap Navara mereka bagi pasaran Australia, yang digelar Navara Pro-4X Warrior. Ini bukan varian biasa-biasa, kerana nampaknya model ini menerima kelengkapan prestasi yang serius, dan ia sebenarnya dihasilkan bersama Premcar, iaitu salah satu firma kejuteraan dan pembuatan automotif terbaik di Australia.

    Tiada maklumat terperinci lagi didedahkan secara rasmi oleh Nissan berkenaan model ini. Namun menerusi set imej yang diberikan, Navara dengan badan dual-cab tersebut menerima pelbagai tingkat taraf seperti bampar hadapan yang memberikan sudut approach lebih baik bersama bar lampu LED, suspensi lebih serius, pelindung bawah badan logam, tayar untuk off-road yang lebih serius, dan pelbagai lagi.

    Menurut pengarah Premcar Engineering, Bernie Quinn, model ini diasaskan dari Navara Pro-4X, dan ia dihasilkan “sangat sesuai dengan keadaan di Australia, tidak kira pada on– atau off-road, tanpa mengorbangkan keselesaan dan juga praktikaliti” serta “lebih lasak dan lebih berkemampuan” dan disifatkan “tiada saingan dalam segmen dual-cab ute di Australia.”

    Nissan Navara Pro-4X Warrior bakal diperkenal di Australia – lawan terus kepada Ford Ranger Raptor?

    “Kami ambil semua peningkatan penting yang dibuat oleh Nissan pada Navara Pro-4X, seperti tahap NVH yang menkagumkan, kualiti stereng, kelengkapan keselamatan yang ekstensif dan juga fungsi asas dual-cab, dan kami tambah semua tingkat taraf tersebut dengan kepakaran kejuruteraan kami bagi menghasilkan Navara paling lasak dan paling berkemampuan dalam dunia,” katanya.

    Pasukan Premcar Warrior ini terdiri dari 35 pakar yang melakukan proses kejuruteraan semula Navara Pro-4X di Victoria, Australia. Menurut pengarah urusan Nissan Australia, Stephen Lester, Pro-4X ini akan menjadi model pertama dalam barisan model Warrior baharu yang akan diperkenalkan.

    “Australia merupakan tempat yang sangat luas dan unik, jadi kejuruteraan ekstensif Warrior dan program ujian direka bagi memastikan ia memberikan kesemua keperluan yang pemilik ute di Australia mahukan,” kata Quinn lagi. Ujian untuk Navara Pro4X Warrior ini hampir lengkap, jadi berkemungkinan perinciannya penuhnya akan didedahkan tidak lama lagi.

    Adakah model dari Nissan ini akan memberikan saingan terus trak pikap prestasi tinggi Ford Ranger Raptor yang turut dibangunkan di Australia?

     
     
  • Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Selain pace car TLX Type S 2021 yang diperkenalkan sebelum ini, Acura juga akan membawa bersama MDX Type S 2022 (masih belum dilancarkan secara rasmi) ke acara Pikes Peak International Hill Climb yang akan bermula 27 Jun ini.

    Ya, inilah kali pertama kita dapat melihat versi Type S bagi Acura MDX terbaru. Selain menggunakan lencana Type S, MDX generasi keempat ini juga diberikan penambahan prestasi menggunakan resepi sama seperti sedan sports TLX Type S.

    Apa yang diketahui secara rasmi sekarang adalah MDX Type S akan menggunakan enjin petrol V6 turbo 3.0 liter berkemampuan 355 hp dan 480 Nm tork. Ini adalah enjin sama seperti TLX, dan SUV ini juga mendapat transmisi automatik 10 kelajuan yang boleh menukar gear lebih pantas serta sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) dengan torque-vectoring.

    Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Menurut Acura, enjin ini adalah khas untuk model Type S, dan ia dibangunkan oleh antara jurutera enjin paling berpengalaman dalam syarikat itu, termasuklah mereka yang terlibat dalam pembangunan unit V6 twin turbo pada NSX. Sebagai rujukan, MDX biasa menggunakan enjin V6 3.5 liter NA, yang menghasilkan kuasa 290 hp dan 362 Nm tork, iaitu 65 hp dan 118 Nm lebih rendah berbanding model Type S.

    Memandangkan ini adalah SUV penting untuk Amerika, Acura telah berkongsi kemampuan menarik bebannya, iaitu 5,000 pound ataupun 2,267 kg. SUV Acura paling pantas dan paling berkuasa ini akan menarik kereta lumba TLX Type S dari bengkel pasukan di Raymond, Ohio, hinggalah Colorado untuk menyertai perlumbaan Pikes Peak 2021.

    Selain enjin lebih berkuasa dan penampilan lebih sporty, MDX Type S juga mendapat kelengkapan prestasi lain seperti brek hadapan Brembo, suspensi hadapan double wishbone dan mod pemanduan Sport+ yang diberikan khas untuk model Type S. Perincian selanjutnya akan diketahui apabila ia didedahkan secara rasmi hujung tahun ini.

    GALERI: Acura MDX Type S 2022

    GALERI: Acura MDX 2022

     
     
  • Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Selain itu, ia juga diharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi nasional kepada rakyat di negara ini.

    “Prasarana menyokong penuh kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan misi Kerajaan untuk membawa negara keluar segera daripada krisis penularan wabak Covid-19 ini. Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah.

    Prasarana telah mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel dan aset digital di dalam bas dan tren.

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Semua aset ini akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.

    “Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

    “Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM. Kesemua Kapten Bas yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas. Secara keseluruhan, semua staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” jelas Norlia.

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.

    Menurut Norlia lagi, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.

    “Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan, adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini. Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” tambah kenyataan berkenaan.

     
     
  • Selangor beri rebat pengangkutan untuk ke PPV

    Selangor beri rebat pengangkutan untuk ke PPV

    Kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan penawaran rebat RM10 sebagai rebat pengangkutan untuk individu berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai akaun e-hailing Grab bagi pengambilan vaksin COVID-19 yang ditawarkan bermula 1 Julai ini.

    Menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), ia dilaksanakan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan susulan pengumuman yang dibuat Menteri Besar Selangor sebelum ini, laporan Berita Harian.

    MBI Selangor bersama kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Grab, dengan menyediakan pemberian rebat sebanyak RM10 bagi setiap perjalanan pergi dan balik bagi bagi tujuan perjalanan mendapatkan suntikan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 1 Julai 2021.

    “Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada individu berumur 50 tahun ke atas di seluruh Selangor yang mempunyai akaun aplikasi Grab. Ia turut membabitkan perjalanan ke mana-mana 34 PPV di seluruh negeri ini,” menurut kenyataan itu. Sambil menambah, inisiatif berkenaan bertujuan memberi galakan dan memudah cara kepada rakyat Selangor khususnya mereka yang berumur 50 tahun ke atas untuk mengambil vaksin.

    “Tarikh rebat bermula 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021. Permohonan boleh dibuat mulai 20 Jun 2021 melalui laman sesawang https://www.platselangor.com. Orang awam boleh berhubung melalui e-mel [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025