Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PDRM beri diskaun hingga 50% bagi saman trafik terpilih mulai 18 Jun-18 Julai; untuk individu, syarikat

    Klik untuk besarkan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan menawarkan pengurangan kompaun saman trafik bermula 18 Jun ini sehingga 18 Julai 2021 dengan diskaun sehingga 50%. Ia adalah melibatkan saman terpilih yang boleh dikompaunkan termasuk saman-saman dalam kategori senarai hitam.

    “Tawaran pengurangan kompaun saman berkenaan tidak termasuk saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama yang dilakukan pada tahun 2021 (seperti tidak patuhi lampu isyarat merah, potong secara berbahaya dan terlibat dengan kemalangan), kesalahan kenderaan berat dan kesalahan berkaitan ubahsuai ekzos,” ujar Dato’ Azisman Alias, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

    Tambah Azisman lagi, sepanjang kempen ini, semua kaunter pembayaran saman di kontijen dan ibu pejabat polis daerah ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

    PDRM beri diskaun hingga 50%  bagi saman trafik terpilih mulai 18 Jun-18 Julai; untuk individu, syarikat

    “Diharap pengurangan kompaun saman ini dapat membantu orang ramai yang terkesan dalam situasi yang sukar disebabkan pandemik COVID-19,” sambung Azisman.

    Justeru, untuk membayar saman terpilih berkenaan, orang ramai boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan https://[email protected]. Atau pun muat turun aplikasi MyBayar Saman menerusi Google Playstore, Apple Playstore dan Huawei Gallery.

    Untuk menggunakan MyBayar Saman, anda hanya perlu melayari portal atau memuat turun aplikasi tersebut menerusi telefon bimbit. Menerusi pendaftaran, pengguna perlu memasukkan maklumat diri yang diperlukan, isi pengesapan OTP dan login masuk portal/aplikasi berkenaan. Kemudian, log in aplikasi/portal terbabit dan memilih saman yang hendak dibayar.

    Anda boleh memilih mod pembayaran (FPX atau kad kredit/debit) dan aplikasi/portal berkenaan akan merekodkan semua mod transaksi anda.

     
     
  • Audi RS6 Johann Abt Signature Edition – 800 PS/980 Nm, 330 km/j, hanya 64 unit dan sudah habis dijual!

    Audi RS6 Johann Abt Signature Edition – 800 PS/980 Nm, 330 km/j, hanya 64 unit dan sudah habis dijual!

    ABT Sportsline telah pun mendedahkan model edisi terhad yang hanya dihasilkan 64-unit, digelar Johann Abt Signature Edition diasaskan dari Audi RS6 Avant C8. Model ini disifatkan sebagai model ABT paling eksklusif pernah dihasilkan, dimana setiap satu daripadanya diberikan kapsul masa yang mempunyai serpihan andas sebenar milik pengasas syarikat tersebut, Johann Abt.

    Model ini dihasilkan bagi meraikan ulangtahun ke-125 ABT Sportsline, dan kesemuanya dihasilkan dengan tangan di kilang yang terletak di Bavaria, dengan produksi hanya enam unit sebulan.

    Ia masih dijana enjin 4.0 liter V8 TFSI asal Audi RS6. Namun dengan pemadanan unit pengecas turbo custom, intercooler lebih besar serta kotak komputer baharu, sejumlah 800 PS dan tork maksima (boleh ditingkatkan lagi kepada 1,000 Nm) dapat dikerah dari enjin tersebut, atau 200 PS dan 180 Nm lebih berkuasa dari asal. Enjin yang lebih berkuasa ini juga menerima penyejuk minyak pelincir tambahan bagi memastikan ia masih berfungsi dengan selamat.

    Audi RS6 Johann Abt Signature Edition – 800 PS/980 Nm, 330 km/j, hanya 64 unit dan sudah habis dijual!

    Ini membolehkan wagon istimewa ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.91 saat atau hampir 0.7 saat lebih pantas dari RS6 standard. Pecutan 0-200 km/j pula dapat dibuat dalam masa hanya 9.79 saat, manakala pecutan dari pegun hingga 300 km/j dapat dicapai dalam masa 28.35 saat – ABT mendakwa bahawa ia 20 saat lebih pantas dari RS6 biasa. Kelajuan maksima dicatatkan pada 330 km/j.

    Pengendalian RS6 Johann Abt Signature Edition ini juga dipertingkatkan bagi memastikan ia masih boleh dikawal dengan baik walaupun dihenyak dengan kuasa lebih besar. Untuk itu, ia menerima spring boleh laras ABT, bar anti oleng lebih keras dan juga pakej aerodinamik dengan perangsang golakan udara bagi mendapatkan downforce 150 kg tambahan pada gandar belakang.

    Kesan perangsang golakan tersebut bukan hanya berdasarkan teori kerana ABT Sportsline telah mengujinya di terowong angin sebenar. Brek hadapan juga telah diberikan liang udara khas untuk sistem penyejukkan. Manakala untuk roda, model ini menerima rim forged 22-inci yang dihasilkan khas, dengan berat 3.5 kg lebih ringan berbanding rim asal RS6.

    Bagi penggayaan, model ini diberikan kemasan Signature Carbon Red di bahagian luaran serta dalaman. Kemasan-kemasan tersebut diperbuat dari material gentian karbon dengan serlahan merah metalik. Lips bampar hadapan dan skirt belakang juga adalah unik hanya untuk model ini. Rupa luaran dilengkapkan dengan empat tip ekzos 102 mm logam tahan karat hitam matte serta lampu pancaran halo LED ABT.

    Dalam kabin, kemasan-kemasan gentian karbon diberikan pada papan pemuka, pintu, panel sisi tempat duduk serta pada pedal penukar gear dan perehat tangan tengah. Kapsul masa yang diletakkan pada konsol tengah tersebut diperbuat dari aluminium tersadur kemasan hitam kusam. Kesemua balutan kulit tempat duduk model ini dijahit dengan tangan menggunakan benang merah, manakala plak nombor produksi istimewa pula diletakkan pada papan pemuka sebelah penumpang hadapan.

    Menurut CEO ABT Sportsline, Hans-Jürgen Abt, setiap unit RS6 Johann Abt Signature Edition ini bukan sahaja dihasilkan dengan tengan, malah ia turut menerapkan falsafah “satu orang, satu kereta” kerana setiap satu unit model berkenaan dihasilkan oleh hanya seorang mekanik sukan permotoran. Harga untuk model ini tidak didedahkan, namun kesemua 64-unit yang bakal dibina sudahpun habis dijual dalam masa hanya seminggu.

     
     
  • Socar bantu PDRM dalam membanteras jenayah

    Socar bantu PDRM dalam membanteras jenayah

    Aplikasi berasaskan platform perkongsian kenderaan, Socar, membantu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat. Menurut syarikat terbabit dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, pihaknya bekerjasama dengan PDRM dalam perkongsian maklumat bagi tujuan menyelesaikan kes.

    “Kami gembira dapat menyokong polis dalam berkongsi maklumat bagi membantu menyelesaikan jenayah dengan lebih cepat, sehingga dapat memastikan keadilan buat mangsa jenayah, dan membantu mempromosikan masyarakat yang lebihn selamat dalam jangka masa panjang,” kata CEO Kumpulan Socar, Leon Foong. Buat setakat ini, menurut Socar, antara Julai 2020 dan Mac 2021, maklumat dari pihak mereka telah membantu PDRM menyelesaikan 34 kes.

    Pertama kali dilancarkan pada 2011 di Korea Selatan, Socar diperkenalkan di Malaysia pada Januari 2018, dengan menawarkan 240 perkongsian kenderaan di sekitar Kuala Lumpur. Platform ini kemudiannya disertai dengan 50 unit Volkswagen Polo pada Mei tahun yang sama, dan kemudian Renault Zoe EV juga menyertai platform ini pada Disember 2019.

    Pada April tahun lalu, Socar bekerjasama dengan Honda Malaysia dengan membekalkan 50 unit Honda City untuk sewaan sebulan kepada para barisan hadapan sebagai sokongan mobiliti dalam berhadapan dengan pandemik.

     
     
  • Toyota Tundra 2022 akan guna enjin iForce Max baru

    Toyota Tundra 2022 akan guna enjin iForce Max baru

    Toyota kini sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan Tundra generasi ketiga, yang merupakan trak pikap saiz penuh yang bersaing dengan model seperti Ford F-150, Chevrolet Silverado dan Nissan Titan. Model baru ini akan menggantikan model generasi kedua yang telah berada dalam pasaran sejak tahun 2006, dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi sebelum memasuki pasaran sebagai model tahun 2022.

    Seperti biasa, teaser untuk trak pikap ini sudah disiarkan kepada umum, dan yang terbaru, menunjukkan bahagian penutup atas enjinnya. Anda boleh melihat terdapat tulisan “iForce Max”, yang memberi gambaran penggunaan enjin baru untuk menggantikan unit petrol V8 NA 5.7 liter iForce sebelum ini.

    Setakat ini Toyota tidak mendedahkan bagaimana mereka mempertingkat enjin iForce ini kepada iForce Max, tetapi ia menjadi pengesahan kepada berita yang sebelum ini sekadar satu khabar angin. Anda rasa adakah Toyota memberi lebih penekanan kepada penggunaan bahan api atau kemampuan menarik beban? Bagaimana pula dengan jumlah kuasanya? Adakah jauh lebih tinggi daripada enjin sebelum ini? Semua ini hanya akan diketahui apabila Tundra 2022 didedah secara rasmi.

    Toyota Tundra 2022 akan guna enjin iForce Max baru

    Untuk meletakkan satu tanda aras, unit V8 iForce yang digunakan sekarang mampu menghasilkan kuasa 381 hp (386 PS) pada 5,600 rpm dan 544 Nm tork pada 3,600 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan, dengan pilihan pacuan roda belakang sahaja atau semua empat roda. Kapasiti menarik beban adalah 4,581 kg dan penggunaan bahan api boleh pergi serendah 6.4 km/l.

    Melalui bahagian penutup intake manifold enjin ini, laman Motor Trend dapat mengesan bahawa iForce Max adalah sebuah enjin enam silinder dan berkemungkinan unit V6 3.5 liter twin turbo sama seperti Land Cruiser baru. Mereka juga mengeluarkan laporan bahawa Tundra 2022 akan mendapat satu lagi enjin baru untuk menyertai iForce Max.

    GALERI: Spyshot Toyota Tundra 2022

     
     
  • Harga minyak 17-21 Jun – Petrol naik lagi 2 sen seliter

    Harga minyak 17-21 Jun – Petrol naik lagi 2 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 17 hingga 21 Jun 2021, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan kenaikan harga bagi bahan api petrol RON 97 sebanyak dua sen seliter, menjadikannya RM2.67 seliter berbanding RM2.65 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala untuk minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan, 21 Jun 2021.

     
     
  • Eksport Proton naik 174% berbanding tempoh sama tahun lalu, catat prestasi terbaik sejak Mac 2013

    Eksport Proton naik 174% berbanding tempoh sama tahun lalu, catat prestasi terbaik sejak Mac 2013

    Proton telah menghantar sejumlah 669 unit kenderaan kepada pengedarnya diluar negara pada Mei 2021, iaitu angka eksport bulanan tertinggi pernah dicatatkan sejak Mac 2013. Rekod tertinggi selepas 98 bulan tersebut juga mencatatkan kenaikan 174% berbanding sasaran yang ditetapkan tempoh sama tahun lalu, serta hanya kurang 6% berbanding jumlah eksport keseluruhan tahun 2020.

    Menurut Proton, dengan penguatkuasaan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia untuk mengekang jangkitan wabak Covid-19, operasi syarikat-syarikat automotif dalam negara terhalang dengan penutupan pusat jualan. Ini akan mempengaruhi jumlah jualan keseluruhan industri dalam tempoh beberapa bulan, tetapi Proton tetap optimistik dengan hasil jualan yang ditunjukkan oleh bahagian jualan antarabangsanya kerana mereka biasanya mencampurkan sekali jumlah jualan eksport dalam laporan bulanan.

    Jenama automotif tempatan tersebut turut menjelaskan bahawa peningkatan jualan eksport ini dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, sesetengahnya adalah pasaran baru dan yang lain sudah menjual kereta Proton sejak berdekad lalu.

    Eksport Proton naik 174% berbanding tempoh sama tahun lalu, catat prestasi terbaik sejak Mac 2013

    Sebagai contoh, Pakistan adalah pasaran baru bagi Proton tetapi bagi tempoh lima bulan yang pertama tahun 2021, ia merupakan pasaran eksport yang terbaik. Dalam masa yang sama, Brunei yang menjual kereta Proton sejak tahun 1987, menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini dan pada bulan Mei, pengimport Proton PAD Motors telah mencatatkan jualan terbaik syarikat sejak penubuhan syarikat itu.

    Manakala Alpha Ezz El-Arab iaitu pengimport dan pengedar kereta Proton di Mesir, telah menjual 350 unit kereta Proton tahun ini, menduduki tempat kedua terbesar bagi pasaran eksport Proton.

    “Pada permulaan tahun, perancangan bagi tahun 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport Proton secara agresif. Walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat wabak Covid-19, kami tetap yakin akan mencapai sasaran kerana pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk kami. Namun selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding apa yang disasarkan, dan kami berharap agar ianya merupakan penanda bagi kejayaan berterusan tahun 2021,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.

    Eksport Proton naik 174% berbanding tempoh sama tahun lalu, catat prestasi terbaik sejak Mac 2013

    Dengan pertumbuhan jualan domestik yang meningkat, Proton melihat pemasangan model-modelnya di pasaran eksport adalah amat penting bagi memastikan mereka mampu mencapai sasaran jangka masa panjang. Jadi selepas memulakan operasi pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya, selepas ini Proton akan memulakan operasi yang sama di Pakistan pula.

    “Jika segalanya berjalan dengan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan, Al-Haj Automotive, akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir bulan Julai atau awal bulan Ogos di kilang baharu mereka di Karachi. Pemasangan Proton X70 akan dijalankan kemudian sebagai tambahan kepada barisan pemasangan, dan kami menaruh harapan tinggi yang mana perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan,” tambah Steven Xu.

    Dalam kenyataan yang sama Proton turut mengumumkan bahawa mereka juga bakal kembali semula ke dua pasaran terbesar di ASEAN iaitu Indonesia dan Thailand dalam masa terdekat dan mensasarkan untuk menjadi jenama nombor tiga dalam rantau ini. Namun sebelum ini CEO Proton, Dr Li Chunrong ada menyatakakan bahawa sebelum mereka masuk semula ke pasaran Asia Tenggara, Proton perlu memintas kedudukan Perodua di Malaysia terlebih dahulu. Jadi, mungkin ada perubahan strategi selepas ini? Kerana jika mengikut situasi semasa, bukan mudah untuk menewaskan Perodua dalam masa terdekat.

     
     
  • Proton ingatkan pemilik Perdana tampil dan ganti beg udara Takata, masih berbaki 568 unit yang belum tukar

    Proton ingatkan pemilik Perdana tampil dan ganti beg udara Takata, masih berbaki 568 unit yang belum tukar

    Proton sekali lagi menggesa semua pemilik Perdana sedan untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah Proton untuk menggantikan beg udara Takata yang berpotensi untuk rosak, sekiranya mereka belum melakukannya. Setakat ini, 568 unit Perdana telah berbuat demikian menurut syarikat itu.

    Model yang terlibat ialah Perdana generasi kedua (termasuk versi pra-facelift) yang menggunakan asas daripada Honda Accord generasi kelapan, yang juga terlibat di dalam penukaran beg udara Takata peringkat global. Model lain Proton tidak terkesan dengan panggilan semula ini memandangkan vendor pembekal yang digunakan adalah berbeza.

    Pertama kali Proton mengeluarkan kenyataan panggilan semula beg udara ini adalah pada Januari 2019, melibatkan 6,432 unit Perdana yang dipasang antara tahun 2012 dan 2018. Ogos tahun lalu, Proton memperingati sekali lagi pelanggan-pelanggan yang terlibat utnuk ke pusat servis sah bagi tujuan penggantian beg udara tersebut dan mencatatkan kadar selesai melibatkan 5,625 unit atau 87.5%.

    Jika anda atau orang-orang sekeliling memiliki model Perdana seperti yang dinyatakan, sila hubungi pusat servis Proton terdekat untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut sekiranya kenderaan anda terlibat. Semua penggantian dilakukan secara percuma.

     
     
  • Proton akan kembali ke Thai & Indonesia dalam masa terdekat, sasar jadi jenama ke-3 paling laris di ASEAN

    Proton akan kembali ke Thai & Indonesia dalam masa terdekat, sasar jadi jenama ke-3 paling laris di ASEAN

    Proton mengumumkan bahawa mereka bakal kembali semula ke dalam dua pasaran utama di Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia tidak lama lagi. Walau bagaimanapun garis masa rancangan tersebut masih lagi belum diperincikan, dan syarikat tersebut hanya menyatakan ia akan bermula “dalam masa terdekat”.

    Jenama automotif tempatan berkenaan mempunyai rancangan jangka masa panjang untuk menjadi jenama ketiga paling laris di rantau ASEAN, dan melihat perkembangan yang signifikant terhadap pasaran eksport boleh menjadi batu loncatan untuk mencapai perniagaan yang mampan. Oleh itu, sasaran untuk masuk semula ke Thailand dan Indonesia akan menjadi elemen utama bagi mencapai sasaran berkenaan.

    “Untuk Proton mendapat tempat ke-tiga jualan tertinggi di pasaran ASEAN, kita perlu berada di pasaran Thailand dan Indonesia secara meluas. Sebagai pasaran terbesar di rantau ini, mereka memberikan potensi untuk penambahan jumlah jualan, akan tetapi saingan juga amat tinggi. Bagi kedua-dua negara berkenaan, pihak kami sedang berusaha dalam carian rakan kongsi untuk membina satu rangkaian bagi memastikan satu model perniagaan berdaya maju dan dalam masa yang terdekat, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada tahun 2022,” kata Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu.

    Proton juga masih belum menyatakan dengan jelas model mana yang akan di bawa ke kedua-dua pasaran tersebut. Namun boleh kita agak penawarannya adalah sama seperti pasaran eksport lain termasuk Saga, Iriz, Persona dan X70. Proton juga berhasrat untuk mengeksport X50 ke pasaran luar, namun langkah tersebut hanya akan diambil selepas permintaan tinggi pada pasaran Malaysia dapat dipenuhi terlebih dahulu, memandangkan tempoh menunggunya yang agak lama buat masa sekarang.

    Proton akan kembali ke Thai & Indonesia dalam masa terdekat, sasar jadi jenama ke-3 paling laris di ASEAN

    Proton X50 sebelum ini telah pun dilihat sedang diuji di Thailand, dan dijangka bakal menerima sistem arahan suara “Hi, Proton” yang disesuaikan untuk kegunaan di negara berkenaan. Sebelum ini Geely ada memberitahu bahawa Proton sedang berusaha untuk menghasilkan sistem berkenaan yang boleh beroperasi dalam bahasa Thailand.

    Proton turut mengumumkan bahawa prestasi pasaran eksport mereka pada bulan lalu mencapai rekod terbaik sejak Mac 2013, naik sebanyak 174% berbanding tempoh sama tahun lalu. Rancangan untuk mengembangkan lagi pasaran eksport ini dijangka bakal memperluaskan lagi kehadiran Geely di ASEAN.

    Setakat ini Geely telah wujud di pasaran Filipina dengan jenamanya sendiri kerana negara berkenaan adalah pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD) sama seperti di China. Geely Coolray, iaitu kembar kepada Proton X50 telah berjaya menjadi SUV sub-kompak paling laris di Filipina. Menurut laporan AutoIndustriya, Geely kini berada di kedudukan ke sembilan dalam carta jualan keseluruhan di negara berkenaan dengan menjual sebanyak 1,313 kenderaan untuk suku pertama tahun ini.

     
     
  • Porsche 911 GT3 992 Touring didedah – rupa lebih baik, kuasa 510 PS, 470 Nm, pilihan manual atau PDK

    Porsche 911 GT3 992 Touring didedah – rupa lebih baik, kuasa 510 PS, 470 Nm, pilihan manual atau PDK

    Porsche terus menawarkan Touring Package pada model 911 GT3 992, iaitu satu pakej istimewa untuk mereka yang gemar memandu, dengan transmisi manual untuk kepuasan menukar gear tetapi rupa yang lebih ‘baik’.

    Sama seperti yang dibuat pada model 911 GT3 sebelum ini, spoiler besar diganti dengan spoiler biasa daripada model Carrera, yang boleh dilaras menjadi lebih panjang. Menambahkan sedikit gaya, kemasan keliling tingkap tepi kini menggunakan aluminium silver anodised.

    Jika melihat Touring Package sebelum ini, perubahan luarnya mungkin terhenti setakat itu sahaja, tetapi pada versi 911 GT3 992 ini, ia diubah lagi dengan kemasan bawah bampar yang sama warna seperti badan (menggantikan warna hitam matte pada GT3 biasa) sementara splitter pula masih menggunakan warna sama. Warna badan dan pilihan rim adalah sama seperti GT3 biasa.

    Di bahagian dalam, balutan Alcantara telah diganti dengan kulit berwarna hitam, pada roda stereng, tempat duduk, penutup tombol gear, konsol tengah serta panel pintu. Penyandar tengah tempat duduk menggunakan fabrik, manakal kemasan pada papan pemuka dan tepi pintu menggunakan brushed aluminium hitam. Bahagian bucu atas papan pemuka juga mempunyai kemasan kulit yang bertekstur.

    Untuk mekanikal, versi Touring ini masih sama seperti GT3, termasuklah suspensi hadapan double wishbone serta binaan serba ringan yang termasuk bonet gentian karbon serta cermin lebih nipis – membuatkan beratnya cuma bertambah lima kilogram meskipun mempunyai badan lebih lebar dan pelbagai tambahan peralatan kawalan emisi.

    Kombinasi enjin dan kotak gear yang digunakan juga adalah sama – enam silinder NA 4.0 liter yang menghasilkan 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,100 rpm – 10 PS dan 10 Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Selain transmisi manual enam kelajuan, versi Touring Package ini juga buat pertama kalinya boleh didapati dengan transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan seperti GT3 biasa.

     
     
  • BMW iX3 bakal dilancar di Thai – unit terhad; varian Impressive pada RM449k; pra-tempahan mulai 21 Jun

    BMW iX3 bakal dilancar di Thai – unit terhad; varian Impressive pada RM449k; pra-tempahan mulai 21 Jun

    Satu lagi kenderaan elektrik (EV) buatan BMW yang bakal dilancarkan di Thailand tidak lama lagi. Menyertai barisan iX, model iX3 bakal dibuka pra-tempahannya bermula 21 Jun ini. iX3 atau dengan kod nama G08, adalah lebih kecil dan berasaskan model semasa X3 G01.

    Selain daripada tarikh tempahannya dibuka, BMW Thailand tidak memaklumkan bilakah model ini akan dihantar kepada para pelanggan. Bagi pasaran Thailand ini, iX3 dikeluarkan di kilang BMW Brilliance Automotive Plant Dadong di China, dan akan tiba sebagai model import sepenuhnya.

    Malahan ia akan dipasarkan di negara gajah putih berkenaan dalam unit yang terhad, seperti mana iX yang hadir cuma 20 unit sahaja di sana. Selain itu, hanya satu sahaja varian iX3 yang ditawarkan iaitu Impressive, dengan harga bermula 3.399 juta baht (RM449,065).

    Ia dilihat sedikit tinggi berbanding X3 bagi varian xDrive30e xLine yang dijual pada harga 3.269 juta baht (RM431,883). Lain-lain varian seperti xDrive20d M Sport, X3 xDrive30e M Sport (Pro) dan X3 xDrive20d M Sport (M Performance Edition) pula berharga lebih 3.6 juta baht (RM475,537).

    BMW iX3 bakal dilancar di Thai – unit terhad; varian Impressive pada RM449k; pra-tempahan mulai 21 Jun

    Pelanggan yang menempah iX3 menerusi dalam talian akan menerima pakej BSI Standard termasuk waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, pakej servis percuma tiga-tahun/60,000 km dan wararati bateri lapan-tahun/tanpa had perbatuan. Turut diberikan ialah insurans percuma selama lima-tahun serta BMW Wallbox.

    Bagi spesifikasinya, iX3 menampilkan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang dengan kuasa sehingga 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan tork 400 Nm. Larasan ini membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 6.8 saat dan kelajuan maksimum dengan pengehad elektrikal mencecah 180 km/j.

    Ia turut diberikan bateri lithium-ion 400-voltan dengan 80-kWH (kapasiti tenaga pada 74 kWh) yang dipasang di lanyai kenderaan menjana motor elektrik dan apabila ia dicas penuh, mampu memberikan jarak sehingga 460 km mengikut kitaran WLTP. Bateri ini turut menyokong pengecasan pantas sehingga 150 kW, dan mencapai antara 0-80% pengecasan (SoC) dana 34 minit.

    Selain itu, ia turut menyokong penggunaan pengecas AC sehingga 7.4 kW dengan pengecas AC fasa-tunggal, atau sehingga 11 kW dengan pengecas tiga-fasa, yang mengambil masa untuk mencapai 100% SoC dalam tujuh setengah jam. Untuk Combine Charging Unit (CCU) pula, ia menggunakan voltage transformer empat kW binaan dalam yang menyalurkan kuasa ke sistem elektrikal 12-voltan.

    BMW iX3 bakal dilancar di Thai – unit terhad; varian Impressive pada RM449k; pra-tempahan mulai 21 Jun

    Secara visual, iX3 banyak menerapkan ciri luaran seperti X3, termasuklah gril kidney, corong pengambilan udara pada sudut bampar hadapan, penutup pengaliran di belakang roda hadapan dan juga serlahan biru (termasuk kemasan pada bampar belakang). Selain itu, ia turut menampilkan roda aerodynamic style 843 bicolour 20-inci, yang turut menyumbang pada 0.29 bagi pekali seretan.

    Buat masa ini, BMW Thailand masih belum mendedahkan senarai penuh bagi ciri kelengkapan standard model ini, namun ia memaklumkan terdapat lima pilihan warna iaitu Carbon Black, Sophisto Grey Brilliant Effect, Mineral White, Phytonic Blue dan Piemont Red.

    Untuk dalaman pula, ia menerima kulit Vernasca, dengan empat pilihan warna (Canberra Beige, Black, Mocha dan Cognac), dengan lima pakej kemasan (hitam berkilat, Aluminium fine cutting, oak dark high-gloss, Fineline Cove dan poplar grain grey) yang dipadankan dengan kemasan Pearl Chrome.

     
     
  • Indonesia mahukan EV sahaja menjelang tahun 2050

    Indonesia mahukan EV sahaja menjelang tahun 2050

    Indonesia yang kini sedang melangkah ke hadapan dengan rancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon, hanya akan membenarkan motosikal elektrik sahaja yang akan dijual bermula tahun 2040, sementara semua kenderaan baharu dari negara jiran ASEAN termasuk Malaysia, akan dielektrifikasikan mulai tahun 2059. Itulah kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Tenaha Indonesia, Arifin Tasrif, menerusi laporan yang disiarkan Reuters.

    Ia dibuat susulan rancangan untuk membina kilang pembuatan untuk bateri EV di Bakesia, Jawa Barat oleh oleh Indonesia Battery Corporation (IBC) dan sebuah konsortium yang diketuai oleh LG Group. Kos untuk membina kilang ini dijangka sebanyak US$ 1.2 bilion (RM4.96 bilion). Ia mensasarkan pengeluaran sebanyak 600,000 kenderaan elektrik (EV) dan 2.445 juta motosikal elektrik menjelang tahun 2030 seperti mana yang pernah diumumkan sebelum ini.

    Ia juga senada dengan perancangan Indonesia untuk menjadi hab pembuatan EV di peringkat global, selain memanfaatkan sumber semulajadi bagi nickel laterite yang banyak digunakan dalam bateri lithium. Seperti mana yang diumumkan oleh Indonesia pada awal tahun ini, negara tersebut mahu bebas daripada penggunaan karbon, malah semua loji jana kuasa arang batu juga akan dihentikan menjelang tahun 2056.

    Indonesia mahukan EV sahaja menjelang tahun 2050

    Indonesia, khususnya ibu kota Jakarta, telah lama bergelut dengan masalah lalu lintas dan pencemaran udara. Sasaran untuk kereta dan motosikal elektrifikasi ini adalah bertujuan untuk mengurangkan pelepasan CO2 di negara berkenaan sebanyak 2.7 juta tan dari kenderaan empat roda, dan 1.1 juta tan dari kenderaan dua roda, melalui penggunaan insentif fiskal dan lain-lain.

    Walau bagaimana pun, enjin pembakaran. dalaman masih belum dirancang untuk disingkirkan di Indonesia. “Kami tidak mempunyai sebarang polisi untuk menghentikan (penggunaan) enjin pembakaran dalaman, hanya penggunaan kenderaan elektrik, bersama insentif saja, buat setakat ini,” ujar Dadan. Kusdiana, Ketua Pengarah Pembaharuan di kementerian terbabit. Perkhidmatan e-hailing Gojek Indonesia pula berkata pada April lalu, setiap kenderaan yang menggunakan platform berkenaan, sama da dua- atau empat-roda, akan dielektrifikasikan menjelang 2030.

     
     
  • SsangYong Korando e-Motion didedah awal sebelum pengenalan rasmi di Eropah, satu lagi SUV tahun 2022

    SsangYong Korando e-Motion didedah awal sebelum pengenalan rasmi di Eropah, satu lagi SUV tahun 2022

    Dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi produk dan memastikan dapat bertahan di masa hadapan, SsangYong telah memperkenalkan SUV elektrik Korando e-Motion waktu pembentangan rancangan masa hadapan mereka. Turut ditunjuk adalah satu lagi SUV elektrik, yang dirancang akan diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2022.

    Menurut SsangYong, Korando e-Motion dibangunkan di bawah nama kod E100, dan sudah memasuki tahap produksi penuh awal minggu lalu. Ia ditunjuk sebagai teaser tahun lepas, dalam bentuk sebuah model konsep dan menggunakan asas daripada SUV Korando 2019.

    Semasa pengenalan ini, SsangYong tidak mendedahkan sebarang perincian teknikal tetapi ada laporan sebelum ini yang mengatakan SUV elektrik tersebut menggunakan tetapan satu motor yang berkemampuan 191 PS, mendapat kuasa daripada bateri 61.5 kWh LG Chem. Ia juga dikatakan dapat memberi jarak perjalanan 420 km, sementara laju maksimum pula boleh mencecah 153 km/j.

    SsangYong Korando e-Motion didedah awal sebelum pengenalan rasmi di Eropah, satu lagi SUV tahun 2022

    Ciri rekaan biasa kereta elektrik boleh dilihat ada pada Korando e-Motion ini, termasuklah gril tertutup, bampar yang direka semula serta bentuk rim yang dapat membantu menambah baik ciri aerodinamik seterusnya memberi jarak gerak tambahan.

    Tambah SsangYong, Korando e-Motion kemudiannya akan disertai oleh satu lagi SUV elektrik yang setakat ini dipanggil menggunakan nama kod J100, dan dikatakan “menggunakan rekaan serta gaya unik sebenar SsangYong”. Mengikut perancangan, SUV ini akan diperkenalkan pada tahun 2022 dan juga akan disertai oleh model mesra alam lain seperti EV saiz pertengahan dan trak pikap elektrik.

    Pembangunan model baru oleh SsangYong menjadi keutamaan sekarang, demi memastikan mereka dapat bertahan di masa hadapan. Syarikat ini berharap ia dapat menarik pelabur baru yang mampu memberikan komitmen berterusan dan sudah meletakkan objektif membina satu persekitaran yang akan membawa kepada penyatuan yang berjaya.

     
     
  • Porsche 911 GT3 992 transmisi manual diharamkan di California kerana bunyi yang dihasilkan terlalu bising

    Porsche 911 GT3 992 transmisi manual diharamkan di California kerana bunyi yang dihasilkan terlalu bising

    Porsche telahpun menghasilkan model 911 GT3 untuk generasi terkini 992 dengan pilihan kotak gear PDK automatik dan juga enam-kelajuan manual. Namun sekiranya anda berada California, Amerika Syarikat, 911 GT3 hanya dijual dalam model auto kerana versi dengan kotak gear manual diharamkan di negeri berkenaan.

    Menurut laporan The Drive, pengharaman tersebut dibuat kerana bunyi yang dihasilkan pada model manual berkenaan adalah lebih bising serta melebihi had bunyi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa California, manakala versi dengan kotak gear PDK masih lagi dalam had undang-undang yang ditetapkan.

    Walau bagaimanapun, jurucakap Porsche memberitahu The Drive bahawa mereka juga tidak pasti adakah bunyi 911 GT3 manual berkenaan benar-benar lebih bising dari model PDK, atau pihak berkuasa California mempunyai had bunyi yang berbeza antara model manual dan automatik.

    Porsche 911 GT3 992 transmisi manual diharamkan di California kerana bunyi yang dihasilkan terlalu bising

    Jurucakap berkenaan turut memberitahu bahawa isu berkaitan pengharaman 911 GT3 manual ini baru sahaja dibangkitkan, serta undang-undang bunyi yang dipersoalkan tersebut kini sedang dikemaskini dan mereka berharap ianya akan diselesaikan secepat mungkin.

    Porsche turut menjelaskan masalah ini hanya terjadi di California, jadi pelanggan masih boleh membeli 911 GT3 dengan kotak gear manual di negeri lain dalam Amerika Syarikat. Untuk rekod, 70 peratus pembeli Porsche di Amerika Syarikat lebih gemar memilih model manual berbanding automatik.

    911 GT3 merupakan versi paling liar dalam barisan model 992 buat masa sekarang, sebelum versi RS diperkenalkan kelak. Ia menampilkan banyak komponen gentian karbon serta diberikan pakej aerodinamik lebih agresif termasuk sayap GT bersaiz besar di belakang dengan kaki seperti leher angsa.

    Model ini juga menerima suspensi hadapan yang direka semula, menampilkan sistem double wishbone diinspirasikan dari suspensi jentera lumba 911 RSR, berbanding sistem Topang McPherson pada 911 biasa. Sistem suspensi jenis five-link dan stereng untuk gandar belakang masih dikekalkan tetapi menerima ball joint serta wishbone bawah yang baru

    Enjin GT3 baru ini masih menggunakan unit enam silinder 4.0 liter NA sama seperti model 991 sebelum ini, dan ia boleh dikerah sehingga 9,000 rpm serta menghasilkan kuasa 510 PS pada takat 8,400 rpm serta tork maksima 470 Nm pada takat 6,100 rpm. Kuasa hanya dialirkan sepenuhnya pada gandar belakang.

    Ini membolehkan GT3 dengan kotak gear PDK memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencatatkan kelajuan 200 km/j dalam masa 10.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 318 km/j. Manakala model dengan transmisi manual pula mencatatkan masa 3.9 saat dan 11.9 saat untuk kedua-dua pecutan yang sama, tetapi mampu mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi iaitu 320 km/j.

     
     
  • Hyundai Kona N Line 2021 muncul lagi dalam teaser

    Hyundai Kona N Line 2021 muncul lagi dalam teaser

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sekali lagi memaparkan imej Kona N Line menerusi laman Facebook, memberikan bayangan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi. Bulan lalu, teaser pertama crossover segmen-B ini dipaparkan, ketika model Kona facelift dilancarkan secara maya.

    Perubahan yang dilakukan berbanding Kona standard termasuklah bahagian hadapan baharu yang lebih agresif, dengan corong pengambilan udara yang lebih besar, splitter hadapan dan fin yang terletak di sudut bampar berwarna perak, serta tiga inlet palsu yang diletakkan di atas gril. Gril pula menampilkan bentuk-Y, sementara corong pengambilan udara dengan kemasan honeycomb yang unik.

    Selain itu, ia turut menampilkan skirt sisi yang lebih tajam dan bampar belakang yang dirombak semula dengan diffuser yang lebih besar, dua paip ekzos tersembunyi, corong sudut dan fin palsu yang dikatakan untuk mempertingkatkan aliran udara. Bukan itu sahaja, perubahan luaran juga melibatkan penampilan roda aloi dua-tona 18-inci dengan gaya ala turbin yang unik.

    Untuk bahagian dalamnya pula, N Line juga berbeza dengan model standard, ia diberikan pedal logam, tempat duduk dengan jahitan merah, tombol gear dengan jaluran merah dan logo N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Manakala fabrik hitam, kulit dan suede upholstery ditawarkan secara pilihan, cuma belum dipastikan material mana yang pasaran kita akan peroleh.

    Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan, dengan N Line menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan terus petrol yang membezakannya dengan model 2.0 liter naturally-aspirated. Untuk model facelift ini juga, turut diberikan penjana kuasa yang dipanggil Smartstream G1.6 T-GDi, turut menerima sistem Continuous Variable Valve Duration (CVVD) baharu.

    Enjin tersebut memberikan tambahan kuasa sebanyak 21 PS, dengan jumlah keseluruhan output mencecah 198 PS pada 6,000 rpm. Manakala tork puncaknya mencecah 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat. Transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan juga diberikan sebagai varian tunggal untuk kotak gear bagi enjin ini.

    Mengenai harganya pula, pastinya ia lebih tinggi berbanding model standard. Malah ia juga pasti lebih mahal berbanding varian 1.6 Turbo yang dijual pada harga RM151,888. Bukan itu sahaja, ia juga dijangka bakal ditawarkan dengan beberapa kit tambahan untuk membuatkan harganya lebih berbaloi. Untuk mengetahui perincian penuh, kena tunggu pelancarannya tidak lama lagi.

     
     
  • Proton Pakistan umum penghantaran kereta yang ditempah lambat tiba kerana kilang di M’sia tutup

    Proton Pakistan umum penghantaran kereta yang ditempah lambat tiba kerana kilang di M’sia tutup

    Proton Pakistan yang diuruskan oleh Al-Haj Automotive mengumumkan bahawa penghantaran kereta-kereta yang ditempah oleh pelanggannya akan mengalami kelewatan kerana kilang Proton di Malaysia tutup akibat Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang sedang dilaksanakan serta dilanjutkan sehingga 28 Jun nanti.

    “Kerana sekatan pergerakan yang dilanjutkan, keseluruhan aktiviti perniagaan telah terjejas teruk serta pergerakan barangan dan servis masih kekal dibekukan. Oleh itu, kami jangkakan penghantaran untuk anda turut akan mengalami kelewatan dan kami memohon maaf.

    “Kami menyedari sepenuhnya bahawa pelanggan setia kami menantikan penghantaran mereka dengan bersungguh-sungguh dan kami akan memantau dengan dekat situasi yang tidak menentu ini. Kami minta kesabaran dan sokongan dari anda dalam tempoh ujian ini,” tulis kenyataan yang disiarkan.

    Buat masa sekarang dua model Proton telah dilancarkan di Pakistan iaitu SUV segmen-C Proton X70 yang dijana oleh enjin 1.5L turbo GDI dan juga sedan mampu milik Proton Saga. Kesemua stok kenderaan yang dijual di pasaran tersebut juga adalah diimport sepenuhnya dari Malaysia.

    Walau bagaimanapun Saga dan X70 bakal diproduksi di kilang yang terletak di Karachi bermula suku ketiga tahun ini, menerusi fasiliti yang dibangunkan sendiri oleh Al-Haj Automotif. Menurut Proton, operasi CKD di Pakistan berkenaan kemudian turut akan disertai oleh X50, setelah ia diperkenalkan di pasaran tersebut.

    Kilang baharu di Karachi berkenaan yang telah pun diumumkan pada 2019 sepatutnya sudah mula beroperasi sebelum akhir tahun lalu, dan ia dirancang untuk mampu menghasilkan 25,000 unit kereta setahun, serta dijangka menyediakan sekitar 2,000 peluang pekerjaan terus dalam masa tiga tahun pertama operasinya, bersama lebih 20,000 peluang kerja tidak terus kesan dari kewujudan kilang tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025