Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Kia K900 berdaftar ditemui di Kuala Lumpur

    SPYSHOT: Kia K900 berdaftar ditemui di Kuala Lumpur

    Ini kereta yang anda tidak biasa lihat. Ia adalah Kia K900, yang merupakan sebuah sedan premium jenama itu, dan ia telah ditemui oleh pembaca kami, Wemss Chin di kawasan Solaris Mont Kiara. Nampak menarik, kan?

    Sebelum membuat sebarang andaian, kami mahu menyatakan bahawa kelibat K900 yang sudah didaftar ini tidak bermakna ia akan dilancarkan untuk jualan di pasaran Malaysia. Berkemungkinan ia cumalah sebuah kereta yang digunakan oleh pihak pengurusan Kia Malaysia, dan sebelum ini, mereka juga pernah berbuat perkara yang sama.

    Di pasaran luar, Kia K900 yang anda lihat ini sebenarnya adalah model generasi kedua, dan ia ditawarkan dengan tiga versi enjin iaitu V6 3.3 liter 370 PS, V6 3.8 liter 315 PS, dan paling tinggi, V8 5.0 liter NA dengan kuasa 425 PS dan 520 Nm tork. Kesemuanya digabungkan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan untuk menyampaikan kuasa sama ada ke dua roda belakang atau semua roda.

    Melihat kepada dimensi, model ini mempunyai ukuran 5,120 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,490 tinggi dan jarak roda 3,105 mm – saiz ini hanya sedikit kecil berbanding Mercedes-Benz W222. Bergantung kepada spesifikasi dan enjin, K900 boleh mencatat berat antara 1,915 kg hingga 2,165 kg, dan ini hampir sama seperti S 450 L AMG Line.

    Di bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen 12.3 inci, lampu suasana LED pelbagai warna, jam analog keluaran Maurice Lacroix, tempat duduk dibalut kulit Nappa serta sistem bunyi 900 watt, 17 pembesar suara Lexicon Logic7.

    GALERI: Kia K900 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Koenigsegg Gemera dilancarkan di Thai – RM14.7 juta untuk hypercar hibrid 2.0L turbo 1,700 PS/3,500 Nm

    Koenigsegg Gemera dilancarkan di Thai – RM14.7 juta untuk hypercar hibrid 2.0L turbo 1,700 PS/3,500 Nm

    Hypercar ‘keluarga’ empat tempat duduk Koenigsegg Gemera kini sudahpun dilancarkan di negara jiran, Thailand hanya selepas ia diperkenalkan Mac lalu. Kereta yang hanya dihasilkan sebanyak 300 unit untuk seluruh dunia ini dijual pada harga 111,098,385 baht, atau sekitar RM14.7 juta!

    Selain dari reka bentuk uniknya iaitu sebagai sebuah kereta empat tempat duduk yang praktikal tetapi hanya menampilkan dua pintu, Gemera juga menggemparkan dunia dengan dijana oleh enjin 2.0 liter tiga-silinder, digandingkan dengan sistem hibrid elektrik menghasilkan kuasa 1,700 hp.

    Untuk enjin pembakaran dalaman konvensional, Gemera diberikan enjin baharu Koenigsegg yang diberi nama Tiny Friendly Giant atau TFG. Ia adalah enjin tiga-silinder 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem pelinciran jenis dry-sump, serta diberikan teknologi injap elektronik tanpa aci sesondol yang dinamakan Freevalve yang mampu menghasilkan 600 hp dan tork maksima 600 Nm.

    Tidak seperti enjin pembakaran dalamanhypercar lain yang lazimnya memacu roda belakang, enjin TFG yang diletakkan pada bahagian tengah ini memacu roda hadapan menerusi transmisi Koenigsegg Direct Drive (KDD) dan propshaft.

    Koenigsegg Gemera dilancarkan di Thai – RM14.7 juta untuk hypercar hibrid 2.0L turbo 1,700 PS/3,500 Nm

    Enjin ini bukan sahaja boleh beroperasi dengan petrol biasa, malah turut boleh berfungsi menggunakan bahan api ethanol, methanol neutral-CO2 seperti Vulcanol dan bahan api campuran ethanol dan petrol E85. Manakala untuk sistem hibrid, ia digandingkan dengan tiga motor elektrik – dua diberikan pada setiap roda belakang dan satu lagi digabungkan terus dengan aci engkol enjin petrol.

    Gabungan kesemua unit penjana ini membolehkan Gemera bergerak dengan bekalan kuasa gabungan 1,700 hp dan tork maksima 3,500 Nm, yang mampu untuk mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 1.9 saat dan kelajuan maksima dianggar pada 400 km/j.

    Malah tanpa enjin pembakaran dalaman dihidupkan, tiga buah motor elektrik yang dilengkapkan tersebut boleh memacu Gemera sehingga kelajuan 300 km/j. Bateri 800V yang dibekalkan membolehkan kereta ini bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 50 km.

    Kenapa Gemera ini disifatkan sebagai hypercar yang praktikal? Ini kerana walaupun hanya diberikan dua pintu yang digelar Koenigsegg Automated Twisted Synchrohelix Actuation Doors (KATSAD) yang dibuka seperti gunting, anda boleh terus masuk ke kabin belakang tanpa perlu mengerakkan tempat duduk hadapan.

    Tempat duduk belakang Gemera ini bukan sekadar ada, bahkan ia memang dihasilkan untuk keselesaan membawa ahli keluarga, malah lengkap dengan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Kabin Gemera hadir dengan empat pemegang cawan sejuk dan empat pemegang panas, skrin infotainmen dengan hubungan Apple CarPlay dan pengecas telefon pintar tanpa wayar berasingan untuk penumpang belakang dan hadapan, 11-pembesar suara, internet dan Wi-Fi onboard, empat-lampu membaca, tempat duduk dengan pemanas dan span memori, tempat duduk hadapan larasan elektrik dan sistem pendingin hawa tiga-zon.

    Koenigsegg Bangkok di operasikan oleh pengimport tunggal bertauliah dan pengedar rasminya di Thailand, General Auto Supply Company Limited iaitu subsidiari dari Sharich Holding. Menurut portal Headlightmag, harga yang dinyatakan tersebut (berdasarkan kadar tukaran wang asing semasa) adalah termasuk cukai kereta import di Thailand yang berjumlah 2,998,000 euro sebelum ditukar ke baht.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2020 naik 6.9%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2020 naik 6.9%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan September 2020, di mana angkanya dilihat meningkat sedikit berbanding Ogos. Sejumlah 56,444 unit kenderaan telah dihantar kepada para pelanggan, di mana ia meningkat sebanyak 3,644 unit atau lebih 6.9% berbanding 52,800 unit yang terjual pada Ogos.

    Malah jualan pada bulan berkenaan adalah lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun lalu, di mana ia mencatatkan sekitar 44,666 unit. Ini menjadikan jualan pada September 2020 adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dengan perbezaan sebanyak 11,778 unit atau pun 26.3%. Walau bagaimana pun, angka bagi tarikh-ke-tahun, jumlah jualan bagi sembilan bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak 341,489 unit, atau pun kurang 101,496 unit atau 29.7% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang mencecah 442,985 unit.

    Selain pelepasan/pengurangan cukai jualan sehingga 31 Disember, MAA berkata peningkatan jualan bagi bulan September disumbangkan oleh kempen promosi berterusan oleh syarikat kereta dan juga peningkatan pengeluaran bagi kenderaan CKD sepanjang bulan.

    Bagi bulan Oktober, MAA menjangkakan jumlah jualan akan lebih rendah berbanding bulan lepas, aliran jualan dipengaruhi berdasarkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu. Ditambah pula dengan sentimen pengguna yang kekal berhati-hati dengan kewangan masing-masing selepas berakhirnya moratorium pinjaman selama enam bulan pada hujung September lalu.

     
     
  • SSC Tuatara kini kereta produksi terlaju di dunia – 508.73 km/j, padam rekod Koenigsegg Agera RS

    Pemegang takhta kereta produksi terpantas di dunia sekali lagi berubah – ia kini milik hypercar buatan Amerika Syarikat iaitu SSC Tuatara yang berjaya mencatatkan kelajuan maksima 532.93 km/j (331.15 bsj) dan kelajuan purata dalam dua sesi 508.73 km/j (316.11 bsj)!

    Rekod rasmi yang dicatatkan oleh Tuatara ini dibuat dengan prosedur standard sebenar termasuk menggunakan kereta produksi sebenar yang sama dengan model dijual dalam pasaran, rekod dibuat di jalan raya awam bagi memastikan situasi pemanduan dunia sebenar, menggunakan tayar untuk kegunaan jalan raya biasa dan juga tidak menggunakan bahan bakar perlumbaan.

    Dan yang paling penting, rekod ini perlu dilakukan dua kali – pergi dan balik pada sebatang jalan yang sama – dan bacaan rasminya adalah kelajuan purata antara dua cubaan tersebut. Bacaan kelajuan pula perlu diambil menggunakan sistem GPS yang diiktiraf.

    Malah sistem GPS Dewetron yang digunakan oleh Tuatara ini menerima bacaan dari purata 15 satelit bagi memastikan data tersebut tepat bagi mengesahkan rekod tersebut. SSC (sebelum ini dikenali sebagai Shelby SuperCar) juga memastikan ada pegawai rasmi yang datang melihat proses catatan rekod ini bagi memstikan ianya sah dan mengikut peraturan.

    SSC Tuatara kini kereta produksi terlaju di dunia – 508.73 km/j, padam rekod Koenigsegg Agera RS

    Rekod yang dicatat oleh SSC Tuatara ini dibuat pada 10 Oktober lalu dipandu oleh Oliver Webb, dan menggunakan jalan yang sama digunakan oleh pemegang rekod sebelumnya iaitu Koenigsegg Agera RS.

    Pada November 2017, Koenigsegg Agera RS mencatatkan kelajuan purata 447 km/j pada jalan sepanjang tujuh batu Route 160 di luar Las Vegas dekat Pahrump berkenaan. Manakala untuk SSC Tuatara ini, ia mencatatkan masa 484.53 km/j (301.07 bsj) dan 532.93 km/h (331.15 bsj) bagi mendapatkan kelajuan purata 532.93 km/j tersebut.

    Tentu ramai yang tertanya-tanya, bukan ke Bugatti Chiron terlebih dahulu memecah rekod Agera RS berkenaan? Untuk pengetahuan anda, rekod 490.484 km/j (304.773 bsj) yang dibuat oleh Chiron pada September tahun lalu tersebut hanya dibuat dalam satu arah, dan ia tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    Rekod kali ini juga bukan cubaan kali pertama yang dibuat oleh SSC. Pada tahun 2007, SSC Ultimate Aero TT berjaya mencatatkan kelajuan purata dua arah dengan bacaan 411.76 km/j (255.83 bsj) dan memadam rekod yang dibuat oleh Bugatti Veyron sebelum itu.

    “Sudah 10 tahun selepas rekod yang dibuat oleh kereta pertama kami, Ultimate Aero, dan Tuatara kini menerajui liga. Prestasinya melambangkan dedikasi dan fokus dengannya untuk kami mengejar pencapaian ini. Kami hampir mencapai angka-angka teori, yang mustahil untuk di buat dalam dunia sebenar dicatat pada jalan raya awam. Kejayaan baharu yang dicapai oleh Amerika dalam ‘perlumbaan angkasa di darat’ ini akan sukar untuk dicabar,” kata Jerod Shelby, CEO SSC.

    “Saya pasti banyak lagi yang boleh dicapai. Dan dengan keadaan lebih baik, saya tahu kami boleh pergi lebih laju,” kata Oliver Webb. “Ketika saya mencapai 331 bsj (532.69 km/j), kelajuan Tuatara naik hampir 20 bsj (32.19 km/j) dalam masa lima saat terakhir. Ia masih lagi mahu lebih laju. Seperti yang saya beritahu Jerod, kereta ini masih belum kehabisan tenaga. Hanya angin lintang yang menghalang kami untuk menunjukkan tahap sebenar kereta ini,” tambahnya lagi.

    Selain dari rekod kereta produksi paling pantas ini, Tuatara turut memecahkan tiga lagi rekod dunia iaitu kelajuan sebatu tertinggi pernah dicatatkan pada jalan raya awam (503.92 km/j atau 313.12 bsj), kelajuan sekilometer tertinggi (517.16 km/j atau 312.35 bsj) dan juga kelajuan tertinggi dicatatkan di jalan raya awam (532.93 km/j atau 331.15 bsj).

    SSC Tuatara kini kereta produksi terlaju di dunia – 508.73 km/j, padam rekod Koenigsegg Agera RS

    SSC Tuatara dijana oleh enjin 5.9 liter V8 turbo berkembar yang menghasilkan 1,750 hp jika menggunakan bahan api ethanol E85 dan 1,350 hp jika menggunakan petrol oktana 91. Tork maksima yang dicatatkan adalah 1,735 Nm dan enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik manual (AMT) tujuh-kelajuan dari CIMA.

    Kelajuan yang dicatatkan bukan hanya bergantung pada kuasa enjin semata-mata. Dengan badan dihasilkan dari gentian karbon dan struktur monocoque, berat kering Tuatara ini ditambang hanya 1,247 kg. Rekabentuk aerodinamik pada hypercar ini pula menghasilkan pekali seretan hanya 0.279.

    SSR menyatakan bahawa pada kelajuan bermula 150-330 bsj (241-531 km/j), kereta ini mampu mengekalkan keseimbangan aerodinamik 37% depan dan 63% belakang, bagi memastikan downforce tepat diberi pada kesemua empat roda.

     
     
  • Memandu dengan tangki minyak hampir kosong tidak elok – Honda Malaysia jelaskan kenapa ia merbahaya

    Memandu dengan tangki minyak hampir kosong tidak elok – Honda Malaysia jelaskan kenapa ia merbahaya

    Ada di antara pemandu di Malaysia suka mengisi minyak pada waktu-waktu akhir, apabila jarum sudah sampai ke tahap E, ataupun lagi teruk, kenderaan dipaksa lagi bergerak meskipun jarum sudah berada di bawah E. Mungkin ada yang sekadar mahu menguji jarak perjalanan dengan isian minyak tertentu tapi sekiranya dilakukan kerap, ini adalah sesuatu yang membahayakan.

    Honda Malaysia ada menyiarkan satu video yang menerangkan kenapa ia merbahaya, terutamanya untuk jangka masa panjang. Alat pertama yang ‘terseksa’ adalah pam minyak. Apabila tangki hampir kering, pam ini tidak mendapat pelincir yang cukup dan boleh menyebabkan ia rosak.

    Kemudian, di dalam tangki bahan api biasanya terdapat kotoran pada bahagian paling bawah. Apabila minyak berada pada tahap yang rendah, kotoran ini berkemungkinan disedut sekali dan boleh merosakkan pam minyak serta enjin itu sendiri.

    Apabila tangki hampir kosong, pam minyak dan komponen lain yang berkaitan juga berkemungkinan mengalami masalah kerana ia terdedah terlalu lama kepada angin. Daripada menyedut minyak, sudahnya pam tersebut menyedut angin pula.

    Akhir sekali, apabila anda mengambil waktu-waktu akhir untuk mengisi minyak, kenderaan anda berisiko untuk mati tepi jalan dan bayangkan, kenapa anda perlu menyusahkan diri (mungkin juga orang lain) dan menambah tekanan semata-mata benda yang mudah ini. Jadi, isilah semula minyak dalam tangki lebih awal dan janganlah tunggu jarum sudah sampai E, baru nak tercari-cari stesen minyak.

     
     
  • KTMB perkenalkan kios tiket layan diri tanpa tunai di utara bagi ETS, KTM Antarabandar dan Komuter

    Bagi memudahkan pengguna perkhidmatannya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menambah satu lagi platform membeli tiket iaitu dengan penyediaan kios layan diri tanpa tunai di stesen trennya. Ia adalah satu lagi platform baharu selepas memperkenalkan sistem pembelian tiket secara dalam talian.

    Ketua Komunikasi Strategik KTMB Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, orang ramai kini boleh membeli tiket tanpa tunai melalui mesin baharu yang diperkenalkan untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar dan KTM Komuter di wilayah utara, bermula 15 Oktober lalu.

    Katanya, keistimewaan kios baharu menggunakan KTMB Integrated Ticketing System (KITS) itu akan memudahkan pengguna membeli tiket dengan kad kredit, debit dan sebagainya.

    “Kaedah baharu itu adalah tambahan kepada sistem pembelian tiket KITS sebelum ini iaitu pembelian melalui kaunter, secara dalam talian dan menggunakan aplikasi KTMB Mobile,” katanya kepada Bernama.

    KTMB perkenalkan kios tiket layan diri tanpa tunai di utara bagi ETS, KTM Antarabandar dan Komuter

    Tambahnya, semua tambang konsesi juga boleh dibeli melalui kios layan diri ini berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka berurusan di kaunter.

    “Pelanggan hanya perlu mendaftar melalui aplikasi KITS atau di laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my bagi menikmati diskaun tambang yang ditawarkan,” katanya.

    Bagaimanapun, setakat ini, pembelian tiket komuter di mesin baharu itu hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan tren itu di wilayah utara iaitu dari stesen Padang Rengas, Perak hingga ke Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis.

    “Setakat ini, kios jualan tiket perkhidmatan komuter di Lembah Klang masih menggunakan mesin jualan tiket layan diri berasaskan sistem token dan tunai,” katanya.

     
     
  • BMW X5 M, X6 M Competition First Edition diperkenal – kelengkapan ditambah, enjin V8 4.4 liter twin turbo

    BMW X5 M, X6 M Competition First Edition diperkenal – kelengkapan ditambah, enjin V8 4.4 liter twin turbo

    BMW telah mendedahkan varian First Edition untuk X5 M Competition F95 dan X6 M Competition F96, dengan kedua-duanya cuma akan dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja setiap satu. Ia dibuat di kilang BMW di Spartanburg, Amerika Syarikat dan sudah boleh ditempah.

    Bermula pada penampilan, setiap satu model ini menggunakan warna yang unik untuknya, iaitu BMW Individual Frozen Dark Silver pada X6 M Competition dan BMW Individual Frozen Marina Bay Blue pada X5 M Competition. Ini adalah warna matte dan dipadankan bersama rim warna Jet Black yang bersaiz 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang. Ia kemudiannya ditambah dengan pelapik cermin sisi M Carbon, spoiler M Carbon untuk X6 M Competition dan pelindung enjin M Carbon.

    Pada bahagian dalam, kedua-dua model mendapat kemasan kulit BMW Individual Merino yang menggunakan gabungan warna Silverstone/Midnight Blue. Tempat duduk diberikan kemasan Alcantara pada bahagian tengah, siap dengan jahitan Sakhir Orange. Lapik bumbung dibalut dengan BMW Individual Alcantara berwarna Midnight Blue sementara pada konsol tengah terdapat plak khas First Edition.

    Selain daripada itu, tiada perubahan lain pada SUV prestasi ini, di mana ia masih lagi digerakkan oleh enjin V8 4.4 liter twin turbo S63B44T4 yang digabungkan bersama kotak gear automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic dan M xDrive AWD (berserta Active M Differential), untuk menghasilkan kuasa 625 hp dan 750 Nm tork. Kedua-dua model ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dan laju maksimum dihadkan kepada 250 km/j, tetapi boleh ditingkatkan kepada 290 km/j melalui M Driver’s Package.

    Kelengkapan lain adalah termasuk suspensi adaptif khas M, Active Roll Stabilisation, serta stereng M Servotronic boleh ubah, manakala untuk brek, di hadapan menggunakan cakera 395 mm berserta angkup enam piston dan di belakang terdapat cakera 380 mm berserta angkup satu piston terapung.

    BMW X5 M, X6 M Competition First Edition diperkenal – kelengkapan ditambah, enjin V8 4.4 liter twin turbo

    Sistem bantuan pemandu juga tidak diubah. Ia datang terus dengan Active Guard Plus yang termasuk Front Collision Warning dengan pengaktif brek, Lane Departure Warning, Active Cruise Control dengan fungsi stop and go dan sistem Night Vision. Parking Assistant diberikan secara standard, bersama Active Park Distance Control dan Reversing Assistant, tetapi ia juga boleh dinaik taraf kepada Parking Assistant Plus yang memberikan pandangan 3D dan panorama.

    BMW Driving Assistant juga datang secara standard, di mana ia termasuk Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Collision Prevention. Ia kemudiannya boleh dinaik taraf dengan pakej Driving Assistant Professional yang menambah Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi, Lane Change Assistant, Evasion Assistant, Emergency Stop Assistant, Crossroad Warning, Wrong Way Warning dan Front Cross Traffic Alert.

    GALERI: BMW X5 M Competition F95 First Edition


    GALERI: BMW X6 M Competition F96 First Edition

     
     
  • Ford Bronco — ada versi pemanduan sebelah kanan?

    Ford Bronco — ada versi pemanduan sebelah kanan?

    Ford Bronco 2021 terbaru mungkin menjadi jentera 4×4 yang paling diidamkan. Tetapi, buat sementara waktu, model berkenaan hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Utara. Bagaimanapun, ada laporan oleh Ford Authority menyatakan ia turut akan tiba ke pasaran pemanduan sebelah kanan, termasuk Malaysia.

    “Kami optimumkannya untuk pemanduan sebelah kiri,” jelas Ketua Pereka Paul Wraith sebelum ini. “Tetapi kami juga melihat kepada pemanduan sebelah kanan juga. Ford Bronco memang sangat popular di sini, tetapi ia juga pernah popular di pasaran lain sebelum ini. Kami sangat terbuka untuk melakukan macam-macam perkara pada masa hadapan, tetapi buat masa sekarang tumpuan diberikan kepada pemanduan sebelah kiri.”

    Bagaimanapun, Wraith juga memaklumkan, sekiranya Ford memberi izin, platform Ranger pada Bronco yang digunakan itu bermakna ia sepatutnya membolehkan penukaran terus untuk tujuan itu. “Bronco menggunakan platform yang sama dengan Ranger, dan platform itu, seperti yang kita tahu, memang boleh digunakan untuk pemanduan sebelah kanan,” jelasnya.

    Ford Bronco — ada versi pemanduan sebelah kanan?

    Laporan itu juga menyatakan bahawa Bronco boleh mengikut jejak Mustang yang dieksport ke pasaran lain. Dengan itu, kereta sport berkenaan berupaya menjadi model terlaris di dunia. Maka langkah sama juga boleh diambil untuk Bronco untuk membolehkannya meninggalkan saingan terdekatnya, Jeep Wrangler.

    Memperkenalkan Bronco untuk pasaran global juga menjadi langkah yang terbalik kepada apa yang Ford lakukan kepada Ranger sebelum ini; Ranger T6 diperkenalkan kepada pasaran global dahulu sebelum memasuki pasaran Amerika pada 2018.

     
     
  • Isuzu MU-X baharu dilancarkan di Thai pada 28 Okt

    Isuzu MU-X baharu dilancarkan di Thai pada 28 Okt

    Video teaser Isuzu MU-X generasi ketiga berdurasi 15 saat telah pun ditayangkan menerusi saluran Youtube, dan SUV tiga-barisan tempat duduk ini bakal dilancarkan di Thailand pada 28 Oktober ini.

    Berdasarkan sedutan video tersebut, kelihatan MU-X digayakan dengan penampilan yang lebih berbeza berbanding D-Max terkini, tidak seperti model generasi ketiganya. Bahagian hujung hadapannya kelihatan lebih “lembut” dan lebih banyak bulat, berbanding imej agresif yang ditampilkan pada trak pikap D-Max. Malahan kluster lampu utama yang lebih langsing dengan signitur pencahayaan khas.

    Imej paten yang dipaparkan pada bulan lalu menyaksikan lampu kabus telah diposisikan lebih bawah, bersama dengan gril hadapan yang lebih kecil dan mengekalkan kepingan “berjaring” yang juga terdapat pada trak pikap. Di belakangnya, kelihatan lampu yang lebih kemas berbanding model semasa, dengan perkataan “Isuzu” yang diposisikan di tengahnya.

    Merujuk pada fail Japan Patent Office, perumah kaca bagi MU-X baharu juga telah direka semula sepenuhnya dan tidak lagi menampilkan tiang-C. Perubahan ini menyaksikan tiang-D dikekalkan dengan warna badan berbanding sebahagian cermin belakang seperti sebelum ini, dilengkapi dengan tali pinggang yang dipertingkatkan.

    Buat masa ini, tiada perincian tentang penjana kuasa, MU-X mungkin akan menerima enjin yang sama dengan D-Max. Di Thailand, pikap tersebut ditawarkan dengan dua enjin turbodiesel empat-silinder. Pilihan pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter dengan kuasa 150 PS dan tork 350 Nm. Manakala pilihan kedua pula unit 4JJ3-TCX 3.0 liter dengan kuasa 190 PS dan 450 Nm. Dengan dua pilihan transmisi enam-kelajuan – manual dan automatik – serta penawaran dua- dan empat-pacuan roda.


    GALERI: Imej paten Isuzu MU-X generasi ketiga

    GALERI: Isuzu MU-X facelift 2017 (pasaran Malaysia)

     
     
  • Proton bangunkan sistem “Hi Proton” dalam bahasa Thailand – bakal masuk semula ke pasaran tersebut

    Proton bangunkan sistem “Hi Proton” dalam bahasa Thailand – bakal masuk semula ke pasaran tersebut

    Geely baru sahaja mengeluarkan satu artikel berkenaan bagaimana Proton membangunkan sistem arahan suara “Hi Proton” berdasarkan sistem GKUI (Geely Key User Interface), yang mana versi yang dipadankan pada model-model Proton di sini merupakan versi pertama digunakan luar dari China dan yang pertama menggunakan bahasa Inggeris.

    Namun apa yang menarik perhatian kami, Proton kini turut sedang membangunkan sistem berkenaan dalam bahasa Thai sebagai persediaan untuk mengeksport semula kereta-kereta mereka ke pasaran Asia Tenggara lain termasuk Thailand. Buat masa sekarang, Proton sudah pun berada di pasaran Brunei.

    Walau bagaimanapun, garis masa bila model-model baharu Proton ini akan dieksport ke Thailand dan juga negara-negara Asia Tenggara lain masih belum disebut dengan jelas. Mengikut perancangan Proton sebelum ini, kereta-kereta yang mereka hasilkan di fasiliti baharu di Tanjung Malim yang memasang model seperti X70 dan X50 bukan hanya akan dieksport ke ASEAN, malah turut bakal menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang lain seperti Australia, Afrika Selatan, Amerika Selatan dan United Kingdom.

    Berbalik kepada sistem “Hi Proton” yang dihasilkan di sini, Geely menyatakan bahawa ia bukan semudah membuat alih bahasa. Proton membangunkan sistem versi mereka berkenaan dengan dibantu oleh ECARX (syarikat pengeluar sistem infotainmen bebas dengan menerima dana pelaburan dari Geely), dan ia perlu boleh digunakan dalam Bahasa Inggeris dengan pelbagai slanga dari pelbagai etnik yang berada di Malaysia.

    Proton bangunkan sistem “Hi Proton” dalam bahasa Thailand – bakal masuk semula ke pasaran tersebut

    Salah satu yang unik untuk Bahasa Inggeris yang digunakan di Malaysia adalah penambahan sebutan ‘lah’ di hujung ayat bagi menambah penekanan pada apa jua ayat yang dilafazkan, jelas Geely. Untuk itu Proton dan ECARX perlu membawa lebih 200 individu bagi merakam sampel suara mereka.

    Setiap individu tersebut perlu merekodkan ayat pendek “Hi Proton” dalam slanga dan gaya masing-masing. Kemudian diikuti dengan ayat-ayat arahan yang lebih panjang lain seperti “Lower the window” atau “Switch off the AC”, bagi membolehkan sistem ini memahami gaya sebutan-sebutan bahasa inggeris yang disebut oleh rakyat tempatan.

    Setiap ayat berkenaan juga perlu direkod sebanyak 10 kali untuk versi lafaz secara cepat dan 10 kali untuk versi yang dilafaz secara lambat. Ini bagi memastikan sistem berkenaan memahami apa yang disebut oleh pengguna tidak kira ia dilafaz secara cepat atau lambat.

    Bagi sistem yang dibangunkan untuk pasaran Thailand, proses yang perlu dibuat adalah lebih rumit. Proton dan ECARX terlebih dahulu perlu menyediakan “perpustakaan perkataan” yang diterjemah dari Bahasa Mandarin kepada Bahasa Inggeris dan kemudian barulah ke Bahasa Thai.

    Proton bangunkan sistem “Hi Proton” dalam bahasa Thailand – bakal masuk semula ke pasaran tersebut

    Untuk ini, khidmat individu yang berbahasa Thai turut di bawa bagi memberikan nasihat terhadap budaya tempatan dan menyesuaikan kepada sistem berkenaan bagi membolehkan ia memahami apa yang disebutkan.

    Selain dari bahasa, Proton dan ECARX juga perlu membuat tentu ukur semula terhadap sistem navigasi bagi membolehkan ia memahami bentuk topografi dan juga keadaan trafik di satu-satu negara berkenaan.

    Untuk ini, pasukan pembangunan tersebut perlu terlebih dahulu mendapatkan peta asas dan data lokasi kemudian ia perlu diserahkan kepada pihak ketiga dikenali sebagai ‘penyusun’, yang kemudiannya akan di integrasikan kepada sistem GKUI menerusi aplikasi AMAP, yang menggantikan aplikasi Baidu sebelum ini.

    Dengan projek perintis yang telah dibuat oleh Proton ini, sistem GKUI selepas ini akan di bawa ke Eropah pula bagi digunakan untuk divisi mewah global mereka iaitu Lynk & Co. Walaupun ia masih menggunakan bahasa Inggeris, Lynk & Co masih perlu membuat semula semua proses-proses yang telah dibuat oleh Proton kerana sebutan yang digunakan oleh masyarakat di benua berkenaan tidak sama seperti di Malaysia.

     
     
  • 49 orang lagi pekerja Proton diuji positif Covid-19

    49 orang lagi pekerja Proton diuji positif Covid-19

    Berikutan satu kes positif yang telah dikenal pasti melibatkan seorang pekerjanya sebelum ini, Proton hari ini di dalam satu kenyataan telah mengesahkan 49 lagi pekerjanya telah diuji positif Covid-19. Semua mereka adalah dari bahagian kejuruteraan di Shah Alam, dan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

    Setakat ini, syarikat itu telah mengarahkan semua pekerja “non-essential” untuk bekerja dari rumah bagi mengambil langkah berjaga-jaga. Proton juga menegaskan syarikat itu akan terus mengikut garis panduan ketat dan SOP yang ditetapkan, seperti sebelumnya.

    Syarikat itu juga menegaskan bahawa Centre of Service Excellence (COSE) dan bilik pameran di Shah Alam itu diberi prosedur nyah-kuman setiap jam, dan semua individu dipastikan untuk mengikuti prosedur keselamatan ketat seperti yang diarahkan.

    Proton menambah, syarikat itu juga sentiasa patut dengan protokol rasmi yang diumumkan dan akan terus mengambil langkah yang lebih ketat bagi memastikan penularan yang selanjutnya. Pengesanan kontakt rapat juga sedang dilakukan serta pemerhatian dilakukan untuk mengikuti rapat perkembangan ini.

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 – hadir dengan lampu belakang lebih gelap dan tip ekzos trapezoid

    Honda CR-V facelift 2020 – hadir dengan lampu belakang lebih gelap dan tip ekzos trapezoid

    Dua minggu lepas, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa CR-V facelift 2020 sudah pun boleh ditempah dan menunjukkan berberapa kelengkapan yang telah disahkan pada model kemaskini tersebut. Dan minggu ini, satu lagi teaser disiarkan di laman Facebook rasmi mereka dan menunjukkan berberapa lagi ciri baharu yang akan ditampilkan.

    Menerusi teaser baharu berkenaan, CR-V facelift tersebut nampaknya menerima lampu belakang yang digelapkan bersama tip ekzos yang berbentuk trapezoid. Berdasarkan gambar yang diberikan juga, CR-V tersebut dilihat diberikan sedikit perubahan pada mukanya, terutamanya pada kemasan plastik yang merentangi keseluruhan bampar hadapan, ‘misai’ krom dan juga motif ‘Solid Wing’ juga dalam kemasan krom.

    Boleh dijangka, model pasaran Malaysia ini akan tampil dengan rupa yang hampir sama dengan CR-V facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Julai lalu, dimana kemasan skid plate diganti dengan jalur krom. Manakala rim 18-inci dua-tona rekaan baharu sudah sah akan akan diberikan bagi model pasaran tempatan.

    Teaser sebelum ini turut mengesahkan bahawa CR-V facelift pasaran Malaysia ini diberikan pintu tailgate belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan serta sistem kamera titik buta LaneWatch akan dibekalkan secara standard bagi semua varian CR-V.

    Manakala sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang menampilkan sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adpatif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, bantuan kekal tengah lorong, dan lampu tinggi automatik kini turut ditawarkan pada varian AWD.

    Lain-lain perincian termasuk bahagian kabin turut boleh dijangka akan ditingkat taraf dengan pemadanan papan pemuka yang disentuh semula menampilkan tray pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga tempat duduk pemandu dengan fungsi memori.

    Juga boleh dijangka enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder berkuasa 193 PS dan tork maksima 243 Nm yang digandingkan bersama kotak gear CVT automatik masih akan dikekalkan. Namun untuk versi 2.0 liter NA berkuasa 154 PS/189 Nm masih belum jelas adakah ia akan terus ditawarkan atau digugurkan terus.

    Honda Malaysia masih belum mengumumkan tarikh sebenar pelancaran CR-V facelift 2020. Namun ia dijangka akan masuk ke pasaran tak lama lagi, iaitu pada suku keempat tahun ini.

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 pasaran Thailand

     
     
  • BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Model touring BMW R 1250 RT kali terakhir diperbaharui adalah pada tahun 2018, di mana ia diberikan peningkatan menyeluruh termasuk enjin baru dan tiba dalam pasaran Malaysia pada bulan April tahun 2019. Ia dijual pada harga RM139,500 tidak termasuk insurans.

    Kini, bagi meningkatkan lagi statusnya sebagai model touring yang maju, BMW telah memberikan lebih lagi peningkatan kepada R 1250 RT, termasuk bahagian penampilan, kelengkapan standard serta beberapa lagi bahagian teknikal yang lain.

    Untuk penampilan, selain empat pilihan grafik yang disediakan sekarang, fairing motosikal ini juga diubah untuk menjadi lebih aerodinamik dan tingginya direndahkan sedikit supaya memberi pandangan yang lebih luas untuk penunggang.

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Lampu utama LED penuh kini diberikan secara standard, dan ia boleh ditambah dengan Adaptive Turning Light, yang mana lampunya juga boleh membelok mengikut arah motosikal mengambil selekoh. Pada bahagian brek, Full Integral ABS Pro kini diberikan terus.

    Satu lagi ciri yang dipertingkat adalah mod tunggangan, di mana sekarang R 1250 RT datang dengan mod Eco untuk mendapatkan penjimatan bahan api terbaik. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan Riding Modes Pro yang datang sekali dengan pengawal seretan tork enjin MSR.

    Sebagai sebuah motosikal touring, R 1250 RT kini diberikan dengan Dynamic Cruise Control (DCC) secara standard, dan perkataan Dynamic itu menggambarkan ia boleh mengaktifkan brek untuk mengekalkan kelajuan yang ditetapkan waktu menuruni bukit. Fungsi yang terletak satu tahap lebih tinggi, iaitu Active Cruise Control (ACC) disediakan sebagai pilihan tambahan dan ia menggunakan radar untuk mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan.

    BMW R 1250 RT 2021 – kelengkapan asas dipertingkat, boleh didapati dengan Active Cruise Control (ACC)

    Pada bahagian panel instrumen, model ini dilengkapi dengan skrin TFT berwarna 10.25 inci, yang boleh disambungkan kepada pelbagai media dan juga navigasi. Peta penuh untuk navigasi boleh dipaparkan pada skrin ini, jadi penunggang tidak perlu menambah unit navigasi berasingan. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan Audio System 2.0 yang memberikan bunyi lebih baik, dan Comfort Telephony untuk sambungan tambahan kepada telefon pintar.

    Enjin masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit boxer 1,254 cc dengan teknologi ShiftCam, yang mampu menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Ciri lain yang melengkapi model ini adalah seperti Dynamic Traction Control, brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan suspensi Telelever, sementara Hill Start Control Pro (HSC Pro) dan Dynamic ESA “Next Generation” disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Daihatsu Rocky bakal masuk pasaran Indonesia tak lama lagi – unit ujian sudah mula dilihat di jalan raya

    Daihatsu Rocky bakal masuk pasaran Indonesia tak lama lagi – unit ujian sudah mula dilihat di jalan raya

    Selepas Astra Daihatsu mengumumkan akan membawa Rocky genrasi baharu dan Taft Reborn ke pasaran Indonesia bulan lalu, nampaknya tindakan susulannya sudah pun dilihat – unit ujian untuk SUV segmen-B tersebut kini kelihatan sedang diuji di jalan raya republik berkenaan.

    Gambar ini disiarkan oleh portal automotif Indonesia, Autonetmagz memaparkan Rocky di uji dengan pelekat penyamaran diberikan pada seluruh badannya. Sebelum ini juga dikhabarkan bahawa Rocky sepatutnya akan membuat penampilan sulung di Indonesia ketika berlangsungnya Gaikindo Jakarta Auto Week pada hujung November nanti.

    Namun disebabkan acara berkenaan ditunda ke Januari tahun hadapan, pendedahannya juga turut akan ditunda ke masa tersebut.

    Daihatsu Rocky generasi baharu ini diperkenalkan buat pertama kali di Tokyo Motor Show 2019 dan mula masuk ke pasaran Jepun pada November tahun yang sama. Berbanding model asalnya yang merupakan kenderaan off-road sebenar, Rocky generasi baharu ini tampil sebagai SUV yang lebih mesra untuk digunakan dalam suasana urban.

    Ia dijana oleh enjin 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm, dipadankan dengan kotak gear D-CVT dan memacu roda hadapan, namun turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda di pasaran negara asalnya. Rocky turut dihasilkan dengan lencana Toyota yang digelar Raize, dimana kedua-dua model ini dijangka akan dijual di pasaran Indonesia.

    Kita di Malaysia juga bakal menerima kembar Rocky-Raize dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini, tetapi dihasilkan oleh jenama automotif nasional, Perodua. Model dengan kod D55L yang sedang dibangunkan di Rawang berkenaan berkemungkinan akan menampilkan rekaan yang lebih unik dengan badan atas rekaan Perodua sendiri seperti apa yang dibuat pada Myvi generasi ketiga dan juga sedan segmen-A Bezza.

    Walau bagaimanapun, bila ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan masih lagi belum diketahui. Khabar yang bertiup sebelum ini SUV segmen-B tersebut akan diperkenalkan pada separa kedua 2020, tetapi menerusi apa yang disebut oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya masih belum membuat rancangan untuk melancarkannya tahun ini.

    “Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” kata bos besar Perodua berkenaan kepada paultan.org.

    GALERI: Daihatsu Rocky 2019 pasaran Jepun

    GALERI: Toyota Raize 2019 pasaran Jepun

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Ducati Streetfighter V4 pertama kali dilancarkan untuk pasaran Eropah Mac lalu, dan kini ia sudah tiba di Malaysia. Tempahan untuk model naked ini sudah dibuka, bersama dengan model Scrambler 1100 Pro, pada harga anggaran masing-masing sekitar RM120k untuk Streetfighter V4, RM150k untuk Streetfighter V4S, RM80,000 untuk Scrambler 1100 Pro dan RM85,000 untuk Scrambler 1100 Sport Pro.

    Streetfighter V4 diperkenalkan dalam dua versi iaitu standard dan S, dengan beza utama antara keduanya adalah suspensi, di mana STF V4S mendapat unit Ohlins larasan elektronik depan dan belakang, sementara STF V4 menggunakan fork Showa BPF di hadapan dan monoshock Sachs di belakang (masih lagi boleh dilaras sepenuhnya secara manual). STF V4S juga mendapat rim Marchesini.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini pula diambil terus daripada Panigale V4, cuma STF V4 tidak mempunyai banyak panel badan, mempunyai pemegang yang lebih tinggi dan enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc tersebut mampu menghasilkan kuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Jumlah ini dapat ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Untuk Scrambler 1100 Pro pula, ini adalah sebuah model yang diperkenalkan awal tahun ini sebagai kemas kini untuk model Scrambler 1100, dan ditawarkan dalam dua versi iaitu 1100 Pro dan 1100 Sport Pro. Keduanya dikuasakan oleh enjin dua silinder V 1,079 cc yang berkemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rpm.

    Antara bahagian yang dipertingkat berbanding model Scrambler 1100 sebelum ini adalah warna dua tona, kerangka hitam, ekzos yang dirapatkan kepada badan serta tempat duduk baru. Perbezaan antara Pro dan Sport Pro pula boleh dilihat pada bahagian pemegang serta juga suspensi.

    Ducati Streetfighter V4 dan Scrambler 110 Pro dibuka untuk tempahan di M’sia – harga dari RM120k, RM80k

    Scrambler 1100 Sport Pro menggunakan pemegang jenis lurus dengan cermin sisi di hujungnya, warna hitam matte serta suspensi Ohlins boleh laras di hadapan dan belakang. Model Pro biasa cuma menggunakan fork Marzocchi di hadapan dan monoshock Kayaba.

    Kelengkapan lain pada Scrambler 1100 Pro adalah termasuk sistem pendikit ride by wire, tiga mod tunggangan, Ducati Traction Control (DTC), brek Brembo dengan sistem ABS, transmisi enam kelajuan, klac hidraulik, rim 17 inci, tinggi tempat duduk 810 mm, berat 206 kg dan tangki bahan api 15 liter.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025