Program kereta terpakai global oleh Volkswagen, Das WeltAuto yang sudah berada di Malaysia kini telah melancarkan laman web baru yang diperkemas, membolehkan anda untuk melihat, membandingkan dan bertanya tentang kereta-kereta terpakai Volkswagen.
Diperkenalkan pada 2019, Das WeltAuto ditawarkan di lapan cawangan pengedar Volkswagen – Volkswagen Puchong, Volkswagen Gombak, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Juru, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Skudai. Kini dengan laman web baru yang lebih mudah dan mesra pengguna, anda boleh meninjau pilihan penuhnya, dan setiap senarai akan menunjukkan lokasi kereta berkaitan.
Anda akan mendapati senarai yang disediakan oleh Das WeltAuto mempunyai maklumat dan spesifikasi yang komprehensif yang jarang-jarang diperoleh di Malaysia. Ini kerana ia disepadukan bersama CarBase.my, dan menampilkan semua perincian dan data yang anda jangkakan daripada laman web panduan pembelian kenderaan, dibawakan kepada anda oleh Paultan.org.
Jika anda pengguna biasa CarBase.my, anda akan biasa dengan fungsi perbandingannya, yang membolehkan anda memilih beberapa model secara bersebelahan untuk dinilai. Perkara sama turut disediakan oleh laman Das AutoWelt, berserta berita dan ulasan oleh Paultan.org bagi perincian lanjut terhadap model-model tersebut. Selepas itu, anda boleh tambahkan kereta berkenaan ke dalam “Favorites” atau bertanya lanjut dengan cara mengisi borang dalam talian.
Semua kereta di Das WeltAuto melalui pemeriksaan ketat 133-poin yang dilakukan dan disahkan oleh juruteknik Volkswagen. Pelanggan yang membeli kenderaan dari Das WeltAuto akan menikmati lanjutan jaminan setahun dan bantuan tepi jalan selama setahun.
Janji Das WeltAuto, hanya alat ganti tulen sahaja yang digunakan pada semua kenderaan tersebut, dan semuanya bebas kemalangan dan datang dengan rekod servis lengkap dari pusat servis sah Volkswagen. Pelanggan boleh menjangkakan pengalaman servis yang sama seperti jika mereka membeli kereta baru Volkswagen.
“Apa yang membezakan Das WeltAuto daripada saluran kereta terpakai yang lain ialah anda boleh menjangkakan tahap servis yang tinggi sama seperti jika anda membeli kereta baru daripada pengedar yang anda percayai, dengan petugas yang berpengalaman yang akan memberikan nasihat terbaik dan telus. Semua ini dari jenama yang anda boleh percayai, begitu juga dengan barisan produknya,” jelas Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.
Kereta-kereta yang anda lihat di laman utama Das WeltAuto datang dengan tawaran istimewa secara bulanan, dengan sebahagian daripadanya sukar diabaikan. Semua model kenderaan dari jenama apa pun diterima untuk “trade-in”, bukan hanya Volkswagen.
Anda ada kereta Volkswagen lama dan teringin untuk bertukar kepada yang baru? Ketika ini VPCM sedang menjalankan kempen Trade-Up, disasarkan kepada pemilik sedia ada bagi model seperti Touran, Cross Touran, Sharan, Passat CC dan Passat B7. Dengan kempen ini, pemilik sedia ada boleh menikmati tambahan RM3,000 bagi sokongan trade-in bagi semua model, termasuk Arteon R-Line baru, Tiguan Allspace dan Passat Elegance.
Nikmati tawaran hebat di laman web baru Das WeltAuto.
Dua hari lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober (hari ini) susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.
Susulan pengumumuman tersebut, polis Klang telah mengumumkan beberapa sekatan jalan raya dan juga penutupan jalan di mukim Klang telah dilaksanakan sejak 12 tengahmalam tadi, laporan Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, bagi kawasan Klang Selatan, tiga sekatan jalan raya diadakan dan tujuh jalan ditutup membabitkan kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas.
“Sekatan jalan raya di kawasan Bukit Tinggi membabitkan Persiaran Pegaga (Berhadapan Restoran Subaidah) dan Jalan Kim Chuan (Berhadapan 99 Speedmart). Jalan yang ditutup membabitkan Jalan Batu Unjur 9, jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn Bhd dan lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt.
“Bagi Taman Sri Andalas pula, sekatan jalan raya dilaksanakan di persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr Ismail, manakala jalan yang ditutup adalah berhadapan Masjid Ar Rahimiah, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas dinasihatkan mendapatkan surat kebenaran dari polis malah Balai Polis Bergerak disediakan di dua lokasi terbabit.
“Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata dua sekatan jalan raya didirikan di kawasan Kampung Kuantan membabitkan Jalan Bukit Kuda (Depan Emy Cookies & Food) dan Jalan Bukit Kuda (Simpang Lorong Lintang Raksa 2).
“Jalan yang ditutup adalah Lorong Perak, Jalan Raksa 3 – Depan Jihas Bakery dan Jalan Raksa 4,” katanya.
Honda Ridgeline generasi kedua kini sudah pun empat tahun diperkenalkan, dan kini ia tampil dalam versi facelift, diberikan pelbagai perubahan pada rupa dan perincian. Model yang segarkan ini diumumkan akan mula dijual bermula awal tahun hadapan.
Trak pikap keluaran Honda ini agak unik kerana ia tidak menggunakan casis ladder frame, sebaliknya diberikan kerangka unibody, dengan enjin diletakkan melintang seperti kereta-kereta Honda pacuan roda hadapan yang lain. Dan sebelum ini juga rupa Rigdeline dikatakan kurang lasak dengan muka seperti SUV Honda Pilot, dan tidak seperti sebuah trak.
Jadi untuk model facelift 2021 ini, Ridgeline dihasilkan dengan rupa yang lebih rugged, dengan gril dan hidung yang lebih menonjol dan bersegi, bersama lampu hadapan LED yang direka semula. Namun rekaan jalur dari gril dalam kemasan krom atau hitam (bergantung varian, terdiri dari Sport, RTL, RTL-E dan Black Edition) masih dikekalkan.
Imej lebih lasak ini turut disertai dengan bampar hadapan baharu yang diberikan skid plate, serta liang udara sisi yang direka untuk mengalirkan udara dari bampar ke roda hadapan bagi menghasilkan tirai udara yang memberi prestasi aerodinamik lebih baik.
Perubahan lain termasuk bonet hadapan dengan bonjol yang lebih menyerlah, fender hadapan baharu untuk disesuaikan dengan muka baharu serta bampar belakang dengan profil baharu yang menyerlahkan dua tip ekzos berkembar. Kesemua varian kini menerima rim 18-inci, serta trek roda kini 20 mm lebih lebar.
Selain itu, untuk perincian lain termasuk profil sisi dan juga bed belakang yang sangat praktikal masih lagi kekal sama seperti sebelum ini.
Pembeli juga ditawarkan dengan pakej pengayaan rekaan Honda Performance Development (HPD), yang terdiri dari gril hadapan unik, fender flare berwarna hitam, rim dalam kemasan bronze serta grafik HPD pada dinding bed. Pakej ini boleh dipilih untuk kesemua varian kemasan, dan salah satu dari empat opsyen termasuk pakej Utility, Function dan Function+.
Walaupn banyak tingkat taraf dibuat disebelah luar, kabin Ridgeline ini nampaknya tidak diberikan sebarang perubahan besar, kecuali sistem Display Audio yang dikemaskini. Bergantung pada kemasan yang dipilih, kabin trak pikap ini juga kini diberikan serlahan-serlahan baharu pada panel-panel dan jahitan.
Aspek mekanikal juga masih tidak berubah di mana Ridgeline dijana oleh enjin petrol suntikan terus 3.5 liter V6 berkuasa 280 hp dan tork maksima 355 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan. Model RTL-E dan Black Edition diberikan sistem pacuan semua roda i-VTM4 AWD dengan Torque Vectoring, manakala versi lain hanya memacu roda hadapan, tetapi masih ditawarkan dengan sistem AWD yang sama secara opsyen.
Kesemua varian Ridgeline diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing secara standard, terdiri dari sistem seperti Sistem Brek Pengelak Kemalangan dengan Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Pengelak Keluar Jalan dengan Amaran Keluar Laluan, dan juga cruise control Adaptif.
Toyota sudahpun memperkenalkan model Hilux terbaru untuk pasaran tempatan secara rasminya semalam. Hilux dengan wajah baru ini ditawarkan dalam lima varian; 2.8L Rogue AT 4×4 pada harga RM146,880; 2.4V AT 4×4 pada harga RM133,880; 2.4G MT 4×4 pada harga RM111,880; 2.4E AT 4×4 pada harga RM108,880; dan Single Cab 2.4 MT 4×4 pada harga RM92,880. Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.
Untuk pembeli terawal, UMWT menawarkan varian Rogue pada harga RM144,880 – kurang RM2k – bagi pelanggan yang membelinya sepanjang tahun ini. Ambil maklum juga bahawa harga ini termasuk SST, memandangkan trak pikap tidak termasuk di dalam pengecualian cukai kenderaan yang diumumkan kerajaan untuk tahun 2020.
Sama seperti sebelum ini, dua pilihan enjin ditawarkan, iaitu 2.4L dan 2.8L GD turbodiesel. Bagaimanapun, hanya Rogue yang akan menggunakan unit yang paling besar tersebut. Enjin 1G-FTV itu kini menghasilkan sebanyak 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini.
Walaupun dengan angka janaan kuasa yang lebih, Toyota mendakwa enjin ini 4% lebih jimat bahan api dengan purata penggunaannya pada kadar 10.9 km/l. Enjin ini turut diberikan unit turbo diperbaharui agak lebih tahan yang kini menggunakan sejukan cecair (dulu sejukan udara).
Varian selebihnya pula menggunakan enjin 2GD-FTV 2.4L yang menjana 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm dari 1,600 hingga 2,000 rpm. Unit dengan variable nozzle turbocharger (VNT) menerima penambahbaikan dari aspek penyejukan dan penjimatan bahan api. Dengan peningkatan tekanan pada sistem commonrail, penjimatan diesel ditingkatkan sebanyak 5%.
Apa yang lebih menarik ialah tempoh servisnya – Hilux kini hanya perlu diservis setiap 10,000 km/6 bulan (berbanding setiap 5,000 km/3 bulan sebelum ini), yang akan memberi kesan kepada pengurangan kos servis pemilik. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini, tonton video tinjauan ringkas yang kami sediakan ini.
BMW Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model 2 Series Gran Coupé F44 untuk pasaran tempatan. Teaser model ini mula ditunjukkan dua minggu lalu, dan ia akan menjadi pesaing terbaru bagi barisan Mercedes-Benz A-Class, terutama CLA.
Buat masa ini, hanya satu varian akan ditawarkan, iaitu 218i M Sport, dijual pada harga RM211,367 atas jalan tidak termasuk insurans. Dipasang di Kulim, Kedah, kereta ini turut menikmati pengecualian cukai SST sehingga 31 Disember 2020. Harga dengan SST-nya ialah RM218,800. Termasuk sekali ialah jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma lima-tahun.
Kereta ini dijana oleh enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder, menghasilkan sebanyak 140 PS dari 4,600 rpm hingga 6,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,480 rpm hingga 4,200 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat, dengan laju maksimum 213 km/j. Penggunaan minyak ialah pada kadar 5.9 liter bagi setiap 100 km.
BMW 2 Series Gran Coupé ini adalah berbeza daripada versi Coupé dua-pintu pacuan roda belakang – ia adalah versi dengan but belakang bagi 1 Series pacuan roda depan. Antara ciri rekaannya ialah gril “double kidney” trapezoid, tingkap kaca tanpa bingkai, dengan bahagian belakang yang pendek dengan lampu belakang bentuk L, jalur hitam berkilan dan corong udara hiasan.
Pakej M Sport padanya pula hadir dengan tambahan bampar depan yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar, skirting sisi yang lebih dalam, bampar belakang lebih sporty dengan kemasan ala diffuser. Paip ekzos tunggal di kiri menandakan yang 218i ini merupakan model tiga-silinder – varian empat-silinder menerima ekzos berkembar. Lampu depan dan lampu kabus LED serta rim 18-inci 819 M aloi datang sebagai standard.
Di dalam, 218i berkongsi papan pemuka asas yang sama dengan model 1 Series, dengan rekaan bersegi, tombol dan tuil kawalan dalam warna perak yang dikelompokkan mengikut fungsi serta lampu suasana dalam kemasan perak antara yang menghiasi kabinnya. Kit M Sport pula membawa tambahan balutan kulit pada stereng, scuff plate dengan lencana M dan pedal logam M.
Bagi ciri infotainmen, 218i menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan skrin sentuh 8.8-inci, kluster instrumen analog dengan paparan multi-inco 5.1-inci serta sistem operasi iDrive 6.0 generasi sebelumnya. Malangnya, fungsi Apple CarPlay tidak disertakan sekali dari kilang, tetapi ciri seperti sistem navigasi, pengecas tanpa wayar Qi, enam pembesar suara dan kamera undur datang standard.
Kelengkapan standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin hawa dua-zon dengan corong belakang, kerusi sport dengan larasan kuasa serta fungsi memori untuk pemandu, dan kemasan balutan kulit Dakota.
Aspek keselamatan, 218i dilengkapi dengan pakej Driving Assistant, termasuk brek kecemasan autonomous, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi Parking Assistant juga ada, lengkap dengan Reversing Assistant.
Bagi teknologi casis, 2 Series Gran Coupé menerima sistem near-actuator wheel slip limitation yang sama seperti 1 Series, yang merupakan kawalan cengkaman maju yang bersepadu dalam ECU untuk bertindak balas dengan pantas dan tepat.
Turut tersedia ialah BMW Performance Control dan Electronic Differential Lock Control (EDLC) yang menggunakan brek untuk menetapkan tork vector dan LSD. Suspensi pasif M Sport dan brek M Sport dipasang sebagai standard.
Pilihan warna terdiri daripada Alpine White, Black Sapphire, Melbourne Red, Snapper Rocks Blue dan Storm Bay, dengan ruang dalaman berwarna hitam/benang biru dan jalur M. Apa pandangan anda tentang model ini, boleh lawan A 200 sedan?
Tempoh hari, kami sudah menyenaraikan 5 varian Proton yang kami rasa tak patut anda beli. Kali ini, kami senaraikan pula 5 lagi varian untuk jenama paling laris di Malaysia iaitu Perodua. Seperti tajuk yang anda baca, itu lah yang kami maksudkan – ia bukan clickbait yang dibuat dengan plot twist, tapi ini memang artikel yang kami tulis untuk anda buat keputusan varian mana yang perlu anda pilih jika mahu membeli sebuah Perodua.
Dalam artikel ini, lima varian Perodua yang kami senaraikan ini bukan bermaksud ia tidak bagus, tetapi ada varian lain untuk model yang sama yang memberikan nilai yang setimpal untuk jumlah wang yang anda bayar. Panduan yang kami sediakan ini adalah berdasarkan harga, nilai, kelengkapan dan yang paling kami tekankan adalah dari segi aspek keselamatan.
Bercakap tentang keselamatan, walaupun Perodua adalah antara jenama yang menjual kereta baharu pada harga paling mampu milik, aspek ini dilihat masih diambil sangat berat. Kadang kala, sistem keselamatan yang diberikan pada model-model mereka membuatkan jenama lain seakan sangat kedekut, dan ini akan ‘memaksa’ pemain lain dalam industri untuk memberikan sistem yang sama.
Myvi generasi ketiga misalnya, ketika diperkenalkan pada 2017 sudah pun dilengkapi dengan Advanced Safety Assist (ASA) yang terdiri dari sistem Amaran Pra-Pelanggaran (PCW), Brek Pra-Pelanggaran (brek kecemasan automatik/AEB/PCB), Amaran Mula Bergerak Hadapan (FDA) dan juga Kawalan Salah-operasi Pedal (PMC).
Terkini, sistem tersebut sudah pun dikemaskini dengan ASA 2.0 di mana parameter operasinya telah ditingkat taraf – PCW dan PCB kini masing-masing berfungsi sehingga 100 km/j dan 80 km/j berbanding 30 km/j sebelum ini – serta ditambah dengan pengesan pejalan kaki (sehingga 50 km/j).
Buat masa sekarang, semua model Perodua (kecuali Alza yang telah berada 10-tahun dalam pasaran) telah pun dilengkapi dengan ASA 2.0 dan juga sistem kestabilan elektronik (VSC). Selain dari sistem keselamatan, kelengkapan yang diberikan juga agak ‘mewah’ seperti lampu hadapan LED dan sistem kunci pintar/butang penghidup enjin walaupun harga yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah dari pesaing-pesaingnya yang lain.
Malah Perodua juga dilihat sangat bijak dengan menghasilkan kelengkapan-kelengkapan yang khas untuk kegunaan situasi di Malaysia, antaranya cangkuk beg bimbit untuk wanita, sistem memori pendingin hawa, pembaca SmartTag bersepadu, dan pelbagai lagi.
Namun bukan semua varian untuk model-model tersebut menerima sistem-sistem yang disebutkan secara standard, malah ada juga sistem paling asas tidak dilengkap mengikut standard keselamatan tahun 2020 ini. Jadi di bawah adalah senarai lima varian Perodua yang kami rasa tak patut anda beli.
Perodua Axia E
Ini adalah Axia yang paling “kosong”, dan biasanya ia adalah pilihan sekolah-sekolah memandu. Sesuai dengan harganya sebagai kereta baharu paling murah dalam pasaran semasa – RM23,367 dengan pengecualian cukai jualan 2020 – Axia E hadir tanpa radio dan pembesar suara, dan juga hanya diberikan rim besi.
Mungkin ada yang mahu membeli kereta ini sekadar boleh bergerak dari titik A ke titik B, dan menganggap radio dan sebagainya boleh ditambah kemudian di kedai aksesori. Namun anda perlu ingat, model ini langsung tiada fungsi keselamatan, hatta sistem asas brek ABS dan EBD sekalipun.
Jika Axia E ini sahaja boleh anda beli mengikut kemampuan dan anda memang memerlukan kereta untuk kelangsungan hidup, tak boleh nak cakap apalah. Tapi jika anda lebih berkemampuan, adakah anda rasa model ini berbaloi untuk digunakan sebagai pengangkutan harian semata-mata kerana sebab anda sendiri terlalu kedekut?
Perodua Axia G
Axia G berada satu tangga di atas Axia E, dan ia dilengkapi pelbagai aksesori asas sesuai untuk kegunaan harian seperti pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan (E hanya ada manual), rim aloi, cermin sisi berkuasa dengan kemasan warna badan, pengelap cermin belakang, komputer trip, kunci kawalan jauh dan penggera serta sistem audio dengan pemain utama 2-DIN.
Malah varian G ini juga turut hadir dengan sistem brek ABS dan EBD. Dijual pada harga RM32,485 (dengan pengecualian cukai jualan 2020), Axia G ini nampak macam alternatif paling baik berbanding Axia E bukan? Tapi, dengan bayaran lebih RM1,500 (jika dibahagi pada bayaran bulanan selama 9 tahun, bezanya hanya RM19 sebulan) anda boleh mendapatkan Axia G Xtra.
Varian sedikit lebih tinggi ini, anda bukan sahaja diberikan penderia parkir belakang, malah ia turut dilengkapi dengan sistem keselamatan yang sangat penting iaitu VSC. Sistem VSC ini mula ditawarkan pada Axia bermula pada model facelift 2019, dan Axia GXtra ini adalah kereta baharu paling murah di Malaysia yang menawarkan sistem VSC berkenaan.
Walau bagaimanapun, kami faham bahawa setiap varian itu diwujudkan ada sebabnya. Kadang kala walaupun harganya hanya berbeza sedikit, ia memainkan peranan penting untuk menentukan seseorang itu layak atau tidak untuk membuat pembiayaan kenderaan berdasarkan tangga gaji.
Model paling murah untuk Bezza ada versi 1.0 G MT dan AT dengan enjin 1.0 liter, dijual pada harga masing-masing RM33,456 dan RM35,391 (termasuk potongan cukai SST). Satu lagi enjin adalah versi lebih berkuasa 1.3L, dan varian paling murah untuk enjin ini adalah 1.3 X AT dijual pada harga RM42,551.
Beza harga antara 1.0 G AT dan 1.3 X AT adalah sekitar RM7k, namun apa yang anda dapat untuk harga yang lebih ini bukan sekadar kelengkapan dan aksesori, malah pengalaman memandu juga adalah jauh berbeza.
Atas kertas, model 1.3L ini menghasilkan 27 hp/30 Nm lebih berkuasa dari model 1.0L, yang tentunya amat berguna sekiranya ia membawa penumpang penuh dalam kabin, lebih-lebih lagi jika anda gunakan kereta ini untuk tujuan e-Hailing. Enjin lebih besar ini juga hadir dengan empat silinder berbanding hanya tiga pada versi 1.0L, dan sudah tentu memberikan lebih keselesaan.
Selain dari enjin, varian 1.3X ini diberikan kelengkapan tambahan berbanding Bezza G antaranya penderia parkir hadapan, lampu kabus hadapan, rim aloi 15-inci, bantuan mula mendaki dan yang paling penting model ini juga dilengkapi dengan VSC.
RM7k mungkin dengar agak besar dalam bentuk tunai ‘selepuk’. Tapi kalau anda bahagikan pada bayaran bulanan sepanjang tujuh-tahun, beza antara Bezza 1.0 G AT dengan 1.5 X AT hanyalah RM97 sebulan.
Dan jika anda tidak kisah dengan kuasa yang diberikan oleh enjin 1.0L dan seronok untuk membayar cukai jalan RM20 setahun, serta tidak memerlukan ruang but yang besar, kami sarankan anda beli sahaja Axia GXtra, kerana dengan harga yang lebih kurang sama (RM33,940), ia turut dilengkapi dengan VSC.
Atau, anda juga boleh memilih Axia pada varian lebih tinggi iaitu SE dan Style (kedua-duanya berharga RM37,515) yang didatangkan dengan lebih banyak kelengkapan dari Bezza G. Axia Style juga hadir dengan rupa luaran agak funky dengan penggayaan seperti SUV.
Perodua Myvi 1.5 H
Untuk tahun 2020, Perodua memberikan Myvi berberapa tingkat taraf ringan terdiri pilihan warna Electric Blue baharu dan juga sistem ASA dipertingkat kepada ASA 2.0, serta ia diberikan pada varian lebih luas (sebelum ini hanya pada Myvi AV). Penyegaran yang dibuat ini juga menyaksikan harga Myvi turut menerima rombakan.
Kini varian 1.5 H dijual pada harga RM50,530, atau RM2k lebih mahal dari sebelum ini kerana ia diberikan sistem ASA secara standard. Model tertinggi 1.5 AV juga naik tapi hanya meningkat RM500 kepada RM52,697. Jadi perbezaan harga antara H dan AV sebelum ini berjumlah lebih dari RM3,600, sekarang hanya sekitar RM2k.
Kami berpendapat dengan beza RM2k tersebut wajar untuk melupakan model 1.5 H kerana model AV diberikan tambahan kelengkapan yang agak berbaloi terdiri dari filem penapis haba, tempat duduk balutan kulit, sistem audio dengan skrin sesentuh sebagai pemain utama dan juga kamera undur.
Penyegaran yang dilakukan untuk Myvi kali ini juga menyaksikan Perodua turut menawarkan sistem ASA kepada model 1.3 X secara opsyen dengan tambahan harga RM2k. Pada kami, ini adalah langkah yang bijak diambil oleh Perodua kerana menawarkan sistem keselamatan yang agak maju ini kepada model 1.3, dan tidak hanya eksklusif pada model 1.5 sahaja.
Perodua Alza AV
Sedar tak sedar, bulan hadapan akan genap Perodua Alza berada 11-tahun dalam pasaran, selepas dirasmikan pada 11 November 2009. Sepanjang hayat produksinya, Alza telah masuk pada dua fasa facelift iaitu pada 2014 dan 2016.
Walaupun sudah berada agak lama dalam bilik pameran, permintaan Alza masih lagi ada. Ini kerana ia bukan sahaja boleh diharap, malah dengan harga yang hampir sama dengan Myvi (bermula RM50k untuk S MT hingga RM55k untuk SE AT), Alza hadir dengan satu lagi baris tempat duduk, membuatkan ia begitu ideal untuk pasangan suami isteri yang mempunyai lebih tiga orang anak.
Namun pada kami, pembelian untuk Alza varian tertinggi iaitu AV pada harga RM60,525 adalah tidak berbaloi. Ini kerana, dengan bayaran berberapa ribu ringgit lagi, anda boleh mendapatkan Perodua Aruz 1.5 X yang dijual pada harga RM68,526.
Aruz adalah antara model terbaharu dari Perodua/Daihatsu (Terios)/Toyota (Rush), dan ia diberikan ruang dalaman yang lebih luas, enjin 2NR-VE dengan sistem Dual VVT-i yang lebih moden, rupa seakan SUV yang lebih sesuai dengan trend baharu, kelengkapan-kelengkapan terkini lain seperti lampu hadapan LED, sistem kunci pintar/butang penghidup enjin, pembaca SmartTag bina dalam dan pelbagai lagi.
Dari segi keselamatan juga Alza dan Aruz mempunyai satu jarak yang agak jauh. Perodua Alza hanya dibekalkan dengan dua beg udara dan sistem brek ABS. Manakala Aruz adalah model yang telah pun menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang, dilengkapi enam-beg udara dan VSC. Jika anda memilih Aruz AV, ia turut diberikan sistem ASA 2.0.
Lagi sekali kami nyatakan, dalam tunai RM7-8k mungkin nampak besar. Tapi jika dibahagikan kepada bayaran bulanan, beza bayaran antara Alza AV dan juga Aruz X hanyalah RM90 sebulan. Biasanya memang ada harga yang bertindan antara dua model berlainan segmen varian paling atas dan paling bawah, tetapi untuk kes ini, terlalu banyak kelebihan yang ada pada varian asas Aruz berbanding varian tertinggi Alza.
Jadi, inilah dia senarai lima varian Perodua yang kami rasa tak patut anda beli. Tetapi seperti yang kami sebutkan tadi, kami tetap akui setiap varian dihasilkan ada sebabnya, antaranya bagi memudahkan kelulusan pembiayaan bank kepada lebih ramai pembeli di mana faktor ini kadang kala memainkan peranan walaupun beza RM100.
Namun jika anda mampu, kami sarankan anda pilihlah varian dengan sistem keselamatan penuh kerana ia antara ciri penting untuk lebih selamat berada di atas jalan raya, dan ia juga tidak boleh ditambah di kemudian hari.
Pelancarannya masih belum dilaksanakan, namun SUV Proton X50 telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan. Buat setakat ini, X50 telah pun menerima sejumlah 20,000 unit tempahan.
Walau bagaimana pun, Proton memaklumkan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengaku sebagai ejen Proton ataupun mempunyai kaitan dengan pengeluar kereta ini demi mengaut keuntungan.
“Justeru, kami ingin menegaskan bahawa hanya tempahan yang diterima melalui rangkaian jualan Proton yang rasmi akan diakui sebagai tempahan yang sah. Kami tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkain jualan rasminya sebagai ejen jualan produk kami.
“Kami menasihati semua bakal pembeli untuk sentiasa berwaspada sebarang tuntutan dari individu atau organisasi, dan pada masa yang sama, kami memohon semua pelanggan menghubungi pihak Proton jikalau ada sebarang kemusykilan,” ujar Proton menerusi kenyataan yang diedarkan kepada pihak media.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi rangkaian jualan rasmi Proton, sila layari laman web rasmi menerusi PAUTAN INI atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-88-8398.
Model kelas pertengahan keluaran Honda, iaitu CBR650R dan CB650R telah diberikan peningkatan untuk tahun ini, dengan yang utama adalah pada bahagian suspensi hadapan serta enjin yang kini menepati tahap Euro 5. Bagi suspensi, dua model ini sekarang menggunakan fork Showa SF-BP 41 mm baru yang lebih ringan dan berprestasi sementara suspensi belakang masih kekal unit monoshock yang sama.
Perubahan pada bahagian enjin pula melibatkan ECU, penolak cam, pemasaan intake, paip ekzos, catalyser serta ekzos, demi menjadikan ia patuh tahap emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan unit empat silinder 649 cc ini adalah 93.8 hp pada 12,000 rpm dan 63 Nm tork pada 8,500 rpm. Berat model CBR650R adalah 208 kg manakala CB650R pula 202.5 kg.
Bahagian lain yang dipertingkat adalah sudut pemegang CB650R, panel instrumen LCD, supaya lebih mudah dilihat, panel tepi serta tempat letak nombor plet. Bagi model baru ini, CBR650R ditawarkan dalam dua warna iaitu Matt Gunpowder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red manakala CB650R pula disediakan dalam empat warna dengan satu daripadanya, iaitu Pearl Smoky Grey adalah baru.
Kelengkapan lain pada dua model ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk brek cakera berkembar 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, cakera 240 m serta angkup satu piston di belakang, sistem ABS, kotak gear enam kelajuan, tangki bahan api 15.4 liter, rim 17 inci dan lampu LED.
Di Malaysia, Honda CBR650R dan CB650R 2019 dijual pada harga masing-masing RM45,499 dan RM43,499 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Selepas melancarkan 790 Adventure dua tahun lepas, pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM kini memperkenalkan pula 890 Adventure dan 890 Adventure R. Model baru ini menggunakan enjin dua silinder selari 899 cc bersama transmisi enam kelajuan.
Kuasa yang dihasilkan 890 Adventure adalah 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm, sekaligus bersamaan dengan peningkatan 10 hp dan 12 Nm berbanding 790 Adventure. Kotak gear ini juga telah dipertingkat untuk penukaran gear yang lebih pantas.
Bahagian lain yang dipertingkat adalah suspensi WP Xplor yang menggunakan tetapan baru (boleh laras sepenuhnya), sistem ABS dan Traction Control, klac diperkuat, tambahan suis baru untuk fungsi Cruise Control, head tube aluminium serta subframe yang lebih ringan. Quickshifter yang dijual sebagai pilihan tambahan juga telah dikemas kini.
Melihat pula kepada 890 Adventure R, ini adalah model keluaran terhad cuma 700 unit di seluruh dunia. Bukan sekadar penampilan yang berbeza, model ini juga dinaik taraf pada beberapa bahagian yang meningkatkan lagi prestasinya. Enjin pula masih sama dengan 890 Adventure.
Model yang boleh dikenali dengan kemasan biru di bahagian tangki ini dipertingkat dengan suspensi WP Xplor Pro, ekzos Akrapovic (35% lebih ringan), tempat duduk jenis lumba (tinggi 910 mm), mod Rally, Quickshifter +, rim anodized, winglet plastik lutsinar, pelindung tangki gentian karbon serta peletak kaki Rally.
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini dengan rasminya melancarkan Toyota Hilux facelift 2020 untuk pasaran Malaysia. Hilux dengan wajah baru ini ditawarkan dalam lima varian; 2.8 Rogue AT 4×4 pada harga RM146,880; 2.4V AT 4×4 pada harga RM133,880; 2.4G MT 4×4 pada harga RM111,880; 2.4E AT 4×4 pada harga RM108,880; dan Single Cab 2.4 MT 4×4 pada harga RM92,880. Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.
Untuk peringkat awal ini, UMWT menawarkan varian Rogue pada harga RM144,880 – kurang RM2k – bagi pelanggan yang membelinya sepanjang tahun ini. Ambil maklum juga bahawa harga ini termasuk SST, memandangkan trak pikap tidak termasuk di dalam pengecualian cukai kenderaan yang diumumkan kerajaan untuk tahun 2020.
Sama seperti sebelum ini, dua pilihan enjin ditawarkan, iaitu 2.4L dan 2.8L GD turbodiesel. Bagaimanapun, hanya Rogue yang akan menggunakan unit yang paling besar tersebut. Enjin 1G-FTV itu kini menghasilkan sebanyak 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini.
Walaupun dengan angka janaan kuasa yang lebih, Toyota mendakwa enjin ini 4% lebih jimat bahan api dengan purata penggunaannya pada kadar 10.9 km/l. Enjin ini turut diberikan unit turbo diperbaharui agak lebih tahan yang kini menggunakan sejukan cecair (dulu sejukan udara).
Varian selebihnya pula menggunakan enjin 2GD-FTV 2.4L yang menjana 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm dari 1,600 hingga 2,000 rpm. Unit dengan variable nozzle turbocharger (VNT) menerima penambahbaikan dari aspek penyejukan dan penjimatan bahan api. Dengan peningkatan tekanan pada sistem commonrail, penjimatan diesel ditingkatkan sebanyak 5%. Apa yang lebih menarik ialah tempoh servisnya – Hilux kini hanya perlu diservis setiap 10,000 km/6 bulan (berbanding setiap 5,000 km/3 bulan sebelum ini), yang akan memberi kesan kepada pengurangan kos servis pemilik.
Semua varian dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan – automatik dengan Sequential Shift (dengan mode Power/Eco) atau manual bagi yang single cab dan 2.5G double cab. Sterengnya juga kini telah dilengkapi sistem Variable Flow Control (kecuali pada Single Cab) yang mengurangkan beban pada pam stereng, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api. Varian Rogue dan 2.4L V pula menerima Auto LSD untuk cengkaman yang lebih baik. Semua varian datang dengan pacuan 4×4.
Versi Single Cab menggunakan rim 17-inci logam, 2.4E dan 2.4G dengan rim 17-inci aloi sementara 2.4V dan Rogue menggunakan rim 18-inci dengan tayar highway terrain (All Terrain bagi yang lain) saiz 265/60. Bagi Rogue, rekaan rim juga berlainan.
Bagi kelengkapan, semua varian menerima lampu depan reflektor halogen automatik. Bagaimanapun, bagi 2.4V dan Rogue datang dengan lampu projektor bi-LED automatik dengan DRL dan lampu kabus LED. Tiga varian paling atas (G MT, V dan Rogue) dilengkapi lampu isyarat pada cermin sisi kuasa elektriknya.
Di dalam, tiga varian teratas itu juga dilengkapi dengan meter Optitron dengan paparan multi-info 4.2-inci berwarna, sistem tanpa kunci dengan butang Start dan stereng balutan kulit. Head unit dengan skrin sentuh bagi tiga varian ini juga lengkap dengan sokongan ciri Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.
Enam pembesar suara adalah standard untuk semua varian double cab, termasuk slot pengecas USB. Varian 2.4V dan Rogue pula datang dengan pendingin hawa automatik dan corong belakang, serta dashcam sebagai ciri standard.
Bagi tempat duduk, varian G dan E menggunakan material fabrik, V menggunakan kombinasi fabrik dan kulit manakala Rogue menggunakan material kombinasi kulit dengan liang udara dalam warna hitam-kelabu. Rogue dan 2.4V juga menerima pencahayaan suasana bagi tempat duduk depan dan bahagian kaki penumpang – dengan lampu pada bahagian pintu untuk Rogue.
Bagi aspek keselamatan pula, versi single cab, 2.4G dan 2.4E datang dengan tiga bed udara, sementara dua varian tertinggi menerima tujuh beg udara. Semua varian double-cab mendapat penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP, serta lengkap dengan VSC, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan sensor undur (2.4G ke atas ada kamera undur).
Peninjau titik buta dan amaran trafik lintasan belakang ada pada dua varian teratas, begitu juga dengan filem penapis haba keselamatan. Rogue bagaimanapun lengkap dengan Toyota Safety Sense, yang terdiri daripada ciri-ciri seperti Pre- Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.
Semua Hilux didatangkan dengan sistem sekuriti kustom yang terdiri daripada immobilizer enjin, penggera serta sensor cerobohan kabin. Sebagai tambahan, sistem telematik diberikan standard bagi Rogue dan 2.4V untuk membolehkan trak ini dijejaki dalam masa nyata menggunakan isyarat GPS.
Pilihan untuk aksesori tambahan juga tersedia; pembeli varian yang lebih rendah boleh memilih untuk menambah kelengkapan yang ada pada varian yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ini termasuk head unit DVD-AVX (RM2,500 bagi 2.4E), peninjau pandangan panoramik (PVM) 360-darjah (RM2,600), peninjau titik buta (RM2,000 bagi 2.4G, 2.4E), perakam video belakang (RM350 bagi 2.4V, Rogue) dan sistem telematik (RM2,000 bagi semua kecuali 2.4V, Rogue).
Aksesori pilihan lain juga termasuk sportbar bagi semua varian double-cab, termasuk pada Rogue. Tambahan itu akan dikenakan RM1,555. Ada juga lampu pada bahagian pemijak sisi dan ruang barangan belakang. Rujuk senarai harga di atas untuk semua pilihan aksesori yang ada.
Pilihan warna ada tujuh; Bronze Mica Metallic (warna hero), Phantom Brown Metallic, Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Super White II, Medium Silver Metallic dan Silver Metallic. Bagi single-cab, hanya ada satu warna iaitu Solid White.
Jaminan pengeluar bagi Hilux ialah lima tahun atau 150,000 km. Untuk servis, UMWT juga menawarkan pakej Toyota Service Savers, yang membolehkan pelanggan untuk memasukkan sekali kos servis mereka ke dalam pinjaman – bermula dari RM3,580. Toyota menyisatkan pelanggan dapat jimat sehingga 13% dan menikmati diskaun sehingga 20% bagi alat ganti terpilih dengan pakej ini.
Versi ini merupakan facelift kedua bagi Hilux generasi ke-8 ini. Mula diperkenalkan pada 2015, ia diberi facelift yang pertama pada 2017. Dengan itu, ia juga diberikan perubahan wajah depan – dengan gril yang lebih besar – memberikan imej yang lebih gagah serta menarik berbanding variasi terdahulu. Rogue pula hadir sedikit berbeza dengan kemasan plastik hitam pada bahagian depan dan fender-nya. Lampu belakang juga kini dengan rekaan baru yang berbeza dari yang lama.
Semalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan nombor pendaftaran kenderaan siri UPM yang turut mendapat kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Datuk Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak RM14 juta bagi kesemua 9,999 nombor pendaftaran kenderaan siri.
“Nombor plat khas itu boleh dibida di laman web putrabida.upm.edu.my bermula 8 Oktober 2020. Tiga nombor pendaftaran tertinggi yang menjadi bidaan adalah UPM 1 bernilai RM150,000 serta UPM 2 dan UPM 3, masing-masing bernilai RM 75,000,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
Jelasnya, seribu daripada nombor dijual kepada Persatuan Alumni UPM dan dibahagikan mengikut beberapa kategori, antaranya adalah Bronze, Silver, Gold, Platinum dan Super Platinum.
UPM mendapat kelulusan untuk menjalankan projek Penjualan Nombor Pendaftaran Khas Kenderaan, selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2018 yang bersetuju membenarkan Universiti Awam menjana pendapatan.
Hampir satu tahun selepas ia diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali, Aston Martin DBX kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV pertama daripada Aston Martin ini akan bersaing dengan model mewah lain seperti Lamborghini Urus dan juga Bentley Bentayga. Harga yang diumumkan untuk DBX adalah RM818,000, tetapi ia tidak termasuk duti, cukai, insurans ataupun pilihan tambahan lain
DBX dibina daripada awal oleh Aston Martin sendiri tetapi enjin dan transmisinya menggunakan unit daripada Mercedes-AMG iaitu V8 4.0 liter twin turbo dan automatik 9G-Tronic lapan kelajuan, untuk menghasilkan 550 PS dan 700 Nm tork (lebih berkuasa berbanding Vantage dan DB11).
Melalui tetapan ini, DBX boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 291 km/j. Transfer case yang mengagihkan kuasa kepada semua tayar boleh menghantar sehingga 47% tork kepada roda hadapan sementara differential belakang pula adalah jenis elektronik.
Rekaan yang digunakan pada DBX adalah mengikut karekter yang ada pada kereta sports Aston Martin sebelum ini, dan ia dijadikan lebih istimewa dengan bumbung panoramik penuh, gril paling besar pernah dihasilkan oleh Aston Martin, pemegang pintu jenis tenggelam, pintu tanpa bingkai serta ducktail di belakang.
Bukan sekadar untuk penampilan, rekaan ini juga mengambil penting ciri aerodinamik di mana anda boleh melihat terdapat liang pada lampu DRL, sirip udara pada fender serta spoiler bumbung berlubang untuk menyalurkan udara ke cermin belakang dan juga ducktail.
SUV ini sebenarnya boleh dipilih dengan pelbagai kemasan termasuklah untuk bahagian dalam, seperti jenis atau warna balutan kulit papan pemuka dan tempat duduk, serta kemasan daripada jenis bahan campuran hinggalah gentian karbon.
Pada bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin infotainmen 10.25 inci dan sistem yang digunakan diambil daripada Mercedes-AMG siap dengan sambungan Apple CarPlay serta kamera 360 darjah. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen 12.3 inci dan ia juga didatangkan terus dengan lampu suasana 64 warna.
DBX juga sebenarnya adalah kenderaan pertama dengan lima tempat duduk penuh yang pernah dihasilkan oleh Aston Martin. Walaupun menggunakan tempat duduk sporty, bentuk serta binaannya dibuat dengan mengambil kira ruang yang selesa untuk penumpang. Ruang simpanan belakang berkapasiti 632 liter dan tempat duduk belakang boleh dilipat 40:20:40 untuk menjadikannya lebih besar.
Ukuran dimensi DBX adalah 5,039 mm panjang, 1,998 mm lebar dan 1,680 mm tinggi, sekaligus menjadikannya lebih panjang daripada Porsche Cayenne, tetapi lebih pendek daripada Bentayga dan Urus. Jarak roda 3,060 mm pada DBX ini adalah yang paling panjang berbanding pesaing yang disebutkan tadi, dan ia cuma lebih pendek jika dibandingkan dengan Rolls-Royce Cullinan.
Dalam keadaan standard, DBX datang dengan balutan tempat duduk kulit full-grain, kemasan hitam berkilat, lapik bumbung Alcantara, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa tiga zon, sistem kamera 360 darjah serta sistem bunyi 18 watt 14 pembesar suara.
Pada bahagian keselamatan, DBX dilengkapi Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Automatic High Beam, enam beg udara dan Stability Control.
Suspensi pula terdiri daripada unit adaptif dengan spring udara di semua bahagian, siap dengan anti-roll control elektrik 48 volt. Kenderaan ini boleh dinaikkan sehingga 45 mm, diturunkan sehingga 50 mm dan dikenakan kuasa sehingga 1,400 Nm pada gandar untuk mengurangkan kemungkinan terbalik pada kenderaan yang tinggi. Hasil penggunaan aluminium yang meluas, berat DBX dapat dikurangkan sehingga menjadi 2,245 kg.
Selepas versi N Line didedahkan, nampaknya tak lama lagi Hyundai i20 paling berkuasa iaitu model prestasi penuh i20 N akan didedahkan – teaser rasmi untuk model ini telah pun disiarkan, bersama berberapa maklumat awalan. Dengan badan yang lebih kecil dari abangnya, i30 N, hot hatch segmen-B Hyundai i20 N ini sah akan dijana oleh enjin 1.6 liter turbo, berkuasa 204 PS dan tork maksima 275 Nm.
Jenama Korea tersebut mengesahkan model lebih kompak ini menerima perincian penuh sebuah jentera N sebenar, antaranya bunyi pops & crackle pada ekzos, dan juga kotak gear manual enam-kelajuan yang lengkap dengan fungsi rev-match dan juga LSD mekanikal bagi membolehkan tayar hadapan ‘menggigit’ permukaan jalan ketika meredah selekoh.
Casis i20 N ini juga menerima kejuruteraan semula. Suspensi kereta ini ditingkat taraf bagi memberikan pemanduan dan pengendalian lebih baik, serta dilengkapi set knuckle yang baharu. Untuk brek pula, bahagian hadapan menerima cakera bersaiz 320 Nm, bersama angkup N berwarna merah juga bersaiz besar.
Menerusi gambar teaser yang disiarkan, dapat dilihat i20 N ini diberikan penggayaan lebih agresif menerusi bampar hadapan yang dihasilkan dengan liang udara istimewa, spoiler belakang lebih besar, diffuser bersepadu pada bampar belakang, dan juga rim 18-inci. Tidak ketinggalan, ia turut menerima warna badan rasmi perlumbaan Hyundai N iaitu Performance Blue.
Australia adalah antara pasaran awal yang akan menerima Hyundai i20 N ini, dan serentak dengan pendedahan teaser baharu berkenaan, Hyundai N Australia turut menyiarkan satu set gambar i20 N tersebut dengan pelekat penyamaran pada seluruh badan.
Mulai 1 Oktober lalu, kerajaan Brunei telah mengenakan Caj Perkhidmatan (CaP) dan Pas Perjalanan Kerap (FCP) bagi rakyatnya dan warga asing yang merentasi sempadan darat Sarawak-Brunei. Menurut Jurucakap Konsulat Jeneral Brunei di Kuching, CaP dengan kadar bayaran B$3 (RM9.30) akan dikenakan terhadap individu setiap kali melintasi pos sempadan.
Bagi individu warga Brunei, Malaysia dan warga negara asing yang melakukan perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali sebulan untuk tujuan pekerjaan atau persekolahan adalah layak untuk memohon FCP.
“Pas itu boleh dipohon secara dalam talian menerusi portal Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam (www.pmo.gov.bn/travelportal). FCP boleh dipohon untuk tempoh satu, tiga atau enam bulan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Jelas beliau, kadar FCP untuk tempoh sebulan bagi pekerja adalah B$50 seorang, manakala pelajar B$30 seorang. Bagi FCP dengan tempoh sah tiga bulan pula, kadar bayarannya adalah B$150 untuk pekerja, B$90 untuk pelajar, manakala untuk tempoh enam bulan pula B$300 untuk pekerja dan B$180 untuk pelajar.
“Pengguna yang lain pula akan dikenakan kadar caj sebanyak B$3 seorang setiap kali melintasi pos-pos kawalan sempadan. Bagaimanapun katanya, pengecualian CaP diberikan kepada kenderaan milik kerajaan Malaysia atau kerajaan Sarawak bagi tujuan kegunaan rasmi, kenderaan bomba, ambulans, polis, kenderaan membawa jenazah dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah,” katanya.
Dalam masa yang sama, permohonan bagi pengecualian CaP bagi kes-kes khas boleh dipohon melalui pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.
Sebelum ini, imej paten Honda Civic generasi ke-11 sudah mula bocor. Tetapi, KDesign AG mengambil satu lagi langkah lain dengan berkongsi imej render kereta terbabit di laman Behance mereka, yang membayangkan bagaimana versi sedan itu akan tampil nanti.
Berbanding model generasi ke-10, Civid serba baru berkenaan kelihatan menerapkan rekaan yang lebih elegan dan lembut, lebih mirip kepada reka bentuk yang kita lihat pada Accord ketika ini. Lampu depan telah di leperkan untuk disepadukan bersama gril Solid Wing Face. Ini dilanjutkan lagi dengan garisan jelas yang sama lebar wajah depannya.
Ada rekaan honeycomb kecil yang menjadi hiasan luaran bahagian masukan udara di bawah lencana Honda, sementara bahagian sudut bawah setiap sisi menempatkan lambu kabus, yang dipisahkan dengan bahagian intak bawah sekali melalui penggunaan warna badan.
Di belakang, profil yang dipinjam dari Accord semakin jelas kelihatan, dengan garis bumbung dan garis tingkap yang lebih mengalir. Rekaan ini juga mencadangkan bahawa Civic akan menjadi lebih panjang berbanding sebelum ini, sekurang-kurangnya berdasarkan imej render ini.
Lampu belakang “sepit ketam” pada Civic generasi ke-10 tidak dikekalkan, diganti dengan rekaan yang lebih bersegi dan lebih konvensional. Lain-lain rekaan yang terlihat dalam imej berkenaa ialah spoiler kecil di but belakang, kemasan krom untuk ekzos dan pemantul cahaya yang kecil.
KDesign AG juga membayangkan versi Si prestasi untuk Civic ini, yang tampil lebih agresif pada bahagian bampar depan, sama seperti Civic Type R, serta rekaan rim yang lebih sporty, spoiler belakang dan ekzos pada keduduk tengah di belakang.
Dilaporkan Honda akan menunjukkan Civic generasi ke-11 ini tahun ini, bagi model tahun 2022. Bagaimanapun, belum ada tarikh rasmi diumumkan. Apa pandangan anda tentang reka bentuk yang ditunjuk ini?