Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda CX-3 Limited Edition diperkenal di M’sia – tambahan RM14.5k; padat dengan pelbagai aksesori

    Mazda CX-3 Limited Edition diperkenal di M’sia – tambahan RM14.5k; padat dengan pelbagai aksesori

    Tahun ini, jenama dari Hiroshima, Jepun iaitu Mazda meraikan sambutan ulangtahun ke-100 mereka. Jadi, pengedarnya di Malaysia iaitu Bermaz turut meraikan sambutan ini dengan memperkenalkan pakej aksesori istimewa untuk Mazda CX-3 yang dibangunkan oleh Bermaz MazdaSports, digelar Mazda CX-3 Limited Edition yang merangkumi kelengkapan pengayaan luaran dan dalaman, sistem bunyi dan pengendaliannya.

    Versi edisi terhad ini hanya tampil dengan warna badan Snowflake White Pearl. Pada bahagian luaran, crossover segmen-B tersebut diberikan tambahan spoiler bawah bampar hadapan, diffuser bawah bampar belakang dan juga spoiler bumbung yang lebih menonjol, serta hadir dengan bumbung berwarna hitam. Penampilan versi istimewa ini dilengkapkan dengan rim 18-inci kemasan gunmetal dan juga tip ekzos lebih besar dalam kemasan brushed aluminium bersama loga Mazda 100 Years Anniversary Limited Edition pada kedua-dua sisi fender hadapan.

    Pada bahagian dalaman pula ia disertakan balutan upholsteri fabrik sued berwarna kelabu gelap pada tempat duduk, roda stereng, perehat tangan, tuil penukar gear serta kemasan-kemasan pada papan pemuka dan panel pintu. Pakej LE ini juga hadir dengan karpet kaki istimewa serta kemasan brushed aluminium pada set pedal dan scuff plate pada bendul pintu. Logo Mazda 100 Years Anniversary Limited Edition diberikan pada tempat duduk.

    Mazda CX-3 Limited Edition diperkenal di M’sia – tambahan RM14.5k; padat dengan pelbagai aksesori

    Juga tidak terdapat pada CX-3 biasa adalah sistem bunyi istimewa pada model edisi terhad ini. Ia menampilkan subwoofer 11-inci JBL Basspro Hub bersama larasan jarak jauh yang didakwa “memberikan bunyi bass yang laju, kedap dan dalam dengan herotan yang rendah”.

    Bukan itu sahaja, malah pengendalian pada CX-3 Limted Edition ini turut diperhalusi. Ia diberikan pendakap strut tower pada bahagian suspensi hadapan, serta bar casis bawah badan untuk bahagian hadapan, tengah dan belakang yang didakwa memberikan “pengalaman memandu yang lebih sporty”.

    Tiada penambahan kuasa dinyatakan, di mana CX-3 Limited Edition ini masih dijana oleh enjin petrol NA SkyActiv-G 2.0 liter berkuasa 151 hp/204 Nm hanya memacu roda hadapan. Keseluruhan pakej aksesori ini akan dilindungi oleh waranti Mazda Genuine Accessory.

    Bayaran tambahan sebanyak RM14,500 termasuk pemasangan akan dikenakan kepada pelanggan yang berhasrat untuk mendapatkan pakej aksesori edisi terhad ini. Untuk rekod, model standard Mazda CX-3 buat masa sekarang dijual pada harga RM126,829 termasuk potongan cukai SST seperti yang diumumkan kerajaan dalam pakej stimulus PENJANA sehingga 31 Disember nanti.

     
     
  • Prasarana tambah 27 tren baharu menjelang 2023

    Prasarana tambah 27 tren baharu menjelang 2023

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan sebanyak 27 set tren empat gerabak akan ditambah untuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bagi menampung peningkatan jumlah penumpang pada masa akan datang.

    Menurut pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dua daripada set gerabak itu telah diperoleh dan sedang dalam proses pemasangan di Westport, Pelabuhan Klang, manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat sehingga 2023. Jumlah keseluruhan kos bagi pembelian tren terbabit adalah sebanyak RM1.7 bilion.

    “Selain meningkatkan kapasiti (penumpang) khususnya untuk waktu puncak pagi dan petang, pengenalan tren baharu ini akan meningkatkan keselesaan di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata 2.5 minit,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, LRT laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kapasiti 84 tren termasuk 35 tren dua gerabak untuk menampung lebih 300,000 penumpang sehari. Bagi tren empat gerabak, ia boleh menampung kapasiti lebih 900 penumpang manakala tren dua gerabak boleh menampung lebih 200 orang.

    “Dengan penambahan tren, kita harap boleh mencapai sasaran pertambahan bilangan penumpang sebanyak tujuh peratus setiap tahun,” katanya sambil menambah LRT laluan Kelana Jaya merupakan rangkaian paling sibuk dalam perkhidmatan rel kendalian Rapid Rail.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bagi Mei 2020 — naik 16,183%

    MAA: Jualan kenderaan bagi Mei 2020 — naik 16,183%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam laporan data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2020 menunjukkan lonjakkan angka dan peratusan jualan jika dibandingkan dengan bulan April 2020 yang hanya mencatatkan 141 unit kenderaan terjual ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

    Sepanjang Mei, sejumlah 22,960 unit kenderaan direkodkan terjual – naik 22,819 unit atau 16,183% – berbanding bulan sebelumnya. Peratusan memang melonjak, tetapi hakikatnya berbeza sama sekali; jumlah jualan Mei 2020 sebenarnya 62% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan sejumlah 60,760 unit pernah dijual. Ini menunjukkan kesan penularan Covid-19 yang bukan calang-calang.

    Ini akan lebih jelas apabila angka tahunan semasa diperhatikan, dengan 129,561 unit berjaya dijual dalam tempoh lima bulan thaun ini, yang hanya merupakan separuh daripada apa yang sempat diraih tahun lalu dalam tempoh yang sama dengan rekod 253,731 unit.

    Angka Mei berkenaan dikatakan masih rendah kereta JPJ hanya menyambung semula pendaftaran bagi kenderaan penumpang pada 13 Mei, menjadikannya merekod hanya tempoh sekitar setengah bulan sahaja. Respon daripada pengguna juga agak perlahan, dengan ramai lagi orang yang masih belum sanggup atau berani untuk berbelanja terhadap kenderaan.

    Dijangkakan jualan bulan Jun akan lebih tinggi daripada bulan Mei, selepas tempoh tiada SST diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu. Pengecualian cukai berkenaan menyaksikan kereta CKD diberikan pengecualian SST 100% sementara kereta CBU menerima potongan 50% sehingga 31 Disember nanti.

     
     
  • Lexus NX dan ES 2020 di M’sia kini dapat sokongan Android Auto dan Apple CarPlay – harga masih sama

    Lexus Malaysia telah memberikan sedikit peningkatan kepada model NX dan ES tahun 2020. Sistem infotainmen dua model ini sekarang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay, dan menyertai model Lexus lain yang sudah mempunyai ciri ini seperti UX, RX dan LC.

    Fungsi baru ini adalah sebahagian daripada sistem infotainmen yang juga datang dengan panel paparan lapan inci atau 12.3 inci yang dipasang pada model CBU sementara harganya masih tidak berubah – mengikut harga yang telah dilaras berdasarkan pengecualian cukai diberi kerajaan sehingga 31 Disember 2020.

    Bagi model NX, varian asas NX 300 Urban dijual pada harga RM303,117, diikuti NX 300 Luxury pada RM321,851 dan NX 300 F Sport pada RM336,019. Pergi kepada model ES pula, varian ES 250 Premium dijual pada harga RM288,663 manakala ES 250 Luxury RM320,510.

    Cara penggunaannya, pemilik perlu menghubungkan telefon pintar mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengawal fungsi Android Auto dan Apple CarPlay menggunakan Remote Touch Controller. Ini adalah sama seperti yang terdapat pada UX dan LC sementara RX pula mendapat kelebihan kawalan pada skrin sesentuh.

     
     
  • Kilang VW Zwickau tamatkan produksi model enjin konvesional, kini jadi kilang EV terbesar di Eropah

    Kilang VW Zwickau tamatkan produksi model enjin konvesional, kini jadi kilang EV terbesar di Eropah

    Selepas beroperasi lebih dari 115 tahun dan kemudian diambil alih oleh Kumpulan Volkswagen pada era 90’an, kilang Zwickau-Mosel Volkswagen kini secara rasmi menamatkan pengeluaran terhadap kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman konvensional. Ini bukan bermakna ia akan ditutup, sebaliknya lembaran baharu akan dibuka kerana ia akan menjadi kilang terbesar di Eropah yang hanya menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV).

    Model bersejarah dengan enjin konvensional terakhir keluar dari barisan produksi kilang berkenaan juga bukan model penumpang biasa, tetapi ia adalah model wagon berprestasi tinggi Volkswagen Mk7.5 Golf R Estate dengan warna badan Oryx White Pearl.

    Menurut Volkswagen, kilang tersebut kini dalam proses transformasi dengan kos sekitar RM5.8 bilion, manakala kumpulan pertama kereta elektrik yang akan diproduksi di sini iaitu Volkswagen ID.3 akan mula keluar dari barisan produksi pada akhir tahun ini. Setelah kilang ini dibesarkan nanti, ia turut akan menghasilkan model-model berasaskan platform MEB yang lain termasuk ID.4 serta SUV elektrik Audi.

    Kilang berkenaan dijangka mampu untuk menghasilkan sekitar 330,000 unit kereta elektrik setahun, atau kilang paling produktif berbanding kilang-kilang lain di bawah Kumpulan Volkswagen. Fasiliti tersebut akan disokong oleh sekumpulan 8,000 pekerja, kebanyakkan dari mereka kini sedang diberi latihan untuk mengendalikan sistem bervoltan tinggi.

    Kilang VW Zwickau tamatkan produksi model enjin konvesional, kini jadi kilang EV terbesar di Eropah

    Walau bagaimanapun, Volkswagen tidak menjelaskan adakah badan untuk SUV mewah dari jenama Lamborghini dan juga Bentley akan terus dihasilkan di Zwickau atau tidak.

    Kilang Zwickau ini telah dibuka dan mula berorperasi pada tahun 1904 bagi menghasilkan kereta dan motosikal untuk jenama-jenama Jerman iaitu Audi, Horch dan DWK hingga ke era 1940’an. Ia turut pernah menjadi pengkalan produksi untuk jenama Trabant, dengan penghasilan hampir 3.1 juta unit kereta dari jenama tersebut bemula 1957 hingga 1991.

    Volkswagen telah mengambil alih kilang ini secara rasmi pada tahun 1990, dan semenjak itu ia telah menghasilkan 6,049,207 unit kereta dari jenama tersebut sehingga kini termasuk Polo, Golf, Golf Estate, Passat sedan dan Passat Estate. Secara keseluruhan dari 1904 hingga hari ini, sejumlah lebih dari 9.5 juta kereta dengan enjin pembakaran dalaman telah dihasilkan oleh kilang Zwickau ini.

     
     
  • Daihatsu Rocky dapat penarafan JNCAP lima-bintang

    Daihatsu Rocky dapat  penarafan JNCAP lima-bintang

    Daihatsu Rocky telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang susulan ujian perlanggaran yang dilakukan terhadap model itu oleh Japan New Car Assessment Program (JNCAP). SUV kompak berkenaan, yang mula dijual di Jepun November tahun lalu, mencatatkan 85.7 mata daripada 100 mata keseluruhan bagi penilaian JNCAP 2019.

    Rocky, yang turut dijual oleh Toyota sebagai Raize, merupakan kenderaan keluaran Daihatsu yang kedua menerima penarafan lima-bintang selepas Boon, yang dianugerahkan pada 2016. SUV ini juga akan dijadikan asas kepada model SUV Perodua D55L kelak.

    SUV ini, yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) telah menerima skor yang tinggi bagi ujian penuh dan juga pertembungan secara berdepan, dan menerima penarafan 100% (12 daripada 12) bagi ujian hentaman sisi 55 km/j. Ia juga menerima markah penug bagi pelindungan kaki pejalan di bawah penilaian kategori keselamatan pejalan kaki.

    Daihatsu Rocky dapat  penarafan JNCAP lima-bintang

    Di Jepun, model-model spesifikasi tertinggi turut menampilkan pakej keselamatan bantuan pemandu Smart Assist, termasuk AEB dengan pengesan pejalan kaki, kawalan melayar adaptif semua kelajuan dan fungsi pencegahan Erroneous Start dengan kawalan brek, serta sistem parkir Smart Panorama yang menyediakan bantuan kendalian, audia serta visual ketika masuk parkir.

    Kecuali AEB dengan pengesan pejalan kaki, kelengkapan keselamatan ini mendapat mata ujian yang sangat baik. Rocky memperoleh 31.7 daripada 32 mota bagi brek kecemasan autonomous (AEB) bagi segmen kereta-kepada-kereta, dan prestasi ciri pencegahan penukaran lorong menerima markah penuh 16 mata. Sistem tinjauan belakang dan ujian pencegahan salah aplikasi pedal juga cemerlang.

    Sejak 2018, ujian JNCAP telah memberi tumpuan kepada tiga penilaian utama (perlindungan penumpang, perlindungan pejalan kaki dan pengingat tali keledar) dengan mata keseluruhan 100 dikumpul dan digabungkan semua sekali.

     
     
  • Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

    Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

    Selepas pendedahan model prototaip Mugen Civic Type R di Tokyo Auto Salon 2019 serta pengenalan Honda Civic Type R facelift 2020, Mugen kini secara rasmi memperkenalkan versi produksi untuk Civic Type R 2020 di Jepun. Pakar penala Honda berkenaan menawarkan kit yang ekstensif, merangkumi penambahbaikkan dari segi aerodinamik, penggayaan dalaman dan juga prestasi.

    Kita mulakan dengan kit aero – berasaskan Civic Type R facelift 2020, FK8 berkenaan sememangnya telah diberikan gril dengan aliran udara ke sistem penyejukan enjin lebih baik dan juga bampar hadapan yang disegarkan. Kit Mugen ini datang dengan kemasan gentian karbon pada gril, spoiler bawah dan kemasan pada perumah lampu kabus hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang yang jauh lebih agresif, seiras dengan versi prototaip yang ditunjukkan pada 2019.

    Ia juga hadir komponen-komponen gentian karbon yang sama seperti model konsep Civic Type R Mugen RC20GT yang muncul pada Tokyo Auto Salon 2018, terdiri dari spoiler belakang dengan sayap yang boleh dilaras dengan empat sudut berbeza dan juga penutup cermin sisi. Bonet hadapan gentian karbon pada kit produksi ini juga nampak sama seperti pada RC20 GT, tetapi ia turut menampilkan skup udara tengah yang sama seperti bonet FK8 standard.

    Mugen Honda Civic Type R 2020 diperkenal di Jepun

    Menurut Mugen, liang-liang udara yang diterapkan pada bonet berkenaan membantu mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin dengan efektif, dan dengan material karbon kering yang digunakan juga menyisihkan sinaran UV serta tidak bermasalah sekiranya pemilik mahu membalut bonet tersebut dengan pelekat. Kit ini juga hadir dengan visor untuk kesemua pintu, dan menurut Mugen lagi keseluruhan kelengkapan aerodinamik ini telah dibangunkan dan diuji di litar.

    Penampilan luaran Civic Type R Mugen ini dilengkapkan dengan pemadanan rim Mugen MDCF 20-inci dengan lebar 8.5 J untuk kesemua roda, namun menampilkan offset yang berbeza; +45 di hadapan dan +53 di belakang. Pembeli juga boleh memilih untuk mengikat rim ini pada hab roda dengan set bolt asli dari Mugen yang berharga 15,400 yen atau sekitar RM616!

    Pada bahagian kabin pula, Mugen menawarkan perubahan pada berberapa komponen asli termasuk roda stereng gentian karbon, sepasang tempat duduk hadapan bucket penuh Recaro Mugen MS-R, butang penghidup enjin, pelindung bawah panel pintu gentian karbon, set karpet kaki dengan pilihan warna merah atau hitam, karpet untuk ruang kargo belakang dan juga kemasan bendul pintu juga dengan pilihan warna merah atau hitam.

    Honda Civic Type R FK8 sememangnyan telah hadir dengan quick shifter pada tuil penukar gear secara standard, tetapi ini tidak menghalang Mugen untuk menghasilkan quick shifter mereka sendiri. Menurut Mugen, berbanding komponen standard, shifter rekaan mereka ini akan memberikan sudut tukaran gear yang lebih hampir dengan pemandu, serta diberikan spring serta cagak getah yang lebih baik bagi memberikan rasa tukaran gear yang lebih mengasyikkan.

    Mugen juga memberikan tiga pilihan tombol gear untuk pelanggan iaitu versi yang dibalut dengan kulit (pilihan merah atau hitam), versi dari material gentian karbon (pilihan jalur merah atau hitam) dan juga versi dari material aluminium (pilihan warna merah, hitam atau perak).

    Tiada perubahan yang dibuat oleh Mugen terhadap sistem brek Brembo asal pada Type R FK8 ini, namun mereka menawarkan pad brek Type C untuk angkup hadapan dan belakang. Mugen menyatakan bahawa pad brek tersebut dihasilkan untuk kegunaan litar bagi menyelesaikan masalah brake fade ketika digunakan dalam keadaan ekstrem.

    Untuk enjin pula, Mugen telah menghasilkan set ekzos lengkap diperbuat dari titanium yang lebih ringan dari sistem asal. Selain dari material, sistem ekzos dari Mugen ini juga menampilkan dua muffler hujung dengan tip yang direka seakan bahagian belakang enjin jet bagi menggantikan sistem tiga tip asal FK8 Type R.

    Tiada perubahan dari segi kuasa dinyatakan dimana Honda Civic Type R FK8 dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa disampaikan ke hanya roda hadapan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan LSD helical.

    Keseluruhan kit ini boleh dibeli secara berasingan mahupan sebagai satu kereta lengkap. Untuk pelanggan yang membeli sebuah model lengkap, Mugen Civic Type R FK8 2020 boleh dipilih dalam empat warna badan iaitu Championship White, Crystal Black Pearl, Rallye Red dan Brilliant Sporty Blue Metallic.

     
     
  • Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 74 km dijangka siap sepenuhnya pada 2024 – Mustapha

    Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 74 km dijangka siap sepenuhnya pada 2024 – Mustapha

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan Lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 74 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

    Menurutnya, setakat ini beberapa fasa sudah siap sebanyak 50% dan bakinya akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

    Beliau turut berkata projek lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang dan seterusnya ke sempadan Pahang turut dibincangkan dan semuanya berjalan lancar namun masih tertumpu kepada isu peruntukan.

    “Kelantan akan memohon peruntukan disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan cita-cita rakyat Kelantan untuk mempunyai lebuh raya tercapai,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Pembinaan lebuhraya ini sebenarnya telah mula dirancang sejak akhir 80an. Ia dirancang sebagai alternatif untuk menghubungkan laluan persekutuan Kota Bharu-Kuala Krai yang sering kali mengalami kesesakan teruk pada musim perayaan. Walau bagaimana pun, rancangan tersebut tidak berjalan lancar disebabkan hal politik dan kekangan kewangan.

    Walau bagaimana pun, beberapa tahun yang lalu, projek tersebut dimulakan dan sepatutnya dijangka siap pada tahun 2015. Namun disebabkan faktor kekangan kewangan, pembinaannya tidak begitu berjalan dengan lancar. Lebuhraya dengan empat lorong dan sembilan persimpangan ini dijangka tidak melibatkan sebarang kutipan tol apabila beroperasi kelak.

     
     
  • Polis ‘gegar’ mat motor di LPT dalam Ops Tutup Khas – 358 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

    Polis ‘gegar’ mat motor di LPT dalam Ops Tutup Khas – 358 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

    Semalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Ops Tutup Khas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Lebih 600 mat motor diperiksa di dalam operasi bersepadu selama tiga jam bermula 2 petang yang menyasarkan dua lokasi iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor.

    Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Polis Traffik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata sebanyak 600 penunggang motosikal diperiksa dengan 358 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan melalui ops berkenaan, manakala 20 motosikal disita.

    “Antara kesalahan dikesan adalah lesen dan cukai jalan tamat tempoh, serta pengubahsuaian motosikal yang mengundang bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain. Apa yang dikesalkan, ada yang sanggup menunggang motosikal tanpa brek belakang dan ini amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kenderaan lain.

    Polis ‘gegar’ mat motor di LPT dalam Ops Tutup Khas – 358 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

    “Pada masa sama, tiga penunggang motosikal dikesan berada di bawah pengaruh dadah dan daun ketum, manakala tujuh lagi kesalahan alam sekitar,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian

    Seramai 12 pegawai dan 52 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam Ops Tutup Khas ini, dibantu lima daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta 10 daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    Menurutnya lagi, melalui ops sama pihaknya mengesan ada yang menunggang secara dengan menunjukkan aksi berbahaya, selain berlumba antara satu sama lain. LPT juga menjadi laluan popular bagi kumpulan motosikal dari Lembah Kelang yang berkonvoi setiap hujung minggu untuk ke Temerloh dan Kuantan, namun apabila pulang mereka berlumba dan menunjukkan aksi berbahaya.

    “Kebanyakan mereka ini anak muda dan kita nasihatkan mereka jika minat berlumba bukan di atas lebuh raya, tetapi hendaklah ke litar Sepang,” katanya.

     
     
  • Kelebihan dan kekurangan kereta terpakai vs kereta baru — panduan lengkap untuk pembeli di Malaysia

    Kelebihan dan kekurangan kereta terpakai vs kereta baru — panduan lengkap untuk pembeli di Malaysia

    Bukan semua orang akan beli kereta terpakai, tetapi ramai daripada kita mungkin pernah pertimbangkannya. Dibandingkan dengan apa yang boleh kita peroleh pada harga yang sama dengan kereta baru, pilihan kereta terpakai biasanya akan bagi lebih banyak – misalnya lebih premium ataupun kereta impian anda juga boleh diraih.

    Tetapi, membeli kereta terpakai bukan semudah beli kereta baru. Kalau bajet mengizinkan, beli kereta baru memang satu pilihan yang baik dan tak memeningkan kepala. Bau kereta baru, dan kadar faedah bagi pinjaman sewa-beli juga lebih rendah serta ada jaminan penuh dari kilang antara kelebihan yang tak boleh dibanding kalau beli kereta terpakai.

    Bagi yang kaki kereta, mungkin mereka ok untuk lepak kerap dan lama-lama di bengkel kereta. Tetapi bagi ramai lagi orang biasa, nak buka bonet tengok enjin pun jarang-jarang – semua itu hanya diuruskan oleh juruteknik di pusat servis bila kereta dihantar ikut jadual. Bagi kebanyakan orang, kereta hanya sebuah “alat” untuk bergerak, dan perlulah boleh diharap. Kereta baru biasanya jarang-jarang bermasalah; kalau pun nasib tak baik, sentiasa ada jaminan dari kilang sehingga lima-tahun.

    Kenapa Myvi kalau boleh dapat BMW?

    Seperti yang dialami oleh rakan sekerja kami Danny Tan, itu memang pandangan praktikal, tetapi daya tarikannya sangat kuat. Selepas menjual kereta hariannya Mac lalu, dia ingin mencari kereta lain. Di dalam waktu-waktu penularan Covid-19 itu, pilihan paling praktikal ketika itu baginya ialah Perodua Myvi, dan mengenepikan naluri “kaki kereta” yang masih tersisa dalam diri.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Daihatsu Gran Max dan Toyota Town Ace 2020 tiba di Jepun – ada AEB & pelbagai sistem keselamatan aktif

    Daihatsu Gran Max dan Toyota Town Ace 2020 tiba di Jepun – ada AEB & pelbagai sistem keselamatan aktif

    Daihatsu telah memperkenalkan Gran Max 2020 untuk pasaran Jepun dan ia akan mula dijual di negara berkenaan pada 4 September ini. Bukan hanya Gran Max, malah kembarnya dengan logo Toyota iaitu Town Ace turut diperkenalkan sekali. Untuk pengetahuan anda juga, kedua-dua model ini tidak diproduksi di Jepun, sebaliknya ia diimport dari kilang subsidiari Daihatsu iaitu P.T Astra Daihatsu Motor di Indonesia.

    Gran Max yang dikemaskini tersebut masih ditawarkan dalam bentuk dua versi kenderaan komersial ringan iaitu van panel dan juga trak pikap kecil. Manakala untuk Toyota Town Ace, pelanggan di Jepun turut diberikan pilihan cab belakang dengan ruang yang mempunyai sistem bilik sejuk dan juga bed dengan sistem pengangkat hidraulik.

    Tidak kira apa juga bentuk badan, Gran Max dan Town Ace dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder, iaitu enjin yang sama dalam perut Perodua Myvi dan Aruz di Malaysia, namun ditala untuk menghasilkan 97 PS dan tork maksima 134 Nm. Enjin tersebut hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau automati empat kelajuan, serta pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda, namun masih bergantung pilihan bentuk badan.

    Kedua-dua model ini menampilkan rupa yang hampir seiras antara mereka, dan hanya mudah dibezakan pada logo masing-masing. Gran Max dan Town Ace ini juga kini telah disegarkan dengan pemadanan lampu hadapan LED serta grafik lampu belakang yang disentuh semula.

    Rekaan tiang-A pada kedua-dua model ini masih tidak berubah – direka lebih condong bagi memberikan ruang kepala dan sudut penglihatan lebih baik. Rekaan yang ergonomik serta praktikal pada bahagian belakang juga masih kekal membolehkan barangan diangkat masuk/dibawa keluar dengan mudah.

    Perubahan terbesar untuk model kemaskini ini sebenarnya adalah pada ciri keselamatannya, di mana kedua-dua model tersebut kini hadir dengan sistem keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, sistem pengelak kemalangan mula bergerak dengan kawalan brek, amaran pergerakan kenderaan hadapan dan juga lampu tinggi automatik – kesemuanya standard untuk semua model.

    Selain itu, sistem keselamatan sedia ada seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), traction control dan juga dua beg udara masih kekal pada Gran Max dan Town Ace 2020 pasaran Jepun ini.

    Daihatsu Gran Max 2020

    Toyota Town Ace 2020

     
     
  • Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Petrol RON97 dan RON95 naik 10 sen, diesel pula naik 9 sen

    Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Petrol RON97 dan RON95 naik 10 sen, diesel pula naik 9 sen

    Seperti yang dijangka, harga runcit bagi bahan api utama di negara ini seakan rancak naik dari minggu ke minggu. Untuk minggu terakhir Jun dan minggu pertama Julai yang bertarikh 27 Jun hingga 3 Julai 2020, harga runcit bagi petrol RON 97 dan RON 95 masing-masing mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter.

    Ini bermakna, harga runcit bagi RON 97 menjadi RM1.99 seliter berbanding RM1.89 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, dari RM1.59 seliter kini menjadi RM1.69 seliter.

    Bagi diesel pula, kenaikan sebanyak 9 sen seliter mendorong harga bagi gred Euro 2M menjadi RM1.86 seliter dan Euro 5 pula kini RM1.96 seliter. Semua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 3 Julai 2020.

    Alasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan masih tidak berubah iaitu kenaikan harga ini disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Mazda 3 berkuasa turbo akan didedahkan 8 Julai ini

    Setelah pelbagai khabar angin bertiup sebelum ini, akhirnya Mazda mengesahkan bahawa Mazda 3 dengan enjin petrol turbo akan masuk kepasaran tidak lama lagi. Pengumuman berkenaan dibuat menerusi satu video teaser yang disiarkan pada saluran Youtube Mazda USA, dan penampilan sulung model berkenaan akan dibuat di Amerika Syarikat 8 Julai ini.

    Walau bagaimanapun, video tersebut masih belum memaparkan sebarang imej mahupun sebarang maklumat spesifikasi, sebaliknya ia hanya memberikan bunyi enjin. Berdasarkan pelbagai laporan sebelum ini, Mazda 3 tersebut berkemungkinan besar akan dijana oleh enjin 2.5 liter turbo empat silinder yang sama pada Mazda CX-5, CX-9 dan juga Mazda 6.

    Mazda 3 berkuasa turbo akan didedahkan 8 Julai ini

    Pada Mazda 6 pasaran Amerika Syarikat, enjin tersebut menghasilkan kuasa 250 hp dan tork maksima 420 Nm, manakala pada dalam perut Mazda CX-5 di Malaysia ia menjana 228 hp/420 Nm. Mazda 3 turbo ini juga dijangka akan menerima kotak gear automatik enam-kelajuan memacu roda hadapan, serta akan hadir dengan opsyen pacuan semua roda.

    Namun perlu diingat, ini bukanlah Mazda 3 yang dihasilkan sebagai model berprestasi tinggi sebenar seperti Mazdaspeed 3 (Mazda 3 MPS) pada model dua generasi sebelumnya.

     
     
  • Nissan Kicks 2020 dilancar di Jepun – dari RM110k

    Nissan Kicks 2020 dilancar di Jepun – dari RM110k

    Nissan Kicks facelift 2020 telah pun dilancarkan di Jepun, sebulan selepas SUV segmen-B yang dipertingkatkan ini diperkenalkan di Thailand. Hadir dengan dua varian – X dan X Two Tone Interior Edition – Kicks ditawarkan dengan harga bermula 2,759,900 yen (RM110k) hingga 2,869,900 yen (RM114k).

    Kicks versi Jepun ini dijanakan oleh enjin yang sama dengan unit yang dijual di Thailand iaitu HR12DE 1.2 liter tiga-silinder petrol, dengan generator untuk menggerakkan bateri 1.57 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk hadapan. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 79 PS pada 5,400 rpm dan tork 103 Nm pada 4,400 rpm.

    Sistem penggerak utama penjana kuasa ini ialah motor elektrik dengan kuasa 95 kW, yang boleh memberikan 129 PS dan tork 260 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan, dan enjin pembakaran dalamannya hanya berfungsi sebagai penambah julat tulen sahaja untuk aplikasi ini.

    Nissan Kicks 2020 dilancar di Jepun – dari RM110k

    Terdapat empat mod pemanduan diberikan termasuklah Smart, Eco, Normal dan EV. SUV ini menggunakan sistem shift-by-wire dan fungsi One-Pedal yang membolehkan pemandu untuk memecut dan melewatkan pecutan (menerusi brek regeneratif) dengan menggunakan pedal pendikit, seperti mana model semasa Leaf.

    Bagi aspek rekaannya, SUV kompak ini dipadankan dengan gril radiator V-motion yang lebih menyerlah bampar hadapan yang sporty dengan corong pengambilan pada kedua-dua sisi dan disambungkan ke lampu kabus, tiang-A berwarna hitam dengan efek bumbung terapung dan lampu belakang baharu dengan grafik pencahayaan bentuk-boomerang.

    Terdapat 13 warna luaran pilihan untuk pasaran Jepun, termasukkah sembilan warna monotone dan empat pilihan dua tona. Warna utama sudah tentulah dua-tona Premium Horizon Orange dengan Pure Black, yang dipadankan dengan upholstery dalaman Orange Tan.

    Bagi ruang dalamannya pula, tidak banyak perubahan dilakukan untuk kabinnya. Masih kelihatan agak sama dengan model terdahulu cuma sedikit semakan terkini dilakukan termasuk rekaan baharu bagi roda stereng dan konsol tengah dengan memberikan tuil gear dan kawalan penjana kuasa yang lebih spesifik.

    Varian X menerima campuran material kain dan kulit sintetik, sementara X Two-Tone Interior Edition dipadankan dengan kemasan yang lebih menyerlah. Nissan berkata Kicks turut menawarkan ruang kabin yang terbaik – dengan 600 mm bagi ruang lutut , 85 mm ruang kepala dan ruang but sehingga 423 liter. Tempat duduk “Zero Gravity” juga didatangkan secara standard, dengan tempat duduk belakang boleh dibaring atau digerakkan menerusi tuil yang boleh ditarik.

    Untuk keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem keselamatan Pro Pilot yang merangkumi Intelligent Cruise Control, Rear Cross Traffic Alert, Around View Monitor, Autonomous Emergency Braking, Intelligent Ride Control, Moving Object Detection, Intelligent Forward Collision Warning, Driver Attention Alert, Intelligent Trace Control, cermin pandang belakang digital dan Amaran Titik Buta. Ia juga diberikan fungsi “SOS call” untuk situasi kecemasan.

     
     
  • Polestar 2 dengan naik taraf prestasi Performance Pack – brek Brembo, suspensi Ohlins, rim 20 inci

    Polestar 2 dengan naik taraf prestasi Performance Pack – brek Brembo, suspensi Ohlins, rim 20 inci

    Crossover elektrik penuh Polestar 2 telah dilancarkan untuk beberapa pasaran dan sekarang pengeluar dari Sweden itu mendedahkan pula pakej Performance Pack yang disediakan untuk pelanggan. Ia dijual pada harga 6,000 euro (RM28,823) di Eropah dan datang dengan pelbagai peningkatan.

    Barang pertama yang dimasukkan dalam pakej ini adalah suspensi Öhlins Dual Flow Valve (DFV) yang boleh dilaras secara manual dalam pilihan 22 tetapan untuk memberikan kawalan yang lebih baik, bergantung kepada kemahuan pemandu serta keadaan jalan.

    Kemudiannya pada bahagian brek, pakej ini datang dengan angkup Brembo empat piston di hadapan untuk mencengkam cakera 375 mm dan memberikan kuasa hentian yang lebih kuat. Angkup ini mempunyai rekaan yang mengurangkan rintangan angin dan dicat warna emas.

    Melengkapkan pakej Performance Pack pada Polestar 2 ini adalah rim aluminium forged 20 inci yang masing-masing mempunyai berat 1.5 kg lebih ringan dan dibalut tayar Continental SportContact. Penutup injap rim ini menggunakan warna emas bagi memadankannya dengan angkup brek serta tali pinggang keledar di dalam.

    Bahagian enjin tidak diusik dan ia masih lagi menggunakan motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan 300 kW (408 PS atau 402 hp) dan 660 Nm tork. Dengannya Polestar 2 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat, dan bateri 78 kWh padanya boleh membawa kepada perjalanan sejauh 500 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025