Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota RAV4 2020 dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun – enjin 2.5L Dynamic Force, Toyota Safety Sense

    Toyota RAV4 2020 dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun – enjin 2.5L<em> Dynamic Force, Toyota Safety Sense</em>

    Toyota RAV4 generasi kelima bakal dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun ini, berdasarkan video yang dimuat naik menerusi laman media sosial UMW Toyota Motor (UMWT). Walau bagaimana pun, perincian penuh termasuk harganya masih belum diketahui, namun menerusi klip video ini, kita boleh mengagak beberapa ciri yang akan ditampilkan.

    Menerusi muat naik dalam Instagram pula, kelihatan SUV ini didatangkan dengan penderia radar hadapan untuk Toyota Safety Sense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan. Buat masa ini sejauh mana kelengkapan terbabit akan disertakan masih belum diketahui, namun pemantauan titik buta akan dimasukkan sekali (seperti yang kelihatan menerusi cermin sisi) dan dijangka brek kecemasan sendiri juga akan ditampil.

    Untuk dalamannya, RAV4 ini juga menampilkan unit utama yang agak besar pada papan pemuka, dengan sistemnya yang mungkin diambil daripada beberapa model sedia ada.

    Malah teaser lain turut menunjukkan RAV4 untuk pasaran kita akan dikuasakan oleh enjin Toyota Dynamic Force, terutamanya untuk unit yang lebih besar A25A-FKS 2.5 liter walau pun angka prestasinya tidak diberitahu – tapi kalau diikutkan di pasaran lain, enjin ini mampu menghamburkan kuasa pada 205 PS (202 hp) dan tork 249 Nm. Selain itu, SUV ini ditawarkan dengan enjin yang lebih kecil iaitu unit M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 171 PS (169 hp) dan 203 Nm, tetapi nampak gayanya bukan untuk pasaran kita.

    RAV4 juga didatangkan dengan enjin hibrid dan plug-in hybrid, kedua-duanya dengan unit A25A-FKS, dengan kuasa 222 PS (219 hp) dan 297 Nm bagi hibrid, dan model PHEV pula bersama gabungan kuasa (termasuk motor elektrik) sehingga 302 PS (302 hp).

    RAV4 ini dibangunkan dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), khusus untuk versi GA-K yang juga digunakan bagi model terkini Harrier. Kini SUV ini menjadi pesaing bagi Honda CR-V dan Mazda CX-5, dengan harga yang ditawarkan masing-masing bermula RM151,100 dan RM137,269.20.

    Di Malaysia, pesaing terhampir bagi RAV4 buat masa ini ialah C-HR (RM150,000). Adakah harga yang bakal ditetapkan untuk RAV4 lebih tinggi berbanding itu? Jawapannya akan diketahui pada majlis pelancarannya.

    GALERI: Toyota RAV4 generasi kelima di Singapore Motor Show 2019

     
     
  • Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Sikap segelintir pemandu yang enggan mematuhi undang-undang lalu lintas termasuk berani memandu di bawah pengaruh alkohol amat menggusarkan. Bagaikan ‘kebal’ dengan tindakan undang-undang, malah mungkin ada yang tidak gentar dengan hukuman sedia ada.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

    Akhir Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Difahamkan pindaan akta berkenaan akan dibahaskan di Dewan Parlimen pada bulan ini.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Hari ini, Bernama melaporkan, pertambahan kes yang melibatkan pemandu mabuk dilihat mendadak untuk lima bulan pertama tahun ini dengan 21 kes termasuk sembilan kematian. Ternyata ia bukanlah satu angka yang sedikit, jumlahnya hampir menyamai 23 kes keseluruhan pemandu mabuk sepanjang 2019, sehingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

    Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), bagi pemandu mabuk, tahap risikonya amat tinggi dengan 13 kali ganda boleh menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol

    Malah agensi berita kebangsaan ini turut meminta padangan daripada Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd Rashid yang berkata tidak ada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah apabila melibatkan risiko kesihatan.

    Menurutnya lagi, paras kandungan alkohol dalam darah (BAC) serendah 0.02 peratus sudah menunjukkan kesan kepada individu yang mengambil minuman itu. Antaranya penglihatan menjadi kabur, dan sekiranya pada paras BAC 0.05 ia boleh menyebabkan pertimbangan akan terganggu dan kadar tindak balas menurun.

    “Pada paras BAC 0.08, ia akan menyebabkan ketidakupayaan mengawal had laju, koordinasi otot terganggu dan hilang tumpuan manakala paras BAC 0.10 menyebabkan suara mula tidak jelas dan ketidakupayaan memproses informasi.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    “Pada tahap BAC 0.15 ia akan menyebabkan kehilangan kawalan sepenuhnya termasuk kelumpuhan (paralysis) otot, hilang deria pendengaran dan penglihatan,” katanya sambil menambah mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berkemampuan untuk mengendalikan kenderaan.

    Selain itu, mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol ini juga hilang kawalan pergerakan fizikal, gangguan deria penglihatan dan pendengaran selain ketidakupayaan dalam membuat keputusan. Bahkan kadar rasional dan tindak balas mereka agak lambat yang boleh menyebabkan mereka terlibat dalam nahas jalan raya, perlakuan ganas dan kecederaan.

    Dr Rusdi turut menjelaskan individu di bawah pengaruh alkohol sebenarnya tidak layak atau cergas untuk memandu kerana gejala-gejala itu, dan seharusnya mereka tidak dibenarkan memandu langsung ketika di bawah pengaruh alkohol, walaupun belum lagi mabuk.

    “Mereka boleh dikatakan tidak siuman dan seharusnya perlu balik menaiki teksi atau tidak dibenarkan pulang langsung sehingga ada keluarga yang datang mengambil. Tahap bawah sedar mereka adalah sama seperti dadah jenis CNS depressant seperti Barbiturate (ubat bius) dan nitrazepam yang merupakan ubat tidur,” katanya.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Sekadar gambar hiasan

    Jelasnya, apabila individu itu mabuk yang menyebabkan berada dalam keadaan bawah sedar, mereka boleh melakukan pelbagai perlakuan jenayah seperti membunuh, sumbang mahram, penderaan kepada isteri dan anak-anak.

    Pada masa ini, paras BAC yang diguna pakai di negara ini adalah 0.08. Banyak negara di dunia menurunkan paras BAC kepada 0.05, antaranya Hungary, Romania dan Republik Czech. Brazil perkenalkan peraturan pemanduan mabuk pada 1998 pada kadar BAC 0.06, yang diperketatkan kepada 0.02 pada tahun 2008, dan kesannya angka kematian menurun sebanyak 16 peratus di Sao Paulo.

    Dr Rusdi berkata undang-undang yang ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah memadai namun pelaksanaan undang-undang itu agak kurang dilaksanakan. Pemeriksaan ujian pernafasan alkohol, contohnya, agak kurang dilakukan di Malaysia, katanya.

    “Saya diberitahu kalau di negara barat hampir setiap bulan pemandu kena ujian pernafasan alkohol. Aspek yang boleh dipertingkatkan di Malaysia ialah aspek pendidikan masyarakat mengenai bahaya alkohol terutama mereka yang berisiko tinggi untuk minum alkohol,” katanya.

     
     
  • GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Minggu lepas Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 911 Speedster 991 atas talian, untuk pasaran Malaysia. Kini, model tersebut telah tiba di pusat pameran dan kami bawakan kepada anda galeri penuhnya.

    Tanpa sebarang barangan tambahan, 911 GT3 tanpa bumbung ini dijual pada harga RM2.7 juta, dan mencatatkan perbezaan sekitar RM1 juta jika dibandingkan dengan GT3 bumbung biasa. Bukan sekadar beza pada bumbung, ada juga beberapa bahagian lain yang diubah.

    Sebagai contoh, pada bahagian belakang, tiada lagi spoiler seperti GT3 hardtop, dan digantikan dengan spoiler aktif yang lebih kecil seperti GT3 Touring serta dua gelembung yang menyimpan bumbung fabrik manual di bawahnya.

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Masuk ke dalam, anda akan melihat tempat duduk bucket gentian karbon yang dibalut dengan kulit berwarna hitam, serta panel pintu serba ringan yang menggunakan penarik pintu fabrik ruang simpanan barang berjaring. Di antara dua tempat duduk itu terdapat satu lencana tanda sambutan ulang tahun ke-70 Porsche.

    Unit yang anda lihat dalam galeri ini dipasang dengan pakej Heritage Edition, menyerupai model konsep asal yang didedahkan pada tahun 2018. Ia menggunakan warna Silver Metallic GT, dengan bampar warna putih dan jalur yang bersambung hingga atas fender.

    Di atas bonet hadapan dan tepi pintunya terdapat pelekat inspirasi perlumbaan, dan pemilik boleh memilih nombor yang mereka mahukan. Kemudiannya unit ini menggunakan tempat duduk dibalut kulit Cognac, lencana warna emas serta logo Porsche gaya 50-an.

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Di sebalik badannya, kereta ini dikuasakan oleh enjin NA enam silinder 4.0 liter yang boleh dipaksa hingga 9,000 rpm dan dipasang dengan throttle body jenis berasing. Secara keseluruhan, ia boleh menghasilkan 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,250 rpm – 10 PS lebih berbanding GT3 biasa.

    Ia juga adalah sebuah model yang khas untuk pemandu tegar, di mana satu-satunya transmisi yang disediakan adalah jenis manual enam kelajuan (bukannya PDK). Melalui tetapan ini, ia boleh mencatat masa 0-100 km/j dalam masa empat saat dan mencecah kelajuan maksimum 310 km/j.

    Casis adalah sama seperti GT3, dengan kedudukan 25 mm lebih rendah, suspensi Porsche Active Suspension Management (PASM) talaan sports, Porsche Torque Vectoring (PTV), rear-axle steering, tapak enjin dinamik serta brek seramik karbon.

    Turut membantu menjadikan kereta ini lebih aerodinamik dan ringan adalah penggunaan bahagian-bahagian gentian karbon seperti bonet, sayap hadapan serta cowl belakang. Menurut Porsche, cowl belakang ini adalah panel yang paling kompleks pernah mereka hasilkan untuk kereta produksi kerana ia menggunakan gentian karbon satu unit tanpa sambungan.

    Menambahkan lagi ciri ekslusiviti, anda juga boleh mendapatkan jam Porsche Design yang mempunyai rekaan sama seperti kereta ini. Jam Chronograph 911 Speedster dan Chronograph 911 Speedster Heritage Edition ini adalah jam jenis chronometer dengan bahagian belakang titanium, badan karbon dan tali kuilt Porsche.

     
     
  • Rapid Rail tarik balik arahan henti penjarakan sosial dalam tren sejurus selepas ditegur oleh Ismail Sabri

    Rapid Rail tarik balik arahan henti penjarakan sosial dalam tren sejurus selepas ditegur oleh Ismail Sabri

    Setelah ditegur kerana sewenang-wenangnya memberikan arahan agar amalan penjarakan sosial dihentikan bermula esok di semua tren kendaliannya oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd akur dengan teguran tersebut dan menarik balik apa yang telah diumumkan pagi tadi.

    Menurut kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan, mereka akan meneruskan polisi penjarakan sosial sehingga kerajaan menetapkan keputusan baharu.

    “Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua penumpang yang akan kembali bekerja pada 10 Jun supaya mematuhi polisi yang telah ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama dengan pasukan Rapid KL yang bertugas di stesen.

    “Pengguna diminta merancang perjalanan memandangkan bilangan penumpang akan bertambah. Kami amat menghargai komen dan pandangan rakyat Malaysia mengenai operasi perkhidmatan rel bandar,” tulis kenyataan berkenaan.

    Pagi tadi syarikat tersebut mengumumkan bahawa peraturan berhubung penjarakan sosial di dalam tren kendaliannya seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel dan stesen-stesen akan ditamatkan mulai 10 Jun 2020.

    Menurut Rapid Rail, arahan itu dibuat sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang mana membenarkan kapasiti 100% kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.

    Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur syarikat tersebut pada sidang media hariannya tadi dengan menegaskan bahawa syarikat pengendali itu sepatutnya membuat permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan penting berkenaan.

    Rapid Rail tarik balik arahan henti penjarakan sosial dalam tren sejurus selepas ditegur oleh Ismail Sabri

    Menurut beliau, Rapid Rail tiada kuasa untuk mengubah dasar yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun beliau mengakui SOP penjarakan sosial akan menjejaskan bilangan penumpang ke dalam pengangkutan awam itu.

    “Rapid Rail ini tidak ada kuasa untuk mengubah dasar atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Apabila kerajaan menetapkan perlu ada penjarakan sosial dalam mana-mana tempat, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya ikut apa yang dibuat oleh kerajaan.

    “Kalau mereka nak buat sebarang perubahan, mereka perlu memohon kepada MKN untuk membuat perubahan. Bukan tiba-tiba umum apa yang mereka rasakan perlu umum,” ujar menteri berkenaan dan menambah apa yang dilakukan itu adalah salah dan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Mesyuarat Khas Menteri-menteri dan MKN.

     
     
  • PKPP: Tiada lagi penjarakan sosial dalam perkhidmatan tren, di stesen kendalian Rapid KL

    PKPP: Tiada lagi penjarakan sosial dalam perkhidmatan tren, di stesen kendalian Rapid KL

    Mulai esok, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal dilaksanakan sehinggalah 31 Ogos 2020. Susulan dengan PKPP, Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, telah mengumumkan semua perkhidmatan rel di bawah kendaliannya akan beroperasi 100% kecuali ETS dan KTM Intercity.

    Menurut CEO Rapid Rail, Abdul Hadi Amran, selain itu, peraturan berhubung penjarakan sosial di dalam tren dan stesen-stesen juga ditamatkan mulai 10 Jun 2020.

    “Langkah yang diambil itu adalah adalah sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk PKPP, yang mana membenarkan kapasiti 100% kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.


    “Bermula 10 Jun 2020 di bawah PKPP, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang dan Laluan Monorel, akan menamatkan arahan penjarakan sosial di dalam tren. Tanda-tanda penjarakan sosial di dalam tren dan stesen sudah pun dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi syarikat ini.

    Tambahnya lagi, walau bagaimana pun, pihaknya akan meneruskan prosedur keselamatan dan kesihatan sedia ada.

    “Rapid Rail menyeru dan berharap semua pengguna tetap mendisiplinkan diri untuk mematuhi norma baharu dalam penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memastikan usaha gigih kita mencegah penularan COVID-19 terus berkesan.

    PKPP: Tiada lagi penjarakan sosial dalam perkhidmatan tren, di stesen kendalian Rapid KL

    “Ini termasuklah pengambilan suhu pekerja dan penumpang. Para pekerja atau penumpang yang mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah Celsius tidak akan dibenarkan masuk dan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera. Begitu juga dengan pemakaian topeng muka dan hidung adalah wajib kepada semua pekerja dan penumpang semasa berada di dalam sistem pengangkutan awam.

    “Selain itu, penggunaan cecair pembasmi kuman hand sanitiser digalakkan. Bukan itu sahaja, kami juga menggalakkan transaksi bukan tunai seperti pas bulanan atau kad Touch N Go,” jelasnya lagi.

    Abdul Hadi turut menambah, penumpang juga digalakkan untuk memuat turun, menggunakan aplikasi MySejahtera serta mengimbas QR kod dan menggunakan hand sanitiser yang disediakan di kawasan stesen.

    PKPP: Tiada lagi penjarakan sosial dalam perkhidmatan tren, di stesen kendalian Rapid KL

    Rapid Rail dijangka mampu meningkatkan kembali jumlah keseluruhan penumpang Rapid Rail kepada 750,000 sehari, berbanding dengan di bawah 200,000 sehari ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan.

    Pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (#PENJANA), di mana salah satu inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkenalkan program MY30 iaitu pas perjalanan tanpa had bagi mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat yang menggunakan pengangkutan awam terutamanya ke tempat kerja.

    Pas perjalanan berharga RM30 sebulan ini adalah untuk orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang termasuk perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas Rapid KL dan KL Monorel. Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuatkuasa selama enam bulan bermula 15 Jun 2020.

     
     
  • Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

    Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

    Rasa tergoda dengan Nissan Almera Turbo pasaran Thailand diberi kit badan Drive68 rekaan Ter Studio yang telah kami paparkan sebelum ini? Nah, ini satu lagi sentuhan yang akan membuatkan anda ‘jiwa kacau’ – pembuat kit badan Siam berkenaan kini memperkenalkan pula kit badan dari siri sama untuk Honda City generasi terbaharu.

    Menerusi imej yang disiarkan oleh Ter Studio, kit badan Drive68 berkenaan disepadukan dengan City GN1 varian tertinggi iaitu model RS Turbo. Sama seperti Almera, kit ini menampilkan ‘topeng’ untuk bampar hadapan yang memberikan apron yang lebih garang menerusi rekaan baharu pada liang sisi, bersama spoiler pada bahagian dagu.

    Ia turut dilengkapkan dengan skirt sisi yang nampak lebih labuh dan bersegi, serta bampar belakang yang diberikan rekaan diffuser yang nampak lebih agresif, serta menempatkan sepasang perumah ekzos palsu dengan kemasan sekeliling krom.

    Kit ini turut datang sekali dengan visor tingkap untuk keempat-empat pintu dan juga spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang. Ia dijual pada harga promosi 14,500 baht (RM1,970) untuk satu set, atau 2,000 baht (RM272) lebih murah dari harga asal selepas ini.

    Seperti model generasi sebelum ini, City generasi baharu ini dihasilkan oleh Honda Thailand, dan negara tersebut menjadi pasaran pertama menerimanya, didedahkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

    Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

    Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

    Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

    Kita di Malaysia mungkin akan menerima model ini tidak lama lagi, kerana unit ujiannya sudah pun kelihatan diuji di Lebuhraya Persekutuan minggu lalu. Namun, masih lagi sukar untuk diagak adakah pasaran Malaysia turut akan menerima enjin turbo yang sama atau kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA seperti model generasi sedia ada.

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • Liberty Walk keluarkan kit untuk Toyota Supra A90

    Liberty Walk keluarkan kit untuk Toyota Supra A90

    Syarikat pengubah suai kenderaan yang terkenal dengan kit badan lebar dari Jepun, iaitu Liberty Walk telah melancarkan produk terbaru mereka, untuk Toyota Supra A90. Ia betul-betul baru sahaja lengkap sehinggakan dalam gambar yang dimuat naik dalam media sosial serta laman web rasmi mereka juga menunjukkan kit itu masih belum dicat pun lagi.

    Liberty Walk menawarkan kit badan Supra A90 ini dalam dua jenis iaitu yang diperbuat daripada plastik yang diperkuatkan dengan gentian (FRP) ataupun gentian karbon (CFRP), dengan harga masing-masing adalah USD14,850 (RM63,283) dan USD15,950 (RM67,970).

    Pada harga itu, pelanggan akan menerima set lengkap yang terdiri daripada diffuser hadapan, diffuser belakang, spoiler belakang serta kit fender lebar yang termasuk fender hadapan, side skirt, panel pintu, fender belakang serta canard hadapan.

    Liberty Walk keluarkan kit untuk Toyota Supra A90

    Jika mahukan kenderaan nampak lebih menarik, pelanggan juga boleh memasukkan sekali bonet hadapan di dalam pakej, dan harganya menjadi USD17,930 (RM76,408) untuk bahan FRP, serta USD19,030 (RM81,096) untuk yang diperbuat daripada CFRP.

    Jadi, apa pendapat anda dengan kit badan Liberty Walk ini? Adakah ia nampak terlalu ‘biasa’ dengan lambakan kit badan lebar oleh pengeluar yang lain atau masih boleh menampakkan keunikan yang tersendiri? Sanggupkah pula anda berbelanja sehingga RM80k untuk kit badan seperti ini?

     
     
  • Honda Civic Si 2000 ini terjual dengan harga RM212k dalam lelongan – hampir standard, hanya lebih 9k km

    Honda Civic Si 2000 ini terjual dengan harga RM212k dalam lelongan – hampir standard, hanya lebih 9k km

    Kita di Malaysia mungkin menganggap Honda Civic generasi keenam (kod casis EJ, EK atau EM bergantung pasaran) dalam bentuk coupe dua-pintu ini sebagai model yang ‘rare’. Tetapi di Amerika Syarikat, ia adalah model biasa walaupun dalam varian paling sporty iaitu Civic Si.

    Namun, disebabkan trend ‘New Old Stock’ atau ‘orikilang’ bukan hanya melanda sebahagian geng-geng RX-Z di Malaysia, Honda Civic Si EM1 yang dilelong di laman atas talian Bring a Trailer berpusat di Amerika Syarikat ini mencatatkan rekod harga yang tak masuk akal – ia terjual pada harga USD50,000 (RM213k)!

    Civic tersebut bukanlah dari versi edisi terhad atau setara dengannya seperti Acura Integra Type R DC2 yang terjual pada harga USD63k dalam lelongan Barret Jackson Las Vegas 2018. Tetapi disebabkan ia dalam keadaan seperti masih di berada dalam bilik pameran serta meter perbatuan hanya mencatatkan 5,600 batu (9,012 km), Civic ini telah dibida dengan harga yang begitu tinggi.

    Honda Civic Si 2000 ini terjual dengan harga RM212k dalam lelongan – hampir standard, hanya lebih 9k km

    Faktor harga tinggi ini juga bukan hanya berdasarkan catatan perbatuan dan kondisinya sahaja, malah dengan hampir tiada sebarang ubahsuai dilakukan padanya (hampir semua Civic EK yang kita jumpa atas muka bumi ini paling kurang pun rim mesti kena tukar kan?) turut menyumbang mengapa ia dapat dijual pada harga begitu mahal. Perubahan yang dibuat oleh pemilik sebelum ini hanyalah pemain audio asal diganti dengan pemain utama dari Pioneer dan juga pemadanan tie bar dari DC Sports pada lengan suspensi belakang.

    Varian ‘Si’ mula diperkenalkan pada Honda Civic sebagai model paling sporty bermula pada Civic generasi ketiga. Untuk Civic generasi keempat, model Si dengan enjin 1.6 liter ZC DOHC masih lagi ditawarkan, tetapi model paling berkuasa telah diambil oleh model SiR dengan enjin B16A 1.6 liter DOHC VTEC untuk pasaran Jepun.

    Honda Civic Si 2000 ini terjual dengan harga RM212k dalam lelongan – hampir standard, hanya lebih 9k km

    Bagi Civic generasi kelima dan keenam, tiada lagi model Si hadir untuk versi JDM, tetapi ia masih ditawarkan di Amerika Syarikat yang tidak menerima model SiR dan juga EK9 Type R. Model yang berjaya dijual dengan harga USD50k ini adalah Honda Civic Si keluaran tahun 2000.

    Ia dijana oleh enjin B16A2 berkuasa 160 hp pada takat 8,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan manual. Civic tersebut hadir dengan warna asal Electron Blue, serta perician-perincian untuk Si yang lain seperti bumbung suria, rim aloi 15-inci, serta suspensi sport dari kilang.

     
     
  • PKPP: PLUS buka semula R&R mulai 15 Jun ini; sila tambah nilai kad TNG sebelum memasuki lebuhraya

    PKPP: PLUS buka semula R&R mulai 15 Jun ini; sila tambah nilai kad TNG sebelum memasuki lebuhraya

    Mesti ramai di antara anda yang tak sabar untuk pulang ke kampung halaman hujung minggu ini. Tambahan lagi, Hari Raya Aidilfitri masih berbaki lagi. Jadi, inilah peluang terbaik untuk bertemu insan yang tersayang, menikmati masa keemasan yang terasa bagaikan ‘Hari Raya pertama’ pula.

    Walau bagaimana pun, bagi yang merancang perjalanan jauh, sila pastikan anda merancang perjalanan terlebih dahulu. Ini kerana kebanyakan lebuhraya utama dijangka mengalami peningkatan trafik berbanding sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lengang kerana pelaksanaan larangan rentas negeri di seluruh negara.

    Malahan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) turut menjangkakan aliran trafik di semua lebuh raya kendaliannya bakal melonjak hingga 15%, antara Jumaat hingga Ahad ini. Ia berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing, susulan kelonggaran perjalanan rentas negeri diberikan kerajaan sepanjang PKPP.

    PKPP: PLUS buka semula R&R mulai 15 Jun ini; sila tambah nilai kad TNG sebelum memasuki lebuhraya

    Seperti yang dimaklumkan kepada Berita Harian, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata, “PLUS sebelum ini, menyaksikan kadar penurunan trafik agak mendadak di semua rangkaian lebuh rayanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pada 18 Mac lalu.

    “Namun, jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan konsisten sejak Hari Raya Aidfilfitri hingga kini. Sebanyak satu juta kenderaan dicatat menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS pada hari biasa dan penurunan sebanyak 20% pada hujung minggu,” katanya.

    Beliau turut mengumumkan, semua kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya kendalian PLUS akan dibuka kepada pengguna.

    “Pembukaan semua kemudahan di R&R berkenaan dibuat dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.

    PKPP: PLUS buka semula R&R mulai 15 Jun ini; sila tambah nilai kad TNG sebelum memasuki lebuhraya

    “Semua gerai R&R termasuk tempat makan dibuka mulai 15 Jun ini, selain PLUS akan menjalankan kerja pembersihan menyeluruh di semua R&R sebagai langkah tambahan bagi kerja pembersihan berjadual, antara 12 hingga 14 Jun ini,” katanya.

    Walau bagaimana pun, katanya, transaksi langsung bagi urusan tambah nilai di lorong perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go tidak disediakan bagi membendung penularan COVID-19.

    “Kita juga sedang memuktamadkan pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di semua lebuh raya kendalian PLUS untuk keselesaan pelanggan pada masa akan datang dengan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

    “Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan tambah nilai di lebih 11,000 pusat disediakan sebelum menggunakan lebuh raya,” katanya.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

    Selepas habis licin ditempah di UK tanpa seorang pun dari pembelinya berpeluang melihat kereta tersebut, terbaharu Honda Civic Type R Limited Edition diumumkan habis dijual dalam masa hanya empat minit di Kanada!

    Hanya 100 unit model istimewa berkenaan diperuntukkan di negara tersebut, dan kesemuanya habis dijual sejurus Honda Kanada membuka tempahan berkenaan secara atas talian pada 21 Mei lalu dengan bayaran deposit C$1,000 (RM3.2k). Apa yang lebih menarik, harga sebenarnya Civic Type R Limited Edition ini juga masih belum diumumkan!

    “Kami jangkakan permintaan untuk model ini adalah tinggi kerana Civic Type R merupakan kereta yang popular dengan asas peminat yang kuat dan setia,” kata pembantu naib-presiden jualan dan pemasaran Honda Kanada, Steve Hui kepada portal Automotive News Canada.

    Secara keseluruhan, benua Eropah hanya menerima 100 buah (termasuk 20 buah di UK) FK8 Limited Edition ini, di Amerika Syarikat sebanyak 600 unit disediakan untuk direbut oleh pembeli, manakala Kanada pula menerima 100 unit yang telah habis dijual ini. Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad?

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

    Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya. Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

    Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas dari BBS yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

    Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

    Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

    Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.


     
     
  • PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    Hari ini merupakan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal dilaksanakan mulai esok hingga 31 Ogos 2020.

    Menerusi PKPP, lebih banyak syarat pergerakan telah dilonggarkan termasuklah perjalanan rentas negeri dibenarkan. Ini memberikah perkhabaran gembira buat mereka yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa tercinta.

    Susulan daripada pengumuman PKPP oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu bagi semua anggotanya. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

    Mengenai sekatan jalan raya yang dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata, ia sudah tidak ada keperluan.

    PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    “Buat saat ini, sekatan jalan raya untuk PKPP jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

    “Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan COVID-19 ini belum berakhir. Antara inti pati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tempoh hari, Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan bermula 10 Jun 2020, kecuali di kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

    Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata urusan pengkompaunan masih berterusan semasa tempoh PKPP berkenaan. Justeru, biar pun PKPP telah melonggarkan banyak pergerakan, namun orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutamanya penjarakan sosial dan kebersihan diri.

     
     
  • PKPP: Rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun ini

    PKPP: Rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun ini

    Menerusi pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebentar tadi, beliau mengumumkan bahawa perjalanan rentas negeri akan dibenarkan bermula 10 Jun 2020, kecuali di kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

    Menurutnya, PKPP akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini. Beliau juga menasihatkan agar mereka yang mahu pulang ke kampung halaman untuk berjumpa dengan ibu bapa agar sentiasa mengamal SOP norma baharu untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

    PKPP ini akan berlangsung bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, jadi ia bukan bermakna kita sudah bebas terus dari COVID-19, dan segala usaha untuk mengelakkan jangkitan termasuk penjarakan sosial masih perlu diteruskan. Lebih perincian berkenaan kelonggaran dalam PKPP ini akan menyusul kemudian.

     
     
  • PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    PLUS Malaysia Berhad telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 20% kepada pengguna Jambatan Pulau Pinang (kategori kereta persendirian) yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai kaedah pembayaran tol mulai pertengahan Julai ini.

    Menurut Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Wan Ahmad Awang, diskaun tersebut diberikan kepada rakyat Pulau Pinang dan warga kerja di negeri itu.

    “Walaupun diskaun ini untuk kenderaan persendirian sahaja tetapi ia merangkumi lebih 80% kenderaan yang melalui Jambatan Pulau Pinang. Orang ramai yang tinggal atau bekerja di Pulau Pinang boleh memohon diskaun 20% menerusi RFID di Jambatan Pulau Pinang bermula bulan hadapan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    Tambahnya lagi, penggunaan RFID membolehkan pengguna menambah nilai secara dalam talian melalui e-Dompet dan kaedah itu tidak memerlukan pengguna berinteraksi dengan jurutol sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

    “Pada masa ini, bayaran tol bagi pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang ialah RM5.74 dan selepas diskaun 20%, mereka hanya perlu membayar kadar baharu iaitu RM4.59.

    “Ketika ini, kadar RM4.59 hanya dinikmati pemilik kad Touch ‘n Go yang menerima diskaun khas dan merupakan penduduk serta warga kerja di Pulau Pinang yang menggunakan jambatan itu,” katanya lagi.

    Wan Ahmad turut memaklumkan sistem kutipan tol menggunakan RFID akan dilaksanakan di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua pada pertengahan Julai namun tiada diskaun 20% ditawarkan di laluan itu.

     
     
  • Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Antara pengumuman penting yang dibuat oleh kerajaan hari ini tentulah berkaitan pelan stimulus yang dikenali PENJANA, yang di dalamnya turut terdapat perincian untuk membantu sektor automotif, terutamanya untuk merancakkan jualan kenderaan baru. Ini termasuklah pengecualian 100% bagi cukai jualan bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi kenderaan CBU bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Bunyi macam menarik. Tapi adakan ini akan diterjemahkan kepada harga kereta yang lebih murah? Jawapan ringkasnya, ya, tetapi bukanlah dalam jumlah besar yang mungkin anda bayangkan. Ini kerana ia hanya akan memberi kesan terhadap cukai jualan kenderaan, merangkumi 10% dari harga kenderaan penumpang CKD dan CBU, dan tidak terpakai ke atas duti import dan duti eksais.

    Perlu juga dinyatakan bahawa caj cukai jualan dikenakan pada tingkat terakhir daripada keseluruhan struktur harga kenderaan – sebelum yuran pemeriksaan dan margin – yang kemudiannya menjadi harga runcit yang dikenakan.

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Secara efektif, kita sebenarnya akan kembali hampir sama ketika tempoh “cuti cukai” yang dinikmati pada Jun-Ogos 2018 dahulu, yang menyaksikan pemansuhan cukai GST daripada semua harga kereta. Kemudian, pada 1 September 2018, barulah SST dilaksanakan, yang kita guna pakai sehingga hari ini.

    Dengan pengumuman terbaru ini, SST akan dimansuhkan (sementara) bagi kenderaan CKD dan separuh daripada itu, 5% bagi kereta CBU. Maka, harga kenderaan akan jadi lebih murah. Melihat kepada nisbah pengecualian cukai, kereta CKD paling banyak menerima manfaat daripada pengecualian ini, sementara bagi kereta CBU pula hanya separuh daripada itu. Berdasarkan kepada harga kenderaan ketika “cuti cukai” pada 2018 dulu, perbezaan harga kereta akan melibatkan penurunan dari beberapa ratus ringgit hinggalah kepada beberapa ribu ringgit, bergantung kepada model.

    Melihat lebih terliti kepada contoh berkenaan, sebagai contoh, Perodua Myvi Advance AT dijual pada harga RM54,090 termasuk SST pada 2018, tetapi harganya ialah RM52,186.23 ketika tempoh “cuti cukai” sebelum itu – melibatkan pengurangan sebanyak RM1,903.77 atau 3.52%. Begitu juga dengan Honda City 1.5 V; dengan SST harganya RM86,893, tetapi ketika tempoh “cuti cukai” ia dijual pada harga RM84,205 – pengurangan sebanyak RM2,688 atau 3.09%.

    Lagi contoh. Toyota Vios 1.5 S AT sebelum ini dijual pada harga RM93,200 dengan SST, tetapi sebelum itu ditawarkan pada harga RM88,677 ketika “cuti cukai” – ini melibatkan pengurangan RM4,523 atau 4.85%. Bagi segmen premium, Mercedes-Benz E 250 Exclusive Line dijual RM370,888 dengan SST, tetapi harganya cuma RM357,482.58 ketika “cuti cukai” – pengurangan sebanyak RM13,405.42 atau 3.61%.

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Kesan seperti ini dapat dilihat sebelum ini terhadap majoriti model kenderaan daripada pelbagai jenama. Seperti yang dapat dilihat dalam jadual harga yang disediakan, ia melibatkan pengurangan antara 3-5% dan bukannya sekitar 10% atau 5% (CBU) seperti yang mungkin ramai daripada kita jangkakan. Tapi, walaupun sedikit, ia tetap pengurangan harga untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

    Bagaimanapun, perbezaan antara harga (antara SST vs cuti cukai) lebih ketara bagi trak pikap. Memandangkan kenderaan komersial ini memang dijual tanpa duti eksais dan duti import, pengecualian cukai ini akan memberi kesan yang lebih banyak. Sebagai contoh, Hilux 2.8 L-Edition dijual RM138,000 dengan SST, tetapi hanya RM126,411 ketika “cuti cukai” – berbeza RM11,589 atau 8.4%.

    Dengan cara ini, kerajaan sedang berusaha untuk merancakkan jualan kenderaan. Jadi, ringkasnya, “cuti cukai” kembali sekali lagi, dan jika anda memang sedang mencari sebuah kereta, ada eloknya anda tunggu sehingga 15 Jun nanti, kerana itulah masa terbaik untuk membeli. Tidak dapat dipastikan sebanyak mana sebenarnya pengurangan harga yang akan terlibat. Tetapi jika kita menjadikan situasi sama pada 2018 sebagai rujukan, kita akan mendapat gambaran yang hampir serupa. Terus perhatikan ruang ini untuk kemaskini berkaitan.

     
     
  • Rupa BMW M4 G82 terdedah tanpa penyamaran

    Rupa BMW M4 G82 terdedah tanpa penyamaran

    Versi berprestasi tinggi untuk BMW 4 Series generasi terkini iaitu BMW M4 G82 hanya akan didedahkan sepenuhnya pada bulan September nanti, bersama versi sedan empat pintu M3 G80. Sebelum ini bayangan model tersebut hanya dapat dilihat menerusi imej-imej spyshot yang berjaya dirakam memaparkan unit prototaip yang sedang diuji. Namun dalam hantaran terkini di forum Bimmerpost, dapat kita tengok dengan jelas bagaimana rupa produksi sebenar M4 berkenaan.

    Walau bagaimanapun, imej tersebut hanya memaparkan bahagian hadapan kereta ini. Anda rasa gril ‘kidney’ pada 4 Series sudah terlampau besar? Nampaknya gril pada M4 ini direka sedikit lebih besar dari versi berkenaan. Untuk imej lebih garang, elemen pin 3D pada gril model standard ditukar kepada bar melintang dalam kemasan hitam.

    Gril yang lebih besar serta ruang untuk laluan udara lebih banyak ini juga berkemungkinan untuk mengalirkan lebih banyak angin untuk enjin S58 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang menjana model paling berkuasa ini. Ia dilaporkan akan dibekalkan dengan kuasa 480 PS pada M4 biasa, dan 510 PS untuk versi M4 Competition.

    Selain gril, liang udara sisi bampar juga kelihatan lebih agresif, yang biasanya untuk membantu aliran udara terus ke sistem brek bagi menyejukkannya dengan lebih baik.

    Turut dapat dilihat adalah lampu hadapan BMW laserlight pada kereta ini diberikan serlahan biru, dan ia turut diberikan cermin sisi dengan rekaan signatur BMW M.

    Menurut CEO BMW M, M4 generasi baharu ini akan menerima kotak gear automatik lapan kelajuan yang digandingkan bersama sistem pacuan semua roda, manakala versi dengan kotak gear manual adalah model yang diklasifikasikan sebagai “Pure” yang hanya menyampaikan kuasa sepenuhnya pada roda belakang sahaja.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025