Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKP: S’wak benarkan dua orang dalam satu kenderaan

    PKP: S’wak benarkan dua orang dalam satu kenderaan

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengesahkan kerajaan negeri terbabit telah memberikan kebenaran untuk dua ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam satu kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa empat. Ini selaras dengan langkah kerajaan pusat yang telah memberikan kebenaran untuk perkara tersebut mulai semalam.

    Dalam satu kenyataan media, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) berkata keputusan itu akan berkuat kuasa serta merta selepas mempertimbangkan maklum balas diterima daripada orang awam mengenai peraturan itu yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    “Sekarang kami akan membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk keluar dengan sebuah kereta bagi tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, diet tambahan atau barangan lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan,” kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya, jawatankuasa itu tidak membuat keputusan serta-merta selepas Ismail Sabri mengumumkan sedikit kelonggaran dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP fasa empat semalam kerana mereka masih belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu.

    “Kami perlu berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan penting dalam waktu kritikal ini kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada negeri. Lagipun, kami masih lagi memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

    Semalam Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

    Beliau turut mengumumkan, dalam SOP PKP fasa empat ini orang ramai dibenarkan melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit.

     
     
  • Pusat servis Hap Seng Star beroperasi seperti biasa

    Pusat servis Hap Seng Star beroperasi seperti biasa

    Susulan pengumuman kerajaan tentang syarikat yang diberikan kebenaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini boleh membuka semula perniagaan masing-masing sepenuhnya, pengedar Mecedes-Benz, Hap Seng Star (HSS), telah mengumumkan pusat servisnya telah beroperasi mengikut waktu perkhidmatan biasa.

    Pusat servis yang dibuka dalam tempoh PKP itu akan beroperasi seperti biasa iaitu pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat dan dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada setiap Sabtu.

    Pusat servis Hap Seng Star beroperasi seperti biasa

    Syarikat ini berkata, walau pun waktu operasi sementara yang diumumkan bagi PKP sudah tidak dipraktikkan, namun pihaknya masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah telah ditetapkan oleh kerajaan, termasuklah memantau tahap kebersihan di kesemua premis.

    Seperti sebelum ini, pelanggan yang mahu menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara atau diperbaiki, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu kerana buat masa ini sistem ‘walk-in’ tidak dibenarkan. Untuk temujanji, bolehlah menghubungi pusat khidmat pelanggan HSS di talian 03-2216 9250. Pelanggan juga diberikan pilihan untuk perkhidmatan ‘drop-and-go’ atau ‘door-to-door. Di mana pelanggan tidak perlu datang langsung ke pusat servis berkenaan kerana kenderaan akan diambil/dihantar pulang oleh pekerja HSS atau menunggu di situ sehingga kenderaan siap diselenggara.

     
     
  • ArcFox Alpha-T – SUV elektrik dua motor baru di China

    ArcFox Alpha-T – SUV elektrik dua motor baru di China

    Pasaran China menerima sebuah model elektrik baru, iaitu ArcFox Alpha-T, yang merupakan satu hasil daripada kerjasama antara BAIC dan juga Magna. Ia juga diletakkan di bawah jenama BJEV, yang merupakan jenama kenderaan elekrik baru BAIC.

    SUV elektrik ini mempunyai ukuran panjang 4,788, lebar 1,940 mm, tinggi 1,683 mm dan jarak roda 2,915 mm. Kuasa penggerak datang daripada pek bateri 93.6 kWH keluaran SK dan Korea Selatan dan dihantar kepada dua motor elektrik untuk menghasilkan 218 hp dan 360 Nm tork.

    Melalui pakej ini, Car News China melaporkan Alpha-T boleh memberikan jarak gerak 653 km semasa melalui kitaran ujian NEDC. Perincian lain masih banyak yang belum disiarkan tetapi GizChina melaporkan model ini mampu memberikan ciri pemanduan autonomous Level 2 melalui pakej pemanduan Alpha-Pilot.

    ArcFox Alpha-T – SUV elektrik dua motor baru di ChinaArcFox Alpha-T – SUV elektrik dua motor baru di China

    Pengeluaran Alpha-T dilakukan di Zhenjiang, Jiangsu di China, dan kilangnya mempunyai kapasiti menghasilkan 180,000 buah kenderaan dalam masa setahun. Selain pengeluaran model ArcFox, kilang ini juga ada menerima kontrak penghasilan kenderaan elektrik bagi syarikat baru lain yang tidak mempunyai kilang.

    ArcFox Alpha-T sudah mula dijual di China pada harga 280,000 yuan (RM172,005), walaubagaimanapun penghantaran kepada pelanggan hanya akan bermula pada bulan Ogos.

     
     
  • Proton hantar kumpulan pertama bagi 60,000 unit pelindung muka untuk barisan hadapan perubatan

    Proton hantar kumpulan pertama bagi 60,000 unit pelindung muka untuk barisan hadapan perubatan

    Proton telah pun selesai menghantar kumpulan pertama bagi 60,000 unit pelindung muka kepada barisan petugas hadapan perubatan. Pelindung muka berkenaan dihasilkan di kilangnya di Shah Alam, berjaya disiapkan sebelum tarikh yang dijadualkan. Pengeluar kereta nasional ini memulakan pembuatan dan penghantaran bagi pelindung muka ini pada 16 April 2020, dan pada mulanya disasarkan ia mengambil masa selama 20 hari untuk disiapkan.

    “Proton mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami yang secara sukarela bekerja menghasilkan pelindung muka ini dan ia berjaya disiapkan sebelum waktu yang dijadualkan,” ujar Datuk Radzaif Mohamed, timbalan ketua pegawai eksekutif Proton.

    Tambahnya lagi, “Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Pos Logistic Berhad kerana melakukan tugas penghantaran dengan cemerlang dan juga buat Hicom-Teck See Manufacturing yang menyumbang material untuk menghasilkan pelindung muka ini. Pada jam 4 petang 28 April lalu, penghantaran telah dibuat ke 46 hospitan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.”

    Proton hantar kumpulan pertama bagi 60,000 unit pelindung muka untuk barisan hadapan perubatan

    Sementara kumpulan pertama pelindung muka adalah untuk kegunaan barisan hadapan petugas perubatan, Proton telah mengambil keputusan untuk terus menghasilkan kumpulan kedua bagi peralatan berkenaan untuk kegunaan pasukan barisan hadapan lain yang turut bertungkus lumus menangani COVID-19, ini termasuk untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa industri perkhidmatan lain. Usaha tersebut juga bakal disertai oleh syarikat induk Proton, DRB-Hicom.

    “Untuk fasa kedua ini, kami akan menghasilkan 60,000 unit lagi pelindung muka dan penghantaran akan diutamakan buat pasukan PDRM dan ATM yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Produksi bakal dimulakan pada 4 Mei ini dan dijangka akan selesai pada 9 Mei,” ujar Radzaif.

     
     
  • Kia Picanto 2021 – imej model pasaran Korea tersebar

    Kia Picanto 2021 – imej model pasaran Korea tersebar

    Baru-baru ini imej hatchback Kia Picanto 2021 telah ditemui oleh Korean Car Blog, dengan model tersebut menggunakan plat nama Morning, bermakna ia adalah untuk pasaran domestik dan juga beberapa negara lain.

    Gambaran bagi model domestik ini muncul menerusi penggambaran komersial di Frankfurt, di mana ia kelihatan ditampilkan dengan gril ‘hidung harimau’ yang bersambung ke lampu utama, dipadankan dengan kemasan perak pada setiap sisinya. Model pasaran Korea ini turut dipadankan dengan sepasang palang perak melintasi bahagian gril, berbanding tona merah pada model Eropah.

    Lampu nyalaan siang empat-poin juga kelihatan secara iluminasi, dan bahagian hujung hadapannya dilengkapi bampar yang mirip dengan model Eropah, bersama lampu kabus antara perumah tona perak. Malah turut ditampilkan kemasan gril bawah dengan rona warna hitam berkilat melintasi bahagian bawah gril, dan dilunjurkan hingga ke corong sisi.

    Kia Picanto 2021 – imej model pasaran Korea tersebar

    Menerusi imej yang bocor ini juga, pertama kali dapat melihat bahagian belakang Picanto facelift ini, kelihatan lampunya yang cukup bergaya, dengan seksyen bawah memiliki kesinambungan menghala ke bahagian bawah tailgate. Bambar belakang umpama refleksi dengan corong hadapan, sementara perumah ekzos trapezoidal berkembar menambahkan lagi gayanya seperti perumah lampu kabus di hadapan.

    Bagi roda jentera warna kuning ini, ia ditampilkan dengan kemasan machine, dengan set lapan-jejari menyerupai model Eropah. Hatchback ini dijangka diperkenalkan di pasaran Eropah pada hujung tahun ini atau awal tahun 2021, menurut Korean Car Blog.

    Bagi pilihan penjana kuasanya, dijangka ia akan terus menggunakan enjin 1.0 liter tiga-silinder (67 PS/96 Nm) dan 1.25 liter empat-silinder (84 PS/122 Nm). Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo suntikan-terus dengan kuasa 100 PS dan tork 172 Nm juga dijangka bakal ditampilkan. Dan kesemua pilihan enjin itu mungkin dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Kia Picanto 2021 spyshot

     
     
  • Toyota RAV4 Albermo XR51 – Urus palsu dari Jepun

    Toyota RAV4 Albermo XR51 – Urus palsu dari Jepun

    Kita biasa dengar berkenaan model-model ciplak dari China yang meniru rekaan-rekaan kereta Eropah, kita juga biasa tergelak dengan kereta-kereta autoshow dari Malaysia yang diubah dengan rupa seakan kereta-kereta berpretasi tinggi – sebuah Proton Saga BLM yang diberikan rupa seakan Subaru Impreza WRX STI GDB misalnya.

    Namun tahukah anda, ubahsuai sebegini juga wujud di negara dengan tahap budaya automotif bertaraf tinggi seperti di Jepun? Salah satunya adalah SUV Lamborghini Urus palsu ini – ia sebenarnya adalah sebuah Toyota RAV4 generasi terkini XA50 yang dipadankan dengan kit badan Ceaser Inc. dari Jepun, digelar RAV4 Albermo XR51.

    Kit ini terdiri bampar hadapan yang direka seakan bampar SUV Lamborghini Urus sebenar, tetapi masih boleh mengekalkan penggunaan lampu hadapan asal Toyota RAV4, serta penderia parkir dan radar untuk sistem Toyota Safety Sense asal turut boleh dipadankan semula. Namun logo pada bahagian atas tengah bampar ini bukanlah logo Lamborghini, sebaliknya ia adalah logo burung bangau untuk jenama Albermo sendiri.

    Toyota RAV4 Albermo XR51 – Urus palsu dari Jepun

    Ceaser turut menawarkan opsyen set lampu nyalaan siang LED dan juga tingkat taraf gril sisi dari bahan resin yang nampak lebih serupa dengan Urus bagi menggantikan gril jenis mesh. Kit ini juga turut menawarkan pilihan spoiler bumbung yang hampir sama dengan Urus sebenar bagi menggantikan spoiler asal RAV4.

    Untuk kesemua ini, ia dijual pada harga 216,000 yen atau sekitar RM8.7k, tanpa kos pemasangan dan tanpa cat. Selain dari menjual kit ini secara berasingan, Ceaser turut boleh menghasilkan satu kereta lengkap Albermo XR51 dengan harga berdasarkan spesifikasi yang pilih oleh pelanggan (rim, warna badan dan sebagainya).

    GALERI: Toyota RAV4 2019 pasaran Singapura

     
     
  • PKP: Sabah dan S’wak belum benarkan keluar berdua

    PKP: Sabah dan S’wak belum benarkan keluar berdua

    Walaupun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan orang ramai kini sudah pun boleh keluar berdua (dari satu rumah yang sama) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa keempat yang bermula semalam, kerajaan untuk dua negeri di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak masih belum membenarkan rakyatnya untuk menuruti kelonggaran baharu itu.

    Dalam laporan Bernama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan itu perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Pusat Arahan Covid-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri tersebut.

    “Kita perlu mengkaji kesannya terlebih dahulu. Sekiranya ia boleh dilaksana tanpa ada kesan buruk yang timbul kita akan laksanakan,” katanya dan menambah pergerakan dua orang dalam satu kenderaan hanya diberikan untuk tujuan tertentu khususnya dalam perkhidmatan yang dibenarkan sahaja.

    Sementara itu di Sarawak, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) cuma membenarkan petani yang hendak ke kebun atau ke sawah padi keluar berdua, lapor Utusan Borneo.

    PKP: Sabah dan S’wak belum benarkan keluar berdua

    “Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu (kebenaran untuk keluar berdua dalam satu kenderaan). Di Sarawak buat masa ini kita hanya membenarkan petani yang turun menuai padi boleh berteman atau membawa seorang penumpang dalam satu kenderaan.

    “Bagi orang umum (selain petani), belum. Kita masih tunggu dahulu,” katanya pada sidang media selepas meninjau Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19 di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di Sarawak, semalam.

    Semalam Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

    Beliau turut mengumumkan, dalam SOP PKP fasa empat ini orang ramai dibenarkan melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit.

     
     
  • McLaren panggil semula 570GT, GT, 720S dan Senna keluaran 2016-2020 yang berisiko untuk terbakar

    McLaren panggil semula 570GT, GT, 720S dan Senna keluaran 2016-2020 yang berisiko untuk terbakar

    Mclaren telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 2,763 kereta yang dijual di pasaran Amerika Syarikat, kerana telah dikesan mempunyai masalah yang boleh menyebabkan kebakaran. Model-model tersebut terdiri dari Mclaren 570GT, GT, 720S dan Senna yang dibuat dari tahun 2016 hingga 2020.

    Panggilan semula ini akan dimulakan di Amerika Syarikat dan kemudian akan diikuti pasaran lain di seluruh dunia. Setakat ini dua insiden telah disahkan berlaku pada peringkat global – sebuah 570GT di Latvia dan sebuah 570GT di UK.

    Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA), masalah ini berpunca daripada pad busa penebat bunyi dan getaran yang terletak di bawah tangki bahan api yang memerangkap wap air, dan akhirnya menyebabkan karat dan kebocoran pada tangki tersebut.

    NTHSA telah mengesahkan bahawa sejumlah 2,008 unit 720S, 373 unit 570GT, 225 unit GT dan 157 unit Senna di Amerika yang terjejas kerana masalah ini akan dipanggil semula.

    “Walaupun bahagian yang terjejas berada pada kawasan ‘sejuk’ kereta tersebut, dan jauh dari sebarang kawasan yang boleh terbakar atau eksoterma (seperti ekzos atau tren kuasa), jika keadaan tersebut tidak dibaiki, bahan api mungkin akan bocor ke bahagian bawah kenderaan, dan akan meningkatkan risiko kebakaran,” tulis NHTSA dalam dokumen panggilan semula berkenaan.

    Menurut McLaren pula, untuk model 570GT, 720S dan Senna, mereka akan membuka semula pad busa penebat tangki bahan api itu dan memeriksanya semula. Jika bermasalah, ia akan ditukar tanpa sebarang bayaran. Manakala untuk model GT, Mclaren masih mencari jalan bagaimana untuk memperbaiki masalah tersebut.

    Pembuat hypercar dari UK ini turut menyatakan bahawa model-model McLaren yang tidak disertakan dengan pilihan pad busa penebat tersebut tidak terlibat dengan panggilan semula ini.

     
     
  • VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Jika ahli perniagaan dan selebriti di Malaysia sukakan MPV Toyota Alphard dan Vellfire sebagai pengangkutan yang memberikan mereka satu ruang privasi ketika bergerak, lain pula halnya untuk pelumba Super GT dan drifter bekas juara D1GP, Nobuteru Taniguchi – dia telah mengubahsuai sebuah van Toyota Hiace untuk tujuan itu.

    Baru-baru ini, beliau berkongsi dengan peminat berkenaan spesifikasi van Hiace tersebut menerusi saluran Youtube peribadi miliknya. Sebagai asas, Taniguchi memilih varian badan Hiace Commuter dengan jarak roda paling panjang, paling lebar serta bumbung paling tinggi. Kemudian ia dihantar ke pakar ubahsuai Hiace di Jepun iaitu Car Revolution Style (CRS) untuk menjalankan kerja-kerja transformasi.

    Konfigurasi 12 tempat duduk asal Hiace berkenaan telah diubahsuai menjadi empat tempat duduk sahaja. Ini membolehkan dia mendapat satu ‘ruang tamu’ yang sangat luas pada bahagian tengah dengan bahagian kargo belakang diasingkan dengan satu pembahagi dibuat di belakang sepasang tempat duduk kapten.

    Ruang ini juga diberikan karpet yang agak tebal seperti karpet rumah, dan anda tidak dibenarkan untuk memakai kasut (kasut boleh diletak dalam tray gentian karbon sebenar yang dibuat oleh HKS untuknya!) disini. Dengan ruang yang besar dan tinggi ini, Taniguchi bukan sahaja boleh berehat di litar sambil menonton TV dalam van ini, malah beliau turut boleh menukar sut lumba di sini.

    VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Ruang kargo juga cukup besar – dengan lantai checkered plate yang dipasang, membolehkan sebuah basikal downhill lengkap diletakkan pada bahagian ini, bersama pelbagai storan lain di bahagian atas dan juga satu ruang untuk menggantung baju.

    Manakala pada bahagian kokpit, tempat duduk asal Hiace telah digantikan dengan sepasang tempat duduk lebih sporty dari Bride yang lengkap dengan pemanas. Kemudian tombol gear ditukar dengan tombol yang lebih sporty, dan roda stereng asal juga sudah tidak lagi digunakan, diganti dengan unit yang diperbuat dari gentian karbon dan dibalut dengan kulit.

    Pada bahagian luaran, van ini menerima warna badan hitam dengan lampu hadapan dan belakang ditukar kepada komponen aftermarket yang menampilkan grafik LED. Badan van ini direndahkan tanpa menyebabkan keselesaannya hilang menerusi pemadanan set suspensi lengkap terdiri daripada penyerap hentak boleh laras dan spring HKS Genb Cloud Walker.

    Set roda asal juga telah ditukar dengan rim keluaran CRS dari siri Essex dengan diameter 19-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 225/45R19. CRS juga telah melebarkan kesemua ruang roda Hiace ini bagi memastikan ia sesuai dengan set roda baharu.

    VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

    Taniguchi memilih Hiace yang dijana oleh enjin petrol 2TR-FE Dual VVT-i 2.7 liter yang menurutnya ia lebih senyap dan mesra alam berbanding versi 2.8 liter turbodiesel. Tiada pengubahsuaian dilakukan pada enjin berkenaan, kecuali sistem throttle controller elektronik dari Blitz yang dapat mengubah respon pendikit tanpa kabel Hiace ini dengan respon yang lebih baik.

    Nama Nobuteru Taniguchi sememangnya sangat sinonim dengan HKS kerana beliau berjaya dinobatkan sebagai juara D1GP pertama dengan jentera Nissan Silvia S15 pasukan HKS, dan sehingga kini masih memandu GR Supra HKS untuk kejohanan tersebut. Dia juga pengemudi tetap untuk jentera-jentera Time Attack HKS Tsukuba Record Breaker atau TRB – TRB-01 Toyota Altezza, TRB-02 Mitsubishi Lancer Evo VIII, TRB-03 Toyota 86 dan TRB-04 Suzuki Swift Sport- yang memecahkan pelbagai rekod terpantas di litar Tsukuba, Jepun.

    Taniguchi juga tidak asing dengan Malaysia kerana pernah memandu jentera GT300 Mazda RX-7 pasukan RE Amemiya yang ditaja oleh M7, dan BMW Z4M Pasukan Petronas Syntium bergandingan dengan pelumba negara ‘Wak Tempe’ Fariqe Hairuman dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance 2009.

     
     
  • Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota telah mengumumkan model edisi khas digelar GR Supra Horizon Blue Edition khas untuk pasaran Jepun. Selain hadir dengan warna biru istimewa yang seiras dengan warna GR Supra yang baharu sahaja dilancarkan dalam permainan video Gran Turismo Sport, salah satu model dalam barisan versi kemaskini 2021 di Jepun ini turut menerima lonjakan kuasa enjin dan berberapa tingkat taraf prestasi lain.

    Model ini diasaskan dari versi paling berkuasa JDM iaitu GR Supra RZ, dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo. Namun berbeza dari versi standard yang menjana hanya 340 ps, enjin B58 pada Horizon Blue Edition ini mengekstrak sejumlah 387 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Jika dilihat pada angka kuasa, model JDM edisi terhad ini nampak menghasilkan kuasa yang sama seperti GR Supra 2021 untuk pasaran Amerika Syarikat yang didedahkan pada Februari lalu. Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkatkan boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini. Ia masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF.

    Bagi menyesuaikan casis kereta ini dengan kuasa kuda yang telah bertambah, ia telah menerima berberapa pendakap kerangka baharu, serta sistem suspensi yang ditala semula. Selain hadir dengan warna badan biru, GR Supra edisi khas ini juga menerima berberapa perincian berbeza lain pada bahagian luaran, antaranya set rim 19-inci dan juga penutup cermin sisi yang diwarnakan hitam.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition untuk pasaran Jepun – enjin lebih berkuasa, hanya 100-unit, RM303k

    Serlahan-serlahan biru turut diberikan pada bahagian kabin seperti jahitan benang biru pada tempat duduk, papan pemukan dan roda stereng. Untuk model kemaskini 2021 di Jepun, skrin infotaimen untuk Supra RZ telah ditingkat taraf dari 6.5-inci kepada 8.8-inci.

    Toyota GR Supra Horizon Blue Edition ini hanya dihasilkan sebanyak 100-unit dan akan dijual pada harga 7,413,000 yen (RM303k), atau 100,000 yen (RM4k) lebih mahal dari GR Supra RZ biasa. Tempahan untuk model ini telahpun dibuka di Jepun, namun pelanggan terawal hanya akan menerima kereta mereka bermula Oktober nanti.

     
     
  • BMW Motorrad Malaysia sediakan khidmat ambil motosikal di rumah untuk servis, baik pulih waktu PKP

    BMW Motorrad Malaysia sediakan khidmat ambil motosikal di rumah untuk servis, baik pulih waktu PKP

    Dengan peraturan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sedikit sekarang, semakin banyak pusat servis sudah kembali dibuka termasuklah BMW Motorrad Malaysia. Melalui beberapa wakil mereka di seluruh negara, BMW Motorrad juga menyediakan khidmat untuk mengambil dan menghantar motosikal ke rumah.

    Antara pusat servis yang menyediakan khidmat ini adalah termasuk Auto Bavaria di Ara Damansara dan Pulau Pinang, El Chong Motor di Sungai Jawi, Tian Sang di Ipoh, Millennium Welt di Sabah dan Kuantan, serta Regas Premium di Sabah.

    Walaupun sudah dibuka, perhatian sentiasa diberi kepada kebersihan dan penjarakan sosial, sementara pelanggan pula perlu menghubungi pusat servis terlebih dahulu untuk menempah slot waktu servis serta khidmat pengambilan dan penghantaran semula ke rumah.

     
     
  • Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Khabarnya, ada motosikal elektrik terbaru yang akan masuk ke pasaran Malaysia tahun ini. Difahamkan, barisan motosikal elektrik Super Soco dari China ketika ini sedang menunggu kelulusan Vehicle Type Approval (VTA) untuk membolehkannya dijual dan digunakan di Malaysia.

    Bagaimanapun, perkembangan lebih terperinci berkaitan motosikal elektrik atau e-bike ini kemungkinan besar hanya akan dapat ketahui selepas tempoh PKP nanti. Sejauh mana khabar angin ini betul, itu kita lihat perkembangannya kelak.

    Mungkin, keseluruhan barisan model Super Soco akan dibawa masuk untuk pasaran tempatan. Ini termasuk model TC Max dan e-bike TC dalam gaya retro serta TC naked sport. Ini juga dijangka mungkin akan diikuti oleh model-model seperti skuter elektrik CPx dan CUx, bergantung kepada situasi dan peraturan.

    Motosikal elektrik Super Soco masuk pasaran Malaysia November 2020 — barisan lengkap, dari RM16k?

    Tiada sebarang maklumat berkaitan harga untuk pasaran tempatan buat masa ini. Tetapi, berdasarkan jualan motosikal berkenaan di pasaran Eropah dan UK, ia mungkin memberikan sedikit petunjuk. Super Soco TC dijual pada harga 3,748 pound Sterling (RM20,333), sementara CUx pula pada harga 2,811 pound Sterling (RM15,247).

    Ketika ini, difahamkan Super Soco Malaysia sedang dalam usaha untuk memastikan pematuhan peraturan tempatan bagi model-model motosikal elektrik ini. Jika semuanya berjalan lancar, ini akan memberikan pengalaman baru kepada tunggangan dan gaya hidup pengguna di Malaysia.

    Siri TC dan TS bagi Super Soco e-bike ini didatangkan dengan motor elektrik Bosch yang dipasangkan pada hub, memberikan 120 Nm tork dan jarak perjalanan 80 km. Sementara itu bagi e-skuter CPx dan CUx, ia dilengkapi bateri 60-Volt, 30 Ah yang membekalkan jarak perjalanan 75 km dengan motor elektrik Bosch 130 Nm tork.

     
     
  • PKP: SOP fasa ke-4 dilonggarkan; pergerakan lebih 10 km dan 2 ahli keluarga dalam sebuah kereta dibenar

    PKP: SOP fasa ke-4 dilonggarkan; pergerakan lebih 10 km dan 2 ahli keluarga dalam sebuah kereta dibenar

    Bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-empat bermula hari ini, kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan orang ramai melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit

    Selain itu, kerajaan juga membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

    Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 telah diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020.

    Beliau berkata, pergerakan melebihi 10 km itu bagaimanapun mesti yang terhampir bagi tujuan dibenarkan. “Contohnya nak ke klinik, jika ada yang jarak 15 km harus pergi ke situ, jangan pula pergi yang jaraknya 30 km,” tegasnya.

    Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

    Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya. Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah.

    Sebelum ini, PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu, hanya memberikan kebenaran kepada seorang sahaja anggota keluarga bagi setiap isi rumah untuk keluar membeli makanan, keperluan harian dan ubatan, dengan jarak radius tidak lebih daripada 10 km dari rumah masing-masing.

     
     
  • Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Kerana angka jualannya yang tidak memberangsangkan, hayat produksi Kia Stinger dilaporkan akan berakhir hanya pada model generasi pertama, tanpa model gantian generasi kedua. Namun, walaupun jualan untuk kereta ini suram di pasaran seluruh dunia, Stinger nyata mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Australia.

    Menurut laporan CarAdvice, Stinger agak digemari dan popular dikalangan bekas-bekas pemilik sedan besar berkuasa tinggi buatan Australia iaitu Holden Commodore V8 dan Ford Falcon XR6 Turbo, serta mencatatkan jualan domestik yang baik.

    Tahun lalu di pasaran berkenaan, sebanyak 1,773 buah Stinger telah berjaya dijual dan ia mencatatkan jualan yang jauh lebih besar dari kembarnya iaitu Genesis G70, yang hanya dijual sebanyak 63 unit, dedah portal automotif Australia itu.

    Kia Stinger popular dikalangan bekas pemilik Holden Commodore V8, jualan di Australia ‘OK’ – laporan

    Berkenaan kemungkinan tiada lagi Stinger akan dihasilkan untuk generasi kedua, Kia Australia memberi respon, “Kia Motors Australia tidak berminat untuk memberikan sebarang komen terhadap laman blog antarabangsa itu.”

    Kia Stinger telah pun masuk ke pasaran Malaysia pada Julai 2018, hadir dengan dua varian enjin iaitu 2.0 T-GDI GT-Line berharga RM239,888, dan model paling berkuasa 3.3L V6 menjana 365 hp/510 Nm dijual pada harga RM309,888. Namun pada awal tahun lalu, Naza Kia mengumumkan harga baharu Stinger termasuk SST yang menyaksikan peningkatan sekitar RM25k untuk model 2.0 GT-Line kepada RM264,888, dan naik RM74k bagi model V6 kepada RM383,888.

    Mungkin disebabkan harganya begitu tinggi dan kita di Malaysia masih lagi tidak boleh menerima sebuah Kia dengan harga Mercedes-Benz dan BMW, agak sukar untuk melihat Stinger ini merayap di atas jalan di sini.

     
     
  • Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Sejak pengenalan pertama model Prius generasi pertama di peringkat global 23 tahun lalu, kenderaan hibrid elektrik keluaran Toyota yang telah terjual di seluruh dunia sepanjang tempoh berkenaan telah mencecah 15 juta unit, melibatkan semua jenama di bawah syarikat itu.

    Dan, Australia menjadi pasaran yang menyaksikan peningkatan dan penggunaan kenderaan jenis itu dengan lonjakan yang paling tinggi. Pasaran itu mencatatkan sebanyak 134,200 unit kenderaan – melebihi tahap 100,000 unit dalam tempoh hanya 11 bulan.

    Bagi dua tahun sebelum ini sahaja jualan kenderaan hibrid di sana menunjukkan peningkatan tiga kali ganda. Pada 2017, sejumlah 8,500 unit terjual, tetapi pada tahun lalu, angka berkenaan telah melonjak kepada 27,800 unit. Sementara itu, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini pula, jualan kenderaan hibrid Toyota Australia telah mencapai angka 11,756 unit kenderaan, atau menyumbang kepada 23.5% jumlah jualan syarikat itu di sana yang juga mencapai rekod baru.

    Sejak Prius mula diperkenalkan pada 1997 (2001 di Australia), ia telah diikuti dengan pengenalan banyak lagi model hibrid elektrik yang sentiasa memperkemas dan meningkatkan lagi prestasi, penggunaan minyak serta tahap kecekapan emisi. Jualan kenderaan hibrid Toyota meningkat selepas syarikat itu menggabungkan teknologi hibrid dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang lebih dinamik dan selamat.

    Toyota telah berjaya jual 15 juta kereta hibrid elektrik

    Menurut Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley, kenderaan hibrid akan memainkan peranan penting di dalam keseluruhan penawaran kenderaan oleh jenama itu kerana ia lebih mampu milik dan mudah digunakan oleh pengguna.

    “Toyota memiliki pengalaman dua dekad berkaitan elektrifikasi dan teknologi hibrid – motor elektrik, bateri dan unit kawalan kuasa – dan semua ini boleh dipindahkan kepada semua bentuk unit penjanaan kuasa elektrik,” jelas beliau.

    “Kepakaran ini akan memastikan Toyota sentiasa berada di depan dalam membangunkan beberapa jenis kenderaan dengan ciri elektrifikasi di masa hadapan, sekaligus menyumbang pembebasan emisi berdasarkan peraturan di pasaran berlainan, infrastruktur serta permintaan pelanggan,” ujar beliau lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025