Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Tirai, langsir serta pelekat hiasan yang dipasang pada cermin kenderaan merupakan satu kesalahan

    Tirai, langsir serta pelekat hiasan yang dipasang pada cermin kenderaan merupakan satu kesalahan

    Kebiasaannya, ketika bercakap tentang cermin kenderaan, bab atau isu yang sering menjadi topik utama ialah tahap ketelusan cahaya (VLT) dan hal-hal berkaitan cermin gelap. Ketika ini, kadar yang dibenarkan adalah 70% untuk cermin depan, 50% untuk cermin di sisi dan 30% bagi bahagian belakang.

    Namun, ada lagi perkara yang turut dilarang berkaitan penggunaan cermin pada kenderaan, yang menjadi satu kesalahan, tetapi mungkin tak ramai yang tahu atau endahkan. Yang dimaksudkan ialah penggunaan apa juga jenis tirai atau langsir, dan termasuk segala pelekat hiasan yang dipasang pada cermin kenderaan.

    Ini bukan perkara baru; ia memang telah terkandung di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991. “Peraturan yang ditulis sangat jelas, segala pemasangan jenis tirai atau langsir, bahkan pelekat-pelekat hiasan yang diletakkan pada cermin kenderaan adalah dilarang sama sekali,” jelas Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib.

    “Pemasangan tirai ini hanya dibolehkan bagi bas-bas ekspres dan juga bas persiaran sahaja. Itu pun, mereka yang ingin berbuat demikian perlu memohon terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada pihak kami. Untuk kenderaan persendirian, tidak boleh.” tambah beliau.

    Bagaimana pula dengan penggunaan tirai atau langsir yang boleh dicabut atau ditanggalkan? Ia sama saja; penggunaannya adalah dilarang di bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Jika terdapat aduan dari orang ramai atau ditahan ketika operasi sekatan jalan raya, tindakan selanjutnya adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai bertugas. Pendek cerita, sebarang penggunaan tirai, langsir atau pelindung matahari adalah dilarang.

    Menyentuh tentang sebab mengapa penggunaan tirai kekal ini tidak dibolehkan, beliau menjelaskan ia sama juga seperti penggunaan cermin gelap; penglihatan ke dalam kenderaan dari luar perlu jelas dan tidak terhalang.

    Ini juga bersangkutan isu-isu keselamatan, dan untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini, seperti aktiviti jenayah, daripada berlaku selain ia juga boleh menghalang penglihatan pemandu. Jika didapati bersalah, pengguna boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000 atau tak lebih sebulan penjara.

     
     
  • Cadillac CT6 V-Sport 2019 berenjin V8 4.2L twin-turbo

    Cadillac CT6 V-Sport 2019 berenjin V8 4.2L <em>twin-turbo</em>

    Di Amerika Syarikat, antara jenama yang sering bersaing dengan AMG dan BMW M adalah Cadillac. Ia adalah sebuah jenama mewah daripada GM, dan terbaru, Cadillac CT6 V-Sport 2019, iaitu model V-Performance pertama untuk sedan mewah mereka diperkenalkan. Model prestasi ini datang sekali dengan pengenalan CT6 facelift, yang menggunakan elemen rekaan daripada Escala Concept.

    CT6 V-Sport dikuasakan oleh enjin V8 4.2 liter twin-turbo yang dapat menghasilkan kuasa sekitar 550 hp dan 850 Nm tork. Jumlah ini adalah dalam lingkungan yang sama dengan Mercedes-AMG E63 S (4.0 V8, 604 hp, 850 Nm) dan BMW M5 (4.4 V8, 600 hp, 750 Nm). Transmisi yang digunakan adalah unit automatik 10-kelajuan Hydra-Matic 10L90.

    Enjin V8 yang digunakan pada model ini mempunyai konfigurasi ‘Hot V‘, yang mempunyai kelainan berbanding head serta sistem ekzos enjin V biasa. Unit turbonya diletakkan pada celah atas enjin V tersebut, dan dikatakan dapat melenyapkan kelambatan turbo serta mengurangkan saiz keseluruhan enjin.

    Cadillac CT6 V-Sport 2019 berenjin V8 4.2L <em>twin-turbo</em>

    CT6 terbaru ini jelas dapat dilihat adalah sebuah Cadillac dari luar, dengan lampu depan dan belakang menegak yang sudah menjadi tanda unik jenama itu, tetapi dijadikan lebih garang melalui versi V-Sport ini. Komponen aerodinamik serta bingkai tingkap warna hitam menjadikan ia lebih gelap, dan diperkemas dengan rim 20 inci V-Sport.

    Model V-Sport ini juga mendapat limited-slip differential di belakang, suspensi khas V-Sport, brek monoblock empat piston 19 inci Brembo, tetapan stereng dan penyerap Magnetic Ride Control yang diubah dan ekzos dengan sistem injap aktif. Turut disertakan adalah Active Rear Steer talaan litar, pembahagi tork yang ditala semula dan pengawal stabiliti fokus kepada litar.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI facelift 2018 dilancarkan di Malaysia – 2.0 liter TSI, 230 PS/350 Nm, RM240k

    Volkswagen Golf GTI <em>facelift</em> 2018 dilancarkan di Malaysia – 2.0 liter TSI, 230 PS/350 Nm, RM240k

    Serentak dengan pelancaran model asas Volkswagen Golf 1.4 Sportsline, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut melancarkan hot-hatch berprestasi tinggi Volkswagen Golf GTI facelift 2018.

    Model dengan rupa lebih segar ini masih dijana enjin EA 288 2.0 liter TSI berkuasa 230 PS/350 Nm, atau 10 PS lebih berkuasa dari model asal dan sama dengan versi yang hadir dengan Performance Pack pada model pre-facelift. Enjin tersebut juga masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah DSG enam-kelajuan.

    Antara perbezaan model 2018 ini dengan versi sebelumnya, ia kini dilengkapi dengan lampu LED Advance Adaptive (menggantikan lampu b-xenon) yang turut datang dengan fungsi bantuan lampu dinamik. Ia juga diberikan lampu belakang LED-penuh (kini standard untuk semua varian Golf) dan juga fungsi lampu isyarat membelok dinamik.

    Selain itu, Golf GTI 2018 pasaran Malaysia diberikan upholsteri kulit Vienna, rim aloi 18-inci Milton Keynes, Adaptive Chassis Control (ACC), sistem penghawa dingin automatik dua-zon climatronic Air Care, dan juga kluster paparan Active Info Display bersaiz 12.3-inci.

    Ciri lain pada model berprestasi ini termasuk lampu kabus hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penukar profil pemandu, cruise control serta lampu hadapan dan pengelap cermin automatik. Melengkapkan ia sebagai GTI sebenar, kereta ini turut hadir dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear, pedal aluminium brushed stainless steel, scuff plate bernyala dan juga tipekzos krom.

    Model ini dipadankan dengan sistem infotaimen Discover Media dengan skrin utama 8.0-inci bersama hubungan Bluetooth, kad SD, USB, AUX serta fungsi navigasi dan bantuan parkir bersama kamera pandang belakang. App-Connect yang memberikan fungsi screen mirroring menerusi Apple CarPlay, Android Auto dan Mirrorlink turut disertakan.

    Sistem keselamatan untuk model ini masih lagi sama seperti model Sportsline – dilengkapi dengan tujuh beg-udara, ESC dan Proactive Occupant Protection System, iaitu sistem yang menggunakan penderia untuk mengesan situasi seperti kemalangan yang akan berlakau dan bersedia untuk melindungi penumpang, contohnya mengetatkan tali pinggang keledar secara automatik serta menutup semua tingkap dan cermin suria.

    Dengan semua ciri baharu ini, Volkswagen Golf GTI 2018 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM239,990. Setiap pembelian model ini akan disertakan dengan waranti selama lima tahun bersama bantuan tepi jalan juga selama lima tahun, serta servis percuma 45,000km/tiga tahun. Untuk lebih perincian terhadap model ini, anda boleh lawati laman Carbase.my.

     
     
  • Akta lupus kereta terbiar siap dalam tempoh tiga tahun

    Akta lupus kereta terbiar siap dalam tempoh tiga tahun

    Walau pun telah beberapa kali isu ini dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan yang telah dimuktamadkan, semuanya berkaitan dengan pengurusan kenderaan terbiar.

    Terkini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata undang-undang berkaitan pengurusan kenderaan terbiar, termasuk membolehkannya dirampas untuk dilupuskan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, laporan Berita Harian.

    Sambungnya lagi, kajian itu membabitkan kerjasama antara lima pihak iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    “JPM maklumkan kepada saya bahawa kira-kira 6,000 aduan dari lapan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor diterima daripada orang awam berhubung masalah ini. Kementerian menyedari mengenai isu ini kerana ia membahayakan kepada pengguna, selain menjurus kepada pembiakan nyamuk termasuk Aedes, mengganggu kawasan parkir awam, selain memiliki bahan toksik yang boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar.

    Akta lupus kereta terbiar siap dalam tempoh tiga tahun

    “Hasil mesyuarat antara semua kementerian berkaitan hari ini, kami bersetuju menubuhkan kumpulan kerja yang akan membincangkan isu ini lebih mendalam serta mencadangkan dasar dan kaedah pengurusan kenderaan terbiar kepada kerajaan,” ujarnya kepada pemberita di Parlimen, semalam.

    Selain itu, katanya lagi, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam menentukan lokasi untuk menempatkan kereta terbiar yang dirampas serta kaedah pengurusannya.

    Wan Junaidi turut berkata, perkara yang turut dibincangkan juga termasuk mengambil kira denda kepada pemilik kenderaan terbiar.

    “Kita juga bincangkan mengenai persoalan jika pemilik tidak mampu untuk membaiki kenderaan atau memperbaharui cukai jalan hingga menyebabkan ia terbiar, namun pemiliknya masih mahukan kenderaan itu. Jika kenderaan itu ditarik, adakah pemilik berhak menerima pampasan atau imbuhan. Ini akan difikirkan,” katanya.

     
     
  • Kerajaan pertimbangkan landasan berkembar ECRL

    Kerajaan pertimbangkan landasan berkembar ECRL

    Sebelum ini, projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor dikhabarkan hanya membabitkan landasan tunggal. Walau bagaimana pun, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina landasan berkembar di atas rekaan trek dwiformasi sedia ada.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata kajian bagi projek sepanjang 688 kilometer bernilai RM55 bilion itu, dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), laporan Berita Harian.

    Menurutnya lagi, pada awalnya projek terbabit hanya membabitkan landasan tunggal atas rekaan trek dwiformasi, tetapi ada kajian baharu sedang dilaksanakan SPAD dan MRL bagi melihat keperluan dibuat landasan berkembar.

    “Hasil kajian akan diumumkan dalam masa terdekat. Sudah tentu pertimbangan kita membabitkan kos dan keputusan awal sebelum ini mengambil kira aspek kelajuan, keselamatan dan keselamatan. Namun jika landasan berkembar, sudah tentu pengurusannya lebih cekap dan lebih baik, terutama dalam aspek jadual serta kelajuan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

    Projek mega ini melibatkan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM55 bilion, iaitu bagi fasa pertama melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya. Kemudian fasa kedua akan dilaksanakan dan menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang. Kelajuan tren akan mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo.

     
     
  • Nissan guna bateri terpakai Leaf untuk lampu jalan

    Nissan guna bateri terpakai Leaf untuk lampu jalan

    Nissan telah mengumumkan satu projek baru untuk menggunakan bateri terpakai daripada kenderaan elektrik Leaf, untuk memberi kuasa kepada lampu jalan di perkampungan Namie, Jepun. Projek yang diberi nama sebagai “The Reborn Light” ini akan dilakukan oleh Nissan bersama syarikat 4R Energy Corporation.

    Perkampungan Namie sebelum ini telah dilanda oleh gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011, dan projek ini dapat menjadi antara sebahagian daripada usaha membaik pulih kawasan tersebut.

    Nissan guna bateri terpakai Leaf untuk lampu jalan

    Setakat ini masih belum dinyatakan berapa panjang jalan yang akan menggunakan lampu ini, tetapi ia diberitahu tidak menggunakan sebarang kabel elektrik dan tidak termasuk dalam grid kuasa perkampungan tersebut. Bateri pada lampu tersebut akan dicas dengan menggunakan kuasa solar.

    Prototaip lampu ini akan diuji pada 26 Mac di kilang penambakan bateri 4R di Namie, dan pemasangan penuhnya dijangka dapat dilakukan dalam tahun ini juga. Melalui projek ini, Nissan dapat mengitar semula bateri daripada kenderaan elektrik untuk manfaat semula manusia.

     
     
  • Toyota C-HR – 50 pelanggan pertama M’sia dapat kunci

    Toyota C-HR – 50 pelanggan pertama M’sia dapat kunci

    Sejak dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Mei tahun lalu, Toyota C-HR telah menarik perhatian ramai dan kemudiannya, ia dibawa dalam beberapa siri jelajah sekitar Malaysia untuk paparan orang awam. Awal tahun ini, UMW Toyota telah pun menyiarkan harganya, dan tempahan juga dibuka kepada orang ramai.

    Hari ini, satu majlis istimewa telah diadakan di Kuala Lumpur untuk menyerahkan kunci kepada 50 pelanggan awal C-HR, dan menurut Presiden UMW Toyota, Ravindran Kurusamy, sehingga kini mereka telah menerima sebanyak 1,500 tempahan untuk model crossover terbaru itu.

    Toyota C-HR dijual pada harga RM145,500 (termasuk GST tetapi tanpa insurans) dan datang dalam satu varian sahaja, iaitu yang menggunakan enjin 1.8 liter NA 2ZR-FE, dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan mod manual tujuh kelajuan. Ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 137 PS pada 6,400 rpm dan 170 Nm tork pada 4,000 rpm, dihantar kepada dua roda hadapan. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan.

    Antara keistimewaan C-HR jika dibandingkan dengan pesaingnya adalah ia dibina menggunakan platform TNGA segmen-C terkini Toyota, dengan suspensi belakang dari jenis double wishbone yang lebih canggih (dan lebih mahal). Pada bahagian luarnya, terdapat lampu utama halogen projector dengan lampu siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang serta rim 17 inci.

    Dalam senarai kelengkapannya juga terdapat sistem masuk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur. Ia juga datang dengan skrin sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan BA, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Warna standard yang ditawarkan termasuklah Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica, serta anda juga boleh memilih White Pearl CS atau Blue Metallic dan Red Mica dua-tona – kedua-duanya dengan bumbung hitam – tetapi dengan harga tambahan RM848. Turut ditawarkan ialah sistem navigasi DVD-AVN, perakam video digital (seperti dash cam) dan pengalas barangan.

    Anda juga boleh melihat sendiri spesifikasi penuh Toyota C-HR dan membandingkannya dengan kenderaan lain di CarBase.my


    GALERI: Toyota C-HR yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Azlan Shah akan berlumba dalam FIM Supersport World Championship Thailand, ganti Kenan Sofuoglu

    Azlan Shah akan berlumba dalam FIM Supersport World Championship Thailand, ganti Kenan Sofuoglu

    Pelumba negara yang kini bersaing dalam kategori Supersport 600 Asia Road Racing, iaitu Azlan Shah Kamaruzaman telah dipilih untuk menggantikan Kenan Sofuoglu dari pasukan Kawasaki Puccetti Racing, dalam pusignan perlumbaan FIM Supersport World Championship yang akan berlangsung di Litar Chang, Thailand.

    Sofuoglu terpaksa menarik diri kerana beliau terjatuh sewaktu sesi latihan FP3 di Australia, dan doktor telah mengesahkan bahagian pelvis beliau (yang sebelum ini juga pernah cedera tahun lepas) sekali lagi cedera dan tidak boleh meneruskan perlumbaan dalam keadaan sebegitu.

    Kecederaan yang dialami oleh pelumba Turki ini dijangka mengambil masa yang lebih panjang untuk sembuh kerana semasa cedera kali pertama sebelum ini juga, beliau tidak menunggu pelvis tersebut untuk pulih sepenuhnya, dan telah meneruskan perlumbaan.

    Azlan Shah akan berlumba dalam FIM Supersport World Championship Thailand, ganti Kenan Sofuoglu

    Azlan Shah yang dipilih sebagai ganti bukanlah orang baru dalam dunia perlumbaan motosikal, malah beliau sudah berlumba dalam pelbagai kategori dan pada tahun 2013 juga pernah dinobatkan sebagai juara bagi Asia Road Racing. pada tahun 2014 dan 205, beliau adalah pelumba untuk kategori Moto2 bagi pasukan Idemitsu Team Asia.

    Pada tahun lepas, Azlan Shah telah berlumba dalam Suzuka 8-Hour Endurance bersama L. Haslam dan K. Watanabe, dan berjaya mendapat tempat kedua dalam perlumbaan jarak jauh tersebut. Untuk peluang yang diberi berlumba dalam FIM Supersport World Championship ini, Azlan memberitahu akan cuba untuk mendapatkan tempat teratas.

     
     
  • Shell Eco-Marathon 2018 – tujuh pasukan Malaysia layak; Eco Voyager tempat ketiga Prototaip Hidrogen

    Shell Eco-Marathon 2018 – tujuh pasukan Malaysia layak; Eco Voyager tempat ketiga Prototaip Hidrogen

    Shell Eco-Marathon Asia (SEMA) 2018 yang berlangsung di Singapura dengan tema “Make The Future” menyaksikan sebanyak tujuh pasukan dari enam universiti di Malaysia menggalas cabaran negara di dalam pertandingan ini.

    Pasukan yang dimaksudkan ialah dari Universiti Malaya, Universiti Multimedia (dan satu lagi pasukan mereka dari Kampus Melaka), UiTM, Universiti Monash Malaysia serta Universiti Malaysia Pahang.

    Tambah membanggakan, pasukan Eco Voyager dari Universiti Malaya juga berhasil meraih tempat ketiga bagi kategori Prototaip Hidrogen. Mereka juga berjaya mengatasi rekod lama sendiri dengan mencatatkan bacaan 267 km/m3.

    Shell Eco-Marathon 2018 – tujuh pasukan Malaysia layak; Eco Voyager tempat ketiga Prototaip Hidrogen

    Enam pasukan dari Malaysia itu terlebih dahulu terpaksa melepasi saringan teknikal yang ketat sebelum layak meletakkan kenderaan yang mereka hasilkan di dalam litar untuk ujian kecekapan bahan api. Terdapat 12 peringkat saringan teknikal yang perlu dilepasi terlebih dahulu.

    “Penglibatan di dalam acara ini memberikan peluang berguna kepada pasukan pelajar yang ikut serta untuk mengembangkan kemahiran diri mereka, baik dari aspek teknikal mahupun sebaliknya. Pelajar perlu mempersiapkan diri untuk memimpin, menjana idea kreatif dan mencari penyelesaian untuk setiap masalah yang dihadapi. Ini melangkau perkara-perkara yang mereka pelajari di dalam kelas dan bermanfaat untuk masa depan mereka,” ujar Ketua Perhubungan Luar, Shell Malaysia, Nimmi Kamal.

     
     
  • Ibu pejabat dan kilang enjin BMW diserbu – disyaki guna perisian untuk menipu ujian pencemaran udara

    Ibu pejabat dan kilang enjin BMW diserbu – disyaki guna perisian untuk menipu ujian pencemaran udara

    Belum lagi reda sepenuhnya kes skandal penipuan ujian pencemaran udara Dieselgate oleh Volkswagen Group, kini muncul pula satu lagi kes yang seakan sama, juga dari pengeluar automotif dari Jerman. Pihak berkuasa negara berkenaan telah menyerbu Ibu pejabat BMW di Munich serta kilang enjinnya di Austria sebagai salah satu tindakan siasatan keatas dakwaan bahawa jenama tersebut menggunakan perisian untuk menipu dalam ujian emisi.

    Menurut pihak berkuasa tersebut, sejumlah 11,400 BMW 750d dan BMW M550d terbabit dalam isu ini. “Terdapat kecurigaan awal bahawa BMW telah menggunakan peranti pengubah yang berkaitan dengan alat ujian,” kata pendakwa raya dalam laporan BBC. Perkara ini disyaki setelah hasil bacaan CO2 yang dinyatakan dalam ujian baharu Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP) model-model berkenaan jauh berbeza dari ujian Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC) yang digunakan sebelumnya.

    Kenyataan rasmi BMW menyatakan mereka mengambil serius situasi ini dan akan berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa terlibat. “Kumpulan BMW akan terus menganggap situasi ini adalah disebabkan kegagalan pada perisian dan tidak mewakili percubaan yang disengajakan untuk memanipulasi emisi ekzos,” kata kenyataan tersebut.

    BMW telah pun memanggil semula 11,700 kenderaan untuk membuat pertukaran perisian, tetapi Pihak Berkuasa Persekutuan Pengangkutan Bermotor Jerman (KBA) mengatakan perisian pada kenderaan yang terlibat tersebut tidak dikira sebagai peranti pengubah.

    “Kebanyakkan kenderaan yang terjejas pada mulanya telah dijual dengan perisian yang betul dan beroperasi dengan betul selama dua tahun. Perisian yang tidak betul telah digunakan dalam waktu yang signifikant selepas model-model tersebut diproduksi,” jelas BMW.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    Kia Sportage generasi keempat bakal diberikan facelift, dan unit ujiannya telah ditemui di Korea Selatan baru-baru ini. Gambar yang diperolehi daripada Motorgraph ini menunjukkan SUV tersebut berhenti sebentar untuk mengisi minyak, seterusnya dapat diambil gambar secara dekat.

    Walaupun usaha keras dilakukan untuk melindungi rupa baru Sportage ini, kita masih boleh melihat lampu hadapan bentuk baru, yang kini mempunyai empat bintik DRL seperti Forte dan Ceed baru. Gril ‘tiger nose‘ dan bahagian bawah bampar juga seperti diberi sentuhan baru, dengan bukaan yang lebih besar dan lampu kabus baru.

    SPYSHOT: Kia Sportage facelift dijumpai di Korea

    Pada bahagian belakang, terdapat lampu LED baru, dan berdasarkan apa yang terdedah di sebalik kain pelindung itu, bamparnya juga mungkin adalah baru. Tiada gambar bahagian dalam yang diberi, tapi anda boleh menjangka trim serta bahan kemasan yang diperbaharui, bersama sistem informasi, hiburan serta kelengkapan yang terkini.

    Sama juga untuk enjin. Ia mungkin diperbaharui dengan pilihan yang termasuk enjin petrol NA dan turbo, dengan kapasiti 1.6, 2.0 dan 2.4 liter, manakala enjin diesel turbo pula terdiri daripada unit 1.7 dan 2.0 liter. Semua enjin ini bakal dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan, automatik enam kelajuan dan automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • Kymco iONEX dipertonton buat kali pertama di Jepun

    Kymco iONEX dipertonton buat kali pertama di Jepun

    Dalam masa tiga tahun lagi, Kymco meletakkan sasaran untuk melancarkan 10 model elektrik, dan ini dimulakan dengan pengenalan iONEX semasa Tokyo Motorcycle Show di Jepun. Skuter elektrik ini masih belum dilancarkan untuk jualan, tapi diperkenalkan dengan bentuk yang lengkap berserta sistem sokongannya.

    Daripada aspek rupa, iONEX mempunyai penampilan seperti model Vespa moden, dengan lampu hadapan bulat, badan yang kompak serta panel meter digital. Kebanyakan bahagian badan ini menggunakan warna putih, sementara di beberapa bahagian terdapat kemasan warna biru.

    Perincian teknikal lengkap iONEX tidak diberitahu, tetapi ia didakwa mampu menghilangkan kerisauan yang ada pada motosikal elektrik sebelum ini. Antara keistimewaan iONEX adalah ia dilengkapi dengan dua bateri mudah alih yang terletak di bahagian pelantar kaki, dan satu bateri utama yang berada sepanjang masa di motosikal.

    Dua bateri yang terletak di pelantar kaki tersebut dibina dengan bentuk yang mudah untuk dipegang oleh pengguna, dan ia boleh dicabut untuk dicas. Walaupun dua bateri itu sedang dicas, pemilik masih boleh menggunakan iONEX kerana ia boleh dikuasakan oleh bateri utama. Bateri utama tersebut akan sentiasa dipastikan berada dalam tahap penuh dengan mengambil cas daripada bateri mudah alih.

    Jika itu masih tidak mencukupi, pengguna juga boleh menyewa bateri satu lagi bateri tambahan, dan ia boleh diletakkan di bawah tempat duduk. Dengan semua bateri ini, Kymco mendakwa, iONEX boleh memberi jarak pergerakan sehingga 200 km.

    Bukan setakat motosikal itu sahaja, Kymco turut menunjukkan sistem sokongan untuk skuter elektrik ini, iaitu mesin mengecas bateri seperti mesin vendor, di mana pengguna iONEX boleh meninggalkan bateri mereka untuk dicas,. Selain daripada itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mengecas bateri di rumah atau di kedai tertentu yang menyediakan hidmat mengecas.

     
     
  • Staf Porsche terima bonus sehingga lebih RM46k seorang atas prestasi jualan yang baik pada 2017

    Staf Porsche terima bonus sehingga lebih RM46k seorang atas prestasi jualan yang baik pada 2017

    Sebagai membalas jasa kakitangannya yang bertungkus lumus sepanjang 2017 dan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun lalu, pengeluar kereta sport dari Jerman, Porsche, bersetuju untuk membayar bonus sehingga 9,300 euro seorang (sekitar RM45k).

    Bayaran tersebut termasuk 700 euro (RM3.4k) yang disalurkan terus kepada skim pencen Porsche VarioRente atau skim-skim pencen lain yang disertai oleh setiap pekerja berkenaan. Tidak cukup dengan itu, setiap pekerja juga menerima bonus khas bernilai 356 euro (RM1.7k) sempena ulangtahun ke-70 syarikat tersebut, sejak ia menghasilkan kereta sport pertamanya, Porsche 356 pada tahun 1948.

    Jadi, secara keseluruhan, seorang pekerja mampu untuk menerima jumlah bonus sehingga 9,300 euro seorang. Bonus ini akan diterima oleh 23,000 orang pekerja, dan ia dibayar berdasarkan jumlah jam bekerja masing-masing, serta tempoh perkhidmatan mereka dalam syarikat tersebut.

    Sepanjang tahun kewangan 2017, Porsche berjaya menghantar sejumlah 246,000 unit kenderaan kepada pelanggannya, meningkat empat peratus dari tahun sebelumnya. Dengan itu, pendapatan syarikat dicatatkan mencapai 23.5 bilion euro atau meningkat sehingga lima peratus.

    Sehingga akhir 2017, pekerja syarikat tersebut turut meningkat sehingga lapan peratus kepada 29,777 orang. Sepanjang tahun lalu, kesemua mereka menumpukan perhatian kepada berberapa produk seperti 911 GT3, GT2 RS, Panamera Sport Turismo dan Cayenne.

    “Kejayaan Porsche pada tahun 2017 adalah kerjasama berpasukan,” kata pengerusi lembaga eksekutif Porsche AG, Oliver Blume. “Kami bangga dengan komitmen yang baik dan minat kesemua rakan sekerja. Di Porsche, kami fokus terhadap kakitangan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Jika kita mampu untuk membeli kenderaan yang harganya puluhan ribu ringgit (atau lebih), mengapa bila perlu menukar minyak enjin, akan dipilih yang murah dan bukannya yang asli? Atau, kalau betul-betul tak mampu untun menyelenggara kenderaan sebaiknya – kerana kosnya agak tinggi – ramai antara kita yang sebetulnya tidak mampu pun untuk memiliki kenderaan?

    Disebabkan kelompok seperti inilah agaknya sindiket yang menjual minyak enjin terpakai atau tiruan boleh terus “bernyawa”. Seperti dilaporkan oleh akhbar Harian Metro hari ini, gejala itu didapati sangat berleluasa terutamanya di Lembah Klang.

    Menurut laporan berkenaan, minyak enjin yang dikitar semula ini kemudiannya dipakejkan semula menggunakan jenama terkenal terkenal dan dijual pada harga 50% lebih murah berbanding produk tulennya. Produk-produk tipu seperti ini boleh didapati dengan mudah dibengkel-bengkel kereta, motosikal dan lori.

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Sindiket berkenaan membeli minyak hitam terpakai dari bengkel-bengkel yang menyediakan tong tadahan (tong dram) hasil daripada minyak terpakai yang ditukar oleh pelanggan pada harga RM40-RM50 satu tong. Ia kemudiannya di tapis berkali-kali dan melalui tindak balas kimia untuk mendapatkan warna yang jernih semula.

    Dan, bengkel-bengkel yang terlibat menjual produk tipu ini tahu tentang perkara ini. Tetapi, disebabkan pengguna hanya mahukan produk yang harganya murah tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kereta mereka, maka penjual hanya menutup sebelah mata dan tetap menjualnya kerana ada permintaan.

    Perkara ini bukanlah sekadar cakap-cakap kosong dan bukan juga sesuatu yang baru. Ia kembali mendapat perhatian selepas pihak KPDNKK membuat sebuan ke tiga premis di ibu negara dan merampas sebanyak 517 botol minyak enjin empat liter yang menggunakan pakej jenama antarabangsa.

    Minyak hitam tiruan, kitar semula diedar berleluasa – murah tetapi beri kesan buruk kepada enjin kenderaan

    Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNKK, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, selain minyak hitam, turut dirampas adalah 34 unit minyak gear dan 22 unit minyak brek tiruan. Operasi berkenaan adalah sebagai tindak balas terhadap aduan pemilik jenama berkenaan yang mengesan aktiviti penjualan minyak tiruan menggunakan jenama mereka.

    “Bertindak atas aduan itu, KPDNKK Kuala Lumpur mewujudkan tiga pasukan bagi membuat pemeriksaan di tiga premis terletak di Taman Segar, Taman Daya dan Taman Melati bersama wakil jenama minyak itu di negara ini,” jelas beliau memetik laporan yang sama.

    Hal-hal seperti ini tidak akan berlaku sekiranya pengguna bertindak dan berfikir dengan bijak. Penyelenggaraan kenderaan – termasuk minyak enjin dan alat ganti yang lain – dari produk aslinya menjamin ketahanan dan kelangsungan kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi tempoh waktu yang lama.

    Jadilah pengguna yang bijak. Hantar kenderaan untuk diservis ke bengkel-bengkel yang bertauliah. Dan, paling penting, produk-produk atau alat ganti tiruan atau kitar semula tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung untuk digunakan pada kenderaan anda.

     
     
  • Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Selain dari jentera Polo GTI R5 yang akan bertanding dalam kategori WRC2 pada kejohanan rali dunia (WRC), Volkswagen turut terlibat dalam satu lagi kejuaraan rali iaitu FIA World Rallycross Championship. Tahun ini pasukan jenama tersebut masih lagi dikendali oleh PSRX Volkswagen Sweden iaitu pasukan milik juara WRC 2003, Petter Solberg (turut berlumba dalam kejuaraan ini), dengan jentera baharu Volkswagen Polo R Supercar.

    Buat pertama kali juga, pasukan berkenaan mendapat sokongan terus dari divisi rasmi Volkswagen R, dan jentera Polo R tersebut masih lagi akan dipandu oleh juara bertahan, Johan Kristofferson. Namun, berbeza dengan Polo GTI R5 yang telahpun menggunakan kerangka asas Polo Mk6, jentera Rallycross ini masih lagi dibina dari Polo tiga-pintu generasi kelima.

    Tetapi, grafik yang membentuk lampu hadapan belakang palsu kereta ini telah direka semula bagi menampakkan ia seolah-olah Polo model generasi keenam. Menurut VW lagi, perubahan paling besar dilakukan terhadap jentera berkenaan adalah pada bahagian hadapan, dengan liang kemasukan udara direka semula bagi mendapatkan aerodinamik lebih baik, seterusnya membuatkannya lebih efisien.

    Volkswagen Polo R Supercar – jentera 570 hp untuk pertahan gelaran juara FIA Rallycross Dunia 2018

    Elemen aerodinamik turut diperbaharui pada bahagian belakang dengan pemadanan spoiler baharu. Sayap tersebut bukan sahaja memberikan downforce yang lebih baik, malah sudutnya boleh ditala dengan lebih bebas bagi memperincikan karekter yang dimahukan oleh pemandu.

    Volkswagen Polo R Supercar ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang mampu menghasilkan 570 hp. Menurut VW, enjin tersebut kini diberikan talaan yang lebih sesuai dengan disiplin Rallycross, di mana pelumba perlu bersaing dalam litar pendek, dengan lawan yang sentiasa mengasak antara satu sama lain dalam jarak yang sangat dekat.

    Dengan gandingan sistem pacuan semua roda, jentera ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 60 bsj (97km/j) dalam masa hanya 1.9 saat, sementara kelajuan maksimanya pula sekitar 209 km/j.

    “Volkswagen R sentiasa melakar inspirasi dan minat dari perlumbaan bermotor,” kata Jost Capito, pengarah urusan Volkswagen R GmbH. “Sekarang kami akan membina kualiti tersebut secara aktif dengan kerjasama rapat bersama rakan kami di Volkswagen Motorsport dan pasukan PSRX. Kejuaraan Dunia FIA Rallycross ini akan menjadi sangat menarik dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kami.”

    Pengarah Volkswagen Motorsport, Sven Smeets pula berkata, “Tiada persoalan terhadapnya, musim baharu ini menjanjikan keterujaan. Pihak lawan akan melakukan semua yang mereka mampu untuk merampas gelaran kami. Sasaran kami tentunya untuk membekalkan Johan dan Petter dengan kereta yang baik, yang akan membolehkan mereka mencabar merebut gelaran kejuaraan dunia. Saya yakin yang kami akan mencapai kejayaan ini, dan dengan kerjasama baharu bersama Volkswagen R akan memberikan kami lebih kuasa.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024