Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat 3S Haval baharu kini dibuka di Bangi, Selangor

    Pusat 3S Haval baharu kini dibuka di Bangi, Selangor

    Haval Malaysia telah melancarkan pusat 3S baharu di Selangor. Terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, fasiliti jualan, servis dan alat ganti, dikendalikan oleh pengedar bertauliah Wan Auto Car Wheels. Cawangan ini, yang terletak di kawasan komersil dan perindustrian, akan memberikan perkhidmatan untuk pelanggan yang tinggal di sekitar Bangi dan Kajang.

    Dengan pengedar baharu ini telah menjadikan bilik pameran Haval kini berjumlah 27 cawangan di seluruh negara. Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata syarikat itu berhasrat untuk mempunyai sebanyak 35 wakil jualan di seluruh negara menjelang 2019.

    Haval Malaysia kini sedng mempromosikan kempen ‘Bebas Merdeka dari GST’, yang menawarkan penjimatan sehingga RM6,600 untuk Haval H1 dan RM7,300 bagi Haval H2 sehingga hujung bulan ini. Ini termasuk menganjurkan kempen jelajah Reimagine di The Curve, Petaling Jaya, pada hujung minggu ini.

     
     
  • Pusat 3S Mazda baharu dibuka di Jelutong, P.Pinang

    Pusat 3S Mazda baharu dibuka di Jelutong, P.Pinang

    Bermaz Motor telah membuka pusat 3S dan cawangan terbaru kenderaan Mazda di Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang, dan ini adalah cawangan mereka yang ke-85. Dengan kedudukan yang strategik, ia memberikan akses yang mudah untuk pelanggan yang berada di kedua-dua bahagian Pulau Pinang (dalam pulau, mahupun tanah Semenanjung).

    Secara keseluruhannya, pusat 3S ini terletak di atas tanah berkeluasan 39,992 kaki persegi, dengan bangunan seluas 24,138 kaki persegi, dan merupakan satu daripada cawangan Mazda yang terbesar di Malaysia. Untuk bahagian pameran, ia boleh menempatkan 14 kenderaan manakala untuk bahagian servis, terdapat tujuh ruang bekerja.

    Dengan binaan ini, pusat 3S Mazda Jelutong mampu menampung kapasiti servis kenderaan sehingga 500 buah sebulan yang termasuk servis penyelenggaraan biasa serta baik pulih lain. Semua juruteknik dan pekerja di situ juga telah dilatih untuk memberi servis yang profesional kepada pelanggan.

    Pusat 3S Mazda baharu dibuka di Jelutong, P.Pinang

    Pusat 3S Mazda Jelutong ini juga memberikan penyelesaian yang lengkap untuk keperluan pelanggan. Selain jualan, mereka juga boleh menguruskan hal trade-in, pembiayaan serta khidmat selepas jualan lain. Untuk bahagian pameran, ia dibuka dari jam sembilan pagi hingga tujuh malam pada hari Isnin hingga Sabtu dan 10 pagi hingga lima petang pada hari Ahad dan cuti am.

    Bahagian servis selepas jualan pula dibuka dari jam lapan pagi hingga lima petang pada hari Isnin hingga Jumaat, dan lapan pagi hingga 12 tengahari pada hari Sabtu. Semasa pembukaan pusat 3S ini, Bermaz turut melancarkan model facelift CX-3 2018 dan melakukan pra tonton khas untuk Mazda 6 2018.

     
     
  • Mazda 6 2018 dipertonton di M’sia dalam empat varian

    Mazda 6 2018 dipertonton di M’sia dalam empat varian

    Mazda 6 facelift 2018 pertama kali ditunjukkan sepenuhnya kepada dunia hujung tahun lalu semasa Los Angeles Auto Show 2017, dan kini ia telah dipertontonkan di Malaysia. Bermaz Motor Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif Mazda di Malaysia telah mendedahkan empat varian sedan segmen D ini yang akan dibawa ke Malaysia iaitu 2.0L Sedan petrol, 2.5L Sedan petrol, 2.5L Touring petrol dan 2.2L Sedan diesel. Walaupun begitu, harganya masih belum diberitahu.

    Melihat kepada bahagian luarnya, Mazda 6 facelift 2018 dijadikan lebih elegan dengan muka yang direka semula – termasuk gril baru dengan keliling krom yang bersambung ke bahagian bawah lampu (sebelum ini ke bahagian atas), lampu LED hadapan dengan grafik baru, lampu siang LED yang direka semula, bukaan udara penjuru bampar yang lebih tajam serta rekaan rim 19 inci baru (untuk 2.5L dan 2.2L).

    Pergi ke belakang pula, kereta ini menggunakan rekaan lampu baru, bersama kemasan krom yang bersambung dengannya dari tengah. Bahagian bawah bampar juga kini tiada kemasan yang berwarna hitam, dan muncung ekzos menggunakan rekaan baru dan diletakkan lebih ke penjuru.

    Perubahan pada bahagian dalam adalah lebih komprehensif, dengan penggunaan papan pemuka yang lebih leper dan mendatar, skrin infotainmen Mazda Connect yang dibesarkan kepada lapan inci dan diletakkan lebih tinggi, butang kawalan pendingin hawa baru serta tempat duduk hadapan yang telah direka semula dengan bentuk yang lebih lebar, lebih berketumpatan tinggi, dan menggunakan span urethane yang lebih menyerap gegaran.

    Antara teknologi baru yang ditawarkan pada model 2018 ini adalah monitor yang memaparkan imej 360-darjah, paparan tolok TFT LCD Multi Info bersaiz 4.6 inci serta paparan ‘head-up’ Active Driving Display ke cermin hadapan. Semua ciri ini bagaimanapun hanya tersedia untuk varian 2.5L dan 2.2L.

    Melihat kepada ciri keselamatan, semua varian Mazda 6 2018 ini dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA), Auto Hold Function dan cagak Isofix. Turut dikekalkan adalah sistem G-Vectoring Control (GVC) seperti sebelum ini.

    Klik untuk besarkan

    Bagi varian 2.5L dan 2.2L, ia kemudiannya ditambah lagi dengan ciri baru yang termasuk lampu LED Adaptive, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist System, Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS).

    Pergi kepada enjin, varian asas 2.0L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 1,998 cc berkuasa 162 hp dan 213 Nm tork, varian 2.5L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 2,488 cc berkuasa 192 hp dan 258 Nm tork manakala varian 2.2L menggunakan unit SkyActiv-D empat silinder diesel 2,191 cc berkuasa 188 hp dan 450 Nm tork. Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar hadapan.

    Walaupun harga masih belum disiarkan, Mazda 6 2018 ini akan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km.

     
     
  • Mazda CX-3 facelift 2018 dilancar di M’sia – RM121k

    Mazda CX-3 <em>facelift</em> 2018 dilancar di M’sia – RM121k

    Mazda CX-3 versi facelift 2018 pertama kali diperkenalkan kepada umum semasa New York International Auto Show (NYIAS) Mac lalu, dan tiga bulan selepas itu, ia tiba di Malaysia dan dipertontonkan kepada orang ramai semasa pameran bergerak di Pusat Beli Belah One Utama, Selangor. Kini, ia telah dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang diadakan di Pulau Pinang.

    Pada bahagian luar, perubahan yang boleh dilihat adalah termasuk pada gril yang kini menggunakan rekaan dua kepingan krom, kemasan krom pada bucu bampar hadapan dan tepi, lampu belakang lebih kecil inspirasi daripada CX-5 baru, rekaan rim aloi 18 inci baru, kemasan hitam berkilat di keliling lampu kabus serta tambahan pilihan warna Soul Red Crystal.

    Masuk ke dalam, perubahan yang diberi mungkin kurang jelas, tetapi sebenarnya beberapa bahagian adalah baru seperti corong pendingin hawa dengan jalur merah serta terdapat kemasan ala suede di panel papan pemuka. Kemudiannya konsol tengah turut diubah, kerana ia kini dilengkapi dengan butang brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), dan suis pemilih Sport Mode serta tombol kawalan MZD Connect diposisikan semula.

    Turut disertakan ialah perehat tangan dengan ruang simpanan barang di bawahnya, serta perehat tangan baru di bahagian tengah untuk penumpang belakang dengan tempat letak cawan padanya. Menambah keselesaan kepada pengguna, kadar NVH CX-3 ini turut diperbaiki dengan penggunaan panel pintu, cermin luar serta lapik bumbung yang lebih tebal.

    Walaupun CX-3 facelift ini masih menggunakan enjin sama seperti model sebelum ini, iaitu unit empat silinder petrol 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 154 hp dan 206 Nm tork bersama padanan transmisi SkyActiv-Drive enam kelajuan, ciri dinamiknya telah diperelok dengan talaan semula pada suspensi, stereng kuasa dan casis. Sistem G-Vectoring Control (GVC) untuk meningkatkan kawalan dinamik kenderaan juga masih ada.

    Untuk ciri keselamatan, CX-3 facelift datang dengan ciri terkini i-Activsense iaitu sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA). Kedua-dua sistem tambahan baru ini menyertai ciri-ciri lain sedia ada seperti ABS dan EBD serta bantuan brek, Dynamic Stability Control (DSC), Traction control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA), enam beg udara dan tapak ISOFIX.

    Mazda CX-3 <em>facelift</em> 2018 dilancar di M’sia – RM121k

    Kelengkapan lain yang ada pada model ini termasuk lampu utama LED automatik, lampu kabus hadapan dan lampu belakang, kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa 10-hala bersama memori, bilah pengelap cermin automatik, pendingin hawa zon-tunggal automatik, paparan head-up display berwarna, paddle shifter, cruise control, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sentuh tujuh-inci, sistem navigasi GPS, enam-pembesar suara dan kamera undur. Bagaimana pun, ia kini tidak mempunyai bumbung matahari.

    Mazda CX-3 facelift ini adalah unit yang diimport sepenuhnya, dan ia dijual dalam satu varian sahaja, pada harga RM121,134 tidak termasuk insurans. Enam pilihan warna diberikan iaitu Soul Red Crystal, Ceramic Metallic, Machine Grey, Deep Crystal Blue, Jet Black Mica dan Snowflake White Pearl, dan setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km dan penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 60,000 km.


    GALERI: Mazda CX-3 facelift 2018 dipamerkan di One Utama

     
     
  • Suzuki, Mazda dan Yamaha terbabit skandal palsukan keputusan ujian penggunaan bahan api terbaharu

    Suzuki, Mazda dan Yamaha terbabit skandal palsukan keputusan ujian penggunaan bahan api terbaharu

    Selepas skandal pemalsuan keputusan ujian ekonomi penggunaan bahan api dan pencemaran yang membabit Nissan dan Subaru baru-baru ini, kini tiga lagi pengeluar automotif Jepun didakwa melakukan perkara yang sama – Mazda dan Yamaha buat pertama kali, manakala Suzuki dikesan buat kali kedua setelah kes awalan dijumpai pada tahun 2016.

    Menurut laporan Nikkei Asian Review, skandal terbaharu ini telah pun disahkan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun. Perkara ini dikesan apabila kementerian berkenaan menggesa kesemua pengeluar automotif di negara matahari terbit tersebut untuk membuat siasatan semula terhadap prosedur ujian mereka setelah Nissan dan Subaru dikesan melakukan kesalahan yang sama.

    Portal berita berkenaan menyatakan bahawa kesemua yang dikesan melakukan kesalahan ini membuat ujian menerusi sampel yang dipilih ketika proses penilaian kualiti dan namun ia telah diuji dengan situasi pemanduan yang tidak betul.

    Suzuki dikesan menjalankan ujian yang tidak betul berkenaan keatas 6,401 unit dari 12,819 kenderaan sejak 2012, Mazda dengan 72 unit dari 1,875 unit kenderaan sejak 2014, manakala Yamaha pula dikesan sebanyak tujuh unit dari 335 unit kenderaan sejak 2016.

    Justeru, Presiden Suzuki Toshihiro Suzuki telahpun mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas apa yang dilakukan oleh syarikatnya. “Ia adalah fakta yang signifikant bahawa terdapat sejumlah besar produk kami yang dihasilkan dengan tidak betul, dan kami ambil perkara ini secara serius,” katanya dalam satu sidang akhbar.

    “Kami gagal untuk mendidik staf kami dengan cara yang mendalam dan ekstensif,” tambahnya lagi. Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan belum lagi merancang untuk melakukan apa-apa panggilan semula berhubung perkara ini buat masa sekarang.

    Kementerian pengangkutan Jepun akan merombak ordinan mereka bagi meminta pengeluar automotif untuk menyimpan keputusan ujian bagi kenderaan-kenderaan yang diproduksi dan mengambil jalan penyelesaian bagi mengelakkan pemalsuan data seperti ini.

    Suzuki, Mazda dan Yamaha terbabit skandal palsukan keputusan ujian penggunaan bahan api terbaharu

    “Ia sangat mengecewakan bahawa situasi ini membuatkan pengguna bimbang terhadap kualiti kenderaan dan operasi kawalan kualiti pembuat automotif,” kata Menteri Pengangkutan Jepun Keiichi Ishii.

    Kes ini telah menyebabkan harga saham ketiga-tiga syarikat terlibat jatuh pagi ini. Pada satu tahap, saham Suzuki dan Yamaha jatuh sehingga 5% sejak semalam. “Harga saham pengeluar automotif terlibat jatuh apabila penipuan ini dikesan. Harga saham Yamaha turut menunjukkan trend menjunam,” kata seorang penganalisa dalam laporan Nikkei Asian Review tersebut.

    Skandal seumpama ini dikesan buat pertama kali pada April 2016, yang membabitkan Mitsubishi Motors Corporation (MMC). Ia meninggalkan impak yang cukup besar terhadap jenama berkenaan apabila saham mereka jatuh serta terpaksa membayar pampasan berjumlah 50 billion yen, dan akhirnya firma berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Renault Nissan dengan pegangan saham sebanyak 34%.

     
     
  • PLUS umum lorong perlahan di Jambatan Pulau Pinang ditutup secara berperingkat sehingga 30 Ogos

    PLUS umum lorong perlahan di Jambatan Pulau Pinang ditutup secara berperingkat sehingga 30 Ogos

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan lorong perlahan di beberapa lokasi di Jambatan Pulau Pinang akan ditutup secara berperingkat sehingga 30 Ogos ini. Ini adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin struktur bawah jambatan tersebut yang sedang dilaksanakan.

    Kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin itu dilaksanakan di antara jam 11 pagi hingga 3 petang setiap hari, kecuali hari Sabtu, Ahad dan Cuti Kelepasan Am.

    PLUS juga ingin menjelaskan bahawa kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaran rutin ini adalah tidak berkaitan dengan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan berjadual kabel Jambatan Pulau Pinang yang telah pun tamat pada 31 Julai lalu.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna Jambatan Pulau Pinang dinasihati supaya merancang perjalanan dan mematuhi semua papantanda serta arahan yang dikeluarkan. Pengguna juga dinasihatkan supaya mengikuti laman Twitter PLUSTrafik ataupun memuat turun aplikasi PLUS Mobile App untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di Jambatan Pulau Pinang serta semua lebuh raya kendalian PLUS.

     
     
  • PETRONAS cari calon baru untuk galas peranan sebagai jurutera pelincir di litar perlumbaan Formula 1

    PETRONAS cari calon baru untuk galas peranan sebagai jurutera pelincir di litar perlumbaan Formula 1

    PETRONAS melalui anak syarikatnya PETRONAS Lubricants International (PLI) ketika ini sedang mencari seorang jurutera pelincir untuk perlumbaan Formula 1 (trackside fluid engineer) bagi menyertai penyandang jawatan itu ketika ini, seorang anak tempatan, Ahmad Nasri Shafie.

    CEO Kumpulan dan Pengarah Urusan PLI, Guiseppe D’Arrigo memaklumkan, pada kebiasaannya, jawatan seperti ini hanya akan dibuka secara dalaman. “Tetapi kali ini kami ambil pendekatan berbeza, dengan mengumumkannya melalui akaun LinkedIn rasmi dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak dan berminat. Matlamat kami hanya satu – untuk mendapatkan khidmat dari bakat terbaik di dunia untuk mengisi kekosongan itu,” ujar beliau.

    Sepanjang program ini dijalankan bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS, jawatan ini sudah menyaksikan tiga individu sebagai penyandangnya. “Yang pertama dahulu seorang warga British, kedua seorang warga Vanezuela dan ketiga ialah Ahmad Nasri,” ujar Guiseppe.

    Program ini memerlukan jurutera pelincir yang terpilih untuk menggalas peranan itu selama dua tahun. Tahun pertama sebagai perintis, dan tahun kedua sebagai ketua. Kemudian, dengan pengalaman di litar yang diperoleh, mereka akan dipindahkan ke bahagian teknikal dan pembangunan produk pula.

    PETRONAS cari calon baru untuk galas peranan sebagai jurutera pelincir di litar perlumbaan Formula 1

    “Jadi, sekarang tiba masanya untuk kami mencari seorang lagi calon, yang akan menggalas tanggungjawab baru itu nanti bersama Nasri. Dan, kami ingin dapatkan yang terbaik, dari calon-calon seluruh dunia. Setakat ini, kami sudah menerima lebih daripada 2,500 permohonan, dan sebahagian besar adalah dari Malaysia. Ini sesuatu yang sanagt menarik,” tambah beliau lagi.

    Menggambarkan cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas sepanjang menjadi jurutera pelincir di litar F1, Ahmad Nasri menyatakan pengorbanan peribadi dan minat mendalam terhadap kerja antara yang paling utama.

    “Tugas saya akan bermula beberapa hari sebelum perlumbaan F1 bermula, dan berakhir lebih lama selepas perlumbaan tamat. Dan semuanya perlu cepat serta tepat, pasukan bergantung kepada analisis dan input yang diberikan untuk menentukan langkah seterusnya dalam perlumbaan – tentang apa saja yang melibatkan minyak pelincir pada kereta lumba F1 yang digunakan,” jelas beliau.

    Dalam satu-satu tempoh, hanya akan ada dua orang jurutera pelincir yang akan bertugas bersama makmal bergerak ke setiap lokasi perlumbaan F1 setiap musim. Dan, mereka ini turut disokong oleh 10 orang lagi jurutera yang akan membantu memproses data dan maklumat yang disalurkan.

    Kepada yang berminat, anda boleh lawati laman rasmi LinkedIn PETRONAS Lubricants International (PLI) atau emelkan permohonan kepada [email protected] sebelum 7 Oktober 2018.

     
     
  • GIIAS 2018: Hyundai Santa Fe generasi baharu kini di Indonesia dalam versi petrol NA dan turbodiesel

    GIIAS 2018: Hyundai Santa Fe generasi baharu kini di Indonesia dalam versi petrol NA dan turbodiesel

    Hyundai Santa Fe generasi baharu telah pun dilancarkan di Indonesia serentak dengan berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018. Untuk pasaran republik berkenaan, Santa-Fe baharu tersebut dijual dalam dua varian iaitu GLS dan XG, serta satu pilihan enjin petrol dan satu pilihan enjin diesel.

    Bagi model petrol, SUV bersaiz besar ini menerima enjin NA 2.4 liter MPI digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Untuk pilihan diesel pula, Santa-Fe dijana enjin dari siri R 2.2 liter turbodiesel CRDi dengan sistem e-VGT, menghasilkan kuasa 193 PS dan tork maksima 436 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik Shiftronic lapan-kelajuan. Satu lagi enjin yang direka untuk Santa Fe iaitu 2.0 liter petrol T-GDI tidak ditawarkan di Indonesia.

    Ia di jual pada pasaran negara tersebut pada harga bermula 499 juta (RM140,997) untuk model petrol GLS hingga Rp 569 juta (RM160,776) untuk model tertinggi diesel XG. Dengan tiga barisan duduk yang diberikan, secara tidak langsung Santa Fe akan berhadapan dengan Honda CR-V Turbo dan Toyota Fortuner TRD di pasaran negara berkenaan.

    GIIAS 2018: Hyundai Santa Fe generasi baharu kini di Indonesia dalam versi petrol NA dan turbodiesel

    Hyundai Santa Fe generasi keempat ini menampilkan dimensi yang lebih besar dari model sebelumnya. Ia diukur dengan 4,770 mm panjang dan 1,890 mm lebar, atau 80 mm lebih panjang dan 10 mm lebih lebar dari model DM generasi ketiga. SUV ini juga mempunyai jarak roda 2,765 mm atau 65 mm lebih panjang dari sebelum ini. Model tertinggi SUV ini turut dipadankan dengan rim bersaiz 19-inci.

    SUV ini turut menerapkan rekaan terbaharu barisan SUV jenama Korea tersebut terutamanya pada muka yang seakan adiknya dari segmen-B –Kona– yang menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas muka, manakala lampu utama pada bahagian bawah, bersama gril “cascading” signatur Hyundai. Bahagian belakang juga lebih garang dengan lampu yang turut direka tirus, serta diberikan elemen kristal seperti yang terdapat pada lampu terkini Mercedes-Benz.

    Bahagian dalaman juga direka lebih premium dari sebelum ini. Pandangan belakang pemandu kini lebih besar kerana SUV ini diberikan cermin suku yang 41% lebih besar, manakala ruang pada tempat duduk baris kedua dan ketiga juga lebih luas. Ruang lutut pada baris tengah kini 38 mm lebih besar manakala asas tempat duduknya pula 18 mm lebih tinggi. Masuk ke baris ketiga juga lebih mudah kerana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan sentuhan satu tuil, bersama ruang kepala di bahagian tersebut kini 22 mm lebih tinggi.

    Di Malaysia, Santa Fe generasi ketiga sudahpun dihentikan penjualannya. SUV generasi baharu ini sudahpun dijumpai di negara kita sebelum ini, tetapi ia adalah unit untuk pusat latihan serantau Hyundai yang terletak di sini. Model berkenaan sememangnya akan masuk kepasaran tempatan pada masa akan datang, berkemungkinan hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

     
     
  • Pulau Pinang digesa kaji semula teknik dan operasi standard penurapan jalan untuk elak masalah banjir

    Pulau Pinang digesa kaji semula teknik dan operasi standard penurapan jalan untuk elak masalah banjir

    Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa mengkaji semula teknik dan prosedur operasi standard (SOP) penurapan semula jalan raya yang hanya menurap permukaan jalan raya sedia ada. Gesaan ini diluahkan oleh Oh Ah Teong (PH-Batu Lancang) yang berkata teknik yang digunakan sekarang ialah menurap jalan raya sedia ada dengan lapisan baharu setebal enam sentimeter dan ia diguna pakai berkali-kali, laporan Bernama.

    “Saya khuatir selepas beberapa kali jalan yang sama ditar semula, jalan raya itu akan menjadi semakin tebal setiap kali. Jika jalan yang sedia ada ditar setiap lima tahun dengan menambah ketebalan sebanyak 6 cm, dalam masa 50 tahun ia akan menjadi 60 cm atau lebih kurang dua kaki. Ini adalah 10 kali ganda ketebalan asal,” katanya.

    “Jika jalan-jalan itu diturap dengan teknik ‘milling’, ia dapat menampung 15,816,000 liter air hujan. Oleh kerana jalan raya kini hanya diturap semula, sebanyak 15,816,000 liter air hujan ini tidak dapat ditampung dan akan mengalir ke kawasan berdekatan ataupun ke kawasan yang lebih rendah,” ujarnya.

    Pulau Pinang digesa kaji semula teknik dan operasi standard penurapan jalan untuk elak masalah banjir

    Menurutnya lagi, berbanding negara jiran seperti Singapura, Korea, Jepun dan China yang lebih kukuh dan kuat malah tahan lasak sehinggakan kapal terbang boleh mendarat di atas permukaan jalan.

    Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan jalan tar di Pulau Pinang, setiap kali hujan lebat berlarutan untuk beberapa hari terdapat lopak air dan lubang di atas permukaan tar.

    “Kita juga dapat lihat jalan raya di Pulau Pinang, penuh dengan tampalan semula atau ‘patch work’ dan lopak-lopak. Pada pendapat saya, keadaan ini menunjukkan imej kebelakang pula kerap mengorek jalan-jalan raya dan menampal semula jalan dengan sembarangan dan mencacatkan lagi permukaan jalan,” katanya.

     
     
  • SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

    SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

    Ini perkembangan terbaharu berkenaan SUV Lotus yang bakal muncul menjelang 2021 nanti – menurut laporan oleh Car Magazine, syarikat pembina kereta sport berkenaan kini bukan hanya membina sebuah, tetapi dua model yang disasarkan akan memberi cabaran kepada BMW X4 dan X6 serta adik-beradik Porsche Macan dan Cayenne.

    CEO Lotus Jean-Marc Gales berkata dalam satu temurah bersama penerbitan berkenaan, syarikatnya yang kini di bawah pentadbiran Geely bakal menggunakan teknologi-teknologi Volvo termasuk platform Scalable Product Architecture (SPA), Compact Modular Architecture (CMA) dan juga enjin petrol turbo Drive-E jenama dari Sweden tersebut.

    Walau bagaimanapun bagi penggunaan platform, Lotus tidak akan mengambil kesemua apa yang ada pada SPA dan CMA, sebaliknya turut akan menggunakan banyak modul binaan mereka sendiri, dengan memadankannya pada badan, komponen dalaman yang tersendiri juga dengan talaan enjin berlainan.

    SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

    “Saya tidak akan bercakap berkenaan platform; ia tidak lebih dari set-set komponen, mungkin 30 hingga 80 modul utama,” kata Gales dan menambah “Ini antara komponen yang boleh dikongsi Lotus, ia boleh jadi enjin, sistem radar autonomi, pendawaian yang boleh dipadankan pada kereta tersebut.”

    Car Magazine menjangkakan SUV Lotus berkenaan akan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder Volvo bersama kelengkapan hibrid elektrik yang sama seperti janakuasa T8 Twin Engine.

    Menurut Gales, model “empat-pintu” (seperti SUV) berkenaan akan membolehkan Lotus meningkatkan produksi tahunannya dari 1,500 unit kepada 3,000 unit. Disebabkan ia juga bakal menerima pelbagai komponen dari Volvo, proses produksi juga dijangka bakal mengambil tempat pada jaringan produksi Volvo yang lain, walaupun kilang Lotus berkenaan mampu untuk menghasilkan sebanyak 5,000 unit kereta setahun.

    Boss Lotus tersebut turut menegaskan, walaupun produk syarikatnya kelak bakal menerima pelbagai sistem elektrikal dan teknologi pemanduan-separa automatik, ia tidak akan menjadi seolah-olah kembar kepada Volvo XC90.

    “Ia akan masih menjadi model paling rendah dalam kelasnya, mungkin juga paling lebar dalam kelasnya bagi memberikan cengkaman jalan yang baik, dah sudah tentu paling ringan, dah sudah pasti paling baik di litar,” kata Gales yang turut menggemari SUV Alfa Romeo Stelvio. “Ia perlu untuk rasa, di pandu, dan nampak seperti Lotus,” tegasnya lagi.

    Seperti dinyatakan tadi, versi tertinggi SUV ini disasarkan untuk bersaing dengan Porsche Cayenne, oleh itu ia dianggarkan akan dijual pada harga sekitar £80,000 (RM420,000) hingga £100,000 (RM525,000). Sebelum Lotus diambil alih oleh Geely, projek SUV ini dirancang bakal dijalankan menerusi satu lagi kerjasama dari firma China iaitu Goldstar.

     
     
  • Melaka lancar perkhidmatan bas percuma 20 Ogos ini

    Melaka lancar perkhidmatan bas percuma 20 Ogos ini

    Kerajaan Negeri Melaka bakal melancarkan perkhidmatan bas percuma pada 20 Ogos ini. Menurut Bernama, perkhidmatan bas percuma itu akan melibatkan laluan Melaka Sentral-Hospital Melaka-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Melaka Sentral-Pasar Transit Melaka.

    Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abd Wahab berkata perjalanan bas dua hala melibatkan jauh keseluruhan kira-kira 13 km itu akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Panorama Melaka Sdn Bhd dengan kos kira-kira RM1.3 juta setahun.

    Tambahnya lagi, tiga bas yang terlibat dalam laluan itu akan menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) bertepatan dengan status Melaka sebagai negeri yang melaksana teknologi hijau sebagai dasar pertumbuhan dan perkembangannya. Kekerapan bas tiba di satu-satu hentian pula adalah kira-kira 45 minit bergantung kepada keadaan aliran trafik di kawasan sekitar.

    Perkhidmatan bas percuma itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama masyarakat luar bandar di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

     
     
  • DBKL bakal laksanakan aliran trafik dua hala di sebahagian Jalan Sultan Ismail mulai 12 Ogos ini

    DBKL bakal laksanakan aliran trafik dua hala di sebahagian Jalan Sultan Ismail mulai 12 Ogos ini

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan perubahan aliran trafik di sebahagian Jalan Sultan Ismail daripada satu hala kepada dua hala mulai 12 ogos ini. Perubahan aliran trafik itu bermula dari simpang Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang hingga simpang Jalan Sultan Ismail/Jalan Imbi, laporan Bernama

    Dengan aliran trafik baharu ini, kenderaan yang datang dari arah Jalan Bukit Bintang dibenarkan membelok ke kiri menghala ke Bulatan Kampung Pandan, Terowong SMART dan Petaling Jaya.

    Menurut DBKL, aliran trafik baharu ini dilaksanakan bagi menampung pertambahan bilangan kenderaan yang datang dari arah Bukit Bintang dan mempercepatkan pergerakan trafik keluar dari pusat bandar, khususnya ketika waktu puncak di sebelah petang.

    Dalam masa yang sama, DBKL menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik bagi mengelak kekeliruan.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga akan termasuk dalam semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP) – MITI

    Projek kereta nasional ketiga akan termasuk dalam semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP) – MITI

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) menyatakan mereka yakin bahawa semakan semula terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) akan lengkap pada penghujung tahun ini dan turut akan mengambil kira idea dan input untuk projek kereta nasional ketiga, lapor The Sun.

    Menurut Timbalan Menteri Dr Ong Kian Ming, semakan semula berkenaan akan melibatkan halatuju mobiliti baharu dan trend dalam corak pemanduan, serta akan melaras semula dasar berkenaan membolekan ia selari dengan kemajuan dalam pengangkutan awam serta melihat semula pembangunan vendor dalam ekosistem.

    Bagi rancangan projek kereta nasional ketiga yang akan diambil kira, Ong memberi jaminan bahawa projek yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini “tidak akan sama dengan Proton”. Beliau menjelaskan bahawa konsep projek Dr Mahathir berkenaan bukan mahukan sebuah lagi Proton.

    Projek kereta nasional ketiga akan termasuk dalam semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP) – MITI

    “Banyak perkara yang boleh dikemaskini dalam aspek bagaimana kita mahu aspirasi Dr Mahathir bagi memacu industri automotif kepada sesuatu yang lebih mampan dan mesra alam. Input dari industri dan pemegang kepentingan sangat penting bagi membantu MITI membentuk NAP ini. Kami berharap orang ramai tidak berfikir bahawa niat Dr Mahathir untuk melahirkan semula Proton sebagai Proton 2.0. Beliau mempunyai banyak lagi idea,” kata Ong.

    Ong menambah bahawa projek kereta nasional ketiga – yang dijangka akan muncul menjelang 2020, menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof – ini akan terbuka untuk menerima semua input dan idea.

    “Dr Mahathir telah menyuarakan berkenaan kemungkinan untuk mewujudkan kereta ASEAN dengan kerjasama bersama Indonesia, jadi ada peluang untuk menerokainya dengan pemain lain, tetapi melihat kepada sudut bagaimana NAP digunakan pada peringkat antarabangsa, bergerak kearah kereta elektrik dan kenderaan cekap tenaga (EEV), serta rantaian nilai yang hadir bersamanya, yang turut termasuk elektronik, kecerdasan buatan (A.I), perkara-perkara internet – yang akan menjadi sebahagian dari ekosistem,” jelasnya.

     
     
  • AD: Tender bagi siri nombor plat ‘UUU’ dibuka 8 Ogos

    AD: Tender bagi siri nombor plat ‘UUU’ dibuka 8 Ogos

    Bukan selalu kita akan melihat nombor plat pendaftaran kenderaan yang terdiri daripada tiga huruf sama yang berturutan (AAA, BBB, MMM, dll). Jika anda memang sudah lama menunggu peluang untuk siri nombor seperti itu, ini berita baik untuk anda. Bidaan bagi siri nombor plat eksklusif “UUU” akan dibuka tidak lama lagi; hanya melalui satu saluran, iaitu Kurnia Bumitek sahaja.

    Siri nombor plat ini akan ditawarkan bermula “UUU 1” hingga “UUU 9999” dan dikeluarkan oleh Yayasan Kemajuan Usahawan Malaysia dengan kebenaran sepenuhnya dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mana saja nombor yang anda pilih, itu tak menjadi masalah kerana anda tahu semuanya adalah nombor istimewa dan tersendiri yang unik untuk kenderaan anda.

    Hasil jualan siri nombor plat ini akan digunakan untuk membantu usahawan Malaysia, untuk menggalakkan penyertaan belia dalam pertanian serta industri asas tani, membangunkan program untuk meningkatkan pendapatan desa, serta memperkenalkan teknologi kepada mereka yang berkerja di dalam sektor pertanian.

    Tarikh tender bagi siri nombor plat “UUU” ini ialah pada 8 Ogos 2018, dan akan berakhir pada 23 Ogos. Pihak yang berminat boleh juga menghantar borang permohonan mereka kepada Kurnia Bumitek Sdn Bhd, Connaught Avenue, 38, Jalan 9, Taman Bukit Cheras, Batu 9 Cheras, 56000, Willayah Persekutuan Kuala Lumpur atau No 11-A, Pejabat (JPJ Wangsa Maju) Jalan Genting Kelang Bt 4 1/2 53300 Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Satu lagi cara yang lebih mudah untuk membida bagi siri nombor plat “UUU” ini ialah melalui sistem web yang dibangunkan oleh Everworks Solutions, yang akan memastikan keseluruhan proses bidaan berjalan dengan sah dan terbuka. Jika anda ingin menghantarkan bidaan anda, layari laman rasmi siri nombor plat “UUU” di sini.

    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi individu berikut:

  • Lydia: +6016-9239666
  • JR: +6018-3993666
  • Tham: +6010-7777837
  • Kelvin: +6016-9655555
  •  
     
  • Lebuhraya MEX ditutup sementara pada 12 Ogos ini

    Lebuhraya MEX ditutup sementara pada 12 Ogos ini

    Pengendali Lebuhraya MEX, Maju Expressway Sdn Bhd telah memaklumkan penutupan sementara lebuhraya terbabit dari jam 5 pagi hingga 12 tengahari pada 12 Ogos ini. Ia adalah bagi menjayakan acara MEX Ride 2018.

    Penutupan itu melibatkan 17 laluan susur masuk dan keluar di enam persimpangan Lebuhraya MEX iaitu persimpangan Bulatan Kampung Pandan, (persimpangan) Salak Selatan, (persimpangan) Kuchai Lama, (persimpangan) Bukit Jalil, (persimpangan) Seri Kembangan dan Persimpangan Putrajaya.

    Menurut kenyataan itu lagi, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur yang ingin ke Putrajaya dan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) adalah dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dan begitu juga sebaliknya. Sila rancang perjalanan anda dengan baik dan patuhi arahan papan tanda jalan dengan berhemah.

    Untuk maklumat terkini mengenai penutupan ini, bolehlah mendapatkannya menerusi Twitter (@MexTraffic) dan Facebook (Mex Traffic) atau hubungi MEX di talian 03-83159111.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025