Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ducati buka semula muzium sambut ulang tahun ke-90

    ducati-museum-room-3-bm-850x513

    Sempena sambutan ulang tahun ke-90, Ducati hujung minggu lalu membuka muzium baharunya bertempat di Borgo Panigale, Bologna, Itali. Muzium berkenaan menempatkan 44 buat motosikal dari era berbeza dari sejarah panjang jenama itu – 26 jentera lumba dan 18 jentera jalanan – yang mempamerkan pencapaian tersendiri bagi Ducati.

    Menjadi daya tarikan utama muzium yang menjadi saksi kepada perkembangan reka bentuk, kejuruteraan dan kejayaan dalam sukan lumba motosikal itu ialah sebuah Ducati 916, satu-satunya jentera yang menjadi simbol kebangkitan Ducati dalam era moden pembangunan motosikal dunia.

    Selain daripada itu, turut dipamerkan ialah hasil kerja rekaan oleh Massimo Tamburin, individu yang bertanggungjawab ke atas sebahagian reka bentuk yang ikonik yang dikeluarkan oleh Ducati. “Pembukaan semula muzium ini selepas diubah suai adalah sangat penting untuk kami. Dengan sambutan ulang tahun ke-90 ini, ia menjadi sumber kekuatan kepada jenama Ducati untuk terus maju,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

     
     
  • Nissan GT-R Track Edition 2017 – lengkap dengan suspensi Bilstein Damptronic talaan perlumbaan

    nissan-gt-r-track-edition-04_bm

    Nissan telah mendedahkan satu lagi varian dalam barisan model GT-R, iaitu Nissan GT-R Track Edition. Model yang diasaskan dari model GT-R 2017 ini diletakkan diatas varian Premium, Prestige dan Black Edition, tetapi dibawah model tertinggi GT-R Nismo.

    Track Edition dibangunkan oleh satu pasukan di Nismo untuk mereka yang gemar memandu di litar, dengan prestasi yang lebih tinggi berbanding GT-R standard.

    Antara perubahan yang dilakukan adalah menambahbaik dinamik pemanduan R35 menerusi pemadanan suspensi Bilstein Damptronic dengan talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Bar anti-oleng pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.

    Model khas untuk litar ini turut diberikan roda aloi forged Nismo Black Racing berdiameter 20-inci dan bampar hadapan yang lebih lebar. Walau bagaimanapun, spesifikasi sebenar yang lain adalah berlainan mengikut pasaran.

    nissan-gt-r-track-edition-03_bm

    Track Edition untuk pasaran Jerman menerima tempat duduk Recaro dengan bahagian belakang karbon bersama spoiler belakang karbon ditawarkan sebagai opsyen. Untuk pasaran UK pula, GT-R Track Edition dipadankan dengan tempat duduk Recaro berwarna merah/hitam yang diambil dari GT-R Black Edition, manakala spoiler karbon hadir sebagai ciri standard.

    Penutup but gentian-karbon dan bahagian belakang tempat duduk karbon merupakan ciri opsyenal. Satu ciri standard yang sama untuk semua pasaran adalah lencana Track Edition yang dipadankan pada papan pemuka.

    Walau bagaimanapun, model Track Edition ini bukanlah model perlumbaan istimewa yang diringankan dengan menanggalkan pelbagai ciri (seperti Renault Megane 275 Trophy R), jadi, ia masih dilengkapi dengan sistem infotainmen NissanConnet bersama skrin sesentuh dan 11-pembesar suara Bose, serta pelbagai ciri lain.

    Nissan GT-R Track Edition masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar enam-kelajuan. Penghantaran kepada pelanggan yang menempah model ini akan dimulakan pada awal November ini.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Sejumlah 33,652 kes direkodkan sejak penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada 2011

    LORRY_PT_BM

    Sejak penubuhannya pada 2011 hingga Ogos tahun ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah merekodkan sejumlah 33,652 kes melibatkan pelbagai jenis kenderaan, menurut laporan The Star.

    Menurut pengurus besar jabatan penguatkuasaan SPAD Datuk Paduka Che Hasni Che Ahamd, dari angka berkenaan, pemandu lori merekodkan kesalahan paling tinggi. Kesalahan yang paling kerap dilakukan termasuk membabitkan keselamatan (5,000 kes), lebih muatan (2,807 kes) dan tayar botak.

    Manakala teksi pula merekodkan kesalahan kedua tertinggi selepas pemandu lori dengan 10,547 kes. “Ramai pemandu teksi didenda kerana beroperasi tanpa permit dan tidak menggunakan meter,” kata beliau, dan menambah bandar besar seperti Kuala Lumpur mempunyai kekerapan lebih tinggi dalam kes yang direkodkan.

    Che Hasni turut menjelaskan bahawa 98% kertas siasatan telah diselesaikan manakala yang lain masih lagi dalam proses. “Dari 60% kes yang telah diselesaikan, sebahagiannya telah disaman dan sebahagian yang lain telah didakwa di mahkamah,” kata beliau.

     
     
  • Benarkah ibupejabat AAM di Shah Alam sudah dijual?

    AAM logo-1

    Susulan daripada masalah kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) yang pernah dilaporkan sebelum ini, khabarnya kini sudah ada perkembangan terbaharu.

    The Sun melaporkan bahawa badan itu sudah menjual aset berharga mereka; ibu pejabatnya di Shah Alam. Menurut laporan itu lagi, MAA sudah pun menerima 10% daripada jumlah jualan aset berkenaan berjumlah RM7.5 juta pada Mei lalu.

    Sejak itu, badan berkenaan sudah memanggil mesyuarat khas (SGM) bagi ahli-ahlinya untuk meluluskan resolusi yang membenarkan pemegang amanah persatuan itu untuk meneruskan segala proses yang perlu untuk memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian jual-beli berkenaan.

    Bagaimanapun, ada kalangan ahli-ahlinya mendakwa AAM membelakangkan mereka dan terlebih dahulu membuat tawaran dan melantik agen untuk menerima hasil pendapatan daripada itu. Menurut mereka, SGM berkenaan hanya bertujuan sebagai formaliti semata-mata, padahal perjanjian sudah ditandatangani sebelum itu.

    Ahli persatuan ini, yang pernah mencatatkan angka sehingga 400,000 ahli pada era kegemilangannya kini hanya tinggal 36,000 keahlian sahaja dan mereka ingin tahu ke mana hilangnya dana yang ada. Enam tahun lepas, AAM memiliki banyak hartanah dengan kedudukan kewangan yang mantap.

    Jadi, ke mana perginya wang dan dana AAM, soal mereka.

     
     
  • Jeep Compass 2017 – imej, perincian awal didedahkan

    jp017_071cpvaoamtoaomeh1r8iftrs9df4co-e1474946913435_bm

    Jeep telah menyiarkan imej awalan untuk SUV kecil terbaharunya iaitu Jeep Compass 2017. SUV ini bakal dijual dipasaran Amerika Utara pada suku pertama tahun hadapan, sebelum dibawa ke lebih 100 negara lain seluruh dunia.

    SUV kecil ini menerima rekaan gaya seperti abang-abangnya yang lebih besar iaitu Cherokee, Grand Cherokee dan Renegade. Ia tidak menerima lampu hadapan dua tingkat seperti Cherokee sebaliknya dilengkapkan dengan lampu lebih konvensional seperti pada Grand Cherokee. Bumbung model ini telah dihitamkan, seperti gaya yang dikenakan pada Renegade.

    Bahagian dalaman pula, Compass menampilkan gaya baharu dalam barisan model Jeep dimana ia menampilkan skrin sesentuh pada bahagian tengah, diapit liang penghawa dingin yang direka secara menegak.

    Maklumat terperinci masih lagi belum diumumkan tetapi maklumat awal yang diperolehi Compass bakal ditawarkan dengan pilihan 17 unit janakuasa berbeza, serta kemampuan off road 4×4 terbaik dalam kelasnya, dinamik pemanduan yang bagus diatas jalan raya biasa dan berberapa ciri keselamatan dan teknologi.

    Jeep turut menjanjikan “kebebasan udara terbuka”, menandakan SUV ini mungkin dipadankan dengan bumbung panaromik atau panel bumbung yang boleh dibuka seperti pada Renegade.

    Lebih imej dan perincian berkenaan Jeep Compass 2017 ini akan didedahkan hampir pada pengenalan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2016 pada November nanti.

     
     
  • Renault-Nissan jalin kerjasama dengan Microsoft

    Renault-Nissan and Microsoft partner to deliver the future of connected driving

    Apabila kebanyakan model kereta makin memerlukan perkhidmatan hubungan, membuatkan pengeluar kenderaan harus menyediakan platform untuk menampilkan pelbagai ciri terkini. Terbaru, Renault-Nissan Alliance telah mengumumkan perjanjian kerjasama dengan Microsoft bagi membangunkan perkhidmatan hubungan generasi akan datang.

    Menggunakan Azure sebagai platform utama, objektif Renault-Nissan Alliance ialah ingin menambah baik perkhidmatan sedia ada di samping menawarkan lebih banyak ciri yang berkaitan termasuk bagi sistem navigasi yang lebih terkini, jangkaan penyelenggaran dan perkhidmatan kenderaan sentrik, pengawasan dari jarak jauh ciri-ciri kenderaan dan pengalaman mobiliti luaran.

    Di mana perkhidmatan baharu ini memudahkan pengguna untuk mempersonalisasi dan menghantar tatapan dari satu kereta ke kereta yang lain, sentiasa kekal berhubung dengan kenalan, memantau kereta mereka dari jarak jauh dan memperluaskan lagi pengalaman digital dalam urusan kerja dan peribadi menerusi sistem di dalam kereta.

    “Sesebuah kereta perlu dipertingkatkan elemen hubungan, pintar dan keperibadian. Kerjasama dengan Microsoft membolehkan kami untuk membangunkan teknologi ini bagi kemudahan kepada para pelanggan kami, yang mungkin tidak pernah terbayang ia akan diwujudkan. Kami mensasarkan untuk menjadi pembekal hubungan mobiliti kepada semua dalam satu platform global tunggal,” ujar Ogi Redzic, timbalan presiden Renault-Nissan Alliance.

    Ciri hubungan yang dipertingkatkan ini akan dibangunkan menerusi kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut, malah akan menonjolkan teknologi pemanduan sendiri Alliance, di mana lebih daripada 10 buah kenderaan pemanduan sendiri dijangka akan dilancar menjelang tahun 2020.

     
     
  • VIDEO: Audi Q5 2017 – teaser dedahkan sistem suspensi udara adaptif bakal ditawarkan

    Audi telah menyiarkan video teaser baharu untuk model Q5 generasi kedua – kali ini mendedahkan sistem suspensi udara adaptif yang dilengkapkan pada SUV berkenaan.

    Sistem baharu ini tiada pada model sedia ada dan Audi memadankan sistem berkenaan untuk menambahbaik kebolehan off-road untuk Q5. Seperti yang disiarkan pada video ini, pemandu boleh mengubah ketinggian SUV ini bergantung pada permukaan jalan yang di lalui, sama ada pada permukaan lasak atau tar.

    Tiada perincian lagi berkenaan mod pada suspensi yang dipadankan pada Q5 ini tetapi ia pasti seiras dengan sistem yang dipadankan pada Q7. Sistem pada Q7 hadir dengan lima mod yang boleh dipilih iaitu Standard, Allroad (+25 mm), Offroad/Lift (+60 mm), Dynamic (-15 mm) dan Loading (bahagian belakang diturunkan sebanyak -55 mm untuk mengisi barang).

    Teaser untuk Q5 sebelum ini telah didedahkan ia akan dipadankan dengan lampu belakang dan lampu hadapan matrix LED serta ruang but yang lebih besar. SUV ini dibina dengan platform MLB Evo, memberikan berat yang lebih rendah serta saiz yang lebih besar bagi memberikan ruang kabin yang lebih besar.

    GALERI: Foto spyshot Audi Q5 2017

     
     
  • Distinguished Gentleman’s Ride 2016 edisi Malaysia berlangsung meriah; turut berjaya kumpul USD3,921

    distinguished-gentlemans-ride-penang-2016-bm03

    Acara perhimpunan peminat motosikal seluruh dunia yang tidak berasaskan keuntungan, Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) edisi Malaysia berlangsung Ahad lalu di Georgetown, Pulau Pinang dengan gaya tersendiri. Ia merupakan acara yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia dengan penyertaan di pelbagai negara setiap tahun.

    Ia dianjurkan oleh Jeremy Leong dari Riders Garage dan Wan Zamani Ahmad, pengasas Rotten Motorcycles dan disokong oleh Art Of Speed; acara ini bertujuan untuk mengumpul dana diperingkat global dan disalurkan melalui Movember Foundation. Acara di Pulau Pinang ini berjaya mengumpulkan USD3,921 untuk tujuan itu.

    Perhimpunan bermula di Hin Bus Depot di tengah-tengah Georgtown sebelum konvoi peserta yang berpakaian kemas dan menunggang pelbagai jenis motosikal ‘menakluk’ jalan-jalan di kota warisan UNESCO itu, bermula dari pagi hingga tengah hari sebelum acara penutup di Gurney Paragon.

    DGR awalnya diasaskan oleh Mark Hawwa di Sydney, Australia pada 2012. Dengan sambutan yang semakin menggalakkan setiap tahun, ia kemudiannya bekerjasama dengan Movember Foundation, sebuah badan yang memberi tumpuan menyediakan dana bagi kajian terhadap barah prostrate dan program pencegahan bunuh diri dalam kalangan masyarakat dunia. Bagi edisi tahun ini, mereka mensasarkan dapat mengumpul USD $5 juta.

    Edisi di Pulau Pinang turut memberikan anugerah kepada peserta seperti berikut; Sumbangan Terbanyak Dikumpulkan – menerima sebuah helmet Hedon; Wong Woon Cheow melalui sumbangan USD2203; “Most Dapper Gentleman” – Ahmad Azlan; “Most Dapper Gentlewoman”- Wani; “Best Dapper Bike” – KF 900 Suzuki Panther, Mohd Rozaimi Mohd Radzi; “Best Beard” – Aqasha dan “TryHarder Award” – Wong Pak Hong.

     
     
  • Toyota Vios 2016, tempahan dibuka – Dual VVT-i, CVT, VSC semua varian, dari RM76,500-RM96,400

    highlights-trd-1-e1474907467258_bm

    UMW Toyota Motor telah mendedahkan spesifikasi penuh dan harga untuk Toyota Vios 2016 di laman web mereka, dan tempahannya kini sudah mula dibuka. Rupa luaran dan dalaman model versi kemaskini ini kelihatan hampir serupa dengan model sedia ada tetapi sedan segmen-B ini kini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi pelbagai ciri utama terkini yang dipertingkat.

    Harga untuk model baharu ini dilihat sedikit murah berbanding model sebelumnya. Varian asas 1.5J manual dijual pada harga RM76,500 dan RM79,500 untuk 1.5J automatik. Sama seperti sebelum ini, varian lebih tinggi hanya ditawarkan dengan transmisi automatik dengan varian 1.5E dijual pada harga RM83,900, 1.5G berharga RM89,800 dan varian tertinggi TRD Sportivo berharga RM96,400. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran serta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Secara keseluruhan, Vios baharu ini adalah RM1,480 dan RM3,680 lebih murah dari sebelum ini, walaupun awal tahun ini UMW Toyota telah mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya. Varian baharu juga telah ditambah dalam barisan model iaitu 1.5 GX yang diletakkan di bawah varian G, dijual pada harga RM92,800.

    Model baharu ini dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i sebelum ini. Enjin berkenaan dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos, tetapi, enjin 2NR-FE ini sebenarnya mempunyai kuasa kurang daripada enjin 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm (-1 Nm).

    highlights-trd-2-e1474907498521_bm

    Walau bagaimanapun, enjin baharu ini bakal memberikan penggunaan bahan api yang lebih baik. Tambahan pula, kotak gear empat kelajuan automatik pada model terdahulu telah digantikan dengan kotak gear CVT yang disertakan mod tujuh-kelajuan maya. Tiada perubahan pada kotak gear lima-kelajuan manual untuk model 1.5J.

    Ciri sampingan lain kebanyakkan adalah sama seperti model sedia ada. Bahagian luaran varian 1.5J didatangkan standard dengan lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, visor pintu, roda aloi 15-inci dan juga lampu kabus belakang. Bahagian dalaman, varian asas ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama audio 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, empat pembesar suara dan lampu pada ruang kaki.

    Varian E turut akan menerima lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk belakang boleh-lipat dengan nisbah 60:40 serta perehat tangan belakang dengan pemegang cawan. Ciri baharu untuk model 2016 adalah sistem infotaimen DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama kamera undur.

    Varian 1.5G pula menerima lampu hadapan projektor, cermin hadapan akustik, gril hadapan dan kemasan nombor pendaftaran belakang bersalut krom, upholsteri kulit berwarna hitam, paparan pelbagai info, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta enam pembesar suara.


    Varian baharu 1.5GX

    Untuk varian baharu 1.5GX pula, ia dilengkapi dengan kit badan baharu, lampu hadapan projektor ‘smoked‘, gril hadapan krom gelap, roda aloi dua-ton, serta balutan kulit gabungan warna hitam dan perang pada tempat duduk.

    Model TRD Sportivo pula menerima kit badan dan roda aloi baharu – berbeza yang terdapat pada model GX. Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota juga didatangkan standard untuk model ini (opsyenal untuk varian lain). Pada bahagian dalaman, TRD Sportivo menerima kemasan hitam, tempat duduk kulit hitam dengan jahitan benang merah serta grafik pada kluster instrumen yang lebih sporty.

    Vios 2016 turut menerima peningkatan dari segi sistem keselamatan di mana kesemua varian kini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) disamping sistem ABS dengan EBD dan BA serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun, semua varian masih kekal dengan dua beg udara.

    vios-pm-ipte_bm

    Klik untuk besarkan

    Pelbagai ciri opsyen juga ditawarkan untuk Vios, sama seperti sebelumnya termasuk sistem DVD-AVX dengan kamera bagi varian J (RM3,169), sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci (RM2,109) dan naik taraf kepada sistem DVD-AVN untuk model yang dilengkapi dengan DVD-AVX (RM2,014).

    Opsyen lain yang ditawarkan termasuk kit aero GX (RM2,332) dan pilihan sama ada Filem Penapis Haba Toyota Essential (RM1,166) atau Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota (RM2,109) untuk cermin pada varian J dan E. Perakam Video Digital juga ditawarkan dengan harga tambahan RM636.

    Tiga warna tambahan disediakan untuk dipilih dalam brosur Vios 2016 iaitu Crimson Spark Red Metallic, Super White II dan White Pearl CS (hanya ditawarkan untuk TRD Sportivo), bersama warna sedia ada iaitu Silver Metallic, Medium Silver Metalic dan Attitude Black Mica.

    GALERI: Toyota Vios 2016 spesifikasi Thailand

     
     
  • Ford Fiesta ST lima-pintu kini sudah berada di Eropah

    fiestast_redfront

    Sebelum ini, ia ditawarkan dalam bentuk hatch tiga-pintu, kini Ford Fiesta ST lima-pintu telah pun berada di Eropah. Menjadikan ia lebih praktikal dengan penggunaan yang cukup sesuai untuk seisi keluarga.

    Perbezaan yang ada bagi ST berbanding model standard Fiesta ialah menampilkan gril trapezoidal ‘sarang lebah’, tiga corong udara yang lebih agresif, skirt sisi yang lebih sporty, peresap belakang yang diwarnakan sama dengan badan dan rim aloi 17-inci. Di bahagian dalamnya, tempat duduk hadapan Recaro dan kekemasan ST turut jadi pilihan.

    fiestast_redrear

    Di bawah hudnya, masih terletak mekanikal yang sama seperti Fiesta tiga-pintu, iaitu 1.6 liter EcoBoost pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 182 PS dan tork 240 Nm. Hanya transmisi manual enam-kelajuan sahaja yang ditawarkan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan. Jentera hatch ini juga boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.9 saat, sama seperti varian tiga-pintu. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 6.1 liter bagi setiap 100 km.

    Casisnya pula ditala oleh Ford Performance, malah suspensi dan sterengnya juga diberi talaan semula, serta menampilkan brek yang lebih besar. Sementara sistem Kawalan Penvektoran Tork pula telah mengurangkan understeer. Ia juga menawarkan sistem kawalan kestabilan tiga-mod.

    Walau bagaimana pun, ini bukanlah Fiesta ST pertama yang dibangunkan dengan kerangka lima-pintu di Eropah, kerana ia juga telah berada di Amerika Syarikat.

    GALERI: Ford Fiesta ST di Malaysia

     
     
  • Bilik pameran baharu Toyota di Bayan Lepas, Penang

    2-prima-pearl-auto

    Prima Pearl Auto Sdn Bhd (Prima Pearl Auto), pengedar bertauliah bagi UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) sejak lebih 10 tahun yang lalu, telah pun membuka satu bilik pameran baharu Toyota. Memilih kompleks Arena Curve, Bayan Lepas, Pulau Pinang, sebagai lokasi baharu, ia adalah bagi menggantikan bilik pameran sedia ada, yang juga terletak di kawasan berhampiran.

    Pelancaran bilik pameran baharu ini telah disempurnakan oleh Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMWT, Datuk Ismet Suki, Presiden UMWT, Ooi Choon Lim, Pengarah Urusan Prima Pearl Auto dan Dato’ Zainul Abidin Che Din, Pengarah Prima Pearl Auto.

    Bilik pameran Toyota Bayan Lepas ini seluas enam rumah kedai yang mampu mempamerkan empat model Toyota dalam satu masa, selain menempatkan dua petak penghantaran.

    “Kami sentiasa menghargai usaha yang dilakukan oleh para pengedar bertauliah kami untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan mereka, dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada para pelanggan,” ujar Akio Takeyama.

    Selain bilik pameran ini, Prima Pearl Auto turut mengendalikan pusat servis selepas jualan yang terletak di Sungai Ara, Bayan Lepas.

    Dengan adanya bilik pameran baharu ini, kini UMWT telah pun mempunyai 97 rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh Malaysia, termasuk 75 daripadanya adalah pusat 3S sepenuhnya.

     
     
  • Volkswagen Jetta 2016 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 1.4 TSI turbo tunggal, harga bermula RM109k

    img_4828

    Selepas melancarkan Volkswagen Vento pada pertengahan Mei lalu, hari ini Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) memperkenalkan pula model Jetta facelift bagi pasaran Malaysia. Ia juga telah pun mula dibuka tempahan sejak 20 September lalu. Jetta 2016 ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan spesifikasi tertinggi Highline.

    Kesemua varian dijana oleh enjin generasi baharu iaitu 1.4L TSI suntikan-terus empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Berbanding Jetta model sebelum ini yang dipadankan dengan enjin 1.4L TSI pengecas-berkembar (supercharger dan turbocharger) dengan kuasa 160 PS dan tork 240 Nm. Ini bermakna Jetta 2016 diturunkan kuasa sebanyak 10 PS tetapi miliki kelebihan 10 Nm.

    Ia turut dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan, membolehkan Jetta 2016 mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 220 km/j. Berbanding Jetta terdahulu yang mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8.3 saat dengan kelajuan maksimum 221 km/j.

    Enjin berkenaan juga membolehkan Jetta yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) diiktiraf secara rasmi sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi dengan fungsi start/stop automatik, fungsi luncuran dan brek janaan semula. Ini membolehkan ia memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan kos penyelenggaran yang lebih rendah. Dengan prestasinya yang sporty, ia turut menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter (berbanding 6.0L untuk model Jetta terdahulu) bagi setiap 100 km.

    volkswagen_jettafl_ext-25-bm

    Bagi luarannya, Jetta 2016 menyerlahkan DNA reka bentuk Volkswagen dengan ciri-ciri yang elegan termasuk dengan ciri aerodinamik yang telah ditambah baik. Selain itu, ia juga hadir dengan gril, bampar hadapan serta lampu bampar belakang baharu.

    Untuk varian asas Trendline, spesifikasi yang ditawarkan adalah di bawah model Jetta terdahulu. Walau pun ia mengekalkan beberapa elemen termasuk lampu utama reflektor halogen, rim aloi Sedona 16-inci, lampu kabus depan dan belakang, kemasan fabrik Sienna dan corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang. Elemen baharu yang ditampilkan cuma kemasan dan hiasan Zebrano.

    Walau bagaimana pun terdapat beberapa ciri yang berbeza di mana Trendline kali ini dilengkapi dengan penghawa dingin yang dikawal secara manual berbanding sistem Climatronic dwi-zon pada model sebelum ini. Malahan unit utama sistem audio juga menggunakan sistem RCD 220 yang lebih rendah termasuk dengan port USB, kad SD dan enam-pembesar suara. Bukan itu sahaja, ia tidak lagi menampilkan kawalan kelajuan dan butang kawalan pada stereng.

    Manakala untuk Comfortline iaitu varian pertengahan, ia ditampilkan dengan rim Navara, dan tambahan elemen dalaman termasuk unit audio RCD 330G dengan skrin sentuh lima-inci serta sambungan Bluetooth dan Mirrorlink.

    Bagi varian tertinggi iaitu Highline pula, didatangkan dengan ciri tambahan, termasuk lampu utama bi-xenon dengan lampu nyalaan siang LED serta ciri pengaktifan automatik bersama fungsi ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’ secara manual, lampu belakang LED, rim aloi Queensland 17-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang Push Start, kawalan kelajuan dan kemasan kulit Vienna bagi tempat duduk.

    Untuk keselamatan, Jetta 2016 ini dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah penggera anti-curi bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak ISOFIX.

    Harga bukan atas jalan (tanpa insurans) yang diumumkan ialah RM108,990 bagi Trendline, Comfortline pula berharga RM117,990 dan Highline pula ialah RM128,990. Semua pembelian model Volkswagen mulai 1 September 2016, akan menikmati waranti pengilang selama lima tahun, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama.

    Jetta 2016 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).

    Untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai spesifikasi bagi setiap varian Jetta 2016, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Highline

    GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Comfortline

     
     
  • Saman difailkan pemandu teksi terhadap SPAD batal

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah berjaya membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh sekumpulan 102 pemandu teksi, menurut laporan The Star.

    Menurut hakim Mahkamah Tinggi Su Geok Yiam, keputusan itu dibuat atas alasan pemandu teksi sepatutnya memfailkan saman berkenaan melalui semakan kehakiman, dan bukan writ saman bersama-sama dengan pernyataan tuntutan.

    Ini adalah kerana dakwaan berkenaan adalah satu perintah mandamus terhadap SPAD untuk melaksanakan kewajipannya di bawah undang-undang. Beliau juga menambah bahawa Uber, Grab dan Blacklane tidak dinamakan dalam tuntutan mahkamah bersama-sama dengan SPAD.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

     
     
  • SIC tampilkan South Paddock, Paddock Chalet baharu

    sic-new-chalet-bm

    Menjelang perlumbaan Formula 1 PETRONAS Grand Prix 2016 dari 30 September hingga 2 Oktober nanti, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menampilkan dua ciri baharu yang kini sudah disiapkan; iaitu South Paddock serta Paddock Chalet.

    Pembinaan dua ciri hospitaliti tambahan berkenaan bermula pada 21 Mei 2016 dan disiapkan dalam tempoh 16 minggu. Paddock Chalet menggantikan chalet-chalet sementara yang sebelum ini dibangunkan pada tapak yang sama. Sementara South Paddock pula merupakan bangunan baharu sepenuhnya, yang menggunakan bahan-bahan kitar semula, antaranya daripada chalet sementara yang dirobohnya.

    Dua ciri baharu ini memberi pilihan yang lebih banyak kepada pasukan-pasukan dan pelanggan yang terlibat. Mereka yang menggunakan South Paddock akan mempunyai capaian penuh kepada kemudahan-kemudahan lain seperti bilik operasi, pejabat perlumbaan, bilik pemasaan & kawalan perlumbaan serta Steward Room.

    South Paddock, yang terdiri daripada binaan dua tingkat dibangun menggunakan struktur modular. Ia menggunakan sehingga 80% bahan yang dikitar semula, seperti besi-besi, daripada struktur chalet-chalet sementara yang sebelumnya. Ia juga menerapkan penggunaan tenaga solar pasif sepanjang hari.

    Kemudahan baharu ini menampilkan tiga modul dengan tiga garaj pit, setiap satunya dengan kawasan lantai seluas 80 meter persegi dengan 18 garaj pit keseluruhannya. Selain dua penambahan ini, laluan masuk utama ke litar ini juga diberikan sentuhan baharu. Signature Wall direka untuk menjadi perkara utama. Tiga kerangka besi yang menyokong setiap batu individu yang ada dimaksudkan sebagai latar belakang baharu yang lebih menarik untuk sesi fotografi.

    “SIC kerap mencari jalan untuk memberi penambah baikan dan memperbanyak pilihan kepada pelanggan, memandangkan litar ini penuh dengan jadual perlumbaan sepanjang tahun. Tapak Paddock Chalet dan South Paddock yang kekal ini menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan persendirian mahupun pasukan lumba untuk memenuhi keperluan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

     
     
  • Mercedes-Benz SLC 200 diprebiu di Malaysia

    mercedes_slc200_klcc-2

    Sempena pelancaran pakaian gadis litar yang direka oleh Nurita Harith untuk Kejohanan Grand Prix Formula Satu Malaysia tahun ini, Mercedes-Benz turut mempamerkan model kemaskini kereta sport Roadster R172 SLK, atau kini dikenali sebagai SLC.

    Sebelum ini, kami hanya dapat mengesan model berkenaan dalam varian SLC 300, tetapi kali ini, kami dapat gambaran yang lebih jelas roadster berkenaan dalam varian asas SLC 200. Model ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 180 hp dan tork maksima 300 Nm, memacu roda belakang menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic.

    mercedes_slc200_klcc-20

    Antara perbezaan pada bahagian luar antara model ini dengan model pre-facelift SLK termasuk lampu hadapan yang direka semula, bampar hadapan dan belakang baharu serta lampu belakang dengan sentuhan grafik baharu. Pada bahagian dalaman pula, SLC dilengkapi sistem infotainmen terbaharu Mercedes-Benz termasuk opsyen COMAND Online serta roda stereng tiga jejari baharu.

    Dirangkumkan dalam pakej spesifikasi SLC 200 ini termasuk lampu hadapan LED pintar roda aloi lima jejari berdiameter 18-inci (didatangkan bersama sports package yang turut disertakan sekali suspensi talaan sport). Model yang dipamerkan ini tidak disertakan sekali dengan pakej opsyenal AMG Line, yang turut hadir bersama bampar lebih agresif, gril diamond serta roda aloi pelbagai jejari.

     
     
  • Yamaha Y15ZR GP Edition; harga bermula RM8,634.76

    y15zr-gp-movistar-bm-1

    Sempena penglibatannya di dalam perlumbaan kejuaran dunia MotoGP melalui pasukan Movistar Yamaha dengan barisan pelumba seperti Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo, Hong Leong Yamaha Malaysia kini memperkenalkan model Y15ZR MotoGP Edition 2016. Ia dijual pada harga RM8,634.76 (harga cadangan termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan cukai jalan).

    Dengan enjin bersesaran 150 cc, jentera ini 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork @ 7,000 rpm, Yamaha Y15ZR bagi sesetengah orang disifatkan sebagai motosikal moped/kapcai paling berkuasa dan menyeronokkan untuk ditunggang secara harian. Ia menggunakan kotak gear lima kelajuan.

    Edisi biasa Yamaha Y15ZR dijual pada harga RM8,210. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan model ini serta sebuah lagi pesaing rapatnya, Honda RS150R, ikuti laporan tunggang uji khas yang kami lakukan untuk melihat sejauh mana perbezaan antara kedua model ini.

     
     
  • GALERI: Jeep Grand Cherokee Sport Edition – diskaun RM9,200 untuk pakej istimewa hingga akhir Oktober

    jeep-grand-cherokee-special-edition-1

    Jeep Malaysia telah mendedahkan model edisi istimewa iaitu Jeep Grand Cherokee Sport Edition, di Publika hujung minggu lalu sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2016. Ia merupakan model keempat seumpamanya, dibina berasaskan model Grand Cherokee standard dan ditambah pelbagai ciri istimewa yang bernilai RM41,200. Istimewa hingga hujung Oktober ini, mereka yang berminat untuk membeli model edisi istimewa berkenaan akan ditawarkan dengan harga hanya RM32,000, iaitu diskaun sebanyak RM9,200.

    Model istimewa ini didatangkan khas bersama balutan pelekat badan putih satin dengan jaluran perlumbaan (racing stripes) berwarna hitam terus dari Amerika Syarikat – dilindungi waranti setahun terhadap kesan luntur warna dan tiga tahun waranti kualiti hasil kerja. Ia juga dipadankan dengan gril, perumah lampu kabus serta lencana berwarna merah, dan juga roda aloi Mopar berdiameter 20-inci disaluti tayar Pirelli Scorpion STR.

    Ciri lain yang dipadankan termasuk lampu hadapan bi-xenon berserta lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri balutan kulit, tempat duduk larasan berkuasa pada bahagian hadapan, bumbung panaromik, skrin sesentuh sistem infotainment dan navigasi Uconnect 8.4-inci, kamera undur dan sembilan-pembesar suara premium dari Alpine. Untuk semua ini, ia dijual lebih mahal dari Grand Cheroke Limited iaitu pada harga RM448,889.

    Jeep Grand Cherokee Special Edition turut dijana oleh enjin 3.6 liter Pentastar VVT V6 berkuasa 284 hp pada takat 6,350 rpm dan tork maksima 347 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa dari enjin berkenaan dialirkan ke kotak gear lapan-kelajuan automatik ZF dan dialirkan ke semua roda menerusi sistem pacuan empat roda sepenuh masa Quadra-II.

     
     
  • Alami pengalaman 4×4 ekstrem di Mitsubishi Triton Extra Hardcore Roadshow bersama Leona Chin

    catch-malaysian-motorsport-athlete-leona-chin-in-action-this-saturday-at-the-mitsubishi-triton-extra-hardcore-roadshow

    Untuk memperlihatkan kebolehan sebenar Mitsubishi Triton 4×4 Adventure baharu dijana enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel yang dilancarkan baru-baru ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengajak orang ramai menghadiri Mitsubishi Triton Extra Hardcore Roadshow yang akan berlangsung hujung minggu ini, 1-2 Oktober 2016 di tempat parkir bahagian luar Pusat Konvensyen Setia City.

    Roadshow ini juga menampilkan pelumba wanita negara, Leona Chin yang akan mempersembahkan aksi pemanduan berkelajuan tinggi menggunakan Triton, merentasi trak litar ujian yang penuh dengan pelbagai halangan – pertama seumpamanya di Malaysia – dan pengunjung bakal dipelawa untuk duduk di dalam Triton yang dipandu Leona berkenaan.

    Antara halangan yang disediakan pada litar ujian tersebut termasuk trak Mitsubishi yang dilengkapi “sky ramp” setinggi 25-kaki dengan sudut kecondongan 45 darjah mengadap ke langit, khas untuk menguji kenderaan pacuan empat roda.

    image001-2

    Halangan lain termasuk penguji “roller ramp” untuk menguji kemampuan sistem pacuan empat roda dan juga ujian permukaan jalan tidak rata serta ujian “side traverse“.

    Selain dari Setia City, roadshow ini turut akan singgah di bandar-bandar besar terpilih pada masa dan tarikh di bawah:

    screen-shot-2016-09-26-at-2-35-01-pm

    Bagi mereka yang mengumpul barangan Ralliart, anda juga perlu hadir ke roadshow ini kerana MMM akan mengedarkan payung edisi khas Ralliart secara percuma, manakala mereka yang turut serta untuk memandu uji mana-mana model Mitsubishi bakal menerima barangan khas dari Mitsubishi (sehingga kehabisan stok).

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Vios 2016 dibawa di atas treler

    2016-toyota-vios-spotted-1_bm

    Pada pelancaran Toyota Alphard dan Vellfire Ogos lalu, Presiden UMW Toyota turut mengumumkan empat lagi model Toyota baharu akan dilancarkan tahun ini, antaranya MPV Toyota Sienta (telah pun dilancarkan pada pertengahan Ogos) dan kami jangkakan Vios versi dipertingkatkan seperti yang telah dilancarkan di Thailand sebelum ini.

    Nampaknya, jangkaan tersebut tidak meleset kerana gambar Vios baharu berkenaan telahpun kami terima dari pembaca Adam Lee, yang telah terserempak dengan Vios ini dibawa di atas treler. Sebelum ini, tiada warna merah ditawarkan untuk Vios dalam brosur model sedia ada, yang mana ia terdiri dari Medium Silver Metallic, Silver Metallic, Attitude Black dan putih.

    Turut kelihatan, lencana J, menandakan varian asas berkenaan masih ditawarkan. Model baharu ini turut diberikan roda aloi baharu, seiras dengan model yang dipamerkan pada Bangkok Motor Show 2016 Mac lalu.

    Model pasaran Thai berkenaan menerima pelbagi ciri yang dikemaskini antaranya dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), hadir bersama sistem ABS, EBD dan BA. Kotak gear empat kelajuan automatik juga digantikan dengan kotak gear CVT dengan tujuh-kelajuan maya.

    Model baharu tersebut dijana enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i (yang boleh menggunakan bahan api bio E85) menggantikan enjin 1NZ-FE (juga digunakan pada model pasaran Malaysia sedia ada).Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 108 hp/140 Nm, kurang 1 Nm tork berbanding enjin 1NZ-FE pada Vios sedia ada. Walau bagaimanapun, dijangka model baharu pasaran Malaysia bakal menggunakan enjin 2NR-FE kerana ketiadaan bekalan bahan api-bio E85 di sini.

     
     
  • Kereta curi dari Malaysia turut diseludup hingga ke Myanmar, Laos dan Kemboja – laporan

    Cloned-cars-1

    Sindiket kereta curi di Malaysia bukan setakat menjadikan Thailand sebagai pasaran utamanya, malah turut menyeludup kereta-kereta tersebut hingga ke negara Indo-China termasuk Myanmar, Laos dan kemboja.

    Menurut laporan Bernama yang menerima pendedahan daripada satu sumber, sekiranya kereta curi Malaysia itu memasuki negara-negara berkenaan, maka peluang untuk menemuinya semula adalah amat tipis.

    Malahan, kebiasaannya sindiket curi kereta di Malaysia, Thailand dan di negara Indo-China mempunyai jaringan kerjasama sesama mereka. Ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani jenayah rentas sempadan itu.

    Sumber terbabit menjelaskan, selepas sindiket tersebut mencuri kenderaan terbabit di Malaysia, mereka kemudiannya akan menyeludup keluar kereta itu ke pelabuhan di Singapura menggunakan kapal kontena. Dari sana, kapal kontena bermuatan kereta curi Malaysia itu akan ke berlayar pula ke pelabuhan di Thailand dengan pelabuhan Laem Chabang dipercayai destinasi utama mereka.

    Walau bagaimana pun, bergantung kepada keadaan, mungkin ada sebahagian daripada kereta tersebut akan diturunkan di Thailand untuk dijual.

    Selain itu, satu daripada cara paling terkini dan popular untuk menjual atau ‘melupus’ kereta curi Malaysia di Thailand adalah menerusi laman web menjual kereta.

    Memandangkan menjual kereta secara dalam talian antara trend terkini, maka ia memudahkan lagi ‘urusan’ penyeludupan kereta curi dari Malaysia ini.

    Jika tidak di Thailand, terdapat juga kemungkinan kereta curi Malaysia itu tetap diturunkan di pelabuhan negara gajah putih itu sebelum diseludup ke negara jiran lain menggunakan jalan darat. Thailand berkongsi sempadan darat dengan tiga negara Indo-China iaitu, Myanmar, Laos dan Kemboja, kemungkinan destinasi terakhir bagi kenderaan yang dicuri di Malaysia itu, menurut sumber tersebut.

    Manakala bagi kereta curi dari Malaysia yang tidak berlabuh di Thailand, kontena tersebut akan terus berlayar hingga ke Myanmar atau negara Indo-China lain.

    Sumber tersebut turut berkata, kenderaan pacuan empat roda amat popular di pasaran gelap di Myanmar, manakala kereta dan MPV mewah pula menjadi pilihan di Kemboja. Bahkan dakwaannya lagi, ada kereta curi Malaysia itu kini digunakan oleh pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera serta kerajaan di negara Indo-China tertentu menggunakan pendaftaran baharu.

    Baru-baru ini, sebanyak 150 kereta curi milik rakyat Malaysia yang ditemui di Thailand pada tahun lepas telah pun dihantar pulang ke Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026