Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lakaran Datsun redi-GO didedahkan sebelum pelancarannya – tampil rekabentuk unik, tersendiri

    2016-datsun-redi-go-sketch-2-e1460430028460_BM

    Dua lakaran Datsun redi-GO terbaharu telah disiarkan sebelum pelancaran peringkat global model kompak tersebut di India. Dijadualkan membuat penampilan sulungnya di Delhi pada 14 April ini, redi-GO akan menjadi model produksi kedua yang dibina berasaskan platform CMF-A hasil kerjasama Renault dan Nissan – dimana model pertama dibina dari platform tersebut adalah Renault Kwid.

    Berkongsi beberapa komponen mekanikal dengan Kwid, lakaran terbaharu ini menampilkan redi-GO mempunyai rekaan luarannya yang unik dan tersendiri, hampir seiras dengan versi konsepnya yang didedahkan juga di Delhi dua tahun lalu. Selain dari beberapa sedikit perubahan yang dilakukan, gril hadapan, lampu hadapan, lampu belakang, bampar dan rekabentuk badan keseluruhan adalah hampir sama seperti yang ditampilkan pada versi konsepnya.

    2016-datsun-redi-go-sketch-1-e1460430061232_BM

    Menurut IndianAutosBlog, redi-GO akan dijual lebih murah dari Renault Kwid di India di mana harga Kwid bermula dari INR256,968 (RM15k). Redi-Go juga didakwa bakal dikuasakan dengan penjana yang sama seperti Kwid iaitu enjin petrol 800 cc tiga-silinder berkuasa 53 hp/74 Nm dan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Enjin petrol 1.0 liter dengan kotak gear automated manual transmission (AMT) dari Kwid turut dijangka akan dipadankan pada redi-GO. Beberapa laporan juga menyebut enjin diesel 1.0 liter tiga-silinder sedang dibangunkan dan akan dipasang pada redi-GO untuk peringkat seterusnya.

    GALERI: Konsep Datsun redi-GO

     
     
  • Jalan raya Wi-Fi diumumkan di UK, sasar hubung jaringan pintar yang lebih selamat dan pantas

    UK M2 motorway-01

    Kerajaan UK telah mengumumkan akan melabur sejumlah £150 juta (RM829 juta) untuk membina “jalan raya Wi-Fi.” Rancangan tersebut adalah untuk menghubungkan semua jalan secara dalam talian dan teknologi kereta pemanduan automatik yang akan diuji di UK menjelang akhir 2017.

    Koridor yang dihubungkan seperti ini akan menyaksikan kenderaan dan infrastruktur dihubungkan sesama mereka. Lebuh raya tersebut mensasarkan untuk memberikan pemandu mendapat informasi berkenaan penutupan jalan atau amaran kesesakan lebih awal. Strategi berkenaan juga membolehkan ujian untuk teknologi radar pada jalan raya dan terowong dijalankan untuk meningkatkan cara mengesan kerosakan.

    “Inovasi ini sememangnya kritikal untuk pelan pelaburan £15 billion (RM 82.9 billion) jalan raya kami. Jaringan jalan raya yang lebih boleh diharapkan adalah berita baik untuk pengguna jalan raya dan juga berita baik untuk ekonomi. Jalan raya yang lebih pantas dan selamat akan meningkatkan akses untuk pekerjaan dan peluang,” kata Andrew Jones, Menteri Jalan Raya.

    Nissan-Leaf-Piloted-Drive-1.0-01

    Pihak Highway England telah mengesahkan kawasan penyelidikan dan pembangunan untuk strategi tersebut termasuk percubaan teknologi radar pada jalan raya dan teknologi akustik pada Terowong Hindhead di Surrey, adalah untuk meningkatkan pengesanan kerosakan. Ini akan membolehkan pemantauan trafik boleh dilakukan secara berterusan dan pemberitahuan tentang kenderaan yang tidak bergerak dapat dilakukan dengan segera.

    Selain dari itu, ia juga akan mengkaji penghantaran maklumat tanpa wayar terhadap informasi pada A2/M2 antara London dan Kent, bersama penyelidikan pada penderia yang akan memberikan informasi yang lebih baik berkenaan keadaan jalan, jambatan dan terowong. Kawasan ini akan membolehkan program penyelenggaraan tersasar dan untuk jangka masa panjang, ia turut membantu untuk menjimatkan kos keatas pembinaan permukaan dan struktur jalan.

    Kawasan lain yang disahkan turut memastikan percubaan untuk sistem kenderaan pemanduan automatik boleh dilakukan pada akhir 2017. Ia menyasarkan untuk mengumpul data pada dunia sebenar berkenaan impak prestasi dan potensi berkaitan kapasiti dan operasi sistem tersebut.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2016 pamer lampu belakang

    20160412_095139

    Pembaca kami, Rachel Ow dan Christopher Lim, telah menghantar foto spyshot Proton Saga 2016 bersama ‘abangnya’ Proton Perdana 2016, yang dirakam berhampiran dengan Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam pagi tadi.

    Imej Saga 2016 ini menampakkan rekaan yang lebih jelas bagi lampu belakangnya. Ia kelihatan lebih besar, dengan bentuk trapezoidal tiga-dimensi berbanding bentuk segitiga pada Saga sedia ada. Tidak seperti FLX, ia mungkin menggunakan lampu jenis-mentol konvensional berbanding LED.

    Selain itu, cermin belakang juga lebih kontras berbanding model Saga sedia ada, bersama tiang-C. Menjadikan garisannya nampak lebih landai ke belakang, selain pemegang pintu seperti yang digunakan pada Iriz, turut kelihatan.

    Buat setakat ini, masih tiada perkhabaran rasmi mengenai perincian teknikal, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.

    Selain Saga, Proton Perdana 2016 baharu juga makin ligat diuji memandangkan tarikh pelancarannya makin menghampiri. Malah ia juga telah mula dibuka tempahan sejak pertengahan Februari lalu.

    Malah bekas Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi, dalam penjelasan mengenai perletakan jawatan beliau dalam Proton, Perdana akan dilancarkan pada bulan ini. Walau bagaimana pun, pelancaran bagi Saga pula tidak dimaklumkan tetapi ia akan berlangsung sebelum hujung tahun ini, iaitu selepas Persona 2016 dilancarkan.

     
     
  • Tesla Model S facelift akan datang, harga naik

    Tesla-Model-S-85-drive-4

    Tesla Model S bakal menerima model facelift atau penambah baikan yang menampilkan lebih banyak elemen baharu dengan harga yang lebih tinggi, laporan CNET. Menurut sumber dalaman, peningkatan ini bagi mencapai misi syarikat bagi memastikan Model S ini mampu memasuki segmen mewah.

    Model facelift ini dijangka menerima perubahan yang ketara pada bahagian hadapan (tidak sama seperti Model X atau Model 3, tetapi lebih kurang sama dengan model barisannya yang lain) termasuk lampu utama LED dan pemilihan skim warna baharu. Di dalamnya, kenderaan sedan elektrik ini juga akan mempunyai tempat duduk baharu dari Model X (dengan pilihan pengudaraan), bersama ruang penyimpanan barang pada panel pintu dan beberapa tempat lagi.

    Buat setakat ini, tiada perincian lanjut mengenainya. Tetapi, ia dikatakan meningkatkan lagi elemen mewah bagi mendekatkan posisinya dengan beberapa model premium lain termasuk BMW, Audi dan Mercedes-Benz.

    Apabila dikatakan harga bagi model facelift ini dijangka lebih tinggi, jurucakap Tesla enggan memberikan sebarang kenyataan balas, sebaliknya “harga yang dikemaskinikan” itu telah disebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Kenyataan itu berbunyi, “Kami meletakkan harga kenderaan kami secara konsisten di seluruh dunia di mana ia perlu disesuaikan dengan kadar pertukaran mata wang asing. Kami akan memberitahu perubahan harganya kepada para pelanggan awal April ini.”

    GALERI: Tesla Model S 85 di Malaysia

     
     
  • IIMS 2016: Yamaha R15 dipamerkan dengan tema warna Movistar Yamaha MotoGP yang lebih menarik

    Yamaha_R15-1_BM

    Setelah dilancarkan bulan lalu dengan tiga warna baharu, sebuah Yamaha R15 2016 telah dipamerkan in Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016 dengan satu lagi warna baharu. Ia diberikan warna asas biru-putih dengan livery Movistar Yamaha MotoGP, membuatkan motosikal ini kelihatan begitu menarik.

    Dengan gaya yang mengingatkan kita kepada Yamaha YZF-R1s generasi terdahulu, motosikal sport entry-level dalam barisan model Yamaha ini dijana oleh enjin 150 cc satu silinder, dengan sistem penyejukan cecair, berkuasa 16.8 hp dan tork maksima 15 Nm. R15 menampilkan variasi dari kerangka Deltabox, dilengkapi dengan brek cakera hadapan dan belakang, tetapi tidak mempunyai sistem ABS.

    Yamaha R15 2016 boleh dipilih dengan warna Speed Grey, Supernova White dan Racing Blue. Dua warna terawal dilengkapi dengan roda aloi berwarna hitam, manakala untuk Racing Blue, rodanya turut diwarnakan dengan sama seperti warna badan. Tiada kenyataan rasmi dari Yamaha Indonesia sama ada livery Movistar ini turut termasuk dalam opsyen pembelian atau hanya di buat satu unit hanya untuk dipamerkan di IIMS.

    Dijual pada harga Rp. 29.8 juta (RM9,000), Yamaha R15 2016 disasarkan kepada pasaran penunggang muda. Setakat ini tiada lagi ura-ura Hong Leong Yamaha Malaysia untuk membawa model ini kepasaran tempatan, sebaliknya HLY hanya menampilkan motosikal sport naked Yamaha FZ150i yang dijual pada harga RM9,156 termasuk GST, tanpa cukai jalan dan insuran.

     
     
  • Fasa pertama Pan Borneo di Sabah dijangka siap 2021

    Pan-Borneo-Najib

    Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang melibatkan jajaran sejauh 706km dari Sindumin ke Tawau, dijangka akan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2021. Ia melibatkan jajaran Papar-Donggongan sepanjang 11.7km.

    Ia merupakan satu projek naik taraf laluan sedia ada serta pembinaan laluan baharu menghubungkan antara bandar. Lebuhraya ini merupakan laluan utama dan tidak dikenakan tol.

    Kebanyakan laluan di fasa satu akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian Jabatan Kerja Raya R5 (lebar minimum lorong: 3.5m; had laju 100km sejam), yang dijangka dilancarkan pada penghujung bulan ini.

    Majlis menandatangani Perjanjian Rakan Projek Pelaksana (PDP) untuk mengurus dan melaksana pembinaan 706 kilometer (km) Lebuhraya Pan Borneo Sabah, telah pun disempurnakan semalam, yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, laporan Bernama.

    Turut menyaksikan perjanjian yang melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

    Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd Ir Shahelmey Yahya.

    Syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

    Menurut kenyataan itu, pihak PDP akan bertindak sebagai ‘single point of accountability’ yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuh raya itu dengan kadar kos yang berpatutan.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya pada majlis itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan mengubah landskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat bagi 3.74 juta penduduk di negeri itu.

    Di mana projek itu yang bermula dari Sindumin hingga ke Tawau, akan menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya.

    Bagi menyelaraskan pelaksanaan projek, sebuah Jawatankuasa Eksekutif bakal dibentuk dan dipengerusikan oleh Sukarti dan dianggotai oleh wakil daripada agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

    Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini.

    Selain itu, jawatankuasa ini juga akan memastikan penglibatan rakyat Sabah dalam projek ini dapat dimaksimumkan.

     
     
  • Ford Ranger catat jualan memberangsangkan sepanjang Mac – meningkat hingga 650 unit

    Ford Ranger test drive Tadom hills-06

    Ford Malaysia hari ini mengumumkan jualan runcit untuk bulan Mac di Malaysia meningkat sebanyak 24% kepada 650 unit berbanding bulan sebelumnya.

    Prestasi itu dipacu oleh permintaan memberangsangkan terhadap trak pikap Ranger yang lasak apabila jualan Mac menokok sebanyak 19% berbanding bulan sebelumnya kepada 513 unit.

    Ranger menampilkan rangkaian sistem keselamatan yang menerajui kelasnya. Ini termasuklah sehingga enam beg udara serta teknologi bantuan pemandu seperti Lane Keeping Aid, Adaptive Cruise Control, Electronic Stability Control dan kamera undur untuk varian XLT dan WildTrak. Dengan kemampuan mengharungi air sedalam 800 mm, di samping keupayaan menunda dan mengangkut beban yang terbaik dalam kelasnya, Ranger memang trak yang paling berkeupayaan di Malaysia.

    “Sebagai sebuah trak yang paling lasak, berkuasa dan pintar di pasaran sekarang, Ranger sememangnya berpegang kepada warisan ‘Built Ford Tough’. Kami gembira kerana permintaan terhadap Ranger terus kukuh di Semenanjung dan Malaysia Timur,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

    Dalam masa yang sama, Ford Malaysia turut memberitahu penghantaran pertama Focus baharu juga bermula pada Mac. Dilengkapi enjin 1.5 liter EcoBoost, Focus ialah model kompak paling berkuasa di Malaysia. Ia juga menjadi salah satu model yang paling terhubung menerusi beberapa teknologi pintar seperti SYNC 2, Perpendicular Park Assist, BLIS dengan Cross Traffic Alert dan Active City Stop yang telah dipertingkatkan.

    Ikuti ulasan pandu uji Ford Focus baharu di sini.

     
     
  • VIDEO: Iklan pengenalan Toyota Hilux 2016

    Toyota Hilux 2016 yang dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini, sekali gus membuatnya menjadi salah satu model trak pikap yang dinanti-nantikan. Malah bagi menambahkan debaran, Toyota Malaysia telah pun menerbitkan iklan pengenalannya dan dimuat naik menerusi saluran Youtube. Ia dilakonkan oleh model dan aktor Peter Davis.

    Menerusi iklan pengenalan berdurasi 60 saat ini, Davis bercerita mengenai kuasa, keselesaan dan gaya yang ditampilkan oleh Hilux 2016 ini. Malah turut mewar-warkan mengenai penganjuran Hilux Beyond Excitement, di Selangor pada 6 hingga 8 Mei ini.

    Menurut Toyota, menerusi penganjuran acara tersebut, para pengunjung berpeluang menyaksikan kehebatan Hilux beraksi “menakluki segala cabaran”, dan 10 pemenang bertuah juga bakal terpilih untuk bersama Davis menaiki trak pikap ini dalam acara tersebut. Ia terbuka untuk “siapa yang cepat, dia yang akan dapat”, atau anda boleh mendaftarkan diri secepat mungkin untuk mendapat peluang keemasan ini.

    Hilux 2016 ini juga telah pun mula menerima tempahan. Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900.

    Untuk varian 2.4G 4×4 manual pula berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik pula ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga yang diumumkan yang diumumkan adalah harga atas jalan dengan insurans.

    Bagi Hilux versi Malaysia, ia menampilkan dua pilihan enjin dari keluarga GD turbodiesel iaitu berkapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter. Ia juga dipadankan dengan kotak gear baharu manual enam-kelajuan dan automatik.

    Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflektor dan lampu nyalaan siang (DRL) jenis mentol. Kesemua varian (kecuali single cab) turut didatangkan dengan lampu kabus hadapan dan bedliner.

    Bagi bahagian kabinnya pula, ia turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat, kemasukan pintar dan sistem penghidup enjin bagi semua varian kecuali single cab. Namun tambahan elemen bagi 2.8G AT 4×4 iaitu kawalan iluminasi pada bahagian meter dan paparan berwarna TFT 4.2-inci.

    Untuk sistem hiburan pula, ia menampilkan unit kepala 2-DIN dengan format MP3 dan sambungan AUX, USB untuk semua varian. Namun tambahan bagi 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab yang hadir dengan pemain DVD, skrin sesentuh 6.1-inci, sambungan Bluetooth, kad SD, dan kamera undur.

    GALERI: Toyota Hilux 2016 di Siri Jelajah Toyota WOW

     
     
  • Ford Mustang kereta sport terlaris di Jerman untuk bulan Mac – mengatasi Audi TT dan Porsche 911

    Ford Mustang Fastback Euro 18

    Keputusan Ford untuk mengangkat Mustang sebagai model global nampaknya membuahkan hasil demi hasil. Menurut maklumat yang diterbitkan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Persekutuan Jerman (KBA), sebanyak 780 unit Ford Mustang telah dijual di negara tersebut bulan lalu.

    Berdasarkan maklumat tersebut, Mustang menewaskan jaguh tempatan seperti Audi TT (708 unit) dan Porsche 911 (752 unit) serta pesaing lain seperti Jaguar F-Type (138 unit) dan pesaing senegara – Chevrolet Camaro – yang hanya dijual sebanyak 18 unit.

    “Masyarakat Jerman telah jatuh cinta dengan Mustang. Memandu Mustang GT di Autobahn (lebuhraya di Jerman tanpa had laju) adalah pengalaman tersendiri bagi mereka yang sukakan kereta,” kata Wolfgang Kopplin, Pengarah Urusan Ford Jerman.

    Di UK sahaja, pelanggan perlu menunggu sehingga enam bulan untuk mendapatkan Mustang mereka. Sesiapa yang menempah kereta tersebut pada bulan April hanya akan mendapat kereta mereka pada bulan Oktober 2016. Senarai menunggu yang panjang juga berlaku di Australia.

    “Sambutan terhadap kereta tersebut telah diterima dengan sangat baik di seluruh dunia, termasuk dalam pasaran yang besar seperti China dan Amerika Syarikat, jadi ia agak mengambil masa sebelum kami boleh mendapatkan lebih unit untuk pasaran Eropah,” ujar Jim Farley sebelum ini, menjelaskan mengapa masa yang agak lama diperlukan untuk memenuhi permintaan Mustang di pasaran Eropah.

    Sementara itu, baru-baru ini Ford Mustang telah dilihat dibawa masuk ke Malaysia, menandakan pelancarannya akan dilakukan tidak lama lagi. Sama ada ‘muscle car‘ ini diterima sama seperti sambutannya di seluruh dunia, hanya akan diketahui selepas itu. Mustang dijangka akan dijual di pasaran Malaysia (harga yang diumumkan pada Jun 2015) pada harga bermula RM435k-RM450k untuk varian 2.3 liter EcoBoost dan RM550k-RM565k untuk varian 5.0 liter V8.

    GALERI: Spyshot Ford Mustang di Malaysia

    GALERI: S550 Ford Mustang 2.3L EcoBoost, versi Eropah


    GALERI: S550 Ford Mustang 5.0 GT Convertible, versi Eropah

     
     
  • Volkswagen China panggil balik 103,569 unit Touareg

    volkswagen_touareg_2010

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin, Volkswagen China akan memanggil balik sejumlah 103,569 unit Touareg di negara tersebut bagi memasukkan sebahagian alat yang hilang kerana tanpa alat itu boleh menyebabkan pedal brek tercabut.

    Laporan agensi berita China Xinhua menyebut, penarikan semula itu akan bermula 18 April ini yang membabitkan model Touareg keluaran antara 12 Januari 2010 dan 19 Januari 2016.

    Syarikat pembuat kereta itu berkata cemat pangsi (pivot pin) pada pedal brek kenderaan yang terjejas mungkin kehilangan klip lengkung (circlip). Jika pedal brek tercabut, ia akan menyebabkan brek gagal berfungsi sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

    Volkswagen berjanji akan melakukan pemeriksaan menyeluruh serta menggantikan alat yang rosak secara percuma. Namun pihak Volkswagen tidak mendedahkan sama ada terdapat kemalangan yang membabitkan komponen tersebut mahu pun tidak.

     
     
  • GALERI: Hyundai Tucson ‘custom’ di IIMS 2016

    Hyundai_Tucson-2_BM

    Setelah lima bulan Hyundai melancarkan Tucson generasi ketiga serba baharu di Malaysia, SUV tersebut akhirnya dilancarkan pula di Indonesia bersempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. Berbeza dengan pasaran Malaysia yang dijual dalam versi pemasangan tempatan, Tucson yang terdapat di Indonesia adalah diimport sepenuhnya dari Korea dan hanya dengan satu varian sahaja iaitu GLS, dijual pada harga Rp 385 juta (RM113,960)

    Bersama dengan versi standard, Hyundai turut menampilkan sebuah Tucson versi custom di pameran tersebut, datang dengan badan berwarna hitam, dengan serlahan merah serta roda aloi Alutec gergasi bersaiz 19-inci. Serlahan berwarna merah ditampilkan pada gril hadapan (kini dengan motif sarang lebah berbanding jalur melintang standard), lip spoiler hadapan dan skirt sisi, manakala untuk diffuser yang besar pada bampar belakang diwarnakan dengan warna perak dan turut menempatkan tip ekzos tunggal berbentuk rombus seperti yang terdapat pada Tucson biasa.

    Secara keseluruhan, Tucson versi custom ini kelihatan seperti Mazda CX-3 Racing Concept yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2015 dan Bangkok International Motor Show 2016. Sudah pasti, versi yang ditampilkan oleh Hyundai ini hanyalah dibuat oleh pengedar tempatan dan tidak seperti Mazda, jadi hasilnya tidaklah diharapkan berkelas dunia.

    Hyundai_Tucson-10_BM

    Hyundai Tucson GLS baharu ini dijana oleh enjin 2.0 liter tanpa induksi paksaan MPi Nu empat-silinder petrol berupaya menghasilkan 158 PS dan 191 Nm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Berbanding dengan Tucson pasaran Malaysia, untuk pasaran Indonesia ia dilengkapi lampu hadapan xenon dan ditambah dengan kit seperti yang terdapat pada varian Executive Malaysia.

    Walau bagaimanapun, Tucson pasaran Indonesia kurang dilengkapi dengan sistem keselamatan – tiada sistem kawalan stabiliti (standard untuk semua varian dalam pasaran Malaysia), hanya dua beg udara (enam pada model Executive Malaysia), dan dilengkapi dengan ABS serta EBD.

     
     
  • VEP bagi kenderaan Singapura dilaksanakan Jun ini

    johor causeway jam bernama pix

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad telah mengesahkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan Singapura dijangka dilaksanakan Jun ini.

    Beliau berkata pelaksanaan VEP yang menggunakan sistem integrasi itu bagaimanapun mengambil masa dan kemungkinan enam bulan diperlukan untuk dilaksanakan sepenuhnya, laporan Bernama.

    Di mana mengikut sistem itu bagi setiap kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia akan didaftarkan dan mana-mana yang mempunyai saman kerana melakukan kesalahan tidak akan dibenarkan keluar selagi tidak menjelaskannya.

    Katanya, “Sistem ini juga dapat membanteras kenderaan klon kerana sebelum ini tiada satu sistem pendaftaran masuk kenderaan dari negara itu dilaksanakan.

    “Pihak yang hendak melupuskan kenderaan mereka dengan menjualnya secara murah juga tidak berpeluang melakukannya.”

    Beliau berkata penetapan had tempoh kenderaan oleh kerajaan Singapura selama lima tahun menyebabkan ada rakyatnya yang memasuki Malaysia mengambil kesempatan menjual kenderaan mereka secara murah kerana tidak dibenarkan masuk kembali.

    Menurut Ismail, selepas sistem VEP dengan Singapura berjalan lancar barulah fasa kedua melibatkan kenderaan dari Thailand dan diikuti fasa ketiga membabitkan kenderaan dari Indonesia di Sarawak.

     
     
  • Pasukan petugas khas perlu pastikan Proton pulih dan mampu tangani isu cabaran – Mustapa

    tokpa-iriz-ev-1

    Pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk memantau program pemulihan Proton adalah bertujuan memastikan pengeluar kereta nasional itu pulih sepenuhnya daripada isu-isu cabaran yang dihadapi sekarang.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sekarang ini Proton menghadapi cabaran saingan yang sengit daripada pengeluar kereta yang lain maka pasukan petugas berkenaan akan memantau pelaksanaan pelan pemulihannya, laporan Bernama.

    “Kerajaan telah mengenakan beberapa syarat, jadi antara tugas utama pasukan petugas ini ialah untuk memastikan syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi oleh Proton,” katanya.

    Mustapa berkata syarat-syarat itu dikenakan bagi memastikan syarikat automotif tersebut dipulihkan daripada keadaan sekarang, namun beliau tidak menerangkan dengan lebih lanjut tentang syarat-syarat berkenaan.

    Pada 8 April lalu, Kerajaan telah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion dalam usaha memulihkan perniagaannya. Malah turut mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala bagi memastikan kejayaan program transformasi itu.

    Bagaimanapun, katanya, pasukan petugas berkenaan tidak akan terlibat dalam pengurusan Proton.

    “Pengurusannya terserah kepada Proton cuma pasukan petugas akan pantau setakat mana syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Volvo XC90 T8 ‘mencuri kuasa’ dari kereta lain

    Sebuah video telah disiarkan oleh pihak Volvo yang menunjukkan Volvo XC90 T8 secara bijak ‘mencuri’ kuasa dari kenderaan lain. Video yang diberi tajuk “Highway Robbery” tersebut telah dihasilkan dengan bantuan syarikat pengiklanan, Grey New York.

    Video ini menampilkan Volvo XC90 hibrid plug-in sebagai watak utama, tetapi ia memfokuskan bagaimana kuasa elektrik dapat dihasilkan secara luar biasa untuk mengecas SUV tersebut. Menggunakan pam peristalsis binaan khas bersama tikar khas yang dihamparkan di atas jalan, bila mana ada kenderaan yang melintasinya, kuasa elektrik akan menjana stesen pengecas, seterusnya mengecas XC90 yang dihubungkan.

    “Tiub-tiub yang dipasang di bawah hamparan tikar dipenuhi dengan air, dan apabila kereta di pandu diatasnya, ia akan menghasilkan tekanan pada tiub dan air akan memberikan kuasa hidraulik mengikut arah pergerakan kereta tersebut menuju ke sistem kami di tepi jalan yang mengubah kuasa hidraulik menjadi kuasa elektrik.” jelas Bob Partington, arkitek inovasi yang mencipta sistem tersebut.

    Bukan itu sahaja. Papan tanda digital telah dipasang dibahagian hadapan jalan. Setiap kereta yang melalui hamparan tikar tersebut akan diucapkan terima kasih melalui papan tanda berkenaan (dengan menyebut jenama) kerana memberikan kuasa.

    “‘Highway Robbery’ adalah salah satu cara yang boleh kami tunjukkan pemikran kami bukan setakat kereta, tetapi bagaimana ia boleh mempengaruhi dunia disekelilingnya,” kata pengarah pemasaran Volvo Car USA, John Militello. “Kami memberikan persoalan yang besar sebelum kami tampil dengan cara baharu yang lebih segar bagaimana dan di mana kami membolehkan masa depan pemanduan,” jelas beliau.

    Ini menunjukkan, dan juga menghuraikan (dalam pelbagai cara) sasaran Volvo untuk menjadikan infrastruktur untuk mengecas kenderaan elektrik (EV) distandardkan. “Kami nampak peralihan untuk kereta elektrik sepenuhnya telah pun berjalan, teknologi bateri telah bertambah baik, kos berkurangan dan infrastruktur mengecas sedang diletakkan di tempatnya,” Naib Presiden senior penyelidikan dan pembangunan Volvo Dr Peter Mertens berkata sebelum ini.

    “Tetapi sebelum kita bersedia dengan perspektif teknologi, infrstruktur mengecas belum lagi ditahapnya,” tambah Mertens. Dengan itu, Volvo baru-baru ini mengumumkan sokongan mereka untuk Charging Interface Initiative, yang di bina untuk Combined Charging System (CCS) sebagai standard utama untuk mengecas EV secara global.

     
     
  • Renault Kadjar terima enjin 1.2 liter turbo baharu dengan padanan transmisi EDC 7-kelajuan

    2016-renault-kadjar-energytce130-update-1

    Renault Kadjar di UK telah pun dipertingkatkan dengan varian baharu spesifikasi tertinggi iaitu Signature S Nav S dan pilihan enjin 1.2 liter Energy TCe 130 pengecas turbo. Ia turut dipadankan dengan transmisi efficient dual-clutch (EDC) automatik tujuh-kelajuan.

    Malah varian baharu ini turut menambah beberapa elemen pada versi Signature Nav terdahulu. Ini termasuklah kulit upholstery sepenuhnya berwarna hitam dengan pelarasan tempat duduk pemandu berkuasa dan suhu panas untuk tempat duduk hadapan, amaran titik buta, kamera undur dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Renault turut berkata, pertambahan elemen ini turut melibatkan kos ekstra sehingga £1,750 (RM9,600), tetapi harga model spesifikasi tinggi ini £1,400 (RM7,700) lebih mahal berbanding Signature Nav. Di mana Signature S Nav berharga dari £23,695 (RM130,000) dan didapati dengan pilihan enjin iaitu dua diesel dan satu petrol, juga dua- atau empat-pacuan roda.

    Bagi varian Dynamique Nav, ia ditawarkan dengan enjin 1.2 liter Energy TCe 130 turbo dan transmisi EDC tujuh-kelajuan. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 131 PS dan tork 205 Nm – sedikit tinggi berbanding 120 PS dan 190 Nm pada model Clio GT Line di pasaran kita. Ia membolehkan Kadjar dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 10.1 saat.

    Di UK, Kadjar bermula dengan harga dari £17,995 (RM98,700) dan boleh meningkatkan ke £28,195 (RM154,700). Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun dan pakej Renault Assitance.

     
     
  • Spesifikasi Toyota C-HR 2.0L CVT didedahkan

    Toyota C-HR Geneva live 9

    Toyota telah mendedahkan beberapa maklumat utama berkenaan crossover terbaharu segmen-B jenama tersebut, Toyota C-HR dalam laman sesawangnya berbahasa Jepun. Turut berada dalam barisan varian model berkenaan adalah varian 2.0L CVT, iaitu konfigurasi yang berkemungkinan besar adalah spesifikasi yang akan dipasarkan ke rantau ASEAN dan sudah tentu termasuk sekali pasaran Malaysia.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, varian yang menerima enjin kapasiti terbesar akan dijana oleh enjin petrol 2.0 liter tanpa induksi paksaan tetapi jumlah kuasa yang dihasilkan belum lagi didedahkan. Pendedahan terbaharu dari Toyota ini mengesahkan varian 2.0 liter akan menghasilkan kuasa sejumlah 150 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 193 Nm pada takat 3,800 rpm. Melihat pada angka kuasa tersebut, ia tidak sama dengan kuasa yang dihasilkan oleh enjin 6AR-FSE pancitan bahan api terus VVT-iW D-4S yang menjana Camry facelift berkuasa 167 PS/ 199 Nm.

    Walau bagaimanapun, angka kuasa yang dihasilkan tersebut adalah hampir sama dengan enjin 3ZR-FE Dual VVT-i yang dilengkapi pada Corolla Altis menjana 145 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 3,600 rpm – jadi ini mungkin enjin yang sama akan dilengkapi pada C-HR. Sebagai perbandingan antara Altis dan C-HR, crossover tersebut menghasilkan lebih 5 PS pada rpm yang lebih rendah dan lebih 6 Nm tork pada 200 rpm lebih tinggi.

    Berbanding pencabar utamanya pula, C-HR menghasilkan 8 PS/ 21 Nm lebih daripada Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang berbanding Mazda CX-3 2.0. Enjin tersebut hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik dan memacu roda hadapan. Tidak seperti HR-V dan CX-3, untuk pasaran global termasuk pasaran JDM, tiada model pacuan semua roda (AWD) akan ditawarkan untuk C-HR 2.0L.

    Toyota C-HR Geneva live 7

    Tetapi, varian AWD boleh dipilih oleh pembeli menerusi varian dengan enjin yang kurang berkuasa iaitu enjin turbo petrol 1.2 liter menjana 116 PS/185 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada transmisi CVT automatik atau enam-kelajuan manual, kedua-duanya menyalurkan kuasa ke sistem AWD.

    Juga terdapat untuk pasaran Jepun ialah model hibrid, menggunankan enjin 1.8 liter berkuasa 98 PS/142 Nm bersama sepasang motor eletrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Gandingan unit janakuasa tersebut adalah sama seperti yang terdapat pada Prius terbaharu, dan hanya disediakan dalam bentuk pacuan roda hadapan, tiada opsyen motor untuk roda belakang seperti model Prius E-Four. Toyota mendakwa model hibrid ini boleh mencapai emisi karbon dioksida serendah 90 gram untuk setiap kilometer.

    Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

    Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V. Berbanding Mazda CX-3 pula, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang.

     
     
  • Honda panggil semula 143,137 kereta di Jepun kerana masalah pengepam beg udara buatan Daicel

    Honda airbag

    Honda telah melakukan kempen panggil semula yang melibatkan sebanyak 143,137 unit kenderaan Life kei car dan Acty kei truck di Jepun, ekoran insiden yang disebabkan oleh pengepam beg udara yang gagal berfungsi ketika kemalangan, dan menyebabkan pemandu mengalami kecederaan.

    Menurut laporan Automotive News, sistem beg udara terbabit bukan yang dibekalkan oleh Takata, tetapi oleh Daicel iaitu firma Jepun yang berkepakaran dalam menghasilkan pengepam beg udara. Menurut jurucakap Honda, Misato Fukushima, pengepam beg udara tersebut didapati “tidak sesuai dan halaju yang tidak sesuai”.

    Beliau menambah, pengepam yang dipadankan bersama sistem beg udara yang dihasilkan oleh Nihon Plast Co, dan tidak akan digantikan dengan komponen Takata yang bermasalah. Daicel juga dikatakan telah menghentikan pengeluaran bagi sistem pengepam ini dan bersedia memberikan kerjasama dengan Honda bagi menangani situasi ini.

    Beberapa hari lalu, sebanyak 160,000 unit Honda Jazz dan HR-V di Jepun telah dipanggil semula ekoran komponen roda stereng yang dikesan mengalami kerosakan. Pada Julai tahun lalu, syarikat pengeluar kenderaan terkemuka itu juga telah memanggil semula lebih enam juta kenderaan di seluruh dunia akibat masalah pengepam beg udara buatan Takata.

     
     
  • Jaguar XF baharu tiba di Malaysia 26 April ini

    Screen Shot 2016-04-11 at 11.21.54 AM

    Sebelum ini, Jaguar Malaysia telah mewar-warkan tentang ketibaan Jaguar XF baharu di Malaysia menerusi laman media sosial Facebook. Terbaru, ia telah pun disahkan bakal tiba di negara ini pada 26 April 2016.

    Menerusi entri yang dimuatnaik, ia turut memaparkan imej hadapan sedan mewah ini termasuk padanan lampu utama LED yang lebih nipis serta kluster lampu belakang yang menyerupai model XE yang telah dilancarkan di Malaysia. Malah foto papan pemuka XF baharu ini juga didedahkan.

    XF generasi kedua ini telah pun melakukan penampilan perdana di New York International Auto Show (NYIAS) tahun lalu. Ia juga telah mula berada pasaran dunia pada hujung tahun 2015. Bagi model ini, ia dikatakan lebih ringan, lebih berkuasa, lebih penjimatan bahan api dan juga memiliki ruang dalaman yang lebih besar berbanding XF yang asal, yang diperkenalkan sejak tahun 2007.

    Penggayaannya juga diinspirasikan dari XE yang lebih kecil, termasuk perumah kaca yang dilebarkan ke belakang memberikan penampilan XF baharu ini lebih berkarakteristik seperti garisan bumbung model coupe. Ditambah pula XF 2016 ini 7 mm lebih pendek dan 3 mm lebih rendah berbanding model terdahulu, tetapi dengan jarak roda 2,960 mm menjadikan ia 51 mm lebih panjang, sekali gus menjawab bagaimana menjadikan ruang dalamannya lebih luas. Malah papan pemukanya juga seakan berkongsi rekaan yang sama dengan XE, yang dilancarkan pada Januari lalu.

    Dibangunkan dengan seni bina modular aluminium Jaguar (model kedua selepas XE), XF baharu ini 190 kg lebih ringan berbanding terdahulu dan 80 kg lebih ringan berbanding pesaingnya. Di mana Jaguar mendakwa ketegaran kilasannya telah dipertingkatkan sehingga 28%.

    XF baharu ini juga menampilkan enjin Ingenium 2.0 turbodiesel baharu dengan dua output iaitu 163 PS/380 Nm dan 180 PS/430 Nm, dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan. Ia turut menawarkan tiga pilihan enjin lain iaitu petrol 2.0 liter turbo (240 PS/340 Nm), diesel 3.0 liter biturbo (00 PS/700 Nm) dan petrol 3.0 liter supercharged sama ada 340 PS/450 Nm atau 380 PS/450 Nm – hanya auto sahaja.

    XF sedia ada di Malaysia ditawarkan dengan petrol 2.0 Ti (240 PS/340 Nm), diesel 2.2 Td (200 PS/450 Nm), diesel 3.0 Td (275 PS/600 Nm) dan petrol 3.0 SC supercharged (340 PS/450 Nm), harga dari RM408,888 hingga RM623,888.

     
     
  • Jawatankuasa khas akan ditubuh untuk menambah baik undang-undang trafik – Menteri Pengangkutan

    liow tiong lai

    Dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya dan kehilangan jiwa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata undang-undang trafik Malaysia akan dikaji semula dan dinaik taraf. Menurut The Star, Menteri tersebut dilaporkan berkata usaha kerajaan untuk mendidik orang ramai berkenaan keselamatan jalan raya tidak berjaya untuk mengurangkan kadar kemalangan dan pemanduan cuai, oleh itu usaha lain akan dilakukan untuk memperbaiki situasi ini.

    “Kini, kami mahu melihat semula undang-undang sedia ada dan mencari jalan bagaimana penguatkuasaan kami akan mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian secara efekftif,” kata beliau. Dalam laporan berasingan oleh The Sun pula, Liow yang menghadiri perayaan ulangtahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke-70 menambah, jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk menambahbaik beberapa undang-undang jalan raya negara yang sedia ada.

    Beliau tidak percaya kurangnya penguatkuasaan JPJ sedia ada perlu dipersalahkan. “Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila kita melaksanakan penguatkuasaan, tidak nampak keberkesanannya jadi, kita perlu mengkaji semula segenap sudut penguatkuasaan yang dilakukan selama ini,” kata beliau.

    Untuk sistem demerit yang bakal dijalankan pada masa akan datang, Liow menjelaskan sistem demerit sebelum ini gagal kerana tiada penolakan markah dari 15 markah tahunan untuk pesalah yang telah membayar kompaun mereka. Jadi kesalahan tersebut akan berulang tanpa dikenakan hukuman setelah saman tersebut dibayar.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) mungkin akan ditangguhkan. Ia pada asalnya dijadualkan akan beroperasi Mei tahun ini, walau bagaimanapun telah ditangguhkan sehingga Ogos iaitu selepas musim Hari Raya Aidilfitri, setelah perbincangan lanjut berhubung sistem berkenaan digulung di dalam Dewan Rakyat.

     
     
  • Kementah siapkan enam projek jalan raya bernilai RM252.03 juta di kawasan pedalaman Sarawak

    12983934_981353351941956_6399942084550907832_o

    Kementerian Pertahanan (Kementah) berjaya menyiapkan enam projek dalam fasa satu Projek Pembinaan Jalan Kawasan Pedalaman dan Pergunungan di Sarawak dengan kos RM252.03 juta.

    Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kos asal kesemua enam projek itu ialah RM872.2 juta sekiranya mengikut kaedah pembinaan konvesional tetapi dengan kaedah baharu yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia, ia dapat menjimatkan kos itu sebanyak RM620.17 juta, laporan Bernama.

    “Pelaksanaan enam projek ini memberi manfaat kepada 81,400 orang dari 84 kampung di Sarawak,” katanya pada pelancaran fasa satu projek itu di kawasan pergunungan Ba’Kelalan-Bario semalam.

    Menurutnya, projek Ba’Kelalan-Bario yang melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 13 kilometer sejak 9 Jan 2013, adalah antara yang menggunakan kaedah pembinaan baharu dengan kos RM40.83 juta dan memberi penjimatan RM24.17 juta berbanding kos asal RM65 juta.

    Jalan raya itu akan memberi manfaat kepada sembilan kampung yang mempunyai 1,200 penduduk.

    Hishammuddin berkata untuk fasa kedua, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan lima projek jalan raya dengan tempoh siapnya pada tahun ini.

    Projek berkenaan membabitkan naik taraf jalan balak dari Belaga ke Nanga Merit, Kapit sepanjang 130km, pembinaan jalan kampung dari Kuala Medalam-Kampung Kerangan dan Kampung Ensungai, Limbang (18.5km) dan naik taraf jalan skim rancangan sepupuk Niah Bekenu, Miri (16km).

    Dua projek yang bakal siap dalam fasa kedua itu ialah pembinaan Jalan Ba’Kelalan-Bario, Limbang (21km) dan pembinaan jalan baharu dari Nanga Merit ke Kapit (60km).

    Apabila kesemua projek fasa dua itu siap kelak, beliau berharap kualiti hidup masyarakat di kawasan terbabit akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026