Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GIIAS 2017: Lexus LS 500h dipertonton di Indonesia

    GIIAS 2017: Lexus LS 500h dipertonton di Indonesia

    Lexus LS 500 mula diperkenalkan kepada dunia Januari lalu, dan tiga bulan selepas itu, model LS 500h, iaitu versi hibrid kepada kereta generasi kelima itu pula muncul. Kini, ia membuat penampilan pertama di Asia apabila dipamerkan semasa GIIAS 2017 dan diletakkan atas satu platform yang tinggi.

    Kereta ini akan bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class dan BMW 7 Series, dan pasaran Indonesia akan menerima model LS 500L serta LS 500hL hibrid, dengan harga yang dilaporkan sekitar Rp3.5 billion (RM1.125 juta). Kereta yang dipamerkan ini adalah versi hibrid LS 500h.

    Ia dikuasakan oleh e jin petrol V6 3.5 liter dengan teknologi VVT-i dan Direct Injection, mampu menghasilkan 295 hp dan 350 Nm tork secara sendiri. Enjin ini juga mendapat tambahan kuasa daripada dua motor elektrik, dan apabila digabung, mampu menghasilkan keseluruhannya 354 hp kuasa. Transmisi yang digunakan pula adalah gabungan unit automatik empat kelajuan dan CVT.

    Walaupun teknologi serta spesifikasi kenderaan ini cukup maju, apa yang membuat ia lebih menyerlah adalah penampilannya. Bahagian luarnya lebih berlekuk dan megah berbanding dulu, manakala dalamnya pula memberi makna baru kepada kemewahan dengan kebanyakan bahagian berwarna merah dan hitam.

    Lexus juga cuba mengetengahkan konsep hospitaliti Jepun yang dinamakan sebagai ‘omotenashi’ dan pada kenderaan, ia ditejemahkan sebagai “menjaga pemandu dan penumpang, mengambil kira keperluan mereka, memberikan keselesaan serta melindungi mereka daripada sebarang bahaya.”

    “Membangunkan model perdana seperti ini memerlukan anjakan paradigma yang besar. Daripada hanya tertakluk kepada apa yang menyatakan sebuah kereta mewah sebelum ini, kami sebaliknya mensasarkan pembinaan kereta yang lebih inovatif, beremosi dan mempunyai tarikan sensual, yang boleh menarik pandangan pelanggan serta memberi nilai yang baru,” kata ketua juruteranya, Toshio Asahi.

     
     
  • Aci pacu gentian karbon pada BMW M3 sedan, M4 Coupe dan Convertible akan diganti dengan unit logam

    Aci pacu gentian karbon pada BMW M3 sedan, M4 Coupe dan Convertible akan diganti dengan unit logam

    Bermula November tahun ini, unit aci pacu atau driveshaft (komponen yang dimaksudkan adalah propeller shaft iaitu aci dari kotak gear ke gandar belakang dan bukan dari gandar ke hab roda) untuk BMW M3 sedan, M4 Coupe dan juga M4 Convertible yang kini diperbuat dari material gentian karbon (CFRP) akan digantikan dengan aci pacu khas M berprestasi tinggi yang diperbuat dari logam.

    Langkah ini dilakukan kerana model-model berkenaan pada masa hadapan perlu dilengkapkan dengan petrol particulate filter (PPF) pada sistem ekzos (memakan ruang pada rekaan aci pacu gentian karbon berkenaan) bagi membolehkan ia terus memenuhi piawaian kawalan emisi.

    Walaupun komponen berkenaan akan dibuat menggunakan logam, BMW memberi jaminan ia direka agar tidak menjejaskan prestasi dan juga pengendalian model-model M3 dan M4 tersebut. Walau bagaimanapun, BMW mengesahkan langkah ini tidak akan dilakukan pada model-model edisi khas iaitu BMW M4 CS dan juga BMW M4 GTS.

    Sedan berprestasi tinggi BMW M3 dan versi dua-pintunya BMW M4 dijana enjin 3.0 liter petrol enam silinder sebaris turbo berkembar berkuasa 431 hp/550 Nm. Enjin berkenaan digandingkan bersama tranmisi klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan automatik M, manakala gandar belakangnya turut diberikan LSD aktif M. Pemandu turut dibantu dengan mod pemanduan M Dynamic, stereng elektronik-mekanikal M Servotronic, suspensi adaptif M dan juga kompaun brek M.

    GALERI: BMW M4 Coupé LCI

     
     
  • KL TRavelPass dilancarkan bagi kemudahan pengguna KLIA Ekspres dan rel Rapid KL

    KL TRavelPass dilancarkan bagi kemudahan pengguna KLIA Ekspres dan rel Rapid KL

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah melancarkan KL TRavelPass, iaitu tiket pengangkutan integrasi yang menawarkan kemudahan lebih efisien bagi pengguna rangkaian rel di Kuala Lumpur, terutamanya golongan pelancong, laporan Bernama.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri di KL Sentral semalam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif ERL Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

    Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran, Nancy berkata, kad tersebut memberikan kelebihan buat pelancong dan rakyat tempatan yang membolehkan mereka pergi ke destinasi yang ditujui di sekitar ibu kota dengan menggunakan KLIA Ekspres (iaitu dari/ke KLIA) dan rel Rapid KL.

    “Kita menjangkakan kedatangan para pelancong ke negara ini mencecah 31 juta bagi 2017, dan saya meletakkan harapan yang tinggi agar dua rakan kerjasama ini mampu mencapai objektif mereka dengan adanya KL TravelPass,” ujarnya.

    KL TRavelPass didatangkan dengan perkhidmatan pengangkutan KLIA Ekspres dan dua hari penggunaan tanpa had dengan rel Rapid KL. Berharga RM70 untuk pengangkutan sehala dan RM115 bagi pengangkutan dua hala, kad ini boleh dibeli di kaunter tiket KLIA Ekspres di KLIA, KLIA2 dan Balai Berlepas di KL Sentral.

    Nancy menambah, pelancaran KL TravelPass ini tepat pada masanya iaitu di saat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bakal dilancarkan pada 19 Ogos ini, memulakan acara. Secara tidak langsung memudahkan lagi para pelancong asing yang ingin ke lokasi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini dengan menaiki perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan termasuk LRT, MRT dan monorel.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing 2017 – aksi agresif di hari kedua

    Toyota Gazoo Racing 2017 – aksi agresif di hari kedua

    Berbeza dari hari pertama berlansungnya acara Toyota Gazoo Racing Festival 2017 Sabtu lalu yang hujan lebat, hari kedua berlangsung di dalam cuaca kering dan panas. Kemuncak acara tentulah perlumbaan bagi Vios Challenge, yang menyaksikan ia dimulakan bagi kelas Super Sporting yang melibatkan pelumba-pelumba profesional.

    Pusingan pertama ini menyaksikan Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley yang bermula di petak pertama mendominasi perlumbaan. Beliau bagaimanapun terpaksa melalui siasatan teknikal. Tempat kedua menjadi milik Mark Darwin dan seterusnya Syafiq Ali.

    Bagi perlumbaan pusingan kedua kelas Super Sporting, peraturannya ada kelainan; pemandu dikedudukan tiga teratas akan memulakan perlumbaan pusingan kedua dalam kedudukan yang terbalik. Ini menyaksikan Djan yang menamatkan pusingan satu di tempat pertama terpaksa memulakan perlumbaan tempat ketiga. Kereta lumbanya juga dikenakan membawa beban tambahan seberat 20 kg.

    Toyota Gazoo Racing 2017 – aksi agresif di hari kedua

    Perlumbaan hari kedua pada Ahad lalu itu tidak ketinggalan dengan pelbagai aksi perlanggaran antara pelumba, bermula dari sesi yang pertama lagi. Bagi kelas Super Sporting ini, kereta Vios yang dipandu James Veerapan juga terpaksa keluar awal kerena tayar pecah, selepas terlibat dalam perlanggaran dengan Boy Wong.

    Kelas Promotional yang melibatkan pelumba selebiriti juga tidak kurang aksinya. Insiden Fattah Amin melanggar kereta yang dipandu Diana Danielle ketika berbaki beberapa pusingan saja lagi menjadi detik yang mencuri tumpuan pengunjung.

    Diana tidak dapat meneruskan saingan selepas itu, sementara kereta yang dipandu Fattah juga mengalami masalah tayar pecah dan tidak menamatkan perlumbaan. Bagi kelas ini, Shawn Lee mendahului saingan dan menamatkannya ditempat pertama.

    Toyota Gazoo Racing 2017 – aksi agresif di hari kedua

    Saingan genting pula dipamerkan dalam kelas Sporting, dengan jumlah pelumba yang lebih ramai, serta tidak ketinggalan aksi yang lebih agresif yang dipamerkan. Selepas 18 pusingan yang turut menyaksikan insiden tayar serta cermin pecah akibat melanggar konkrit penampan dan bampar robek dan tercabut, Ken Foo meneruskan dominasinya untuk muncul juara, mendahului Kenneth Koh dan Brendan Lim.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2017 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu lalu berjaya menarik sejumlah 27,000 pengunjung untuk memeriahkan acara. Ia akan diterusakan untuk siri keduanya pada November nanti bertempat di MAEPS, Serdang. Jumpa di sana nanti.

     
     
  • Mazda CX-5 baharu didedah oleh pengedar-pengedar tempatan sebelum diperkenalkan secara rasmi di M’sia

    Kami menerima spyshot minggu lalu memaparkan Mazda CX-5 generasi kedua diuji di atas jalan raya Malaysia. Kini nampaknya pengedar-pengedar Mazda di Malaysia tidak sabar lagi untuk menjual SUV segmen-C generasi baharu tersebut dengan memaparkan imej-imej model berkenaan di laman-laman sosial mereka.

    Imej-imej berkenaan berkemungkinan besar ialah CX-5 spesifikasi Malaysia, namun kita perlu menunggu sehingga pelancaran rasminya nanti untuk mengesahkan setiap perincian. Pada bahagian luaran, model baharu ini menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan juga lampu belakang LED.

    Gambar-gambar berkenaan turut mendedahkan dua rim aloi berbeza iaitu unit dengan jejari pelbagai berdiameter 17-inci dan juga pilihan lebih besar berdiameter 19-inci yang hadir dengan rekaan lima-jejari berkembar. Menerusi lencana-lencana yang terpapar, Malaysia nampaknya bakal menerima kedua-dua enjin petrol SkyActiv-G iaitu 2.0 liter dan 2.5 liter, dan juga model turbo diesel dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D.

    Versi petrol akan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyaActiv-Drive memacu roda hadapan. Manakala untuk model yang dijana kuasa diesel pula juga diberikan sistem transmisi yang sama tetapi turut diberikan sistem pacuan semua-roda. Seperti juga model-model lain dalam barisan, SUV generasi baharu ini turut diberikan teknologi pemanduan SkyActiv-Vehicle Dynamic, dibintangi oleh sistem G-Vectoring Control atau GVC.

    Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka CX-5 yang dirombak semula ini turut menampilkan skrin utama berdiri sendiri pada bahagian tengah yang dihubungkan kepada sistem infotainment MZD Connect. Ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem penghawa dingin dua-zon, Commander Control dan juga upholsteri balutan kulit.

    Pendedahan ini menandakan pelancaran rasmi CX-5 generasi baharu di Malaysia semakin hampir. Sebelum ini pihak Bermaz sendiri telah mendedahkan CX-5 baharu ini akan diperkenalkan sama ada pada September atau Oktober tahun ini. SUV berkenaan akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Inokom Mazda Malaysia yang terletak di Kulim, Kedah.

    Nampaknya pasaran SUV segmen-C di Malaysia benar-benar meriah tahun ini. Setelah VW Tiguan, Honda CR-V, Hyundai Tucson Turbo, dan kini kita menunggu pula CX-5 generasi baharu untuk bersaing dalam pasaran tempatan.

     
     
  • Demak Sri Lanka meterai kerjasama dengan Motul

    Demak Sri Lanka meterai kerjasama dengan Motul

    Pemilik motosikal jenama Demak iaitu DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd turut memasarkan motosikal di Sri Lanka, dan tahun lalu, akibat daripada permintaan yang tinggi, sebuah kilang telah dibuka di sana. Terbaru, Demak Sales and Services Sri Lanka memeterai perjanjian kerjasama dengan pengeluar pelincir terkenal dunia iaitu Motul sebagai jenama pelincir yang dicadangkan untuk kegunaan semua motosikal jenama Demak yang dijual di Sri Lanka.

    Melalui perjanjian ini juga, produk pelincir Motul akan dibekalkan dan dijual di semua rangkaian pengedar Demak di Sri Lanka, selain kedua-dua syarikat akan berkongsi kepakaran teknologi bagi meningkatkan keupayaan serta kemampuan jurutera di semua rangkaian pengedarnya.

    Demak Sri Lanka meterai kerjasama dengan Motul

    “Motul merupakan sebuah jenama minyak pelincir yang terkenal di dunia dan menjadi salah satu penaja dan juga rakan pelincir rasmi untuk MOTO GP sejak dari 2014 sehingga kini. Demak amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Motul,’ kata pengurus besar operasi DNC Asiatic Sdn Bhd, Tan Peng Kee.

    Pada masa ini, Demak Sri Lanka mempunyai 134 pengedar sah serta 34 pusat mega yang menyediakan perkhidmatan alat ganti dan servis di seluruh Sri Lanka. Jualan motosikal jenama itu di sana juga mempunyai purata jumlah sebanyak 1,000 unit untuk satu bulan.

     
     
  • Kenderaan awam perlu diperiksa secara berkala, bukan pada musim perayaan sahaja – Aziz

    Kenderaan awam perlu diperiksa secara berkala, bukan pada musim perayaan sahaja – Aziz

    Ini bukanlah suatu perkara baharu tetapi telah sekian lama dicanangkan, namun masih ramai pengusaha pengangkutan awam yang ingkar. Sekali lagi pihak kerajaan menegaskan kenderaan awam berdaftar perlu menjalani pemeriksaan secara berkala seperti yang ditetapkan bagi memenuhi piawaian keselamatan dan bukan hanya diperiksa pada musim perayaan sahaja.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata arahan dan keperluan itu terkandung dalam Seksyen 12, Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mewajibkan semua kenderaan awam menjalani pemeriksaan awal dan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), laporan Bernama.

    Katanya menerusi persidangan Dewan Negara semalam, pemeriksaan berkala dan piawaian pemeriksaan tersebut adalah bagi kenderaan baharu sekali dalam setahun untuk dua tahun pertama dan pemeriksaan selepas itu adalah sekali dalam setiap enam bulan.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah yang ingin tahu adakah pemeriksaan kenderaan awam hanya bertumpu ketika musim perayaan kerana dikhuatiri pemilik kenderaan awam turut menyelenggara kenderaan itu sewaktu tiba musim perayaan sahaja.

    Katanya lagi, pada setiap pemeriksaan berkala itu, kenderaan berkenaan akan menjalani pelbagai pemeriksaan seperti pengesahan identiti kenderaan (pemeriksaan nombor enjin), ujian kadar ketelusan cahaya cermin kenderaan, ujian pelepasan asap dan ujian brek serta meter laju bagi teksi bermeter.

    Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Hanafi Mat mengenai keluhan pengusaha kecil kenderaan berhubung kos pemeriksaan kenderaan yang tinggi di Puspakom, Aziz berkata kos pemeriksaan itu masih rendah.

    Katanya caj bayaran yang ditetapkan bagi pemeriksaan di Puspakom tidak berubah sejak 2007, RM55 untuk teksi dan RM90 bagi kenderaan lori

     
     
  • JPJ Perlis kutip RM12.2j bagi nombor pendaftaran RR

    JPJ Perlis kutip RM12.2j bagi nombor pendaftaran RR

    Awal bulan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengumumkan berjaya memperoleh sebanyak RM7.2 juta menerusi siri pendaftaran nombor kenderaan baharu ‘RR’ bagi negeri berkenaan iaitu lebih RM100,000 berbanding ‘RM’. Terkini, JPJ Perlis mengumumkan secara keseluruhan kutipan yang berjaya diperoleh menerusi ‘RR’ ialah mencecah RM12.2 juta.

    Menurut jurucakap JPJ Perlis Mohd Tarmizi Ghazali, bidaan yang ditutup pada 19 Jun lalu menerima sebanyak 7,960 bidaan untuk siri pendaftaran tersebut, laporan Bernama.

    Beliau menambah, nombor yang dianggap ’emas’ iaitu daripada dua hingga 10, dengan bidaan minimum RM10,000, berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM2.6 juta.

    “Ini menunjukkan penerimaan orang ramai terhadap nombor plat RR ini adalah luar biasa, dan jumlah kutipannya adalah yang terbesar bagi JPJ Perlis,” ujarnya menerusi kenyataan media semalam.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berjaya membida ‘RR6’ dan ‘RR9’, dengan kos masing-masing RM459,000 dan RM396,800. Manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berjaya membida ‘RR11’ dengan harga RM268,400. Namun sehingga sekarang, tidak didedahkan siapakah pemilik ‘RR 1’.

     
     
  • GIIAS 2017: Toyota Voxy generasi ketiga versi facelift diperkenalkan pada pasaran Indonesia secara rasmi

    GIIAS 2017: Toyota Voxy generasi ketiga versi facelift diperkenalkan pada pasaran Indonesia secara rasmi

    Selain dari Alphard dan Vellfire, Toyota sebenarnya mempunyai satu lagi model yang diletakkan di bawah kedua-dua MPV flagship tersebut untuk bersaing dalam segmen yang sama dengan Nissan Serena. Model yang digelar Toyota Voxy (juga dikenali sebagai Noah di Jepun, bergantung pada pengedar yang menjual) tersebut kini sudah pun melewati generasi ketiga, dan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, model berkenaan tiba ke pasaran Indonesia secara rasmi menerusi pengedar sah serta hadir dalam versi facelift 2017.

    Model ini dibawa secara CBU terus dari Jepun ke Indonesia oleh Toyota Astra Motor dan ditawarkan dengan hanya satu varian. Pasaran Indonesia menerima Voxy dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, dijana enjin 3ZR-FAE 2.0 liter petrol empat silinder berkuasa 152 PS (atau 150 hp) dan tork maksima 193 Nm. Ia digandingkan bersama kotak gear automatik Super-CVTi dengan tujuh-kelajuan maya.

    GIIAS 2017: Toyota Voxy generasi ketiga versi facelift diperkenalkan pada pasaran Indonesia secara rasmi

    Voxy juga sebenarnya merupakan Alphard atau Vellfire dalam bentuk yang lebih kecil. Dimensi MPV ini diukur dengan 4,710 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,835 mm tinggi manakala jarak rodanya pula sejauh 2,850 mm. Versi pasaran Indonesia ini turut menerima sistem pendingin hawa tiga-zon, cruise control, paparan kluster instrumen Optitron dan juga kamera parkir belakang.

    Selain itu, ia juga diberikan tempat duduk Kapten pada baris kedua, sistem hiburan lebih baik dengan skrin paparan 10-inci, dua moonroof dan rim aloi tujuh jejari berdiameter 16-inci dibaluti tayar 205/60R16. Untuk keselamatan pula, Voxy diberikan tujuh-beg udara, bantuan mula mendaki, VSC dan juga isyarat berhenti kecemasan.

    Toyota Voxy facelift 2.0L automatik dijual di pasaran Indonesia dengan harga atas jalan 446 juta rupiah (RM143,500). Pembeli ditawarkan dengan tiga warna berbeza iaitu Inazuma Sparkling Black, White Pearl dan hitam.

     
     
  • GALERI: Citroen C4 Picasso baharu di M’sia – RM125k

    GALERI: Citroen C4 Picasso baharu di M’sia – RM125k

    Walau pun jenama Citroen di Malaysia agak senyap kebelakangan ini, tidak bermakna mereka telah memperlahankan rentak perjalanan di negara ini. Dan dalam diam, Citroen Malaysia telah pun menghadirkan model baharu bagi C4 Picasso 2017.

    Hadir dengan rekaan yang lebih inovatif walau pun tidak banyak perubahan yang ditampilkan bagi rekaan luaran dan dalamanya, C4 Picasso 2017 ini dilengkapi dengan lampu utama halogen yang langsing yang menggantikan unit bi-xenon pada model terdahulu. Ia juga dipadankan bersama lampu nyalaan siang LED yang lebih nipis, disambung pada gril radiator. Lampu kabus hadapan juga melengkapi gaya hadapan yang tampil dengan rekaan ringkas tetapi stylish.

    Ia juga ditampilkan dengan rim aloi rekaan Anaconda 17-inci yang lebih bergaya. Melewati bahagian belakangnya, ia turut dilengkapi lampu LED, yang diinspirasikan daripada model kereta konsep Tubik, Survolt dan Revolte, termasuk menampilkan efek futuristik 3D.

    GALERI: Citroen C4 Picasso baharu di M’sia – RM125k

    Walau bagaimana pun, pada bahagian kabinnya tidak banyak perubahan yang ditampilkan. Papan pemukanya juga tampil ringkas dengan menghadirkan skrin sentuhan-sensitif ala tablet bersaiz tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon serta roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan audio.

    Selain itu, ia juga menampilkan sistem navigasi, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, sambungan USB/iPod dan Bluetooth, lampu bacaan hadapan dan belakang, kawalan kelajuan dan pengehad kelajuan yang boleh diprogramkan.

    Bagi ruang butnya, ia berkapasiti 630 liter dan boleh mencapai sehingga 1,709 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Elemen keselamatan yang turut dikekalkan termasuklah enam beg udara, ABS dengan EBD, brek parkir elektronik, program kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki (HSA), dan tiga cagak Isofix.

    Selain itu, C4 Picasson 2017 ini masih mengekalkan penjana kuasa yang sama iaitu 1.6 liter suntikan terus dengan pengecas turbo berkembar bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 165 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm dari 1,400 rpm. Malah ia mampu mencapai pacuan 0-100 km/j dalam catatan masa 9.3 saat dan kelajuan maksimum pula 210 km/j. Bagi penggunaan bahan api pula, Citroen menganggarkan sebanyak 5.6 liter bagi setiap 100 km.

    C4 Picasso 2017 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM125,164.29 (tanpa insurans) bersama waranti pengeluar tiga tahun/tanpa perbatuan terhad dan waranti lanjutan dua-tahun/tanpa perbatuan terhad. Ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu Rouge Rubi, Blanc Banquise, Gris Shark dan Moka.

     
     
  • Honda Jazz facelift baharu versi pasaran Eropah terima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 130 PS

    Honda Jazz facelift baharu versi pasaran Eropah terima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 130 PS

    HONDA REVEALS FRESH LOOK AND NEW ENGINE OPTION FOR JAZZ SUPERMINI

    Tidak seperti Jepun dan ASEAN khususnya Malaysia dan Thailand yang telah pun menerima Honda Jazz versi facelift, pasaran Eropah masih lagi belum menerima hatchback lima-pintu versi kemaskini berkenaan. Namun set imej pertama Jazz untuk benua berkenaan kini sudahpun di siarkan.

    Selain dari penyegaran pada luaran dan dalaman, versi Eropah turut menerima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC sama seperti versi Amerika buat pertama kali (pasaran Malaysia hanya menghasilkan 120 PS manakala pasaran Jepun lebih berkuasa dengan 132 PS).

    Jazz pasaran Eropah ini juga menampilkan rupa yang berlainan dari apa yang ditawarkan di Malaysia. Gril hadapan diberikan rekaan baharu manakala perumah lampu hadapan juga menerima sedikit sentuhan semula. Rekaan bampar hadapan turut dirombak menampilkan rupa yang lebih agresif pada bahagian liang udara. Secara keseluruhan, bampar berkenaan membuatkan muncung Jazz ini kelihatan lebih tajam.

    Varian Dynamic baharu diperkenalkan untuk kali ini yang menampilkan splitter udara nipis yang ditempatkan di bawah gril bampar serta diffuser dengan tiga bahagian pada bampar belakang. Kemasan-kemasan baharu tersebut turut diberikan serlahan jalur merah bagi menaikkan imej sporty hatchback ini. Bahagian belakang juga diberikan jalur kemasan baharu berwarna hitam pada pintu tailgate. Penyegaran bahagian luaran ini diakhiri dengan tawaran warna baharu didalam brosur iaitu Skyride Blue.

    Selain dari kemasan-kemasan istimewa, varian Dynamic turut diberikan lampu hadapan LED, lampu kabus hadapan, skirt sisi, spoiler belakang dan juga rim aloi 16-inci kemasan hitam berkilat dibaluti tayar 185/55R16. Bahagian dalaman pula dipadankan dengan upholsteri bercorak pinstripe unik bersama roda stereng dan tombol gear balutan kulit diserlahkan dengan jahitan benang oren.

    Enjin i-VTEC berkuasa 130 PS dan memenuhi piawaian Euro-6 berkenaan akan menjana versi Dynamic tersebut. Ia digandingkan sama ada dengan transmisi enam-kelajuan manual atau CVT automatik. Namun, enjin 1.3 liter i-VTEC berkuasa 102 ps pada versi sebelum ini masih lagi ditawarkan untuk semua varian, kecuali untuk gred Dynamic.

    Jazz pasaran Eropah akan diberikan ciri-ciri standard seperti cruise control, pemanas tempat duduk, lampu hadapan automatik, dan juga brek kecemasan automatik-bandar. Varian lebih tinggi pula dibekalkan dengan sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, dan juga kelengkapan keselamatan seperti Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Keluar Laluan serta Pengesan Tanda Trafik.

     
     
  • Mitsubishi Xpander sah akan ke Malaysia pada 2018

    Mitsubishi Xpander sah akan ke Malaysia pada 2018

    Setelah Mitsubishi Xpander didedahkan tempoh hari di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, pasti ramai yang menahan sabar dan tertanya-tanya adakah ia akan dibawa ke Malaysia bukan? Menurut laporan dari Reuters, CEO Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengesahkan MPV dengan gaya SUV agresif tersebut akan mendarat ke pasaran Malaysia menjelang tahun hadapan.

    “Kami akan mengeksport kereta ini ke seluruh rantau ASEAN bermula Februari akan datang,” kata Masuko. Xpander akan diproduksi di Indonesia dan MMC akan mengeksportnya ke Filipina, diikuti oleh Malaysia, Thailand dan Vietnam, menurut laporan tersebut lagi.

    Model ini akan dihasilkan di kilang baharu MMC yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dengan pengeluaran sebanyak 80,000 unit setahun. Indonesia yang merupakan pasara automotif terbesar di ASEAN dan ia kini di dominasi oleh MPV. Jadi, hanya suku bahagian dari jumlah 80,000 unit tersebut akan dieksport keluar.

    Mitsubishi Xpander juga merupakan MPV yang paling ditunggu-tunggu di Indonesia dan ia dijangka bakal memberikan saingan yang sangat sengit kepada model-model yang kini mendominasi pasaran seperti Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio.

    Mitsubishi Xpander sah akan ke Malaysia pada 2018

    Kelebihan pada Xpander ini tentunya pada rupa MPV tersebut sendiri yang menampilkan rekaan yang sangat agresif walaupun dihasilkan sebagai kenderaan pelbagai guna. Menurut MMC, ia direka penuh dengan nilai-nilai warisan Mitsubishi yang terkenal sebagai jenama yang menghasilkan kenderaan-kenderaan off-road 4×4 sebelum ini. Rekaan yang menyerupai sebuah SUV ini juga sudah terbukti pada saingan Xpander di Malaysia iaitu Honda BR-V yang kini jelas mendominasi pasaran.

    Xpander direka dengan konfigurasi tempat duduk tiga baris yang mampu memuatkan tujuh-orang pada satu-satu masa. Dengan dimensi 4,475 mm panjang dan 1,750 mm lebar, Xpander secara jelas 22 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dari BR-V. Jarak roda MPV Mitsubishi ini juga 113 mm lebih panjang dari BR-V, manakala kelegaan tanahnya juga 4 mm lebih tinggi dari MPV Honda berkenaan (paling tinggi dalam kelasnya).

    MPV-SUV ini dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter empat silinder DOHC MIVEC yang mampu menghasilkan 104 PS dan tork maksima 141 Nm. Kuasa dari enjin hanya akan dialirkan ke roda hadapan menerusi pilihan kotak gear sama ada manual lima-kelajuan atau automotik konvensional dengan torque converter empat-kelajuan.

    Untuk pasaran Indonesia, Xpander dijual dalam lima varian iaitu GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate. Varian asas dijual pada harga bermula Rp 189,050,000 (RM60,843) dan diakhiri dengan varian tertinggi dijual pada harga Rp 245,350,000 (RM78,968). Berbanding BR-V yang dihasilkan di kilang Honda, Pegoh, Melaka, adakah Xpander yang akan dieksport dari Indonesia ini akan memberikan tentangan sengit di Malaysia kelak?

    GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik

    GALERI: Mitsubishi Xpander Ultimate Automatik

    GALERI: Mitsubishi Xpander dengan kit badan dan aksesori

     
     
  • TopMark tawar kenderaan terpakai berkualiti yang diiktiraf UMW Toyota Motor, datang dengan jaminan

    TopMark tawar kenderaan terpakai berkualiti yang diiktiraf UMW Toyota Motor, datang dengan jaminan

    Bermula bulan ini, cabang kenderaan terpakai UMW Toyota Motor akan dikenali sebagai Toyota TopMark hasil daripada langkah penjenamaan semula. TopMark menawarkan kenderaan terpakai berkualiti, yang diiktiraf, termasuk kenderaan hibrid dan ia telah beroperasi sejak tahun 2000.

    Keistimewaan TopMark adalah kenderaan yang ditawarkan disiapkan secara menyeluruh, melalui pemeriksaan lebih 200 bahagian – yang termasuk aspek keselamatan, tayar (akan ditukar baru sekiranya botak) serta bateri baru. Memandangkan ia bekerja rapat dengan bahagian teknikal dan servis UMW Toyota Motor, segala informasi berkenaan kenderaan boleh didapati dengan mudah. Barang yang digunakan juga adalah barang asli.

    Untuk memastikan penampilan yang segar, kereta yang dijual oleh TopMark melalui proses pembersihan tiga tahap, yang akan menjadikannya kelihatan seperti kereta baru. Bukan setakat bahagian yang boleh dilihat mata, bahagian tersembunyi seperti di bawah lengkuk tayar turut dibersihkan dan dicat hitam.

    TopMark tawar kenderaan terpakai berkualiti yang diiktiraf UMW Toyota Motor, datang dengan jaminan

    Apabila mendapatkan kereta terpakai diiktiraf dengan TopMark, pembeli akan diberi jaminan selama dua tahun atau 40,000 km untuk bahagian enjin dan transmisi. Melalui aturan dengan pusat servis berdaftar Toyota juga, pembeli boleh menikmati upah percuma untuk servis berkala kali pertama dan kedua.

    Selari dengan langkah penjenamaan semula ini, laman web TopMark juga telah diperbaharui untuk memberi kesenangan kepada pengguna, selain adanya cawangan fizikal di Petaling Jaya, Butterworth, Johor Bahru, Kulai dan Kuantan. Kenderaan Lexus terpakai juga boleh didapati di cawangan-cawangan ini.

     
     
  • GIIAS 2017: Daihatsu Canbus, Thor modifikasi D-Sport

    GIIAS 2017: Daihatsu Canbus, Thor modifikasi D-Sport

    Satu perkara yang mungkin akan menyebabkan peminat modifikasi K-Car JDM di Malaysia cemburu dengan Indonesia ialah peneraju segmen berkenaan iaitu Daihatsu akan membawa versi-versi custom K-Car mereka ke Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) secara tetap setiap tahun, walaupun model-model berkenaan tidak dijual di Republik tersebut. Untuk GIIAS 2017, Daihatsu telah membawakan dua K-Car yang telah diubahsuai dari Jepun iaitu Canbus dan Thor.

    Daihatsu Canbus mula diperkenalkan di Jepun tahun lalu. Model ini direka berbeza dari Move (walaupun sebenarnya nampak hampir sama dari segi konsep) di mana Move dihasilkan sebagai MPV versi Kei manakala Canbus ini pula lebih kepada van dan ia disasarkan untuk pembeli wanita.

    Canbus standard hadir dengan pilihan warna pastel serta tampil dengan rupa yang agak comel. Namun versi ubahsuai yang ditampilkan ini nampak lebih garang dan tidak ada masalah sekiranya dipandu seorang lelaki – tetapi dengan saiznya dan mukanya, ia masih kelihatan comel. Masih dijana enjin 658cc asal, Canbus ini dipenuhi dengan aksesori-aksesori yang digilai oleh abang-abang Kancil, Kelisa dan Myvi di Malaysia iaitu D-Sport.

    Diberikan warna badan merah, Canbus ini turut menerima elemen mesh pada gril bampar hadapan, perumah lampu hadapan berwarna hitam serta gril utama baharu juga berwarna hitam. Bahagian bawah badan kereta ini juga diberikan warna hitam bagi memberikan tema warna dua-tona.

    Bahagian belakang kereta ini pula menerima spoiler bumbung dan juga bampar baharu yang kelihatan lebih berkotak serta menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah. Suspensi juga telah diubahsuai untuk merapatkan badan kereta ke permukaan jalan dan dilengkapkan dengan rim D-Sport berdiameter 16-inci kemasan emas, dibaluti tayar Bridgestone UHP.

    Bahagian dalaman Canbus ini turut diubah dengan warna yang sama pada bahagian luaran iaitu merah dan hitam. Bahagian-bahagian yang menerima sentuhan warna berkenaan termasuk pada tempat duduk, kemasan panel pintu, dan juga roda stereng khas dari Momo.

    Daihatsu Thor (juga dikenali sebagai Toyota Wake di Jepun) pula sememangnya sebuah kereta yang yang direka sebagai MPV-kei sama seperti Move, tetapi diberikan ciri yang lebih premium serta pintu jenis gelangsar pada bahagian belakang. Model ubahsuai yang dibawa kali ini diberi nama “Little Giant” – seperti namanya, MPV comel ini kelihatan seperti abangnya di Toyota iaitu Vellfire.

    Berbeza dengan Canbus, Thor yang dibawa ini bukan lagi kenderaan yang diklasifikasikan sebagai K-Car di Jepun kerana ia dari varian Thor Custom G turbo, dijana enjin 1.0 liter turbo (undang-undang K-Car hanya membenarkan enjin dengan kapasiti maksimum 660cc bagi menikmati potongan cukai istimewa).

    Little Giant diberikan gril krom yang sangat besar pada bahagian hadapan bersama bampar standard hadapan yang sememangnya sangat agresif. Ia juga dipadankan bersama kemasan krom pada pintu tailgate belakang dan juga jalur lampu LED pada liang kemasukan udara sisi bampar hadapan.

    Keseluruhan badan MPV kecil ini diberikan warna hitam tetapi bumbungnya diberikan kontras berwarna biru. Dengan suspensi yang turut direndahkan, penampilan Thor ini dilengkapkan bersama pemadanan rim bersaiz 17-inci yang diwarnakan biru, sama seperti bumbungnya. Imej VIP pada bahagian luaran turut diberikan pada kabin dengan serlahan upholsteri kulit ular pada tempat duduk.

    GALERI: Daihatsu Canbus

    GALERI: Daihatsu Thor

     
     
  • Super Soco TS1200R – moped elektrik mampu milik

    Super Soco TS1200R – moped elektrik mampu milik

    Seperti juga kereta yang kini semakin banyak menggunakan tenaga alternatif selain bahan api, motosikal turut melihatkan pengeluaran model-model baru. Pelbagai sumber kuasa telah dijadikan eksperimen tetapi elektrik tetap adalah yang paling meyakinkan.

    Di Eropah, selain jenama seperti Italian Volt, Essence atau AP Works yang ada menawarkan motosikal elektrik, tetapi pada harga premium, sebuah lagi syarikat muncul memberi pilihan yang lebih mampu milik kepada pengguna iaitu Super Soco.

    Ia sebenarnya adalah sebuah syarikat kerjasama V-Moto dari Austria dan sebuah lagi syarikat di China, dan produk pertama mereka digelar sebagai TS1200R. Motosikal ini dibangunkan dan dibuat di China, tetapi kini sudah berada di pasaran Austria dan baru memasuki pasaran United Kingdom pada harga £2,349 (RM13,120).

    Bateri yang digunakan pada motosikal ini adalah berkuasa 60 V dan ia digunakan untuk memberi kuasa kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 2,400 watt dan 120 Nm tork. Bagi satu pek bateri ini, ia mampu memberi perjalanan sehingga 80 km. Sekiranya jarak itu tidak mencukupi, pembeli boleh menambah satu lagi pek bateri untuk menggandakan jaraknya.

    Berat motosikal ini adalah sekitar 170 kg dan antara ciri menarik lain yang ada padanya adalah lampu utama, penunjuk arah dan belakang LED, paparan meter LCD, brek cakera depan dan belakang, kunci jarak jauh dan sambungan audio bluetooth. Super Soco juga ada menawarkan sebuah lagi model yang lebih ranggi dikenali sebagai Terminator.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025