Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MRT: Pembinaan Laluan Sg.Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka siap antara 15-18% menjelang akhir 2017

    MRT: Pembinaan Laluan Sg.Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka siap antara 15-18% menjelang akhir 2017

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan penyiapan sebanyak 15 hingga 18% ke atas Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) menjelang akhir 2017.

    Menurut Pengarah Projek MRT Corp Jajaran SSP, Datuk Amiruddin Ma’aris, buat setakat ini, kemajuan keseluruhan MRT Jajaran SSP adalah pada 7.5% dan pembinaannya mengikut jadual.

    Pagi tadi bertempat di Pusat Latihan MRT Lembah Klang, Sungai Buloh, MRT Corp telah mengadakan sesi taklimat kemajuan projek bagi Ahli-Ahli Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di mana kawasan mereka terlibat dengan pembinaan Jajaran SSP ini.

    “Memandangkan pakej kerja sivil dan sistem yang telah dianugerahkan, kerja-kerja pembinaan telah pun bermula bagi kedua-dua jajaran bertingkat utara dan selatan, bahagian bawah tanah dan depoh. Kerja-kerja sedang berjalan dengan pesat dalam semua bahagian,” kata Amiruddin.

    Katanya lagi, bagi kerja-kerja bawah tanah, termasuk penempatan semula kemudahan utiliti, penggalian untuk kawasan stesen dan syaf, pengubahsuaian mesin pengorek terowong, termasuk pengeluaran, berjalan lancar pada tahap 8.7%.

    Dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, Amiruddin begitu positif tentang Fasa Pertama Laluan MRT SSP antara Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu S09 akan mula beroperasi pada Julai 2021, sementara keseluruhan laluan akan mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2022.

    Jajaran SSP adalah aliran perkhidmatan MRT kedua yang merangkumi kawasan seluas 52.2 km yang menghubungkan sebanyak 35 stesen.

     
     
  • Peugeot Traveller sekali lagi dikesan menjelang pelancarannya di Malaysia pada suku ketiga tahun ini

    Pada awal bulan ini, Peugeot Traveller dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, dan baru-baru ini pula kelihatan beberapa unit MPV bersaiz besar ini berada di luar bilik pameran Pegueot Malaysia di Glenmarie, Shah Alam.

    Seperti sebelum ini, Traveller yang dikesan adalah spesifik dengan kehadiran pakej kekemasan Allure, ini termasuklah beberapa elemen seperti roda aloi 17-inci dan lampu utama xenon. Kami menjangkakan Traveller ini hadir dengan elemen lebih premium, jadi pintu gelangsar sisi kuasa elektrik bebas-tangan berkembar mungkin akan ditawarkan sebagai kit standard.

    Walau pun kami tidak dapat melihat ruang dalamnya secara dekat, namun pastinya ia tampil dengan tiga barisan tempat duduk, tetapi tidak dipastikan sama ada dengan bentangan lima-, tujuh- atau lapan-tempat duduk. Jika mengikut spesifikasi Traveller yang dijual di pasaran Britain, ia dilengkapi dengan rekaan dalaman kekemasan kulit penuh, skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci dan sistem kawalan suhu dwi-zon, mungkin juga turut ditawarkan untuk Malaysia.

    Buat masa ini tiada informasi mengenai kuasa di bawah hudnya, namun terdapat beberapa pilihan enjin BlueHDi turbodiesel, dari 1.6 hingga 2.0 liter. Pilihan transmisi termasuk manual dan automatik enam-kelajuan, yang mungkin akan diterima bagi model pasaran Malaysia.

    Traveller dibangunkan dengan menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2) ciptaan PSA, dan didatangkan dengan tiga dimensi panjang iaitu Compact (4,606 mm), Standard (4,956 mm) dan Long (5,309 mm). Compact didatangkan dengan jarak roda 2,930 mm panjang, manakala dua lagi versi (Standard dan Long) pula lebih panjang iaitu 3,275 mm.

    Peugeot Malaysia dijangka akan melancarkan MPV ini pada suku ketiga 2017. Ia akan dipasang secara CKD di fasiliti Naza Automotive Manufacturing, Gurun, Kedah (Malaysia merupakan hab pemasangan Peugeot untuk rantau ini) dan turut mungkin akan dieksport jika terdapat permintaan.

    GALERI: Peugeot Traveller

     
     
  • VIDEO: Kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan, dibawakan oleh Proton

    Mengapa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan sangat penting? Jawapannya juga sangat mudah, atas sebab keselamatan. Namun, masih ramai yang memandang enteng perkara ini. Ini ditambah pula dengan pelaksanaan undang-undang yang masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

    Jika anda masih ragu-ragu tentang bagaimana kerusi khas ini boleh menyelamatkan nyawa kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan, tonton video pesanan keselamatan ini yang dibawakan oleh Proton. Di dalamnya, kami menghuraikan bagaimana ia berfungsi, dan apa kesannya jika tidak digunakan.

    Antaranya, tali pinggang keledar hanya berfungsi dengan berkesan terhadap orang dewasa dan tidak pada kanak-kanak. Saiz tubuh mereka yang kecik dan lemah boleh menyebabkan kecederaan serius jika hanya menggunakan tali keledar berkenaan.

    Jika anda merasakan kerusi keselamatan kanak-kanak ini mahal, pandangan ini sama sekali tidak benar. Memang ada jenama-jenama luar yang mengeluarkan kerusi khas ini dengan harga mahal, sesuai dengan ciri atau kemasan yang ditawarkan.

    Tetapi, terdapat juga kerusi khas yang dikeluarkan oleh jenama biasa yang dijual pada harga berpatutan. Lebih penting, ia menjalankan fungsi yang sama pada harga yang lebih rendah. Sebagai contoh, Proton menyediakan tawaran berkenaan bagi mereka yang membeli kenderaan baru yang dikeluarkan syarikat itu; kerusi keselamatan dengan nilai RM1,000 dijual hanya pada harga RM299.

     
     
  • Isuzu buka pusat servis serba lengkap di Shah Alam

    Isuzu buka pusat servis serba lengkap di Shah Alam

    Demi menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik bagi pelanggannya, Isuzu Malaysia telah membuka sebuah pusat servis di Shah Alam, Selangor, yang diuruskan bersama dengan sebuah anak syarikat DRB-Hicom Bhd, iaitu Automotive Corporation Malaysia (ACM).

    Kemudahan seluas dua ekar ini bagaimanapun hanya akan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini, dan di situ ia menempatkan 16 ruang servis, dan dilengkapi dengan pengangkat berkapasiti tinggi yang mampu mengangkat trak tugas sederhana dan berat, alat ujian kalibrasi brek, alat pengukur emisi ekzos serta mesin penjajaran tayar dan roda untuk memastikan kenderaan komersial bersedia sebelum pemeriksaan. Turut digunakan adalah peralatan diagnostik.

    Isuzu buka pusat servis serba lengkap di Shah Alam

    Objektif utama pembukaan pusat servis ini adalah untuk menyediakan proses pembaikan yang lebih pantas, seterusnya dapat memendekkan tempoh kenderaan tidak dapat beroperasi. Kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka,“dengan pembukaan pusat servis ini, kami harap ia dapat menggalakkan amalan penyelenggaraan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pengendali trak supaya melakukan servis berkala mereka di pusat-pusat servis yang sah.”

    Pusat servis Isuzu di Lot 730, Jalan Sungai Rasau, Seksyen 17, Shah Alam ini dibuka mulai Isnin hingga Jumaat dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang dan dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang pada hari Sabtu. Kemudahan itu turut menampatkan servis Isuzu Dr Mobile 24 jam yang boleh dihubungi menerusi talian hotline Dr Mobile iaitu 1800888000.

     
     
  • SUV segmen-C Hyundai Tucson versi lebih liar akan dihasilkan oleh sayap berprestasi tinggi divisi N

    SUV segmen-C Hyundai Tucson versi lebih liar akan dihasilkan oleh sayap berprestasi tinggi divisi N

    Divisi talaan Hyundai N kini dilihat sedang sibuk untuk menyiapkan hot hatch i30 N, namun, model berkenaan hanyalah permulaan bagi model-model yang bakal menerima sentuhan ubahsuai liar dari sayap berprestasi tinggi tersebut. Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai memberitahu Drive, banyak lagi model akan diberi talaan seperti model berkenaan selepas ini termasuk SUV segmen-C Hyundai Tucson.

    “Jika anda lihat Tucson hari ini ia sangat relaks, sangat selesa untuk dipandu, tetapi untuk versi N ia memerlukan lebih banyak kuasa, transmisi yang baik, pengendalian yang baik, tayar yang lebih sporty dan badan lebih rendah,” kata Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.

    “Kereta telah pun tersedia dan kami mempunyai perniagaan yang baik dalam segmen SUV. Kami mempunyai platform yang baik menerusi platform Tucson untuk menjadikannya SUV berprestasi tinggi,” tambah Biermann lagi.

    Selain dari Tucson, Biermann turut memberikan petanda model lain termasuk i30 Coupe, Veloster coupe serba baharu yang bakal diperkenalkan tahun hadapan, serta barisan model segmen-B iaitu Accent dan juga SUV Kona turut bakal ditransformasikan sebagai jentera yang lebih buas oleh divisi N.

    SUV segmen-C Hyundai Tucson versi lebih liar akan dihasilkan oleh sayap berprestasi tinggi divisi N

    “Kami bermula dengan segmen-C [i30] dan Fastback [coupe] akan menurut jejaknya dan kami sudah pun bermula dengan konsep untuk segmen-B [Accent] dan juga SUV. Buat masa sekarang, kami terbuka.” jelas Biermann dan menambah “Elemen seronok-untuk-dipandu tidak terhad kepada saiz dan segmen kereta tersebut; anda boleh wujudkan kereta yang seronok dalam setiap segmen.”

    Untuk masa hadapan, Biermann turut mengesahkan Hyundai perlu membina unit janakuasa alternatif bagi penyelesaian terhadap masalah undang-undang ekonomi bahan api yang akan dihadapi oleh divisi N.

    “Pada titik tertentu di masa hadapan kami akan memerlukan sistem hibrid atau plug-in hybrid untuk memenuhi peraturan, jadi kami ia akan menjadi episod baharu dalam kereta berprestasi tinggi,” kata Biermann.

    Walau bagaimanapun, kenderaan dengan lencana jenama mewah Hyundai iaitu Genesis setakat ini tidak dirancang untuk diberikan talaan dari divisi N. “Kami akan menerima G70 dengan enjin 3.3 liter turbo berkembar dan kami tidak bercadang untuk memberikan talaah berprestasi tinggi padanya. Ia akan dibina dengan keseimbangan yang baik, dan tidak akan dijadikan sebagai kereta N yang liar,” tegas Biermann.

     
     
  • Kajian demografik pembacaan paultan.org: jemputan untuk para pembaca – beritahu kami tentang anda

    Kajian demografik pembacaan <em>paultan.org</em>: jemputan untuk para pembaca – beritahu kami tentang anda

    Di sebalik kejayaan nama atau jenama, pastinya ada sokongan yang utuh dalam keberhasilannya sehingga ke tahap yang dicapai. Dalam lapangan penerbitan, pastinya golongan pembaca yang menghargai kualiti pengisian editorial sedikit sebanyak turut membantu memacu kejayaan tersebut. Tanpa sokongan itu, pastinya sesebuah penerbitan sukar untuk berdiri teguh, apatah lagi berupaya untuk melakar kegemilangan.

    Sejujurnya, kami amat menghargai sokongan anda, kerana membantu meletakkan kami sebagai penerbitan automotif No.1 di Malaysia. Malah ramai di antara anda begitu dekat mengenali penerbitan kami, dan kini tibalah masanya untuk kami pula mengenali anda, yang mengikuti hasil kerja kami.

    Untuk itu, kami berbesar hati mengundang anda untuk mengambil bahagian bagi kajian demografik pembacaan yang kami kendalikan ini. Ia hanya mengambil sedikit sahaja masa anda, namun ia membantu kami mengenali serba sedikit tentang siapa anda, dan juga membantu kami dalam merencana pembangunan masa hadapan bagi penerbitan ini. Kami di paultan.org mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan kesudian anda.

     
     
  • Toyota Camry 2018 terima kit gaya TRD, Modellista

    Toyota baru saja memperkenalkan Camry 2018 untuk pasaran domestik (Jepun), dan seperti C-HR sebelum ini, kit penggayaan daripada TRD dan Modellista turut akan ditawarkan untuk sedan segmen-D ini.

    Bermula dengan pilihan TRD, bahagian hadapan Camry ditampilkan dengan gril atas hitam, sementara bampar bawahnya pula lebih menonjol berbanding biasa, dan turut didatangkan dengan pencahayaan LED tambahan. Komponen lain dalam pakej ini termasuklah roda, skirt sisi baharu dan bahagian belakang yang telah dimodifikasi.

    Sebagai pembandingan, kit Modellista pula lebih sedikit kurang agresif, dengan perubahan terbesar melibatkan apron bawah yang dimodifikasi dengan kekemasan krom yang lebih besar di bahagian tengah, skirt sisi, roda dan bampar belakang baharu.

    Toyota masih belum mendedahkan kuasa di bawah hud Camry untuk pasaran Jepun ini, tetapi ia mungkin akan mengetengahkan juga penjana kuasa hibrid seperti pasaran US dengan menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force, bersama suntikan terus dan VVT-iE (bagi Elektrik) untuk janaan lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan minyak – termasuk dengan motor elektrik dan CVT. Manakala penjana kuasa bukan hibrid pula ialah enjin 2.5 liter dan 3.5 liter V6 turut ditawarkan bagi Camry pasaran US, bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.

    GALERI: Toyota Camry 2018 (pasaran Jepun)

     
     
  • Nissan beri penghargaan kepada warga emas yang bakal ditarik lesen untuk memandu Nissan GT-R

    Di Brazil, warga emas yang berusia lebih 65 tahun perlu menjalani ujian fizikal setiap tiga tahun bagi membolehkan mereka terus memegang lesen sah untuk memandu. Bagi sesetengah orang, ini adalah satu yang cukup memberi kesan, kerana apabila gagal, mereka tidak boleh lagi memandu. Ada yang sudah memandu berpuluh-puluh tahun sebelum ini dan apabila gagal, ia cukup menyedihkan bagi mereka.

    Untuk itu, Nissan cuba menggembirakan mereka dengan melakukan kejutan istimewa – mereka diberi peluang untuk menaiki antara kereta terpantas di dunia iaitu Nissan GT-R di dalam litar bersama pemandu profesional dan pada penghujung sesi, dibenarkan untuk memandu sendiri kereta sports yang menggunakan enjin 3.8 liter V6 twin-turbo berkuasa 565 hp tersebut.

    Walaubagaimanapun, terdetik dalam fikiran kami benarkah ia dapat memberi keterujaan kepada warga emas ini ataupun membuatkan mereka lebih takut kerana semasa mereka memandu, keadaan sekeliling dijadikan begitu ekstrem dengan adanya motosikal motocross yang melompat di atas mereka dan pelbagai lagi elemen lain. Di penghujungnya, mereka diberikan hadiah khas berupa lesen bergambar mereka semasa memandu GT-R tersebut dan diletakkan di dalam bingkai gambar.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Selepas beberapa minggu dilihat atas treler di Malaysia, dan beberapa bulan selepas Naza Kia mengumumkan akan membawanya ke Malaysia, akhirnya Kia Optima GT sudah tiba di pusat pameran Red Cube syarikat itu yang terletak di Petaling Jaya.

    Terus ke bahagian paling penting iaitu enjinnya, Optima GT dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbocharge T-GDI dan mampu menghasilkan 242 hp dan 353 Nm tork. Jumlah ini adalah lebih banyak berbanding model yang ditawarkan oleh jenama Jepun dalam segmen sama iaitu Toyota Camry 2.5L Hybrid 202 hp, Mazda 6 2.5L 185 hp/ 250 Nm dan Honda Accord 173 hp/ 225 Nm.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghantar kuasa kepada dua roda hadapan, dan disertakan sekali dengan penukar gear di stereng. Menurut Kia, Optima GT boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat, sebelum mencapai laju maksimum 240 km/j.

    Pada bahagian luar, Optima GT boleh dilihat datang dengan lampu utama, lampu siang dan lampu belakang LED, diffuser belakang, muncung ekzos berbentuk lonjong dan rim aloi 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3 (235/45).

    Pada bahagian dalam, terdapat skrin sesentuh lapan inci, sistem pengawal suhu dua zon dengan ioniser Clean Air, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanasan dan penyejukan, roda stereng pelbagai fungsi serta tempat duduk yang dibalut dengan kulit dan boleh dilaras secara elektrik bagi dua di hadapan (penyokong belakang dan fungsi memori bagi bahagian pemandu).

    Kelengkapan lain yang ada pada Optima GT adalah corong pendingin hawa belakang, soket kuasa dan pengecas di belakang, bumbung suria, penghadang sinar matahari untuk cermin tepi belakang, fungsi navigasi pada sistem hiburan dan informasi, dan skrin TFT-LCD 4.3 inci pada panel instrumen.

    Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Untuk aspek keselamatan, model pasaran Malaysia seperti tidak dilengkapi dengan sistem pengesan titik buta dan lane-departure warning, melihat kepada ketiadaan pengawal sistem ini di bahagian kanan pemandu. Barangan seperti enam beg udara, automatic brake hold, pengesan jarak depan dan belakang, serta kamera undur dilihat datang secara standard.

    Bagi yang berminat, Optima GT kini sudah dibuka untuk tempahan, dan telah mendedahkan harganya menerusi laman Facebook rasmi mereka iaitu RM179,888 (berserta insurans). Nantikan laporan kami yang selanjutnya nanti.

     
     
  • Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Berdasarkan kaji selidik terbaru yang dijalankan, pengguna di Malaysia mahukan harga yang kompetitif, jaminan kelulusan tuntutan dan kelulusan dalam tempoh segera bagi tuntutan berikutan pengenalan liberalisasi insurans kenderaan bermula 1 Julai ini.

    Kaji selidik berkenaan, sebuah kerjasama antara AIG Malaysia dan paultan.org, menerima sebanyak 4,400 maklum balas individu yang berusia 18 tahun ke atas. Keputusan menunjukkan, 89% daripada mereka mahukan harga yang kompetitif bagi insurans yang dibeli.

    Selain itu, 70% daripada maklum balas itu mahukan jaminan kelulusan tuntutan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi tuntutan kenderaan bernilai RM5,000 ke bawah. Sekitar 60% lagi juga inginkan pembayaran tuntutan boleh dilakukan dalam tempoh 60 hari bagi kenderaan yang tidak dapat diselamatkan lagi.

    Sebagai tambahan, 64% daripada maklum balas yang diterima juga mahukan potongan harga dan hadiah sebagai pelanggan setia, sementara 55% memilih untuk menyesuaikan pelan insurans kenderaan yang diambil.

    Sebelum membuat pembelian insurans kenderaan, 86% menyatakan mereka akan melakukan penyelidikan terlebih dahulu terhadap apa yang ditawarkan oleh insurans terbabit, sementera 16% akan memilih insurans yang mempunyai inovasi dan lebih maju. Sejumlah 69% akan memilih insurans yang memberikan ganjaran terhadap sikap pemanduan yang baik, manakala 39% akan memilih syarikat insurans yang mempunyai reputasi yang baik.

    Kaji selidik berkenaan juga mendapati 42% maklum balas yang diberi menyedari bahawa insurans kenderaan di Malaysia dikenakan dengan tarif, sementara 83% merasakan liberalisasi insurans kenderaan akan memberikan kesan kepada pembaharuan insurans mereka selepas ini.

    Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Mengenai kaedah pembelian, 24% akan membeli insurans mereka secara onlone, sementara 6% akan menggunakan saluran tradisional, termasuk berurusan dengan agen atau mengunjungi cawangan syarikat insurans.

    Menurut CEO AIG Malaysia, Anthony Lee, yang juga bertindak selaku Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kaji selidik berkenaan memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap jangkaan dan pengetahuan pelanggan berkaitan insurans kenderaan.

    “Pelaksanaan liberalisasi insurans kenderaan akan membawa peluang dan cabaran baru. Ia akan menjadi sangat terbuka dan berdaya saing, di mana pelanggan boleh menilai terlebih dahulu tawaran yang mana lebih baik, serta pelidungan yang bagaimana yang mereka inginkan untuk kenderaan. Syarikat insurans perlu memberi penekanan terhadap kekuatan produk mereka untuk menarik perhatian pelanggan,” tambahnya.

    Pada 1 Julai nanti, fasa kedua liberalisasi insurans kenderaan oleh Bank Negara Malaysia dijangka akan dimulakan, dan kadar premium bagi insurans kenderaan komprehensif akan ditentukan oleh penanggung insurans sendiri dan operator Takaful berdasarkan sistem penilaian risiko.

     
     
  • VIDEO: Evolusi Porsche 911 dari 1963 hingga sekarang

    Porsche telah menghasilkan model tertinggi dalam barisan modelnya iaitu 911 pada tahun 1963 untuk menggantikan model 356 ketika itu. Sehingga kini, model lagenda tersebut kini telahpun dibina sehingga ke generasi ketujuh dan unit ke 1-juta telah pun dihasilkan dan diumumkan minggu lalu.

    Selain dari video penghasilan unit ke-sejuta berkenaan, Porsche turut menyiarkan satu lagi video bagi memaparkan evolusi kereta sport berenjin belakang tersebut. Menurut Porsche, “Kesinambungan rekabentuk 911 adalah unik dalam sejarah automotif – dari generasi pertama hingga yang terkini.”

    Walaupun dalam era SUV ini menyaksikan jualan Macan dan Cayenne mengatasi jumlah jualan 911, kereta sport berkenaan masih lagi kekal sebagai “model paling penting secara strategik dalam barisan produk,” menurut Porsche dan ia “memainkan peranan penting bagi Porsche kekal sebagai salah sebuah pengeluar kenderaan paling untung di dunia.”

    Lebih dari 70% Porsche 911 yang dijual sejak tahun 1964 masih lagi dalam keadaan baik dan masih lagi dipandu sehingga sekarang. Ini bermaksud, lebih dari 700,000 unit 911 diseluruh dunia masih lagi berkhidmat di atas jalan raya – membuktikan kualiti yang diberikan secara konsisten pada setiap model.

     
     
  • MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    Sebelum ini, MPV mampu milik Mitsubishi yang dihasilkan susulan model konsep XM telah pun ditemui sedang diuji di Indonesia. Disebabkan tiada maklumat berkenaan namanya, jadi kami menggelarnya dengan nama Mitsubishi XM. Namun, menurut laporan dari KompasOtomotif, versi produksi MPV berkenaan bakal digelar Mitsubishi Expander, dan ia bakal didedahkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang bakal berlangsung pada Ogos ini.

    Media dari Indonesia tersebut turut menyatakan bahawa “Mitsubishi Expander” bukan sahaja akan di jual di Indonesia, malah MPV tujuh-tempat duduk itu turut akan dieksport ke Eropah. Namun, Mitsubishi enggan mengulas berkenaan spekulasi nama “Expander” berkenaan. KompasOtomotif juga turut melaporkan MPV ini bakal ditawarkan sekurang-kurangnya dalam sembilan varian.

    MPV mampu milik di Indonesia merupakan pasaran yang agak rancak dengan saingan model-model yang agak kuat sedia ada seperti kembar Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, Honda Mobilio dan BR-V, serta Suzuki Ertiga. Namun, ini tidak menghalang untuk Mitsubishi membuat sasaran tinggi sehingga kepada 20% bahagian pasaran dalam segmen tersebut memandangkan MPV baharu ini merupakan antara model yang paling ditunggu-tunggu.

    Tidak hairan mengapa MPV ini sangat ditunggu, kerana sememangnya Mitsubishi bakal menghidangkan sesuatu yang berbeza pada penggayaan “Expander” ini.

    Model konsep XM sebelum ini menampilkan muka signatur Dynamic Shield Mitsubishi, dengan lampu hadapan tirus, gril besar dengan elemen-X berwarna hitam, serta bampar hadapan yang agak agresif. Setiap ruang roda diberikan elemen flare bagi menampakkan imej gagah seakan sebuah SUV. Bahagian berwarna hitam dibelakang pula direka menyamai eX Concept yang muncul di Tokyo 2015.

    MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    Walau bagaimanapun, imej versi prototaip yang sedang diuji di Indonesia sebelum ini dilihat tidak begitu dramatik seperti model konsepnya, namun, masih mengekalkan banyak ciri-ciri yang sama. Mukanya masih lagi diberikan lampu hadapan tirus dan juga bampar bersegi, serta rekaan pada fender hadapan masih kelihatan bersama garisan signturnya.

    Percaturan Mitsubishi kali ini dilihat agak bijak dengan mengambil konsep seperti yang dilakukan oleh Honda terhadap BR-V – menghasilkan MPV mampu milik tujuh tempat duduk dengan rekaan ala-SUV yang garang, menenggelamkan imej bosan MPV dalam segmennya. Jika model ini mendarat di Malaysia, adakah ia akan sepanas BR-V?

    GALERI: Mitsubishi XM di Concept IIMS 2017

    GALERI: Foto rasmi Mitsubishi XM Concept

     
     
  • Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) diam-diam telah memberi peningkatan pada model Vento sedan 2017 – versi spesifikasi paling tinggunya, 1.2 TSI Highline kini menerima lampu utama LED tanpa kos tambahan.

    Lampu baru berkenaan, yang tampil dengan lampu rendah dan tinggi LED serta lampu nyalaan siang dengan ciri berkenaan adalah yang sama diperkenalkan pada Polo di pasaran lain. Dengan ini, Vento menyertai Mazda 2 dan Honda City facelift dalam menawarkan penggunaan lampu LED bagi kenderaan sedan segmen B.

    Selain itu, sistem infotainmen RCD 330G – dengan skrin sentuh lima inci, ciri Mirrorlink untuk antara muka telefon pintar, sambungan Bluetooth, USB dan port AUX serta slot kad SD – turut ditambah ke dalam senarai kelengkapan, yang turut diterima oleh varian 1.6 Comfortline.

    Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Selebihnya, kelengkapan pada varian Highline kekal sama, termasuk rim aloi Syenit 16-inci, upholstery fabrik Cable, pendingin hawa automatik Climatronic dengan corong di belakang, tingkap automatik untuk semua, kawalan kruise, empat pembesar suara, empat beg udara dan kawalan kestabilan.

    Dari segi mekannikal juga tiada perubahan. Enjin 1.2L TSI Turbo dengan janaan 105 PS/175 Nm dengan padanan transmisi DSG tujuh-kelajuan. Seperti dimaklumkan awal tadi, harganya masih kekal pada RM94,461 atas jalan tanpa insurans.

    Volkswagen Vento 2016

     
     
  • Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Pagi ini, Grab selaku penyedia perkhidmatan tempahan kereta dan platform pelbagai perkhidmatan lain telah memeterai perjanjian sebagai penaja emas bagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) yang bakal berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

    Tajaan bernilai lebih RM6 juta yang merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan serta sokongan promosi melalui platform digital dan saluran dalaman syarikat telah memberikan gelaran Penaja Pemanggil Kenderaan Pengangkutan Rasmi kepada Grab. Ini merupakan penajaan buat kali pertama bagi sebuah syarikat penyedia perkhidmatan tempahan kereta yang menaja temasya sukan terbesar di Asia Tenggara.

    Majlis yang berlangsung di ibu pejabat Grab di Petaling Jaya ini turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Gen. Khairy Jamaluddin, CEO Kumpulan Grab Anthony Tan, CEO MASOC Dato’ Seri Zolkples Embong dan Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Ng Keng Chuan.

    Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Ketua Pengurus Grab Malaysia Sean Goh telah mewakili Grab bagi menandatangani memorandum persefahaman penajaan ini, manakala Kementerian Belia dan Sukan diwakili oleh Ketua Setiausahanya Datul Lokman Hakim Ali.

    “Kami berasa amat teruja kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada acara ini. Malahan kami turut mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memastikan semua atlet, penyokong serta para pelancong mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang selamat, mudah dan selesa,” ujar Goh.

    YB Brid. Gen Khairy Jamaluddin selaku pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) untuk KL2017 turut mengalu-alukan penglibatan Grab dan menganggap syarikat berkenaan sebagai rakan yang ideal bagi KL2017.

    Katanya, “Sesungguhnya kerjasama dengan Grab adalah tepat memandangkan KL2017 mensasarkan untuk menjadi salah satu acara Sukan Hijau yang mempromosikan kesedaran tentang alam sekitar dan amalan kelestarian di kalangan orang ramai dan peminat sukan. Saya menggalakkan semua orang menggunakan pengangkutan awam di sepanjang acara sukan ini berlangsung bagi membantu mengurangkan pengeluaran karbon.”

     
     
  • Ford buka pusat pameran 3S baharu yang dinaik taraf di Taiping – pengalaman lebih selesa bagi pelanggan

    Ford buka pusat pameran 3S baharu yang dinaik taraf di Taiping – pengalaman lebih selesa bagi pelanggan

    Pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) mengumumkan pembukaan pusat pameran baru yang dinaik taraf di Taiping Perak. Menurut SDAC, pusat pameran yang diuruskan oleh Acecourt Auto ini dibina dengan standard global pada setiap aspek, daripada kelengkapan yang diguna hinggalah pekerja yang dilatih bertaraf dunia. Selain dilengkapi peralatan berteknologi, pelanggan juga boleh menikmati hidangan ringan dan WiFi percuma.

    “Kualiti pemilikan kenderaan yang kami sediakan adalah sama penting seperti kualiti kenderaan Ford kami yang bertaraf dunia. Kami mahukan semua pelanggan mengetahui bahawa membeli kenderaan Ford baru adalah permulaan kepada pengalaman pemilikan dan kami akan menyokong mereka pada setiap langkah. Bahagian servis yang dinaik taraf pada pusat pameran ini adalah sangat penting dalam menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan servis terbaik kepada pelanggan,” kata pengarah urusan pasaran membangun Asia Pasifik Ford, Bagus Susanto.

    Acecourt Auto terletak di Lot 18992, Batu 2.5, Jalan Simpang dan ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk hari Isnin hingga Sabtu, manakala pada hari Ahad, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Bagi bahagian servis, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi hari Isnin hingga Jumaat, dan bagi hari Sabtu, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang. Nombor yang boleh dihubungi adalah 012-5190001.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025