Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Salah seorang dari ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin menyatakan cadangan untuk pembaharuan subsidi bahan api akan dibentangkan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam minggu ini, menurut laporan temu ramah oleh Bernama.

    Bekas menteri kewangan itu berkata Majlis Penasihat berkenaan telah menjalankan lebih dari 200 mensyuarat dengan pelbagai agensi, syarikat dan juga individu sejak sebulan lalu,bagi mengkaji isu seperti subsidi bahan api, pemansuhan tol dan juga pemansuhan cukai GST.

    Menurut Tun Daim lagi, CEP juga sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan yang berkaitan mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan perubahan subsidi bahan api sebelum membuat keputusan. Namun beliau enggan mengulas lanjut, tetapi menegaskan subsidi bahan api akan berbentuk subsidi bersasar.

    Daim turut berkata CEP juga menyedari sepenuhnya impak kewangan ke atas pasaran akibat daripada pemansuhan bayaran tol, iaitu salah satu perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14 lalu. “Walaupun kita mahu mengurangkan tol untuk rakyat, kita juga menyedari impak dalam pasaran jika tol dibatalkan dengan segera,” katanya.

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    CEP juga sedang mengenal pasti pelbagai pilihan mengenai cara untuk menangani isu berkenaan, berpandukan kepada prinsip bahawa keputusan yang dibuat akan berjalan secara berperingkat dan berstruktur. Ini akan memastikan keputusan akhir kekal akan adil kepada semua pemegang kepentingan, menurut Daim.

    “Setakat ini, maklum balas daripada rakyat sangat menggalakkan. Tidak perlu memansuhkan tol serta-merta, maksud saya mereka faham. Mereka tahu ia disebut dalam manifesto, sekarang realiti sudah diketahui, mereka memahami kedudukan kewangan dan masalahnya. Kami telah memikirkan semua perkara ini. Kami cuba lakukan mengikut kaedah ini sehingga semuanya kembali seimbang. Pasaran akan gembira, pemiliknya gembira dan pengguna juga gembira,” katanya.

    Daim turut menambah bahawa pengumuman untuk membatalkan dan mengkaji semula projek-projek mega tidak bermakna kerajaan mengalihkan tumpuan ekonomi tetapi ia hanya didorong oleh hakikat bahawa beberapa projek ini tidak masuk akal – contohnya projek MRT memerlukan banyak wang. “Pampasan untuk tanah sahaja sudah tinggi. Dan ia hanya di KL, bagaimana dengan tempat lain?” katanya.

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Beliau berkata ekonomi terus dipacu oleh permintaan dalam negeri, dengan perbelanjaan penggunaan swasta menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, kerajaan hanya bertanggungjawab secara fiskal dalam perbelanjaan untuk mengurus kedudukan hutang fiskal, jelas Daim. “Projek yang memberi manfaat kepada rakyat perlu diteruskan, tetapi kita perlu mengkaji semua projek untuk memastikan keberkesanan kos dan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Daim juga menyatakan keyakinan bahawa hasil daripada pada rejim percukaian baharu (SST) serta penjimatan daripada merasionalisasi perbelanjaan operasi, dapat mengurangkan kemungkinan kekurangan pendapatan daripada pengurangan GST. Beliau turut menambah bahawa kerajaan juga kini melakukan pembaharuan untuk memastikan pembaziran dan kebocoran diminimumkan.

    “Sejumlah RM43 bilion (pendapatan daripada GST) tidak termasuk bayaran balik. Pada tahun 80-an saya mahukan GST. Negara lain juga melaksanakan GST tetapi wang yang dikumpul kembali kepada rakyat. Di sini ia hanya pergi kepada BR1M. Sebab itulah rakyat kecewa. Di sini GST dikenakan dari masa sebelum anda dilahirkan sehinggalah anda meninggal dunia, sedangkan, di Barat, GST menjaga anda sejak dilahirkan sehingga anda mati,” katanya.

     
     
  • M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    Memiliki projek kereta nasional baharu dijangka mampu membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan yang disiarkan Bernama hari ini.

    Katanya, ketika beliau mula melaksanakan projek kereta Proton pada tahun 1980-an, Malaysia tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai cara membuat kereta tetapi secara beransur-ansur memperoleh pengetahuan untuk mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran selama lebih daripada dua dekad.

    “Malangnya Proton telah dijual kepada orang China yang telah diberi hak untuk menguruskan Proton, jadi Malaysia sekarang tidak memanfaatkan kemahiran terbabit,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jepun pada Selasa lalu.

    Tambahnya, agak banyak syarikat kejuruteraan Malaysia terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat membekalkan barangan mengikut permintaan pemilik atau pengurus baharu Proton.

    M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    “Kita perlu menghidupkan mereka semula kerana keseluruhan idea mengenai pelaburan dalam kereta nasional bukan sekadar membina sebuah kereta nasional, ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia,” katanya yang turut mengakui industri automotif adalah pasaran yang sangat besar.

    “Di seluruh dunia, syarikat memperoleh komponen kereta melalui sumber luar, kita boleh menghasilkan komponen kereta berjenama di Malaysia dan mengeksportnya yang akan menghasilkan banyak pertukaran asing.

    “Dan sesiapa sahaja yang mahu terlibat dalam projek kereta baharu itu perlu mengemukakan cadangan. Jika cadangan itu baik, kita perlu memberi peluang kepada mereka. Bagaimanapun, kita tidak mahu memberi lesen kepada orang untuk mereka jual (kepada pihak lain). Ini adalah sesuatu yang kerajaan ini akan hentikan. Sekiranya kita memberi lesen kepada orang itu, orang itu mesti melakukan kerja itu. Jika dia didapati menjual lesen itu kepada orang lain, kita akan mengambilnya balik,” tambahnya.

     
     
  • Ada rakyat Malaysia sanggup berbelanja besar sewa kereta mewah untuk pulang ke kampung – laporan

    “Biar papa, asal bergaya”, itulah perumpamaan bagi seseorang individu yang sanggup berhabisan duit termasuk ada yang rela berhutang sana sini semata-mata mahu tampil bergaya.

    Sesuai dengan perumpamaan itu, Kosmo hari ini memaparkan laporan mengenai segelintir rakyat Malaysia yang menghabiskan jutaan ringgit bagi menyewa kenderaan mewah untuk dibawa pulang ke kampung halaman pada hari raya, bercuti atau pun sekadar mahu dibawa ke majlis perkahwinan.

    Menurut laporan terbabit, trend yang dikatakan makin menjadi-jadi itu sehingga membuatkan seseorang sanggup berbelanja besar untuk menyewa kereta mewah termasuk BMW, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz dengan kadar sewaan antara RM10,000 hingga RM19,600 seminggu. Manakala model kereta yang lebih sederhana seperti Honda City, Toyota Vios dan Perodua Myvi pula disewa pada kadar antara RM1,000 hingga RM1,700 seminggu.

    Presiden Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia Bhd, (Kopkes), Mohd Afendi Aman berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak 137 buah syarikat kereta sewa yang bernaung di bawah Kokpes bakal mengaut keuntungan sehingga RM5 juta bagi aktiviti sewa kereta pada musim perayaan Aidilfitri ini. Anggaran keuntungan tersebut berdasarkan perkiraan purata sewa kenderaan daripada pelbagai jenis, daripada Vellfire hinggalah Myvi dengan harga serendah RM200 sehari bagi setiap yang meyewanya.

    Ada rakyat Malaysia sanggup berbelanja besar sewa kereta mewah untuk pulang ke kampung – laporan

    “RM5 juta itu adalah anggaran yang dikutip dalam kalangan 137 ahli Kopkes. Macam mana pula dengan ratusan syarikat sewa kereta yang lain yang tidak menjadi ahli Kopkes. Trend sewa kereta sudah menjadi trend biasa di kalangan rakyat Malaysia dan tidak sukar mencari syarikat yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan,” ujarnya sambil menambah terdapat lebih 1,000 syarikat seumpama ini di Malaysia dan jika diambil kira, nilai sewaan tersebut boleh mencecah lebih RM10 juta.

    Laporan terbabit turut menyebut terdapat beberapa alasan yang diberikan bagi pelanggan yang memilih untuk menyewa kenderaan sebegini. Ada yang sanggup membayar RM3,800 seminggu semata-mata mahu menyewa Hyundai Starex demi keselesaannya sekeluarga untuk bertandang ke rumah sanak saudara pada hari raya. Dan ada juga yang memilih Honda Civic dengan kadar sewaan RM2,450 seminggu kerana tidak mahu terikat untuk membayar ansuran bulan kereta dan cukup sekadar memiliki sebuah motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja.

    Malah seorang pengusaha syarikat sewa kereta memberitahu, ada pelanggannya yang sanggup berbelanja sebanyak RM9,000 untuk menyewa Vellfire pada saat akhir walau pun sedar terpaksa mengeluarkan kos yang besar sedangkan sewaan biasa hanya sekitar RM3,000 seminggu. Bukan itu sahaja, ada yang sengaja menyewa kereta mewah semata-mata mahu nampak lebih bergaya ketika pulang berhari raya ke kampung halaman, selain ada yang terpaksa menyewa kereta kerana kereta peribadi mengalami kerosakan.

    Walau bagaimana pun cara anda memilih untuk bergaya pada hari raya, amalkanlah berbelanja secara berhemah. Ikutlah resam, “ukur baju di badan sendiri” iaitu berbelanjalah ikut kemampuan dan tahap kewangan sendiri. Bukannya dengan niat mahu menunjuk-nunjuk, riak, sanggup berbelanja di luar kemampuan dan ada yang sanggup berhutang sana sini, asalkan dapat memenuhi citarasa yang tinggi itu. Tepuk dada, tanya selera (dan Iman).

     
     
  • Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    Kini sudah dua minggu kita berada dalam bulan Jun 2018; dengan kadar GST 0% dan sekaligus kita sedang berada dalam tempoh cuti cukai sehinggalah SST diperkenalkan semula nanti. Antara kesan yang dapat dilihat tentulah harga kenderaan yang kini lebih murah berbanding sebelumnya.

    Di sebabkan perkembangan ini juga, dijangka angka jualan kenderaan penumpang di Malaysia boleh meningkat sehingga 50% bagi tempoh tanpa cukai ini, begitu menurut laporan The Malaysia Reserve. Ini merupakan pemerhatian yang dilakukan terhadap kecenderungan pengguna terhadap pembelian kenderaan bagi tempoh dua minggu ini.

    Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa menyatakan tempahan kenderaan dan kunjungan pelanggan ke bilik pameran telah meningkat sehingga 50% bagi jenama itu. Yang menjadi tarikan tentulah kadar cukai baru yang ditambah pula dengan promosi sempena Hari Raya.

    Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    “Kami melihat peningkatan dalam kalangan pelanggan yang semakin ramai berkunjung ke bilik pameran dan membuat tempahan. Bagaimanapun, kesan GST 0% ini hanya boleh diketahui pada Julai nanti selepas musim Hari Raya berlalu,” ujar beliau. Ketika ini, menurut beliau, model Saga dan Persona mendahului senarai tempahan bagi Proton.

    Mazda juga berkongsi pandangan yang sama. Pengarah Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Francis Lee menyatakan tempahan bagi model-model kenderaan Mazda memperlihatkan peningkatan dari sehari ke sehari. “Kami akan menerima seberapa banyak tempahan yang boleh dan akan menilai situasinya sebaik sahaja SST kembali dilaksanakan nanti,” tambah beliau, sambil menyatakan model Mazda CX-5 antara yang diterima baik ketika ini.

    Volkswagen juga sama; Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Erik Winter juga menjangkakan jualan syarikat itu akan melonjak sebanyak 50%. Beliau menegaskan jualan dan tempahan bagi kenderaan Volkswagen adalah sangat menggalakkan sejak 1 Jun lalu; model yang paling mendapat perhatian ialah Tiguan dan Passat.

     
     
  • Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Minggu lalu, menteri pengangkutan Jerman, Andreas Scheuer menggertak untuk menyaman Daimler sehingga 3.75 bilion euro (sekitar RM17.6 bilion) sekiranya Mercedes-Benz didapati menipu dalam ujian emisi dengan menggunakan alat khas yang tidak diiktiraf pada kenderaan diesel mereka.

    Nampaknya paling baru, Kementerian Pengangkutan Jerman telah mengarahkan syarikat itu untuk memanggil balik 774,000 kenderaan di sekitar Eropah selepas ujian mendapati setiap kenderaan menggunakan perisian tidak diiktiraf, yang boleh memanipulasi emisi ekzos diesel. Menurut kenyataan rasmi kementerian tersebut, antara model yang terlibat adalah Vito, C-Class dan GLC di Jerman.

    “Kerajaan akan mengarahkan 238,000 kenderaan Daimler untuk dipanggil semula serta-merta di Jerman kerana penggunaan alat penggagal,” kata kementerian tersebut. Model sebenar yang dipanggil semula masih belum dijelaskan, tetapi menurut Autocar, yang sudah termasuk dalam senarai adalah Vito 119 CDI, C 220 d dan GLC 220 d

    Kementerian itu juga masih belum mendedahkan umur kenderaan yang terlibat, dan ada yang berkata, ia melibatkan model generasi baru dengan sijil emisi EU6. Panggilan balik ini berlaku selepas Scheuer bertemu dengan pengerusi Mercedes-Benz, Dieter Zetsche di Berlin untuk membincangkan apa yang disebut sebagai “penyelewengan dalam keputusan ujian bebas beberapa model Mercedes-Benz, melibatkan enjin diesel empat silinder turbo syarikat itu.”

    Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Sejak daripada itu, Daimler telah berjanji untuk mengeluarkan semula perisian yang tidak sah tersebut dan bekerjasama dengan penguatkuasa. Antara fungsi yang dipersoalkan oleh Kementerian Pengangkutan Jerman adalah penggunaan perisian yang mengawal jumlah kemasukan rumusan Ad Blue ke dalam penapis SCR kenderaan yang dipanggil balik tersebut.

    Menurut Autocar lagi, perisian ini diprogramkan untuk mengurangkan jumlah Ad Blue yang disuntik ke dalam penapis SCR setelah tempoh tertentu. Ini sekaligus mengurangkan keberkesanan penapis SCR tersebut dan membawa kepada pembebasan karbon dioksida yang lebih tinggi apabila dipandu dalam keadaan sebenar – lebih tinggi daripada catatan yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz waktu ujian.

    Mercedes-Benz memberitahu mereka telah dapat membangunkan penyelesaian teknikal yang membolehkan mereka mengemas kini perisian tersebut, dan ini seterusnya dapat mengelakkan syarikat daripada dikenakan saman yang tinggi oleh Kesatuan Eropah.

     
     
  • Sistem AES dikaji semula, keputusan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi – Anthony Loke

    Sistem AES dikaji semula, keputusan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sedang dikaji semula dan keputusannya hanya akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet.

    Katanya, pegawai Kementerian Pengangkutan dan jabatan-jabatan berkaitan akan menyediakan cadangan konkrit dan beliau akan membincangkan opsyen dengan para pegawai tersebut sebelum membawa perkara itu ke Kabinet, laporan Bernama.

    “Kementerian perlu mengkajinya dahulu sebelum membuat pengumuman. Banyak orang belum membayar saman mereka dan bagi mereka yang mempunyai saman tertunggak, tiada tindakan diambil,” kata beliau pada sidang media semalam sambil enggan mengulas sama ada AES akan dimansuhkan atau tidak.

     
     
  • Sembang PT #2: Batal pembinaan HSR/MRT3, betul ke tidak? Cuti cukai, harga kenderaan jadi lagi murah?

    Bermula 1 Jun tempoh hari, tak lain tak bukan isu utama yang mendapat perhatian ramai ialah berkaitan pelaksanaan kadar 0% GST dan tempoh cuti cukai selama tiga bulan sementara menunggu cukai SST dilaksanakan semula pada September nanti.

    Antara kesan yang paling ketara disebabkan itu adalah harga kenderaan jadi makin murah. Pengguna juga mungkin tertanya-tanya, adakah sekarang ini masa terbaik untuk beli kereta atau motosikal baru? Bila SST diperkenalkan semula nanti, harga akan naik banyak mana?

    Apa yang pasti, tempoh cuti cukai yang sedang kita nikmati ketika ini memang menjadikan pembelian mana-mana model kenderaan sangat berbaloi. Kalau tak percaya, boleh tengok senarai baru harga kenderaan yang dikeluarkan secara rasmi oleh hampir semua jenama yang ada di Malaysia ini.

    Paling kurang, model-model kereta penumpang yang asas akan memberikan anda penjimatan sampai RM4,000. Ini kira yang paling minimum. Ditambah pula dengan promosi Hari Raya dan sebagainya, jadi bertambah banyak wang yang boleh dijimatkan.

    Satu lagi isu yang turut disentuh dalam video kali ini ialah tentang pengangkutan awam. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah umumkan pembatalan dua projek jaringan pengangkutan awam, iaitu keretapi laju HSR KL-Singapura dan MRT 3. Tetapi dalam satu wawancara di Jepun yang terbit semalam, beliau kata HSR hanya ditunda pembinaannya.

    Apa kesan semua perkembangan ini kepada kita? Macam mana pula dengan perkhidmatan e-hailing dan teksi, akan ada perubahan tak? Ikuti perbincangan Hafiz dan Durrani di dalam video sembang santai ini.

     
     
  • Twenty Two Motors Flow – skuter elektrik pintar dari India dengan sambungan Bluetooth dan sistem GPS

    Twenty Two Motors Flow – skuter elektrik pintar dari India dengan sambungan Bluetooth dan sistem GPS

    Sebuah syarikat baru di India, Twenty Motors telah memperkenalkan motosikal sulung mereka yang merupakan sebuah skuter elektrik untuk pasaran di sana. Nama model tersebut adalah Flow dan ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion dan motor elektrik buatan Bosch.

    Apabila berada dalam cas penuh, kuasa bateri ini boleh bertahan sehingga sejauh 160 km, dengan laju maksimum 60 km/j dan tork maksimum 90 Nm pada 100 rpm. Bateri skuter ini boleh dikeluarkan daripada badan motosikal dan dengan pengecasan pantas, ia boleh mencecah tahap 70% penuh dalam masa satu jam. Ia juga boleh dicas menggunakan soket 5 amp biasa.

    Selain kuasa pemacu elektrik, kelengkapan lain yang ada pada Flow adalah sistem brek CBS dengan tetapan cakera depan dan belakang, tayar tanpa tiub, sistem penjanaan semula kuasa brek (KERS), ruang simpanan bawah tempat duduk untuk dua helmet serta mod Reverse, Cruise dan Drag.

    Apa yang lebih menarik, skuter ini juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui sistem Bluetooth, seterusnya memberikan tambahan fungsi seperti pemerhati corak tunggangan, informasi terkini keadaan jalan, kualiti udara dan trafik, diagnosis motosikal serta amaran sekiranya motosikal keluar daripada kawasan tertentu (untuk mengelakkan kecurian).

    Dengan semua fungsi ini, pemilikan Flow akan menjadi lebih mudah; sebagai contoh, pengguna boleh tahu bila waktu untuk servis skuter mereka, membeli alat ganti secara atas talian dan melihat di mana skuter mereka. Selain daripada itu, Twenty Motors juga menyediakan khidmat ganti bateri secara percuma jika perlu. Harga Flow di India adalah sekitar 60,000 rupee RM3,500).

     
     
  • PLUS buka laluan kontra di Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya pada 13-14 Jun

    PLUS buka laluan kontra di Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya pada 13-14 Jun

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan laluan kontra di antara Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya menghala ke Utara di Lebuhraya Utara-Selatan telah diaktifkan pada hari ini dan esok bagi membantu menyuraikan trafik.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Laluan kontra untuk kenderaan ringan (Kelas 1) tersebut akan mula diaktifkan seawal jam 6:00 pagi dan berakhir pada 7 malam pada 13 dan 14 Jun ini. Oleh itu, PLUS menasihatkan agar orang ramai yang melalui kawasan terbabit supaya mematuhi arahan serta semua papantanda yang disediakan.”

    PLUS turut menasihatkan pengguna yang ingin keluar ke Persimpangan Rawang Selatan, Rawang atau singgah di R&R Rawang agar tidak memasuki laluan kontra terbabit, tetapi terus menggunakan laluan kiri yang sedia ada untuk memudahkan mereka memasuki persimpangan yang berkaitan.

    “Selain Rawang Selatan-Sungai Buaya, PLUS juga telah mengenal pasti 6 lagi lokasi tambahan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang berpotensi untuk pengaktifan laluan kontra bagi membantu melancarkan pergerakam trafik iaitu di antara Seremban-Senawang, Hentian Sebelah Rawang-Sungai Buloh, Ayer Keroh-Jasin, sekitar Bukit Moakil, Simpang Renggam-Sedenak serta Senai Utara-Kulai. Namun begitu, lokasi laluan kontra tambahan ini hanya akan dibuka bergantung kepada keperluan dan kesesuaian keadaan trafik,” tambah Zakaria.

     
     
  • Kia Picanto – M’sia dapat KX, GT-Line dengan AEB?

    Kia Picanto – M’sia dapat KX, GT-Line dengan AEB?

    Tersebarnya brosur barisan Kia Picanto yang dinaiktaraf menerusi Kia Picanto Club Malaysia dengan menunjukkan kehadiran dua model baharu yang bakal menyertai varian 1.2 EX.

    Ini termasuklah varian rendah KX serta yang paling bergaya, yang ditampilkan dengan beberapa elemen tambahan termasuk GT-Line yang pernah dipertontonkan di Malaysia pada tahun lalu. Walau bagaimana pun, bahagian mekanikalnya tiada perubahan dan masih mengekalkan enjin yang sama 1.2 liter Kappa II naturally-aspirated dengan kuasa 85 PS pada 6,000 rpm dan tork 122 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Kita bermula dengan KX, yang telah digugurkan beberapa elemen disebabkan harganya yang rendah. Varian EX juga bakal kehilangan lampu utama halogen projektor dengan lampu nyalaan siang yang digantikan dengan unit reflektor yang lebih ringkas. Ia juga bakal kehilangan lampu kabus hadapan, indikator pada cermin sisi atau pemegang pintu krom, dan aloi 14-inci yang akan ditukarkan dengan roda keluli bersama penutup plastik.

    Lain-lain elemen yang akan dikeluarkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang push-start, roda stereng balutan kulit (hanya polyurethane, tetapi masih dikekalkan kawalan pelbagai fungsi), kamera undur, fungsi auto bagi tingkap sebelah pemandu dan juga tingkap belakang larasan kuasa.

    Bagi infotainmen, EX juga bakal kehilangan sistem skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia digantikan dengan radio dengan sambungan Bluetooth dan empat pembesar suara berbanding enam sebelum ini. Yang dikekalkan hanya enam beg udara dan kit keselamatan yang lain termasuk ABS, kawalan kestabilan dan bantuan mula mendaki.

    Kia Picanto – M’sia dapat KX, GT-Line dengan AEB?

    Brosur yang tersebar ini juga terpapar maklumat varian GT-Line, dengan memiliki ciri tambahan yang lebih sporty termasuk pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan roda aloi dwi-ton 16-inci yang lebih besar. Terdapat kemasan berwarna pada gril, corong udara hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang, sementara di dalamnya roda stereng leper di bawah dan tempat duduk balutan kulit turut ditampilkan.

    Ciri tambahan termasuk bumbung matahari, kluster instrumen Supervision, pendingin hawa auto, perehat tangan hadapan, cermin pandang belakang iluminasi dan sistem pemantauan tekanan tayar. Bukan itu sahaja, GT-Line juga akan ditampilkan dengan brek kecemasan sendiri, yang akan bersaing dengan Perodua Myvi 1.5 Advance yang sebelum ini hanya kereta di bawah RM100k yang memilikinya setakat ini. Ini merupakan model pertama Kia di Malaysia yang didatangkan dengan sistem berkenaan.

    Setakat ini, tiada perincian harga didedahkan, namun memandangkan GT-Line ditawarkan dengan ciri yang lebih menarik terutamanya AEV, dijangkakan harganya mungkin mencapai RM60k. Bagi KX, harganya mungkin di bawah RM45k, dengan kehilangan beberapa ciri sedia ada.

    GALERI: Kia Picanto GT-Line di Malaysia

     
     
  • Mazda MX-5 2019 bakal terima kuasa dan had rpm lebih tinggi dari enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang sama

    Mazda MX-5 2019 bakal terima kuasa dan had rpm lebih tinggi dari enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang sama

    Nampaknya khabar angin yang tersebar sebelum ini ternyata benar – Mazda MX-5 yang disegarkan untuk versi 2019 yang akan dilancarkan di Jepun hujung bulan ini bakal menerima kuasa yang lebih besar, setelah didedahkan penerbitan dari Jepun, Car Watch.

    Enjin petrol NA 2.0 liter SkyActiv-G pada versi kemaskini berkenaan akan menjana 184 PS dan tork maksima 205 Nm, manakala takat putaran enjin tertinggi pula ditetapkan pada 7,500 rpm. Berbanding versi sedia ada, enjin yang sama tersebut hanya menghasilkan 158 hp dan tork 200 Nm, dengan had putaran tertinggi enjin hanya pada 6,800 rpm.

    Bagaimana kerahan tenaga ini dapat dilakukan? Menurut laporan itu, enjin ini diberikan unti throttle body dengan sudut bukaan 28% lebih besar bersama aliran masuk udara ke kebuk pembakaran diperbaiki, dan ia turut menerima injap dengan diameter lebih besar. Ini membolehkan campuran udara bahan api disedut dengan lebih banyak dan cekap, seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Mazda MX-5 2019 bakal terima kuasa dan had rpm lebih tinggi dari enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang sama

    Mazda turut memadankan omboh baharu untuk enjin ini bagi memastikan pembakaran di dalam kebuk tersebut tidak akan menghasilkan knocking, dalam masa yang sama memaksimakan keberkesanan haba serta meminimakan pencemaran. Injap ekzos turut diperbesarkan, dipadankan bersama manifold ekzos baharu dengan paip yang lebih besar bagi menghasilkan bunyi denga frekuensi lebih rendah.

    Manakala untuk membolehkan enjin ini menjerit pada had rpm lebih tinggi pula, setiap spring injap telah ditukar kepada unit yang lebih keras, omboh telah diringankan sebanyak 27 gram menerusi rekaan semula pada bahagian dome, manakala rod penghubung turut diringankan sebanyak 41 gram dengan rekaan yang lebih kompak serta bolt yang mengikatnya lebih pendek dan kurus.

    Mazda MX-5 2019 bakal terima kuasa dan had rpm lebih tinggi dari enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang sama

    Ubahsuai pada port kemasukan dan omboh ini turut dilakukan pada enjin 1.5 liter SkyActiv-G yang turut ditawarkan pada pasaran Jepun, bersama pam dan penyuntik bahan api yang dipertingkatkan. Selain itu, secara keseluruh MX-5 baharu berkenaan turut menerima peningkatan lain seperti brek kecemasan automatik Smart City Brake Support, dan juga aspek kosmetik lain seperti warna luaran dan dalaman.

    Pada bahagian mekanikal lain pula, MX-5 2019 akan menerima bushing pada bahagian sambungan suspensi belakang yang lebih lembut. Manakala pada bahagian dalaman, kolum stereng roadster ini ditukar kepada unit yang boleh dilaras secara teleskopik, membolehkan ia dilaras kehadapan dan kebelakang dalam jarak 30 mm, membolehkan pemandu mendapatkan kedudukan pemanduan yang lebih selesa.

     
     
  • Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Tahukah anda bahawa station wagon telah pun wujud sejak sebelum 1930’an lagi? Pada era berkenaan, wagon bukanlah salah satu kenderaan diasaskan dari kereta, tetapi berevolusi dari casis trak, sesuai dengan tugasnya untuk membawa barangan komersil. Tahun demi tahun, station wagon mula dihasilkan dengan lebih kompak yang bukan sahaja boleh digunakan oleh syarikat-syarikat kecil, malah turut boleh dijadikan sebuah kenderaan keluarga yang begitu praktikal.

    Namun lama kelamaan, wagon mempunyai satu lagi tarikan yang tersendiri – rupa belakangnya yang seakan hatchback, tetapi lebih panjang membuatkan ia begitu mengiurkan sekiranya sedikit sentuhan sporty diberikan, terutamanya dengan hanya menukar rim berdiameter lebih besar dan badannya direndahkan dari asal. Maka, bermulalah era di mana wagon bukan dibeli kerana kegunaannya, tetapi lebih disebabkan oleh gaya.

    Station wagon berwarna kuning yang anda lihat kali ini adalah keluaran Datsun dari siri Sunny dengan kod casis VB110 keluaran tahun 1974. Jika untuk versi sedan, rakyat Malaysia lebih mengenali Datsun ini dengan nama Datsun 1200 atau Datsun ‘Driving School‘. Untuk pengetahuan anda juga, wagon kuning ini juga dipunyai oleh pemilik Toyota Starlet KP61 tiga-pintu yang dipaparkan sebelum ini iaitu En. Hamizan Selamat dari Klang.

    Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Seperti juga Starlet Kambing miliknya, Sunny Wagon ini turut menerima sentuhan Restomod dari Hamizan. Proses bermula dengan meleraikan kesemua bahagian badan kereta ini, dan setiap panel logam pada badan dan kerangka yang berkarat dipulihkan semula. Kemudian, badan kereta ini diberikan warna kuning baharu – macam pernah nampak kuning ni? Ya, bukan kuning Lamborghini, tetapi kuning Myvi Extreme, barulah nampak laju walaupun tak bergerak.

    Boleh dikatakan, hampir tiada perubahan rupa diberikan pada bahagian luaran wagon ini. Hamizan hanya memadankan spoiler ‘sodok’ pada dagu hadapan dan juga cermin sisi fender dari Toyota Celica generasi pertama pada kereta ini. Manakala perincian lain seperti gril dan bonet hadapan spesifikasi JDM, bampar dan juga perapi-perapi krom termasuk visor tingkap adalah peralatan asal pada wagon VB110 berkenaan.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, hampir kesemuanya masih lagi standard kecuali sepasang tempat duduk Recaro Fishnet, tombol gear aftermarket dengan logo Datsun, serta roda stereng kayu dari Nardi. Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian yang telah lusuh seperti panel-panel pintu sebelah dalam, pelapik bumbung telah dibalut semula, manakala papan pemuka turut direstorasi untuk rupa yang lebih segar.

    Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Untuk pengetahuan anda, panel penghawa dingin yang terletak pada bahagian bawah papan pemuka kereta ini bukanlah kelengkapan asal kerana ia dijual tanpa sistem tersebut ketika keluar dari bilik pameran dahulu. Hamizan memadankan ‘air-cond gantung’ tersebut ketika proses restorasi kereta ini bagi memastikan pemanduan di tengah cuaca panas bukan sesuatu yang meyeksakan.

    Pengubahsuaian yang boleh membuatkan anda ternganga pada kereta ini sebenarnya melibatkan sistem mekanikal termasuk enjin, suspensi dan juga brek. Pada spesifikasi standard, wagon ini dibekalkan enjin siri A Datsun dengan kapasiti 1,200 cc atau lebih dikenali dengan kod A12.

    Hamizan mengeluarkan enjin standard tersebut bagi menggantikan dengan enjin juga dari siri A tetapi dengan kapasiti 1,500 cc atau A15 yang selalunya boleh dijumpai pada van Nissan Vannette C20 dan C22.

    Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Pada asasnya, kedua-dua enjin tersebut adalah sama dan cuma dibezakan pada blok yang lebih tinggi pada A15 bagi menghasilkan kapasiti dan kuasa serta tork yang lebih besar, jadi pemadanan enjin tersebut adalah sangat mudah tanpa melibatkan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana cagak enjin.

    Enjin tersebut juga tidak dimasukkan terus sebaliknya telah dileraikan terlebih dahulu bukan sahaja untuk dirombak rawat, malah turut menerima pelbagai ubahsuai bagi mengekstrak lebih kuasa kuda.

    Menurut Hamizan, bengkel yang bertanggungjawab untuk melahirkan semula wagon ini – Faroib Autosport, Klang – telah melakukan pengubahsuaian custom dengan spesifikasinya tersendiri pada omboh dan juga rod penghubung. Bagi membolehkan kemasukan campuran udara dan bahan api ke kebuk penghantaran, kepala silinder enjin A15 berkenaan turut diberikan pengubahsuaian yang cukup ekstensif.

    Aci sesondol asal telah ‘dipotong’ bagi mendapatkan bukaan 275 darjah, manakala injap-injap kemasukan dan ekzos asal telah ditukar dengan unit yang lebih besar. Spring-spring injap turut ditukar dengan unit yang lebih keras bagi membolehkan ia tertutup dengan lebih cepat bagi mengelakkan kebocoran tekanan, manakala liang-liang kemasukan turut dibuat proses port & polish.

    Hamizan juga berjaya mendapatkan penutup enjin custom dengan tulisan Tomei 1300 bagi membuatkan enjin ini kelihatan seperti enjin-enjin jentera TS-Cup Datsun yang berlumba di Jepun.

    Setelah enjin tersebut diletakkan ke perut wagon ini, sistem suapan bahan apinya pula di bina semula. Hamizan dan Faroib tidak menggunakan sistem karburator asal mahupun karburator perlumbaan, sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api custom dengan throttle dan trumpet individu bagi setiap silinder.

    Sistem suntikan tersebut di kawal oleh kotak komputer standalone dengan pendawaian dan juga sistem pencucuh yang dibina sendiri oleh Faroib Autosport. Kuasa dari enjin dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear lima kelajuan asal yang telah dirombak rawat sepenuhnya oleh bengkel panel Hamizan berkenaan.

    Kelengkapan lain yang turut menyokong enjin ini adalah sistem penyejukkan dengan radiator aluminium custom, dan juga tangki petrol dengan custom baffle bersama pam bahan api di dalamnya. Kalau anda perasan juga, kebanyakkan wayar dalam ruang enjin ini telah disorokkan, bateri telah dialihkan ke ruang kargo belakang, manakala unit condenser penghawa dingin juga dipindahkan ke bawah lantai belakang.

    Datsun Sunny Wagon VB110 – buat abang jiwa kacau!

    Bagi mengendalikan badan yang menerima kuasa yang lebih besar dari sebelum ini, Foraib Autosport turut membina sistem suspensi dengan talaan khusus bagi wagon berkenaan. Suspensi hadapan menerima set penyerap hentak custom bersama pillowball dengan logo Foraib yang dihasilkan oleh Zuhal Fast Johor Bahru, manakala bahagian belakang pula menerima penyerap hentak boleh laras keras-lembut.

    Hamizan turut memadankan rim ‘pisang’ yang sangat ringan dari RS Watanabe dari siri Type B dengan dimensi 13×6.5jj di hadapan serta 13x7jj di belakang. Keempat-empat rim berkenaan dibalut dengan tayar semi slick Yokohama Advan AD08 bersaiz 175/60R13, manakala untuk memberhentikan kereta ini dengan lebih cepat pula, angkup brek hadapan menerima unit yang lebih besar dari Alcon digandingkan bersama cakera berliang.

    Sekarang, wagon Datsun ini bukan sahaja masih praktikal, malah ia juga sebuah jentera yang laju malah akan membuatkan banyak kepala berpaling kepada di atas jalan raya. Jadi berapa ramai nak join saya jiwa kacau lepas tengok Datsun ini? Cepat angkat tangan!

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai Kona telah dikesan di Malaysia bersama Santa Fe dan Veloster generasi baharu

    SPYSHOT: Hyundai Kona telah dikesan di Malaysia bersama Santa Fe dan Veloster generasi baharu

    Wakil Hyundai bagi menghadapi Honda HR-V, Toyota C-HR, dan Mazda CX-3 iaitu Kona kini telah pun dikesan berada di Malaysia. Gambar-gambar yang anda lihat ini diambil oleh pengguna Twitter bernama Finn di Mutiara Damansara, dan turut bersama corssover segmen-b itu adalah SUV Santa Fe dan juga Veloster Turbo Coupe generasi baharu.

    Ketiga-tiga model tersebut memakai plat “Training Vehicle“, menunjukkan ia adalah unit-unit untuk latihan bagi pusat latihan jenama Korea tersebut di rantau ini yang terletak di Malaysia.

    Sebelum ini, Santa Fe merupakan produk yang agak berjaya bagi Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) di Malaysia, jadi model generasi keempat dengan kod casis TM ini akan menerjah pasaran tempatan, berkemungkinan sebagai model CKD tidak lama lagi. Model ini telah membuat kemunculan sulungnya pada Februari lalu dengan rupa garang seiras adiknya yang lebih kecil iaitu Kona – yang juga dijangka akan dijual di Malaysia.

    Walau bagaimanapun, Veloster generasi baharu berkemungkinan tidak akan masuk kepasaran tempatan kerana untuk model generasi sebelumnya, coupe dengan bentuk tersendiri berkenaan tidak mempunyai permintaan yang menggalakkan.

    April lalu, kami telah melaporkan bahawa HSDM telah pun menghentikan jualan Sonata LF versi pre-facelift, Santa Fe generasi ketiga dan juga Veloster generasi sebelumnya, bagi digantikan dengan model-model terbaharu pada masa akan datang. Untuk Sonata, pasaran tempatan berkemungkinan akan menerima terus model generasi baharu kerana model facelift LF telah pun didedahkan diperingkat global lebih dari setahun.

     
     
  • Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Sejak baru-baru ini terdapat banyak spekulasi berkenaan sebuah SUV yang akan dikeluarkan oleh Perodua, sehinggakan perincian serta pelbagai lagi informasi dikongsi di media sosial. ‘Berita’ ini kemudiannya disokong lagi dengan lukisan digital sebuah SUV, yang kemudiannya menjadi tular minggu lepas.

    Walaupun keinginan Perodua menjual SUV di Malaysia sudah diketahui – pada Julai 2017 kami membuat laporan presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu, syarikat waktu itu sedang mempertimbangkan secara serius pengeluaran SUV – namun tiada sebarang perincian dan tempoh masa rasmi yang didedahkan kepada media.

    Terdapat laporan lain oleh penganalisis yang mengatakan SUV ini bakal dilancar pada tahun ini, dan menyatakan secara spesifik ia akan berlangsung semasa Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) hujung tahun ini. Ada juga yang mendakwa Perodua akan melakukan latihan untuk wakil jualan pada bulan Ogos dan September ini.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Bagi mengetahui perkara sebenar, rakan sekerja kami, Danny Tan berjumpa dengan pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin dan beliau menyatakan secara jelas, tiada sebarang latihan jualan akan dilakukan dalam masa beberapa bulan yang terdekat ini. Beliau juga ada berkongsi sedikit informasi berkenaan produk serba baru ini, sekaligus memberi bayangan apa yang boleh dijangka daripada Perodua. Untuk gambar SUV merah yang tular tersebut, ia tidak benar tapi beliau suka dengannya.

    DT: Kami diberitahu Perodua sekarang menambah waktu bekerja di bahagian pengeluaran untuk memenuhi permintaan model yang ada sekarang terutamanya Myvi. Jadi, masih adakah ruang untuk pengeluaran produk baru tahun ini?

    ZH: Memang betul, fokus kami sekarang adalah meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan sekarang, dan juga permintaan untuk tiga bulan ke hadapan – itu keutamaan kami. Pelanggan Myvi kini sedang menunggu kenderaan mereka.

    Sebagai pengeluar, kita tahu ada waktu menunggu sehingga tiga bulan, tapi tidak mahu sampai ke tahap itu kerana jika tidak dapat menguruskannya dengan baik, pelanggan akan lari. Kami perlu memperbaiki situasi ini dan itu adalah keutamaan buat masa ini. Berkenaan model baru, apabila tiba masanya, kami akan kongsikan.

    DT: Terdapat status yang dimuat naik di laman sosial, bersama perincian yang dikatakan milik SUV baru Perodua, termasuk memberitahu wakil jualan akan menerima latihan dalam beberapa bulan akan datang. Anda ada sebarang komen berkenaannya?

    ZH: Saya boleh memberitahu tiada sebarang sesi latihan yang akan dijalankan pada bulan Ogos dan September ini. Saya juga boleh memberitahu bahawa kenderaan yang viral itu bukan model terbaru kami. Yang itu terlalu cantik (sambil ketawa). Kalau awak merujuk kepada kereta merah tersebut, saya juga berharap model itu boleh menjadi model kami.

    DT: Kita sudah tahu Perodua kini sedang melihat kepada SUV sebagai produk seterusnya…

    ZH: Kami dapat melihat pertubuhan dalam pasaran SUV, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara lain dalam benua ini seperti Thailand, Indonesia dan juga Jepun. Kami memang mahu mengikut trend ini. Jika kami mahu memperkenalkan sebuah model baru sebagai tambahan kepada barisan kenderaan yang sedia ada sekarang, sudah tentu kami akan melihat kepada trend semasa. Jadi, mungkin ‘SUV’ adalah segmen yang betul untuk dilihat sekiranya kami mahu memperkenalkan model baru.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    DT: Daihatsu ada SUV yang baru Indonesia. Walaupun begitu, Perodua nampaknya sekarang lebih banyak melakukan langkah sendiri dalam aspek rekaan dan pembangunan (R&D). Adakah perkara ini akan berterusan untuk produk baru nanti?

    ZH: Daihatsu telah memperkenalkan Terios di Indonesia. Walaupun pasaran SUV sedang berkembang, jumlah keseluruhannya masih lagi kecil, dan kami masih menganggapnya sebagai segmen tertumpu (niche) berbanding sedan dan hatchback di Malaysia.

    Untuk model seperti ini, secara hipotesisnya, jika kami sudah ada model asas yang boleh digunakan, saya rasa itulah cara yang lebih baik daripada perlu membangunkan sebuah model lengkap secara sendiri, hanya untuk jumlah yang kecil.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Dengan berkata begitu, saya juga mahu memberitahu kemampuan R&D kita sekarang bukanlah seperti 10 tahun yang lepas. Kita mempunyai kemampuan untuk melakukan rekaan bahagian atas badan kenderaan secara sendiri. Jadi, platform mungkin boleh dikongsi, beberapa bahagian yang berkait dengan casis juga boleh dikongsi, tapi apabila tiba pada penampilan akhir dan enggayaan, ia akan jadi sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia.

    Beberapa model kita yang terakhir direka sendiri oleh orang kita, dan Perodua sudah terkenal dengan pengeluaran sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia. Perkara itu, saya pasti akan diteruskan.

    DT: Nampak seperti tahun yang sibuk untuk Perodua. Adakah kita akan dapat melihat produk baru ini tahun ini?

    ZH: Memang tahun ini agak sibuk. Kami ada beberapa aktiviti yang berkaitan dengan produk, tapi bukan produk baru. Menjawab soalan tersebut – mungkin tidak.

    GALERI: Daihatsu Terios pasaran Indonesia

     
     
  • Jualan kenderaan Proton naik 2.3% bagi bulan Mei

    Jualan kenderaan Proton naik 2.3% bagi bulan Mei

    Proton telah mengumumkan syarikat itu telah menjual sebanyak 4,091 unit kenderaan sepanjang Mei 2018, mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3% berbanding 3,999 unit yang terjual pada April lalu. Peningkatan itu menurut Proton adalah disumbangkan oleh pengumuman kadar GST sifar bermula 1 Jun, serta tempoh promosi “Kosong-kosong” yang dijalankan.

    Model Saga dan Persona menjadi yang paling popular dalam kalangan pelanggan, menyumbang 70% daripada jumlah keseluruhan bulan lalu. Proton juga memaklumkan bahawa angka tidak rasmi menunjukkan kadar perkongsian pasaran terkini yang dicapai ialah 8.8%.

    “Proton sentiasa berusaha untuk memberikan tawaran terbaik kepada pelanggan, terutamanya dengan barisan produk yang berkualiti. Tetapi, itu sahaja tidak mencukupi, jadi kami lakukan banyak lagi untuk menarik perhatian pelanggan,” jelas CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

    “Untuk itu, kami mengambil inisiatif tambahan untuk meningkatkan lagi kualiti produk dan perkhidmatan, memberikan tawaran istimewa yang menarik untuk pelanggan, naik taraf pusat 3S dan 4S serta banyak lagi pembaharuan positif yang bakal diperkenalkan selepas ini,” tambah beliau.

    Bagi bulan Jun, Proton mengumumkan promosi “Greatest Saga Raya Deal” di mana pelanggan bukan sahaja menikmati kadar 0% bagi GST, malahan rebat tunai bagi model-model terpilih Proton. Sebagai tambahan, Proton juga menawarkan pemeriksaan 20-poin percuma di semua cawangan rasminya (sehingga 15 Jun) serta di beberapa stesen Petronas terpilih (12-13 Jun, 10pg-5pm).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025