Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: SUV pertama Proton bakal dilengkapi fungsi arahan suara, cruise control adaptif, kamera 3D 360°

    Ya tuan-tuan dan puan-puan, nampaknya Proton telah mendedahkan perincian pertama berkenaan kelengkapan yang akan diberikan kepada SUV pertama mereka yang diasaskan dari Geely Boyue.

    Menerusi video baharu kempen undian nama untuk SUV tersebut, Proton menyatakan ia akan diberikan tiga fungsi yang agak menarik bagi memobolehkan model tersebut bersaing dengan kompetitif iaitu fungsi kawalan yang boleh dibuat menggunakan suara (voice command), cruise control adaptif, dan juga paparan pada skrin yang menerima imej 3D dari kamera 360-darjah.

    Jun tahun lalu, Menteri MITI Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyatakan SUV ini bakal dijual pada harga di bawah RM100k, dan jika ia benar dijual pada harga sedemikian, fungsi-fungsi yang dinyatakan ini tentunya merupakan ciri yang amat berbaloi kepada pengguna.

    VIDEO: SUV pertama Proton bakal dilengkapi fungsi arahan suara, <em>cruise control</em> adaptif, kamera 3D 360°

    Boyue merupakan sebuah SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury. Ia merupakan SUV segmen-C dengan bentangan lima-tempat duduk, berukuran 4.5 meter panjang.

    Unit janakuasa bagi versi keluaran Proton ini masih lagi belum didedahkan, namun untuk pasaran China, Boyue dijana dengan berberapa pilihan enjin termasuk 2.4 liter NA berkuasa 162 hp/210 Nm dan juga versi 1.8 liter turbo berkuasa 163 hp/250 Nm. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan sama ada transmisi enam-kelajuan manual atau automatik, bergantung pada pilihan enjin.

    Dah undi nama yang akan diberikan pada SUV pertama keluaran Proton ini? Lawati PAUTAN INI untuk menyertainya kerana Proton menwarkan pelbagai hadiah yang bernial lebih dari RM100,000 tanpa sebarang pembelian diperlukan.

     
     
  • GALERI: Lagonda Taraf – hanya satu unit di Malaysia

    GALERI: Lagonda Taraf – hanya satu unit di Malaysia

    Ini satu-satunya model Lagonda Taraf yang ada di Malaysia, selepas diuar-uarkan untuk diperkenalkan dipasaran Malaysia sejak 2015 lagi. Ia merupakan model limosin flagship bagi Aston Martin. Dan, kereta yang sedang anda lihat ini sebenarnya sudah terjual.

    Harganya? Anggarannya sudah tentu mahal. Sebagai rujukan, harga model ini untuk pasaran di United Kingdom ialah £696,000 (RM3.8 juta). Ini lebih mahal misalnya kalau digabungkan harga antara Rolls-Royce Phantom (dalam versi wheelbase dilanjutkan) dan Bentley Mulsanne – dan model ini hanya terhad kepada 200 unit sahaja.

    Lagonda Taraf dibangun menggunakan kerangka aluminium dan juga hadir dengan panel gentian karbon. Ia menggunakan enjin 6.0 liter V12 yang menghasilkan kuada sebanyak 550 hp dan 630 Nm tork. Semuanya disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j ialah dalam masa 4.4 saat dan laju maksimum yang boleh dicapai 280 km/j.

    Penampilannya juga lain daripada yang lain. Rekaan badan yang agak bersegi, lampu utama yang nipis di depan dan diunjur hingga ke bahagian gril memberikan imej sebuah kereta mewah yang “garang” – ia juga merupakan versi yang lebih besar daripada model Rapide.

    Bahagian dalaman pula tidak jauh berbeza daripada model berkenaan, dengan papan pemuka yang agak minimalis, empat tempat duduk full-bucket dengan konsol tengah yang dipanjangkan hingga ke belakang. Pilihan untuk memadankan secara custom perincian yang ada turut ditawarkan. Selebihnya boleh ditinjau dari galeri yang kami sediakan ini.

     
     
  • Proton hentikan produksi alat ganti OEM untuk Wira

    Proton hentikan produksi alat ganti OEM untuk Wira

    Menurut satu laporan dalam The Star hari ini, Proton dan pengilang pihak ketiganya di Malaysia telah menamatkan produksi alat-alat ganti untuk model ‘cash cow‘ mereka satu ketika dahulu iaitu Proton Wira.

    Perkara ini diberitahu kepada akhbar berkenaan oleh sumber dari industri automotif sendiri. “Sudah sepuluh tahun Wira terakhir telah keluar dari kilang dan 25 tahun sejak versi pertamanya diproduksi. Syarikat pembekal komponen asli pengeluar (OEM) merasakan bahawa tidak lagi ekonomikal untuk menghasilkan komponen alat ganti untuk Wira dan mereka mahu fokus kepada model-model lebih baharu,” kata sumber tersebut.

    Sumber berkenaan turut mengatakan walaupun Wira berkongsi banyak komponen dari Mitsubishi Lancer, alat ganti untuk ‘kembar’nya dari Jepun itu turut sudah tiada dalam pasaran kerana ia juga telah berusia lebih 30 tahun. Manakala komponen yang masih ada di kedai-kedai alat ganti buat masa sekarang adalah stok-stok terakhir dalam pasaran.

    Dalam laporan sebelum ini, Proton Wira masih kekal kenderaan yang paling banyak dicuri di Malaysia untuk 2017, menurut Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM). Persatuan berkenaan mendedahkan sejumlah 654 unit Proton Wira telah dicuri sepanjang tahun lalu, dan kebanyakkan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti.

    Selain dari kedai yang menjual komponen baharu, alat ganti untuk Proton Wira turut boleh dibeli di kedai skrap/potong kereta bagi mereka yang mahukan komponen terpakai yang lebih murah. Sejumlah 952,216 unit Proton Wira telah diproduksi selama 16 tahun dari 1993 hingga 2009, dan menurut The Star lagi, sekurang-kurangnya 85% daripadanya masih lagi berkeliaran di atas jalan raya Malaysia.

    Namun pemilik Wira jangan gusar, selain dari Malaysia, komponen Wira dan Lancer turut diproduksi oleh pihak-pihak ketiga dari negara lain seperti Taiwan dan sebagainya, tetapi mungkin kualitinya tidak sebaik yang dihasilkan oleh pengilang OEM rasmi. Gasket kepala silinder enjin A12 untuk Datsun 120Y pun masih lagi boleh dibeli di kedai alat ganti, apatah lagi Wira kan? Cuma kalau boleh, janganlah ada ‘scalper‘ yang menghabiskan kesemua stok akhir komponen OEM tersebut dan dijual semula pada harga yang tidak munasabah.

     
     
  • Pengangkutan awam darat kini jauh lebih cekap – PM

    Pengangkutan awam darat kini jauh lebih cekap – PM

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa sistem pengangkutan awam darat yang ada di Malaysia ketika ini jauh lebih moden dan cekap berbanding ketika di bawah pemerintahan pemimpin-pemimpin sebelum ini.

    Beliau berkata, sebelum ini tiada keutamaan diberikan terhadap pengangkutan awam di darat dan sistem-sistem yang ada pula tidak disepadukan dan beroperasi secara berasingan, lapor Bernama.

    “Fokus ketika itu lebih kepada kenderaan persendirian atau kenderaan penumpang yang ada di atas jalan. Maka, jalan jadi sesak, terutama di Lembah Klang.

    “Pemilik (syarikat dalam sektor pengangkutan awam) beroperasi secara bersendirian. Ini menjadi antara kekangan terhadap pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau. Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata langkah pencegahan telah diambil oleh kerajaan hari ini untuk memperbaiki situasi berkenaan.

    Pengangkutan awam darat kini jauh lebih cekap – PM

    “Sebagai contoh, situasi kesesakan trafik di Kuala Lumpur tidak seteruk sebelum ini selepas pembinaan MRT jalur pertama siap dari Sungai Buloh ke Kajang. Ketika ini, pembinaan jalur dua (Sg Buloh-Serdang-Putrajaya) dan jalur 3 yang sedang dirancang apabila siap nanti akan menjadi kemudahan pengangkutan yang sangat moden,” jelasnya.

    Beliau juga menambah, perkhidmatan ETS turut menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna, terutama bagi mereka yang tinggal di Tanjung Malim dan juga Ipoh, dan digunakan setiap hari. “Ini menunjukkan perubahan gaya hidup di Malaysia.

    “Kualiti hidup secara langsung akan turut menjadi bertambah baik, serta nilai tanah di kawasan-kawasan luar bandar juga akan turut meningkat,” tambah beliau lagi.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

    TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

    Biar saya mulakan laporan tunggang uji kali ini dengan memberitahu bahawa saya memang berat sebelah kepada enjin tiga silinder. Selepas merasai sendiri kuasa daripada tetapan enjin ini melalui model daripada MV Agusta dan Triumph, saya merasakan enjin tiga silinder ini cukup memuaskan – sekurang-kurangnya bagi saya.

    Walaupun begitu, apabila diterapkan dengan tetapan tertentu, dan juga pakej keseluruhan, setiap motosikal itu akan memberi identiti tersendiri yang boleh dibezakan. Tetapan enjin itu pula masih menjadi penyumbang utama kepada identiti masing-masing.

    Pada tahun 2014, Yamaha kembali menggunakan enjin tetapan tiga silinder pada sebuah model baru yang dinamakan sebagai MT-09 dan ia menarik perhatian ramai. Apabila dibandingkan dengan model jenama lain yang juga menggunakan enjin tiga silinder, Yamaha mengatakan MT-09 adalah berbeza kerana menggunakan bentuk badan yang tinggi dan tegak.

    Selepas beberapa tahun dalam pasaran, pelbagai maklum balas yang didapati berkenaan MT-09, tidak kiralah daripada penguji profesional, wartawan permotoran mahupun pemilik sendiri. Antara yang dipersetujui ramai adalah pendikit yang terlalu sensitif dan suspensi lembut. Bagi enjin, ramai yang memberi pujian.

    Semasa menguji model MT-09 ini beberapa tahun dulu juga, saya bersetuju dengan perkara ini, tetapi sedar bahawa ia dijual pada harga yang mahu mendekati lebih ramai pengguna. Semasa model CKD mula diperkenalkan, MT-09 dijual pada harga sekitar RM45,000 dan bagi yang sudah memilikinya, mereka mungkin boleh mengambil masa selepas itu untuk mengumpul wang dan menaik taraf bahagian yang dirasakan terlalu asas, terutamanya suspensi.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga bahan api 5 hingga 11 April – semua kekal sama

    Harga bahan api 5 hingga 11 April – semua kekal sama

    Selepas harga bahan api tidak berubah bagi tempoh dua minggu sebelum ini, semua harga sekali lagi akan kekal seperti sebelumnya bagi minggu 5 hingga 11 April nanti.

    Bermula tengah malam ini, harga petrol bagi RON 95 akan dijual pada harga RM 2.20 seliter. Sementara itu, bagi RON 97 juga sama, dan dijual pada harga RM2.47 seliter.

    Bagi bahan api diesel pula juga kekal sama. Dengan itu, diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter manakala diesel Euro 5 pada harga RM2.28 sen seliter (harganya akan sentiasa mahal 10 sen dari diesel Euro 2M).

     
     
  • Proton tawar hadiah bernilai RM100k untuk undian nama SUV pertamanya – X7, PX7, X70 atau X700?

    Proton tawar hadiah bernilai RM100k untuk undian nama SUV pertamanya – X7, PX7, X70 atau X700?

    Setelah meminta netizen mengundi nama pilihan untuk diberikan pada SUV pertama keluarannya, kini Proton mengumumkan pula mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang bernial lebih dari RM100,000.

    Bagi mereka yang berminat, anda boleh sertainya menerusi PAUTAN INI, dan menurut Proton ia akan berlangsung selama satu bulan serta dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang pembelian diperlukan. Empat nama telah dipilih oleh Proton sendiri iaitu Proton X7, PX7, X70, atau X700. Anda perlu memilih salah satu nama berkenaan dan jelaskan mengapa ia dipilih. Selain itu, Proton turut memberikan peluang kepada netizen memberikan nama alternatif kepada model baharu berkenaan.

    “Kami ingin berkongsi bersama rakyat Malaysia peristiwa yang bermakna ini kerana SUV baharu tersebut juga merupakan simbol pencapaian untuk negara kita. Oleh itu, kami akan memberi ganjaran kepada orang ramai yang turut serta dalam undian ini dan seramai lima orang responden yang bertuah akan dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah-hadiah menarik,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON.

    Baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan manakala lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang mereka undi. Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut

    Pakej hadiah yang bakal diterima terdiri daripada pengalaman bernilai seperti undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di trek ujian Proton di Shah Alam.

    Selain itu juga orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut. Sekiranya nama tersebut dipilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan 2 orang selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

    Menurut berberapa laporan dan juga kenyataan dari Proton sendiri, SUV tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada akhir tahun ini. Ia akan diasaskan dari SUV Geely Bouye (atau Geely Emgrand X7 pada berberapa pasaran luar China), yang di prebiu buat pertama kali dalam bentuk pemanduan sebelah kiri pada Jun tahun lalu.

    Kelibat Boyue yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia sudahpun kelihatan berberapa kali, namun ia masih lagi dalam bentuk pemanduan sebelah kiri. Spesifikasi sebenar model yang akan dihasilkan oleh Proton ini juga masih belum diumumkan. Gambar versi pemanduan sebelah kanan SUV berkenaan juga telah tersebar sebelum ini, tetapi jika diperhatikan, ia hanyalah imej palsu yang telah di edit.

    Boyue merupakan sebuah SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury. Ia merupakan SUV segmen-C dengan bentangan lima-tempat duduk, berukuran 4.5 meter panjang.

    Untuk pasaran China, Boyue dijana dengan berberapa pilihan enjin termasuk 2.4 liter NA berkuasa 162 hp/210 Nm dan juga versi 1.8 liter turbo berkuasa 163 hp/250 Nm. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan sama ada transmisi enam-kelajuan manual atau automatik, bergantung pada pilihan enjin.

    Model pasaran China juga diberikan pelbagai ciri menarik antaranya skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto dan juga kelengkapan keselamatan aktif seperti amaran keluar lorong serta cruise control adaptif. Wakil kami telah pun menguji SUV ini di China tahun lalu, dan anda boleh baca ulasannya DI SINI.

    GALERI: Geely Boyue facelift 2018 pasaran China

    GALERI: Penampilan sulung Geely Boyue di Malaysia 2017

     
     
  • Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

    Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

    Ketika berlangsungnya sidang Dewan Negara baru-baru ini, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia telah turun secara purata sehingga 16.38% dari tahun 2013 hingga Februari tahun ini, manakala untuk tahun 2017 sahaja harga kereta telah turun sebanyak 0.52%, menurut laporan Bernama.

    “Pada 2016 pula, harga kereta meningkat sebanyak 2.13% berikutan kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan pihak syarikat pengeluar kenderaan tidak dapat membuat pengurangan harga kereta. Pada tahun tersebut, penurunan harga kereta secara keseluruhan hanya pada tahap 12.55%,” kata Ahmad ketika menjawab kepada persoalan Senator Datuk Ir Yong Wui Chung, yang menanyakan apakah sasaran 30 peratus penurunan harga kereta seperti yang dijanjikan lima tahun lepas dapat dicapai serta apa halangan yang dihadapi kerajaan bagi mencapai sasaran tersebut.

    Ahmad Maslan menjelaskan, bagi mencapai sasaran 30 peratus penurunan harga kereta itu, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu dihadapi seperti kenaikan mata wang asing berbanding ringgit, ketidaktentuan pasaran, faktor pasaran iaitu harga unit komponen terurai (CKD) yang diimport dan diperoleh dari pasaran tempatan, kos pengangkutan, insurans dan kadar faedah pinjaman.

    Menurut menteri berkenaan lagi, harga kereta tidak ditetapkan oleh pihak kerajaan sebaliknya ditentukan oleh syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan.

    “Kerajaan akan terus berbincang dengan pihak syarikat pengeluar kenderaan bagi memastikan harga kereta adalah berpatutan dan mampu milik. Beberapa syarikat dapat menurunkan harga kereta melalui strategi pemasaran masing-masing termasuk pengenalan model baharu dan penukaran operasi daripada pengimportan kepada pemasangan tempatan,” katanya.

    Ketika menjawab soalan tersebut, Ahmad Maslan turut mendedahkan berberapa contoh bagi menunjukkan penurunan harga secara berperingkat bagi tempoh 2013 hingga 2017. Antaranya ialah Proton Exora 1.6 dengan penurunan sebanyak 4.7%, Perodua Alza 1.5 (-11.3%), Perodua Myvi 1.3 (-19.4%), Mazda CX-5 (-6.6%) dan Honda Jazz (19.3%).

    Namun adakah dakwaan penurunan berkenaan benar? Jadi kami semak semula harga-harga yang dinyatakan tersebut. Untuk Proton Exora 1.6 CFE Standard CVT 2013, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM67,108 ketika itu, manakala untuk Exora 1.6 Turbo Exec CVT 2018 pula dijual pada harga RM65,702. Memang benar ia telah turun sebanyak RM1,405, tetapi dari segi peratusan, ia hanya turun sebanyak 2.09% berbanding 4.7% yang didakwa menteri berkenaan.

    Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

    Beralih kepada Perodua Alza, model 1.5S MT 2013 dijual pada harga RM51,738 ketika, manakala untuk model 2018 pula MPV tersebut kini berharga RM50,648. Lagi sekali, ia memang turun, tetapi hanya 2.11% dan bukan 11.3% seperti yang didakwa. Jika benar ia turun seperti yang dinyatakan, pembeli mampu membawa pulang sebuah Alza 1.5S MT tersebut pada harga hanya RM45,892 hari ini.

    Bagaimana pula dengan Myvi yang dinyatakan turun mendadak sehingga 19.4%? Pada tahun 2013, model 1.3 MT dijual pada harga RM40,650, namun jika anda ke bilik pameran Perodua sekarang, hatchback segmen-B dalam versi 1.3 Standard G MT tersebut dijual pada harga RM44,300. Bukan sahaja tidak turun, malah naik RM3,650 atau 8.98%.

    Untuk jenama bukan nasional yang dinyatakan Ahmad Maslan iaitu Mazda CX-5, model pertengahan 2.0 liter 2WD SUV tersebut dijual RM2,046 lebih mahal untuk versi 2018 berbanding model pada tahun 2013 atau naik sebanyak 1.54% – jelas berlawan dengan penurunan 6.6% seperti yang dinyatakan ketika sidang Dewan Rakyat berkenaan.

    Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

    Manakala untu Honda Jazz pula, memang ada penurunan jika kami bandingkan antara model 1.5 2013 (RM72,666) dan model 1.5 S 2018 (RM72,510), namun ia hanya sebanyak RM156 atau 0.21%, berbanding angka 19.3% yang diumumkan.

    Februari lalu, Berita Harian turut mengeluarkan satu laporan yang menyatakan bahawa harga kereta turun sehingga 20.77%. Namun apabila kami semak dengan cara yang sama, perbandingan dilakukan dengan model yang tidak setara – misalnya Proton Preve CFE Premium yang hanya dibandingkan dengan model asas Preve 1.6 NA Manual.

    Tetapi, kami juga tidak menafikan bahawa terdapat penurunan yang besar pada model-model tertentu, terutamanya model-model EEV dan hibrid yang dipasang secara tempatan (CKD) dijual jauh lebih murah dari versi CBU oleh kerana kerajaan memberikan insentif cukai yang besar untuk model-model lebih mesra alam tersebut bagi menggalakkan pengeluar untuk memasang kereta dengan teknologi berkenaan di dalam negara. Namun buat masa sekarang, insentif berkenaan nampaknya hanya tertumpu kepada jenama-jenama luar seperti BMW, Mercedes-Benz, Volvo, Hyundai dan Honda.

     
     
  • Borgward masuk Malaysia bulan ini – CKD dirancang

    Borgward masuk Malaysia bulan ini – CKD dirancang

    Ini satu berita yang tidak dijangka. Tidak lama lagi akan ada jenama baru yang tiba di Malaysia iaitu Borgward. Pengeluar dari China, tapi menggunakan nama Jerman ini akan membuat kemasukan pertama ke negara ASEAN melalui Malaysia, dan ia akan diperkenalkan secara rasmi hujung bulan ini semasa Malaysia Autoshow 2018.

    Menurut Malaysian Reserve, Borgward akan melancarkan dua model baru, dan akan melakukan majlis menandatangani perjanjian pengedaran ASEAN di pameran tersebut. Dua model yang akan diperkenalkan itu adalah SUV BX5 dan BX7.

    “Pelancaran SUV ini adalah untuk pasaran ASEAN. Sebagai tambahan, Borgward akan melantik cabang pengedaran rasmi untuk benua ini, dan 100 daripada mereka akan datang ke pameran tersebut dan menerima sijil pengedaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Madani Sahari.

    Borgward masuk Malaysia bulan ini – CKD dirancang

    Apa yang lebih mengejutkan, jenama yang tidak berapa dikenali ini, yang mempunyai rakan kongsi tempatan iaitu Go Exim juga mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan (CKD). Menurut Madani, Borgward akan menentukan lokasi kilangnya tidak lama lagi, dan antara yang berpotensi adalah di Bagan Datoh, Perak.

    BX7 adalah sebuah SUV saiz sederhana yang pertama kali ditunjukkan semasa Frankfurt Motor Show 2015. Di China, ia diletakkan sebagai “sebuah SUV pintar yang lebar, dan berjenama Jerman”, yang menggabungkan kejuruteraa gagah Jerman, teknologi maju, tahan lasak, badan lebar dan prestasi serta keselamatan terbaik. Kenderaan tujuh tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 224 hp dan 300 Nm tork.

    BX5 pula mempunyai badan kompak sepanjang 4.5 meter dan boleh menempatkan lima penumpang. Ia pertama kali ditunjukkan pada tahun 2016 di Geneva, dan dikuasakan oleh enjin 1.8 liter turbo, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan serta sistem pacuan AWD, dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 190 hp dan 280 Nm tork.

    GALERI: Borgward BX7

     
     
  • Perdana Menteri setuju Lebuhraya Utara-Selatan di Johor akan dinaiktaraf jika BN menang PRU14

    Perdana Menteri setuju Lebuhraya Utara-Selatan di Johor akan dinaiktaraf jika BN menang PRU14

    Antara manifesto yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) Johor untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ialah menaiktaraf Lebuhraya Utara-Selatan di negeri berkenaan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk membenarkan janji berkenaan oleh BN Johor iaitu menaiktaraf lebuhraya terbabit daripada empat lorong menjadi enam lorong demi kemudahan dan keselesaan rakyat khususnya penduduk Johor.

    “Lebuhraya (Utara Selatan) Ayer Hitam ke Johor Bahru padat terutama pada hari minggu. Jadi, saya izinkan masuk dalam Manifesto BN Johor, tetapi saya nak (BN) menang besar… tak nak menang ‘sipi-sipi’. Masuk dalam manifesto tawaran kita (naik taraf lebuh raya) untuk rakyat Malaysia, Bangsa Johor,” katanya kepada pemberita semalam.

    Nampaknya semua parti politik sedang berlumba-lumba mencanang manifesto terbaik demi memancing pengundi dalam PRU14. Harap jika menang, semua janji dalam manifesto itu ditunaikan, bukan setakat “cakap kosong”. Ini termasuklah mengurangkan harga kenderaan baharu di Malaysia, penghapusan tol secara berperingkat dan sebagainya.

     
     
  • Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Tahun lalu kami menerima berberapa foto intipan Proton Preve yang diperhalusi sedang diuji, manakala awal tahun ini pula imej perinciannya bocor dan tersebar di internet. Kini, model berkenaan nampaknya telah muncul di laman web rasmi Proton, menandakan ia hampir dilancarkan atau terus dijual dipasaran seperti MPV Exora yang diperhalusi sebelum ini.

    Menerusi laman berkenaan, Preve disahkan hanya akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6 Executive CVT yang berharga RM64,730 (naik RM4,120) dan juga 1.6 Premium CVT yang djual pada harga RM72,510 (naik RM1,193). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia dilindungi waranti selama lima-tahun/150,000 km.

    Seperti juga tahun lalu, model yang dikemaskini ini tidak menawarkan pilihan enjin 1.6 liter NA dan juga kotak gear manual. Kedua-dua varian berkenaan dijana dengan enjin petrol empat-silinder 1.6 liter turbo berkuasa 138 hp pada takat 5,000 rpm, serta tork maksima 205 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear automatik CVT, memacu roda hadapan.

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Menerusi perincian yang bocor sebelum ini, dapat dilihat pelbagai perkara telah disentuh semula untuk memperhalusi semula Preve berkenaan, terutamanya pada elemen NVH. Cagak enjin telah direka semula, manakala penebat-penebat bunyi pada karpet dan tiang-tiang kereta ini telah dipertingkatkan.

    Proton juga melakukan sesuatu untuk menghilangkan bunyi angin dan juga mengurangkan bunyi penghawa dingin. Jenis tayar pada rim 16-inci turut ditukar untuk versi kali ini, bersama kemasan baharu pada tombol gear, alas kaki jenis fishnet dan juga radio dengan penerimaan isyarat yang lebih baik.

    Walapun tiada sebarang perubahan mekanikal, Proton telah menala semula sistem pengurusan enjin (ECU) dan transmisi (TCU) pada model tingkat taraf ini, sama seperti apa yang dilakukan pada Iriz dan Exora. Talaan baharu berkenaan akan membolehkan enjin dan transmisi CVT model ini beroperasi dengan lebih responsif, lebih linear dan juga bunyi ekzos yang lebih senyap.

    Proton Preve 2018 muncul di laman rasmi Proton – model diperhalusi, dua varian, dari RM65-RM73k

    Juga, tiada perubahan rupa yang ketara pada model yang dikemaskini ini kecuali sentuhan semula pada warna dan kemasan yang diberikan. Gril hadapan dan kemasan penutup but belakang kini diberikan warna hitam bersama logo Proton tiga-dimensi. Model Premium pula dibezakan dengan bumbung berwarna hitam serta cermin sisi dua-tona sama seperti Iriz, bersama rim aloi dua-tona baharu berdiameter 17-inci.

    Ciri standard lain yang turut dipadankan pada Preve baharu berkenaan termasuk lampu hadapan projektor halogen bersama fungsi follow-me-home, lampu kabus hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi auto naik/turun dan anti-pinch, serta radio standard dengan sokongan CD, Bluetooth, USB serta AUX-in.

    Untuk keselamatan pula, kedua-dua varian menerima enam-beg udara, sistem brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, perehat kepala hadapan aktif dan juga cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang.

    Model Premium pula menerima penambahan lampu nyalaan siang LED, butang penghidup enjin (masih lagi tanpa sistem kemasukan tanpa kunci sebenar), penghawa dingin automatik zon-tunggal, sistem navigasi, lampu dan pengelap cermin automatik, cruise control, cermin sisi lipatan automatik, pedal penukar gear dan juga cermin dengan pelindung haba.

    Lima warna akan ditawarkan untuk Preve 2018 ini iaitu Ruby Red (dari Perdana), Carnelian Brown (dari Persona) Graphite Grey, Sterling Silver dan Cotton White.

     
     
  • SPYSHOT: Honda HR-V facelift 2018 kelihatan di M’sia

    SPYSHOT: Honda HR-V facelift 2018 kelihatan di M’sia

    Honda HR-V facelift telah pun dikesan berada di jalan raya di Malaysia oleh pembaca paultan.org Anthony Look, yang memberikan bayangan ia mungkin akan dilancarkan pada tahun ini. Model berwarna putih yang diuji ini yang tidak ditutupi sebarang penyamaran, menampakkan sedikit gaya yang pelik.

    Di belakangnya, kelihatan jaluran krom yang bersambung pada lampu belakang, yang memberikan gambaran ia adalah model facelift. Walau bagaimana pun, grafik pada lampu belakangnya masih sama dengan HR-V pra-peningkatan, dan LED jenis-tiub pula seperti kereta pasaran Jepun.

    Sementara pada bahagian hadapannya pula, kelihatan lampu nyalaan siang baharu ditampilkan. Dilihat menerusi foto ini, bampar yang dipertingkatkan (dengan lampu baharu) tidak ditampilkan, begitu juga dengan palang krom tebal pada gril.

    Varian tertinggi pula mungkin hadir dengan rekaan lampu utama LED baharu seperti yang ditampilkan pada model terkini Accord dan Civic, sementara varian spesifikasi rendah pula digayakan dengan lampu nyalaan siang LED. Buat masa ini, elemen yang ditampilkan ini kebarangkalian tidak akan sama dengan apa yang kita bakal dapat kelak. Tapi pasti anda tidak sabar untuk menantikan kehadiran HR-V facelift ini bukan?

    GALERI: Honda HR-V/Vezel facelift

     
     
  • Pakatan Harapan akan hapuskan tol secara berperingkat jika menang PRU14 – Tun Mahathir

    Pakatan Harapan akan hapuskan tol secara berperingkat jika menang PRU14 – Tun Mahathir

    Demam Pilihanraya Umum kali ke-14 (PRU14) kian membara. Walau menjadi tanda tanya bilakah ia akan diadakan, mungkinkah awal bulan hadapan seperti mana desas-desus yang bertebaran?

    Seperti biasa, semua parti politik akan mengeluarkan manifesto masing-masing untuk menambah keyakinan atau pun lebih tepat “membeli” hati para pengundi supaya mengundi mereka sebagai pentadbir negara.

    Pada awal bulan lalu, Pakatan Harapan telah mengeluarkan manifesto mereka yang diberi judul ‘Buku Harapan’, ini termasuklah untuk menstabilkan harga runcit bahan api utama serta menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    Semalam, Pengerusi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi jika menang dalam PRU14 ini.

    “Dalam tempoh 100 hari kerajaan baharu akan menghapuskan kutipan tol seluruh negara secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi. Namun prosedur penghapusan secara berperingkat itu akan diumumkan bila kita masuk Putrajaya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Parlimen, laporan Sinar Harian.

    Baru-baru ini, PAS dalam manifestonya pula berkata, duti eksais akan dihapuskan bagi mereka yang baru pertama kali membeli kenderaan. Cadangan daripada PAS itu tertakluk kepada kenderaan dengan kapasiti enjin bawah 1.3 liter. Parti itu juga mencadangkan pinjaman tanpa faedah diberikan bagi mereka yang pertama kali membeli kenderaan.

     
     
  • Toyota Supra Turbo 1994 terjual pada lelongan dengan harga RM311k di Amerika Syarikat – hanya 9,173 km

    Toyota Supra Turbo 1994 terjual pada lelongan dengan harga RM311k di Amerika Syarikat – hanya 9,173 km

    Sebuah Toyota Supra generasi keempat (JZA80) keluaran tahun 1994 telah terjual di laman lelongan Bring a Trailer yang berpangkalan di Amerika Syarikat hujung minggu lalu, dengan harga USD$80,500 atau RM311,099 mengikut kadar tukaran semasa. Sesuai dengan harganya, kereta berkenaan terjual dalam keadaan hampir seperti unit yang simpan oleh muzium, langsung tidak diubahsuai serta meter perbatuan hanya mencecah 5,667 batu atau 9,173 km.

    Supra berkenaan juga merupakan dari varian tinggi, dibekalkan dengan enjin 2JZ-GTE 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 320 hp (untuk pasaran Amerika, bukan versi JDM yang dihadkan pada 280 hp) dan tork maksima 427 Nm dalam keadaan standard. Namun, ia adalah dari model automatik, dibekalkan dengan transmisi empat-kelajuan untuk memacu roda belakang, lengkap dengan LSD jenis torsen yang diberikan secara standard.

    Supra dengan warna badan asli Super White ini juga merupakan unit dari versi badan ‘Targa Top’, iaitu model dengan bumbung yang boleh dibuka bagi membolehkan ia kelihatan seperti roadster, sama seperti yang digunakan oleh watak Brian O’Connor (lakonan mendiang Paul Walker) dalam filem The Fast and The Furious.

    Ciri standard lain yang dibekalkan standard dari kilang pada Supra ini termasuk rim aloi lima jejari 17-inci, balutan kulit pada upholsteri serta dalaman berwarna hitam, radio premium AM/FM/CD dan juga brek dengan sistem ABS.

    Ia juga masih mempunyai pelekat asal pada cermin yang memaparkan senarai kelengkapan standard serta harga jualan (USD$47,795 pada tahun 1994), kit pembaikkan dan dua set kunci asal. Supra ini turut mempunyai rekod sejarah dari CARFAX, dan tercatat perbatuannya hanya mencapai satu batu pada tahun 2000, dan bacaan 5,616 batu (9,038 km) hanya dicapai pada Disember 2016.

    Toyota Supra seperti diketahui merupakan model ‘klasik moden’ Jepun yang kini sedang meningkat naik harganya diserata dunia, seperti Nissan Skyline GT-R (R32, R33, R34) dan juga Honda NSX generasi pertama. Jika anda berpeluang untuk membeli salah satu model begini, berapa harga yang anda rasakan sesuai?

     
     
  • Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Ini satu lagi model Geely yang akan dilancarkan; Geely Borui GE, model plug-in hybrid bagi versi sedan Borui sebelum ini akan diperkenalkan untuk pasaran China pada 9 April nanti. Berikut merupakan imej-imej awalnya yang muncul dari laman media di sana.

    Kereta PHEV ini menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbocas, yang sudahpun digunakan pada model Volvo XC40 T3. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, dan disertai motor elektrik dan pek bateri.

    Komponen yang digunakan ini sama dengan sistem janaan kuasa T5 Twin Engine sebelum ini, jadi tidaklah mengejutkan jika ia turut digunakan pada model-model elektrik dari pengeluar kenderaan Sweden itu, serta kenderaan dari Lynk & Co nanti.

    Perincian spesifikasi lainnya masih belum didedahkan. Bagaimanapun media tempatan di China melaporkan kadar penggunaan minyaknya boleh mencapai serendah 1.5 liter/100 km. Model PHEV ini akan menjadi tambahan terbaru bagi varian Borui lain yang turut ditawarkan ketika ini.

    Geely Borui GE – PHEV 1.5 liter bakal dilancar 9 April

    Antaranya termasuk model dengan enjin 1.8 liter turbo (184 hp) dan 2.4 liter (162 hp); kedua-duanya dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Akan ada satu lagi varian, iaitu GT dengan enjin 1.5 liter turbo dan output 177 hp dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Reka bentuknya sama sahaja dengan Borui GT. Antara perkara yang menjadi tarikan utama kereta ini ialah rekaan gril yang digunakan, yang diapit oleh lampu utama dengan rekaan tirus. Bahagian bawahnya pula dihiasi dengan kemasan krom. Rekaan rimnya juga menyumbang imej tersendiri. Selain itu, grafik baru pada lampu belakang dan juga ekzos berkembar turut diberikan.

    Di dalam, sebuah skrin sentuh 12.2 inci menjadi antaramuka bagi ciri dan sistem kenderaan ini. Konsol tengahnya lebih tinggi, dengan ciri pengecas telefon tanpa wayar juga disediakan kepada pengguna. Apa pandangan anda tentang model ini? PHEV untuk kenderaan dalam segmen yang lebih meluas tentunya akan memberikan askses yang lebih mudah kepada kebanyakan orang, bukan?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025