Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton umum pusat 3S Kota Samarahan dinaiktaraf

    Proton umum pusat 3S Kota Samarahan dinaiktaraf

    Satu lagi pusat 3S Proton telah dinaiktaraf sepenuhnya mengikut standard piawaian yang terkini, terletak di Kota Samarahan, Sarawak. Dikendalikan oleh KH Motor Sdn Bhd, pusat 3S ini telah pun beroperasi sejak satu setengah tahun yang lalu, terletak di kawasan komersil yang sibuk.

    Dengan kos pengubahsuaian sebanyak hampir RM1 juta, ia dibina di kawasan seluas 1,015 meter persegi dan menyediakan pelbagai fasiliti, antaranya enam petak penyelenggaraan, lima servis pengangkat, dan ruang menunggu untuk para pelanggan.

    Menurut Wong Park Sii, CEO dan Pengarah KH Motor Sdn Bhd, keputusan mereka untuk menaiktaraf adalah muktamad kerana cawangan baharu ini akan dapat memberikan kemudahan, keselesaan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. Selain itu, cawangan yang dinaik taraf akan dapat meningkatkan lagi penjualan model-model sedia ada dan baharu seperti X70, yang mana baru-baru ini telah dibuka untuk tempahan.

    Pusat 3S Kota Samarahan ini terletak di Lot 1508, SMLD, Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan, Sarawak dan waktu operasinya dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Sabtu dan Ahad pula dari jam 9 pagi hingga 3 petang untuk bahagian jualan. Manakala untuk bahagian servis pula, ia beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari dan ditutup pada hari Ahad.

     
     
  • Moto Guzzi V9 Bobber Sport – gaya unik, lebih sporty

    Moto Guzzi V9 Bobber Sport – gaya unik, lebih sporty

    Semasa acara ‘rumah terbuka’ yang dilakukan di kilang mereka di Mandello del Lario, Itali minggu lepas, Moto Guzzi telah menunjukkan buat kali pertama sebuah variasi baru bagi V9 Bobber iaitu V9 Bobber Sport. Bagi yang tidak hadir, mereka cuma menyiarkan beberapa keping gambar sahaja untuk model baru ini.

    V9 Bobber Sport menggunakan asas daripada V9 Bobber, bermaksud bahagian utamanya masih lagi sama iaitu dikuasakan oleh enjin dua silinder V 853 cc rekaan baru, yang mampu menghasilkan 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem syaf. Rim pula bersaiz 16 inci.

    Tetapan satu tempat duduk juga masih sama, namun ia diberi penampilan yang sedikit berbeza, bermula dengan penghadang lumpur yang lebih pendek di hadapan serta penghadang angin kecil berwarna hitam yang dibuat daripada aluminium di atas lampu hadapan.

    Ia kemudiannya disudahkan dengan warna unik bagi model ini iaitu gabungan hitam matte dan juga oren matte. Prestasi model ini turut ditingkatkan sedikit dengan penggunaan ekzos aftermarket berwarna hitam matte dengan bawahnya terdapat penghadang aluminium, manakala suspensi belakang kini menggunakan unit Ohlins yang boleh dilaras untuk pra-beban, mampatan serta lantunan.

    Kelengkapan lain masih sama dengan model V9 Bobber termasuk brek Brembo cakera tunggal di depan dan belakang, sistem brek ABS dan Moto Guzzi Traction Control (MGTC). Sistem kawalan cengkaman dua mod ini beroperasi dengan mengawawal kemajuan pencucuh, menahan tork enjin apabila gelinciran dikesan dan boleh ditutup sekiranya mahu.

     
     
  • Vespa perkenal tiga model edisi istimewa di M’sia – 946 Red, Sprint Carbon dan Sei Giorni; dari RM17,400

    Vespa perkenal tiga model edisi istimewa di M’sia – 946 Red, Sprint Carbon dan Sei Giorni; dari RM17,400

    Naza Premira kini memperkenalkan tiga model edisi istimewa skuter Vespa untuk pasaran Malaysia, yang terdiri daripada model-model Vespa 946 Red, Vespa Sprint Carbon dan Vespa Sei Giorni.

    Model Vespa dengan penggayaan paling radikal, 946 kini ditampilkan pula dalam edisi merah sepenuhnya yang membaluti bahagian badan diperbuat dari logam berserta kemasan komponen aluminium yang lain. Model ini juga dilengkapi dengan ciri teknologi terkini; antaranya sistem ABS dan kawalan cengkaman Anti-Slip regulation (ASR).

    Vespa 946 Red ini dikuasakan oleh enjin 150 cc dengan silinder tunggal, empat-lejang dan tiga injap. Beberapa perincian lain adalah seperti berat 147 kg, pecutan maksimum 93 km/j dengan kapasiti tangkin minyak 8.5 liter. Edisi istimewa ini dijual pada harga RM66,000 dan hadir dalam satu warna merah sahaja.

    Vespa perkenal tiga model edisi istimewa di M’sia – 946 Red, Sprint Carbon dan Sei Giorni; dari RM17,400

    Bagi Vespa Sprint Carbon pula, ia tampil dengan imej yang lebih sporty dan moden. Ia dilengkapi enjin i-Get 155 cc, silinder tunggal dengan tiga injap, empat lejang, sejukan udara dengan piawaian Euro 4 yang menghasilkan 9.5 kW pada 7,750 rpm dan tork sebanyak 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

    Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya slot USB dalam ruang barangan pada kaki serta sistem ABS. Ia hadir hanya dalam satu warna hitam yang eksklusif, Vespa Sprint Carbon dijual pada harga RM17,400.

    Vespa Sport Sei Giorni pula mengambil ilham dari jentera perlumbaan “Sei Giorni Internazionale di Varese” asal yang berlangsung pada tahun 1951, yang menyaksikan jentera itu meraih sembilan pingat emas. Ia menampilkan rekaan yang lebih retro, dengan kedudukan lampu utama di bahagian fender hadapan dan bukannya pada kedudukan “kepala” yang biasa.

    Vespa perkenal tiga model edisi istimewa di M’sia – 946 Red, Sprint Carbon dan Sei Giorni; dari RM17,400

    Model ini menggunakan enjin paling besar yang ada dalam barisan skuter Vespa; 278 cc Euro 4, silinder tunggal, empat lejang dengan empat injap, sejukan cecair yang menghasilkan sebanyak 21.2 hp pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Menampilkan keselesaan tunggangan barisan Vespa GTS, versi Sei Giorni didatangkan dengan ruang helmet yang lebih besar serta tempat duduk yang lebih luas dan lebar; untuk memberikan keselesaan ketika tunggangan jarak jauh. Antara kelengkapan lain yang ada ialah slot USB serta lampu isyarat LED yang turut bertindak sebagai DRL. Vespa Sei Giorni dijual pada harga RM38,000 dan ditawarkan dalam warna hijau.

     
     
  • GALERI: Perodua Alza facelift – Advance dan SE

    GALERI: Perodua Alza facelift – Advance dan SE

    Minggu lalu, Perodua telapun mendedahkan versi facelift 2018 untuk Perodua Alza. Setelah kira-kira sembilan tahun dalam pasaran, MPV tujuh-tempat duduk berkenaan kini diberikan lagi penyegaran pada bahagian luaran dan juga dalaman.

    Menerusi versi terkini ini, sebenarnya hanya model pertengahan SE dan model tertinggi Advance yang menerima perubahan kecil pada bahagian luar. Kedua-dua model tersebut menerima gril baharu dengan elemen dua-bar, bampar hadapan dengan liang kemasukan lebih besar, kemasan baharu pada lampu kabus yang telah beralih kedudukan, serta kini diberikan penderia parkir untuk bahagian hadapan.

    Beralih ke belakang, bampar model SE dan Advance ini turut direka lebih sporty menampilkan kemasan diffuser palsu disentuh semula, kedudukan reflektor yang menegak kini diletakkan melintang bersama kemasan plastik hitam baharu, manakala kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate direka lebih labuh sehingga setara dengan bahagian bawah lampu, dan turut diberikan jalur krom di bawahnya.

    GALERI: Perodua Alza facelift – Advance dan SE

    Rim 15-inci asal dari model sebelumnya masih digunakan, namun menerima kemasan akhir titanium (S masih dengan rim perak). Perodua turut menawarkan warna badan baharu – Granite Grey – pada versi facelift ini, manakala warna lain yang terdiri dari Electric Blue, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White masih lagi boleh dipilih pembeli.

    Kesemua empat varian (Standard manual dan auto, SE dan Advance) didatangkan standard dengan lampu kabus hadapan, spoiler belakang, roda stereng balutan kulit, filem lapisan solar dan keselamatan tingkap serta penderia undur.

    Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana kesemuanya masih dijana enjin 3SZ-VE 1.5 liter empat silinder DVVT berkuasa 102 hp/136 Nm. Namun untuk transmisi, kini hanya model S ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, manakala SE dan AV cuma boleh dipilih dalam versi auto.

    Sistem keselamatan pada Alza facelift 2018 ini juga masih kekal sama. Ia dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, sistem brek ABS, EBD dan BA, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

    Pada bahagian dalaman pula, Perodua telah melakukan sedikit perubahan pada kluster tengah papan pemuka Alza. Liang penghawa dingin utama telah direka semula dengan meletakkan liang kekal pada bahagian tengah, bersama unit cooling coil baharu dan juga paip penukar haba yang dipertingkatkan, membolehkan penumpang pada baris akhir menerima udara yang lebih nyaman.

    Perubahan paling nyata pada papan pemuka berkenaan adalah pada panel instrumen yang kini menerima rekaan grafik baharu. Alza juga diberikan kunci kawalan jauh baharu menampilkan butang kunci dua fungsi – sekali tekan untuk membuka kunci belah pemandu sahaja, dua kali tekan untuk membuka kunci kesemua pintu.

    Model Standard dan SE diberikan sistem audio dengan fungsi USB dan Bluetooth, manakala varian Advance pula menerima tempat duduk balutan kulit rekaan baharu serta hadir dengan monitor bumbung untuk penumpang, sistem infotainmen berasaskan Android dengan skrin sesentuh bersama hubungan Bleutooth, serta fungsi sistem navigasi dan paparan kamera undur.

    Perodua Alza facelift 2018 dijual pada harga bermula RM51,490 untuk model asas Standard manual dan RM54,290 automatik. Model pertengahan SE pula dijual pada harga RM56,890, manakala model tertinggi Advance dijual dengan harga RM62,690. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Perodua Alza Advance facelift 2018

    GALERI: Perodua Alza SE facelift 2018

     
     
  • Proton lancar pusat 3S baharu berlokasi di Puchong

    Proton lancar pusat 3S baharu berlokasi di Puchong

    Proton telah melancarkan satu lagi pusat 3S terbaharunya, kali ini berlokasi di Puchong pula. Ia telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan turut disertai barisan pengurusan Proton yang lain. Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Atiara Johan Sdn Bhd, ia adalah bagi menggantikan bilik pameran berstatus 1S yang sebelum ini beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur, dan digunakan untuk aktiviti jualan sahaja.

    Bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, syarikat berkenaan telah bersetuju untuk menaiktaraf perkhidmatan mereka kepada pusat 3S di lokasi baharu. Cawangan baharu ini telah dibina di kawasan tanah lot dan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta, dengan kawasan seluas 1,700 meter persegi. Dengan pembukaan pusat 3S ini, Atiara Johan Sdn Bhd menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 60% dan kemudahan servis akan menjadi aliran pendapatan baharu untuk cawangan tersebut.

    Ia turut menyediakan 14 tempat penyelenggaraan dan 12 servis pengangkat, kemudahan WiFi secata percuma, ruang mengecas komputer riba, ruang menunggu untuk para pelanggan dan juga sudut permainan kanak-kanak.

    Menurut Judith Yam, Pengarah Urusan Atiara Johan Sdn Bhd, “Kami telah mengambil peluang yang ada ini untuk menaik taraf dari pusat 1S kepada pusat 3S kerana kami tahu ini akan menyediakan masa hadapan yang lebih cerah kepada perniagaan kami untuk jangka masa panjang. Kami menyedari bahawa untuk berjalan seiring dengan hala tuju perniagaan baharu Proton, kami perlu menaik taraf cawangan untuk tampil lebih segar yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam meningkatkan tahap jualan dan pengalaman servis yang baik kepada pelanggan kami.

    Sehingga 31 Ogos 2018, Proton telah mencapai sebanyak 92% daripada sasarannya untuk pelan cawangan yang diluluskan berstatus 3S dan 4S. Sasaran jenama ini adalah untuk mendapatkan sebanyak 109 cawangan menjelang Oktober tahun ini berjalan seperti yang dirancang kerana setakat ini sebanyak 100 cawangan telah mendapat kelulusan.

    “Kami berasa gembira kerana penambahbaikan cawangan berjalan dengan lancar. Pusat cawangan 3S dan 4S adalah penting kerana ia berfungsi sebagai penghubung kepada pelanggan dan mengetahui bagaimana mereka melihat Proton. Malah jualan Proton yang meningkat sejak tiga bulan lalu dengan jualan pada bulan Ogos mencapai 18% lebih tinggi daripada bulan sebelumnya, mencapai jualan sebanyak 9,501 unit, yang merupakan jualan tertinggi untuk tempah 36 bulan lalu. Kami yakin momentum jualan ini akan terus meningkat bagi bulan-bulan seterusnya, lebih-lebih lagi dengan kedatangan SUV pertama kami, Proton X70,” ujar Dr Li Chunrong.

     
     
  • Kia Ceed GT – kemunculan hot hatch dengan 204 PS, 265 Nm, bakal dipertontonkan di Paris Motor Show

    Kia Ceed GT – kemunculan hot hatch dengan 204 PS, 265 Nm, bakal dipertontonkan di Paris Motor Show

    Kia Ceed GT baharu, varian prestasi tinggi dari Ceed hatchback ini pertama kali didedahkan pada Februari lalu. Ia dijangka akan memulakan penjualan di Eropah pada suku pertama 2019. Malah Ceed GT ini juga bakal membuat kemunculan di Paris Motor Show tidak lama lagi.

    Hot hatch ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter T-GDi petrol dengan hamburan kuasa 204 PS pada 6,000 rpm dan tork 265 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Ada dua pilihan transmisi iaitu manual enam-kelajuan atau automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Bagi prestasinya, Ceed GT ini dikekalkan dengan perkakasan suspensi fully-independent yang sama dengan Ceed biasa, tetapi dengan talaan yang lebih terperinci bagi memberikannya ekstra daya dinamik. Semakannya termasuk direndahkan sebanyak 5 mm (135 mm), gegelung yang lebih keras, 17% input stereng yang lebih pantas dan bar anti-olengan yang lebih lembut.

    Kia Ceed GT – kemunculan hot hatch dengan 204 PS, 265 Nm, bakal dipertontonkan di Paris Motor Show

    Bukan itu sahaja, kawalan kestabilan elektronik telah diselaraskan semula untuk memberikan aksi yang lebihsideway, Sistem sokongan termasuklah Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), penvektoran tork menerusi brek dengan brek yang lebih besar – 320 mm untuk cakera hadapan yang lebih tebal sebanyak 3 mm dari standard (28 mm). Dan juga dilengkapi dengan set tayar Michelin Pilot Spot 4 yang membaluti roda aloi 18-inci.

    Sistem Pemilihan Mod Pemanduan juga boleh didapati dengan jarak dwi-klac, membolehkan pemandu menukar karakter penjana kuasa – mod Normal dan Sport. Untuk membolehkan anda mendengar ngauman enjin 1.6 liter turbo, flap ekzos baharu turut dipadankan, begitu juga dengan penjana bunyi elektronik.

    Bagi mengelakkan kekeliruan antara Ceed GT dengan Ceed biasa, logo ‘GT’ yang besar diletakkan pada gril hadapan dengan kemasan merah. Juga bamparnya kelihatan lebih agresif, dengan corong yang lebih besar dan kemasan hitam berkilat. Lampu nyalaan siang “ice cube” masih dikekalkan bersama dengan unit lampu utama.

    Kia Ceed GT – kemunculan hot hatch dengan 204 PS, 265 Nm, bakal dipertontonkan di Paris Motor Show

    Selain itu, sill sisi juga lebih menyerlah dengan kemasan hitam berkilat dan merah, serta dikelilingi tingkap krom berkilay serta perumah tengah tayar dan kaliper brek berwarna merah. Di belakangnya pula, bampar unik GT dengan diffuser, corong besar dan dua corong ekzos juga ditampilkan.

    Semakan pada bahagian kabin termasuklah roofliner hitam, stereng roda berbentuk-D, pedal alumnium, kemasan tempat duduk dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah, serta banyak lencana ‘GT’. Sistem infotainmen dengan skrin sesentuh termasuk paparan bersaiz tujuh- dan lapan-inci juga ditampilkan. Bagi ruang but, ia menawarkan kapasiti shingga 395 kapasiti dengan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan secara nisbah 60:40.

    Enam beg udara diberikan secara standard, selain teknologi keselamatan lain termasuk Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong dengan Bantuan Elak Pelanggaran Hadapan. Sistem yang turut ditampilkan termasuk Bantuan Ikut Lorong, Kawalan Kelajuan Pintar dengan Stop & Go, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Amaran Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Bantuan Parkir Pintar dan pengesan pejalan kaki bagi sistem Bantuan Elak Pelanggaran Hadapan.

     
     
  • Lamborghini Kuala Lumpur tampilkan bilik pameran, pusat 3S lebih kemas, dengan identiti korporat terkini

    Lamborghini Kuala Lumpur tampilkan bilik pameran, pusat 3S lebih kemas, dengan identiti korporat terkini

    Kalau anda masuk ke dalam bilik pameran Lamborghini Kuala Lumpur sekarang, suasananya sudah berbeza daripada sebelum ini. Reka letak telah diperbaharui, begitu juga dengan penerapan identiti korporat baru yang lebih segar dan menarik.

    Dari luar, akan terlihat lambang Lamborghini dengan pencahayaan serta latar hitam. Di dalam pula serba serbi lebih kemas, cerah dengan ruang pameran yang membolehkan anda melihat dan menyentuh sendiri kemasan perincian yang ditawarkan sebagai pilihan bagi kenderaan Lamborghini yang ada.

    Ruang servis pula meliputi keluasan 12,494 kaki persegi, menempatkan kemudahan 3S yang juga terlah diperkemas untuk menampung lebih banyak kenderaan – yang disumbangkan oleh jumlah SUV Urus. Semuanya ada tujuh ruang servis, termasuk kelengkapan dengan pengangkat hidraulik khusus untuk kegunaan bagi model Urus.

    “Dengan sokongan daripada peminat serta pemilik Lamborghini di sini, penampilan terbaru bilik pameran ini melambangkan keyakinan kami terhadap jenama dan perniagaan Lamborghini di Malaysia. Ini terutama sekali selepas pertambahan barisan model yang ditawarkan, termasuk model SUV Urus,” jelas Pengarah Urusan Lamborghini Kuala Lumpur, Marcus Chye. Turut hadir keteka majlis pengenalan rasmi itu ialah CEO Lamborghini Asia Pasifik, Matteo Ortenzi.

    Sejak dilancarkan Mac lalu, Lamborghini Urus setakat ini telah menerima 60 tempahan, dengan tempoh menunggunya mencecah hingga setahun, menurut Chye.

     
     
  • CIMB tawar pembiayaan dengan kadar faedah lebih rendah untuk kenderaan hibrid dan hartanah kediaman

    CIMB tawar pembiayaan dengan kadar faedah lebih rendah untuk kenderaan hibrid dan hartanah kediaman

    CIMB Bank dan CIMB Islamic menjadi bank pertama di Malaysia yang menyediakan kadar pembiayaan lebih rendah bagi kelestarian persekitaran (environment sustainability) khusus bagi kenderaan hibrid baru serta bangunan kediaman yang tersenarai di bawah Green Building Index (GBI).

    Pelanggan CIMB yang berkaitan akan menerima kadar faedah 0.10% lebih rendah berbanding kadar promosi yang dinyatakan bagi kedua-dua produk kenderaan hibrid dan begitu juga hartanah perumahan yang menerima pensijilan GBI.

    Ini merupakan komitmen CIMB untuk menjunjung prinsip kelestarian dalam penawaran keseluruhan kumpulan perbankannya, serta menyiking usaha ke arah perbankan bertanggungjawab global melalui keahliannya di dalam Environment Programme Finance Initiative Principles for Responsible Banking (UNEP-FI) oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    CIMB ketika ini menjadi satu-satunya kumpulan perbankan di Malaysia dan ASEAN yang menjadi ahli pengasas kepada usaha kelestarian seumpamanya, bersama dengan 26 lagi bank-bank utama dari lima rantau dan 19 negara.

    “Sebagai bank universal utama di ASEAN, kedudukan kukuh CIMB tidak hanya diwakili oleh semata-mata kekuatan kami, tetapi juga rasa tanggungjawab yang digalas untuk membentuk agenda persekitaran serantau melalui perbankan bertanggungjawab. Kami berbesar hati untuk menjadi yang pertama di Malaysia yang menawarkan pembiayaan seumpama ini,” jelas CEO, Kumpulan Perbankan Pelanggan, CIMB Group, Samir Gupta.

    “Penawaran pembiayaan dengan kadar faedah lebih rendah ini tidak hanya memberikan nilai tambah kepada pelanggan. Ia sebenarnya merupakan langkah yang bermakna ke arah memenuhi komitmen kami untuk mencapai matlamat memastikan industri perbankan yang mampu membawa kesan positif, tidak hanya secara ekonomi, malahan dari sudut sosial dan persekitaran juga,” ujar CEO, Perbankan Islamik Kumpulan, CIMB Group, Rafe Haneef.

    Berikut pautan untuk maklumat lanjut berkaitan pembiayaan kereta hibrid dan juga hartanah kediaman terbaru oleh CIMB Bank.

     
     
  • Toyota Yaris GR Sport pasaran Eropah didedah sebelum buat kemunculan di Paris bulan hadapan

    Toyota Yaris GR Sport pasaran Eropah didedah sebelum buat kemunculan di Paris bulan hadapan

    Bagi pelanggan Eropah yang tidak berpeluang untuk memiliki hot-hatch segmen-B dengan kuasa 205 hp Toyota Yaris GRMN, mereka bakal menerima satu lagi pilihan Yaris yang lebih seronok dipandu dari versi standard tidak lama lagi dengan kemunculan Toyota Yaris GR Sport. Kereta ini akan membuat kemunculan sulungnya di Eropah menerusi acara Paris Motor Show bulan hadapan dan bakal ditawarkan di pasaran akhir tahun ini.

    Yaris ini merupakan produk pertama di bawah jenama GR Sport yang masuk ke pasaran Eropah, dan ia menampilkan rupa tersendiri berbeza dengan kembar JDMnya iaitu Vitz GR Sport. Menurut Toyota, pengenalan ini adalah contoh bagaimana kejayaan mereka dalam arena suka bermotor antarabangsa menerusi Toyota Gazoo Racing disalurkan ke model jalan raya biasa dalam versi GR. Toyota kembali semula ke kancah Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada 2017 dengan Yaris WRC dan kemudian menghasilkan model berprestasi tinggi Yaris GRMN dan kemudiannya berjaya menjadi sebuah model yang laris.

    Berbanding GRMN yang dijana oleh enjin 1.8 liter Supercharger, versi GR Sport ini pula hanya dijana oleh enjin 1.5 liter hibrid elektrik – Toyota masih belum mengumumkan jumlah kuasa yang dihasilkan. Menurut jenama berkenaan, keseronokan memandu hatchback ini akan disumbangkan oleh ubahsuai yang dilakukan pada sistem suspensi yang memberikan pengendalian dan tindak balas yang lebih mengujakan.

    Toyota Yaris GR Sport pasaran Eropah didedah sebelum buat kemunculan di Paris bulan hadapan

    GR Sport diberikan penyerap hentak dari Sachs sama seperti GRMN, bersama bar-anti oleng solid menggantikan jenis hollow bagi meningkatkan ketegarannya. Ia juga menampilkan stance yang lebih menarik dengan suspensi berkenaan apabila kelegaan tanah dikurangkan 11 mm dan ruang antara badan dan tayar dikurangkan 18 mm berbanding Yaris standard.

    Model ini juga diberikan set rim aloi GR Sport berwarna hitam yang direka khas untuknya dengan diameter 17-inci, dibaluti tayar sama dengan GRMN iaitu Bridgestone Potenza RE50 bersaiz 205/45R17. Kesemua ciri-ciri khas ini dipastikan hanya menerima berat tambahan kurang dari 5 kg.

    Rupa luaran Yaris GR Sport ini adalah diinspirasikan terus dari Yaris GRMN, namun hanya tampil dalam bentuk badan hatchback lima-pintu berbanding tiga pintu untuk GRMN. Selain itu, ia menampilkan rupa yang seiras terdiri dari bampar hadapan, bumbung berwarna hitam dan juga spoiler bumbung belakang. Ia turut diberikan kemasan pintu berwarna hitam piano serta gril sarang lebah, kemasan lampu kabus serta penutup cermin sisi juga berwarna hitam.

    Lampu hadapan pada kereta ini adalah unik hanya untuk versi GR Sport manakala cermin tingkap belakang yang gelap untuk lebih privasi didatangkan juga secara standard. Bagi memberitahu ia adalah model lebih istimewa dari versi standard, lencana-lencana GR diletakkan pada tempat sepatutnya bersama pelekat jalur merah ditampal pada spoiler bampar hadapan.

    Bahagian dalaman pula menyaksikan kabin kereta ini menerima kemasan berwarna hitam hampir pada keseluruhan bahagian. Ia didatangkan dengan tempat duduk lebih sporty dari GR Sport, dibaluti Ultrasuede berwarna hitam dengan serlahan dan jahitan berwarna putih. Apabila pemandu menekan suis penghidup enjin, paparan TFT pelbagai-informasi akan ‘mengucapkan selamat datang’ dengan memaparkan logo GR Sport.

    Kereta ini juga dilengkapkan dengan roda stereng tiga-jejari berdiameter lebih kecil, sama seperti pada model coupe GT86. Pelapik bumbung hatchback ini turut hadir dengan warna hitam,lantai pula diberikan karpet kaki hitam istimewa dengan lencana GR, manakala tombol penukar gear, liang udara penghawa dingin dan sekeliling pembesar suara diberikan kemasan berwarna perak satin.

    GALERI: Toyota Yaris GRMN

    GALERI: Toyota Vitz GR Sport dan GR JDM

     
     
  • SST: Kia umum senarai harga terkini – lapan model lebih murah, tiada perubahan untuk dua model

    SST: Kia umum senarai harga terkini – lapan model lebih murah, tiada perubahan untuk dua model

    Naza Kia Malaysia telah mengumumkan senarai harha terkini bagi barisan model sedia ada Kia yang masih terjual di negara ini, susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September lalu. Senarai harga berdasarkan SST ini menyaksikan penurunan harga yang melibatkan beberapa model berbanding sewaktu 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan terdahulu.

    Sorento 2.2 CRDi SX menerima penurunan harga terbesar, iaitu RM6,000 lebih murah berbanding sewaktu GST, dan diikuti dengan Optima GT, iaitu kini kurang RM5,000.

    SST: Kia umum senarai harga terkini – lapan model lebih murah, tiada perubahan untuk dua model

    Selain itu, harga bagi Sportage 2.0 CRDi GT Line, Sorento 2.4 EX dan Grand Carnival KX serta SX, masing-masing dikurangkan sebanyak RM4,000, manakala Rio 1.4 SX pula kini lebih murah sebanyak RM1,000. Walau bagaimana pun, tiada perubahan harga bagi Picanto 1.2 EX dan Cerato 1.6 SX, harganya masih sama seperti ketika GST.

    Untuk Kia Stinger pula, masih belum tersenarai kerana sedang menantikan kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk penentuan harganya.

     
     
  • 14,000 pemegang ‘lesen terbang’ diberi tempoh sebulan untuk serah lesen kepada JPJ – Anthony Loke

    14,000 pemegang ‘lesen terbang’ diberi tempoh sebulan untuk serah lesen kepada JPJ – Anthony Loke

    Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pemegang ‘lesen terbang’ yang masih ingkar untuk menyerahkannya kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Di mana JPJ mendapati seramai 14,000 pemegang lesen terbang tersebut masih bebas menggunakannya dan individu ini diminta untuk menyerahkan lesen tersebut dalam tempoh sebulan, mulai hari ini, jika tidak mahu tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 Sept lalu, laporan Bernama.

    “JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti pemegang lesen terbang, pegawai JPJ dan pejabat cawangan JPJ yang mengeluarkan lesen berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

    14,000 pemegang ‘lesen terbang’ diberi tempoh sebulan untuk serah lesen kepada JPJ – Anthony Loke

    Loke yang tidak menolak kemungkinan ada lagi petugas JPJ yang akan ditahan SPRM selepas ini, berkata kesemua 12 yang ditahan sebelum ini dikenakan tindakan tahan kerja walaupun belum menghadapi pertuduhan di mahkamah.

    Di mana modus operandi mengeluarkan lesen terbang ialah menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara mahupun berkunjung ke luar negara.

    “Lesen terbang berkenaan dijual di antara RM2,000 hingga RM3,500 melalui iklan di laman sosial. Pembeli hanya perlu membuat bayaran dan lesen akan dipos ke rumah. Malah terdapat warga asing yang memiliki lesen terbang dengan sebahagian besarnya melibatkan warga China,” katanya.

    Sebagai langkah penambahbaikan dan membendung gejala lesen terbang pada masa akan datang, beliau berkata JPJ akan memperhalusi kaedah ‘conversion’ (penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia) dan menimbang kaedah mengiktiraf lesen memandu asing.

     
     
  • Volvo Vera – trak logistik tanpa pemandu

    Volvo Truck telah memperkenalkan model konsep yang di gelar Vera iaitu trak elektrik bersendi yang mampu beroperasi sendiri tanpa pemandu. Trak yang kini masih lagi dalam proses pembangunan tersebut bukan direka untuk perjalanan jauh, tetapi untuk kegunaan jarak dekat yang berulang-ulang.

    Berbanding dengan trak atau kenderaan tanpa pemandu lain, rupa Vera ini agak unik kerana ia sememangnya tiada ruang untuk pemandu mahupun pun penumpang dan ia beroperasi sepenuhnnya secara autonomous. Jadi bahagian hadapan yang leper bersama rim berdiameter besar dan tayar berprofil rendah, trak ini kelihatan sangat menarik dan futuristik.

    Menurut Volvo, Vera direka untuk tugas biasa yang berulang-ulang, dalam jarak dekat, serta dengan jumlah barangan yang besar perlu dihantar secara tepat contohnya seperti di dalam kawasan pelabuhan, kilang atau gudang. Trak ini beroperasi dengan tiga jenis teknologi iaitu automasi, hubungan dan mobiliti elektronik bagi menghasilkan aliran yang optimal dalam operasi transportasi dan logistik.

    Volvo Vera – trak logistik tanpa pemandu

    Trak tersebut beroperasi menerusi sistem sofistikated untuk pemanduan autonomous. Ia direka agar setiap kenderaan berkenaan tahu kedudukan masing-masing bagi setiap sentimeter, dan mampu membuat analisa apa yang sedang dilakukan oleh pengguna jalan raya lain, kemudian memberikan tindak balas dalam ketepatan yang tinggi. Kesemua trak tersebut juga beroperasi dalam kadar kelajuan rendah bagi memastikan keselamatan pada tahap tertinggi.

    Vera itu sendiri digerakkan dengan penjana elektrik dan ia pastinya beroperasi dengan kadar bunyi yang rendah, mengurangkan pencemaran ekzos serta menjimatkan penggunaan bahan api. Motor elektrik, sistem pacuan dan pek bateri yang digunakan pada Vera adalah sama dengan sistem yang digunakan pada trak elektrik Volvo.

    Setiap trak akan dihubungkan ke pusat kawalan. Pusat berkenaan akan sentiasa memantau pergerakan pengangkutan tersebut dan memastikan kedudukan trak mengikut jadual, caj bateri, barang yang dibawa, keperluan servis dan berberapa lagi parameter lain. Dari pusat kawalan tersebut, kelajuan dan pergerakan operasi akan dilaras bagi mengelakkan tempoh menunggu yang tidak diperlukan dan meningkatkan ketepatan penghantaran.

    Menerusi kaedah ini, ia akan dapat mengurangkan kerugian dengan stok penimbal, serta memastikan stok sentiasa ada. Kenderaan yang beroperasi dalam laluan yang sama akan bekerjasama bagi mewujudkan aliran yang optimal. Jadi dengan Vera, Volvo bukan sekadar menyediakan trak, tetapi menyediakan sistem pengangkutan lengkap tanpa masalah bagi memindahkan barang dari satu hab ke satu hab yang lain.

    “Kami nampak peningkatan dalam e-perdagangan, serta penggunaan global secara keseluruhan dan ia tidak menunjukkan sebarang penurunan. Industri perlukan kaedah baharu bagi memenuhi permintaan dari sistem pengangkutan dalam cara yang efisien dan mampan. Oleh itu, solusi baharu perlu dibangunkan bagi melengkapkan apa yang ada sekarang,” kata Mikael Karlsson, Naib Presiden Solusi Automous Volvo.

    “Sistem kami boleh dilihat sebagai penyambung bagi solusi logistik canggih yang sudah pun digunakan di dalam industri hari ini. Ia menggunakan infrastruktur yang sama, seperti kontena dan treler standard. Ini adalah mustahak kerana sistem logistik global tidak akan berubah dalam sekelip mata,” jelasnya lagi.

     
     
  • Mini Cub Prix KBS cungkil bakat seawal umur 6 tahun

    Mini Cub Prix KBS cungkil bakat seawal umur 6 tahun

    Bermula 16 September ini, perlumbaan Malaysian Cub Prix bakal menyaksikan tambahan satu kategori baru yang menarik iaitu Mini Cub Prix. Ini adalah satu perlumbaan untuk anak muda seawal umur enam tahun, dijalankan dengan sokongan kuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Secara keseluruhannya, terdapat empat kategori untuk Mini Cub Prix KBS ini iaitu CP Kidz untuk umur enam hingga sembilan tahun, CP Kadet untuk 10 hingga 11 tahun, CP Terbuka untuk umur enam hingga 12 tahun dan CP Junior untuk yang berumur 12 tahun. Setakat ini, 14 peserta untuk kategori CP Junior telah pun dipilih melalui pemilihan yang diadakan awal tahun ini.

    Bagi yang berminat untuk menyertai kategori lain, mereka boleh menghubungi Malaysian Cub Prix dan yuran penyertaan yang dikenakan adalah RM65 termasuk insurans dan tambahan RM30 untuk keahlian kelab selama satu musim.

    Mini Cub Prix KBS cungkil bakat seawal umur 6 tahun

    Perlumbaan Mini Cub Prix akan berlangsung sebanyak lima pusingan iaitu pusingan pertama di Litar MAEPS, Sepang, pusingan kedua di Kuala Terengganu 5 dan 6 Oktober, pusingan ketiga di Batu Kawan, Pulau Pinang 27 dan 28 Oktober, pusingan keempat di Jempol, Negeri Sembilan 17 dan 18 Oktober, dan di Bandar Penawar, Johor 15 dan 16 Disember. Jentera yang digunakan adalah mini bike 50 cc keluaran 74Daijiro.

    Tujuan sebenar penganjuran Mini Cub Prix ini adalah untuk mencungkil dan mengasah bakat muda dalam dunia permotoran, di mana empat pelumba teratas kategori CP Junior akan dibawa masuk ke perlumbaan one-make Yamaha dan Honda dalam Kejuaraan Malaysian Cub Prix.

     
     
  • Imej DS3 Crossback bocor sebelum pelancaran rasmi

    Imej DS3 Crossback bocor sebelum pelancaran rasmi

    DS3 Crossback belum dilancarkan lagi, tetapi imej-imej rasminya telah mula bocor diruang forum Worldscoop diinternet, sekali gus menjadi penampilan pertama ruang publik bagi model yang bakal menjadi pesaing kepada MINI Countryman dan Audi Q2.

    Rekabentuk sentuhan Perancis yang tak kurang unik dan menarik sangat jelas kelihatan. Di depan, rekaan gril hexagon yang sinonim dengan lambang DS menjadi “pengenalan” utama model ini. Lampu utama juga hadir dengan penampilan unit, dengan lampu DRL LED ditempatkan di sudut bawah pada bampar.

    Jika diperhatikan dari sisi, kereta ini tetap ada kelainan yang ingin ditonjolkan. Perhatikan “sirip” yang ada pada bahagian B-pillar, juga dilanjutkan dengan bahagian panel pintu yang lebih tinggi berbanding yang di depan. Tak lupa juga bahagian pemegang pintu yang ada padanya – semua sentuhan yang jarang-jarang dilihat ada pada kereta ini.

    Imej DS3 Crossback bocor sebelum pelancaran rasmi

    Bahagian belakang turut meneruskan imej “tajam” yang dibawa DS3 Crossback ini. Misalnya, rekaan yang dapat dilihat pada lampu belakang yang nipis, dihubungkan dengan kemasan krom antara kedua belah sisinya – yang mirip lampu pada DS7 Crossback.

    Bukaan kosong sebagai hiasan yang ada pada bamparnya pula memperlihatkan kereta ini nampak lebih lebar. Aksesori lain termasuk spoiler pada bumbung dan kemasan krom pada lampu kabus.

    Beralih ke dalam kabin, lebih banyak rekaan yang menarik perhatian diberikan. Hiasan dalam bentuk permata (diamond) memenuhi elemen visual pada ruang berkenaan. Ini termasuk pada papan pemuka dan corong pendingin hawa.

    Imej DS3 Crossback bocor sebelum pelancaran rasmi

    Rekaan konsol tengahnya dipinjam dari model DS7 Crossback. Ini termasuk pada bahagian kluster instrumen, roda stereng serta skrin lebar yang ada ditengah. Walaupun begitu, ia tak kalah menarik untuk diteliti, terutama pada bahagian tuil pemilih serta suis-suis yang disediakan.

    Perincian bagi enjin dan sistem kuasanya bagaimanapun masih belum didedahkan dan perlu menunggu sehingga model ini diperkenalkan secara rasmi tidak lama kali.

     
     
  • Kia K3 GT didedah di Korea, gaya-BMW Gran Turismo

    Kia K3 GT didedah di Korea, gaya-BMW Gran Turismo

    Kia telah membuat kejutan dengan mendedahkan imej pertama bagi Kia K3 GT di Korea Selatan, di mana ia bakal diperkenalkan pada bulan hadapan. Prestasi dan rekaannya merupakan selling point yang unik bagi K3 GT, di mana ia merupakan adik kepada K3 sedan (a.k.a Cerato dan Forte) yang diperkenalkan pada awal tahun ini.

    K3 GT bakal muncul sebagai Kia versi BMW Gran Turismo seperti 6 Series GT. Ia memilki kerangka yang lebih besar dan tinggi berbanding Kia Ceed hatchback lima-pintu segmen-C bagi pasaran Eropah, juga mempunyai bentuk seperti Sportwagon. Kia berkaya K3 GT akan didatangkan dengan model empat- dan lima-pintu.

    Kia K3 GT didedah di Korea, gaya-BMW Gran Turismo

    Hujung bahagian hadapan GT lebih kurang dengan K3 sedan, tetapi ditampilkan dengan kemasan merah pada gril radiator, di mana terletaknya perumah bagi lencana GT. Di sisinya pula, ia dipadankan dengan perumah cermin sisi, skirt siisi dan roda pelbagai jejari 18-inci berwarna hitam berkilat, dengan lingkaran merah pada penutup tengahnya. Ia turut menyebut “coupe” apabila Kia menggambarkan profilnya.

    Untuk bahagian belakang, K3 GT menerima bampar yang direka seperti K3 sedan, bukannya lebih halus seperti Ceed. Ia turut menampilkan sisi pecahan yang menempatkan lampu undur dan kabus, peresap dengan paip pada hujungnya. Lampu belakang melintang dengan LED yang nipis turut menampilkan keunikannya, juga tidak seperti Ceed mahu pun Sportwagon. Spoiler belakang juga memberikan pandangan yang lebih sporty.

    Kia K3 GT ini dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Turbo GDI dengan 204 PS dan tork 265 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia memberikan prestasi tambahan berbanding sedan, yang tidak didatangkan dengan pilihan turbo. Setakat ini saja imej dan perincian teknikal yang kami ada buat masa ini.

    GALERI: Kia K3 Sedan

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025