Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Tahun lalu Suzuki telah mendedahkan model prototaip bagi Swift generasi keempat di Japan Mobility Show yang berlangsung pada Oktober, kemudian model produksi sebenarnya dilancarkan di sana pada Disember 2023. Ketika diperkenalkan, model serba baharu ini ditawarkan dengan enjin 1.2L NA dengan sistem hibrid ringkas yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Namun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Suzuki mendedahkan pula Swift hybrid berkenaan dalam versi kotak gear manual lima-kelajuan. Difahamkan model ini mula dijual di Jepun bermula hari ini, iaitu pada 17 Januari 2024.

    Model generasi baharu ini masih diasaskan dari platform Heartect dengan dimensi hampir sama dengan model generasi ketiga iaitu panjang 3,860 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Walau bagaimanapun platform tersebut telah diperkuatkan dengan penggunaan plat logam berketegaran tinggi serta perekat struktur yang lebih banyak bagi memberikan pengendalian dan keselesaan lebih baik.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Selain itu, Suzuki turut memberikan material sesekat dan juga perekat penebat pada cantuman-cantuman badan bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Sekali tengok Swift generasi keempat ini mungkin nampak hampir sama seperti model generasi sebelumnya. Namun jika diperhatikan dengan teliti ia sebenarnya menerima perubahan rupa yang agak besar.

    Lampu hadapan (bersama lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-J) model konsep 2024 ini diletakkan lebih rendah dari sebelum ini. Penutup bonet kini direka seakan kulit kerang, dan mewujudkan garis sisi badan yang bercantum dengan lampu belakang. Manakala gril hadapan dan perumah lampu kabus juga lebih kecil dari Swift generasi sedia ada, membolehkan satu lagi ‘mulut’ liang udara diberikan pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Bahagian kemasan hitam pada tiang-C hatchback ini yang memberikan kesan seakan bumbung terapung kini lebih besar. Lampu belakang, pintu tailgate dan bampar belakang semuanya direka semula, tetapi masih nampak ada kaitan dengan model generasi ketiga.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Perubahan total turut dilihat dibuat pada sebelah dalam di mana ia diberikan skrin yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah atas papan pemuka. Liang penghawa dingin tengah yang sebelum ini bulat telah direka leper dan dipindahkan ke bawah skrin.

    Tiada lagi suis putar untuk kawalan pendigin hawa, dan ia kini telah diganti dengan suis togol dan butang-butang. Rekaan roda stereng juga berbeza terutama pada bahagian suis-suis kawalan yang kini nampak lebih banyak. Suzuki nampaknya tidak memberikan paparan instrumen digital pada model generasi baharu ini, namun rekaan papan meternya jelas berbeza serta diberikan skrin pelbagai info di bahagian tengah.

    Bagi pasaran Jepun, Swift ditawarkan dalam tiga gred varian iaitu MZ, MX dan XG. Ketiga-tiganya menerima enjin petrol yang sama iaitu unit Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Manakala sistem hibrid ringkas hanya diberikan pada varian MZ dan MX, menampilkan motor elektrik kecil WA06D berkuasa 3.1 PS/60 Nm yang digerakkan oleh bateri 3-Ah.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Varian XG dan MZ hanya dipadankan dengan kotak gear CVT, manakala pembeli varian MX pula boleh memilih sama ada mahukan kotak gear CVT atau manual. Semua varian Swift pasaran Jepun ini ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda.

    Model JDM generasi baharu ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, sokongan kekal lorong, amaran dan pengelak keluar lorong, pemberitahu kereta hadapan bergerak, pembaca papan tanda trafik, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, pemantau pemandu, brek kecemasan automatik dan lain-lain.

    Suzuki Swift 2024 ini dijual di Jepun pada harga bermula 1.727 juta yen (RM55,285) sehingga 2.332 juta yen (RM74,652) tanpa sebarang perincian opsyen.

     
     
  • JPJ eBid: Siri CEW dan QM_P bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pahang, CEW, telah dibuka bidaan mulai esok, 20 Januari 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Januari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Januari 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QM_P, bidaannya pula bakal dibuka mulai 25 Januari dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Januari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Bagi tahun 2023, Malaysia mencatatkan rekad baru angka jualan kenderaan secara keseluruhannya dengan mencapai TIV 799,731 unit. Angka ini 11% lebih tinggi berbanding tahun 2022 yang menyaksikan sebanyak 721,177 unit terjual, yang ketika itu juga merupakan rekod baru.

    Ini adakah kesan pemulihan akibat tempoh pandemik Covid-19, yang telah membuatkan angka jualan kenderaan turun banyak bagi tahun 2020-2021. Ini kali kedua TIV melebihi angka 700,000 unit. Begitu juga dengan pengeluaran keseluruhan, yang naik 10% kepada 774,600 unit, juga rekod tertinggi yang pernah dicapai.

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pertumbuhan ini didorong antara lain oleh segmen kenderaan penumpang, dengan keadaan ekonomi domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-ekonomi yang stabil. Selain itu, faktor besar yang lain juga serahan ketika tempoh pengecualian SST yang perlu diselesaikan sebelum 31 Mac 2023.

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Selain itu, pelancaran banyak model baru termasuk EV dengan pakej harga yang menarik (bebas cukai untuk unit CBU) serta rantaian bekalan industri yang semakin bertambah baik akibat gangguan bekalan ketika Covid dahulu.

    Mengikut pecahan, kenderaan penumpang menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan angka 719,160 unit terjual yang mewakili peningkatan 12%, dan menyumbang kepada 89.9% keseluruhannya. MPV menjadi jenis kenderaan yang catat pertumbuhan paling ketara dengan 27.6% — ini tentulah disumbangkan oleh model generasi kedua Perodua Alza tahun lalu. Kereta penumpang pula meningkat sebanyak 11.2% dan SUV pula 9.7%. Trak pikap pula mencatatkan peningkatan 1.5%.

    Bagi jenama nasional, gabungan Proton dan Perodua berhasil menjual sebanyak 481,300 unit pada 2023, mewakili 66.9% perkongsian pasaran bagi kenderaan penumpang. Ini naik daripada 65.1% pada 2022. Bagi jenama bukan nasional pula, perkongsian pasarannya adalah 33.1%: pertumbuhan 6% berbanding 224,112 unit pada 2022 kepada 237,860 unit tahun lalu.

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    EV juga catat peningkatan ketara, iaitu sebanyak 69%, daripada 22,619 unit pada 2022 kepada 38,055 unit tahun lalu — ini juga mengisi 5% daripada jumlah TIV. Daripada jumlah ini, 28,055 unit adalah kenderaan hibrid (termasuk mild-hybrid BSG), sementara 10,159 unit adalah kenderaan bateri elektrik.

    Ini membawa kepada pertumbuhan sebanyak 40% antara dua tahun berkenaan bagi kenderaan hibrid, sementara peningkatan 286% untuk EV yang pada 2022 hanya terjual 2,631 unit. Data bagi xEV ini bagaimanapun tidak termasuk kenderaan yang dijual oleh Tesla, kerana syarikat itu bukan ahli MAA.

    Bagi 2024, MAA mensasarkan jualan kenderaan xEV akan mencapai tahap 9%, yang mana 2% daripadanya adalah kenderaan EV, dari TIV. Sasaran TIV untuk 2024 juga diletakkan kepada 740,000 unit, dengan 74,000 unit daripadanya kenderaan hibrid, dan 14,800 unit untuk kenderaan elektrik.

     
     
  • Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Daihatsu Motor Co., Ltd. hari ini mengumumkan bahawa sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi trak pikap Gran Max yang dijual di pasaran Jepun kini telahpun ditarik balik oleh kerajaan negara itu susulan skandal penyelewengan prosedur ujian keselamatan yang dikesan dilakukan oleh syarikat berkenaan tahun lalu.

    Penarikan semula sijil VTA tersebut turut melibatkan dua lagi model yang direbadge berdasarkan model berkenaan yang dijual di Jepun iaitu trak pikap Toyota Town Ace dan juga Mazda Bongo. Daihatsu turut menyatakan bahawa ia tidak melibatkan versi van untuk ketiga-tiga model tersebut.

    Keputusan ini diambil berdasarkan laporan penyiasatan terbaharu berkenaan penyelewengan prosedur ketika proses pensijilan yang dibuat oleh panel bebas pihak ketiga yang melapor terus kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun pada 20 Disember 2023.

    Bagi mengesahkan fakta dalam laporan berkenaan, Daihatsu telah menjalani siasatan MLIT yang dibuat di fasiliti syarikat tersebut selama beberapa hari berturut-turut. Langkah bagi menarik semula sijil VTA bagi kesemua model terlibat diambil setelah MLIT menemui pelanggaran prosedur yang terlalu serius, dan mengesahkan bahawa ini merupakan satu lagi penyelewengan prosedur yang baharu ditemui.

    Selain itu, Daihatsu juga menerima arahan pembetulan dari MLIT hari ini yang menggesa syarikat tersebut membuat pembaharuan asas kepada struktur korporat yang terlibat dalam penyelewengan prosedur berkenaan, yang menyebabkan pelanggaran undang-undang dan peraturan. Ini bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi.

    Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Selain itu MLIT juga mengarahkan Daihatsu untuk segera menyerahkan notis bagi memanggil semula dua model pada pasaran Jepun iaitu Daihatsu Cast serta kembarnya Toyota Pixis Joy yang mungkin turut melanggar prosedur ketika proses pensijilan.

    “Kami memandang serius petunjuk dalam perintah pembetulan yang kami terima pada masa ini, dan di samping menjalankan semakan menyeluruh terhadap prosedur pensijilan kami, kami akan melaksanakan pembaharuan dari perspektif pengurusan, persekitaran dan budaya tempat kerja, serta MONODUKURI dan KOTODUKURI yang sesuaidengan pematuhan undang-undang yang ketat sebagai premis asas. Kami akan berusaha ke arah pemulihan syarikat dengan sokongan menyeluruh daripada Toyota Motor Corporation,” kata Daihatsu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Kami akan menyusun langkah untuk mencegah perkara ini dari berulang, menyerahkan laporan tentang langkah tersebut kepada MLIT dalam masa satu bulan dan melaporkan setiap suku tahun kepada MLIT mengenai status pelaksanaan langkah tersebut.

    “Berkenaan kes-kes tambahan penyelewengan prosedur yang ditemui, kami telah menjalankan pengesahan teknikal dan mengesahkan bahawa prestasi keselamatan dan alam sekitar memenuhi piawaian undang-undang, dan kami akan mengambil sebarang langkah yang perlu, seperti melakukan ujian dengan pihak berkuasa pensijilan yang hadir, mengikut dengan petunjuk daripada MLIT,” tambah syarikat itu lagi.

     
     
  • BYD Seal di Malaysia – tempahan awal dibuka 19 Jan

    BYD Seal di Malaysia – tempahan awal dibuka 19 Jan

    Selepas teaser dikeluarkan dan pra tonton dibuat Disember lalu, BYD Seal tidak lama lagi akan dibuka untuk tempahan awal, iaitu pada 19 Disember 2023. Perkara ini dinyatakan dalam satu muatan oleh BYD Cars Malaysia di laman Instagram.

    Sedan elektrik empat pintu dengan gaya seperti coupe ini dijangka tiba ke dalam pasaran Malaysia dalam tiga varian, bermakna serupa seperti di Singapura, Thailand dan Australia. Varian permulaan adalah Dynamic Standard Range pacuan dua roda belakang, dengan tetapan satu motor di belakang berkuasa 204 PS/310 Nm dan padanan bateri lithium ion phosphate (LFP) Blade 61.4 kWh, mampu memberikan jarak gerak 460 km (WLTP).

    Varian seterusnya adalah Premium Extended Range, yang juga menggunakan tetapan satu motor RWD, tetapi dengan kuasa 313 PS dan tork 360 Nm, bersama bateri LFP 82.5 kWh yang lebih besar, memberikan jarak gerak sekitar 570 km.

    Paling tinggi adalah varian Performance AWD, yang menggunakan pacuan semua roda hasil gabungan motor hadapan 215 PS/310 Nm dan motor belakang 313 PS/360 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS dan 670 Nm. Ia mendapat bateri LFP 82.5 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sekitar 520 km (WLTP).

    Untuk mengecas, dalam keadaan asas Seal boleh menerima kuasa AC sehingga 7 kW melalui sambungan Type 2 dan akan mengambil masa 8.6 jam untuk penuh sementara apabila menggunakan sumber DC melalui sambungan CCS2 pula, ia boleh naik sehingga 110 kW. Varian Premium Extended Range dan Performance AWD yang menggunakan bateri lebih besar akan mengambil masa 15.2 jam untuk penuh menggunakan AC 7 kW, tetapi apabila menggunakan DC ia cuma akan mengambil masa 37 minit untuk naik dari 10% ke 80%.

    Untuk harga, jumlah tepatnya masih belum didedahkan tetapi salah seorang jurujual semasa di acara pra tonton Disember lalu telah memberi petunjuk ia akan bermula dari RM180k untuk varian asas Dynamic, diikuti RM200k untuk Premium Extended Range dan RM220k untuk Performance AWD.

    GALERI: BYD Seal yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Jualan EV di Malaysia 2023 — 10,159 unit terjual, naik 286% vs 2022; jualan hibrid juga meningkat 40%

    Jualan EV di Malaysia 2023 — 10,159 unit terjual, naik 286% vs 2022; jualan hibrid juga meningkat 40%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengadakan taklimat berkaitan prestasi jualan tahunan bagi kenderaan di seluruh negara bagi tahun 2023. Secara keseluruhannya (TIV), sebanyak 799,731 unit kenderaan telah dijual di negara ini sepanjang tempoh itu. Angka berkenaan mengatasi apa yang pernah dicapai pada tahun 2022 dengan keseluruhan 721,177 unit.

    Melibatkan peningkatan 11% peningkatan berbanding tahun 2022, MAA menjelaskan perkara itu disumbangkan oleh segmen kenderaan penumpang dan didorong juga oleh pasaran domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-politik yang stabil.

    Turut mencatatkan peningkatan jualan yang memberangsangkan. Untuk tahun lalu, termasuk semua kenderaan hibrid dan juga EV (ditandai sebagai xEV), jualannya melonjak 69% berbanding 22,619 unit pada 2022 kepada 38,055 unit, mengisi 5% daripada TIV bagi 2023.

    Jualan EV di Malaysia 2023 — 10,159 unit terjual, naik 286% vs 2022; jualan hibrid juga meningkat 40%

    Daripada jumlah berkenaan, 28,055 unit adalah kenderaan hibrid (termasuk kenderaan mild-hybrid) sementara 10,159 unit merupakan model kenderaan elektrik bateri. Ini bermakna, pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya bagi hibrid ialah 40%, manakala untuk EV 286% dengan hanya 2,631 unit pada 2022.

    Semua angka ini bagaimanapun tidak mengambil kira jualan yang melibatkan kenderaan Tesla, kerana syarikat itu bukan ahli MAA: jadi angka sebenarnya adalah lebih tinggi. Untuk tahun 2024, MAA mensasarkan jumlah keseluruhan jualan kenderaan xEV ini akan meningkat kepada 9%, dengan 2% daripadanya melibatkan EV. Sasaran TIV bagi 2024 ialah 740,000 unit, maka 74,000 unit daripadanya disasarkan untuk model hibrid, manakala 14,800 unit untuk model EV.

     
     
  • Mazda umum tubuh pasukan bangunkan enjin rotary, impian hasilkan semula kereta sport semakin hampir

    Mazda umum tubuh pasukan bangunkan enjin rotary, impian hasilkan semula kereta sport semakin hampir

    Selepas menerima maklum balas menggalakkan terhadap model konsep kereta sport Iconic SP yang didedahkan pada Japan Mobility Show tahun lalu, Mazda mengumumkan bahawa ia bakal menubuhkan satu pasukan jurutera khas bagi membangunkan semula enjin wankel rotary generasi baharu.

    Perkara ini disebutkan sendiri CEO Mazda, Katsuhiro Moro ketika berucap semasa berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu. Menurutnya pasukan jurutera yang dihimpunkan berkenaan akan memulakan tugas mereka pada 1 Februari ini. Menurut Moro, keputusan itu didorong kuat oleh sokongan yang diterima selepas Iconic SP didedahkan, dan “impian” bagi menghasilkan model produksi sedemikian kini “semakin hampir”.

    “Bagi menempuhi cabaran dalam era neutral-karbon, kami akan menggunakan pelbagai sumber teknikal yang luas melangkaui kaedah enjin biasa, teknologi pembakaran dalaman yang canggih, dan melatih diri kami sendiri bagi menggunakan pembangunan berasaskan model khas Mazda.

    “Cabaran teknikal yang perlu kami atasi bukan mudah, namun kami harap dapat membawanya ke arah jilid baharu'” kata Moro.

    Mazda umum tubuh pasukan bangunkan enjin rotary, impian hasilkan semula kereta sport semakin hampir

    Mazda Iconic SP Concept merupakan kereta sport yang digerakkan oleh motor elektrik, namun bateri yang menggerakkan motor tersebut menerima kuasa yang dicas menerusi sebuah enjin wankel rotary dengan dua rotor. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 370 PS, dan dengan berat kereta yang ditimbang pada 1,450 kg, nisbah kuasa kepada berat kereta ini adalah pada kadar 3.9.

    Mazda menyatakan bahawa kereta sport ini juga menampilkan pusat graviti rendah serta agihan berat sekitar 50:50 bagi mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang”. Dalam ucapan di TAS, Moro turut membandingkan prestasi Iconic SP ini dengan kereta sport sebenar Porsche 911.

    Bukan hanya teknologinya yang membuka mata, Iconic SP juga menampilkan rekaan luaran diinspirasikan dari Mazda RX-7 terakhir iaitu generasi FD3S yang diproduksi bermula pada 1992 dan tamat pada 2002. Profil sisi badan, bentuk pintu dan juga cermin belakang memang tak syak lagi adalah dari FD3S, malah lampu hadapannya juga direka dengan konsep pop-up seperti kereta sport ikonik Mazda tersebut!

    Cuma untuk pintu, gaya bukaannya agak futuristik dengan naik sekitar 45 darjah ke atas seperti Lamborghini. Badan Iconic SP ini disembur dengan warna Viola Red, yang menurut Mazda menyerlahkan falsafah syarikat “memperkayakan kehidupan dalam gerakan untuk mereka yang kami layani” berdasarkan keinginan jenama terebut bagi “menghargai warna merah.”

    GALERI: Gambar rasmi Mazda Iconic SP Concept 2023

     
     
  • KLIMS24 bakal kembali pada 5-11 Disember di MITEC

    KLIMS24 bakal kembali pada 5-11 Disember di MITEC

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini telah mengumumkan yang pameran KLIMS akan dianjurkan kembali, selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018. Pagi ini, dalam taklimat bersama media berkaitan prestasi jualan kenderaan bagi 2023, tarikh dan tempat bagi penganjuran KLIMS24 telah didedahkan.

    Bakal beralangsung dari 5-11 Disember 2024 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), namanya juga telah ditukar kepada Kuala Lumpur International Mobility Show (sebelum ini Motor Show).

    Pameran ini bagaimanapun masih kekal sebagai sebuah aktiviti yang dipacu penjenamaan dan bukannya jualan kenderaan. Maka pengunjung boleh menjangkakan semangat pameran yang sama seperti apa yang pernah dilihat dalam edisinya yang terdahulu.

    Enam tahun telah berlalu selepas kali terakhir KLIMS dianjurkan. Kembalinya penganjuran pameran ini pertama kali dikongsikan tahun lalu oleh Presiden MAA ketika itu, Datuk Aishah Ahmad. Jumpa nanti di KLIMS24.

     
     
  • Yamaha Lexi LX 155 diperkenal di Indonesia – enjin lebih berkuasa dari NMax, kelengkapan moden

    Yamaha Lexi LX 155 diperkenal di Indonesia – enjin lebih berkuasa dari NMax, kelengkapan moden

    Yamaha Indonesia telah memperkenalkan skuter baru Lexi LX 155, sebagai pengganti kepada Lexi 125 sebelum ini. Sepanjang lima tahun Lexi berada dalam pasaran negara itu, ia datang dengan enjin 125 cc, tetapi bagi model baru ini ia telah dipertingkat dengan pelbagai kelengkapan moden serta enjin 155 cc sama seperti NMax.

    Tiga versi Lexi LX 155 ditawarkan kepada pengguna di Indonesia, bermula dengan paling bawah, Standard, pada harga 25.35 juta rupiah RM7,619, diikuti S-Version pada harga 26.85 juta rupiah (RM8,070) dan paling tinggi Connected/ABS 29.9 juta rupiah (RM8,987). Sebagai perbandingan, NMax di negara itu dijual pada harga antara 31.615 juta rupiah (RM9,502) ke 35.75 juta rupiah (RM10,745).

    Melihat pertama sekali kepada reka bentuknya, model baru ini masih mengekalkan rupa asas Lexi, dengan menawarkan pelantar kaki luas, pemegang tinggi serta rim 14 inci (tayar 90/90 di hadapan dan 100/90 di belakang), tetapi dipertingkat dengan lampu jenis LED di hadapan dan belakang.

    Yamaha Lexi LX 155 diperkenal di Indonesia – enjin lebih berkuasa dari NMax, kelengkapan moden

    Meskipun enjin asas Lexi LX 155 ini dikatakan sama seperti NMax 155, iaitu unit satu silinder SOHC 155 cc suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core dan VVA, beberapa bahagian telah menerima sedikit perubahan termasuk camshaft, piston dan head, sekaligus menghasilkan tork yang lebih tinggi iaitu 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa masih sama seperti NMax iaitu 15 hp pada 8,000 rpm.

    Kemudiannya di bahagian kokpit, skuter ini dilengkapi dengan meter digital yang boleh dikawal menggunakan butang pada bahagian kiri pemegang. Bagi versi tertinggi Connected/ABS, meter ini boleh disambung secara bluetooth kepada telefon pintar untuk memaparkan informasi tambahan.

    Dalam keadaan standard, Lexi LX 155 juga datang dengan brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, soket pengecas 12 volt, ruang simpanan bawah tempat duduk, tangki bahan api 4.2 liter, fork teleskopik serta satu penyerap hentak di belakang.

    Pergi kepada model S Version, ia dipertingkat dengan kunci pintar, penyerap hentak belakang dengan sub tank serta sistem start/stop. Versi Connected/ABS juga menerima peningkatan sama, tetapi ditambah lagi dengan brek ABS single channel serta sistem sambungan Y-Connect. Berat keseluruhan versi Standard adalah 116 kg, dan ia meningkat menjadi 117 kg bagi S Version dan 118 kg bagi Connected/ABS.

    Satu lagi yang dapat diperhati, Lexi LX 155 baru ini juga datang dengan jaminan lima tahun atau 50,000 km, yang mana adalah berbeza berbanding model Yamaha dijual oleh Hong Leong Yamaha Motor di Malaysia, yang datang cuma dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRU dan VLX dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan WP Kuala Lumpur bakal bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BRU bakal dibuka bidaan mulai 18 Januari ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 22 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 23 Januari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VLX, dibuka bidaan pada 19 Januari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 23 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Januari 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Nissan Serena e-Power 2024 dipertonton di Singapore Motorshow – bakal dilancar di M’sia tidak lama lagi?

    Nissan Serena e-Power 2024 dipertonton di Singapore Motorshow – bakal dilancar di M’sia tidak lama lagi?

    Nissan Serena generasi ke-enam (C28) dijangka dilancarkan di Malaysia selepas MPV ini kelihatan diuji di sini pada tahun lalu. Walau bagaimana pun, hingga kini masih tiada perkhabaran bilakah ia akan dilancarkan di Malaysia.

    Baru-baru ini, versi standard bagi SUV ini telah dipamerkan di Singapore Motorshow, dengan bentangan tujuh-tempat duduk, yang merupakan salah satu pilihan yang bakal ditawarkan (selain lapan-tempat duduk). Serena terkini ini dijangka bakal mula dijual di Singapura pada separuh kedua tahun 2024.

    Negara jiran kita itu juga menerima Serena generasi sebelum ini (C27) dengan sistem e-Power, dan tiada perubahan dengan C28. Versi terkini bagi E-Power hybrid telah menggugurkan enjin HR12DE untuk memberikan laluan kepada enjin HR14DDe dengan hamburan kuasa 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan 123 Nm.

    Kedua-duanya merupakan enjin petrol tiga-silinder naturally-aspirated, tetapi enjin HR14DDe dengan kapasiti yang lebih tinggi iaitu 1.4 liter berbanding 1.2 liter dan turut dijanakan oleh bateri lithium-ion.

    Ia juga dikuasakan oleh motor elektrik EM57 pemasangan hadapan dengan output 163 PS (161 hp atau 120 kW), dipertingkatkan berbanding 136 PS (134 hp atau 100 kW) pada model terdahulu, tetapi dengan angka tork yang dikurangkan kepada 315 Nm dari 320 Nm. Tiada sambungan mekanikal antara enjin dan roda hadapan, jadi hanya motor elektrik yang menjana Serena e-Power.

    Untuk pasaran Malaysia, model semasa C27 dijanakan oleh enjin MR20DD 2.0 liter NA empat-silinder petrol dengan 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 200 Nm. Terdapat juga elemen hibrid pada motor elektrik yang menyalurkan kuasa 2.6 PS (2.4 hp atau 1.8 kW) dan 48 Nm bagi ledakan pendikitan ketika diperlukan – pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi Xtronic CVT. Di Jepun, kedua-dua versi sistem e-Power dan MR20DD ditawarkan.

    Serena terkini berukuran antara 4,690 dan 4,765 mm panjang, antara 1,695 dan 1,715 mm lebar, antara 1,870 dan 1,885 mm tinggi dan jarak roda pula 2,870 mm, di mana ia tidak berbeza dengan model sebelumnya.

    Bagi rekaannya pula, Serena terkini lebih berketerampilan berbanding model terdahulu, dengan sentuhan lebih moden dan mengadaptasikan gril V-motion signitur jenama ini, digabungkan dengan lampu utama bertingkatnya. Profil berkotak masih dikekalkan, namun di bahagian sisi terbentang garisan yang lebih menonjol, sementara bahagian belakangnya pula dengan lampu yang lebih nipis.

    Sementara itu, ruang dalamannya juga dikemaskini termasuk menampilkan kluster instrumen digital dan sistem infotainmen skrin sesentuh pada papan pemuka. Terdapat juga ventilasi udara yang bergaya dan panel bersudut yang merangkumi kawalan suhu, pemilih gear (tiada tuil oenukar gear) dan fungsi kenderaan lain.

    Ia juga menampilkan bentangan tempat duduk 2-2-3, dengan barisan kedua diletakkan kerusi kapten dengan meja boleh lipat di belakang tempat duduk hadapan. Seperti sebelum ini, tempat duduk barisan ketiga juga boleh dilipat ke sisi sekaligus memberikan dalaman yang lebih luas untuk ruang but.

     
     
  • Lexus RZ 450e F Sport Performance diperkenal untuk pasaran Jepun – terhad 100 unit, lebih aerodinamik

    Lexus RZ 450e F Sport Performance diperkenal untuk pasaran Jepun – terhad 100 unit, lebih aerodinamik

    Semasa Tokyo Auto Salon (TAS) 2024, Lexus telah memperkenalkan RZ 450e F Sport Performance, yang hanya akan dibuat sebanyak 100 unit dan pembelinya akan dipilih melalui cara cabutan. Penghantaran pula dijangka berlaku pada bulan Mac tahun ini.

    Model yang ditunjukkan awal melalui RZ Sport Concept pada TAS tahun lepas ini menerima pelbagai ubah suai yang menjadikannya lebih sporty, dengan bantuan daripada juruterbang aerobatik, Yoshihide Muroya serta pelumba kereta, Masahiro Sasaki.

    Hasilnya, SUV elektrik ini dipasang dengan 17 panel aerodinamik, termasuk spoiler depan serta turning vane (berhampiran lengkung roda) gentian karbon yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kapal terbang. Bersama dengan sayap belakang bertingkat dan bahagian-bahagian lain, daya tolak ke bawah (downforce) dikatakan telah bertambah baik.

    Bahagian lain yang diubah suai adalah suspensi, yang menerima spring serta penyerap talaan khas, dan rim 21 inci. Dengan semua ubah suai ini, RZ keluaran istimewa ini menjadi lebih panjang 55 mm, lebih lebar 70 mm dan lebih rendah 10 mm. Jarak antara roda kiri dan kanan di hadapan dan belakang juga telah bertambah lebar masing-masing 50 dan 40 mm berbanding RZ biasa.

    Sebagai pelengkap, RZ 450e F Sport Performance dicat dengan warna Hakugin, bersama kemasan kontras warna biru dan hitam. Di dalam, rekannya masih lagi sama seperti RZ biasa tetapi ditambah dengan kemasan biru, roda stereng F Sport serta tempat duduk yang dibalut Ultrasuede.

    Meskipun model ini datang dengan nama F Sport Performance, tiada sebarang peningkatan dibuat pada penggeraknya dan ia masih mengekalkan pakej bateri lithium ion 71.4 kWh dengan dua motor elektrik yang berkuasa masing-masing 204 PS/266 Nm di hadapan dan 109 PS/169 Nm di belakang. Jumlah kuasa keseluruhan adalah 313 PS/435 Nm.

     
     
  • Toyota tegas akan terus bangunkan enjin pembakaran dalaman, bela nasib 5.5 juta pekerja mahir di Jepun

    Toyota tegas akan terus bangunkan enjin pembakaran dalaman, bela nasib 5.5 juta pekerja mahir di Jepun

    Ketika memberikan ucapan tahun baharu di Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Pengerusi Toyota, Akio Toyoda sekali menegaskan bahawa syarikatnya akan terus membangunkan enjin pembakaran dalaman kerana percaya bahawa kenderaan elektrik penuh (EV) bukan satu-satunya jalan bagi menuju ke arah neutraliti karbon.

    “Peminat-peminat kereta! Mari bina masa depan bersama! Dengan kata-kata ini, saya akan terus bergerak. Kerana kita adalah peminat kereta, kita boleh bina masa depan…Keinginan saya untuk menikmati kereta membuatkan saya mahu mencuba pelbagai teknologi…Ini merupakan sesuatu yang saya benar-benar serius,” kata Toyoda dalam acara ubahsuai kenderaan tahunan terulung di Jepun itu.

    Beliau yang merupakan cucu kepada pengasas Toyota Motor Corporation sememangnya dikenali dalam dunia perlumbaan, berlumba dengan nama samaran “Morizo” serta turut membantu membangunkan model-model berprestasi Gazoo Racing (GR) terkini.

    Menurut Toyoda lagi, proses peralihan dari teknologi enjin pembakaran dalaman bukan hanya akan menjejaskan keseronokan memandu, malah ia akan menyebabkan berjuta rakyat Jepun dengan kepakaran membuat enjin akan hilang pekerjaan.

    Toyota tegas akan terus bangunkan enjin pembakaran dalaman, bela nasib 5.5 juta pekerja mahir di Jepun

    “Tahun lalu, kami telah mencuba hidrogen cecair dan memandu kereta lumba menggunakan bahan bakar tersebut di Le Mans. Mengapa perlu menumpukan banyak usaha ke arah ini? Ini kerana kita tak boleh membina masa depan kecuali kita lakukan bersama rakan-rakan.

    “Seramai 5.5 juta rakan-rakan kita yang membuat komponen enjin. Mereka ini memberikan sumbangan kepada Jepun dan mempunyai kepakaran bagi menjadikan masa depan Jepun kuat. Kita tak boleh kehilangan orang-orang ini,” katanya.

    Beliau turut memberitahu bahawa tenaga-tenaga pakar dalam industri enjin di Jepun berkenaan kini tidak boleh lagi membuat pinjaman bank. “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, dan saya mahu lakukan sesuatu tentangnya,” tegasnya lagi.

    “Masih ada lagi peranan untuk enjin sebagai salah satu praktikal dalam mencapai neutraliti karbon! Jadi, mari kita perhalusi teknologi enjin! Mari mulakan projek sedemikian!” tambahnya lagi.

    Toyota tegas akan terus bangunkan enjin pembakaran dalaman, bela nasib 5.5 juta pekerja mahir di Jepun

    Toyoda memberitahu bahawa dia telah meminta Presiden Toyota yang baharu, Koji Sato dan juga barisan pengurusan bagi memulakan projek bagi menggalakkan pembangunan enjin baharu, dan ia telahpun dipersetujui.

    “Enjin ketika hari dan zaman ini? Ia mungkin kedengaran mundur ke belakang, tetapi ia bukan begitu. Ia adalah perlu untuk bergerak ke hadapan. Kepada semua yang membina enjin sehingga sekarang, mari kita terus membina enjin! Bantuan dari semua orang akan terus diperlukan! Saya tak akan biarkan usaha anda semua selama ini disia-siakan!” katanya.

    Walau bagaimanapun Toyoda menyatakan usaha ini mungkin akan mengambil sedikit masa, tetapi meminta orang ramai untuk terus menantikan hasilnya. Sekali lagi beliau menegaskan, musuh yang perlu di lawan adalah karbon, bukan enjin pembakaran dalaman.

    “Seperti saya, sebahagian orang mungkin berfikir: ‘saya suka enjin! dan ‘bunyi dan baunya sukar untuk dilupakan!’ Ada orang suka EV bateri. Ada yang kata sekaran masa untuk hibrid. Dan ada juga kenderaan plug-in hybrid dan hidrogen. Motif untuk memacu boleh jadi apa sahaja! Hanya ada satu yang benar. Satu-satunya musuh adalah karbon!” tambahnya.

    Tahun lalu Toyota telahpun mengumumkan pendekatan pelbagai-cara kearah kemampanan, iaitu usaha bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon menggunakan pelbagai teknologi kerana ia yakin bahawa setiap teknologi mempunyai peranannya dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon.

    Pelbagai teknologi yang dimaksudkan adalah termasuk enjin pembakaran dalaman (seperti petrol dan diesel), bahan bakar-bio gas asli termampat (CNG), kenderaan elektrik hibrid (HEV, atau sistem hibrid konvensional), kenderaan hibrid plug-in (PHEV, atau model hibrid dengan bateri lebih besar dan boleh dicas seperti EV), kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV), serta kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).

    Kesemua teknologi ini Toyota sifatkan memainkan peranan masing-masing dalam mencapai neutraliti karbon tak kira kecil atau besar.

     
     
  • Suzuki Jimny 5-Door dipertonton di Singapura – lebih panjang, lebih pintu, lebih praktikal, enjin 1.5L sama

    Suzuki Jimny 5-Door dipertonton di Singapura – lebih panjang, lebih pintu, lebih praktikal, enjin 1.5L sama

    Suzuki Jimny 5-Door, iaitu Jimny yang lebih praktikal dengan diberikan pintu belakang dan badan lebih panjang telah pun muncul buat pertama kali di India setahun yang lalu. Ketika berlangsungnya Singapore Motorshow 2024 minggu lalu, model berkenaan turut dibawa untuk dipertonton.

    Tiada sebarang petunjuk sama ada ia akan dilancarkan di negara tersebut atau tidak, malah unit yang dibawa ini juga adalah dari versi pemanduan sebelah kiri. Model ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

    Ini membolehkan dua lagi pintu ditambah pada bahagian belakang bersama ruang kaki lebih luas diberikan kepada penumpang belakang. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo lebih besar jika diperlukan.

    Selain dari itu, perincian Jimny 5-Door ini masih sama dengan versi tiga-pintu biasa. Ia termasuk rekaan pada papan pemuka, rupa hadapan dan belakang, dan ia masih dijana oleh enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm.

    Di pasaran-pasaran di mana Jimny ini sudah dilancarkan, ia ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD Suzuki pula merupakan kelengkapan standard bagi Jimny ini, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

    Suzuki Jimny generasi terkini dalam varian tiga pintu sudahpun dijual di Malaysia sejak Disember 2022 dengan harga RM174,900. Sekiranya model 5-Door ini turut dibawa ke pasaran tempatan, ia mungkin dijual pada harga lebih tinggi. Mana yang lebih anda suka, versi standard tiga-pintu atau 5-Door ini? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah atau pada saluran media-media sosial kami.

     
     
  • Kesas lanjut lencongan sementara untuk laluan motosikal – sehingga 17 Feb, bagi pembinaan WCE

    Kesas lanjut lencongan sementara untuk laluan motosikal – sehingga 17 Feb, bagi pembinaan WCE

    Susulan dengan pelaksanaan lencongan trafik sementara bagi laluan motosikal di Lebuhraya Shah Alam (LSA atau lebih dikenali sebagai Kesas) sejak 14 Disember lalu, dimaklumkan bahawa lencongan terbabit dilanjutkan secara berperingkat sehingga 17 Februari 2024.

    Mengikut perancangan asal, lencongan terbabit dilaksanakan hingga semalam, namun atas sebab tertentu, hari ini (16 Jan) ia kembali dilanjutkan untuk tempoh sebulan lagi. Pelaksanaan lencongan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Persimpangan SAE, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping – Banting) dijalankan.

    Di mana lencongan sementara lorong motosikal diaktifkan ke lorong kecemasan laluan utama di antara persimpangan Bandar Puteri dan Jalan Kebun. Ia melibatkan laluan dari KM22.7 hingga KM23.1 dan KM24 hingga KM24.3 arah timur (ke Subang/KL), dan dari KM24.3 hingga KM24 dan KM23.1 hingga KM22.9 arah barat (ke Shah Alam/Klang). Rujuk info grafik di atas untuk gambaran yang lebih jelas.

    Untuk semua pengguna Kesas, sila pandu dengan lebih berhati-hati dan patuhi papan isyarat serta arahan petugas di lokasi berkenaan.

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 Mugen Gr. A & Grp.B didedah di TAS 2024 – kit aero lebih agresif & lebih ringan!

    Honda Civic Type R FL5 Mugen Gr. A & Grp.B didedah di TAS 2024 – kit aero lebih agresif & lebih ringan!

    Penala prestasi rasmi Honda, Mugen telahpun mendedahkan versi konsep bagi Civic Type R FL5 yang diubahsuai pada Tokyo Auto Salon (TAS) tahun lalu, dikenali dengan nama Civic Type R Mugen Concept. Dan bagi TAS 2024 yang berlangsung hujung minggu lalu, versi produksi kit berkenaan pula muncul, menandakan ia sudah mula dijual dalam pasaran.

    Mugen menghasilkan dua pakej berbeza untuk Fl5 ini, dikenali sebagai Group A dan Group B. Secara umumnya pakej-pakej berkenaan menampilkan kit aerodinamik yang lebih agresif, di mana versi Group B tampil sebagai versi paling ekstrem.

    Bagi Mugen FL5 Group A, pakej tersebut menampilkan kit badan yang menyerupai Mugen FL5 Concept tahun lalu terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan dan diffuser belakang lebih agresif, skirt sisi direka seakan sayap, dan juga spoiler belakang dengan sudut sayap boleh laras yang diperbuat dari keluli tahan karat.

    Versi Group A ini juga dilihat mengenakan rim aloi forged 19-inci dari BBS, set brek Brembo hadapan dengan cakera yang dilarik bersama pad brek Mugen, set suspensi boleh laras, sistem ekzos keluli tahan karat dengan tip ekzos kembar tiga asal ditukar kepada tip tunggal dengan diameter besar di tengah, dan juga set lampu belakang dengan grafik LED baharu.

    Pada sebelah kabin pula, Mugen FL5 Group A ini dilengkapi dengan sepasang tempat duduk hadapan bucket Mugen Recaro MS-C, konsol tengah kemasan gentian karbon, tombol gear Mugen dan juga roda stereng Mugen yang menampilkan gandingan material gentian karbon, Alcantara dan juga kulit berliang.

    Menurut Mugen, kit Group A ini mampu memberikan daya downforce 25% lebih banyak berbanding standard, dan ia kini 18 kg lebih ringan.

    w2

    Seperti yang disebut tadi, Civic Type R FL5 Mugen Group B pula tampil dengan rupa lebih ganas. Kit aerodinamik yang dipadankan menampilkan bentuk yang sama seperti Group A, tetapi kesemuanya termasuk spoiler belakang diperbuat bahan gentian karbon.

    Turut ditukar adalah penutup bonet hadapan dan juga kedua-dua fender hadapan yang bukan sahaja mempunyai liang bagi membebaskan udara dari ruang enjin dan ruang roda hadapan yang lebih baik, malah ia juga lebih ringan kerana turut diperbuat dari material gentian karbon.

    Skirt sisi pada FL5 Group B Mugen ini juga lebih agresif dengan sirip hadapan lebih besar. Perincian lain seperti rim aloi forged BBS, sistem brek dan suspensi lebih baik serta perincian dalam yang terdapat pada Group A turut diberikan pada versi Group B ini.

    Mugen menyatakan bagi Group B ia dapat menghasilkan daya downforce 48% lebih baik dari standard, manakala beratnya pula dapat dikurangkan sebanyak 38 kg.

    Walau bagaimanapun Mugen tidak menyatakan sebarang angka kuasa bagi FL5 yang menerima tingkat taraf ini. Namun dengan kit aero, suspensi dan brek lebih agresif serta beratnya yang dapat dikurangkan, sudah tentu versi yang ditingkat taraf ini akan memberikan prestasi lebih pantas terutamanya jika ia dipandu di dalam litar.

    GALERI: Honda Civic FL5 Mugen Group A

    GALERI: Honda Civic FL5 Mugen Group A

     
     
  • Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Kia EV9 telah dilancarkan di Singapura dengan harga SGD289,999 (sekitar RM1 juta) tanpa COE. Ditawarkan dalam kemasan GT-Line, SUV flagship elektrik sepenuhnya jenama itu hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk sahaja, dengan dua pilihan kerusi kapten untuk barisan kedua.

    Kia EV9 merupakan sebuah SUV saiz besar, dengan ukuran dimensinya adalah: 5,015 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,100 mm.

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Yang dilihat dalam gambar ini adalah dalam versi kerusi yang boleh dipusing 180-darjah ke kanan untuk bertentang dengan kerusi belakang. Satu lagi pilihan ialah dengan kerusi yang boleh dipusing 90-darjah ke kiri. Semua kerusi dibaluti dengan material kulit vegan, dengan kerusi depan mempunyai liang udara.

    EV9 dilengkapi antara lain dengan rim aero 19-inci, lampu luar LED, sunroof, gril dengan lampu dan corak piksel, pemegang pintu tersorok, cermin sisi digital, head-up display, kluster instrumen 12.3-inci digital, sistem dengan skrin sentuh 12.3-inci (Android Auto dan Appe CarPlay tanpa wayar), kawalan pendingin dengan corong di barisan kedua dan ketiga, pelancar pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi Meridian 14-pembesa suara dan pintu ruang kargo berkuasa.

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    Bantuan keselamatan pemandu pula terdiri daripada lapan beg udara, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, Driver Steering Assist, Auto Evasive Steering Assist, peninjau titik buta dan penghindar perlanggaran, bantuan mengekalkan lorong dengan bantuan mengikut, monitor sekeliling serta AEB.

    Untuk sistem janaan kuasa, EV9 menggunakan bateri 99.8-kWh lithium-ion polymer yang memberikan jarak perjalanan hingga 512 km mengikut standard WLTP. Pengcasan AC dan DC tersedia, dengan AC sehingga 11 kW (10-80% dalam masa lapan jam tujuh minit), sementara DC hingga 350 kW (10-80% Soc dalam masa 24 minit sahaja).

    Kia EV9 2024 dilancarkan di Singapura — GT Line, 385 PS, hingga 512 km jarak; giliran Malaysia tahun ini?

    EV9 juga menggunakan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar untuk pacuan semua roda — dengan janaan 385 PS (380 hp atau 283 kW) dan 700 Nm tork. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam enam saat dan mencapai laju maksimum 200 km/j.

    EV9 muncul pertama kali di pasaran Asia Tenggara di Indonesia pada Ogos tahun lalu dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, kerana ia sudah pernah dilihat di sini.

     
     
  • Nissan Ariya Nismo diperkenal – kuasa dipertingkat sehingga 435 PS/600 Nm, casis ditambah baik

    Nissan Ariya Nismo diperkenal – kuasa dipertingkat sehingga 435 PS/600 Nm, casis ditambah baik

    Nissan telah menunjukkan Ariya Nismo di Tokyo Auto Salon 2024, dan ini adalah versi prestasi bagi SUV elektrik penuh yang pertama kali diperkenalkan kepada awam pada tahun 2020. Ia menerima beberapa perincian daripada Nismo, serta kuasa motor yang dipertingkat, untuk lebih prestasi.

    Merujuk kepada spesifikasi awal Nissan, Ariya Nismo ini akan datang dalam dua versi iaitu Nismo B6 e-4ORCE dan Nismo B9 e-4ORCE, dengan kuasa motor elektrik serta kapasiti bateri yang berbeza.

    Nismo B6 e-4ORCE diberitahu mempunyai kuasa maksimum 270 kW (367 PS) dan tork 560 Nm, datang daripada bateri 66 kWh sementara Nismo B9 e-4ORCE menyediakan 320 kW (435 PS) dan 600 Nm, bersama bateri 91 kWh.

    Pergi kepada dimensi, jarak roda kedua-dua versi Ariya Nismo ini adalah sama, iaitu 2,775 mm, tetapi B6 lebih ringan dengan mencatat 2,080 kg, manakala B9 2,210 kg. Panjang dan lebar masing-masing adalah 4,650 mm dan 1,850 mm, sementara tinggi terdapat beza iaitu 1,655 mm untuk B6 dan 1,650 ke 1,660 mm untuk B9.

    Menurut Nissan, Ariya Nismo turut mendapat talaan casis khas daripada Nismo, bersama sistem pacuan AWD elektrik e-4ORCE serta rim 29 inci bersama tayar 255/45, memberikan ia lebih stabiliti dan kemampuan mengambil selekoh.

    Turut diberitahu, pemilik boleh menambah pakej penjana bunyi pada kenderaan ini, untuk memberikan lebih keterujaan semasa memandunya. Peningkatan pada bahagian luarnya pula memberikan lebih downforce pada kelajuan tinggi, manakala peningkatan di bahagian dalam melibatkan antaranya kemasan khas serta tempat duduk Nismo.

     
     
  • Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Susulan pengumuman Menteri Pengangkutan ANthony Loke pada 21 Disember lalu bahawa golongan Orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal menikmati tambang percuma, hari ini (15 Jan 2024), permohonan untuk pas perjalanan OKU Smile telah pun mula dibuka.

    Di mana pas perjalanan ini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas dan rel Rapid KL, serta bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan mulai 1 Februari 2024.

    Menurut pengendali pengangkutan awam berkenaan, pas OKU Smile ini adalah untuk kedua-dua pemegang kad konsesi OKU sedia ada dan juga pemohon baharu. Untuk memohonnya, pemegang kad konsesi sedia ada boleh mengaktifkan paps OKU Smile di mana-mana stesen MRT, LRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Klik untuk besarkan

    Ini termasuklah di hab bas Rapid KL (Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam), hab bas Rapid Penang (ibu pejabat di Lorong Kulit, terminal bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kalian Kepala Batas dan Penang Sentral) dan hab bas Rapid Kuantan.

    Pastikan kad anda mempunyai kredit minimum RM5 untuk menggunakan OKU Smile. Untuk kad konsesi yang telah tamat tempoh, seseorang itu perlu memohon yang baharu. Anda boleh berbuat demikian di semua hab bas Rapid Penang, hab bas Rapid Kuantan, dan hab bas Rapid KL Pasar Seni atau stesen MRT Conlay di Laluan Putrajaya. Bawa kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengesahan. Proses pengeluaran kad mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit.

    Pengguna Rapid KL dan Kuantan juga boleh membuat permohonan secara dalam talian di www.myrapid.com.my. Anda (atau minta bantuan kenalan) perlu muat naik salinan MyKad, kad JKM OKU dan gambar pasport dengan latar belakang putih atau biru. Pemohon kemudiannya boleh memilih lokasi yang disenaraikan untuk mengambilnya. Bagi pemohon yang berjaya, kad anda akan dihantar ke lokasi yang dipilih dalam masa tiga hari bekerja.

    Pas perjalanan OKU Smile sudah boleh dimohon – tambang percuma untuk Rapid KL, Penang, Kuantan

    Klik untuk besarkan

    Untuk makluman, caj RM5 akan dikenakan untuk setiap kad baharu dan ia akan dimasukkan ke dalam kad anda sebagai kredit. Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya RM5 dalam kad untuk menggunakan pas OKU Smile.

    Prasarana berkata bahawa pihaknya akan berkunjung ke beberapa pertubuhan OKU untuk menerangkan tentang pas OKU Smile, yang merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat syarikat. Kaunter aplikasi mudah alih juga akan disediakan semasa lawatan.

     
     
  • Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

    Isuzu D-Max catat jualan 9,650 unit untuk 2023 – varian 1.9L Standard paling tinggi sumbangan cecah 28%

    Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023

    Isuzu D-Max telah mencatatkan angka jualan yang memberangsangkan untuk tahun 2023 iaitu mencecah 9,650 unit, lebih tinggi sebanyak 439 unit berbanding rekod yang dicapai pada 2022 dengan 9,211 unit. Menurut Isuzu Malaysia, dengan rekod baharu yang dicapai itu telah menjadi bukti kepada keberhasilan rekaan dan ciri yang ditawarkan oleh trak pikap berkenaan, yang telah mengubah pasaran dan meraih lebih banyak penggemarnya.

    “Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan. Model baharu ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185%, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

    Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan kedua di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap. Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6%.

    Buat masa ini, untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max dibarisi lapan varian komprehensif, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

    Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain 2023

    Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang dilancarkan pada awal Julai 2023 telah menyumbang sebanyak 28% jualan. Varian ini menjadi begitu popular kerana kapasiti enjinnya yang menjimatkan bahan api serta memberi manfaat kadar cukai jalan dan kos penyelenggaraan yang rendah. Ia juga diberikan beberapa ciri tambahan termasuk kamera undur, skrin sentuh tujuh-inci, yang ditawarkan dengan harga bermula RM106k.

    Selain itu, permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023, didorong oleh tahap kecanggihan dan penampilannya yang segar serta kemampuan prestasi off-road yang diberikan. Jualannya juga meningkat sebanyak 24.5% sejak pelancarannya pada pertengahan Februari tahun lalu. Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    “Isuzu D-Max generasi ketiga telah menjadi model penting bagi jenama ini kerana ia menggabungkan keupayaan kejuruteraan terbaik Isuzu dengan kecanggihan kenderaan moden serta rekaan ergonomik yang diperlukan oleh pengguna. Ini menjadikan D-Max sebuah trak pikap yang sangat berkeupayaan dalam memenuhi keperluan setiap penggunanya. Ia trak untuk semua,” tambah Okazoe.

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain