Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Projek rintis uji sistem MySubsidi Diesel, Fleet Card bermula 1 Feb menerusi enam syarikat pengangkutan

    Projek rintis uji sistem MySubsidi Diesel, Fleet Card bermula 1 Feb menerusi enam syarikat pengangkutan

    Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali telah mengesahkan bahawa projek rintis bagi menguji sistem MySubsidi Diesel KPDN dan sistem Fleet Card syarikat minyak menerusi enam syarikat pengangkutan barangan terpilih akan dilaksana berkuat kuasa 1 Februari ini, laporan Bernama.

    Katanya, projek rintis itu adalah bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

    Enam syarikat tersebut yang terlibat ialah Perceptive Logistic Sdn Bhd, Multimodal Freight Sdn Bhd, Mun Chuen Transport Sdn Bhd, Tan Swee Hee Sdn Bhd, Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd. Syarikat berkenaan dipilih susulan kuota Skid Tank mereka bakal luput pada bulan ini.

    “Sesi libat urus telah dilaksana untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan untuk memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

    Projek rintis uji sistem MySubsidi Diesel, Fleet Card bermula 1 Feb menerusi enam syarikat pengangkutan

    Jelas beliau, buat masa ini SKDS diberikan melalui dua saluran iaitu Skid Tank yang melibatkan permohonan dan pemprosesan secara manual dan Fleet Card yang menggunakan sistem MySubsidi Diesel KPDN. Di mana, ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat awam menggunakan saluran Fleet Card manakala sektor pengangkutan barangan darat, bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran Skid Tank.

    Tambahnya, penggunaan Fleet Card mampu mengurangkan jenayah penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau oleh KPDN dan syarikat minyak secara digital manakala Skid Tank hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terbabit.

    “Pihak KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia siar teaser varian baru Triton – edisi Ralliart sebelum generasi baru dilancar?

    Mitsubishi Malaysia siar teaser varian baru Triton – edisi Ralliart sebelum generasi baru dilancar?

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru sahaja menyiarkan satu teaser menerusi laman sosialnya, menunjukkan bakal ada satu lagi varian atau edisi baharu untuk Triton generasi sedia ada yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    Teaser berkenaan menampilkan sebuah Triton berwarna putih yang diberikan grafik jalur badan berwarna merah, menerima sportsbar pada bed belakang, tetapi bahagian bawahnya digelapkan bersama kapsyen “sesuatu yang berlainan bakal muncul”.

    Namun dengan sedikit pelarasan warna dibuat pada gambar berkenaan, beberapa perincian lain turut boleh dilihat pada Triton baharu tersebut. Antaranya ia menerima beberapa kelengkapan yang diambil dari Triton Phantom Plus Edition yang dilancarkan tahun lalu iaitu bampar hadapan dan belakang dengan skid plate lebih agresif berwarna merah, overfender lebih lebar, dan juga set rim 18-inci rekaan ekslusif berwarna hitam dibalut dengan tayar A/T Yokohama Geolander.

    Walau bagaimanapun varian baharu Triton ini tidak dilengkapi dengan lampu LED berserta perumah penuh di atas bumbung seperti Phantom Plus sebelum ini. Manakala dengan tema warna yang diserlahkan ini, tidak mustahil ia mungkin akan dijual dengan lencana Ralliart memandangkan sayap talaan dan perlumbaan rasmi itu kini sudah dihidupkan semula oleh Mitsubishi.

    Untuk makluman, Mitsubishi Thailand pernah melancarkan Triton Ralliart di pasaran berkenaan pada penghujung 2021. Model tersebut hanya diberikan pelekat bada dan mud flap merah, tanpa sebarang kit badan dan rim istimewa mahupun sebarang tingkat taraf prestasi.

    Kami juga menjangkakan ini mungkin edisi selamat tinggal dari Mitsubishi Malaysia terhadap Triton generasi sedia ada kerana MMM sebelum ini telahpun mengesahkan model generasi baharu Triton bakal dilancarkan di sini pada separa pertama 2024.

    GALERI: Mitsubishi Triton Phantom Plus 2023 pasaran Malaysia


     
     
  • Garisan jalan ‘glow in the dark’ melibatkan kos hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional – KKR

    Garisan jalan ‘glow in the dark’ melibatkan kos hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional – KKR

    Pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ mendapat penerimaan yang positif di kalangan pengguna jalan raya sejak ia dilaksanakan buat pertama kalinya di Hulu Langat pada hujung tahun lalu. Namun serasanya untuk melaksanakannya secara lebih meluas mungkin perlu dipertimbangkan secara lebih teliti untuk direalisasikan. Ia berikutan kosnya dikatakan amat mahal mencecah hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.

    Itulah perkara yang dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi walau pun kementeriannya menyedari keperluannya untuk meneruskan projek ini termasuk di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik).

    “Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif. Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Jelas beliau, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

    “Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Pada November lalu, KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan ‘glow in the dark’ di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    Projek rintis ini dilaksanakan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ia didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘road stud/mata kucing’. Di mana ia mengikut konsep garisan di jalan raya kelihatan normal pada waktu siang namun akan bercahaya pada waktu malam.

    Kemudian, projek yang sama dilaksanakan di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap, Kedah. Malahan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh pula mengesahkan teknologi untuk garisan jalan glow in the dark juga akan diperkenalkan di Johor pada tahun ini.

     
     
  • Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South hujung minggu ini: diskaun, baucar, hadiah bernilai RM1 juta!

    Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South hujung minggu ini: diskaun, baucar, hadiah bernilai RM1 juta!

    Ingin mencari kenderaan baru sempena tahun 2024? Atau mungkin untuk meraikan Tahun Baru Cina yang bakal tiba? Barisan kenderaan yang pelbagai akan menanti anda di Tukar-Je CARnival yang bakal berlangsung hujung minggu ini, di Puchong South Retail Experience Centre.

    Anda boleh juga mengetahui lebih lanjut tentang pakej badan dan cat oleh Carro Care serta tawaran Insurans myTukar. Tidak ketinggalan, akan ada aktiviti menarik serta promosi daripada myTukar bernilai lebih RM1 juta!

    Antara tawaran menarik yang menanti pengunjung adalah seperti berikut.

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre semasa acara tiga hari ini) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South hujung minggu ini: diskaun, baucar, hadiah bernilai RM1 juta!
    Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South hujung minggu ini: diskaun, baucar, hadiah bernilai RM1 juta!

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre 12-14 Januari ini, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Triumph Daytona 660 2024 diperkenal – enjin 17% lebih kuasa berbanding Trident, brek lebih berprestasi

    Triumph Daytona 660 2024 diperkenal – enjin 17% lebih kuasa berbanding Trident, brek lebih berprestasi

    Kemunculan semula model sports kelas pertengahan Triumph Daytona memang ditunggu ramai dan sejak memasuki generasi 765, ia hanya keluar sebagai versi terhad, pada tahun 2019 dan 2022 (765 unit setiap keluaran) dipanggil sebagai Daytona Moto2 765 Limited Edition.

    Sekarang akhirnya Daytona betul-betul kembali tetapi Triumph mengambil asas daripada model 660 (Trident/Tiger Sport) dan bukannya 765. Namun ini tidak bermakna Daytona 660 kurang berprestasi kerana Triumph bukan setakat menukar panel badannya, malah membuat beberapa peningkatan penting untuk menyesuaikannya dengan karekter motosikal sports.

    Paling utama adalah di bahagian enjin, di mana unit tiga silinder DOHC 660 cc tersebut dipertingkat untuk menghasilkan 95 PS pada 11,250 rpm dan tork 69 Nm pada 3,125 rpm. Ini bersamaan kuasa 17% dan tork 9% lebih tinggi berbanding Trident 660. Ekzos juga ditukar untuk menghasilkan bunyi lebih sporty.

    Triumph Daytona 660 2024 diperkenal – enjin 17% lebih kuasa berbanding Trident, brek lebih berprestasi

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis Torque Assist yang dikatakan dapat memberikan kendalian tuil yang lebih progresif dan ringan, sambil membantu kawalan roda belakang sewaktu mengurangkan kelajuan dengan agresif, manakala quickshifter (naik dan turun) ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Jika pada Trident cuma ada dua mod tunggangan (Rain dan Road), Daytona 660 mendapat tambahan satu lagi mod iaitu Sport yang memberikan maklum balas pendikit lebih “reaktif” untuk tunggangan lebih agresif termasuk dalam litar. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup melalui pilihan dalam menu instrumen.

    Dengan kuasa yang sudah lebih tinggi, Triumph juga memberikan naik taraf kepada bahagian brek, dengan di bahagian roda hadapan Daytona 660 terdapat angkup empat piston untuk dua cakera 310 mm yang digunakan (pada Trident cuma dua piston). Brek belakang masih menggunakan padanan cakera tunggal 220 mm dan angkup satu piston, sementara ABS pula diberikan secara standard (dual-channel).

    Tiada perubahan dibuat pada bahagian suspensi, dengan Daytona 660 masih menggunakan fork hadapan USD Showa SFF-BP 41 mm tanpa pelarasan, dengan jarak gerak 110 mm manakala di belakang terdapat monoshock Showa RSU dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 130 mm. Menyambungkannya kepada jalan adalah rim aluminium 17 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Selain penggunaan panel badan dengan fairing penuh, Triumph juga membuat perubahan pada bahagian ergonomik dengan menggunakan pemegang jenis clip-on, kedudukan peletak kaki yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kedudukan condong apabila mengambil selekoh, serta tempat duduk jenis berasingan yang berukuran 810 mm dari tanah.

    Meter TFT pada Daytona 660 lebih menyerupai unit yang digunakan pada Street Triple 765, dan ia juga boleh disambungkan kepada My Triumph Connectivity System untuk memberikan fungsi navigasi dan kawalan muzik, melalui aksesori yang dijual berasingan. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter manakala berat keseluruhan Daytona 660 adalah 201 kg (dengan minyak).

     
     
  • Harga minyak 11-17 Jan – Masih dikekalkan

    Harga minyak 11-17 Jan – Masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 11 hingga 17 Januari 2024, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

    Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

    Tidak seperti penampilan pertamanya di Malaysia satu ketika dahulu, Chery Malaysia yang masuk semula ke pasaran tempatan buat kali kedua bukan sahaja agresif dalam pelan perniagaan, malah ia kini bertanding dalam segmen yang lebih premium dari sebelum ini.

    Jenama dari China itu mula memperkenalkan SUV segmen-B Omoda 5 dengan rekaan yang sangat funky serta enjin berkuasa pada pasaran Malaysia tahun lalu, bersama SUV segmen-D Tiggo 8 Pro yang menampilkan pelbagai perincian yang lebih baik dari pesaing-pesaing terdekatnya.

    Jadi buat masa sekarang, model paling murah yang dijual oleh Chery Malaysia adalah Omoda 5 dalam varian paling asas iaitu Omoda 5 C berharga RM108,800. Namun dalam pembentangan rancangan perniagaannya bagi 2024 pagi tadi, Chery Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menawarkan model dengan harga lebih mampu milik pada pasaran tempatan pada suku ke empat 2024, disasarkan dijual pada harga di bawah RM100k.

    Menurut pengarah produk Chery Auto Malaysia Michael Chew, model yang akan diperkenalkan tersebut disasarkan untuk dijual dalam jumlah yang banyak dengan mengambil kira harganya yang rendah serta ditawarkan dengan spesifikasi yang berbaloi, dan mungkin akan menjadi “model Chery pertama” dimiliki oleh sebahagian rakyat Malaysia.

    Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

    Tiada sebarang perincian diumumkan bagi model tersebut, namun kami mengandaikan Chery mungkin akan membawa SUV dengan saiz lebih kurang Perodua Ativa dan Honda WR-V iaitu Chery Tiggo 4 Pro. Model ini pernah ditunjukkan di Malaysia oleh Chery pada 2022, dan ia merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil dari Omoda 5, menampilkan dimensi 4,318 mm panjang, 1,831 mm lebar, dan jarak rodanya pula adalah sejauh 2,610 mm.

    Dari segi rekaan, Tiggo 4 Pro menampilkan bentuk seakan versi lebih kecil dari ‘abang-abangnya’ yang lain seperti Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro, serta tidak menerima sebarang unsur rekaan luar biasa seperti pada Omoda 5. Manakala untuk enjin, model ini digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat-silnder NA berkuasa 111 hp/138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Beberapa perincian yang diispirasikan dari Tiggo 7 Pro turut dapat dilihat pada sebelah dalam kabin, seperti rekaan papan pemuka dengan elemen melintang dan juga suis-suis kawalan seperti kekunci piano pada bahagian bawah liang penghembus tengah pendingin hawa.

    Walau bagaimanapun tiada skrin berkembar diletakkan pada papan pemuka seperti Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro, di mana Tiggo 4 Pro ini dilengkapi dengan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz 10.25-inci di tengah papan pemuka, manakala skrin LCD tujuh-inci paparan instrumen digital pula terpisah dalam kluster.

    Ia turut menampilkan kemasan-kemasan sporty yang sesuai bagi pembeli lebih muda seperti serlahan merah pada benang jahitan untuk upholsteri kulit pada papan pemuka perapi-perapi kemasan pada panel pintu dan balutan tempat duduk.

    SUV kecil ini juga menerima pelbagai perincian canggih lain termasuk brek parkir elektrik dengan auto hold, sokongan Android Auto dan Apple Carplay, kamera pemantau 360 darjah, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung suria, enam beg udara sebagai ciri standard, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Walau bagaimanapun, Micheal Chew menjelaskan bahawa model lebih mampu milik ini bukan semestinya model baharu sepenuhnya. Ada kemungkinan Chery Malaysia akan memperkenalkan model sedia ada seperti Omoda 5 atau Tiggo 7 Pro (yang disahkan bakal dilancarkan di sini pada suku kedua tahun ini) dengan perincian yang dikurangkan, bagi membolehkan ia dijual pada harga di bawah RM100k.

    Chew turut menjelaskan bahawa keputusan untuk membawa model yang mana bagi mengisi tempat sebagai model Chery paling mampu milik di Malaysia itu juga masih belum dimuktamadkan, dan perincian lebih lanjut akan diumumkan selepas ini. Apa pendapat anda? Adakah jenama automotif China ini boleh menjual lebih banyak unit kenderaan di Malaysia sekiranya ia memperkenalkan model lebih murah di sini kelak?

    GALERI: Chery Tiggo 4 Pro yang dipertonton di Malaysia pada 2022

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro akan dilancar di Malaysia suku kedua tahun ini – 1.6 Turbo 197 hp/290 Nm, 7DCT

    Chery Tiggo 7 Pro akan dilancar di Malaysia suku kedua tahun ini – 1.6 Turbo 197 hp/290 Nm, 7DCT

    Dalam pembentangan rancangan perniagaannya bagi 2024 pagi tadi, Chery Malaysia mengesahkan bahawa SUV segmen-C Tiggo 7 Pro sah bakal dilancarkan pada pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini. Pengumuman tersebut sememangnya sudah dijangka di mana tahun lalu kami sudahpun melaporkan bahawa model itu sudahpun disahkan akan dilancarkan di Malaysia, malah Chery Malaysia sendiri sudahpun mewujudkan Tiggo 7 Pro Facebook group pada akhir tahun lalu.

    Chery turut mengesahkan bahawa ketika dilancarkan nanti SUV tersebut akan ditawarkan hanya dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya. Ia akan menampilkan enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 197 hp dan tork maksima 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Gandingan ini membolehkan lawan terus kepada Proton X70 dan Honda CR-V tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Chery Malaysia turut membayangkan bahawa Tiggo 7 Pro dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) mungkin turut akan ditawarkan selepas itu.

    Antara perincian lain yang turut disahkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk rim aloi 18-inci, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan 17-fungsi, Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar, bumbung suria panaromik dan liang pengudaraan pada tempat duduk hadapan.

    Selain itu ia juga menerima perincian lazim model-model terkini Chery seperti kamera pemantau ‘540-darjah’, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara dan juga dua buah skrin berkembar untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh keseluruhannya bersaiz 25.6-inci.

    Selepas dilancarkan nanti, Tiggo 7 Pro ini akan menjadi model pertengahan antara SUV segmen-B Omoda 5 dan juga SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 Pro yang kini sudahpun berada di bilik-bilik pameran Chery Malaysia.

    Model ini menampilkan rekaan lebih konvensional dan nampak seperti ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro, dan tidak mempunyai pengaruh rekaan funky dari Omoda 5. Tiggo 7 Pro ini juga menampilkan panjang keseluruhan 4,513 mm – 5 mm lebih pendek dari Proton X70, 113 mm lebih panjang dan 32 mm lebih lebar dari Omoda 5.

    Tiggo 7 Pro ini juga dijangka akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) seperti Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang kini diproduksi oleh kilang Inokom di Kulim, Kedah, seterusnya mungkin turut bakal menampilkan harga yang kompetitif. Anda rasa bagaimana? Adakah Tiggo 7 Pro ini boleh menggugat jualan Proton X70?

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro PHEV 2023 di China

     
     
  • Kawasaki akan keluarkan Z400RS dengan enjin empat silinder dari ZX-4R? Boleh muncul seawal tahun 2024?

    Kawasaki akan keluarkan Z400RS dengan enjin empat silinder dari ZX-4R? Boleh muncul seawal tahun 2024?

    Kita sudah menyaksikan sejak beberapa tahun lepas, Kawasaki menampakkan trend pengenalan motosikal jenis retro yang menggunakan asas sama dari model naked/sports. Sebagai contoh, Z900RS, dari Z900 dan Z650RS dari Ninja 650/Z650.

    Memandangkan model RS ini boleh dikatakan menerima sambutan baik di kalangan pengguna, satu lagi model yang lebih kecil boleh dijangka. Perkara ini dilaporkan oleh laman Young Machine (YM) dari Jepun, yang cukup terkenal dengan informasi dalaman dan “khabar angin’ yang kerap menjadi kenyataan.

    Selepas 900 dan 650, mungkin selepas ini akan keluar pula Z400RS. Laporan YM juga mencadangkan asas daripada ZX-4R yang menggunakan enjin empat silinder selari, kerana model ini diketahui akan bersaing dengan CB400 serba baru yang akan diperkenalkan oleh Honda tidak lama lagi.

    Jika melihat kepada ZX-4R, enjin empat silinder 399 cc padanya boleh menghasilkan kuasa sehingga 80 PS dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist serta quickshifter yang diberikan secara standard. Ia juga dilengkapi dengan suspensi boleh laras, meter TFT, kawalan cengkaman KTRC serta empat mod tunggangan.

    Berkenaan waktu, YM mulanya menjangka Z400RS akan keluar dua atau tiga tahun selepas ZX-4R, tetapi ia mungkin berlaku lebih awal kerana Kawasaki mahu memperkenalkannya lebih pantas berbanding CB400 yang diketahui akan muncul pada tahun 2025.

    Nama Zephyr juga disebut mempunyai kemungkinan digunakan semula kerana sebelum ini memang ada Zephyr 400, dan Zephyr juga adalah satu model susulan daripada Z1 yang merupakan inspirasi bagi Z900RS.

     
     
  • Dashcam mampu bantu siasatan, selesaikan dan dapatkan keadilan dalam kes kemalangan – JSPT

    Dashcam mampu bantu siasatan, selesaikan dan dapatkan keadilan dalam kes kemalangan – JSPT

    Pemasangan kamera papan pemuka atau dashcam di dalam kenderaan kini dianggap sangat penting kerana ia dapat membantu pihak polis untuk memudahkan siasatan, menyelesaikan dan mendapatkan keadilan terhadap kes kemalangan mahu pun yang melibatkan jenayah. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, laporan SinarDaily.

    “Dashcam boleh menunjukkan bagaimana kemalangan jalan raya berlaku, terutamanya apabila tiada saksi. Ia juga boleh dijadikan peranti tambahan tetapi kritikal untuk siasatan kes kemalangan. Dashcam juga
    seperti peranti rakaman lain, seperti sistem CCTV, yang mana rakaman boleh digunakan sebagai sebahagian bukti penting dalam kes mahkamah,” katanya.

    Tambah beliau, dashcam juga diiktiraf sebagai ‘bukti dokumentari’ di bawah Seksyen 3 Akta Keterangan yang penting dalam prosiding di mahkamah.

    “Oleh itu, pengenalan mereka dalam kemalangan jalan raya akan memberi manfaat besar dalam prosiding mahkamah,” katanya lagi.

    Dashcam mampu bantu siasatan, selesaikan dan dapatkan keadilan dalam kes kemalangan – JSPT

    Bagaimana pun, Azman berkata untuk mewajibkan pemasangan dashcam merupakan satu cabaran kerana pihak berkuasa perlu merancang dan memutuskan cara untuk menguatkuasakannya.

    “Selain itu, kerjasama yang serius diperlukan dengan semua pihak berkuasa yang terlibat dalam menjayakan perkara ini,” tambahnya.

    Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye juga berkata perkara yang sama berhubung dengan pemasangan dashcam ini. Katanya, dengan adanya dashcam, ia boleh memberi petunjuk tersembunyi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

    “Sekiranya berlaku kemalangan atau jenayah, dashcam memainkan peranannya untuk merakam. Dan Rakaman itu boleh digunakan untuk memberi petunjuk kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan siasatan atau jenayah,” katanya yang turut menekankan kepentingan dashcam yang boleh membawa perbezaan baharu dalam masyarakat.

    Dashcam mampu bantu siasatan, selesaikan dan dapatkan keadilan dalam kes kemalangan – JSPT

    “Sebagai contoh, dengan adanya CCTV di kawasan tumpuan jenayah boleh membantu merekodkan tindakan di kawasan awam. Terdapat banyak negara yang telah memasang banyak CCTV, termasuk di jalan raya. Jadi, jika apa-apa berlaku di kawasan berkenaan termasuk jenayah, polis sentiasa boleh melihat rakaman tersebut. Dengan cara yang sama, dashcam boleh digunakan juga untuk tujuan yang sama,” katanya.

    Walau bagaimana pun, Lee berkata pemasangan dashcam melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi dan untuk mewajibkannya bukan mudah.

    Sejak pemasangan dashcam semakin popular, banyak video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan atau jenayah yang dirakam menggunakan peranti tersebut. Malahan ia juga dijadikan antara bahan bukti untuk siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Termasuklah kes berkenaan Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Shakir yang maut dalam kejadian amuk di KM 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu. Ekoran kejadian tersebut, si pelaku, Yew Wei Liang, dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.

    Dashcam mampu bantu siasatan, selesaikan dan dapatkan keadilan dalam kes kemalangan – JSPT

    Pada hujung November 2023 pula, di Sungai Petani, seorang remaja lelaki ditahan polis kerana menyerang pemandu Grab dengan pisau. Video insiden berkenaan dirakam menerusi dashcam di dalam kenderaan e-hailing berkenaan seterusnya menjadi bahan bukti untuk pendakwaan.

    Dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, di Damansara Damai, hujung tahun lalu, pihak polis turut menganalisa beberapa rakaman dashcam yang diperoleh dari penduduk Apartment Idaman bagi membantu siasatan mencari pembunuh yang bertanggungjawab.

    Begitu juga dengan banyak video yang tukar di laman media sosial yang memaparkan rakaman kemalangan, dan pemanduan berbahaya yang dikongsikan oleh pengguna jalan raya. Kami kongsikan kembali beberapa pautan artikel mengenai paparan video yang ditularkan tersebut.

     
     
  • Jaecoo bakal sediakan 20 pengedar ketika pelancaran, semua 3S/4S — tidak berkongsi sumber dengan Chery

    Jaecoo bakal sediakan 20 pengedar ketika pelancaran, semua 3S/4S — tidak berkongsi sumber dengan Chery

    Minggu lalu, Jaecoo mengadakan sesi pra-tonton untuk dua model SUV premium yang bakal dipasarkan secara rasmi di Malaysia — Jaecoo J7 dan Jaecoo J8. Memang jenama ini ada kaitan dengan Chery, tetapi sebagai sayap kenderaan yang lebih premium bagi pengeluar China itu, Jaecoo akan dipasarkan secara berasingan daripada Chery, dan menggunakan jenamanya sendiri.

    Ini perancangan bagi jenama ini untuk pasaran tempatan: ketika dilancarkan secara rasmi nanti, Jaecoo akan mempunyai 20 cawangan pengedar yang sedia beroperasi di seluruh negara. Langkah ini sebenarnya sama dengan apa yang dilakukan Chery ketika ingin masuk semula ke pasaran Malaysia tahun lalu, dengan mempersiapkan lebih 30 cawangan pengedar ketika pelancarannya.

    Namun, untuk menyesuaikan imej premium yang dibawa Jaecoo, semua 20 hingga 30 pengedarnya akan menawarkan perkhidmatan sama ada 3S atau 4S sejak awal. Tidak akan ada premis yang hanya 1S sepertimana yang dilakukan Chery sebelum ini.

    Tambahan pula, semua pengedar Jaecoo di Malaysia akan berdiri sendiri tanpa sebarang perkongsian premis dengan jenama lain atau bahkan dengan Chery sekali pun. Dua jenama yang saling berkait ini akan ditampilkan sama sekali berlainan, dengan pengalaman pelanggan yang juga berbeza.

    Inilah perancangannya buat masa sekarang. Kita akan lihat perkembangan sebenarnya nanti ketika jenama dan model berkenaan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Prasarana diarah beli bas elektrik sahaja untuk pengangkutan awam mulai tahun 2025 – Loke

    Prasarana diarah beli bas elektrik sahaja untuk pengangkutan awam mulai tahun 2025 – Loke

    Prasarana Malaysia telah diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membeli bas elektrik (EV) sebaik sahaja kumpulan terakhir bas berkuasa diesel yang ditempah sebelum ini dihantar menjelang Mac 2025, laporan Bernama

    “Tahun depan kita akan cuba supaya pembelian bas baharu ke arah bas elektrik. Cuma ada satu lagi pembelian baharu melibatkan 310 bas diesel dan saya telah nyatakan kepada Prasarana bahawa ini merupakan pembelian terakhir bas diesel. Selepas itu, perolehan bas adalah ke arah bas EV,” kata Menteri MOT, Anthony Loke.

    Loke turut berkata, ia merupakan usaha meningkatkan penggunaan kenderaan hijau, selaras dengan inisiatif Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

    Prasarana diarah beli bas elektrik sahaja untuk pengangkutan awam mulai tahun 2025 – Loke

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Prasarana bakal memperoleh sejumlah 150 bas elektrik bagi menyokong projek LRT3, bersama-sama dengan pembinaan tiga depoh bas, dengan kos RM600 juta.

    Sebelum ini Rapid KL mensasarkan untuk mempunyai 30% bas EV untuk barisan basnya menjelang tahun 2030. Perkara ini dikongsikan dalam ruang pameran syarikat itu ketika acara persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 yang berlangsung di ibu negara pada awal Oktober lalu.

    Manakala menjelang tahun 2037 pula, semua bas yang digunakan oleh syarikat berkenaan akan terdiri daripada bas elektrik sahaja. Sasaran berkenaan ditentukan berdasarkan purata penggunaan EV di negara lain yang meletakkan sasaran 25-50% penggunaan EV menjelang tahun 2030, dan sifar emisi pada tahun 2035-2040.

     
     
  • Rapid KL lanjutkan percubaan bas perantara MRT bagi Puchong, Seri Kembangan, Cheras hingga 24 Mac

    Klik untuk besarkan

    Berita baik untuk penduduk di sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Cheras. Rapid KL telah mengumumkan laluan percubaan bagi bas perantara MRT yang diperkenalkan pada September 2023 – T545 dan T569 – dilanjutkan hingga 24 Mac 2024.

    Bas T545 menghubungkan stesen Putra Permai iaitu bagi MRT Laluan Putrajaya dengan stesen LRT Puchong Perdana, dan ia juga akan berhenti di Terminal Puchong Utama. Laluan itu juga melibatkan Taman Puchong Utama 12, Taman Puchong Utama 10, SK Puchong Utama 1, Puchong Utama Court 2, Lakeview Homes, Lakehaven Homes, Tasik Prima 3, Vista Millennium, Masjid Puchong Perdana mosque dan kawasan flat Puchong Indah.

    Sementara itu, bas T569 yang mengubungkan stesen Batu 11 Cheras bagi MRT Laluan Kajang dengan stesen Serdang untuk MRT Laluan Putrajaya. Ia juga melibatkan banyak perhentian termasuk Cheras Selatan, Balakong, Mines, South City Plaza, Seri Kembangan dan Taming Jaya – senarai penuh perhentian ada pada jadual di atas.

    Kedua-dua laluan tersebut adalah dari jam 6 pagi hingga 11.30 pagi, dengan kekerapan 15 minit serta kadar tambangnya hanyalah RM1 untuk sehala.

     
     
  • Honda Winner X pasaran Vietnam terima peningkatan – kini dengan anti-slip clutch, RS-X seterusnya?

    Honda Winner X pasaran Vietnam terima peningkatan – kini dengan anti-slip clutch, RS-X seterusnya?

    Honda Winner X, yang juga dikenali sebagai RS-X di negara kita diberikan peningkatan untuk pasaran Vietnam. Ia ditawarkan dalam tiga versi iaitu Special ABS, Sport ABS dan Standard (tiada ABS), dengan harga di antara 46.16 juta dong (RM8,795) ke 50.06 juta dong (RM9,538).

    Peningkatan pertama sudah tentu adalah penampilan, dengan versi Standard yang di bawah sekali menggunakan grafik dua tona warna, Sport gabungan tiga warna seakan berkonsepkan HRC manakala Special yang paling tinggi menggunakan penampilan lebih eksklusif bersama kelongsong fork berwarna emas.

    Bagi panel badan, ia masih lagi kekal seperti pembaharuan yang dibuat bagi model pasaran Vietnam pada tahun 2021, dengan termasuk panel dada, lampu penunjuk arah hadapan, panel tepi belakang serta ekzos yang berbeza dengan RS-X pasaran Malaysia.

    Peningkatan bagi model tahun 2024 ini tidak berakhir di situ kerana Honda juga mengumumkan bahawa transmisi enam kelajuan Winner X sekarang dilengkapi dengan klac anti gelinciran (anti-slip clutch), manakala ignition coil telah ditambah baik.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit satu silinder PGM-Fi (suntikan bahan api) 149.1 cc DOHC, dan kuasanya masih 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kelengkapan lain juga tidak berubah, termasuk pengecas USB, kunci pintar, meter digital, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 ini dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

     
     
  • Volvo Car Malaysia jual 2,694 unit kereta pada 2023 – 18% adalah EV, lebih tinggi dari purata jualan global

    Volvo Car Malaysia jual 2,694 unit kereta pada 2023 – 18% adalah EV, lebih tinggi dari purata jualan global

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 2,694 unit kenderaan sepanjang tahun 2023. Dari jumlah keseluruhan itu, 71% adalah dari model-model Recharge (yang menerima teknologi elektrifikasi termasuk hibrid) dan 18% daripadanya adalah model elektrik penuh (EV).

    Ini menunjukkan bahawa VCM telah mencapai jualan EV yang lebih tinggi dari purata jualan EV global Volvo Cars bagi 2023 iaitu 16% dari jumlah jualan keseluruhan. Walau bagaimanapun pencapaian ini masih lagi jauh dari sasaran syarikat itu yang ditetapkan pada 2022 iaitu untuk mencapai jualan EV 75% dari jumlah keseluruhan menjelang 2025.

    Malah angka jualan keseluruhan tahunan yang dicatatkan pada tahun lalu ini adalah 16% lebih rendah dari rekod jualan 3,194 unit yang dicatatkan pada 2022. Namun dengan berjaya menjual sebanyak 71% model Recharge, ia menjadi satu lagi pencapaian buat VCM kerana untuk pasaran global Volvo Cars 2023, angka purata jualan model-model Recharge hanyalah 38% dari jumlah keseluruhan.

    Volvo EX30 (kiri) dan EX90 (kanan) yang bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini.

    Ini membolehkan Malaysia tersenarai dalam 15 pasaran Volvo di seluruh dunia mencatatkan peratusan jualan model-model Recharge yang tinggi, membuktikan penerimaan yang baik terhadap teknologi plug-in hybrid (PHEV) dan EV di sini.

    “2023 adalah tahun yang transformatif bagi kami kerana kami beralih ke arah masa depan elektrik sepenuhnya. Semua model elektrik sepenuhnya kami kini dijual terus pada platform jualan dalam talian kami untuk perjalanan pemilikan yang selamat, telus dan tanpa kerumitan. Walaupun menunjukkan penurunan jualan yang sedikit, kami amat berbangga kerana telah mempertahankan bahagian segmen kami memandangkan kami berada di antara kitaran produk tanpa pelancaran baharu tahun lepas,” kata Charles Frump, pengarah urusan VCM.

    Untuk 2024, VCM dijangka bakal melancarkan dua model EV generasi Volvo di sini iaitu SUV kompak EX30 dan juga SUV mewah EX90.

     
     
  • Salah guna laluan bas – penguatkuasaan bakal lebih ketat; galak rakyat guna bas, elak eksploitasi laluan

    Salah guna laluan bas – penguatkuasaan bakal lebih ketat; galak rakyat guna bas, elak eksploitasi laluan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa kementeriannya bakal melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengguna jalan raya yang menyalahgunakan laluan khas bas. Ia bagi memastikan laluan khas tersebut tidak dieksploitasi oleh pengguna jalan raya yang lain.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas, menjadi antara pilihan utama dalam kalangan rakyat.

    “Pendekatan saya ialah carrot and stick (ganjaran dan hukuman). Jika carrot (manfaat) tidak menarik mereka, kita akan gunakan stick (penguatkuasaan). Orang ramai tidak berminat menaiki bas kerana terdapat kemungkinan mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana kekerapan bas sukar dijangka. Itulah sebabnya kita berusaha keras memperkenalkan laluan bas.

    “Kita ada dua laluan pada masa ini iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang. Jika dua koridor ini berjaya, kita bercadang untuk menambah laluan bas ini,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Menara UOA hari ini.

    Dalam pembentangan tersebut Anthony memberitahu pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan pada ketika ini dalam melaksanakan proses bukti konsep bagi pelaksanaan perluasan dua laluan khas bas iaitu di daerah Lembah Klang melibatkan Jalan Ampang dan Jalan Klang Lama ke Jalan Puchong termasuk di Jalan Burma, Pulau Pinang.

    Beliau turut memaklumkan purata penumpang yang disasarkan pada tahun ini berjumlah 285,000 penumpang iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 241,000 penumpang pada 2023. Selain itu, Prasarana turut menyasarkan untuk menaik taraf sebanyak 117 tapak perhentian bas, 11 laluan pejalan kaki dan 15 hab bas untuk tahun ini.

     
     
  • Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Volvo Cars telah mencatat satu lagi rekod jualan tahunan global tahun lalu dengan berjaya menjual sebanyak 708,718 unit kenderaan sepanjang 2023. Angka berkenaan jelas naik 15% berbanding 615,121 unit yang dijual pada tahun 2022.

    Bagi pecahan pasaran, Eropah masih lagi pasaran terbesar Volvo dengan jualan sebanyak 294,794 unit pada 2023 (+19% berbanding 2022), diikuti China sebanyak 170,091 unit (+5%). Manakala pasaran Amerika Syarikat pula mencatatkan kenaikan paling mendadak dengan jualan sebanyak 128,701 unit, naik 26% berbanding tahun sebelumnya. Sejumlah 115,130 unit selebihnya pula dijual di lain-lain pasaran, dan ia turut naik sebanyak 11%.

    Dari keseluruhan kenderaan yang dijual oleh Volvo tahun lalu, 113,419 unit atau 16% daripadanya adalah kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), meningkat sebanyak 70% berbanding 2022. Kebanyakkan EV tersebut dijual pada pasaran Eropah dengan jumlah 75,476 unit (26% dari jumlah jualan keseluruhan jenama itu).

    Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Namun di negara yang sedang menyaksikan perkembangan pesat terhadap EV iaitu China, Volvo hanya berjaya menjual sebanyak 3,281 unit EV di pasaran tersebut, atau hanya 2% dari jumlah jualan keseluruhannya. Volvo mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030 dan mahu 50% jualannya adalah EV pada 2025.

    Jadi untuk 2024, Volvo dijangka bakal memperhebatkan lagi barisan model-model EV generasi baharunya. Baru-baru ini ia sudahpun mendedahkan model EV generasi baharu tanpa varian enjin pembakaran dalaman seperti EX30, EX90 dan EM90, dan tak lama lagi ia akan memperkenalkan pula sedan ES90.

    Beralih ke model-model plug-in hybrid (PHEV), sebanyak 152,561 unit model dengan teknologi ini dijual oleh Volvo sepanjang 2023, naik sekitar 10% berbanding 2022. Jika digandingkan dengan jualan EV, jumlah jualan Volvo dengan lencana Recharge (yang menerima sistem elektrifikasi) adalah mewakili 38% jualannya sepanjang 2023.

    Antara kesemua model yang dijual, SUV XC60 masih lagi menjadi model paling laris Volvo pada 2023, dengan terjual sebanyak 228,646 unit di seluruh dunia, atau naik sebanyak 17%. SUV kompak XC40 pula berada di tempat kedua (200,670 unit, naik 19%), manakala XC90 yang sudah lama berada dalam pasaran masih mampu berada di tempat ketiga (107,549 unit, naik 11%).

    Jualan sedan-sedan Volvo juga naik tahun lalu di mana sedan paling besarnya iaitu S90 berjaya dijual sebanyak 49,283 unit (naik 15%), mengatasi sedan yang lebih sporty dan kompak Volvo S60 yang dijual sebanyak 40,153 unit (naik 2%).

    Model ‘coupe lima-pintu’, EV C40 pula bejaya dijual sebanyak 37,114 unit, naik sebanyak 53% berbanding 2022. Namun jualan model-model wagon mengalami sedikit kemerosotan, dengan V60 dijual sebanyak 30,438 unit (turun 5%) dan V90 sebanyak 14,224 unit (turun 4%).

    Model EV kompak baharu Volvo EX30 yang baru sahaja masuk ke pasaran global pada akhir tahun lalu pula mencatatkan jualan sebanyak 639 unit.

     
     
  • Jualan EV di Thailand pada 2023 naik 684% – kini bersamaan 12% daripada jumlah jualan kereta baru

    Jualan EV di Thailand pada 2023 naik 684% – kini bersamaan 12% daripada jumlah jualan kereta baru

    Jualan kenderaan elektrik di Thailand semakin melonjak naik apabila pada tahun 2023, 76,314 unit dicatatkan, bersamaan peningkatan 684% berbanding tahun sebelumnya – lapor Autolife Thailand.

    Berada paling atas mengikut jenama adalah BYD, dengan catatan jualan 30,650 unit EV, diikuti Neta di tempat kedua dengan catatan 12,777 EV dan seterusnya MG dengan catatan 12,764 EV. Tesla kemudiannya berada di tempat keempat dengan catatan 8,206 unit EV dan di tempat kelima adalah Ora daripa Great Wall Motor dengan jualan 6,746 unit.

    Melihat pula kepada 10 model EV terlaris di Thailand tahun lepas, berada paling atas adalah BYD Atto 3 dengan catatan 19,214 unit, diikuti Neta V 12,777 unit, BYD Dolphin 9,410 unit, Ora Good Cat 6,712 unit dan Tesla Model Y 5,881 unit.

    MG 4 Electric pula berada di tempat keenam dengan catatan jualan 4,833 unit, diikuti MG EP 4,475 unit, Tesla Model 3 2,324 unit, BYD Seal 1,810 unit dan MG ZS EV 1,753 unit.

    Jumlah 76,314 unit yang diberitahu awal tadi menjadikan jualan kenderaan EV di Thailand 12.02% daripada jualan keseluruhan kenderaan pada tahun 2023 di negara itu, yang berjumlah 634,948 unit. Pada tahun sebelumnya, Thailand mencatat penjualan EV sebanyak 9,729 unit, sementara pada tahun 2021 ia berjumlah 1,935 unit.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – teaser disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – teaser disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Selepas teaser untuk versi facelift Volkswagen Golf generasi ke lapan disiar sebelum ini, kini giliran teaser untuk versi prestasinya pula muncul – ini dia Golf GTI facelift 2025 yang bakal didedahkan sepenuhnya tak lama lagi.

    Berbeza dengan teaser versi biasa yang hanya menunjukkan bayangan bahagian hadapan, versi GTI ini nampaknya hampir didedahkan seluruhnya dan tampil dengan gambar penuh, tetapi masih disorokkan dengan pelekat penyamaran pada badan. Malah sedikit foto bahagian kabin turut disiarkan dengan pengumuman rasmi beberapa perinciannya.

    Model facelift ini nampaknya menerima sepasang lampu hadapan baharu dengan rekaan lebih bersegi dan juga lampu belakang dengan grafik jalur LED yang berubah. Selain itu ia juga rekaan bampar hadapan dan belakang baharu serta skrin infotainmen lebih besar bersaiz 15-inci seperti model fastback EV ID.7.

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – teaser disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Menerusi imej yang disiarkan ini juga mengesahkan bahawa fungsi kawalan sesentuh pada roda stereng seperti pada model sedia ada digantikan menggunakan butang konvensional biasa selepas perincian tersebut dikritik oleh pengguna. Volkswagen juga mengesahkan bahawa model facelift ini akan menerima integrasi ChatGPT, iaitu chatbot berasaskan AI yang digandingkan bersama pembantu arahan suara IDA.

    Sistem itu boleh digunakan pengguna bagi mengoperasikan fungsi seperti sistem infotaimen, navigasi dan juga sistem penghawa dingin yang menggunakan arahan suara. Bukan itu sahaja, ia juga mampu untuk menjawab pelbagai soalan pengetahuan am, dan untuk masa hadapan ia turut boleh berinteraksi dalam bahasa intuitif, menerima maklumat khusus kenderaan dan banyak lagi.

    Pengguna tidak perlu membuat akaun baharu serta tidak perlu menambah atau mengaktifkan aplikasi ChatGPT baharu secara berasingan. Arahan boleh dimulakan dengan prompt suara “hello IDA”, dan sekiranya permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan oleh sistem IDA, ia akan dibawa ke ke AI kemudian IDA akan memberikan respon.

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – teaser disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Volkswagen Golf GTI

    Volkswagen mengesahkan bahawa data dari kereta tidak boleh diakses oleh ChatGPT, dan sebarang pertanyaan yang diterima serta jawapan yang diberikan akan dipadam serta merta bagi menjamin perlindungan data pelanggannya.

    “Terima kasih kepada penyepaduan ChatGPT yang lancar dan kerjasama kukuh dengan rakan kongsi kami, Cerence, kami menawarkan nilai tambah pemacu kami dan akses terus kepada alat penyelidikan berasaskan AI. Ini juga menggariskan kekuatan inovatif produk baharu kami,” kata ketua pembangunan teknikal Volkswagen Kai Grünitz.

    VW masih belum memberikan sebarang informasi berkenaan unit rangkaian kuasa pada model kemaskini ini, namun kami jangkakan ia masih menggunakan unit yang sama seperti model sedia ada. Ia menggandingkan enjin petrol EA888 empat silinder turbo berkuasa 245 PS/370 Nm dan juga kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan bagi memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Jika anda sedang mencari kereta baru sempena Tahun Baru ini, atau untuk Tahun Baru Cina nanti, berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival anjuran myTukar pada hujung minggu ini, 12-14 Januari 2024. Akan berlangsung di Puchong South Retail Experience Centre, terdapat pelbagai pilihan dan tawaran menarik menanti anda di sana.

    Tidak kira berapa bajet anda atau jenis kereta yang dicari, barisan kenderaan myTukar Certified akan memenuhi keperluan serta gaya hidup anda di sepanjang Tukar-Je CARnival ini. Untuk tahu apa yang boleh dijangkakan nanti, berikut antara pilihan kenderaan yang bakal tersedia, bermula dengan Proton.

    Antara model Proton yang ada termasuklah Iriz, yang ditawarkan dengan ansuran serendah RM383 sebulan, serta X50 dengan ansuran RM989 sebulan. Bagi anda yang inginkan sedan segmen B dari pengeluar Jepun, kedua-dua Honda City dan Toyota Vios boleh dimiliki, masing-masing dari serendah RM635 sebulan dan RM536.

    Kalau perlukan kereta yang lebih besar, ada Honda Accord dengan ansuran bulanan serendah RM985, serta Toyota Corolla Cross dari RM1,271 sebulan. Tidak ketinggalan Mitsubishi Xpander dengan tujuh-tempat duduk dengan harga serendah RM975 sebulan.

    Jenama premium juga berada dalam katalog myTukar, misalnya seperti BMW 2 Series Gran Coupe dan juga Mercedes-Benz C-Class tersedia dengan ansuran RM1,790 sebulan. Ada banyak lagi jenama dan model, yang boleh anda rujuk di laman web myTukar.

    Selain harga yang menarik, membeli kereta dari myTukar juga akan memberikan kelegaan fikiran kepada anda kerana semua kereta myTukar Certified datang dengan jaminan 12-bulan untuk enjin dan kotak gear, serta jaminan pulangan wang dalam tempoh lima-hari. Setiap kereta di bawah program myTukar Certified perlu melalui pemeriksaan 160-poin bagi memastikannya menepati standard yang dikehendaki.

    Pemeriksaan itu termasuklah untuk memastikan odometer perbatuan kenderaan terbabit tidak pernah diusik, serta memastikannya tidak pernah terlibat dalam kemalangan teruk atau ada kerosakan akibat kebakaran atau banjir. Hanya sekiranya kereta itu lulus pemeriksaan berkenaan, dan semua kecacatan kecil telah diperbaiki atau diperkemas, barulah ia diiklankan.

    Barisan kenderaan yang pelbagai akan menanti pengunjung di Tukar-Je CARnival hujung minggu ini. Anda boleh juga mengetahui lebih lanjut tentang pakej badan dan cat oleh Carro Care serta tawaran Insurans myTukar. Tidak ketinggalan, akan ada aktiviti menarik serta promosi daripada myTukar bernilai lebih RM1 juta!

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre semasa acara tiga hari ini) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024
    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre 12-14 Januari ini, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

    Proton Iriz R3

    Proton X50

    Honda City

    Toyota Vios

    Mitsubishi Xpander

    Honda Accord

    Toyota Corolla Cross

    BMW 218i

    Mercedes-Benz C200 AMG

    Mercedes-Benz C200