Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • MRT3 juga tersedia di lokasi elit yang penduduknya tak guna pengangkutan awam? Apa kata CEO MRT?

    MRT3 juga tersedia di lokasi elit yang penduduknya tak guna pengangkutan awam? Apa kata CEO MRT?

    MRT Laluan Kajang – Stesen Taman Pertama di Cheras

    Bulan lalu, MRT Corp telah mengeluarkan peta rasmi bagi Kitaran Jajaran (Circle Line) MRT3, yang telah mendapat kelulusan daripada kerajaan dan dijangka bakal memulakan operasinya secara berperingkat seawal Disember 2028. Fasa terakhir bagi rangkaian landasan di Lembah Klang itu akan beroperasi sepenuhnya pada 2030.

    Peta rasmi ini menunjukkan terdapat 31 stesen termasuk hab utama di Titiwangsa, tetapi tidak termasuk dua stesen pinggiran yang turut disenaraikan (Salak Jaya dan Bukit Kiara).

    Sejak peta tersebut didedahkan, terdapat banyak suara (semestinya dari netizen menerusi laman media sosial) yang mempersoalkan tindakan MRT Corp mewujudkan beberapa stesen di lokasi yang penduduknya tidak begitu menggunakan pengangkutan awam. Walau bagaimana pun, CEO MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim, ada jawapannya seperti mana yag dilaporkan oleh FMT.

    MRT3 juga tersedia di lokasi elit yang penduduknya tak guna pengangkutan awam? Apa kata CEO MRT?

    Klik untuk besarkan peta MRT3

    “Kita perlu melalui kawasan seperti Mont Kiara, kerana laluan MRT3 adalah berbentuk bulatam. Kita perlu dapat menghubungkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan sebegini di Segambut Dalam dan Taman Sri Sinar dengan seluruh jajaran. Memandangkan Mont Kiara berada dalam lingkungan jajaran terbabit, maka kita tidak boleh melangkaunya,” kata Mohd Zarif.

    Jelas beliau lagi, MRT Corp memutuskan adalah lebih baik untuk mempunyai stesen di Mont Kiara daripada tidak berhenti di situ, supaya mereka yang tinggal dan bekerja di sana juga mendapat perkhidmatan pengangkutan yang terbaik. Katanya, ada pekerja yang terpaksa berulang-alik ke Mont Kiara untuk ke kedai makan dan premis lain di situ. Malahan turut berlaku kesesakan di kawasan itu, maka dengan adanya stesen MRT lebih memudahkan pergerakan penduduk dan pekerja di sana.

    Tambah beliau, Kitaran Jajaran MRT3 direka untuk meliputi banyak kawasan yang sebelum ini tidak dihubungkan dengan rangkaian rel bandar sedia ada. Ini termasuklah di Segambut Dalam, Taman Sri Sinar, Setapak, Pandan, Pantai Permai dan Jalan Klang Lama. Justeru, stesen MRT3 ini boleh menghubungkan lebih banyak kawasan pada masa hadapan.

    MRT3 juga tersedia di lokasi elit yang penduduknya tak guna pengangkutan awam? Apa kata CEO MRT?

    MRT Laluan Putrajaya Line – Stesen Metro Prima di Kepong

    Jika diteliti peta dan stesen MRT3 ini, jajaran bermula dari hab Titiwangsa di KL menuju ke Setapak, stesen yang terlibat ialah Kampung Puah, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, Rejang, Setiawangsa, AU2, Taman Hillview, Tasik Ampang, Kampung Pandan, Pandan Indah dan Taman Kencana. Stesen seterusnya ialah di sekitar Cheras, iaitu Taman Cheras (a.k.a Yulek), Taman Midah, Jalan Yaacob Latif dan Sri Permaisuri.

    Jajaran tersebut kemudiannya mengkala ke Salak Selatan, Salak Jaya (sementara), Kuchai dan Jalan Klang Lama. Kemudian ia memasuki kawasan Lembah Pantai, dan stesen yang terlibat ialah Pantai Dalam, Pantai Permai, Universiti dan UM. Laluan terakhir pula melibatkan Bukit Kiara South, Bukit Kiara, Sri Hartamas dan Mont Kiara sebelum menuju ke Bukit Segambut, Taman Sri Sinar (berdekatan Kepong), Dutamas dan Jalan Kuching sebelum kembali ke Titiwangsa

    Kitaran Jajaran MRT3 melibatkan jarak 50.8 km panjang, dengan 10.7 km daripadanya akan melibatkan laluan bawah tanah. Berdasarkan peta rasmi ini, seksyen laluan bawah tanah adalah dari Rejang ke Setiawangsa, Universiti ke Bukit Kiara Selatan (stesen UM di bawah tanah) dan dari Sri Hartamas hingga berdekatan stesen Jalan Kuching. Hampir semua jajaran ini (39 km) berada di KL manakala bakinya di Selangor.

    MRT3 juga tersedia di lokasi elit yang penduduknya tak guna pengangkutan awam? Apa kata CEO MRT?

    Jadi, sekiranya ada penduduk sekitar Mont Kiara dan Hartamas tidak berminat untuk menaiki pengangkutan awam, bukanlah suatu masalah yang besar sebenarnya. Mungkin mereka lebih sanggup menghabiskan masa untuk ‘hadap’ kesesakan trafik, sanggup buang masa cari parkir, dan sanggup keluarkan kos yang lebih tinggi semata-mata guna kenderaan sendiri. Itu hak masing-masing, tidak perlu dipertikaikan.

    Tetapi apa yang pasti, masih ada lagi orang biasa yang mahukan pengangkutan awam, memudahkan mereka ke sana ke sini, termasuklah warga asing yang memang ramai tinggal di kawasan berkenaan. Kebanyakan mereka memang terbiasa menggunakan pengangkutan awam di negara asal, terutamanya yang datang dari Jepun, Korea Selatan dan London yang diketahui jaringan pengangkutan awam memang cukup efisien di sana.

    Walau pun rangkaian pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang ini masih belum pada tahap terbaik (kerana ada laluan yang tidak bersambung dengan jajaran pengangkutan awam sedia ada), tetapi apa yang ada sekarang (termasuk yang bakal dibina termasuk MRT3 ini) ternyata ia makin dipertingkatkan. Dan moga ia terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa terutamanya daripada segi ketepatan waktu ketibaan bas/tren, sambungan jajaran antara satu sama lain, dan yang berkaitan dengannya.

     
     
  • Yamaha MT-15 Version 2.0 diperkenal di India – dapat brek ABS, panel meter dengan sistem Y-Connect

    Yamaha MT-15 Version 2.0 diperkenal di India – dapat brek ABS, panel meter dengan sistem Y-Connect

    Di India, Yamaha telah memperkenalkan MT-15 Version 2.0, yang diberitahu mempunyai beberapa peningkatan berbanding model yang berada di pasaran sekarang. Ada di antaranya mungkin boleh dijangka tiba kepada MT-15 pasaran lain, termasuklah Malaysia.

    Jika melihat kepada model India ini, anda boleh perasan terdapat beberapa tambahan besi di bawah tempat duduk belakang serta berhampiran rantai. Itu adalah pemegang tangan serta pelindung kain sari, dan ia mungkin hanya dikhaskan kepada pasaran tersebut.

    Kemudiannya, Yamaha India juga ada menyatakan beberapa peningkatan seperti fork USD serta lengan ayun aluminium. Ini juga sudah sedia ada pada MT-15 pasaran negara kita, dan dianggap satu peningkatan bagi mereka kerana model di sana sebelum ini menggunakan fork teleskopik biasa.

    Peningkatan lebih menarik yang dapat dilihat adalah sistem brek ABS, yang disediakan untuk brek cakera 282 mm di hadapan (one-channel), manakala panel instrumen digitalnya pula kini telah dimasukkan dengan sistem Y-Connect yang membolehkan sambungan kepada telefon dan memberikan fungsi seperti notifikasi panggilan, mesej serta emel, tempat parkir terakhir, penggunaan bahan api dan cadangan waktu selenggara.

    Ciri-ciri ini boleh dijangka tiba pada MT-15 yang dipertingkat untuk pasaran kita nanti, sementara bahagian lain pula masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk enjin satu silinder VVA 155 cc SOHC berkemampuan 18.4 PS dan 14.1 Nm tork. Transmisi adalah unit enam kelajuan, dengan klac jenis slip & assist.

    Kelengkapan lain pada MT-15 Version 2.0 ini adalah tangki bahan api 10 liter, brek cakera 220 mm, rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 140/70 di belakang, monoshock di belakang, semua lampu jenis LED, berat keseluruhan 139 kg dan tinggi tempat duduk 810 mm.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 ungguli Kereta Tahunan Dunia 2022 – turut menang Anugerah Rekaan Kereta dan EV

    Hyundai Ioniq 5 ungguli Kereta Tahunan Dunia 2022 – turut menang Anugerah Rekaan Kereta dan EV

    Pemenang bagi Anugerah Kereta Tahunan Dunia 2022 telah pun diumumkan secara rasmi, dan model yang dinobatkan sebagai pemenang utama bagi anugerah berprestij pujaan semua pengeluar kereta ialah Hyundai Ioniq 5. Di mana Ioniq 5 mendapat markah sebanyak 815 mata, mendahului Kia EV6 selaku pemenang Kereta Tahunan Eropah 2022 yang hanya menerima 808 mata. Trio yang sama dalam segmen kenderaan semua-elektrik, Ford Mustang Mach-E pula mendapat 773 mata.

    Ternyata Ioniq 5 cukup bertuah kali ini, bukan setakat mengungguli anugerah utama, malah turut membolot Anugerah Kenderaan Elektrik Dunia 2022 dan juga Rekaan Kereta Dunia 2022. Bagi kategori Kenderaan Elektrik Dunia, Ioniq 5 berjaya menewaskan Audi e-tron GT dan Mercedes-Benz EQS. Manakala bagi kategori rekaan terbaik itu, model Hyundai ini sekali lagi telah mengetepikan Audi e-tron GT dan Kia EV6 yang hanya berjaya memperoleh tempat ketiga.

    Perjalanan bagi acara Kereta Tahunan 2022 ini bermula dengan menyenaraikan 28 kenderaan pada peringkat awal, yang kemudiannya disenarai pendekkan kepada tiga finalis pada 15 Mac. Acara ini turut melibatkan penyertaan seramai 102 wartawan automotif antarabangsa dari 33 negara yang mengundi bagi menentukan pemenang.

    Bagi kategori Kenderaan Elektrik Dunia, sebanyak 11 kenderaan yang berada di senarai awal turut dikurangkan menjadi tiga finalis sahaja. Manakala untuk segmen Rekaan Kereta Tahunan pula, panel reka bentuk terdiri daripada enam pakar dalam bidang berkenaan telah diminta untuk menyemak penyertaan setiap calon terlebih dahulu sebelum menyenarai pendek ke tiga finalis terakhir, dan kemudian mengundi untuk menentukan pemenang. Keputusan tersebut diumumkan dalam pembentangan menjelang New York International Auto Show.

     
     
  • Axia dilanggar keretapi kerana pemandu cuai – Polis

    Axia dilanggar keretapi kerana pemandu cuai – Polis

    Semalam tular satu video di Facebook berkenaan kejadian yang berlaku di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang memaparkan sebuah keretapi terlanggar sebuah Perodua Axia. Apa sebenarnya yang berlaku?

    Menurut laporan Bernama, kejadian tersebut berlaku semalam, melibatkan sebuah kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Landasan Kilometer 31 berdekatan pintu besar Pelabuhan Johor. Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada 9.40 pagi itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

    Beliau menerangkan bahawa kejadian berlaku semasa kereta api dengan 31 wagon yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun itu sedang dalam perjalanan dari stesen Pasir Gudang menuju ke stesen Pelabuhan Johor.

    “Bagaimanapun secara tiba-tiba kereta api itu telah terlanggar sisi hadapan kiri sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dalam perjalanan memasuki pintu utama Pelabuhan Johor,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Menurutnya lagi, hasil siasatan awal yang dibuat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tersebut mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta terbabit yang tidak perasan dengan pergerakan kereta api di hadapannya.

    Dalam video berdurasi 40 saat berkenaan dapat dilihat Perodua Axia tersebut bergerak selepas lampu isyarat dipersimpangan masuk ke pelabuhan itu bertukar hijau. Walau bagaimanapun, lampu isyarat untuk landasan keretapi sebelum pintu masuk pelabuhan berkenaan kelihatan tidak berfungsi.

    Aliran trafik untuk melintasi landasan tersebut hanya dikawal oleh seorang pengawal yang kelihatan sedang menahan sebuah lori dari susur masuk simpang pintu masuk pelabuhan itu. Pengawal yang tidak perasan kehadiran Perodua Axia berkenaan terlambat memberikan amaran, seterusnya menyebabkan hatchback segmen-A itu dilanggar oleh keretapi yang sedang melintas.

     
     
  • Acura keluar dari pasaran China kerana tak laku

    Acura keluar dari pasaran China kerana tak laku

    China merupakan pasaran automotif terbesar di dunia, sebab itulah mengapa ia begitu istimewa bagi sesetengah jenama sehingga banyak model yang dihasilkan khas untuk negara tersebut sahaja dan tidak di bawa keluar. Namun bukan semua boleh mendapatkan ‘nasi’ mereka dengan mudah dalam ‘periuk’ yang besar ini – terbaharu, divisi mewah Honda iaitu Acura dilaporkan akan keluar dari pasaran China.

    Menurut laporan CarNewsChina, Acura China yang diuruskan oleh GAC Acura sudahpun membuat pengumuman kepada pelangganya bahawa produksi dan jualan model-model Acura akan dihentikan di negara tersebut pada 2023.

    Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa staf-staf GAC acura akan diserapkan ke GAC Honda, bagi membolehkan mereka fokus terhadap perniagaan elektrifikasi di China. Manakala untuk pemilik-pemilik Acura sedia ada, khidmat servis selepas jualan kereta-kereta mereka juga akan diambil alih oleh GAC Honda.

    Acura keluar dari pasaran China kerana tak laku

    Acura baru sahaja masuk ke pasaran China pada 2016, dimulakan dengan pelancaran SUV Acura CDX iaitu versi lebih mewah Honda HR-V yang disasarkan untuk berhadapan terus dengan BMW X3. Ia kemudiannya diikuti dengan model khas untuk pasaran China iaitu sedan Acura TLX-L, serta SUV lebih besar, Acura RDX.

    Ketiga-tiga model ini diproduksi di China, manakala model halo Acura NSX masih diimport dari satu-satunya kilang yang menghasilkannya iaitu Performance Manufacturing Center (PMC) yang terletak di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat.

    Portal automotif China tersebut menyatakan bahawa punca utama Acura menarik diri dari pasaran China adalah kerana prestasi jualannya yang tidak memberangsangkan. Jualan tertinggi tahunan yang pernah dicatatkan oleh Acura di China adalah pada 2019, dengan jumlah jualan keseluruhan 14,710 unit kenderaan. Manakala pada 2021 ia hanya mampu menjual sebanyak 6,554 unit kereta.

    Acura keluar dari pasaran China kerana tak laku

    Walaupun keputusan ini dilihat muktamad, Acura berkemungkinan akan kembali semula ke China selepas Honda mula menghasilkan model-model elektrik penuh. Sebelum ini, Honda telahpun mengumumkan rancangan mereka kearah elektrifikasi, bermula dengan model e:NP1 dan e:NS1 yang hampir bersedia untuk dipasarkan di China.

    Selepas dua model berkenaan, ia akan diikuti dengan versi produksi untuk model konsep e:N SUV, GT dan Coupe dalam masa lima tahun. Model-model tersebut dilihat lebih premium, ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan AWD, dan mungkin akan dijual dengan lencana Acura.

    Menurut Honda, mereka kini merancang untuk memperkenalkan 10 model dalam siri e:N untuk tempoh masa lima tahun akan datang, dan ia mungkin akan dikembangkan ke pasaran lain. Jadi model-model elektrik yang dibuat di China ini mungkin turut akan dieksport keluar.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak biar kereta asing isi RON95 bakal digantung lesen bisnes hingga siasatan selesai

    Pengusaha stesen minyak biar kereta asing isi RON95 bakal digantung lesen bisnes hingga siasatan selesai

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) menegaskan pengusaha stesen minyak yang membiarkan pemilik kenderaan termasuk motosikal dengan nombor pendaftaran asing mengisi petrol RON 95 berdepan tindakan digantung lesen perniagaan sehingga kes selesai disiasat.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam mesyuarat antara kementeriannya dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia baru-baru ini, pihak persatuan menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON 95, laporan Berita Harian.

    Sehubungan itu, katanya, seramai 2,000 penguat kuasa digerakkan bagi memastikan semua kenderaan berpendaftaran asing untuk tidak mengisi petrol RON95 di stesen minyak di seluruh negara.

    “Penguat kuasa ini akan digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara terhadap mana-mana individu dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan. Bagi menambahkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai penguat kuasa akan mengambil pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman dalam melaksanakan penguatkuasaan ini,”katanya.

    Pengusaha stesen minyak biar kereta asing isi RON95 bakal digantung lesen bisnes hingga siasatan selesai

    Tambah beliau, pemilik kenderaan pendaftaran asing ini hanya boleh mengisi RON97 di stesen minyak di seluruh negara. Sekiranya didapati individu atau pengusaha stesen minyak itu melakukan kesalahan berkenaan, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

    “KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua orang dan pengusaha stesen minyak bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 14-20 April – Semua tidak berubah

    Harga minyak 14-20 April – Semua tidak berubah

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, bagi minggu bertarikh 14 hingga 20 April 2022, harga runcit bagi semua bahan api utama di negara ini dikekalkan.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 kekal pada paras RM3.81 seliter. Begitu juga dengan RON 95 yang telah mencapai harga siling iaitu RM2.05 seliter dan tiada perubahan harga sejak lebih setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Kia Telluride facelift muncul dalam teaser – rekaan luar dan dalam diperbaharui, tambahan varian X-Pro baru

    Kia Telluride facelift muncul dalam teaser – rekaan luar dan dalam diperbaharui, tambahan varian X-Pro baru

    Ini adalah gambar teaser rasmi Kia Telluride facelift 2023, yang akan diperkenalkan secara rasmi sewaktu New York International Auto Show 2022 April ini dan menggantikan model yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2019.

    Kia memberitahu, Telluride 2023 menampilkan elemen rekaan baru yang lebih berani di dalam dan luar, bersama lebih lagi kemampuan melalui varian yang dikembangkan. Ini termasuk varian “X-Pro” baru, yang kedengaran seperti versi offroad lebih lasak. Turut diterapkan adalah “naik taraf kemudahan dan teknologi.”

    Teaser pertama yang dikeluarkan ini menampakkan bentuk berpetak yang tegap bersama logo baru Kia yang sudah digunakan sejak Jun 2021. Unit lampu DRL pada model facelift ini adalah baru, dengan dua jalur menegak menggantikan bentuk petak sebelum ini. Bahagian bampar bawah juga adalah baru dan kedudukan lampu kabus telah diubah.

    Kia Telluride facelift muncul dalam teaser – rekaan luar dan dalam diperbaharui, tambahan varian X-Pro baru

    Gambar kedua pula menunjukkan bentuk kasar papan pemuka, yang kini telah direka semula. Corong pendingin hawa kini terletak dalam elemen bergaris lurus mendatar sementara panel instrumen dan skrin infotainmen pula kelihatan bersambung seperti MPV Carnival.

    Bagi model yang berada di pasaran sekarang, Telluride dipacu oleh enjin V6 GDI 3.8 liter bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan, menghasilkan kuasa 295 PS dan 355 Nm tork. Ini adalah enjin sama seperti Hyundai Palisade yang dijual di negara kita dan ia boleh didapati dalam versi pacuan dua roda hadapan atau empat roda.

    GALERI: Kia Telluride 2019

     
     
  • Toyota bZ4X hanya ditawarkan secara sewa langganan di Jepun; elak persoalan RV, hayat bateri dan servis

    Toyota bZ4X hanya ditawarkan secara sewa langganan di Jepun; elak persoalan RV, hayat bateri dan servis

    Model elektrik sepenuhnya (EV) pertama Toyota iaitu SUV bZ4X bakal dilancarkan di Jepun pada 12 Mei ini. Namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, model tersebut tidak akan dijual kepada pelanggan seperti kereta lain, sebaliknya hanya boleh disewa menerusi servis langganan kereta miliknya iaitu Kinto.

    Menurut Toyota, langkah ini diambil bagi mengelakkan kegusaran pelanggan terhadap pemilikan kereta elektrik penuh berkuasa bateri (BEV) – termasuk nilai jualan semula, jangka hayat bateri dan kos servis – dalam masa yang sama turut mempromosikan langkah 3R iaitu bina semula (Rebuild), guna semula (Reuse), dan kitar semula (Recycle) untuk bateri berkenaan.

    Fasa petama pelancaran model ini akan menyaksikan Toyota menerima permohonan langganan sejumlah 3,000 unit bZ4X, manakala fasa kedua pula dirancang untuk dilancarkan pada suku ke-4 2022. Sekitar 5,000 unit Toyota bZ4X ini telah dirancang untuk diproduksi untuk diedarkan dalam pasaran bagi tahun pertamanya di Jepun.

    Toyota bZ4X hanya ditawarkan secara sewa langganan di Jepun; elak persoalan RV, hayat bateri dan servis

    Untuk pengguna korporat, Toyota bZ4X ini boleh disewa menerusi jaringan Toyota Rent-a-Lease Dealers di seluruh Jepun dan Toyota Mobility Services Corporation (bahagian Tokyo). Harga untuk bZ4X ini bermula dari 6 juta yen (RM202k) sehingga 6.5 juta yen (RM219k).

    Manakala untuk infrastruktur pengecas pula, Toyota merancang untuk memasang pengecas pantas DC di semua pengedarnya di Jepun menjelang 2025, dengan rancangan awal bagi memasang pengecas berkenaan di kawasan bandar di mana permintaan terhadap BEV lebih tinggi.

    Toyota bZ4X ini merupakn SUV lima-tempat duduk, diasaskan dari platform khas untuk EV yang dibangunkan bersama Subaru. Ia ditawarkan dalam dua jenis penggerak – sama ada dengan motor tunggal memacu roda hadapan berkuasa 150 kW (204 PS), atau dengan dua buah motor (masing-masing 80 kW atau 109 PS) yang menghasilkan kuasa keseluruhan 160 kW (218 PS) yang memacu semua roda.

    Kedua-dua versi ini menerima bateri 71.4 kWj yang sama, yang menyokong pengecas AC maksimum 6.6 kW atau pengecas pantas DC 150 kW. Model pacuan roda hadapan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.4 saat, manakala model AWD pula mencatatkan 7.7 saat untuk pecutan sama. Toyota bZ4X ini turut disahkan akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan.

     
     
  • Ambil dos penggalak atau PICKids, MKN Sabah beri rebat tunai RM5 untuk isi minyak di Shell Sulaman

    Ambil dos penggalak atau PICKids, MKN Sabah beri rebat tunai RM5 untuk isi minyak di Shell Sulaman

    Bagi menggalakkan orang ramai mengambil dos penggalak untuk vaksin Covid-19, atau membawa anak untuk menerima vaksin berkenaan melalui program PICKids, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah dengan kerjasama Shell akan memberikan rebat tunai RM5 ketika mengisi bahan api sekiranya anda berbuat demikian.

    “Demi semangat untuk melihat Fasa Peralihan ke Endemik adalah lancar dan selamat, MKN Sabah telah mengadakan satu kolaborasi dengan Shell untuk menggalakkan lagi pengambilan Dos Penggalak dan PICKids,” tulis hantaran yang dibuat di akaun Facebook rasmi MKN Sabah.

    Bagi mendapatkan rebat tunai RM5 tersebut, anda hanya perlu tunjukkan sijil vaksinasi Dos Penggalak & PICKids. “Ini adalah usahasama Kerajaan dan pihak swasta dalam menyokong fakta bahawa vaksinasi adalah jalan yang efektif dan selamat untuk keluar dari pandemik ini,” tulis hantaran itu lagi.

    Walau bagaimanapun, rebat berkenaan hanya boleh ditebus di Stesen Shell Sulaman (berdepan KFC Sulaman), Kota Kinabalu sahaja. Ia juga tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go bakal dilancar – boleh ditambah nilai menerusi fungsi telefon pintar NFC

    Kad Enhanced Touch ‘n Go bakal dilancar – boleh ditambah nilai menerusi fungsi telefon pintar NFC

    Touch ‘n Go bakal mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan menawarkan penggunanya kemudahan untuk tambah nilai kad fizikal mereka menerusi Touch ‘n Go eWallet tidak lama lagi.

    Menerusi imej yang dipaparkan dalam video rasmi Touch ‘n Go (tetapi video berkenaan telah ‘dikeluarkan’ dari paparan rasminya), fungsi baharu NFC (near field communication) akan boleh digunakan apabila kad baharu ini dilancarkan kelak. Di mana kad baharu ini boleh dikenalpasti oleh ikon NFC pada hujung kanan kad berkenaan. Ini bermakna pengguna perlu membeli kad Enhanced Touch ‘n Go itu untuk menggunakan fungsi tersebut.

    Kad baharu yang mempunyai nilai sedia ada sebanyak RM10 ini, juga sama dengan pembelian tag RFID dan mengikut imej tangkapan skrin bahagian pesanan, harga Enhanced Touch ‘n Go tidak termasuk bayaran penghantaran.

    Apabila menerima kad fizikal Enhanced Touch ‘n Go itu, pengguna perlu melakukan pautan kad tersebut ke eWallet, membolehkan pengguna menyemak baki nilai di dalam kad, seperti mana kad sebelum ini, serta melakukan proses tambah nilai. Untuk melakukannya, kad baharu ini perlulah diletakkan di belakang telefon pintar yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat. Video yang telah ‘disorokkan’ itu turut menunjukkan fungsi ini boleh digunakan bagi peranti iOs dan Android.

    Walau bagaimana pun, difahamkan baki kad baharu ini masih diasingkan dari baki eWallet. Apabila kad Enhanced Touch ‘n Go dilancarkan kelak, ia membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka tanpa perlu ke kios atau kaunter perkhidmatan. Ini akan menjadi kemudahan tambahan kerana kad Touch ‘n Go fizikal masih digunakan untuk bayaran tempat letak kereta dan pengangkutan awam, selain PayDirect boleh digunakan untuk caj tol lebuh raya.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go bakal dilancar – boleh ditambah nilai menerusi fungsi telefon pintar NFC

    Pada Januari lalu, bekas CEO TNG Digital, Ignatius Ong (yang telah meletakkan jawatan bermula 31 Mac lalu, menurut Advertising + Marketing Malaysia) telah mendedahkan bakal ada kad versi baharu yang membolehkan pengguna menambah nilai baki menerusi aplikasi eWallet dengan fungsi NFC ini, berbanding kad sedia ada yang hanya boleh ditambah nilai di kios atau kaunter perkhidmatan yang terbabit.

    Idea ini pertama kali disuarakan oleh Touch ‘n Go pada Januari 2021, dan kad yang dipertingkatkan dengan kebolehupaya tambah nilai eWallet ini sebenarnya dirancang diperkenalkan pada hujung tahun lalu.

    Buat masa ini, pautan antara kad fizikal, kad Touch ‘n Go dan aplikasi eWallet adalah bagi fungsi PayDirect, di mana transaksi pembayaran tol akan ditolak terus dari baki eWallet berbanding baki yang masih ada dalam kad Touch ‘n Go. Apabila baki eWallet telah habis, barulah caj tol akan ditolak daripada kad fizikal, yang boleh dihalang dengan mengaktifkan ciri muat semula automatik pada eWallet.

     
     
  • BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

    BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

    BMW X7 G07 facelift akhirnya didedahkan secara rasmi. Sports Activity Vehicle (SAV) paling besar BMW ini mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2018 bagi bersaing dengan Mercedes-Benz GLS dan sekarang, selepas tiga tahun setengah, ia diberikan naik taraf.

    Perubahan paling utama adalah di luar, terutamanya bahagian hadapan. Gril masih lagi besar seperti dulu, tetapi ia menggunakan perincian menegak di dalam dan boleh dipilih dengan pakej Iconic Glow yang meletakkan lampu di bahagian gril tersebut.

    Lampu utama pula kini menggunakan rekaan yang terpisah dua dengan bahagian atas yang lebih nipis untuk DRL dan penunjuk arah manakala unit LED matriks adaptif di bahagian bawah. Bampar juga telah direka semula sementara bahagian lain tidak menunjukkan perubahan yang ketara kecuali lampu belakang yang mempunyai perincian unik di dalamnya.

    Jika model biasa nampak terlalu bosan, pelanggan boleh mendapatkan pakej M Sport, di mana mereka akan menerima bukaan udara lebih besar pada bampar serta kemasan hitam berkilat pada bahagian termasuk rel bumbung, keliling tingkap serta cermin sisi.

    BMW juga ada menawarkan pakej M Sport Pro bersama kemasan M Shadow Line, yang meletakkan kemasan hitam matte pada keliling gril, krom gelap pada muncung ekzos serta angkup brek M Sport warna hitam. Piihan rim yang disediakan bermula daripada 20 inci, sehingga 23 inci.

    Di dalam, X7 menggunakan skrin BMW Curved Display, yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh 14.9 inci di tengah, bersama BMW Operating System 8. Butang kawalan pada papan pemuka telah dikurangkan dan bahagian lain yang diubah termasuk corong pendingin hawa serta tombol penukar gear.

    X7 facelift ini masih lagi datang dengan tiga baris tempat duduk, sama ada dengan tetapan 2-3-2 (tujuh tempat duduk) atau 2-2-2 (enam tempat duduk). Apabila semua tempat duduk berada dalam kedudukan tegak, ruang but hanya berkapasiti 326 liter, sementara apabila dilipat, ia boleh menyediakan sehingga 2,120 liter.

    Pintu but jenis terpisah juga masih digunakan, dengan kini ia boleh dibuka tanpa sentuh sebagai sebahagian daripada pakej Comfort Access yang diberikan secara standard. Kelengkapan lain yang diberi terus adalah termasuk tempat duduk penumpang hadapan dengan fungsi pemanas, bumbung panoramik serta sistem bunyi 10 pembesar suara.

    BMW X7 facelift 2023 diperkenal – model G07 LCI terima lampu utama jenis terpisah, enjin hibrid ringkas

    Pergi ke bahagian mekanikal, semua enjin yang ditawarkan pada X7 ini datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, yang menambah motor elektrik berkuasa 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 200 Nm ke dalam perumah transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuannya. Transmisi ini dipadankan bersama sistem pacuan semua roda xDrive, dan menyediakan fungsi Launch Control serta Sprint.

    Satu daripada tiga varian yang diperkenalkan sewaktu pelancaran adalah xDrive40i, di mana ia menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 380 PS (375 hp atau 280 kW) dan 520 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 250 km/j.

    Satu lagi varian enjin enam silinder adalah xDrive40d, yang menggunakan unit diesel turbo 3.0 liter berkemampuan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 700 Nm tork. Apabila sistem hibrid masuk membantu, kuasanya boleh ditingkatkan lagi buat sementara menjadi 352 PS (347 hp atau 259 kW) dan 720 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.1 saat manakala laju maksimum pula adalah 243 km/j.

    Jika kuasa adalah perkara yang betul-betul anda mahu, jawapannya adalah M60i xDrive. Varian ini menggunakan enjin petrol V8 4.4 liter twin turbo, mampu menghasilkan kuasa 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan 750 Nm, dan membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, tetapi laju maksimum masih dihadkan pada 250 km/j. Untuk lebih dinamik, ia juga dipasang dengan differential M Sport.

    Model ini juga mendapat suspensi udara adaptif yang boleh melaras kedudukannya sehingga 80 mm manakala rear-wheel steering (Integral Active Steering) dan active roll stabilisation (Executive Drive Pro) juga diberikan terus pada M60i xDrive, bersama angkup brek M Sport. Bagi varian lain, barangan ini disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada bahagian keselamatan, X7 dilengkapi dengan sistem amaran perlanggaran hadapan, Lane Departure Warning, Speed Limit Info serta Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go. Apabila mengambil pakej Driving Assistant Professional, ciri ini akan ditambah lagi dengan Steering and Lane Control Assistant serta Lane Change Assistant.

     
     
  • Kerani wanita dipenjara 6 tahun, denda RM6k akibat cuai memandu dalam kes 8 remaja basikal lajak maut

    Kerani wanita dipenjara 6 tahun, denda RM6k akibat cuai memandu dalam kes 8 remaja basikal lajak maut

    Kes kematian lapan remaja yang sedang menunggang basikal lajak, akibat kecuaian pemandu kereta ini harap boleh dijadikan pengajaran buat kita semua supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu. Hari ini, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan, lima tahun lalu, laporan Berita Harian.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam keputusannya terhadap rayuan kes itu turut memerintahkan responden, Sam Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara. Sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

    Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, responden diputuskan bersalah serta disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan selepas melalui perbicaraan penuh dan bukannya kes pengakuan bersalah.

    “Perbuatan responden memandu secara melulu atau berbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan dilakukan responden adalah kesalahan berat. Parlimen telah meminda hukuman bagi kesalahan ini pada 2020 menerusi Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Oleh itu, responden bernasib baik kerana kesalahan disabitkan berlaku pada 2017, iaitu sebelum pindaan dibuat,” katanya.

    Selain itu, Abu Bakar berkata, mahkamah turut membuat pertimbangan bahawa kesalahan dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor, dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 membabitkan sejumlah 10,297 kematian.

    “Berdasarkan itu, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun mulai tarikh sabitan, hari ini, dan denda RM6,000. Jika gagal membayar denda, tambahan enam bulan penjaran. Responden juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun sebaik saja selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.

     
     
  • PM cadang UPSI bangunkan pusat penyelidikan dan latihan automotif termaju di AHTV, Tanjung Malim

    PM cadang UPSI bangunkan pusat penyelidikan dan latihan automotif termaju di AHTV, Tanjung Malim

    Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telahpun merasmikan pelan pembangunan DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang terletak di Tanjung Malim. Ketika perasmian tersebut, beliau turut mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini terletak di kawasan AHTV berkenaan agar membangunkan Pusat Penyelidikan dan Latian Automotif Termaju (CAART).

    Menurut Perdana Menteri, pembangunan pusat tersebut adalah untuk memenuhi keperluan sektor automoif negara dari segi tenaga kerja mahir, pendidikan dan juga penyelidikan.

    “Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di UPSI ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini. Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di Automotive High Tech Valley dapat dilestarikan secara produktif,” katanya.

    Beliau turut menambah bahawa penubuhan pusat latihan yang dicadangkan tersebut dapat memberi tumpuan secara tidak langsung kepada kemajuan kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI) selari dengan hala tuju masa depan industri automotif.

    PM cadang UPSI bangunkan pusat penyelidikan dan latihan automotif termaju di AHTV, Tanjung Malim

    Menurutnya lagi, dengan usaha untuk membangunkan AHTV sebagai hab baharu untuk pengilangan EV adalah selari dengan harapan dan komitmen kerajaan kearah mencapai sasaran ke arah dimensi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral-karbon menjelang 2050.

    “Kerajaan berharap projek pembangunan ini dapat memacu pembangunan industri hiliran dan sektor lain yang tertumpu kepada teknologi terkini khususnya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap bagi mengurangkan kesan rumah hijau. InsyaAllah dengan hala tuju yang dirancangkan dengan teliti, AHTV boleh membawa manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah Malaysia amnya,” tanmbahnya lagi.

    Menurut DRB-Hicom, selain dari cuba untuk menjadi hab pengilangan, AHTV turut bakal menubuhkan sebuah universiti penyelidikan bagi mengembangkan bakat dalam bidang automotif.

    “Satu rangka kerja pendidikan bagi industri automotif akan digubal ke arah memupuk jurutera generasi baharu dalam bidang Kejuruteraan, IT, Reka Bentuk, Kepintaran Buatan, Penyelesaian Mobiliti & Pembangunan Perisian.

    PM cadang UPSI bangunkan pusat penyelidikan dan latihan automotif termaju di AHTV, Tanjung Malim

    “Ini akan mengukuhkan keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tempatan dan memastikan daya saing pengeluar peralatan asli tempatan (OEM). Penubuhan universiti penyelidikan berasaskan automotif merupakan petanda baik bagi Malaysia, kerana industri ini bakal mendapat tempat di masa hadapan terhadap Kenderaan Generasi Akan Datang (“NxGV”) dan Mobility-as-a-Service (“MaaS”),” kata syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    CEO Geely Holding Group, Daniel Li Donghui turut menyentuh perkara berkaitan pendidikan ini dalam ucapannya yang disiarkan menerusi satu pautan video semalam. “Kami amat percaya bahawa pelaburan perniagaan dan pendidikan berjalan seiring, kedua-duanya tidak boleh wujud tanpa satu sama lain. Itulah sebabnya Geely Holding telah membangunkan cabang pendidikan yang kukuh, menubuhkan beberapa universiti di seluruh China.

    “Kami melihat jurutera dan saintis generasi akan datang, menyumbang kepada kejayaan industri kami, dan masyarakat kami yang lebih luas. Model pendidikan ditambah perniagaan ini boleh berfungsi di AHTV; mewujudkan rangka kerja pendidikan untuk menarik bakat dan seterusnya menubuhkan institut penyelidikan,” katanya.

    Dalam kerjasama dengan AHTV, Geely akan memainkan peranannya untuk mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab baharu itu. Lebih perincian berkenaan Automotive Hi-Tech Valley ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Kia EV6 GT 2022 – perincian didedah, 585 PS, 740 Nm

    Kia EV6 GT 2022 – perincian didedah, 585 PS, 740 Nm

    Kia telah mendedahkan lebih lagi perincian berkenaan crossover elektrik prestasi tinggi mereka, iaitu EV6. Ia diberitahu boleh menghasilkan kuasa 585 PS, 740 Nm tork, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 260 km/j.

    Mengikut perancangan, EV6 GT akan mula dijual kepada pasaran hujung tahun ini dan bakal menjadi model paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Kia. Penyumbang utama kepada prestasi ini adalah dua motor elektrik dengan unit 217 PS memacu roda hadapan dan 367 PS untuk roda belakang.

    Dibina atas platform E-GMP, kereta ini menggunakan tetapan elektrikal 800 volt yang boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, sekaligus membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa sepantas 18 minit. Bateri yang digunakan berkapasiti 77.4 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 420 km.

    Pada EV6 GT ini terdapat butang mod pemanduan GT khas yang dapat mengawal pacuan motor, brek, stereng, suspensi serta LSD elektronik dan kawalan stabiliti untuk memberikan prestasi yang lebih tinggi. Apabila diperlukan, LSD elektronik itu boleh menyampaikan kuasa secara berasingan kepada semua roda.

    Dalam memastikan kereta ini dapat memberikan kepuasan memandu, Kia juga telah menambah control arm di bahagian suspensi hadapan, serta melakukan talaan khas pada stereng dan penyerap adaptif; fokusnya adalah untuk memberi keseimbangan antara prestasi serta keselesaan pada kelajuan tinggi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024