Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

    Honda City – sedan segmen-B terlaris di Malaysia

    Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan menerusi Facebook bahawa model City telah diangkat sebagai sedan segmen-B terlaris di Malaysia bagi suku pertama tahun 2022, menurut laporan data dalamannya sendiri. Ini bermakna ia telah mengatasi pencabar terdekatnya seperti Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Persona dalam tiga bulan pertama tahun ini.

    Walau pun HMSB tidak memberikan sebarang angka jualan, namun jualan bulanan dijangka lebih tinggi berbanding yang dicatatkan oleh Persona iaitu sebanyak 1,675 unit pada bulan Februari, di mana model itu menduduki tempat kedua dalam segmennya, seperti mana yang didakwa oleh Proton sebelum ini.

    Nampaknya Honda juga mempunyai stok tersedia buat City bagi menampung permintaan pelanggan yang ingin membelinya dalam tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih berlangsung. Ini merupakan bonus yang boleh dikatakan terbaik buat Honda khususnya, kerana dalam saat ini, kebanyakan pengeluar kereta lain masih bergelut dengan isu kekurangan alat ganti dan cip semikonduktor. Contohnya, Vios, yang telah kehabisan stok sehingga pengecualian SST tamat pada 30 Jun ini.

    Untuk pengetahuan, City versi sedan dilancarkan pada Oktober 2020 dengan menawarkan empat varian iaitu 1.5 S (RM74,191), 1.5 E (RM81,665), 1.5 V (RM86,561) dan RS e:HEV Hybrid (RM105,950). Varian di bawah RS iaitu 1.5 V Sensing, telah ditambah kelengkapan Honda Sensing yang menampilkan ciri keselamatan aktif (termasuk brek kecemasan sendiri dan kawalan kelajuan adaptif). Ia diperkenalkan pada hujung tahun lepas yang diposisikan di antara varian V dan RS, berharga RM90,212. Semua harga yang disenaraikan ini termasuk dengan 100% pengecualian SST.

    Model petrol dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa 121 PS dan tork 145 Nm, dipadankan dengan CVT secara standard. Manakala varian e:HEV pula digandingkan dengan motor elektrik 109 PS/252 Nm yang dipacukan oleh penjana kuasa 1.5 liter kitaran-Atkinson 98 PS/127 Nm.

    Selain versi sedan, kini Honda turut menawarkan City dalam bentuk hatchback, walau pun kebarangkalian ia agak sukar untuk menduduki carta teratas dalam segmennya, kerana umum mengetahui Perodua Myvi kekal utuh mendominasi kendudukan tersebut.

    GALERI: Sedan Honda City RS e:HEV 2021 di Malaysia

     
     
  • PDRM bertegas rakam video guna telefon pintar ketika memandu boleh didenda RM1k atau penjara 3 bulan!

    PDRM bertegas rakam video guna telefon pintar ketika memandu boleh didenda RM1k atau penjara 3 bulan!

    Adakah anda mempunyai tabiat gemar merakam video menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu? Ini merupakan salah satu kesalahan lalu lintas yang dipandang serius. Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengulangi amaran yang sama berhubung dengan pelakuan ini yang terang-terangan menyalahi undang-undang lalu lintas.

    Jika anda ditangkap sedang menggunakan telefon pintar sewaktu memandu (sama ada merakam aksi anda sendiri untuk kandungan media sosial, filem atau sebagainya), ia dianggap melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Seksyen 17A dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 yang dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.

    PDRM berkata, jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    “Adalah sebaiknya penumpang sahaja yang merakamkan video berkenaan atau boleh menggunakan dashcam. Sekiranya perakam yang juga merupakan pemandu kenderaan semasa itu, mereka juga dikira menggunakan telefon bimbit dan ini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 17A Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1959.

    “Ini kerana pemandu tidak peka dan boleh hilang kawalan sekiranya menggunakan telefon bimbit dan merisikokan berlakunya kemalangan,” ujar kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

    Dalam masa yang sama pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa menggunakan alat bebas tangan seperti earphone jika mahu menjawab panggilan. Sekali lagi, perlu diingatkan bahawa jangan menggunakan telefon untuk merakam video/live semasa memandu kerana ia menjadikan anda tidak fokus dan tidak peka kepada keadaan sekeliling semasa pemanduan.

     
     
  • Mitsubishi Colt 2023 – teaser disiar, rebadge dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Mitsubishi Colt 2023 – <em>teaser</em> disiar, <em>rebadge</em> dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Idea untuk menghasilkan model generasi baharu untuk Mitsubishi Colt/Mirage sudahpun disebut oleh jenama tiga-berlian berkenaan sejak 2017, selepas ia menjadi sebahagian anggota Pakatan Renault Nissan. Ia disebut bakal muncul pada 2019, namun tiada berita susulan mengenainya selepas itu.

    Kali ini bukan lagi khabar angin mahupun cakap-cakap kosong – Mitsubishi secara rasmi telah mendedahkan imej teaser untuk Colt generasi baharu yang bakal muncul tidak lama lagi! Ia bakal membuat kemunculan sempena ulang tahun ke-60 Colt selepas model generasi pertama Colt 600 muncul pada tahun 1962.

    Model tersebut juga telah disahkan akan menggunakan platform CMF-B yang sama dengan Renault Clio dan juga Nissan Micra, dan bakal diproduksi di fasiliti Pakatan berkenaan yang terletak di Bursa, Turki. Imej teaser tersebut menunjukkan bahawa Colt akan dihasilkan sebagai hatchback lima-pintu dengan bayangan badan yang hampir sama dengan Renault Clio termasuk pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ untuk kelihatan seperti model tiga-pintu.

    Apa yang berbeza adalah pada bahagian hadapan yang diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi, tampil dengan elemen krom berbentuk-X pada gril hadapan dan bersambung dengan ‘kening’ yang mungkin adalah jalur lampu nyalaan siang di atas lampu hadapan utama. Ia turut diberikan emblem ‘Hybrid EV’ pada pintu hadapan, yang menandakan ia mungkin berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Renault Clio E-Tech.

    Mitsubishi Colt 2023 – <em>teaser</em> disiar, <em>rebadge</em> dari Renault Clio, Hybrid EV, diproduksi di Bursa, Turki

    Clio E-Tech menerima enjin 1.6 liter NA yang digandingkan dengan unit starter-generator serta satu lagi motor elektrik lebih besar, bersama kotak gear tanpa klac pelbagai-mod. Sistem elektrikal untuk teknologi hibrid berkenaan beroperasi dengan seni bina elektrikal 230 V, bersama bateri berkapasitu 1.2 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 140 hp.

    Menurut Renault, sekiranya Clio E-Tech ini dipandu di kawasan bandar, 80% pemanduan boleh dibuat dengan hanya kuasa elektrik, membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 40% lebih jimat berbanding versi petrol sepenuhnya. Clio E-Tech ini juga boleh bergerak pada kelajuan 75 km/j dalam mod elektrik penuh.

    Januari lalu, Mitsubishi turut mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan SUV kompak ASX generasi baharu. Model berkenaan juga merupakan kembar kepada Renault Captur, iaitu versi SUV untuk Clio – juga menggunakan platform CMF-B yang sama.

     
     
  • Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Selepas tular banyak gambar gambar-gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 di sekitar Johor Bahru sejurus pintu sempadan dibuka bermula 1 April lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan bahawa mereka telah menerima tujuh aduan berhubung dakwaan penyelewengan petrol bersubsidi berkenaan.

    Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam dalam laporan Bernama, kesemua kes berkenaan dilaporkan berlaku di Johor dan dua stesen minyak kini sedang disiasat, dan siasatan berkenaan sedang dimuktamadkan. Azman mengulas perkara tersebut dalam satu sidang media di Putrajaya semalam.

    “Jika kuantiti petrol RON 95 digunakan pihak yang tidak berkelayakan, ia akan menjejaskan bekalan untuk rakyat kita sendiri,” kata Azman.

    Selain dari membuat siasatan berkenaan aduan yang diterima, KPDNHEP turut telah menjalankan pemantauan rutin di stesen-stesen minyak sekitar Johor Bahru bermula 4 April lalu bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON95 yang masih diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia.

    Salah guna RON95 oleh warga Singapura: dua stesen minyak di Johor Bahru sedang disiasat – KPDNHEP

    Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Buat masa sekarang petrol RON95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM3.91 seliter.

    Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.47 (RM10.77) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna , Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas juga mengingatkan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan tegas.

     
     
  • Hyundai Kona Electric – 13 unit telah diserah kepada pelanggan di M’sia, 100+ unit pertama habis dijual!

    Hyundai Kona Electric – 13 unit telah diserah kepada pelanggan di M’sia, 100+ unit pertama habis dijual!

    Selepas dilancarkan pada November tahun lalu, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini sudahpun menyerahkan 13 unit pertama Hyundai Kona Electric kepada pelanggan di Malaysia. Penyerahan bersejarah ini dibuat di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, menyaksikan Kona Electric dalam semua varian – Lite, PLus dan Max – serta pelbagai warna badan telah diterima oleh pelanggan-pelanggan awal yang menempah SUV kuasa elektrik sepenuhnya (EV) itu.

    Menurut HSDM, kumpulan pertama Kona Electric yang berjumlah lebih 100 unit telah pun habis dijual dalam masa yang singkat sejurus model ini dilancarkan. Ia dijual pada harga bermula RM149,888 untuk varian asas Lite dengan bateri 39.2 kWj, RM169,888 untuk varian Plus dengan bateri yang sama tetapi diberikan kelengkapan lebih tinggi. Model dengan bateri berkapasiti paling besar 64 kWj iaitu varian Max pula dijual pada harga RM199,888.

    Bagi model Lite dan Plus, bateri berkenaan membolehkan ia bergerak sejauh 305 km untuk satu cas penuh. Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/393 Nm, bagi memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksima 155 km/j.

    Manakala untuk varian Max, bateri 64 kWj tersebut membolehkan SUV berkenaan bergerak sejauh 484 km dengan sekali cas. Dipadankan dengan motor 204 PS/395 Nm yang lebih berkuasa, varian tertinggi ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 167 km/j.

    “Segmen EV yang semakin berkembang terus mempunyai potensi yang luas di Malaysia dalam masa yang sama kami berusaha ke arah penyahkarbonan dalam industri automotif. Kami terus fokus untuk menyokong penggunaan EV, seterusnya menyumbang kepada Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon kerajaan. Oleh itu, kami gembira melihat maklum balas yang sangat positif daripada pelanggan terhadap Hyundai Kona Electric, jelas menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap kenderaan EV di kalangan rakyat Malaysia,” kata Jeffrey Gan, pengarah urusan peruncitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia.

    “Kona Electric dan Ioniq 5 telah merekodkan maklum balas yang menakjubkan. Ini sememangnya mencerminkan penerimaan pasaran yang semakin meningkat oleh pelanggan dan pengiktirafan terhadap manfaat besar EV. Kami berbesar hati untuk menyerahkan kumpulan pertama Kona Electric kepada pelanggan, dan memandangkan kadar pengambilan yang kukuh dengan tempahan masuk dengan pantas, kami menggalakkan pelanggan membuat pesanan mereka secepat mungkin!” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM.

    Pemilik-pemilik Kona Electric kumpulan pertama ini akan menerima kad ChargEV secara percuma, yang memberikan akses kepada lebih 300 stesen pengecas di seluruh negara. Menurut HSDM, mereka mempunyai sekumpulan juruteknik untuk EV, yang telah diberikan latihan servis dan penyelenggaraan berkelas dunia oleh Hyundai. Kemahiran juruteknik-juruteknik ini ditambah lagi dengan latihan tambahan yang diberikan oleh Kolej Automotif TOC.

    Berminat dengan Kona Electric ini? Anda boleh melihat dengan lebih dekat dan memandu uji model berkuasa elektrik sepenuhnya brkenaan di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, Jalan Klang Lama dan juga di Citystore Pulau Pinang.

    Hyundai Kona Electric Lite 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

    Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

     
     
  • Yamaha Y15ZR 2022 tiba dalam warna baru – RM8.5k

    Yamaha Y15ZR 2022 tiba dalam warna baru – RM8.5k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan penampilan baru bagi Y15ZR tahun 2022, yang terdiri daripada satu warna baru, iaitu hijau gelap dengan grafik hitam serta biru, kelabu dan cyan yang hadir dengan grafik berbeza berbanding sebelum ini. Harga untuk model ini adalah RM8,498, iaitu meningkat sedikit berbanding RM8,168 yang ditetapkan pada tahun 2020.

    Perincian lain Y15ZR V2 ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

    Harga yang dinyatakan di atas adalah harga cadangan pengeluar, dan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Honda Malaysia telah mengumumkan pelantikan Hironobu Yoshimura sebagai Pengarah Urusan dan CEO baharu berkuatkuasa 1 April 2022. Perlantikan Yoshimura adalah bagi menggantikan Madoka Chujo, yang kembali ke Jepun untuk memegang jawatan baharu di Honda Motor Company dalam jabatan jualan bagi unit penyeliaan operasi jualan automobil.

    “Saya sangat teruja dengan peranan baharu di Honda Malaysia. Ini adalah negara unik dan merupakan pasaran penting di rantau Asia dan Oceania bagi kami di Honda. Rakan sejawatan saya yang terdahulu telah membina jenama Honda di Malaysia dengan mencapai kejayaan seperti sekarang ini; sebagai pelopor dalam memperkenalkan teknologi termaju Honda di rantau ini, melancarkan model baharu yang menarik dan menerajui segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama bertahun-tahun,” ulas Yoshimura.

    Tambah beliau, “Paling penting, Honda Malaysia telah melalui pelbagai cabaran yang mendatang sejak sekian lama. Saya berharap untuk menerajui syarikat dalam persekitaran perniagaan pasca pandemik dan menyumbang secara positif ke arah pertumbuhan syarikat.”

    Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai CEO, Pengarah Urusan baru; gantikan Madoka Chujo

    Yoshimura memiliki pengalaman selama 34 tahun dan telah membina kepakarannya dalam pelbagai cabang bagi perancangan korporat, perancangan perniagaan, pemasaran dan juga perkhidmatan selepas jualan. Sebelum ditugaskan ke Malaysia, beliau merupakan Presiden dan CEO bagi Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited dan turut memegang beberapa jawatan penting di negara lain termasuk Jepun dan Thailand.

    “Saya juga berbesar hati untuk berkongsi berdasarkan data dalaman kami, di mana tiga model Honda telah mendahului segmen masing-masing bagi suku pertama 2022. Model tersebut ialah City, City Hatchback serba baharu dan Civic serba baharu,” kata beliau lagi.

    Rakan sejawat Yoshimura yang terdahulu, Chujo, pertama kali menyertai Honda Malaysia pada April tahun lalu, walaupun dalam tempoh perkhidmatan yang singkat, syarikat tersebut telah menperoleh pencapaian yang ketara. Ini termasuk mengekalkan kedudukan teratas dalam segmen kenderana penumpang bykan nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2014, serta pelancaran City Hatchback pada Disember 2021 dan Civic terbaharu pada Januari 2022. Chujo juga berkesempatan meraikan pencapaian satu juta unit pengeluaran baru-baru ini.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    Dengan pengenalan Ford Ranger Raptor generasi kedua, model prestasi bagi trak pikap berkenaan bakal dilengkapi dengan pilihan enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 serta enjin 2.0 liter biturbo diesel yang turut digunakan oleh Ranger versi lain.

    Bagi pasaran Australia, ada khabar angin menyatakan varian prestasi tinggi itu akan dikuasakan oleh enjin petrol di sana, dengan unit diesel akan memasuki pasaran lain, lapor Car Expert.

    “Enjin V6 petrol selalu menjadi nadi bagi Ranger Raptor bagi model generasi ini, tetapi kami juga sedia maklum yang ada pelanggan masih inginkan penjimatan dari enjin diesel. Untuk itu, penawaran enjin biturbo empat-silinder diesel untuk sesetengah pasaran akan diteruskan,” ujar Ketua Jurutera Program Ranger Raptor, Dave Burn.

    Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L biturbo diesel akan ditawarkan, 3.0L V6 untuk pasaran terpilih

    “Bukan di Australia, tetapi di pasaran lain yang mana enjin V6 kurang sesuai, enjin biturbo empat-silinder diesel akan diteruskan,” sambungnya, merujuk kepada unit 2.0 liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 213 PS dan 500 Nm.

    Enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 pada Ranger Raptor menghasilkan 397 PS pada 5,650 rpm dan 583 Nm tork pada 3,500 rpm, yang digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan dan pacuan empat roda — ini enjin yang sama ditawarkan pada Ford Ranger Raptor 2023 yang dijual di Thailand.

    Ranger Raptor juga dibezakan dengan kelengkapan prestasi untuk off-road, seperti penyerap hentak 2.5-inci Fox dengan ciri Live Valve serta lengan atas dan bawah aluminium ringan dan sistem kawalan Bottom-Out yang menghindari kenderaan daripada hilang kestabilan ketika memecut. Tayar yang digunakan oleh Ranger Raptor 2023 ini adalah BFGoodrich K02 dengan saiz 285/70R17.

     
     
  • Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    Sama seperti pengeluar lain, Perodua juga tidak terkecuali menerima kesan daripada Covid-19, yang mengganggu bekalan komponen serta pengeluaran. Meskipun masalah ini masih wujud sehingga sekarang, syarikat itu memberitahu mereka dapat bekerjasama dengan pembekal dan pengedar untuk mengurangkan kesannya.

    Ini dapat dilihat melalui jumlah jualan yang bertambah baik pada suku pertama tahun 2022, di mana mereka menjual 61,624 buah kenderaan, iaitu peningkatan 6.4% berbanding jumlah 57,909 yang dicatat tempoh sama tahun lepas. Pada bulan Mac, Perodua mendaftar 26,759 buah kenderaan, dan ini bersamaan peningkatan 9.5% berbanding 24,433 unit yang dijual pada bulan sama tahun lepas.

    Sempena syarikat itu sedang cuba mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelangan sebelum pengecualian cukai berakhir 30 Jun ini, presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk menyambung lagi tempoh pengecualian cukai ini, seperti permohonan yang dibuat oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Perodua minta kerajaan pertimbangkan sambungan tempoh pengecualian cukai, dapat bantu pertumbuhan

    “Perodua juga menyokong permohonan yang dibuat oleh MAA untuk menyambung lagi tempoh pengecualian cukai jualan ini disebabkan faktor-faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor di seluruh dunia dan kes Covid-19 masih memberi impak kepada industri,” kata beliau sambil menambah bahawa langkah itu akan banyak membantu industri.

    “Buat masa sekarang, ekosistem automotif tempatan baru mula hendak pulih dan sambungan pengecualian cukai jualan ini adalah sesuatu yang diperlukan demi mengekalkan pertumbuhan dalam waktu pemulihan ini,” jelas beliau. Zainal berkata, industri automotif, termasuk ekosistem tempatannya dapat mengekalkan permintaan yang tinggi dan menyokong industri sepanjang waktu pandemik hasil daripada inisiatif cukai jualan yang dibuat oleh kerajaan ini.

     
     
  • KPDNHEP pantau stesen minyak sekitar Johor Bahru, elak kenderaan Singapura isi petrol RON95 bersubsidi

    KPDNHEP pantau stesen minyak sekitar Johor Bahru, elak kenderaan Singapura isi petrol RON95 bersubsidi

    Selepas tular gambar-gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 di sekitar Johor Bahru tempoh hari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah pun melakukan pemantauan di stesen-stesen minyak sekitar bandaraya berkenaan bermula semalam.

    Menurut hantaran yang dibuat di laman Facebook KPDNHEP Johor, pemantauan rutin ini dijalankan bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna petrol RON95 yang masih diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia.

    Lebih dari 40 stesen minyak telah diperiksa oleh KPDNHEP bermula pukul 9.00 malam semalam, melibatkan stesen-stesen minyak di sepanjang Jalan Tebrau menghala ke Jalan Pandan, sepanjang Jalan Tun Razak menghala ke jalan Skudai, sepanjang Lingkaran Dalam, Jalan Tampoi, Senai dan Kulai.

    “Selain daripada membuat peringatan kepada pekerja di stesen minyak, teguran juga diberikan kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran negara asing agar tidak membeli RON95.

    “Sehubungan dengan itu, KPDNHEP Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang,” tulis KPDNHEP dalam hantaran media sosial berkenaan.

    Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Buat masa sekarang petrol RON95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM3.91 seliter.

    Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.47 (RM10.77) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.

     
     
  • BMW 3 Series facelift 2022 – gambar sedan elektrik i3 di China beri petunjuk perubahan yang akan diberi

    BMW 3 Series facelift 2022 – gambar sedan elektrik i3 di China beri petunjuk perubahan yang akan diberi

    Di China, BMW telah melancarkan i3 serba baru, yang merupakan versi elektrik penuh bagi 3 Series G20 yang berada dalam pasaran sekarang. Menariknya tentang kereta ini, selain penggeraknya, ia juga menjadi petunjuk awal kepada perubahan yang akan diberi kepada 3 Series G20 nanti kerana rekaan dalam dan luarnya melibatkan banyak beza.

    Paling utama adalah lampu hadapan yang kini lebih nipis dan mempunyai DRL berbentuk C, sementara bahagian bawah lampu itu pula kini bergaris lurus sahaja dan tidak mempunyai lekuk seperti sekarang. Gril juga mempunyai bentuk lain yang lebih berpetak dan tegak, tetapi masih tidak menjadi lebih besar.

    Perubahan pada bampar melibatkan garis-garis yang lebih licin serta bukaan udara tepi yang lebih ringkas, manakala di tepi pula terdapat tambahan sirip udara Air Breather. Bampar belakang juga kini mempunyai lekuk yang berbeza, dan sudah tentu pada i3 yang merupakan kereta elektrik, ia tidak mempunyai muncung ekzos.

    Masuk ke dalam, perkara pertama yang dapat diilhat adalah skrin besar di tengah yang bersambung dengan panel instrumen, serta menggunakan BMW Operating System 8 seperti i4. Malahan sebenarnya, keseluruhan papan pemuka ini nampak sama seperti sedan elektrik BMW yang lain, termasuklah panel bawah corong pendingin hawa serta butang kawalan media.

    Ada beberapa butang yang sudah tiada pada papan pemuka i3 baru ini, termasuk skrin kecil untuk paparan sistem pendingin hawa di antara dua corong di tengah, dan fungsinya dimasukkan terus ke dalam skrin sesentuh. Bahagian lain seperti konsol tengah serta stereng masih lagi sama seperti G20 sekarang.

    BMW mungkin boleh menjadikan panel skrin lebar ini hanya eksklusif untuk model i3, bagi membezakannya dengan 3 Series biasa (seperti yang dilakukan pada 4 Series Gran Coupe dan i4), tetapi perubahan lain pada papan pemuka mungkin akan dibawa kepada 3 Series facelift nanti.

     
     
  • Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4% – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4%  – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    Walau pun berhadapan dengan cabaran termasuk impak Covid-19 dan isu bekalan rantaian, Perodua masih mencatatkan rekod jualan yang memberangsangkan untuk suku pertama (Q1) tahun 2022 dengan sejumlah
    61,624 kenderaan telah didaftar, meningkat sehingga 6.4% berbanding 57,909 kenderaan yang dijual dari Januari dan Mac 2021.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, “Kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun kami telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar kami untuk mengurangkan impak tersebut. Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan kami sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

    “Perodua turut bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri.”

    Peneraju pasaran automotif ini telah mendaftarkan sebanyak 26,759 kenderaan pada Mac 2022, meningkat sebanyak 9.5% berbanding 24,433 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu. Berbanding Februari 2022, jualan meningkat sebanyak 53.2% dari 17,421 unit. Angka jualan bulan lalu tidak jauh bezanya dengan yang dicatatkan pada Oktober 2021 iaitu sebanyak 27,858 unit yang disifatkan sebagai rekod jualan bulanan tertinggi bagi Perodua.

    Perodua jual 61,624 kereta pada Q1 tahun 2022, naik 6.4%  – sasaran keseluruhan 247,800 unit dikekalkan

    “Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif di mana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.

    “Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambahbaik. Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang,”katanya lagi sambil menambah sasaran jualan 247,000 unit untuk tahun ini akan dikekalkan.

    Jika Perodua berjaya mencapai sasaran tersebut, ini bermakna syarikat tersebut bakal mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 30.2% berbanding 190,291 unit yang dihantar pada tahun lalu. Pastinya model MPV Alza D27A yang bakal dilancarkan tidak lama lagi mampu membantu melonjakkan lagi jualan Perodua.

     
     
  • BMW iX3 M Sport Impressive 2022 di M’sia naik harga sehingga RM3k – EV dari RM319k dengan rebat SST

    BMW iX3 M Sport Impressive 2022 di M’sia naik harga sehingga RM3k – EV dari RM319k dengan rebat SST

    Harga bagi BMW iX3 di Malaysia juga telah dikemaskini, dengan varian spesifikasi tertinggi kini lebih mahal sebanyak RM3,000 berbanding yang dilaporkan pada pertengahan bulan lalu. Buat masa ini, pra-tempahan secara dalam talian bagi SUV elektrik ini telah pun dibuka dengan yuran sebanyak RM5,000, dan sesiapa yang berminat bolehlah menempahnya.

    Senarai harga terkini (efektif 14 Mac 2022), varian Impressive berharga RM318,608.94 atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti asas dua-tahun, tanpa had perbatuan dengan rebat jualan dan perkhidmatan (SST) yang masih berlangsung sehingga 30 Jun 2022 – pengecualian sebanyak 50% memandangkan iX adalah model import sepenuhnya (CBU).

    Sebelum ini, harganya adalah RM315,608.94, dan jika anda inginkan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis lima-tahun/100,000 km, harganya akan meningkat menjadi RM334,248.94 (sebelum ini RM331,248.94).

    Manakala bagi varian Inspiring, harganya dikekalkan pada RM298,354.69 dengan pakej waranti asas, atau
    RM313,994.69 dengan waranti lanjutan dan pakej servis. Kedua-dua varian turut ditawarkan dengan Power Package (22 kW AC home wallbox dan kabel pengecas Type 2) yang melibatkan kos tambahan sebanyak RM5,000.

    Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

    Harga tersebut adalah selepas mendapat pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk kenderaan elektrik (EV), yang membuatkan iX3 lebih murah – kurang RM10,200 untuk Inspiring dan RM8,200 bagi Impressive.

    Kedua-dua varian menampilkan motor elektrik yang diletakkan di belakang, yang mampu memberikan 210 kW (286 PS) dan tork 400 Nm, yang membolehkannya dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    E-Motor itu dijanakan oleh bateri lithium-ion 73.8 kWh yang mampu memberikan jarak antara 453 dan 461 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan mengambil masa sekitar tujuh jam 30. init dengan menggunakan kuasa pengecasan AC secara maksimum pada kadar 11 kW, tetapi jika menggunakan pengecasa pantas DC sehingga 150 kW, kadar 0-80% pengecasan dapat dicapai dalam 32 minit.

    Model asas Inspiring didatangkan dengan pakej M Sport, lampu utama LED adaptif, roda aloi aero dinamik Style 842 19-inci, upholstery kulit Vernasca, papan pemuka balutan kulit tiruan Sensatec, kemasan dalaman aluminium dengan Pearl Chrome dan switchgear perak.

    Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Inspiring

    Turut diberikan ciri kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam adaptif, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu automatik tiga-zon, pengecas tanpa wayar Qi, bumbung suria panoramik, bantuan parkir dengan Bantuan Mengundur, 12-pembesar suara, sistem bunyi 205-watt, kamera undur dan tailgate bukaan bebas-tangan.

    Mankala model Impressive pula diberikan ciri tambahan berbanding Inspiring, seperti lampu utama Laserlight, roda aloi Style 890 M 20-inci, paparan utama, kaca akustik untuk cermin sisi hadapan, kawalan pergerakan, 16-pembesar suara, sistem bunyi Harmon Kardon, sistem kamera 360-darjah dan bunyi pemanduan sintetik IconicSounds Electric.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pakej Driving Assistant Professional, yang memberikan pelbagai ciri keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control with Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, Emergency Stop Assist serta Adaptive High Beam.

    Model iX3 ini juga didatangkan dengan ciri standard amaran bunyi untuk pejalan kaki dan Active Protection, iaitu satu sistem yang mengetatkan tali pinggang serta mengunci semua tingkap sekiranya mengesan sebarang risiko perlanggaran (seperti Pre-Safe Mercedes-Benz).

    GALERI: BMW iX3 M Sport Impressive di Malaysia

     
     
  • Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Susulan pengumuman yang dibuat semalam berkaitan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) yang menawarkan untuk membeli saham empat konsesi lebuhraya berkait Gamuda, Menteri Kanan Kerjaraya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lebih banyak penstrukturan semula dengan pengendali lebuhraya sedang dirancang.

    “Kerajaan mengalu-alukan sektor swasta untuk tampil dengan terma seperti ini, yang mana syarikat konsesi akan menyerahkan semula lebuhraya kepada kerajaan sebaik sahaja mereka melangsaikan hutang. Ini akan meringankan beban rakyat. Akan ada rundingan berkaitan penstrukturan semula melibatkan konsesi lebuhraya lain selepas ini,” kata beliau, seperti dilaporkan Bernama.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kadar tol lebuhraya yang dikendalikan oleh empat konsesi — Kesas, Smart Tunnel, Sprint dan LDP — tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi mereka tamat, dan ini akan dilakukan dengan cara menstruktur semula empat syarikat berkenaan.

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    Penstrukturan ini melibatkan ALR — disifatkan sebagai syarikat swasta, tidak berasaskan keuntungan dengan mandat untuk membantu kerajaan dengan urusan berkenaan — yang menawarkan untuk mengambilalih saham kesemua empat konsesi berkenaan, ang melibatkan nilai keseluruhan RM5.48 bilion menurut Gamuda.

    Langkah ini disifatkan akan membolehkan kerajaan jimat sekurang-kurangnya RM4.3 bilion dalam bentuk subsidi, yang sepatutnya dibayar bermula 1 Januari tahun ini hingga berakhirnya tempoh konsesi, yang akan dilanjutkan disebabkan urusan ini (semua kecuali bagi Smart Tunnel, yang tempohnya akan dipendekkan).

    Fadillah juga berkata tiada sebarang perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan dalam urusan ini, serta kerajaan juga tidak memberikan jaminan pembiayaan oleh ALR untuk mengambilalih konsesi berkaitan. Beliau menambah, dengan kaedah penstrukturan ini, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang hanya mementingkan pulangan dan dividen. ALR juga dikehendaki untuk menyerap dan mengekalkan semua pekerja daripada empat konsesi berkenaan.

    Siapa pihak ALR ini? Pada Mei 2021, The Edge melaporkan yang Gamuda sedang dalam perbincangan untuk menjual empat konsesi lebuhrayanya kepada sebuah amanah lebuhraya swasta, sebuah entiti mandiri yang didanai sepenuhnya oleh pasaran kapital hutang swasta.

    Lebih banyak penstrukturan semula konsesi lebuhraya selepas perjanjian swasta antara ALR dan Gamuda

    “Kami juga menekankan bahawa cadangan berkenaan melibatkan pengekalan kadar tol semasa tanpa ada sebarang kenaikan di masa hadpaan, dengan lanjutan singkat konsesi untuk mengelakkan kerajaan daripada membayar sebarang pampasan (yang diperlukan secara undang-undang menurut perjanjian konsesi sedia ada) kerana mengekalkan kadar tol seperti sedia ada, sepanjang tempoh cadangan itu,” jelas Gamuda.

    “Dalam kertas cadangan kami, kerajaan tidak memiliki sebarang kepentingan dalam pembelian entiti berkenaan, dan untuk itu tidak perlu membelanjakan sebarang wang dalam pengambilalihan itu, serta tidak juga perlu memberikan jaminan kerajaan,” tambah kenyataan itu.

    Jika semua ini macam pernah didengar, ini kerana pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan menawarkan RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat konsesi tol yang sama berkait dengan Gamuda. Bezanya kini adalah kerajaan telah berhasil untuk tidak membelanjakan sebarang wang untuk perjanjian itu, serta tidak perlu menyelenggara dan mengendali semua lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Setelah pelbagai teaser disiarkan sebelum ini, Honda akhirnya mendedahkan beberapa imej penuh dan juga informasi awalan untuk HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat, yang tampil dengan rupa berbeza berbanding HR-V generasi ketiga pasaran lain di seluruh dunia.

    Pertama sekali, HR-V pasaran Amerika Syarikat ini adalah lebih besar kerana ia bukan lagi SUV segmen-B, sebaliknya ia adalah model segmen-C dihasilkan dari platform yang sama seperti Honda Civic generasi ke-11, dan Honda sendiri mengesahkan bahawa ia menampilkan jarak roda dan lebih lebar berbanding model sebelumnya.

    Jadi bukan sahaja saiznya lebih besar, malah model ini turut menerima sistem suspensi jenis bebas di belakang (kemungkinan besar menggunakan sistem multilink yang sama dengan Civic) berbanding HR-V pasaran lain yang hanya menggunakan torsion beam.

    HR-V baharu untuk AS ini juga menampilkan rupa yang jauh berbeza. Ia diberikan muka ‘gaya Amerika’ yang tidak sama seperti model-model terkini Honda yang lain dengan menampilkan gril oktagon bersaiz besar, bersama lampu hadapan LED yang nipis, lengkap dengan lampu nyalaan siang LED bina-dalam berbentuk-L.

    Honda HR-V 2023 pasaran AS didedahkan – platform Civic, model global saingan Toyota Corolla Cross

    Bahagian bawah gril turut diberikan liang udara berbentuk trapezoid yang bersambung kemasan berbentuk-C pada kedua-dua sisi, menyerlahkan imej lasak SUV ini. Berbanding HR-V pasaran lain yang tampil dengan bentuk bersegi, HR-V di AS ini diberikan garis-garis badan sisi yang lebih beralun.

    Cermin sisi diletakkan pada bahagian pintu tanpa menggangu cermin tingkap seperti Civic bagi memberikan padangan lebih baik. Dengan saiz yang lebih besar juga HR-V ini menampilkan bonet hadapan yang lebih panjang serta tambahan satu lagi cermin tingkap suku di belakang pintu.

    Bahagian belakang model ini tidak menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya, sebaliknya diberikan lampu jenis ‘two-piece’ yang juga tidak bersegi, bersama perumah nombor pendaftaran yang diletak tinggi. Tiada imej bahagian kabin ditunjukkan kali ini. Namun boleh diagak ia bakal menerima papan pemuka ringkas yang seiras dengan Civic.

    Juga tiada sebarang perincian unit rangkaian kuasa dinyatakan, dan sekali lagi ia berkemungkinan besar berkongsi sistem mekanikal yang sama dengan Civic. Di AS, Civic ditawarkan dengan pilihan enjin NA 2.0 liter i-VTEC DOHC berkuasa berkuasa 158/187 Nm dan juga 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 180 hp/240 Nm – kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Berminat dengan HR-V pasaran AS ini berbanding HR-V generasi ketiga yang bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi? Ini mungkin berita baik untuk anda – Honda sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa HR-V pasaran AS ini sebenarnya adalah model global yang akan turut dipasarkan ke seluruh dunia, dan tidak mustahil ia akan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.

    Namun untuk pasaran luar Amerika Syarikat, ia tidak akan menggunakan nama HR-V, tetapi akan diberikan nama lain kelak. Ini bermakna model ini akan diletakkan di antara HR-V segmen-B dan juga CR-V – atau dalam kata lainnya ia adalah lawan terus kepada Toyota Corolla Cross yang dihasilkan dengan konsep dan saiz yang lebih kurang sama.

    Tetapi sekiranya model ini dijual di Asia Tenggara dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo serta menampilkan suspensi multilink di belakang (berbanding hanya torsion beam pada Corolla Cross), mungkin ia akan memberi ancaman terhadap SUV dari Toyota berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024