Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

    TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

    Honda Fit (atau Jazz di Malaysia) generasi seterusnya baharu sahaja diperkenalkan sekitar dua bulan lalu di Tokyo Motor Show 2019, dan rata-rata menyatakan ia kelihatan sangat comel, berbeza dengan imej agresif pada model generasi GK sebelum itu. Jadi ketika berlangsung Tokyo Auto Salon 2020, penala berprestasi tinggi jenama tersebut, Mugen, mendedahkan ‘penawar’ untuk masalah tersebut dengan mendedahkan dua kit prototaip berbeza diberi nama Dash dan Skip, tetapi dipadankan hanya pada sebuah kereta.

    Penampilan kereta ini di Makuhari Messe tadi terus mengingatkan saya kepada jentera F1 BAR Honda 01 pada tahun 1999 yang menggunakan livery ‘two face’ dengan grafik Lucky Strike di sebelah kiri serta 555 di sebelah kanan. Untuk model prototaip Mugen Fit ini, versi Skip berwarna putih-hijau ditunjukkan pada sebelah kiri, manakala Dash berwarna merah pada sebelah kanan.

    Kita mulakan dengan Dash dahulu. Ini merupakan versi yang paling garang antara keduanya, bukan sahaja kerana warnanya yang merah menyala, malah meriah dengan panel-panel dari gentian karbon. Kit badan versi ini dimulakan dengan pemadanan kemasan tambahan pada bampar hadapan yang memberikan apron dan spoiler yang lebih agresif.

    TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

    Kemudian ia bersambung dengan skirt sisi lebih labuh, diakhiri dengan diffuser udara pada bampar belakang, dan juga spoiler belakang bersaiz besar di atas. Kemudian gril hadapan, penutup cermin sisi dan juga panel kemasan nombor plat belakang digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon.

    Anda jangan tertipu dengan sirip pada bahagian atas fender hadapan Fit ini, kerana ia bukan sirip sebenar, sebaliknya hanyalah sekadar pelekat badan, begitu juga jalur sirip yang sama ditampal pada bahagian bawah pintu. Penampilan Dash yang garang ini dilengkapkan dengan muffler S Flow Mugen, dan juga rim asli Mugen MDE bersaiz 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 205/45R17.

    Beralih ke Skip pula, seperti yang anda lihat ia nampak lebih lembut, tetapi jika dibandingkan Fit Modulo X Concept yang juga didedahkan di TAS 2020, ia masih kelihatan jauh lebih garang.

    Skip tidak diberikan panel yang menutup bampar hadapan, tetapi hanya menerima spoiler di bahagian bawah.Skirt sisi Skip ini juga tidak selabuh Dash, namun spoiler belakang antara kedua mereka adalah sama – kesemua kit badan dan juga bahagian dari tiang-A hingga tiang-C diwarnakan hijau, kontras dengan warna badan putih.

    Manakala panel-panel karbon pada Dash digantikan dengan panel plastik pada Skip, dengan rekaan yang lebih sopan, juga diberikan kemasan berwarna hijau, bersama hitam pada kawasan tertentu. Walau bagaimanapun, set rim dan tayar pada Skip ini adalah sama dengan Dash.

    Pada bahagian dalaman, Skip dan Dash tidak menerima perubahan ketara. Mugen hanya memadankan berberapa aksesori asli mereka pada kabin hatchback segmen-B ini dengan peralatan seperti butang penghidup enjin, cermin pandang belakang (gentian karbon) karpet kaki, kemasan grafik gentian karbon pada bendul sisi pintu depan dan belakang serta pelindung bahagian bawah panel dalaman pintu.

    Walaupun semua perincian berkenaan kereta ini ditulis dalam bahasa Jepun dan kami tidak faham, apa yang kami pasti adalah Mugen tidak mendedahkan sebarang perincian untuk enjin. Honda sendiri juga masih lagi belum mendedahkan spesifikasi enjin yang ditawarkan untuk Fit ini dan hanya memberitahu bahawa versi hibrid akan dijana oleh sistem i-MMD dua motor baharu. Segala spesifikasi mungkin didedahkan ketika pelancaran sebenar Fit 2020 ini pada pasaran Jepun bulan hadapan.

    Mugen juga masih belum memberitahu adakah kit ini akan dijual dalam pasaran atau tidak. Tetapi dengan rupa yang seakan bersedia untuk diproduksi, tidak mustahil kit ini akan ditawarkan untuk pelanggan pada masa akan datang.

    GALERI: Mugen Fit Dash Prototype

    GALERI: Mugen Fit Skip Prototype

     
     
  • TAS2020: Honda Civic Type R facelift 2020 muncul – sistem brek, talaan suspensi baru, rupa beza sedikit

    TAS2020: Honda Civic Type R facelift 2020 muncul – sistem brek, talaan suspensi baru, rupa beza sedikit

    Tanpa apa-apa pengumuman awalan, Honda tiba-tiba mendedahkan Civic Type R FK8 facelift 2020 ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon hari ini. Model ini tampil dengan rupa sedikit berbeza dan diberikan perubahan pada berberapa ciri mekanikal.

    Type R FK8 yang disegarkan ini menerima perubahan pada bampar hadapan yang menyerupai versi facelift standard sedan dan hatchback yang telah didedahkan tahun lalu. Menurut Honda, rekaan baharu pada gril hadapan yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril atas dan bawah baharu ini memberikan aliran udara yang lebih banyak bagi menyejukkan enjin.

    Kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bahagian kabin kereta ini, tetapi Honda menyatakan versi baharu tersebut diberikan roda stereng yang dibaluti Alcantara, tombol gear yang direka semula serta tuil short shifter yang memberikan tukaran gear yang lebih pendek dan cepat dari model sebelumnya.

    TAS2020: Honda Civic Type R facelift 2020 muncul – sistem brek, talaan suspensi baru, rupa beza sedikit

    Model kemaskini juga diberikan sistem brek dengan rotor hadapan jenis two-piece bersama pad brek baharu, yang direka bagi memberikan keberkesanan brek yang lebih baik pada kelajuan tinggi, serta mengurangkan risiko untuk berlakunya fenomena brake fade.

    Honda juga mengesahkan bahawa suspensi Civic Type R ini telah ditala semula bagi memberikan keselesaan yang lebih baik, bersama set bushing untuk suspensi belakang yang lebih keras bagi memberikan cengkaman yang lebih baik. Manakala pada suspensi hadapan, suspensi hot-hatch ini menerima rombakan bagi memberikan respon yang lebih baik pada stereng dan mengurangkn geseran.

    Untuk lebih selesa, Civic Type R ini juga hadir dengan Kawalan Bunyi Aktif, yang akan mengawal bunyi dalam kabin bergantung pada mod pemanduan yang di pilih. Tiga mod pemanduan pada model ini – Comfort, Sport dan +R masih lagi tidak berubah. Bagi keselamatan pula, ia hadir dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

    Tiada perubahan dilakukan pada enjin dan transmisi, di mana FK8 ini masih dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, lengkap dengan LSD.

    Honda turut mengumumkan bahawa Civic Type R FK8 2020 ini akan hadir dengan warna biru baharu yang digelar dengan nama Boost Blue. Model ini akan mula dijual pada pasaran tertentu bermula tahun ini.

     
     
  • Volkswagen Passat facelift 2020 dilancarkan di M’sia – 2.0 TSI Elegance, DSG 7-kelajuan baharu, RM188k

    Volkswagen Passat facelift 2020 dilancarkan di M’sia – 2.0 TSI Elegance, DSG 7-kelajuan baharu, RM188k

    Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan model Passat B8 versi facelift dengan varian tunggal 2.0 TSI Elegance. Model segmen-D ini hadir dengan rekaan yang dipertingkatkan dan turut menampilkan beberapa teknologi baharu.

    Tidak seperti pasaran negara lain, Malaysia tidak menerima kemasukan varian enjin 1.8 TSI, sebaliknya hanya menampilkan penjana kuasa 2.0 liter TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah Direct Shift (DSG) tujuh-kelajuan baharu yang telah ditambah baik. Gabungan penjana kuasa ini mampu menjana output sehingga 190 PS dari 4,180-6,000 rpm dan tork 320 Nm dari 1,500-4,180 rpm. Sebenarnya enjin ini ditala dengan kuasa lebih rendah berbanding 220 PS/350 Nm untuk model pre-facelift.

    Walau bagaimana pun, Volkswagen mendakwa, Passat baharu ini menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.5l/100 km, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar seperti yang dijelaskan oleh WLTP (Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Selari Dunia).

    Volkswagen Passat facelift 2020 dilancarkan di M’sia – 2.0 TSI Elegance, DSG 7-kelajuan baharu, RM188k

    Seperti mana yang diperkatakan di perenggan pertama, Passat baharu ini diberi perubahan untuk bahagian luaran. Wajah hadapannya ditampilkan lampu utama LED matrix IG.Light yang lebih nipis, gril yang direka semula serta bampar yang disambungkan dengan perumah lampu kabus yang lebih bersegi.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan rim aloi “Liverpool” 18-inci bersama tayar 235/45R18. Manakala bahagian belakangnya, Passat menerima bampar yang direka semula dengan kemasan ekzos berbentuk-trapezoidal. Malah turut memposisikan semula boot lid seperti model Arteon, dan turut ditampilkan dengan set lampu belakang LED baharu. Malahan perkataan “Passat” dialih ke bawah logo VW juga seperti pada model Arteon.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, rekaan yang lebih sedap mata memandang dengan imej yang lebih elegan, bergaya dan mewah. Antara ciri yang telah dinaik taraf termasuklah kemasan pintu rekaan baru, 30 pilihan warna lampu ambien dan stereng multi-fungsi untuk kemudahan dan ketersambungan dengan satu sentuhan butang sahaja dengan balutan kulit.

    Volkswagen Passat facelift 2020 dilancarkan di M’sia – 2.0 TSI Elegance, DSG 7-kelajuan baharu, RM188k

    Selain itu, turut ditampilkan ialah tempat duduk baharu balutan kulit dan 12-talaan secara elektrik, pendingin hawa Climatronic tiga-zon, tiga port USB-C beriluminasi dan ketersambungan Bluetooth.

    Manakala ciri baharu yang ditampilkan ialah kokpit digital TFT 11.7-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9.2-inci dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan, pelindung cahaya matahari cermin belakang kuasa.

    Dan buat pertama kalinya ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat di Malaysia. Ruang but pula berkapasiti 586 liter atau 1,152 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan ciri baharu termasuk Side Assist dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, sistem Pemantauan Titik Buta dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

    Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS dengan Bantuan Brek, Sistem Respon Pelanggaran Pintar (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

    Passat 2.0 TSI Elegance ini turut didatangkan enam warna dan dua kemasan. Warna-warna metalik terdiri daripada Aquamarine Blue, Manganese Grey, Reflex Silver dan Tamarind Brown. Sementara warna dengan efek mutiara ialah Deep Black dan Oryx White yang baharu, di mana tiada penambahan kos untuk pilihan warna ini.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM187,990 tanpa insuran, pembelian Passat 2.0 TSI Elegance ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan bersama tiga-tahun penyelenggaraan percuma, lima-tahun bantuan tepi jalan dan 15,000 km servis berkala.

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance mengikut pilihan warna

     
     
  • Harga minyak 11-17 Jan 2020: RON97 turun 3 sen

    Harga minyak 11-17 Jan 2020: RON97 turun 3 sen

    Minggu bertarikh 11 hingga 17 Januari 2020 menyaksikan penurunan harga runcit bagi petrol RON97 sebanyak 3 sen seliter iaitu daripada RM2.65 seliter kepada RM2.62 seliter.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.32 seliter dan RM2.46 seliter. Ini menunjukkan penurunan berbanding minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.35 seliter, manakala diesel yang berada pada paras RM2.43 seliter.

    Harga minyak 11-17 Jan 2020: RON97 turun 3 sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 4 hingga 10 Januari adalah berjumlah RM122.85 juta.

    Sepatutnya Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dilaksanakan mulai Januari 2020. Namun demikian, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa perlaksanaannya akan ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu yang bakal diumumkan nanti.

    Untuk makluman lain, mulai 1 Januari 2020 juga, petrol RON 95 di seluruh negara telah dipertingkatkan dari gred Euro 2M kepada Euro 4M. Stesen minyak termasuk Shell, Petronas, Petron, Caltex dan BH Petrol telah pun mengumumkan penjualan petrol RON 95 Euro 4M itu.

     
     
  • GALERI: BMW X1 sDrive20i M Sport F48 di Malaysia

    GALERI: BMW X1 sDrive20i M Sport F48 di Malaysia

    Seperti yang dikhabarkan, BMW X1 versi facelift F48 telah pun masuk ke pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dengan varian tunggal X1 sDrive20i M Sport dan model pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga atas jalan RM233,888 tanpa insurans dan RM13,000 lebih mahal berbanding model sebelumnya.

    Penjana kuasanya masih menggunakan enjin petrol B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan output sehingga 192 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 dan 4,600 rpm.

    Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan (dengan pedal penukar gear) dan pacuan roda-hadapan, dengan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum boleh mencecah 224 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi sekitar 6.5 liter per 100 km.

    Melihat gaya luarannya, ia kelihatan agak garang dan sporty. X1 baharu ini dipadankan dengan gril “kidney” trapezoid yang lebih besar bersama kemasan krom di sekelilingnya yang bersambung di bahagian tengah. Ia turut disambungkan dengan lampu utama LED yang direka semula bersama lampu nyalaan siang “corona ring” haksagon. Sementara lampu belakang juga dengan unit LED dan grafik dalaman baharu lebih bergaya.

    Sifat sporty pastinya lebih menyerlah dengan kehadiran elemen rekaan M Sport termasuk pada bampar hadapan yang lebih agresif dengan kemasan hitam berkilat serta lampu kabus LED. Ia turut menampilkan lapisan sama warna dengan badan, skirt sisi yang lebih kedalam dan juga bampar belakang yang juga sama dengan warna badan bersama diffuser yang lebih besar.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan corong paip ekzos berkembar dan roda aloi Style 570 M dua-tona 18-inci. Malahan ia turut dipadankan dengan suspensi M Sport yang pasif.

    GALERI: BMW X1 sDrive20i M Sport F48 di Malaysia

    Walau bagaimana pun, tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk kabinnya. Ia masih menampilkan papan pemuka yang sama dengan X2 dan ada port USB-C di belakang. Walau bagaimana pun, X1 versi Malaysia ini menampilkan material kulit upholstery Dakota dan didatangkan dengan kemasan aluminium dan serlahan Pearl Chrome.

    Ciri lain yang ada termasuk sistem navigasi dengan skrin sesentuh 8.8-inci, dan iDrive Operating System 6 dari generasi sebelumnya. Kemasukan tanpa kunci didatangkan secara standard, dengan tailgate kuasa bebas-tangan.

     
     
  • Subaru Forester UCK Special Edition tampil di S’pura

    Subaru Forester UCK Special Edition tampil di S’pura

    Selain memperkenalkan Subaru Forester GT Edition dan Forester e-Boxer di Singapore Motor Show yang sedang berlangsung, Motor Image turut mendedahkan versi konsep bagi SUV berkenaan, yang dipanggil Forester Ultimate Customised Kit Special Edition.

    Nama gelaran yang diberikan agak ‘nakal’, tetapi modifikasi yang dibuat untuk SUV ini memang serius, malahan terdapat beberapa ciri STI ditampilkan pada versi konsep ini.

    Ciri yang ditampilkan temasuklah kit badan penuh dengan lip tambahan bagi bampar hadapan dan belakang, sementara kemasannya pula dilatari warna biru dengan serlahan merah. Sentuhan kemasan pada luaran termasuklah roda aloi lima jejari-berkembar 20-inci dengan logo STI serta kit brek STI bersama kaliper berwarna hijau.

    Di sebalik cermin tingkap yang gelap, masih kelihatan bahagian dalamannya dengan bentangan Alcantara, dan sistem hiburan komprehensif – dengan skrin di belakang – sekali pandang modifikasinya bagaikan dari Pimp My Ride.

    Di bawah bonetnya, enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer masih dikekalkan, tetapi ditambah dengan palang topang STI, serta beberapa elemen STI lain termasuk penutup radiator dan penapis minyak. Adakah Forester versi ini menarik perhatian anda?

     
     
  • Kerajaan sasar pengguna pas My100 dapat nikmati penjimatan sehingga RM100 juta tahun ini – Loke

    Kerajaan sasar pengguna pas My100 dapat nikmati penjimatan sehingga RM100 juta tahun ini – Loke

    Untuk tahun ini, kerajaan mensasarkan pengguna pas perjalanan tanpa had My100 dapat menikmati penjimatan kira-kira RM100 juta, sekaligus memberikan penjimatan bagi kos sara hidup rakyat yang lebih efisien.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi tahun lalu sahaja, pengguna pas itu dapat menikmati penjimatan sebanyak RM47.38 juta apabila jumlah tambang yang mereka bayar adalah RM75.76 juta berbanding dengan harga tambang sebenar RM123.14 juta.

    “Sebanyak 1.17 juta pas itu dijual dengan 110,000 pengguna konsisten setiap bulan direkodkan pada tahun lalu, katanya. Secara purata, nilai yang digunakan adalah lingkungan RM1,000 setiap bulan, bayangkan pengguna hanya bayar RM100 berbanding kos RM1,000. Penjimatan sebanyak 90 peratus. Ini penjimatan amat ketara.

    “Tahun ini jumlah pembeli yang konsisten dijangka meningkat kepada 200,000 setiap bulan dan sasaran kita adalah untuk membantu menjimatkan wang rakyat,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Kerajaan sasar pengguna pas My100 dapat nikmati penjimatan sehingga RM100 juta tahun ini – Loke

    Tambahnya lagi, antara strategi untuk menarik pengguna melanggan My100 ialah memasarkan kepada syarikat korporat kerana terdapat pejabat korporat terletak berdekatan dengan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar ibu negara.

    “Kita akan bekerjasama dengan pihak pengurusan Prasarana dan meminta mereka menubuhkan unit pemasaran untuk berurusan terus dengan syarikat yang mana pejabat mereka dekat dengan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.

    Bagi pas perjalanan tanpa had My50, Loke berkata, sebanyak 1.7 juta transaksi penggunaan pas dicatatkan dengan penjimatan berjumlah RM786,000 manakala Pas Mutiara pula sebanyak 455,000 transaksi dan pengguna menikmati penjimatan RM343,000 setahun.

    Pas perjalanan tanpa had My100 digunakan sepenuhnya mulai 31 Disember 2018 bagi membolehkan rakyat menggunakan tanpa had semua perkhidmatan disediakan oleh Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit, bas pengantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL dengan hanya membayar RM100 untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.

     
     
  • Subaru Forester e-Boxer 2020 kini di Singapura – varian tunggal 2.0i-S EyeSight Hybrid; dari RM378k

    Subaru Forester e-Boxer 2020 kini di Singapura – varian tunggal 2.0i-S EyeSight Hybrid; dari RM378k

    Pada tahun lalu, Motor Image telah mempertontonkan Subaru Forester e-Boxer di Singapore Motor Show. Dan setahun kemudian, model hibrid berkenaan telah pun mula dijual di republik tersebut. Hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan – 2.0i-S EyeSight Hybrid – dengan harga atas jalan SG$124,800 (RM378,162) termasuk COE.

    Secara visual, Forester e-Boxer tak banyak berbeza dengan model standard, cuma kelainannya dengan menampilkan beberapa lencana “e-Boxer”. Di bawah hudnya, model SUV generasi kelima ini dijanakan oleh enjin boxer 2.0 liter naturally-aspirated, suntikan terus, empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm.

    Enjin ini turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 16.7 PS/66 Nm bersama Lineartronic CVT, dengan kuasanya disalurkan oleh bateri lithium-ion 4.8 Ah yang ditempatkan di bawah lantai but belakang – di mana ia dicas menerusi regenerative braking atau enjin. Dengan penempatan bateri tersebut, ruang but yang sepatutnya mencecah 520 liter, kini hanya tinggal 509 liter.

    Unit mekanikal lain termasuklah sistem Symmetrical All-Wheel Drive dengan mod X-Mode dan SI Drive. Bagi sudut operasinya, SUV hibrid ini mampu dipacu dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan perlahan untuk jarak yang pendek.

    Untuk kelajuan sederhana, enjin dan motor elektrik bekerjasama untuk penjimatan yang lebih baik. Manakala pada kelajuan tinggi, hanya enjin digunakan untuk memacu kenderaan sementara bateri akan dicas. Sistem akan menentukan bila motor elektrik perlu menjalankan tugasnya, tanpa ada mod pemilihan pengguna disertakan.

    Forester e-Boxer spesifikasi Singapura ini didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED, roda 18-inci, kawalan suhu dwi-zon, unit utama lapan-inci Panasonic (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), tempat duduk hadapan larasan kuasa, Special X-Mode, tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai, bahagian lutut pemandu) dan kelengkapan EyeSight bagi sistem bantuan pemandu.

     
     
  • Proton Perdana kekal sebagai kenderaan rasmi menteri, timbalan menteri – Lim Guan Eng

    Proton Perdana kekal sebagai kenderaan rasmi menteri, timbalan menteri – Lim Guan Eng

    Setelah isu pembelian Toyota Vellfire dan Honda Accord untuk kegunaan menteri dan pegawai tertinggi kerajaan menjadi bual mulut rakyat Malaysia hingga mencetuskan pelbagai perdebatan, akhirnya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mengambil keputusan untuk mengekalkan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri.

    Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mengesahkan perkara ini turut berkata, kerajaan telah dimaklumkan oleh Proton bahawa jumlah kenderaan itu mencukupi.

    “Kita baru sahaja dapat pengesahan bahawa ia mencukupi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

    Keputusan tersebut dilihat lebih bertepatan di kala ini memandangkan kerajaan PH sendiri mencanangkan kepada rakyat bahawa ekonomi negara tidak begitu memberangsangkan dan perlu mengambil langkah penjimatan yang lebih efisien.

    Apa komen anda mengenai keputusan kerajaan ini? Adakah anda sependapat dengan aktor terkenal, Bront Palarae, yang ada memuat naik status di laman media sosial, katanya, “Kalau orang terhormat kita sendiri tak nak guna kereta nasional, macam mana kita nak yakinkan orang luar untuk beli?”

     
     
  • BMW X1 LCI F48 di M’sia – sDrive20i M Sport, RM234k

    BMW X1 LCI F48 di M’sia – sDrive20i M Sport, RM234k

    Selepas lapan bulan model facelift bagi BMW X1 diperkenalkan, kini SUV kompak versi yang lebih segar telah pun tiba di pasaran Malaysia. Ia menampilkan semakan rekaan bahagian luaran yang minimal dan penambahan beberapa kit, dengan model untuk pasaran tempatan didatangkan bersama pakej M Sport.

    Hanya ada satu varian buat masa ini – sDrive20i M Sport – merupakan pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan pada harga atas jalan RM233,888 tanpa insurans. Ia lebih mahal sebanyak RM13,000 berbanding model sebelum ini, tetapi ia satu-satunya yang ditawarkan dengan kemasan Sport. Harga tersebut termasuk dengan waranti lima-tahun dan perbatuan tanpa had, lima-tahun servis berkala dan waranti bagi tayar untuk dua-tahun.

    Untuk luaran, X1 baharu ini menerima gril “kidney” trapezoid yang lebih besar dengan kemasan krom di sekelilingnya yang bersambung di bahagian tengah. Ia turut disambungkan dengan lampu utama LED yang direka semula bersama lampu nyalaan siang “corona ring” haksagon. Sementara lampu belakang juga dengan unit LED dan grafik dalaman baharu lebih bergaya.

    Rekaan M Sport diserlahkan pada bampar hadapan yang lebih agresif dengan kemasan hitam berkilat serta lampu kabus LED. Ia turut menampilkan lapisan sama warna dengan badan, skirt sisi yang lebih kedalam dan juga bampar belakang yang juga sama dengan warna badan bersama diffuser yang lebih besar, ditambah lagi dengan corong paip ekzos berkembar dan roda aloi Style 570 M dua-tona 18-inci. Malahan ia turut dipadankan dengan suspensi M Sport yang pasif.

    Bahagian dalamannya tidak banyak perubahan, papan pemukanya sama seperti X2 dan ada port USB-C di belakang. Model X1 versi Malaysia ini menampilkan material kulit upholstery Dakota dan didatangkan dengan kemasan aluminium dan serlahan Pearl Chrome. Ciri lain yang ada termasuk sistem navigasi dengan skrin sesentuh 8.8-inci, dan iDrive Operating System 6 generasi sebelumnya. Kemasukan tanpa kunci didatangkan secara standard, dengan tailgate kuasa bebas-tangan.

    Klik untuk besarkan

    Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah tempat duduk sport untuk hadapan dengan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu automatik dwi-zon, kawalan kelajuan, kluster instrumen Black Panel dengan paparan pelbagai-info 5.7-inci, cermin anti-silau, Bantuan Parkir, enam pembesar suara dan kamera undur. Walau bagaimana pun, model versi Malaysia tidak disertakan dengan sistem bantuan pemandu, termasuklah brek kecemasan sendiri.

    Penjana kuasanya masih menggunakan enjin petrol B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan output sehingga 192 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 dan 4,600 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan (dengan pedal penukar gear) dan pacuan roda-hadapan, dengan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum boleh mencecah 224 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi sekitar 6.5 liter per 100 km.

     
     
  • TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, pagi ini kami bersiaran terus dari Makuhari Messe, hari pertama Tokyo Auto Salon 2020 berlangsung, dan berita pembukaan untuk anda adalah ini – cicit kepada jentera rali jalanraya dihasilkan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) Toyota Celica GT-4 iaitu Toyota GR Yaris telah membuat kemunculan global pertamanya hari ini!

    Kenapa Celica? Bukan Yaris ini generasi baharu untuk Starlet ke? Tuan-tuan dan puan-puan, kewujudan GR Yaris ini bukan semata-mata Toyota mahu menjual sebuah hot-hatch, ia sebenarnya dihasilkan dari permintaan prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing dan juga juara WRC empat kali, Tommi Makinnen bagi mendapatkan sebuah model asas homologasi yang jauh lebih kuat dari pengeluar lain, untuk memastikan sebuah jentera WRC sebenar yang jauh lebih hebat untuk musim 2021 nanti.

    GR Yaris ini juga menerima sistem pacuan semua roda sepenuh masa yang digelar sebagai ‘GR-Four’ sempena nama ‘GT-Four’ pada Celica, malah hari ini Toyota turut membawa Celica GT-Four sebenar dari generasi ST165 – model versi produksi dan versi WRC 1988 Group A dengan livery merah-putih Marlboro – dipamerkan bersama GR Yaris ini.

    Untuk pasaran Jepun, hari ini Yaris diperkenalkan dalam edisi khas 1st Edition dijual dalam dua varian di sini iaitu versi asas RZ dan model penuh High Performance. Ia dijual pada harga bermula 3.96 juta yen (RM148k) hingga 4.56 juta yen (RM170k)

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Yaris yang jauh lebih liar ini masih dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama seperti Yaris generasi baharu (tidak sama dengan Yaris ‘Vios Hatchback’ pada pasaran kita) yang baharu sahaja diperkenalkan tahun lepas. Malah jarak rodanya juga masih lagi sama, tetapi apa yang berbeza adalah ia hadir dalam bentuk badan tiga-pintu berbanding lima-pintu pada versi standard.

    Bukan sahaja pintunya yang kurang, Tommi Makinnen juga mahukan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa. Ini bakal membolehkan jentera WRC baharu Toyota untuk musim 2021 nanti menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih ekstrem – berita buruk untuk pengeluar lain seperti Hyundai i20, kerana kerangka asas mereka adalah dari sebuah hatchback segmen-B biasa, sementera Yaris pula berasal dari sebuah model hot-hatch sebenar dengan bentuk badan dan asas aerodinamik yang jauh lebih baik, dihasilkan secara bespoke.

    Menurut Toyota lagi, walaupun kerangka kosong GR Yaris ini lebih teguh, ia sebenarnya 38 kg lebih ringan dari Yaris standard kerana pelbagai panel logam telah diganti dengan material lebih ringan seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD!

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin sistem transmisi dan penghantaran produksi perlu digunakan untuk jentera WRC sebenar seperti pada era Group A, Toyota tidak memandang mudah perkara ini. Yaris GR-4 dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm, yang bukan sahaja akan ‘menyusahkan’ hot-hatch segmen-C lebih besar seperti Renault Megane RS, malah ia juga adalah enjin 1.6 liter produksi paling berkuasa dan paling ringan pernah dihasilkan di dunia!

    Toyota turut memposisikan enjin berkenaan 21 mm lebih kebelakang berbanding Yaris standard bagi mendapatkan nisbah berat depan-belakang yang lebih baik dan seimbang. Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual. Nak auto? Anda bukan pemilik yang GR Yaris cari.

    Dengan kuasa, sistem transmisi dan juga sistem GR-Four berkenaan, GR Yaris mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang dari 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi High Performance, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

    Model High Performance ini juga hadir dengan rim BBS 18-inci yang lebih ringan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18. Model RZ pula diberikan roda dengan saiz sama, tetapi rim dari Enkei bersama tayar Dunlop SP Sport Maxx.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

    Dari segi rupa, GR Yaris ini masih menggunakan lampu hadapan yang hampir sama dengan Yaris normal. Tetapi ia diberikan bampar lebih garang dengan rekaan signatur Gazoo Racing, menampilkan apron lebih agresif dan juga liang udara sisi yang lebih besar dan bersegi.

    Lampu belakang juga masih kelihatan sama, tetapi disebabkan sistem suspensi yang lebih kompleks bersama gandar belakang sistem AWD serta set roda yang lebih besar, trek belakang kereta ini menjadi lebih jauh, secara tidak langsung ia menerima punggung yang labih lebar. Bampar juga diberikan diffuser agresif, yang turut menempatkan sepasang tip ekzos bulat.

    Dengan kelengkapan yang diberikan, GR Yaris ini bukan sahaja boleh dijelmakan jentera WRC atau R5, malah ia juga berpotensi dihasilkan sebagai sebuah jentera rali seakan Group N untuk kejohanan-kejohanan rali peringkat nasional dengan kos lebih murah – pasangkan rollcage dan tukar suspensi, ia terus boleh berlumba dalam SS rali – dan ia telah dibuktikan dengan sebuah GR Yaris yang telah dihasilkan dalam bentuk sedemikian ketika pendedahan ini.

    Tidak seperti Toyota Yaris GRMN sebelum ini yang dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya untuk pasaran Eropah dan Jepun (Vitz GRMN), GR Yaris ini tidak akan dihadkan pengeluarannya untuk pasaran seluruh dunia.

    Ini bermakna ada harapan untuk GR Yaris ini dibawa masuk secara rasmi oleh UMW Toyota (UMWT). Sebelum ini, UMWT telah melantik lima pengedar di Malaysia sebagai pengendali GR-Garage yang berperanan untuk menjual segala produk di bawah jenama Gazoo Racing (GR), termasuk barisan kereta berprestasi Toyota GR, dengan produk pertama mereka Toyota GR Supra yang dilancarkan tahun lalu. Takkan GR-Garage ni nak jual Supra je kan?

     
     
  • BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    BMW Malaysia kini memperkenalkan model 320i Sport G20 pemasangan tempatan pada harga RM243,800. Termasuk di dalam harga berkenaan ialah jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, jaminan 24-bulan untuk run flat tyre, BMW Roadside Assistance, BMW White Card, dan BMW Service Online.

    Ia menggunakan enjin B48 2.0 liter empat-silinder petrol BMW TwinPower Turbo yang menghasilkan 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Ini dilengkapi dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, dengan kepantasan 0-100 km/j dalam 7.1 saat. Laju maksimum ialah 235 km/j, dengan gabungan kadar penggunaan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100 km.

    Sebagai perbandingan, enjin sama yang digunakan pada 330i M Sport menghasilkan 258 hp pada 5,000 rpm dan 400 Nm pada 1,550 rpm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Gabungan kadar penggunaan petrol pula ialah 6.4 liter bagi setiap 100 km. Harga 330i M Sport pula RM45k lebih tinggi.

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    320i Sport ini menerima ciri lampu utama LED adaptif yang sama seperti 330i, tetapi bahagian bawah bampar depan dan belakang kurang garang dan lebih ringkas. Rim pula menggunakan saiz 18-inci Style 780 dengan profil tayar 225/45 (run flat). Pilihan warna pula terdiri daripada Mediterranean Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.

    Dalam kabin pula menggunakan kemasan kulit Vernasca sebagai standard, dengan perincian aluminium “mesh effect”. Stereng juga baru, tiga jejari balutan kulit dengan paddle shifter serta perubahan paling ketara ialah tiada lagi panel instrumen digital 12.3-inci bagi pakej BMW Live Cockpit Professional. Sebaliknya 320i Sport menerima BMW Live Cockpit Plus, dengan paparan 5.7-inci. Paparan skrin sentuh di tengah juga lebih kecil; menjadi 8.8-inci daripada 10.25-inci pada BMW Live Cockpit Professional.

    Bagaimanapun, Operating System 7.0 BMW tidak ditawarkan. Head unit yang lebih kecil itu hanya menggunakan Operating System 6.0 dan disambung kepada sistem audio 100 watt dengan enam-pembesar suara. Pengecas Qi ada disediakan, dengan sistem pendingin hawa tiga-zon, 11 talaan lampu suasana serta bukaan but tanpa sentuh.

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    Ciri keselamatan, antaranya terdapat enam beg-udara dan Isofix pada tempat duduk belakang. Ia juga turut hadir dengan ciri lain seperti Attentiveness Assistant, kawalan melayar pasif dengan fungsi brek, bantuan parkir serta kamera undur. Kereta ini juga lengkap dengan servis BMW ConnectedDrive; terdiri di dalamnya Intelligent Emergency Call, Teleservices, BMW Digital Key, lampu aluan.

    BMW 320i Sport dijual pada harga RM243,800 dan boleh dibeli menggunakan Balloon Financing Plan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pada kadar RM2,788 sebulan (berdasarkan 80% daripada jumlah pinjaman bagi tempoh lima-tahun).

     
     
  • Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo Car Malaysia, dengan kerjasama pengedar-rakan kongsi yang baru dilantik, Sime Darby Swedish Auto telah mendedahkan pusat 3S baru untuk jenama itu yang bertempat di Sime Darby Motors City, Ara Damansara. Premis empat-tingkat itu dibina mengikut piawaian Volvo Retail Experience, dan turut menampilkan studio realiti maya (VR).

    Direka untuk memberikan pengalaman mewah kontemporari, bilik pameran kenderaan terletak pada tingkat bawah premis berkenaan, sementara pusat servis dan kecantikan kenderaan pula menempati ruang ditingkat kedua dan ketiga. Ruang untuk jajaran dan imbangan tayar pula terletak ditingkat empat.

    Bila dibuka nanti, kemudahan ini akan menjadi yang pertama tampil dengan penghawa dingin sepenuhnya, dikendalikan oleh 18 juruteknik bertauliah. Terdapat 14 ruang servis, dua di antaranya khusus untuk ruangan RATC (Reception At The Counter). Juga, semua tempat letak kereta pelanggan akan disediakan dengan pengecas individual.

    Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo Ara Damasara terletak di Blok 6, Sime Darby Motors City, 6 Jalan PJU 1A/7, 47301 Petaling Jaya, Selangor. Bilik pamerannya dibuka dari 8.30 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan pada Sabtu waktu operasinya ialah dari 9 pagi hingga 6 petang. Manakala pada Ahad dan cuti umum, ia mula dibuka pada 10 pagi hingga 6 petang.

    Waktu operasi pusat servis pula adalah dari 8.30 pagi hingga 5.30 pm setiap hari berkerja, manakala pada Sabtu dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi talian 03-76233200. Pusat 3S terbaru ini akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Februari 2020.

     
     
  • Subaru XV bakal terima head unit Panasonic, kamera 360-darjah – facelift dengan EyeSight penghujung 2020

    Subaru XV bakal terima <em>head unit</em> Panasonic, kamera 360-darjah – <em>facelift</em> dengan EyeSight penghujung 2020

    Sedikit berita dari wakil kami yang mengikuti rombongan media Subaru yang ketika ini berada di Singapura. Ketika sesi bersama Pengarah Urusan Tan Chong International (TCIL), Glenn Tan, ada didedahkan bahawa model Subaru XV untuk pasaran Malaysia akan menerima kemaskini bagi tahun 2020 ini.

    Antaranya, model crossover berkenaan bakal dilengkapi dengan head unit baru bersaiz lapan-inci yang dibangunkan oleh Panasonic. Walaupun saiznya tidaklah berbeza dengan unit sedia ada, namun peningkatan terbaru itu nanti akan turut merangkumi penawaran ciri Android Auto dan Apple CarPlay.

    Ini bagaimanapun bakal menyaksikan ciri tunjuk arah seperti yang ada pada unit semasa terpaksa digugurkan, namum menurut Subaru ia suatu langkah yang wajar, mengambil kira jumlah pengguna bagi kemaskini dua aplikasi yang akan ditambah itu.

    Selain itu, sistem baru itu nanti akan turut menampilkan ciri kamera peninjau 360-darjah yang sebelum ini tidak ditawarkan pada XV. SUV Forester juga dijangka akan menerima peningkatan yang sama bagi head unit dan sistem kamera berkeanan – yang ketika ini ditawarkan sebagai pilihan kepada pengguna secara berasingan.

    Perubahan yang lebih penting akan tiba di penghujung 2020; XV akan diberi facelift terbaru dengan pertambahan ciri keselamatan EyeSight. Ini selari dengan pengumuman sebelum ini bahawa XV akan menjadi model ketiga Subaru di Malaysia yang datang dengan ciri berkenaan, selepas Outback dan Forester. Dan, anda boleh jangkakan ada peningkatan harga pada XV selepas ini, untuk semua kemaskini yang akan diberikan itu.

     
     
  • Subaru Forester GT Edition 2020 dilancar di S’pura

    Subaru Forester GT Edition 2020 dilancar di S’pura

    Motor Image telah melancarkan Subaru Forester GT Edition baharu di Singapore Motor Show 2020, di mana ia merupakan model kedua bagi GT Edition yang dilancarkan selepas XV GT Edition dilancarkan di Malaysia. Memandangkan XV versi berkenaan ada di pasaran negara kita, maka tidak mustahil, Forester GT Edition ini juga akan diperkenalkan di sini.

    Model ini pertama kali dipertontonkan pada November tahun lalu dan ia dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat jurutera Giken Co.Ltd., dan bekas Ketua Pereka Subaru Corporation, Masahiko “Jack” Kobayashi, yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan luaran untuk lebih 12 model produksi Subaru termasuklah WRX STI.

    Forester GT Edition ini menampilkan beberapa ciri peningkatan estetika bagi memberikan imej yang lebih sporty untuk SUV generasi kelima ini, termasuklah kit aero yang lengkap dengan sambungan bumper lip hadapan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler bumbung.

    Ciri lain yang turut ditambah termasuklah roda aloi 18-inci unik dengan penutup roda “GT”, tempat duduk kulit upholstery rekaan istimewa, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Panasonic lapan-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) dan sistem Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah (AVM). Walau pun mengalami sedikit perubahan luaran dan dalaman, ciri mekanikalnya masih dikekalkan.

    Pakej Forester GT EDition ini ditawarkan pada harga SG$2,888 (RM8,751), tetapi boleh ditempah bersama dengan mana-mana varian Forester sedia ada yang dijual di Singapura – 2.0i-L EyeSight, 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S EyeSight Hybrid.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025