Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia hari ini memperkenalkan Ford Ranger 2022 generasi baru untuk pasaran tempatan. Keseluruhannya ada tujuh varian ditawarkan, dengan dua daripadanya adalah XLT Plus pada harga RM142,888 dan Wildtrak pada harga RM168,888. Ranger Raptor berprestasi tinggi pula akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Empat lagi varian terdiri daripada XLT (dua versi MT dan AT) dengan harga dari RM124,888, serta dua lagi versi (MT dan AT) bagi varian XL dengan harga jualan bermula dari RM108,888.

    Ranger generasi baru ini, yang didedahkan November lalu, telah menerima pembaharuan menyeluruh, walaupun kekal menggunakan platform T6. Dari segi rekaan, Ranger baru ini nampak lebih tegap. Wajah depannya dengan lampu utama bentuk C, yang dilanjutkan ke bahagian gril baru menjadikannya lebih menonjol. Bahagian lengkung tayar kini lebih ketara.

    Pertama kali untuk Ranger, lampu utama Matrix LED kini diperkenalkan untuk varian WildTrak, sementara varian lain menggunakan reflektor LED atau reflektor halogen. Di belakang, lampu kombinasi LED digunakan, sementara pemegang pintu ruang belakang diletakkan di bawah lampu brek ketiga.

    Kamera undur pula diletakkan di bawah lencana Ford. Saiz rim kini antara 17-inci hingga 20-inci (bagi Wildtrak), dengan yang kedua ini merupakan pertama kali ditawarkan untuk Ranger. Sebagai tradisi trak pikap lazimnya, sistem pacuan empat-roda juga disediakan; sistem 4×4 separuh masa dengan shift-on-the-fly elektronik, dan sistem 4×4 sepenuh masa baru dengan suis elektronik dan transfer case dua-kalajuan (4H dan 4L).

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Selain itu, roda depannya juga telah dialih sebanyak 50 mm ke depan, menjadikan jarak antara rodanya lebih panjang. Sudut mendekati (approach angle) di depan juga kini dinaikkan daripada 28.5-darjah kepada 30-darjah. Begitu juga dengan sudut perlepasan (departure angle) di belakang dinaikkan daripada 21-darjah kepada 25.6-darjah dengan overhang depan 865 mm, mengurangkan kemungkinan bersentuhan dengan permukaan tanah ketika off-road.

    Ford Ranger 2022 menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue empat-silinder turbodiesel, dengan turbo tunggal atau bi-turbo. Janaan kuasa bagi versi turbo tunggal adalah 180 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm pada 1,750-2,500 rpm. Sementara bagi versi bi-turbo pula adalah 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm.

    Transmisi bagi enjin dengan turbo tunggal adalah unit 6R80 automatik enam-kelajuan, tetapi telah dijadikan lebih cekap berbanding sebelum ini. Turut ditawarkan adalah versi transmisi manual enam-kelajuan baru bagi pilihan enjin turbo tunggal; kotak gear baru ini mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan.

    Bagi versi bi-turbo — yang ada masalah kebocoran minyak dan diselesaikan dengan rekaan gasket baru — menampilkan unit Getrag 10R80 10-kelajuan, yang turut diberikan kemaskini untuk lebih cekap. Ia telah melalui lebih daripada enam juta kilometer ujian, termasuk lebih daripada 3,900 km di dalam perlumbaan off-road.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Kini lebih ringan dan lebih tahan, transmisi berkenaan menampilkan tork converter baru, yang menurut Ford memberikan respon lebih baik dan mengatasi malasah “lag” ketika pecutan. Jurang nisbah antara kedudukan gear juga dirapatkan, menjadikan penyampaian kuasa lebih baik dalam beban enjin yang lebih rendah, memberi kelebihan ketika menunda atau off-road.

    Untuk melindungi bahagian penting ketika off-road, Ranger baru ini dipasangan pelindung bawah badannya untuk melindungi stereng, pam, transmisi dan transfer case. Jika dulu hanya model Raptor sahaja ditawarkan dengan pilihan mod pemanduan, kini ciri berkenaan ditawarkan untuk semua, bergantung kepada varian. Mod yang terlibat termasuk Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

    Turut disediakan ruang khusus di bawah bonet untuk pemasangan bateri kedua untuk kegunaan tambahan ketika beriadah/berkhemah. Bumbungnya boleh menampung beban 350 kg (statik) atau 85 kg (dinamik). Bergantung kepada varian, beban yang boleh ditampung oleh Ranger baru ini adalah sekitar 1,000 kg.

    Lain-lain kelengkapan menarik termasuk ruang kargo kini 50 mm lebih lebar. Pelindung lantai kargo plastik juga baru, dengan adanya dua soket 240 volt, 400 watt untuk pelbagai kegunaan serta penutupnya untuk melindungi cat dan permukaan logam yang ada.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Tangga di belakang juga baru, dan disepadukan ke dalam trak ini di belakang roda belakang. Ini menjadikan muat-naik-turun barang lebih mudah, kerana pengguna tidak lagi perlu memijak tayar untuk tujuan itu. Permukaannya juga bertekstur untuk memberikan cengkaman ketika dipijak.

    Di dalam, skrin infotainmen menegak 12-inci akan mencuri tumpuan, lengkap dengan sistem Ford SYNC 4A. Panel instrumen digital lapan-inci juga tersedia, begitu juga dengan kamera keliling 360-darjah resolusi tinggi serta pengecas Qi tanpa wayar. Selebihnya, ada juga ruang cawan boleh alih, ruang simpanan barangan di bawah dan belakang kerusi, glovebox dua tingkat serta slot USB-C dan USB-A.

    Aspek keselamatan menyaksikan beberapa ciri baru diperkenalkan untuk Ranger 2022 ini. Antaranya ialah Post-Collision Braking yang akan mengaktifkan brek selepas perlanggaran untuk mengurangkan risiko perlanggaran kedua; Evasive Steer Assist yang pertama untuk segmen ini, yang menghindarkan kemungkinan perlanggaran dengan kereta hadapan yang perlahan atau berhenti, dengan memberikan daya tambahan kepada stereng; Reverse Brake Assist yang standard untuk Wildtrak, yang membantu menghindarkan perlanggaran ketika mengundur; Cross Traffic Alert yang akan memaklumkan sekiranya ada kenderaan menghampiri di belakang ketika mengundur; dan Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go, juga untuk varian Wildtrak.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Ciri Pre-Collision Assist yang ada pada Wildtrak dan XLT Plus pula diberi peningkatan dengan kamera pandangan lebar di cermin depan. AEB di dalamnya juga kini dipertingkat dengan ciri pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal. Dua ciri lain dalam rantaian ini kekal sama — Forward Coliision Warning dan Dynamic Brake Support.

    Ford Ranger 2022 ini datang dengan jaminan lima-tahun, dengan pilihan jaminan lanjutan sehingga tujuh tahun untuk pelanggan yang mahukannya.

    Ford Ranger 2022 XL 2.0L 6MT

    Ford Ranger 2022 XLT 2.0L AT

    Ford Ranger 2022 XLT Plus 2.0L AT

    Ford Ranger 2022 Wildtrak 2.0L AT

     
     
  • Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Mercedes-Benz EQB 350 4Matic 2022 turut diperkenalkan hari ini dalam majlis pelancaran EQS 450+ AMG Line 2022. Diproduksi di Kecskemét, Hungary, EQB 350 4Matic 2022 dijual pada harga jangkaan sekitar RM330,000 atas jalan tanpa insurans, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti lapan-tahun atau 160,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Menggunakan tetapan pacuan semua roda dua motor, EQB hadir dengan padanan transmisi satu-kelajuan dalam keadaan standard. Motor di hadapan adalah unit asynchronous (ASM) sementara motor di belakang pula menggunakan unit permanently excited synchronous (PSM). Pacuan kuasanya mencecah 292 PS dan tork 520 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.2 saat, manakala laju maksimum mencecah 160 km/j.

    Kuasanya dipacukan dari pek bateri lithium-ion 420-voltan dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 419 km.

    Dalam keadaan standard, EQB datang dengan pengecas onboard 11 kW, dan apabila dicucuk ke soket three-phase 11 kW, ia boleh memenuhkan bateri dalam masa 5 jam 45 minit. Ia juga boleh menerima pengecas DC pada kadar maksimum 100 kW, dan mengambil masa cuma 32 minit untuk mengisi bateri dari 10% ke 80%. Jika dicas selama 15 minit, ia dapat memberi jarak gerak tambahan 140 km.

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Kabel pengecasan sepanjang lima meter juga diberikan, yang boleh digunakan untuk mengecas menerusi wallbox di rumah dan stesen pengecasan awam. Untuk bahagian luarannya, ia diberikan roda aloi 19-inci, rel bumbung aluminium dan juga bilah pengelap cermin dengan penderia hujan. Lampu utama LED High Performance turut ditampilkan berserta dengan pencahayaan sekeliling dengan unjuran logo jenama.

    Memandangkan EQB ini boleh dianggap seperti GLB versi elektrik, saiznya juga hampir sama dengan panjang 4,684 mm, lebar 1,834 mm, tinggi 1,667 mm dan jarak roda 2,829 mm. Ruang barangan yang disediakan boleh menjadi antara 465 liter hingga 1,710 liter bagi versi lima tempat duduk sementara versi tujuh tempat duduk menyediakan 465 liter hingga 1,620 liter. Tempat duduk baris kedua boleh dilungsurkan ke hadapan sehingga 140 mm, seterusnya memberi tambahan 190 liter lagi bagi ruang barangan.

    Barisan ketiga tempat duduk juga hadir dengan tali pinggang keledar tiga-poin secara standard, dan ia boleh menempatkan penumpang yang berketinggian sehingga 165 cm. EQB juga boleh memuatkan sehingga empat kerusi kanak-kanak untuk barisan kedua dan ketiga, dengan satu lagi tambahan di tempat duduk penumpang hadapan.

    Melihat kepada rekaan, EQB mendapat muka hadapan dengan rekaan Electric Art serta lampu belakang yang khas untuknya, tetapi bahagian lain adalah sama seperti GLB termasuklah bonjolan di atas bonet. Terdapat jalur fibre-optic melintang yang menyambungkan DRL LED kiri dan kanan, dan di bawahnya terdapat jalur biru.

    Ciri lain yang diberikan untuk luarannya termasuklah roda aloi-ringan lima-jejari 19-inci, rel bumbung aluminium, lampu utama LED High Performance serta bilah pengelap cermin dengan penderia hujan.

    Untuk bahagian kabinnya pula, SUV tujuh-tempat duduk ini menampilkan bentangan kulit sintetik Artico dan fabrik Cupertino, dengan kemasan dua-tona rosé gold dan titanium grey pearl. Kemasan warna ini digunakan pada corong pendingin hawa, alas kaki serta jahitan tempat duduk, sementara roda stereng multifunction dengan upholstery dalam kulit Nappa.

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Pengeluar dari Jerman ini juga mengambil penting tahap NVH EQB, sekaligus memasang lebih bahan penyerap pada bahagian keliling motor elektrik. Komponen yang menghasilkan gegaran seperti compressor pendingin hawa dipasang dengan penyerap getaran, manakala bushing getah dan bearing dipasang pada suspensi hadapan dan belakang.

    Sistem MBUX terkini diberikan secara standard, dan panel instrumen digitalnya mempunyai empat tema khas EQ iaitu Modern Classic, Sport, Progressive dan Discreet. Malahan sistem ini turut termasuk dengan Pakej Inovasi yang terdiri daripada paparan utama, MBUX Interior Assistant, pakej Navigas dengan pre-installed navigation, informasi trafik secara langsung, Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi termaju, paparan instrumen digital sepenuhnya, touchpad (tanpa pengawal) dan modul komunikasi Mercedes me.

    Selain itu, ciri lain yang turut diberikan untuk varian ini termasuk kawalan suhu Thermotronic, Easy-Pack tailgate, pakej Keyless Go.

    Sistem bantuan pemandu juga agak lengkap, dengan Driving Assistance Package, yang menyediakan pemanduan semi autonomous Level 2. Ia termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Steer Assist, Active Speed Limit Assist dengan Traffic Sign Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist dan Active Blind Spot Assist.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW; harga dari RM699k

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan model elektrik penuh EQS dengan menawarkan varian tunggal EQS450+ untuk pasaran tempatan. Sedan elektrik sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di persada dunia pada April 2021 dan telah membuka pendaftaran minat untuk pasaran Malaysia sejak Mac lalu. EQS merupakan model pertama yang dibangunkan dengan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) platform, yang turut digunakan untuk SUV EQS, EQE dan SUV EQE.

    Bagi varian EQS 450+, ia diberikan bateri lithium-ion 396 voltan dengan kapasiti tenaga 107.8 kW yang mampu memberikan jarak antara 631 km hingga 782 km bagi pengecasan penuh mengikut kitaran-WLTP, dan turut digandingkan dengan motor-tunggal pacuan roda-belakang (RWD) dan transmisi automatik kelajuan-tunggal. Gandingan ini memberikannya kuasa keseluruhan mencecah 245 kW (333 hp) dan tork 565 Nm, membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 210 km/j.

    Bagi sistem pengecasannya, EQS 450+ boleh menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) berkapasiti 11 kW dengan status pengecasan (SOC) 10%-100% mengambil masa selama 10 jam. Selain itu, ia juga menyokong pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kapasiti 200 kW yang hanya mengambil masa sekitar 31 minit untuk mencapai SOC 10%-80%.

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Diimport dari Jerman, sedan elektrik penuh ini berukuran 5,216 mm panjang, 1,926 mm lebar, 1,512 mm tinggi dan jarak rodanya 3,210 mm, kecil sedikit berbanding model semasa S-Class. Ia ditampilkan dengan stereng gandar-belakang untuk pergerakan yang lebih mudah, pakej AIRMATIC dan suspensi dengan sistem peredam adaptif. Dan sebagai kenderaan pintar, barisan EQS diberikan 350 penderia yang setiap satunya memiliki fungsi sendiri termasuk merekodkan jarak, kelajuan dan pendikitan, keadaan pencahayaan, dan banyak lagi. Ia hasil kendalian bersama sistem kecerdasan bantuan (A.I).

    Untuk imej luarannya pula, EQS 450+ kelihatan cukup sporty dengan gaya ala coupe dan dilengkapi dengan penggayaan AMG Line. Ini termasuklah gril yang tertutup sepenuhnya yang menggunakan warna hitam berkilat dengan paten Mercedes-Benz, serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Ia juga dilengkapi dengan pakej Digital Light yang terdiri daripada Digital Lighting dan juga Adaptive Highbeam Assist Plus. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 21-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik.

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Menjengah bahagian kabinnya, rekaan serba mewah dan futuristik dipertaruhkan dengan elemen Electric Art. Papan pemuka EQS diberikan corong penghawa dingin tengah yang nipis dan nampak seakan bersambung terus dengan kemasan pada pintu. Ia juga hadir dengan dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6-inci untuk penumpang belakang. Dengan gandingan penggunaan material-material premium dan juga lampu suasana, kabin EQS ini benar-benar nampak futuristik.

    Dari segi visual, tumpuan utama sudah tentulah Hyperscreen MBUX yang merentangi keseluruhan papan pemuka sedan ini dan ia menampilkan pengimbas cap jari, sistem multimedia MBUX dan paparan penumpang hadapan OLED. Sebagai salah satu daya tarikan utama EQS 450+, Hyperscreen MBUX ini turut hadir dengan gabungan tiga skrin di bawah kaca aluminium silikat tahan calar berukuran 141 cm. Tiga skrin tersebut termasuk skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen pemandu, 17.7-inci untuk skrin tengah dan juga satu lagi skrin 12.3-inci untuk penumpang hadapan.

    Panel OLED digunakan untuk skrin tengah dan juga penumpang hadapan, dan ia turut memberikan tindak balas haptik yang dihasilkan menerusi actuator. Fungsi ini membantu untuk memberikan rasa seakan menggunakan suis atau butang mekanikal biasa ketika pengguna berinteraksi dengan skrin sesentuh tersebut.

    Bagi sistem MBUX, ia berfungsi dengan sistem kecerdasan bantuan (A.I) yang terkini membolehkan pembantu digital “Hey, Mercedes” mengenal lebih banyak arahan lisan serta diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.

    Ciri lain yang diberikan untuk EQS 450+ termasuklah roof liner dengan material fabrik hitam, roda stereng Multifuntion balutan kulit Nappa dan pedal penukar gear dalam rona krom perak. Untuk keselesaan yang lebih jitu, EQS 450+ turut diberikan Comfort Seat, dengan upholstery balutan kulit Nappa, dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi memori.

    Bukan itu sahaja, konsol tengahnya pula ditampilkan dengan kemasan kayuan struktur garisan Anthracite. Selain itu, ia juga diberikan pakej KEYLESS-GO Comfort yang turut merangkumi akses bebas-tangan, tablet MBUX untuk tempat duduk belakang, sistem pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar, USB Package Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu automatik THRMOTRONIC, sistem bunyi Burmester® 3D dan juga EASY-PACK tailgate.

    Untuk aspek keselamatannya pula, EQS 450+ diberikan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan pergerakan Evasive, PRE-SAFE® impulse side , kamera 360°, Bantuan Parkir Aktif, sistem pemantauan tekanan tayar TIREFIT dan penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong.

    Diproduksi di Factory 56, Jerman, yang merupakan kilang pemasangan Mercedes-Benz C02-neutral, EQS 450+ ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM698,888 dengan cukai SST dan tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti 10-tahun atau 250,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2022 naik 25.15% – ‘cuti’ SST terus memacu peningkatan penghantaran

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2022 naik 25.15% – ‘cuti’ SST terus memacu peningkatan penghantaran

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Jun 2022, dengan sejumlah 63,366 unit kenderaan baharu telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12,732 unit berbanding 50,634 kenderaan (asalnya dilaporkan sebanyak 49,603 unit) yang terjual pada Mei, atau melibatkan kenaikan sebanyak 25.15%.

    Menurut MAA, peningkatan jualan pada bulan lalu disumbangkan dari pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang terus menarik perhatian pembeli sehingga tempoh berkenaan pada 30 Jun seperti yang dijadualkan.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, jualan pada Mei 2022 adalah lebih tinggi sebanyak 3,190% (atau 61,440 unit) berbanding 1,926 unit (asalnya dilaporkan sebanyak 1,921 unit) bagi tempoh yang sama tahun lalu. Jurang jumlah keseluruhan yang berbeza ini bukanlah suatu kejutan, memandangkan operasi semua bilik pameran kenderaan di seluruh negara ditutup susulan Perintah Pergerakan Kawalan pada 1 Jun lalu.

    Sementara itu, setakat ini, jumlah keseluruhan untuk separuh pertama tahun 2022 adalah mencecah 331,386 unit, lebih 33% (atau 82,208 unit) berbanding 249,178 unit yang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun lalu.

    MAA turut meramalkan jualan bagi Julai adalah lebih kurang sama dengan rekod yang dicapai pada Jun, dengan syarikat kereta terus memenuhi tempahan yang diperoleh sepanjang tempoh ‘cuti’ SST dan ia mungkin berterusan sehingga Mac tahun depan, susulan keputusan kerajaan yang membenarkan kenderaan yang dibeli sepanjang tempoh pengecualian SST yang berakhir pada 30 Jun 2022 boleh didaftarkan sehingga 31 Mac hadapan.

    Walau bagaimana pun, MAA turut menambah isu bekalan cip semi konduktor dan komponen akan berterusan hingga memberikan kesan terhadap penghantaran kenderaan yang ditempah.

     
     
  • KTMB umum pertambahan perkhidmatan untuk KTM Komuter bagi sektor Lembah Klang dan sektor Utara

    KTMB umum pertambahan perkhidmatan untuk KTM Komuter bagi sektor Lembah Klang dan sektor Utara

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan baharu dan lanjutan untuk KTM Komuter bagi sektor Utara dan sektor Lembah Klang.

    Untuk KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia melibatkan laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, bermula Isnin hadapan (25 Julai 2022). Selain itu, terdapat juga tujuh perkhidmatan lanjutan ke/dari stesen Pulau Sebang pada hari bekerja dan satu perkhidmatan lanjutan dari Pulau Sebang pada hari minggu dan hari kelepasan Am.

    Manakala bagi KTM Komuter sektor Utara, terdapat setiap satu perkhidmatan tambahan untuk laluan Padang Besar-Butterworth, Butterworth-Padang Besar, Padang Rengas-Butterworth dan Butterworth-Padang Rengas. Semua perkhidmatan tambahan ini bermula esok, 22 Julai 2022.

    Bagi mengetahu jadual penuh untuk perkhidmatan tren berkenaan, anda boleh layari laman web rasmi KTM atau menerusi aplikasi MyRailtime.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 kembali diproduksi di Jepun!

    Honda Civic Type R 2023 kembali diproduksi di Jepun!

    Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Honda Civic Type R terakhir yang diproduksi di Jepun adalah model FD2R – mula diproduksi pada 2007 dan tamat pada 2011. Bagi model selepas itu iaitu FK2, produksi Civic Type R hanya di buat di kilang Honda Swindon di United Kingdom, meneruskan legasi tiga model Type R UK sebelumnya iaitu Honda Accord Type R CH1 (1999), Civic Type R EP3 (2001) dan Civic Type R FN2 (2007).

    Namun dengan langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik, kilang Honda di Swindon berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu, dan unit terakhir Civic Type R FK8 yang keluar dari kilang berkenaan pada penghujung Julai 2021.

    Pagi tadi, Honda Civic Type R generasi baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback generasi ke-11 sudah pun didedahkan secara rasmi untuk peringkat global. Persoalannya, di mana Civic Type R 2023 ini akan diproduksi selepas kilang Honda Swindon di tutup? Honda tidak menyentuh berkenaan perkara tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan, namun influencer Honda dari Amerika Syarikat, Jason Richmond atau lebih dikenali sebagai HondaPro Jason mendakwa bahawa Civic Type R baharu dengan kod FL5 ini kembali diproduksi di Jepun!

    Jason menghadiri majlis pendedahan Civic Type R 2023 itu di Los Angeles dan perkara ini disahkannya apabila melihat nombor identifikasi kenderaan (VIN). Nombor VIN pada unit yang dipamerkan tersebut bermula dengan abjad ‘JHM’, menunjukkan kilang produksinya berada di Jepun. Manakala abjad ‘X’ yang berada di kedudukan ke-11 nombor berkenaan secara spesifik memberitahu bahawa kereta tersebut dibuat oleh kilang Honda Yorii yang berada di Saitama.

    Walau bagaimanapun, kilang berkenaan bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka. Kilang Yorii yang menghasilkan Civic Type R FL5 ini merupakan kilang utama Honda buat masa sekarang, dibuka secara rasmi pada Julai 2013.

    Honda Civic Type R 2023 ini masih menyajikan ‘resipi klasik’ gandingan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dengan kotak gear enam kelajuan manual dan hanya memacu roda hadapan. Honda masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa bagi unit rangkaian kuasa model baharu berkenaan, namun telah mengesahkan bahawa ia adalah model Type R yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Jadi ia sudah tentu menghasilkan kuasa yang lebih besar dari 320 PS/400 Nm pada model FK8 sebelumnya.

    Honda Civic Type R 2023 kembali diproduksi di Jepun!

    Berbanding model sebelum ini, FL5 tampil dengan rupa lebih ringkas tanpa liang-liang udara palsu. Menurut Honda, model generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, serta disifatkan Honda sebagai “Type R paling cantik pernah dibina”. Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

    Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.

    Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.

    Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar, bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa. Honda masih belum mengumumkan saiz roda dan spesifkasi brek tersebut, namun menerusi imej yang dibekalkan, rim berkenaan adalah berdiameter 19-inci dengan tayar bersaiz Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19 dan juga sistem brek dari Brembo.

    Honda menyatakan bahawa harga dan juga perincian selanjutnya berkenaan Civic Type R 2023 ini hanya akan diumumkan pada musim luruh nanti. Sementara itu, perincian lain berkenaan kereta ini boleh anda baca dalam laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI.

     
     
  • Perodua rancang rekod jualan baharu untuk 2022; tempahan kini cecah 243k unit untuk semua model

    Perodua rancang rekod jualan baharu untuk 2022; tempahan kini cecah 243k unit untuk semua model

    Perodua Alza 2022 varian H dalam rona Garnet Red

    Awal bulan ini, Perodua dilaporkan telah memperoleh lebih 200,000 tempahan, untuk semua modelnya, sebahagiannya adalah didorong dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu. Bagi menikmati pengecualian SST ini, kereta yang ditempah sebelum 1 Julai perlulah didaftarkan menjelang 31 Mac 2023, justeru, Perodua gigih untuk memenuhi semua tempahan yang masih tertunggak itu.

    Walau bagaimana pun, perkhabaran terkini dari Perodua yang memaklumkan pihaknya telah menerima sejumlah 243,000 unit tempahan. Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. “Saya baru semak, dan angka sebenar tempahan kini telah mencecah 243,000 unit,”kataya selepas pelancaran Alza serba baharu semalam.

    Jelas Zainal, berdasarkan perancangan pengeluaran semasa bagi memenuhi tarikh akhir pendaftaran SST, jualan 2022 bagi peneraju pasaran ini adalah jauh melebihi sasaran awal untuk tahun ini iaitu 247,800 unit. Sebelum ini Perodua pernah merekodkan jualan tahunan tertinggi iaitu mencecah 240,341 unit, pada tahun 2019.

    Perodua rancang rekod jualan baharu untuk 2022; tempahan kini cecah 243k unit untuk semua model

    Perodua Alza 2022 varian AV dalam rona Vintage Brown

    “Jika kita melihat perancangan pengeluaran semasa, bagi memenuhi tarikh akhir SST, dianggarkan kami perlu mengeluarkan sebanyak 26,000 unit sebulan. Tetapi jika kami mengeluarkan sekita 26,000 unit sebulan dari Julai hingga Disember, dan ditambah pula dengan jualan sebanyak 127,000 dari Januari hingga Jun, maka jumlahnya telah melebihi 247,800 unit yang kami sasarkan sebelum ini. Jika mengikut pengiraan, ia akan melebihi 280,000 unit,” kata Zainal lagi.

    Menurut beliau lagi, “Namun apa yang paling penting sekarang ialah bagaimana untuk menghantar dan membolehkan pelanggan untuk menikmati pengecualian SST yang diberikan oleh kerajaan,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengumumkan sasaran jualan yang disemak semula untuk tahun 2022.

    Di mana bilangan tertinggi yang akan ditetapkan berdasarkan beberapa faktor termasuk tempahan semasa, restorasi sistem produksi dan kapasiti antara pembekal Perodua dan juga sambutan pasaran terhadap Alza serba baharu.

    Berkenaan dengan Alza serba baharu, Perodua telah menerima lebih 30,000 unit tempahan dengan 65% daripadanya adalah untuk varian tertinggi 1.5L AV yang berharga RM75,500. Bagi tempoh waktu menunggu, Perodua telah memaklumkan ia sepatutnya kurang dari 10 bulan.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    Seperti yang dijanjikan sebelum ini, hari ini secara rasmi model generasi baharu untuk Honda Civic Type R didedahkan untuk peringkat global! Ia telah membuat penampilan sulung di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi meraikan bukan sahaja ulangtahun ke-30 Type R, malah untuk menyambut usia Civic yang kini telah mencecah 50-tahun.

    Walau bagaimanapun, perincian berkenaan prestasi, angka kuasa mahupun kelengkapan mekanikal bagi Civic Type R 2023 ini masih belum diumum, dan ia akan didedahkan pada musim luruh nanti.

    Namun Honda mengesahkan bahawa Type R yang diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter turbo – dari gambar yang didedahkan, ia masih menggunakan enjin K20C VTEC Turbo sama seperti Civic Type R FK8 – tetapi menghasilkan kuasa lebih besar dari model sebelum ini, dan disahkan sebagai “Type R paling berkuasa pernah dihasilkan” sejak model pertama yang menerima lencana berkenaan iaitu NSX Type R 30-tahun lalu.

    Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    2023 Honda Civic Type R

    Sebagai perbandingan, enjin 2.0 liter VTEC Turbo pada Civic Type R FK8 sebelum ini sudahpun menghasilkan 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang masih diberikan sistem rev-match, tetapi kali ini dipertingkat bagi memberikan “hubungan lebih intim dan lebih kepuasan kepada pemandu”.

    Sama seperti model generasi sebelumnya, Civic Type R generasi baharu ini juga telah ditala di litar “The Green Hell” Nürburgring, dengan prestasi suspensi dan juga stereng yang dipertingkat. “Badan baru yang ringan dan sangat tegar membantu kestabilan ketika kelajuan tinggi dan memberikan respon yang sangat tajam,” dakwa Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    April lalu, Honda Civic Type R 2023 ini dalam bentuk prototaip sudahpun memecahkan rekod lap kereta pacuan roda hadapan terpantas di Litar Suzuka dengan catatan masa 2 minit 23.120 saat. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan – pada tahun 2020.

    Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    2023 Honda Civic Type R

    Dengan kuasa yang lebih besar serta perincian mekanikal dan aerodinamik yang lebih baik, tidak mustahil Civic Type R 2023 ini sudah bersedia untuk merebut semula takhta gelaran kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring yang telah dirampas oleh Renault Megane RS Trophy-R tiga tahun lalu. Malah dengan catatan rekod yang dibuat di Suzuka, Type R generasi baharu ini sebenarnya telah meleburkan rekod Megane RS Trophy di litar yang sama dengan kelebihan dua saat lebih pantas.

    Model generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, serta disifatkan Honda sebagai “Type R paling cantik pernah dibina”. Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

    Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.

    Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    2023 Honda Civic Type R

    Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.

    Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar, bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa. Honda masih belum mengumumkan saiz roda dan spesifkasi brek tersebut, namun menerusi imej yang dibekalkan, rim berkenaan adalah berdiameter 19-inci dengan tayar bersaiz Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19 dan juga sistem brek dari Brembo.

    Ini bermakna rim yang digunakan pada model generasi baharu ini adalah 1-inci lebih kecil, dan menggunakan tayar yang lebih lebar kerana FK8 sebelum ini diberikan rim 20-inci dengan tayar 245/30R20. Unit “hero” untuk Civic Type R ini masih menerima warna tradisi Championship White, dan ia turut ditawarkan dengan warna badan lain termasuk Rallye Red, Boost Blue, Crystal Black Pearl dan Sonic Grey Pearl.

    Honda Civic Type R 2023 didedahkan – Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, rai ulangtahun ke-30

    2023 Honda Civic Type R

    Kabin model generasi baharu ini masih mengekalkan tradisi sebuah Type R. Jadi papan pemuka Civic generasi ke-11 dengan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama gril sarang lebih masih dikekalkan, dan ia menerima tombol gear aluminium, serta perincian-perincian merah ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, karpet kaki, logo pada roda stereng, dan pelbagai perapi lain.

    Menurut Honda, tempat duduk bucket untuk Civic Type R generasi baharu ini menggunakan upholsteri seakan sued yang mempunyai pekali geseran yang tinggi, yang mampu mengurangkan pergerakan badan pemandu dalam keadaan menahan daya-G yang tinggi. Tag nombor siri unik tidak lagi diberikan pada konsol tuil gear, sebaliknya dialihkan pada papan pemuka sebelah penumpang.

    Model baharu ini turut menerima paparan instrumen dengan tema merah, serta direkaan meter ekslusif +R yang membolehkan pemandu menerima maklumat lebih pantas, menerusi paparan grafik rpm enjin, lampu amaran untuk menukar gear, serta penunjuk posisi gear yang diletak pada sebelah atas. Manakala di sebelah bawah, ia diberikan paparan pelbagai informasi yang memberikan maklumat berkenaan lain yang dipilih pemandu.

    Civic Type R 2023 ini juga diberikan sistem data logger Honda LogR, yang memberikan informasi masa-sebenar berkenaan pergerakan mekanikal dan juga sifat kenderaan tersebut yang disebabkan input yang diberikan pemandu. Ia juga diberikan jam randik bagi merekodkan masa lap setiap lap di litar lumba, serta kemampuan untuk berkongsi video pemanduan.

     
     
  • Iklan teaser Mitsubishi Triton Phantom Plus muncul sebelum pengenalannya — daftar minat dibuka

    Iklan teaser Mitsubishi Triton Phantom Plus muncul sebelum pengenalannya — daftar minat dibuka

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memberi petunjuk kepada varian baru Triton melalui saluran media sosial syarikat itu. Dikenali dengan nama Phantom Plus Edition, penawaran terbaru ini disasarkan untuk mereka yang “inginkan sesuatu yang lebih”.

    Apa yang “lebih” dengan penawaran terbaru ini? Ini belum dapat dipastikan, kerana imej iklan yang ditunjukkan itu disamarkan, tanpa kita dapat melihat penampilan Triton berkenaan dan apa perubahan yang telah dilakukan terhadapnya. Sekadar makluman, generasi Triton sebelum ini juga pernah ditawarkan dalam Phantom Edition.

    Didedahkan sekali dengan iklan teaser berkenaan adalah pautan ke laman di mana mereka yang mahu boleh mendaftarkan minat mereka. Tiada sebarang perincian tentang Triton Phantom Plus di laman web berkenaan, melainkan ia disifatkan sebagai sebuah trak yang “lain daripada yang lain”.

    Ketika ini, varian paling tinggi untuk Triton ialah Athlete, yang dijual pada harga RM146,600 atas jalan tidak termasuk insurans. Ia menggunakan enjin 2.4 liter turbodiesel yang menjana 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda — dengan pilihan beberapa mod pacuan melalui tombol kawalan Select 4WD-II.

    Antara kelengkapan menarik pada Athlete ialah lampu utama projektor bi-LED, DRL LED, rim 18-inci hitam berkilat, sistem tanpa kunci, skrin sentuh untuk infotainmen dengan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin automatik, paddle shifter, kerusi balutan kulit, AEB, peninjau titik buta dan lain-lain. Untuk perincian Phantom Plus Edition, kita tunggu pelancarannya nanti.

     
     
  • VIDEO: Perodua Alza 2022 — MPV dari RM62,500

    VIDEO: Perodua Alza 2022 — MPV dari RM62,500

    Perodua Alza 2022 telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan semalam. Ditawarkan dalam tiga varian, harga jualannya adalah seperti berikut; X (RM62,500), H (RM68,000) dan AV (RM75,500) — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan SST.

    Ia menggunkan enjin 1.5L yang sama dengan Myvi, yang menghasilkan sebanyak 105 hp dan 138 Nm; ini 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding output Myvi. Enjin Dual VVT-i Euro 4 empat-silinder berkenaan digandingkan bersama kotak gear D-CVT.

    Perodua Alza 2022 ini berkongsi banyak persamaan dan asas dengan model-model seperti Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia — dua model yang mendapat sambutan di Indonesia. Jadi adakan ini model “rebadge”? Tidak. Sama seperti Ativa dahulu yang dibangunkan secara bersama dengan model Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, begitu jugalah Alza ini.

    Dan, untuk yang ingin memilikinya, tempoh menunggu dianggarkan selama 10 bulan, dengan Perodua merancang untuk mengeluarkan model berkenaan dengan kapasiti 3,000 unit sebulan.

    Alza generasi kedua ini mempunyai ukuran dimensi 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar. Ini bermakna jejaknya adalah 205 mm lebih panjang dan 35 mm lebih lebar berbanding yang lama, walaupun jarak antara rodanya masih dikekalkan dengan 2,750 mm.

    Ini sebuah MPV yang agak rendah, dengan ketinggian 1,670 mm (1,660 mm untuk X yang menggunakan rim 15-inci; H dan AV dengan rim dua-tona 16-inci) adalah kurang lebih 50 mm berbanding Alza lama, tetapi Alza baru ini juga 60 mm lebih rendah jika dibandingkann dengan Mitsubishi Xpander.

    Tonton video ini untuk melihat dan mengetahui lebih lanjut tentang penawaran Perodua Alza 2022.

    Perodua Alza 2022 1.5L AV

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya dapat 19 tren empat gerabak baharu secara berperingkat hingga Dis 2024 – Wee

    LRT Laluan Kelana Jaya dapat 19 tren empat gerabak baharu secara berperingkat hingga Dis 2024 – Wee

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengesahkan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bakal menerima 19 tren baharu yang memiliki empat gerabak secara berperingkat sehingga Disember 2024. Tren baharu itu adalah di bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27) bernilai RM1.72 bilion yang dilaksanakan pada 2017.

    Menurut Dr.Wee, melalui KLAV 27, kerajaan melalui PRASARANA telah menganugerahkan kontrak pembekalan kepada Hartasuma Sdn Bhd. Setakat ini, Hartasuma telah menyerahkan lapan tren baharu empat gerabak pada tahun lalu dan bakinya dijadual akan diserahkan bermula Julai 2023 sehingga Disember 2024.

    “Penambahan tren baharu amat tepat pada masanya untuk menggantikan tren lama yang digunakan sekarang. Tren dua gerabak sedia ada akan digantikan dengan empat gerabak, namun dalam masa sama, beberapa tren sedia ada masih akan digunakan untuk mengurangkan kesesakan apabila ia berlaku,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Hartasuma Sdn Bhd di Pulau Indah semalam untuk menyaksikan keupayaan tempatan dalam pembuatan rolling stock atau pengangkutan rel.

    LRT Laluan Kelana Jaya dapat 19 tren empat gerabak baharu secara berperingkat hingga Dis 2024 – Wee

    Jelas beliau, Hartasuma adalah syarikat tempatan yang telah membuktikan kejayaan memasang gerabak kereta api sejak bertahun-tahun lalu. Syarikat ini juga bertanggungjawab menjalankan pemasangan ‘bogie’ atau dek roda sepenuhnya di Malaysia untuk 19 set tren yang terakhir.

    “Mereka telah meningkatkan kepakaran tempatan dan projek ini 45% adalah daripada kepakaran dan sumber tempatan. Ini satu kejayaan kepada negara dalam memperkasakan ekosistem rel nasional dan saya mengharapkan sumbangan tempatan akan terus meningkat tidak lama lagi.

    “Ia akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam industri rel,” katanya.

     
     
  • Perodua Alza 2022 – Tempoh waktu menunggu 10 bulan berdasarkan 3,000 unit produksi sebulan

    Perodua Alza 2022 – Tempoh waktu menunggu 10 bulan berdasarkan 3,000 unit produksi sebulan

    Sewaktu pelancaran Perodua Alza 2022 yang berlangsung semalam, Perodua memaklumkan telah menerima lebih 30,000 unit tempahan bagi MPV generasi kedua ini sejak 23 Jun lalu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 65% pelanggan memilih model spesifikasi penuh 1.5L AV.

    Dalam masa yang sama, Perodua turut mengumumkan daripada lebih 200,000 unit tempahan bagi pelbagai modelnya, 15% daripadanya adalah Alza 2022 ini. “Kami memberi jaminan kepada para pelanggan yang menempah Alza serba baharu ini pada atau sebelum 30 Jun 2022, mereka akan menerima kenderaan yang ditempah sebelum 31 Mac 2023 iaitu tarikh akhir pendaftaran bagi kenderaan yang menerima pengecualian SST.

    “Kami menyasarkan produksi bagi Alza 2022 ini adalah sebanyak 3,000 unit sebulan. Justeru, tempoh waktu menunggu untuk para pelanggan yang telah menempahnya adalah sekitar 10 bulan,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Apa yang diketauhi, produksi Alza 2022 ini telah pun bermula pada Jun dan dengan adanya bilangan stok yang telah disiapkan, penghantaran awal dijangka lebih tinggi. Malahan Zainal Abidin turut mendedahkan Perodua “boleh mendaftar sekitar 4,300 unit untuk bulan ini” walau pun pada hakikatnya pendaftaran dan penghantarannya hanya bermula seawal semalam.

    Perodua Alza 2022 – Tempoh waktu menunggu 10 bulan berdasarkan 3,000 unit produksi sebulan

    “Untuk Alza, jika mengikut oengiraan, dengan 30,000 tempahan, 3,000 unit produksi untuk sebulan, 10 bulan untuk tempoh waktu menunggu. Tetapi jangan risau, bulan ini kami akan cuba untuk mendaftar lebih 4,000 unit dan akan berusaha untuk menambahkan produksi bagi memenuhi permintaan,” jelasnya lagi.

    Tambah beliau, “Selain jumlah produksi, apa yang paling penting sekarang ialah bagaimana untuk menghantar dan membolehkan pelanggan menikmati pengecualian SST bagi tempahan sebelum atau pada 30 Jun 2022.”

    Perodua Alza 2022 didatangkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.5L X yang berharga RM62,500, RM68,000 untuk varian 1.5L H dan model spesifikasi tertinggi, 1.5L AV pula berharga RM75,500. Kesemuanya adalah harga atas jalan dengan SST dan tanpa insurans. Jaminan lima-tahun diberikan secara standard.

    Diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), Alza 2022 ini dipadankan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA empat-silinder dengan kuasa mencecah 105 hp dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut digandingkan bersama kotak gear D-CVT automatik. Kecekapan penggunaan minyak juga didakwa 40% lebih baik, di samping prestasi keseluruhan yang lebih baik. Eco Idle ditawarkan sebagai ciri standard.

    Perodua Alza 1.5X 2022 – Harga RM62,500

    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan Eco Idle
    • Transmisi automatik D-CVT
    • Brek dram untuk bahagian belakang

    Luaran

    • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home”, “leaving home”
    • Cermin sisi larasan kuasa dengan lipatan manual
    • Lampu isyarat cermin sisi LED
    • Lampu belakang LED dengan kemasan seakan lampu pada pintu tailgate

    Dalaman

    • Kerusi fabrik
    • Nisbah lipatan kerusi baris tengah 60:40, mekanisme satu-sentuhan
    • Nisbah lipatan kerusi baris belakang 50:50
    • Kawalan pendingin hawa digital di depan
    • Kawalan pendingin manual di belakang, dengan corong
    • Paparan multi-info LCD
    • Pemain audio standard tanpa skrin sentuh
    • Empat pembesar suara

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Advanced Safety Assist (ASA)
    • Amaran Pra-Perlanggaran
    • Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki)
    • Kawalan Salah Operasi Pedal
    • Amaran Pergerakan Depan
    • Amaran Penukaran Lorong
    • Penghindaran Penukaran Lorong
    • Lampu Tinggi Automatik

    Perodua Alza 1.5H 2022 — Harga RM68,000

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

    Luaran

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Lampu depan automatik
    • Lampu kabus LED
    • Lampu belakang LED dengan lampu sebenar pada pintu tailgate

    Dalaman

    • Perehat tangan
    • Paparan pelbagai-info 7.0-inci TFT
    • Pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci
    • Enam pembesar suara (termasuk tweeter)

    Keselamatan

    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan
    • Lampu depan Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

    Perodua Alza 1.5AV 2022 — Harga RM75,500

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold
    • Brek cakera di bahagian belakang

    Luaran

    • Skirt sisi
    • Gril hadapan kemasan hitam berkilat dan krom

    Dalaman

    • Papan pemuka,panel pintu dan tempat duduk dua-tona (hitam-merah)
    • Konsol tengah dengan bezel krom dan kemasan perak
    • Konsol perehat tangan lebih tinggi bersama pada sentuhan lembut
    • Upholsteri balutan gabungan fabrik dan kulit
    • Pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci dengan hubungan Android Auto

    Keselamatan

    • Kawalan Melayar Adaptif
    • Kawalan Mengekalkan Lorong
    • Peninjau Titik Buta
    • Penggera Lintasan Trafik Belakang
    • Peninjau pandangan panoramik 360-darjah

    Perodua Alza 2022 1.5L AV


    Perodua Alza 2022 1.5L H

    Perodua Alza 2022 1.5L X

    Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Toyota Veloz 2022 – rupa sebenar model pasaran M’sia didedah; warna 2-tona, Apple CarPlay & Android Auto

    Toyota Veloz 2022 – rupa sebenar model pasaran M’sia didedah; warna 2-tona, Apple CarPlay & Android Auto

    UMW Toyota Malaysia telah pun membuka tempahan untuk MPV tujuh-tempat duduk Toyota Veloz bulan lalu, dan ketika itu ia turut disertai dengan imej teaser memaparkan sebahagian rupa model berkenaan. Sama ada kebetulan atau tidak, selepas kembarnya iaitu Perodua Alza 2022 dilancarkan semalam, UMWT turut menyiarkan lagi imej lebih terperinci bahagian luar dan dalam Veloz 2022 ini.

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, Veloz 2022 pasaran Malaysia ditawarkan dengan ciri eksklusif yang tidak terdapat pada pasaran Indonesia dan Thailand iaitu diberikan warna badan dua tona, menampilkan bumbung berwarna hitam. Namun untuk skema warna ini, ia hanya ditawarkan untuk pilihan rona Silver Metallic dan juga seperti unit yang didedahkan ini iaitu Blue Metallic.

    Walau bagaimanapun, pilihan warna dua-tona ini memerlukan bayaran tambahan berjumlah RM1,300. Tiga warna selebihnya iaitu White Metallic, Bluish Black dan Red Metallic datang diberikan bumbung yang dicat dengan warna badan.

    Toyota Veloz 2022 – rupa sebenar model pasaran M’sia didedah; warna 2-tona, Apple CarPlay & Android Auto

    UMWT turut mendedahkan sedikit bahagian dalaman Veloz 2022 pasaran Malaysia ini. Ia nampaknya masih kelihatan sama dengan model pasaran Indonesia, menampilkan kabin dengan tema utama dua tona (hitam-putih, berbanding hitam-merah pada Alza 2022) pada papan pemuka dan panel pintu, bersama perapi dengan kemasan perak, sedikit kemasan gentian karbon pada pemegang pintu, serlahan biru pada rel konsol tengah, serta menerima lampu suasana berwarna biru pada panel pintu.

    Rekaan papan pemuka Veloz ini kelihatan sedikit berbeza berbanding Alza terutamanya pada suis kawalan pendingin hawa dan bahagian atas glove box. Namun ia masih menerima paparan instrumen digital dan juga roda stereng yang sama seperti Alza 2022.

    Veloz turut menerima sistem brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold sama seperti Alza. Namun pada perehat tangan tengah, dapat diperhatikan Veloz menerima pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, yang tidak ditawarkan pada Alza. Veloz juga menerima skrin infotainmen dengan saiz yang sama seperti Alza iaitu sembilan-inci, tetapi model dengan lencana Toyota ini hadir dengan sistem hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, berbanding Alza yang hanya diberikan hubungan Android Auto (Apple CarPlay masih belum ada) yang perlu dihubungkan dengan wayar.

    Toyota Veloz 2022 – rupa sebenar model pasaran M’sia didedah; warna 2-tona, Apple CarPlay & Android Auto

    Toyota Veloz 2022 ini bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Toyota Avanza generasi sebelum ini dan akan dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian iaitu 1.5 A/T, yang hadir terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dengan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000.

    Harga tersebut juga adalah termasuk cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan. Namun seperti yang diumumkan oleh kementerian kewangan sebelum ini, insentif pengecualian SST akan diberikan oleh pembeli yang menempah kereta mereka sehingga 30 Jun 2022 dan menerima serta mendaftarkan kereta tersebut sebelum 1 April 2023.

    Jadi berbanding Alza 2022 yang dijual antara RM62,500 hingga RM75,500, Toyota Veloz 2022 adalah hampir RM20,000 lebih mahal berbanding Alza varian tertinggi iaitu AV, walaupun kedua-duanya diasaskan dari platform dan kerangka yang sama.

    Toyota Veloz 2022 – rupa sebenar model pasaran M’sia didedah; warna 2-tona, Apple CarPlay & Android Auto

    Antara perincian lain yang telah disahkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok jenis sequential dan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17. Veloz juga menerima rel bumbung secara standard, memberikan ia imej seakan SUV berbanding MPV.

    Untuk keselamatan, Toyota Veloz 2022 ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS), tetapi UMWT masih belum memperincikan fungsi-fungsi dalam pakej TSS untuk Veloz pasaran Malaysia ini. Namun ia mungkin seiras dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) pada Alza varian tertinggi, menampilkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Sama seperti Perodua Alza 2022 dan juga Daihatsu Xenia serta Toyota Avanza 2022, Veloz generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.

    Ia dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. UMWT masih belum menyatakan angka kuasa untuk enjin berkenaan, namun untuk model pasaran Indonesia dan juga pada Alza, ia menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. UMWT juga menyatakan bahawa kotak gear CVT pada Veloz 2022 pasaran Malaysia ini turut menampilkan nisbah maya tujuh-kelajuan.

     
     
  • Perodua Alza 2022 varian AV dapat Android Auto

    Perodua Alza 2022 varian AV dapat Android Auto

    Sistem hubungan telefon pintar ke sistem infotainmen kenderaan seperti Android Auto dan Apple CarPlay bukan sesuatu yang baru. Walaupun ia diakui merupakan antara perincian yang memudahkan pemandu dengan membolehkan sistem navigasi berasaskan internet seperti waze dan Google map beroperasi dengan mudah, malah turut membolehkan aplikasi strim muzik seperti Spotify dan Jook dikawal menerusi skrin infotaimen, tiada lagi jenama automotif tempatan yang menyediakan fungsi tersebut.

    Sehinggalah Perodua Alza generasi kedua dilancarkan pagi tadi – jika anda memilih varian tertinggi AV, sistem infotainmen dengan skrin sembilan-inci pada model berkenaan kini telah tersedia dengan sistem hubungan Android Auto, menjadikan ia kereta jenama nasional pertama menerima perincian sedemikian.

    Tetapi maaf untuk pengguna iPhone, sistem hubungan Apple CarPlay masih belum boleh digunakan pada Alza 2022 ini (mungkin akan ditingkat taraf pada masa hadapan). Manakala untuk sistem Android Auto yang dibekalkan ini, ia masih perlu dihubungkan menggunakan wayar menerusi port USB yang terletak pada sebelah bawah kanan skrin infotainmen berkenaan.

    Selepas menghubungkan telefon pintar anda dengan skrin berkenaan, aplikasi ini boleh diaktifkan menerusi skrin “Home” dengan menekan ikon Android Auto yang diletakkan sebaris dengan ikon “Phone”, “Media” dan “Settings”. Tetapi jangan lupa, anda perlu terlebih dahulu melengkapkan aplikasi Android Auto tersebut pada telefon pintar anda.

    Bagi model varian pertengahan Alza 1.5 H, walaupun skrin yang diberikan juga bersaiz sembilan inci, ia tidak dilengkapi dengan hubungan Android Auto ini. Skrin pada varian H tersebut juga nampak lebih ringkas kerana ia hanya mempunyai butang on/off pada sebelah kiri bersama mikrofon, manakala skrin pada varian AV turut diberikan butang ‘home’, kawalan tahap bunyi, dan ‘mute’.

    Selain dari fungsi Android Auto ini, Alza AV 2022 ini juga menerima perincian yang agak premium termasuk sistem brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Brake Hold (juga pertama kali diperkenalkan pada model Perodua) serta kamera pemantau panaromik 360-Darjah. Katalog aksesori Perodua GearUp juga turut menawarkan sistem kamera perakam digital (dashcam) yang diintegrasikan pada kamera panaromik berkenaan dengan tambahan bayaran RM500.

    Beza skrin untuk varian H (kiri) dan varian AV (kanan)

    Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas 1.5 X berharga RM62,500, diikuti varian pertengahan 1.5 H dijual pada harga RM68,000 dan varian tertinggi AV dijual pada harga RM75,500.

    MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI, dan untuk mengetahui perbezaan antara varian anda boleh rujuk laporan khas kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV


    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X

    GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Harga minyak 21-27 Julai – RON97 turun 10 sen seliter

    Harga minyak 21-27 Julai – RON97 turun 10 sen seliter

    Kementerian kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 Julai 2022, harga runcit bagi petrol RON97 turun sebanyak 10 sen seliter, iaitu daripada RM4.75 seliter kepada RM4.65 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 27 Julai 2022.

    Manakala bagi harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Perodua Alza 2022 terima ASEAN NCAP lima-bintang

    Perodua Alza 2022 terima ASEAN NCAP lima-bintang

    New Car Assessment Programme for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP) telah memberikan penarafan lima-bintang kepada Perodua Alza 2022 yang baru saja dilancarkan, dengan skor keseluruhan 81.64 mata.

    MPV tujuh-tempat duduk serba baru ini merupakan model keempat yang dinilai di bawah protokol terkini 2021-2025 yang terdiri daripada empat kategori; perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), bantuan keselamatan (SA) dan keselamatan penunggang motosikal (MS). Ia juga menjadi model kedua Perodua yang diuji di bawah kitaran yang lebih komprehensif ini selepas Ativa.

    Menurut laporan ASEAN NCAP, varian Alza yang diuji ialah X yang paling asas. Semua tiga varian yang ditawarkan datang dengan enam-beg udara sebagai standard, VSC, kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, sistem peringatan tali keledar, lampu tinggi automatik, amaran penukaran lorong dan penghindaran serta AEB dengan pengesanan pejalan kaki. Cuma AV yang turut menerima peninjau titik buta dan sistem bantuan lain.

    Dalam kategori AOP, Alza mencatatkan 28.96 mata daripada 32 mata keseluruhan, dengan 43.04 daripada 51 mata untuk COP. Kategori MS pula menyaksikan MPV berkenaan meraih lapan daripada 16 mata, dan untuk kategori SA, 19.50 daripada 21 mata. Secara keseluruhannya, skor akhir membolehkannya menerima penarafan lima-bintang.

    “Perodua Alza merupakan model kedua Perodua yang diuji di bawah protokol 2021-2025 ASEAN NCAP. Walaupun keperluan keselamatan terkini yang lebih ketat diperlukan oleh ASEAN NCAP, Perodua terkehadapan dalam hal ini dengan menyertakan beberapa teknologi bantuan keselamatan utama sebagai ciri standard untuk semua varian. Adalah amat membanggakan untuk melihat pengeluar kenderaan Malaysia begitu progresif dalam aspek keselamatan kenderaan dengan memenuhi keperluan ketat ASEAN NCAP,” ujar Ketua Pengara MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim.

     
     
  • Perodua Alza 2022 – 65% dari lebih 30k unit tempahan pilih varian paling mahal AV berharga RM75,500

    Perodua Alza 2022 – 65% dari lebih 30k unit tempahan pilih varian paling mahal AV berharga RM75,500

    Selepas Perodua mengeluarkan harga anggaran bagi Perodua Alza 2022 ketika tempahannya dibuka pada bulan lalu, ramai yang menyatakan bahawa Alza baharu ini bukanlah Alza sebenar kerana dijual pada harga lebih tinggi dari model generasi sebelumnya, dan ia bukan lagi MPV mampu milik.

    Namun apa yang ditunjukkan pada statistik tempahan Perodua sendiri adalah sebaliknya – sebelum ia dilancarkan secara rasmi hari ini, Perodua telah pun menerima tempahan lebih dari 30,000 unit untuk Alza generasi kedua ini, satu rekod baharu bagi jenama automotif kedua nasional berkenaan untuk tempahan model baharu.

    Malah satu lagi fakta yang tak boleh dinafikan, dari 30,000 pembeli yang menempah MPV tersebut, 65% daripada mereka (atau hampir 20,000 unit) memilih varian yang paling mahal iaitu Alza 1.5 AV!

    Perodua Alza 2022 – 65% dari lebih 30k unit tempahan pilih varian paling mahal AV berharga RM75,500

    Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas 1.5 X berharga RM62,500, diikuti varian pertengahan 1.5 H dijual pada harga RM68,000 dan varian tertinggi AV dijual pada harga RM75,500. Ia jelas jauh lebih mahal dari Alza generasi pertama yang dijual pada harga bermula RM52,661 hingga RM60,525 untuk varian dengan kotak gear automatik. Malah sebelum ini Alza turut ditawarkan dalam versi dengan transmisi manual, dijual pada harga tidak sampai RM50k.

    Model generasi baharu merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz generasi terkini, diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang dibangunkan oleh Daihatsu berdasarkan platform Toyota New Global Achitecture (TNGA) – ini antara sebab mengapa ia dijual pada harga jauh lebih mahal.

    Kesemua kembar MPV Xenia/Avanza/Veloz/Alza ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu padanan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan.

    Perodua Alza 2022 – 65% dari lebih 30k unit tempahan pilih varian paling mahal AV berharga RM75,500

    Selain dari kerangka yang lebih moden menjadikan ia lebih luas dan memberikan prestasi lebih baik, Alza generasi baharu ini turut menerima sistem keselamatan yang jauh lebih canggih dari model generasi sebelumnya. Kesemua varian menerima enam beg udara secara standard bersama sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.

    Secara asasnya, sistem ASA berkenaan memberikan fungsi seperti Amaran Pra-Perlanggaran, Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki), Kawalan Salah Operasi Pedal, Amaran Pergerakan Depan, Amaran Penukaran Lorong, Penghindaran Penukaran Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.

    Manakala varian tertinggi diberikan sistem tambahan termasuk cruise control adaptif, Kawalan Mengekalkan Lorong, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Pemantau pandangan panoramik 360-darjah, serta brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold.

    MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI, dan untuk mengetahui perbezaan antara varian anda boleh rujuk laporan khas kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV


    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X

    GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022

     
     
  • Proton X50 khas diserahkan kepada Tengku Sulaiman

    Proton X50 khas diserahkan kepada Tengku Sulaiman

    Dalam satu muatan di Facebook, Proton telah mengumumkan bahawa sebuah X50 ubah suai khas diserahkan kepada seorang pelanggan istimewa mereka, iaitu Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

    Kereta ini diubah suai oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), iaitu satu cabang khas pengubahsuaian kenderaan di dalam Proton, yang juga sebelum ini telah melakukan kerja-kerja ubah suai untuk kereta Proton lain dalam koleksi Tengku Sulaiman termasuk X70 dan Perdana.

    Kali ini, X50 Tengku Sulaiman dicat warna kuning seakan emas, dan ia merupakan satu warna khas yang tiada dalam pilihan untuk X50 jualan awam. SUV ini juga datang dengan jalur hitam di atas bonet, penutup but dan bahagian tepi pintu, sementara rim mendapat warna krom.

    Kemasan istimewa lain yang dapat dilihat pada bahagian luar X50 Tengku Sulaiman ini adalah termasuk jalur warna kuning sama seperti badan di bahagian gril, lampu LED tambahan pada gril bawah, kemasan berbentuk helang pada bingkai nombor plet serta hiasan berbentuk harimau di atas bonet.

    Pada penutup but belakang, anda akan dapat melihat tambahan kemasan krom yang tebal berserta logo Proton berwarna emas (di bawah pengelap cermin), manakala di kedua-dua belah tepi nombor plet terdapat lencana logo serta bendera Selangor. Sama seperti hadapan, bampar belakang juga mendapat tambahan dua jalur lampu LED.

    Hanya satu gambar bahagian dalam yang dimuat naik oleh Proton, dan melaluinya kita boleh melihat kemasan kayu pada beberapa bahagian seperti stereng, papan pemuka dan konsol tengah, sementara tempat duduk menggunakan balutan kulit bersama jahitan warna kuning.

     
     
  • Perodua, TNB disaran bekerjasama perkenalkan kadar caj pengecasan EV yang mampu dilanggani – PM

    Perodua, TNB disaran bekerjasama perkenalkan kadar caj pengecasan EV yang mampu dilanggani – PM

    Dalam majlis pelancaran Perodua Alza 2022 yang berlangsung pagi tadi di Kuala Lumpur Convention Centre, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyarankan agar Tenaga Nasional Berhad bekerjasama dengan Perodua dalam memperkenalkan kadar caj untuk pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang mampu dilanggani oleh rakyat.

    Menurut beliau, buat masa ini, TNB sedang berusaha mempertingkatkan pengeluaran elektrik dengan menggunakan sumber tenaga yang bersih dan dalam masa yang sama menyediakan stesen pengecas bagi EV secukupnya.

    “Dalam masa yang sama juga Perodua boleh menerokai peluang baharu termasuk mengeluarkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia.

    Perodua, TNB disaran bekerjasama perkenalkan kadar caj pengecasan EV yang mampu dilanggani – PM

    “Malah, syarikat telekomunikasi negara seperti Telekom Malaysia juga berpeluang bekerjasama dengan kedua-dua pihak terbabit untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan pengguna untuk membuat tempahan menerusi dalam talian bagi pengecasan EV,” katanya.

    Jelas beliau, kerjasama pintar seumpamanya perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia selain dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.

    “Kerjasama itu juga dapat membantu mencapai matlamat karbon neutral di Malaysia pada tahun 2050, seperti yang dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, kerajaan juga bersedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau inisiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara,” tambahnya lagi.

     
     
  • PLUS bakal pasang 100 pengecas untuk EV di sepanjang lebuhrayanya menjelang 2024

    PLUS bakal pasang 100 pengecas untuk EV di sepanjang lebuhrayanya menjelang 2024

    PLUS Malaysia (PLUS) menyasarkan untuk memasang sejumlah 100 pengecas bagi kenderaan elektrik (EV) di lokasi strategik di sepanjang lebuhraya kendaliannya menjelang tahun 2024. Perkara ini didedahkan oleh pengarah urusan syarikat konsesi terbabit, Datuk Azman Ismail, seperti mana yang dilaporkan oleh The Edge baru-baru ini.

    “Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan objektif untuk menyediakan fasiliti yang diperlukan khususnya untuk pengguna EV di lebuhraya kami. Di bawah pelan hala tuju PLUS EV Charging Station, kami akan bekerjasama dengan beberapa pemain industri untuk memasang 100 pengecas ini secara kumulatif menjelang 2024,” kata Azman.

    Menurut Azman lagi, sebanyak 29 pengecas telah diletakkan di kawasan rehat & rawat (R&R) dan juga stesen minyak seperti Caltex dan Shell di sepanjang lebuhraya PLUS. Sementara itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) berkata buat masa ini, terdapat sejumlah 600 stesen pengecas EV awam di seluruh negara.

    PLUS bakal pasang 100 pengecas untuk EV di sepanjang lebuhrayanya menjelang 2024

    Pada Mac lalu, TNB telah mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan PLUS untuk beberapa inisiatif mampan. Antaranya termasuklah memasang pengecas pantas untuk EV di beberapa lokasi berpotensi tinggi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Walau bagaimana pun, rangkaian pengecas pantas DS tersebut masih belum didedahkan buat masa ini, tetapi menerusi dokumen yang ditandatangani telah mendedahkan terdapat sejumlah lapan stesen pengecasan pantas akan dipasang di kedua-dua lebuhraya terbabit (enam di Lebuhraya Utara-Selatan, dua lagi di LPT2) yang merentasi enam buah negeri.

    Selain itu, kedua-dua pihak berkenaan juga bersetuju untuk bekerjasama memasang sistem solar photovtaic di atas bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara), dengan keseluruhan jumlah bagi kapasitinya adalah melebihi 360 kWp (kilowatt peak).