Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla iM 2017 – penampilan pertama untuk Formula D; dengan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork

    Apa yang sedang anda lihat ini ialah jentera Papadakis Racing bagi perlumbaan Formula Drift musim akan datang, ditaja oleh Rockstar Energy Drink dan Nexen Tire. Kelebihannya? Ia menjana kira-kira 1,000 hp kuasa. Seperti yang dapat dilihat, jentera ini diasaskan daripada model Toyota Corolla iM 2017.

    Seperti biasa didengar; Corolla dan drift? Jika anda membayangkan Initial D, maka jawapannya memang tepat. Pasukan yang merangkul kemenangan paling banyak dalam Formula Drift ini juga tahu tentang itu, dan untuk memperkenalkan jentera lumba terkini, mereka membikin semula video aksi sebenar sebagai tribute kepada anime Jepun lagenda itu.

    “Kami tahu peminat ternanti-nantikan pengumuman jentera ini. Dengan pengenalan seperti ini, kami sangat gembira. Corolla bukanlah nama asing bagi kebanyakan orang, dan kami berbangga untuk membawanya meraih kejuaraan lagi selepas ini,” jelas pemilik pasukan, Stephan Papadakis.

    Toyota Corolla iM 2017 – penampilan pertama untuk Formula D; dengan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork

    “Ramai di antara kita yang membesar dengan menonton Initial D. Perasaannya sangat mengujakan untuk membawa kereta ini ke laluan pergunungan sebagai sebuah tribute kepada sejarah drifting itu sendiri,” jelas pemandu pasukan, Fredric Aosbo, yang juga juara Formula D 2015 dan akan memandu jentera ini kelak.

    Jentera ini menggunakan enjin 2AR 2.7 liter dan menggunakan bahan api E85 bio-ethanol. Dengan turbo BorgWarner EFR dan penyuntik minyak AEM Infinity, ia mampu menghasilkan 1,000 hp kuasa dan 1,152 Nm tork. Semua kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Gforce GSR empat-kelajuan. Ia menggunakan roda dari Motegi Technomesh D dengan tayar Nexen N’fera SUR4 (245/50 depan dan 275/40 belakang).

    Ia dijangka akan membuat penampilan pertama di litar Formula D hujung bulan ini di Long Beach, California. Kami sediakan juga video asal Initial D yang dirujuk untuk pembikinan video baru oleh RockstarD ini. Semoga menikmati.

     
     
  • BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Setelah setahun Mercedes-Benz E-Class W213 tanpa saingan sebenar dalam pasaran, akhirnya BMW 5 Series G30 secara rasminya di lancarkan di Malaysia. Buat permulaan, 5 Series generasi ketujuh ini hanya ditawarkan dalam varian 530i, dan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU).

    Untuk pasaran Malaysia, 530i G30 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM398,800. Ia ditawarkan dengan warna Black Sapphire, Sophisto Grey Brilliant Effect, Alpine White dan Mediterranean Blue. Warna luaran berkenaan akan dipadankan dengan upholsteri dalaman berwarna hitam (Leather Dakota Black) yang diserlahkan dengan jahitan biru atau Kulit Dakota Cognac bersama jahitan berwarna kontras (hanya untuk warna putih, kelabu dan hitam). Setiap pembelian akan diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    5 Series G30 ini diperkenalkan untuk peringkat global buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, dan dibina berasaskan platform modular baharu Cluster Architecture (CLAR), asas yang sama untuk pembinaan 7 Series G12. Dengan dimensi 4,936 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,479 mm tinggi, G30 ini ternyata lebih besar dari model sebelumnya dengan ukuran 37 mm lebih panjang, 8 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi berbanding 5 Series F10.

    Walaupun ia kini lebih besar, model baharu ini sebenarnya 100 kg lebih ringan dari sebelum ini. BMW berjaya mengurangkan berat kereta ini tanpa struktur asas karbon seperti 7 Series, dan hanya bergantung pada aluminium, keluli berketegaran tinggi serta magnesium. Kekuatan badan dan ketegaran torsi juga telah dipertingkatkan.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Untuk rekaan luaran, 5 Series generasi baharu ini menampilkan rekaan muka signatur terkini dengan lampu hadapan bersambung bersama gril ‘kidney‘ tradisi BMW. Ia diberikan lampu hadapan LED Adaptif BMW sepenuhnya serta lampu nyalaan siang LED yang kini dipertingkatkan dengan lampu berbentuk bulat serta lampu tinggi yang menawarkan jarak sehingga 500 meter.

    Pada bahagian sisi, liang aliran udara diberikan pada bahagian belakang ruang roda hadapan yang berperanan untuk mengurangkan tekanan pada ruang roda berkenaan – bersama udara kemasukan dari liang hadapan bagi memberikan aerodinamik lebih baik dengan pekali geseran sehingga 0.22 cd. Di bawah garis bahu utama, satu lagi garis badan diberikan bermula dari bahagian atas roda hadapan, hingga ke bahagian tiang-C.

    Bahagian belakang G30 ini menampilkan lampu tipikal berbentuk-L BMW, seiras dengan model-model terkini jenama berkenaan. Dengan pakej penampilan M-Sport, ia hadir bersama rim 19-inci berwarna hitam serta brek M-Sport berwarna biru, dan juga kit badan M Aerodynamics yang didatangkan dengan warna badan terdiri dari penutup sil sisi, apron hadapan dan belakang.

    Masuk kebahagian dalaman, G 30 diberikan tempat duduk hadapan dengan larasan berkuasa, membolehkan pemandu mendapatkan posisi pemanduan terbaik serta dengan bentuk yang sporty. Papan pemuka generasi terkini ini direka lebih tirus berbanding model terdahulu bersama skrin iDrive utama baharu yang berdiri sendiri.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Kabin model baharu ini juga diberikan lampu suasana pelbagai warna, serta sistem audio 600 watt Harmann Kardon dengan 16-pembesar suara, selain dari sistem penghawa dingin automatik empat-zon. Selain itu, 530i turut diberikan kemasan bendul pintu M bernyala, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit M da juga set pedal sport M.

    Bagi sistem infotaimen iDrive, ia masih lagi bleh dikawal menggunakan gestur, suara asli atau sentuhan kepada skrin besar bersaiz 10.25-inci. Apa yang berbeza, susunan enam petak pada interface kini telah dibahagikan kepada dua bagi memberikan info langsung pada masa yang sama. Petak-petak berkenaan masih lagi boleh disusun semula oleh pemilik, seperti interface pada telefon pintar atau tablet.

    5 Series generasi baharu ini turut diberikan kunci dengan paparan LCD berwarna dan panel kawalan sentuh digelar BMW Display Key yang boleh menunjukkan pelbagai maklumat tentang status kenderaan. Sistem Comfort Access turut diberikan bagi memudahkan bukaan but belakang tanpa mnggunakan tangan. BMW ConnectedDrive diberikan secara standard yang menawarkan kemudahan Intelligent Emergency Call, BMW Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.

    Untuk model 530i ini, ia dijana enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo dengan valvetronic dan double-VANOS, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dari ZF, dan mampu mencatatkan 6.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.8 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 132 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

    BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

    Bagi pengendalian pula, G30 diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan serta gandar belakang dengan hubungan lima bahagian, yang lebih ringan serta lebih canggih dari sebelum ini, memberikan stabiliti dan kelincahan yang lebih baik, serta mengurangkan daya olengan tanpa mengorbankan keselesaan. Cagak serta sistem sokongan yang lebih besar turut membantu untuk menjadikan kereta ini lebih senyap.

    Ia turut dibantu sistem Driving Experience Control yang akan menghubungkan enjin, unit janakuasa dan casis untuk menyesuaikan keadaan pemanduan, dan kini turut menerima mod Adaptive bagi tambahan kepada mod Eco Pro, Comfort dan Sport. Mod baharu berkenaan membolehkan semuanya dilaraskan secara automatik berdasarkan corak pemaduan dan juga laluan yang bakal ditempuhi, mengambil input dari pedikit, stereng, posisi tuil penukar gear serta data navigasi.

    G30 turut menerima sistem pemaduan separa-automatik menerusi sistem Cruise Control aktif dengan fungsi Stop&Go yang boleh beroperasi dari kedudukan pegun hingga kelajuan 210 km/j, dan ia turut boleh mengesan dua kenderaan di hadapannya bagi pemanduan yang lebih lancar, serta mampu membuat keputusan pada susur keluar lebuhraya dan juga pada laluan bulatan.

    5 Series baharu ini turut diberikan Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, selain dari fungsi Approach Control Warning & Person Warning dengan City Brake. Sistem itu akan memberi amaran dan membrek pada kelajuan antara 10km/j sehingga 60km/j untuk manusia dan mencecah 80km/j bagi kenderaan lain.

    Sekiranya kemalangan tidak dapat dielakkan, fungsi City Braking akan membantu mengurangkan impak pelanggaran. Approach Control Warning pula akan memberi amaran jika pelanggaran mungkin berlaku dengan kenderaan di hadapan pada kelajuan lebih tinggi. Ia berfungsi dengan mememastikan respon brek diberikan lebih pantas dan jarak membrek yang lebih pendek.

    Ciri baharu lain yang diberikan adalah Amaran Lintasan Trafik, digabungkan dengan kamera undur, yang akan memberikan amaran secara visual dan akustik kepada pemandu sekiranya ia mengesan pemandu berkenaan membuat jangkaan yang salah, serta memberikan brek awalan bagi memendekkan jarak berhenti.

    Rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Jonathan Lee, telah menguji 5 Series generasi baharu ini dalam versi lebih tinggi 540i di Lisbon, Portugal, sebelum ianya dibawa ke Malaysia, dan anda boleh membaca ulasan tersebut di sini. Anda juga boleh lihat spesifikasi penuh model baharu ini pada laman Carbase.my.

    GALERI:Gambar rasmi BMW 5 Series G30

     
     
  • 20 kematian sehari akibat kemalangan sepanjang tahun lalu, sikap pengguna jadi faktor utama – JKJR

    20 kematian sehari akibat kemalangan sepanjang tahun lalu, sikap pengguna jadi faktor utama – JKJR

    Secara purata, 20 orang hilang nyawa setiap hari sepanjang tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), terdapat sebanyak 7,152 kematian dilaporkan tahun lalu.

    Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff berkata penunggan dan pembonceng motosikal mendahului dalam senarai itu, dengan purata 12 kematian daripada 20 yang terlibat.

    “Ini juga menunjukkan penunggan dan pembonceng motosikal menyumbang kepada angka tertinggi kematian dijalan raya, dengan angka 4,485,” jelas beliau. Menurutnya lagi, 82 peratus kemalangan maut dijalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna itu sendiri.

    “Kebanyakan kenderaan bertembung sesama sendiri, atau dilanggar dari belakang serta ada yang tergelincir. Jika pengguna mengurangkan kelajuan, kami percaya jumlah kemalangan juga akan dapat dikurangkan,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Bangkok 2017: Toyota Vios facelift – nampak memikat?

    Bangkok 2017: Toyota Vios facelift – nampak memikat?

    Walaupun Toyota C-HR sudah kelihatan diuji di Thailand, namun ruang pameran jenama itu di Bangkok International Motor Show 2017 (BIMS 2017) belum kelihatan untuk pengenalan pertamanya diperingkat ASEAN. Bagaimanapun, ada satu model facelift yang dipamerkan – model yang sama akan masuk ke pasaran Malaysia – iaitu Toyota Vios.

    Toyota Vios facelift 2017 dilancarkan di Thailand pada Januari lalu, menjadikannya sudah berusia dua bulan. Kemaskini terbaru pada sedan segmen B ini membawakan wajah yang lebih agresif; anda sama ada akan menyukainya atau pun tidak. Bahagian itu nampak lebih lebar, mirip Vios yang dilancarkan untuk pasaran China yang diperkenalkan di Beijing Auto Show 2016 lalu, serta padanan sentuhan dari model Camry 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Lampu utama dari jenis projektor yang baru dengan lampu posisi LED, gril yang lebih menonjol dengan bentuk T dan lampu kabus yang diposisikan semula beserta DRL LED ditepinya antara pembaharuan yang diberikan. Di belakang, lampunya diberi rekaan baru, dan palang krom yang menghubungkannya lebih nipis. Bampar juga diberi gaya baru yang lebih ringkas daripada yang sebelumnya. Rim 15 dan 16 inci juga dari rekaan baru.

    Tiada perubahan pada ruang kabin. Ciri-ciri seperti unit infotainmen 2-DIN dengan skrin sentuh tujuh inci, operasi tanpa kunci, tempat duduk kulit/fabrik, MID dan pendingin hawa automatik (tidak ditawarkan di Malaysia) masih dikekalkan. Tema dalaman juga berbeza bagi Vios di Thailand, mengikut varian; J, E, G dan S.

    Dari segi sistem pacuan juga ia kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i, yang kali terakhir menerima kemaskini teknikal pada 2016 dan menghasilkan 108 hp/140 Nm sama seperti versi semasanya yang ditawarkan ketika ini. Padanan kotak gear pula adalah dari jenis CVT dengan tujuh nisbah maya. Tiada lagi automatik empat-kelajuan dan transmisi manual.

    Pelanggan di sana boleh memilih dari enam warna luaran – Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Harga pula dari 609,000 baht (RM78,158) bagi varian J hingga 789,000 baht (RM101,237) bagi varian S. Versi terbaru ini dijangka tiba di Malaysia tahun ini untuk memberi saingan kepada Honda City facelift.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Aksesori adalah satu perniagaan yang menguntungkan, dan barangan Modulo adalah penting bagi Honda. Hampir semua model baru yang diperkenalkan oleh jenama ini didatangkan dengan pilihan kit Modulo, dan SUV CR-V 2017 terbaru juga tidak terkecuali. Ini adalah contohnya yang berada di Bangkok Motor Show.

    Model asasnya adalah CR-V 2.4 liter i-VTEC 2WD petrol, yang keadaan asalnya boleh dilihat dalam catatan kami sebelum ini. Model asas ini sudah cukup menarik dengan adanya lampu utama LED dan kemasan krom, tetapi kit Modulo menjadikan penampilannya lebih sporty.

    Paling jelas adalah gril besar dengan rekaan honeycomb yang digunakan pada bahagian depan. ‘Sayap’ logo Honda pada gril ini diwarnakan hitam berbanding krom pada model biasa. Melengkapkan kit Modulo di bahagian depan adalah hiasan bampar dengan corong udara tertutup pada bahagian berwarna perak dan lampu kabus LED.

    Bangkok 2017: Honda CR-V 2017 dengan kit Modulo

    Pada bahagian sisi, CR-V ini dilengkapi dengan hiasan cermin sisi, visor pintu, rim Modulo 18 inci dan papan pemijak tepi. Turut mendapat sentuhan khas adalah bahagian bampar belakang, muncung ekzos yang menonjol dan kemasan krom pada sekitar penutup but dan tepi pintu.

    Honda CR-V 2017 membuat penampilan sekali lagi di Thailand, selepas pelancarannya minggu lalu dan ia ditawarkan dalam pilihan enjin diesel dan petrol. Enjin petrol 2.4 liter sama seperti sebelum ini mampu menghasilkan 175 hp dan 225 Nm, manakala enjin diesel turbo 1.6 liter i-DTEC mampu menghasilkan 160 hp dan 350 Nm tork. Enjin petrol digabungkan bersama transmisi CVT manakala enjin diesel mendapat padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.

    Banyak perbezaan yang terdapat di antara varian diesel dan petrol ini, dan anda boleh melihatnya dalam catatan awal kami sebelum ini. Model ini akan datang di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    GALERI: Honda CR-V 2017 dengan aksesori Modulo

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia keluarkan video teaser – E-Class W213 CKD akan dilancar pada 20 April ini?

    Berdasarkan video yang disiarkan di laman Facebook Mercedes-Benz Malaysia ini, sebuah model baru akan tiba dan membuat penampilan pada 20 April ini. Rekaan lampu Multibeam LED dalam sedutan video ini datang daripada barisan kenderaan E-Class, dan memandangkan E-Class Coupe C238 hanya akan tiba pada suku ketiga tahun ini, calon yang tinggal hanyalah E-Class W213 pemasangan tempatan (CKD).

    Sejak pengenalannya di Malaysia Jun tahun lepas, E-Class adalah model yang diimport sepenuhnya, dan model yang ditawarkan terdiri daripada E 200, E 250 dan E 300 AMG Line. Tiada sebarang kenyataan berkenaan spesifikasi kenderaan ini, tetapi tidak lama lagi kita akan mengetahuinya. E-Class CKD akan dihasilkan di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang dan ia turut mengeluarkan S400 Hybrid W222.

    Baca laporan pandu uji Mercedes-Benz E 200 W213 oleh kami di sini.

     
     
  • Nissan GT-R Track Edition 2017 diperkenalkan di USA

    Nissan GT-R Track Edition 2017 diperkenalkan di USA

    Susulan pendedahan peringkat global, Nissan GT-R Track Edition 2017 bakal dilancarkan di Amerika Syarikat (USA) pada penganjuran New York International Auto Show yang bakal berlangsung April ini. Model Track Edition ini diposisikan antara varian Premium dan Nismo dalam barisan GT-R di USA, dengan harga bermula USD127,990 (RM565,395).

    Lima warna luaran ditawarkan untuk pelanggan di USA – Solid Red, Jet Black, Super Silver, Pearl White dan Blaze Metallic.

    Melibatkan penambahbaikan casis, jentera ini juga didatangkan dengan suspensi Bilstein Damptronic bersama talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Malahan Track Edition ini turut menampilkan bar anti-oleng 17.3 mm (model Premium 15.9 mm) pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.

    Malahan sambungan yang dibangunkan khas turut dipadankan pada suspensi double wishbone di hadapan, di mana ia mampu meningkatkan jejak lereng bagi menambahkan kemantapan dan kestabilan sewaktu dipandu di selekoh.

    Track Edition ini juga menerima beberapa elemen Nismo, termasuklah fender hadapan GT-R Nismo, roda aloi-aluminium enam-jejari Nismo 20-inci, spesifikasi Nismo, tayar Dunlop Sport Maxx GT600 yang diisi nitrogen, dan spoiler belakang gentian karbon.

    Sementara itu, bahagian kabinnya menerima bentangan warna hitam dan merah, dipadankan bersama tempat duduk Recaro dan plak istimewa pada konsol tengah untuk identitinya.

    Tiada perubahan kuasa, ia masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih disalurkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Di sebalik tabir pembikinan Nissan Navara

    Nissan telah mengeluarkan sebuah video, Steel to Wheels yang menunjukkan bagaimana model Navara NP300 dibuat di kilangnya di Bangna, Thailand. Kilang ini adalah kilang pertama di dunia yang menghasilkan trak pikap generasi ketiga tersebut dan merupakan hab pengeluaran bagi Nissan Asia dan Oceania (A&O).

    Dalam video selama 5 minit ini, anda dapat menyaksikan bagaimana proses menghasilkan Navara, daripada besi mentah, sehinggalah ia menjadi sebuah kereta. Kilang ini mempunyai 1,400 pekerja tempatan dan produk keluarannya dihantar ke 105 pasaran lain di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

    Di Malaysia, Navara NP300 dilancarkan pada bulan November 2015 dan dijual dalam pilihan single cab dan double cab. Enam varian ditawarkan, bermula dengan single cab manual sebagai yang paling asas. Ia seterusnya diikuti double cab E dan SE, yang boleh didapati dengan transmisi manual dan automatik.

    Varian ini dilengkapkan dengan V dan paling atas VL, dan kedua-duanya hanya boleh didapati dengan transmisi automatik sahaja. Semua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo diesel YD25DDTi 2.5 liter, berkemampuan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm untuk varian VL dan 163 PS dan 403 Nm untuk varian yang lain.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Memang Honda CR-V 2017 menjadi antara tarikan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017 diruang Honda. Tetapi, ada satu lagi model yang tak kalah menarik; Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo, yang dilancarkan awal bulan ini untuk pasaran Thailand.

    Ini versi lima-pintu bagi Civic FC, dan dijual di Thailand dalam varian tunggal 1.5L Turbo CVT pada harga 1.169 juta baht (RM149,620). Enjin L15B7 empat-silinder turbo ini menghasilkan 173 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Tidak seperti di Amerika Utara dan Eropah, kotak gear manual enam-kelajuan tidak ditawarkan.

    Penggayaan versi hatchback ini berlainan dari sedan dari aspek rekaan bampar depan dan belakang yang nampak lebih lebar dan besar, antaranya disebabkan untuk menempatkan lampu kabus. Sementara itu, bahagian belakangnya yang lebih pendek menempatkan spoiler dan lampu bentuk C yang sama.

    Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

    Dari segi dimensi, versi hatchback ini berkongsi lebar (1,798 mm) dan jarak roda (2,700 mm) yang sama dengan versi sedan. Bagaimanapun, ia lebih tinggi (+20 mm) dan pendek (-112 mm). Ruang penumpang belakang juga mungkin sedikit terkesan, kerana ingin memberikan keluasan pada ruang kargo; 727 liter dengan tempat duduk belakang tidak dilipat, berbanding ruang but 519 liter pada model sedan. Tayar ganti terletak di bawah lantai but berkenaan.

    Kelengkapan standardnya termasuk rim aloi 17 inci (dengan tayar 215/50), lampu utama, DRL, lampu kabus dari jenis LED, pendingin hawa dwi-zon, panel instrumen digital, skrin sentuh tujuh-inci (dengan Apple Carplay dan Android Auto), paddle shifter, stereng dengan butang pelbagai fungsi dan kemasan upholstery kulit hitam.

    Turut tersedia ialah masukan pintar tanpa kunci dan butang Push Start, remote engine start, cruise control, auto brake hold, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40, kamera undur dan kerusi depan kuasa elektrik. Dari sudut keselamatan, ia di datangkan dengan enam beg udara, VSA dan Hill Start Assist.

    Warna khasnya ialah Black Burgundy Night Pearl, ditawarkan sebagai pilihan dengan tambahan 6,000 baht. Warna lain yang turut ditawarkan ialah Crystal Black Pearl (pilihan dengan tambahan 6,000 baht juga) serta Orchid White Pearl yang dilihat dalam gambar pula sebagai pilihan dengan tambahan 10,000 baht.

    Jangan lupa juga untuk menonton iklan yang dikeluarkan sebelum ini, yang turut menampilkan Volkswagen Scirocco. Macam mana, nampak menarik? Dan, mahukan model ini untuk masuk ke pasaran Malaysia?

     
     
  • BMW 5 Series G30 – teaser untuk Malaysia tunjuk kunci Display Key dengan skrin seperti telefon pintar

    Pelancaran BMW 5 Series G30 di Malaysia hanya akan berlaku esok, jadi BMW Malaysia mengeluarkan gambar teaser awal sebagai ‘pemanas’- satu gambar menunjukkan lengkuk cermin Hofmeister yang sudah menjadi tanda unik BMW manakala satu lagi adalah kuncinya.

    Kunci bagi model ini yang dipanggil sebagai Display Key mempunyai skrin sesentuh seperti telefon pintar dan ia memaparkan pelbagai informasi berkenaan kereta tersebut. Ia datang secara standard pada model 7 Series sebelum ini di Malaysia, tetapi penawarannya pada 5 Series adalah menarik, kerana kereta sports i8 yang berharga RM1.2 juta pun tidak mempunyai kunci ini.

    Selain kunci tersebut, perkara lain seperti varian dan kemasan untuk G30 masih belum dapat dipastikan. Di pasaran lain, sedan eksekutif ini datang dengan pelbagai teknologi termasuk fungsi pemanduan semi-automatik, Remote Parking, Remote View 3D, pengecas pintar tanpa wayar dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Walaubagaimanapun, tidak banyak kelengkapan ini dijangka akan ditawarkan pada model di Malaysia.

    Semasa pelancarannya nanti, kami menjangkakan barisan G30 ini akan terdiri daripada model 520d, 530i dan mungkin juga 540i sebagai varian paling tinggi. Model 520i yang mempunyai kurang kuasa berbanding 530i, tetapi menggunakan enjin 2.0 liter sama juga mungkin akan tiba bersama model 530e plug-in hybrid.

    Baca pengalaman kami memandu BMW 5 Series G30 lebih awal di sini.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Ini adalah berita yang kami dapat terus dari Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017, iaitu penampilan Honda CR-V 2017, selepas pelancaran rasminya yang berlaku minggu lalu. Model terbaru SUV saiz sederhana popular Honda ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan akan memberi pandangan awal bagaimana ia akan kelihatan nanti.

    Ini bukan sekadar CR-V yang disalin kulitnya – model generasi kelima ini mempunyai tempat duduk baris ketiga, menjadikan keseluruhannya tujuh tempat duduk. Ia juga adalah pertama kali CR-V mempunyai lebih daripada lima tempat duduk, dan ia sekaligus meletakkannya sama dengan Nissan X-Trail T32 yang menggunakan formasi 2-3-2.

    Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga pada kenderaan ini boleh disandar, dengan baris kedua juga boleh dilungsur supaya lebih fleksibel dan boleh dilipat ke hadapan untuk akses ke baris ketiga. Pada model yang dijual di Amerika Syarikat (Thailand adalah negara ketiga di dunia yang melancarkan CR-V selepas AS dan Kanada), ia turut didatangkan dengan corong pendingin hawa untuk baris ketiga, manakala untuk baris ketiga, corong ini terletak di atas bumbung.

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Baris ketiga CR-V 2017 boleh dilipat 50:50 secara berasingan, dan lantai bahagian but boleh ditetapkan dalam dua posisi – posisi tinggi memberikan lantai yang rata apabila baris ketiga dilipat. Tayar ganti bersaiz penuh terletak dalam kenderaan, iaitu di bawah tempat duduk baris ketiga.

    Pada bahagian depan, sementara bentuk asas dalaman CR-V Thailand ini sama seperti yang dijual di AS, dengan adanya skrin tengah ‘terapung’, paparan instrumen virtual TFT LCD dan roda stereng tiga cabang seperti Civic, tombol gear automatik biasa walaubagaimanapun telah diganti dengan unit butang seperti NSX, dengan butang undur diletakkan lebih dalam supaya tidak ditekan secara tidak sengaja. ‘Pemilih gear elektronik’ ini hanya untuk varian berenjin diesel, manakala varian petrol mendapat tombol gear biasa.

    Rekaan luar kenderaan ini juga lebih moden. Seperti model yang dijual di AS, CR-V Thai datang dengan pilihan lampu utama LED (bersepadu baik dengan penampilan Solid Wing Face Honda), lengkuk roda lebar, D-pillar yang condong dan lampu belakang LED berbentuk L. Kereta varian paling tinggi mendapat rim 18 inci (tayar 235/60) manakala varian asas mendapat rim 17 inci (tayar 235/65).

    Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

    Perkara baru lain pada CR-V Thailand adalah pilihan enjin diesel. Unit N16 1.6 liter DOHC i-DTEC turbodiesel yang digunakan diambil daripada model di Eropah dan ia mampu menghasilkan 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork pada 2,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan ZF, bersama pedal penukar gear di stereng dan ciri idle stop.

    Enjin i-DTEC ini juga sepatutnya dapat memberikan kuasa tarikan lebih daripada cukup, tetapi bukan semua orang selesa dengan enjin diesel. Oleh itu, Honda menawarkan pilihan enjin petrol K24 2.4 liter N/A DOHC i-VTEC sama seperti sebelum ini, dengan kuasa sebanyak 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm tork pada 4,000 rpm. Kotak gear CVT Earth Dreams seperti yang digunakan pada model facelift generasi sebelum ini di Thailand juga dikekalkan (model di Malaysia menggunakan kotak gear automatik lima kelajuan).

    Kedua-dua enjin ini boleh didapati dengan pilihan AWD, dan terdapat dua pilihan kemasan untuk setiap satunya, menjadikan keseluruhannya terdapat empat varian untuk CR-V 2017 di Thailand – 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Harga pula terletak di antara 1.399 juta baht (RM179,511) hingga 1.699 juta baht (RM217,974).

    Barangan standard yang diberikan pada CR-V Thailand adalah lampu utama dan lampu siang LED, pintu but elektrik, tempat duduk dibalut kulit, meter digital dengan MID, kunci pintar dan butang pemula enjin, sistem kunci automatik apabila beredar, cruise control, tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan arah dengan sokongan pinggang, sambungan Bluetooth, brek letak kenderaan elektronik, auto brake hold dan enam beg udara.

    Bagi yang memilih varian EL, mereka akan menerima barangan seperti lampu utama dan pengelap cermin automatik, pintu but yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bawahnya, rim 18 inci, kemasan kayu, pendingin hawa dua zon, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektronik, skrin sesentuh tujuh inci lengkap dengan navigasi dan Apple CarPlay, penyambung HDMI, LaneWatch dan Driver Attention Monitor. Sudah tentu, terdapat juga pilihan kit Modulo.

    Honda Thailand menjangkakan 40% pembeli akan memilih varian diesel yang lebih mahal. Bagaimana pula keadaan dengan Malaysia? Adakah pengguna lebih terbuka untuk menerima enjin diesel? Kami jangkakan tidak, jadi berkemungkinan enjin 1.5 liter VTEC Turbo petrol seperti pada Civic akan menjadi varian paling tinggi CR-V apabila ia tiba di Malaysia nanti.

    GALERI: Honda CR-V 1.6L i-DTEC EL 4WD

    GALERI: Honda CR-V 2.4L i-VTEC E 2WD

     
     
  • DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    Selagi belum memuktamadkan keputusan terakhir mengenai bidaan rakan strategik asing (FSP) bagi Proton, selagi itulah pelbagai spekulasi akan bertebaran mengenai perkara ini.

    Minggu lalu DRB-Hicom menegaskan pencarian FSP Proton masih lagi diteruskan dan mensasarkan untuk menamatkan proses penilaian menjelang akhir suku kedua tahun 2017. Perkara ini timbul selepas terdapat desas-desus mengenai penarikan Geely sebagai salah satu pembida.

    Hari ini, sekali lagi DRB-Hicom menyebarkan siaran media dengan menjelaskan pencarian FSP Proton adalah kunci untuk mengubah hala tuju pengeluar kereta tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaya saing.

    Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, keperincian terhadap setiap bidaan amat kritikal dalam proses penilaian semua bidaan yang diterima daripada pengeluar kereta global.

    DRB-Hicom tegaskan semua pembida masih bersaing – penilaian terperinci diperlukan bagi FSP Proton

    “Matlamat kami adalah untuk mengubah hala tuju Proton. Sekiranya kelebihan dan kekuatan Proton dapat dipertingkatkan dengan rakan baharu yang boleh menawarkan teknologi, keupayaan dan pasaran baharu, syarikat ini bakal menjadi satu jenama yang disegani.

    “Inilah sebab mengapa kami perlu terperinci dalam menilai bidaan yang diterima. Proton dan FSP baharu ini perlu mampu menghasilkan sinergi yang akan memastikan kejayaan kerjasama ini,” kata Syed Faisal.

    Beliau juga menegaskan kenyataan syarikat minggu lalu bahawa semua pembida masih lagi bersaing untuk dipilih menjadi FSP Proton.

    “Ada laporan media yang menyatakan DRB-HICOM kini hanya mempunyai satu pembida. Saya ingin mengesahkan bahawa semua pihak yang membuat bidaan masih bersaing dan DRB-HICOM kini sedang menilai semua bidaan tersebut Kami kini di peringkat akhir proses yang teliti ini, dan akan menamatkan penilaian menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” tambah beliau.

     
     
  • Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Uber Malaysia kini memperkenalkan ciri keselamatan terbaru yang dipanggil Real-Time ID Check. Ciri ini menggunakan perkhidmatan Microsoft Cognitive untuk memastikan pemandu yang menggunakan aplikasi berkenaan adalah sama dengan rekod dalam simpanan Uber sendiri.

    Menurut syarikat itu, langkah ini bertujuan untuk mengelak penipuan dan juga melindungi akaun pemandu. Ia juga melindungi penumpang dengan cara menambah satu lagi lapis ciri keselamatan kerena mereka dapat pastikan pemandu adalah sama dengan rekod dari dalam aplikasi berkenaan.

    Ciri baru ini memerlukan pemandu untuk mengambil gambar mereka sendiri dalam sela masa tertentu sebelum mereka menerima sesuatu perjalan, yang akan dibandingkan terus dengan rekod didaftarkan dan ada dalam simpanan. Sekiranya gambar yang diambil tidak sepadan, akan berkenaan akan digantung sementara Uber menyiasat situasi berkenaan.

    Uber Malaysia perkenalkan ciri keselamatan terkini

    Bagi memastikan pengalaman pelanggan yang menyenangkan, aplikasi berkenaan akan memaklumkan pemandu dengan kadar segera sekiranya ia tidak dapat mengesan wajah atau gambar yang diambil terlalu rendah kualitinya, bertujuan untuk memastikan gambar yang dihantar adalah gambar asli.

    Selain itu, pemandu akan diarahkan untuk memberhentikan kenderaan mereka sebelum mengambil gambar untuk pengesahan. “Ini satu cara lagi bagaimana untuk menjadikan perkhidmatan kami lebih selamat kepada semua,” ujar ketua komunikasi Uber Malaysia, Leigh Wong seperti yang dipetik oleh The Sun.

     
     
  • Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Sebelum operasinya dilancarkan pada Disember 2016, Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) telah menguar-uarkan kadar tambang perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT). Bagi fasa pertama yang melibatkan laluan antara Sg.Buloh ke Semantan, ia ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan; pengguna akan dikenakan RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

    Pagi ini, di dalam Persidangan Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semakan kada tambang perkhidmatan tersebut akan dilakukan setiap lima tahun dengan mengambil kira pelbagai kos semasa termasuk overhead, insurans serta penyelenggaraan kenderaan, landasan, stesen dan depoh, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, daripada penilaian semula kos semasa yang berkaitan, kerajaan akan mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh pihak MRT, sama ada keuntungan atau sebaliknya. Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu tidak bermakna kadar tambang akan dinaikkan setiap kali semakan dilakukan.

    “Tidak seperti yang dilaksanakan dalam penjanjian konsesi (lebuhraya), kadar tambang bagi MRT tidak dinaikkan, cuma kerajaan hanya melakukan semakan terhadap kos semasa, apa yang boleh membantu mereka (operator) mengendalikan MRT dari segi pengendalian kos.

    “Ini kerana kita perlu menambah baik sistem perkhidmatan itu, termasuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan perkhidmatan MRT,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin mengetahui sama ada struktur kadar tambang MRT mengguna pakai struktur kadar tol lebuh raya.

    Kadar tambang MRT disemak setiap lima tahun

    Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkaitan dengan keuntungan, Nancy berkata, kerajaan menyedari projek pembangunan MRT tidak akan memberikan semula pulangan pelaburan yang dibelanjakan melalui kutipan tambang, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, pembangunan itu perlu dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

    Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai faktor dalam menentukan kadar tambang pengangkutan awam yang berpatutan, adil dan berdaya saing bagi memastikan pengguna mampu menggunakannya dan pada masa sama membolehkan operator terus mapan untuk menyediakan pengangkutan awam yang berkesan.

    Malah menerusi penstrukturan semula kadar tambang rel bandar pada akhir 2015, kerajaan mewujudkan rangka kerja yang konsisten, sekali gus berupaya mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu terutama antara perkhidmatan rel bandar iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, KTM, komuter dan MRT.

    Katanya lagi, struktur kadar tambang MRT turut menggunakan asas sama iaitu gabungan dua komponen terdiri daripada komponen tambang asas sebanyak 90 sen dan komponen tambang berdasarkan jarak perjalanan per kilometer.

    “Kadar tambang berdasarkan jarak per kilometer bagi setiap sistem adalah berlainan kerana setiap perkhidmatan rel ada ciri dan kos operasi tersendiri, kadar tambang bagi perkhidmatan MRT, LRT dan monorel menurun untuk setiap empat atau lima kilometer jarak perjalanan, manakala kadar tambang KTM komuter menurun bagi setiap lima hingga 30km jarak perjalanan,” katanya.

     
     
  • PDAM suarakan kekhuatiran kaedah diskaun bahan api

    PDAM suarakan kekhuatiran kaedah diskaun bahan api

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa KPDNKK menjangkakan harga bahan api akan naik dan turun antara lima hingga 10 sen selepas kaedah baru penentuan harga silingnya diumumkan secara mingguan bermula esok.

    Dengan harga yang ditetapkan itu akan lebih kerap berubah dan ditambah dengan diskaun serta promosi yang dibolehkan, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) khuatir dengan kesan dan akibat yang akan disebabkan oleh diskaun berkenaan, lapor The Star. Persatuan itu menegaskan, sesetengah pengedar petrol, terutama yang beroperasi secara kecil-kecilan, tidak mampu untuk mengikut jejak itu memandangkan mereka tidak mempunyai margin keuntungan yang besar untuk memberikan diskaun.

    Kelonggaran untuk memberikan diskaun dan promosi muncul selepas kenyataan yang diberikan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, peruncit dan pengedar bahan api boleh mengikut kadar harga siling yang ditetapkan atau menawarkan diskaun pada harga yang lebih rendah dengan kebenaran daripada kementerian.

    Presiden persatuan itu, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sehingga hari ini masih tidak jelas bagaimana insentif dan diskaun ini akan dilakukan. “Kementerian tidak menyatakan dalam situasi bagaimana diskaun ini boleh diberikan,” ujar beliau.

    Jelasnya, walaupun kementerian memberi peluang kepada peruncit untuk memberikan diskaun dengan kebenaran kementerian, PDAM perlu meneliti sama ada langkah itu benar-benar baik untuk perniagaan mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025