Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Skoda Kodiaq GT – SUV Coupe hanya untuk China

    Skoda Kodiaq GT – SUV Coupe hanya untuk China

    Awal bulan ini, jenama automotif dari Republik Czech -Skoda- memperkenalkan SUV tujuh tempat-duduk yang diiktiraf terpantas di litar Nürburgring dalam kelasnya digelar Kodiaq RS. Kini, satu lagi varian Kodiaq diperkenalkan dengan nama Kodiaq GT, menampilkan bentuk badan “SUV coupe” yang lebih sporty. Walau bagaimanapun, model ini adalah khas hanya untuk pasaran China.

    Skoda Kodiaq GT ini diperkenalkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Guangzhou Motor Show 2018, dan ia akan dijual bersama satu lagi model khas Skoda hanya untuk China iaitu Kamiq, serta dua lagi SUV – Karoq dan Kodiaq versi standard. Berbeza dengan model asal, Kodiaq GT diberikan garis bumbung belakang yang lebih menjunam, dengan cermin belakang yang lebih rendah.

    Versi lebih sporty ini juga menampilkan liang udara hadapan, lampu belakang serta diffuser yang direka semula, bersama jalur reflektor baharu yang merentanginya bersama tip ekzos berkembar berbentuk bulat. Manakala kemasan bahagian bawah sisi pula diwarnakan sama dengan warna badan. Model GT ini juga merupakan yang pertama diberikan perkataan ‘SKODA’ yang diletakkan merentangi pintu tailgate belakang, berbanding hanya logo pada model lain.

    Tiada foto bahagian dalaman Kodiaq GT ini disiarkan, namun boleh dijangka bahawa ia diberikan elemen yang sama seperti model Skoda lain dalam pasaran buat masa sekarang seperti paparan instrumen digital Virtual Cockpit, dan juga fungsi hubungan seperti akses WiFi, MirrorLink, Apple CarPlay dan Baidu CarLife.

    Skoda Kodiaq GT ini tidak berkongsi enjin turbodiesel seperti model RS, sebaliknya dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat silinder dari Volkswagen dengan dua pilihan talaan iaitu 186 hp dan 220 hp. Kedua-dua versi dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DSG dan juga sistem AWD secara standard. Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan Pengesan Titik Buta, Front Assist serta fungsi Adaptive Cruise Control (ACC) bersama stop-and-go.

    GALERI: Skoda Kodiaq RS

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

    Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

    Tidak mengejutkan apabila jualan kereta menjunam pada bulan September, selepas berakhirnya ‘cuti cukai’. Walau bagaimanapun, ia tidak begitu banyak kerana peningkatan harga (vs 0% GST), tetapi banyak stok kenderaan yang habis kerana memang tidak pernah berlaku ‘cuti cukai’ sebegini, membuatkan keghairahan pembeli memuncak.

    Data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sebanyak 31,241 kenderaan telah dihantar pada September, di mana ia 52% lebih rendah berbanding 65,551 unit yang direkodkan pada Ogos. Jumlah mengikut tarikh berkenaan, jualan September juga 23% atay 9,715 unit lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri bagi September 2018 ialah 454,971 unit, lebih 7% berbanding 425,678 unit bagi sembilan bulan pertama 2017.

    Seperti mana pecahan mengikut jenama bagi carta di bawah, setiap jenama mencatatkan penurunan pada September. Walau pun tidak melibatkan angka yang begitu besar, hanya jualan penghabisan dan disebabkan kekurangan stok. Malah sesetengah jenama juga masih mengekalkan tanda harga yang sama ketika era cukai jualan untuk menghabiskan stok sedia ada.

    Adakah rekod ini boleh dipulihkan pada hujung tahun ini atau jualan yang lebih baik menjelang 2019? Apatah lagi melibatkan beberapa pelancaran model baharu termasuk Toyota Rush, Mercedes-Benz A-Class dan Proton X70.

    Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

     
     
  • Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Disebabkan kekangan ekonomi negara kerajaan memutuskan untuk menangguhkan penghapusan tol dalam masa terdekat ini. Walau bagaimana pun, bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, kerajaan sedang mengkaji alternatif yang terbaik bagi tujuan tersebut.

    Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata ini termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu pada waktu bukan puncak, laporan Bernama.

    “Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk pastikan tol dihapuskan sebagaimana janji Pakatan Harapan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

    Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Baru juga sekali lagi menegaskan bahawa secara dasarnya kerajaan telah memutuskan bahawa tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan asal Muslimin mengenai jumlah tol yang dicadang di lebuh raya West Coast Expressway (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping sepanjang 233 kilometer yang sedang dibina, Baru berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan 20 plaza tol.

    “Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup di mana enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

    Beliau berkata ia juga melibatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani pada 2 Jan 2013, berkuat kuasa.

    Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya pada 2022.

     
     
  • Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    J.D.Power telah mengumumkan Kajian Indeks Kepuasan Jualan (SSI) Malaysia 2018, yang merupakan analisis komprehensif mengenai pembelian kenderaan dan pengalaman penghantaran baharu berdasarkan respons daripada 2,477 pembeli kereta yang membeli kereta mereka antara September 2017 dan Mei 2018.

    Selama 16 tahun dalam kajian, J.D. Power telah menggariskan enam faktor yang memberikan kesan terhadap kepuasan pelanggan secara keseluruhan dengan pengalaman pembelian kenderaan baharu. Ini termasuk perunding jualan (26%), fasiliti pengedar (25%), proses penghantaran (19%), urusan jual beli (14%), kertas kerja (14%) dan laman web pengedar (2%).

    Berdasarkan keputusan ini, Nissan berjaya mendahului Isuzu dan Toyota, dengan menduduki tangga ke atas bersama 812 mata (dengan skala markah penuh 1,000). Diikuti Isuzu di tangga kedua dengan 797 mata, sementara Honda di tangga ketiga (795 mata) meningkat kedudukannya berbanding tahun lalu dengan memintas Toyota yang menduduki tangga ke-empat dengan 791 mata.

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Satu lagi jenama yang meningkat ialah Mitsubishi dengan pungutan mata sebanyak 787, yang meletakkan jenama tersebut di atas pasaran massa sekitar 784 mata. Selain itu, Proton juga kelihatan lebih meningkat berbanding tahun lalu dengan kedudukan yang lebih tinggi dan memperoleh 782 mata, sementara Volkswagen pula 779 mata. Mazda kelihatan sedikit menurun dengan 781 mata, sementara Perodua pula dengan 774 mata.

    Menurut J.D. Power, pembeli kereta akan menjadi lebih puas sekiranya dapat berurusan dengan perunding jualan yang pengalaman yang menggunakan peranti digital. Tidak mengejutkan, ramai juga menjangka penjelasan menyeluruh tentang ciri-ciri yang ada apabila kenderaan itu dihantar, dan menyambut usaha penjelasan susulan. Para pelanggan juga lebih suka apabila perunding jualan mempunyai autonomi untuk cepat mengikat kesepakatan daripada harus menunggu kelulusan dari penyelia mereka.

    Di samping faktor ini, kajian tersebut turut mendedahkan peningkatan (59%) angka penyelidikan menerusi dalam talian untuk mencari informasi mengenai harga, ciri dan spesifikasi kenderaan. Mereka yang melakukan pencarian maklumat dalam talian selalunya lebih cenderung untuk menghubungi pengedar sebelum berkunjung ke bilik pameran untuk menyemak perincian dan membandingkan harga antara pengedar-pengedar yang ada.

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Malah pertimbangan kewangan juga menjadi sebab paling berpengaruh dalam membeli kenderaan (46% responden), terutamanya yang berusia 29 tahun dan lebih muda. Yang mengejutkan, pembeli muda juga didapati kurang memilih gaya berbanding pembeli yang lebih berusia apabila membeli kenderaan.

    “Pembeli kereta di Malaysia, terutamanya pembeli muda, lebih mengutamakan kos pemilikan kenderaan dan memilih saluran dalam talian untuk membantu mereka melakukan kajian dalam membuat pilihan terbaik,” ujar Muhammad Asyraf Bin Mustafar, ketua J.D.Power Malaysia.

    Sambungnya lagi, “Jenama yang boleh menawarkan harga yang kompetitif menerusi pilihan kewangan fleksibel, penjimatan bahan api yang lebih baik, pakej penyelenggaraan yang bagus dan nilai jual balik yang lebih tinggi lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Agak penting juga apabila jenama dapat menyesuaikan produk yang ditawarkan dengan alasan pembelian pelanggan.”

     
     
  • SPYSHOT: Yamaha Tracer 900 GT sedang diuji di M’sia

    SPYSHOT: Yamaha Tracer 900 GT sedang diuji di M’sia

    Dalam pasaran global, Yamaha adalah antara pengeluar yang mempunyai banyak model baru menarik. Ada di antaranya sudah tiba di Malaysia dan tentunya, sebelum membawa masuk model baru pelbagai ujian perlu dilakukan untuk mengetahui kesesuaiannya dengan pasaran tempatan.

    Terbaru, kami telah menerima beberapa gambar daripada pembaca yang menunjukkan Yamaha Tracer 900 GT menggunakan nombor pendaftaran perdagangan sedang berhenti di sebuah kawasan rehat selepas plaza tol. Mungkin saja mereka baru selesai menguji motosikal tersebut di lebuh raya dan dalam perjalan pulang ke kilang Yamaha.

    Dalam siri gambar ini, terdapat tiga buah motosikal, dengan satu daripadanya (warna dua tona perak dan biru) jelas masih mempunyai lencana tertulis Tracer 900 GT berserta logo Yamaha, manakala bagi dua lagi, segala lencana tertutup rapi dan menggunakan warna biru matte yang berlainan – seperti Tracer 700 GT yang terbaru.

    Walaubagaimanapun, apabila diperhati pada motosikal yang logonya tertutup rapi tersebut, segala kelengkapannya nampak sama (dengan yang berwarna perak) termasuk bahagian enjin (dalam gambar ini kurang jelas sama ada ia menggunakan tiga silinder atau dua silinder). Jika mahu mengatakan ia adalah Tracer 700 GT, bahagian tepi enjin dan lengan ayun adalah berlainan (Tracer 700 GT mempunyai hos dari radiator ke pam air di bahagian kanan enjin).

    Yamaha Tracer 900 GT versi terbaru diperkenalkan di Eropah November tahun lalu dan antara peningkatan menarik padanya adalah quickshifter, Cruise Control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan, beg barangan serta panel instrumen yang dibangunkan daripada sportsbike YZF-R1.

    Bahagian enjin, ia masih lagi menggunakan unit tiga silinder 847 cc sama seperti MT-09, dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Di Malaysia, Yamaha Tracer 900 dijual pada harga RM53,681 dengan SST.

     
     
  • Toyota Rush 2018 rasmi dilancarkan di Malaysia – 7-tempat duduk, 1.5L, dua varian, harga RM93k-RM98k

    Toyota Rush 2018 rasmi dilancarkan di Malaysia – 7-tempat duduk, 1.5L, dua varian, harga RM93k-RM98k

    Setelah hampir setahun membuat kemunculan sulung peringkat global di Indonesia, hari ini Toyota Rush generasi kedua dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ditawarkan dalam dua varian, Rush 2018 dijual pada harga anggaran bermula RM93,000 untuk versi 1.5G dan RM98,000 untuk model tertinggi 1.5S.

    Rush generasi baharu ini hadir dalam versi CKD, namun ia bukan dipasang di kilang UMW Toyota Shah Alam, sebaliknya diproduksi oleh kilang Perodua di Rawang di bawah kontrak yang telah ditandatangani. Walau bagaimanapun, ia tetap di bawa ke kilang Toyota Bukit Raja bagi pemasangan aksesori dan pemeriksaan akhir bagi memastikan Rush ini kekal dengan kualiti Toyota.

    Seperti yang diketahui, Rush baharu ini dibina dengan konsep berlainan dari model terdahulu. Jika sebelum ini Rush tampil sebagai sebuah SUV sebenar, model generasi baharu ini menampilkan rupa sebuah MPV tujuh-tempat duduk yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander.

    Toyota Rush 2018 rasmi dilancarkan di Malaysia – 7-tempat duduk, 1.5L, dua varian, harga RM93k-RM98k

    Walaupun ia kini mungkin tidak seperti generasi sebelumnya, Rush tetap menampilkan ruang kelegaan tanah yang agak tinggi dengan 220 mm – membuatkan ia kelihatan lampai. Berbanding Honda BR-V, Rush mempunyai kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi, manakala panjang 4,435 mm dan lebar 1,695 mm. Ini membuatkan ia 18 mm lebih pendek dan 40 mm lebih lebar dari saingan terdekatnya tersebut. Manakala dengan dimensi 2,685 mm, Rush mempunyai jarak roda 23 mm lebih jauh dari BR-V.

    Pada bahagian luaran, varian G dan S menampilkan rupa yang hampir sama. Kedua-duanya datang standard dengan lampu hadapan LED, lampu belakang LED, serta kit badan yang digelar R-Blade – yang lengkap dengan kemasan-kemasan pelindung disekeliling badan dan warna dua tona bagi kelihatan persis Abang Longnya, Toyota Fortuner.

    Khas untuk varian S, ia turut hadir dengan lampu kabus hadapan. Manakala rim dua tona 17-inci dibaluti tayar 215/60R17 adalah ciri standard untuk kedua-dua varian.

    Masuk ke kabin, kesemua varian Rush pasaran Malaysia menerima kabin berwarna hitam dengan kontras kemasan beige, perak dan krom. Varian asas menerima tempat duduk balutan fabrik, manakala varian tertinggi S diberikan balutan kulit pada tempat duduk, roda stereng dan juga tombol penukar gear.

    Toyota Rush 2018 rasmi dilancarkan di Malaysia – 7-tempat duduk, 1.5L, dua varian, harga RM93k-RM98k

    Untuk sistem infotainmen, kedua-dua model menerima kelengkapan yang sama iaitu sistem audio DVD-AVX dengan skrin sesentuh kapasitif 6.8-inci. Selain dari sistem Panaromic View Monitor (PVM) 360-darjah yang dihubungkan kepada empat monitor dan hubungan Bluetooth, sistem berkenaan turut mempunyai fungsi “mirror” bagi membolehkan fungsi pada telefon pintar anda (tidak kira iOS atau Andriod) dikawal menerusi skrin infotaimen, termasuk fungsi navigasi GPS.

    Fungsi lain yang turut diberikan pada semua model Rush adalah pembaca Smart Tag dan Dash Cam bina dalam, dua soket 12V konvensional (hadapan dan tempat duduk baris ketiga), dua port USB (hadapan dan sisi tempat duduk pemandu seperti pada Perodua Myvi), 13-pemegang cawan, sistem penghawa dingin automatik (tanpa butang memori seperti Rush Indonesia dan Myvi) dan juga penghawa dingin untuk kabin belakang.

    Barisan tempat duduk MPV-SUV direka dengan bentangan 2-3-2. Manakala tempat duduk baris ketiga mudah untuk diakses dengan tombol satu sentuhan diberikan untuk melipat tempat duduk baris kedua. Ruang kargo belakang dihasilkan bagi mendapatkan kapasiti 217 liter. Namun setelah tempat duduk baris kedua (nisbah lipatan 60:40) dan baris ketiga (nisbah lipatan 50:50) dilipat sepenuhnya, bahagian belakang boleh memuatkan kargo dengan kapasiti 514 liter.

    SUV-MPV ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Digandingkan dengan hanya kotak gear empat-kelajuan automatik, kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang.

    Untuk keselamatan, model ini didatangkan standard untuk semua varian dengan enam-beg udara, VSC, ABS, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan serta peringat tali pinggang keledar untuk tempat duduk baris pertama dan kedua. Selain itu, Rush turut menerima sistem bantuan pemanduan seperti Pemantau Titik Buta (BSM) dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Istimewa untuk varian S, ia turut diberikan sistem Amaran Pra-Pelanggaran (PCS).

    Enam warna ditawarkan untuk Rush generasi baharu ini iaitu Putih, Perak Metalik, Kelabu Gelap Metalik, Biru Metalik dan juga Hijau Gelap Metalik. Setiap pembelian model ini hadir statndard dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta boleh dipindah ke pemilik baharu sekiranya ia dijual semula dalam tempoh berkenaan. Perincian lanjut berkenaan spesifikasi dan maklumat lain tentang pembelian Rush 2019 ini boleh anda ketahui pada laman Carbase.my.

    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 G 2018

    GALERI: Imej rasmi Toyota Rush 2018

     
     
  • Porsche Centre Johor Bahru bakal beroperasi pada suku pertama 2020 – kos pelaburan cecah RM48 juta

    Porsche Centre Johor Bahru bakal beroperasi pada suku pertama 2020 – kos pelaburan cecah RM48 juta

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) pengimport kenderaan Porsche di Malaysia, sedang memperluaskan lagi jajahannya di bahagian selatan dengan mewujudkan Porsche Centre Johor Bahru yang sedang dalam pembinaan.

    Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM48 juta, Porsche Centre Johor Bahru ini dibina di atas kawasan seluas 74,052 kaki persegi, merupakan pusat terkini selepas melancarkan Porsche Centre Penang pada tahun lalu.

    “SDAP telah menjadi pengimport kenderaan Porsche di Malaysia sejak 2010 dan telah melakukan pelaburan berterusan untuk jenama ini, termasuk menyediakan pelbagai fasiliti dan kakitangan terlatih. Kami mempunyai potensi yang sangat besar di pasaran selatan, dan dengan adanya Porsche Centre Johor Bahru ini, merupakan salah satu lagi kejayaan Porsche di Malaysia,” ujar Christopher Hunter, CEO SDAP.

    Pusat 4S Porsche terbaharu ini akan dilengkapi dengan bilik pameran jualan, pusat servis, gudang alat ganti dan pusat mengetuk/mengecat badan kenderaan. Malahan SDAP telah menetapkan teknikal dan ekologi mengikut standard yang ditentukan oleh Porsche AG. Termasuk fasiliti yang dilengkapi dengan teknologi Porsche terkini, tenaga kerja profesional dan menggunakan alat, material dan kelengkapan Porsche tulen.

    “Pengalaman pemilikan adalah sangat penting bagi kami, justeru perkhidmatan selepas jualan sangat dititikberatkan demi kemudahan dan kepuasan para pelanggan kami. Dengan fasiliti terkini yang serba lengkap ini, SDAP mensasarkan untuk memenuhi keperluan pada pelanggan di samping meningkatkan kecekapan bahagian perkhidmatan selepas jualan,” tambah Christopher.

    Kerja-kerja pembinaan fasiliti dijangka tamat ada hujung 2018 dan operasi pusat 4S ini disasarkan bermula pada suku pertama 2020.

     
     
  • Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Tahun lalu, Acura telah memperkenalkan jentera perlumbaan NSX GT3 bagi digunakan untuk perlumbaan-perlumbaan tahun ini. Namun baru sahaja berberapa bulan kereta berkenaan berlumba, Acura Motorsport telah pun mendedahkan model yang dinaik taraf digelar Acura NSX GT3 Evo. Menurut badan perlumbaan berkenaan, kereta ini bakal digunakan dalam perlumbaan di seluruh dunia untuk musim tahun 2019.

    Kereta ini masih dibina berasaskan Honda/Acura NSX produksi, dan untuk versi Evo ini, kit aerodinamik yang terdiri dari splitter hadapan, diffuser dan juga bampar belakang telah direka semula. Elemen-elemen berkenaan dikatakan membantu untuk menambahbaik aspek penyejukan, keseimbangan dan juga mengurangkan geseran udara pada kelajuan tertinggi.

    Pada aspek mekanikal, enjin 3.5 liter DOHC V6 berkenaan kini menerima pengecas turbo baharu, yang menurut Honda memberikan respon pendikit, kawalan boost dan juga penggunaan bahan api yang lebih baik. Unit data logging dan paparan dari Bosch turut ditingkataraf bersama kelengkapan dan larasan pada sistem brek ABS.

    Pasukan-pasukan yang menggunakan jentera ini bakal menikmati enjin yang 25% lebih ‘panjang umur’ serta komponen-komponen lain yang lebih tahan lasak menerusi perubahan-perubahan yang dibuat, sekaligus menjimatkan kos ketika berlumba. Seperti sebelum ini, casis NSX GT3 berkenaan masih dikeluarkan oleh kilang Performance Manufacturing Centre Honda di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat, dan pembinaannya disempurnakan oleh JAS Motorsport di Milan, Itali.

    Acura NSX GT3 Evo 2019 – jentera perlumbaan yang ditingkat taraf untuk saingan musim tahun hadapan

    Walau bagaimanapun, pasukan-pasukan yang telah pun menggunakan NSX GT3 sedia ada tidak perlu membeli lagi sebuah NSX GT3 Evo jika mahukan jentera yang lebih kompetitif tahun hadapan. Ini kerana komponen-komponen yang baru dihasilkan ini boleh dipadankan pada versi sebelumnya, dan boleh diperolehi sebagai Variant Supply.

    “Kami sangat gembira untuk mengumumkan spesifikasi NSX GT3 Evo 2019 hari ini. Walaupun kereta ini telahpun memenangi berberapa siri GT3 yang berprestij, kami berpegang untuk secara berterusan menambahbaik produk kami dan memberikan kelengkapan terbaik serta sokongan kepada pelanggan kami,” kata Masashi Yamamoto, pengurus besar Honda Motorsport.

    “Menerusi Program Perlumbaan Pelanggan NSX GT3, kerjasama antarabangsa antara berberapa rakan teknikal Honda, kami mampu untuk menggabungkan kepakaran pada tahap global bagi menghasilkan satu set tingkat taraf untuk versi terkini NSX GT3 yang akan memberikan manfaat kepada setiap pasukan pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya.

     
     
  • Kerajaan tiada cadangan gantikan bas perantara di stesen MRT dengan perkhidmatan Grab – Loke

    Kerajaan tiada cadangan gantikan bas perantara di stesen MRT dengan perkhidmatan Grab – Loke

    Setakat ini, tiada cadangan untuk menggantikan perkhidmatan bas perantara di stesen-stesen MRT dengan Grab, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Menurut Loke, pengumuman yang dibuat oleh Tony Pua, Setiausaha Politik Kementerian Kewangan, sebelum ini mengenai Grab yang akan menggantikan bas perantara tersebut bersifat pandangan peribadinya sahaja laporan The Star.

    “Kita takkan membatalkan perkhidmatan bas perantara. Itu hanya cadangan untuk melengkapkan (perkhidmatan bas perantara MRT), dan ia diusulkan oleh Tony. Kita mahu menyepadukan dengan perkhidmatan lain-lain bas, dan berharap dapat memperkenalkan pas bulanan tidak lama lagi. Perkhidmatan sebegini akan menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan awam di Lembah Klang,” ujar Loke kepada pemberita di lobi Parlimen pagi ini.

    Malahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pua turut tidak disenangi oleh pemandu teksi di negara ini sehingga mendorong mereka melakukan protes secara aman di Putrajaya pagi tadi.

    Loke berkata, bantahan yang disuarakan oleh pemandu teksi juga penting dan diambil kira, malah kerajaan juga menggalakkan mereka menyertai perkhidmatan e-hailing ini.

     
     
  • Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Bagi memudahkan pelanggan untuk melihat perincian berkenaan SUV pertamanya, Proton X70, jenama automotif nasional berkenaan telah melancarkan platform bilik pameran maya yang boleh diakses secara dalam talian di laman web korporat Proton. Bukan sahaja untuk mengetahui spesifikasi setiap model ini dengan lebih teliti, malah platform tersebut juga boleh digunakan untuk menempah Proton X70 anda, tanpa perlu ke mana-mana bilik pameran sebenar.

    Bagi mempromosikan penggunaan platform baharu ini, pelanggan ditawarkan untuk membuat tempahan X70 mereka pada laman berkenaan dengan bayaran hanya RM99 (RM1,000 sekiranya anda menempah secara konvensional). Namun tawaran istimewa tersebut diberikan hanya dalam tempoh terhad, iaitu bermula pukul 10 pagi hari ini (17 Oktober) sehingga 19 Oktober 2018 ini.

    Pelanggan yang ingin menempah X70 perlu untuk memberikan butiran peribadi mereka, model dan warna pilihan serta bandar dan negeri di mana mereka ingin mengambil kereta mereka.

    Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

    Selepas bayaran tempahan dilakukan, juga secara dalam talian, resit yang dihasilkan oleh sistem akan dihantar kepada e-mel pelanggan. Proton kemudian akan melantik penasihat jualan untuk menguruskan pesanan dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh tujuh hari bagi memproses tempahan. Bagi tempahan yang dibuat di mana-mana cawangan PROTON, bayaran penuh akan dikembalikan sekiranya pelanggan mengubah fikiran mereka.

    “Selepas mengkaji pilihan pengguna dan trend pasaran, Proton percaya bahawa inilah masa yang tepat untuk menawarkan kemudahan tempahan dalam talian kepada pelanggan. Platform ini membolehkan tempahan dibuat dari mana-mana sahaja mereka berada sekiranya terdapat sambungan Internet. Syarikat juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat tempahan sebelum pelancaran Proton X70. Ganjaran ini berupa hadiah istimewa untuk semua pelanggan awal tidak kira sama ada mereka menempah melalui dalam talian atau di cawangan kami,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Namun, anda turut boleh melakukan “tempahan istimewa” secara dalam talian dengan bayaran RM1,000 dalam tempoh berkenaan (sehingga SUV ini dilancarkan kelak). Menerusi tempahan ini, anda bakal menerima hadiah-hadiah istimewa ketika kereta berkenaan diserahkan nanti, antaranya model die-cast Proton X70 dalam skala 1:18. Anda yang menempah awal dengan kaedah konvensional di bilik pameran turut layak menerima hadiah-hadiah berkenaan.

    Buat masa sekarang, prebiu X70 masih lagi berjalan dan orang ramai di Kuching boleh melihat sendiri SUV berkenaan pada 15 hingga 16 Oktober ini. Selepas itu ia akan bergerak ke Kuantan dan Ipoh sebelum hentian terakhirnya di Kota Kinabalu bulan hadapan.

    Nak tahu lebih lanjut berkenaan SUV pertama Proton yang dihasilkan dari Geely Boyue ini? Baca artikel yang telah kami sediakan berkenaan empat varian dan spesfikasi yang ditawarkan, unit janakuasa, sistem bantuan pemanduan, teknologi hubungan dan juga sistem infotainmen GKUI.

     
     
  • 14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Cadangan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga yang pada mulanya menerima banyak bantahan daripada pelbagai pihak, kini bertukar haluan bila mana semakin ramai pula yang bersetuju mengenai pelaksanaannya.

    Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berkenaan kereta nasional baharu, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri MITI, Dr. Ong Kian Ming, Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga tersebut.

    “Kita perlu menampakkan hala tuju yang lebih tepat oleh kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu mengenai projek kereta nasional baharu,” katanya yang menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) serta soalan susulan daripada Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Katanya lagi, projek kenderaan nasional baharu ini akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta. Di mana Kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat.

    Beliau turut menegaskan bahawa industri automotif merupakan elemen penting dan strategik dalam sektor perkilangan di Malaysia. Di mana industri automotif serta sektor yang berkaitan automotif menggunakan lebih 700,000 pekerja dan telah menyumbang hampir empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia.

    “Ia amat penting untuk pertumbuhan negara dan projek beerkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan teknologi di Malaysia. Kerajaan buat masa ini sedang dalam proses kajian semula NAP bagi menerapkan pelbagai elemen selaras dengan kemajuan teknologi mobiliti dan Industri 4.0 untuk memastikan industri automotif tempatan selari dengan perkembangan global,” katanya.

    Beliau berkata, kajian semula ini akan membincangkan perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan seperti pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan eksport.

    14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Tambahnya lagi, projek kereta nasional baharu akan dibuat selari dengan hala tuju dan strategi masa depan industri automotif Malaysia, dengan mengambil kira unsur-unsur Kenderaan Generasi Akan Datang (NXGV), Mobiliti, Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Kecerdasan Buatan (Al).

    “Projek kereta nasional baharu yang dicadangkan ini tertumpu kepada pembangunan keupayaan pembuatan dengan melibatkan keseluruhan rantaian nilai dan ekosistem industri automotif,” katanya.

    Menurutnya, cadangan projek kereta nasional baharu ini juga perlu memberi penekanan kepada R&D, tren dan teknologi baharu yang akan memacu pertumbuhan industri automotif dan industri lain yang berkaitan serta kerjasama dengan negara ASEAN yang lain.

    Malahan cadangan projek kereta nasional ketiga ini juga dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi serta tenaga kerja pakar baharu, terutama dalam bidang kejuruteraan automotif.

    Beliau berkata, MITI mempelawa mereka yang berminat untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung projek tersebut dan tarikh akhir bagi penghantaran cadangan adalah pada 15 Okt 2018.

     
     
  • DBKL mula senarai hitam pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun sebelum 30 september lalu

    DBKL mula senarai hitam pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun sebelum 30 september lalu

    Nampak gayanya usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggalakkan pesalah trafik menjelaskan kompaun dengan menawarkan diskaun selama sebulan pada September lalu tidak begitu berjaya. Sasaran asal DBKL adalah RM100 juta namun bayaran yang berjaya dikutip adalah sekitar RM2 juta walaupun kadar diskaun sebanyak 70% telah diberikan mulai 1 hingga 30 September.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun tersebut sudah mula disenarai hitam. Tindakan itu akan tetap diteruskan sebagaimana yang diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khalid Samad, sebelum ini, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, senarai hitam itu akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pesalah trafik DBKL yang gagal menjelaskan kompaun.

    “Buat masa ini ya tindakan itu akan diteruskan walaupun tawaran diskaun DBKL masih tidak mampu menggalakkan orang ramai membayar saman. Saya akan berbincang dengan beliau ( Khalid) untuk mencari cara terbaik menyelesaikan isu tunggakan kompaun ini,” katanya kepada pemberita.

    Menurut rekod DBKL, kira-kira empat juta saman kesalahan trafik dikeluarkan DBKL sehingga Ogos tahun ini melibatkan nilai hampir RM1 billion.

     
     
  • Dieselgate: Audi terima saman berjumlah 800 juta euro

    Dieselgate: Audi terima saman berjumlah 800 juta euro

    Salah satu jenama di bawah payung Volkswagen Group yang turut terlibat dalam skandal penipuan ujian emisi Dieselgate, Audi, telah menerima saman berjumlah 800 juta euro setelah Pendakwa raya Munich mengeluarkan perintah pentadbiran terhadapnya kerana penyelewengan terhadap pengawalseliaan enjin diesel V6 dan V8 tertentu. Dengan saman ini, kes berkenaan dianggap telah ditutup, sekurang-kurangnya di Jerman.

    “Menerusi pemeriksaan menyeluruh, Audi menerima denda itu dan ia tidak akan membuat rayuan terhadapnya. Dengan berbuat demikian, Audi mengakui tanggungjawabnya kerana menyimpangan dari keperluan pengawalseliaan,” kata Audi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut penemuan penyiasatan yang dijalankan oleh pendakwaraya awam Jerman, tugas pemantauan telah dilanggar dalam unit organisasi “kelulusan servis emisi dan kuasa enjin” syarikat tersebut, yang memantau pematuhan pengawalseliaan kenderaan. Salah laku ini menyebabkan enjin diesel V6 dan V8 tertentu yang dibangunkan oleh Audi tidak memenuhi syarat pengawalseliaan.

    Juga dinyatakan bahawa Audi turut gagal untuk mengesan bahawa enjin EA288 (Gen3) di USA dan Canada dan enjin EA189 diseluruh dunia yang dihasilkan oleh Volkswagen telah diiklankan, dijual kepada pelanggan, dan diletakkan dalam pasaran dengan fungsi perisian yang tidak dibenarkan sejak 2004.

    Walaupun jumlah saman tersebut sangat besar, Audi dan Volkswagen pastinya boleh bernafas dengan lebih lega kerana satu lagi episod skandal Dieselgate berkenaan dapat diselesaikan. Jun lalu, Volkswagen telah disaman sebanyak 1 bilion euro di Jerman kerana menggunakan “fungsi perisian yang tidak dibenarkan” pada enjin-enjin TDI mereka. Pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler, turut dilaporkan terlibat dengan skandal serupa.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi September turun 52%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi September turun 52%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan angka jualan dan produksi bagi bulan September 2018, di mana ia menurun berbanding pada Ogos.

    Sebanyak 31,241 kenderaan telah dihantar pada September, di mana ia 52% lebih rendah berbanding yang direkodkan pada Ogos sebanyak 65,551 unit. Jumlah jualan pada September tahun ini juga dilihat menyusut 23% atau 9,715 unit lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun 2017.

    MAA berkata penurunan angka ini disumbangkan oleh syarikat kereta yang menghabiskan stok mereka disebabkan faktor permintaan luar biasa sepanjang kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lalu.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi September 2018 mencecah 454,971 unit, meningkat 7% berbanding 425,678 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi bulan Oktober, MAA menjangkakan angka jualan juga tidak banyak berbeza daripada September kerana pelarasan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan memenuhi pesanan berikutan sifar-GST.

     
     
  • Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Mitsubishi telah pun menyiarkan teaser kedua bagi Triton baharu (atau L200 di beberapa pasaran lain) bersama tarikh pengenalannya, 9 November. Menurut pengeluarnya , trak pikap ini direka mengikut tagline ‘Engineered Beyond Tough’ , mengikut maklumbalas daripada pemiliknya di seluruh dunia.

    Melihat gambar di atas, anda dapat melihat sebahagian daripada piakp ini. Ia menampilkan bahagian hadapan yang disemak semula termasuk dengan sentuhan gaya bahasa Dynamic Shield rekaan Mitsubishi sendiri dengan lampu utama yang lebih tirus disambung pada gril dan lampu kabus/indikator pada bahagian sudut.

    Gaya baharu ini signifikan daripada model semasa, malah ia mempunyai banyak persamaan dengan model yang baru diperkenalkan oleh Mitsubishi termasuk Eclipse Cross dan Xpander. Selain itu, cab dan cermin sisinya dilihat tidak berubah, masih seperti sebelum ini.

    Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

    Berdasarkan imej yang pernah disebarkan sebelum ini, roda baharu juga diperkenalkan. Malah lampu belakang juga direka semula. Perubahan bahagian dalaman juga dijangka dilakukan, namun tidak dipastikan adakah ia melibatkan perubahan kecil-kecilan atau sebaliknya.

    Untuk sistem mekanikal, masih tidak dipastikan sama ada Triton facelift ini akan diberikan peningkatan atau kekal sama seperti model sebelum ini. Buat masa ini, trak pikap Mitsubishi Triton dijana enjin MIVEC turbodiesel 2.4 liter berkuasa 181 PS/430 Nm digandingkan bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lima-kelajuan automatik.

    GALERI: Spyshot Mitsubishi Triton facelift 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024