Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG A45 – video teaser disiar, boleh drift!

    Buat pertama kali, Mercedes-AMG telah menyiarkan teaser untuk model hot-hatch A 45 generasi baharu diasaskan dari A-Class W177 yang telah didedahkan di Geneva Februari lalu. Teaser yang disiarkan kali ini adalah dalam bentuk video, dan turut dihasilkan sempena sambutan Hari Natal yang akan berlangsung esok.

    Dalam video berkenaan, A 45 W177 ini tidak ditunjukkan hanya sebahagian, sebaliknya keseluruhan kereta berkenaan tetapi dengan pelekat penyamaran di seluruh badan. Dan apa yang lebih mengujakan, hampir keseluruan aksi yang ditunjukkan dalam video berdurasi 1 minit 47 saat ini menunjukkan A 45 melakukan aksi drift!

    Ini mengesahkan laporan dari CarAdvice sebelum ini yang menyatakan bahawa Mercedes-AMG A 45 generasi baharu akan dilengkapi dengan Drift Mode sama seperti pada super sedan Mercedes-AMG E 63. Dalam laporan tersebut boss Mercedes-AMG, Tobias Moers menyatakan bahawa lebih tork akan dialirkan pada gandar belakang dari model sedia ada dan pemandu boleh memandu secara menggelangsar.

    Mercedes-AMG A45 – video <em>teaser</em> disiar, boleh drift!

    Model W177 ini masih menampilkan bentangan sistem yang sama seperti W176 sebelum ini iaitu enjin yang diletakkan menlintang untuk memacu roda hadapan, kemudian diberikan propeller shaft untuk memindahkan 50% tork ke gandar belakang apabila diperlukan untuk model-model 4Matic.

    Menerusi video ini, A 45 berkenaan turut melakukan aksi ‘donut’ namun ia tidak seperti donut AWD biasa yang dilakukan oleh Subaru WRX atau Mitsubishi Lancer Evolution, sebaliknya lebih mirip donut yang dilakukan kereta pacuan belakang sepenuhnya – menunjukkan tork mungkin akan diberikan lebih dari 70% kepada gandar belakang.

    Laporan-laporan sebelum ini juga ada menyatakan bahawa Mercedes-AMG A 45 W177 akan menerima kuasa lebih buas dengan bekalan sekitar 400 hp, berbanding enjin 2.0 liter turbo pada A 45 W176 menghasilkan 381 hp/475 Nm. Sebelum kuasa dialirkan kepada sistem 4Matic, ia akan melalui kotak gear klac-berkembar automatik DCT lapan-kelajuan terlebih dahulu.

    Mercedes-AMG A45 – video <em>teaser</em> disiar, boleh drift!

    Dari segi rupa pula, masih lagi agak sukar untuk membezakan ciri-ciri antara model A-Class paling berkuasa ini dengan adiknya, Mercedes-AMG A 35 yang telah pun muncul pada September lalu. Antara perkara yang jelas adalah perbezaan rim dan juga tip ekzos dimana A 35 diberikan tip muffler tunggal pada kedua-dua sisi bampar, manakala A 45 pula diberikan tip berkembar pada kedua-dua tempat yang sama.

    Video ini turut memamaparkan bahawa A 45 generasi baharu turut menerima sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) seperti A-Class W177 standard. Pada A 35 AMG, sistem MBUX tersebut turut diberikan fungsi istimewa AMG Track Pace yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta berkenaan dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

    Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG A 45 W177

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 W177

     
     
  • ANIH tawar 10% diskaun tol di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – TTA turut dikeluarkan

    ANIH tawar 10% diskaun tol di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – TTA turut dikeluarkan

    Anih Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% sempena cuti perayaan Hari Krismas untuk semua jenis kenderaan.

    Diskaun tol itu berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada Selasa, 25 Dis ini.

    Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemberian diskaun itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sejak tahun 2011 bagi pengguna lebuh raya berkenaan.

    ANIH tawar 10% diskaun tol di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – TTA turut dikeluarkan

    Dalam masa yang sama, Anih turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna yang bercadang untuk ke negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia disediakan bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya berkenaan termasuk di plaza-plaza tol yang terlibat.

    Pengguna lebuhraya juga dinasihati agar memastikan baki nilai pada kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

    Anih turut memaklumkan perkhidmatan tambah nilai di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik padat bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan pengguna boleh membuat pembelian kad atau tambah nilai di pusat khidmat pelanggan di plaza tol terbabit. Plaza tol terbabit ialah Gombak, Karak, Temerloh, Bentong dan Kuantan yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam pada setiap hari atau di kios layan diri di hentian sebelah Gombak (arah barat), R&R Genting Sempah, Temerloh (arah timur dan barat) dan Gambang.

     
     
  • Retromotif: Mitsubishi Lancer Evolution I hingga VI – lagenda Kejohanan Rali Dunia yang paling lagenda!

    Retromotif: Mitsubishi Lancer Evolution I hingga VI – lagenda Kejohanan Rali Dunia yang paling lagenda!

    Tahun lalu, saya ada terbaca iklan di media sosial berkenaan sebuah Mitsubishi Evolution I RS asli yang ingin dijual pada harga melebihi RM60,000. Selepas membelek gambar-gambar yang disiarkan sambil menahan dan menelan air liur, saya rasa agak geram dengan komen-komen netizen di bawah yang rata-rata mengecam penjual kereta tersebut.

    Kereta berkenaan adalah unit asli Evolution I dengan kod casis CD9A tercatat pada plat VIN, dan tambah bernilai ia adalah dari varian RS yang secara mudah boleh dijadikan sebuah jentera rali FIA Group N dengan hanya memasang rollcage, tempat duduk perlumbaan serta kelengkapan keselamatan lain dan juga tayar dan suspensi yang sesuai dengan permukaan jalan.

    Tetapi selain dari dua-tiga komen yang menghargai kereta tersebut, rata-rata memberikan komen seperti “baik beli Wira convert” atau “harga boleh dapat Evo VII, lagi power“. Penulis agak kecewa dengan pengetahuan orang-orang kita, terutama dari kalangan peminat Mitsubishi yang tidak menghargai sejarah Lancer Evolution itu sendiri.

    Tahukah anda casis asli Lancer Evolution I hingga VI kini harganya sedang naik di seluruh dunia? Dan mengapa enam siri pertama ini nilainya dari segi harga mahupun sejarah adalah lebih tinggi dari model-model dari siri VII hingga X? Saya akan rungkainya menerusi artikel ini.

    Mitsubishi Lancer Evo I produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo I Group A WRC (kanan)

    Selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam kejohanan rali dunia (WRC). Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar.

    Dengan cara ini, peminat bukan sahaja dapat melihat kereta pujaan mereka berlumba, tetapi dapat membeli model yang sama di pengedar-pengedar rasmi. Undang-undang ini jelas tidak sama dengan kelas WRCar yang digunakan oleh FIA dalam WRC buat masa sekarang, kerana jentera-jentera yang berlumba adalah unit-unit prototaip. Hyundai i20 misalnya, dalam dunia sebenar ia hanyalah kereta hatchback segmen-B dengan enjin 1.2 liter NA petrol 90 hp pacuan roda hadapan, manakala Hyundai i20 WRC pula adalah rasaksa dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa sekitar 380 hp.

    Mitsubishi Lancer Evolution I muncul pada penghujung tahun 1992. Matlamat penghasilan kereta ini jelas – Mitsubishi mahukan sebuah kereta yang kompetitif untuk bertanding di pentas WRC bagi menggantikan Galant VR-4. Jadi, dengan undang-undang yang telah ditetapkan, segala aspek pembangunan model produksi ini adalah untuk memastikan ia boleh beraksi cemerlang dalam WRC.

    Mitsubishi Lancer Evo II produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo II Group A WRC (kanan)

    Versi produksi Lancer Evolution I dijana oleh enjin 2.0 liter turbo 4G63T berkuasa 244 hp/309 Nm. Hanya kotak gear manual lima-kelajuan ditawarkan, dan ia dilengkapi sistem pacuan empat roda sepenuh masa dengan LSD jenis viscous pada gandar belakang.

    Pada bahagian luaran, Evo I diberikan bonet hadapan lebih ‘kembung’ dengan dua sirip udara, bampar dengan bukaan liang udara lebih luas, skirt sisi, spoiler tiang gol di belakang, serta set rim aloi bersaiz 15-inci. Manakala pada bahagian dalaman, model ini diberikan tempat duduk, stereng dan juga tombol gear yang lebih sporty dari Lancer standard.

    Lancer Evolution I membuat penampilan sulungnya dalam WRC bermula pada musim 1993, namun percubaan pasukan Jepun tersebut belum lagi membuahkan hasil yang memuaskan. Kemudian, model produksi Lancer Evolution II tampil pada April 1994. Ia menampilkan rupa yang hampir sama dengan Evo I, kecuali spoiler belakang yang sedikit berbeza dengan sudut ‘attack‘ yang lebih agresif, manakala enjinnya pula menerima 252 hp menerusi talaan semula yang dibuat, serta gandar belakang menerima LSD jenis mekanikal.

    Dalam tahun yang sama, Evo II juga mula digunakan dalam WRC, dan menyaksikan kemasukan Tommi Makinen dalam pasukan berkenaan tetapi rentak kemenangan masih belum dijumpai.

    Mitsubishi Lancer Evo III produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo III Group A WRC (kanan)

    Akhirnya, bentuk paling sempurna untuk casis CE9A muncul pada tahun 1995 apabila Mitsubishi memperkenalkan Lancer Evolution III. Bentuk luaran Evo III ini sahaja telah menunjukkan sifatnya yang lebih agresif terutama pada bampar dengan liang kemasukan udara yang jauh lebih besar, diberikan rim OZ-Chrono 15-inci sebagai ciri standard, serta sayap belakang juga direka dengan saiz yang lebih tinggi dan lebar.

    Untuk model produksi, enjin 4G63 berkenaan mampu untuk menjana sekitar 270 hp dalam keadaan standard menerusi pemadanan pengecas turbo lebih besar bersama nisbah mampatan lebih tinggi pada kebuk pembakaran. Manakala dalam WRC pula, Evo III menggantikan tugas Evo II bermula pusingan ketiga untuk musim 1995 tersebut. Belum lagi benar-benar berjaya, di mana Tommi Makinen merangkul tempat kelima pada musim berkenaan, manakala Colin McRae yang memandu untuk pasukan Subaru dinobatkan sebagai juara dunia ketika itu.

    Mitsubishi Lancer Evolution III terus digunakan untuk musim 1996, dan tahun berkenaan Tommi Makinen dan Lan Evo mula menunjukkan taring mereka. Dari 14 pusingan perlumbaan yang berlangsung, Makinen dan Evo menjuarai lima daripadanya, seterusnya bergelar juara dunia buat pertama kali. Ketika Makinen sah ditabalkan juara dunia, sebenarnya Mitsubishi telah pun memperkenalkan genarasi baharu Lancer Evolution IV pada Ogos 1998. Ini adalah model dengan platform baharu sepenuhnya yang diberikan pelbagai ‘senjata’ yang lebih moden.

    Pada bahagian luaran, Evo IV diberikan rupa berbeza dari Evo III. Paling ketara adalah pada bahagian belakang dengan bonet yang lebih tinggi serta lampu yang berbentuk seperti segi tiga kerana ia dibina berasaskan Lancer generasi ketujuh. Bampar hadapan terus direka agresif dengan liang dan lampu kabus besar serta rekaan seperti taring pada gril. Penutup bonet enjin turut diberikan liang udara lebih besar, dan bonet belakang pula ditempat sayapkan ‘tiang gol’ baharu yang juga lebih besar.

    Mitsubishi Lancer Evo IV produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo IV Group A WRC (kanan)

    Enjin 4G63 masih lagi digunakan tetapi kali ini telah dipusingkan 180-darjah – bermaksud timing belt pulley telah berpindah ke kiri, manakala kotak gear pula berpindah ke kanan. Menurut Mitsubishi, ini dilakukan bagi mengurangkan torque steer yang terhasil semasa memecut.

    Enjin berkenaan juga telah ditala bagi menghasilkan sekitar 280 hp dengan tork sekitar 330 Nm. Satu lagi ciri menarik pada model ini adalah sistem LSD elektronik pada gandar belakang yang digelar sebagai Active Yaw Controller (AYC), membolehkan kereta ini lebih mudah melibas, mengurangkan understeer, seterusnya memberikan kebolehan mengambil selekoh yang lebih agresif.

    Evo IV dijelamakan dalam bentuk jentera Group A WRC bermula pada awal musim 1997. Walaupun menerima cabaran yang cukup hebat dari kem Subaru, Tommi Makinen masih berjaya mempertahankan gelaran juara dunia buat kali kedua berturut-turut.

    Namun untuk musim 1998, FIA melakukan rombakan terhadap undang-undang WRC dengan memerkenalkan kategori WRCar untuk menggantikan Group A. Seperti yang diberitahu tadi, WRCar merupakan kategori yang menampilkan kereta-kereta prototaip, bermaksud pengeluar tidak perlu lagi membuat model produksi untuk jentera yang bertanding.

    Mitsubishi Lancer Evo V produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo V Group A WRC (kanan)

    Undang-undang baharu ini membolehkan Toyota menghasilkan Corolla WRCar iaitu Corolla yang hanya dijana enjin 1.6 liter NA di bilik pameran, tetapi menerima enjin 2.0 liter turbo 3S-GTE dengan sistem 4WD dalam WRC. Subaru juga menghasilkan Impreza WRCar, yang dibina dengan kerangka dua-pintu (empat-pintu pada jentera Group A), yang dilebarkan mengikut ukuran maksimum undang-undang baharu (kemudian turut menghasilkan edisi terhad WRX 22B STI menggunakan kerangka sama).

    Namun tidak untuk Mitsubishi. Mereka masih kekal untuk menggunakan jentera dengan spesifikasi Group A, yang bermaksud pembangunan jentera lumba WRC mereka seiring dengan penghasilan model produksi jalan raya biasa. 1998 adalah tahun di mana Lancer Evolution V dihasilkan, dan disebabkan undang-undang WRC baharu menyatakan kereta boleh dibina lebih lebar, Evo V juga menerima fender yang lebih lebar bukan sahaja untuk kereta rali WRC sebenar, malah menggunakan ukuran yang sama pada Evo V yang dijual untuk orang awam.

    Apa yang lebih mengkagumkan, disaat pengeluar lain sedang bergembira kerana mereka boleh membuat jentera WRC prototaip tanpa memikirkan kekangan model produksi, mereka masih belum dapat menandingi Mitsubishi yang masih menggunakan kereta Production Modified Group A! Makinen dan Evo V sekali lagi membolot gelaran juara dunia WRC untuk musim 1998, mengekalkan kejuaraan ketiga berturut-turut.

    Mitsubishi Lancer Evo VI produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo VI Group A WRC (kanan)

    Pada tahun 1999, Evo sekali lagi disegarkan menerusi model Lancer Evolution VI. Model produksi menampilkan kuasa sekitar 280 hp dengan tork 373 Nm seperti Evo V, tetapi diberikan rombakan pada kit aero terdiri dari bampar hadapan dan juga spoiler belakang – kini dengan sayap dua-dek. Juga hadir sebagai kereta Group A pada musim 1999, Makinen dan Evo berjaya menyapu sekali lagi gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut.

    Namun untuk tahun 2000, kemampuan Evo sebagai jentera produksi untuk melawan kereta-kereta prototaip nampaknya tiba kepada hadnya. Tommi Makinen hanya mampu untuk untuk mencapai kedudukan kelima keseluruhan, dan hanya menang di Rali Monaco pada awal musim.

    Tahun yang sama juga, Evo produksi dikemaskini dengan pengenalan model Tommi Makinen Edition (juga digelar sebagai Evo TME atau Evo 6.5), yang diberikan bampar baharu, pelekat badan opsyenal yang menyerupai livery Ralliart WRC, tempat duduk dengan sulaman nama Tommi Makinen pada tempat duduk Recaro hadapan, serta pengecas turbo dengan bilah turbin titanium. Model ini tampil sebagai jentera WRC untuk musim 2001.

    Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Edition produksi (kiri) dan Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Edition Group A WRC (kanan)

    Akhirnya Mitsubishi mengalah, mereka tidak lagi menghasilkan jentera WRC dengan spesifikasi Group A sebaliknya tampil dengan prototaip Lancer Evo WRCar berasaskan Lancer Evo VII pada penghujung musim 2001. Tetapi ia tetap tidak membuahkan hasil – walaupun Makinen berjaya berada di tempat ketiga keseluruhan, Lancer Evo WRCar 2001 hanya mampu mendapat kedudukan keenam pada Rali Australia, dan tidak dapat mnghabiskan perlumbaan pada tiga pusingan lain yang disertai.

    Untuk musim-musim seterusnya, Mitsubishi tidak lagi menggunakan Lancer Evolution untuk kereta WRC mereka, sebaliknya jentera-jentera prototaip WRCar dibina menggunakan asas Lancer Cedia. Sehinggalah krisis kewangan yang begitu meruncing, jenama berkenaan kemudian menarik diri terus dari WRC pada penghujung musim 2005.

    Jadi anda dah faham mengapa Lancer Evo I hingga Evo VI merupakan lagenda yang lebih lagenda dari model-model Evo yang lebih baharu? Kalau masih tak faham, biar saya rumuskan di sini – Evo I hingga Evo VI dihasilkan para jurutera Mitsubishi bukan sebagai kereta sport produksi biasa, sebaliknya rekaan yang dibuat sebenarnya disasarkan untuk menang dalam WRC. Sebaliknya untuk Evo VII dan keatas, ia hanyalah model-model jalanan yang dibangunkan tertumpu kepada produksi, malah nama Evo VIII, IX, dan X langsung tidak terpahat dalam sejarah WRC itu sendiri.

    Mitsubishi Lancer Evo VII WRCar 2001 (kiri) dan Mitsubishi Lancer WRC 2004 dari Lancer Cedia (kanan)

    Menyentuh perihal ‘Wira Convert’ pula, walaupun enjin 4G63T dari Evo boleh dimasukkan terus ke perut Proton Wira ataupun Mitsubishi Lancer standard, dan lantai belakang boleh dipotong untuk memasukkan gandar 4WD dari Evo, kerangka Evo asli sebenarnya dihasilkan jauh lebih tegar dari model biasa, dan ini agak sukar untuk dilakukan oleh bengkel-bengkel ubahsuai. Walaupun anda boleh memecut dengan 300 hp menggunakan enjin 2.0 liter tersebut menggunakan casis Wira, anda masih tidak akan dapat pengendalian sama seperti Evo sebenar.

    Seperti yang saya sebut tadi, setiap siri Evolution ini dihasilkan dalam jumlah terhad. Melihat betapa banyaknya enjin 4G63 tersebut berada dalam perut bukan sahaja Wira, malah pelbagai model Proton lain seperti Satria dan Perdana, serta Evo itu sendiri yang telah banyak ‘terkorban’ dalam pelbagai acara litar dan rali, entah berapa unit sahaja lagi yang masih lagi berada dalam keadaan sempurna. Jangan terkejut satu hari nanti sedang kita tak puas hati tentang harga Evo asli ini yang dikatakan tidak munasabah, ada orang asing mengambil kesempatan untuk membelinya dan membawanya pulang ke negara masing-masing.


     
     
  • Hyundai bakal labur US$880 juta buat EV di Indonesia

    Hyundai bakal labur US$880 juta buat EV di Indonesia

    Hyundai bakal melabur sebanyak US$880 juta (RM3.67 bilion) di Indonesia bagi pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di negara jiran itu. Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Industri, Harjanto seperti dilaporkan Reuters.

    Wakil kerajaan itu memaklumkan kilang yang dalam perancangan itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 250,000 unit, termasuk EV. Terkandung juga dalam perancangan itu ialah untuk mengeksport 53% daripada jumlah pengeluaran itu ke pasaran lain, terutamanya ASEAN dan Australia. Baki 47% lagi adalah untuk pasaran domestik.

    Hyundai – bersama Kia menjadi pengeluar kenderaan kelima dunia dari sudut jualan – masih belum membuat sebarang komen berkaitan perancangan syarikat itu di Indonesia. Sebaliknya menjelaskan mereka sedang mempertimbangkan beberapa cara untuk melebarkan sayap ke pasaran-pasaran baru termasuk di Asia Tenggara. Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan apa-apa berkaitan kemudahan kilang pengeluaran yang telah dipersetujui di rantau ini.

    Hyundai bakal labur US$880 juta buat EV di Indonesia

    Reuters juga melaporkan, awal tahun ini Hyundai telah memberi taklimat kepada pegawai-pegawai kesatuan di Korea Selatan tenatng pembinaan kilang di Indonesia, menurut tiga orang yang rapat dengan perkara ini. Hyundai ketika ini belum mempunyai kilang pemasangan sendiri di ASEAN, walaupun sebahagian daripada kenderaannya dipasang di Vietnam dan Malaysia.

    Agak jelas, langkah Hyundai untuk membuka kilang pertamanya di rantau ini selari dengan strategi semasa syarikat itu yang ingin mengurangkan kebergantungan terhadap China, di mana persaingan menjadi sangat sengit manakal jualan juga terkesan akibat ketegangan hubungan diplomatik antara Seoul-Beijing. Selain itu, Indonesia juga mempunyai banyak sumber bijih nickel laterite, yang menjadi bahan utama bagi bateri lithium-ion untuk kegunaan kenderaan EV.

    Bagaimanapun, ASEAN didominasi oleh pengeluar kenderaan Jepun yang telah bertapak lama di rantau ini. Bukan calang-calang usaha yang perlu dilakukan Hyundai-Kia sekiranya ingin mengukuhkan kedudukannya di Thailand dan Indonesia. Sekadar contoh, di Indonesia, Hyundai hanya menjual sebanyak 1,372 unit kenderaan bagi tempoh Jan-Okt tahun ini, sementara itu Toyora pula dengan angka yang begitu besar, 463,565 unit bagi tempoh sama.

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Lamborghini Aventador bakal terima enjin hibrid V12?

    Lamborghini Aventador bakal terima enjin hibrid V12?

    Ia akan berlaku tidak lama lagi, Lamborghini dikhabarkan telah bersedia untuk menghasilkan pengganti Aventador bagi model 2020, dan dilaporkan ia turut dilengkali dengan versi elektrifikasi dengan enjin naturally-aspirated V12. Menurut Autocar, akan ada satu daripada dua siri produksi model 2020 yang akan dielektrifikasikan, selain Urus PHEV.

    Pengganti Aventador akan dipertontonkan bersama hypercar yang bernilai £2 juta (RM10.6 juta) tahun hadapan. Dengan kod nama LB48H, hypercar edisi terhad ini untuk ditunjukkan pada pembeli prospektif – yang pertama untuk penjana kuasa elektrifikasi jenama ini.

    Awal tahun ini ketika pelancaran Aventador SVJ, ketua pegawai teknikal Maurizio Reggiani memberitahu, hibrid adalah keperluan, bukan lagi pilihan. “Undang-undang akan menetapkan tahap bagi pemanduan elektrik-tulen yang diperlukan. Terdapat beberapa perbincangan sedang dilakukan. Ada yang berkata 20 km, ada pula 30 km, dan China menyarankan 50 km – dan selalunya kami hanya akan membangunkan satu kereta secara global,” ujar Reggiani.

    Selalunya, penjana kuasa elektrifikasi akan didatangkan dengan penambahan berat, dan Reggiani menganggarkan ia melibatkan sebanyak 200 kg. Walau pun dengan penjimatan berat yang banyak dibuat untuk bahagian lain, tetapi itu masih bermakna model generasi akan datang mungkin lebih berat.

    Lamborghini Aventador bakal terima enjin hibrid V12?

    Enjin naturally-aspirated V12 L539 yang telah lama digunakan oleh Lamborghini

    “Saya selalu katakan yang saya lebih suka mempunyai kurang 10 kg daripada lebih satu hp, walau pun nisbah kuasa-ke-berat kekal sama. Tetapi saya membayangkan permulaan bagi kereta ini akan menjadi lebih berat, tiada keraguan. Apa yang akan terjadi? Kita masih tidak mengetahuinya. Penambahbaikan akan berlaku,” jelas Reggiani.

    Sebagai penggemar pencipta rekod di Nürburgring Nordschleife, Lamborghini mungkin menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini iaitu melenjan trek sepanjang 20.8 km dengan kereta elektrik. Tidak jelas apakah penyelesaian Lamborghini untuk menghadapi masalah itu, tetapi Autocar menyatakan bahawa pembuat kereta berkenaan sedang mempertimbangkan menggunakan sistem hibrid berasingan dengan gandar hadapan berkuasa elektrik daripada bersepadu dengan kuasa elektrik yang dihantar menerusi transmisi konvensional.

    “Idea peribadi saya adalah ini merupakan konsep yang terbaik, yang memberikan pengawalan dan pengurusan casis yang terbaik,” ujarnya. “Ia patut mudah mendapatkan penvektoran tork sepenuhnya di hadapan, membantu mengimbangi lagi untuk peningkatan berat badan dengan lebih ketangkasan.”

    Cabaran dengan pacuan elektrik secara terus boleh menjadi kurang efektif seperti penambahan kelajuan – inilah masalah yang perlu diselesaikan oleh Lamborghini – tetapi Reggiani mengakui penggunaan transmisi (seperti BMW menggunakannya pada model i8) adalah penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

    Lamborghini Aventador bakal terima enjin hibrid V12?

    “Saya rasakan ya, kotak gear perlu berada di hadapan. Ini visi saya. Ia boleh menjadi lebih terurus untuk meletakkan motor elektrik di hadapan kerana ia tidak memerlukan sebarang propeller shaft. Saya rasa ini penyelesaian yang terbaik,” ujar Reggiani lagi.

    Awal Jun lalu, beliau turut berkata penjana kuasa elektrik boleh membantu melancarkan lagi transmisi klac tunggal Aventador masa kini yang “kadangkala agresif”. “Anda boleh menggunakan motor elektrik untuk memastikan anda tidak berhadapan dengan gangguan tork.”

    Penjana kuasa hibrid naturally-aspirated akan memberikan Aventador untuk bersaing denga model lain yang memiliki prestasi yang lebih kurang sama menerusi pengecilan saiz atau pengecas turbo. “Bagi saya, enjin turbo boleh mengurangkan emosi,” ujar Reggiani.

    GALERI: Lamborghini Aventador SVJ

     
     
  • Perodua rangkum teaser SUV D38L dalam satu video

    Sebelum ini, Perodua ada keluarkan tiga iklan teaser berkaitan model SUV yang dikenali dengan kod nama D38L yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Terbaru, syarikat itu mendedahkan pula sebuah video iklan, juga sekadar tinjauan awal yang merangkum ketiga-tiga iklan ringkas yang sudah dikongsikan dengan khalayak awam sejak beberapa minggu ini.

    Iklan teaser pertama, dengan slogan “Something Exciting Is Coming” mendedahkan dengan agak jelas bahawa ia merupakan sebuah model SUV tujuh-tempat duduk, dengan pandangan sisi kenderaan terbabit – yang dengan segera boleh dilihat persamaannya dengan model Toyota Rush – disamping info yang menekankan ia mesra “subsidi petrol”.

    Ini memberi petunjuk bahawa D38L ini nanti akan menggunakan enjin 1.5 liter, sama seperti Rush yang juga menggunakan enjin sama yang sebelum ini digunakan pada Perodua Myvi; enjin 2NR Dual VVT-i. Kadar penggunaan minyak juga menjadi taruhan, dengan bacaan 15.6 km/l.

    Bagi teaser kedua pula, bahagian depan SUV ini mula ditunjukkan dengan agak jelas. Dan, lebih menarik, ia juga mengetengahkan ciri keselamatan yang ada; dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Tetapi, bagi penawaran terbaru kali ini, sistem berkenaan telah dikemaskini kepada ASA 2.0 dengan tambahan ciri pengesanan pejalan kaki.

    Gril pada SUV Perodua ini mempunyai lebih satu bilah; di kedudukan kedua, ia bertindak sebagai sayap bagi logo Perodua yang ditempatkan di tengahnya. Satu bilah krom dalam warna yang lebih cerah pula menghubungkan DRL dari kedua-dua sisi, dengan ketebalan yang sama. Lihat lebih dekat, DRL juga berbeza, mempunyai dua jalur berbanding Toyota Rush.

    Iklan teaser ketiga pula memperlihatkan bahagian belakang SUV berkenaan, bersekali dengan jenis enjin, penggunaan petrol serta ciri Eco Idle. Sekali lagi, ia mirip enjin yang ada pada Myvi, yang menjana sebanyak 102 hp/136 Nm dan menggunakan sekitar 20.1 km/l – hatchback itu seberat 1,015 kg. Namun, untuk SUV ini, ia pastinya hadir dengan rekaan badan yang lebih besar dan berat. Tentu enjin walaupun dari jenis yang sama, akan ditala untuk kesesuaian sebuah SUV.

    Semakin banyak iklan teaser ditunjuk, maka semakin rancak promosi yang Perodua lakukan terhadap model ini. Apa maknanya semua ini? Kemungkinan besar, model terbabit sudah bersedia untuk memasuki pasaran, hanya menunggu masa untuk dilancarkan secara rasmi. Boleh teka bila agaknya model ini akan dilancarkan?

    Kita juga boleh mengandaikan bahawa SUV Perodua nanti akan dijual pada harga yang lebih rendah berbanding “saudaranya” yang dipasarkan oleh Toyota; harga anggaran bagi Rush ialah dari RM93k hingga RM98k. Pesaing paling rapat SUV Perodua ini pula sebenarnya ialah Honda BR-V, yang dijual antara RM81k hingga RM88k. Jadi, ada kemungkinan D38L ini akan dijual pada harga sekitar RM70k, dengan kelebihan ciri seperti ASA 2.0?

     
     
  • McLaren P1 GTR dengan livery Marlboro – model MSO sempena 30-tahun gelaran dunia F1 Ayrton Senna

    McLaren P1 GTR dengan <em>livery</em> Marlboro – model MSO sempena 30-tahun gelaran dunia F1 Ayrton Senna

    Divisi model-model custom dari Mclaren iaitu McLaren Special Operations (MSO) telah menghasilkan satu lagi model binaan khas untuk pelanggannya – kali ini bagi mengingati ulang tahun ke-30 kejayaan pertama pelumba F1 lagenda Ayrton Senna dinobatkan sebagai juara dunia. Kereta yang digunakan untuk asas projek ini adalah McLaren P1 GTR, diberikan livery perlumbaan ‘Marlboro’ seiras kereta F1 yang dipandu Senna pada musim 1988.

    Sedikit fakta sejarah, Ayrton Senna da Silva merupakan juara dunia tiga kali Formula 1, kesemuanya ketika memandu untuk pasukan Marlboro McLaren Honda. Gelaran dunia yang pertama diraih oleh pelumba lagenda ini adalah pada tahun 1988, dengan memandu jentera Mclaren Honda MP4/4. Kereta tersebut direka oleh Gordon Murray (orang yang sama menghasilkan supercar produksi McLaren F1), dan dijana oleh enjin Honda RA168-E V6 1.5 liter turbo, menghasilkan sekitar 600 hp dengan boost 2.5 bar (pernah menghasilkan sekitar 800 hp dengan boost 4 bar pada tahun 1987!).

    Livery merah-putih Marlboro sahaja sinonim dengan Senna, malah ia juga sebati dengan pasukan F1 McLaren pada era berkenaan di mana jenama tembakau tersebut menjadi penaja utama pasukan yang berpangkalan di Woking, UK itu selama 20 tahun.

    McLaren P1 GTR dengan <em>livery</em> Marlboro – model MSO sempena 30-tahun gelaran dunia F1 Ayrton Senna

    Kereta ini dibina untuk seorang pengumpul McLaren, yang juga seorang peminat Ayrton Senna sejak dari zaman mudanya. Beliau mahukan sebuah kereta untuk memperingati Senna serta prinsip pelumba Brazil berkenaan yang sentiasa mahukan kesempurnaan. Pemilik kereta ini sendiri bekerjasama dengan MSO dalam projek berkenaan selama tiga tahun bagi mendapatkan hasil seperti ini.

    Pemilik P1 GTR tersebut juga menamakan kereta ini sebagai ‘Beco’, iaitu nama timangan Ayrton Senna oleh kedua ibu bapanya. Nama berkenaan bukan sekadar diberi, malah pemilik terlebih dahulu meminta izin dari ahli keluarga Senna sendiri untuk menggunakan nama itu.

    Beco menerima dua warna asas pada badannya iaitu McLaren Rocket Red dan juga Anniversary White. Logo-logo trademark Senna diberikan pada bahagian-bahagian seperti splitter udara hadapan, liang udara dan juga pada kedua-dua pintu. Slogan ‘Driven to Perfection’ turut diberikan pada bahagian sama kecuali splitter hadapan.

    McLaren P1 GTR dengan <em>livery</em> Marlboro – model MSO sempena 30-tahun gelaran dunia F1 Ayrton Senna

    Juga pada pintu, Beco diberikan bendera Brazil dan juga kod bar yang menggantikan perkataan Marlboro seperti livery pada pusingan-pusingan perlumbaan F1 yang mengharamkan sebarang iklan produk tembakau. Kereta ini diberikan nombor ’12’ pada bahagian hidung dan sayap belakang, sama seperti nombor perlumbaan Ayrton Senna pada musim F1 1988.

    MSO juga menghasilkan logo laurel ulangtahun ke-30 pada kedua-dua belah cermin tingkap belakang, bersama pelekat-pelekat jenama rakan teknikal McLaren dahulu dan sekarang. Menurut McLaren, kerja selama 800 jam digunakan hanya menghasilkan cat dan grafik pada badan kereta ini.

    Beralih ke prestasi, MSO telah memadankan pelindung haba yang diperbuat dari emas 24 karat pada ruang enjin kereta ini. Ia juga menerima pelindung belakang Lexan dan juga bahagian keliling ruang enjin yang telah diubahsuai. Menurut pemilik, rombakan yang dibuat tersebut dengan gabungan motor elektrik hibrid pada McLaren P1 GTR menghasilkan ‘peningkatan kuasa yang sesuai’.

    Menurut McLaren, mereka turut melakukan pengubahsuaian terhadap komponen dalaman enjin petrol kereta tersebut bagi meningkatkan prestasinya. Namun angka kuasa baharu untuk Beco ini tidak dinyatakan. Untuk rekod, McLaren P1 GTR standard yang dijana enjin petrol V8 3.8 liter dengan dua pengecas turbo dan bantuan motor elektrik berupaya menghasilkan kuasa mencecah 1,000 PS.

    Dengan kuasa yang lebih tinggi, Beco diberikan kit aerodinamik yang lebih berkesan. Untuk itu, ia menerima dive plane baharu hadapan bersama splitter yang lebih lebar, panel barge sisi untuk aliran udara sisi lebih baik, Gurney flap pada bahagian belakang serta sayap belakang yang bukan sahaja lebih besar, malah direka dengan bentuk seakan pada jentera F1 MP4/4. Kit baharu ini membolehkan tekanan downforce pada kereta ini diberikan pada tahap sekitar 800 kg.

    Sebaik pintu kereta ini dibuka, anda akan dapat melihat petikan kata-kata Ayrton Senna bersama tandatangannya pada panel casis karbon bahagian sisi. Pada bahagian kabin pula, ia diberikan tempat duduk perlumbaan yang sangat ringan diambil dari McLaren Senna. Selain itu, roda stereng diberikan balutan Alcantara dengan jahitan seiras pada roda stereng McLaren MP4/4 yang dipandu Senna.

    McLaren P1 GTR dengan <em>livery</em> Marlboro – model MSO sempena 30-tahun gelaran dunia F1 Ayrton Senna

    Jalur merah diberikan sepanjang panel pintu dan juga papan pemuka, manakala logo-logo Senna ditempatkan pada tempat yang sama serta pada roda stereng. McLaren turut menghasilkan topi keledar khas dengan rekaan livery sama pada kereta untuk pemilik P1 GTR ini.

    Selain dari Beco, MSO turut telah menghasilkan kereta-kereta custom lain dengan tema yang menyentuh jiwa seperti P1 GTR sempena ulang tahun gelaran juara dunia F1 ke-40 pemandu lagenda Britsh, James Hunt dan juga McLaren 675LT dengan livery perlumbaan Gulf McLaren F1 GTR pada perlumbaan Le Mans untuk Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Ismail ibni Sultan Ibrahim Ismail.

     
     
  • Ottimo VIZ110 dilancar di M’sia – kapcai 107 cc RM4.3k

    Ottimo VIZ110 dilancar di M’sia – kapcai 107 cc RM4.3k

    Satu lagi jenama baru tiba di Malaysia hari ini dengan pelancaran model pertamanya iaitu VIZ110 dilakukan di Kedah. Model ini adalah sebuah kapcai 110 cc, dijual pada harga RM4,288 tidak termasuk insurans dan bakal memberi saingan kepada model seperti Honda EX5, Honda Wave Alpha, Yamaha Lagenda, SYM Bonus dan beberapa lagi model lain.

    Enjin yang digunakan pada VIZ110 ini adalah unit satu silinder penyejukan udara SOHC 107 cc (karburetor), yang dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 6.7 hp pada 8,000 rpm dan 6.9 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro 3 dan diiktiraf sebagai cekap tenaga (EEV).

    Kemudiannya, model ini diperlengkap dengan fork teleskopik dan brek cakera bersama angkup dua piston di hadapan, dua penyerap hentak dan brek dram di belakang, lampu siang dan lampu penunjuk arah LED, tangki bahan api 3.6 liter, penghidup enjin tendang dan elektrik, soket pengecas USB dan rim 17 inci (tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.

    Ada dua warna yang ditawarkan untuk VIZ110 iaitu Syinta Red dan Syantik Blue, dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Buat masa ini, demi memberikan tumpuan kepada keseluruhan khidmat untuk pengguna, Ottimo Technologies Sdn Bhd cuma mensasarkan penjualan di bahagian Utara Malaysia dengan terdapat 71 pusat jualan dan pusat sehenti yang akan dibuka di Aman Jaya tidak lama lagi.

    Ottimo Technologies adalah sebuah syarikat yang baru ditubuhkan, dan tunjang utamanya adalah warga tempatan yang sudah lebih 20 tahun berada dalam industri termasuk syarikat pengeluar motosikal terkenal. Model yang dilancarkan ini bukanlah 100 peratus rekaan tempatan tetapi ada beberapa bahagian yang telah diubah untuk menyesuaikannya dengan cita rasa orang Malaysia dan pemasangannya dibuat di kilang Go Auto (pengimport dan pemasang model kereta Haval) di Gurun, Kedah.

    Untuk tahun hadapan, Ottimo mensasarkan jualan sebanyak 300 unit VIZ110 sebulan dan mereka juga akan memperkenalkan sebuah lagi model yang merupakan skuter berenjin suntikan bahan api 150 cc. Sudah tentu, pada masa hadapan syarikat ini mensasarkan jualan yang lebih menyeluruh di seluruh Malaysia dan beberapa model lain juga akan dilancar.

     
     
  • Data jualan November 2018 di M’sia mengikut jenama – Perodua meningkat 8.1%, sebahagian lagi menyusut

    Data jualan November 2018 di M’sia mengikut jenama – Perodua meningkat 8.1%, sebahagian lagi menyusut

    Selepas menyaksikan peningkatan jualan yang mendadak bagi sesetengah pengeluar bulan Oktober lalu, data jualan mengikut jenama bagi November 2018 nampaknya tidak meneruskan corak yang sama. Paling tidak, sebahagian jenama yang berada di kedudukan lima teratas mencatatkan penurunan jualan bagi bulan November 2018 berbanding bulan sebelumnya.

    Mulakan dengan Perodua yang kekal ditangga teratas dan masih mampu mencatatkan pertambahan jualan sebanyak 8.1% (21,110 unit) berbanding bulan Oktober (19,528 unit). Di kedudukan kedua pula, Honda bagaimanapun mencatatkan penurunan jualan sebanyak 2%, kurang 142 unit berbanding jualan bulan lalu.

    Proton pula walaupun masih mengekalkan kedudukan ketiga dalam senarai ini tetap merekodkan penurunan jualan juga; berkurang 5.4% bagi November (4,820 unit) berbanding Oktober (5,093 unit). Toyota yang berada di bawah Proton mencatatkan pengurangan jualan yang agak ketara, iaitu sebanyak 19.4% (3,835 unit), berbanding jualan Oktober (4,757 unit).

    Lain-lain pengeluar utama yang wajar disebutkan – tambahan pula dengan angka jualan yang meningkat sepanjang November – adalah seperti berikut; Mazda (+14.3%), Volkswagen (+38.8%), Subaru (+43.1%) dan antara yang mencatatkan peningkatan paling tinggi, Hyundai (+183.8%).

    Bagi jenama kereta premium dan mewah, tiga pemain utama semuanya mencatatkan peningkatan. Paling ketara ialah Lexus dengan peningkatan jualan sebanyak 86.7%, diikuti BMW dengan peningkatan 16.1% dan Mercedes-Benz dengan kenaikan 3.9%.

    Adakah jualan bagi bulan terakhir 2018 ini akan memberi khabar positif kepada lebih banyak pengeluar? Menarik juga untuk dilihat sekiranya model SUV pertama Proton X70 dapat menyumbang lebih banyak jualan kepada jenama itu untuk bulan Disember 2018. Kita nantikan.

     
     
  • Mugen Honda akan bawa Insight, CR-V, N-Van yang ditala dan Prototaip Mugen Civic Type R ke TAS 2019

    Mugen Honda akan bawa Insight, CR-V, N-Van yang ditala dan Prototaip Mugen Civic Type R ke TAS 2019

    Penala prestasi tinggi yang sering dikaitkan dengan Honda, Mugen, akan ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 Januari ini dengan pelbagai model menarik. Antara yang diumumkan bakal berada di booth jenama tersebut adalah model hibrid Honda Insight, SUV segmen-C Honda CR-V dan juga kenderaan utiliti bersaiz K-Car Honda N-Van – kesemuanya akan mendapat sentuhan Mugen.

    Honda Insight 2019 baru sahaja membuat kemunculan sulungnya pada awal tahun ini. Kereta dedikasi hibrid yang direka menggunakan platform Civic tersebut sememangnya menampilkan rupa yang lebih ‘handsome‘ dari model generasi sebelumnya, dan dengan kit aero, muffler ekzos dua tip bersama rim 18×7.5j dari Mugen, kereta ini kelihatan jauh lebih agresif.

    Mugen turut menawarkan aksesori lain untuk Insight ini seperti set karpet kaki, alas ruang kargo bonet belakang, pelindung pembuka pintu dan juga butang penghidup enjin. Tiada perincian sistem mekanikal dinyatakan oleh Mugen berkenaan model tersebut, namun versi standard Honda Insight dijana oleh gabungan enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson dan sistem hibrid i-MMD dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 151 hp/268 Nm.

    Untuk CR-V Mugen, ia sebenarnya datang dengan kit aero yang sama seperti model yang dipamerkan oleh Honda Malaysia di Kuala Lumpur International Auto Show (KLIMS) 2018 baru-baru ini. Namun bagi versi JDM tersebut, ia turut hadir dengan rim 19×7.5 j tujuh jejari asli dari Mugen.

    Model paling comel yang boleh anda belek di booth Mugen nanti adalah kenderaan utiliti kompak dengan saiz K-Car iaitu Mugen N-Van. Menurut Mugen, N-Van sentuhan mereka ini adalah untuk mereka yang gemarkan sukan bermotor, tetapi bukan untuk dibuat lumba, sebaliknya digunakan sebagai kenderaan kru.

    Jadi, Mugen N-Van ini bukan sahaja menerima kit aero, pelekat badan dengan grafik Team Mugen dan rim 12-inci asli dari Mugen, ia turut ditawarkan dengan bekas barangan dengan pilihan kapasiti 50 liter (saiz L) dan 20 liter (saiz M) juga dengan livery perlumbaan Mugen.

    Tahun lalu, Mugen telah mendedahkan model prototaip Civic Type R Mugen RC20 GT menampilkan rupa seperti kapal angkasa yang penuh kontroversi. Jadi tahun ini, badan penala berkenaan mengumumkan akan mendedahkan satu lagi prototaip Civic Type R FK8 yang diperhalusi. Tiada lagi sebarang perincian mahupun gambar didedahkan untuk model tersebut, dan kalau tiada aral, laporan susulan lengkap akan kami persembahkan kepada anda ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon bermula 11 hingga 13 Januari 2019 nanti.

    GALERI: Honda Insight Mugen TAS 2019

    GALERI: Honda CR-V Mugen TAS 2019

    GALERI: Honda N-Van Mugen TAS 2019

     
     
  • Nissan GT-R edisi istimewa kerjasama dengan bintang tenis Naomi Osaka – 50 unit, untuk Jepun sahaja

    Nissan GT-R edisi istimewa kerjasama dengan bintang tenis Naomi Osaka – 50 unit, untuk Jepun sahaja

    Nissan GT-R generasi-R35 telah pun berada di pasaran sejak 2007, di mana ia menjadi salah satu model tertua dalam pasaran. Buat masa ini, Nissan masih memelihara model coupe AWD tersebut, walau bagaimana pun ia telah diberikan versi 2017, iaitu perubahan yang paling komprehensif sejak pengenalan model facelift 2010.

    Peningkatan terkini datangnya dari unit edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 50 unit dan hanya untuk pasaran Jepun sahaja. Ia dibangunkan hasil kerjasama antara Nissan dengan duta jenama itu, Naomi Osaka, yang merupakan pemain tenis pertama Jepun yang memenangi Grand Slam dalam kejohanan Terbuka US tahun ini, dengan GT-R istimewa ini dibangunkan dari kemasan penuh kemewahan Premium Edition.

    Dengan kelengkapan Premium Edition, model edisi istimewa ini hadir dengan tiga warna luaran spesifik – Midnight Opal, Brilliant White Pearl dan Meteor Flake Black Pearl – dan juga tiga warna dalaman. Padanan warna luaran dan dalaman boleh dipilih dari mana-mana kombinasi tersebut, menurut Nissan.

    Selain warna, perubahan bahagian luaran agak minimal, hanya ditambah dengan spoiler belakang dry-carbon dan plak nombor keemasan pada petak enjin bagi menandakan edisi terhad untuk versi ini. Lampu, bampar dan roda masih sama seperto model 2017.

    Penjana kuasa juga masih menggunakan vrsi standard terkini, dengan enjin 3.8 liter biturbo V6 yang mampu menghasilkan 555 PS dan tork 632 Nm, dengan kuasanya disalurkan ke empat-empat roda menerusi kotak gear automatik dwi-klac enam-kelajuan. Sedikit mirip dengan Nismo yang menerima kuasa 600 PS dan tork 652 Nm dari enjin yang sama, tetapi berbeza hamburan prestasi.

    Harga bagi GT-R edisi terhad ini hanya akan diumumkan pada bulan hadapan, dijangkakan sedikit tinggi berbanding versi standard yang berharga 13.5 juta baht di Thailand.

     
     
  • Honda Civic Versatilist dan empat model ubahsuai lain akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2019 bulan hadapan

    Honda Civic Versatilist dan empat model ubahsuai lain akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2019 bulan hadapan

    Acara tahunan ubahsuai kenderaan JDM, Tokyo Auto Salon untuk edisi 2019 (TAS 2019) bakal dilangsungkan tidak sampai sebulan dari sekarang, dan pengeluar-pengeluar serta jenama-jenama penala dari negara matahari terbit tersebut kini sudah mula mengumumkan apa yang akan mereka bawa ke pameran berkenaan.

    Bagi Honda, mereka akan menampilkan tema “Life with Honda” untuk TAS 2019, menampilkan lima kenderaan ubahsuai yang kearah gaya hidup masa kini. Barisan model-model tersebut adalah Honda Civic Versatilist, Modulo Neo Classic Racer, Honda Well Concept, Honda Trip Van dan juga Honda Fit Elegant Color Colle.

    Kita mulakan dengan Honda Civic Versatilist. Menurut Honda, ia perlu disebut sebagai Civic Versa-Tie-List dan dibina berasaskan Civic Hatchback generasi ke-10 FK7. Kereta ini diberikan penggayaan seperti crossover berdasarkan konsep “Next Active Vehicle” dan hadir bersama kit-kit aero serta panel-panel pelindung tambahan dan kelegaan tanah yang lebih tinggi.

    Beralih ke Modulo Neo Classic Racer pula, kereta ini sebenarnya diasaskan dari model sport K-Car Honda S660 bersama kit “Neo Classic” yang diperkenalkan pada September lalu, serta diberikan lebih perincian dan juga kit aero seperti kereta lumba oleh divisi aksesori rasmi Honda iaitu Modulo.

    Untuk Honda Well Concept pula, ia sebenarnya adalah MPV kompak Honda Stepwgn yang diberikan muka lebih comel dengan lampu hadapan bulat. Honda menyatakan bahawa Well Concept ini dibina disasarkan bagi menjadi sebuah kenderaan yang “kuat dan bergaya pada luaran dan dalaman”, serta “lembut dan seronok” sebagai kereta keluarga.

    Manakala untuk Honda Trip Van pula, ia dihasilkan dari kei-Van Honda N-Van “yang membolehkan anda menikmati hobi ketika mengembara”. Honda menyatakan bahawa van kompak ini diubahsuai untuk mereka yang aktif dengan hobi luncur air dan sangat sesuai untuk mengembara ke pantai-pantai seluruh Jepun.

    Akhir sekali adalah Honda Fit Elegant Color Colle. Nama kereta ini sudah jelas bahawa ia adalah hatchback segmen-B Fit (atau Jazz di Malaysia). Fit asas itu sendiri sudah cukup bersifat feminin, manakala model ubahsuai Elegant Color Colle ini diberikan penggayaan yang lebih feminin dengan inspirasi “neat feel” dan “kecomelan dewasa”, dihasilkan dari warna-warna lembut.

    Kami sendiri akan ke Tokyo Auto Salon 2019, dan sekiranya anda mahu lebih tahu berkenaan model-model Honda yang akan dipamerkan ini, terutama Civic Versatilist, nantikan laporan dari kami bermula 11 hingga 13 Januari nanti.

     
     
  • Malaysia anjur Asia GT Festival pertama tahun depan

    Malaysia anjur Asia GT Festival pertama tahun depan

    Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi acara Asia GT Festival yang pertama, yang menjadi sebahagian daripada Kejuaraan China GT 2019. Ia akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Ini merupakan acara pertama dari siri perlumbaan berkenaan yang diadakan di luar China dan bakal menyaksikan lebih daripada 30 jentera GT dari seluruh dunia bersaing untuk meraih hadiah terkumpul bernilai RMB9 juta (RM5.45 juta).

    Perlumbaan pertama ini adalah permulaan kepada perjanjian lima-tahun yang dipersetujui antara Goldenport Enterprises dan pembangun hartanah Malaysia, Country Heights untuk menganjurkan perlumbaan itu di sini, dengan SIC menjadi lokasi pilihan sepanjang tempoh itu.

    Pengunjung akan berpeluang menyaksikan perlumbaan utama melibatkan jentera-jentara khas GT3 dan GT4, di samping perlumbaan sokongan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) – menampilkan perlumbaan Saga Cup yang turut akan disertai oleh pelumba-pelumba China GT serta kategori Race Car Open. Pemenang kategori terbuka ini berpeluang untuk memandu salah satu jentera China GT, dan mungkin juga memperoleh peluang untuk berlumba.

    Malaysia anjur Asia GT Festival pertama tahun depan

    “Melalui Asia GT Festival, kami ingin meluaskan lagi pendedahan warga malaysia terhadap perlumbaan jentera empat roda yang berbeza. Selain itu, kami juga ingin menyediakan peluang kepada pelumba tempatan untuk terlibat sama di dalam acara antarabangsa seperti ini,” jelas Pengarah Eksekutif Country Heights, Matahari Lee.

    Pengasas Goldenport Enterprises, Jim Ye pula menyatakan; “Sejak tahun lalu, kami telah merancang untuk meluaskan lagi perlumbaan China GT ke rantau ini. Malaysia menjadi lokasi terbaik untuk bermula kerana mempunyai ramai peminat sukan permotoran di sini.” Tiket bagi Asia GT Festival kini boleh didapati melalui laman Facebook MotoNation atau laman web rasminya, pada harga bermula RM20 hingga RM350.

     
     
  • Pemandu teksi bertegas bahawa Shamsubahrin bukan wakil mereka, desak isi perbincangan didedah

    Pemandu teksi bertegas bahawa Shamsubahrin bukan wakil mereka, desak isi perbincangan didedah

    Bulan lalu, beberapa pengumuman terhadap pemandu dan penyedia perkhidmatan e-hailing dilakukan. Antaranya, mereka perlu hadir kursus dan mendapatkan lesen PSV, sama seperti pemandu teksi. Kenderaan yang berusia lebih tiga tahun juga perlu menjalani pemeriksaan.

    Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai langkah kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan e-hailing dan menjadikannya setara dengan teksi, seperti yang selalu dibangkitkan oleh pemandu-pemandu teksi.

    Sebelum itu, Loke mengadakan perjumpaan bersama penasihat Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar) – yang menjadi individu paling lantang bersuara berkaitan hak-hak pemandu teksi – di Parlimen untuk berbincang. Kemudian, muncul pula sebuah kumpulan yang mendakwa menjadi wakil sah komuniti pemandu teksi telah mengkritik Shamsubahrin yang bertindak seolah-olah beliau merupakan jurucakap kepada pemandu teksi, lapor Malay Mail.

    Pemandu teksi bertegas bahawa Shamsubahrin bukan wakil mereka, desak isi perbincangan didedah

    Kumpulan berkenaaan yang dikenali sebagai Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) mengadakan perhimpunan di Padang Merbok pagi semalam. Mereka mendesak untuk tahu apa yang dibincangkan antara Loke dan Shamsubahrin, dan akan bertindak sekiranya berterusan dipinggirkan (dari perbincangan berkaitan isu ini).

    “Kamu siapa? Kami ini pemandu-pemandu teksi sebenar dan kami yang sepatutnya berjumpa dengan menteri. Orang ini, Datuk Shamsubahrin, dia bukan wakil kepada pemandu teksi. Kami membantah mengapa Anthony Loke meminta Shamsubahrin untuk bertemu dengan beliau sebagai wakil pemandu teksi,” ujar Fazli Fathil, Presiden Elite Driver Kuala Lumpur, sebuah persatuan di bawah GTSM.

    “Apa yang dibincangkan serta dijanjikan, kami tak tahu langsung. Jika tiada apa-apa dilakukan dalam tempoh 14 hari, kami akan mengemukakan petisyen dan membuat laporan ke SPRM untuk menyiasat perjumpaan itu dan segala hal yang dibincangkan,” tegas beliau.

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol Lebuhraya Utara Selatan dari 20 Dis hingga 2 Jan 2019

    PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol Lebuhraya Utara Selatan dari 20 Dis hingga 2 Jan 2019

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penutupan lorong tambah nilai di semua plaza tol Lebuhraya Utara Selatan mulai hari ini sehingga 2 Januari 2019. Ia ditutup kepada orang ramai bagi melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan.

    Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya memastikan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi menjelang cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2019.

    Menurut PLUS lagi, MyKad yang dilengkapi dengan cip Touch ‘n Go juga boleh digunakan untuk transaksi tol. Pengguna hanya perlu memasukkan tambah nilai dalam kad masing-masing sebelum digunakan untuk membayar tol.

    Selain itu, pengguna boleh menambah nilai di kira-kira 10,000 lokasi di seluruh negara termasuk di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai serbaneka 24 jam atau stesen minyak. Malah pengguna juga boleh menyemak 66 lokasi terpilih Kiosk Layan Diri menerusi aplikasi PLIS Mobile atau portal Touch ‘n Go untuk menambah nilai.

    Malahan pusat khidmat pelanggan PLUS juga akan dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 10 malam bagi membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025