Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Invictus – kereta konsep yang bertanding di Proton & DRB-Hicom U Concept Car Challenge (PD3C)

    Proton Invictus – kereta konsep yang bertanding di Proton & DRB-Hicom U Concept Car Challenge (PD3C)

    Eh, Proton ada buat Preve facelift atau model baru ke? Nanti dulu, sebelum kita bercerita lebih panjang, Proton yang anda nampak ini adalah salah satu peserta pertandingan Proton & DRB-Hicom U Concept Car Challenge (PD3C), yang dianjurkan oleh Proton dan juga Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DRB-Hicom U), diumumkan pada awal tahun ini.

    Pertandingan tersebut disertai oleh 15 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan bagi menghasilkan kereta konsep masa hadapan. Gambar yang diberikan kepada kami oleh pembaca Zheng Yang Ooi di Asia Pacific University (APU) ini digelar sebagai Invictus. Kereta konsep berkenaan mungkin adalah milik universiti tersebut kerana mereka adalah antara yang tersenarai dalam pertandingan PD3C.

    Dari bahagian sisi, jelas bahawa kereta ini diasaskan dari Proton Preve, tetapi menerima ‘otot-otot’ yang lebih lebar pada fender hadapan dan belakang. Mukanya direka lebih garang dengan lampu hadapan tirus ‘disikat’ kebelakang, bersama gril kecil dengan elemen jail bar. Bampar hadapan menerima gril bawah berbentuk ‘mulut’ seperti Iriz, bersama sepasang liang sisi berbentuk segi tiga.

    Bersama ruang roda yang lebih besar, kereta ini turut menerima skirt sisi lebih labuh dan rim berdiameter lebih besar. Kalau anda perasan, tiada lagi pembuka pada setiap pintu, dan mungkin ia boleh dibuka mengunakan penderia atau alat kawalan jauh. Kemasan pada bahagian tingkap pintu belakang juga nampaknya telah direka dengan bentuk lebih tajam.

    Proton Invictus – kereta konsep yang bertanding di Proton & DRB-Hicom U Concept Car Challenge (PD3C)

    Rombakan yang lebih besar dilakukan pada bahagian belakang. Spoiler diletakkan pada bahagian bumbung manakala tiang-D direka bagi menampakkan cermin belakang seakan tenggelam kebawah. Lampu Preve yang besar digantikan dengan jalur lampu yang sangat nipis bersambung dengan jalur pada penutup bonet, manakala perkataan ‘Invictus’ dan logo Proton diletakkan di atasnya.

    Tidak cukup dengan itu, bampar belakang diubah secara keseluruhan, direka seakan (dan mungkin) melekat terus pada badan tanpa boleh dipisahkan, dan turut menempatkan kemasan seakan diffuser tinggi keatas bersama perumah tip ekzos di tengah berbentuk heksagon.

    Proses pengadilan untuk kesemua kereta yang bertanding akan dilakukan pada 6 Disember ini. Pada tarikh berkenaan tentunya pesaing-pesaing Invictus ini turut akan memunculkan diri. Pemenang keseluruhan untuk pertandingan PD3C ini akan diumumkan pada majlis yang akan diadakan pada 8 Disember nanti.

     
     
  • Hankook tunjukkan dua konsep tayar masa hadapan

    Hankook tunjukkan dua konsep tayar masa hadapan

    Semasa acara Essen Motor Show yang berlangsung di Jerman, Hankook Tyre telah menunjukkan dua rekaan tayar masa hadapan hasil daripada projek “Inovasi Rekaan” yang diadakan dua tahun sekali. Untuk projek kali ini, ia diadakan bersama London Royal College of Art dengan konsep “Extending Future Life beyond Mobility”.

    Cabaran yang diberikan kepada pelajar kolej ini adalah untuk membangunkan konsep tayar baru untuk kenderaan autonomous, dan seterusnya memberikan pengalaman menyeluruh yang baru untuk kenderaan masa hadapan. Kriteria yang diambil kira adalah termasuk tarikan kepada pengguna, rekaan serta penggunaan prinsip teknikal yang meyakinkan.

    “Projek ini adalah antara usaha kami untuk mencari penyelesaian yang kreatif dan cekap untuk mobiliti masa hadapan. Dalam tahun-tahun yang lepas, projek ini juga telah memberi sumbangan kepada pembangunan tayar yang lebih inovatif,” kata ketua pusat penyelidikan dan pembangunan Hankook Eropah, Klaus Krause.

    Hankook tunjukkan dua konsep tayar masa hadapan

    Tayar yang anda lihat mempunyai perincian warna biru itu dinamakan sebagai Hexonic. Ia memberi kepentingan kepada keselesaan penumpang dengan ciri istimewa boleh mengimbas serta menganalisa keadaan jalan semasa menggunakan lebih tujuh pengesan. Data itu kemudiannya digunakan untuk mengubah bunga tayar waktu bergerak bergantung kepada cengkaman, suhu serta keadaan permukaan jalan.

    Satu lagi tayar konsep Hankook ini dinamakan sebagai Aeroflow. Keutamaan tayar ini adalah bertentangan dengan Hexonic kerana ia dibangunkan untuk sukan permotoran dan didatangkan sekali dengan rim khas yang mempunyai turbin angin di dalamnya. Hasil daripada itu, tayar ini boleh berubah bentuk menjadi lebih lebar, dan menggunakan aliran angin di dalamnya untuk menghasilkan daya tolakan ke bawah (downforce) yang lebih baik pada kenderaan.

     
     
  • BMW M8 Competition tanpa sebarang penyamaran terdedah sebelum diperkenalkan secara rasmi

    BMW M8 Competition tanpa sebarang penyamaran terdedah sebelum diperkenalkan secara rasmi

    BMW telah pun mendedahkan model 8 Series pada Jun lalu, dan sekarang tentunya peminat sedang menunggu model paling berkuasa dalam barisannya iaitu M8 Competition. BMW sememangnya sedang bersedia untuk melancarkan versi tersebut, tapi sebelum ia didedahkan secara rasmi, nampaknya gambar penuh model berkenaan telah bocor terlebih dahulu di internet.

    Imej-imej ini disiarkan pada laman GermanCarForum. Dapat dilihat bahawa M8 Competition menampilkan ciri-ciri seperti yang diberikan pada M5 Competition dan M2 Competition – rupa lebih garang dengan pelbagai kemasan gentian karbon, dan juga peningkatan pada prestasi.

    Model ini dijangka bakal dijana oleh enjin S63B44T4 4.4 liter V8 dengan dua pengecas turbo dari M5 baharu, dan akan ditala bagi mengekstrak lebih kuasa. Khabar angin yang bertiup mengatakan model Competition ini akan menghasilkan 650 PS, manakala M8 ‘asas’ menjana ‘hanya’ 630 PS. Ini membolehkan M8 Competition memecut dua saat lebih pantas dari M8 versi standard dalam pecutan 0-100 km/j.

    Pada bahagian luaran, M8 Competition diberikan empat tip ekzos seperti model-model M sebenar yang lain. Bahagian seperti penutup cermin sisi, bampar dan spoiler belakang diperbuat daripada gentian karbon. Bumbung karbon akan ditawarkan sebagai opsyen untuk M8 biasa, tetapi diberikan standard untuk model Competition ini, bersama serlahan-serlahan dan rim unik berwarna hitam.

    Bahagian dalam pula, ia hadir dengan panel gentian karbon pada konsol tengah, tempat duduk sport dengan lencana M8, lencana-lencana Competition, tombol gear M serta roda stereng balutan kulit (opsyen Alcantara mungkin akan ditawarkan)

    Selain dari M8 dan M8 Competition ini, Coupe 8 Series buat masa ini telah ditawarkan dalam versi M850i xDrive dan 840d xDrive. Versi Gran Coupe juga sedang dalam pembangunan, tetapi versi M sebenar ini mungkin hanya untuk badan Coupe biasa.

     
     
  • Jeep Gladiator didedah – kuasa hingga 282 hp, 599 Nm

    Jeep Gladiator didedah – kuasa hingga 282 hp, 599 Nm

    Setelah gambar awalnya bocor bulan lalu, sekarang akhirnya Jeep Gladiator telah pun membuat penampilan rasmi. Rupa trak pikap ini sama sahaja seperti Wrangler empat pintu, tetapi di belakangnya ada ruang barangan yang terbuka. Lain-lain ciri masih dikekalkan seperti yang ada pada Wrangler – termasuklah bumbung boleh buka, pilihan soft top atau hard top serta cermin depan boleh dilipat.

    Untuk menggunakan bentuk ini, Jeep menjadikan rangka Gladiator ini 787 mm lebih panjang daripada Wrangler, dan jarak rodanya juga bertambah 492 mm. Perubahan lain adalah termasuk gril dengan jarak jeriji yang lebih lebar untuk memberikan lebih angin kepada enjin, lampu bentuk petak di belakang dan pintu ruang simpanan belakang yang lebar untuk memudahkan pengguna.

    Ruang kargo di belakang ini juga mempunyai cirinya yang tersendiri, seperti lampu bawah rel, soket kuasa yang tertutup (400-watt, 150-volt, tiga mata), tapak mengikat barang bersepadu yang kuat serta Trail Rail Cargo Management System untuk membantu menyusun serta memastikan barang tidak bergerak.

    Bergantung kepada trim yang dipilih (Sport, Sport S, Overland atau Rubicon), ruang kargo ini boleh didapatkan dengan barangan seperti lapik lantai spray-in, pembahagi ruang, penutup atas, pelindung dan juga rel di atas bahagian kargo itu sendiri.

    Sama seperti Wrangler, banyak panel badan Gladiator ini boleh dicabut dengan mudah menggunakan kit asas termasuk cermin hadapan, pintu dan juga bumbung. Bagi bumbung itu sendiri, sekiranya anda tidak suka jenis yang keras seperti biasa, Jeep juga ada menawarkan bumbung fabrik premium Sunrider.

    Dari aspek keselamatan pula, Jeep menawarkan lebih 80 ciri aktif dan pasif yang antaranya termasuk Blind-spot Monitoring, Rear Cross Path Detection, kamera di hadapan, kamera undur dengan garis dinamik, Adaptive Cruise Control dan Electronic Stability Control (ESC) dengan Electronic Roll Mitigation.

    Jeep Gladiator didedah – kuasa hingga 282 hp, 599 Nm

    Bagi enjin, pembeli diberikan dua pilihan iaitu unit petrol V6 3.6 liter Pentastar atau V6 3.0 liter EcoDiesel. Enjin petrol itu menawarkan 285 hp dan 352 Nm tork, dan boleh dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan, manakala enjin diesel itu pula menyediakan 260 hp dan 599 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan sahaja.

    Memandangkan ia keluaran Jeep, maka keupayaan off-road juga wajib ada. Gladiator dilengkapi dengan dua sistem pacuan empat roda (4×4), di mana bagi varian Sport dan Overland, ia mempunyai Command-Trac 4×4 yang menampilkan transfer case dua kelajuan dengan nisbah gear rendah 2.72:1, serta gandar Dana 44 generasi ketiga di hadapan dan gandar belakang dengan nisbah 3.73.

    Varian Rubicon paling atas pula dipasang dengan sistem Rock-Trac 4×4, yang juga datang dengan gandar Dana 44 bersama nisbah “4LO” 4:1, dan ditambah lagi dengan articulation yang lebih baik serta jarak gerak suspensi yang lebih tinggi hasil penggunaan sistem pemutus hubungan sway bar elektronik.

    Semua varian datang dengan nisbah gandar 4.10 di depan dan belakang, serta pengunci differential Tru-Lok, tetapi hanya Rubicon sahaja yang mempunyai kelebihan dengan limited-slip rear differential Trac-Lok (disediakan sebagai pilihan tambahan untuk varian Sport dan Overlord).

    Turut membantu prestasi Gladiator ini dalam kawasan offroad adalah kelengkapan lain seperti cangkuk di depan dan belakang, bampar besi yang boleh dipasang dengan winch (Rubicon sahaja), pelindung bahagian bawah enjin serta rim hingga 17 inci dan tayar offroad 33 inci. Jika itu masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai lagi aksesori prestasi lain daripada Mopar.

    Dalam keadaan standard, Gladiator mempunyai jarak kelegaan dari tanah 281 mm, boleh menarik berat sehingga 3,470 kg dan boleh membawa barangan sehingga 725 kg. Ia akan dikeluarkan oleh kilang jeep di Toledo, Ohio, Amerika Syarikat.

     
     
  • Hyundai mahu lancarkan trak pikap secepat mungkin

    Hyundai mahu lancarkan trak pikap secepat mungkin

    Nampaknya usaha Hyundai bagi menghasilkan trak pikap bukan hanya cakap kosong – menurut laporan Autocar, ketua rekaan Hyundai Motor Group yang baharu iaitu Luc Donckerwolke menyatakan bahawa trak pikap yang dibina berdasarkan konsep Santa Cruz yang dipamerkan di Detroit pada 2015 kini sedang dibangunkan dan akan diperkenalkan “secepat yang mungkin.”

    “Anda sudah lihat pikap (Santa Cruz) di Detroit Auto Show 2015, dan kereta tersebut kini sedang dibangunkan di Hyundai,” kata pereka dari Belgium tersebut. Donckerwolke yang juga merupakan bekas pereka di Lamborghini dan Bentley dan kini menggantikan tempat Peter Schreyer di Hyundai-Kia menyatakan tugasnya di unit rekaan sudah selesai, dan trak pikap tersebut kini dalam proses untuk ke produksi.

    Menurutnya lagi, trak pikap tersebut turut akan dihasilkan dalam versi Kia dengan rekaan luaran dan dalaman yang berbeza, tetapi ia masih dalam pertimbangan dan akan diperkenalkan kemudian.

    Hyundai mahu lancarkan trak pikap secepat mungkin

    Laporan ini turut menyebut bahawa trak pikap Hyundai tersebut berkemungkinan akan dilancarkan pada tahun 2020, tetapi belum dapat dipastikan sama ada ia akan dihasilkan sebagai trak pikap ‘kompak’ satu-tan seperti Toyota Hilux dan Nissan Navara, atau trak bersaiz penuh seperti model-model Amerika, Ford F-150 dan Chevrolet Silverado.

    Namun dari segi permintaan, trak pikap bersaiz sederhana lebih mendapat permintaan tinggi dari seluruh dunia. Nissan Navara dan Mitsubishi Triton misalnya, walaupun ia dihasilkan di ASEAN dengan kilang di Thailand, ia turut mendarat di Eropah namun dengan lencana jenama lain. Navara telah dijelmakan sebagai Renault Alaskan dan versi lebih mewah Mercedes-Benz X-Class, manakala Triton pula mengenakan logo Fiat dengan nama Fullback untuk pasaran Eropah.

    Hyundai dilihat berjaya meyakinkan pasaran Eropah dan Amerika Syarikat dengan kereta-kereta jenamanya. Tetapi untuk trak pikap, ia adalah satu segmen berlainan dan ia sering kali dikaitkan dengan elemen lasak dan tahan lama, manakala Hyundai pula kuat dalam aspek ‘gaya hidup’. Jadi adakah jenama Korea ini boleh berjaya dalam segmen berkenaan? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen.

    GALERI: Model konsep Hyundai Santa Cruz 2015

     
     
  • Data jualan Oktober 2018 di M’sia mengikut jenama – Perodua catat kenaikan 106.2%, Proton atasi Toyota

    Data jualan Oktober 2018 di M’sia mengikut jenama – Perodua catat kenaikan 106.2%, Proton atasi Toyota

    Selepas menyaksikan penurunan jualan pada September 2018 – antaranya disebabkan berakhirnya tempoh bebas cukai GST untuk kenderaan – suasana bulan Oktober kembali memberikan harapan yang positif dengan mencatatkan peningkatan. MAA telah mengeluarkan laporan jualan bulanan, dan Oktober memperlihatkan peningkatan keseluruhan sekitar 35%.

    Jika dilihat dari sudut pecahan mengikut jenama pula, pemain-pemain utama dalam pasaran nampaknya menikmati kelebihan paling ketara, misalnya bagi jenama kenderaan massa yang menduduki lima tangga teratas.

    Nombor satu, seperti biasa masih lagi dipelopori oleh Perodua. Ini bukan perkara baru. Tetapi peningkatan yang berjaya dicatatkan syarikat ini melangkaui pencapaian jualan syarikat-syarikat lain dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 106.2% (19,528 unit) berbanding bulan September (9,471 unit).

    Tangga kedua masih menjadi milik Honda dengan jualan sebanyak 7,246 unit. Ini bersamaan dengan peningkatan 46% berbanding bulan September 2018 dengan angka jualan yang lebih rendah, 4,964 unit. Proton pula masih ditempat ketiga – mengatasi Toyota – dengan jualan 5,093 unit, bersamaan kenaikan 12.6% berbanding bulan sebelumnya.

    Data jualan Oktober 2018 di M’sia mengikut jenama – Perodua catat kenaikan 106.2%, Proton atasi Toyota

    Toyota, walaupun masih berada di belakang Proton, berhasil mencatatkan peratusan yang agak tinggi, dengan kenaikan 57.8% berbanding September 2018 – dari 3,015 unit kepada 4,757 unit. Nissan pula menduduki satu tangga di belakang Toyota dengan kenaikan jualan sebanyak 497 unit kenderaan.

    Beberapa lagi jenama yang menikmatik peningkatan peratusan jualan adalah seperti Mazda (+37.4%) dan Volkswagen (+50.8%). Sementara itu, beberapa lagi jenama kenderaan penumpang lain bagaimanapun mencatatkan penurunan. Antaranya adalah seperti Ford (-15.7%), Peugeot (-12.7%) dan Subaru (-34.0%).

    Bagi barisan jenama premium utama dalam pasaran tempatan pula, Mercedes-Benz yang mencatatkan peningkatan – sebanyak 72.9%, dari 532 unit kepada 920 unit. Volvo juga mengikut corak peningkatan yang sama, dengan peratusan 26.4% lebih tinggi, dari 87 unit kepada 110 unit pada Oktober lalu.

    Lain-lain jenama selebihnya menyaksikan penurunan, seperti; BMW (-7.9%), MINI (-23.1%) dan Lexus (-45.5%). Berdasarkan perkembangan ini, rasanya bagaimana prestasi pasaran automotif tempatan menuju penghujung tahun 2018?

     
     
  • Produksi bagi Peugeot 308 kini cecah satu juta unit

    Produksi bagi Peugeot 308 kini cecah satu juta unit

    Pada 27 November 2018, sejumlah 10,000 kakitangan di kilang PSA Sochaux telah meraikan produksi bagi model SUV Peugeot 3008 yang ke 500,000 unit dan paling penting Peugeot 308 yang kini mencecah satu juta unit pengeluaran. Kedua-dua model tersebut diproduksi di kilang yang sama, dan digelar ‘cradle of the Lion brand’, atau warga Perancis menggelarkannya sebagai ‘Origine France Garantie’.

    Dilancarkan sejak Oktober 2016, 3008 merupakan model yang paling sukses buat Peugeot. Buat masa ini, ia merupakan kenderaan ketiga tertinggi dalam jualannya di Perancis pada 2018 – bersama 2008 dan 5008, Peugeot mendahului kategori SUV di Eropah dalam jualan.

    Malah 3008 juga merupakan pendahulu dalam kategori SUV segmen-C, dan menjadi antara model paling popular untuk semua kategori bagi pendaftaran kereta penumpang di Perancis. Malah ia turut menerima 63 anugerah, termasuk Kereta Tahunan Paling Prestij 2017 dan Kereta Tahunan Eropah 2017.

    Seterusnya, produksi bagi 308 akhirnya mencecah satu juta unit. Kenderaan segmen-C generasi kedua ini diperkenalkan lima tahun lalu iaitu pada 2013, dan buat masa ini mendahului carta jualan dalam kategorinya di Perancis. Tidak mengejutkan, ia menduduki tempat ketiga (di belakang 3008) dalam keseluruhan pendaftaran kereta penumpang di Perancis.

    Kedua-dua 308 dan 3008 dibangunkan oleh pasukan projek yang berpusat di Sochaux R&D, dan diuji di litar Sochaux/Belchamp Experimentation Centre. 308 telah diproduksi pada kadar 860 unit sehari dan lebih 1,00 0 unit sehari bagi 3008 dalam tujuh hari seminggu.

    Kilang Sochaux dijangka memproduksi hampir 500,000 kenderaan tahun ini. Sejak memulakan operasi, fasiliti ini telah memproduksi lebih 23 juta kenderaan, terutamanya untuk jenama Peugeot.

     
     
  • SsangYong Rexton DKR dibina untuk Rali Dakar 2019

    SsangYong Rexton DKR dibina untuk Rali Dakar 2019

    Selepas menunjukkan prestasi baik dalam Rali Dakar 2018 menggunakan jentera yang dibuat daripada model Tivoli, SsangYong kini mendedahkan pula jentera untuk tahun depan. Kali ini, syarikat dari Korean Selatan tersebut menggunakan pula asas daripada Rexton, dengan model yang akan bersaing dalam rali paling mencabar itu dinamakan sebagai Rexton DKR.

    Ia dibina oleh SsangYong Motorsport di Sepanyol, dan menampilkan badan seperti buggy padang pasir, dengan beberapa ciri rekaan SUV Rexton masih dikekalkan. Ini termasuk gril heksagon, lampu utama yang besar serta logo pada kenderaan tersebut.

    Selain daripada itu, semua bahagian pada jentera rali ini dibina khas untuk memastikan ia kuat, pantas dan ringan untuk bersaing dalam kelas T1-3 (kenderaan petrol pacuan dua roda). Ia dikuasakan oleh enjin lumba V8 yang mampu menghasilkan 450 hp, dan kuasa ini disampaikan ke roda belakang. Berat keseluruhan Rexton DKR adalah 1,900 kg, dan ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat.

    SsangYong Rexton DKR dibina untuk Rali Dakar 2019

    Demi memastikan pembahagian berat yang seimbang, enjin V8 ini diletakan di tengah, antara dua gandar yang ada. Enjin ini juga datang dengan sistem MoTeC, seterusnya membolehkan pemetaan enjin dilaras waktu sedang bergerak, manakala bahan api pula terletak dalam tangki Lightweight Pyrotect.

    Untuk memindahkan kuasa dari enjin ke tayar dan seterusnya atas jalan, jentera ini menggunakan kotak gear sequential enam kelajuan Sadev SL90-23, yang dibantu oleh klac seramik tiga cakera yang boleh bertahan sehingga 1,500 Nm tork, serta differential boleh kunci sendiri Torsen.

    Badan Rexton ini dilekatkan atas casis tiub besi bulat yang dibuat daripada chrome-molybdenum, dan dikimpal menggunakan TIG bagi memberikan ketegaran yang baik. Seterusnya pada casis itu terdapat suspensi lengan berkembar dengan penyerap hentak King serta spring penyambung helical. Kerja membrek pula dijalankan oleh unit prestasi tinggi daripada AP Brakes dan rim menggunakan unit aloi Raceline yang dibalut dengan tayar Yokohama Geolander.

    Rexton DKR akan dipandu oleh pelumba Sepanyol, Óscar Fuertes, bersama Diego Vallejo sebagai pembantu dan ini adalah pasukan sama yang telah menggunakan Tivoli dalam Rali Dakar tahun lepas. Cuma kurang daripada separuh kenderaan yang menyertai rali ini berjaya menghabiskan keseluruhan perlumbaan, tapi mereka pula adalah pasukan rookie kedua yang menamatkan perlumbaan, dan mendapat tempat ke-32 secara keseluruhan.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi Oktober 2018

    MAA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi Oktober 2018

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan data jualan serta pengeluaran kenderaan di Malaysia bagi bulan Oktober 2018; ia menunjukkan peningkatan jika dibanding bulan September, berikutan berakhirnya tempoh bebas cukai GST dari Jun-Sept lalu.

    Keseluruhannya, 42,273 unit kenderaan diserahkah sepanjang Oktober lalu, bersamaan dengan peningkatan 35.31% (silap dinyatakan sebagai 51% oleh MAA di dalam siaran medianya). Ini berbanding sejumlah 31,241 unit yang direkodkan pada September lalu. Jualan bulan Oktober tahun ini juga 0.5% atau 232 unit lebih tinggi bagi bulan sama pada 2017.

    MAA memaklumkan peningkatan jualan ini berlaku kerana adanya stok tersedia, selepas stok kenderaan kebanyakannya menyusut dihujung tempoh bebas cukai sebelum ini disebabkan permintaan tinggi.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat Oktober pula mencatatkan angka 502,244 unit, peningkatan 6.25% daripada 472,719 unit kenderaan yang didaftarkan bagi tempoh sama tahun lalu. Bagi November, MAA menjangkakan angka jualan akan sedikit lebih baik, disumbangkan oleh pelancaran model-model baru dan kempen promosi akhir tahun yang semakin giat.

     
     
  • Proton jual 4,820 unit kereta pada Nov ’18, naik 10.2%

    Proton jual 4,820 unit kereta pada Nov ’18, naik 10.2%

    Dua bulan berturut-turut Proton telah mencatatkan rekod jualan yang memberangsangkan dengan 4,820 unit kereta terjual pada November 2018, walau bagaimana pun kurang 273 unit berbanding 5,093 unit pada Oktober lalu. Rekod jualan pada November 2018 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 10.2% jika mengikut pegangan pasaran pada peratusan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), walau bagaimana angka ini hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Menurut Proton, strategi mengekalkan harga yang menarik pada bulan November serta dasar harga tanpa SST di mana yyarikat akan menyerap jumlah cukai untuk kesemua modelnya antara faktor yang menyumbang peningkatan jualan ini. Selain promosi yng menarik dan sokongan daripada para pelanggan.

    “Proton meneruskan dasar harga tanpa SST untuk semua model semasa bagi memudahkan pelanggan memiliki kereta Proton. Kami turut membawa jenama syarikat untuk lebih mudah didekati dengan menyertai aktiviti-aktiviti seperti siri jelajah dan karnival, sekaligus menyediakan lebih banyak saluran untuk melihat, menguji dan membeli kereta Proton.

    “Akan tetapi, pada bulan November juga terdapat kekangan sumber yang telah mengehadkan bilangan kereta yang dapat kami hasilkan. Justeru, dengan peningkatan jualan keseluruhan kami berbanding bulan yang sama pada tahun 2017, syarikat ingin memohon maaf kepada semua pengedar kerana tidak dapat memenuhi komitmen kami,” ujar Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Untuk meraikan kemenangan S1K 2018 baru-baru ini, sepanjang Disember 2018, Proton menganjurkan promosi “Rebat Juara” dengan menawarkan rebat sehingga RM3,000 untuk empat buah modelnya iaitu Proton Ertiga, Iriz, Persona dan Saga.

    “Kemenangan Proton dalam S1K 2018 menggunakan Proton Iriz membuktikan kelajuan dan pengendalian yang ada dalam setiap model Proton. Ia turut mempamerkan kebolehan kereta kami di mana pemenang perlu mengharungi 1,000 km pemanduan yang sukar dalam situasi perlumbaan. Proton percaya akan nilai sukan permotoran yang memberi manfaat kepada jenama dan produk jadi kami akan terus mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan di masa hadapan bersama pasukan R3 Proton,” tambah Rashid lagi.

    Dalam penganjuran Kuala Lumpur International Motorshow 2018 (KLIM18) baru-baru ini, Proton juga telah mengumumkan bakal melancarkan model SUV yang dinanti-nanti, Proton X70 pada 12 Disember ini. Malah turut mengumumkan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP yang dicapai oleh X70 dalam pusingan ujian dan pengkelasan EEV yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Dalam perkara lain, Rashid turut memaklumkan sepanjang Disember ini hingga akhir Februari 2019, Proton juga menawarkan pemeriksaan keselamatan 18-mata percuma untuk semua modelnya di pusat servis yang diiktiraf. Promosi telah bermula pada 4 Disember dan diteruskan sehingga akhir bulan Februari 2019 untuk merangkumi hari terakhir cuti sekolah, perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

     
     
  • Mazdaspeed 3 generasi baharu tidak akan dihasilkan, nasib pengganti Mazda RX-8 belum lagi diketahui

    Mazdaspeed 3 generasi baharu tidak akan dihasilkan, nasib pengganti Mazda RX-8 belum lagi diketahui

    Pada era 80’an dan 90’an, selain dari kereta sport dengan enjin rotary, Mazda turut menghasilkan hot-hatch berdasarkan model Familia 323 seperti B6 Clair dan juga B8 Interplay GT-R. Kemudian tahun 2007, hot-hatch dengan prinsip serupa dihasilkan diasaskan dari Mazda 3 generasi pertama digelar Mazdaspeed 3 atau Mazda 3 MPS, dijana enjin 2.3 liter turbo menghasilkan 267 ps/380 Nm.

    Model berkenaan diteruskan pada Mazda 3 generasi kedua dengan enjin yang sama, namun ia tidak lagi dihasilkan pada Mazda 3 generasi ketiga. Adakah Mazdaspeed 3 akan dihasilkan untuk model generasi keempat Mazda 3 yang baru sahaja didedahkan lewat bulan lepas? Jawapannya, tidak.

    Menurut laporan Drive, Presiden dan CEO Mazda, Akira Marumoto mengesahkan bahawa syarikatnya tidak akan menghasilkan model sedemikian. “Mazda merupakan pemain kecil dan jika [anda bertanya adakah] segmen tersebut mempunyai kepentingan yang tinggi untuk Mazda jawapan dari saya adalah tidak. Jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan MPS pada masa akan datang,” katanya.

    Marumoto menjelaskan bahawa walaupun elemen “keseronokan memandu” merupakan salah satu falsafah dalam Mazda Zoom Zoom, syarikatnya lebih menumpukan pada aspek bagi memberikan alternatif premium terhadap model-model saingannya dari Eropah. Jadi, Mazda kini sedang menumpukan pada aspek kualiti yang lebih baik, keselesaan dan memperhalusi barisan model-modelnya berbanding mewujudkan satu lagi segmen lain.

    Mazdaspeed 3 generasi baharu tidak akan dihasilkan, nasib pengganti Mazda RX-8 belum lagi diketahui

    Boss Mazda tersebut turut diajukan persoalan berkenaan adakah kereta sport dua pintu dengan enjin rotary yang akan menggantikan model-model seperti RX-7 dan RX-8 akan dibina berdasarkan model konsep Mazda RX Vision? Beliau menjawab “masih belum diputuskan”.

    “RX Vision merupakan satu model visi untuk pembangunan rekaan jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan versi produksi atau komersial untuk model ini. Saya menerima soalan [sama ada kami akan membuat kereta sport dengan enjin rotary] mungkin sudah 100 kali, dan saya tidak akan meneruskannya. Ia merupakan impian untuk semua eksekutif dan pekerja Mazda dan ia adalah tanggungjawab saya untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan,” katanya sambil berseloroh.

    Mazda telah mengesahkan sebelum ini bahawa mereka akan membawa semula enjin rotary ke pasaran tidak lama lagi, tetapi bukan sebagai enjin yang menjana sebuah kereta sport, sebaliknya digunakan sebagai enjin penambah jarak (range extender) pada model hibird elektrik. Enjin tersebut akan bertindak seperti sebuah ‘generator pasar malam’ bagi mengecas bateri sistem hibrid, manakala roda akan dipacu sepenuhnya oleh hanya motor elektrik.

    GALERI: Mazda 3 hatchback 2019

    GALERI: Model konsep Mazda RX Vision

     
     
  • Petron Malaysia catat peningkatan keuntungan 29%, menjadi RM3.3 bilion bagi tempoh suku ketiga 2018

    Petron Malaysia catat peningkatan keuntungan 29%, menjadi RM3.3 bilion bagi tempoh suku ketiga 2018

    Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) dilaporkan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29% pada suku ketiga (Q3) tahun ini dengan memperoleh RM3.3 bilion, berbanding RM2.56 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Syarikat tersebut menyifatkan ia disumbangkan oleh prestasi yang baik untuk harga minyak yang lebih tinggi dan pertumbuhan dalam jumlah jualan.

    Jumlah jualan Petron untuk Q3 2018 meningkat dengan lebih 100,000 tong tahun ke tahun kepada 9.1 juta tong walaupun permintaan menurun dari sektor komersil. Benchmark Brent mentah mencecah US$75 setong pada suku itu, 44% lebih tinggi daripada purata US$52 setong pada suku yang sama tahun lepas.

    Walaupun keuntungan kasar kekal kukuh pada RM186 juta dalam suku tahun ini, ia lebih rendah daripada RM218 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2017 apabila perbezaan harga antara minyak mentah dan produk siap adalah lebih baik. Malah ia juga membawa kepada pendapatan bersih yang lebih rendah sebanyak RM85 juta berbanding RM106 juta pada suku yang sama tahun lepas.

    “Kami kekal optimistik bahawa kami akan mengakhiri tahun ini dengan rekod yang lebih memberangsangkan. Kami berada di landasan yang betul dengan mensasarkan program strategik kami bagi mendapatkan lebih ramai pelanggan dan dalam masa yang sama memberikan pengalaman yang lebih baik kepada mereka. Kami akan meneruskan perkembangan runcit dan logistik sambil meningkatkan kecekapan dalam rantaian bekalan kami,” ujar pengerusi PMRMB Ramon S. Ang.

     
     
  • GPX Racing Mad 300, Gentleman Racer 200, Demon 150GR baru dilancar di Thailand – harga dari RM8k

    GPX Racing Mad 300, Gentleman Racer 200, Demon 150GR baru dilancar di Thailand – harga dari RM8k

    Sebelum ini, kami pernah melaporkan GPX Racing, iaitu satu jenama motosikal dari Thailand akan membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia. Kami tidak pernah menerima jemputan pelancarannya tapi di dalam laman web jual beli terkenal Malaysia dan media sosial, ternyata ia sudah mula dijual. Yang kami nampak adalah model Gentleman 200 dengan harga sekitar RM11k.

    Di negara asalnya, GPX Racing telah melancarkan tiga lagi model baru iaitu Mad 300, Gentleman Racer 200 dan juga Demon 150GR versi terkini tahun 2019. Harganya masing-masing di sana adalah 89,800 baht (RM11,423), 72,500 baht (RM9,222) dan 64,500 baht (RM8,205). Walaubagaimanapun ini adalah harga istimewa yang diberikan waktu pameran Bangkok Motor Expo yang sedang berlangsung sekarang.

    Mad 300 adalah sebuah model baru yang diperkenalkan oleh GPX Racing dan kini ia adalah model paling berkuasa yang ditawarkan oleh jenama itu. Ia dikuasakan oleh enjin satu silinder 292 cc penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Ia dihasilkan dengan gaya sebuah motosikal naked, dan datang dengan kelengkapan lain seperti lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api 15.5 liter, kerangka Trellis, fork USD di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci, meter jenis digital, brek cakera berkembar di hadapan dan brek cakera tunggal di belakang.

    Pergi kepada Gentleman Racer 200 pula, ini adalah satu versi baru kepada Gentleman 200 (enjin 197 cc dan transmisi enam kelajuan), di mana asasnya adalah sama, tetapi diberikan dengan fairing separuh seperti cafe racer klasik. Keistimewaan lain model ini adalah ia menggunakan tempat duduk dibalut dengan kain bercorak kevlar, penutup tempat duduk belakang, monoshock belakang YSS, tayar Pirelli bersaiz 110/17 di hadapan, 140/70 di belakang dan meter digital.

    Selain daripada dua model baru ini, GPX Racing turut memperkenalkan Demon 150GR yang disegarkan semula. Ia ditawarkan dengan grafik baru yang boleh dipilih dalam tiga warna iaitu kuning, merah dan hitam. Kelengkapan lain model ini masih lagi sama termasuk enjin 149 cc SOHC dan padanan transmisi enam kelajuan, fork USD di hadapan, meter digital, brek cakera tunggal di depan dan belakang dan tangki bahan api 8.0 liter.

    GALERI: GPX Racing Mad 300

    GALERI: GPX Racing Gentleman Racer 200

    GALERI: GPX Racing Demon 150-GR 2019

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class sedan W213 facelift

    SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class sedan W213 <em>facelift</em>

    Mercedes-Benz E-Class W213 sudahpun berada sekitar dua tahun dalam pasaran, dan tidak lama lagi pastinya versi yang disegarkan semula akan diperkenalkan. Model berkenaan nampaknya sudahpun mula diuji, dan jurugambar intipan kami di Stuttgart, Jerman telah pun berjaya menangkap imej-imej awalannya

    E-Class facelift tersebut nampaknya akan diberikan muka baharu dengan konsep rekaan hampir sama dengan A-Class generasi baharu – menampilkan lampu hadapan yang tirus dengan lampu nyalaan siang seperti anak panah, bersama gril radiator berbentuk trapezoid.

    Bahagian belakang model prototaip ujian ini pula nampaknya masih mengenakan penyamaran yang berat, menyukarkan untuk kita mengagak apa disebaliknya. Berkemungkinan ia akan menerima bampar yang dirombak, bersama lampu belakang LED dengan grafik yang direka semula.

    SPYSHOT: Mercedes-Benz E-Class sedan W213 <em>facelift</em>

    Untuk bahagian dalaman, setakat ini E-Class telah pun menerima berberapa perubahan kecil dengan ciri-ciri dari C-Class facelift seperti roda stereng yang direka semula dan juga kemaskini pada sistem infotainmen. Manakala sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) seperti pada A-Class generasi baharu tidak akan diberikan pada model ini kerana ia akan melibatkan perubahan keseluruhan sistem pendawaian.

    Barisan enjin juga dijangka kekal pada model facelift tersebut. Buat masa ini E-Class dijana enjin 2.0 liter turbo petrol berkuasa 299 hp pada model E 350 dan juga enjin-enjin 2.0 liter turbo diesel berkuasa 150 hp pada E 200 d, 194 hp pada E 220 d dan 245 hp pada E 300 d. Model turbodiesel lebih bertenaga ditawarkan pada versi E 350 d berkuasa 286 hp dan E 400 d berkuasa 340 hp – kedua-duanya diberikan enjin enam silinder 3.0 liter.

    Model lebih mesra alam E 300 e berkuasa 320 hp dan E 300 de berkuasa 306 hp ditawarkan dengan sistem hibrid plug-in, di mana kedua-duanya mampu untuk bergerak sejauh 50 km dengan menggunakan hanya kuasa elektrik. Versi berprestasi tinggi juga dijangka tidak berubah dengan AMG E 53 menerima enjin 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder menjana 435 hp/520 Nm, dan AMG E 63 dikuaskan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar menghasilkan 571 hp/750 Nm (612 hp/850 Nm untuk E 63 S).

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona facelift guna gril mirip X70?

    SPYSHOT: Proton Persona <em>facelift</em> guna gril mirip X70?

    Nampaknya bukan setakat Proton Iriz yang sedang dipersiap untuk muncul dengan penampilan terbaru. Kereta sedan Proton Persona juga bakal menerima kemaskini yang lebih segar, dan sudah dilihat sedang diuji, seperti yang dikongsikan seorang pembaca, Faiz Suparman ini.

    Dalam foto yang sempat dirakam, Proton Persona berkenaan dilihat mengenakan pelekat samaran pada bahagian depan dan belakang. Dan, seperti yang dapat dilihat, gril serta bahagian bawah bampar akan menerima rekaan baru; ruang dan lampu utama dikekalkan seperti sebelumnya.

    Rekaan gril juga banyak berubah, daripada jalur yang merentangi antara dua hujung ke bahagian lampu, gril baru ini menerapkan rekaan bentuk V yang terbahagi antara dua sisinya. Kemasan perincian pada gril ini juga kalau diperhatikan adalah sama seperti corak “Infinite Weave” yang ada pada SUV X70.

    SPYSHOT: Proton Persona <em>facelift</em> guna gril mirip X70?

    Perhatikan juga bahawa gril yang terlihat pada model Persona ini sebenarnya agak berlainan dari rekaan gril yang pernah dilihat pada Proton Iriz dengan samaran sebelum ini. Persona ini mempunyai satu lagi elemen jalur krom di atas lampu yang bersambung ke bahagian grilnya.

    Susunan elemen pada bahagian bawah bampar pada Persona dengan samaran ini nampak lebih konvensional berbanding model sedia ada. Bukaan utama padanya kelihatan dikecilkan, mungkin bersambung dengan bahagian masukan udara, yang nampak lebih besar. DRL LED juga boleh dilihat, menjadi tambahan terbaru di situ.

    Apa yang boleh dicadangkan oleh pembaharuan yang dapat dilihat ini? Kemungkinannya adalah, Persona akan tampil dengan imej yang lebih bersahaja sebagai sebuah sedan – terutama dari wajah depannya – sementara Iriz pula akan menjadi model dengan imej yang lebih sporty, sesuai dengan rekabentuk hatchback dan keperluan dalam segmen B yang dihuninya. Rim Persona ini pula mempunyai lapan jejari, manakala Iriz pula 10 jejari.

    Di belakang, model dengan samaran ini kekal dengan rekaan lampu yang sama, spoiler kecil serta kemasan melintang yang menghubungkan lampu di dua sisinya. Kedudukan lampu kabus dan reflektor pada model sedia ada juga berada pada kedudukan yang setara, namun tidak lagi pada model samaran ini.

    Persona yang ada dalam pasaran ketika ini telah dilancarkan pada 2016, kira-kira dua tahun setengah usianya ketika ini. Sesuai untuk diberikan facelift, memandangkan beberapa model pesaingnya seperti Honda City sudah diberi penampilan baru pada 2017. Toyota Vios baru pula akan masuk pasaran tak lama lagi, jadi kita boleh jangkakan Persona facelift ini akan diperkenalkan dalam masa yang tak berapa lama lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025