Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KLIMS18: Ford Mustang facelift buat penampilan – 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost akan dijual tahun depan

    KLIMS18: Ford Mustang <em>facelift</em> buat penampilan – 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost akan dijual tahun depan

    Ford Mustang facelift sudah muncul buat pertama kali di Malaysia, dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) turut mengesahkan model ini akan mula dijual di sini tauhn hadapan. Mustang ketika ini sedang dipamerkan di KLIMS 2018. Untuk pasaran tempatan, varian yang akan ditawarkan nanti sama seperti sebelumnya – 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost.

    Versi facelift ini menampilkan beberapa perubahan luaran, antaranya termasuk bahagian gril, bampar, bonet dan fender yang menerima rekaan baru yang lebih segar. Mustang juga kini dilengkapi dengan sistem lampu LED sebagai ciri standard, termasuk elemen LED lainnya pada DRL, lampu isyarat dan lampu kabus.

    Di belakang, yang berubah termasuk rekaan lampunya, juga dengan bampar baru serta diffuser hitam baru dengan hujung ekzos yang direka semula – EcoBoost hadir dengan dua muncung corong manakala bagi GT dengan empat hujung ekzos.

    KLIMS18: Ford Mustang <em>facelift</em> buat penampilan – 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost akan dijual tahun depan

    Ruang dalaman pula diberikan sentuhan lebih premium. Konsol tengah misalnya datang dengan balutan tangan dengan benang kontras, sementara penyudah bahagian pemegang pintu serta kemasan perincian lainnya daripada aluminium.

    Selain daripada paparan 8.0-inci dengan sistem infotainmen Sync 3, Mustang kini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital 12-inci dengan tema boleh ubah berdasarkan mod pemanduan – Normal, Sport dan Track serta MyMode (pemandu tentukan sendiri kombinasi talaan yang diinginkan).

    Enjin pula masih sama, dengan unit 2.3 liter EcoBoost dan 5.0L Coyote V8 terdahulu – tetapi dengan angka janaan kuasa yang dipertingkat. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan sistem suntikan terus tekanan tinggi berkembar serta port suntikan minyak tekanan rendah yang baru bagi V8.

    KLIMS18: Ford Mustang <em>facelift</em> buat penampilan – 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost akan dijual tahun depan

    Di pasaran Amerika, janaan kuasa yang dihasilkan ialah 460 hp dan 569 Nm; naik sedikit berbanding model sedia ada (435 hp/542 Nm). Namun, pasaran Malaysia mungkin akan menerima versi output 453 hp dan 556 Nm seperti di Australia.

    Bagi enjin 2.3L EcoBoost, kuasanya sama seperti sebelum ini (310 hp), tetapi tork naik sedikit kepada 475 Nm berbanding 434 Nm dahulu. Unit di Australia pula menerima unit yang menjana 441 Nm. Perubahan paling utama ialah penggunaan sistem transmisi 10R80 10-kelajuan dari Ford yang menggantikan unit 6R80 SelectShift enam-kelajuan dari ZF.

    Lagi ciri baru termasuk mod Drag Strip, yang bertindak mengelakkan kehilangan masa ketika penukaran gear, serta menggabungkan mod Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet yang ada. Peningkatan mekanikal lainnya termasuk penggunaan penyerap hentak baru yang memberikan kendalian lebih padu, serta penggunaan sambungan pasak bersilang pada suspensi belakang untuk meningkatkan keteguhan lateral.

    Turut diperkenalkan ialah sistem ekzos dengan injap aktif, standard pada versi GT, yang membolehkan nada ekzos diubah. Unit yang akan dipamerkan seperti yang anda lihat ini hadir sekali dengan pakej GT Performance. Ini antaranya termasuk di dalamnya ialah rim 19-inci Ebony Black dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/40 di depan dan 275/40 di belakang. Brek kaliper Brembo enam-piston bahagian depan sebelum ini juga masih dikekalkan.

     
     
  • KLIMS18: Kia Cerato generasi baru muncul di Malaysia

    KLIMS18: Kia Cerato generasi baru muncul di Malaysia

    Kia Cerato (juga dipanggil sebagai Forte atau K3 di pasaran tertentu) generasi ketiga (BD) kini sedang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018), dan ia muncul setelah pertama kali diperkenalkan di persada global Januari lalu di Detroit.

    Daripada aspek penggayaan, Cerato baru ini melihatkan banyak perubahan jika dibandingkan dengan model yang dijual sekarang. Bahagian hadapannya mempunyai gril ‘tiger nose‘ yang versi terbaru, dan dipadankan dengan lampu utama yang lebih kemas dan mempunyai lampu siang LED empat garis di dalamnya.

    Bahagian hujung bampar, selain menempatkan bukaan udara, turut diletakkan dengan lampu penunjuk arah, manakala lampu kabus pula diletakkan lebih ke tengah. Konsep rekaan depan ini turut digunakan pada bahagian belakang, di mana lampu undur dan lampu penunjuk arah diletakkan berasingan daripada lampu belakang utama.

    Melihat kepada profail, Cerato baru ini diterapkan dengan bentuk lebih seperti fastback, hasil daripada dinding pembahagi bahagian enjin yang ditolak lima inci ke belakang, dan dipasang dengan hud yang lebih panjang dan dek belakang lebih pendek. Untuk unit pameran ini, Kia Malaysia telah membalutnya dengan pelekat krom dan dipasang dengan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/55.

    Sekiranya anda nampak Cerato baru ini lebih besar, ia memang benar kerana panjangnya kini bertambah 81 mm menjadi 4,640 mm, lebar bertambah 18 mm menjadi 1,798 mm dan tinggi bertambah 12.7 mm menjadi 1,440 mm. Dengan itu, ruang kaki dan simpanan di belakang juga bertambah besar, menjadi 428 liter.

    Walaupun tiada gambar bahagian dalam sebenar yang dapat kami ambil, kita boleh merujuk kembali Cerato yang didedahkan di pasaran dunia, di mana rekannya memang diubah sepenuhnya. Ia kelihatan lebih kontemporari dan di tengahnya terdapat panel paparan besar untuk sistem infotainmen.

    Tiada sebarang kenyataan enjin apakah yang digunakan untuk Cerato pameran ini, tetapi di Amerika Syarikat, ia boleh didapati dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter Nu generasi kedua, yang dipadankan dengan sama ada kotak gear manual enam kelajuan atau automatik Intelligent Variable Transmission (IVT) baru.


    GALERI: Kia Forte generasi baru di Detroit

     
     
  • KLIMS18: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan Electric – model enjin petrol mungkin dilancar pada Mei 2019

    KLIMS18: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan Electric – model enjin petrol mungkin dilancar pada Mei 2019

    Didedahkan pada pertengahan tahun lalu, kemudian kami jumpa depan mata di Singapura awal tahun ini, dan akhirnya SUV segmen-B Hyundai Kona kini mendarat di Malaysia. Crossover kompak tersebut kini sedang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung di MITEC, tetapi ia hanya diprebiu terlebih dahulu, manakala pelancarannya di sini berkemunginan bulan Mei tahun hadapan.

    Dua versi ditayangkan pada acara berkenaan iaitu 1.6 liter turbo petrol dengan sistem suntikan terus (T-GDI) dan juga versi elektrik sepenuhnya – model tanpa enjin petrol berkenaan adalah lebih kepada untuk menunjukkan teknologi yang ada pada Hyundai, dan bukan sebagai petunjuk ia akan dijual di sini.

    Kona merupakan crossover yang akan berhadapan dengan Toyota C-HR, Honda HR-V dan juga Mazda CX-3 sekiranya masuk ke Malaysia kelak. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

    SUV ini menampilkan rekaan yang agak tersendiri berbanding saingannya yang lain, dengan lampu nyalaan siang tirus diletakkan pada bahagian atas, manakala lampu utamanya terletak pada bahagian bampar – rekaan unik dengan konsep seperti ditampilkan pada Citroen C4 Cactus. Ia turut menampilkan gril signatur “cascading” seperti model-model terkini Hyundai.

    Susunan yang sama turut boleh dilihat pada bahagian belakang dengan menampilkan lampu tirus pada bahagian atas, dan juga lampu kombinasi lain pada bahagian bawah. Menurut Hyundai, karekter unik pada Kona ini adalah hasil gabungan rekaan lampu-lampu yang digelar “lampu komposit”, gril “cascading” dan juga rekaan badan yang seolah-olah diberikan perisai. Kona turut diberikan tema warna dua-tona yang membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung.

    Kona ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm (dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, 0-100 km/j dalam 10 saat dan kelajuan maksima 194 km/j), manakala di Eropah dan Singapura, ia hadir dengan enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana 120 PS/172 Nm dan pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 12 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 181 km/j.

    KLIMS18: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan Electric – model enjin petrol mungkin dilancar pada Mei 2019

    Model berwarna Lime Green yang dibawa ke KLIMS 2018 ini pula adalah versi enjin petrol turbo Gamma 1.6 T-GDI berkuasa 177 PS/265 Nm dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Dengan janakuasa tersebut, ia mampu untuk memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa hanya 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Pada bahagian kabin, ia diberikan paparan head-up, sistem navigasi, sistem bunyi premium dari Krell, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar. Manakala untuk kemasan, kabin ini diberikan elemen warna gelap bersama serlahan warna badan. Sistem keselamatan aktif pula diberikan lengkap dengan bantuan pemanduan seperti yang ada pada Ioniq Hybrid.

    Untuk versi elektrik pula, ia dijana motor elektrik berkuasa 204 ps/395 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Ia disuap dengan bateri 64 kWj, membolehkan ia dipandu dalam jarak 482 km dengan satu cas penuh. Versi dijana bateri 39.2 kWj juga ditawarkan, dengan kuasa hanya 135 PS, dan jarak perjalanan hanya 300 km.

    Bateri polimer lithium-ion tersebut boleh dicas menggunakan sistem pengecas cepat 100 kW DC (CCS) yang mampu mendapatkan cas 80% dalam masa 54 minit. Manakala dengan pengecas-on-board 7.2 kW, cas dengan arus AC (Type 2) memerlukan sembilan jam 40 minit untuk bateri paling besar, dan enam jam 10 minit untuk pilihan bateri kecil.

    Adakah model yang sama seperti yang ditayangkan ini akan ditawarkan di Malaysia? Spesifikasi untuk pasaran tempatan masih belum ditetapkan. Kita mungkin akan menerima model dengan enjin 2.0 liter NA atau 1.6 turbo, dan mungkin juga kedua-duanya. Apa pun, kalau dah tergoda, boleh dah ni mula simpan duit muka.

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • KLIMS18: Nissan Leaf – dilancarkan pertengahan 2019

    KLIMS18: Nissan Leaf – dilancarkan pertengahan 2019

    Untuk KLIMS 2018, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membawakan Nissan Leaf. Penampilan sulung kereta elektrik generasi kedua ini boleh dianggap sebagai pengenalan awalnya untuk pasaran Malaysia, yang dijangka akan dilancarkan pertengahan 2019 nanti.

    Untuk pasaran Malaysia nanti, Nissan Leaf dijangka akan dipasangkan di sini bagi memanfaatkan insentif bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan menjadikan harga jualannya lebih rendah. Apa pun, perkara ini hanya akan dapat disahkan bila tiba masa pengenalan rasminya nanti.

    Juga, penilaian semula Dasar Automotif Nasional yang sedang dirangka akan memberi lebih banyak kelebihan kepada jenis kendearan elektrik seperti ini.

    KLIMS18: Nissan Leaf – dilancarkan pertengahan 2019

    Leaf baru ini hadir dengan ukuran dimensi 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi dan mampu menjana kuasa yang lebih banyak berbanding model generasi pertama – motor elektrik EM57 baru kini menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork (148 hp dan 320 Nm).

    Bateri lithium-ion 40 kWh yang digunakan meningkatkan jarak perjalanan sehingga 400 km (atau 378 km bagi kitaran NEDC) berbanding 195 km (atau 250 km) oleh model awal sebelum ini. Menurut Nissan, tempoh mengecas model ini memerlukan lapan jam untuk satu cas penuh dengan aliran elektrik 6 kW.

    Turut tersedia ialah kit pengecas pantas, yang mampu membekalkan sehingga 80% tenaga hanya dalam masa 40 minit melalui soket pengecas CHAdeMO. Kadar cas AC maksimum ialah 6.6 kW, atau 50 kW bagi pengecas DC.

    Ia turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomous ProPilot, yang boleh mengawal jarak dari kereta hadapan berdasarkan kelajuan yang ditetapkan pemandu (antara 30 km/j hingga 100 km/j). Stereng pula akan mengekalkannya berada di tengah lorong. Ia juga boleh memberhentikan kereta sepenuhnya dan kembali bergerak selepas itu, sama seperti yang boleh dilakukan Honda Sensing.

    Selain parkir ProPILOT, turut tersedia ialah e-Pedal, fungsi mudah untuk memulakan, memecut, memperlahankan, memberhentikan serta mengekalkan kedudukan kereta menggunakan pedal minyak sahaja.

    Leaf juga lengkap dengan enam beg udara, sistem Nissan Safety Shield yang merangkumi ciri intelligent lane intervention, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, mengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, monitor 360-darjah pintar serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak.

     
     
  • KLIMS18: Kawasaki ZX-10RR dan ZX-6R dilancar untuk Malaysia – harga masing-masing RM80k dan RM160k

    KLIMS18: Kawasaki ZX-10RR dan ZX-6R dilancar untuk Malaysia – harga masing-masing RM80k dan RM160k

    Bersempena dengan acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang sedang berlangsung sekarang, Kawasaki Motors Malaysia bukan setakat memperkenalkan minyak pelincir baru, malah turut melancarkan dua model sports baru untuk pasaran iaitu ZX-10RR pada harga RM159,900 dan ZX-6R pada RM79,900 (tidak termasuk insurans).

    ZX-10RR yang baru dilancarkan ini adalah sebuah model edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit untuk seluruh dunia, dan ia menggunakan model standard ZX-10R sebagai asas. Enjinnya masih lagi sama iaitu unit empat silinder 999 cc, tetapi mempunyai lebih kuasa, menjadi 204 PS dan 114 Nm tork.

    Ini adalah hasil daripada beberapa perubahan yang dibuat pada enjin tersebut, termasuk connecting rod titanium yang mempunyai berat kurang 102 gram untuk setiap satunya, sekaligus menjadikan pergerakan inertia crankshaft lebih lancar 5%. Kemudiannya, penggerak injap jenis finger-follower membantu enjin ini mencapai tahap rpm lebih tinggi sebanyak 600 rpm. Bahagian suspensi juga telah ditala semula supaya lebih berpadanan untuk tunggangan atas litar, dan ia dilengkapkan dengan rim Marchesini 17 inci, dibalut tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP.

    Melihat pula kepada ZX-6R 2019, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder 636 cc, dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 130 PS pada 13,500 rpm dan 70.8 Nm tork pada 11,000 rpm. Untuk mengawal kuasa ini, penunggang disediakan dengan pilihan tiga mod iaitu Low, Middle dan Full Power.

    Model terbaru ini juga sekarang dilengkapkan dengan pelbagai lagi ciri elektronik termasuk tiga mod Kawasaki Traction Control (KTRC) dan Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS). Untuk memudahkan penukaran gear, model ini turut dilengkapi dengan quickshifter dan klac jenis slip and assist.

    Kelengkapan lain yang ada pada ZX-6R baru ini adalah termasuk brek cakera berkembar 310 mm dan angkup monobloc empat piston di hadapan, cakera 220 mm dan angkup satu piston di belakang, fork 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya di hadapan, penyerap monoshock boleh laras sepenuhnya di belakang, tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22 dan panel instrumen LCD.

    GALERI: Kawasaki ZX-6R


    GALERI: Kawasaki ZX-10RR

     
     
  • Kawasaki lancar barisan minyak pelincir 4T motosikal

    Kawasaki lancar barisan minyak pelincir 4T motosikal

    Buat pertama kalinya di Malaysia, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan barisan produk minyak pelincir motosikal tulen untuk pasaran dan ia adalah hasil daripada kerjasama dengan Idemitsu dari Jepun. Pengalaman luas dalam industri, teknologi serta kawalan kualiti adalah antara sebab Idemitsu dipilih sebagai rakan kongsi oleh Kawasaki buat kali pertama.

    Minyak pelincir baru Kawasaki ini boleh didapati dalam dua jenis utama untuk enjin empat strok, tetapi mempunyai gred yang sama iaitu Semi Sintetik 10W40 dan Sintetik Penuh 10W40. Ia akan dijual di kedai Kawasaki GT World, Ninja Shop dan Green Station dengan harga masing-masing RM29.90 dan RM39.90 untuk setiap botol satu liter.

    Kedua-dua minyak pelincir ini dapat membantu menambahkan kecekapan penggunaan bahan api, kualiti penukaran gear dan juga prestasi klac basah yang digunakan pada motosikal Kawasaki. Selain daripada itu, kemampuan minyak ini untuk bertindak cemerlang pada suhu rendah dapat membantu mengurangkan kesan kepada enjin apabila ia dihidupkan waktu sejuk.

     
     
  • KLIMS18: Lexus UX tampil pertama kali di Malaysia

    KLIMS18: Lexus UX tampil pertama kali di Malaysia

    Ini ada sebuah lagi model baru yang buat penampilan sulung di KLIMS 2018, Lexus UX. Model crossover kompak ini – dengan pemanduan sebelah kiri – dipertontonkan untuk umum, merupakan sebuah kenderaan SUV paling kecil dari Lexus ketika ini.

    Ditampilkan dalam varian UX 200, ini adalah lawan kepada model-model seperti BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA. Rekaan serta warna yang ditunjukkan ini juga boleh tahan menarik. Gril yang sinonim dengan jenama Lexus jelas kelihatan di depan.

    Lampu utama dan DRL LED yang ‘tajam’ serta bahagian fender yang lebih ketara dengan garis bumbung rendah menjadik antara keunikan tersendiri model ini. Di belakang, lampu LED yang melintang sepanjang kelebaran kereta ini juga berikan sentuhan berbeza kepada imej rekaan UX.

    KLIMS18: Lexus UX tampil pertama kali di Malaysia

    Ruang dalaman berkongsi rekaan yang mirip dari model-model terkini lainnya, seperti LS dan ES. Papan pemuka yang kemas dan luas, paparan tengah bersaiz 10.25-inci serta kawalan melalui kaedah Remote Touch menjadi unsur utama. Antara kemasan diilhamkan dari budaya Jepun yang ada padanya ialah lipatan kulit sashiko dan kertas washi.

    UX ini 4,496 mm panjang dengan jarak antara roda 2,639 mm; menjadikannya 144 mm lebih pendek dari NX, walaupun beza jarak antara rodanya cuma 21 mm. Ia menggunakan platform Global Architecture – Compact (GA-C) oleh Lexus, sama seperti platform New Global Architecture (TNGA) oleh Toyota.

    Model yang dilihat ini menggunakan enjin 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder petrol, menghasilkan 169 hp dan 205 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan Direct Shift. UX turut dilengkapi dengan barisan ciri keselamatan seperti Lexus Safety System+; ini termasuk Pre-Collision System autonomous emergency braking, Dynamic Radar Cruise Control with Lane Tracing Assist (LTA), Adaptive High Beam System (AHS), Road Sign Assist (RSA) dan Parking Support Brake System.

    Apa pandangan anda tentang model ini, menarik?

     
     
  • KLIMS18: Honda HR-V RS didedahkan sepenuhnya

    KLIMS18: Honda HR-V RS didedahkan sepenuhnya

    Sudah berberapa kali Honda Malaysia menayangkan crossover segmen-B HR-V versi facelift sebelum ini, namun bahagian dalamannya tidak didedahkan. Pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang sedang berlangsung di MITEC, bahagian tersebut sudahpun didedahkan, tetapi ia masih lagi diprebiu dan belum dilancarkan secara rasmi.

    Pada bahagian luaran, versi yang disegarkan ini menerima muka baharu yang terdiri dari gril yang disentuh semula, lampu hadapan LED penuh jenis reflektor, serta rekaan baharu pada bampar hadapan dan perumah lampu kabus LED. Bahagian belakang turut menerima perubahan menampilkan kemasan krom baharu merentangi pintu tailgate bersama lampu belakang dengan grafik LED jenis tiub.

    Honda menayangkan varian baharu HR-V facelift ini di KLIMS 18, iaitu versi RS yang diberikan elemen kontras yang lebih gelap seperti pemegang pintu krom gelap, krom hitam pada kemasan nombor pendaftaran dan juga hitam kilat pada kemasan bendul sisi. Ia juga diberikan rim 18-inci dua-tona lima-jejari, dibaluti tayar 225/50R18 dan warna badan baharu digelar Passion Red Pearl. Menurut Honda Malaysia, warna ini akan ditawarkan untuk semua varian, bukan hanya RS.

    Untuk bahagian kabin, ia menerima tempat duduk hadapan yang direka semula bersama elemen kabin dua tona dengan gabungan elemen kelabu cerah dan kelabu gelap. Papan pemukan dan konsol tengah menerima elemen kontras sama seperti versi JDM, tetapi tempat duduk hanya menerima warna tunggal kelabu cerah.

    Versi facelift ini akan dilengkapkan dengan kamera undur bersama skrin sesentuh untuk sistem infotaimen, standard untuk semua varian. Namun hanya HR-V RS dibekalkan dengan sistem stereng nisbah bervariasi (VGR). Walau bagaimanapun, semua varian masih dijana enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS/172 Nm bersama kotak gear CVT automatik memacu hanya roda hadapan.

    Bagi sistem keselamatan pula, ksemua HR-V dibekalkan dengan enam-beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta bantuan mula mendaki. Versi RS menerima lebih fungsi dengan penambahan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch. Sistem Brek Kecemasan Aktif Bandar (CTBA) masih belum dibekalkan untuk mana-mana varian HR-V di Malaysia.

     
     
  • Pemandu berhemah bakal dapat rebat petrol dan tol sebagai ganjaran mulai 2019 – Anthony Loke

    Pemandu berhemah bakal dapat rebat petrol dan tol sebagai ganjaran mulai 2019 – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan pemandu berhemah di negara ini bakal menerima ganjaran yang berupa rebat petrol dan tol mulai tahun hadapan.

    Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) semalam dalam lawatannya ke Kuala Lumpur International Motor Show 2018 yang telah membuka tirainya. Menurutnya, cadangan ini dianggap amat baik, malah kementeriannya komited untuk mempertimbangkannya dalam usaha melahirkan pemandu berkhemah, sekali gus menangani isu keselamatan dan kemalangan di jalan raya, laporan Berita Harian.

    “Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya. Saya percaya pendekatan ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) paling berkesan dalam mendidik seseorang menjadi pemandu berhemah. Kita perlu memberi ganjaran untuk memotivasikan pemandu bagi mengubah tingkah laku mereka kepada berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. Pada masa sama, jika mereka enggan berubah, kita akan kenakan hukuman,” katanya.

    Berhubung perkata tersebut, beliau berkata difahamkan Petronas sedang membangunkan aplikasi yang boleh menguji tingkah laku seseorang pemandu.

    “Apabila aplikasi berkenaan dihidupkan ia akan menilai sama ada anda pemandu yang baik atau sebaliknya. Jika mencapai skor tertentu dalam tempoh sebulan misalnya, maka anda layak mendapat rebat petrol dan bayaran tol. Inilah dikatakan sebagai ‘carrot’, supaya pemandu berhemah di jalan raya dan saya yakin ia amat digemari rakyat Malaysia,” katanya.

     
     
  • KLIMS18: Mitsubishi Triton 2019 sudah dibuka untuk tempahan – lima varian, harga dari RM100k-RM140k

    KLIMS18: Mitsubishi Triton 2019 sudah dibuka untuk tempahan – lima varian, harga dari RM100k-RM140k

    Hari ini di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan tempahan Triton 2019 untuk pasaran Malaysia kini sudah pun dibuka. Pengunjung KLIMS boleh melihat secara terus dengan model ini, namun ia cuma akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, dalam lima varian yang diimport dari Thailand dan harga antara RM100k hingga RM140k di Semenanjung Malaysia.

    Setakat ini, perincian kelengkapan untuk setiap varian Triton baru ini masih belum didedahkan tetapi apa yang diketahui, ia akan dikuasakan oleh enjin diesel turbo MIVEC 2.4 liter dengan teknologi VVT dan turbo VGT, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan baru.

    Ciri lain yang boleh didapati pada Triton ini adalah Super Select 4WD II yang diambil dari Pajero Sport dengan Off-road Mode (Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock) serta pakej keselamatan maju yang termasuk ciri seperti Forward Collision Mitigation, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Warning with Lane Change Assist dan Auto High Beam.

    Perubahan paling ketara pada model baru ini sudah tentu adalah muka Dynamic Shield yang digunakan, dan ia lebih unik dan tersendiri berbanding Pajero Sport. Garis pada bonet depan kini lebih tinggi dari model terdahulu, manakala lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam pada trak pikap ini direka nipis.

    Tiada perubahan pada bahagian pintu, namun sisi Triton disegarkan dengan pemadanan set rim 16-inci baharu. Pada bahagian belakang, model ini diberikan lampu belakang LED yang direka dengan grafik seperti air meleleh. Secara keseluruhan rupa luaran Triton baru kini hampir menyerupai versi konsepnya – GR-HEV – yang muncul pada Bangkok Motorshow 2013.

    Penyegaran turut dibuat untuk bahagian kabin. Suis-suis kawalan dan liang penghawa dingin kini direka semula, dan ia kini menerima plastik sentuhan lembut pada perehat tangan, konsol lantai dan juga tuil brek tangan bagi memberikan rasa yang lebih baik.

    GALERI: Pendedahan Sulung Mitsubishi Triton facelift 2019 di Thailand

    GALERI: Gambar Rasmi Mitsubishi Triton 2019

     
     
  • KLIMS18: Honda CR-V Mugen dipamer – lebih garang

    KLIMS18: Honda CR-V Mugen dipamer – lebih garang

    Honda Malaysia membawa dua model konsep Mugen istimewa ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018. Anda sudah melihat Jazz Mugen yang kami muat naik awal tadi, dan ini pula adalah CR-V Mugen, yang memberikan SUV generasi kelima ini penampilan yang lebih garang.

    Sama seperti Jazz, CR-V varian 1.5 liter Turbo ini dipasang dengan kit badan sports yang termasuk tambahan kepada bahagian bawah bampar dan lencana Mugen di atas gril. Bahagian tepi kenderaan juga dipasang dengan panel tambahan yang diwarnakan sama dengan badan manakala di belakang pula terdapat lagi lencana Mugen.

    Untuk bahagian rim, unit 18 inci yang sama dengan model standard masih lagi digunakan pada CR-V (Jazz Mugen mendapat rim yang lebih besar daripada standard), dan tiada sebarang perubahan lain pada bahagian mekanikal. Model yang dipamerkan ini menggunakan warna Passion Red Pearl yang dulunya pertama kali dilihat pada HR-V RS facelift.

    Ada khabar yang kami terima, warna dan juga varian CR-V Mugen ini berkemungkinan tiba dalam pasaran namun masih belum dapat disahkan. Pada model pameran ini, tiada perubahan pada bahagian dalam berbanding model standard, namun kalau betul diperkenalkan nanti, pastinya akan ada kemasan khas untuk versi Mugen.

    Dalam pasaran Malaysia sekarang, Honda CR-V ditawarkan dalam tiga varian yang menggunakan enjin 1.5 liter Turbo dengan harga masing-masing RM150,992, RM156,732 dan RM163,191 manakala varian yang menggunakan enjin 2.0 liter NA dijual pada harga RM138,308.

     
     
  • KLIMS18: Hyundai i30N muncul di Malaysia!

    KLIMS18: Hyundai i30N muncul di Malaysia!

    Sejujurnya, ini kereta yang benar-benar mahu saya lihat secara dekat di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang bermula hari ini, iaitu hot-hatch sebenar dari Hyundai hasil buah tangan bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, Albert Biermann – Hyundai i30N.

    Adakah ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi? Menurut Hyundai Malaysia, mereka membawa kereta ini ke KLIMS 2018 adalah untuk mendapatkan persepsi masyarakat Malaysia terhadap model ini. Jadi, jika ia mendapat reaksi yang positif pada pasaran tempatan, ada harapan untuk ianya muncul pada bilik pameran Hyundai di sini.

    Hyundai i30N merupakan model yang dihasilkan oleh badan penala dan divisi perlumbaan jenama Korea berkenaan yang dikenali sebagai Hyundai N. Kereta ini dihasilkan dengan pembangunan pada kebanyakkan masa diuji di litar Nürburgring Nordschleife (selain Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea, ‘N’ turut bermaksud Nürburgring), serta pernah di bawa ke litar Mount Panorama, Bathurst Australia dan jalan-jalan awam berliku di UK bagi mendapatkan talaan yang sempurna.

    Bagi pasaran global, model ini dijana enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI, hadir dalam dua versi. Varian standard menjana 250 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000 dalam keadaan standard, manakala versi yang diberikan peningkatan Performance Package mendapat lonjakan kuasa 275 PS dengan jumlah tork yang sama.

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan, membolehkan versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat dalam jarak pecutan yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

    Performance Package juga turut diberikan dengan LSD kawalan elektronik (E-LSD), sistem injap pada ekzos bervariasi yang mampu merubah bunyi dari mod biasa kepada liar (meletup-letup) setelah mod pemanduan N diaktifkan, rim aloi 19-inci dengan tayar Pirelli P-Zero (versi biasa diberikan rim 18-inci dengan tayar Michelin) serta angkup brek berwarna merah bersama cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang (17-inci hadapan dan 16-inci belakang untuk model standard).

    Tiada anggaran harga diberikan Hyundai hari ini. Namun di Jerman, i30N yang lebih berkuasa serta lebih murah dari Golf GTI, menjadikan ia sebuah model yang menjadi ancaman kepada Volkswagen. Berminat? Jadi datanglah ke KLIMS yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 2 Disember dan berikan respon positif anda kepada Hyundai Malaysia!

     
     
  • KLIMS18: Ford Ranger Raptor dilancarkan, RM199,888

    KLIMS18: Ford Ranger Raptor dilancarkan, RM199,888

    Selepas ditunjukkan untuk beberapa ketika sebelum ini, akhirnya Ford Ranger Raptor dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Yang dinanti-nantikan tentulah harganya; RM199,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Harga ini lebih murah berbanding di negara Raptor dipasangkan, Thailand (RM215,800).

    Pengenalan ini kurang sebulan selepas barisan trak pikap Ranger yang lain dirasmikan di Malaysia, Oktober lalu. Raptor menggunakan enjin baru, 2.0L EcoBlue empat-silinder dengan ciri bi-turbo, yang menjana sebanyak 213 PS kuasa dan juga 500 Nm meter. Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear automatik baru dengan 10-kelajuan dengan ciri SelectShift.

    Perbezaannya adalah dari penampilan yang dilihat; dengan kedudukan yang sedikit lebih tinggi dan lebar, serta gril depan dengan tulisan Ford yang besar – imej yang diwarisi dari model trak besar Ford F-150 yang terkenal di Amerika.

    KLIMS18: Ford Ranger Raptor dilancarkan, RM199,888

    Namun, ia sama sekali tidak sama dengan versi Wildtrak yang ditawarkan, walaupun mungkin berkongsi enjin dan transmisi yang sama. Raptor menggunakan casis yang berbeza, serta sistem suspensi Fox Racing Shock, sama seperti yang digunakan oleh F-150 Raptor dengan Position Sensitive Damping (PSD) untuk lebih keselesaan ketika pemanduan lasak. Ia hadir dengan rim 17-inci aloi dengan tayar BFGoodrich 33-inci All-Terrain.

    Kelengkapan lain termasuk lampu utama xenon dengan DRL LED, lampu kabus LED, sistem pintar tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan pengilap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, kedap kebisingan aktif, soket 230 volt serta sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci dan juga sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Antara ciri lain yang melengkapi model ini termasuk kawalan kestabilan ESC, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam dan kawalan beban adaptif juga ada melengkapi model ini.

    Aksi Ford Ranger Raptor

    Ford Ranger Raptor di Malaysia

     
     
  • Honda PCX Hybrid, Forza 300 dan CBR1000RR tiba di Malaysia – harga RM13,499, RM30,999 dan RM91,999

    Honda PCX Hybrid, Forza 300 dan CBR1000RR tiba di Malaysia – harga RM13,499, RM30,999 dan RM91,999

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd turut mengambil kesempatan berada di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 untuk melancarkan tiga model baru bagi pasaran Malaysia iaitu skuter PCX Hybrid dan Forza 300, serta sebuah motosikal sports CBR1000RR Fireblade.

    Melalui PCX Hybrid, BSH menjadi pengeluar pertama yang menawarkan motosikal hibrid di Malaysia, di mana kuasa utamanya datang daripada enjin petrol satu silinder SOHC PGM-FI petrol 149.3 cc, dan dibantu dengan motor elektrik yang mendapat tenaga daripada bateri lithium ion 50.4 V.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin petrol itu sahaja adalah 15 hp pada 8,500 rpm dan 13.2 Nm tork pada 6,500 rpm, tetapi ia boleh ditambah dengan kuasa sebanyak 1.9 hp pada 3,000 rpm dan 4.3 Nm tork pada 3,000 rpm oleh motor elektrik. Penyampaian kuasa kepada tayar belakang adalah melalui transmisi automatik jenis CVT.

    Bateri sistem hibrid pada motosikal ini terletak di bawah tempat duduk belakang, dan ia boleh dicas semula apabila motosikal bergerak dan membrek. Walaupun dengan sistem hibrid yang dapat membantu menjimatkan penggunaan bahan api dan memberi lebih kuasa ini, PCX Hybrid masih dilengkapi tangki bahan api yang besar iaitu berkapasiti 8 liter.

    Pengguna juga disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu D yang merupakan mod standard untuk menghasilkan padanan optimum antara kuasa dan penjimatan, S untuk Sport dan Idling OFF untuk menutup sistem start/stop (penyampaian kuasa pula sama seperti dalam mod D).

    Secara keseluruhannya PCX Hybrid mempunyai berat 136 kg dan antara kelengkapan lain padanya adalah termasuk brek ABS (cakera depan dan belakang), sistem kunci pintar, meter digital dan rim 14 inci. Penampilan pula masih sama seperti PCX 2018, tetapi boleh dibezakan dengan warna Pearl Dark Night Blue, lencana khas serta jalur biru pada lampu.

    Honda PCX Hybrid, Forza 300 dan CBR1000RR tiba di Malaysia – harga RM13,499, RM30,999 dan RM91,999

    Pergi kepada Forza 300, ini adalah sebuah model yang telah diberikan pembaharuan dan diperkenalkan buat pertama kali di Eropah awal tahun ini. Casisnya adalah baru, dan ia menjadikan skuter ini 12 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini. Kemudiannya, rim belakang diubah menjadi satu inci lebih besar berbanding sebelum ini, iaitu unit 14 inci dan dipadankan bersama rim 15 inci di hadapan. Brek masih lagi set cakera depan dan belakang, dengan sistem ABS two-channel.

    Enjin masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit satu silinder 279 cc PGM-FI berkuasa 24.8 hp dan 27.2 Nm tork, namun pecutannya dijadikan lebih pantas, bersama laju maksimum lebih tinggi serta penggunaan bahan api lebih baik. Satu naik taraf yang penting pada Forza 300 adalah ia kini dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), iaitu satu sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman.

    Rekaan baru Forza 300 2018 nampak lebih sporty dan moden, dan dimensinya juga berubah sedikit menjadi lebih pendek manakala tempat duduk pula lebih tinggi untuk pandangan ke jalan yang lebih jelas. Kemudiannya, ia mempunyai lampu hadapan LED serta penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik menggunakan butang di pemegang.

    Model CBR1000RR Fireblade bukanlah satu nama asing dalam segmen motosikal sports. Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder 999 cc DOHC, yang mampu menghasilkan kuasa 189 hp pada 13,000 rpm dan 114 Nm tork pada 11,000 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan, dan ia mempunyai berat cuma 196 kg.

    Bagi model tahun 2018 ini, ia CBR1000RR Fireblade didatangkan dengan pelbagai kelengkapan maju seperti tiga pilihan mod tunggangan (Fast, Fun dan Safe), dua lagi mod yang boleh diubah, quickshifter untuk naik dan turun gear, kuasa brek enjin (engine braking) yang boleh dikawal, suspensi Showa yang boleh dilaras sepenuhnya dan damper stereng elektronik.

    Harga tidak termasuk insurans untuk semua model baru yang dilancarkan di KLIMS 2018 ini adalah RM13,499 untuk PCX hybrid (satu pilihan warna sahaja), RM30,999 untuk Forza 300 (pilihan warna Pearl Horizon White, Sword Silver Metallic atau Asteroid Black Metallic) dan RM91,999 untuk CBR1000RR Fireblade (pilihan warna Grand Prix Red atau Matt Ballistic Black Metallic).

    GALERI: Honda PCX Hybrid


    GALERI: Honda Forza 300

    GALERI: Honda CBR1000RR Fireblade

     
     
  • KLIMS18: Perodua prebiu sistem hibrid dari Daihatsu – bakal tampil dengan model sedemikian akan datang?

    KLIMS18: Perodua prebiu sistem hibrid dari Daihatsu – bakal tampil dengan model sedemikian akan datang?

    Selain dari model Concept-X, Myvi GT, dan pondok mengintai SUV baharunya, Perodua turut membawa satu model yang menunjukkan teknologi terkini yang terdiri dari teknologi petrol hibrid, teknologi bantuan pemanduan dan juga teknologi terhubung pada booth mereka di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang sedang berlangsung.

    “Perodua Advanced Technology Powered by Daihatsu” tulis tajuk pada model tersebut, membayangkan teknologi Daihatsu berkenaan akan ‘diturunkan’ kepada Perodua.

    Namun sebenarnya, sebahagian teknologi berkenaan sudahpun diberikan pada model baharu Perodua, atau secara spesifiknya sistem Advanced Safety Assist (ASA) pada Perodua Myvi 1.5 Advance yang memberikan fungsi Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – yang berfungsi menggunakan sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang. Pada Daihatsu sendiri, sistem ini dilengkapkan untuk model-model JDM mereka dengan nama Smart Assist.

    Bagi sistem hibrid pula, ia menampilkan sistem konvensional tanpa fungsi plug-in. Sistem berkenaan boleh berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya tanpa enjin dihidupkan, memberikan tambahan kuasa dan tork kepada enjin petrol konvensional, mampu mengecas semula bateri hibrid sama ada dengan enjin petrol atau sistem regenarative braking ketika brek diaplikasi.

    Satu lagi teknologi termaju pada rangkaian sistem tersebut adalah servis terhubung, yang membolehkan kereta berkenaan berinteraksi sendiri dengan komputer pusat Perodua. Salah satu contoh bagaimana sistem berkenaan beroperasi adalah kereta akan menghantar isyarat ke Perodua sekiranya tempoh servis selenggara sudah tiba, dan Perodua akan membalasnya dengan menghantar jemputan servis kepada pemilik menerusi paparan pada kereta itu sendiri.

    Bila agaknya sistem hibrid ini dan sistem terhubung tersebut akan diaplikasikan oleh Perodua? Untuk pengetahuan anda, sehingga kini Daihatsu sendiri belum menghasilkan model hibrid versi produksi mereka sendiri. Namun di Jepun, dua buah model hibrid telah dilancarkan dengan lencana Daihatsu iaitu Daihatsu Altis iaitu model rebadge dari Toyota Camry Hybrid dan juga Daihatsu Mebius iaitu rebadge dari Toyota Prius.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025