Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Ranger Raptor kini tiba di Malaysia – KLIMS 2018

    Akhirnya, model trak pikap yang ditunggu-tunggu, Ford Ranger Raptor akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia sudah pernah dipertontonkan ketika pelancaran barisan Ford Ranger terbaru di sini Oktober lalu, dan kini Ford Ranger Raptor akan membuat penampilan umum di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, bermula Jumaat ini, 23 November hingga 2 Disember nanti bertempat di MITEC Kuala Lumpur.

    Hampir semua perkara berkaitan trak ini yang sudah kita ketahui. Misalnya, enjin yang digunakan, 2.0 liter bi-turbo EcoBlue diesel serba baru yang menghasilkan 213 PS dan 500 Nm tork. Unit ini dipadankan pula dengan sistem transmisi automatik 10-kelajuan terbaru dengan perisian khusus bagi Raptor – hadir dengan pilihan mod pemanduan di bawah Terrain Management System.

    Ford Ranger Raptor kini tiba di Malaysia – KLIMS 2018

    Walaupun enjin dan transmisinya sama seperti yang ada pada Wildtrak 4×4, casis dan suspensi bagaimanapun sangat berbeza sama sekali. Untuk mengetahui lebih lanjut, baca selanjutnya di sini. Jangan lupa untuk nikmati juga video aksi Raptor yang kami sediakan ini, serta galeri besar di bawah. Jumpa di KLIMS nanti, jangan ketinggalan!

    Aksi Ford Ranger Raptor

    Ford Ranger Raptor di Malaysia

     
     
  • Kia Sorento 2.4 EX 2019 kini di Malaysia – dari RM170k

    Kia Sorento 2.4 EX 2019 kini di Malaysia – dari RM170k

    Baru-baru ini, Kia Malaysia telah memperkenalkan model SUV Kia Sorento facelift terbaru yang ditawarkan dalam dua varian – 2.4 EX pada harga RM169,888 (atas jalan tanpa insurans) dan 2.2D SX pada harga RM179,888. Di sini, kami bawakan galeri terperinci bagi SUV tujuh-tempat duduk dari varian 2.4 EX.

    Kemaskini penggayaan yang dilakukan termasuk pada bahagian hadapan yang disambungkan pada gril “tiger nose” yang dibentuk semula dan bukaan masukan udara rekaan baru. Lampu utama pula dari jenis LED adaptif sebagai standard dengan rekaan tiga projektor. Lampu kabus juga menerima rekaan LED “kiub ais”.

    Di belakang, grafik dalaman untuk lampu LED telah direka semula, dan bampar belakang juga tampil dengan rekaan bari serta rekaan hias corong udara di bawah lampu kabusnya. Melengkapkan gaya model ini ialah rim aloi dua-tona bari dalam saiz 18-inci bagi EX dan 19-inci untuk SX.

    Kia Sorento 2.4 EX 2019 kini di Malaysia – dari RM170k

    Ruang dalam pula menerima stereng pelbagai fungsi empat-jejari baru, grafik instrumen tujuh-inci dan suis kawalan suhu yang direka semula, plastik sentuhan lembut dan kemasan hitam berkilat merupakan antara peningkatan yang diberikan. Turut ditambah ialah tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, pengecas telefon pintas tanpa wayar Qi dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Varian EX dan SX turut ditampilkan dengan ciri pintar tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, penghawa dingin dwi-zon dengan corong udara belakang dan kawalan suhu bagi barisan ketiga, tempat duduk hadapan berkuasa dengan larasan lapan-hala, tirai tingkap sisi di belakang, cermin pandang belakang anti-silau, sistem infotainmen skrin sesentuh dan pintu tailgate berkuasa operasi bebas-tangan.

    Aspek keselamatan, kedua-dua model didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan turun bukit, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada barisan kedua, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Sorento ditawarkan dengan dua pilihan enjin yang sama seperti sebelum ini – 2.4 liter Theta II MPI petrol empat-silinder dengan hamburan kuasa 172 PS pada 6,000 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Sementara satu lagi varian dipadankan dengan enjin 2.2 liter R turbodiesel dengan start/stop bersama kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan tork 442 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuan baharu turut digandingkan, menggantikan unit enam-kelajuan pada diesel.

     
     
  • Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing mulakan ujian MotoGP di Valencia, Morbidelli keenam terpantas

    Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing mulakan ujian MotoGP di Valencia, Morbidelli keenam terpantas

    Walaupun musim perlumbaan MotoGP tahun 2018 baru sahaja berakhir, kehangatannya terus dirasa kerana sekarang sedang berlangsung pula sesi ujian untuk pasukan dan jentera baru tahun hadapan di Valencia, Sepanyol. Pastinya ia sesuatu yang menarik kerana banyak perubahan pelumba, pasukan serta jentera yang terlibat.

    Bagi kita di Malaysia, 2019 bakal menandakan satu waktu yang bersejarah kerana Malaysia akan mempunyai satu pasukan sendiri dalam MotoGP hasil kerjasama antara Sepang International Circuit (SIC), Petronas dan Yamaha sebagai rakan kongsi utama, sekaligus menjadikan SIC mempunyai pasukan dalam semua kelas iaitu Moto3, Moto2 dan MotoGP.

    Untuk kelas MotoGP, pasukan baru ini akan menggunakan khidmat Franco Morbidelli yang sebelum ini adalah pelumba bagi pasukan EG 0,0 Marc VDS dalam kelas sama (juga ditelah dinobatkan sebagai Rookie terbaik 2018), dan seorang lagi adalah Fabio Quartararo, yang sebelum ini berlumba dalam kelas Moto2 untuk pasukan +Ego Speed Up Racing. Mereka masing-masing akah menunggang Yamaha YZR-M1 Spec-A dan Spec-B.

    Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing mulakan ujian MotoGP di Valencia, Morbidelli keenam terpantas

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sesi ujian ini lebih fokus kepada memberi pelumba peluang mendapatkan rasa menunggang jentera baru, menyesuaikan diri serta meningkatkan kerjasama di antara setiap ahli pasukan yang terlibat. Pasukan ini diketuai oleh Datuk Razlan Razali sebagai pengetua, John Stigefelt sebagai pengarah dan Wilco Zeelenberg sebagai pengurus.

    Untuk hari ujian pertama ini, Morbidelli cepat menyesuaikan diri dengan jentera dan selepas melengkapkan 40 pusingan di litar Valencia, beliau berjaya mencatat masa keenam terpantas. Quartararo yang akan masuk sebagai rookie musim hadapan hanya melengkapkan 38 pusingan dan berada di tempat ke-23 sebelum sesi dihentikan kerana hujan.

     
     
  • VIDEO: Tandem drift Mazda RX8 Mad Mike dan trak Kamaz Rali Dakar dengan berat sembilan-tan, 1000 hp!

    Secara jujur, saya sendiri sudah bosan dengan pelbagai video-video drift mahupun video gymkhana yang dihasilkan oleh Ken Block. Video-video tersebut boleh dikatakan mempamerkan aksi yang hampir sama tanpa apa-apa faktor ‘wow’ yang baharu. Namun, video baru yang dibuat oleh Red Bull ini agak segar, membuatkan saya teruja semula untuk menonton bahan-bahan begini.

    Ok, video ini bukan sahaja dibintangi oleh drifter rotary New Zealand, ‘Mad Mike’ Whiddet dengan Mazda RX8 ‘Bad Bull’ miliknya, malah aksi tandem drift kali ini disertai oleh trak sembilan-tan Rali Dakar Kamaz, dipandu juara Rali Dakar 2018 Eduard Nikolaev. Penggambaran dijalankan kilang Kamaz Kirov, yang terletak di negara asalnya, Rusia.

    Umum mengetahui, Bad Bull Mad Mike dijana oleh enjin rotary 20B tiga rotor, disuap pengecas turbo Honeywell Garret GTX4508R. Walaupun hanya ditala dengan tekanan boost 1.3 bar, enjin tersebut sudahpun mampu menjana lebih dari 800 hp pada gandar belakang.

    Manakala untuk trak Kamaz, ia adalah jentera Rally-Raid untuk pasukan tersebut yang bertanding dalam Rali Dakar dengan berat lapan kali ganda berbanding Mazda RX8 tersebut, dijana enjin V8 turbodiesel 16.2 liter menghasilkan sekitar 1,000 hp dan tork melebihi 4,000 Nm!

    Walaupun dengan tork gergasi, bukan mudah untuk melakukan aksi drift dengan trak yang menggunakan tayar sama tinggi dengan kereta milik Mad Mike berkenaan. Namun dengan kemahiran pemanduan Eduard, trak itu kelihatan tiada masalah untuk melakukan drift di atas permukaan tar dengan sudut yang cukup besar.

    Mad Mike juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya mengikut dengan jarak yang cukup dekat. Jika dalam pertandingan drift biasa, aksi tandem ini perlu dilakukan serapat ‘pintu-ke-pintu’, dalam video ini Mad Mike perlu lebih berani kerana disebelahnya bukan lagi pintu jentera lawan, sebaliknya tayar yang bersaiz gergasi.

    Kita mungkin agak asing dengan trak jenama Kamaz berkenaan. Untuk pengetahuan anda, Kamaz Master Team telah bertanding dalam Rali Dakar sejak sekian lama, malah dari tahun 1996 hingga 2018, pasukan dan jenama Rusia tersebut telah bergelar juara Rali Dakar sebanyak 15-kali!

     
     
  • MTSB bakal ditubuhkan pada tahun hadapan bagi menyiasat kes kemalangan jalan raya – Anthony Loke

    MTSB bakal ditubuhkan pada tahun hadapan bagi menyiasat kes kemalangan jalan raya – Anthony Loke

    Menteri pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerajaan bakal menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) tahun depan bagi menyiasat kes-kes kemalangan jalan raya di negara ini.

    Katanya, penubuhan lembaga itu merupakan antara cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas diwujudkan oleh kementerian, bagi keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan jalan di seluruh negara. Di mana draf akta bagi penubuhan lembaga itu sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan, laporan Bernama.

    “Penubuhan MTSB merupkan antara syor dikemukakan oleh RRP,” katanya pada pemberita di MIROS, kelmarin.

    Loke turut berkata, berdasarkan syor laporan itu, mulai tahun 2020, kementerian mewajibkan semua bas ekspres dan bas persiaran baharu memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang, sistem sokongan keselamatan brek serta pematuhan alat pengehad kelajuan.

    MTSB bakal ditubuhkan pada tahun hadapan bagi menyiasat kes kemalangan jalan raya – Anthony Loke

    Selain itu, katanya, kementerian juga akan mewajibkan pemasangan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) pada semua bas baharu selain meningkatkan tahap kebajikan pemandu bas.

    Sementara itu, Loke berkata sebanyak 54% atau 27 daripada 51 syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan penilaian tragedi kemalangan bas itu telah dilaksanakan sepenuhnya manakala 38% atau 19 syor dilaksanakan secara separa manakala lapan peratus (empat syor) masih belum dilaksanakan.

    Beliau berkata daripada 51 syor, 20 adalah berkaitan faktor keselamatan kenderaan, 16 syor keselamatan jalan raya, 8 keselamatan operasi/kesihatan pekerjaan, 4 syor tindakan kecemasan dan menyelamat dan 3 syor berkaitan faktor memperkasakan penglibatan orang awam terhadap keselamatan jalan raya.

    Bagaimanapun, satu syor dikeluarkan daripada laporan itu kerana syarikat bas, Genting Highlands Transport, yang terbabit dalam tragedi tersebut, telah menamatkan operasi perkhidmatannnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 syor sahaja.

     
     
  • Guna lampu HID tidak ikut spesifikasi boleh didenda maksimum RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan

    Guna lampu HID tidak ikut spesifikasi boleh didenda maksimum RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa sebarang pemasangan lampu HID kereta yang tidak mematuhi spesifikasi adalah tidak dibenarkan, kecuali penukaran keseluruhan sistem whole-assembly lampu tersebut dengan mendapat akreditasi daripada badan yang diberi kuasa seperti SIRIM.

    Menurut beliau, pemasangan secara aksesori dengan izin, retrofit dengan kuasa melebihi standard yang ditetapkan, boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya dan seterusnya akan memudaratkan pengguna lain.

    “Mana-mana kenderaan yang menggunakan lampu HID yang yang dipasang secara aksesori retorit boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 . Ia ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang di dalam kenderaan atau di atas jalan raya,” ujarnya.

    Guna lampu HID tidak ikut spesifikasi boleh didenda maksimum RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan

    Katanya lagi, kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan di bawah seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Di bawah undang-undang yang ditetapkan oleh United Nation Regulations, pemasangan lampu HID yang diluluskan diletakkan di bawah tiga pematuhan iaitu UNECE R48: Installation Of Light, UNECE R98: Gas-Discharge Headlamp serta UNECE R99: Gas-Discharge Headlamp Source dan pemasangan lampu HID yang dilakukan oleh syarikat pengeluar kenderaan yang mematuhi standard disebutkan

    Sebagai contoh, United Nation Regulations 48 (UNR48) yang berkaitan lampu kenderaan, lampu utama kenderaan hanya boleh menggunakan lampu dengan kadar pancaran cahaya (brightness intensity) maksimum 4,300K. Tetapi dalam pasaran, terdapat lampu HID yang mencecah sehingga 16,000K.

     
     
  • Penjualan nombor plat khas oleh JPJ jana lebih pendapatan kepada kerajaan – Anthony Loke

    Penjualan nombor plat khas oleh JPJ jana lebih pendapatan kepada kerajaan – Anthony Loke

    Ekoran penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ia akan menjana lebih pendapatan kepada tabung kerajaan.

    Ujarnya, sebagai contoh, hasil penjualan nombor siri plat ‘Malaysia’ pada Ogos lalu, kerajaan berjaya menjana RM13 juta menerusinya, laporan Bernama.

    “Bagi nombor siri ‘Malaysia 1’ sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111,” katanya menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Dewan Rakyat kelmarin. Ma’mun bertanya sama ada nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang selalu mendapat permintaan tinggi dapat dikenakan harga siling dalam pembelian terbuka kepada orang ramai.

    Loke turut mengulangi bahawa nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian. Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

    Penjualan nombor plat khas oleh JPJ jana lebih pendapatan kepada kerajaan – Anthony Loke

    “Sebelum ini apabila mereka (NGO dan persendirian) membuat permohonan, kerajaan benarkan mereka bayar RM1 juta kepada kerajaan padahal satu siri nombor boleh menjana mungkin RM10 juta, dan itu menyebabkan kerajaan ketirisan RM9 juta,” katanya sambil menegaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi nombor pendaftaran kenderaan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan kementeriannya menjadualkan sistem perolehan nombor pendaftaran kenderaan atas talian akan dapat mula digunakan pada awal tahun depan.

    Beliau berkata kajian terperinci sedang dijalankan untuk membangunkan spesifikasi dan proses aliran kerja sistem atas talian ini supaya ia selamat serta berkesan dengan bantuan dari pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU).

     
     
  • Pengerusi Nissan Carlos Ghosn akan digugur jawatan dan ditahan kerana langgar undang-undang kewangan

    Pengerusi Nissan Carlos Ghosn akan digugur jawatan dan ditahan kerana langgar undang-undang kewangan

    Menurut laporan Asahi Shimbun, pengerusi Nissan, Carlos Ghosn mungkin akan ditahan oleh pihak berkuasa Jepun kerana disyaki tidak melaporkan gaji korporatnya yang berjumlah beratus-ratus juta yen.

    Pihak berkuasa negara berkenaan kini sudahpun mula menyiasat ibu pejabat Nissan dan lokasi-lokasi lain terhadap kes jenayah yang disyaki melanggar undang-undang Instrumen Kewangan dan Tukaran Jepun tersebut.

    Serentak dengan itu, Nissan telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan segera untuk menggugurkan Ghosn dari jawatan pengerusi serta wakil pengarah di Nissan, dengan CEO Nissan Hiroto Saikawa akan mengajukan perkara ini ke lembaga pengarah Nissan.

    Turut akan digugurkan adalah wakil pengarah Nissan, Greg Kelly, yang didakwa “terlibat secara mendalam” dalam melaporkan jumlah pampasan laporan sekuriti Bursa Saham Tokyo yang menyatakan jumlah yang kurang dari jumlah sebenar.

    Menurut Nissan, mereka telah menjalankan penyiasatan dalaman untuk tempoh berberapa bulan sebelum ini terhadap perlakuan yang tidak sepatutnya membabitkan Ghosn dan Kelly berkenaan, manakala segala maklumat disalurkan terus ke Pejabat Pendakwa Raya Awam Jepun.

    Ghosn telah melepaskan jawatannya sebagai presiden dan CEO Nissan tahun lalu, dan kini memegang jawatan sebagai pengerusi untuk jenama Nissan dan Mitsubishi. Beliau juga merupakan pengerusi serta CEO untuk Renault dan juga Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

    Ghosn yang berasal dari Perancis dikenali sebagai ‘lagenda’ dalam dunia automotif setelah menyelamatkan Nissan dari bankrap serta menstrukturkan semula Renault antara era lewat 90’an dan awal era Y2K.

     
     
  • Honda Wave 125i diberikan gaya baru – dari RM5,999

    Honda Wave 125i diberikan gaya baru – dari RM5,999

    Boon Siew Honda (BSH) kini memperbaharui model Wave 125i, yang sebelum ini sudah berada di pasaran sejak awal tahun 2017. Selain tiga pilihan warna merah, biru dan kelabu dengan grafik baru, model ini turut mempunyai perubahan pada beberapa bahagian lain.

    Ini termasuklah lampu hadapannya. Jika sebelum ini ia kelihatan seperti mempunyai pembahagi di tengah, Wave 125i baru ini sekarang menggunakan satu unit tunggal dan ia terdiri daripada sistem LED yang dikatakan lebih terang. Kemudiannya di bahagian panel bawah, lampu penunjuk arahnya dijadikan lebih panjang ke bawah.

    Walaupun cuma diberikan dengan gambar bahagian depan oleh BSH, kami menjangkakan pembaharuan lain pada Wave 125i ini adalah sama seperti model yang tiba di pasaran Thailand Ogos lalu, yang termasuk bahagian belakang dengan lampu yang diubah dengan unit yang nampak lebih kemas dan elegan.

    Tiada perubahan lain yang dilakukan pada Wave 125i ini, dan ia masih lagi menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 124.89 cc bersama padanan kotak gear empat kelajuan. Untuk pasaran Malaysia, BSH menawarkan versi asas dengan brek dram di belakang pada harga RM5,999 manakala yang mempunyai brek cakera depan dan belakang berharga RM6,299.

    Antara keistimewaan lain Wave 125i yang masih lagi dikekalkan untuk model baru ini adalah ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, tangki bahan api 5.4 liter, tayar 70/90 di hadapan, 80/90 di belakang, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Lamborghini SC18 – dibangun khas dengan ciri lumba

    Lamborghini SC18 – dibangun khas dengan ciri lumba

    Selain daripada Urus ST-X Concept, syarikat cabang permotoran Lamborghini iaitu Lamborghini Squadra Corse turut mendedahkan satu lagi model yang dibangunkan khas bersama dengan pelanggan iaitu SC18. Model ini dibangunkan dengan keutamaan kepada pemanduan dalam litar, tetapi masih lagi diluluskan untuk kegunaan atas jalan biasa.

    Sudah tentu, ia diterapkan dengan pengalaman yang diperoleh oleh Squadra Corse dalam perlumbaan, bermula dengan ciri aerodinamiknya. Bahagian hud mempunyai lubang udara seperti Huracan GT3 Evo manakala bahagian tepi, fender, sirip dan skup udara mendapat inspurasi daripada Huracan Super Trofeo EVO.

    Kemudiannya di belakang, terdapat sayap gentian karbon dengan tiga pelarasan mekanikal untuk mendapatkan daya tolakan ke bawah yang berbeza mengikut keadaan, dan hud penutup enjin belakang mempunyai 12 bukaan udara dan ia sudah terbukti untuk meningkatkan kecekapan sistem penyejukan dalam perlumbaan jarak jauh.

    Lamborghini SC18 – dibangun khas dengan ciri lumba

    SC18 ini dikuasakan oleh enjin paling berkuasa Lamborghini, sama seperti Aventador SVJ, iaitu unit V12 6,498 cc dengan kuasa sebanyak 770 hp pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear tujuh kelajuan yang dioptimakan dengan sistem Independent Shifting Rod (ISR).

    Ciri eksklusif model ini boleh dilihat melalui penampilan yang menggunakan badan gentian karbon bersama warna kelabu Grigio Daytona serta perincian grafik lain, manakala bahagian dalam pula menggunakan kemasan gabungan Alcantara warna hitam Nero Ade dengan jahitan merah kontras dan tempat duduk gentian karbon. Rim SC18 ini menggunakan unit yang menggunakan satu skru di tengah, dengan saiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dibalut tayar Pirelli P Zero Corsa.

     
     
  • Produksi Toyota Camry di perlahankan di Amerika – permintaan kurang kerana pasaran mahukan SUV

    Produksi Toyota Camry di perlahankan di Amerika – permintaan kurang kerana pasaran mahukan SUV

    Awal tahun ini, produksi Honda Accord generasi baharu terpaksa dihentikan selama 11 hari di Amerika Syarikat kerana permintaan yang rendah terhadap model berkenaan, akibat trend pasaran sekarang yang lebih gemarkan model-model SUV berbanding sedan. Dan kini, satu lagi bukti bahawa permintaan untuk sedan sedang menguncup apabila Toyota Camry juga terpaksa diperlahankan produksinya di negara tersebut kerana jualan yang agak lembab, menurut laporan Bloomberg.

    Jurucakap Toyota Motor Corp, Rick Hesterberg menyatakan bahawa salah satu dari barisan produksi di kilang Camry, Kentucky, akan diperlahankan bulan hadapan. Di kilang tersebut, Camry turut dipasang bersama satu lagi model sedan yang lebih besar iaitu Avalon.

    “Industri automotif mempunyai kitaran, dan ia adalah proses normal untuk kami secara proaktif membuat rancangan bulanan lebih awal untuk menetapkan angka pengeluaran,” kata Hesterberg. Walau bagaimanapun, beliau enggan untuk memberikan perincian spesifik mengenai pengurangan pengeluaran di kilang di Georgetown, yang juga merupakan kilang Toyota terbesar di sana.

    Namun, Hesterberg menegaskan tiada pekerja tetap yang berjumlah 8,000 orang dan juga pekerja sementara seramai 1,500 di kilang berkenaan akan diberhentikan kerja. Dua lagi barisan produksi yang turut menghasilkan Camry dan Lexus ES juga tidak akan terjejas.

    Menurut laporan itu lagi, sehingga Oktober lalu, Toyota menjual sekitar 289,800 unit Camry di Amerika Syarikat untuk tahun ini, atau 6.1 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu, walaupun model yang kini sedang dijual merupakan model baharu sepenuhnya.

     
     
  • Hyundai Santa Fe generasi keempat di KLIMS 2018

    Hyundai Santa Fe generasi keempat di KLIMS 2018

    Hyundai Malaysia tidak mahu ketinggalan untuk memanfaatkan tumpuan terhadap acara KLIMS 2018; jenama Korea ini akan menerima pertambahan penawarannya di sini dengan pengenalan model SUV Santa Fe generasi keempat.

    Melalui laman Facebook rasminya, Hyundai Malaysia mengeluarkan sebuah teaser dengan imej lampu depan model terbabit, sekaligus memberi pengesahan bahawa model berkenaan sudah bersedia untuk memasuki pasaran tempatan.

    Di rantau ini, Santa Fe generasi bukanlah terlalu asing. Ogos lalu, mode ini sudah pernah diperkenalkan untuk pasaran Indonesia ketika pameran GIIAS 2018. Di sana, Hyundai Santa Fe generasi keempat ini menampilkan dimensi yang lebih besar dari model sebelumnya.

    Hyundai Santa Fe generasi keempat di KLIMS 2018

    Ia diukur dengan 4,770 mm panjang dan 1,890 mm lebar, atau 80 mm lebih panjang dan 10 mm lebih lebar dari model DM generasi ketiga. SUV ini juga mempunyai jarak roda 2,765 mm atau 65 mm lebih panjang dari sebelum ini. Model tertinggi SUV ini turut dipadankan dengan rim bersaiz 19-inci.

    Untuk pasaran republik berkenaan, Santa-Fe baharu tersebut dijual dalam dua varian iaitu GLS dan XG, serta satu pilihan enjin petrol dan satu pilihan enjin diesel. Bagi model petrol, SUV bersaiz besar ini menerima enjin NA 2.4 liter MPI digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Hyundai Santa Fe generasi keempat di KLIMS 2018

    Untuk pilihan diesel, Santa-Fe dijana enjin dari siri R 2.2 liter turbodiesel CRDi dengan sistem e-VGT, menghasilkan kuasa 193 PS dan tork maksima 436 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik Shiftronic lapan-kelajuan. Satu lagi enjin yang direka untuk Santa Fe iaitu 2.0 liter petrol T-GDI tidak ditawarkan di Indonesia.

    Ia di jual pada pasaran negara tersebut pada harga bermula 499 juta (RM140,997) untuk model petrol GLS hingga Rp 569 juta (RM160,776) untuk model tertinggi diesel XG. Kalau anda berminat untuk menjadi yang terawal mendekati model ini, jumpa di KLIMS 2018 yang akan bermula ada 22 November hingga 2 Disember ini di MITEC, Kuala Lumpur.

     
     
  • VW Tharu dan Tayron sertai barisan SUV di China

    VW Tharu dan Tayron sertai barisan SUV di China

    Volkswagen telah mengumumkan tiga lagi SUV baharu akan menyertai barisan modelnya di China – Tayron, Tharu dan T-Roc yang menyertai Touareg, Tiguan dan Teramont menjadikannya enam model SUV di pasaran berkenaan.

    Versi China bagi T-Roc telah pun dijual di China sejak musim panas lalu. Dibina oleh FAW Volkswagen, model tempatan ini mempunyai jarak roda 85 mm lebih panjang berbanding T-Roc pasaran Eropah. Manakala Tayron dan Tharu secara rasminya telah diperkenalkan di Guangzhou Auto Show. Kedua-duanya telah didedahkan pada Mac tahun ini menjelang pengenalan Touareg baharu di Beijing.

    Manakala Tayron, yang dibina oleh FAW Volkswagen, diperkenalkan di China pada hujung Oktober. Menggunakan platform MQB dari Volkswagen sendiri, dengan perolehan daripada Tiguan, Tayron – yang mendapat nama hasil kombinasi perkataan “tiger” dan “iron” – disasarkan untuk pasaran SUV kelas pertengahan hingga ke atas.

    VW Tharu dan Tayron sertai barisan SUV di China

    Untuk Tharu pula, ia digambarkan sebagai “SUV famili paling berkuasa”. Juga dibangunkan dengan casis MQB, Tharu berukuran 4,453 mm panjang, selebar 1,841 mm dan setinggi 1,632 mm, dengan jarak roda 2,680 mm, diposisikan pada kelas kompak dan antara Tiguan dengan T-Roc kalau ikut saiznya.

    Volkswagen berkata dengan bahagian penyimpanan barang berkapasiti 455 liter, ia boleh dipertingkatkan sehingga 1,542 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan.

    Ketiga-tiga model ini dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan, termasuk versi tempatan bagi T-Cross yang mungkin ditampilkan pada musim bunga. Menjelang 2020, Volkswagen mensasarkan untuk memiliki 12 model SUV dijual di China.

     
     
  • Toyota bawa model konsep FT-1, i-Road dan jentera lumba TS030 ke KL International Motor Show 2018

    Toyota bawa model konsep FT-1, i-Road dan jentera lumba TS030 ke KL International Motor Show 2018

    Toyota reveals the FT-1 sports car concept at the North American International Auto Show in Detroit, Monday, January 13, 2014. FT-1 stands for “Future Toyota,” and the number “1” represents the ultimate. Photo: Joe Polimeni

    Sebelum ini UMW Toyota (UMWT) telah mengumumkan bahawa dua model baharu mereka iaitu Toyota Camry dan juga Vios – kedua-duanya dari generasi baharu – akan di bawa ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia ( MITEC), minggu ini. Kini pengedar rasmi jenama Toyota di Malaysia tersebut mengesah bahawa model konsep Toyota FT-1 dan i-Road, serta kereta lumba hibrid Le Mans Prototype 1 (LMP1) TS030 turut akan di bawa pada acara berkenaan.

    Ketiga-tiga kereta tersebut bukanlah perkara baharu, namun peluang untuk melihatnya secara dekat bukanlah perkara yang selalu muncul. Bagi mereka yang belum mengetahui, model konsep FT-1 berkenaan telah muncul buat kali pertama pada tahun 2014, dan ia sebenarnya adalah versi konsep untuk Toyota Supra generasi baharu yang akan didedahkan secara rasmi Januari tahun hadapan, di Amerika Syarikat.

    Bagi kereta lumba LMP1 TS030 pula, ia adalah jentera lumba untuk musim 2012 dan 2013, dan merupakan pengganti kepada jentera Le Mans sebelum itu, Toyota GT-One (TS020) yang berlumba buat kali terakhir pada tahun 1999.

    “TS030 merupakan bukti bahawa kegagalan adalah peluang untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik, Temui model perlumbaan yang mengevolusikan jentera TS050, juara FIA World Endurance Championships 2018 di KLIMS 2018,” kata UMWT dalam laman sosial Facebook mereka.

    “Kegagalan” yang di maksudkan oleh UMWT berkenaan adalah walaupun TS030 merupakan jentera yang tidak berjaya, menerusi kereta tersebut banyak yang Toyota pelajari dan akhirnya buat pertama kali Toyota bergelar juara pada perlumbaan tersebut, setelah kali terakhir jenama Jepun merangkul gelaran yang sama adalah menerusi pasukan Mazda dengan jentera 787B pada tahun 1991.

    Manakala untuk model konsep Toyota i-Road, ia adalah kenderaan mobiliti ringkas dengan dua tempat duduk dan tiga roda, serta berkebolehan untuk mengambil selekoh seperti sebuah motosikal.

    Teruja? Jadi jangan lupa luangkan masa anda ke acara ini yang akan berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2018.

     
     
  • Toyota Avalon dan Camry TRD – talaan casis dan suspensi dipertingkat, tampil rupa lebih agresif

    Toyota Avalon dan Camry TRD – talaan casis dan suspensi dipertingkat, tampil rupa lebih agresif

    Selepas teaser untuk dua model ini disiarkan tempoh hari, kini sedan Toyota Avalon dan Camry TRD telah didedahkan secara rasmi. Kedua-dua sedan besar berkenaan dibina berasaskan model yang dijana enjin V6 3.5 liter, diberikan peningkatan dari segi pengendalian dan juga rupa yang lebih agresif, hasil talaan Toyota Racing Development (TRD) dan rekaan oleh Calty Design.

    Untuk Avalon TRD, ia diasaskan dari varian paling sporty iaitu XSE, manakala bagi Camry pula varian asas yang digunakan dari versi SE. Kedua-dua model ini menerima talaan semula pada casis, dengan pemadanan pendakap-pendakap bawah badan yang lebih tebal, bagi mendapatkan kawalan badan yang lebih solid.

    Set penyerap hentak juga ditukar dengan unit-unit khas yang telah ditala semula, bersama spring baharu yang merapatkan kedua-dua badan sedan tersebut ke permukaan tanah sebanyak 0.6-inci, bukan sahaja untuk mendapatkan stance yang lebih agresif, malah turut memperbaiki titik gravitinya. Brek hadapan juga dipertingkat dengan penggunaan cakera 12.9-inci dan angkup dua omboh berwarna merah berbanding cakera 12-inci dan angkup omboh tunggal pada model standard.

    Toyota Avalon dan Camry TRD – talaan casis dan suspensi dipertingkat, tampil rupa lebih agresif

    Untuk Camry TRD, ia diberikan set penyerap hentak dari TRD. Bukan itu sahaja, ia turut dipadankan dengan set spring dan bar anti oleng yang lebih keras, menjadikan kekerasan olengan meningkat 44% di hadapan dan 67% di belakang. Namun menurut Toyota, talaan yang diberikan ini masih mengekalkan kualiti pemanduan atas jalan TRD.

    Talaan berkenaan dilengkapkan dengan set rim TRD berwarna hitam matte dengan diameter 19-inci dan lebar 8.5 jj. Walaupun set rim baharu ini setengah inci lebih lebar dari rim pada varian XSE, setiap unit rim TRD berkenaan adalah 1.4 kg lebih ringan. Dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza 235/40R19, Toyota mendakwa gandingan ini mampu membuang berat yang tidak diperlukan, meningkatkan cengkaman sisi dan juga mempercepat respon ketika masuk ke selekoh.

    Untuk rupa luaran, Camry TRD menerima gril baharu kemasan hitam berkilat dengan elemen mesh. Selain itu, ia diberikan splitter udara hadapan, skirt sisi, spoiler belakang dan juga diffuser udara yang lebih agresif – kesemuanya dalam kemasan hitam dengan serlahan jalur merah. Camry TRD ini juga diberikan bumbung berwarna hitam, dan ditawarkan dengan tiga warna badan iaitu Supersonic Red, Windchill Pearl serta Celestial Silver Metallic.

    Bahagian dalamannya pula diberikan tema warna hitam keseluruhan bersama serlahan-serlahan merah pada benang jahitan dan juga tali pinggang keledar. Upholsteri kulit Black Sport SofTex diberikan pada tempat duduk manakala stereng dan tombol gear turut dibaluti kulit. Logo-logo TRD pula boleh ditemui pada perehat kepala, tombol gear, karpet lantai, dan juga paparan pelbagai info.

    Beralih kepada Avalon TRD, ia turut mendapat talaan yang hampir sama pada bahagian pengendalian. Set rim TRD 19 x 8.5-inci pada sedan ini dihasilkan 8.1 kg lebih ringan dari set rim asal, manakala sentuhan Calty Design diberikan pada bahagian yang sama untuk luaran dan dalaman, termasuk rekaan bampar hadapan yang begitu agresif menerusi elemen mesh yang sangat besar.

    Avalon tidak hadir dengan pilihan bumbung hitam, namun keseluruhan badan ditawarkan empat warna iaitu Supersonic Red, Windchill Pearl, Celestial Silver Metallic dan Midnight Black Metallic.

    Diasaskan dari varian-varian tertinggi bermaksud kedua-dua sedan ini menerima spesifikasi penuh termasuk sistem keselamatan dan bantuan pemanduan Toyota Safety Sense-P yang menampilkan ciri seperti brek keselamatan automatik Pre-Collision Braking.

    Tiada perubahan kuasa pada kedua-dua model ini, di mana enjin V6 2GR-FKS asal masih menghasilkan 301 hp/363 Nm. Namun Toyota menyatakan bahawa versi TRD ini memberikan bunyi enjin yang ‘lebih merdu’ menerusi pemadanan sistem ekzos cat-back dengan dua tip ekzos krom yang lebih besar dari standard. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan Sport Mode dan pedal penukar gear pada stereng.

    Menurut Toyota, “talaan litar” yang diberikan pada Avalon dan Camry TRD ini dihasilkan oleh jurutera TRD yang memberikan karekteristik baharu kepada kedua-duanya menerusi pembangunan dan ujian ekstensif di litar ujian Toyota Arizona, litar ujian TMC Higashi-Fuji di Jepun dan juga Motorsport Ranch di Texas, Amerika Syarikat.

    Kedua-dua Toyota Avalon dan Camry TRD ini merupakan model untuk tahun 2020, dan ia akan mula masuk kepasaran Amerika Syarikat bermula musim luruh 2019. Kita di Malaysia tidak akan menerima Avalon walaupun dalam varian asas, namun Camry generasi baharu berkenaan akan membuat penampilan sulung pada Kuala Lumpur International Auto Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung minggu ini dalam varian 2.5V, dan bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

    GALERI: Toyota Camry TRD 2020

    GALERI: Toyota Avalon TRD 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025