Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Iriz R5 pertahankan gelaran juara untuk Forest Rally Stage di Goodwood Festival of Speed 2018

    Proton Iriz R5 pertahankan gelaran juara untuk Forest Rally Stage di Goodwood Festival of Speed 2018

    Proton Iriz R5 dan pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) sekali lagi memenangi gelaran juara pada Forest Rally Stage di acara tahunan Goodwood Festival of Speed (FOS) yang berlangsung di United Kingdom dan berakhir semalam.

    Apa yang menarik, walaupun ‘terbalik kura-kura’ pada satu selekoh hairpin di hari pertama, Proton Iriz R5 yang dipandu oleh Oliver Mellors ini masih lagi berjaya mengekalkan penguasaannya pada perlumbaan tersebut.

    Proton Iriz R5 ini membuat kemunculan sulungnya dikhalayak ramai pada acara yang sama tahun lalu, dan terus memenangi Forest Stage Rally pada FOS 2017. Kereta ini juga sebelum ini dikhabarkan akan menyertai Kejohanan Rali Dunia tahun ini dalam kategori WRC2, manakala ujian terakhir bagi memuktamadkan talaan serta penggunaan komponen yang akan digunakan pada proses homolagasi perlumbaan tersebut sudahpun dibuat Mei lalu, namun sehingga kini masih lagi belum ada apa-apa pengumumam dibuat oleh MEM.

    Jentera rali ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Selain dari Goodwood, Iriz R5 juga telah berlumba dalam tiga perlumbaan – menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    April lalu, Proton telah menayangkan Iriz R5 di Malaysia namun ia hanyalah sebuah replika. Walaupun sekadar replika, kereta berkenaan sebenarnya turut dibina oleh MEM di UK, dan menggunakan kit-kit badan asli sama seperti jentera sebenar.

     
     
  • LRT3: Saiz stesen, kapasiti kereta api diselaraskan semula ikut kesesuaian dan bajet yang diluluskan

    LRT3: Saiz stesen, kapasiti kereta api diselaraskan semula ikut kesesuaian dan bajet yang diluluskan

    Kementerian Pengangkutan mengesahkan saiz stesen dan kapasiti kereta api Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dikurangkan dan diselaraskan kerana pengurusan Prasarana Malaysia sebelum ini telah mengarahkan spesifikasi yang melebihi keperluan sistem LRT3 yang diperlukan dan unjuran penumpang.

    Di mana spesifikasi yang telah disemak semula mendapati bahawa 22 set tren 3-koc adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung permintaan penumpang pada waktu ini, laporan Bernama.

    Menurut kementerian, stesen LRT perlu direka bentuk untuk menampung permintaan sebenar penumpang dan bukannya bagi memenuhi tuntutan yang tidak realistik yang mengakibatkan peningkatan kos yang mendadak. Malahan jumlah 22 set tren tersebut termasuk peruntukan bagi dua set tren di bawah penyenggaraan dan satu set tren untuk tujuan bersiap sedia, menepati piawaian antarabangsa.

    LRT3: Saiz stesen, kapasiti kereta api diselaraskan semula ikut kesesuaian dan bajet yang diluluskan

    Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan untuk menampung penumpang selepas tahun 2050, tambahan set tren 3-koc boleh didapatkan kelak memandangkan stesen-stesen LRT ini boleh menampung set tren 4-koc. Bukan itu sahaja, stesen, saiz platform dan concourse yang akan dibina bagi menampung set tren 4-koc juga mampu menampung jumlah penumpang bagi 2050 dan seterusnya.

    Tambah kenyataan yang dikeluarkan itu lagi, bilangan maksimum penumpang yang diunjurkan bagi satu arah setiap jam (pphpd) adalah 6,185 untuk tahun 2034. Jumlah ini mampu ditampung oleh 22 set tren 3-kereta yang dapat membawa 6,210 penumpang satu arah setiap jam, ujar kementerian terbabit.

    Baru-baru ini, Menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, terdapat lima stesen akan ditangguhkan pembinaannya kerana mempunyai unjuran di bawah paras 1,500 penumpang sehari setiap stesen pada 2020. Walau bagaimana pun, ia akan dibina secara progresif apabila terdapat pertambahan penumpang dan peningkatan kepada permintaan. Stesen itu ialah Lien Hoe, Temasya, Persiaran Hishamuddin, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

    LRT3: Saiz stesen, kapasiti kereta api diselaraskan semula ikut kesesuaian dan bajet yang diluluskan

    Di samping itu, reka bentuk semula dan kemudahan stesen yang disediakan akan dilaksana berdasarkan kepada standard stesen LRT sedia ada laluan Kelana Jaya dan ia lebih daripada mencukupi untuk menampung jumlah penumpang yang diunjurkan.

    Dengan semakan semula ini, pengurangan kos projek sebanyak RM15 bilion atau 47% daripada RM31.6 bilion asalnya kepada RM16.6 bilion akan memberi impak positif dari segi daya maju operasi yang lebih tinggi dan tambang tiket yang lebih murah.

     
     
  • Yamaha Grand Filano Hybrid dilancar di Thailand – harga RM7.5k, beri saingan kepada Honda PCX Hybrid

    Yamaha Grand Filano Hybrid dilancar di Thailand – harga RM7.5k, beri saingan kepada Honda PCX Hybrid

    Kedudukan Honda yang mendakwa mereka mempunyai model dua roda produksi pertama di dunia yang menggunakan enjin hibrid, iaitu melalui model PCX Hybrid tidak bertahan lama apabila pesaing mereka, Yamaha memperkenalkan pula Grand Filano Hybrid. Model ini sudah pun dilancarkan di Thailand, dengan harga bermula 62,000 baht (RM7,500) dan boleh didapati dalam dua varian – satu yang dilengkapi ABS, dan satu lagi tiada.

    Enjin petrol yang digunakan pada model ini adalah unit satu silinder 125 cc suntikan bahan api Blue Core, dan kemudiannya ia digabung bersama Smart Motor Generator yang dapat memberi kuasa elektrik tambahan dan menjimatkan bahan api dalam keadaan tertentu. Transmisi pula adalah unit CVT.

    Untuk menambahkan lagi penjimatan bahan api, Grand Filano Hybrid ini juga didatangkan dengan ciri start/stop yang boleh mematikan enjin apabila berhenti dan hidup kembali apabila pendikit dipulas. Suis sistem ini ada di bahagian kanan dan pemilik boleh mematikannya jika tidak suka.

    Sebagai sebuah skuter moden, Grand Filano Hybrid turut dipasang dengan kelengkapan canggih lain seperti sistem kunci pintar, lampu depan LED penuh, lampu belakang LED, soket pengecas USB berhampiran pemegang, peletak kaki penumpang yang boleh ditolak dengan mudah, ruang simpan 27 liter bawah tempat duduk dan panel meter TFT LCD berwarna.

    Kemudiannya, skuter ini dipasang dengan rim 12 inci, bersama tayar jenis tanpa tiub bersaiz 110/70 di depan dan belakang. Pilihan warna juga agak luas, dengan ada dua untuk model ABS (biru gelap dan perak) manakala untuk model biasa ada lima pilihan warna yang menarik.

     
     
  • Pulau Pinang guna 100% lampu jalan LED menjelang 2020 – negeri pertama di Malaysia yang laksanakannya

    Pulau Pinang guna 100% lampu jalan LED menjelang 2020 – negeri pertama di Malaysia yang laksanakannya

    Dalam usaha untuk menunaikan janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan negeri Pulau Pinang sedang dalam proses menukar semua lampu jalan kepada LED. Malahan mahu menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan 100% lampu jalan LED menjelang 2020, laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, proses pertukaran lampu jalan ke jenis LED ini bukan sahaja melibatkan lampu jalan yang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan tetapi juga termasuk lampu-lampu jalan yang diselenggara Tenaga Nasional Bhd (TNB).

    Katanya, di Pulau Pinang, terdapat sejumlah 33,198 tiang lampu jalan yang akan ditukar ke jenis LED menjelang 2020 manakala di Seberang Perai mempunyai 57,655 tiang lampu.

    “Penggunaan lampu jalan jenis LED ini dilihat mampu menjimat tenaga dan mengurangkan kos bil sehingga 60%. Tahun lepas, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah membuat bayaran bil untuk lampu jalan hampir RM6 juta manakala RM7 juta dibayar oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai,” ujarnya.

     
     
  • Tun Mahathir luahkan kekesalan idea bagi mewujudkan kereta nasional kedua tiada sambutan

    Tun Mahathir luahkan kekesalan idea bagi mewujudkan kereta nasional kedua tiada sambutan

    “Kita tidak layak dan tidak mampu mengada industri otomotif. Rakyat Malaysia lebih rela beli kereta import, termasuk dari Negara Cina (China). Pilihan mereka ialah kereta Jepun, dan yang ada banyak duit kereta Jerman.” Itulah antara petikan yang diluahkan menerusi catatan blog peribadi Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

    Menerusi catatannya dalam Chedet.cc semalam, Tun Mahathir meluahkan rasa kekesalan kerana idea bagi mewujudkan jenama kereta nasional kedua tiada sambutan. Idea tersebut dinyatakan pada awal Jun lalu, dalam masa yang sama, beliau berkata, Proton bukan lagi kereta nasional Malaysia kerana telah dibeli oleh China (Geely). Katanya, “Saya diberitahu bahawa tidak ada siapa yang ingin lihat kereta nasional kedua. Cukuplah dengan Proton yang dikatakan gagal.”

    Begitu juga dengan anggapan skiptikal segelintir rakyat Malaysia mengenai kereta buatan tempatan diperbuat dari ‘tin Milo’ masih berlanjutan biar pun selepas lebih 30 tahun terhasilnya Proton.

    Tun Mahathir luahkan kekesalan idea bagi mewujudkan kereta nasional kedua tiada sambutan

    “Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang. Demikian juga kereta Pony buatan Hyundai.

    “Masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea semakin baik. Demikian di pasaran hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah. Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya,” ujarnya lagi.

    Menurut Tun Mahathir, kerajaan tidak mencadang untuk membuat kereta nasional kedua ini. Ia kerana syarikat swasta sudah mampu reka bentuk, buat model tanah liat, model ujian dan mengeluar secara besar-besaran kereta bermotor. Walau bagaimana pun, apabila idea tersebut sudah ditolak awal-awal, maka kerajaan juga akan menghalang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta.

    Tun Mahathir luahkan kekesalan idea bagi mewujudkan kereta nasional kedua tiada sambutan

    “Sudah tentu Kerajaan tidak akan ada industri otomotif milik Kerajaan. Kita akan beli kereta yang diimport,” luahnya secara lebih sinis.

    Katanya lagi, “Jika kita pergi ke negara pembuat kereta seperti Jepun, Korea kita tidak akan lihat kereta yang bukan buatan negara mereka. Di Jepun kereta Jepun, di Korea kereta Korea. Kenapa? Kerana mereka tidak benar kereta asing diimport. Hasilnya kualiti kereta mereka meningkat. Dan mereka mengeksport bermillion kereta mereka. Mata wang asing pun mengalir dengan banyaknya ke negara mereka.

    “Pekerja mereka mendapat kerja dan hidup mewah. Ekonomi mereka tumbuh sehingga mereka menjadi negara maju. Industri kejuruteraan mereka maju dan mampu membantu industri kejuruteraan yang lain.”

    Tun Mahathir luahkan kekesalan idea bagi mewujudkan kereta nasional kedua tiada sambutan

    Walau bagaimana pun, perkara itu tidak berlaku di Malaysia. Katanya, apa saja jenis kereta, dari mana ia datang, apa jua tahap kualitinya, semua boleh masuk ke negara ini. Apatah lagi jika ia dikeluarkan oleh syarikat gergasi, sekaligus membolot pasaran kereta Malaysia hinggalah Proton kurang mendapat sambutan.

    “Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri otomotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot. Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan.

    “Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020,” catatan akhirnya menerusi entri tersebut.

     
     
  • Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    Medan Station 18 di Ipoh, Perak mempunyai tarikan yang cukup “kena” barangkali untuk menjadi pangkalan aktiviti bagi Rusty Factory, sebuah bengkel motosikal binaan khas dan kustom. “Karat” pada namanya terbawa-bawa dengan jelas seperti yang terlihat pada imej kawasan persekitaran di situ.

    Bengkel Rusty Factory terletak di satu sudut yang lebih sunyi di kawasan komersial berkenaan. Bangunan-bangunan rumah kedai yang ada di sekeliling kebanyakannya terbiar. Ada yang pintunya sudah roboh, ada juga yang bahagian bumbungnya sudah runtuh.

    Hanya ada satu atau dua bengkel servis kenderaan yang menghidupi kawasan berkenaan. Dan, kalau tak biasa dengan tempat-tempat seperti ini, mungkin anda sama sekali tak akan tergerak hati pun untuk merayau-rayau di sekitarnya kalau tak ada apa-apa tujuan. Tetapi, semua ini bukanlah bermaksud untuk dinyatakan sebagai kekurangan dalam bentuk apa pun; ia sebenarnya menyuntik aura tersendiri yang unik bagi Rusty Factory – penyumbang kepada attitude yang dibawa oleh bengkel kecil ini.

    Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    Dari jalan depan, untuk masuk ke lorong yang betul ke bengkel ini, ia agak senang untuk dikenal pasti; ada sebuah bas mini Mercedes-Benz lama yang akan menjadi penanda bahawa anda sudah berada di “kejiranan” Rusty Factory. Kami di paultan.org meluangkan masa beberapa jam di bengkel ini pada satu petang Sabtu yang tenang untuk bersembang santai dan mengenali dengan lebih dekat kelompok individu di sebalik jenama berkenaan.

    Bengkel ini diusahakan oleh Muhammad Khalid bin Musa – dikenali dengan nama ringkas Alip – yang kini berusia 31 tahun. Secara umum, semua kerja-kerja bengkel diusahakannya sendiri, tetapi tentulah dengan bantuan rakan-rakan kolektif lain yang berkongsi minat yang sama.

    “Saya mula buat kerja-kerja custom motosikal di bawah nama Rusty Factory ni kira dah lima tahun macam tu, dari 2012. Mula dari rumah di kampung. Dua tahun lepas barulah saya pindah ke bengkel yang ada sekarang ini,” jelas Alip, yang menyatakan penglibatan dan minatnya terhadap kerja-kerja mengubah suai estetika motosikal ini bermula sebenarnya secara tidak sengaja.

    Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    “Awal dulu, kawan-kawan yang bagi idea untuk saya cuba buat kerja-kerja ubah suai atau custom motosikal. Kalau tidak, sebelum itu saya hanya buat sedikit sebanyak modifikasi enjin untuk dapatkan prestasi bagi motosikal-motosikal kapcai bersesaran kecil.

    “Tapi, sebab dah memang minat motosikal, jadi saya perlahan-lahan masuk dunia custom ni,” tambah Alip yang hanya belajar sendiri tentang semua perkara yang diperlukan untuk menjadikan idea yang ada itu satu kenyataan.

    “Jadi, ada kawan yang bagi motosikal mereka untuk saya ubahkan penampilannya. Antara yang terawal ialah motosikal Yamaha RS100 lama,” jelas Alip. Sepanjang penglibatannya setakat ini, sudah hampir 50 motosikal pelanggan dan rakan-rakan yang mendapat sentuhannya.

    Tapi yang paling menarik adalah tentang rekaan sebuah motosikal lama, Honda CX500 tahun 1979 yang dihasilkannya tahun lalu. Mengapa? Melalui motosikal inilah Alip dan rakan-rakannya meluahkan seratus peratus idea dan kreativiti “buas” mereka untuk mengubah secara menyeluruh imej motosikal berkenaan.

    Tanpa perlu memikirkan tentang input dari pemilik/pelanggan atau tanpa perlu risau tentang hal-hal lain yang bersangkutan dengannya. Apa yang mereka perlu lakukan adalah untuk menghasilkan sebuah motosikal kustom tanpa apa juga pantang larang atau kekangan.

    “Motosikal ini sebenarnya kami jumpa di sebuah kedai besi buruk, yang ada juga buat perniagaan kitar semula botol kaca. Dalam tahun 2013. Dengan harga RM2,000, kami ambil keputusan untuk beli, walaupun sebenarnya tak tahu apa nak buat dengan motosikal berkenaan waktu itu. Lama motosikal ini terbiar walaupun dah berada dalam simpanan saya,” jelasnya.

    Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    “Antara yang awal saya buat ialah buka dan baraikan bahagian enjin. Dua tahun lamanya saya termenung tak tahu nak buat apa dengan enjin itu. Lepas itulah baru saya belajar macam mana nak pasang balik semua komponen yang ada. Macam mana caranya? Memanfaatkan internet, saya muat turut buku panduan asal model berkenaan yang dikeluarkan oleh Honda dan buat percubaan sendiri untuk pasang balik sampai berjaya,” tambah Alip.

    Hanya pada tahun 2017 barulah motosikal terbabit muncul semula dalam bayangan kepala Alip untuk diberi nyawa baru; itu pun selepas mengambil keputusan untuk ikut serta di dalam pertandingan motosikal binaan khas oleh bakat-bakat tempatan sempena acara Art of Speed (AOS 2017) tahun yang sama.

    “Jadi, waktu itu barulah saya cari jalan macam mana nak teruskan idea untuk projek ni. Oleh kerana tak cukup duit, saya teringatkan seorang kawan dan juga pelanggan yang pernah suarakan keinginan untuk memiliki motosikal Honda CX500 ini, lama dulu. Jadi saya hubungi dia dan buat satu perjanjian,” jelasnya.

    Alip menawarkan kesanggupan untuk melepaskan motosikal terbabit dengan satu syarat; kawan itu tadi perlu mengeluarkan dana untuk projek berkenaan dan tidak masuk campur dengan apa yang ingin dilakukan oleh Alip ke atas motosikal itu. Sebagai balasan, motosikal itu nanti akan bertukar tangan hak milik kepada kawannya itu. Dan persetujuan pun dicapai.

    Maka dalam tempoh enam bulan dari Januari 2017, Alip meluangkan masa dan tenaga sepenuhnya untuk membayangkan motosikal yang bakal dihasilkan itu. “Memang dari awal saya dah ada perancangan apa nak buat terhadap motosikal ini. Tapi, macam biasa, yang terjadi tak selalunya sama dengan apa yang kita rancang,” jelasnya.

    Dua bulan sebelum tarikh akhir untuk siapkan motosikal terbabit, Alip berhenti mengambil tempahan dari pelanggan. Dan, dalam tempoh-tempoh akhir itu juga apa yang dirancang pada awalnya mempunyai takdir yang tersendiri dan bertukar menjadi sesuatu yang lain pula ceritanya.

    “Sudahnya, saya buang sub-frame belakang pada motosikal asal. Masih gunakan enjin yang sama tapi dah siap overhaul, dan saya ubah sepenuhnya proportion asal rekaan motosikal ini untuk jadi satu motosikal yang sama sekali berlainan,” tambahnya. Bagi enjin, tiada apa-apa ubah suai dilakukan – dari spesifikasi asal enjin V-Twin 496 cc dua-silinder dengan empat-injap itu mampu menghasilkan 50 hp yang disalurkan oleh kotak gear lima-kelajuan manual.

    Lain-lain, bahagian bawah fork depan juga ditambah untuk dapatkan “garis kedudukan” yang lebih menarik bagi motosikal ini. Suspensi tunggal di belakang, tak ada meter apa pun yang tinggal serta tempat duduk khas menjadi antara penyumbang kepada imej ganas yang dibawa oleh jentera ini. Hasilnya adalah seperti apa yang dapat kita lihat kini, sebuah motosikal yang sama sekali menerima sentuhan rekaan yang radikal jika dibandingkan dengan wajah asalnya.

    Dengan kos hampir RM30,000 yang dikeluarkan untuk kerja-kerja ubah suai serta pembelian alat ganti asal terutamanya bagi komponen enjin, kepuasan sebenar dari semua ini bukanlah habuan wang ringgit. Sebaliknya ia adalah untuk melihat kemampuan diri dan bakat tempatan untuk tampil menghasilkan sesuatu yang diluar jangkaan.

    “Perkara yang saya beri perhatian bagi projek ini ialah untuk menghasilkan sebuah motosikal dengan estetika rekaan dan penggayaan yang berada di luar daripada kebiasaan. Dan daripada maklum balas yang diterima, rasanya Rusty Factory berhasil untuk mencapai perkara itu,” tambah Alip yang ironinya ketika ini tidak pun mempunyai motosikal sendiri.

    “Saya beri nama motosikal ini Fire Ant, atau Semut Api. Dan nampak gayanya ramai yang suka dengan apa yang mereka lihat pada motosikal ini. Bahkan, pemerhati perkembangan motosikal kustom dari luar negara pun ada yang kagum dengan hasil yang kami tunjukkan, kerana menurut mereka model motosikal ini bukanlah senang untuk dikerjakan, apa lagi untuk lari jauh dari penampilan model asalnya yang membosankan. Itu pujian yang cukup besar untuk kami,” tambah Alip. “Semut Api” ini merupakan juara bagi pertandingan motosikal binaan khas oleh bakat tempatan pada acara AOS 2017.

    Apa selepas ini? “Saya sedang usahakan sebuah lagi motosikal binaan khas sepenuhnya yang diasaskan dari motosikal BMW R75/6 tahun 70an (kerangka putih dalam gambar) untuk acara AOS tahun ini. Selain itu, saya juga ingin beri tumpuan dan cari jalan macam mana nak perluaskan potensi perniagaan. Paling penting, macam mana nak bawa hasil kerja Rusty Factory ini ke peringkat luar pula, mungkin boleh dimulakan dengan negara-negara serantau dahulu. Itu yang kami ingin cuba lepas ni,” ujar Alip.

    Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

    Dengan sebungkus dua air milo dan nescafe ais jadi peneman, sisa petang Sabtu itu kami habiskan dengan bual santai tentang macam-macam hal berkaitan minat mereka terhadap budaya motosikal tempatan, disertai juga antaranya oleh Cheng dari FNG Works yang juga sedang menyiapkan sebuah motosikal street cub 600 cc dari asas sebuah Honda C70, serta teman-teman lain yang rapat dengan Rusty Factory.

    Seperkara yang menarik perhatian adalah bagaimana keghairahan dan minat mendalam mereka terhadap dunia dan budaya kreatif sebenarnya mampu ditolak ke sempadan yang lebih jauh. Dan, untuk itu, Ipoh akan terus berada di dalam peta penggemar-penggemar motosikal dan seni kreatif. Harapnya Rusty Factory dan teman-teman dapat mencari jalan untuk menjaja bakat mereka ke daerah yang lebih jauh selepas ini.

    Dari arkib rasmi Rusty Factory (Kredit: Azha Rozali)

     
     
  • Kadar SST akan dibentangkan di Parlimen Ogos ini – jualan dicadang pada kadar 10%, servis 6%

    Kadar SST akan dibentangkan di Parlimen Ogos ini – jualan dicadang pada kadar 10%, servis 6%

    Menjelang pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 September ini, kerajaan menerusi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan kadar 10 peratus cukai barangan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah cukai berkenaan, manakala Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen Ogos ini, menurut laporan Berita Harian.

    Cukai SST tersebut bakal menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang kini dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun lalu. Langkah ini juga menandakan bahawa ‘jualan murah’ tanpa cukai kereta-kereta baharu bermula awal bulan lalu bakal berakhir pada hujung Ogos ini.

    Kadar SST akan dibentangkan di Parlimen Ogos ini – jualan dicadang pada kadar 10%, servis 6%

    Pemain-pemain industri sebelum ini menjangkan sekiranya SST benar-benar diimplementasi pada kadar 10%, ia berkemungkinan akan menyebabkan harga kereta lebih mahal ketika era GST. Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad dilaporkan berkata pada Mei lalu, “sebelum GST diimplementasikan, SST pada kadar 10%. Jika kita mengambil kira angka ini, kami jangka harga kenderaan akan naik, selepas-SST. Ini merupakan jangkaan mudah jika kadarnya sama.”

    Sejak bulan lalu, dilaporkan jualan kereta-kereta baharu di Malaysia mula meningkat bukan sahaja kerana ‘cuti cukai’ yang dinikmati, malah pengeluar-pengeluar giat menjalankan promosi-promosi sempena sambutan hari raya. Sehingga kini, syarikat-syarikat automotif mula melaporkan bahawa stok-stok yang boleh dihantar sebelum bermulanya pungutan SST berkenaan semakin menyusut, manakala tempoh berkenaan ada lebih kurang satu setengah bulan lagi.

     
     
  • BMW M Performance Parts Concept tunjuk aksesori lebih agresif yang akan ditawarkan kepada pemilik

    BMW M Performance Parts Concept tunjuk aksesori lebih agresif yang akan ditawarkan kepada pemilik

    Semasa acara Goodwood Festival of Speed, BMW telah mempertontonkan sebuah M2 yang lengkap dengan barisan aksesori baru dan dipanggil sebagai BMW M Performance Parts Concept. Dengan aksesori ini, lebih 60 kg berat dapat dikurangkan, selain ciri aerodinamik turut dapat dipertingkat.

    Aksesori ini akan ditawarkan sebagai tambahan kepada aksesori M Performance Parts yang sudah ada sekarang dan kebanyakannya dibuat daripada gentian karbon. Ini termasuk gril hadapan, bonet, panel tepi, winglet hadapan, side sill dan bumbung. Kesemua aksesori ini dijangka boleh didapati bermula bulan ini kecuali bumbung iaitu pada tahun hadapan.

    Untuk rim, BMW M Performance Parts Concept ini menggunakan unit 19 inci bercabang Y 763M yang enam kilogram lebih ringan berbanding rim biasa dan ia dipadankan bersama tayar jenis semi-slick. Selain mengurangkan berat, ia juga dapat membantu dinamik kenderaan dan tindak balas stereng.

    Pada bahagian belakang, terdapat pintu but yang dibuat daripada gentian karbon, dan ia mempunyai berat lima kilogram lebih ringan berbanding unit standard, dan di bawahnya terdapat diffuser yang juga dibuat daripada gentian karbon – 0.5 kg lebih ringan.

    Bukan setakat luaran, bahagian dalam juga diperlengkap dengan barisan aksesori baru yang menggunakan lebih banyak bahan Alcantara dan gentian karbon. Pada tempat duduk, selain menggunakan unit yang lebih ringan, ia juga diserikan dengan sulaman logo M warna emas.

    Untuk meningkatkan kemampuan mencengkam jalan, BMW M Performance Parts Concept ini dipasang dengan suspensi M Performance yang sudah pun boleh didapati untuk beberapa model produksi. Dengan kelengkapan ini, kenderaan dapat direndahkan sehingga 20 mm dan lantunan serta mampatannya boleh dilaras mengikut kesesuaian.

     
     
  • BMW akan bangunkan MINI EV di China, jalin kerjasama baharu dengan Great Wall Motor

    BMW akan bangunkan MINI EV di China, jalin kerjasama baharu dengan Great Wall Motor

    Baru-baru ini, BMW dan Great Wall Motor (GWM) telah menandatangani perjanjian untuk memproduksi kenderaan elektrik MINI menerusi kerjasama 50:50 di China. Menerusi kerjasama baharu ini, ia digelar Spotlight Automotive Limited dan akan berpangkalan di daerah Jiangsu, yang turut menghasilkan EV untuk GWM. Pembangunan ini adalah hasil “penyataan hasrat” yang ditandatangani dengan GWM pada Februari lalu.

    BMW berkata, produksi MINI elektrik di China, pasaran terbesar di dunia bagi elektromobiliti, merupakan satu lagi langkah signifikan untuk masa hadapan elektrifikasi bagi jenama MINI. MINI EV yang pertama, iaitu akan berdasarkan model hatchback 3-Pintu standard, akan mula diproduksi di Oxford pada tahun hadapan.

    “Pengalaman kami sebagai perintis dan pendahulu dalam bidang elektrifikasi, ditambah dengan rekod prestasi GWM dalam perindustrian yang cekap, membolehkan kami bersama-sama memacu pertumbuhan pasaran e-mobiliti terbesar di dunia. Dengan pendekatan ini, kami dapat dengan meningkatkan pengeluaran dan kecekapan dengan pantas dalam segmen kenderaan elektrik kompak yang sangat kompetitif,” ujar Klaus Frohlich, ahli lembaga pengurusan BMW untuk pembangunan.

    BMW akan bangunkan MINI EV di China, jalin kerjasama baharu dengan Great Wall Motor

    BMW komited untuk meneruskan kerjasama yang sukses dengan struktur dan saluran penjualan di China dan tidak mempunyai rancangan untuk menubuhkan sebuah organisasi jualan tambahan di sana untuk MINI elektrik. Kerjasama baharu ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan, perolehan dan pengeluaran EV untuk pasaran China.

    Rakan lama BMW dalam pasaran terbesar ialah Brilliance, dan baru-baru ini telah mengumumkan pengembangan bagi BMW Brilliance Automotive (BBA) JV, diikuti dengan peraturan “produksi mengikut pasaran”.

    Sebanyak 560,000 kenderaan jenama BMW telah dihantar kepada pelanggan di China pada 2017, lebih daripada dua lagi pasaran terbesar iaitu USA dan Jerman. Dua pertiga daripada semua kenderaan BMW yang dijual di China pada tahun lalu adalah diproduksikan oleh BBA. Pada 2017, China merupakan pasaran ke-empat terbesar bagi MINI, iaitu sebanyak 35,000 unit telah dihasilkan.

    GALERI: MINI Electric Concept 2017

     
     
  • Mitsubishi Malaysia tawar diskaun sehingga RM15k untuk Triton, ASX dan Outlander – berakhir 31 Ogos ini

    Mitsubishi Malaysia tawar diskaun sehingga RM15k untuk Triton, ASX dan Outlander – berakhir 31 Ogos ini

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memulakan promosi bagi barisan SUV ASX, Outlander dan pikap Triton, di mana ia menawarkan harga tanpa GST sementara stok habis sehingga 31 Ogos ini atau apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diimplemenkan kelak, mana yang tiba terlebih dahulu, bersama Bonus Merdeka.

    Bagi promosi yang hadir dengan nilai paling tinggi, Mitsubishi ASX ditawarkan dengan rebat GST sebanyak RM7,500 untuk versi 4WD dan RM6,700 bagi 2WD, sementara Bonus Merdeka pula sehingga RM8,000 untuk jumlah bonus dan rebat iaitu masing-masing sebanyak RM15,500 dan RM14,700.

    Diikuti dengan Triton Athlete yang menawarkan rebat GST sebanyak RM7,100 dan Bonus Merdeka pula RM8,000. Begitu juga dengan Manakala Triton VGT Adventure X pula ditawarkan rebat GST dan Bonus Merdeka yang sama, masing-masing RM7,100 dan RM8,000.

    Mitsubishi Malaysia tawar diskaun sehingga RM15k untuk Triton, ASX dan Outlander – berakhir 31 Ogos ini

    Bukan itu sahaja, Triton VGT AT Premium pula ditawarkan dengan rebat GST sebanyak RM6,500 dan Bonus Merdeka sehingga RM8,000. Sementara Triton VGT AT GL pula, RM5,800 bagi rebat GST dan RM8,000 untuk Bonus Merdeka. Bagi Triton VGT MT pula ditawarkan dengan RM6,000 bagi rebat GST dan Bonus Merdeka sehingga RM8,000.

    Untuk Triton MT, sebanyak RM5,200 ditawarkan bagi rebat GST dan Bonus Merdeka sehingga RM8,000. Manakala untuk Triton Quest pula dengan RM4,300 bagi rebat GST dan RM4,000 untuk Bonus Merdeka.

    Mitsubishi Malaysia tawar diskaun sehingga RM15k untuk Triton, ASX dan Outlander – berakhir 31 Ogos ini

    Outlander CKD 2.4L juga tidak ketinggalan menerima promosi menarik ini, iaitu RM8,700 bagi rebat GST dan Bonus Merdeka sehingga RM4,000. Sementara versi 2.0L pula ditawarkan dengan RM7,800 bagi rebat GST dan Bonus Merdeka pula RM4,000.

    Harga bagi model yang termasuk dalam promosi ini adalah harga atas jalan untuk pendaftaran persendirian bagi Semenanjung Malaysia sahaja, tidak termasuk Langkawi. Sebagai tambahan bagi promosi harga Merdeka, bilik pameran Mitsubishi juga akan menganjurkan sesi pandu uji dan memberikan hadiah istimewa bagi yang menempahnya, serta beberapa aktiviti menarik khas untuk para pengunjung.

    GALERI: Mitsubishi Triton Athlete

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4 CKD

    GALERI: Mitsubishi ASX

     
     
  • JPJ Perlis peroleh keuntungan sebanyak RM45 juta dalam tempoh dua tahun hasil tender plat nombor

    JPJ Perlis peroleh keuntungan sebanyak RM45 juta dalam tempoh dua tahun hasil tender plat nombor

    Tidak dinafikan, penjualan plat nombor mampu memberikan keuntungan yang besar, walau bagaimana pun kerajaan baharu telah memutuskan tiada lagi mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diberikan kebenaran untuk menjual plat nombor khas. Hanya tinggal beberapa sahaja lagi plat nombor khas yang masih dibenarkan untuk dijual sehingga hujung tahun ini.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis yang pernah menjual beberapa siri plat nombor “yang menarik” turut tidak ketinggalan memperoleh keuntungan besar menerusinya. Pihak berkenaan telah mendedahkan, sebanyak RM45.17 juta telah diperoleh hasil tender plat nombor yang dibuka tender sejak 2015 hingga tahun lalu, dengan RM12.2 juta daripada siri “RR” sahaja. Manakala “RM” turut mencatatkan keuntungan yang besar.

    “Bidaan tertinggi dalam sejarah JPJ Perlis ialah RR 6 yang memperoleh RM459,800,” ujar pengarahnya Shahrul Azhar Mat Dali, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.Tambahnya lagi, hasil kutipan dari jualan nombor plat setakat tahun ini ialah RM12.07 juta.

    Nombor plat menarik yang terkini ialah RY 1 hingga RY 9999, yang mula dibuka bidaan pada 5 Julai lalu dan bakal ditutup pada 18 Julai ini.

     
     
  • Honda Dash 125 dilancar di M’sia – harga dari RM6k

    Honda Dash 125 dilancar di M’sia – harga dari RM6k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd telah melancarkan satu model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Dash 125 yang ditawarkan dalam tiga variasi – satu brek cakera (belakang dram) pada harga RM5,999, dua brek cakera pada harga RM6,299 dan Edisi Repsol pada harga RM6,499. Harga ini tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain. Pilihan warna pula ada empat iaitu Pearl Magellanic Black, Vivacity Black, Pearl Nightfall Blue dan Repsol Edition.

    Honda Dash 125 dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC berpenyejukan udara 124.89 cc suntikan bahan api PGM-FI yag dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Tangki bahan api yang disediakan pada motosikal ini mempunyai kapasiti 4 liter, dan semua varian dipasang dengan rim sport bersaiz 17 inci bersama tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang. Suspensi hadapan pula menggunakan fork teleskopik manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak biasa.

    Selain enjin yang lebih berkuasa (Wave Dash sebelum ini menggunakan enjin 109 cc), Dash baru ini juga ditambah baik dengan lampu depan jenis LED serta rekaan meter serba baru yang lebih moden dan jelas dilihat. Pada bahagian rim terdapat jalur pelekat berwarna terang yang menambah gayanya dan ia turut didatangkan dengan pemula jenis tendang serta elektrik.

    Menambah lagi keterujaan terhadap ketibaan model Dash 125 baru ini, ia juga akan digunakan dalam siri perlumbaan Honda One Make Race di dalam Malaysian Cub Prix. Sebelum ini, siri perlumbaan tersebut dikenali sebagai Honda Wave Alpha Challenge, tetapi kini akan ditukar kepada Honda Dash 125 Challenge.

     
     
  • Nissan GT-R generasi seterusnya disasar jadi kereta sport terpantas di dunia – kekal buas, kurang sayap

    Nissan GT-R generasi seterusnya disasar jadi kereta sport terpantas di dunia – kekal buas, kurang sayap

    Menurut ketua pereka Nissan, Alfonso Albaisa, walaupun platform generasi seterusnya untuk Nissan GT-R masih lagi belum lengkap pembinaanya, kereta sport berkenaan disasar akan menjadi model paling laju dalam kelasnya kelak.

    Albaisa menyatakan perkara berkenaan ketika ditemu ramah oleh Autocar ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed, dimana model prototaip Nissan GT-R50 yang dibina bersama firma rekaan Itali iaitu Italdesign membuat kemunculan sulungnya. Beliau turut menjelaskan bahawa GT-R generasi selepas ini tidak akan menerapkan rekaan dari GT-R50, tetapi ia “akan menjadi kereta istimewa yang tersendiri” dan “kereta super sport terpantas di dunia”.

    Dia juga menjelaskan bahawa Nissan belum membuat keputusan mengenai berapa banyak teknologi elektrik akan diterapkan pada GT-R generasi baharu nanti. “Sama ada kami akan memperbanyakkan teknologi elektrik atau tidak akan menggunakannya langsung, kami masih boleh mendapatkan kuasa yang lebih banyak,” katanya.

    “Tetapi kami sememangnya akan membina ‘platform’ baharu dan matlamat kami jelas: GT-R perlu menjadi kereta terpantas dalam kelasnya. Ia perlu menguasai litar. Dan ia perlu bermain dalam permainan teknologi terkini; tetapi tidak bermaksud ia perlu melibatkan teknologi elektrik,” jelas Albaisa lagi.

    Nissan GT-R generasi seterusnya disasar jadi kereta sport terpantas di dunia – kekal buas, kurang sayap

    Model konsep Nissan Vision Gran Turismo 2020

    Setakat ini, Nissan masih belum menghasilkan model-model kereta sport yang dibantu teknologi elektrik seperti apa yang dihasilkan Honda menerusi NSX generasi baharu. Tetapi jenama berkenaan sudahpun menghasilkan unit janakuasa hibrid berkuasa tinggi yang menggabungkan enjin petrol 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo dan sistem hibrid elektrik. Unit janakuasa tersebut dibina bagi digunakan pada kereta lumba LMP1 GT-R untuk perlumbaan World Endurance Championship 2016, tetapi mereka diri sebelum perlumbaan bermula.

    Jika teknologi ini akan diterapkan dalam GT-R generasi baharu kelak, ini bermaksud GT-R akan kehilangan 800 cc kapasiti enjin berbanding enjin VR38DETT pada model sedia ada yang menjana 565 hp/633 Nm. Namun penjana baharu berkenaan dijangka boleh menjana lebih dari 600 hp bersama tork yang lebih besar tanpa masalah dengan bantuan kuasa elektrik.

    Walau bagaimanapun, Albaisa menjelaskan lagi bahawa pasukannnya masih lagi belum boleh meneruskan kerja-kerja serius kerana keputusan berkenaan unit janakuasa ini masih lagi belum diputuskan, namun beliau secara konsisten membuat penilaian terhadap lakaran-lakaran bagi kereta sport generasi seterusnya berkenaan.

    Nissan GT-R50 (kiri) dan Nissan GT-R R35 2017 (kanan)

    “Cabarannya akan terletak di bahu jurutera, secara jujurnya,” kata Albaisa dan menambah “kami akan melakukan tugas kami bagi menjadikan kereta tersebut sesuatu yang sangat istimewa. Tetapi kami masih lagi belum hampir ke tahap itu.”

    Menurutnya, GT-R generasi baharu akan menerima karekter yang berotot seperti R35 bagi mengekalkan watak “buas” pada model berkenaan. “Ia adalah binatang buas; ia perlu memaksa dan berlebihan. Bukan dalam aspek pada sayapnya, tetapi lebih kepada bentuknya, kehadirannya dan keberaniannya. Ia tidak peduli apa yang sedang supercar lain di dunia lakukan; ia hanya berkata; ‘Aku GT-R, aku batu-bata, tangkap aku.’ Ia akan menjadi batu-bata terlaju di dunia, benar. Dan apabila saya membuat lakaran semula untuk kereta ini, saya sentiasa menyatakan; ‘kurang sayap, lebih batu-bata.”

    Dengan tahap yang masih terlalu awal ini, Nissan GT-R generasi baharu dijangka tidak akan membuat penampilannya dalam masa terdekat. Ia mungkin akan hadir pada awal dekad hadapan.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S yang dinaiktaraf di Shah Alam

    Proton lancar pusat 3S yang dinaiktaraf di Shah Alam

    Proton telah melancarkan pusat 3S di Shah Alam yang dikendalikan oleh Rahman Brothers Automotive, yang dinaiktaraf, pada hujung minggu baru-baru ini. Di mana cawangan 3S terbabit telah telah ditambahbaik dan diubahsuai untuk memenuhi standard keperluan baharu yang ditetapkan bagi kategori cawangan 3S oleh Proton iaitu mempamerkan bangunan yang baharu dan segar. Selain bagi memastikan pelanggan mendapat pengalaman jualan dan perkhidmatan terbaik, dengan memastikan ia berfungsi sebagai pusat sehenti untuk kemudahan pelanggan.

    Pusat 3S ini telah menyediakan 12 petak penyelenggaraan, sembilan servis pengangkat, satu ruang penyerahan kereta, 14 ruang menunggu untuk kemudahan pelanggan, 14 petak ruang parkir pelanggan termasuk satu petak khas bagi OKU, ruang kanak-kanak, ruang minuman dan istirehat dan juga kemudahan WiFi secara percuma.

    Terletak di Wisma Rahman Brothers, No. 6 (Lot 38266), Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam, pusat 3S ini beroperasi selama tujuh hari seminggu iaitu dari jam 9 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Sabtu dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada setiap Ahad.

    Mensasarkan mampu meningkatkan jualan dan perkhidmatan sebanyak 50%, pelancaran pusat 3S ini telah disempurnakan oleh CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa, dan diiringi oleh Mohd Nazrin Mohamad Fozi selaku Pengarah Brothers Automotive Sdn Bhd.

    Sehingga 30 Jun 2018, Proton telah mencatatkan sebanyak 87 cawangan yang bersedia untuk menaiktaraf kepada 3S dan 4S, pencapaian 80% berbanding sasaran 109 cawangan menjelang akhir Oktober 2018. Malah jualan pada bulan Jun lalu mencatatkan pertumbuhan melebihi 50% berbanding Mei 2018.

    Proton turut memaklumkan pegangan saham mereka pada bulan lalu berada pada 9.9% dan telah berjaya mencapai jualan sebanyak 6,173 unit kereta sehingga separuh pertama 2018. Proton juga telah menyumbang lebih daripada RM60,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

     
     
  • Tata Nano – ‘kereta paling murah di dunia’ kini ditamatkan produksi kerana tiada lagi permintaan

    Tata Nano – ‘kereta paling murah di dunia’ kini ditamatkan produksi kerana tiada lagi permintaan

    Hampir sepuluh tahun lalu, pembuat kereta dari India – Tata – melaungkan bahawa mereka telahpun menghasilkan sebuah model kereta yang dianggap paling murah di dunia digelar Tata Nano. Namun menurut laporan, kereta berkenaan kini telah dihentikan produksinya kerana hampir tiada lagi permintaan terhadapnya.

    Menurut Tata, pada peringkat terakhir hayat produksi model ini, ia hanya akan dihasilkan berdasarkan permintaan dari pengedar. Oleh kerana permintaan yang sangat kurang, kilang Sanand Tata di Gujarat hanya menghasilkan satu unit Nano bulan lalu, berbandng 275 unit pada waktu yang sama tahun sebelumnya. Tata menyatakan bahawa model ini tidak dapat lagi dihasilkan sehingga 2019, menandakan hayat produksinya sudah pun berakhir.

    Tata Nano mencatatkan jualan tertinggi pada 2010 dengan catatan sekitar 9,000 unit berjaya dihantar kepada pembeli pada tahun berkenaan. Tetapi pada Jun lalu, Nano hanya berjaya dijual hanya tiga unit, berbanding bulan yang sama tahun lalu sebanyak 167 unit.

    Tata Nano – ‘kereta paling murah di dunia’ kini ditamatkan produksi kerana tiada lagi permintaan

    Model ini mula diperkenalkan pada tahun 2008 apabila bos jenama berkenaan, Ratan Tata mahukan sebuah model alternatif yang mampu milik dan lebih selamat dari sebuah motosikal sebagai pengangkutan persendirian. Ketika muncul di pasaran, kereta ini dijual pada harga 1 lakh atau 100,000 rupee (tidak sampai RM6,000).

    Walau bagaimanapun, dengan harga berkenaan pembeli tidak menerima sebarang sistem audio, stereng berkuasa, tingkap berkuasa mahupun sistem penghawa dingin. Ia hanya diberikan sebatang pengelap cermin dan cermin sisi juga hanya diberikan sebelah. Tata Nano juga tiada pintu tailgate belakang, dan bahagian berkenaan sebenarnya menempatkan enjin petrol dua-silinder 624 cc berkuasa 38 PS/51 Nm yang hanya boleh diakses menerusi pintu sisi belakang.

    Selain tidak diberikan kelengkapan keselamatan, Tata Nano juga dikenali sebagai sebuah kereta yang mudah terbakar, dan secara tidak langsung menafikannya sebagai sebuah pilihan ‘yang lebih selamat’ dari sebuah motosikal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025