Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VW bakal hasilkan Arteon, Tiguan dan T-Roc versi R

    VW bakal hasilkan Arteon, Tiguan dan T-Roc versi R

    Menurut laporan Autobild, Volkswagen kini sedang menghasilkan model-model berprestasi tinggi R berdasarkan model-model sedia adanya iaitu sedan Arteon dan juga dua SUV – Tiguan dan T-Roc. Ia bukan lagi khabar angin kerana ada model kini sudahpun muncul dalam bentuk prototaip, dijumpai sedang diuji.

    Sumber berkenaan menyebut T-Roc bakal dijana enjin 2.0 liter turbo TSI yang sama pada hot-hatch VW Golf R, menghasilkan kuasa 310 PS. Enjin tersebut juga dijangka bakal digunakan untuk Tiguan R, namun talaan kuasanya masih belum dapat disahkan.

    Manakala untuk Arteon R pula, berita tentang model berprestasi tinggi yang bakal menggunakan kembali enjin VR6 kini diperkukuhkan lagi. Arteon yang sememangnya mudah untuk menerima enjin VR6 kerana diasaskan dari platform MQB sebelum ini dilaporkan turut akan disuap bersama pengecas turbo bagi menghasilkan lebih dari 400 hp.

    Buat masa ini, ketiga-tiga model berkenaan masih belum menerima enjin yang benar-benar berkuasa, namun Arteon, Tiguan dan T-Roc telah pun ditawarkan dengan kit badan R-Line.

     
     
  • BMW X3 G01 kini dilancarkan di Malaysia – varian 30i Luxury, 252 hp/350 Nm, harga jangkaan RM320,000

    BMW X3 G01 kini dilancarkan di Malaysia – varian 30i Luxury, 252 hp/350 Nm, harga jangkaan RM320,000

    Seperti mana yang telah diuarkan-uarkan, hari ini BMW Group Malaysia telah pun melancarkan BMW X3 generasi ketiga untuk pasaran tempatan. Kenderaan Sports Activity (SAV) bersaiz sederhana ini hadir dengan reka bentuk dinamik, ciri pemanduan sport serta teknologi ketersambungan yang tinggi, malahan kini mempunyai misi untuk melangkau lebih jauh dalam persaingan segmen kenderaan premium.

    Cuma hadir dengan satu varian iaitu BMW X3 xDrive30i Luxury, ia ditampilkan dengan reka bentuk serba garang dan dinamik pada tahap yang lebih tinggi berbanding model yang sebelumnya. Dimensi luaran BMW X3 mungkin kelihatan sama seperti model yang terdahulu namun jarak roda kenderaan ini dipanjangkan lagi sebanyak lima sentimeter.

    Ia turut menampilkan bonet yang lebih luas serta unjur hadapan yang lebih singkat untuk mewujudkan keseimbangan yang lebih kukuh – ia juga memberi penekanan terhadap agihan berat kenderaan 50:50 yang lebih sempurna di antara gandar hadapan dan belakang kenderaan.

    BMW X3 G01 kini dilancarkan di Malaysia – varian 30i Luxury, 252 hp/350 Nm, harga jangkaan RM320,000

    Bahagian hadapannya diserlahkan dengan rekaan signatur gril kidney tiga dimensi serta lampu kabus berbentuk hexagon dan dilengkapi dengan lampu LED yang merangkumi lampu malap dan lampu suluh tinggi, lampu sisi dan lampu membelok. Model ini juga turut menampilkan teknologi bantuan lampu suluh tinggi (high-beam assistant) untuk menukar lampu hadapan yang utama kepada lampu suluh tinggi secara automatik apabila diperlukan.

    Bahagian bawah badan kereta X3 30i Luxury ini pula dilindungi dengan salutan warna Frozen Grey dan kilatan krom (High-gloss Chrome) selain turut hadir dengan tayar aloi Double Spoke dwi-warna Ferric Grey 19-inci.

    Di bahagian belakang pula, X3 ini ditampilkan dengan susunan lampu-lampu berimpak visual dari unit LED tiga dimensi, spoiler bumbung dengan rekaan unik, serta dua ekor paip ekzos yang mantap. Ruangan kargo unit kenderaan ini juga menawarkan versatiliti dengan tempat duduk belakang yang dilipatkan memberikan keluasan bonet berkapasiti 550 liter hingga 1,600 liter. Ciri Comfort Access pula akan memudahkan pengguna untuk mengakses kenderaan ini serta pintu but kenderaan ini tanpa menggunakan kunci.

    BMW X3 G01 kini dilancarkan di Malaysia – varian 30i Luxury, 252 hp/350 Nm, harga jangkaan RM320,000

    Bahagian dalamannya pula dikemaskan dengan bahan-bahan berkualiti yang bersesuaian dan ia menyerlahkan kefungsian kenderaan ini. Contohnya, konsep ruang simpanan kenderaan ini yang direka dengan ketelitian dapat diakses dengan mudah, selain permukaan penghawa dingin, audio dan juga pengawal stereng kenderaan ini yang disaluti dengan plat tergalvani serba mewah dan premium.

    Hasil kerja kualiti tinggi oleh pereka dalaman model X3 baharu ini termasuklah lambang timbul BMW X yang eksklusif, menonjol di permukaan tetiang-B, konsol, dan trim pintu belakang. Selain itu, lambang timbul BMW X yang dikurangkan ketaranya juga dapat dilihat di antara pintu hadapan dan penghujung papan pemuka.

    Ia turut dilengkapi dengan tempat duduk sport yang dikemaskan dengan kulit Vernasca serta sulaman kontra yang menawan, dilengkapi dengan pad penyandar sisi dan ruangan bahagian bahu yang mengagumkan. Papan pemuka BMW X3 terbaharu ini pula diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah untuk memberikan “Command Position” kepada pemandu yang menawarkan kawalan dan perhatian menyeluruh.

    Sesuai dengan tema mewah, ia juga menawarkan panel instrumen yang dikemaskan dengan jahitan kontra berserta jaluran trim dalaman berwarna kayu Oak gelap bersama sulaman jaluran serba krom (Pearl Chrome). Model ini juga didatangkan dengan pencahayaan enam tona warna ambien iaitu oren, ungu, hijau, gangsa, biru, dan putih di ruangan dalaman yang turut menawarkan seleksi kontur dan mood pencahayaan.

    Paparan informasi utama bersaiz 10.25-inci dipasang di atas panel instrumen dengan kawalan kefungsian sesentuh yang memberi akses intuitif terhadap informasi yang diperlukan oleh pemandu. Pemilik kereta ini juga akan mempunyai kelebihan ketersambungan yang lebih lancar terhadap kenderaan tersebut serta terhadap dunia luar dengan BMW ConnectedDrive. Tambahan pula, unit ini turut didatangkan dengan Welcome Light Carpet yang mewujudkan pesona menarik ketika anda menghampiri kereta tersebut.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kamera belakang, serta Pengawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) yang memberikan amaran akustik dan visual (untuk jarak sahaja) sekiranya terdapat halangan di kawasan belakang kenderaan tersebut. Untuk memudahkan pemandu lagi, sistem bantuan parkir ini juga boleh membantu pemandu untuk memarkir kenderaan ini dalam ruangan parkir yang selari dan lateral secara automatik.

    BMW X3 G01 kini dilancarkan di Malaysia – varian 30i Luxury, 252 hp/350 Nm, harga jangkaan RM320,000

    X3 30i Luxury dijana oleh enjin petrol BMW TwinPower Turbo 2.0 liter empat-silinder yang merangkumi pengecasan turbo TwinScroll, High Precision Injection, kawalan aci sesondol boleh ubah Double-VANOS, dan pemasaan injap boleh ubah sepenuhnya Valvetronic.

    Dengan transmisi lapan-kelajuan Steptronic Sport, ia boleh memecut dari 0-100 km dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j. Dengan keupayaan untuk menjana output maksimum sebanyak 252 hp dan tork mencecah 350 Nm, model ini menawarkan pengalaman pemanduan yang hebat dengan kecekapan yang luar biasa.

    Bagi model generasi ketiga ini, X3 30i Luxury juga didatangkan dengan rangkaian variasi konfigurasi dengan adanya suis standard Driving Experience Control yang menawarkan mod seperti ECO PRO, COMFORT, SPORT dan SPORT+.

    Pengurangan berat sebanyak 55 kg juga dilaksanakan berbanding model terdahulu, sekaligus memberi gambaran terhadap prestasi dinamik kenderaan ini yang lebih gah serta kecekapannya yang luar biasa. Selain itu, X3 juga direka dengan bacaan aerodinamik terendah iaitu 0.29 cD.

    Ia turut menawarkan variasi warna serba garang yang baharu seperti Terra Brown, Black Sapphire, Glacier Silver dan Alpine White. Ruangan dalaman kenderaan yang disertakan dengan Vernasca Black sesuai untuk dipadankan dengan Alpine White, Black Sapphire, Glacier Silver dan Terra Brown, manakala Vernasca Mokka sesuai untuk dipadankan dengan Alpine White dan Black Sapphire.

    X3 30i Luxury pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan pada harga jangkaan RM320,000 dan ia didatangkan dengan Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia yang merangkum waranti perbatuan tanpa had selama lima-tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.

    Selain itu, ia turut hadir dengan Program Waranti Tayar selama dua-Tahun oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih BMW Group Loyalty+.

    Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi lanjut mengenai X3 30i Luxury ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Honda PCX Hybrid tiba di pasaran Indonesia – RM11k

    Honda PCX Hybrid tiba di pasaran Indonesia – RM11k

    Selain kereta konsep Small RS, Honda juga telah memperkenalkan skuter PCX Hybrid untuk pasaran Indonesia sewaktu Indonesia International Motor Show (IIMS) 2018 yang sedang berlangsung sekarang. Skuter ini menjadi kebanggaan kerana didakwa adalah kenderaan dua roda hibrid pertama di dunia dan dikeluarkan sendiri di kilang AHM Suter di Indonesia.

    Daripada aspek penampilan, PCX Hybrid ini masih menggunakan elemen sama seperti PCX baru tahun 2018, tetapi ia dijadikan istimewa dengan penggunaan warna khas Hybrid Blue dan terdapat lencana Hybrid di bahagian tepinya. Di bahagian lampu pula terdapat jalur biru yang menandakan ia sebuah kenderaan hibrid.

    Disasarkan untuk penggunaan lebih mesra alam, PCX Hybrid dikuasakan oleh gabungan enjin satu silinder SOHC PGM-FI petrol 149.3 cc dan motor elektrik yang mendapat tenaga daripada bateri lithium ion 50.4 V. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin itu sahaja adalah 14.7 PS pada 8,500 rpm dan 13.2 Nm tork pada 6,500 rpm, tetapi ia boleh ditambah dengan kuasa sebanyak 1.4 kW pada 3,000 rpm dan 4.3 Nm tork pada 3,000 rpm oleh motor elektrik.

    Pengguna juga disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu D yang merupakan mod standard untuk menghasilkan padanan optimum antara kuasa dan penjimatan, S untuk Sport dan Idling untuk menutup sistem start/stop (penyampaian kuasa pula sama seperti dalam mod D).

    Bateri sistem hibrid pada motosikal ini terletak di bawah tempat duduk belakang, dan ia boleh dicas semula apabila motosikal bergerak dan membrek. Walaupun dengan sistem hibrid yang dapat membantu menjimatkan penggunaan bahan api dan memberi lebih kuasa ini, PCX Hybrid masih dilengkapi tangki bahan api yang besar iaitu berkapasiti 8 liter.

    Secara keseluruhannya PCX Hybrid mempunyai berat 136 kg dan antara kelengkapan lain padanya adalah termasuk brek ABS (cakera depan dan belakang), sistem kunci pintar, meter digital dan rim 14 inci. Ia diperkenalkan pada harga Rp40,000,000 (RM11,300) dan boleh berada di pasaran Indonesia menjelang separuh kedua tahun ini. Bagi Malaysia, PCX Hybrid juga pernah dilaporkan akan tiba di negara kita tidak lama lagi.

     
     
  • Honda Small RS Concept diperkenalkan di IIMS 2018

    Honda Small RS Concept diperkenalkan di IIMS 2018

    Honda telah menampilkan buat pertama kalinya di dunia sebuah model konsep bernama Small RS Concept di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2018. Model yang digunakan sebagai kajian untuk kereta berplatform kecil ini direka oleh pusat penyelidikan dan kajian Honda Asia Pasifik di Thailand, dan boleh memberi petanda kepada bentuk Brio masa hadapan.

    Menggunakan mata kasar, kereta hatchback ini mempunyai saiz hampir sama seperti Brio dan menampilkan bahagian hadapan seperti Mobilio facelift, terutamanya versi RS. Persamaan lain juga dapat dilihat pada warnanya, iaitu oren metalik seperti Mobilio RS dan Brio RS.

    Untuk model semasa Honda yang ada sekarang, versi RS menunjukkan ia menggunakan elemen lebih sporty, termasuk kemasan hitam yang garang. Pada Small RS ini, anda boleh melihat ia mempunyai skup udara di atas hud, spoiler yang besar, rim lima cabang warna hitam berkilat dan muncung ekzos yang bersepadu pada bahagian diffuser.

    Honda Small RS Concept diperkenalkan di IIMS 2018

    Setakat ini masih belum ada perincian teknikal yang didedahkan berkenaan Small RS ini, dan Honda sekadar memberitahu ia disasarkan kepada pelanggan berjiwa muda yang sentiasa mengambil penting ciri pemanduan sporty dan boleh digunakan hari-hari.

    “Honda Small RS Concept adalah satu perlaksanaan inovasi kami yang tiada hentinya. Ia memberi penekanan kepada semangat sporty Honda, terutamanya kepada barisan kenderaan kecil. Sebagai sebuah model konsep, ini adalah visi bagaimana sebuah kenderaan sport kecil akan kelihatan,” kata pengarah presiden PT Honda Prospect Motor (HPM), Takehiro Watanabe.

     
     
  • Suzuki Ertiga diperbaharui di Indonesia – dapat enjin 1.5L 108 PS/135 Nm, badan lebih besar dan sistem ESP

    Suzuki Ertiga diperbaharui di Indonesia – dapat enjin 1.5L 108 PS/135 Nm, badan lebih besar dan sistem ESP

    Pasaran Indonesia hari ini diperkenalkan dengan Suzuki Ertiga baru, yang menerima pelbagai peningkatan secara menyeluruh. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu paling rendah GA, diikuti GL, GX dan paling tinggi GX ESP. Harga pula masih belum disiarkan secara rasmi.

    Bermula pada platform, Ertiga serba baru ini menggunakan platform baru yang dinamakan sebagai Heartect (turut digunakan pada Swift baru), dan dikatakan lebih ringan, seterusnya dapat memberikan penjimatan bahan api serta prestasi (pemanduan, mengambil selekoh dan membrek) yang lebih baik.

    Ia juga menyumbang kepada perubahan dimensi, di mana Ertiga baru ini secara keseluruhannya 130 mm lebih panjang (4,395 mm), 40 mm lebih lebar (1,735 mm) dan 5 mm lebih tinggi (1,690 mm) berbanding Ertiga yang kini berada dalam pasaran Malaysia. Jarak roda walaubagaimanapun masih lagi sama iaitu 2,740 mm.

    Suzuki Ertiga diperbaharui di Indonesia – dapat enjin 1.5L 108 PS/135 Nm, badan lebih besar dan sistem ESP

    Dengan badan yang lebih besar ini juga, Ertiga baru dapat menyediakan lebih ruang untuk pengguna, termasuk ruang barangan yang kini 18 liter lebih besar apabila semua tempat duduk ditegakkan (153 liter), lebih 50 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat (550 liter) dan 68 liter lebih besar apabila tempat duduk baris kedua juga dilipat (803 liter).

    Penampilan kenderaan ini juga sudah berubah, bermula dengan lampu lebih nipis yang boleh didapati dengan unit projector, gril dengan empat jalur krom serta bentuk bukaan udara (sebenarnya tertutup) di penjuru bampar yang lebih besar dan menempatkan lampu kabus.

    Pergi ke bahagian belakang pula, lampunya kini lebih panjang ke atas dan mempunyai nyalaan LED (untuk varian GX), menghampiri rekaan seperti yang terdapat pada Mitsubishi XPander dan Toyota Avanza. Rim juga menggunakan rekaan baru, bersaiz 15 inci dan dibalut tayar 185/65.

    Suzuki Ertiga diperbaharui di Indonesia – dapat enjin 1.5L 108 PS/135 Nm, badan lebih besar dan sistem ESP

    Lebih menarik perhatian, Ertiga baru ini juga dikuasakan oleh enjin petrol baru, iaitu unit K15B DOHC VVT berkapasiti 1,462 cc, yang dapat menghasilkan kuasa sehingga 108 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,400 rpm – peningkatan sebanyak 16 PS dan 8 Nm.

    Ia kemudiannya dipadankan bersama pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan, dan masing-masing dikatakan dapat memberi penggunaan bahan api sekitar 18 km/l dan 16.7 km/l. Enjin baru pada Ertiga 2018 ini juga menepati tahap emisi Euro 4.

    Masuk ke dalam, bahagian atas papan pemuka Ertiga ini juga dilihat berubah, di mana ia kini mempunyai jalur yang bersambung antara corong pendingin hawa penumpang sehingga ke tengah, dan di bahagian tengahnya terdapat skrin sesentuh 6.8 inci. Bentuk stereng juga berubah dengan unit yang kini mempunyai bahagian lebih rata di bawah.

    Suzuki Ertiga diperbaharui di Indonesia – dapat enjin 1.5L 108 PS/135 Nm, badan lebih besar dan sistem ESP

    Bagi dua varian tertinggi GX, selain kombinasi penggunaan balutan kulit dan fabrik, pengguna juga akan menerima kemasan kayu pada trim pintu, stereng, papan pemuka serta konsol tengah. Selain itu, varian ini juga akan diberi dengan sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin, unit infotainmen sambungan telefon pintar dan Bluetooth, pelaras ketinggian tempat duduk dan tempat meletak cawan dengan pendingin hawa.

    Pada aspek keselamatan, Ertiga baru dilengkapi dengan dua beg udara SRS, cagak ISOFIX, brek ABS, EBD dan juga Electronic Stability Program (khas untuk varian GX ESP). Kelengkapan lain yang ada pada Ertiga baru adalah termasuk empat pembesar suara, rekaan meter baru, soket 12V dan USB di konsol tengah, satu soket kuasa berhampiran tempat duduk baris kedua dan stereng yang boleh dilaras ke atas dan bawah.

     
     
  • Dieselgate: Porsche, Audi pula diserbu pihak berkuasa

    Dieselgate: Porsche, Audi pula diserbu pihak berkuasa

    Setelah lebih tiga tahun kes penipuan menggunakan peranti pengubah ketika ujian pencemaran udara dijalankan pada model-model diesel keluaran Volkswagen Group, skandal berkenaan nampaknya masih belum reda. Terbaharu, pihak pendakwaraya kes berkenaan membuat serbuan pula keatas dua lagi jenama di bawah payung kumpulan automotif tersebut iaitu Porsche dan Audi, sebagai sebahagian dari penyiasatan skandal itu.

    Pembabitan Porsche dan Audi dikesan buat pertama kali pada tahun 2015, apabila enjin 3.0 liter V6 TDI kedua-dua jenama tersebut disyaki dilengkapi peranti pengubah ketika menjalani ujian pencemaran EPA Amerika Syarikat.

    Tiga orang termasuk ahli lembaga pengurusan Porsche, pengurus senior Porsche dan bekas pekerja Porsche disyaki dalam serbuan pihak pendakwaraya Jerman berkenaan di 10 hartanah Porsche, menurut laporan penerbitan Jerman, Handelsbatt. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaraya tidak mendedahkan nama ketiga-tiga suspek berkenaan.

    “Kami mengesahkan bahawa hari ini penyiasat telah memeriksa dan menyimpan dokumen di pejabat Porsche AG di Stuggart dan Audi AG di Ingolstadt. Audi AG dan Porsche AG telah memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan pihak berkuasa. Mohon hargai bahawa kami tidak boleh mengeluarkan sebarang komen terhadap perincian lebih lanjut kerana siasatan sedang berjalan,” respon Porsche dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Februari lalu, Porsche dilaporkan telah menghentikan penghasilan semua model diesel dalam barisan produknya. Pentadbiran VW Group juga telah dirombak di mana Herbert Diess kini menggantikan Matthias Müller sebagai pengerusi lembaga di Volkswagen, manakala CEO Porsche Oliver Blume telah dibawa untuk menyertai lembaga pengurusan kumpulan berkenaan.

    Walaupun diselubungi skandal yang cukup besar ini, VW Group masih lagi menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan merampas takhta jenama paling laris di dunia untuk tahun 2016, dan rekod jualan berkenaan terus meningkat pada tahun berikutnya.

     
     
  • Pengedar Proton kunjungi pusat 4S Geely di Shanghai

    Pengedar Proton kunjungi pusat 4S Geely di Shanghai

    Sejak beberapa bulan ini, sejumlah besar pengedar Proton telah menaik taraf rangkaian pengedaran masing-masing menjadi pusat 3S/4S sebagai persediaan bagi pelancaran model SUV pertama Proton. Untuk itu, para pengedar Proton yang terlibat telah dibawa ke Shanghai dalam lawatan ekslusif bagi mengenali Geely dengan lebih rapat lagi, termasuklah mengunjungi pusat 4S jenama itu di sana.

    Para pengedar tersebut telah dialu-alukan kedatangan mereka ke cawangan Shanghai Jinxi Automobiles Sales and Service dan disambut oleh pengurus besarnya Xu Zhi Meng. Di samping perkongsingan pengalaman beliau mengendalikan cawangan terbabit dan berada dalam industri automotif di sana, Xu turut berkata Boyue merupakan model yang sangat diterima di negara berkenaan.

    Terjual lebih 30,000 unit sebulan, jangka masa menunggu untuk SUV tersebut adalah sekitar enam bulan bagi pelanggan yang sanggup menunggunya. Sambutan ini dilihat sangat menggalakkan biarpun Geely boleh dikatakan baru dalam pasaran SUV.

    Pada suke keempat tahun ini, rakyat Malaysia berpeluang memiliki SUV daripada Proton, yang dibangunkan berdasarkan model Boyue dengan kerjasama Volvo. Buat masa ini, apa yang kami dapat kongsikan ialah model segmen-C ini akan dilengkapi dengan elemen termasuk Brek Kecemasan Sendiri (AEB), kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong aktif dan juga paparan pandangan sekeliling 360-darjah.

     
     
  • Di mana Modenas selepas kerjasama dengan Bajaj?

    Di mana Modenas selepas kerjasama dengan Bajaj?

    Semalam telah menyaksikan pengeluar motosikal negara, Modenas melancarkan sebuah lagi motosikal hasil kerjasama dengan Bajaj dari India, iaitu Dominar D400. Ini adalah model ketiga Bajaj yang diperkenalkan di pasaran Malaysia oleh Modenas, selepas Pulsar NS200, RS200 dan V15 yang dilancarkan bulan Mei tahun lalu.

    Kini selepas hampir satu tahun, Modenas mendapati model hasil kerjasama dengan Bajaj ini menerima sambutan baik oleh pengguna dan menurut ketua pegawai operasi pengedaran, pertahanan, pengeluaran dan kejuruteraan automotif DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah, 4,500 unit motosikal ini sudah berjaya dijual.

    Jumlah ini bersamaan dengan 11% daripada keseluruhan jualan motosikal Modenas bagi tahun kewangan 2017/18 yang secara keseluruhannya berjumlah 41,800 unit. Selain daripada itu, jumlah jualan keseluruhan ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun kewangan 2016/17.

    Selain menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan keseluruhan Modenas, model yang ditawarkan dengan kerjasama Bajaj ini juga telah berjaya mengaut perkongsian pasaran sehingga 23%, iaitu bagi segmen motosikal Street bawah 250 cc. Dengan pengenalan Dominar 400 pula, Modenas mahu menjadikan motosikal Bajaj ini penyumbang yang lebih kuat kepada jumlah jualan mereka dengan sasaran 25 hingga 50% daripada keseluruhan jualan.

    Sasaran itu diletakkan dengan yakin kerana Dominar D400 seperti membuka segmen baru. Ia menggunakan enjin 373 cc, iaitu sama seperti KTM Duke/RC 390, tetapi mempunyai harga hampir separuh lebih rendah iaitu pada RM14,615 termasuk GST.

    Tambah Harith lagi, memang mereka mahu mencetuskan satu fenomena baru dalam pasaran motosikal Malaysia. “Ramai yang tahu, prestasi Modenas tidak begitu memberangsangkan sebelum ini kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan yang berubah. Sekarang, kami tidak mahu lagi mengikut trend, tapi kami mahu menjadi trendsetter.”

    Di mana Modenas selepas kerjasama dengan Bajaj?

    “Biasanya sebelum ini, orang pergi ke kedai dengan menjadikan Modenas sebagai satu pilihan akhir kerana harganya yang murah, tetapi kini kami mahu orang pergi ke kedai mencari model Modenas menarik,” tambah Harith.

    Menurut ketua pegawai operasi Modenas, Amiruddin Abdul Kadir pula, Modenas sememangnya akan memasukkan komponen keluaran tempatan pada motosikal Bajaj ini, dan dengan langkah sebegitu juga mereka boleh memanfaatkan pemindahan teknologi daripada Bajaj.

    Semasa majlis sidang media pelancaran Dominar D400 juga ada wakil media yang bertanyakan tentang model baru Modenas 150 cc yang kerap menjadi persoalan orang ramai. Seperti yang boleh dijangka, Harith tidak mahu memberikan sebarang komen berkenaannya dan mahu orang lebih fokus kepada model yang sudah dilancarkan ini. Tetapi apabila didesak lagi dengan pertanyaan sama ada ia akan menggunakan enjin berkapasiti lebih besar seperti 200 cc, Harith menjawab ringkas, “mungkin.”

    Pendapat kami, teknologi motosikal dan kehendak pengguna boleh berubah dan berkembang pantas. Jadi, kalau dah sedia tu, bolehla terus keluarkan ke pasaran. Tunggu lama-lama pun, takut basi pulak nanti.

    GALERI: Modenas Dominar 400

     
     
  • JKJR jangka kemalangan meningkat sepanjang musim PRU 14 – sila tingkatkan konsentrasi pemanduan

    JKJR jangka kemalangan meningkat sepanjang musim PRU 14 – sila tingkatkan konsentrasi pemanduan

    Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menjangkakan kadar kemalangan jalan raya meningkat sepanjang musim pilihan raya umum ke-14 yang akan tiba nanti berbanding hari biasa.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Rosli Isa, antara faktor peningkatan adalah rata-rata yang terlibat dalam kempen akan memandu dalam keadaan kurang tidur, keletihan dan tergesa-gesa ke tempat berkempen, laporan Bernama.

    “Berdasarkan statistik dan pemantauan yang dilakukan JKJR pada pilihan raya lalu, memang terdapat peningkatan terutama musim berkempen sekurang-kurangnya sekali ganda. Jadi saya nasihatkan kepada semua ahli parti politik, jentera kempen dan orang ramai agar lebih berhati-hati terutama ketika memandu pada waktu malam,” katanya baru-baru ini.

    Jadi, harap anda semua mempertingkatkan konsentrasi dalam pemanduan. Jika keadaan anda tidak mengizinkan untuk terus memandu, berhenti sejenak dan berehatlah. Atau pun minta bantuan keluarga/kenalan untuk meneruskan pemanduan. Jangan sesekali memandu dalam keadaan keletihan, mengantuk, dan di bawah pengaruh barang terlarang (termasuk alkohol dan dadah). Pandulah berhati-hati. Moga selamat sampai ke destinasi.

     
     
  • Range Rover Velar mendarat di Malaysia secara rasmi – 2.0 liter turbo 250 PS/365 Nm, bermula RM530k

    Range Rover Velar mendarat di Malaysia secara rasmi – 2.0 liter turbo 250 PS/365 Nm, bermula RM530k

    Setelah lebih setahun membuat penampilan sulung di peringkat global, SUV yang memenangi anugerah World Car Design of The Year – Range Rover Velar – kini tiba ke pasaran Malaysia secara rasmi. Diletakkan diantara Evoque dan Range Rover Sport, Velar hadir kepasaran tempatan dengan hanya satu pilihan enjin petrol dan dua varian iaitu versi standard dan R-Dynamic.

    Jaguar Land Rover Malaysia (JLR) menawarkan model yang dijana enjin petrol empat-silinder Ingenium 2.0 liter turbo sama seperti varian lebih rendah Jaguar F-Pace 2.0 liter turbo yang juga baharu sahaja dilancarkan di Malaysia bulan ini. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 250 PS dan tork maksima 365 Nm.

    Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan sebelum diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD. Gabungan antara kesemuanya membolehkan Velar memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 217 km/j.

    Range Rover Velar mendarat di Malaysia secara rasmi – 2.0 liter turbo 250 PS/365 Nm, bermula RM530k

    Sistem pacuan semua roda tersebut turut disokong oleh ciri Intelligent Driveline Dynamics (IDD), yang membantu memberikan cengkaman maksimum tidak kira sama ada pada pemanduan atas tar mahupun off-road. Sistem ini akan mengagihkan tork dari enjin antara roda belakang dan hadapan melalui kotak agihan dengan klac basah pelbagai lapisan yang diaktifkan secara elektro-mekanikal.

    Dalam keadaan biasa, tork diagihkan dengan nisbah 50:50 antara hadapan dan belakang, dan ia boleh memberikan tork 100% ke gandar belakang atau sepenuhnya kehadapan bergantung kepada keadaan semasa.

    Sistem Torque Vectoring by Braking turut ditawarkan sebagai ciri standard yang mampu mengurangkan sifat understeer SUV ini dengan mengawal brek pada roda sebelah dalam ketika di selekoh. Ia juga dilengkapi dengan sistem Adaptive Dynamic yang mampu mengurangkan kadar olengan badan ketika meredah selekoh.

    Range Rover Velar mendarat di Malaysia secara rasmi – 2.0 liter turbo 250 PS/365 Nm, bermula RM530k

    Untuk sistem bantuan pemanduan off-road Terrain Response pula, enam mod diberikan untuk pilihan pemandu iaitu Comfort, Grass/Gravel/Snow, Mud and Ruts, Sand, ECO and Dynamic. Ia juga disokong dengan fungsi lain seperti Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit dan juga Low Traction Launch.

    Sesuai dengan anugerah yang diterima Velar, SUV ini menampilkan rekabentuk yang begitu mengujakan. Dengan garis badan yang tirus, pekali geseran Velar hanya mencatatkan kadar 0.32, menjadikan ia sebuah Range Rover paling aerodinamik pernah dihasilkan. Model ini juga dibina dengan jarak roda 2,874 mm, atau 214 mm lebih panjang dari Evoque (2,660 mm) dan 49 mm lebih pendek dari RR Sport (2,923 mm).

    Perincian luaran lain yang turut hadir sebagai ciri standard untuk Velar pasaran Malaysia termasuk lampu utama Matrix LED, pemegang pintu tersorok dan rim berdiameter 20-inci.

    Manakala untuk bahagian dalaman pula, SUV mewah ini dilengkapi sistem Touch Pro Duo bersama skrin sesentuh 10-inci, membolehkan anda untuk melihat dan berinteraksi dengan pelbagai ciri yang ada dalam sistem infotainmen InControl dan sistem Terrain Response.

    Ia juga diberikan upholsteri kulit berliang, dan pembeli boleh memilih untuk menggunakan tekstil premium campuran kapas tahan lasak yang dihasilkan oleh Range Rover bersama Kvadrat.

    Ciri lain yang turut melengkapi SUV ini adalah seperti, Navigation Pro System, panel instrumen 12.3-inci Intercative Driver Display, sistem kamera keliling, bukaan pintu ruang belakang automatik dan Auto High Beam Assist.

    Bagi varian tertinggi R-Dynamic, ia turut diberikan dengan Head-Up Display (HUD), rim berdiameter 21-inci dan juga kit luaran yang nampak lebih garang terdiri dari bampar hadapan serta kemasan krom pada tip ekzos berkembar pada bampar belakang. Pada bahagian dalaman, upholsteri model ini turut diberikan material baldu pada bahagian tertentu.

    Range Rover Velar mendarat di Malaysia secara rasmi – 2.0 liter turbo 250 PS/365 Nm, bermula RM530k

    Untuk sistem keselamatan, Velar dilengkapi dengan enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Traction Control (ETC), Roll Stability Control, Cornering Brake Control (CBC), ABS dan EBD, serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada bahagian belakang. Namun, ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki tidak disertakan untuk pasaran Malaysia.

    Lapan warna badan ditawarkan untuk pilihan pembeli iaitu Fuji White, Yulong White, Corris Grey, Santorini Black, Kaikoura Stone, Firenze Red, Silicon Silver dan Carpathian Grey. Kesemua warna ini bebas dipadankan kepada lima pilihan warna tema dalaman iaitu Ebony, Acorn, Vintage Tan/Ebony, Eclipse/Ebony dan Light Oyster/Ebony.

    Model Velar standard dijual pada harga termasuk GST tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insuran bermula RM529,800, manakala varian tertinggi R-Dynamic pula berharga RM588,800. Setiap pembelian Range Rover Velar akan dilindungi dengan lima tahun waranti dan tiga tahun bantuan tepi jalan, serta servis percuma juga selama lima tahun.

     
     
  • Skoda Kamiq ditunjuk – saiz lebih kecil daripada Karoq

    Skoda Kamiq ditunjuk – saiz lebih kecil daripada Karoq

    Model SUV kecil terbaru Skoda khas untuk pasaran China telah ditunjukkan lebih awal melalui satu set lukisan, sebelum ia tampil secara rasmi di Beijing Motor Show minggu hadapan. Namanya masih belum diberitahu secara rasmi tetapi ada laporan yang mengatakan ia akan dipanggil sebagai Kamiq.

    Penawaran terbaru oleh Skoda ini akan menjadi ahli ketiga SUV mereka yang ditawarkan di China, dengan diletakkan di bawah Karoq dan Kodiaq. Ia telah direka dengan pelbagai ciri untuk mengisi keperluan pengguna di negara tersebut, termasuk dari aspek rekaan, konsep serta kelengkapan.

    Bentuk asas kenderaan ini mengingatkan kembali kepada kenderaan konsep Vision X yang pernah ditampilkan di Geneva – banyak garis-garis agresif dan kelihatan tegap. Walaubagaimanapun, bahagian dalam pula nampak lebih konvensional dengan menggunakan pendekatan minimalis, bersama skrin sesentuh bersepadu dan tolok analog.

    Setakat ini masih belum ada perincian teknikal untuk Kamiq, tetapi menurut CarNewsChina, ia akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter yang boleh menghasilkan sehingga 110 hp, dan mungkin ada pilihan enjin lain. Transmisi standard adalah manual enam kelajuan, tetapi ia juga mungkin didatangkan dengan pilihan transmisi DSG klac berkembar. Harga dijangka bermula daripada 90,000 yuan (RM55,700) untuk model asas.

     
     
  • Mercedes-Benz Concept EQ bakal dipertonton di M’sia

    Mercedes-Benz Concept EQ bakal dipertonton di M’sia

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) akan mempertontonkan Mercedes-Benz Concept EQ di EQ Brand Exhibition bulan hadapan. Kajian, yang dikenali sebagai Generation EQ, akan diberikan pendedahan bagi hala tuju elektrifikasi pengeluar kereta terbabit dan membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap EQ Power oleh MBM di negara ini.

    Model konsep SUV elektrik ini akan dipertontonkan di siri jelajah umum, berlokasikan The Waterfront, Desa Park City dari 4 hingga 7 Mei ini, jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

    Generation EQ merupakan kenderaan elektrik baharu Mercedes-Benz yang pertama kali ditampilkan di Paris pada 2016. Model empat-tempat duduk yang diprebiu sebagai EQC SUV ini akan hadir di pasaran dunia pada 2019 – dijanakan oleh dua motor elektrik, yang diletakkan di gandar hadapan dan belakang, dengan kuasanya disalurkan ke bateri yang ditempatkan di lantai kenderaan.

    Larasan pacuan semua-roda elektrik ini mampu menghasilkan keseluruhan kuasa sehingga 300 kW (402 hp) dan tork 700 Nm, membenarkan kenderaan ini dipacu dari 0-100 km/j hanya di bawah lima saat. Mengenai operasinya, kenderaan dengan sifar-emisi ini mampu dipacu sehingga 500 km.

    GALERI: Model konsep Mercedes-Benz Generation EQ

     
     
  • Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

    Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

    Ini merupakan motosikal kedua yang dilancarkan dalam tempoh kurang seminggu selepas SYM VF3i; Modenas Dominar 400 pula telah diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ini juga menandakan kemasukan Modenas ke dalam segmen motosikal berkuasa yang lebih tinggi.

    Selepas Modenas Pulsar (NS200 dan RS200) serta Modenas V15 yang diperkenalkan sebelum ini, Dominar 400 – sebuah jentera Sports Tourer – menjadi model ketiga hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India yang menjengah pasaran tempatan setakat ini.

    Modenas Dominar 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 373 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm manakala tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini juga hadir dengan teknologi Digital Triple Spark Ignition (DTSi), empat injap, sejukan cecair serta sistem suntikan minyak.

    Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear enam-kelajuan dengan slipper clutch, sistem ABS dua saluran, fork teleskopik 43 mm untuk bahagian depan, sementara penyerap hentak belakang menggunakan jenis monoshock dengan pelbagai tahap larasan. Kapasiti tangki minyaknya ialah 13 liter.

    Lebih menarik tentulah harga yang ditawarkan; RM13,788 (tidak termasuk GST). Kalau ditambah dengan GST, ini bermakna harganya ialah RM14,615. Bagaimanapun, ini merupakan harga istimewa sewaktu pelancaran dan akan ditawarkan dalam masa yang terhad, sehingga dimaklumkan nanti.

    Disasarkan sebagai jentera kembara dan juga untuk kegunaan dalam bandar, Modenas Dominar D400 mempunyai banyak kelebihan untuk menarik perhatian pengguna serta mengatasi pesaing-pesaing lain yang ada kini, misalnya KTM Duke 390 dan RC 390.

    Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya ialah lampu utama LED penuh dengan fungsi nyalaan auto, yang membolehkan motosikal ini dilihat dari jarak sejauh 1.5 km. Selain itu, brek cakera untuk bahagian depan (320 mm) dan belakang juga disediakan, memberi daya henti yang cekap.

    Modenas Dominar 400 dilancarkan – harga RM14,615

    Dari sudut prestasi, motosikal ini mampu memberikan bacaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.23 saat. Pecutan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 148 km/j. Kemampuan membreknya pula, dari kelajuan 100 km/j hingga berhenti, ialah dalam jarak 46.19 meter.

    Dimensi binaan Modenas Dominar 400 adalah seperti berikut; 2,156 mm panjang, 813 mm lebar dan 1,112 mm tinggi. Jarak antara rodanya pula ialah 1,453 mm dengan jarak kelegaan tanah 157 mm. Berat pula ialah 182 kg.

    Saiz tayar yang digunakan ialah 110/70-17 untuk hadapan, dan 150/60-17 untuk bahagian belakang. Paparan meter yang digunakan pula dari jenis split reverse LCD yang membahagi paparan speedometer kepada dua konsol berbeza untuk memudahkan pemerhatian penunggang.

    Modenas Dominar 400 didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 24,000 km, yang mana dahulu. Selain itu, lima servis pertama juga akan diberikan secara percuma. Jadi, harga pelancaran ini hanya untuk sementara sahaja. Kalau anda betul-betul berminat, kena cepatlah. Harganya akan naik lebih tinggi dan diumumkan pada satu tempoh yang belum dinyatakan lagi.

     
     
  • Harga bahan api 18-25 April 2018 – harga tak berubah

    Harga bahan api 18-25 April 2018 – harga tak berubah

    Seperti dijangka, harga bahan api untuk minggu ini kekal lagi buat kali keempat berturut-turut. Jadi, bermula tengah malam ini hingga 25 April 2018, anda perlu membayar untuk bahan api dengan kadar yang sama seperti minggu lalu.

    Harga bahan api RON 95 masih lagi dijual pada harga RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter. Manakala untuk bahan api diesel pula, Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5.

    Rasanya minggu depan pun sama juga, kalau nasib baik mungkin turun. Kan?

     
     
  • Sistem BRT pilihan terbaik untuk kurangkan kesesakan di Kota Kinabalu – Menteri JPM

    Sistem BRT pilihan terbaik untuk kurangkan kesesakan di Kota Kinabalu – Menteri JPM

    Jika anda berada atau pernah ke Kota Kinabalu, Sabah, masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan memang agak meruncing khususnya waktu puncak. Justeru, masyarakat di sana memerlukan perhatian daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk mengatasi masalah ini.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sistem Bas Rapid Transit (BRT) dipercayai sebagai pilihan terbaik pada masa ini untuk mengurangkan kesesakan trafik di Kota Kinabalu, laporan Bernama.

    Katanya, meskipun penambahbaikan jaringan sistem bas mini turut penting namun, selepas menjalankan pelbagai kajian di bawah Unit Perancangan Ekonomi dan agensi-agensi berkaitan, BRT didapati pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan trafik.

    “Sistem bas mini bukan sahaja menyelesaikan kebolehgantungan, ketepatan waktu atau keselesaan kepada pengguna malah menyelesaikan masalah kesesakan selain memastikan bas-bas itu tidak terperangkap di tengah-tengah kesesakan trafik,”katanya semasa mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Junz Wong kononnya parti itu berupaya menawarkan penyelesaikan kepada masalah kesesakan trafik di kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar melalui penambahbaikan sistem bas mini.

    Tambahnya lagi, “Memang benar rakyat Sabah perlu ‘melabur’ dalam bentuk tambang yang lebih tinggi untuk mereka menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik, tapi yakinlah bahawa kerajaan akan memastikan tambang BRT dalam kemampuan rakyat Sabah.”

    Selain BRT, kerajaan juga meluluskan perluasan jalan raya antara simpang Indah Permai ke Yayasan Sabah dan terus ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah bagi mengurangkan kesesakan trafik sepanjang jalan berkenaan.

    Harap dengan adanya alternatif ini dapat mengurangkan masalah kesesalan lalu lintas di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025